Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 13

 

DALAM hatinya, Luth sudah dapat rasakan sesuatu bila mendengar derap tapak kasut itu yang kian mendekati dan saat dia panggung kepala, wajah yang dia cam itu muncul depan mata. Tersenyum tipis. Biarpun tidak dapat dirasakan kemesraan, tetapi, riaknya tidaklah sekeras kali yang lepas.

Luth pantas angkat tubuh.  Berdiri tegak.  Mata kuyunya tenang memandang wajah di depan. 

“Encik Muhamad Luth bin Luthfi, kan?”  soal Zana.

“Ya…saya, puan…” 

“Cam saya?” 

“Ya, puan…”  Luth angguk sekali. 

Mana mungkin dia lupa. Suara yang sama ini telah memberi pesanan berbaur ugutan padanya.

“Ikut saya dulu.  Saya brief sikit tentang tugas awak sebelum saya bawa awak jumpa cik puan.” 

Kening Luth terangkat seketika. Cik Puan?  Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata kak long.  Jujurnya, semalaman dia membaca berita tentang ‘cik puan’ yang dikatakan.  Tak banyak berita tentang wanita itu.  Jarang juga gambarnya muncul di khalayak. 

Namun, walau hanya satu dua gambar yang terpampang di dada media, dia cam wajah tidak berperasaan itu.  Sepertinya sudah terpahat kemas dalam memorinya.  Tak mungkin dapat disental lagi. 

Gamaknya, cik puan itu benar-benar seperti yang dikatakan. 

Luth Tarik nafas.  Menolak jauh segala prasangka.  Tak adil untuk wanita itu jika dia terus menghakimi tanpa melihatnya dengan mata sendiri dan jika dilihat, tiada haknya untuk menilai sesama manusia. 

“Jemput duduk,” pelawa Zana sebaik sahaja mereka sama-sama masuk ke ruang pejabat yang boleh dikatakan luas dan selesa. 

“Nama saya Zana. Saya GM bahagian management dan merangkap Personal Assistant cik puan.”

Luth angguk walau tertanya, kenapa pengurus besar dijadikan pembantu peribadi? Tidakkah tugas sebagai pengurus besar itu sendiri sudah banyak tanggungjawabnya? 

“Sebelum kita mula, saya nak tanya Encik Luth sekali lagi.  Betul Encik Luth terima jawatan ni?  Sebab Encik Luth datang untuk interview jawatan lain tapi ditawarkan lain.  Jika ada soalan, boleh tanya dulu sebelum kita mula,” ujar Zana, mencari kepastian. 

Atau lebih pada memberi peluang kedua untuk lelaki ini memikirkan lebih dalam walau jasadnya sudah ada depan mata. 

“Saya terima, puan…”  Luth senyum.  Andai rezeki ini yang Tuhan kirimkan untuknya, dia tadah dengan penuh rasa syukur. 

“Kalau macam tu, kita akan sign kontrak.” Zana tolak kertas itu ke depan Luth. 

“Cuma, sebelum tu… saya nasihatkan Encik Luth untuk baca dengan teliti syarat kontrak walau tak banyak.  Untuk pengetahuan Encik Luth, Cik Puan tak pernah peduli tentang kontrak ini tapi sebagai pembantu peribadinya dan juga ibu saudara Cik Puan, saya peka dengan semua ni dan pastikan hanya yang terbaik untuk dia.”

Mata kuyu Luth sedikit membulat mendengar pengakuan tentang hubungan mereka.  Tetapi, dia cepat-cepat kawal riak wajahnya.  Apa sahaja hubungan mereka, itu bukan urusannya.

Seperti pesan kak long, jalankan tugas sendiri.  Jangan berlebih.  Jangan mengambil tahu apa yang tak sepatutnya. 

“For the time being, you might know only what will be informed. As time goes by, you will learn more on how things work around here, Encik Luth. And of course, you will find out the reason why there are such conditions mentioned in your contract.”  Zana senyum tipis. 

“Jika ada yang awak rasa tak boleh nak comply, don’t hesitate to let me know.  We will make the adjustments needed to meet your expectations,” tambahnya lagi dengan suara tentang dan bicara yang teratur. 

