Wednesday, April 25, 2012

Kerana Sekali Cinta [16]

BAB 16

KERJA pejabat aku pandang sepi. Tak tahu nak buat apa. Fikiran ke mana tak payah aku bagi tahu sebab haruslah ke Shah Alam. Teringat isteri tersayang. Buat apakah dia? Sihatkah? Makankah? Belajar okey kah?

Dah beberapa hari tak bersua. Bila aku nak ke sana, ada saja kerja yang menghalang. Beberapa hari ni memang tak sempat nak bersua dengan Anaresa.

Aku tahu dia sibuk dengan kuliah dan latihan bola jaring. Balik tentu kepenatan. Aku juga sama. Keluar dari tapak projek, langit bertukar malam. Bila sampai di rumah, kala telefon isteri, dia dah hanyut dalam lena. Rindu? Tersangat rindu.

Penat membelek fail pembayaran yang telah Sarina hantar pagi tadi, aku tilik pula gambar Anaresa yang ada di atas meja. Lain wajah dia masa ni. Nampak hitam berkilat mungkin sebab dia terlalu aktif di padang.

Bila aku minta gambar lain, dia kata tunggu gambar nikah siap. Entah bila nak siap aku tak tahu. Sudahnya dia bagi gambar sepasukan bola jaring dia. Semua aku kena tengok. Dahlah warna kulit sama je semua. Hitam dan berkilat. Tapi dia dah putih sekarang. Sampailah hati dia bagi gambar ramai-ramai ni. Bila aku cakap, dia pandai menjawab.

“Kenapa bagi gambar ramai-ramai ni, yang?” Aku buat suara tak puas hati.

Dia sengih dan memaut lenganku. “Tak apalah. Kan gambar wajah Resa ni dah terpahat dalam hati abang. Setakat gambar je pun.”

“Tapi, ramai ni sayang. Warna sama je. Sorang je tak sama ni.” Aku tatap lagi gambar tu.

Memang seorang je tak sama warna kulit. Baju pun lain dan haruslah pensyarah pengiring dia ni.

“Tapi, ada sorang cerah ni. Mata abang nampak yang ni je,” usikku lalu aku luruskan jari telunjukku pada wajah seseorang dalam gambar itu.

Muncung Anaresa keluar sedepa. “Tak nak kawan dengan abang.”

“Tak nak kawan tak apalah. Yang penting dah kahwin. Tu dah lebih dari cukup dah tu,” selaku loyar buruk. Lenganku dia lepas.

“Nak mengorat sangat Pensyarah Resa abang datang hari Isnin ni, nanti Resa kenalkan dia dengan abang tapi jangan harap Resa nak pergi HEP lapor pernikahan kita ni,” ugut dia.

Aku ketawa halus. Lengannya aku tarik. Gambar itu aku letak ke dalam poket belakang. Memang dia hitam waktu ni, tapi senyuman polosnya itu tetap memikat hati. Sekadar mengusik pun boleh buat dia macam ni.

“Sayang… tak bolehlah macam tu. Nanti pergi bagitau HEP. Bahaya nanti kalau tiba-tiba Resa muntah dalam kelas. Lagipun, abang gurau je. Tak kisahlah dia siapa. Putih ke hitam ke, abang nampak Anaresa binti Abdullah ni je menjadi suri dalam hidup Zafran bin Zaini ni,” pujukku.

Dia menjeling tajam. Aku jungkit kening berkali-kali bersama bibir yang menguntum senyum.

“Abang minta maaf, ya?”

Dia angguk dan menjingkitkan kakinya lalu bahuku dipaut dan tanpa aku duga, dia mengucup pipiku sekali. Pantas dan tuntas. Merah rasanya wajah aku kala ini sebab aku tahu, Aziana dan Haqmi sedang tersenyum simpul.

“Tak malu cium abang depan umum.”

Dia mencebirkan bibirnya. “Lepas ni tak cium dah.”

Aik, merajuk lagi. “Sayang ni. Dahlah. Pergilah naik, ya. Azi dengan Mi dah tunggu kat bawah tu. Jaga diri.”

Dia angguk dan terus berlalu menghampiri Aziana dan Haqmi yang sedang menantinya di depan tangga. Aku yang minta mereka turun biarpun Anaresa menghalang. Bukan apa, setelah mamat motor itu berlalu jiwaku tak tenang. Risau semacam. Kalau ikutkan hati, mahu aku angkut dia balik rumah mama. Dok depan mata aku 24 jam.

Niat hati nak tanya lebih lanjut pasal mamat motor tu tapi bila Anaresa sendiri nampak tak pedulikan mamat hidung pesek pipi kempis tu, aku malas nak ambil peduli. Aku percayakan Anaresa tapi pandai je dia cakap dia tak ada peminat.

Bila teringatkan lelaki yang memanggil Anaresa ‘sayang’ tu semakin membuatkan tempat duduk aku ni membahang. Panas semacam je. Rasa nak terbang terus ke Shah Alam masa ni jugak. Tapi, aku ada kerja dan Anaresa juga ada kuliah.

“Abang harap sayang janganlah terjatuh cinta dengan mamat tu pulak. Abang tak sanggup, yang…,” keluhku tanpa sedar ada yang sudah tercongok depan mata.

Terkejut dengan wajah Sarina yang sinis, aku terbatuk kecil cuba mengawal kecanggungan wajahku.

“Hai, Zaf. Kuat berangan ingatkan isteri nampak?” tegur dia lalu dia tarik kerusi dan labuhkan duduk di depan aku.

Gambar Anaresa aku letak di dalam laci. Nak letak atas meja tak lalu sebab entah mana satu dia. Macam kembar sepuluh disebabkan warna kulit.

“Risaulah, Ina.” Aku telus mengakui. Nak kerja pun malas.

“Nak risau apa?”

“Resa lah.”

“Dia pregnant ke?” tanya Sarina serius sambil membelek fail yang masih belum aku selesaikan kerjanya.

“Kau ni, Ina… mengandung apa pulak?” marahku geram.

Ketawanya lepas. “Habis tu nak risau apa?”

“Ada budak lelaki ngorat bini aku la, Ina,” jawabku sambil menyandarkan belakang pada kerusi.

Bingung ni. Bukan tak percayakan Anaresa tapi takut lelaki tu terus mengasak. Takut Anaresa tak bertahan. Jiwa dan darah muda haruslah pantang terduga. Lainlah aku ni, dah matang usianya.

“Kau ni biar betul, Zaf?” Sarina bersuara macam tak percaya tapi aku angguk pantas.

“Dia ayat bini kau macam mana? Dah tu bini kau melayan tak?”

Aku menggeleng pula. Memang Anaresa tak layan langsung. Cepat-cepat dia hampir pada aku dan memaut lenganku.
Bila ingat ayat mamat tu, rasa nak tendang laju-laju. Tak hormat orang langsung.

“Apa ni sayang-sayang?” tanya Anaresa kasar. Dia melihat padaku dengan wajah yang merayu minta dilindungi.

“Eh, rindulah. Sebab tu aku panggil kau sayang,” jawab lelaki tu. Nama pun aku tak sempat tanya Anaresa bimbang dia berkecil hati setelah dia bersungguh menidakkannya.

“Ehem… ehem… rindu ya, dik?” tanyaku pula.

Mamat tu buat muka macho. Tubuh itu masih terpacak di atas motor tapi bila dia buka topi keledar dia, boleh tahan rupanya. Nampak agak tampan. Tapi aku haruslah lagi tampan.

“Rindulah dekat awek sendiri, bro,” jawab dia.

“Banyaklah kau punya rindu, Jimmy,” sergah Anaresa. Hah, nama dia Jimmy rupanya.

“Kenalkan ni suami aku. Encik Zafran bin Zaini,” sambung Anaresa bangga.

Aku pun apa lagi, senyum sehabis lebar. Wajah Jimmy berubah.

“Jadi, sungguhlah aku dengar cerita kau kahwin cuti weekend baru ni?”

Anaresa angguk dan aku juga. Anaresa siap angkat jari dia yang masih merah dengan inai dan ada terletak dua bentuk cincin emas dari aku. Puas hati aku. Tak payah nak buat penyataan lebih-lebih, Anaresa dah cakap dulu.

“Sayang, pergilah naik. Abang nak balik dah ni,” suruhku. Tapi, Anaresa menggeleng.

“Jimmy, kau pergilah. Aku nak cium laki aku ni sebelum balik. Ambil berkat,” beritahu Anaresa selamba.

Bini aku ni boleh tahan kalau berkata-kata. Main cakap je nak cium aku. Wajah Jimmy merah.

“Jangan berlagak sangatlah, Resa. Laki kau ni tua. Nak compare dengan aku, tak terpanggil lah.”

“Eh, siapa cakap tua? Dia matang apa. Matang la best. Banyak pengalaman. Kau tahu merempit je. Dahlah Jimmy. Aku minta maaf. Janganlah kau kacau isteri orang lagi ya?” pinta Anaresa.

Jimmy mencemik. “Kalau aku tak dapat kau, jangan panggil aku Jimmylah, Resa,” sela Jimmy bongkak.

“Dik, abang ni memang tua tapi jodoh ni kan rahsia Allah. Nak buat macam mana, memang kami berjodoh. Resa pun dah jadi isteri abang. Best ke tak, tua ke tak, Resa je tau. Kan sayang?” Aku jungkit kening pada Anaresa sambil memaut bahunya rapat padaku.

Dia angguk dengan wajah comel. “Kan abang kan?”

Dalam hati aku nak gelak tergolek rasanya. Wajah Jimmy keruh amat. Nampak bagaikan udang kena bakar.

Pelukan pada bahu Anaresa aku lepas dan aku hampir pada Jimmy. Bahunya aku tepuk dan dia mengelak. Tapi kali ini, aku paut bahunya pula agak kemas membuatkan dia tak lagi mengelak tapi tajamnya mata itu menikam terus ke wajah aku.

“Jimmy… tak baik dik kacau isteri orang. Muda atau tua, jodoh ini urusan Allah. Akan adalah orang lain untuk Jimmy nanti. Tapi, bukan isteri abanglah. Kita lelaki, kenalah matang. Tua ke muda sama je. Janji kita ni pandai kawal diri. Ni abang tengok kamu ni tak reti nak kontrol temper. Bahaya tu, Jimmy,” ujarku separuh berbisik.

Memberi nasihat percuma pada dia. Kening Jimmy hampir bertaut. Dia nampak hendak bersuara tapi diam sudahnya. Anaresa memandang aku pelik tapi aku tetap senyum. Tenang biarpun dalam hati bergelodak juga bila isteri digoda orang.

“Wei, Zaf! Kau nak aku tenung kau sampai jatuh cinta ke apa, yang kau diam membisu ni?”

Aku tersentak. Ingatan pada kejadian hari itu lesap. Aku sengih pada Sarina dan dia mencemik.

“Aku tanya tadi, jawablah,” gesa dia.

Aku melepaskan keluhan tipis. Tali leher aku longgarkan sikit. Lengan baju aku sinsing sampai siku. Rimas nak-nak dah hampir waktu nak balik ni.

“Tak adalah Resa layan. Disindirnya lagi budak tu. Tapi, memang aku banggalah dengan bini aku tu. Boleh tahan juga laser mulut dia. Yang penting, dia nak mengaku aku suami dia.”

“Habis tu dia nak mengaku kau apa? Abang dia?” sindir Sarina.

Aku buat muka. “Kau ni, derhakalah dia nanti.”

“Habis tu… dah bini baik nak risau kenapa? Ni dah berapa hari tak dapat kasih sayang ni? Agaknya sebab tu kot kau risau semacam ni?” Sarina senyum menyenget.

Aku senyum juga dan garu kepala. Tak dapat kasih sayang, ya? Boleh jadi ni. Nampaknya malam ni kena ke sana tuntut kasih sayang sikit.

“Dia penatlah, Ina. Aku kasihan nak ajak dia keluar jumpa aku.”

“Itulah kau. Pilih lagi budak sekolah.” Sarina ketawa. Dia lantas bangkit dan hendak berlalu tapi langkah itu mati lalu dia berpatah balik dan mengambil fail yang dia beri pagi tadi.

“Payah sungguh kalau suruh orang kurang kasih sayang ni buat kerja. Tak jalan. Biar aku lah buat. Kau tu balik sekarang, malam ni ajak dia makan malam romantik sikit. Makan je pun. Tak ada penatnya. Lainlah kau nak tuntut kasih sayang lepas makan, penatlah budak tu,” sela dia dan dia ketawa lagi.

Langkah dia maju ke pintu dan terus menghilang. Aku ketawa halus. Boleh tahan juga tercalarnya otak Sarina ni. Haih…
Aku pantas gapai telefon dalam poket. Nombor Anaresa aku dail pantas dan tak lama setelah itu, aku dengar suara dia di hujung talian. Bibir ini mekar lagi dengan senyuman. Senyuman seorang suami merindui isterinya.

“Sayang,” panggilku setelah dia menjawab salam.

“Ya, bang. Kenapa?” Nafasnya agak mengah di hujung talian.

“Err… Resa kat mana ni? Penat je? Main bola lagi ke?”

“Resa tengah panjat tangga nak naik rumah. Latihan bola jaring batal. Maaflah Resa sibuk sikit beberapa hari ni.”

“Tak apalah. Malam ni keluar dengan abang. Kita dinner, nak?” ajakku. Dalam hati, aku ada hadiah untuk dia.

“Resa ada kuliah malam ni, bang. Tak bolehlah.” Dia menolak.

“La… kata tak ada kuliah malam,” selaku tak puas hati.

“Emm… dah nak ada nak buat macam mana?”

Sedih pulak aku dengar suara dia menjawab macam tu. Aku tahu dia penat tapi aku rindukan dia. Sesak dada ini dengan rindu. Risau juga andai Jimmy terus mengganggu. Nak bertanya, risau dia memberontak. Nanti dia kata aku tak percaya dia pulak.

Inilah payahnya berkahwin dengan budak sekolah, nak ajak bercinta pun payah. Kalau hari-hari bersekolah, berapa kilo rindu aku nak galas?

“Abang dah book. Resa siap, lepas Maghrib abang sampai,” tukasku memberikan jawapan mati lalu aku putuskan talian. Senang begitu, aku guna kuasa veto sesekali.

Tak lama lepas tu, masuk SMS daripada dia.


Baiklah (angguk2)


Dan aku hamburkan tawa lepas. Lucu la isteri aku ni. Dah lah comel

~~> bersambung

Cik Penulis : Lamanya tak update blog. Sibuk sikit. Esok lagi sibuk dan minggu ni membawa ke minggu depan. Kebetulan saraf tangan kanan tak berapa ok. Allhamdulillah dah beransur baik. Layan, komen dan maaf atas kekurangan

Friday, April 20, 2012

Kerana Sekali Cinta [15]

BAB 15

BARANG Anaresa aku keluarkan dari boot kereta. Tak ada apa sebenarnya. Hanya buah tangan untuk kawan-kawan dia saja.

“Ini je, kan?” tanyaku.

Dia angguk. “Terima kasih, bang.”

Aku senyum dan mengangguk. “Tapi, betul ke nak duduk rumah sewa ni?”

“Emm… buat sementara je.”

“Tak apalah, nanti abang cari rumah sewa area sini, ya?”

