Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 10

 

G-WAGON hitam itu berhenti di depan lobi bangunan. Fuzah keluar dan terus masuk ke dalam bangunan. Saat dia melintas, tiada seorang pun yang berani mengangkat wajah mereka.  Seperti selalu, tak pernah dia endah. Walaupun pasti ada yang tertanya, kenapa dia memandu sendiri. Bukan Anas. 

Sebaik sahaja lif tiba di tingkat 21, Fuzah terus masuk ke pejabat sendiri.   Di tingkat ini hanya ada pejabatnya, pejabat mak su, bilik Pengurus Besar, bilik untuk Anas dan bilik mesyuarat. 

Lima tingkat lagi; 16 sehingga 20 adalah kegunaan pekerjanya dan tingkat yang lain pula telah disewakan.

Dadanya sesak.  Kepalanya sarat.  Dia benar-benar mahu membawa mama lari dan menerima rawatan yang sepatutnya mama terima sejak sekian lama. Tetapi, mampukah dia hadapi amukan ayah?  Bagaimana jika dia pergi, ayah melepaskan segala amukan pada mak su dan yang lain-lain? 

Sejak dulu, ugutan ayah menghalang segalanya.  Kerana dia tahu, ugutan ayah bukan sekadar ugutan.  Ia adalah kata yang akan dikotakan. 

Wajah diraup sekali.  Pandangannya berbalam.  Buat seketika, dunianya bagai terhuyung-hayang.  Hinggalah dia dengar pintu diketuk dan wajah mak su terjengul, Fuzah tarik nafas dalam.  Memejam-celik mata beberapa kali. 

Mak su muncul bersama senyuman.  Nampak lega. Seperti membawa berita gembira.  Zana duduk di depan Fuzah yang nampak sedikit ceria tapi dia tahu ceria itu disalut dengan olesan alat solek. Tetapi, setidak-tidaknya Fuzah nampak kuat seperti sebelumnya. 

“Fuzah dah sihat betul ke ni?”  Zana labuhkan pungguk duduk di atas kerusi. Merenung wajah itu dengan kerisauan bermaharajalela dalam hati.

“Dah.”  Fuzah koyak senyum tipis.   

“Betul ni?”  Zana redupkan pandangan.  Pagi tadi bila dia mencari anak saudaranya, Fuzah rupanya terlena bersama mama tersayang. Jarang-jarang dia dapat lihat wajah itu tenang dalam lena.  Hanya dalam dakapan Mahazera, dia dapat lihat ketenangan dalam wajah lena Fuzah.

Hurm… jangan risau.  Macam mana temu duga?” Mahfuzah segera menukar hala bicara.  Menolak kerisauan ibu saudaranya. 

“Semua lancar.  Ada tiga orang yang betul-betul qualified dengan apa yang kita cari. Ada sorang tu usia lebih sikit tapi dia ada more experience.  Dan, mak su rasa dia istimewa sikit…”

“Sebab?” 

“Ini… resume dia.  Fuzah tengok.  Cam tak rupa dia?”  Zana tolak fail itu ke depan Fuzah. 

Fuzah belek fail tersebut.  Gambar pasport itu ditatap lama. 

“Cam tak?”  tanya Zana. 

Seketika, Fuzah hanya mampu kerutkan kening.  Cuba menggali ingatan yang boleh jadi telah tertimbus.  Namun, wajah ini benar-benar membawa satu rasa dalam dirinya. 

“Tak kan tak cam?” 

Fuzah pandang wajah Zana seketika sebelum kembali merenung wajah itu dan saat itu, kerutan pada dahi hilang, diganti dengan mata yang sedikit membulat.  Bahana rasa tak percaya. 

“Muhamad Luth bin Luthfi.  Usia dua puluh sembilan tahun.  Lulusan Universiti Teknologi Malaysia, UTM Skudai dalam bidang Kejuruteraan Awam, pengkhususan struktur.  Pengalaman sebagai clerk of work, kontrak selama dua tahun, project manager kontrak selama setahun, project engineer untuk tiga tahun dan pernah jadi buruh binaan biasa untuk beberapa tahun.  Ada ibu dan seorang kakak yang berusia tiga puluh tahun dan sekarang sedang bekerja sebagai pemandu e-hailing,” cerita Zana. 

Fuzah menyepi.  Ya, mana mungkin dia lupakan lelaki ini.  Yang telah membantunya.  Malah, menghantarnya ke hospital.  Walau berapa banyak bayaran yang diberi, tak mungkin akan dapat membalas budi itu.  Namun, padanya, mereka hanya berpapasan kali itu sahaja.  Siapa sangka, takdir telah membawa lelaki itu ke depannya sekali lagi. 

“Mak su tengok resume dia sebelum ni lagi ke?” 

“Tak.”

“Mak su ada sama ke tadi masa interview?”

“Tak ada.  Mak su ada urusan lain.  Badrul ada.  Diorang bagi resume untuk calon yang lulus temu duga.  Itu mak su terkejut bila tengok resume ni.” 

