Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 15

 


SATU
yang Luth sedari, di saat mereka turun ke lobi, tiada sepasang mata pun yang berani memandang mereka.  Dia tahu, mereka semua takut memandang Fuzah.  Luth hanya tenang berjalan di sisi wanita itu.  Kala itu, Puan Zana sudah sedia menanti di depan lobi.  Berdiri di sisi sebuah kereta mewah.  Tidak dia sangka dalam hidupnya yang sejak sekian lama hanya meminjam kereta kak longnya, dia akan dapat memandu Mercedes G-Wagon ini.  Dia simpan senyum dalam hati bila teringatkan kata-kata kak long.

“Hati-hati,” pesan Zana seraya menyerahkan kunci itu kepada Luth.

“Baik, puan…”

Belum sempat Luth buka pintu, Zana lebih dahulu membuka pintu tempat duduk belakang.  Fuzah mendekati ibu saudaranya. 

“Ada maklumat dah, mak su?”  Soalnya. 

“Belum lagi.  Kami tengah usahakan.”   

Fuzah angguk.  Faham.  Agak lama masa yang diambil kali ini.  Bermakna, tak mudah orangnya menyiasat dan mencari maklumat tentang apa yang terjadi. Seperti ada orang dalam yang terus menutup dan menyekat untuk dia terus menjejaki.

“Fuzah memang yakin ada orang dalam yang buat semua ni, mak su.” 

“Fuzah ada syak sesiapa?”  Soal Zana.

Fuzah menggeleng.  Nak dikira, terlalu ramai yang boleh disyaki.  Tapi, dia tak boleh terus menuding jari tanpa bukti kukuh.  Semua yang ada di sisinya adalah orang ayah.  Tiada seorang pun yang benar-benar menyokongnya.  Semua lebih pada untuk melihat dia jatuh dan tersungkur. 

“Tak apalah.  Nanti kalau ada maklumat, terus beritahu Fuzah.”  Dia masuk ke perut kereta dan menutup rapat pintunya.

Waktu itu, Luth sudah sedia di tempat pemandu.  Pandangan mata mereka berlaga di dalam cermin pandang belakang.  Hatinya tersenyum mengingatkan apa yang pernah terjadi hingga membawanya ada bersama wanita ini lagi. 

Tidak seperti sebelum ini, segalanya sudah berbeza.  Mahfuzah terus menutup mata tidak berkata apa.  Nampak letih.  Malah, dada itu juga nampak berat helaan nafasnya. Luth tenang memandu.  Perjalanan ke Morib yang jaraknya lebih 80-kilometer pastilah mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam setengah.  Dan, sepanjang perjalanan itu juga Mahfuzah terus terlena.  Kala ini, dapat dia lihat wajah itu sangat tenang. 

Mereka telah tiba di destinasi namun Fuzah masih tidak terjaga.  Kepalanya terlentok dan rambut panjang itu telah menutup sebahagian wajah indahnya.  Dada Luth mula berdetak kencang.  Kejadian tempoh hari menerpa dalam ingatan.  Dia terus keluar dan membuka pintu belakang.  Saat itu juga, kepala Fuzah jatuh terkulai dan sempat disambut. 

Nafas Luth mengah.  Fuzah masih tidak terjaga.  Tapi, tiada darah yang mengalir daripada hidung seperti kali lepas. 

“Cik puan?”  Serunya seraya membetulkan kepala Fuzah.

“Cik puan?”  Suara paraunya terus ditekan. 

Namun, masih tiada tindak balas. 

Luth beranikan diri menyentuh pipi itu dengan hujung jarinya dan barulah dia nampak kelopak mata itu bergerak.

“Cik puan?”  Panggilnya lagi. 

Fuzah tidak terus membuka mata.  Dia hanya berasa tidak selesa bila dirasakan sesuatu yang dingin menyentuh kulitnya. 

“Dah sampai ke?”  Dia tegakkan tubuh dan membuka mata untuk dia tahu, Luth sedang merenungnya. 

Wajah lelaki itu jelas resah.  Malah nafasnya juga kedengaran kasar.  Kedudukan mereka yang agak dekat, membolehkan dia rasa helaan nafas hangat lelaki itu menyapa wajahnya.

“Cik puan okey?”  Mata Luth tunak merenung seluruh wajah Fuzah. 

“Saya okey…” Fuzah tolak dada Luth agar lelaki itu menjauh daripadanya. 