Luth diam.  Benar.  Dia masih tak tahu apa-apa.  Nak kira, masih lagi kosong. Yang ada dalam benak hanyalah khabar yang disampaikan daripada mulut ke mulut.  Tiada langsung yang dia dengar dengan telinga sendiri atau lihat dengan mata sendiri. 

Segalanya masih terlalu awal untuknya. 

“Saya faham, puan.” Akhirnya, Luth memberi jawapan.  Yakin. 

Pandangannya jatuh pada susunan aksara di depan mata.  Hanya ada tiga sahaja.  Termasuk gaji, insurans dan lain-lain faedah dalam tempoh dia bekerja.  Namun syarat yang akhir ini, menimbulkan tanda tanya padanya. 

“Ada nak tanya?”  Soal Zana bila Luth merenungnya. 

“Boleh puan jelaskan detail pada saya tentang syarat akhir ini?” 

Zana senyum. Sudah mengagak syarat akhir itu akan dipersoalkan. 

“Bacakan…” 

“Sebagai pemandu peribadi Pengarah Urusan Mahazera Group, tuan dikehendaki berada bersama Cik Puan di mana saja dia berada melainkan Cik Puan meminta tuan balik.  Tugas tuan adalah termasuk melindungi Cik Puan…”  Luth telan liur lagi. 

“...dengan sepenuh hati,” sambungnya seraya memandang semula pada Zana. 

Entah kenapa, pada penilaiannya, dia seperti rasakan kontrak ini adalah lebih bersifat peribadi. 

“Saya akan berterus-terang aje dengan awak.  Supaya awak boleh berfikir dengan lebih masak lagi.  Jujurnya, ada ramai yang tak puas hati dengan Cik Puan di luar sana malah ada yang cuba mencederakan dia.  Tapi, jangan risau.  Bila Cik Puan keluar, kita akan hantar orang untuk ikut pergerakan Cik Puan dalam lingkungan yang membolehkan diorang sampai tepat pada masa di saat Cik Puan memerlukan bantuan.  Selebihnya, saya memang berharap ada orang di sisi Cik Puan terlebih dulu untuk melindungi dia…” 

Zana diam seketika.  Cuba membaca riak pada wajah Luth.  Sepertinya, anak muda ini kian berat hati.  Tapi, tak apa.  Dia tak berharap lebih sebenarnya di saat dia menambah syarat baharu itu. 

“Saya tahu awak ada kemahiran mempertahankan diri.  Saya sudah baca resume awak.” 

Tidak dapat tidak, Luth mengangguk.  Dia sekadar letak kelebihannya itu tanpa apa-apa maksud.  Tidak pernah lagi sehingga usianya ke tiga puluh ini, dia terfikir yang kelebihan itu menjadi kayu ukur untuk dia diterima bekerja kali ini.  Malah, tidak hanya sebagai pemandu peribadi malah bodyguard juga.

“Jujurnya, Encik Luth… lepas awak setuju dan terima tawaran ni, saya dah tahu banyak tentang awak dan keluarga awak…”

Mendengarkan pengakuan Zana, Luth sedaya-upaya sembunyikan rasa terkejut.  Hujung hatinya terasa ngilu tiba-tiba.  Kata-kata kak long terus mengaum dalam kepala.  Seperti memaksa dia bangkit dan lari selaju mungkin tanpa menoleh lagi.  Tapi, entah kenapa… ada juga bahagian diri yang memintanya untuk terus berada di sini. 

“I guess you did a background check on me,” ujar Luth, tenang.     Hujung bibirnya terjongket sedikit.

Zana senyum tipis. Teringat akan sindiran yang dia terima semasa di hospital.  Nada Luth sama dengan kali itu.  Dia sepatutnya tersentap tapi hatinya lega melihat tindak balas lelaki ini. 

“Yes. I did some digging about you,” akui Zana. 

Dia tiada niat untuk membaling batu dan bersorok tangan biarpun dia tahu lelaki ini pasti tak selesa dengan kenyataan dan pengakuannya walau riak resah itu langsung tak terbias pada wajah tampan di hadapannya ini.

