Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 8

 


AWAL pagi lagi, Fuzah sudah siapkan mamanya.  Malah, saat ini dia sedang menyikat rambut mama.  Dia masih teringat, kali terakhir mama menyikat rambutnya adalah lebih lima belas tahun dahulu.  Bagai baru semalam semua itu terjadi.  Masih terasa elusan tangan mama pada helaian rambutnya.  Kerana inilah satu-satu milik mama yang diwarisi olehnya. 

Rambut panjang lurus.  Hitam dan berkilat. 

“Mama pelik… awal betul Fuz pergi sekolah.  Dia sarapan tak tadi?”  soal mama seraya merenung mata Fuzah di dalam cermin. 

“Dah.  Dia kata kena pergi awal sebab ada aktiviti sekolah.  Dia tak sempat sarapan dekat rumah tapi dia bawa bekal.  Mak cik Ros dah bekalkan dia,” jawab Fuzah lembut. 

Fuzah memintal rambut mama menjadi sanggul tinggi dan diikat kemas.  Dia kemudian duduk di depan mama.  Melihat wajah ini kembali ceria hari ini, segala luka semalam, bagai tak pernah hinggap pada jasad dan hatinya. 

Seperti yang dia katakan pada mak su.  Semua sakit itu telah hilang. 

“Yang Fuzah ni, kenapa tak pergi sekolah lagi.  Kan dah lewat ni…” 

“Fuzah terbangun lambat.  Nanti kalau pergi, mesti kena denda lari keliling padang,”  jawabnya dengan suara lunak.

Hesy… cubalah ikut perangai abang sikit.  Rajin pergi sekolah.  Tak pernah nak ponteng.  Fuzah tu, ada aje alasan.  Sakit kakilah, sakit kepalalah…” bebel mama. 

Fuzah ketawa.  Betapa merdunya mendengar suara bebelan mama. Seperti dia mahu berharap, masa itu berhenti pada saat ini.  Kekalkan dia dan mama dalam suasana bahagia dan harmoni begini.  Selamanya. 

“Ketawa pulak dia,” komen mama. 

“Fuzah nak teman mama hari ini.  Rindunya dekat mama…”  Dia terus peluk mama erat walaupun wanita itu cuba menolak tapi akhirnya dia dapat rasa, mama membalas pelukannya erat.

Malah, dia dapat dengar tawa halus mama.

“Hari ini aje.  Esok kena pergi sekolah.  Kena rajin dan pandai macam abang.”

“Mama ni…. semua abang…” Fuzah leraikan pelukan dengan bibir mencebik.  Persis merajuk.

Mahazera ketawa. 

“Ala… merajuk pulak dia.  Mama cakap benda betul.  Abang Fuz kan rajin.  Tapi yang pasti, dua-dua mama sayang.  Tak ada beza.  Dua-dua permata hati mama.  Hilang salah sorang, mama boleh jadi gila…”

Kala mendengar perkataan akhir itu, rengkung Fuzah bagai nak pecah.  Tapi, dia tetap senyum.  Wajah mama dielus.  Helaian rambut yang jatuh di pipi, diselit di belakang telinga. 

“Kalau macam tu, Fuzah nak pergi sekolah jugalah.  Tak apalah lambat sikit.  Kalau cikgu suruh lari keliling padang pun, Fuzah lari.  Tak nak mama benci Fuzah sebab malas belajar.  Nak mama sayang Fuzah selamanya…”  Fuzah sengih.  Lebar.  Biarpun bening mata itu mula berkaca.

“Ya… mama memang dah sayang.  Permata hati mama dunia akhirat…”. Mahazera cubit manja pipi Mahfuzah.

”Tapi…” Mahazera kerut dahi.  Memandang pada bening mata indah milik anak perempuannya yang nampaknya seperti hendak menangis.

”Tak kanlah mama bebel suruh pergi sekolah pun, Fuzah nak menangis?” Tegurnya separuh mengusik seraya mengusap pipi lembut itu. 

