Monday, January 30, 2012

Bila Nak Saksi? [11]

[11]

USOP betul-betul tak hubungi aku langsung bila aku melarang. Jangankan kata hendak menelefon, panggilan rindu juga tiada. Aku kecewa sebenarnya. Aku mengharapkan dia menelefonku atau paling tidak pesanan ringkas pun jadilah.

Malam-malam macam ni, aku lebih suka duduk bersendirian di taman orkid mama setelah berlaku pergaduhan antara aku dan Usop beberapa hari sudah.
Sedih juga tapi tak tahu nak kongsi dengan siapa. Dengan mama? Aku takut dia syak sesuatu. Nak kongsi dengan Kak Shima, aku takut dia tercakap pada Abang Jeff. Nanti abang aku tu senang-senang je buat-buat terlepas cakap pada mama dan abah. Jenuh nak bagi jawapan nanti.

“Hai… apa nak jadi ni? Baru nak baik dah bergaduh lagi,” keluhku sambil menggeleng kepala.

“Mengeluh nampak.”
Aku terkejut bila ada yang menegur. Bila aku berpaling, Abang Jeff dah mengambil tempat duduk di belakang aku memaksa aku berpaling dan menghadap dia.

“Kenapa?” tanya dia konon mengambil berat la tu.

“Tak ada apa…”

“Tak ada apa tapi tangan tu kenapa? Lit tumbuk siapa pulak sampai luka tu? Mama dengan abah tak perasan tu. Nasib baik Kak Shima cakap dekat abang. Patutlah tak makan sama, tak solat sama. Ada yang tak kena Lit ni.”

Abang aku dah mula berandaian. Memanglah tepat andaian dia tu tapi aku belum sedia nak kongsi dengan sesiapa.

“Tak ada apalah. Lit nak nak masuk tournoment tu nanti. Biasalah berlatih tumbuk papan tu. Itu yang luka ni,” beritahuku berdalih.

“Papan ke dinding simen?” Dia jungkit kening dengan riak yang tidak mempercayaiku.

“Err… dinding. Ala, sikit jelah. Tak ada apa. Jangan kasi tahu mama dengan abah pulak. Nanti abah kata Lit rosakkan pisang dia lagi.” Aku sengaja bergurau kot-kot la wajah kelat Abang Jeff nak senyum sikit.

Tapi, tak senyum pun. Kelat macam apa entah. Aku yang dah semak semakin la bertambah semak kepala otak ni.

“Lit, sejak bila pandai bohong?” tanya dia agak keras.

Aku telan liur. Bila dah tertangkap menipu ni, sah-sah aku rasa bersalah sebab mama dan abah tak pernah ajar menipu. Tapi, sebab Usop aku pun dah menipu. Tak ada niat nak salahkan Usop tapi sejak kenal dia, hidup aku agak tunggang langgang sikit.

“Jelita… I am asking you, okay?”

Lambat-lambat aku mengangguk. Bila Abang Jeff sudah berbahasa Inggeris, makna kata tu dia memang marahlah tu. Masa ni, Kak Shima pun tak boleh nak pujuk dah. Aku berfikir juga ayat apa yang patut aku tuturkan agar sedap pada pendengaran Abang Jeff.
Setelah seketika, aku ambil je keputusan nak berterus terang. Bukan payah mana pun walaupun mungkin sukar sikit.

“Err… Lit gaduh…”

“Hah, Lit cari gaduh dengan siapa pulak?” tanya dia memangkas suaraku.

“Apa abang ni. Bagi Lit cakap dulu. Lit gaduh dengan Usop. Ni… tangan ni…” Aku angkat tanganku yang luka ni tepat ke muka Abang Jeff.

“… Lit tumbuk dinding sebab marah sangat,” luahku geram.

Turun naik nafasku bila telah berjaya luahkan semuanya pada Abang Jeff. Sebenarnya aku dah mula nak menangis. Tubir mata aku dah rasa sarat lain macam je. Tak pernah-pernah rasa macam ni. Dulu masa result periksa teruk pun, aku termenung je. Ni sampai dah nak menangis kira hebatlah penangan Usop dalam hidup aku.

“Lit jatuh cinta pada Usop tu ke?” Hah, telus dan mulus je soalan Abang Jeff.

Serentak itu, airmata aku mengalir laju. Perlahan-lahan aku menggeleng menidakkan soalan Abang Jeff. Benar begitu. Aku sendiri masih tidak tahu apakah sebenarnya yang aku rasa pada Usop. Bila dia berkata suka pada aku, aku sebenarnya rasa nak melompat je. Tapi, bila aku ingat lirikan nakalnya pada Shila masa tu, aku rasa nak cucuk je biji mata dia.

“Dah nak nangis kenapa?” Abang aku mengeluh berat.

“Lit nak abang cakap dekat mama ke Lit jatuh cinta dengan Usop? Lagipun, mama ada cakap dekat abang dia nak Lit kahwin cepat-cepat. Dah jumpa calon ni, apa kata kita cakap terus dekat mama dengan abah? Nak?”

Cepat-cepat aku menggeleng. “Lit benci dia. Dia suka mainkan Lit,” luahku sedih. Ada esakan pada hujung suaraku.
Abang Jeff ketawa kecil. “Ni sah dah. Cintalah ni. Tak ada benda lain lagi. Abang dah tahu dah. Lit jatuh cinta dah kan? Cinta pertama? Betul tak?” tebak abang aku lagi.

Eii dia ni. Dah tahu diam-diam sudahlah. Aku bukan tak nak akuinya tapi dah aku sendiri pun belum tahu lagi apa sebenarnya perasaan aku ni. Kalau betul cinta, nahaslah aku nanti. Jenuh nak pujuk diri sebab Usop tu suka mainkan perasaan orang. Atau lebih tepat lagi perasaan aku!

Abang Jeff bangkit. Dia menyapu belakang seluar trek dia sebelum berlalu.

“Nanti nak cakap dekat Kak Shima lah. Kawan baik dia ni dah jatuh cinta buat pertama kalinya.” Dia terus melangkah bersama gelak tawanya.

Aduh! Sabar jelah abang aku ni. Bukan nak memujuk tapi nak mengenakan. Lama juga aku duduk sendirian di taman orkid mama ni. Mujur bulan terang. Bintang juga penuh di dada langit. Indahnya malam membuatkan kau bersyukur kerana diberi kesempatan bernafas untuk sehari lagi.

Aku akhirnya bangkit dan melangkah malas menuju ke dalam rumah bila aku dah dengar suara mama menjerit kuat. Bila aku dongak ke beranda, ternyata Kak Shima sedang bercinta dengan Abang Jeff kat situ. Siap gelak-gelak lagi. Aku rasa, Kak Shima ni kena tangguh lagi satu semester tengok dari gaya mereka tu. Haih!!

“Buat apa kat luar sorang-sorang?” tanya mama dan abah semasa aku melalui dia di ruang tamu.

“Saja ambil angin malam,” jawabku senada lalu aku menapak terus ke atas menuju ke bilikku.

Mama mengeluh. Abah menggeleng dan aku buat-buat tak nampak dan buat-buat tak dengar. Mood aku memang rosak. Duduk je di birai katil, aku terus menggapai sebuah novel cinta.

Novel Pabila Cinta Memanggilku karya kedua penulis Syamnuriezmil. Dah beberapa kali aku khatamkan novel ni. Aku dapat rasakan kesungguhan dan keikhlasan watak Adam dalam meraih cinta Yang Ayesha dalam novel ni. Aku rasa keangkuhan Irfan dalam merebut cinta Yang Ayesha yang ternyata bukan milik dia.

Dan aku, termangu sendiri. Aku bukan Yang Ayesha. Aku Jelita. Usop bukan Adam. Bukan juga Irfan. Tapi sesekali aku rasa dia bagaikan Adam. Ikhlas inginkan aku dan sesekali aku rasa dia bagaikan Irfan, luahkan suka hanya kerana ego dan hendak memiliki.

Tapi, sebelum melihat Usop cuba bermain cinta dengan Shila, teman kepada Jun aku rasa cinta Usop sedang memanggilku? Sudah berkali dia mengatakan suka tapi mengapa aku memandang sepi panggilan cintanya? Cintakah? Atau aku saja yang merasa begini?

Novel itu aku tutup dan dengan cermatnya, aku letakkan di meja sisi katil. Perlahan-lahan aku rebahkan diri bila saja telefon bimbitku berbunyi. Dengan malas, aku raih juga telefon dari meja sisi katil.


- 1 message recieved


Aku tekan juga punat hijau dengan malas dan tiba-tiba mata aku bulat. Aku terbangun sendiri.

“Usop!!” seruku kuat.


- Macam mana tangan luka? Ok dah ke?


Bibirku menguntum senyum tanpa paksa tapi tak lama bila aku terbayang-bayang wajah gatal dia hari tu. Terus tak jadi nak balas. Aku lempar telefon bimbitku ke bawah bantal.

“Duduk kau kat situ. Jangan kacau aku!”

Aku terus rebahkan badan dan menarik selimut. Setelah selang beberapa minit, telefon imbit yang dalam mode senyap tu bergetar pula. Getaran yang hanya padam seketika dan kemudiaannya berterusan lagi.

“Eh, dia ni.” Aku merungut geram.

Tangan ni aku seluk jua ke bawah bantal menggagau telefonku dan bila aku lihat pada skrin, nombor dia. Malas nak jawab tapi aku rindu nak dengar suara dia. Sudahnya, aku kuatkan hati… kau jawab juga.

“Assalamualaikum, Lit…” Usop menyapa lembut.

“Waalaikummussalam…” Aku menjawab dingin. Padahal dalam hati ni sudah lain macam sebenarnya. Degap jantung aku ni lebih pantas dari biasa.

“Tak reply SMS saya pun?”

“Kan dah cakap, tak ada SMS, panggilan dan emel. Faham, kan?” sinisku.
Usop mengeluh.

“Saya tanya khabar. Saya risau Lit menangis ke?”

Eh, mana dia tahu aku menangis? Dia ni memang kuat betul telepati dengan aku. Kuat betul kimia. Apa orang kata, chemistery. Sampaikan aku menangis tadi pun dia boleh tahu.

“Saya tak menangis pun…,” selaku malas.

“Jangan bohong. Tak baik…”

Aku ketap bibir. Tadi, abang aku dah cakap jangan bohong. Ni Usop pulak cakap macam tu. Kalau aku tak kenal abang aku tu, mesti aku dah cakap dia pakat dengan Usop. Nasib baiklah aku yakin yang dia pun tak kenal Usop ni siapa.

“Kalau saya nangis awak nak buat apa? Nak datang rumah saya lapkan airmata saya ni?” soal aku lagi dan kali ini lebih sinis.
Usop ketawa. “Kalau Lit sudi. Sila turun ke bawah. Saya kat bawah ni. Nak naik jemput Lit kat dalam bilik tak sopan pulak.”

Mataku bulat. Cepat je aku tolak gebar yang menutupi seluruh tubuh. Seusai saja Usop berkata demikian, aku dengar mama dan abah serta Abang Jeff ketawa. Talian mati dan ketukan pulak kedengaran pada pintu.

Aku kerling jam di dinding. Dah menghampiri pukul 9.00 malam. Apa Usop buat kat rumah aku ni?

Aku tolak selimut dan terus turun dari katil dan dengan pantas aku berlalu ke pintu. Bila aku kuakkan daun pintu, wajah mesra Kak Shima tersembul dengan kening yang terangkat berkali-kali.

“Usop datang pujuk,” ujar Kak Shima dan dia terus saja berlalu.

Aku tidak terus turun. Sebaliknya aku kembali merapatkan pintu bilik. Berdebarnya hati ini sukar nak gambarkan.

Kaki ini aku atur mendekat ke arah cermin di meja solek. Aku tilik penampilan aku. Okey dah ni. T-shirt lengan panjang dan seluar trek. Sopan dah. Aku capai getah rambut dan terus aku ikat tocang kuda.

Sampai saja di bawah, aku nampak Usop sedang bersembang mesra dengan abah dan Abang Jeff. Mama juga ada sama, hanya Kak Shima tak ada. Aku jenguk ke dapur dan ternyata Kak Shima sedang membancuh air.

“Terima kasihlah sudi jenguk juga, ya Sop.” Aku dengar suara abah.

“Jenguk apa malam-malam buta ni. Orang dah nak tidur kau baru nak datang. Huh!” bebelku sendiri tanpa sedar Kak Shima dah ada di sisi.

“Dari membebel baik angkat air ni hantar ke depan. Nanti mama bising lama sangat,” arah Kak Shima.

Aku menolak tapi dia terus memaksa hingga akhirnya aku iyakan juga. Dia menyaingi langkahku. Sampai je, dia terus duduk di sisi suaminya, dah aku dengan tangan yang terketar-ketar, hidangkan air. Aku tahu mata Usop tak lepas memerhatikan aku. Tapi, aku buat selamba saja.

“Err… minumlah Encik Tetamu Malam,” sinisku tanpa sedar.

Mama mencubit bahuku sikit. Pedihnya!! Sampai hati mama. Aku bangkit dan duduk di sisi mama.

“Jaga sikit mulut tu. Tetamu datang bawa rezeki tau tak?” ucap mama keras. Aku angguk sajalah mengiyakan. Dalam hati aku menjawab juga. Nak datang, siang-sianglah. Ni malam-malam buta, buat apa.

“Usop dari mana?” tanya abah mesra.

“Saya baru balik dari asrama budak-budak tu, pak cik. Saja jenguk tanya keperluan,” jawab dia mesra juga. Abah mengangguk.

“Dah lama uruskan pusat anak-anak yatim tu?” Giliran mama pula menyoal.

Usop angguk. “Saya membesar kat situ. Bila dah dewasa ni, dah ada duit sikit saya buat keputusan nak ambil alih pulak. Tolong sikit-sikit mana yang patut. Lagipun, pusat tu dapat bantuan kerajaan penuh. Cuma yang terkurang tu, saya tambahlah sikit-sikit.”

Aku yang mendengar, rasa tersentuh pula. Buat pertama kalinya, inilah baru aku tahu siapa dia. Misteri nusantara dia selama ni hampir terungkai.

“Usop memang membesar kat situ dari kecil ke macam mana ya?” Abang Jeff pula bersuara. Ada ke tanya orang soalan macam tu. Kecutlah hati Usop nanti.

Tapi tak rupanya. Usop senyum. “Saya membesar kat situ lepas mak ayah saya meninggal dalam kemalangan masa saya umur 8 tahun. Itulah rumah saya dan penghuni itulah keluarga saya.”

Dari suaranya, aku tahu Usop agak merasa sedih mengungkit kembali kisah lampaunya. Aku mendengar penuh minat.

“Usop kerja apa sekarang selain uruskan anak-anak yatim tu dan kelas karate tu?” Abah dah mula masuk bab kerja ni. Nampak sangat dia suka kat Usop ni. Tengok cara aku dah tahu dah.

“Saya buat kerja macam-macam, pak cik. Saya kerja dekat pasaraya Parkson ada masa tu. Selain tu, saya adalah bisnes kecil-kecil. Cukuplah untuk saya yang tak berpelajaran ni,” jawab Usop merendah diri.

“Hah? Parkson? Bahagian timbang-timbang tu ke?” Mama buat suara teruja. Aku pula yang terkejut.

Usop mengangguk. Bibir itu tidak lekang dengan senyuman sejak daripada tadi. \

“Maknanya, Usoplah kot orang yang Lit bebelkan dulu tu. Ada sekali mak cik bawa dia keluar pergi Parkson lepas tu dia membebel- bebel kat jurutimbang tu. Usop la kot?!” telah mama bersungguh-sungguh.

Usop mengangguk lagi. Dan aku, rasa nak tepuk dahi. Apalah dia pergi mengaku. Nanti mama syak aku lagi.

“Maaf, mak cik. Masa tu, saya saja nak usik Jelita. Tak tahu pulak dia marah.”

Mama menyiku abah. “Dia marah-marah suka,” sela mama.

Aku siku mama pula. Dia buat muka. “Apa ni siku-siku mama?”