Dia menggeleng. “Tak payahlah. Nanti hujung minggu atau kalau tak ada kuliah, Resa balik rumah mama. Buat membazir je nak menyewa rumah lain. Resa okey je. Lagipun, nanti kesian mama dok sorang-sorang. Sementara je pun.”

Aku jegilkan mata. Sementara dia cakap. Dia baru tahun kedua. Lagi dua tahun baru dia habis belajar. Ini dia kata sementara? Memang dia sengaja nak kenakan aku.

“Eh, sebelum kita nikah abang ada cakap pada mama apa nak duduk rumah sewa. Lagipun, Zafrina dengan Zafrin kan ada kat rumah tu. Tinggal dengan abang, ya?” Aku terus memujuk.

Tapi, Anaresa tetap menggeleng. “Tak payahlah. Nanti kita tinggal dengan mama. Resa okey je tinggal dengan Azi dan Haqmi sekejap. Kalau tak ada kuliah, Resa balik rumah abang. Lagipun, sekarang ni petang ada latihan bola jaringlah. Kan lagi seminggu lebih nak pergi lawan dah. Kalah malu nanti.” Dia sengih menampakkan susunan giginya yang kecil dan putih itu.

Aku telan liur lagi. Huh, pantang tengok Anaresa sekarang, mesti darah menongkah arus membadai jiwa. Tsunami kasih muncul lagi.

“Jangan sengih macam tu lah, sayang,” larangku lalu aku tarik dompet keluar dari poket jeans. Buat-buat tak pandang dia lalu aku belek dompet aku tu.

“La, kenapa pulak?” Suara dia macam biasa. Suara budak suci.

“Janganlah. Tak ada apa. Ni, duit belanja ada tak?”

Dia senyum bila aku bertanya demikian. Lama-lama dia mengangguk.

“Ada je.”

“Tak apalah. Ada pun abang bagi jugak. Abang takut abang kena out-station minggu ni. Sarina dah cover banyak untuk abang sebelum ni. Mesti abang pulak kena pergi. Kesian jugak dekat dia,” beritahuku jujur.

Dia angguk saja. “Kalau abang tak ada minggu ni, Resa tak baliklah.”

“Eh, kenapa pulak?” Tanganku terhenti dari terus menyelak not dari celah dompet. Mata ini merenung dia.

“Dah abang tak ada, Resa nak balik buat apa?” tanya dia lembut. Riak wajah itu langsung tidak bersalah.

Aku senyum. “Sayang…,” seruku.

Dompet aku lipat dan letak dalam poket semula. Tangannya aku pegang dan aku genggam lalu aku usap belakang tangan putih bersih itu lembut.

Wajahnya mendongak menyoroti wajahku. Pendek isteri aku ni. Takat dada je. Tapi, comel! Itu yang pasti. Bibir ini terus herot dengan senyum.

“Itu kan rumah suami Resa. Abang ada ke tak ada ke, Resa baliklah. Keluarga abang keluarga Resa. Abang sayang keluarga abang dan Resa juga harus sayang apa yang abang sayang. Kalau abang tak ada, keluarga abang tu macam amanah buat Resa. Ni, terus balik sini. Tak sempat balik jumpa mama pun. Tak apalah, abang faham. Esok Resa kuliah. Nanti, kalau abang tak ada, Resa baliklah juga. Nanti abang datang jemput, ya?”

“Kan Resa ada kuliah tiap-tiap hari…”

“Masa tak ada kuliahlah. Kesian dekat mama abang.” Aku memangkas.

Lambat-lambat dia senyum. “Baiklah, suami saya.”

Aku ketawa halus. Suka bila memanggil aku begitu. Suami saya? Dan dia adalah isteri aku.

“Emm…”

Aku diam memandang Anaresa lagi. Dia bagaikan hendak menuturkan sesuatu namun nampak agak berat lidahnya hendak bersuara. Tapi, dalam hati ini rasanya sudah dapat aku tebak apakah yang sedang berlegar di dalam kepalanya.

“Nak cakap apa ni?” Aku menyoal dia. Tangan mulus itu masih di dalam genggaman malah semakin kemas aku genggam. Sayang hendak dilepaskan.

“Err… macam mana nak cakap, ya?”

Anaresa tarik tangannya sebelah lalu dia garu kepala yang dibelit selendang itu. Masih kekal dengan fesyen menutup wajah. Bila aku angkat tangan hendak menyelak, dia izinkan tapi dia tarik balik menutupi muka dia.

Aku senyum. “Tertutup sangat ni. Nak jalan macam mana. Nanti tak nampak?”

“Eh, biarlah. Resa nampak apa. Lagipun kalau tunjuk muka sangat buatnya ada orang jatuh hati, abang suka?” sela dia.

Cepat-cepat aku menggeleng. “Yalah-yalah. Ikut Resalah. Tapi, tadi tu nak cakap apa? Panjang je emm Resa.”

“Bukan nak cakap, tapi nak tanya?”

Aku jungkit kening sikit. “Silakan.”

“Macam mana kalau Resa rahsiakan dulu pernikahan kita dari fakulti?”

Seperti yang aku duga, sememangnya itulah yang dia mahu bincangkan. Aku kembali menarik tangan itu dan berlalu sedikit ke belakang kereta, mencari tempat agak terselindung sikit bila aku elus tangan dan memeluk pinggang dia.

“Abang ni, tempat awamlah,” larang dia sambil menolak tanganku yang merangkul pinggang dia rapat ke sisi tubuhku.
Aku buat tak tahu. Bukan melampau pun. Aku peluk pinggang dia je. Itupun terselindung dari mata umum.

“Tak ada apalah. Orang tak nampak pun. Allah je nampak tapi itu tak apa sebab Dia berikan hak untuk kita dah. Sekarang ni, Resa bagi abang satu je sebab yang paling bernas dan meletup, kenapa Resa nak rahsiakan semuanya?”

Dia mengeluh berat. “Resa malu…”

“Nak malu apa? Bukan Resa buat benda bukan-bukan pun,” cantasku sebelum sempat menghabiskan kata.

“Abang ni. Menyampuk je,” ejek dia. Aku angkat sebelah tangan tanda meminta maaf dan meminta dia teruskan bicara.

“BUkan apa. Kan kita buat tergesa-gesa. Lepas tu, Resa ni jenis tak ada orang nak kat kampus ni. Tak ada orang pernah mengorat pun. Resa takut orang kata Resa pelahap nanti kahwin dengan lelaki seumur abang,” luah dia jujur.

La, itu rupanya yang dia risaukan. Apalah isteri aku ni. Ingatkan takut perut berisi ke, tak larat nak belajar ke nanti. Pensyarah marah ke tapi ini tidak. Itu yang dia takutkan. Tapi, aku terus redupkan pandangan. Nampak sangat di berbohong. Wajah secomel ini, mana mungkin tiada peminat?

“Resa kelepet abang ya?”

“Kerepek? Apa pulak kerepek? Kalau nak beli kerepek pergilah Banting sana. Kat sana banyak orang jual kerepek. Homemade lagi.”

Gulp. Aku telan liur. Merepek sudah isteri aku atau dia memang sebegitu naïf hendak memahami bahasa-bahasa begitu?

“Yang, abang tak kata kerepek tapi K.E.L.E.P.E.T,” ujarku memperbetulkan perkataannya. Aku eja satu persatu.

“Habis tu? Kelepet tu apa?”

“Itulah abang sebut. Kelepet. Maknanya sayang bohong abang, ya pasal tak ada orang ngorat tu. Entah-entah Resa malu tak kahwin dengan lelaki macho dan matang macam abang ni?” Aku menduga dia.

Dia menggeleng pantas. Telapak tangan itu singgah di lenganku lalu aku rasa cengkaman dia agak erat pohon pengertian barangkali. Waktu ini, aku telan liur lagi. Seluruh anggotaku menggeletar bila melihat bibir merah basah milik Anaresa agak dekat mendongak padaku.

Cengkamannya pada lenganku membawa aku teringat kembali kemanjaan dan kemesraannya. Sungguh, dia seorang yang jujur dan manja lalu tanpa sedar di mana aku berpijak dan di mana aku menjunjung langit kala ini, aku redupkan mata aku ini merenung dia penuh keinginan.

Tidak sedar hinggalah Anaresa mencubit lenganku dan barulah aku tersedar, betapa teriknya cahaya matahari kala ini lalu aku senyum menyembunyikan malu di dalam tawa kecil.

“Abang ni, Resa cakap tadi dengar tak?” tanya dia agak keras.

“Err… maaf-maaf. Abang terleka.” Aku meraup wajah.

“Terleka la sangat,” cebik dia. Aku ketawa.

“Yalah-yalah, sila cakap abang dengar ni,” pujukku lalu aku paut lagi jemarinya lantas aku ramas perlahan.

“Pasal tu sungguhlah. Bagi masa Resa sikit. Lepas kita kenduri ke. Tak pun masa kenduri nanti kita jemput kawan-kawan Resa
sekali. Pensyarah semua, boleh?” Dia angkat kening.

“Tak boleh!” tegasku lalu aku goyangkan jari telunjuk di depan mata dia.

“Ala abang…” Anaresa menghentak sikit kakinya di atas jalan tar.

“Bolehlah. Resa minta syarat sikit je. Dahlah syarat utama Resa abang langgar. Syarat sikit ni pun abang tak boleh nak tunaikan ke?”

Ah sudah. Dia mula buat manja meliuk lintuk dengan aku. Aku mula lemah jiwa. Bukan boleh andai dia begini. Mula tak keruan
lagi.

“Tak bolehlah sayang macam tu. Menidakkan hak suami tu Resa tahu tak hukumnya…”

“Haram...,” sambung dia.

“Kalau haram jatuh ke…”

“Dosa,” sahut dia lagi dengan wajah monyok.

“Kalau dosa dah jadi isteri yang…”

“Nusyuz…”

“Isteri nusyuz ganjaran dia…”

“Neraka…” jawab dia lagi.

“Dan sebuah pernikahan itu wajib dia war-warkan untuk…”

“Mengelakkan fitnah dalam masyarakat...,” sambung dia lagi dan kali ini dengan muncung yang panjang seela. Aku senyum.

“Pandai isteri abang. Habis tu tak ada masalahlah, kan?”

Dia angguk tapi tak lama lepas tu dia pandang aku buat muka sedih dia lagi. Mesti ada lagi yang dia nak bantah tu.

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Resa terus terang dengan pensyarah dulu. Bukan ke nanti pelajar yang dah kahwin dengan tunjuk surat nikah?”

Dia angguk bila aku bertanya begitu.

“Habis tu?”

“Yalah-yalah. Nanti Resa pergi up-date info pasal Resa dekat Hal Ehwal Pelajar, puas hati?” Mata itu dijegilkan sikit.

“Bukan pasal Resa je tau. Pasal suami Resa sekalilah,” cadangku.

Dia mencemik.

“Tak ikhlaslah tu,” sindirku pula.

“Kalau tak ikhlas Resa tak serah pada abang segalanya.”

Aku senyum. “Anaresa isteri saya yang cantik lagi solehah, tanggungjawab suami adalah pada ibu dan isterinya. Cuma berbeza layanan tu. Abang suami Resa dan haruslah abang berhak dapat layanan daripada isteri abang. Tiada paksaan dalam semua ni. Resa kenalah ikhlaskan diri setiap kali dan abang pun tak adalah teruk sangat nak itu je setiap masa,” jawabku.

Mata itu aku renung semahuku. Terjatuh cinta lagi pada isteri sendiri. Anaresa gigit bibir.

“Lagipun, abang dah berikan kasih sayang dan cinta abang pada Resa. Mungkin Resa tak tahu tapi abang nak bagi tahu ni. Abang cinta Resa. Abang sayangkan isteri abang ni. Resa amanah abang. Jangan takut dengan pandangan masyarakat. Kita halal di mata Allah. Abang nak Resa bagi tahu semua orang kita dah nikah, sebab abang takut diorang ni kira tarikh kita nikah nanti,” sambungku lagi.

Wajah comel itu berkerut. “Kenapa diorang nak kira pulak?”

“Mestilah diorang kira nanti. Buatnya perut Resa berisi tapi Resa sorok hakikat yang kita dah nikah, tak ke itu tak elok nanti untuk maruah kita berdua? Maruah keluarga kita?”

Dengan Anaresa aku harus memujuk pemikirannya yang agak keanak-anakan itu sebaik mungkin. Harus menang dengan kasih sayang bukan kekerasan dan kuasa aku sebagai suami.

Dia angguk. “Err… tapi boleh jadi ke?”

Dia teragak-agak bersuara. Wajah itu merah padam. Aku tahu dia malu lantas aku hanya mampu gariskan senyuman menerima soalan jujur itu.

“Kalau Allah kata rezeki kita. Biarpun pada sentuhan pertama, akan jadilah,” jawabku pula.

Mengeluh juga dia. “Kalau kata jadi, Resa tak boleh bersukan lagilah?”

“Tak bolehlah.” Aku menggeleng.

“Kecuali sukan-sukan biasa tu boleh la. Berjalan ke, berenang ke,” usulku lagi.

“Tapi, Resa suka sukan lasak.” Bibir itu muncung.

“Tak bolehlah. Kalau ada sungguh, Resa tak boleh buat kerja-kerja berat. Resa cintakan abang tak?”

Dia tidak menjawab sebaliknya dia angguk sekali dan itu sudah cukup membuatkan aku berpuas hati.

“Dah tu, kenalah jaga tanda cinta kita sebab kita yang buat. Kitalah jaga. Jadi, Resa nanti bagi tahu pensyarah siap-siap tau. Dah siap kad nanti, abang bagi Resa untuk edar pada kawan-kawan. Tak lama dah pun. Dua minggu je lagi, kan?”

Anaresa mengangguk lemah. “Netball?” tanya dia.

“Abang benarkan…”

Serta merta wajah mendung itu cerah bercahaya. Aku tidaklah kejam hendak menyekat dia dari minatnya. Namun, aku ada agenda tersendiri. Dia ke Skudai dan aku juga akan ke sana. Untuk apa, biarlah aku saja yang mengetahuinya.

“Minggu ni kuliah penuh ke?” soalku lagi.

Dia angguk. “Petang ada latihan netball pulak.”

“Malam?”

Dia mengerutkan keningnya cuba mengingati sesuatu dan tidak lama setelah itu dia tersenyum padaku lalu menggeleng.

“Semester ni tak ada kelas malam. Kecuali dimaklumkan. Tu je. Kenapa?”

Alahai, comel je soalan dia.

“Kalau abang rindu Resa bolehlah abang datang jemput Resa, kan?”

Dia angguk. “Nak pergi mana?”

“Hotellah,” selaku pantas.

Lenganku dia cubit kuat. “Teruklah abang ni,” cebiknya.

“Teruk pun dah jadi suami Resa. No turning back.”

Dia ketawa. Sekejap sungguh mood dia berubah. Ada risau juga dalam hati aku membiarkan dia hidup sendiri bersama teman-temannya. Entah mengapa, aku nampak dia semakin cantik. Andai dulu comel tapi sekarang, nampak wajah seorang isteri di balik sinar matanya.

Nampak ayu menggoda. Tangannya aku raih lagi.