Dia tarik kepala Mahfuzah dan didakap erat bersama kucupan hangat singgah tepat di tengah kepala anak itu. Kala itu, air mata Fuzah mengalir tak terseka.  Dia biarkan sahaja air jernih itu menitis.  Kerana perasaan yang selama ini dibenamkan. 

Rindu. 

Pada wanita yang bergelar ibu.  Yang sudah lama ‘hilang’.

”Dah lewat ni…” tegur Mahazera.  Dia lepaskan pelukan dan disapu pipi basah itu bersama senyuman lebar. 

“Harta dunia dan syurga mama…” ujarnya lembut. 

Fuzah ketap bibir bawah sekuat hati.  Mengangguk perlahan.  Dia juga koyak senyum pada mama.  Ini adalah masa yang begitu berharga kerana dia tak tahu, bilakah lagi waktunya untuk dia ada ruang dan peluang seperti ini. 

“Fuzah pergi dulu, ya.  Mama rehat, makan.  Jangan fikir bukan-bukan.  Habis aje sekolah, Fuzah terus balik temankan mama,” janjinya.

“Ya…”  Mahazera senyum.  Menghantar anak gadisnya pergi.

Sesekali dia kerut dahi.  Sejak bila susuk tubuh Fuzah berubah?  Dah tinggi.  Serasa baru semalam Fuzah hanya berdiri setara bahunya sahaja. 

Haih… anak-anaknya benar-benar cepat membesar. 

 

*****

 

BARU sahaja dia pijak anak tangga terakhir, telinganya menangkap suara ayah.  Dia pakukan langkah.  Tidak menoleh.  Malah, tidak mahu mendekati juga.  Untuk seketika, dia benar-benar tak mahu mendengar suara lelaki itu.  Tidak mahu juga menatap mata yang penuh dengan kebencian itu. 

“Lambat kau pergi kerja hari ini.” 

“Saya temankan mama dulu pagi ini,” jawabnya.  Masih berdiri di situ. 

“Kau dah betul-betul sihat ke?” 

“Dah.”

“Kau betul tak ada sakit lain?”  Suara Tan Sri Zain berbaur syak.

“Tak ada.  Semalam tu, cuma demam biasa,” jawab Fuzah lagi. 

“Aku tak kisah kau sakit ke apa tapi jangan sampai orang luar tahu yang kau tu masuk hospital.” 

Telah dia katakan, dia tak mahu untuk dengar patah bicara ayahnya itu pagi ini setelah dia lalui pagi yang membahagiakan bersama mama.  Malah ayat itu… Fuzah senyum sendiri.  Jika dulu, ayat demikian akan mencincang lumat hatinya. Tapi sekarang, tiada lagi, kerana yang lumat itu tiada lagi tempat untuk dicincang. 

“Semalam dah cukup kelam-kabut aku nak menjawab bila ada orang kata dia nampak kau dekat jabatan kecemasan HKL.  Aku tak nak orang menangguk dalam air keruh bila tahu kau tak sihat ke apa.  Diorang ingat, aku dah tak banyak keluar dan duduk rumah, aku tak boleh nak ambil tindakan.”  Suara Tan Sri Zain keras dan dingin. 

“Saya faham.”

“Satu lagi, aku dah pujuk Dato’ Lah dan lain-lain untuk jumpa kau lagi sekali.  Terserah pada kau nak yakinkan diorang yang kau masih layak untuk ada di kerusi tu.  Jangan malukan aku!  Aku tak nak dengar orang cakap anak Tan Sri Zain tak boleh harap!”  Amaran itu kedengaran keras.

“Baiklah.” Selain akur, tiada apa lagi yang berdaya dilakukan saat ini. 

“Kau mari duduk sini.  Ada benda ayah nak bincang,” ajak Tan Sri Zain.