“Mama tu janganlah buat Lit macam ni!” Aku menggugam di telinga mama. Mama senyum je tak endahkan kata-kata aku.

“Err, Lit naik dululah. Err, saya naik dululah, Usop. Dah mengantuk!” Aku buat muka tahan mengantuk dan lepas tu terus je aku angkat punggung.

Belum sempat aku melangkah, Usop juga bangkit dan bersuara.

“Err, Lit. saya datang nak sembang dengan awak kejap.”

Aku berpaling 180 darjah menghadap semua yang ada. Mama senyum. Abah pun sama. Kak Shima dan Abang Jeff angkat kening. Aku pulak? Sangatlah tak percaya yang Usop ni berani cakap macam tu depan keluarga aku.

“Err…” Aku serba salah nak menyatakan persetujuan. Bimbang andai mama dan abah melenting. Dah la malam-malam buta ni.

“Pergilah sembang dekat taman orkid tu. Ajak abang dengan kakak,” suruh abah memberikan keizinan. Mama pun sama.

Lambat-lambat aku melangkah keluar diikuti oleh Usop sendiri dan Abang Jeff serta isterinya.
Mereka berdua memilih untuk berendui di buaian besi di garaj dan aku terus membawa langkahku ke kerusi batu yang aku duduk tadi.

“Nak cakap apa?” tanyaku mendatar.

Usop duduk di depanku. Dia tersenyum tapi tidak lama bila mata itu jatuh pula pada buku lima tangan kananku yang masih jelas luka dan lecetnya.

“Tangan macam mana?” tanya dia buat kali kedua. Kira kali kedualah sebab tadi pertama kali dia tanya dalam SMS.

“Okey je. Tak payah risau!” jawabku dingin biarpun dalam diri aku ni hangatnya sudah lain macam.

“Marah saya?”

Aku menggeleng.

“Merajuk?”

Aku menggeleng juga.

“Cemburu?”

“Tak!” Kali ini aku menjawab pantas dan tegas.

“Cinta?”

“Terlalu jauh,” jawabku juga dengan nada yang keras.

Dia mengeluh. “Tapi, awak dah ambil hati saya masa pertama kali saya lihat awak lagi,” akui dia tiba-tiba.

“Pertama kali yang mana? Pertama kali yang awak langgar saya tu ke?” tanyaku pinta kepastian.

Usop menggeleng. “Yang ni saya dengan Tuhan je tahu. Awak tak tahu tak apa. Cuma saya nak awak tahu, hati saya ada pada awak dan sebagai sistem barternya, saya nak awak bagi hati awak pada saya.”

“Eh awak ni. Awak ingat saya ni ayam? Lembu? Nak minta-minta hati pulak. Pergilah pasar. Kan tempat awak kerja tu pun ada jual benda ni semua. Ambil jelah hati dari spesis mana yang awak nak.” Aku menempelak geram.

“Tapi, saya nak hati spesis manusia yang bernama Jelita binti Johari dengan nombor kad pengenalan…”
Melopong mulutku bila Usop menyebut nama penuh siap dengan nombor kad pengenalan lagi. Dia ni memanglah menyeramkan.

“Err… mana awak tahu nombor kad pengenalan saya?”

Usop menggariskan senyuman tipis. “Kalau saya nak, nombor surat beranak awak pun saya boleh tahu, Lit,” jawab dia menyembunyikan kenyataan.

Aku garu kepala yang tidak gatal. Rambut yang asalnya kemas tadi, dah agak bersepah dihembus angin malam yang agak kuat.

“Saya minta maaf buat awak menangis malam ni,” ucap dia buat ke sekian kalinya.
Aku menggeleng. “Saya menangis bukan sebab awak… saya menangis sebab tangan saya sakit.”

“Tapi, tangan awak sakit tu sebab saya, kan? So, saya pun termasuklah dalam drama tangisan awak tu.” Cepat je dia menyambung.

“Eii, awak ni… berapa kali nak cakap, awak tak ada kena mengena dalam ini wayang gambar. Tak reti bahasa Melayu ke?” Aku dan mula membentak lagi.

“Keras kepalalah awak ni, Lit. Kalau suka payah sangat ke nak mengaku? Ke awak rasa saya tak setaraf sebab awak lahir dalam keluarga bahagia macam ni, sedangkan saya anak yatim piatu. Membesar di rumah anak yatim dan sekarang kerja jurutimbang dengan Parkson tu je? Macam tu ke hakikatnya Lit?” Soalan Usop lirih ke di pendengaranku.

Aku diam menunduk ke meja. Jari jemari ini aku sulam sesama sendiri. Hilang rasa sakit pada buku lima bila melihat ke arah Usop. Aku tidak pernah sekalipun memandang darjat antara kami. Aku juga anak orang biasa saja. Abah seorang guru besar je. Dah nak bersara pun.

“Kenapa awak cakap macam tu? Saya tak pernah cakap macam tu pun, kan?” tanyaku tidak puas hati.

Usop mendengus kecil. “Awak memang tak cakap, tapi saya boleh rasa…” sela dia.

Aku ketap bibir. Kalau awak boleh merasa, tak kanlah awak tak boleh nak rasa apa yang sedang berperang dalam hati saya ni, Usop? Saya pun tak tahu, ini cinta ke atau pun tak? Sungguh saya tak tahu. Desis hatiku sambil menatap bening matanya.

“Kalau awak rasa macam tu, betullah kot…” Sudahnya itu juga yang aku jawab. Lain kat hati lain yang aku zahirkan. Aku memang senget.

Usop mengangguk beberapa kali. Tanpa faham dengan kata-kataku. Aku tahu dari riak wajahnya, dia jelas berkecil hati dan aku pula, tidak sudah-sudah diserang rasa bersalah. Ya Tuhan, apa aku buat ni? Aku dongak ke langit cuba membendung airmata dari gugur di depan Usop.

“Payah betul nak berbicara dengan orang ada hati tapi buta cinta macam awak ni, Lit. Saya cuma datang nak minta maaf dan nak pujuk awak kalau betul awak menangis. Dah awak cakap macam tu, tak apalah. Saya boleh balik. Tak nak datang latihan pun tak apa. Ikut suka awaklah. Jangan tak datang hari pertandingan sudah.”
Dia bangkit selepas mengucapkan salam. Aku pula pandang dia dengan wajah yang terpinga-pinga. Cepat-cepat aku angkat tubuh bila dia melangkah.

“Errr… Usop!!” seruku bila dia menapak selangkah dua.
Langkahnya terhenti dan dia berpaling padaku dengan wajah yang tidak beriak.

“Macam mana saya nak percaya sebab awak tu suka mainkan saya?” tanyaku akhirnya.

“Percaya jelah dekat hati sendiri, senang kan?” Mudah saja jawapan dia.

“Tapi, hati saya keliru…”

“Kalau keliru, serah je seluruh hati awak tu pada Tuhan. InsyaAllah Dia akan membantu awak mencari keputusan,” jawab dia lagi dan terus saja dia berlalu melepasi pagar yang terkuak.

Aduh. Makin pening aku dibuatnya.

“Apa kes kau ni, Lit?” Tiba-tiba je suara Kak Shima dekat di telingaku.

“Err… entah.” Aku terus saja melangkah ke dalam menuju ke bilik. Mujur saat ini mama dan abah tiada di ruang tamu. Selamat aku nak jawab soalan mereka.

***

HARI ini, aku sekali lagi gagahkan kaki untuk keluar sendiri. Seperti biasa, pergi kedai buku nak beli buku pakai baucer buku 1 Malaysia yang Kak Shima bagi pada aku. Dia je dapat sebab dia belajar lagi. Aku memang tak dapat dah.

Keluar dari Popular, aku terus menapak ke arah tempat Usop bekerja. Aku yakin dia ada hari ini sebab hari-hari biasa, inilah tempat kerja dia. Dari jauh aku cuba intai Usop tapi tak nampak pulak. Mana dia pergi, ya?

Penat mengintai, aku akhirnya pergi bertanya juga pada salah seorang pekerja itu. Nampak macam lagi muda daripada Usop. Padahal aku pun tak pasti Usop tu umur berapa. Tak pernah tanya dan dia pun tak pernah cakap.

“Err… encik… boleh tak saya tahu, Usop tak kerja ke hari ni?”

“Abang Usop tak kerja kat sini, cik. Dia datang kejap-kejap je. Jenguk saya. Ada masa tu dia tolong saya kalau saya ada hal lain.”

Jawapan dia ni membuatkan aku semakin pelik. Apa Usop buat sebenarnya?

“Dia datang jumpa awak?”

Lelaki ini mengangguk.

“Dah awak ni siapa dengan dia?”

“Saya ni kira macam adik dialah. Saya membesar sama-sama dengan dia kat rumah anak yatim dulu. Saya yang kerja dekat sini. Abang Usop tak. Dia datang bila saya perlukan pertolongan je. Lepas tu kadang-kadang saja-saja melawat adik,” terang lelaki ini.

Satu lagi hal tentang Usop ni terungkai. Dia ni ingatkan dah habis dia rungkaikan misteri pada keluarga aku hari tu, tapi masih banyak lagi yang tersembunyi.

“Dah tu… dia kerja dekat mana sebenarnya?”

Lelaki ini gelak sikit. “Yang tu.. cik kena tanya dia sendirilah. Abang Usop tu dah amanahkan dekat saya tak nak bagi tahu sesiapa pun pasal diri dia.”

Aku ketap bibir. Terasa disindir pula oleh lelaki ini. Apa payah sangat aku nak korek pasal Usop ni. Tapi, dah dia kata amanah, aku tak boleh nak paksa.

“Emm, tak apalah kalau macam tu. Terima kasih, ya,” ucapku lalu aku berlalu. Sekelipan tu, aku berpaling dan aku lihat lelaki tu sedang bersembang di telefon. Entah-entah dia telefon Usop tak.

Aku baru teringat. Aku ada nombor telefon Usop. Kenapalah tak ingat langsung ni. Cepat-cepat aku tekan papan kekunci. Hantar SMS sudah. Jimat sikit.


- Kat mana?


Selepas beberapa ketika, barulah aku menerima pesanan balas daripada dia.


- Kerja. Banyak nak kena selesai ni. Banyak barang nak kena timbang.


Aku tahan ketawa. Dia ni nak menipu tak reti. Agaknya lelaki tadi tu tak telefon Usop kot. Sebab tu Usop boleh jawab dia sedang timbang barang. Cepat je aku balas.


- Menipu, ya?


Dan dia membalas.


- Menipu la sikit. Sebab awak tu pun tipu diri sendiri tentang perasaan awak. Titik!


Aku tepuk dahi. Pusing sana pusing sini, mesti aku jugak kena. Sudahnya, aku malas dah nak balas. Aku teruskan langkah menuju ke Jalan Hospital. Kat sanalah terletak rumah budak-budak tu. Rindu pada Wahyudah dan juga yang lain.

Alang-alang aku nak bagi buku yang aku beli ni. Baucer RM100 Kak Shima bagi, aku pakai sikit sudah. Yang lain niat sedekahkan. Aku pun dapat percuma.
Baru nak mendekat ke arah pagar, aku cepat-cepat menyembunyikan tubuhku di balik tiang. Tak adalah terlindung tapi bolehlah nak sorok muka sebab aku nampak seorang lelaki di depan pagar rumah anak-anak yatim ni.

Sebab agak jauh, pandangan pun terhad. Aku kecilkan anak mata tapi kurang jelas juga. Yang aku nampak, lelaki itu berbadan tegap, tinggi macam Usop dan pakaian dia pun segak. Slack hitam, kemeja lengan panjang berwarna biru lembut yang tersinsing sampai lengan dan juga vess biru gelap yang berada di luar kemeja, siap dengan tali leher melengkapkan gaya.

Bila aku amati lagi, memang sudah nak nampak sebab dia pakai topi la pulak. Ada ke pakai dah bergaya macam tu, nak pakai topi pulak. Hatiku merungut sendiri. Tidak lama lepas tu, dia terus berlalu masuk ke dalam sebuah kereta Honda EK berwarna perak metalik.

Siapa ek? Lepas kereta itu berlalu aku terus menapak ke arah pagar asrama. Sedang elok je tiba, aku nampak Wahyudah berjalan masuk.

“Assalamualaikum, Yudah!” laungku agak kuat.

Serta-merta budak tu berpaling dan terus berlari mendapatkanku. Wajah itu mengah tapi senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Kakak…” jerit dia.

Aku ketawa kecil. “Rindu kakak tak?”

Dia mengangguk berkali-kali.

“Nanti lepas dah habis pertandingan, kita berlatih lagi, ya kak.”

Kini, giliran aku pula mengangguk. Aku juga sangat rindukan mereka. Sangat-sangat.

“Kakak nak masuk ke? Kejap Yudah ambil kunci.”

Belum sempat Wahyudah menapak, aku tahan dia.

“Kakak sekejap je. Nak hantar buku-buku ni. Boleh Yudah dan kawan-kawan baca masa lapang.”
Aku hulurkan plastik Popular tu pada dia. Wahyudah menyambut dan tersengih tidak lepas.

“Terima kasih, kakak,” ucap dia.

“Err… Yudah. Kalau kakak boleh tahu, siapa tadi tu… dengan kereta?

Wahyudah senyum. “Abang kami,” jawab dia berahsia.

“Berapa ramai abang yang korang ada?”

“Tak ramai pun. Tapi, ramailah juga. Yang tadi tu salah seorangnya,” jawab dia.

Aku angguk menerima kata-kata Wahyudah sebab dari apa yang Usop dan adik lelaki dia dekat Parkson tu cakap, memang betullah tu. Ni kira batch lain la ni. Bagus betul diorang ni. Sampai sekarang tak lupa tempat mereka membesar. Aku pula, serta merta rasa insaf.

Apatah lagi bila rambut aku ni dihembus angin membuatkan aku teringat, kepala aku ni tak pernah bertutup kecuali kala di bilik air, solat dan menghadiri kelas agama serta mengaji.

“Err… kakak balik dulu, ya. Kirim salam pada semua,” beritahuku pada Wahyudah lalu aku menapak tanpa menanti kata-katanya.
Hati aku ni rasa perit tiba-tiba. Kemain Usop lilitkan selendang pada kepala aku tapi sudahnya aku buang pula. Niat dia ikhlas tapi kenapa aku selalu salah ertikan?
Ya Tuhan, tuntunlah hati yang keliru ini, doaku tidak putus-putus.

***

AKU sebetulnya langsung tidak hadir ke kelas latihan untuk pertandingan. Sedar tak sedar, aku dah ada tercongok di dalam Dewan Jubli Perak, Jalan Taman Gelora ni untuk pertandingan.

Sudah banyak minggu tak jumpa Usop. Kali terakhir adalah SMS yang tu je. Aku pun degil. Sakit hati dengan diri sendiri.

“Mana Usop ni?” Aku panjangkan leher mengintai kelibat dia.

Lama aku menjengah ke sana sini, aku akhirnya tertancap pada dia dan di sisinya… Jun? Bukan!! Tapi, Shila?!

Aku ketap gigi kuat-kuat. Geramnya aku. Dalam pada nak bertanding, macam mana si rambut sabut kepala tu boleh ada kat sini pulak? Aku tak tinggal diam, sebaliknya aku terus melangkah menuju ke arah mereka.

Sedang elok aku tiba, Jun pun ada juga.

“Eh, Lit…” seru Jun bila melihat ke arahku.

Serta merta Usop yang sedang elok bergelak ketawa dengan Shila memandang ke arahku. Wajah itu tenang. Langsung tidak beriak bersalah atau apa-apa riak jelah.

“Err, ya saya. Dah lama ke you all sampai?”

“I baru lagi Lit. Usop dengan Shila dah lama kot. Sebelum tu, I tak tahulah they all ke mana?” Jun jungkit kening pada Usop.

Menyirap darah aku waktu ni. Si Jun ni macam saja je nak kenakan aku. Yang Si Shila pulak, duduk tu dekat nak jadi kembar siam dah dengan Usop. Geramnya aku, hanya Tuhan yang tahu.

