Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 12

 

SETIAP senarai aset yang bakal dicairkan itu diteliti.  Rasanya lebih lima puluh peratus demi menampung kos kerugian yang dihadapi demi mengelakkan pelabur menarik diri.  Banyak juga aset yang dia miliki tanpa pengetahuan ayah.  Perancangan masa depan untuk dirinya satu hari nanti.  Bukan hanya dia tapi di dalam rancangan yang belum pasti itu, ada mama dan mak su bersama. 

“Berapa lama akan ambil masa ni?”  soalnya pada Azim. Peguamnya. 

“Saya baru siapkan senarai dan harga mengikut market untuk saya buat permohonan lelong.  Ada sesetengah tu, saya dah ada buyer.  Saya anggarkan dalam masa dua ke tiga bulan, cik puan,” jawab Azim.

“Tapi, cik puan tak rasa banyak sangat ke?” 

“Banyak. Tapi, saya tak ada pilihan sebelum semua orang hilang keyakinan pada saya.  Saya perlu buat sesuatu.  Kalau awak duduk di tempat saya ini, awak sendiri tahu… semua ni tak mudah,” jawab Fuzah dengan mata yang tak lepas merenung senarai.

Ya, memang banyak.  Tapi, seperti katanya… ini adalah pilihan terakhir walau ayah tegaskan Dato’ Lah akan membantu. 

“Kenapa tak minta tolong Tan Sri?” 

“Awak sendiri tahu… berita macam ni yang Tan Sri tunggu.  Dia memang nak saya melutut dan merayu di kaki dia.  Sesuatu yang saya tak akan buat.” 

Azim mengiyakan dalam diam.  Dia tahu perbalahan yang dialami oleh dua beranak ini.  Malah, ayahnya sendiri menjadi peguam kepada Tan Sri Zain dan dia dilantik menjadi peguam kepada anak tunggal Tan Sri Zain.  Pada mulanya, dia memilih untuk setia kepada Tan Sri Zain, mengikut jejak ayahnya.  Entah kenapa, satu hari ayahnya berpesan untuk berkhidmat sepenuh hati kepada Mahfuzah. 

“Ada cara ke untuk kita uruskan semua ni tanpa ayah saya tahu?”  soal Fuzah seraya mengangkat wajah.

“Jangan risau, cik puan.  Kita tak disclose dokumen asal.  Semua nama yang digunakan masa auction tu nanti adalah nama proxy.  Jadi, Tan Sri tak akan tahu.” 

“Tuan Azmi macam mana?” 

“Ayah dan saya adalah dua entiti berbeza, cik puan. Dia dan saya berkhidmat kepada majikan berbeza dan cara kami juga tak serupa.  Hubungan ayah dan anak tak menjanjikan untuk kami berkongsi maklumat tentang client kami,” balas Azim. 

Ada ketika, terasa juga hati kerana Mahfuzah jelas seperti masih kurang mempercayainya. 

“Jangan salah faham, Azim.  Saya tahu awak setia pada saya.  Saya cuma nak kita lebih berhati-hati.  Awak sendiri tahu apa yang ayah saya boleh lakukan kalau dia tahu.” 

“Saya faham, cik puan,”  Azim senyum tipis.

Wanita ini hanya berbeza satu tahun tua daripadanya.  Hampir tiada beza dari segi jarak usia tapi siapa sangka, segalanya berbeza. 

Fuzah masih meneliti setiap baris ayat hinggalah pintu kaca biliknya diketuk dan wajah Zana tersembul bersama senyuman tipis.

“Mak su kacau ke?”  soalnya saat mendekati meja. 

“Tak. Dah siap.”  Fuzah menolak semula dokumen itu kepada Azim.

“Kalau boleh, selesaikan dalam bulan ni, Azim.” 

“Saya cuba, cik puan.”  Azim bangkit dan berlalu keluar. 

Zana labuhkan duduk. 

“Dia terima…” ujar Zana.

“Dia?”  Fuzah kerut dahi. Tak faham. 

Driver baharu Fuzah. Dia terima.”

“Oh… ya ke?”  Belakang Fuzah tegak. Pandangan matanya kelihatan sedikit teruja.

“Dia datang lapor diri hari ini, kan?”

“Betul. Ada dekat luar tu.  Dia lapor diri dengan Badrul bersama dua orang lagi.”

“Dia cam mak su?” 