Dengan berat hati, Fuzah melangkah mendekati meja makan.  Menarik kerusi dan duduk berselang dua kerusi daripada ayah.  Masih memandang kosong ke permukaan meja.  Langsung tidak mengerling pada Tan Sri Zain.

“Kau dah umur 28 tahun…”

Fuzah kekal begitu.  Apa yang dikatakan tidak langsung menarik minatnya. 

“Ayah rasa dah sampai masa untuk kau kahwin.”

Kali ini, barulah Fuzah menoleh.  Terkejut dengan kata-kata ayahnya.

“Ayah dah jumpa calon.  Adrian, anak Dato’ Lah.  Macam mana sekalipun, ayah perlukan waris lelaki.  Kau pula satu-satunya anak ayah.  Itu tugas kau untuk berikan ayah cucu dan anak Dato’ Lah adalah calon yang terbaik untuk kau.”

Dahi Mahfuzah berkerut seketika.  Dia kenal dengan anak kepada kawan-kawan ayahnya.  Semuanya sangat menjengkelkan.  Mereka memandang wanita seperti bahan kepuasan diri dan bahan pameran semata. 

“Ayah suruh saya jumpa Dato’ Lah semalam tu, sebab ini ke?”  soal Fuzah sekadar menyerkap jarang.

“Salah satunya.  Anak dia ada sekali semalam.”

“Ayah tahu kan anak dia pernah ada skandal salah guna bahan terlarang dan perempuan?” 

“Dah tu… apa masalahnya?”  bentak Tan Sri Zain.  Dadanya mula meluap mendengar bunga bantahan. 

“Aku suruh kau dapatkan anak aje.  Nak ikut kau, lelaki mana yang nak.  Kau tak perlu nak sayang dia pun. Aku tak suruh kau cinta mati pun pada dia.  Fokus untuk dapat anak aje!” 

Fuzah tunduk dan senyum sendiri.  Cucu?  Semudah itu ayah meminta dan mahu mencagar dirinya? 

“Anak yang ayah maksudkan tu adalah manusia,” ujar Fuzah, tenang.

“Habis tu, kau ingat aku tak tahu anak tu manusia?  Kalau boleh beli, dah lama aku beli.  Tak perlu kau pun.  Kalau Fuz masih ada…”

“Ya…”  Fuzah mencaras suara ayah.  Tak mahu ayah terus mengungkit perkara itu. 

“Saya setuju.  Tapi, saya sendiri ada syarat.” 

Andai ayah mahu menjadikan anak itu satu perniagaannya, dia mahukan perjanjian yang adil. 

“Ayah ikut syarat saya yang satu ini, ayah nak saya kahwin esok pun saya akan setuju.  Lebih daripada itu pun saya sanggup.”  Dia merenung mata ayahnya dengan berani.

Telah dia katakan, tiada apa yang dia takut tentang lelaki ini sekarang.  Melainkan bila ayah cuba menyakiti mereka yang ada di sisinya. 

Oh… bagus.  Aku akan cakap dekat Dato’ Lah nanti.  Adrian memang berkenan dekat kau.  Tapi, sebelum tu, cakap dulu syarat kau tu.” Senyuman sinis terjongket kemas pada hujung bibir Tan Sri Zain. 

Fuzah mendiamkan diri seketika.  Inilah saatnya. Permintaan yang kerap kali ditolak mentah dan disanggah walau apa jua alasan yang diberi.  Permintaan yang telah sekian lama tidak dizahirkan. 

“Tentang mama…”  Suara Fuzah terhenti di situ.  Dia pandang tepat ke mata ayah. 

“…saya nak bawa mama terima rawatan…”

Prang… pinggan Noritake itu pecah terburai dicampak ke lantai.  Fuzah hanya memandang wajah ayahnya yang sedang mendekati.  Sama seperti semalam, tiada gentar. 

“Berapa kali nak cakap hal sama?  Dah bertahun, kau tak puas lagi nak cakap hal ini?”  jerkah Tan Sri Zain. 