“Err… dah cabut undi ke?” Aku bertanya lagi mengubah hala amarah aku ni.

Usop tidak bersuara sebaliknya dia mengangguk saja lalu dia beralih pula pada Shila. Apa yang dibualkan aku pun tak dengar. Macam cakap dalam kelambu.

“Lit, you tolong I berlatih sikit. Dari semalam I tak warm-up apa pun.” Tiba-tiba je, Jun tarik tangan aku menjatuh daripada mereka.

Aku tak nak ikut tapi langkah kaki ini terpaksa menurut saja. Mata aku sesekali menjeling ke arah Usop dan bertambahlah sakit hati aku. Dengan aku, jangan kata nak ketawa macam tu, senyum pun jangan harap.

Apa dia ni? Kata suka aku. Kata suruh aku tanya Tuhan kenapa hati aku keliru tapi inilah jawapan akhirnya. Hati aku ternyata benar-benar terbelit dalam keliru. Dah tak nak percaya Usop lagi. Kata-kata dia semuanya dusta. Titik!

Lebih kurang setengah jam kemudian, kami semua dipanggil berkumpul. Ramailah juga. Seram pulak aku. Rasa macam dah lama tak bertumbuk dengan orang. Kalau kena partner yang agresif, mahu sedar dekat HTAA lepas pengsan nanti.

Pusingan pertama… aku lepas. Satu ucapan tahniah pun tiada yang terbit dari bibir Usop. Aku rimas sebenarnya sampailah keluarga aku datang, aku terus menghampiri mereka. Abang aku dari tadi dok kerling antara aku dan Usop. Aku buat-buat tak tahu je.

Pusingan pertama Jun dan Usop, juga mereka lepas. Masuk pusingan kedua, nama aku naik lagi. Lepas aku kucup tangan mama dan abah, aku terus masuk ke gelanggang. Lepas je pusingan ni, aku masuk pusingan ketiga iaitu pusingan terakhir untuk kategori ini.

Ada debar dalam hati apatah lagi melihatkan Usop tidak sudah-sudah bergelak ketawa dengan Shila dan Jun. Siap Shila hulurkan air lagi pada dia.

“Ingat, jangan punch muka.”
Aku dan pihak lawan mengangguk menerima arahan daripada pengadil pertandingan.

“Okey…” Prettt.. Wisel dibunyikan dan kami teruskan pertandingan.

Setelah beberapa ketika, aku rasa kemenangan akan jadi milikku bila pihak lawan bagaikan sudah lemah. Tanpa sengaja, di tengah-tengah perlawanan yang sedang memuncak, aku terpandang Shila yang sedang mengelap peluh Usop dan bila aku berpaling pada pihak lawan, sedang elok penumbuk dia singgah tepat di tengah-tengah wajahku.

Dan aku… terus berbalam pandangan. Wisel dibunyikan. Pihak lawan ditolak jauh oleh pengadil pertandingan dan aku mula terhuyung hayang.

Aku sudah tidak mampu mengimbangi tubuh sendiri. Tumbukan tadi memang membuatkan aku rasakan dunia ini berputar ligat dan tanpa mampu berbuat apa-apa lagi, aku jatuh terlentang.

“Jelita!!!”

