Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 11

 

WAJAH Luth suram.  Panggilan yang dia jawab tadi awalnya mengujakan.  Menjadi salah seorang pekerja Mahazera Group dengan tawaran gaji yang begitu, siapa yang tak mahu.  Dia yakin yang dia akan berjaya.  Kerana dia telah lakukan yang terbaik. Tetapi apakah semua ini?  Otaknya susah nak mencerna. 

“Kenapa muka kelat, Luth?  Tadi kata Mahazera Group call.  Bukan berita baik ke?”  tegur Kak Long sambil mengupas limau dan dihulur pada umi. 

“Ya, memang daripada Mahazera.  Luth lepas interview tu tapi…”  Luth lepaskan keluhan berat. 

Berkali-kali dia pujuk hati agar terima segala ketentuan.  Bukan rezekinya.  Duduk dilabuhkan di sisi umi.  Menatap wajah umi dan kak long silih berganti.

“Kenapa, Luth?”  Umi bersuara.  Resah. 

“Entah kau ni.  Dah lepas, bersyukurlah. Kalau kata sebab gaji sikit, okeylah.  Nanti naik pangkat, naiklah gaji.  Yang kau berkerut macam mati bini tu, dah kenapa?” Lufya tak sudah-sudah membebel.

Haih… kak long.  Biar adik cerita dulu…”  Umi menegur. 

Lufya sengih lebar. Ada rasa bersalah. 

“Cuba cerita…” suruh umi.

General manager dia sendiri call tadi kata Luth lulus interview dengan memenuhi semua syarat mereka. Markah paling tinggi antara tiga finalist.  Luth layak untuk jawatan tu.  Tapi…” Berat lidahnya untuk terus memberitahu umi dan kak long akan pada yang didengarnya.

”Dah tu… diorang tak boleh offer atau kurangkan gaji?”  Tebak Lufya. 

“Bukan.  Offer tu ada dengan gaji dua kali ganda.  Cuma, itulah… sebagai personal driver,” cerita Luth.    

Hah?!”  Lufya tersedak limau yang baru masuk ke mulut.  Dia terbatuk kasar.

“Apa pula daripada project engineer sampai lari ke driver?  Diorang tu gila ke apa?  Habis tu, kau nak terima ke?  Kalau dah pelik-pelik sangat, tak payah terima.” Wajah kak long dah berubah.  Jelas tak puas hati.

Nak kira, sejak awal dia memang tak berkenan untuk adiknya bekerja di situ tapi jika benar rezeki, siapalah dia mahu menghalang.  Sementelah, Luth memang dah lama menanti untuk mendapatkan kerja tetap. 

“Itulah. Luth ada tanya tadi. Tapi dia kata report duty nanti, diorang akan bagi taklimat ringkas…”

Report duty tu bila?”  Nada Lufya, kian jelas tidak senang.

“Dua hari lagi.  Diorang bagi masa untuk Luth fikir dan dia cakap juga, jika tak puas hati dengan tawaran gaji, Luth boleh demand lagi…”

“Ini bukan pasal gaji ke apa…” Lufya mahu menyambung bila tangan umi yang menyentuh bahunya, menyekat bicara. 

Dia pandang adiknya.  Nampak kecewa. 

Luth tunduk seketika. Bagaimanapun dia cuba sembunyikan kecewa, sarat dalam dada hingga berat untuk dia hela nafas. 

“Luth rasa macam mana?” soal umi.  Ada belas dalam suaranya.  Sudahlah anak ini sudah benar-benar berharap. 

Luth angkat wajah.  Mengoyak senyum. 

“Luth rasa nak tolaklah, umi.  Dia bagi Luth fikir dan kalau tak setuju, Luth tak perlu datang report duty.  Walaupun gaji yang dia tawarkan dua kali ganda lebih banyak daripada gaji project engineer tu dan Luth boleh minta lagi.”  Suara Luth tenggelam timbul.

Tidaklah dia mahu tuding jari pada takdir. Benar, bukan rezeki. Tetapi, sebagai manusia biasa, dia tak boleh lari daripada kekecewaan. 

“Betul ke kau boleh demand gaji yang kau nak?  Diorang sanggup bayar asalkan kau terima tawaran tu?”  soal Lufya, tak percaya.

Luth angguk.

“Kau rasa berbaloi ke?  Kak long rasa kalau dah diorang offer gaji macam tu, takutnya kerja tu membahayakan.” 

Luth diam sejenak.  Ada benar juga telahan kak long. 

“Apa pendapat kak long?” soalnya. 

Lufya lepaskan keluhan.  Diletak limau atas piring.  Tak selera dah nak makan.  Limau yang manis itu tiba-tiba sahaja berubah pahit. 

“Nak kira berbaloi, memang berbaloi.  Tapi, lain-lain terserahlah pada kau.  Kau yang nak kerja.  Jujurnya, kak long tak setuju. Membazir pengalaman kau aje. Paling penting, kak long risaukan keselamatan kau.” 

Luth terpaksa bersetuju dengan kata-kata kak long. Dia kemudiannya memandang umi.

“Macam mana ni, umi?”  Tangan itu digenggam kemas. 