“Saya buat background check hanya sebab nak tahu dan untuk pastikan tiada yang pelik berlaku pada cik puan.  Tiada niat buruk apa melainkan untuk tahu lebih sikit tentang diri Encik Luth.  I know it’s inappropriate and I mean no harm, but her safety always comes first.  That is all what matters to me,” akui Zana. 

Luth masih mendiamkan diri. Dia memang tidak selesa. Tetapi, dia telah menjangkakan perkara seperti ini.

“Tapi, biasanya tak ada apa berlaku sebab Cik Puan sangat jarang keluar ke tempat umum.  Dia tidak akan hadir di mana-mana majlis, melainkan majlis yang diadakan di syarikat.  Jadinya, di situ tugas Encik Luth akan jadi sangat-sangat kurang,” sambung Zana. 

Dia koyak senyum kelat. Apa yang dikatakan adalah satu kebenaran kerana bahaya itu tidak ada di luar.  Tapi, ada di dalam rumah mereka sendiri.  Kenyataan yang tidak mampu dia luahkan kenyataan ini kerana lelaki ini pasti akan tahu juga nanti.

“Seperti syarat yang pertama, masa kerja awak adalah tertakluk pada masa kerja Cik Puan.  Jika Cik Puan masih berada di pejabat hingga jam dua pagi, Encik Luth juga perlu ada bersamanya.  Ada soalan atau bantahan?  Nak minta naik gaji lagi pun boleh juga.” 

Nak dikira, dia masih kurang yakin dengan lelaki ini tapi memandangkan Fuzah bertegas, dia hanya akur.  Sementelah, dia tak pasti sejauh mana kemampuan dan kesudian lelaki ini menjaga Fuzah.  Pastilah cerita buruk tentang Fuzah pernah tersapa pada pendengaran lelaki ini. 

Tentang hitamnya sikap anak saudaranya itu tanpa siapa tahu, betapa putih hatinya. 

“Saya faham dan setakat ini saya setuju semua syarat, puan.  Gaji juga, puan dah tawarkan dua kali ganda daripada jawatan asal,” jawab Luth.

“Tak nak fikir lagi?”  Zana sengaja menggiat.

“Tak, puan.  Saya dah buat keputusan,” jawab Luth yakin.

Sama seperti tadi, walau ada rasa risau dalam hatinya, rasa ingin tahu itu lebih mendominasi.

Tentang siapakah majikan baharunya yang sebenar? 

Bagaimanakah dirinya yang selama ini tidak terlihat oleh umum? 

Adakah benar khabar yang sampai ke pendengarannya? 

“Kalau macam tu, boleh saya tambah satu lagi syarat?  It will be off the records, of course.” Zana tongkat dagu.  Merenung tepat ke mata kuyu yang nampak tenang menanti butir bicaranya.

“Dia tak seperti yang awak dengar dari khabar angin, Encik Luth.”

Luth kerut dahi seketika.  Sepertinya Puan Zana nampak jelas akan apa yang bermain dalam kepalanya. 

“Take good care of her.  She’s much more vulnerable than what you’ve heard about her.  And please, don’t judge her…”  Kali ini, nada Zana jelas merayu.

Luth telan liur.  Tidak seperti di hospital beberapa hari lepas.  Suara ini benar-benar berharap.  Mata itu juga nampak berkaca dalam senyuman. 

“I will take care of her… and of course I will never judge her.  Not for a bit, ma’am,” balas Luth pula. 

Zana senyum dan mengerdip sekali.  Terasa lega. 

“Maaf, puan… saya tahu tadi saya kata tak ada soalan, tapi tiba-tiba aje saya rasa nak tahu…”  Luth senyum tipis.

“Kenapa saya?” 

“Kenapa awak apa?”  Zana ulang soalan sama.  Kurang mengerti.

“Why did you choose me?”

Zana akhirnya mengerti makna soalan ringkas itu.  Kenapa lelaki ini yang dipilih untuk ada di sisi Fuzah nak dibandingkan dengan calon lain. 

“It wasn’t my choice, Encik Luth.  It was all her.  She chose you” 

Dahi Luth berkerut.  Jelas persoalan ‘kenapa’ itu tergambar pada wajahnya.  Liur yang ditelan, terasa berpasir.  Sungguh… dadanya mula terasa sedikit sendat.

No comments:

Post a Comment