“Resa jaga diri. Kalau rasa nak balik rumah mama, call abang. Jangan balik sendiri lagi tau. Abang ada sekarang jadi biar abang jaga Resa betul-betul.”

“Tapi, Resa kan dah biasa….”

“Tau…” Aku cantas suaranya. “… abang tahu Resa berdikari tapi bagilah abang lakukan tanggungjawab abang. Kan dah janji nak taja Resa seumur hidup.”

Dia senyum dan mengangguk. “Baiklah.”

Kepalanya dijatuhkan sedikit bagaikan orang Jepun. Macam-macam hal. Beg galasnya aku ambil dari belakang kereta. Beg kertas kecil itu itu bertukar tangan. Dia senyum dan memaut tanganku tanpa aku paksa.

“Resa cium tangan abang tak apa, kan?”

Dia nak kenakan aku lagi. Dari riak wajahnya memang aku tahu dia memang nak kenakan aku. Bening mata itu ada bunga tawa yang bakal pecah.

“Eh, bukan ke semua tempat Resa dah cium ke?” usik aku pula.

Apa lagi. Semakin merah wajah putih bersih itu. Tajamnya renungan itu memang tembus ke belakang kepala.

“Eii, apa abang ni?” tanya dia marah. Wajah itu memang keruh macam air selut.

Aku ketawa kecil. “Tak percaya ke? Nak tengok?”

Serta merta aku selak kolar bajuku bagi dia tengok ada sedikit kesan di situ. Cepat juga tangan Anaresa menarik kembali kolar bajuku lalu dia butang semua sampai ke leher.

“Eii, tak malulah. Dahlah. Resa naik dulu. Esok kuliah ni,” ucap dia merengus sedikit.

Tanganku dia capai sekali lagi lalu dia cium dengan wajah masam. Namun, belum sempat dia melangkah, aku lelar pergelangan tangan itu lembut.

“Abang tak cium Resa lagi ni.” Serentak itu aku jatuhkan bibirku ke dahinya. Ada mata yang memandang tapi dia isteriku dan ciuman itu tanda sayang padanya.

“Hati-hati, sayang. Jaga diri, jaga mata, jaga akhlak, aurat dan yang penting hati,” nasihatku lembut.

Dia senyum dan angguk. “Abang pun sama. Jangan sebab isteri abang budak sekolah, mula pasang mata kat kedai-kedai buku pulak. Lepas tu buat-buat bayar dan-dan tuntut balik duit tu bersyarat,” sinis dia.

Lucu sungguh. Aku ketap bibir menahan geram dengan usikannya. Dalam kereta ada hadiah untuknya yang aku beli hari tu tapi tak tahu nak bagi ke tidak. Rasa macam tak sesuai je. Jadi, tunggulah bila dia balik rumah mama.

“Cukup dah sorang. Belanja untuk sorang ni pun belum tentu cukup dengan gaji abang ni.”

“Yalah tu…” selanya.

“Nah, duit belanja Resa.” Aku hulurkan empat keping not RM50 untuk dia. Tapi dia menolak.

“Resa ada lagi. Kalau tak ada, Resa cakap, ya?”

Malas hendak memaksa aku mengangguk saja. Dia memang isteri yang baik. Biarpun budak sekolah tapi ada juga matangnya dia di dalam tingkah kanak-kanak itu.

“Abang balik dulu, ya?”

Dia angguk dan berlalu hendak melintas jalan. Belum sempat dia melintas dan aku baru saja memegang pintu kereta, sebuah motorsikal berhenti tepat di depan Anaresa. Dia nampak terkejut lalu dia menapak ke belakang sikit.

“Hai, sayang…”

Gulp. Aku telan liur. Siapa pulak panggil isteri aku sayang ni dan Anaresa berpaling padaku dengan wajah yang merah. Aku terkaku bila topi keledarnya diangkat. Sudah!

~~> bersambung

Sunday, April 15, 2012

Kerana Sekali Cinta [14]

BAB 14

MATA terbuka dengan sendirinya. Hening sungguh kala ini. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerik yang bersahut sahutan dan juga titisan air hujan yang berbaki. Bila masa hujan, aku sendiri tak tahu.

Aku cuba kalih ke kiri, tapi tubuh terasa sakit. Rasa longgar sendi. Penat sungguh kerja kahwin ni. Awal-awal tadi tidaklah terasa sangat tapi kala ini, ada rasa lenguh yang menggigit seluruh tubuh. Menghalang aku dari terus lena.

Tangan ini jatuh di tempat tidur Anaresa tapi sayang, tubuh kecil itu tiada di sisiku. Aku mula risau. Bimbang dia lena di
ruang tamu, atau bersama kakak-kakak atau ibunya setelah apa yang berlaku antara aku dan dia. Rasanya tak ada salahpun. Atau mungkin dia rasakan aku mungkir janji. Parah macam ni.

Sedaya upaya aku cuba juga bangkit hendak mencari dia. Buatnya sungguh dia keluar daripada bilik ini, jenuh mahu menjawab andai ayah dan ibu bertanya.

Baru saja hendak menyentuh suis lampu, bilik terang terlebih dahulu dan wajah Anaresa dengan rambut yang basah muncul tersenyum di depanku. Aku kala ini, tidak mampu hendak berbuat apa. Hendak membalas senyumannya atau terus kelatkan wajah menahan sakit tubuh yang kian menggigit.

“Abang nak pergi mana?” Suara itu lembut separuh berbisik biarpun wajah itu kian merah.

“Abang cari Resa.”

“Resa tak ke mana pun. Nak cari buat apa?” soal dia lalu dia rapatkan daun pintu.

Langkah itu mendekat padaku lalu dia duduk di birai katil mengelap wajah dan kemudian jatuh ke lehernya yang putih bersih itu. Aku telan liur lagi. Gemuruh dalam dada. Berdentum guruh dalam diri ini.

“Ingatkan Resa masuk bilik ibu lagi,” jawabku jujur.

Dia ketawa sikit namun mata itu langsung tidak memandangku. Nampak lain pula dia kala ini. Nampak dewasa. Nampak sebagai seorang wanita. Bukan lagi seorang perempuan yang berumur 20 tahun.

“Resa mandi,” sela dia ringkas.

Aku pula masih terpacak berdiri di depan dia memujuk hati agar percaya yang dia adalah wanita sekarang. Bukan lagi seorang gadis yang lurus dan kalut itu. Dia wanita di sisiku, wanita yang memberi kasih dan menerima sayang dariku.

“Awalnya mandi?”

Aku kerling ke arah jam di dinding. Baru menginjak ke angka 4.30 pagi. Subuh lagi sejam lebih baru masuk.
Dia bangkit dan mendekat pada almari. Sehelai tuala dia keluarkan dan dia kembali hampir padaku. Tuala itu dia hulurkan dan bila aku tidak menyambut, dia sangkut di bahuku.

“Abang pun pergilah mandi. Kejap lagi semua orang bangkit dah. Payah pulak,” ujarnya.

Aku kerutkan dahi. Apa yang payah? Mandi bukan payah pun. Kalau kata tak ada tab mandi, rumah aku pun tiada tab mandi juga.

“Kejap lagilah abang mandi. Nak rehat kejap. Abang sakit tubuhlah, yang,” ujarku lalu aku melangkah perlahan ke arah katil.
Menahan kesakitan yang menggigit. Lenguh berdiri dan ke sana sini menyambut tetamu semalam. Pergi tapak pun tak pernah macam ni. Aku boleh duduk ikut suka aku je.

“Kenapa pulak?” soal dia risau.

Langkah dia juga mendekat padaku dan bila aku rebahkan tubuh tertiarap di atas katil, dia juga duduk di birai katil dekat dengan kakiku. Aku benamkan wajah pada cadar itu dan sungguh, fikiran kembali melayang ke arah peristiwa itu. Aku senyum sendiri. Malu!

“Abang sakit ke?” Suara Anaresa berbaur risau.

Aku angguk tanpa memandangnya. “Tubuh abang rasa kena gigit je.”

“Erk… siapa gigit?”

“Erk… siapa gigit?” gumamku bertanya pada diri sendiri. Sedaya upaya aku cuba kalihkan tubuhku menghadap dia.

Wajah itu nampak suci je dengan rambut yang masih basah. Aku tarik tangannya dan biarpun pada mulanya dia menggeleng namun akhirnya, dia relakan dirinya. Bila kepala itu jatuh di atas bahuku, aku kucup kepalanya hangat.

“Abang penat ni. Melayan tetamu semalam. Lenguh sikit sendi-sendi ni. Ingat nak rehat je malam tadi, tapi Resa tak bagi pulak,” usikku.

Dia merengus kecil dan cuba bangkit tapi aku lebih cepat memaut kembali bahunya menghalang dia dari bangkit.

“Bencilah abang ni,” marah dia.

Aku hanya mampu tersenyum. “Maaflah. Tapi, dah Resa nak menghalang. Abang mana tahu bila masa abang bertindak. Maaf sangat-sangat, ya?” pintaku pula.

Bukan bersungguh-sungguh pun. Sekadar hendak meredakan rasa marah dia tu. Anaresa diam saja. Aku intai sikit wajah itu dan rupa-rupanya dia sedang menitiskan airmata.

“Eh, kenapa pulak nak menangis ni?”

Serta merta aku tolak tubuh itu dan menarik wajahnya bertatapan denganku. Airmata suam yang mengalir melalui juring mata itu aku seka dengan ibu jari.

“Kenapa sayang?” soalku lebih lembut dari tadi. Rasa bersalahlah pulak. Akad nikah menangis, malam tadi menangis dan pagi ini juga dia menangis.

“Resa yang patutnya minta maaf pada abang,” ucap dia tersekat-sekat.

“Tak adalah. Nak minta maaf kenapa?”

“Sebab… sebab Resa letakkan syarat bukan-bukan pada abang sedangkan tanggungjawab Resa melayani kehendak abang selagi tak bercanggah dengan hukum Allah. Malam tadi, Resa ingat kalau abang tidur lepas tu abang tak ikhlas maafkan Resa, Resa akan dilaknat oleh malaikat sampai pagi sebab menolak hak abang. Resa salah pada abang. Tapi, Resa takut. Bukan niat Resa nak nafikan hak abang,” ujar dia panjang lebar.

Aku ketap bibir menahan senyum tapi bunga senyum itu tetap menghiasi bibir ini. Pipinya aku sapa lembut dan aku belai semesra mungkin.

“Tapi, Resa layan, kan? Habis tu apa yang buat Resa rasa bersalah?”

Memang tepat jodoh yang telah Allah tolak padaku ini. Memang dia bukan lagi anak gadis yang kalut itu tapi dia adalah wanita yang menjadi pelengkap tulang rusukku yang hilang selama 31 tahun ini.

Biarpun patah bicaranya masih kedengaran lurus dan polos, dia adalah wanita kini. Setelah apa yang terjadi antara kami, dia adalah isteriku. Isteri yang tahu akan hukum-hukum Allah dalam rumah tangga.

“Resa takut Resa tak ikhlas malam tadi,” akuinya.

“Resa ikhlas tak?”

Dia diam mengetap bibir. Mata itu terpejam rapat biarpun jemarinya masih ada di dalam genggamanku.

“Abang tanya ni, sayang… Resa ikhlas tak malam tadi?”

Lambat-lambat dia angguk dan kemudiaannya menggeleng. Apa kena isteri aku ni? Angguk dan geleng dalam satu masa membuatkan aku mengeluh sendiri.

“Kalau Resa tak ikhlas tak apa. Abang minta maaf dan abang maafkan kalau betul Resa tak ikhlas,” ujarku memujuk dia.

“Resa ikhlas. Resa memang ikhlas sebab Resa tahu hak abang. Cuma Resa macam tak percaya yang Resa ni…”

“Resa dah jadi isteri?” pangkasku mematikan suaranya.

Dia angguk. “Isteri yang sebenarnya isteri.”

Mengerti dengan maksud di sebalik kata-katanya, aku kedipkan mata sekali mengiyakan kata-katanya.

Tubuh itu aku tarik dan dia sendiri mendekat padaku. Hilang segala lenguh sendi bila tubuh yang kedinginan itu ada dalam pelukan.

“Saat abang lafaz sakinah itu, Alhamdulillah Allah telah titipkan sepenuh kasih sayang dan cinta dalam hati abang buat Resa. Abang usik Resa bukan kerana kehendak abang semata-mata tapi kerana tuntutan agama,” bisikku tenang.

Tangan Anaresa semakin membelit tubuhku memberi makna padaku yang dia juga sudah sudi menerima aku seadanya aku biarpun waktu perkenalan kami terlalu mentah dan baru. Rambut itu aku belai lagi. Basah menggoda.

“Memang sebuah perkahwinan menjanjikan semua itu tapi kita harus sedar, tanggungjawab kita sebagai suami dan isteri. Resa tanggungjawab abang sekarang. Tanggungjawab dan amanah yang telah Allah dan keluarga Resa bagi pada abang. Nafkah Resa abang berhak bagi yang sepatutnya dan Resa juga begitu. Redha seorang isteri ada pada suaminya. Resa tahu itu, kan?”

Dia mengangguk di dadaku. “Resa tahu dan sebab tu Resa menyerah pada abang.”

“Terima kasih, sayang,” ucapku romantis dan aku eratkan pelukan.

Bila dia juga mengetatkan pelukannya, wajahku menyeringai lagi. Memang menyengat. Mahu aku cuti seminggu ni kena pergi SPA.

“Yang, jangan peluk abang kuat sangat, yang…” Aku tolak tubuh itu sedikit menjauh.

Wajah Anaresa nampak berubah. Dia langsung bangkit dan aku kembali terbaring menahan sakit dengan wajah yang berkerut seribu.

“Eh, abang sakit ke?” Dia mula tak tentu arah.

“Aduh, tolong abang, yang. Ya Allah, sakitnya. Yang, abang… minta maaf… ka…”

Aduh. Sungguh aku sakit kala ini. Sampai tak mampu berkata-kata. Terasa insaf diri. Entah bagaimana sakitnya sakaratulmaut nanti andai sebegini sedikit pun aku sudah mengeluh berkali-kali.

“Abang kenapa ni?” Suara Anaresa semakin takut.

Aku pegang dada. “Ya Allah, sakitnya.”

Telapak tangan Anaresa memegang pipiku dan aku nampak ada air jernih yang mula bertakung pada tubir matanya.

“Abang sakit apa ni? Tadi lagi Resa tengok abang tahan sakit. Abang cakaplah dengan Resa. Resa sayang abang. Lepas ni Resa tak ngelat lagi. Resa sedia je untuk abang,” janji dia dan aku tidak mampu bersuara.

Aku pejam mata. Dalam hati dah ketawa golek-golek melihatkan dia begitu risau melihat aku yang menahan sakit. Bukan sakit serius pun. Sakit tubuh je. Lenguh!

“Abang cakaplah dengan Resa. Resa nak buktikan Resa juga mampu jadi isteri pada abang biarpun Resa baru 20 tahun. Abang tua pun tak apalah. Resa sayang abang. Abang jangan tinggalkan Resa,” ngongoinya. Ada sendu sudah.

Aku lantas buka mata. Tua dia kata aku. “Abang bukan tualah, yang. Abang matang. Resa pun haruslah jadi matang macam suami Resa,” jawabku dengan wajah yang masih berkerut menahan sakit.