Sebelum aku tutup mata rapat, aku dengar nama aku dipanggil seseorang dan tubuhku ini sempat disambut oleh sepasang tangan.

~~~> bersambung

Bila Nak Saksi? [10]

[10]

ADUH!! Usop betullah suruh aku teman dia. Kemain lama aku duduk di atas kerusi kayu di depan Mc’ Donald sebelah Parkson ni menantikan dia. Ada ke patut macam ni dan aku pun satu, turut je. Akal melarang, tapi hati gatal. Inilah natijahnya. Duduk macam kera duku.

Kejap-kejap aku mengerling ke jam di pergelangan tangan. Dah hampir dua jam aku duduk di sini. Dia masih belum muncul. Sesekali aku betulkan ikatan tocang pada rambutku. Ini dah tengah hari, makan pun belum. Nasib baik dah telefon mama cakap nak makan tengah hari kat luar dulu baru balik.

Perut dah berdondang sayang. Lama-lama boleh bertukar dendang benci sebab menanti Usop. Dekat nak kebuluran dah. Ini tak boleh jadi ni. Ujar hatiku lalu aku berdiri dan terus menapak ke menuju ke Mc’Donald.

Tapi sayang, tak sempat sampai Usop dah muncul dulu. Kan dah cakap, dia macam hantu. Muncul ikut suka dia, hilang begitu saja.

“Nak pergi mana?” tanya dia seraya menjeling ke arah restoran makanan segera tu.
Aku letak telapak tangan di perut.

“Lapar,” jawabku sambil membuat muka sedih.

Usop ketawa kecil. “Tahu awak lapar. Jom, kita pekena nasi kerabu dekat belakang pasar.”
Baru je ayat itu sudah, dia terus je melangkah. Suka tinggalkan aku. Tadi, kata suka… tapi layan macam tak suka. Apa kena mamat ni? Nak tak nak, aku pun melangkah juga.

Nasi kerabu? Pernah dengar tapi tak pernah merasa. Mula la nafsu makan menjadi-jadi ni. Orang dah nak belanja, aku apa lagi. Tadah perut sajalah.
Kami sama-sama berjalan melintas jalan raya yang sibuk menuju ke arah Ocean dan kemudiannya terus saja ke belakang pasar. Memang banyak gerai kat situ. Aku pun tak pernah tahu ada gerai kat sini. Meriahnya… memang meriah. Mula-mula nak buat muka teruja, tapi bila risau kena tazkirah oleh Usop, aku buat muka biasa-biasa je.

“Kak, bagi nasi kerabu dua. Bungkus, ya,” beritahu dia pada kakak pekedai itu.
Kakak itu senyum pada aku dan Usop silih berganti.

“Eh, kenapa bungkus?” tanyaku berbisik.

“Dah tu? Awak ingat saya nak ajak awak makan dengan saya ke? Saya ajak makan, tak kata nak makan dekat kedai. Awak balik makan kat rumah, kan seronok,” sinis dia.
Gulp… Aku telan liur. Macam-macam hal la Usop ni. Aku mati-mati ingat dia nak makan dengan aku kat gerai ni tapi dia suruh bungkus.

“Kalau nak bungkus tadi, baik saya bungkus fast food je. Tak adalah penat berjalan macam ni.” AKu mula la merungut.

“Fastfood tak elok la, Lit. Jangan makan fastfood lagi.” Dia menggeleng melarang aku.
Eh eh dia ni… berani betul nak halang orang.

“Tapi, saya suka. Senang, mudah dan cepat,” jawabku tak pernah nak beralah.
Usop mendengus kecil sambil menjeling tajam ke arahku.

“Kenapalah awak ni suka menjawab sangat, hah?” tanya dia tidak puas hati. Aku ketawa kecil.

“Dengan awak je saya menjawab. Dengan orang lain tak pernah.” Sengaja aku pulangkan paku buah keras, biar padan muka dia.

“Eh eh, dia ni…” Dia dah bercekak pinggang tapi aku tetap tayang wajah selamba sambil mata ini ralit memerhatikan kakak itu membungkus nasi berwarna biru. Biru?

“Eh, kakak… kenapa warna biru? Nasi bila ni, kak?” Suara aku cemas.
Kali ini Usop ketawa terbahak-bahak. Siap tekan perut lagi. Sampai semua orang kat gerai ni pandang kami lah penangan tawa Usop.

“Err, nasi ni memang macam ni, dik,” jawab kakak itu agak kalut.
Dari riak muka tu aku dah tahu dia mesti takut aku maki dia tapi aku bukan suka suki memaki. Aku bertanya sebab pelik. Pertama kali lihat nasi berwarna biru.

“Eh, awak tak pernah tahu ke nasi kerabu macam mana, Lit?”

“Pernah tahu tapi tak perasan pulak warna biru macam ni. Takutlah nak makan,” beritahuku pada Usop bila aku lihat kakak tu dah mula letak daun-daun pulak dah.
Aduhai… Aku tepuk dahi sendiri. “Macam mana nak makan dengan semua benda tu?”

Dah la perut lapar. Terseksa jiwa aku tengok nasi yang kakak itu bungkus. Macam kambing la pulak makan banyak daun kayu.

“Eii, tak naklah saya. Kalau kata awak nak belanja saya… saya nak makan makanan lainlah. Nasi campur ke.” Aku akhirnya lahirkan keinginan aku sendiri pada Usop.

“Tak nak lah, Lit. kakak tu dah bungkus pun. Rasalah dulu. Sedap tu.”

“Tapi, penuh daun kayu tu. Saya rasa macam kambing lah pulak.”
Usop tersengih padaku. Dia mendekatkan bibirnya ke telingaku.

“Kalau macam tu, awak adalah kambing yang paling cantik dan wangi yang pernah saya jumpa,” ucapnya selamba lalu dia mengenyit matanya.

Erk… dia ni memang nak kena sungguh dah ni. Boleh dia cakap aku kambing. Dia tu, kambing gurun! Hatiku memarahi Usop. Tapi, marah dalam hati jelah. Nak zahirkan marah tu rasa tak kena tempat pulak ni.

“Awak ni memang sengaja, kan? Sengaja nak kenakan saya?” tanyaku berbisik.

“Mana ada. Dah awak tu cakap awak rasa diri macam kambing. Saya puji dah tu. Awaklah kambing paling cantik dan wangi.” Sekali lagi dia ulang ayat tu.

Tanpa sedar, aku cubit lengannya. Usop memandang aku dan mengaduh. Wajah tu berkerut seribu.

“Sampai hati awak cubit saya, kan?” Dia menggosok lengannya.

“Eleh, macamlah kuat pun. Orang cubit sikit je kot. Memanglah awak ni kulit lokek.” Bibirku mencebik pada dia.
Usop sekali lagi mendekatkan bibirnya ke telingaku.

“Memandangkan ni dah kali kedua kita bersentuh kulit dan kali ini awak dengan sengajanya sentuh saya, awak kena bertanggungjawab. Tak boleh tidak!” gumamnya agak tegas.

Aku cepat-cepat menghalakan mataku ke arahnya. Baru saja nak buka mulut, dah kakak pekedai ni dah buka mulut dulu. Potong jalan la pulak dan aku termangu lagi memikirkan kata-kata Usop.

“RM6.00, dik.”

Usop menyeluk poket jeans lusuh dan koyak rabaknya itu lalu dikeluarkan not RM10 dan disuakan pada kakak tu. Selepas menerima baki, dia terus menapak meninggalkan aku yang lagi.

Cepat-cepat aku melangkah menyaingi kakinya. “Awak tunggu saya kejap boleh tak?” tanyaku geram.
Langkah Usop mati lalu mata dia mencerlung tajam ke arahku.

“Awak tu jalanlah cepat sikit. Terhegeh-hegeh. Eh, macam manalah aku boleh suka perempuan lembik macam ni,” keluh dia. Siap garu kepala lagi.

Aku telan liur. Ini sudah kali ke berapa Usop mengatakan dia suka aku. Kalau lagi sekali dia katakan suka, aku memang yakin dia benar-benar sukakan aku.

“Eleh, awak tu suka saya sebab suka nak kenakan saya, kan? Suka nak ketawakan saya, kan? Kan?”

“Dahlah lembik, payah nak percaya apa orang cakap pulak.” Semakin hebat keluhannya.

“Lor, saya pulak kena? Tiba-tiba percaya tak percaya ni, apa hal?” Aku angkat wajahku mencabar Usop.

“Kalau orang cakap suka, dia kata suka kenakan dia lah, suka itulah, suka inilah. Suka je tak boleh ke? Faham tak makna suka ni? Su… ka!!’ tekan Usop lagi.

“Tahu tapi saya tak suka awak,” selaku selamba sambil kaki ini terus laju menapak ke depan.

Aku tahu, dari jelingan ini aku nampak Usop tersenyum di hujung bibir.

“Awak suka saya tapi awak tu tak sedar perasaan awak tu apa sebenarnya. Selidik dulu, jangan cepat cakap tak suka. Lagipun, saya tak suruh awak suka saya sekarang. Nanti-nanti sukalah tu,” jawab dia yakin.

“Tak nak suka jugak!” bentakku.

Usop ketawa. “Tak suka tak apa. Saya buat awak suka pada saya. Tak boleh buat cara baik, saya buat cara buruk, nak?”

Dia jungkit kening lagi. Aku tahu dia sedang mengugutku tapi aku? Pantang maut sebelum ajal, pantang berundur setelah melangkah jadi tak mungkin aku gentar dengan ugutan keanak-anakan macam tu.

“Tak takut pun ugutan awak tu.” Aku mencebik geram.

“Kita tengok awak takut ke tak? Tapi, yang pasti awak kena bertanggungjawab sebab dah sentuh kulit saya tadi. Saya ni anak teruna lagi tau. Dah awak main sentuh je, hilangkah keterunaan saya ni.”

Erk… aku telan liur berkali-kali. Pelik betul mamat ni. Sentuh sikit je kot. Itupun spontan. Bukan aku sengaja dan itu pun nak kena bertanggungjawab. Ini sudah terbalik. Macam dia anak dara dan aku anak jantan.

“Awak ni lelaki ke perempuan?” Tinggi je aku jungkit kening.

“Lelakilah.”

Aku pandang dia atas bawah dan begitulah sebaliknya. “Dah tu suruh saya bertanggungjawab pulak. Ya ke lelaki?” Aku sengih lebar.

“Kenapa? Tak percaya saya lelaki? Nak saya buktikan ke apa?” Dia sekali lagi mencabarku.

Aku tekup mulut menahan tawa. “Awak nak buka pakaian kat tengah jalan raya ni ke?”

Tak tahan nak ketawa, aku ketawalah juga. Dari tadi asyik tahan, bergegar seluruh tubuhku. Rasa bergegar otak ni. Wajah Usop berkerut. Dia tarik lenganku yang diselubungi t-shirt lengan panjang.

Bibir itu sekali lagi mendekat ke telingaku.

“Saya akan buktikan tapi bukan sekarang. Tunggu awak dah sudi nak bertanggungjawab pada saya nanti, masa tu saya akan buktikan!” tegas dia.
Desah nafasnya hangat menyapa telingaku. Berdiri bulu romaku. Meremang bulu tengkuk bila dia berkata demikian. Dan, bila aku dapat memahami maksud yang cuba dia sampaikan. Terkebil-kebil mataku memandang wajah dia yang serius.

Tapi tak lama, bila Usop menggariskan senyuman. “Tahu takut…”

Kami sama-sama terus menapak menuju ke sebuah booth yang menjual beraneka tudung dan selendang. Menariknya, kedai aku singgah dulu tu. Masa hari pertama aku temui lelaki bernama Usop.

“Err, nak buat apa kat sini?” tanyaku.

Kakak jurujual tu dah senyum-senyum dah. Macam dia cam je aku ni. Aku pun, balas jelah senyuman dia. Ikhlas dan dapatlah pahala sikit.
Usop tak menjawab sebaliknya dia hulurkan plastik yang berisi nasi bungkus tadi pada aku. Minta aku pegang tapi tak ada suara. Aku sambutlah juga.

“Nak buat apa kat sini?” tanyaku sekali lagi bila Usop tak menjawab.
Mata dia sibuk je dok melilau mengintai tudung dan selendang. Tangan dia juga ligat membelek sehelai demi sehelai selendang dari pelbagai fesyen dan warna.

“Awak nak beli dekat awek awak ek?”
Dia angguk tanpa suara.

“Dia putih ke tak putih mana? Kalau putih, apa-apa warna pun boleh jalan. Kalau kurang cerah, awak jangan pilih warna merah terang, biru ke. Better pilih warna tanah. Nampak natural nanti.”

Pandai-pandai je aku jadi perunding imej buat Usop. Dia mengerling ke arahku seketika sebelum beralih pandangannya itu pada jurujual berkenaan.

“Kak, ada cermin tak?” tanya dia tenang.

Jurujual itu mengangguk dan terus saja dihulurkan sebuah cermin kepada Usop.

“Nah…” Usop hulurkan pula padaku cermin tersebut.

“Buat apa ni?”

“Dah nak tahu kulit awek saya tu cerah ke gelap, awak tengoklah sendiri,” suruhnya. Aku buat muka pelik. Nak tengok dekat mana?

Aku angkat cermin itu tepat di depan wajahku. Sah-sahlah nampak wajah aku je masa ni. Wajah yang putih kekuningan tanpa solekan ni. Mata pun sikit lebam. Nampak lesu dan agak penat wajah aku ni. Haishh…

Aku usap pipiku perlahan. Kulit pun rasa agak kasar dah.

“Tahu dah macam mana rupa awek saya tu? Tahu dah kan kulit dia cerah ke gelap?” tanya dia lagi.

Aku cepat-cepat tolak cermin bila mengerti apa yang Usop maksudkan. Dia maksudkan aku sedangkan aku ni sibuk dok tilik wajah sendiri. Itulah inilah. Padahal dia sedang memerhati.

“Err… saya…” Aduhai. Dah gagap la pulak. Berkerut wajahku kala ini. Tak tahu nak kata apa. Kelu. Kehilangan kata sudah.
Usop menggariskan senyuman lalu dia ambil cermin itu daripadaku dan menyuakan semula pada jurujual tersebut.

“Inilah tempat yang saya ajak awak tadi. Saya nak hadiahkan awak selendang ni. Pilihlah yang mana awak berkenan. Saya ganti selendang yang awak dah campak merata tadi tu.”

Aku tepuk dahi. Bila Usop menyindir, baru aku ingat apa yang aku tertinggal di kelas karate tadi. Selendang ungu muda yang Usop belit ke kepala aku ni. Aduh. Macam mana boleh lupa. Sentimental value tinggi tu.

“Dah, jangan tepuk dahi. Biarlah kat situ. Orang dah tak sudi. Pilihlah yang baru. Saya belikan. Tapi satu je. Saya tak cukup duit nak belikan banyak-banyak.” Dia ni memang jujur.

Selamba je cakap tak cukup duit dengan jurujual ni. Aku tengok kakak tu dah nak ketawa dah tapi bila ku jeling, dia tak jadi ketawa.

“Awak ni… control la sikit depan orang ni. Kot ya pun jangan lah cakap tak cukup duit. Buat malu je,” tegurku menggumam.

“Eh, nak malu apa. Saya jujur apa cakap tak cukup duit. Dah lah, cepat pilih. Nanti awak nak balik pulak. Lapar, kan? Cepat pilih, cepat boleh balik makan,” arah dia lagi.

Aku ketap bibir. Mataku meliar mencari warna yang aku berkenan tapi sayang, lama memilih warna ungu itu juga yang menari di ruangan mataku.
Aku menggeleng tiba-tiba.

“Kenapa pulak?”

“Emm, saya nak yang ungu tu jugaklah. Tak boleh dah jatuh hati pada yang ungu tu,” ucapku luhur.
Usop jungkit kening. “Kat orang yang pakaikan selendang tu, awak tak jatuh hati pulak?”

Erk.. aduhai… tercekik air liur lagi. Dia ni memanglah suka menyakat. Sampaikan aku dah tak tahu mana satu dia berkata benar dan mana satu dia bergurau.
Lagipun, aku kesian pada dia. Dah dia katakan dia tak cukup duit, rasa macam bersalah pulak. Aku ada duit apa. Kenapa nak susahkan dia. Emm, biarlah dulu. Tak payah pilih apa-apa.

“Tadi awak cakap hati awak terjatuh, kan? Saya kutip boleh?” tanya dia nakal.

“Tak boleh!” Tegas saja aku menjawab lalu aku melangkah meninggalkan booth itu. Meninggalkan kakak jurujual tu terpinga-pinga.

“Okey. Boleh ke tak, kita tengok nanti.” Usop mengangguk beberapa kali. Macam berkeyakinan.

“Tapi ingat… bila saya dah kutip saya tak pulangkan dah. Saya akan gezet jadi hak milik kekal saya, faham?!”

Aku diam dan mencebik. Apa-apa jelah. Kaki ini cepat-cepat aku bawa melintas jalan tanpa aku lihat ke kiri dan kanan jalan. Baru dua langkah aku menapak meninggalkan Usop, tiba-tiba saja aku berada dalam pelukan erat dia dan serentak itu bunyi hon kuat bergema.

Sebuah kereta proton Wira berhenti di depan kami dan cermin kereta itu diturunkan.

“Woi, tak sayang nyawa ke hah? Kalau gaduh dengan pakwe pun, jangan bunuh diri kat jalan raya la woi!!” laung pemandu itu kuat lalu dia meluncur laju.
Aku masih lagi terperanjat. Menggigil tubuhku kala ini. Terketar-ketar aku memaut lengan Usop. Dia menolak tubuhku kuat. Bahuku dicengkam erat.

“Apa kejadahnya awak fikir ni, Lit? Nak mati ke? Kenapa cuai sangat sampai dua kali dah nak kena langgar? Kalau jadi apa-apa nanti, apa saya nak jawab pada keluarga
awak? Apa saya nak jawab pada Je…” Suara Usop terhenti di situ. Dia mengeluh berat sambil meramas rambutnya yang agak panjang itu.
Airmataku menitis laju. Sudahlah takut. Ditambah pulak dengan sergahan Usop, memanglah semangatku hilang.

Mula-mula hanya titisan airmata tanpa suara hingga akhirnya aku sudah teresak-esak di tepi jalan ni. Usop tidak memujuk sebaliknya dia menarik lenganku agak kasar dan membawa aku melintas jalan di depan bangunan pasaraya Mydin.
Kaki dia laju je melangkah memaksa aku mengikut rentak langkahnya. Aku hanya tunduk menahan hati yang membekam. Kan sudah cakap, Usop ni pelik. Kejap okey, kejap tak okey. Mana aku nak percaya dia.

“Dah la tu. Jangan nangis lagi. Jom saya hantar balik. Dah lewat ni,” pujuk Usop namun masih jelas ketegasan pada suaranya.

Aku diam dan hanya menurut. Takut, benar-benar takut. Hampir saja menjadi arwah.

***

MAMA terpaku melihat aku dan Usop pulang bersama tengah hari itu. Aku tahu dia terkejut. Mungkin dia menjangka yang aku mengajak Usop datang bersama sedangkan Usop terpacak dengan rumah ni sebab dia hantar aku balik lepas dia marah aku sebab aku hampir nak kena langgar. Hah, panjang aku menghurai. Lelah lelah.

“Eh, kenapa murung ni?” tanya mama setelah menjawab salam Usop.

“Err, maaf mak cik. Saya hantar Lit lewat sikit. Tapi minta dia teman beli barang,” beritahu Usop sopan.

Mama tersenyum lalu menarik aku ke sisinya. “Ajak juga ya. Mama ingatkan tak nak ajak dah!”

“Err, sebenarnya Lit…”

Belum sempat aku berkata-kata, aku dengar suara Abang Jeff menjerit dari belakang.

“Laa, ini ke kawan Lit tu, dik?” tanya dia. Bila aku berpaling, seperti biasa, Kak Shima ada je menempel dekat laki dia tu.

Aku angguk perlahan. Usop tersenyum lebar pada Abang Jeff dan Kak Shima. Macam dah lama kenal je mereka ni. Curiga betul. Tapi bila melihatkan Usop diam tidak menegur pun, aku halau jauh-jauh rasa curiga itu pergi.

“Jemput, Usop… masuk dulu. Makan tengah hari. Mak cik memang suruh Jelita ajak kamu datang rumah. Dia cakap semalam dia tak nak ajak tapi tup-tup balik berdua. Lit ni memanglah…” Mama menggeleng.

Aku nak mengaduh kuat-kuat. Bukan sakit pun, tapi sakit jiwa. Mama dah pecah rahsia. Padahal aku tak ajak pun.
Usop merenung aku sekali lagi sebelum dia beralih pada mama.

“Err, tak apalah mak cik. Memang Jelita ada ajak tapi saya ada urusan lain lagi. Mungkin lain kali saya singgah lama sikit.”

Huh, pandai Usop berlakon. Back-up aku nampak tapi aku tahu dah. Nanti jumpa dia lagi, mesti dia kenakan aku cukup-cukup.

“Eh, singgahlah dulu, Sop. Mama dah ajak makan ni. Lagipun dah siap dah. Tinggal nak makan je,” pelawa Abang Jeff pulak.
Usop menggeleng. “Tak apalah, bang. Saya ada hal lagi ni. Lain kali insyaAllah,” janji dia.

Tiba-tiba je abang aku ketawa. Mama pandang aku dan aku pandang Kak Shima. Gila pelik dengan dia ni. Meroyan ke apa.

“Eh, ketawa kenapa Jeffry?” tanya mama pelik.
Tawa abang aku ni dah reda sikit tapi dia tetap ketawa dah beralu. Memang putus fius dia ni. Padahal Usop panggil dia abang je kot. Okeylah tu, tanda hormat.

“Pelik-pelik anak-anak mak cik ni, Usop. Kamu janganlah takut ya.”

Usop mengangguk dan tersenyum manis pada mama sebelum beralih pada aku. Huh, seriau melihat senyuman Usop kali ini. Killer grin tu. Aduh, terpanah dah hati aku ni.

“Err, abah mana, ma?” Cepat-cepat aku cari soalan mahu mencantas renungan Usop.

“Abah dekat kebunlah. Siram pokok pisang yang Lit tanam tu. Jangan dah besar, Lit karatekan lagi sudah. Marah lagi orang tua tu.”
Hah, mama sekali lagi buka rahsia. Usop ketawa halus. Aku pulak? Malunya. Kak Shima menyiku aku tak pasal-pasal.

“Err, tak apalah, mak cik. Saya balik dulu. Maaf sekali lagi mak cik tak dapat penuhi undangan walaupun Jelita DAH JEMPUT saya. Lain kali, insyaAllah.”

Usop ni dia sengaja tekan perkataan dah jemput tu nak menyindir aku. Nak tak nak, aku sengih jelah. Tahan malu. Nasib baik mama tak tahu aku tak cakap dekat Usop mama ajak datang rumah. Kalau tak, lagi seriau aku dibuatnya sedangkan seriau nak kena langgar tadi tak hilang lagi.

Setelah Usop berlalu, kami semua pun berlalu ke dalam rumah. Aku masuk ke bilik terus hendak membersihkan badan. Berada di bawah pancuran air paip yang dingin benar-benar membuatkan aku terasa segar semula.

Aku peluk tubuhku tapi entah mengapa, aku terasa pelukan Usop tadi. Biarpun tidak disengajakan, aku dapat rasa hentakan pada dadanya saat aku rapat pada dia. Semakin erat aku memeluk tubuhku, semakin kuat pula aku rasa pelukan Usop dan bila aku buka mata, memandang wajahku di dalam cermin, ada satu soalan yang hadir.

“Cinta tu apa, ya? Macam mana rasa cinta ni?” Berkerut wajahku mencari jawapan tapi rasanya, elok aku tanya Usop.
Lepas Isyak berjemaah, aku terima beberapa panggilan rindu. Nombor? Tak kenal sebab tak simpan dalam memori telefon.

Aku ingat nak dail semula, tapi bila difikirkan balik, malaslah pulak. Sudahnya, aku rebahkan tubuh aku yang kepenatan ini di atas tilam.

“Wah, bestnya dapat baring….:

Baru saja nak pejamkan mata, telefonku berbunyi sekali lagi. Lagu Dadali. Lambat-lambat aku jawab setelah puas mengamati nombor berkenaan.

“Lit, Usop…”

Hah, bulat mata aku. Terjatuhlah telefon Nokia C3 tu sebab terkejut dengar nama Usop.

“Eh, mana awak dapat nombor saya?” tanyaku setelah aku kembali melekapkan telefon itu ke telinga.

Dia ketawa kuat. “Siang tadilah. Masa saya ambil telefon awak tu. Sempatlah buat panggilan rindu.” Dia mengakuinya.
Aku mendengus kecil.

“Awak ni kan. Mencuri!” Selamba je aku tuduh dia mencuri.

Betullah tu. Kira mencuri la sebab tak minta izin daripada aku. Dan kalau dia minta izin pun rasanya aku tak mudah nak bagi.

“Saya memang suka mencuri. Tapi, dengan awak je. Semua hak awak saya nak curi nanti. Awak jaga-jagalah, ya?”

Aku dengar dia ketawa halus. “Eleh, berani awak nak curi?”

“Sangat berani. Macam saya cakap. Tak dapat dengan cara baik, saya guna cara tak baik. Awak tak kisah, kan?” tanya dia lagi.

Aku telan liur. Takutlah jugak. “Emm, tak takut langsung.”

Hah, sudahnya aku jawab macam tu. Memang saja cari penyakit mencabar seorang lelaki. Terlajak taip boleh tekan backspace, terlajak kata, nak erase macam mana?

“Okey, awak cakap tak apa ni. Satu hari nanti, jangan salahkan saya, ya?”

“Emm, ikutlah…” selaku malas.

Sebenarnya aku teruja juga bila dia menelefon ni. Mulut ni ringan je nak tanya apakah itu cinta. Apakah itu rindu? Tapi, sebab penat, aku tunda dulu.

“Awak ni telefon nak apa? Esok kan saya jumpa awak lagi.”

“Oh, ni saya nak cakap ni. Esok budak-budak tak ada tau. Kita kena training untuk tournoment tu. Dah habis tournoment tu kita mula kelas balik.”

“Eh, maknanya esok saya dengan awak jelah, ya?” soalku kalut.

Usop ketawa. “Saya dengan awak jelah. Nanti nak hidup berdua jugak. Praktis dari sekarang…” Dia ketawa lagi tapi tak lama bila talian mati je terus.

Eii, apa Usop ni. Suka main-mainkan oranglah. Aku terus merungut tanpa sedar, aku tertidur akhirnya. Penat punya pasal.

***

BETUL Usop cakap. Hari ni, hanya aku dan dia saja je ada tapi buat seketika sebab lepas tu, ada seorang dua orang perempuan juga muncul. Seorang tu memang orang karate dan seorang lagi peneman dia je kot sebab aku tengok bergaya semacam. Tak pakai tudung macam aku juga tapi rambut dia berwarna-warni. Canggih tu.

Usop aku lihat melirik ke arah perempuan tu. Eleh, kata suka perempuan pakai tudung, tutup aurat tapi ni aku tengok nak terkeluar biji mata dia kerling perempuan yang baru saja duduk di tepi dewan.

Yang seorang lagi mendekat ke arah kami.

“Hai, Sop. Maaf aku lambat sikit. Banyak kerjalah hari ni,” ucap perempuan tu sambil mengangkat tangan pada Usop. Mesra tapi aku rasa mereka kawan je sebab kau aku, kan? Ni mesti kawan lama.

Dia memandang aku dan tersenyum. Mata ni tertancap pada tali pinggang dia ada dua dan. Maknanya kalah aku sebab aku baru satu dan baru aku perasaan, Usop juga dua dan. Calit emas yang menunjukkan tahap ilmu karate yang telah dia lulus. Patutlah dia selamba je angkat penumbuk kat orang lain.

“No hal la, Jun. Kami pun baru sampai ni.”

“Kami?” Perempuan bernama Jun tu dia jungkit kening pada aku. Dia kemudiannya jungkit kening pada Usop pula.

“Siapa?” tanya Jun berbisik.

Eleh, berbisik depan aku. Kuat pulak tu. Sah-sah aku dengar. Lawak lah diorang ni. Si Usop ni pulak tersengih-sengih garu kepala.

“Err, Jun… ni kenalkan Jelita. Lit, ni kawan saya masa sekolah dulu. Yang banyak tolong saya. Junaidah nama dia. Tapi, panggil Jun.”
Usop mesra memperkenalkan kami. Waa, childhood friend tu. Entah-entah ada apa-apa dua orang ni. Dah, aku mula menelah yang bukan-bukan.

“Err, Jelita. Panggil Lit je,” ucapku lembut sambil tersenyum.

“Junaidah… Jun je,” balas dia juga mesra.

Salam kami bertaut erat. Selepas beberapa saat, Usop dah mula mengajak kami semua berlatih.

Hebat juga Si Jun ni. Kalau sparring dengan aku, sah-sah aku yang kojol ni. Dahlah tinggi macam model. Entah-entah model kot sebab muka dia tu familiar je. Kat majalah kot. Ke dekat televisyen. Errr… entah. Sama tinggi dengan Usop.

“Kita ni bernaung bawah siapa ek?” tanyaku tiba-tiba.
Baru teringat. Biasa kalau nak masuk pertandingan ni, kami perlu bernaung bawah kelab mana-mana. Tak boleh main tibai masuk je.

“Hah, baru nak tanya?” Usop menyergah.
Jun ketawa kecil sambil dia melipat kakinya ke belakang.

“Terlupa nak tanya.” Aku buat alasan bodoh. Usop senyum dan Jun juga.

“Kita bernaung bawah sayalah. Ingat kelab saya ni cikai ke mentang-mentanglah saya ajar anak-anak yatim je. Kan Jun…” Usop angkat wajahnya pada Jun.

Huh, sabar jelah hati aku. Aku tak kata apa pun. Hati aku mendongkol geram. Malas lagi nak bertekak dengan Usop, aku zipkan mulut dan terus berlatih dengan Jun. Baik dan ramah orangnya. Selesa memang selesa bekerjasama dengan dia.
Lebih kurang sejam, aku dan Jun memang dah pancit.

“I dah pancit la Lit. Lama tak training. Tiba-tiba, Usop ajak masuk tournoment. Adeh..” Jun pegang pinggang dia dan aku ketawa kecil sebelum kami sama-sama duduk di tengah ruang.

Usop mendekat pada aku dan Jun. Bibir itu menguntum senyum. Lain macam je aku lihat senyuman dia kali ini. Senyuman gatal.

“Jun, siapa kawan kau tu?” Dia melabuhkan duduk di depan kami berdua.

Aku mengerling dia tajam. Aku tahu dia perasan tapi dia buat-buat tak tahu yang aku sedang jeling dia. Benci betul. Semalam kata suka aku. Hari ini dah tunjuk mata keranjang dia. Cepat-cepat aku teguk air mineral tu bagi hilangkan kepanasan hati aku ni.

“Shila nama dia. Seksi, kan? Junior aku tu. Model in the making. Macam aku ni, dah senior.”

Hah sungguh. Jun memang model rupanya. Tapi, aku tak ingat dalam iklan apa aku nampak dia. Dasyat Usop ni dapat berkawan dengan model padahal dia selekeh gila. Poyo gila dan hampes gila sebab main-main dengan hati aku. Dahlah janji dengan mama nak datang rumah kami nanti. Benci Usop, ucap hatiku geram.

Usop memandang aku dan tersenyum nipis. “Cantiklah dia tu Lit? Sesuai tak dengan saya?”

Aku sengih terpaksa. “Sesuai sangat. Nanti boleh awak belikan selendang tu untuk dia ya?”

Sengaja aku ungkit pasal dia nak belikan selendang untuk aku semalam. Tapi, Usop tetap tersengih je. Tayang wajah selamba dia lagi. Lepas tu dia alihkan pandangan pada Jun pulak.

“Jun, kenalkan aku.”

Jun angkat ibu jari. “Beres bos!!”

Mereka sama-sama ketawa tapi aku terus angkat tubuh. Panas telinga. Panas hati. Membara dah ni. Aku terus masuk ke bilik persalinan. Nak je aku hempas pintu ni tapi aku tahan je hati. Perlahan-lahan aku rapatkan daun pintu dan dengan rasa marah yang dah tak mampu aku kawal, aku terus benamkan buku limaku pada dinding simen tu.

Nak kata sakit, memang sakit. Pedih berdenyut-dengut. Luka memang luka. Siap berdarah tapi hati aku lagi berdarah. Tapi, bila fikir kenapa aku nak marah. Aku bukan suka Usop pun. Namun, hati aku sangatlah sakit bila dia cakap macam tu pada Jun lagi. Aku rasa nak cucuk je mata dia bila dia jeling-jeling pada Shila, kawan pada Jun tu.

Malas lagi dah nak berlatih, aku terus tukar baju aku. Mata ini tiba-tiba tertancap pada penyangkut baju. Selendang ungu muda tu dah tak ada kat situ. Aku yakin Usop dah ambil dan aku memang tak sudi kalau Usop belitkan selendang tu pada kepala Shila pulak.

Sudahnya, aku sumbat semua pakaian karate aku dalam beg galas, dah aku terus je berlalu keluar. Usop dan Jun memandang aku pelik.

Mereka sama-sama bangkit dan Usop meluru ke arahku. “Nak ke mana?” tanya dia beriak risau.
Aku jeling Usop setajam mungkin. Biar dia terbunuh kena renungan aku ni. Baru puas hati aku. Geram!!

“Saya tak sihat. Nak balik dulu. Nanti saya datang lain kali. Tak pun saya berlatih dekat rumah je,” ucapku dengan wajah yang menyeringai sebab tangan aku ni dah mula sakit menyengat.

“La, apa masalah pulak ni? Kan kita nak berlatih sama-sama ni. Awak bawah tanggungjawab saya, Lit.” Usop terus menghalang tapi aku cepat-cepat menggeleng.

“Saya tak boleh nak duduk sini, dengan jantan miang macam awak ni. Jantan yang memang mata keranjang tak cukup dengan satu,” luahku tiba-tiba.
Sebenarnya, aku pun tak tahu macam mana aku boleh berkata demikian hinggakan mengundang tawa Usop.

“Cemburu?” tanya dia.

Aku ketap bibir. “Tak ada makna nak cemburu pada awak. Siapa awak pada saya? You are nobody. Titik!” tekanku keras.

Dalam hati ni ada rasa lain. Rasa geram bila Usop bertanya tentang Shila. Cemburukah macam ni? Kenapa sakit sangat? Dan bagaimana pula peritnya cinta kalau betul cemburu pun begini sekali sakitnya? Maknanya, Kak Shima menipu aku. Aku tak nampak indahnya cinta tu.

“Cemburu, kan?” tanya Usop lagi tersengih-sengih.

“Sorry sikit brother. Kirim salamlah nak cemburu pada awak. Saya tak datang lagi sampai hari bertanding. Jangan cari saya. No emails, no calls, no SMS!” ujarku keras sebelum aku atur langkah.

Sempat aku lambai pada Jun yang nampak terpinga-pinga tu. Aku gariskan senyuman dan dia juga membalas biarpun senyum pada wajah cantik itu nampak janggal benar.
Belum sempat aku melangkah anak tangga pertama, Usop melelar pergelangan tanganku.

“Aduh!!” Kuat je aku mengaduh.

“Apa awak ni? Tangan saya sakitlah. Awak pegang-pegang ni, awak nak bertanggungjawab ke kat saya?” marahku meninggi. Airmata dah dekat nak mengalir dah sebab hal tadi.

Sakit hati tak habis lagi, ni sakit tangan pulak. Makin tengok rupa sememeh Usop ni, semakin sakit mata aku. Pendek kata, semua sakit!

“Tangan ni kenapa sampai darah meleleh?” tanya dia kasar.

Tangan kananku dia angkat tinggi. Benar darah meleleh. Aku sendiri pun tak sedar sebab terlalu marah dengan dia.

“Eh, berdarah la…” ucapku di luar sedar.

“Eh… berdarah la….” Usop mengejek aku dengan suara perempuan. Bila aku mencebik, dia menjegilkan matanya.

“Awak marah saya sampai tumbuk dinding, ya?” tanya dia.

“Kalau boleh saya nak tumbuk muka awak bagi pecah!”

Dia ketawa sinis. “Nak tumbuk saya sebab cemburu, kan?” tebak dia lagi.

“Eleh, tolong sikit. Simpan ayat awak tu ek. Karang elok-elok saya tumbuk dinding, muka awak pulak saya tumbuk!”

Aku rentap tanganku dari pegangan Usop tapi tak lepas. Cengkaman dia kuat betul.

“Lepaslah!” suruhku. Dia tetap begitu.

“Awak ni peliklah, Lit. Kata tak suka saya tapi bila saya nak suka orang lain, awak cemburu. Atau awak memang suka saya?”

“No way! Never! Biar tak ada lelaki dah dalam dunia ni, saya tetap tak akan suka awak!” tegasku marah.
Usop ketawa kecil.

“Tapi, saya dah pegang tangan awak tiga kali. Dah peluk awak dua kali. Awak rasa ada ke lelaki yang nak perempuan yang dah kena peluk?”

Dia dah mula buat perangai lagi. Aku mendekam geram.

“Tak ada orang nak pun tak apalah. Janji bukan awak!”

Usop menarik aku rapat padanya. Semakin aku bertahan, semakin kuat dia menarik. Wajah dia sudah makin hampir pada wajahku. Aku pula semakin kecut. Bila nafas hangatnya sudah menyapa wajah, aku lagilah kelu tak tahu nak buat apa. Lemah sendi. Kalau tidak Usop menggenggam tanganku, ada juga yang tergolek ke bawah ni.

Dia perlahan merapatkan bibirnya ke bibirku dan belum sempat dia singgah menyapa bibirku, aku cepat-cepat menolak tubuhnya kuat menyebabkan dia terdorong ke belakang beberapa tapak.

“Jangan kurang ajar dengan saya!” tempikku kuat sampaikan Jun pun keluar daripada ruang latihan.

“Jun kau jadi saksi aku dah kiss Jelita. Biar dia tak boleh nak bersama mana-mana lelaki dah. Biar dia tahu, aku je layak bertanggungjawab pada dia,” ucap Usop pada Jun.

Padahal tak sempat cium pun lagi. Dia ni memang suka buat aku tegang.

“Tak sempat pun lagi,” marahku lalu aku berlari turun dengan airmata berlinangan di pipi.

Sampai hati Usop buat aku macam ni padahal aku dah mula rasa hati aku berbisik tentang cinta dan nama yang ditukas hati adalah Usop! Benci Usop!

