Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 9

 

UCAPAN syukur tak lepas daripada bibir Luth.  Terkejut dan gembira, bergaul sebati.  Usai mengimamkan subuh tadi, dia sekadar rebahkan tubuh sebelum keluar untuk mencari rezeki.  Di saat dia menyemak e-melnya, ternyata ada panggilan temu duga.  Malah daripada syarikat besar yang menjadi impian ramai orang. 

Gaji dan kemudahan yang ditawarkan sangat menarik. 

Luth bingkas bangun.  Mendapatkan umi yang ada di dapur.

“Umi,” seru Luth dengan suara yang sedikit kuat. 

“Kenapa, Luth?”  Umi yang sedang membasuh beras, mengerutkan dahi.  Terpaksalah dia lap tangan apabila Luth menunjukkan telefon itu padanya. 

“Apa bising sangat dinihari ni, Luth?”  Kak long yang baru sahaja keluar daripada bilik air, turut menegur.

Dalam bilik air pun dia boleh dengar suara kalut si Luth ni. 

Apa benda yang penting sangat tu? 

“Kau menang loteri ke?”  usik Lufya. 

Luth mencebek melihat pada kak long yang tersengih lebar.  Dahlah tak berjemaah.  Macam-macam alasannya.  Cakap ajelah nak tidur lebih.  Tapi, dia hanya cakap dalam hati.  Bimbang pula kalau diluah, lesung itu akan terbang ke kepala.

“Eh, sejak bila Luth berjudi?”  Suara umi jelas terkejut. 

“Umi… mana ada,” nafi Luth.

“Kak long itulah.  Suka hati dia aje main cakap.”  Dia mencebek pada kakaknya. 

Lufya hanya sengih. 

“Haa… kalau bukan loteri, cuba cerita apa yang kalut sangat?  Matahari tak naik lagi, kau dah berkicau.” Lufya dekati adiknya dan umi yang sedang melihat pada skrin telefon adiknya.

“Luth dapat panggilan temu duga,” komen umi, teruja.

“Ya, umi.  Akhirnya… ada juga panggilan.  Berpuluh-puluh dah Luth hantar permohonan.” 

“Eleh… ingatkan dapat kerja.  Temu duga aje.  Belum tentu lagi dapat.”  Seperti biasa, Lufya memang suka menjatuhkan semangat adiknya. 

“Okeylah dapat temu duga pun.  Kalau tak dapat panggilan langsung, macam mana nak dapat kerja,” ujar umi membela dengan senyuman manis pada anak terunanya.

“Umi ni… kak long gurau ajelah.” Muncung Lufya keluar sedepa.

Setelah itu, tawa Luth dan umi berpadu.  Kalau usik orang kemain.  Bila orang usik dia, mulalah tarik muncung. 

“Tahniah.  Umi doakan kali ini dapat.  Ada rezeki Luth kali ini.”

“Terima kasih, umi.” Dia peluk umi.  Erat.  Diletak dagu di atas kepala umi. 

Umi memang comel orangnya.  Kecil aje.  Kak long banyak mengikut uminya.  Rendah. Luth pula mengikut ketinggian arwah abah.  Mujurlah.  Tak boleh bayang jika dia ikut umi.  Betapa reneknya dia nanti. Mahu jadi comel juga. 

“Bila temu duga tu?” Soal umi.

“Hari ini.  Pukul sepuluh pagi.” 

Haa… tunggu apa lagi.  Pergilah bersiap.  Study apa yang patut pasal company tu.  Tapi, company apa?”  Lufya mengintai. Tetapi, apabila melihat nama syarikat itu, dia telan liur sendiri. 

“Betul ke itu e-mel dari diorang?”

“Yalah… betullah.” Luth kerut kening dengan ayat kak long.

“Kalau betul tak apalah.  Alamat semua sama, kan?” 

Hurm…” sahut Luth lagi.

“Kenapa?”  Dadanya sedikit tak lapang melihat reaksi kak long. 

“Kau dah pernah baca ke pasal syarikat yang kau mohon ni?”

“Dah.  Semua yang Luth mohon, Luth memang dah study.  Ini tempat yang paling okey offer diorang kak long.  Jangan kata gaji, benefit dan lain-lain kemudahan semua best.  Tak mudah juga ni nak masuk sini.”

“Betul.  Tak mudah nak masuk sini.  Tapi itulah…” Lufya senyum menepuk bahu adiknya.

Biarlah Luth pergi dulu.  Dia tak nak terus mematahkan semangat adiknya.  Lain orang lain pengalamannya. 

Wowproject engineer.  Kayalah Luth lepas ni.  Bolehlah belikan rantai emas untuk kak long,” usiknya, cuba menutup resah sendiri.

“Ada rezeki nanti, jangan kata yang besar jari, besar rantai motosikal tu Luth belikan.  Senang sikit bila kak long pakai, daripada jauh orang dah nampak,” usik Luth.

“Eh budak ni…” Lufya redupkan pandangan. 

Luth ketawa.  Umi juga.

“Dahlah.  Dua-dua pergi bersiap.  Umi nak masak.  Lepas tu, makan, Luth boleh pergi temu duga, kak long boleh pergi kerja,” umi mereka meleraikan perbalahan mereka berdua.

“Yalah, umi”

“Kak long,” seru umi bila Luth dah berlalu.

“Ya, umi.  Ada nak tolong apa ke?” 

“Kak long tahu ke syarikat tu?”  Umi sekadar menyoal.  Melihat riak wajah Lufya yang berubah tadi.

“Sebenarnya kami tengah buat satu projek dengan syarikat tu.” 

“Nampak risau aje muka kak long bila tahu tadi?” komen umi, jujur. 

Lufya tak terus menjawab.  Dia mendekat pada dapur dan mengacau sambal nasi lemak yang sedang mendidih.

“Jangan risaulah, umi. Luth cakap dia dah study pasal syarikat tu.  Tahulah dia nanti kalau dia dapat offer kerja dekat situ.  Lagipun, macam Luth cakap tadi, gaji dan semua yang ditawarkan sangat best.  Ramai aje kawan kak long cuba masuk tapi susah. Kira rezeki Luth jugalah tu dapat panggilan temu duga sebab sebelum ni, nak tembus ke sesi temu duga pun susah,” cerita Lufya, menyembunyikan apa yang dia tahu.

Bukan tidak mahu bercerita kerana dia juga dengar-dengar gosip orang.  Tiada yang sahih walau dia tahu, gosip itu pasti punya sumber yang berasas. 

Jauh di sudut hati, dia berharap adiknya gagal dalam temu duga tersebut. 

No comments:

Post a Comment