“Ya, Resa minta maaf. Tak sengaja mengata abang tua tapi abang kenapa. Abang sakit mari kita ke hospital,” ajak dia seraya menarik tanganku.

“Tak naklah. Sakit abang bukan boleh baik kalau pergi hospital pun,” ujarku pada dia.

“Habis tu kenapa?”

“Resa tanyalah diri sendiri.”

“Apa yang Resa buat? Salah Resa ke?” Wajah itu monyok memandangku. Jemarinya menggenggam erat tanganku.

“Memanglah salah Resa. Siapa suruh ganas sangat. Pandai je cakap abang ganas, padahal Resa tu,” selaku serius.

Dia tekup mulut. “Abang ni…. Benci!” marah dia.

“Resa ingat abang sakit sungguh. Sakit mengada,” cebik dia lantas dia bangkit hendak berlalu dari katil tapi aku tarik semula tangan itu.

“Abang sakit betul. Penat kenduri semalam ni. Picit abang sikit, yang,” rayuku menggoda. Mata ini aku kedipkan berkali-kali.

Dia senyum dan rapat semula padaku. “Sakit kat mana ni?”

“Kat sini.” Aku lekapkan jarinya ke bibirku.

“Bencilah!” Dia mencemik dan aku terus ketawa.

***

SALAM kedua aku berikan. Pertama kali menjadi imam pada isteri sendiri membuatkan airmataku bergenang tanpa ku pinta. Ada rasa syahdu singgah di hati. Nikmat yang telah Allah berikan padaku setelah kehilangan satu waktu dulu, lebih hebat indahnya hendak dibandingkan dengan kesakitan yang tidak seberapa itu.

Zikrullah dan istighfar meniti di bibir memuji keagungan Tuhan yang memberi nikmat setelah sedikit dugaan dulu. Menitis juga setitis airmataku kala ini lalu aku seka cepat-cepat bersama bibir yang menguntum senyum.

Tanganku angkat ke langit. Wajah juga mendongak hendak merayu dan bermohon pada Dia yang Maha Memberi.

“Sesungguh Ya Allah, indahnya nikmat ini biarpun rasanya aku tidak layak untuk ini. Indahnya nikmat ini biarpun aku adalah hamba yang sering mengeluh menjadi orang yang tewas. Indahnya anugerah dan nikmat ini ke atas kami. Ampuni kami, ibubapa kami dan tuntutkan bahtera kami ke jannah kerana segala yang terjadi adalah kerana kehendak-MU,” bisikku syahdu.

Telapak tangan aku raup ke wajah. Aku kalih pada Anaresa yang cantik dalam telekung putih bersulam emas dari kain jenis Casarubia yang memang mama pilih khas untuk dia.

“Cantik isteri abang,” pujiku.

Dia senyum malu. “Abang pun handsome,” balas dia.

Tangan ini aku hulurkan pada dia lantas dia sambut dan mengucupnya lembut dan bila wajah itu memandangku kembali, aku sapa kepalanya lantas bibir ini singgah lagi ke dahinya.

“Terima kasih sudi menjadi suri di hati abang. Jangan rasa Resa muda sebab abang dah mula nampak Resa sedang menjadi seorang wanita di sisi suami.”

Dia angguk. “Resa cuba. Kalau Resa silap, abang tegur. Tapi, semalam tu…” Suaranya terhenti.

“Apa pulak semalam?” Berkerut dahiku. Ada je tak kena dengan dia ni. Baru aku puji jadi wanita, dia kembali jadi budak perempuan pulak dah.

Dia tunduk. Perutnya dipegang dan mengertilah aku akan apa yang dia risaukan. Tubuh itu aku paut. Indahnya dia berada di dalam telekung putih suci itu benar-benar membuatkan cinta ini tiada tersisa di dalam hati. Menjadikan cintaku padanya jatuh berkali-kali.

Usah kata sekali malah sudah tidak terkira terjatuhnya hati dan cinta ini pada dia. Mujur juga dia sudi kutip dan menyimpannya elok. Andai tidak, harus tersepak masuk ke longkang.

“Kemesraan kita abang mulakan dengan doa dan salam. Bila Resa menyambut salam, abang yakin Resa sendiri bersedia untuk hakikat macam ni, kan? Andai kata Allah titipkan satu nyawa dalam rahim ni…” Aku pegang perutnya juga.

“… kita terima. Ini rezeki dan pengikat kasih kita. Resa boleh, kan?” Aku tolak tubuh itu.

Bahunya aku pegang dan wajah itu aku soroti lembut. Dia memandangku lama dan akhirnya dia mengangguk.

“Kalau Resa tak boleh?”

“Sayang… bila Tuhan anugerahkan rezeki tu buat kita, pastilah Dia berikan sekali kekuatan untuk Resa laluinya. Andai Resa tak cukup kuat, abang pinjamkan kekuatan abang. Sampai akhirnya, abang akan ada dengan Resa. Yakinlah sayang, abang akan ada dengan sayang. Tenanglah sayang. Abang ada untuk sayang bersandar,” pujukku lagi.

Dia angguk lambat-lambat. Tanpa silu, dia memaut tubuhku ke dalam pelukannya. Ada tangisan lagi yang menyapa telinga.

“Terima kasih sebab sudi halau takut Resa. Terima kasih sudi ajar Resa tentang cinta,” ucap dia.

Aku tepuk belakangnya lembut. “Sama-sama tapi abang nak balasan.”

“Erkk… balasan?” tanya dia. Pelukan terlerai.

“Yalah, Resa nak tinggal rumah sewa dulu, kan? Jadi tinggalkan abang bekal sikit.”

“Bekal? Resa jarang masak kat rumah sewa tu. Beli bungkus je. Nanti balik rumah mama, Resa masakkan, ya?”

Aku ketap bibir menahan gelak. Dia kembali menjadi budak sekolah dah. Susah hendak menuntun dia menjadi wanita yang matang sepenuhnya. Tapi, hati ini terhibur dengan setiap tingkah dan tuturnya. Ada tawa dan tangis dalam sekelip mata.

“Makanan tu buat apa? Perut kenyanglah tapi batin abang tak kenyang,” selaku.

Dia memandangku polos. “Habis tu Resa nak kena buat apa?”

Aku kerling jam di dinding. 6.30 pagi. Kat luar masih juga senyap dan sepi. Rasanya ayah dan ibu terlena kembali angkara penat yang masih belum hilang. Aku bangkit dan membetulkan baju melayu dank ain pelikatku. Tangan Anaresa aku tarik. Telekung di tubuhnya aku tarik dan aku sangkut di penyidai. Songkok aku buka dan aku letakkan di atas almari solek.

Wajah mulus itu aku renung lagi. Dia nampak terpinga-pinga saja dengan tindakanku. Getah rambutnya aku tarik.

“Kenapa?” soal dia.

“Teman abang tidur kejap,” jawabku dan dia hanya melangkah saja bila aku menarik dia.

Benar, bila Tuhan menolak dia menjadi jodoh buatku, dia memang terus dekat di hati. Cinta yang hanya separuh sebelum ini, kini menjadi miliknya sepenuhnya.

“Abang cintakan isteri dan bakal ibu pada zuriat abang ni,” bisikku dekat di telinganya.

~~> bersambung

Cik Penulis : Malam pulak update.. Mahu keluar berjimba-jimba.. nye'hek sikit..hehe.. luv u..n luv me too..

Kerana Sekali Cinta [13]

BAB 13

AKU labuhkan punggang di atas birai jendela. Rumah kampung macam ni, memang menjadi idaman aku. Kuak jendela seluas-luasnya dan membiarkan angin malam menjamah tubuh yang agak hangat.

Kata saja kenduri kesyukuran tapi rasanya, satu kampung datang. Penatnya hanya Allah yang tahu. Letih sungguh kerja kahwin ni. Pipi pun sudah naik kejung asyik senyum saja sepanjang hari. Rasa lega bila disapa angin malam yang agak dingin.

Baju T nipis yang tersarung di tubuhku melambai sikit ditiup angin. Langsir juga sama melambai-lambai dihembus bayu malam yang agak garang. Aku dongak ke langit. Kelam tiada bintang. Hari macam nak hujan. Angin pula makin rakus. Aku pandang ke dinding. Sudah hampir ke 11.00 malam.

Usai Isyak berjemaah tadi, Anaresa langsung tak masuk ke bilik. Pelik juga. Masa makan tadi, elok saja dia melayaniku di meja makan. Tak ada pula tanda-tanda dia bertukar menjadi alien dan pulang ke Marikh. Tapi, bila tiba-tiba dia tak masuk bilik ni, aku mula rasa musykil.

Tiba-tiba, guruh berdentum. Huh, sungguh nak hujan. Aku cepat-cepat tarik daun pintu bila rasanya hangat tubuh ini sudah cukup disejukkan. Aku pandang seluruh bilik. Cantik perhiasaannya. Biarpun nampak biasa, tapi bagiku ada yang luar biasanya.

Cadar putih itu nampak suci je. Renda hijau lembut itu juga menyegarkan mata. Wangian ros juga semerbak menujah rongga hidung. Tapi, Anaresa hilang. Baru saja hendak menapak keluar, daun pintu kedengaran diketuk orang. Setelah itu, wajah ibu mertuaku muncul mengintai dari pintu yang dikuak sedikit itu.

“Eh, ibu,” tegurku sopan.

“Zaf, angkat Resa,” ujar ibu.

Aku garu kepala. “Angkat nak pergi mana? Resa tak ada dalam bilik ni.”

“Sebab itulah ibu suruh Zaf angkat dia. Dia tidur dah.”

“Tidur? Kat mana?” Aku kerutkan dahi.

Kenapa dia tak nak tidur dalam bilik ni? Katil punyalah besar. Takut tak muat ke? Aku rasa, aku taklah tidur lasak sangat. Statik je aku lena hingga ke pagi.

“Tidur dalam bilik ibu. Tadi dia dok bercerita itu ini. Tak dan habis cerita, dah terlena dulu dah. Zaf pergilah dukung dia. Ibu kejut tak nak bangkit dia. Penat sangat tu,” ujar ibu lagi.

Aku hampir saja tepuk dahi. Padanlah menghilang lepas makan malam tadi. Terlena dalam bilik ibu dia rupanya. Aku menggeleng dan tersenyum tipis. Ibu berlalu dan aku betulkan kain pelikat sikit. Rambut ini aku kuak ke belakang dan langkah kaki maju ke pintu.

“Mana Zaf?”

Hah, terkejut aku bila ayah bertanya begitu. Entah dari mana dia menegurku yang baru saja hendak mengetuk pintu biliknya.

“Err… angkat Resa, ayah,” jawabku sedikit gagap.

Ayah kerutkan dahi juga. “Macam mana isteri kamu boleh ada dalam bilik ayah? Kamu main sorok-sorok ke malam-malam ni?” tanya ayah mengusik.

Aku sengih. Mujur ibu muncul dari dalam bilik.

“Haih, abang ni. Resa tu masuk lepas makan malam tadi tak nak keluar. Suruh masuk bilik dia kata nak duduk dengan ibu kejap. Sedar-sedar dah lena,” ujar ibu pula.

Ayah ketawa sambil menggeleng. “Macam-macam hal lah budak Resa ni,” komen ayah lantas dia berlalu ke dapur.

Ibu senyum. “Masuklah Zaf. Nak suruh ibu angkat memang tak terangkatlah. Nampak je kecil tapi berat tu boleh tahan.”

Dalam hati aku ketawa sendiri. Berat tulang ke berat dosa? Terus aku ketawa kecil tapi tak lama bila aku sedar aku mula merepek.

Kaki ini maju ke dalam. Mataku tertancap pada tubuh kecil itu yang sedang melingkar di atas katil. Comel dengan rambut yang masih bertocang kuda itu. Wajah itu nampak penat. Bila aku hampir dan duduk mencangkung di birai katil, aku dengar helaan nafas halus dia tu.

“Zaf angkat ye, bu?” Aku berpaling pada ibu dan meminta izin dia.

Dia senyum. “Isteri kamu, Zafran. Buatlah apa-apa yang kamu suka.”

Fuh, jawapan ibu mertuaku boleh mendatangkan debar dalam dada. Boleh buat apa-apa saja pada Anaresa tapi aku nak buat apa? Buat masa sekarang ni, aku angkat dia dululah. Kasihan ibu dengan ayah nak lena kejap lagi. Sudahlah masing-masing penat.
Aku dengan penuh hati-hati mencempung tubuh Anaresa ke dalam pelukanku dan sungguh kata ibu. Berat jugak budak ni. Nampak je kecil tapi beratnya, ya ampun.

“Berat, kan?” soal ibu mungkin melihat aku menyerangai.

Aku apa lagi. Senyum dan buat muka macho lalu aku menggeleng.

“Tak adalah berat. Ringan je ni,” dalihku lalu aku menapak perlahan-lahan bila ibu lebarkan daun pintu.

Bila keluar, kakak Anaresa senyum. “Hai, Resa ngelat ke?” tanya Kak Sara.

Aku hanya senyum saja. Terasa malu juga bila diusik demikian. Daun pintu aku tolak dengan bahu dan aku bawa tubuh Anaresa hampir ke katil. Perlahan-lahan aku letakkan dia dan sungguh, dia memang tak sedar langsung.

Kalau aku campak keluar tingkap juga, dia tak akan sedar. Penat sungguh ni tapi aku juga penat. Tak adil bila dia lena dalam bilik ibunya sedangkan aku menanti dia di dalam bilik ini sejak dari tadi.

“Sayang ni, lena tinggalkan abang ya?” tanyaku pada dia yang lena.

Aku sentuh pipi gebunya itu sikit. Lembut sungguh. Kemudian, aku cuit pula bibir merah basah itu. Aduhai, memang hampir tercabut jantung dari dada. Mahu gugur ke lantai kalau terus merenung dia.

“Resa… bangkit Resa,” kejutku lembut.

Dia masih kaku lalu aku bawa dudukku di sisinya di birai katil. Dia pula mengiring ke arahku tanpa sedar. Tanganku ringan menarik ikatan pada rambutnya dan membiarkan rambut panjang itu lepas bebas.

Sama seperti pertama kali aku melihat dia di jendela kala aku datang meminangnya dulu. Memang cantik dia sebenarnya. Ada kelembutan di balik kekasaran dia selama ini. Bila dia menggeliat, aku jarakkan sikit tubuhku namun tanpa aku sangka, Anaresa bangkit dengan mata yang terpejam dan memaut leherku membuatkan wajahku hampir pada dia.

“Rindunya dekat awak,” ucap dia dan aku telan liur berkali-kali.

Rindu dekat siapa dia ni? Kalut dah jiwa aku ni. Isteri aku ada orang lain ke sebelum ni? Aduhai, tak boleh jadi ni. Ya Allah, janganlah diduga hati lelaki ini. Doaku pantas lalu aku raup telapak tangan ke wajah.

“Rindu dekat awak,” ulang Anaresa lagi dan kali ini dia makin kuat memaut leherku dengan mata yang kejap terbuka, kejap terpejam.

Isteri aku ni memang tak sedar. Tapi, aku mula cuak. Entah siapa yang dia mimpikan. Memang boleh buat jiwa rabak kalau dia sebut nama mana-mana lelaki.

