Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 14

 

SEKALI ketukan, tiada bersambut.  Dua kali, juga sama.  Kali ketiga, dia kuatkan ketukan bersama salam.  Barulah dia dapat dengar ada suara halus sayup-sayup memintanya masuk. 

Luth menolak pintu kaca tersebut dan menapak pada wanita yang sedang memandangnya.  Wajah itu sedikit berkerut, nampak seperti terganggu.  Dia dapat lihat tangan wanita itu sedang bersedia membelek helaian baharu laporan di depan mata. 

“Puan Zana minta saya jumpa cik puan,” akuinya kerana dia tahu, wanita ini pastilah sudah sedar akan kehadirannya. 

“Ya, saya tahu.  Jemput duduk,” pelawanya.

Luth tarik kerusi dan dilabuhkan duduk.  Dia hanya duduk tegak dan kaku, memerhatikan wanita itu di hadapannya. Kali lepas, dia begitu rapat dengan wanita ini.  Malah, dia sendiri telah mencempung tubuh terkulai tidak bermaya itu masuk ke wad kecemasan.  Haruman rambut itu masih dia ingat dengan jelas. Apabila duduk berhadapan begini, dia jadi perasan kepada perkara lain yang tidak dapat dia teliti dengan betul tika pertemuan pertama mereka.  Dia tidak perasan akan alis yang begitu lebat.  Hidung yang mancung terletak.  Kening yang jelas terbentuk indah. 

Cuma sekarang, satu benda yang sangat ketara, wajah ini seperti lebih cengkung daripada hari wanita ini pengsan di dalam kereta kak longnya beberapa hari lepas.  Malah, Luth ternampak seperti ada sedikit kesan lebam di dahinya. 

“Tak sihat ke?” tanpa sedari, soalan itu keluar daripada Luth.

“Apa?” Mahfuzah mengerut dahi.  Dia seperti dengar tak dengar ayat yang terluncur daripada celah bibir lelaki depannya ini. 

Luth telan liur.  Dia hanya mahu bertanya pada diri sendiri dan pastilah hanya bisikan hati.  Entah kenapa soalan itu terzahir.  Kerana telah terlanjur mengeluarkan suara hati, rasanya tidak menjadi beban jika dia terus bertanya memandangkan dia telah menjadi saksi keadaan diri majikan baharunya hari itu.

“Cik puan apa khabar?”  Soal Luth, mengubah ayat.

“Oh…” Fuzah angguk sendiri. Bermakna, benarlah apa yang dia dengar tadi. 

“Saya sihat.  Terima kasih tolong hantar saya ke hospital hari tu.” 

“Sama-sama…” balas Luth, laju. 

Buat seketika, mereka hanya saling membalas renungan antara sesama sendiri.  Kemudian, Luth terlebih dahulu tunduk.  Hujung jarinya mula terasa sejuk.  Entah kenapa.  Ketenangannya sedikit tergugat saat menatap mata bundar yang jarang berkedip itu.  Walau seperti tidak berperasaan, dia seperti ternampak sesuatu yang dia sendiri sukar untuk fahami.  Seolah-olah, pandangan wanita itu… pandangan yang meraung.  Yang meminta.  Merayu malah, seperti mahu menangis.

“Sebelum apa-apa, saya perkenalkan diri dahulu.  Nama saya Mahfuzah binti Zain,” ujar Fuzah dengan mata yang terus tunak memandang wajah di depan mata.

Lelaki ini kelihatan sedikit berbeza.  Nampak lebih segak.  Malah, pakaiannya juga lebih rapi.  Kacak?  Dia perlu akui itu.  Dengan jaket kulit berwarna coklat gelap dan baju-T putih di dalamnya. 

“Nama saya Luth.  Muhamad Luth bin Luthfi.” 

Fuzah senyum tipis mendengarkan suara parau itu memperkenalkan diri.  Ya, suara ini adalah suara sama yang masih kekal dalam ingatannya.  Atau boleh dikatakan, ia sudah terpahat padu dalam memorinya. 

“Selamat datang ke Mahazera Group, Encik Luth.  Saya percaya Puan Zana dah brief awak semua perkara, kan?”  Soal Fuzah. 