~~~> bersambung

Wednesday, January 25, 2012

Bila Nak Saksi? [9]

[9]

SEDANG ralit aku mengadap skrin komputer riba Acer Aspire Dark depan aku ni, ada yang mencuit bahu dan bila aku berpaling, ternyata mama tersengih je menayang giginya yang cantik dan tersusun. Biarpun usia sudah agak lanjut, namun itu gigi asli. Dia memang menjaga diri. Hai, staffnurse pencen la katakan.

“Lit buat apa? Tengah-tengah malam ni tak tidur lagi?” tanya mama seraya duduk di birai katil dekat dengan meja belajarku.

Mata ini menjeling kea rah jam di sisi meja. Emm, memang dah lewat malam. Dah melepasi angka dua belas. Biasa waktu ni, aku dah berbungkus dalam gebar tapi malam ni, ada projek lain sikit.

“Tengok jawatan kosong.”

Mama mengerutkan dahi. “Eh, kenapa tiba-tiba nak kerja pulak? Kan Lit tak habis lagi kontrak mengajar karate anak-anak yatim tu?” tanya mama.

Aku herotkan bibir. Malas sebenarnya nak bagi tahu mama pasal aku bergaduh teruk dengan Usop ni. Nanti tak pasal-pasal mama lagi banyak soalan. Dia bukan boleh kira. Tak nak jawapan berbentuk aneka pilihan. Nak semuanya jawapan esei. Jenuh aku nak mengarang nanti. Lepas tu tak nak yang bertulis nak secara lisan.

“Jelita binti JOhari.” Mama dah menyeru nama penuhku.

“Mama tanya ni. Kenapa?”

Aku tongkat kepala sebelah kiri lalu membawa mata aku ni memandang mama di sebelah kanan.

“Tak apalah. Lit mengajar pun sampai tiga bulan je,” ujarku.

Aduhai, ye ke tiga bulan? Bukan ke aku dah tak nak pergi mengajar lagi gara-gara aku bergaduh dengan Usop beberapa hari sudah? Macam mana ni ya? Hati nak pergi, tapi kaki ni terpaku pulak tak nak melangkah.

“Lagipun, kelas karate tu weekend je, kan? Weekdays Lit kerja, weekend mengajar karate. Tak ada masalah pun,” sambungku.

Huh, aku hela nafas lega sikit sebab tiba-tiba dah dah jumpa jawapan. Nasib baik sempat lipat. Kalau tidak, memang aku yang terlipat.

Mama mengangguk beberapa kali. “Tapi, tak penat ke? Tak ada rehat la nanti.”
Aku menggeleng.

“Abah cakap kerja kan semuanya penat. Lit okey je. Boleh tak ni Lit mohon kerja ni? Nak klik send dah ni.” Aku sengaja mengusik mama.

“Hantar jelah kalau itu yang Lit nak. Mama tak kisah sangat tapi kalau boleh…”
Hai mama ni. Tadi tak kisah. Aku baru nak tekan send ni. Nasib baik sempat brake jari aku ni dari terus menekan tetikus.

“Kalau boleh apa?” soalku sedikit menggesa.

“Kalau boleh mama nak Lit kerja satu bumbung dengan Abang Jeff. Tak adalah mama risau.” Akhirnya, mama luahkan juga yang dia masih risaukan aku.

“Mama… nak risau apa? Kan mama dah bagi kebebesan pada Lit. Lagipun, syarikat tu bukan Abang Jeff punya, kan? Tak ada apalah, ma. Lit kerja mana-mana pun sama je. Janji dapat duit. Tak ada pun, Lit sambung belajar, nak? Tapi, bukan kat Malaysia la. Luar Negara, boleh ke?”

Sengaja aku ugut mama nak mohon belajar kat luar Negara. Aku tahu dia memang tak bagi. Jadi, dia mesti bagi aku kerja kat mana-mana je.

“Eh, pandai ek nak ugut mama. Kalau sambung belajar, dalam Malaysia ya. Luar Malaysia, no no no…” Mama menggoyangkan jari telunjuknya di depan aku.

“Haa, dah tahu tak bagi, Lit nak kerja. Belajar tu lain kali sambung. Kerja dulu sikit cari pengalaman.”
Aku akhirnya tekan send. Ha, dah lega. Makna kata, kalau aku dipanggil kerja secepat mungkin lagi baik. Boleh aku buat alasan pada Usop yang aku dah dapat kerja.

“Esok ni nak pergi mengajar, tak tidur lagi ke? Karang lewat macam minggu lepas pulak.”

Gulp… Aku telan liur bila mama bertanya demikian. Ni tak lain tak bukan la ni, mesti nak ingatkan aku supaya ajak Usop datang rumah sedangkan aku dah lancar perang dengan Usop. Memang tak akan pergi dah ke sana biarpun rasa rindu pada anak-anak itu menggunung tinggi.

“Err, kejap lagi Lit tidur.”

Mama mencebik sikit. “Bangkit lambat nanti, padan muka.”

Dia bangkit dan terus berlalu ke pintu selepas mengucup pipiku sekali. Huh, lega. Mama dah lupa permintaannya beberapa hari lepas dan akulah yang paling suka. Tak perlu nak tunaikan permintaan pelik mama tu.

Tapi, silap percaturan la pulak bila mama terhenti di muka pintu. Dia melihat ke arahku dan aku tersenyum sumbing. Dah boleh agak dia nak cakap apa.

“Jangan lupa apa yang mama pesan tu, ya sayang.” Dia jungkit kening dan segera berlalu.

“Tak tidur lagi ke Lit?”

Aku dengar suara abah bertanya pada mama sebelum mama merapatkan daun pintu. Aduh, entah apalah yang mama akan cakap pada abah ni.

Aku mengeluh berat. Skrin komputer riba, aku pandang lagi. Rasa kosonglah pulak. Facebook? Entah, tak ramai kawan pun. Jadi, aku pergi menyemak emel yang baru saja aku dapat.

Bila aku klik, ternyata nama mamat senget tu ada. Usop Sontorian? Eh, dia ni agaknya baru daftar emel agaknya. Tapi, kenapa nama ni?

“Eh, betul ke Usop ni? Kalau betul, dia anak apa emel aku ni?” tanyaku pada diri sendiri sedang aku menanti emel dia dibuka.