Malas hendak melawan, aku rebahkan tubuhku di sisinya. Tubuh itu rapat dan semakin rapat tanpa aku tarik sikit pun. Detak hati lelakiku semakin kuat menujah dada. Hampir pecah rasanya bila Anaresa rapatkan wajahnya ke wajahku.

Pautan pada leherku pula erat dan semakin erat. Bukan salah aku kalau aku juga memaut tubuhnya. Gelora di jiwa sukar hendak aku sekat kala ini. Apatah lagi dia sudah halal untuk aku sentuh sana sini. Macam pesan ibu, aku berhak buat apa saja yang aku suka pada dia tapi bila ingatkan janji dia, takut pula hendak bertindak.

Bibir itu senyum dan tanpa sedar, dia merapatkan bibirnya ke pipiku lantas dikucupnya sekali.

“Rindu awak. Menyesal pulak hadiah awak pada Abang Zaf,” ujar dia dengan suara yang lemah dan agak perlahan.

Bagi pada aku? Hadiah? Tak kan teady bear Arsenal tu kot? Orang kata, ajak layan orang mengingau ni seronok.

“Apa yang Resa bagi?” tanyaku berbisik dekat di telinga dia.

“Teady bear. Tak ada dah teman peluk,” jawab dia dalam keadaan tak sedar.

Aku ukir senyum. Lega bila dia berkata demikian. Rindu teady bear dia rupanya. Tapi sekarang, tak usah rindu lagi sebab aku boleh jadi teady bear dia. Besar lagi. Jangan kata dia peluk teady bear tu, aku yang peluk dia.
Lantas, aku paut tubuh itu rapat padaku. Membawa dadanya rapat dan aku benamkan wajahnya ke dada. Haruman rambut panjang itu menusuk ke hidung, membawa gelora di jiwa yang semakin mengganas.

Aku pejam mata rapat-rapat cuba menghalau keinginan yang satu ini. Namun, sedaya mana aku tolak, semakin menghimpit pula rasanya. Membawa aku resah dalam nafas yang kian berat.

Aku cuba tolak pautan Anaresa pada leherku tapi dia masih erat membelit. Apa kena dengan dia ni? Buat aku resah tak sudah.

“Resa…,” seruku lembut.

“Bangkit sayang. Bangkitlah kejap,” suruhku berbisik.

“Emmm…..” Hanya itu yang aku terima menjadi jawapanya.

“Sayang… bangkitlah kejap. Nak terpenggal leher abang ni. Abang bukan teady bear Arnsenal tu. Ini teady bear Resa yang boleh bertindak balas ni,” sambung lagi dan kali ini lagi dekat pada peluput telinganya.

Aku lihat mata itu terjegil tiba-tiba lantas dia tolak aku menjauh dari dia. Aku senyum dengan menongkat tubuh dengan siku. Dada Anaresa berombak ganas. Aku nampak kebimbangan pada air wajahnya itu.

“Puas dapat peluk teady bear?” tanyaku mengusik.

Dia diam dan menelan liur. “Maaf, Resa tak sengaja peluk abang. Resa cuma mengingau je.”

Peluk kecil mula merenik pada dahinya. Dia telan liur berkali-kali bila aku mendekat padanya. Rambut yang berterbangan hingga menutup separuh wajahnya itu aku selak ke belakang. Bibirnya nampak bergetar.

“Resa mimpi apa tadi?” soalku mesra. Sengaja aku lunakkan suara untuk dia.
Dia diam saja.

“Resa kenapa lena dalam bilik ibu? Abang tunggu Resa masuk,” ujarku lagi.

“Err… Resa minta maaf. Tak sedar terlena masa sembang dengan ibu,” jawab dia dan dalam hati aku menjawab, alasan!

“Atau Resa takut dekat abang? Tu yang tak nak masuk bilik?” tanyaku pantas.

Dia diam lagi.

“Nak takut kenapa? Abang kan suami Resa…” Aku angkat jemariku membelai wajahnya.

“Abang kan lelaki yang sah untuk jaga dan taja Resa seumur hidup ni. Tak perlu nak takut, kan?”

Dia nampak menelan liurnya berkali-kali. Bila aku letak tanganku di belakang lehernya, dia nampak semakin kaget. Aku suka lihat wajah takut itu. Nampak comel dalam kekalutan. Wajah pertama kali kala aku menatap dia dulu.

“Resa takut?” Aku tekan sikit suaraku kali ini. Lebih serius dari tadi.

Dia angguk pantas.

“Nak takut apa?”

“Err… takut abang buat err…”

“Tadi peluk abang rapat ke dada, tak apa pun?” selaku.

Dia gigit bibirnya. Wajah itu semakin mendung. Boleh jadi kejap lagi dilanda hujan airmata.

“Kalau abang buat tak salah, kan? Memang sebuah pernikahan menuntut semua tu?” tanyaku pada dia.

“Tapi, Resa rasa tak sedia…” Suaranya mati. Ada sebak di hujung suara itu.

Aku ukir senyum. Mengerti benar dengan ketakukan dia, aku semakin lebarkan senyuman bila mata bening itu merenungku penuh keresahan.

“Jangan risau. Abang tahu Resa tak sedia lagi. Lagipun, kita sama-sama penat. Tidurlah dulu. Selamat malam. Assalamualaikum, sayang,” ucapku lalu aku rapatkan bibirku ke dahinya.

Mengucup dia buat kali kedua setelah siang tadi. Aku gariskan senyuman seketika melihat dia yang kaku terpaku. Pipi itu aku kucup sekali dan aku terus rebahkan diri. Saja aku diamkan diri kerana aku yakin, dia akan menyerah.

Aku rapatkan kelopak mata. Tidak lama setelah itu, lampu padam membawa keheningan malam yang begitu sepi melanda jiwa lelakiku.
Tanpa sedar, ada telapak tangan yang merayap ke bahuku.

“Abang maafkan Resa, kan?” tanya suara itu polos.

Aku senyum saja. “Abang maafkan. Jangan risau. Resa tidur, ya. Esok nak kena basuh kawah ni.” Selembut mungkin aku menjawab pertanyaannya agar dia tidak berasa bersalah.

“Terima kasih, abang,” balas dia dan aku dapat rasakan, dia juga sedang merebahkan tubuhnya.

Tidak lama setelah itu, aku berpaling menghadap dia. Hembusan nafasnya hangat menyapa wajah membawa gelora di jiwa kembali mengganas. Di luar pula, guruh semakin kuat di langit.

Akhirnya, kala berdentum guruh di langit, tidak sedar juga Anaresa sekali lagi berada rapat di dadaku. Aku dengar dia beristighfar.

“Huh, kurus semangat,” gumamnya.

Aku yang masih belum terlena ini, menarik dia ke dalam pelukannya erat. Tak mahu lagi aku lepaskan dia bila dia buat kedua kalinya memelukku tanpa aku paksa.

“Erk…. Abang jangan salah faham. Resa terkejut dengan guruh,” ucap dia cuba meleraikan pelukanku.

“Abang tahu dan Resa juga jangan salah faham. Abang nak peluk isteri abang je. Tak akan buat apa-apa selagi isteri abang tak sedia. Itu janji abang,” gumamku pula.

Pelukan semakin erat dan terus rapat apatah lagi aku rasa tangan Anaresa membelit tubuhku juga. Memberi kehangatan pada malam yang semakin dingin ini.

“Maafkan Resa, ya?” pinta dia sekali lagi.

Aku lebarkan senyum biarpun kami sudah tidak mampu melihat ke arah wajah masing-masing. Rambutnya aku belai lembut dan dahinya aku kucup buat ke sekian kali.

“Abang maafkan. Tapi,untuk malam ni je. Malam-malam esok abang tak boleh janji,” usikku dan dia menjerit kecil.

“Syhh… nanti ayah dengan ibu cakap abang ganas pulak,” tegurku terus mengusik.

Anaresa ketawa kecil. “Abang memang ganas ke?”

Alahai, telusnya soalan dia.

“Resa nak tahu ke?”

“Erk…” Suara itu aku matikan akhirnya dan tubuh Anaresa kaku.

~~> bersambung

Cik Penulis : Maaf kalau rasa update ni mcm seksi sikit..huhu..

Saturday, April 14, 2012

Kerana Sekali Cinta [12]

BAB 12

CERMIN di depan mata, aku pandang lama. Macam tak percaya. Kejap lagi je aku nak menikah. Akhirnya, keluarga kami pakat-pakat nak nikahkan kami dulu dan sedikit kenduri kesyukuran sebab masa terlalu singkat. Kenduri besar-besaran nanti, mama berniat untuk adakan serentak di rumah kami.

Kala ini, ada kenangan lama yang hadir. Aku pandang baju Melayu putih bersih ini yang sudah sedia tersarung pada tubuh. Tampan jugak aku ni. Cantik kemasannya. Tak sia-sia mama pilih Butik Andaman Falah tu.

Teringat waktu mencuba persalinan ini dua hari sudah. Anaresa langsung tidak mahu keluar untuk aku lihat dia mengenakan persalinan itu. Pemalu sungguh.

Sedangkan kala itu, keinginanku untuk melihat dia membuak-buak. Resahnya hati, kalutnya nafas lelaki ini, hanya Tuhan yang tahu. Tapi, bila Zafrina menjeling tak sudah-sudah, aku biarkan saja hasrat hati dan aku buka pakaianku lalu aku berlalu keluar.

Sewaktu duduk di bangku di depan Delifrance menantikan dua orang anak dara itu keluar, aku ternampak seseorang. Pantas aku angkat tubuh. Macam tak percaya boleh terjumpa dia lagi di sini? Pejabat lamanya?

Aku panjangkan leher mengintai dari sebalik tiang bila dia singgah di Kedai Kek Fruity. Wajah itu tetap mulus dan cantik macam dulu. Nampak sopan dan comel. Tapi, kenapa dia sendiri? Aku terus mengintai lantas telapak tangan ini aku bawa ke dada. Mencari debar yang mungkin tersisa tapi sungguh, langsung tiada apatah lagi setelah beberapa ketika, aku nampak pemilik hatinya bersama.

Ya Tuhan, bertahun tidak bersua tapi hari ini, takdir membawa kami bertatapan lagi biarpun, aku masih tidak mampu hendak menonjolkan diri di hadapan mereka.

“Dah siap, yang?” soal lelaki itu sambil memaut bahu dia.

Dia berpaling dan mengukir senyum. Senyuman yang pernah aku dambakan menjadi milikku tapi sayang, kudrat tidak ada di tangan ini lantas bibirku juga tersenyum melihat dia bahagia.

“Dah… nak bayar je? Tak pun abang belanja, aci tak?” soal dia lagi.

Lelaki itu mengangguk pantas. “Apa je untuk isteri saya tersayang ni.”

Nampak mesra sungguh mereka ini setelah dugaan hebat membadai satu ketika dahulu. Dan, aku pun yakin, aku dan Anaresa boleh jadi lebih hebat daripada mereka dalam menyulam kasih kerana kasih dan cinta aku memang ikhlas.

Mata ini terus terpaku melihat pada keduanya. Bila selesai buat bayaran, mereka berdua berjalan menuju ke arah pintu yang hendak menuju ke tempat letak kereta. Cepat-cept aku menyembunyikan diri. Risau ternampak tapi rasanya, kalau nampak pun tak ada apa-apa.

Mereka kawan lama dan aku juga bakal berumahtangga. Hendak menjemput, kad masih belum ada. Sudahnya, aku diamkan diri dan tanpa sedar, bahuku ditepuk kuat.

“Along tengok siapa tu?” sergah Zafrina.

“Along tengok Ana, eh Ann eh… eh… tak ada siapalah.” Terkejut punya pasal semua benda terkeluar.

Zafrina ni memang nak kena agaknya. Bila aku bertentangan mata dengan Anaresa, wajah itu nampak pelik. Ada kerutan sikit pada dahinya.

“Siapa?” tanya Anaresa perlahan. Mungkin tidak jelas di pendengarannya tadi.

“Emm… ini mesti tak lain tak bukanlah ni. Berangan nampak penulis kesayangan dia la tu, Kak Long,” ujar Zafrina lagi.

Aku tahu niat dia mengusik tapi aku tak selesa sebab Zafrina tak pernah tahu kisah hati aku pada wanita itu dulu. Hanya mama yang mengetahuinya atau juga abah sebab mama haruslah bercerita pada abah tentang semua ini.
Mata ini terjegil pada Zafrina. “Rina jangan buat cerita, ya!” tegurku.

“Cerita apa? Sungguh apa Along ada minat buku sorang penulis ni je, kan? Siapa dah nama dia. Pelik sikit nama dia. Siapa ya, Along?” Zafrina garu kepala.

Terlupa atau buat-buat lupa, aku rasa aku nak luku je budak ni. Pandai je dia buat-buat melatah macam tu.

“Tak ada siapalah. Dah siap ke? Jomlah kita balik. Mama dah tunggu. Nak hantar Resa balik Shah Alam lagi ni,” ajakku melarikan diri dari perbualan asal.

“Ala, baju Rina?” Adik aku ni buat wajah kasihan.

“Nanti-nantilah. Penuh satu almari dah baju dia. Pakai je mana ada. Jom Resa,” ajakku sekali lagi.

Langsung mati niat hendak berjalan-jalan lepas terjumpa kisah hati lama apatah lagi lidah ini terlanjur bicara sikit. Bahaya sungguh. Ingat nak kuburkan macam tu je tapi, terlepas pulak dah.

Kakiku melangkah tapi tidak pada Zafrina dan Anaresa. Bila aku kalih, dia senyum pada balik tiang.

“Errr… Along ini… ini…” Suara Zafrina gagap sambil menjeling ke arahku.

Apa lagi dia ni? “Apa lagi, Rina? Cepatlah,” gesaku.

Anaresa senyum dan berpaling.

“Penulis errr…” Kata-kata Zafrina mati lagi.

Aku berpaling dan hendak mendekat pada mereka tapi sayang langkah ini pegun bila wajah yang ku intai tadi muncul tepat di depan mataku.

“Assalamualaikum, Zafran,” sapa dia lembut.

Zafrina senyum. Namun, aku dan Anaresa diam terpaku. Matilah…

Aku tarik nafas dalam-dalam. Mana boleh melatah. Andai dulu aku macho melamar cintanya, macho juga dalam membawa dia pada cintanya, hari ini aku juga akan terus macho berhadapan dengan pertemuan kami.

Nafas aku hela perlahan dan bibir ini menguntum senyum dan keningku terjungkit sedikit lalu aku rapat pada Anaresa dan Zafrina yang nampak pegun melihat ke arah aku dan Anahara silih berganti.

“Waalaikummussalam… I just can’t believe this. Ana buat apa kat sini?” tanyaku buat-buat teruja.

Tapi, sungguh aku agak teruja melihat kebahagiaan dia. Setidak-tidaknya, aku rasa rasa pengorbananku dulu membawa sejuta rahmat buat kami semua. Ada hikmahnya. Hikmah yang tentunya hadir biarpun agak lambat. Hikmah yang membawa aku pada anak gadis ini. Aku jeling Anaresa yang masih lagi diam.

“Siapa?” soal dia tanpa suara. Aku senyum lagi.

“Saya teman Mukhlis renew lesen memandu dia dekat JPJ tingkat dua,” jawab Anahara lembut dan tetap sopan bagai dulu. Namun, sudah tidak keras dan tegas.

