Sunday, November 27, 2011

Kau Dipaksa Aku Terpaksa

TUBIR mataku terasa suam. Aku menekur pandangan ke lantai bagaikan pesalah kepada kedua ibu dan papa serta Aunty Pah dan Uncle Fuad. Pedih hati bila papa menjerkah. Bingit telinga bila ibu membebel.

“Ibu tanya ni kamu ni Maifara. Fara setuju tak dengan cadangan kami ni?” tekan ibu lagi. Aku diam saja. Hendak menerima, hati tidak sudi, hendak menolak, aku tidak sampai hati. Apatah lagi wajah Aunty Pah sudah basah dijeruk air mata sedari tadi.

“Maifara,” seru papa pula. “Ibu tanya tu. Cuba Fara jawab.”

Aku panggung kepala. Menatap bening mata ibu dan papa silih berganti. Menghantar rayuan dalam diam agar mereka menolak cadangan ini.

“Apa pilihan yang Fara ada, bu?” tanyaku sebak. Memang sebak bila merasakan ibu dan papa sedang menjatuhkan hukuman pada aku di atas kesilapan orang lain.

“Pilihan Fara satu je. Nikah dengan Payed. Tolong dia,” tekan papa bertegas.

“Fara tolong terima Payed. Kalau kata Fara tak cintakan dia pun, Fara belaskanlah dia. Dia tak tak berupaya Fara,” pujuk Aunty Pah pula dalam tangisan.

Aku pandang mata tua itu. Perlahan-lahan airmataku mengalir. Entah mengapa, hati ini tersayat bila ungkapan cinta itu ditukas oleh mama kepada lelaki yang aku cintai selama ini. Ya, mereka tidak pernah tahu yang cintaku pada Payed sudah lama mekar malah tidak pernah layu dan lelaki itu juga sama, tidak pernah merasakan cinta antara kami kerana dia sendiri telah mempunyai pilihan hati. Tapi, kenapa bila dia berkeadaan begini, harus aku yang menjadi pengganti?

“Tolong Payed, Fara. Dia perlukan sokongan Fara untuk terus bangkit. Fara kan kawan baik dia.” Ibu usap belakang tanganku.

“Tapi, dia lumpuh bukan sebab Fara, bu. Kenapa mesti anak yang terpaksa berkorban?” Sudahnya aku terpaksa beranikan diri menolak kehendak mereka ini. Aku benar tidak sanggup. Rasanya tidak mampu aku melayan lelaki sebongkak Payed biarpun dengan aku yang bertahun menjadi temannya.

“Memang bukan sebab Fara Payed kemalangan, tapi kami ni minta tolong Fara jaga Payed. Papa rasa satu-satunya cara yang terbaik adalah Fara menikah dengan Payed. Lagipun, kamu berdua dah lama kenal, kan? Sepatutnya tak ada masalah.” Nada papa kali ini jelas menunjukkan dia sedang memaksa.

“Memang kami kawan baik tapi papa tak akan tahu sikap Payed tu. Dia tak suka Fara. Dia hanya anggap Fara kawan dia je,” bentakku sedikit kuat. Airmata makin deras mengalir. Aunty Pah juga sudah terkulai di dalam pelukan Uncle Fuad.

“Jangan membentak, Maifara. Kalalu macam ni lah sikap Fara, papa tak perlukan jawapan Fara. Nak tak nak, Fara kena kahwin dengan Payed jugak,” ucap papa tegas. Dia sudah bangkit bercekak pinggang dengan mata yang tajam memandangku.
Aku angkat tubuh yang tiba-tiba terasa lemah. Longlai segala sendiri bila papa sudah menegakkan keputusan buatku. Keputusan yang akan menghancurkan seluruh hidupku kelak kerana papa tidak tahu, aku pernah diherdik oleh lelaki bernama Payed tatkala aku meluahkan isi hati ini padanya.

“Kenapa papa dengan ibu paksa Fara? Berapa harga yang papa dengan ibu dapat dengan jual Fara pada Aunty Pah dengan Uncle Fuad ni?” tanyaku dalam tangisan.