“Ya, cik puan.”  Luth angkat wajah.  Pandangannya jatuh tepat pada mata Fuzah. 

“Kalau macam tu, saya hanya ada satu soalan.  Ada apa-apa yang awak kurang puas hati dengan kontrak awak? Sejujurnya, saya tak tahu syarat apa yang ditetapkan.  Saya sudah serahkan semua pada Puan Zana.  Cuma, jika ada yang awak tak puas hati dengan offer yang ditawarkan, ada any things nak tambah, atau nak kurangkan… boleh beritahu saya.”

Soalan ini, tidaklah asing.  Dia pernah ajukan pada Anas juga saat pertama kali bertemu mata dengan lelaki itu. 

Luth menyepi.  Rasa tidak puas hati atau tidak cukup itu langsung tiada.  Cuma, hanya persoalan sahaja yang ada dalam benaknya sejak tadi. 

Kenapa dia? 

Adakah kerana dia telah menyelamatkan wanita ini? 

Adakah kerana budi? 

Atau benarkah wanita ini rasakan dia boleh melindungi? 

Pesanan dan kata-kata kak long berdengung dalam kepala.  Andai kak long tahu syarat dalam kontraknya itu, pastilah kak long akan mengamuk.  Bekerja dengan wanita ini sahaja, kak long sudah tak bersetuju.  Namun, apakan daya.  Biarpun dia mahu menolak dan pergi, ada sesuatu menahan untuk dia terus ada di sini. 

Apakah kerana dia mahu menyaksikan sendiri setiap berita yang dikhabarkan padanya?  Dia sendiri masih tidak pasti. 

“Kalau awak renung saya macam tu, saya beranggapan, awak tak ada bantahan dengan kontrak yang Puan Zana sediakan,” ujar Fuzah, mencantas renungan Luth.

“Maaf, cik puan…” Luth berdehem kasar.  Dia kerdipkan mata sekali sebelum memandang semula pada majikannya dan mengoyak senyum. 

“Saya okey dengan kontrak yang ditawarkan.  But, I am curious about something. Is it okay for me to ask?”

“No.  Not at all.  You may ask anything.” 

Luth telan liur seketika.  Meneliti wajah di depan mata.  Langsung tidak seperti yang digambarkan padanya.  Selain nampak kurang sihat, wajah ini tenang.  Tiada riak marah.  Bengis?  Jauh sekali.  Cantik?  Itu juga satu kenyataan.

“Why me?”  Akhirnya, soalan itu terluah. 

Fuzah senyum tipis.  Tidaklah banyak perisanya.  Lebih kepada ketawa tawar.  Dia sudah mengagak soalan ini akan ditanya.  Ia mesti berkait dengan pertukaran jawatan yang ditawarkan. 

“Adakah sebab… saya tolong cik puan hari tu ke?” 

Hurm…”  Fuzah angguk. 

“Cik puan rasa terhutang budi?”  Dia mahu sebut tentang duit dua ribu ringgit yang diberikan tapi lidahnya kelu.  Malah, duit itu langsung tak digunakan.  Berat hati untuk dia guna walau satu sen. 

“Terhutang budi… pun ya juga.  Tapi, saya tertarik bila awak tulis di dalam resume awak tentang kemahiran MMA. That was one of the main reason why you were accepted. Apart from me being indebted to you. I know, when push comes to shove,  you can protect yourself.” 

Inilah yang dia tidak faham.  Kata-kata itu terus menimbulkan persoalan baharu lagi dalam kepala.  Puan Zana dah maklumkan padanya.  Dia pernah memenangi beberapa pertandingan.  Tapi, pertandingan secara sihat di gelanggang tak sama dengan berlaku di jalanan. 

Cumanya, dia telah berjanji untuk menjaga wanita ini.  Maka, tiada lagi ruang untuk dia berpatah balik.  Hanya mampu berharap dan berdoa, tiada perkara serius yang akan berlaku. 

“Saya tak tahu Puan Zana ada cerita ke tak.  Driver peribadi saya sebelum ni, nama dia Anas.  Dia tak pandai semua tu. I would like to be honest and I don’t want to hide anything from you.  Sometimes, there will be unexpected events that will occur. In fact, it has happened a few times. I don’t wish for it upon anyone especially myself, but again, when something does happen, I can only hope that you can defend yourself first. I wish you nothing but your safety.”  Fuzah senyum tawar. 