Fuzah angguk. Sebagai Pengurus Besar Projek, Badrul pasti lebih mengetahui kriteria yang diinginkan.  Dia terus membaca resume tersebut.  Lelaki ini hanya setahun lebih berusia daripadanya. Pada usia 29 tahun, dia sudah ada pengalaman menguruskan projek, walaupun hanya secara kontrak. Lelaki ini ada banyak pengalaman. 

“Apa pendapat, Fuzah?” 

“Badrul cakap apa?” 

“Dalam ramai-ramai, ada tiga orang yang lepas interview.  Tapi, calon ini yang paling okey.  Katanya, nak ambil ketiga-tiga orang.  Dengan banyak kerja dan masalah sekarang, memang perlukan lebih daripada seorang,” jawab Zana.

Fuzah diam.  Fikirannya terasa kosong saat memandang wajah di dalam gambar pasport tersebut.  Biarpun tanpa senyuman, lelaki ini sangat tampan. 

“Fuzah tak setuju?  Risau dengan kewangan?” 

“Taklah. Fuzah setuju aje. Kewangan kita masih kukuh. Fuzah dah call lawyer untuk cairkan beberapa aset atas nama Fuzah untuk tampung kos kerugian tu.”

“Eh, kenapa macam tu pula?  Bukan ayah Fuzah cakap Dato’ Lah nak bantu ke?”

“Ayah jual Fuzah pulak pada anak Dato’ Lah… sebagai ganjaran untuk semua bantuan tu,” ujar Fuzah, tentang.  Bagai tak kisah langsung.

Hakikatnya dia tak pernah kisah tentang dirinya.  Kerana itu dia telah bersetuju. 

Mata Zana membulat.  Nak dikatakan tak percaya, tapi mengenali abangnya, segalanya adalah tidak mustahil. 

“Fuzah dah setuju ke?” 

Fuzah angguk. 

Dahi Zana berkerut.  Tak faham kenapa Fuzah boleh bersetuju.  Rasanya, mereka kenal sikap Adrian, anak lelaki Dato’ Asbullah itu.  Memang sejak dulu, Adrian sukakan Fuzah.  Tapi, lelaki seperti itu tak sesuai untuk anak saudaranya. 

“Jangan risau.  Fuzah tahu apa Fuzah buat, mak su.”  Dia senyum tipis, mahu menghalau wajah resah mak su. 

“Tentang ni…” Jari Fuzah mengetuk resume tersebut beberapa kali. 

“Mak su keluarkan offer letter pada dia untuk jadi driver peribadi Fuzah tapi dengan gaji dua kali ganda.”

“Fuzah serius ke ni?  Kita tak kenal lagi dia macam mana untuk dia ganti tempat Anas.” Sama seperti tadi, Zana juga kerut kening.  Tanda tidak memahami.  Fuzah senyum tipis. 

“Lagipun, daripada tiga orang yang lulus ni, dia paling berpengalaman…” sambung Zana. 

“Fuzah ada sebab sendiri.”

“Yalah.  Nanti mak su keluarkan surat terus pada dia.  Tapi, kalau dia tolak?” 

Offer untuk naik gaji lagi.  Atau berapa aje yang dia nak.  Fuzah tak kisah.”

Zana kian keliru.  Sungguh dia tak mengerti dengan permintaan Fuzah kali ini. 

“Fuzah tahu mak su mesti fikir rugi pengalaman yang dia ada kalau Fuzah jadikan dia pemandu peribadi.  Tapi, tak lama.  Sehingga Fuzah jumpa yang sesuai untuk ganti Anas. Lagipun, dekat resume dia ni dia tulis dia belajar MMA.  Berbanding dengan Anas, paling tidak dia pandai jaga diri sendiri,” jelas Fuzah.

Maka thulah Zana.  Kriteria yang Fuzah cari sekarang kian meningkat naik setelah apa yang terjadi pada Anas. 

“Sebut pasal Anas, macam mana dia?” 

“Tak ada yang serius.  Hanya luka luar.  Doktor Hanan dah x-ray semua.  Tak ada tulang retak.  Mak su rasa, ayah Fuzah dah tak kuat macam dulu sejak kes dia kena mild stroke dua tahun lepas.  Kalau tak, patah riuk dah budak tu.”

Fuzah senyum kelat.  Boleh jadi benar kata mak su. 

Jika ayah masih berkudrat seperti dulu, pastilah dia tidak ada di sini hari ini setelah menerima pukulan yang tepat di sisi kepalanya.  Anas juga sama.  Tapi, amarah dan ketamakan ayah, tidak pernah surut biarpun sisa usianya kian menyusut.

Sekali lagi, dia pandang wajah pada gambar tersebut.  Adilkah untuk lelaki ini?  Selamatkah lelaki ini untuk ada bersamanya?  Jika perkara yang sama

berlaku pada Anas, terjadi pada lelaki ini… sanggupkah dia menjadi benteng sekali lagi? 

Paling penting, adakah lelaki ini akan menerima tawarannya ini?

No comments:

Post a Comment