Tatkala mendengarkan jawapan itu, Luth lepas nafas panjang.  Menjauh dan meraup wajah.  Sungguh… dia lega. 

“Kenapa, Luth?”  Soal Fuzah. 

“Maaf, cik puan.  Saya tiba-tiba teringat apa yang terjadi hari tu.  Bila sampai hotel, cik puan tak sedarkan diri.  Bila saya tengok, hidung cik puan berdarah.  Masa tu, banyak sangat sampai saya sendiri naik panik.  Jadi tadi, saya panggil cik puan beberapa kali, dan bila tak ada response.  Saya jadi risau…”

Fuzah senyum tipis.  Nampaknya, kejadian tempoh hari benar-benar meninggalkan kesan pada lelaki ini. 

“Hari tu saya tak sihat.  Hari ini saya  cuma sedikit letih.  Malam tadi saya tidur lambat.  Awak jangan risau…” 

Fuzah halakan pandangan ke depan.  Mereka dah sampai ke tapak projek. Lengang dan sepi.  Tiada satu kerja pun yang berjalan sejak berlaku kejadian malang itu.  Jikalau ada sekadar kerosakan atau kehilangan, itu bukan masalah besar pagi projek on-site.  Yang menjadi masalah utama sehingga projek ini terpaksa menghentikan semua kerja yang sedia ada buat seketika adalah kerana kematian. 

“Awak tunggu sini.  Saya pergi site office sekejap. ” Fuzah keluar daripada kereta.

Luth akur.  Menanti di luar kereta, melihat Fuzah berjalan menuju ke pejabat tapak. 

Fuzah tolak pintu besi itu.  Farhan, salah seorang pekerjanya, mendekati.  Tidak terkejut kerana Fuzah awal-awal dah maklumkan untuk datang ke tapak site. 

“Macam mana, Farhan?  Ada perkembangan apa-apa?” 

“Tentang yang cik puan tanya tu, ada sikit petunjuk tapi masih sangat samar.  Cuma, saya boleh sahkan memang ada unsur khianat seperti yang cik puan syak.  Siapa orang dalam tu… kita masih belum tahu.  Saya harap cik puan dapat beri saya masa lagi,” pinta Farhan, separuh merayu.  

Fuzah angguk.  Faham.  Tak mudah untuk mencari jawapan jika puncanya adalah perbuatan orang dalam. Dalang itu ada di antara kalangan mereka sendiri. 

“Agak-agak bila boleh sambung semula semua kerja?”

“Minggu depan, cik puan.  Saya dah call pihak CIDB dan NIOSH.  Setakat ni, siasatan mendapati memang pekerja tu ada pakai body harness masa panjat site. Apa yang pasti, dia sudah pakai dengan betul.  Jadi, kes gutter tu tak jadi isu besar sebab dalam kontrak asal, all precautions has been made. Tetapi, macam mana pun, kita masih held accountable dan perlu jawab semua soalan mereka.”

“Tak apalah.  Asalkan kerja boleh mula semula.  Kita tak boleh reschedule tarikh siap projek ini.  Macam mana dengan project manager dengan project engineer baharu?”  Yang dimaksudkan adalah yang datang lapor diri awal sehari daripada Luth.  Yang lepasi temu duga bersama pemandu baharunya itu.

“Setakat ini okey sebab masing-masing memang dah ada pengalaman.  Ini pun, diorang ada dekat tempat kejadian.  Cik puan nak tengok mereka?” 

“Tak apalah.  Saya ada meeting lain.  Cuma saya nak awak rahsiakan apa sahaja maklumat yang awak dapat.  Jika ada perkembangan, beritahu saya terus,” pinta Fuzah.

“Saya faham, cik puan.”  Farhan angguk.  Akur. 

Tak lama, mereka berdua keluar daripada pejabat kontena tersebut.  Luth tegakkan tubuh.  Nampak tiada apa serius berlaku malah resort ini juga, sudah hampir 90% siap.  Inilah projek yang kak long terlibat sama itu.  Dia sekadar memerhati.  Fuzah masih berbicara serius dengan seorang lelaki lain. 

Dia mahu merapati bila telefonnya bergetar.  Nama kak long naik pada skrin.  Luth pantas menjawabnya.  Jarang kak long telefon ketika waktu bekerja. Dia boleh mengagak kerisauan kakaknya itu. Dia dapat rasakan sejak dia memandu tadi lagi.