Saya takut saya tak ada masa pada waktu itu untuk pastikan takde apa-apa akan berlaku,” sambungnya lambat-lambat. 

Dadanya masih rasa nak meletup setiap kali teringat keadaan Anas.  Dan dia tak mampu membalasnya selain hanya menahan serangan lain.  Dia tak mahu pisang berbuah dua kali pada lelaki ini pula.  Paling tidak, Luth pasti akan pertahankan dirinya sendiri. 

Melihat pandangan Fuzah, Luth dapat kesan kesungguhan dan kerisauan yang tergambar pada matanya.  Pertama kali, dia seperti nampak ‘kehidupan’ dalam pandangan yang dirasakan ‘mati’ sebelum ini.

Dia tahu dan mengerti kerana Puan Zana sudah memberi penjelasan namun bila mendengar pengakuan daripada Mahfuzah sendiri, perasaan risau dan gundah itu menjadi-jadi.  Tapi, persoalan baharu pula timbul.

“I believe I am hired to protect you, cik puan…”  Itu tugasnya.  Kenapa pengakuan Fuzah membuatkan semua ini nampak yang wanita ini pula yang akan melindunginya?

“Yes, you are,” Fuzah matikan bicara.  Kehilangan kata.  Tidak pasti bagaimana dia mahu jelaskan kepada Luth tentang bahaya jika ada di sisinya. 

“Jadinya saya akan jalankan tugas saya dengan baik.  I will take care of you and of course myself as well…”

“No, Encik Luth…”

“Luth… panggil saya Luth.” 

Fuzah telan liur. Pertama kali rasanya bicara dia dicantas.  Malah, mata lelaki ini tak lepas memandangnya. Tidak seperti yang lain, yang lebih banyak tunduk bila berdepan dengannya. 

“Okey, Luth.  Saya akan tambah syarat lain selain yang Puan Zana tetapkan.  Apa-apa jadi pada saya depan hari, saya nak awak selamatkan diri awak dulu.  Betul awak bekerja dengan saya, tapi pastikan diri awak selamat dulu dan baru saya.  As you have already signed the contract, you are officially under my wing. Saya tak akan biarkan apa-apa terjadi pada awak.”

Mendengarkan kata-kata majikan baharunya, senyuman Luth terjongket di hujung bibir.  Adakah dia terlihat begitu lemah di mata wanita ini?  Atau gamaknya wanita ini begitu mudah menilai tentang dirinya? 

“I am not as weak as you assume, ma’am.”  Biarpun suara parau itu rendah, tapi ada tegasnya. 

Fuzah kerut dahi dengan kata-kata Luth.  Dia dapat lihat riak wajah yang sinis saat berkata-kata.  Mereka saling merenung.  Lama.  Hinggalah, wajah sinis Luth berubah lembut bersama senyuman tipis.

“Saya jaga cik puan dan saya akan jaga diri sendiri juga.  Itu adalah tugas saya.” 

Cik puan adalah seorang wanita.  Tidakkah Tuhan menciptakan lelaki untuk jadi pelindung? 

Luth mahu menyambung ayatnya tapi ditelan sahaja ayat itu sendiri.  Dia tahu, wanita seperti Fuzah pasti ada harga diri yang mahu dijaga.  Dia tahu, kata-kata itu pasti akan mencipta rasa tidak selesa di hati itu.  Sementelah, ini baru hari pertama.  Pastilah dia tak nak dibuang kerja sedangkan kurang setengah jam yang lalu sahaja dia tandatangan kontrak.  

Suara parau lelaki ini, biarpun tidak keras tapi Fuzah dapat rasakan ketegasannya.  Mereka saling merenung buat beberapa ketika tanpa ada sepatah kata pun yang mencelah.  Tiba-tiba sahaja, Fuzah dapat rasakan satu kesunyian yang sangat mencengkam. 

You can count on me, cik puan,” pinta Luth memecahkan hening.

Tanpa sedar, Fuzah koyak senyum.  Tidak lebar tapi manisnya bertebaran.  Hingga membuatkan mata kuyu di depannya sedikit membulat. 

No comments:

Post a Comment