“Mak su tak jumpa dia lagi.  Ayu, setiausaha Badrul yang bawa dia naik atas tadi.  Fuzah nak jumpa dia sekarang?”

“Kejap lagi.  Bagi Fuzah selesaikan beberapa perkara sikit.  Lagipun, Fuzah nak keluar kejap lagi.” 

“Fuzah nak mak su temankan?” 

Fuzah geleng dengan senyuman tipis.  Tiada apa nak dirisaukan. 

“Kejap lagi mak su bawa dia masuk.”  Zana angkat tubuh dan terus keluar. 

Buat seketika, pertama kali… detak jantung Mahfuzah berubah rentak biarpun sedikit.  Tidak seperti biasanya.  Bukan detak di saat dia perlu berdepan dengan ayah.  Tidak juga detak di saat melihat mama menderita.  Satu detak yang dia sendiri tidak pernah rasai.  Jauh sekali mengerti. 

*****

 

SEJAK tadi, kakinya tak berhenti bergerak.  Mematahkan jari-jemari kasarnya sejak tadi kerana rasa debar yang bukan sedikit.  Bila teringat akan apa yang dia cari tentang Pengarah Urusan Mahazera Group, seperti nak pengsan pun ada.  Padahal sebelum ini, dia banyak study tentang Mahazera Group sewaktu menyertai temu duga tempoh hari. 

Wajah itu saling tak tumpah. Malah, membaca namanya buat dia yakin, itu adalah wanita yang sama. Patutnya dia dapat mengagak ketika wanita itu bergegas masuk ke perut keretanya tempoh hari. Tapi, tak mungkin dia akan menjadi driver pada wanita itu, kan?

Bukan tidak mahu, tapi dadanya berasa tidak lapang.  Perasaannya juga seperti tidak senang. 

Dia sedang membelek buku tentang teknologi Industrialised Building System (IBS) yang sedang digunakan oleh kebanyakan kontraktor dalam pembinaan sekarang bagi tujuan penjimatan masa pembinaan.  Waktu itu, dia dengar pintu diketuk dan belum sempat dia menjawab, wajah kak long muncul di pintu. 

“Tak tidur lagi?”  Lufya labuhkan duduk di birai katil bujangnya. 

“Kau baca apa?”  Lufya menjenguk.

Luth menutup buku dan ditunjukkan tajuknya pada kak long.  Dia sengih bila kak long mencebik.

“Nak baca buat apa?  Kau tu jadi driver,” perli kak long.

“This is my forte. Besides, it doesn’t hurt to keep the knowledge intact.” jawab Luth.

Dia sengih melihat kak long seperti tewas. 

“Ini kak long… Luth baca profil Mahazera Developer.  Diorang sekarang memang guna hampir 90 peratus IBS dalam projek diorang.  IBS ni, bagusnya, jimat masa… tapi itulah, kos memang akan naik daripada biasa.  Lepas tu, kak long mesti tahu yang projek diorang yang dekat Morib tu.  Katanya, ada pekerja mati.  Kes dalam siasatan.”

Hurm… kami jadi konsultan struktur…” akui Lufya.  Tidak hanya Mahazera Developer yang disiasat, mereka juga sama terpalit sekali.

Drawing tu, kak long buat untuk main building untuk resort tu.” 

“La… kak long tak cakap pun.”

“Kerja kak long.  Bukan kerja kau,” bidas Lufya, bersahaja.  

Luth mencebek. Kak long ni memang.  Ada kala, ayat yang dituturkan tu buat pendengarannya berdengung.   

“Projek tu adalah naik taraf.  Sebab dia beli resort sedia ada yang tutup masa PKP dulu.  Hari kau bawa balik kereta kotor tu, hari tu pegawai SPR datang ofis kami.  Kak long ada dengan bos masa tu. Dalam drawing memang kami guna konkrit untuk bina gutter. Gutter awal setiap tingkat adalah bukan konkrit.  Nak dijadikan cerita, yang dibina tak guna konkrit tapi gabus.  Sebab tu, ada pekerja pijak gutter tu dan jatuh daripada tingkat 9,” cerita Lufya, dengan serius.

“Dah jadi kes serius?”

Hurm… kami terlepas tapi pekerja Mahazera masih dalam siasatan.  Itu yang kali terakhir kak long dengar.  Tapi, bukan saja-saja kak long cerita ni pada kau.  Kak long dah buat beberapa projek Mahazera Development ni.  Jadi, kak long selalu dengar berita kurang senang pada bos dia yang muda tu.” 