“Ya, kak long?” 

“Macam mana?  Kau dah lapor diri?”

“Bukan setakat tu. Dah mula kerja dah ni,” jawab Luth bersama tawa kecil.

“Luth ada dekat Morib ni.  Bawa bos tengok site.”

“Eh, terus kerja?” 

“Ala… biasalah.  Sebelum ni pun macam tu juga.  Kak long ni, risau sangat.  Luth ni dah tua bangka.”

“Tua ke bangka ke, kau tu adik kak long.  Mahu kak long tak risau.  Tapi, daripada ayat kau ni, kak long dapat agak dia memang bos kau, kan?”  Soalan Lufya sedikit resah. 

Hurm…” 

Luth dapat dengar helaan nafas berat kak long.  Dia pandang Fuzah.  Masih rancak berbicara.  Langsung tidak menoleh padanya. 

“Ada yang pelik-pelik?”  tanya Lufya. 

“Maksud kak long?” 

“Syarat dia ke… atau apa-apa ajelah permintaan pelik dalam kontrak kau?”

Buat seketika, Luth diam dengan persoalan kak long.  Masih melemparkan pandangan pada Fuzah.  Permintaan pelik?  Ya, semua permintaan Fuzah memang pelik.  Paling dia hairan, dia telah diupah berkhidmat untuk wanita itu sebagai seorang bodyguard.  Lantas, kenapa pula Fuzah perlu menjaga keselamatannya?  Tidakkah itu pelik.

“Semua pelik…” balas Luth.  Dia masih mencari sebab pada permintaan pelik Fuzah padanya.

“Haa… kalau dah semua pelik, kenapa kau terima?  Dia ugut kau ke?”  Suara Lufya keras.  Jelas risau.

“Kak long jangan risau.  Luth ni tahu bezakan pelik yang memang pelik atau pelik yang tak pelik.”  Luth ketawa kecil. 

Lufya kerut dahi.  Apa makna ayat budak bertuah ni?  Terbelit-belit ayatnya.  Dah pelik, peliklah.  Macam mana pulak pelik yang jadi tak pelik? 

“Kau jangan buat benda pelik-pelik, Muhamad Luth.”  Lufya jelas memberi amaran.

Luth ketawa lagi. 

She’s… a weird woman.

Then, run away.  Don’t look back,” balas Lufya, laju.

“I feel like running away too.  But something is holding me back,” jawab Luth separuh berbisik.  Mengusap belakang tengkuk. 

“Muhamad Luth!”  Suara Lufya keras.  Kalau tidak sebab dia di pejabat sekarang, memang dia akan jerit sekuat hati. 

“Kak Long, Luth akan jaga diri. Luth gurau aje tadi.  Tak ada yang pelik.  Semuanya okey.  Jangan risaulah.  Kalau ada yang betul-betul pelik, Luth ingat pesan kak long.  Run and don’t look back…” Waktu ini, dia dapat lihat Fuzah sedang melangkah mendekati kereta bersama lelaki tadi.

Anyway, let me rephrase again kak long. She’s not weird but… kind of unique.  Ya, itulah perkataan yang tepat untuk dia gambarkan majikannya setakat ini. 

“Jumpa kat rumah nanti.”  Luth cepat-cepat matikan talian sebelum bebelan panjang kak long bersambung.  Nanti, tak cukup dengan episod, bersambung jadi musim pulak. 

“Kenalkan… Farhan.  Site supervisor projek ini.  Dan ini driver baru saya, Luth.”

Farhan senyum.  Berjabat tangan dengan Luth.  Lelaki ini berbeza dengan Anas.  Dari segi fizikal malah cara pembawakan dirinya juga. 

“Saya pergi dulu, Farhan.  Ada apa-apa terus call saya,” pesan Fuzah sekali lagi dan terus masuk ke perut kereta. 

“Kita akan sempat sampai ke Mandarin Oriental jam dua setengah petang?”  Soal Fuzah bila kereta mula bergerak.

Luth pandang jam di dashboard.  Menghampiri ke 12.30 tengah hari. 

“Sempat, cik puan.” 

Fuzah tidak berkata apa.  Dia hanya pejamkan mata lagi.  Kenangan lalu menemani ingatan pada jasad yang hidup tanpa jiwa miliknya. 

Selain untuk mama dan mak su, tiada sedikit pun yang dia simpan untuknya.

No comments:

Post a Comment