Aku sengetkan kepala dan jungkit bahu sikit. “Kebetulan jumpa kat sini,” ucapku.

Dia ketawa. “Eh, ni awak santai je pakai. Tak kerja ke? Sarina tak ada, kan?”

“Dia kerja luar. Saya cuti hari ni.”

Anahara memandangku lain macam. Nampak usikan di balik renungan tipis dia itu lantas dia berpaling pada Anaresa dan Zafrina yang terkaku. Tangan dihulurkan sebagai tanda perkenalan.

“Ana… ni adik saya, Zafrina. Dan ini…” Aku rapat pada Anaresa membawa dia berdiri di tengah-tengah antara aku dan Zafrina.

Anahara jungkit kening. “Special ek?” teka dia.

Aku garu kepala dan angguk. “Sangat special. Anaresa, tunang saya,” jawabku jujur.

Wajah Anahara nampak terkejut. Aku rasa aku dapat tebak apa yang bermain di dalam fikirannya itu. Baru hendak berkisah untuk hal seterusnya, tiba-tiba muncul Mukhlis.

Dia juga beriak terperanjat. “Eh, Zaf,” tegur dia.

Aku senyum saja. “Sihat?” tanyaku pula.

Dia angguk lalu tangan kami bertaut. Aku tepuk bahunya sekali dan begitu juga dia. Rasa lega sungguh. Baru kejap tadi kalut, ini sudah rasa tenang. Andai Anaresa ingin tahu, aku sudah sudi hendak berpenglipurlara padanya.

Kisah hati itu sudah lama berlalu dan terbukti sudah, memang Allah mahu temukan aku dengan kisah hati yang lain. Dengan seorang perempuan yang sudi datang menyerah untuk menerima cintaku.

“Lama menghilang?” soal Mukhlis ceria.

“Busylah aku ni. Sehari dua ni lagilah busy,” jawabku.

Tak kanlah tiga tahun tak bersua sibuk memanjang. Memang aku sibuk. Sibuk mendidik diri menerima hakikat cinta lama yang tak kesampaian.

“Anak-anak mana?” tanyaku pada Mukhlis pula bila lihatkan hanya mereka berdua saja.

Mukhlis memandang isterinya. “Anak-anak tinggal dekat rumahlah. Aku datang ada hal sikit. Ana nak pergi Pasar Seni kejap lagi. Ada hal sikit. Itu yang tak bawa anak.”

“Zaf, jomlah ikut kami ke CM. Bawa errr… Ana ya?” soal Anahara pada Anaresa.

Aku senyum. Mukhlis nampak pelik. Zafrina kaki. Anaresa lagilah terkedu.

“Resa. Kami panggil dia Resa.” Aku menyampuk pantas.

Anahara mengangguk. “Oh, maaf. Resa ya. Kakak ni…”

“Tahu… Novelis, kan?” tanya Anaresa polos.

Anahara mengangguk.

“Ann Rahana, kan?” soal dia lagi.

Sekali lagi Anahara mengangguk. Anaresa membuka zip beg galasnya lantas dia keluarkan sebuah novel milik aku. Eh, bila masa dia dapat novel tu? Padanlah tak ada. Hai… ni mesti kejap lagi banyak je soalan dia.

“Ini buku kakak, kan?”

Anahara memandang aku dan Anaresa silih berganti. Mukhlis masih dengan wajah berkerut dia tu. Zafrina memang terpasung lidah. Tak ada suara langsung. Gamam jumpa penulis atau ada syak yang timbul, aku juga tak pasti.

“Zaf ni… mesti dia dok beli lagi buku saya,” ucap Anahara padaku bersama segaris senyum tipis.

“Kau baca novel lagi ke, Zaf?” soal Mukhlis pula.

“Sesekali isi masa lapang. Belajar cara bercinta,” selorohku.

Mukhlis ketawa dan Anahara juga. Hanya Anaresa yang diam memegang buku itu.

“Ini buku kakak. Lagipun, kami bertiga ni kenal dah lama. Suami kakak, Mukhlis dan Zaf dan kenal lebih kurang tiga tahun, kan Zaf?” Anahara jungkit kening dan aku mengangguk.

“Abang tak tahu lagi, kan?” tanya Anahara pada Mukhlis.

Si suami jungkit kening. Tapi, Anahara tidak bersuara sebaliknya dia dekatkan wajah pada telinga Mukhlis dan berbisik. Setelah itu, Mukhlis sekali lagi menepuk bahuku dan kali ini lebih kuat. Menyeringai jugaklah wajah aku ni.

“Wei… tak ada niat nak ajak kami ke?” tanya dia lantang. Habis orang pandang. Memang tak semenggah betullah suami Anahara ni. Bebel hatiku sendiri.

Aku senyum. “Ni nak ajak la ni. Lagipun, kami nikah dulu. Kenduri lambat sikit,” ujarku.

Berdalih langsung padahal memang aku tak terlintas hendak menjemput mereka. Niat itu ada cumanya tidak terluah. Alang-alang terserempak begini, memang takdir telah berikan yang terbaik.

Mereka mengangguk. Aku pandang Anaresa yang masih memegang novel milikku itu dan wajah itu… murung?! Cemburu dah pulak dia. Tapi, aku hanya tersenyum berjabat tangan dengan Mukhlis.

Setelah kami berpisah, aku lihat Anaresa diam saja. Berjalan tunduk menekur ke lantai. Niat hendak berjalan-jalan yang terbatal tadi, ada kembali. Aku tarik tangan Zafrina berhenti melangkah tapi Anaresa tetap maju. Langsung tak sedar kami dah berhenti. Nampak sangat sedang mengelamun. Jangan dia langgar dinding sudah.

“Kenapa dengan Kak Long tu?” tanya Zafrina padaku.

Aku senyum. “Kak Long Rina merajuk.”

Aku suakan kad kreditku pada Zafrina. Umpan agar dia meninggalkan aku dan Anaresa. Tiada niat lain pun, hanya sekadar nak memujuk saja.

“Rina ambil ni, pakai jangan lebih RM200. Kalau sampai statement nanti, lebih dari tu, siap Rina. Along nak pujuk tunang tercinta ni kejap. Nanti nak balik, Along call Rina, ya,” sambungku.

Dan Zafrina, senyuman dia melebar dan makin melebar menyambut kad kredit berwarna emas itu. Tak mampu nak capai tahan platinum lagi.

“Waa… untunglah ada kakak ipar ni. Boleh pakai kad kredit Along. Selama ni tak pernah boleh pun,” balas adik aku teruja.
Aku cubit pipi dia sikit. “Jangan pakai banyak-banyak sudah!” pesanku.

Dia bukan boleh. Aku pesan dua ratus. Buatnya dia pakai dua ribu, pitam aku nanti. Sudahnya aku hantar Zafrina pergi dengan ekor mata. Kaki ini lantas aku bawa menapak laju ke arah Anaresa.

“Resa,” seruku tapi dia tetap diam menapak.

“Resa, hati-hati sikit. Langgar pintu tu.” Aku percepatkan langkah.

“Dia ni…,” rungutku lalu aku berlari-lari anak pada dia.

Baru saja aku nak hampir pada dia, seorang lelaki hampir melanggar Anaresa dan aku cepat-cepat tarik lengannya dari terus dilanggar lelaki itu.

“Sorry, bang,” ucapku dan kala ini, barulah Anaresa berpaling padaku. Nampak macam baru sedar yang dia di atas bumi dan bukan terapung-apung di bulan.

“Resa kenapa ni?” tanyaku lembut. Pautan pada lengannya aku lepaskan bersama keluhan tipis.

Dia memandangku dengan anak mata yang nampak berkaca-kaca. Aduhai, nak menangis pulak ke dia? Dekat mall ni.

“Resa kenapa?” soalku sekali lagi.

Dia tidak menjawab sebaliknya, dia suakan buku itu padaku. Aku sambut dan aku belek helaian demi helaian dan terjumpa sebaris ayat yang bertinta tangan dari Anahara. Tiada apa, sekadar mengucapkan terima kasih di atas segalanya.

“Kenapa dengan buku ni?”

“Resa rasa abang dengan kakak tu tadi…” Kata-katanya mati. Nampak dia tidak sanggup hendak bersuara.

“Kami kawan lama,” jawabku jujur.

“Dan abang mesti pernah…”

“Suka dia,” sambungku mencatas suaranya.

“Tapi…” Aku meleretkan kata lalu aku minta dia menapak bersamaku. Tak elok duduk tercongok di pintu masuk pusat membeli belah ni.

“Dia dah ada suami sekarang. Cuma masa abang suka dia tu, dia ibu tunggal. Kawan pada kawan abang, Sarina. Tak ada orang tahu pun, mama je tahu. Tapi, ini kisah lama. Tiga tahun dulu dan Alhamdulillah tengok dia bahagia sebab dia memang terduga satu waktu dulu. Tak mudah diorang nak berbaik dan tak mudah abang tolong dia untuk dia kembali pada suami dia tu,” akuiku lagi.

Aku tahu, Anaresa sedang merenung sisi wajahku namun aku, hanya mampu tersenyum. Memang itu hakikat. Tiada apa yang perlu aku bohongi lagi.

“Abang masih cintakan Ana…”

“Abang cintakan Anaresa je sekarang. Abang nak sayang, nak rindu, nak cinta nak bagi kasih sayang abang pada Anaresa je sekarang. Anahara tu kisah lama dan kami masih berkawan. Resa cemburu, ya?” tebakku bersama senyuman tipis.

Dia diam menunduk. Aku lihat jarinya memicit-micit cincin di jari manis itu memberikan jawapan padaku yang dia memang cemburu.

“Tak payah nak cemburu sangatlah. Resa sendiri dah tengok kami macam mana, kan?” soalku bila dia kekal diam.

“Tapi…” Anaresa akhirnya bersuara.

“Resa yakin yang abang pernah cuba dapatkan dia, kan? Tengok dari cara abang baca novel dia, Resa boleh rasa yang abang memang cintakan dia.”

“Dulu la, Resa. Dah bertahun berlalu. Memang abang pernah cinta dia tapi untuk lihat dia bahagia. Dia bahagia dengan suaminya jadi abang tak teragak-agak nak bantu diorang pulihkan semula hubungan suami isteri diorang tu,” ucapku.

Aku labuhkan duduk di atas sebuah bangku kayu berwarna coklat di depan Bjuti Butik. Mujur orang tak berapa ramai sebab tak sampai waktu rehat lagi. Beg kertas yang ada di tangan Anaresa aku capai.

Beg kertas berisi pakaian persalinannya. Aku intai sikit dan memang cantik warna putih mutiara itu. Tak dapat aku bayang andai tersarung pada tubuh kecil yang sedang memakai jeans dan kasut ni.

Dia duduk di sebelahku agak menjauh. “Habis tu kenapa abang tak pernah cerita pada Resa tentang ni?” tanya dia tiba-tiba.

“Nak cerita apa? Tak ada apa pun. Resa dengar sini. Ingat tak abang pernah cakap pada Resa, yang abang ni akan buat macam ni juga pada wanita yang telah Tuhan takdirkan untuk menjadi isteri abang. Macam Anahara dulu, abang juga cakap perkara yang sama. Kalau bukan dia, insyaAllah dengan orang lain pun abang sudi nak bagi cinta dan rindu abang sepenuh hati tapi wanita itu haruslah sudi menjadi seseorang yang halal untuk abang.”

Aku telan liur seketika sebelum menyambung. Bila aku melirik padanya, dia tunduk saja. Emm, rasa bersalah la tu. Cemburu tak masal.

“Sebab tu, bila Resa nak kita nikah cepat dan jalan untuk kita pun mudah, abang terima. Abang nak Resa rasa nikmat cinta dan kasih sayang abang ni setelah kita halal. Macam Anahara dulu, dia lain. Dia ada kisah hidup yang Resa sendiri tak percaya kalau abang cerita tapi kita lain. Percayalah, Resa. Kalau Allah dah jodohkan kita, dia permudahkan segala urusan. Mungkin tidak sekarang kita terduga, tapi esok-esok mesti ada yang menduga. Masa tu, Resa kena ada di sisi abang sebab abang perlukan kekuatan dan sokongan dari Resa bila satu hari nanti, Allah duga rumahtangga kita. Boleh tak macam tu?” soalku meminta dia bersuara.

Anaresa angguk lambat-lambat. “Maaf sebab curiga pada abang,” pintanya lembut.

“Abang maafkan…,” dan aku senyum saja menjeling ke arah wajah comel itu yang sedang menahan malu. Tahu pun malu sebab curiga pada aku.

Novel itu aku tutup dan suakan pada dia. “Mulai hari ini, abang tak nak baca novel dah sebab abang dah tahu macam mana nak buat kisah cinta abang sendiri dengan Resa nanti,” ujarku mengusik. Usikan yang penuh makna.

Dia tekup mulut. Menahan tawa atau menahan malu, aku tak pasti tapi wajah itu semakin merah.

“Oh, tadi tu cakap baca novel nak apply cara bercinta betullah?” tanya dia.
Aku angguk. “Itulah. Mata pena penulis ni kan tajam. Abang belajarlah sikit-sikit mana yang baik.”

“Eleh… kan pernah bercinta sebelum ni,” tukasnya.

Aku menggeleng. “Ops, salah itu sayang. Abang pernah jatuh cinta tapi tak pernah bercinta dan Resa adalah orang pertama yang merasa cinta abang jadi sila jangan…” Aku hentikan suaraku di situ.

“Erk… jangan apa?” Wajah itu beriak risau.

“Jangan tak hargai cinta abang ni. Mahal tau,” sambungku lalu aku ketawa.

Dia mencemik. “Abang tu kena jaga Resa. Kena taja Resa seumur hidup ni. Itu janji abang, kan?”

Aku angguk laju. “Kalau Resa sudi bagi baby dekat abang,” selaku lalu aku bangkit menjauh bila Anaresa hendak memukulku dengan beg galasnya dan tawaku lepas.

***

“TAK SIAP lagi, Along?”

Aku tersentak. Sokong di tangan jatuh ke lantai. Aku berpaling dan ternyata mama sedang senyum.

“Mama ni, terkejut Along,” rungutku sikit sambil tunduk mengutip songkok yang jatuh di kaki.

“Dah Along tu berangan. Kami semua siap dah ni. Sarina sekeluarga pun dah sampai dan Anahara dengan suami dia pun dah sampai,” beritahu mama.

Terjegil mataku. Anahara dengan Mukhlis pun? Aduhai… memang segan dengan mereka. Malu hendak menjadi seorang suami tapi keinginan hendak memiliki Anaresa menggebu dalam diri.

Aku senyum pada mama. Nafas ku hela tenang. Tenang bila segalanya mampu aku beritahu Anaresa sebelum kami nikah. Lega kerana dia mengerti dan lega kerana perkara ini tak akan memberi kesan lagi. Biarpun secara tidak sengaja tapi aku terima segalanya dengan baik.

Lebih-lebih lagi Anaresa mampu terima dan akulah yang menjadi hamba yang paling bersyukur.

“Cepatlah Along. Nanti lambat pulak,” gesa mama lantas dia berlalu.