“Apa maksud, kak long?”  Luth kerut dahi.  Ayat kak long membuatkan letak duduknya sedikit terusik.  

“Jujurnya, kak long okey kau masuk ke situ untuk jawatan yang kau pergi temu duga tu.  Bila tiba-tiba kau ditawarkan untuk jadi driver, kak long memang tak berkenan.  Cuma depan umi, tak naklah buat umi risau.” 

“Eh, kak long pun skeptikal pasal kerja driver ke?”  soal Luth, mengusik. 

“Bukanlah!” Lufya jegilkan mata.  Budak bertuah ini.  Ada aje nak mengusik dia yang sedang serius ni. 

“Kak long tak pernah skeptikal dengan kerja orang. Tapi, kau tu bukan orang lain. Kau tu, adik kak long.  Dengan kelayakan dan pengalaman kau, mestilah kak long rasa pelik tiba-tiba diorang offer kau jadi driver,” jelas Lufya.

“Okeylah tu. Kira diorang memang nak yang terbaik.  Driver pun kena ada kelulusan dan pengalaman macam Luth.  Tinggi tu standard diorang.”  Luth masih tak puas mengusik kakaknya. 

Bukan apa.  Sejak tadi kerut dahi sana-sini. Dia yang melihat pun, terpaksa kerut dahi sama. 

Luth menyepi.  Hanya menanti bicara kak long yang selanjutnya.

“Kau dah tengok CEO dia?” 

“Tan Sri Zain?” 

“Itu Chairman Mahazera Group.  Mahazera tu adalah nama isteri Tan Sri Zain yang sangat lama tak muncul depan umum. Tak ada siapa tahu kenapa.  Hanya khabar angin mengatakan dia tak sihat.  Tak ada yang berani ungkit juga.  No one ever dared to question about that.  That’s how powerful he is…”  Sekujur tubuh Lufya meremang juga bila teringatkan cerita tentang lelaki itu.

“Mana isteri dia pergi?” 

“That’s not our concern, Luth.  Yang kak long nak kau concern sekarang adalah, siapa yang bakal jadi bos kau.  Kau bakal jaga siapa.  Kak long tak fikir Tan Sri Zain sebab dia tak lagi uruskan Mahazera Group secara direct.  Tapi, anak dia.  Sejak dua tahun lepas.”  Lufya telan liur.  Merenung mata adiknya.

“And from what I’ve heard… she’s not like her father…”

“So… she’s much better than him?”  duga Luth. 

“In terms of work, yes.  She is much better.  Dia berjaya wujudkan MISC.  Mahazera International Shipping Company yang berpangkalan di Port Klang dalam masa setahun aje dia jadi CEO Mahazera.  Dengan kapal dagang semua tu.  Hebat, kan?” 

Luth diam.  Berasa kagum dengan apa yang dicapai oleh wanita muda itu. 

“But Luth… she is way more violent than her father.” 

“Is that really a fact?”  Luth jelas tak percaya.  Penat dia mendengar khabar angin tentang wanita itu. 

Yes, Muhamad Luth,” tekan Lufya, meyakinkan. 

“Kalau kau jadi driver pegawai dia yang lain, then it should be okay.  Kalau kau dapat dia, kak long harap kau tolak dengan baik.  She’s not someone who we want to mess with.”

Luth kembali mendiamkan diri.  Mencerna setiap kata-kata kak long.  Daripada cara dan riak wajah kak long, kakaknya ini langsung tidak bergurau.  Segala apa yang dikata adalah jelas satu kebenaran. 

“Kak long risau, bila dah terjebak dengan orang macam tu, susah nak lepaskan diri, Luth. Kak long tak nak kau dalam bahaya,” tambah Lufya. 

Luth pandang mata kak long.  Nampak berkaca.  Kak long jelas risau.  Kerana itu dia koyak senyuman lebar.  Memujuk keresahan kak long.

”Jangan risau.  Jika Luth rasa tak okey, Luth akan tolak,” janjinya. 

Lufya hela nafas lega. 

Tak lama setelah kak long berlalu, dia beranikan diri mencari pemilik wajah yang dimaksudkan dan demi melihat wajah dan nama itu, hujung jarinya terasa sejuk.  Walau betapa indahnya wajah yang terpampang, renungan mata itu menimbulkan rasa tidak senang di sudut hati.

No comments:

Post a Comment