“Kau ingat kau aje ke nak dia sembuh?  Kau tak tahu aku dah puas cari doktor nak rawat dia?  Lepas tu, kau nak semua orang tahu mama kau tu gila?  Nak malukan aku?!” 

“Betul ayah cuba.  Tapi, ayah juga mudah putus asa.  Tapi, saya tak pernah putus harapan tentang mama,” jawab Fuzah. 

Mendengarkan jawapan Fuzah, Tan Sri Zain terdiam.  Dia mamah rahang tanpa henti.  Menahan amukan perasaan. 

“Kau cakap aku cepat putus asa?  Dah tu, kalau kau tak putus asa… kau ingat dia boleh sembuh?”  Mata Tan Sri Zain mencerlang.

“Kalau macam tu, esok saya pergi ke Jabatan Kebajikan untuk uruskan proses dapatkan anak angkat,” balas Fuzah. 

“Mahfuzah!”  Suara Tan Sri Zain bergema.  Hinggakan beberapa orang pembantu rumah yang ada di dapur turut menjengah keluar. .

Lelaki itu kembali duduk.  Meraup wajah.  Nafasnya mengah.  Kudratnya sudah tidak seperti dahulu.  Apatah lagi setelah diserang mild stroke dua tahun lepas. 

“Saya rasa bisnes ni adil untuk saya dan ayah.  Ayah dapat apa ayah nak dan saya pun sama.  Kalau saya kahwin esok dengan Adrian, saya tak tahu bila saya akan mengandung dan berikan ayah cucu.  Sama juga bila saya hantar mama terima rawatan, tak pasti bila mama akan sembuh.  Seperti kata ayah, tiada jaminan untuk dia kembali pulih, mengambil kira tempoh masa dia sakit.  Hanya sebab ayah sorok dan tak nak orang tahu.  Tak nak mama terima rawatan.  Tapi, ayah ada peluang besar untuk dapatkan pewaris lelaki.” Ayat akhirnya kedengaran menekan. 

“To be honest, I will gain nothing from this arrangement. The advantage is leaning towards you,” tambahnya tanpa ada rasa gentar dengan renungan tajam Tan Sri Zain. 

Tan Sri Zain kehilangan kata.  Anak yang dulunya seperti lemah tak berdaya, hari ini nampak benar-benar kuat dan gagah.  Dia balas pandangan mata anaknya. 

“Kau nak bawa mama kau terima rawatan?” Tak semena, Tan Sri Zain ketawa.  Dia menggeleng kecil.  Direnung mata redup anaknya yang jelas tidak berperasaan sejak sekian lama. 

“Kau ingat sikit… siapa yang buat mama kau jadi macam tu?  Siapa yang buat isteri aku jadi gila?  Kau sedar sikit punca tu daripada mana.  Kau rasa kalau dia pulih, dia akan terima kau?” ujar Tan Sri Zain, perlahan.

Namun, bicara halus itu adalah belati tajam yang terus mengelar seluruh hati dan jiwa Fuzah. 

“Ayah ada sehingga esok untuk buat keputusan.  Saya pergi dulu.” Fuzah koyak senyum tipis.  Jika sebelum ini, ayat itu hanya diungkapkan oleh ayah, kini gilirannya pula. 

Melihat ayah yang terkulat-kulat, Fuzah tidak lagi menanti.  Dia angkat tubuh, berlalu biarpun dia dapat mendengar satu demi satu pinggan kaca di rumah itu dihempas ke lantai. 

Seperti kata mama sebelum ini, dan sekarang, ayah pula terus mengiyakan.  Dia adalah punca kepada segala-galanya.  Andai dalam keadaan sekarang juga, mama begitu membencinya, tak dapat dia bayangkan kecewanya mama andai ingatan itu kembali pulih. 

Tentang dirinya yang telah menjadi punca segala derita. 

No comments:

Post a Comment