Aku berpaling pada cermin dan senyum pada diri sendiri. Kala ini, nampak wajah Anaresa yang malu-malu tapi tak mampu nak bayang macam mana dia dalam persalinan yang suci ini? Haruslah sangat cantik.

Aku capai kunci kereta dan terus turun. Aku senyum pada semua. Anahara dan Mukhlis serta dua orang anak perempuan dan lelakinya sedondon. Sarina sekeluar juga sedondon. Keluarga kami pun sama. Cantik mengenakan pakaian berwarna peach lembut semuanya. Kontra dengan aku yang satu-satu-satunya berpakaian putih ini. Menjadikan aku sangatlah istimewa hari ini..

“JOmlah semua. Nanti lambat pulak,” ajak abah.

Mama, Zafrina dan Zafrina serta mama bersama abah. Mukhlis sekeluarga masih dengan kereta mewah mereka. Sarina juga bersama suaminya dan juga beberapa orang kawan abah masing-masing mula bergerak ke arah kereta dan yang peliknya, aku sendirian masuk ke Mazda merah ini. Hai… sendiri lagi.

Aku keluarkan telefon bimbit lalu aku larikan jemariku di atas skrin itu. Menghantar pesanan ringkas pada Anaresa.


Resa dah ready? Abang otw. Nanti abang bawa Resa bila dah angkat Resa menjadi
wanita halal di sisi abang.



Aku tekan SEND. Tidak lama lepas itu, dia membalas dan bibirku menguntum senyum.


Resa takut.


Itu saja yang dia katakan. Entah apa yang dia takutkan aku sendiri tidak tahu tapi haruslah tentang tanggungjawab yang satu itu. Aku tekan lagi skrin.


Abang akan hilangkan takut Resa tu nanti. Percayalah.


Dia tidak membalas dan aku hanya mampu menguntum senyum lalu aku tekan pedal minyak bila semua kereta sudah bergerak menuju ke jalan raya. Permudahkan segalanya Ya Tuhan, bisik hatiku penuh berharap.

Dalam perjalanan, SMS daripada Anaresa tak henti-henti masuk. Aku tak sempat hendak menjeling pun. Risau bila sedang memandu dalam kelajuan begini. Entah apa lagi yang dia tak puas hati ni.

Sudahnya, kami tiba akhirnya di perkarangan rumah dia. Waktu ini, sudah ramai orang. Padahal nak nikah je pun. Tapi, macam kenduri besar-besaran. Kata tak sempat tapi meriah juga.

“Dah sedia?” tanya Anahara yang entah bila hadir dekat denganku. Tak tahu bila dia hadir bila aku sedang ralit membetulkan pakaianku mengadap cermin kereta.

Aku berpaling dan senyum. “Insyaallah dah,” jawabku yakin lalu aku jeling pada suaminya yang sedang tersenyum pada kami.

“Tahniah untuk awak Zaf. Akhirnya, kan? Ada yang hadir menyerah untuk menerima cinta dan kasih sayang awak yang hebat tu,” ucap Anahara.

Aku angguk. “Itulah. Jodoh pertemuan dah ada. Masa je yang akan tentukan dan saya kenal Anaresa pun tak lama. Terlalu baru.”

“Saya tahu. Sarina dah cerita pada saya dan Mukhlis.” Dia senyum.

“Pada saya, masa pertemuan tu tak penting sangatlah. Janji, kami mampu sesuaikan diri sudah. Cuma risau sikit sebab dia muda sangat dari saya.”

“Muda juga bukan masalah kan?” Nada Anahara jelas yang dia membantah kata-kataku tadi.

“Itulah, memang bukan masalah pada saya tapi saya takut masalah pada dia.”

Tawa kecil Anahara meletus. Dia menggeleng beberapa kali sebelum berpaling pada suaminya dan kemudiannya berpaling semula padaku.

“Zaf… perempuan ni bila dia cinta, lain cara dia mencintai. Ingatlah Zaf… mungkin tak semua orang tapi saya yakin, saya, Resa adalah jenis yang sama. Dari riak wajah dia saya tahu, kami memang jenis yang sama.”

“Jenis yang sama?” Aku jungkit kening bertanya dia. Kurang faham sikit di sini.

“Ya, jenis sama.” Anahara mengangguk.

“Nama pun dekat sama, kan? Dan saya yakin kami ni jenis sekali cinta, selamanya cinta, Zaf dan saya nampak cinta dalam mata Resa untuk awak,” pujuk dia.

Bibir ini tersenyum lebar. Andai kaumnya sendiri berkata demikian, aku harus akuinya.

“Macam awak dengan Mukhlis macam tu? Apa-apa pun jadi tapi sebab sekali cinta, awak tetap cinta, kan?” sindirku.

Dia angguk. “Mestilah.” Dan, dia ketawa lepas.

“Terima kasih, Ana.”

“Terima kasih kembali buat awak Zaf,” sahut dia.

“Jomlah, mama awak dah panggil tu,” ajak Anahara dan aku sama-sama menapak ke arahnya menyertai rombongan dan sungguh, hampir goyah lutut aku kala ini bila semua sudah memerhatikan aku.

“Macam takut je,” bisik abah.

Aku mencuit lengannya. “Mana ada takut. Anak jantan abah ni. Berani,” ujarku menidakkan kata-kata abah.

“Baguslah tapi nampak berpeluh dahi tu,” sindir abah dan aku hanya mampu buat-buat ketawa lalu aku seka peluh kecil yang merenik di dahi.

“Panas,” selaku. Panas apa, belum masuk tengah hari.

Abah ketawa saja dan kami sama-sama menapak ke dalam rumah bila Pak cik Abdullah sudah mempersilakan kami masuk.
Duduk di tengah-tengah orang ramai ini benar-benar membuatkan aku sesak nafas. Rasanya, kipas rumah Anaresa ni tak mampu dah nak turunkan bahang tubuhku. Nak-nak Pak Imam dah ada di depan mata.

Tangan sudah berjabat salam. Mata sudah bersabung pandang dan akhirnya, ucapan keramat itu terbit dari celah bibir Pak Iman dan syukur bila aku juga lancar membalasnya dengan sekali lafaz saja.

Ayah mertuaku mempersilakan aku bangkit usai doa.

“Err… nak ke mana ni, ayah?” tanyaku polos.

Dia menepuk bahuku lembut. “Jumpa isterilah. Ke tak nak jumpa?” tanya dia.

Aku senyum dan angguk. Mama, abah dan ahli keluarga yang lain juga ikut sama. Ada gentar di hujung jari. Rasa sejuk menyelubungi diri. Bila langsir terkuak, aku nampak wajah Haqmi yang cantik berbaju kurung tapi masih dengan rambutnya yang terpacak. Aziana juga ada. Kedua-dua kakak iparku juga ada menemani si dia yang sedang tunduk menekur ke lantai.

“Err… Assalamualaikum,” hulurku menyapa Anaresa yang langsung tidak angkat wajah.

Aku nampak kakaknya menyiku dia tapi dia tetap membatu. Bila aku hampir dan duduk melutut di hadapannya, aku sapa jemari itu ke dalam pegangannya. Sejuk lain macam.

“Sayang… abang nak sarungkan cincin ni,” ujarku meminta izin.

Dia diam juga. Lantas aku sarungkan saja cincin itu ke jari manisnya. Dia aku sapa tangan itu sekali lagi untuk bersalaman, dia hanya membalas saja dan tunduk mengucup jariku lama.

“Cantik isteri abang ni,” pujiku.

Aku tolak kepalanya agar mata itu dapat aku renung tapi sayang, bila mata itu dihiasi airmata yang bakal mengalir bila-bila masa saja.

“Erk… Resa kenapa?” tanyaku bimbang.

“Resa takut,” akuinya dan serentak itu airmatanya mengalir laju.

Aku terkaku sebenarnya. Tak tahu hendak berkata apa melihatkan keindahan yang tersembunyi di sebalik jeans lusuh dan selendang menutup wajah dia selama ini. Dia memang indah dan keindahan yang telah menjadi milik aku selamanya.

“Nak takut apa?”

“Resa takut abang nanti tinggalkan Resa sebab Resa budak sekolah lagi. Tak tahu masak, tak tahu nak urus rumah tangga,” bisik dia padaku.

Aku lebarkan senyum biarpun mata ini terus rakut menikmati wajah cantik ini. Alis mata itu lentik hari ni. Pipi yang sedia merah itu nampak asli saja. Birai mata yang bercelak hitam itu nampak memukau dan bibir yang merah merekah dan berkilat itu benar-benar menggoda aku.

“Tak adalah…” protesku lalu aku membawa bibirku singgah di dahinya.

Kala ini, teringat kata-kata Anahara padaku tadi. Benar begitu kerana aku juga mahu begitu. Bibir terlepas dari dahinya. Jari kami bertaut erat dan airmatanya semakin laju mengalir.

“Abang akan jaga Resa sebab Resa amanah Tuhan untuk abang dan yakinlah pada abang, sayang. Kerana sekali cinta, abang tetap cinta,” gumamku padanya dan dia senyum lalu lengan itu memaut leherku tanpa aku duga.

Membiarkan mata-mata kenalan dan keluarga merenung kami dan cahaya dari kamera memancar-mancar.

~~> bersambung

Cik Penulis : Maaf pending. Agak bz sikit..tenkiu pada sorang kawan sudi jadi proof reader saya.. saya hargai..

Tuesday, April 10, 2012

Kerana Sekali Cinta [11]

BAB 11

MUJUR juga aku dan Anaresa sama-sama pergi kursus kahwin. Pada mulanya risau juga takut-takut Anaresa belum menghadiri kursus tapi bila dia katakan ya, aku hela nafas lega kala borang permohonan tu aku hantar pada pihaknya.

Dia pergi baru juga bila Fakulti menganjurkan dengan bayaran separuh harga. Budak-budak sekolah semua berduyun pergi. Kahwin bila, itu tak menjadi hal. Janji sah laku. Aku pula, sewaktu menemani Sarina bertahun-tahun sudah. Andai Sarina punya sudah hancur lunyai, aku masih elok terletak dalam fail.

Sehari sudah sewaktu aku menghantar dia pulang hari itu, terasa berat hendak lepaskan dia pulang. Memang sah aku sasau. Sasau dengan budak sekolah. Agak lain juga bila jarak umur kami jauh macam ni. Nak mengada sikit, aku rasa segan. Nanti dia kata aku tak matang. Sudahnya, aku matangkan diri sepanjang masa. Dah tiba waktunya, aku ingin rasa jadi kebudak-budakkan dan aku mahu rasa Anaresa memujukku pulak.

Ingat kejadian hari tu memang buat aku senyum bila aku terpandang apa yang telah Anaresa beri. Hadiah katanya. Melihatkan dia memecut laju memanjat ke rumah sewanya membuatkan aku terkebil-kebil sendiri. Mahu kalah kalau kami berlumba ni. Berdesup!

“Mak ai… lajunya dia lari,” keluhku bersama gelengan kecil melihat dia berlari mendaki anak tangga ke rumah sewanya.

Aku sandarkan tubuh pada kereta dan menyilang tangan ke dada. Waktu ini, aku nampak Haqmi dan Aziana yang sedang melambai lagi padaku. Sedang makan budak berdua tu. Niat hendak ikut sama tapi hari sudah agak lewat.

Tidak lama setelah itu, Anaresa muncul dengan menjinjit beg kertas. Aku tegakkan tubuh dan menanti dia penuh debar. Pertama kali hendak menerima hadiah daripada seorang anak gadis, memang membuatkan aku rasa tak senang duduk. Malu sebenarnya. Dah tua-tua macam ni, menerima hadiah.
Dia memandang kiri dan kanan sebelum melintas. Bila tubuh itu hampir padaku, aku nampak senyuman semakin lebar meniti di bibir comelnya itu. Merah merekah. Semulajadi!

“Resa nak bagi abang apa?” Aku turut lebarkan senyuman.

Dia tidak menjawab sebaliknya, dia suakan beg kertas itu pada dan bila aku buat-buat tidak tahu, dia tarikh tanganku membawa aku memegang tali beg kertas tersebut.
Kala kulit kami bersentuhan, aku rasa darah ini menongkah arus. Renjatan demi renjatan aku rasa di dalam dada. Aduhai… apa ni? Anaresa hanya tersenyum polos tanpa mengerti apa yang sedang aku lalui kala ini.

Cepat-cepat aku tarik tanganku dari pegangannya dan sungguh, terkesan juga oleh mataku riak wajahnya yang berubah sedikit namun dia masih tersenyum mesra dan aku berharap agar dia mengerti akan niat di hati. Tak sudi hendak menyentuh dia selagi dia tidak halal untukku.

Aku dilahirkan menjadi khalifah di bumi. Pemimpin dan pelindung kepada kaum Hawa dan kewajipan aku adalah menjaga maruah dan harga diri mereka. Apatah lagi mereka adalah yang tersayang, maruah mereka akan aku junjung agar tak tercapai oleh mana-mana tangan.

“Err… apa ni?” soalku menyembunyikan resah dalam dada bila melihatkan ada bungkusan di dalam beg kertas itu.

“Abang balik rumah bukalah nanti. Tu je Resa mampu setakat ni,” jawab dia berdalih.

Aku angguk. “Resa dah beri hati pada abang, kan? Cukuplah tu,” pujukku pula.

Dia angguk. “Tapi, suku je baru.”

Aku kerutkan wajah. “Kenapa suku? Sikit sangatlah.” Ada rasa tak puas hati pada akhir suaraku itu.

“Suku jelah dulu. Kan abang juga kata, kita tengah memupuk kasih mencambah sayang. Nanti dah kahwin, up sikit jadi separuh.”

Dia nak main-mainkan aku ni. Tadi suku, dah kahwin separuh pulak? Lagi separuh mana?

“Itu je? Separuh lagi Resa nak bagi siapa? Kena baham buaya ke?” sinisku.

Dia mencemik. “Ada ke baham buaya?”

“Dah tu apa?” tanyaku menahan tawa. Takut pula ketawa berlebih-lebih nanti dia merajuk.

“Lagi separuh tu nak simpan untuk anak-anaklah,” jawab dia malu-malu dan tak sempat aku berkata apa, dia dah berlari laju menuju ke arah Haqmi dan Aziana yang sedang menanti.

“Eh, ada pulak macam tu budak sekolah ni?” tanyaku sendiri.

Aku menggeleng sikit melihat telatah dia. Lucu sungguh. Segala yang dia lakukan memang mencuit hati. Aku senyum sendiri lalu aku pegang belakang tanganku yang disentuh Anaresa tadi.

Masih terasa lain macam. Erk… apa aku fikir ni? Astaghfirrullah. Cepat-cepat aku beristighfar memohon ampun. Terdetik juga sedikit yang bukan-bukan tu. Tanpa fikir lagi, aku masuk ke dalam perut kereta dan beg kertas itu, aku letak cermat di sisi. Menjeling sesekali dengan bibir yang tak lekang dari senyuman.

“Zafran!”

Huh, aku tersentak. Siapa pula yang menyergah tengah-tengah orang berangan ni? Bila aku kalih pada pintu, mama tersenyum simpul. Daun pintu dikuak lebar lalu dia menapak ke dalam mendekatiku yang sedang berehat di atas katil. Letih!

“Mama… terkejut Along. Ingatkan siapa tadi panggil Zafran,” ucapku mengeluh sikit.