“Maifara!!” jerkah papa kuat. Tangan kasar itu hampir mengena pipiku andai tidak ditahan oleh ibu.

“Tak apalah, MOkhtar. Kalau betul Fara tak nak, kami tak boleh nak paksa. Mungkin dia ada sebab dia tersendiri,” ucap Uncle Fuad pada papa.

Aku yang mendengarnya tidak sampai hati pula. Aku pandang wajah Uncle Fuad dan Aunty Pah yang penuh mengharap biarpun bibir itu menyatakan tidak pada papa dan ibu.

“AKu bukan apa, Fuad. Aku dah anggap Payed tu macam anak aku sendiri. Kita bukan ada anak lain pun. Kau sorang, aku sorang. Kalau kata Maifara tak menolong, siapa lagi yang boleh kau nak harapkan jaga Payed waktu ni?” Suara papa jelas menunjukkan dia tidak puas hati.

Peliknya, bagaikan Payed itulah anaknya. Terasa bagaikan Muhamad Fared itulah lebih penting daripada aku Maifara, anaknya. Titisan airmataku semakin lebat.

Bila aku pandang ibu, dia merenungku kembali dengan mata yang penuh merayu. Aku tahu kerana dia adalah ibuku. Titisan airmata ibu benar-benar menjadi racun di hatiku kala ini. Sebagai anak, aku tidak mahu menderhaka. Pahit ku telan, kelat juga terpaksa aku telan kerana aku tahu, manisnya belum tentu ada.

~~~> akan bersambung.. pada yang dah pernah baca cerpen ni, versi asal saya telah edit dan tambah plotnya dan anda akan jumpa cerpen ini dalam versi cetak nanti..insyaAllah...

Friday, November 25, 2011

Dalam Diriku Tiada Dia

Cerpen sequel ketiga, Aku & Obeng dan Reana Merlis.

MATA ini sedari tadi tertancap pada seorang lelaki muda yang sedang bersusah payah meletakkan salah seorang anaknya di dalam kereta. Nampak kekok benar. Kelihatan sukar di pandangan mataku apatah lagi anak kecil itu mula merengek.

Aku dongak ke langit. Memandang ke arah matahari yang terik memancar. Terasa pedih wajah di bakar mentari kala ini dan entah bagaimana pula rasanya bila anak yang yang seorang lagi itu. Yang masih dibiarkan di dalam stroller.

Entah mengapa, hati ini dihimpit rasa simpati pada si kecil. Rasa kasihan pula melihatkan anak itu sudah mula menangis kuat hingga membawa langkah maju kea rah mereka.

“Assalamualaikum, encik.” Teragak-agak jua aku mahu hulurkan salam. Bimbang dicap penyibuk oleh lelaki ini.

Dia berpaling padaku dengan pandangan yang kosong. Salam juga tidak dijawab.

“Maaf, encik. Saya bukan nak menyibuk. Biar saya tolong. Anak encik ni panas ni. Biar saya pegang dia kejap sementara encik siapkan yang sorang lagi tu,” ujarku lembut sambil aku mendekat ke arah stroller lalu aku angkat anak comel yang sudah teresak-esak itu.

“Syhhh, sayang kenapa?” tanyaku. Pipi gebu itu aku cuit mesra.

“Eh, kau siapa hah? Letak balik anak aku tu,” marah dia. Jari telunjuknya lurus tepat ke arah wajaku.

Terkedu aku dibuatnya. Malu disergah begini di khalayak ramai sedangkan niatku sekadar hendak membantu.

“Err, saya cuma nak….”

“Kau tak payah nak tolong. Aku dah biasa buat semua ni sendiri. Kau letak anak aku tu,” marahnya dengan suara yang makin kuat.

Mahu saja aku menangis di situ. Tidak pernah dimarahi begini walaupun oleh keluarga. Takut juga rasa hatiku bila melihatkan wajah tampan itu sudah merah padam. Bengis bagaikan harimau kelaparan.
Tapi, entah mengapa, ada satu naluri halus di dalam diriku memaksa aku terus mendakap anak kecil itu. Rasa sejuk hati apatah lagi melihatkan wajah menangis tadi sudah tersenyum tipis tanpa mengerti apa-apa.