Mataku bulat memerhatikan tulisan pada skrin. Memang dia. Ternyata dia dan bukan orang lain. Aku yakin dan pasti. Tiba-tiba, aku ketawa lepas. Lucu la Usop.

Jelita, minta maaf dah panggil awak jengkaut. Saya risau awak kena langgar, sebab tu saya marah. Saya bimbang awak dicuit orang, sebab tu saya tengking. Saya nak kita sama-sama berjalan ke syurga, sebab tu saya nak awak jaga apa yang sepatutnya awak jaga. Tapi, kalau tak boleh sekarang, esok-esok harap awak terbuka hati. Esok tolong datang, ya. Budak-budak rindu….

Usop Sontorian awak.


Habis saja aku baca emel daripada Usop, aku terus melompat ke atas katil dan gelak tergolek-golek. Gila dia ni. Bunga selekeh, ayat ganas tapi dalam hati ada taman orkid mama. Paling tak tahan, Usop Sontorian Awak? Awak maknanya aku?

Wa, tiba-tiba semangat nak pergi mengajar semula. Bila dia merayu macam ni, aku tak adalah jatuh air muka. Aku nak tengok, sejauh mana romantiknya dia esok hati ni. Aku takut malam-malam je dia lembut hati tambah-tambah pula bulan mengambang ni. Tengok-tengok esok, dia bertukar wajah lagi dan aku, perlu berwaspada mental dan hati.

***

SEPERTI biasa, masa aku tiba di tempat latihan Usop tiada. Dia suka macam tu. Hilang pada mulanya dan muncul dengan tiba-tiba. Lama-lama aku yang kojol bukan dia. Kalau aku dah nikah dengan dia waktu tu, rasanya betul dia yang menduda sebab aku mati terkejut.

“Kakak, terima kasih pilihkan buku-buku untuk kami.”

Aku beralih ke kiri. Membawa wajahku menghadap wajah Wahyudah dan beberapa kanak-kanak yang lain. Pandangan daripada mata yang penuh sudi itu aku renung jauh-jauh ke dalam bersulam sekuntum senyuman yang ku kira, mampu meresap ke dalam jiwa dia. Kat Usop pun aku tak pernah nak senyum macam ni. Bukan tak nak, tapi tak sempat. Asyik kena marah je. Mood senyum pun hilang.

“Sama-sama…,” jawabku.

“Suka tak? Sesuai ke dengan Wahyudah dan kawan-kawan yang lain?”

Mereka mengangguk serentak menjawab pertanyaanku lantas mereka memeluk aku serentak. Mujur tak tergolek sebab imbangan badan aku hampir hilang bila masing-masing menerkam.

Rasanya, kalau aku buka taska atau pusat jagaan, boleh cari makan juga ni. Boleh tahan aku mampu melayan karenah anak-anak ini.

“Sayang kakak…” Suara mereka bergema.
Yang lelaki pula bertepuk tangan macam menonton drama. Aku hanya membalasnya dengan senyuman.

“Kakak pun sayang kamu semua,” balasku agak kuat.

“Ehem… ehem…”

Dah. Tak tak payah pusing aku dah tahu siapa yang berdehem tu. Tak lain tak bukan la tu, mesti dia. Dia tu siapa? Jangan tanya aku!

“Semua tu termasuk saya ke?”
Pelukan kanak-kanak ini terlerai dan mereka terus masuk ke dalam barisan bila Usop memberi isyarat.

“Err, tak la. Awak berkecuali,” selaku pantas.
Dia senyum.

“Sudi pulak awak datang lepas kena marah dengan saya minggu lepas kan?”

Dalam hati aku, rasa nak luku je dia ni. Agaknya dia lupa kot, dia yang hantar emel pada aku merayu minta aku hadirkan diri juga ke sini hari ini. Budak-budak rindu konon. Entah-entah dia yang rindu.

“Eh, awak yang suruh datang, kan? Awak yang merayu-rayu, kan?” tanyaku geram.

Dia buat muka tak bersalah. Atau lebih tepat lagi muka tak tahu apa. Dia ni, memang nak kena. Dia memang nak berlakon lagi dengan aku. Sengaja nak naikkan darah aku yang baru saya susut ni.

“Eh, ada ke saya emel macam tu? Tak ada kerja saya nak emel awak merayu-rayu datang sini. Entah-entah awak tu haa… tak sanggup nak berpisah dengan saya tak?” tebak dia pepandai dia je.

“Ni nampak!!” Aku angkat penumbuk.

Budak-budak semua dah bantai gelak tapi tak lama bila Usop meletakkan jari telunjuknya ke bibir mengisyaratkan agar mereka semua diam.

“Nampak… itu penumbuk. Tapi, tulang awak tak kasar mana. Kalau kena pun mesti macam kena gigi semut je,” ucap dia mengada.

“Eii, dia ni. Kalau macam tu saya baliklah. Dah memang bukan awak, hantu agaknya.”
Aku dah mula jalan menghentak kaki ke simen bila Usop menarik lengan baju aku ditarik oleh Usop. Mujur tak tertelentang ke belakang. Dia ni memang tau!

“Dah, tarik orang kenapa?” tanyaku marah.
Usop angkat kedua belah tangannya tanda beralah.

“Maaf. Memang saya hantar emel semalam. Budak-budak rindu,” ucap dia separuh berbisik.
Bagaikan tidak mahu tersapa oleh telinga kanak-kanak yang sedang memerhatikan kami.

“Ulang sekali lagi,” pintaku sengaja mengenakan dia.

Dah alang-alang dia minta maaf ni, aku nak dia ulang beberapa kali. Baru aku puas hati. Aku menggariskan senyuman. Senyuman penuh makna. Senyuman jahat senang cerita.

“Haa.. tengok senyum awak saya dah tahu awak nak kenakan saya, kan? Nak suruh saya minta maaf berkali-kali, kan?”

Aduhai, tepat dan padat Usop menelah apa yang bermain dalam hati dan fikiran aku. Tiba-tiba saja, aku terbawa telapak tanganku ke dada.

Cik Hati, adakah Usop singgah di dalam hinggakan dia tahu apa yang kita bicarakan? Tanyaku pada hati sendiri. Haishh, tak boleh jadi.

“Say sorry… once again,” pintaku sambil memeluk tubuh.

Dia menggeleng. “Sekali je dah cukup. Saya marah awak sekali je…”

Eleh mamat ni. Pandai la dia sekali. Sejak aku bersua dengan dia ni, sudah berkali-kali dia marah aku. Dia ni memang amnesia.

“Siapa cakap sekali? Minggu lepas je dua kali awak marah saya. Sekali pasal nak kena langgar tu, lepas tu sekali lagi masa budak-budak lelaki tu kacau.”

Usop menggoyangkan hari telunjuknya di depanku.

“Haa, kalau macam tu dah cukuplah dua kali saya minta maaf. Karang saya minta maaf kali ketiga karang, saya buat kerja jahat yang lain pulak,” dalih dia.

“Erk, bila masa awak minta maaf lagi sekali tu? Tak dengar pun.”
Aku sengaja tekup telinga aku.

“Ada lah. Cuba ingat balik emel semalam apa yang saya tulis pada awalnya. Bukan minta maaf ke?” sindir dia lalu dia berlalu mendekat ke arah budak-budak ni.

Sudahnya aku kalah lagi dalam perdebatan dengan Usop. Asyik kalah je. Bila nak menang? Hati aku ketawa jahat. Kepala dah tumbuh tanduk. Satu hati nanti. One fine day. Usop akan merayu pada aku.

“Hah, apa lagi tu. Cepat sikit mulakan. Saya nak habiskan awal hari ni,” laung dia lalu aku cepat-cepat menghala ke arah budak-budak perempuan tu. Mulakan latihan.

Tapi, dia nak ke mana lepas ni? Rasa nak je teman, tapi tak nak jadi pipi tersorong-sorong kalau orang tak pelawa. Sudahnya, aku terus mulakan latihan.

“Okey, semua. Angkat tangan ke atas. Kita warm-up dulu sebelum mulakan latihan,” laungku agak kuat.
Semua kanak-kanak mengikut saja arahanku. Latihan hari ini agak berat kerana tubuhku rasanya sudah mampu meregang. Sudah mempu menerima asakan setelah lama bercuti.

Lebih kurang setengah jam berlalu, aku lihat Usop dah duduk tercungap-cungap di tepi dewan. Lembik. Aku mencebik melihatkan dia termengah-mengah selepas beberapa kali membuat aksi.

“Lit, berhenti dulu. Dah lama… kesian budak-budak tu,” laung Usop ke arahku memaksa aku menghentikan latihan.
Orang tengah syok-syok dia, dia suruh berhenti pulak. Aku kembali menatap wajah-wajah comel di depanku ini dan ternyata benar seperti kata Usop. Masing-masing sedang menghela nafas lelah.

“Err, penat ya?” tanyaku menahan rasa bersalah.

“Penat kakak…” sahut mereka serentak.

“Maaf… maaf.. silap kakak. Syok sangat mengajar. Okey… okey… kita rehat dulu. Nanti sambung balik ya.”
Mereka mengangguk lemah dan mereka berlari mendapatkan beg galas masing-masing. Aku lihat mereka menyelongkar beg galas dan terus menarik botol air keluar. Huih, dasyat budak-budak ni.

Aku menggeleng kecil. Bibir ini tidak lekang dengan senyuman bila melihatkan wajah lesu tadi bertukar ceria. Baru je aku nak berpaling, dah budak Usop ni ada pulak di belakang aku.

“Eh, kenapa awak suka muncul kat belakang orang hah?” Aku mengurut dada. Semput aku dibuatnya. Elok-elok selama ni sihat je, kenal Usop ni boleh dapat penyakit.

Dia sengih dan menggaru kepalanya. Dah la rambut panjang. Dari tadi tergaru-garu. Ada kutu la tu.

“Eh, sya tak suka kejutkan orang. Saya suka kejutkan awak je.”

Heh, menjawab dia ni. “Dah tu, saya ni bukan orang ke?” sinisku lalu aku berundur setapak dan melangkah ke sisi dewan. Menghampiri beg galasku.

Aku tahu, Usop mengikut jejak langkahku dan bila aku duduk, dia pun duduk juga di sisi aku dan seperti biasa, agak jauh.

“Awak bukan orang…” ucap dia masa aku nak teguk air.
Hah, apa lagi. Tersedak aku mendengarkan kata-kata Usop kali ini.

“Haa, ni mesti awak nak kata saya jengkaut lagi, kan?” tebakku geram.
Tapi, Usop menggeleng.

“Awak bukan jengkaut. Tapi, awak bidadari yang sangat jelita. Boleh terima tak jawapan saya tu?” tanya dia mesra.

“Tak boleh!” AKu menggeleng keras dua kali.

Usop buat muka. “Eh, puji salah, tak puji salah,” keluhnya.

“Eleh, awak tu. Puji la sangat. Ni mesti nak minta tolong apa-apa ni, kan?” Aku cuba serkap jarang. Kot-kot la betul apa yang aku agak ni.

“Mana ada. Saya ikhlas. Semalam kan dah tulis dekat emel,” sela dia tenang lalu dia teguk airnya dengan mata yang terbelalak ke atas.

Mataku merenung Usop tapi minda ini ligat memanggil semula memori yang terpahat sewaktu aku membaca emel Usop padaku. Aku ingat. Ingat sangat. Tapi, err… apa maksud dia?

“Err, apa maksud awak?” Aku dah mula tergagap-gagap.

Usop ketawa lepas. “Dah ingat ke?”

Kepalaku jatuh sekali mengiyakan. Rasanya tocang kuda aku ni pun ikut sama beralun bila aku menggerakkan kepala.

“Itulah maksud saya. Atau awak nak saya huraikan lebih lanjut?” soal dia lagi.

Aku menggeleng tidak, mengangguk jauh la sekali. Dalam hati aku nak je tahu jawapan dia. Harap-harap Usop sudi menyatakan hakikat. Aku memang nak dengar sebab detak hati aku ni dah rasa lain macam. Agak sumbang alunan rentaknya kala ini dan aku mahu hati Usop bergabung denganku menjadi irama hati ini merdu.

“Nak tahu tak?” tanya dia sekali lagi.

“Err… ikutlah. Nak bagi tahu saya dengar. Tak nak saya pun tak kisah.”
Huh, cepat je aku jawab takut pula Usop perasan akan perubahan tingkahku kala ini. Naya je kena bahan nanti.

Dia tersengih menampakkan susunan giginya yang tersusun rapat dan putih bersih. Tu ha, baru perasaan, dia ada gigi taring sebatang di sebelah kiri mulutnya.

“Okey, saya bagi tahu.” Dia diam seketika. Air mineral itu dia teguk lagi.

“Budak-budak tu rindukan awak. Tiap-tiap hari dok tanya saya.” Dia juihkan bibirnya sedikit ke arah kanak-kanak yang sedang berehat itu.

“Tahu dah. Awak dah bagi tahu dalam emel semalam?” selaku malas lalu aku suakan muncung botol airku ke mulut. Meneguk air putih itu perlahan-lahan bagi menghilangkan dahaga.

“Tapi, saya lagi rindu awak. Lebih dari budak-budak tu rindukan awak,” sambungnya separuh berbisik.

Bush… Tersembur air yang berada di dalam mulutku. Aku terus berpaling pada Usop.

“Apa awak cakap tadi?” tanyaku selepas berdehem beberapa kali.

“Saya rindukan awak lebih dari budak-budak tu rindukan awak,” ulang dia.

Aku genyeh mataku berkali-kali. Serius tak percaya. Betul ke dia Usop yang suka menengking dan memarahi aku selama ni? Betul ke dia Encik Timbang dekat Parkson yang suka sindir-sindir aku selama ni?

“Betul ke awak ni?” tanyaku di luar sedar.

“Ya, sayalah ni. Usop Sontorian awak,” akuinya telus.

Makinlah aku sukar hendak mempercayainya. Usop Sontorian awak? Awak? Maknanya aku? Eh dia ni, jangan main cuit-cuit hati aku. Tapi, bila dia berkata begitu, aku teringat pula pesanan mama. Agaknya inilah jawapan yang mama nak berikan pada aku sampai dia nak aku jemput Usop datang rumah. Itu pun, aku segan nak jemput. Baru nak buat-buat lupa. Tapi, kalau betul buat-buat lupa, tu kira menipu tak?

Haih… buntu. Apa nak buat ni bila seorang lelaki berkata macam ni pada aku? Nak telefon Kak Shima lah. Nak tanya, apa dia buat bila Abang Jeff luah perasaan pada dia dulu. Pantas je tangan aku menyelongkar beg galas hendak mencari telefon bimbit.

“Eh, nak buat apa telefon tu? Nak telefon abang awak ke?” tanya dia pelik.

Aku menggeleng. “Nak telefon kakak ipar saya. Nak tanya dia nak jawab apa kalau ada lelaki cakap macam ni.”
Tu ha, terus terang lagi bersuluh aku beritahu Usop apa yang aku rasa. Dia bantai gelak.

“Lit…,” seru dia sambil menarik telefon bimbitku dari tangan. Tak sempat aku nak elak.

“Nak telefon tanya tu je ke? Kenapa tak tanya saya sendiri?” Dia masih lagi dengan sisa tawanya.

“Err..” Dah sudah. Aku dah kelu. Ya Tuhan, apa nak buat ni?

“Lit, jawapan dia senang je. Sebab saya suka awak, senang kan?” Usop mengakui perasaan suka dia padaku.

“Err, maknanya awak marah saya selama ni sebab awak su…”

“Ya,” pangkas dia belum pun sempat aku menghabiskan ayatku. Dia ni, suka potong jalan betullah.

Masa ni, aku rasa wajah aku dah jadi macam wajah Abang Jeff. Wajah tebal tapi aku tebal kerana malu bukan tak malu. Bagaikan berada di tengah-tengah rumah, menghadapi akad pula. Malu-malu pengantin.

“Kalau saya kata saya cinta awak, awak percaya saya tak Lit?”