Hadiah pemberian Anaresa itu aku pegang saja. Mama senyum lalu dia labuhkan ududk di birai katil membawa aku membetulkan duduk, menarik kaki bersila. Mama tepuk pehaku lembut.

“Mama panggil Along… Along… tapi Along tak menyahut pun. Itu yang mama panggil Zafran. Baru sedar. Seronok nampak peluk hadiah,” usik mama.

Aku sengih dan hadiah pemberian Anaresa itu bertukar tangan. Mama tilik sikit anak patung beruang pakai baju dan topi merah logo Arsenal. Pasukan bola sepak yang aku suka layan. Mana dia dapat patung beruang ni pun aku tak pasti. Minat bola juga budak sekolah ni agaknya.

“Comel je Resa ni bagi hadiah dekat anak bujang mama ni. Dah tua-tua dapat lagi teady bear. Tak malu ke?” sela mama mengusik lagi.

Aku ketawa halus. “Nak malu apa? Dah dia bagi, Along ambillah. Hadiah ni je yang dia mampu katanya. Nanti dah kahwin nanti, Along minta hadiah lebih lagi la.”

“Hah, hadiah apa pulak nak minta? Awak tu dah kerja. Gaji dah beribu. Nak kenakan budak belajar lagi. Kesian Resa nanti,” larang mama.

Apalah mama ni. Aku bergurau je. Dalam hati aku ni, memang aku nak minta hadiah lain. Hadiah untuk menjadikan aku seorang yang lebih matang dan hebat. Hadiah yang mampu memanggil aku papa. Mungkin tidak sekarang tapi satu hari nanti, jika Allah telah izinkan.

“Tak adalah. Along gurau je. Tapi memang segan kot buka beg kertas tu tengok teady bear? Bulat mata tengok. Dahlah Si Zafrina dulu yang buka. Tak sudah-sudah bahankan Along. Tapi, comel juga buat teman tidur,” ujarku pada mama dengan wajah malu.

Mama mencemik. “Malu tapi mahu, kan?”

“Mestilah mahu. Nak harapkan Zafrin dengan Zafrina bagi cucu dekat mama lambat lagi la tu. Biar Along bagi je,” ujarku gatal.

Kali ini, mama tidak mencemik sebaliknya dia cubit pehaku kuat. Menyeringai wajah ni menahan sakit. Pedih!

“Sakitlah, ma,” aduku lalu aku ambil teady bear Anaresa bagi tu dan aku tekup muka. Merajuk sikit dengan mama.

Aku dengar mama ketawa. “Dah pandai merajuk sekarang, ya? Dulu tak pun?”

“Dulu lain, tak ada yang memujuk. Sekarang ada yang memujuk. Itu yang nak merajuk sikit ni.”

“Emm… kalau macam tu, mama pergi telefon Resa jelah minta dia pujuk Along. Itupun kalalu dia nak pujuk. Kalau dia tak nak pujuk?”

Aku larikan teady bear itu dari muka. Suka aku hidu. Ada wangian Anaresa. Bau wangi yang boleh menggoyahkan iman. Hai…

“Mama ni… budak tu ada kuliah hari ni katanya. Penuh sehari. Esok dia kata nak ponteng. Ponteng je kerja dia. Risau Along tak capai target dia nak nanti,” aduku gak risau dengan dia.

Mama ketawa. “Dah kamu berdua nak nikah tak dan-dan. Memang kena pontenglah. Yang Along ni, hari ni kena pergi try baju. Mama main pilih je butik pengantin yang ada. Yang lain katanya dah dekat nak siap, keluarga Resa uruskan. Tinggal baju kamu berdua jelah. Kot tak nak pakai baju, senang… mama jahit guni beras tu je buat persalinan kamu, nak?” soal mama beriak tenang.

Aku tahan tawa. Mama ni boleh tahan lucunya. “Yalah-yalah. Sebab tu Along dah mula cuti sekarang. Hari ni memang nak pergi tengok baju. Nantilah Zaf bawa Rina pergi sekali. Dia tak ada kuliah ke hari ni?”

Tiba-tiba teringat nak heret Zafrina sama ke butik pengantin tu. Ukuran dia lebih kurang dengan Anaresa dan rasanya, tak payah Anaresa cuba. Bagi Zafrina cuba je dah ok.

Mama jungkit bahu. “Entahlah. Tak ada la kot. Itu yang bersenang lenang kat bawah tu. Baru dah siap kemas hantaran Along. Dahlah tu, cepat siap. Nanti lewat pulak,’ ucap mama seraya dia bangkit.

“Err… ma,” seruku lagi.

Mama berpaling dan mengangkat dahu. “Kenapa? Nak suruh mama mandikan pulak? Suruh Resa jelah nanti.”

Aduh mama ni. Bikin jiwa sasau la dengan ayat-ayat dia tu. Mama tak tahu dugaan apa yang sedang aku tahan sekarang ni.

“Bukanlah.” Aku menidakkannya sedikit tegas. Mama pula ketawa halus.

“Yalah-yalah. Mama gurau je usik Along. Tengok ketahanan iman macam mana,” usik mama tak sudah.

Aku merengus kecil. “Mama ni, Along risau ni. Dia main-main pulak.”

“Dah tu, nak risau kenapa?”

“Emm… risaulah juga. Tak cepat sangat ke Along dengan Resa kahwin ni? Sempat ke mama nak buat persiapan semua. Tak apa ke tak ada kad belah rumah Resa ni?” soalku bertubi-tubi.

Mama senyum. “Dah jodoh Along sampai cepat dengan dia. Allah pun permudahkan segalanya. Tak ada apa yang tinggal dah. Hari ni Along pergi try baju. Yang lain semua beres. Pasal kad tu memang tak sempat. Biarlah. Lagipun majlis kesyukuran kan. Panggil-panggil macam tu je dah okey. Yang sebelah rumah kita nanti, kita edar kad. Ala, sikit je pun. Jangan risaulah,” pujuk mama sambil mendekat padaku.

Bahuku dia tepuk lembut dan wajah itu tenang saja. Mama ni, tak pernah merungut sikit pun biarpun aku nampak kalutnya persiapan.

“Emm… dah mama cakap macam tu tak apalah. Lega sikit Along dengar. Kalau tak cukup duit, mama cakap kat Along. Jangan diam je. Cumanya satu je Along nak minta izin mama ni.” Aku garu kepala.

Aku agak takut hendak mengutarakan niatku yang satu ini. Risau mama tak setuju tapi bila ingatkan Anaresa, aku rasa kasihan amat.

Mama jungkit kening. “Apanya?”

“Err… lepas nikah Along pindah duduk sendiri, aci tak ma?” Terluah juga akhirnya soalan ini. Dari semalam aku berfikir.

Ingatkan mama nak masam muka tapi sebaliknya dia senyum.

“Sepatutnya memang macam itulah. Kat rumah ni ada lagi Zafrin kalau Along risaukan kami. Kot kata nak hidup sendiri pun boleh, nak hidup bawah satu bumbung dengan kami pun boleh. Tapi, buat masa sekarang kesian dekat Resa jelah. Macam mana nak ulang-alik pergi kuliah. Nak mudah duduk tengah-tengah. Senang,” cadang mama.

Aku hela nafas lega. Tangan mama aku raih dan aku cium berkali-kali.

“Terima kasih, ma. Tapi, buat sementara ni kami tinggal dengan mamalah dulu. Lepas dah jumpa rumah sewa, Along pindah,” ucapku teruja.

Mama angguk. “Yang hal bola jaring bakul dia tu macam mana?”

“Jadi je. Sanggup nak awalkan sebab sayangkan game dia. Tapi, tak boleh nak sekat kalau dia dah minat. Nanti Along hantar jelah dia. Risau jugak jadi apa-apa nanti,” jawabku bimbang.

“Eleh, risau jadi apa-apa ke, risau isteri kena ngorat?” sinis mama lantas dia berlalu.

Aku garu kepala lagi. Mama ni boleh tahan kenakan aku sehari dua ni. Belum sempat dia menguak daun pintu, wajah Zafrina muncul dulu. Tak pergi kuliah ke budak ni?

“Rina tak pergi kuliah ke?” tanyaku.

“Kuliah tak adalah hari ni. Along tak keluar ke? Tak kan dekat nak jadi pengantin ni tak nak keluar langsung?” tanya dia tersengih.

“Along keluar petang sikit. Nanti Rina ikut Along. Nak tengok baju.”

“Along keluarlah sekarang,” suruh mama.

“Nantilah. Along nak peluk teady bear Resa bagi ni dulu.” Aku senyum dan rapat ke katil.

Baru saja rebahkan tubuh, aku tarik teady bear itu ke dalam pelukan. Baring mengiring membelakangi mama dan Zafrina yang tercegat di muka pintu.

“Keluar sekaranglah Along. Rina dah siap ni,” rengek Zafrina.

Aku buat tidak dengar saja sebaliknya aku pejam mata dan mengukir senyum. Ada debar di hati kala ini. Moga segalanya berjalan lancar dalam waktu yang singkat ini.

“Emm… Rina jelah keluar dulu. Nanti Along ikutlah tu. Jumpa Along kat kedai je. Aku dengar mama memujuk Zafrina.

“Ala… orang dah tunggu dari tadi lagi. Mama kata nak kejut Along?” rungut dia pula. Aduhai adik aku seorang ni. Manja terlebih.

“Rina keluarlah dulu. Nanti Along call bila dah keluar nanti,” ujarku sedikit kuat.

“Tapi… Resa datang nak ikut abang pergi tengok baju.”

Hah? Bola mataku membulat. Suara itu mesra bagaikan mimpi. Aku kakukan tubuh. Teady bear itu aku peluk erat. Mimpi di siang hari mainan syaitan. Aku mengucap panjang. Teruk sangatkah angau ini hinggakan suara itu dekat menyapa peluput telinga?

“Resa ada kuliah petang ni, tak sempat nanti.” Suara itu bergema lagi dalam bilikku.

Bagaikan terkena renjatan elektrik, tubuhku langsung terangkat dan bila aku kalih, suara itu bukannya mimpi, malah realiti. Dia sopan tersenyum malu memandangku.

“Mama kata abang ajak tengok baju hari ni. Resa petang ni ada kuliah. Pagi ni batal. Nanti esok pagi nak balik Kuala Selangor dah,” beritahu dia lagi.

Aku lihat mama dan Zafrina menahan tawa. Aku pula kelu seribu bahasa. Macam mana dia boleh ada kat sini? Dia datang dengan apa?

“Err… Resa macam mana boleh ada kat sini?” tanyaku gugup.

“Mamalah ajak. Kan nak pergi tengok baju. Ingat suruh Along jemput tapi dia kata nak datang sendiri. Itu yang mama suruh Along pergi tengok baju, tapi nak peluk teady bear la pulak dia,” jawab mama mengejek lantas dia berlalu.

Aku pandang Anaresa di sisi Zafrina yang dok mengjungkitkan keningnya berkali-kali.

“Err…” Aku gugup lagi. Kehilangan kata.

“Nanti upah, Rina. Rina bagi direction dekat Kak Long tadi. Jom kita keluar. Belanja t-shirt Guess sehelai sebagai upah. Kami tunggu kat bawah.” Zafrina terus berlalu setelah berkata demikian menarik lengan Anaresa yang nampak gamam juga.

Aku pandang tubuhku. Hai… mujur aku pakai t-shirt dengan jeans siap-siap lepas mandi pagi tadi. Mahunya seksi, jenuh dia tahan mata tengok aku. Mama pun, bukan nak terus terang. Main sorok je semua.

Zafrina pun, upah memanjang. Bukan murah apa yang dia minta. Boleh terkepak kepala dengan dia ni. Namun, bibir ini tersenyum lagi. Mataku melilau ke seluruh bilik. Bilik yang bakal aku kongsi dengan Anaresa nanti. Kongsikan segalanya dengan dia, bakal isteri.

***

KAMI tiba di Maju Junction Mall. Zafrina terus mengheret lengan Anaresa menuju ke Butik Andaman Falah. Aku pun tak pernah tahu wujud butik ni kat sini. Apa yang aku tahu, butik ini milik kawan mama.

“Along, cepat sikitlah,” gesa Zafrina.

“Cepat dah ni. Dah sampai pun. Masuklah dulu,” suruhku.

Zafrina membuka kasutnya dan terus meluru ke dalam butik. Anaresa pula duduk sopan menarik tali kasutnya. Aku cepat-cepat menarik beg sandang Anaresa meminta dia dekat denganku.

“Kenapa abang ni?” tanya dia pelik. Wajah itu berkerut.

“Resa kenapa datang tak cakap dekat abang? Kalau tak boleh abang jemput.”

“Dah Rina cakap abang suruh datang sendiri. Resa datanglah. Lagipun tak payah pun. Kelas asyik batal je. Bosan betul. Alang-alang nak try baju, datang jelah. Lagipun, tak ada hari lain dah. Kalau kata tak batal pun, Resa ponteng jugak,” jawab dia senang.

Aku jegilkan mata. “Tak elok ponteng kelas selalu. Tapi, kalau ponteng datang jumpa abang, itu tak apa.” Aku ketawa kecil.

Kali ini, dia bercekak pinggang. “Wah, datang jumpa abang tak apa, ya? Kalau macam tu baik Resa berhenti belajar lepas nikah ni.”

“Kalau itu tak bolehlah. Cita-cita Resa tu. Harapan keluarga dan haruslah harapan abang juga,” larangku tersengih.

“Esok Resa nak balik kampung dah. Abang tahu?” tanya dia.

Aku angguk. “Ni dah tahu. Resa dah cakap,” selaku.

Dia mencemik. “Bencilah mamat bunga ni,” sindir dia.

“Eh, bila pulak abang suka bunga?”

“Biasa mamat bunga je peluk teady bear ni,” sinis dia.

Aku telan liur. Aduhai, dia ternampak tadi. Ini semua mama dan Zafrina punya hal. Kenapa tak cakap Anaresa ada kat bawah. Kan dah kena.

“Abang bayang itu Resa,” ujarku tidak kalah.

Dia terdiam tiba-tiba. Wajah itu merah padam. “Berdosa bayang yang bukan-bukan.”

“Abang bayang je. Tak ada apa pun,” jawabku pula.

“Eleh…” Dia ‘elehkan’ aku lagi dan aku hanya mampu ketawa.

“Lepas try baju, kita tinggal Zafrina, ya?” cadangku.

“Eh, tak baiklah.”

“Ala, dia tahu balik sendiri. Nanti kita keluar berdua je,” pintaku lembut.

Dia menggeleng. “Bila kita berdua, pasti ada yang ketiga dan haruslah yang ketiga itu bertanduk. Dengan tujuan menghasut. Ada baiknya kita bertiga. Lagi selamat,” sindir Anaresa lagi lalu dia masuk ke dalam butik.

Aku tepuk dahi. Terkena aku kali ni. Tapi, aku tahan sajalah wajah yang semakin menebal ni. Kaki ini aku angkat masuk ke dalam butik.

~~> bersambung

Bagi pihak Cik Penulis : Kak Rehan ada hal sikit, jadi dia amanahkan saya untuk update blog dia. Dia cuma emel pada saya & sy updatekan untuk dia. harap maaf atas kekurangan katanya..