“Luth dah cukup dewasa.  Setiap keputusan adalah di tangan Luth sendiri.  Tapi, pendapat umi adalah Luth terima aje dulu.  Sesuai atau tak, itu kemudian kira.  Kalau sesuai, teruskan.  Kalau tak selesa, lepaskan.  Akan ada yang lebih baik untuk Luth nanti.  Buat masa ini, terima ajelah dulu ini rezeki yang Tuhan beri lepas Luth meminta sejak sekian lama.  Akan ada yang lebih baik nanti.  Percayalah…”  Wajah ibu manis tersenyum, memberi nasihat. 

Luth angguk, memandang pada kakaknya. 

Lufya lepaskan nafas berat.  Mengangguk juga. 

“Apa umi cakap tu betul. Tolak tepi benda lain.  Alang-alang gaji tinggi, buat apa kau susah payah nak berpanas berhujan segala.  Paling common, bos kau tu pakai Merc.  Selesa.  Kau tengok kak long ni, berpanas hujan pergi tengok site, dah jadi orang minyak dah.” 

Luth ketawa kecil.  Walau dia dapat rasa, kak long memang berat hati untuk dia terima tawaran kerja ini.  Hanya kerana umi setuju, maka kak long juga akur. Seperti ada sesuatu yang kak long sorokkan.    

Lagipun, dah sampai masa dia bertanggungjawab untuk segalanya.  Dia pun bukan muda lagi. Malah, kak long sendiri perlu mendirikan rumah tangga.  Dia tidak mahu kak long terus menggalas beban keluarga yang sepatutnya ada di bahunya.

Dia pegang tangan kak long.  Wanita itu tak membentak sebaliknya memandangnya penuh syak. 

“Mulai hari ni, Luth akan bagi segala kemudahan untuk kak long dan umi.”

“Eh, geli pula kak long dengar kau janji macam tu,”  Lufya membuat muka. Tetapi, tidak lama.  Dia tersengih memandang adiknya.

“Gaji pertama kau nanti belikan kak long gelang emas besar sikit.  Boleh?”  Sebelah keningnya terjongket. 

Luth ketawa.  Dasar kakak mata duitan.  Tapi, dia tetap mengangguk.  Nak dikira dengan gajinya sejak dulu, tak terbanding dengan gaji kak long.  Bukan sikit elaun yang kak long berikan untuknya, terutamanya bila dia terpaksa menjadi penganggur. 

“Kan dah cakap, Luth akan beli rantai motosikal bagi kak long.  Itu baru betul-betul besar.  That’s why orang lain dari jauh dah nampak rantai kak long…”  Luth terus ketawa apatah lagi bila melihat wajah buruk kak long. 

Hey… dia ni kan…”  Lufya angkat tangan nak memukul bahu sasa adiknya tapi Luth lebih laju melompat ke belakang kerusi. 

Budak bertuah ni!  Haih.  Wajahnya ketat tapi hatinya lapang.  Setidak-tidaknya, dia dah cuba yang terbaik bagi menjaga adik dan umi.  Namun, entah kenapa… ada rasa tak senang menyapa hati. 

Lelaki ini matang seiring usianya.  Malah, Luth adalah seorang adik dan anak yang sangat baik dan patuh.  Biarpun nampak keras sebagai lelaki, hati Luth begitu lembut dan mudah tersentuh.   Dia bimbang andai ada yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati adiknya. 

“Eh, sudahlah tu.  Ini, umi nak tanya… macam mana dengan perempuan yang Luth tolong tu?”

“Eh, sebut pasal tu, umi… Luth tak tahu.  Sebab bila Luth buka mata, memang dia dah tak ada.  Seorang pun tak tahu dia siapa.”  Ada ketika, tertanya juga, macam mana keadaan wanita itu sekarang. 

Dia masih ingat dengan jelas raut wajah yang tiada riak itu.  Atau lebih tepat jika dikatakan, tidak berperasaan.  Pandangan mata redup itu juga sangat dingin.  Tapi yang pasti, semua itu tidak dapat menutup keindahan raut wajahnya.  Alis lebat dan redup. Hidung mancung terletak.  Pertama kali melihatnya, dia perlu akui… dia tergamam seketika. 

Tanpa sedar, dia koyak senyum.

“Dah… dia senyum sendiri pulak dah,” tegur Lufya.

“Kau ni suka dia pula ke?”

Kak long dengan telahan liarnya berpisah tiada hinggakan Luth kerut dahi. 

“Kau jangan, Luth.  Ingat sikit kau tu dah berpunya,” pesan kak long, memberi amaran.

“Apa benda kak long ni.”  Luth jelas tak senang dengan syak wasangka kakaknya yang jelas tiada asas. 

“Okeylah kalau kau masih setia.”  Lufya urut dada.  Buat-buat hela nafas lega. Padahal, sengaja dia usik adiknya. 

“Kak long harap bos kau tu bukan dia…”  ujar Lufya tiba-tiba.

Luth dan umi saling memandang sebelum kedua-duanya merenung Lufya.

“Apa maksud kak long?” 

Lufya diam seketika.  Berkira-kira hendak bercerita atau tidak. 

“Kau pergi dulu kerja. Lain-lain jangan risau sangatlah,”  pesan Lufya.  Membuat keputusan untuk tidak membuka cerita itu. 

No comments:

Post a Comment