Aduhai. Aku rasa nak terbang je balik rumah waktu ni. Aku nak menyorok bawah gebar aku. Nak tutup muka aku agar dunia ni tak nampak yang aku memang sedang menahan malu dek soalan Usop ni.

Tanpa sedar, aku menggeleng. Padahal hati suruh angguk, tapi akal aku lebih cepat bertindak memaksa aku menggeleng. Aku dengar keluhan kecil dari bibir Usop tapi wajah itu tetap tersenyum nipis.

“Kenapa tak nak percaya?” tanya dia tidak puas hati.
Aku ketawa sikit. Ketawa buat-buat.

“Lepas apa yang awak buat pada saya, awak nak suruh saya percaya?” Hah, berani aku menjawab tanpa melihat ke arah dia yang memang sudah jelas melihat pada sisi wajahku.

“Lagipun, awak kata awak dah ada awek kan? Awak kata nak bagi selendang yang saya buang tu pada awek awak, kan?”
Masa ni, hati aku ni terguris juga sikit bila mengingatkan perkara ini. Selendang kepunyaanku bakal menjadi milik gadis lain.

“Oh pasal tu….” Usop meleretkan kata lalu dia menarik beg galasnya yang ada di belakang.

Perlahan-lahan dia tarik keluar sesuatu benda dari beg galas dia tu dan mataku hampir terjojol keluar melihatkan kain berwarna ungu muda itu. Selendang aku.

“Ini awek saya.” Dia mendekat padaku dan terus saja dia tebarkan selendang itu di atas kepalaku.

Tanpa risau aku memarahinya, dia terus melilit selendang itu dua kali menjadikan aku Hana Tajima Malaysia. Kecut jantung aku waktu ini. Kejur badan rasanya menerima tindakan Usop.

Setelah itu, dia keluarkan telefon bimbitnya dan terus saja… klik… dia tangkap gambar aku. Berpinar-pinar mata aku ni menerima cahaya dari kamera dia tu.

“Cantik… sangat cantik…,” puji dia sambil menunjukkan skrin telefon itu padaku.

Aku telan liur berkali-kali. Hilang kata-kata. Lemah jiwa. Resah hati. Gundah gulana. Aduhai, apa yang dia maksudkan sebenarnya?

“Awak ni… errr kenapa sebenarnya?” tanyaku tidak yakin dengan dia.

“La, saya tunjuk gambar awek saya. Tak puas hati ke?” Dia sengih lagi.

Bila dia tunjukkan sekali lagi gambar aku yang sudah menjadi penghias skrin telefon bimbitnya, baru aku sedar yang kepala aku ni dibelit selendang yang Usop pakaikan tadi. Cepat-cepat aku tarik tapi tangan Usop lagi cepat menahan.

Kelu lidahku bila dia bertindak demikian. “Don’t!”

“Tapi…”

“I said don’t! awak jelita dan akan bertambah jelita andai awak bertudung macam ni,” ujarnya semakin lembut mendayu.

“Kecantikan seorang wanita tu, hanya untuk dipersembahkan pada seorang suami je, Lit,” gumamnya lagi namun jelas menyapa telingaku.

Aku kelu lagi. Sudah tidak tahu hendak menjawab apa kali ini. Sudahnya, aku biarkan saja selendang itu terlilit di kepalaku biarpun sangatlah selekeh.

“Lit…,” seru Usop bila kami sama-sama diam setelah seketika.

“Emm..”

“Saya cin…”

Hah! Telefon bimbitku di tangan Usop berdering lagu Dadali. Jiwang tapi, ikut suka akulah muzik aku. Cepat-cepat aku tarik dari tangan Usop. Dia nampak terpinga-pinga dengan ayat yang belum sempat dia sudahkan.

“Mama saya,” beritahuku pada Usop lalu aku lekapkan telefon bimbit ke telinga.

“Ya, ma. Lit kat tempat latihan ni,” beritahuku pada mama.

“Lit ingat apa mama pesan, kan? Ajak dia kot-kot dia sudi,” suruh mama.

“Errr…” AKu pandang Usop yang nampak kecewa sikit.

“Dia sibuk la ma. Nantilah Lit bagi tahu, ya. Mama, Lit sibuk ni, nanti Lit balik awal sikit.” Aku cepat-cepat matikan talian tapi tak lama kemudian, mama hantar pesanan ringkas pula.

Aduh mama ni. Kacaulah pulak. Orang nak dengar Usop nak cakap apa ni. Tapi, aku tekan juga OK menatap pesanan ringkas mama.

“Alamak, tournament!” AKu tepuk dahi bila mama mengugut hendak menarik balik keizinan aku dari menyertai pertandingan andai aku tidak mengajak Usop ke rumah. Mama ni, suka main helah sejak akhir-akhir ni.

“Saya dah hantarkan borang untuk kita,” sela Usop selamba.

Aku pandang dia pelik. Raut dia dah kelat. Kan aku dah cakap. Dia memang macam iguana. Suka berubah warna tapi dia suka berubah mood.

“Eh, saya tak isi lagi.”

“Em, saya isikan dah. Tinggal bertanding je nanti.”

“Tapi, detail saya awak tahu ke?” Aku dah mula rasa curiga. Entah-entah dia memang spy tapi saja nak nak mengaku.

“Awak intip saya, ya?” Aku merenung dia penuh curiga.

“Tak ada masa. Saya letak je nama awak. Senang. Jelita binti Johari,” jawab dia lalu dia bangkit dan menyapu belakang seluar dia.

“Eh, nak pergi mana?”

“Kelas dah tamat. Awak boleh balik. Saya pun nak balik rehat. Penat. Orang nak cakap tak dan habis, dia sibuk dengan benda lain.” Usop merungut-rungut sambil berjalan ke arah budak-budak tu.

“Okey semua. Jom berkemas. Kita balik. Abang ada hal sikit. Kita tamatkan kelas awal,” laung Usop.

Eh apa kena dia ni? Nak cakap, cakaplah. Dah mama telefon, aku jawablah. Nanti mama risau. Nampaknya memang betul-betul kena buat-buat lupa la pasal ajakan mama tu. Nak tak nak, borang dah hantar. Aku masuk la juga pertandingan tu nanti. Pujukku pada diri dan terus aku bangkit menggapai beg galasku dan menuju ke bilik persalinan.

Alang-alang dia kata kelas dah tamat, aku jalan dulu. Lagipun, kenapa kena fikir nak bagi alasan dekat mama, kenapa tak ajak Usop.

Selepas siap menukar pakaian, aku terus saja keluar daripada bilik persalinan itu dan rasanya aku ada tertinggal sesuatu. Tapi, tak perasaan apa dia. Jadinya, aku terus melangkah ke bawah bila semua orang termasuk Usop sudah lesap.

Baru saja tiba di bawah, aku dikejutkan oleh Usop pulak bersandar pada dinding bangunan.

“La, kata nak balik awal?” tanyaku.

“Eh, dah hilang selendang? Emm.. tak apalah. Saya nak ajak awak keluar ni.” Jujur je dia ajak aku temankan dia.

“Nak pergi mana? Kata kelas dah tamat. Ni nak ajak saya lagi.” aku sebenarnya takut hendak keluar dengan dia. Takut kena marah macam minggu lepas.

“Saya kerja shift siang dekat Parkson hari ni. Temankan,” ajak dia lalu dia menapak terlebih dahulu meninggalkan aku yang termangu sendiri.

"Lagipun, saya cakap kelas je tamat. Masa awak dengan saya masih panjang," sambungnya.

“La, nak temankan awak kerja ke?” tanyaku setelah aku berjaya menyaingi langkahnya.

Usop mengerling ke arahku sekilas. “Ada la nak buat benda lain lagi,” jawabnya.

Aku? Terasa sangatlah pelik dengan dia. Apalah rahsia lelaki ini sebenarnya?

~~> bersambung

Friday, January 20, 2012

Bila Nak Saksi? 8

[8]

MATA lelaki Cina separuh umur itu tajam merenung ke arahku yang sedang menitiskan airmata. Sudah hampir teresak-esak sebenarnya. Takut usah digambarkan dengan kata-kata. Buatnya terjadi apa-apa pada Usop, aku tak mungkin maafkan diri.

“Sorry lah, encik. Dia tak sengaja tadi. Buku-buku dia jatuh,” ucap Usop pada lelaki Cina itu. Dia tersengih-sengih nak meraih simpati lelaki Cina ni agaknya.

“Hey, solly solly….,” rungut lelaki Cina ini.

“Lu ingat solly lu olang itu ar boleh bikin dia tak mati ke kalau kena langgar sama gua tadi?” tanya dia kasar dalam pelat dia.

“Ala, tak apalah. Bukan kena pun,” sela Usop pula.

Lelaki Cina itu bercekak pinggang. “Itu memang talak kena woo tadi, tapi kalau kena ar, wa mampus wo.”
Kali ini Usop pulak bercekak pinggang. Aku rasa dia nak mula nak marah lelaki Cina depan kami ni. Aku pula memang sejak daripada tadi bersembunyi di belakang Usop. Nasib baik aku ni tak lah besar mana. Terlindung la juga oleh susuk tubuh Usop ni.

“Eh, apek. Gua dah say sorry to you tapi lu masih marah-marah. Kalau langgar, langgar la. Lu apa mau risau. Bukan lu langgar dia, lu langgar gua sebab gua hadang dia. Lu jangan risau la, apek. Kalau lu langgar gua pun tak ada siapa nak saman lu la sebab gua ni tak ada family. Lu jangan cari pasal kat sini ar, apek. Gua dah minta maaf lu banyak cerita haa…” Usop sudah mula meninggikan suaranya.

Aku pula yang kecut. Berbeza benar wajah bila si penyabar marah ni.

“Err, Usop awak janganlah mengamuk kat sini.” Aku cuba memujuk dia tapi dia hanya menjeling tajam padaku.

“Itu amoi ar…”

“Wei, apek. Lu jangan nak tuding-tuding jari dekat bini gua. Sekali gua bagi ni kat mula lu, lu yang terlantar dekat HTAA sana. Orang dah minta maaf, lu bikin kecoh ya?” marah Usop agak kuat.

Melihatkan Usop yang sedang mengangkat penumbuknya, lelaki Cina itu terus berlalu ke arah keretanya dan dia terus memecut laju.
Aku pandang Usop dan tersenyum. Sebenarnya nak ketawa, tapi aku takut sebab dia masih berwajah cemberut.

“Apa senyum-senyum?” tanya dia sambil merampas buku dari tanganku.

“Senyum pun tak boleh,” selaku perlahan.

Entah bagaimana hendak aku gambarkan perasaan aku kala ini. Rasa lucu bila Usop mengakui aku isterinya. Hati rasa berbunga je. Rasa macam taman bunga atau musim bunga dalam hati ini dan Usop tak boleh tahu.

“Suka ke saya mengaku awak bini saya?” tanya dia sinis.

Erk, aku telan liur berkali-kali. Bulat mataku rasa tercekik air liur sendiri. Aku rasa, Usop ni amalkan ilmu sihir sebab semua yang terlintas di hati aku, dia dapat teka dengan tepat.

“Eleh, mana ada. Pandai je awak ni spekulasi,” dalihku.

“Emm, baguslah kalau tak ada sebab saya pun tak lalu nak buat bini perempuan cuai macam awak ni. Tak pasal-pasal kahwin sebulan dah jadi duda saya. Mata letak dekat lutut!”

Aku telan liur. Itu ha, dah pandai nak mengutuk aku. Aku ingatkan tadi, dia juga suka, rupanya dia memperli aku lagi. Memang nak kena.

“Nak doakan saya mati cepat nampak?” tanyaku kasar.

“Mati tu bukan kerja saya. Saya tak doa, saya cuma cakap. Doa dengan cakap ni lain, Cik Jelita. Jangan rupa dan nama je jelita, tapi otak jengkaut. Main terima je, tak nak tapis, tak nak cerna,” bidas dia lagi.

Eleh mamat ni. Aku memang dah dibadai angin satu badan. Sudahlah aku menolong dia, dah jadi macam ni dia nak marah aku lagi. Ingatkan nak pujuk, tapi dia melengking lagi ada.

“Eh, yang awak nak marah-marah saya ni kenapa? Ada saya suruh awak tolong saya tadi? Ada saya suruh awak hadang tubuh saya tadi? Ada ke saya paksa awak marah apek tu tadi? Ada?” tanyaku geram.

Semuanya ada. Sebab memang tak ada yang tak ada. Semuanya ada. Disebabkan Usop, semuanya ada. Sampaikan hati aku ni pun dah jadi macam taman orkid mama. Berbunga setiap kali menyeru nama Usop tapi sayang, baru nak kembang, Usop dah cantas.

Padahal, aku ni sebenarnya nak menangis sebab tu aku buat-buat garang. Malu juga bila Usop menyergah. Mama, abah dan Abang Jeff pun tak pernah sergah aku macam ni. Yalah, selama ni berkepit je dengan keluarga. Dah terbang sendiri ni, ada pula yang sudi menemani dan lengkap dengan pakej marah sekali.

“La, kenapa tak cakap tak bagi saya tolong? Kalau awak cakap tadi kan senang. Okeylah, semoga awak selamatlah ya, Cik Jengkaut!” Dia jegilkan matanya padaku.

Jengkaut dia panggil aku. Ini memang tidak adil. Aku rampas kembali buku-buku dari tangannya dengan kasar.

“Okey, lepas saya hantar buku-buku ni kat budak-budak tu, awak jangan ingat saya nak jumpa awak lagi, Usop Sontorian!” balasku keras lalu aku menapak laju.

“Apa awak panggil saya?” tanya Usop setelah dia berjaya membuatkan langkahku mati.
Aku tahu Usop nak ketawa tapi dia tahan je. Bahu dia nampak bergetar tadi wajah itu muram dan tajam renungannya.

“Usop Sontorian! Kenapa? Marah?”

Dia menggeleng. “Nak marah kenapa sebab awak salah. Ada ke gigi saya ni macam Usop Sontorian tu?” Tanya dia sambil sengih tayang giginya yang putih dan tersusun rapat itu dekat padaku.

“Eii.. busuk! Tak gosok gigi!”

Aku kembali melangkah tapi Usop terus menahan langkahku dari terus maju. Sudahlah di tengah-tengah terik mentari, bergaduh pulak tepi jalan raya. Mujurlah orang tak berapa ramai, andai tidak… free show!

“Kenapa awak ni?” tanyaku geram.

“Tak puas ke awak nak buat saya marah, hah? Tadi panggil saya jengkaut? Buruk sangat ke nama Jelita tu? Dah ni nak halang jalan orang pulak.”

Usop ketawa kecil tapi ketawa yang dibuat-buat sebelum dia matikan tawa itu lalu di rampas buku-buku di dalam pelukanku.

“Ini buku saya. Masa bonus yang awak sedekahkan tadi tu dah tamat. Tak payah buat amal jariah dekat saya lagi. Awak boleh balik dan minggu depan, kalau kata tak nak datang ikut suka awaklah. Awak tak ada, saya boleh je hidup dengan budak-budak tu,” jawab dia bertambahlah menyakitkan hati aku ni.

Ya Tuhan dia ni. Nak je aku tangankan dia. Tangan aku ni ringan je. Tapi, disebabkan dia lagi tinggi dari aku, aku diamkan saja tangan aku ni. Nanti elok-elok tak berlanggar dengan kereta tadi, mata aku lebam kena tumbuk oleh Usop.

“Oh, berlagak ya?” Aku mengangguk beberapa kali.

“Sikitlah. Kalau dengan orang macam awak ni, memang kena berlagak sikit. Oh nak jawab soalan awak tadi, memanglah kalau dengan awak kena je nama tu, tapi kalau perangai ni…” Dia memandangku dari atas ke bawah dan sebaliknya.

“…memang sesuai je gelaran jengkaut tu. Nanti balik pergi tukar nama, ya? Kalau keluarga awak tanya, cakap saya yang hadiahkan nama tu pada awak!” Dia terus menyindir dan terus saja berlalu menuju ke Kompleks Teruntum meninggalkan aku terkulat-kulat sendirian.

Bila difikirkan, elok saja aku dilanggar kereta tadi. Sakit tubuh, boleh baik tapi sakit hati aku ni, semakin menjadi-jadi pula. Ingatkan dah menolong tadi, ada la sisa belas nak tanya okey ke, K.O ke, tapi sudahnya aku pula kena marah.

“Eleh, benci awak Usop Sontorian,” ujarku biarpun aku tahu Usop tidak mampu mendengarnya.

Aku merengus kasar dan berpatah balik menapak ke arah perhentian bas, tepat di depan Parade. Ada pula dua orang lelaki di situ. Sejak dari tadi melihatku. Naik rimas rasanya. Dengan rambut yang lepas bebas dihembus angin ni, aku rasa nak menjerit je.

“Jangan harap nak datang lagi minggu depan. Kau carilah pengajar lain yang lebih hebat dari aku ni. Yang boleh layan budak-budak tu macam aku layan.”

Aku terus mengomel sendiri. Geramnya hati, payah nak luah dengan kata-kata. Ada pula batang pisang abah yang masih tinggal sebatang tu jadi mangsa aku nanti.

“Hai, cik adik… bercakap dengan siapa tu?”

Aku berpaling, salah seorang lelaki tadi menegurku. Paling tak tahan, ‘cik adik’? Aku rasa nak gelakkan je. Walaupun aku ni tidaklah arif tentang cinta, namun panggilan cik adik itu rasanya sudah berkepuk ditinggalkan orang. Memanglah orang asli agaknya mereka berdua ni.

Aku buat tak layan. Menjeling pun tidak tapi dari sipi-sipi, memang sah dia orang asli. Rambut dia kerinting, kulit juga kelabu. Tapi, apa nak kisah. Anugerah dan kejadian Tuhan kan, tapi tolonglah… rayuku di dalam hati.

Tolong jangan ganggu aku. Aku tengah mendidih ni. Karang, muka dia pulak aku gantikan jadi batang pisang abah.
Aku tarik telefon bimbit berwarna pink terang dari poket seluar. Aku tekan papan kekunci beberapa kali dan terus aku tekan OK.
Merayu Abang Jeff datang menjemputku bila mama sudah memberikan arahan yang aku perlu menanti abang aku tu datang. Bila tu? Aku kena tunggu je, sebab dia suruh tunggu. Haih…

“Sombonglah dia…”
Kali ini aku berpaling sembilan puluh darjah dan ternyata, dua orang mamat ni dah dekat berada di belakang aku.

“Cantik rambut dia…,” puji salah seorangnya pula.
Siap main cuit-cuit lagi rambut aku ni ha. Aku tarik semula rambutku dan aku sudah berpaling bercekak pinggang pada mereka.

“Eh, apa ni? Siang-siang buta nak kurang ajar dengan perempuan? Tak ada budi bahasa ke? Orang mana ni? Orang Malaysia ke orang Marikh ni?”

Mataku tajam merenung mereka. Aku memang menahan marah dari tadi. Dahlah marahkan Usop, alang-alang ada yang sudi tadah muka, memang aku cepuk je nanti mamat berdua ni.

“Mak… garangnya dia.”

Aku hampir nak tergelak dengan mereka panggil mak. Nak mengorat tapi panggil mak. Apalah?!

“Mak tak ada kat sini. Tapi, cik manis jelita ni ada. Boleh kami teman.” Yang seorang lagi pula semakin galak.
Aduhai, memanglah nama aku Jelita. Kau tak payah puji, memang aku ini adalah jelita. Ujar hatiku geram.

“Eh, tepilah.” Aku menepis bila mereka semakin galak menyentuh rambutku.

Bila aku hendak berlalu, mereka menahan. Yang peliknya, ada yang memandang tapi agaknya mereka ingatkan aku dan mamat berdua ni tengah buat penggambaran kot. Langsung tak ada insentif nak menolong.

Pelik aku masyarakat sekarang. Padanlah mama dan abah serta Abang Jeff melarang aku keluar bersendiri selama ni. Yang Usop pulak, haihh… tak nak sebut nama dia lagi.

Aku terus melangkah hendak berlalu dari situ tapi tangan mamat asli tu masih ringan hendak menyentuh rambutku dan bila si perengus marah, aku angkat penumbuk tapi belum sempat aku tumbuk, aku tengok wajah lelaki tadi menyeringai.

Aku renung tangannya yang kemas di genggaman… Aku pandang pula wajah yang ada di sisiku kini. Ternyata dia. Wajah itu merah. Cengkaman tangan kasar itu pada jemari lelaki tadi rasanya semakin kuat kerana wajah mereka berdua semakin berkerut.

“Tangan ni Tuhan bagi suruh buat kerja yang elok. Bukan usik perempuan macam ni. Kau orang berdua tahu tak siapa perempuan yang kau orang usik ni?” tanya dia tenang tapi penuh ketegasan.

Wajah mamat asli tadi semakin kalut bila Usop mendekatkan wajahnya ke arah mereka. Memanglah Usop ni tinggi. Lelaki-lelaki ini hanyalah separa dagunya saja. Sementelah aku ni, hanya takat dadanya kot. Tak sempat nak ukur.

“Maaf, bang. Kami tak buat lagi,” ucap mereka hampir serentak.

“Minta maaf pada kakak ni,” arah Usop seraya melepas cengkaman pada lelaki itu.

Mereka sedikit tunduk dengan wajah yang takut.

“Minta maaf, kak,” pinta mereka dan terus berlari meninggalkan aku dan Usop di sini.

Aku menguntum senyum bila merasakan Usop memang sengaja kembali. Risau denganku barangkali.

“Hah, kenapa senyum?” sergah dia.

Aku terkejut namun senyumku semakin melebar. Rasa nak jerit kuat-kuat nak cakap pada dunia, Usop suka aku biarpun hakikatnya jauh panggang dari api.

“Awak kenapa, hah? Suka sangat ke lelaki tu pandang awak, usik awak macam tu?” Pertanyaannya membuatkan senyumku tawar dan wajah ini berkerut seribu.

“Kenapa cakap macam tu pulak?”

“Dah tu, senyum meleret je. Awak suka sangat ke lelaki tu usik rambut awak ni?” Usop rentap sedikit rambutku.

“Aduh, pedihlah. Kenapa nak tarik rambut saya?” Aku memarahi dia.
Usop senyum sinis.

“Oh, pedih? Tahu pulak pedih? Awak tahu kan, kena bakar api neraka nanti lagi pedih berjuta kali? Tapi, ni bagi je jantan tu sentuh awak sana sini,” bebel dia.

Aku telan liur. Kelopak mataku terasa suam. Rasanya aku sudah mahu menangis. Mama sendiri pun tak pernah menegur aku begini. Mama juga mahu aku bertudung tapi tidaklah sampai begini cara dia menasihatiku dan aku tidak pernah membiarkan sesiapa pun menyentuh kulitku.

Rasanya, Usop sudah melampau dalam berkata-kata. Andai dia ingat aku hanya mampu menerima, dia silap.

“Siapa awak nak cakap saya suka lelaki usik saya, hah? Bila masa saya bagi mereka tu usik saya, hah? Mulut tu jaga sikit?” marahku.

Sekali lagi, Usop menghadiahkanku sekuntum senyuman penuh sinis. Dia menyeluk poket jeans lusuhnya.

“Tadi tu, bukan kena usik ke?” tanya dia.

Aku ketap gigi. “Dia orang pegang rambut je kot dan saya pun marah. Awak kalau tak nampak jangan pandai-pandai nak tuduh saya?”

“Hah, pegang jugak!” sela dia mengejek.

Aku dah bercekak pinggang. Geramnya aku pada Usop ni.

“Kalau dia orang pegang rambut pun, apa awak kisah? Saya ni amanah awak ke? Keluarga saya suruh awak jaga saya ke? Saya ni isteri awak ke?”

Usop meraup wajahnya yang nampak tegang. Aku tahu dia sedang marah padaku tapi aku juga marah pada dia. Bukan salah aku. Tapi, aku yang kena. Ingatkan dah ditolong kali kedua ni, lain ceritanya. Tapi, bertekak jugak kami akhirnya.

“Memang awak tu amanah saya tau. Selagi awak berkhidmat pada saya, saya wajib menjaga awak. Selamat pulang pada keluarga tanpa kesan calar sikit pun. Ini lagilah nak tengok orang cuit sana sini. Eh, Jelita…” Usop menyeruku kasar.

“Saya kalau nak isteri, biarpun saya ni anak yatim… saya tak nak perempuan yang dah kena cuit sana-sini. Walaupun pada hujung rambut je. Hak awak ni…” Dia melarikan jari telunjukku ke seluruh tubuhku.

“… untuk saya je nanti kalau betul saya dah sah jadi suami awak, faham?! Jadi, jagalah sebaiknya. Tak kisahlah, siapa lelaki tu nanti. Ini tidak, ada selendang beli, kotor sikit buang. Lepas tu biar je rambut tu terbang sana sini. Ingat cantik ke? Macam jerangkung dekat bus-stop, tau tak?” herdik dia padaku.

Tubir mataku semakin sarat dengan airmata. Rupa selekeh Usop pun aku dah nampak kabur dia tapi dia selamba je bagaikan tiada perasaan setelah memarahiku.

“Awak tak ada hak nak marah saya macam ni, Usop,” tegurku dengan suara yang bergetar.
Dia sekali lagi meraup wajahnya. Ada keluhan kecil yang terbit dari bibirnya sebelum dia memandangku kembali.

“Saya tak maksudkan macam tu tapi tolonglah Lit. Tolong saya dengan jaga diri sendiri,” ujarnya lagi dengan suara yang kembali rendah.

“Abang awak dah sampai kot. Saya balik dulu.”

Usai berkata demikian, dia terus berlalu dan aku terus saja mengalirkan airmata melihat kelibat dia hilang di selekoh dan serentak itu, telingaku menangkap bunyi hon. Bila aku berpaling, ternyata benar kata-kata Usop, kereta Honda City hitam metalik milik Abang Jeff berhenti tepat di depanku.

Aku cepat-cepat sapu sisa airmata di pipi. Eh, macam mana dia tahu kereta Abang Jeff sedangkan semalam, Abang Jeff jemput aku dengan kereta abah?

“Lit, hop in. Cepat sikit,” suruh Abang Jeff setelah dia menurunkan cermin kereta di sebelah Kak Shima.

“Lit tengok apa tadi?” tanya Abang Jeff setelah dia mulakan perjalanan.

“Err,…”

“Usop ke?” jawab Kak Shima bagi pihakku.

Rasa macam ada setiausaha kalau dengan Kak Shima. Tak sempat aku nak jawab, dia jawab dulu. Senang, kan? Jimat air liur lagipun aku dah tak ada mood nak bercakap. Rasa balik ni, nak peluk mama je.

“Usop yang mengajar sama-sama dengan Lit tu ke?” Abang Jeff bertanya lagi.

“Eh, yalah abang ni. Yang sama-sama dengan Lit la. Kan Lit kan?”

Aduh, letih aku dengan laki bini dia. Sebut laki bini ni… teringat pula kata-kata Usop. Macam betul je dia nak jadikan aku isteri dia sampai macam tu sekali marahnya sedangkan dia buat perumpaan je. Seriau aku memikirkannya.

“Emm, dialah,” jawabku malas lalu aku memejamkan mata bila aku lihat abang dan kakak ipar aku ni masing-masing bertutur bahasa mata. Telepati la konon. Benci!

***

PETANG yang tak berapa nak mendamaikan sebab langit gelap. Sekejap lagi pasti hujan sebab aku lihat awan hitam dah berarak di langit yang mendung.

Aku hanya duduk sendiri di atas bangku simen, di taman orkid mama. Bosannya. Beberapa hari lagi hari minggu lagi. Perlu ke aku ke sana selepas beria-ia tidak mahu ke sana lagi.Ada rasa bersalah bila aku katakan, tidak sudi lagi hendak membantu Usop menguruskan kelas karate anak-anak yatim tu.

Apalah singkat sangat pemikiran aku? Agaknya betullah kot, Usop cakap aku ni macam jengkaut. Main kaut je tapi tak pernah nak cerna.

“Hai… nak pergi tak ni? Pergi karang malu sendiri je dekat Usop ni,” ujarku sendiri.

“Anak mama ni, Usop je sejak akhir-akhir ni.” Mama menegur tiba-tiba.

Aku berpaling dan dia sudah merapati bunga orkidnya.

Dibelainya bunga-bunga yang kembang elok itu sebelum beralih kepada pasu yang lain pula. Bila sunyi tanpa Kak Shima dan Abang Jeff, hanya mamalah teman aku kat rumah ni.

“Emm… entahlah ma,” selaku malas.
Lemah semangat bila teringatkan Usop memarahiku beberapa hari sudah. Bersungguh benar dia memarahiku.

“Kenapa kerap sangat mengeluh ni? Nak kata mama tak bagi masuk tournament tu, mama izinkan. Nak kata tak bagi keluar rumah, abah dan mama dan bagi kepercayaan dan keizinan. Sejak balik hari Ahad hari tu, Lit muram je. Apa yang tak kena ni?”
Mama labuhkan duduk di depanku. Tangan itu diletakkan di atas meja batu yang berwarna coklat gelap ini.

“Mama… Lit tanya sikit boleh?” Aku sudah bersedia hendak berbicara tentang lelaki yang baru aku kenali itu tapi entah mengapa, aku rasa dia bagaikan sudah lama mengenali aku.

Aku rasa dia terlalu dekat dengan aku selama ni tapi mengapa aku tidak pernah perasan atau ini sekadar halusinasi aku saja?
Mama angkat kening. “Apa dia?”

“Kalau seorang lelaki ni marah pada kita, sebab kita tak pakai tudung, tak menjaga diri. Lepas tu ada pulak orang lain cuit-cuit hujung rambut kita la, bersiul kat kitala, merenung kitalah… apa maknanya tu, ma?” tanyaku polos.

Mama senyum segaris. Mata itu memandangku penuh curiga.

“Ini nak cakap… siap nama lelaki tu, Lit? Mama lupa.”

Eleh, mama ni. Pandai pula berdrama. Tengok dari rupa dan senyuman dia tu aku dah tahu dia tak lupa, tapi sengaja nak suruh aku sebut nama dia tu lagi.

“Usop…,” selaku malas.

“Haa… Usop. Nak cakap pasal Usop ke?”

Aku mengeluh berat. “Mama… Lit tanya mama, kenapa mama tanya Lit balik.’

“Tak adalah. Mama tanya, betul ke yang cakap macam tu pada Lit Usop?”

Nak tak nak, aku angguk juga memberi jawapan pada mama.

“Kalau macam tu, jawapan dia senang je. Lit ajak Usop datang rumah,” jawab mama akhirnya.

Tapi, apakah jenis jawapan itu? Atau akukah yang tak pandai nak cerna jawapan mama atau memang jawapan mama ni berbentuk jerangkap samar? Aduhai, apa kena dengan keluarga aku ni?

“Kenapa nak ajak dia pulak? Lit baru kenal dialah.” Aku memprotes dengan wajah tidak puas hati.

“La, kalau Lit nak tahu jawapannya, Lit ajak. Kalau tak, mama pun tak boleh nak cakaplah jawapan dia macam mana.” Mama masih mencari dalih dan dia terus angkat tubuhnya dan berlalu ke dalam.

Aku pula masih duduk termangu sendiri. Memikirkan kehendak mama kali ini. Aku baru je kot kenal Usop tu. Tak ada beraninya nak ajak datang rumah.

“Masuk Jelita… nak hujan dah ni. Nanti demam, tak boleh nak pergi mengajar karate. Nak masuk pertandingan lagi dan abah pesan, jangan kerjakan pisang dia pulak,” laung mama.

Huh, panjang pesanan penaja. Aku bangkit malas berlalu ke dalam rumah bila titisan hujan mula singgah ke wajahku.

“Nak tahu jawapannya, nantikan….,” bisik mama bila aku sampai di sisinya.

Huh, seriau aku dengan mama.

~~~> bersambung

Akhirnya...ada juga semangat lepas fail hilang hari tu..hehe..