Kenapa papa kamu ini terlalu garang, nak? Tanya hatiku pada si kecil. Serasa bagaikan kami mampu bertelapati sesama sendiri.

“Bagi anak aku ni.” Lelaki itu sudah merampas si kecil dari pelukanku. Lama mata itu memerhati wajahku ini dan akhirnya turun kepada tanda nama yang tergantung di leherku. Aku lihat matanya berkaca-kaca kemudiannya.

“Rafika M?” gumamnya. Aku tarik pas kerjaku itu dan aku lihat bila lelaki ini bagaikan pelik dengan nama itu.

“Ya, saya,” jawabku.

“Merlis?” tanya dia pula. Kerut sudah terentang di dahinya.

“Tak.” Aku menggeleng. “Marisa… Rafika Marisa,” sambungku dan dia terus merenungku hinggakan tikaman mata itu tepat terpanah ke hatiku.
********
HUJUNG minggu yang sepi. Aku tersentak. Mujur tidak terlepas pinggan di tangan tatkala Nadya menepuk bahuku.

“Jauh terbang,” usik Nadya. Aku senyum saja lalu meletakkan pinggan di atas rak lantas aku berlalu duduk di kerusi.

“Ingat buah hati ke?”

“Kau ni Nad. Aku mana ada buah hati. Nak gurau kasar la tu,” selaku mencebik. Geram juga andai Nadya ungkit soal teman hati sedangkan dia tahu yang hati aku ini tidak pernah berpenghuni.
Namun, sebentar tadi rasanya bagaikan aku tidak berada di sini tapi masih bersama anak kecil itu dan seorang lelaki yang berjaya memanah tepat ke hatiku biarpun renungan itu sangat dingin bagaikan salju. Langsung tiada kehangatan, jauh sekali cinta.

“Sah dah kau ni angau, Fika.” Teguran Nadya kali ini membawa aku ketawa kecil.

“Kau dah terpaut dekat siapa ni?” tanya dia telus. Aku menggariskan senyuman. Rasanya mahu saja aku kongsi peristiwa itu dengan Nadya.

“Mana ada,” dalihku lagi.

“Yalah kau tu,” cebik Nadya. Aku ketawa.

“Fika, jom jalan-jalan kat Leisure Mall. Boleh lepak Popular cari buku,” ajak Nadya. Aku tepuk dahi. Tetiba teringatkan sesuatu.

“Yalah, Nad. Aku nak dapatkan karya terbaru Reana Merlis tu. Rasanya dah keluar kot. Tapi, pelik juga, biasa dia buat promosi sendiri. Ni tak ada pun.” Aku pandang Nadya yang berwajah pelik.

“Err, kau tak tahu ke, Fika?” tanya Nadya pula.
Aku jungkit bahu. Langsung tidak faham dengan apa yang Nadya maksudkan. Nadya mengeluh.

“Penulis kesayangan kau tu, dah tak ada tau. Buku terbaru dia ni, terbit macam tu je. Aku ada baca kat internet, suami dia tak nak campur tangan lagi dalam perkara ni.”

Mataku bulat mendengarkan ungkapan yang baru saja terbit dari celah bibir Nadya. Rasa tidak percaya langsung.

“Err, kau ni biar betul, Nad?” Aku buat muka. Nadya mengangguk.

“Kalau kau tak percaya, mari sini aku tunjuk kau dalam internet.” Nadya tarik tanganku menuju ke depan.

“Kejap, ya.” Aku sekadar melihat Nadya yang sedang melarikan tetikus pada skrin komputer ribanya.

“Hah, kau tengok ni.” Nadya meluruskan jari telunjuknya ke atas dada computer. Mataku tertancap pada tajuk besar itu.

“Penulis Reana Merlis pergi dengan meninggalkan karya terakhir, Dalam Diriku Tiada Dia dan juga sepasang bayi kembar.” Nadya membaca sebaris ayat itu.

Hampir saja aku rebah. Terkejut amat. Tidak pernah pula aku tahu tapi berita ini benar-benar membuatkan aku terpana sendiri.

“Kenapa? Dia sakit ke?” tanyaku dengan nada yang sedih. Nadya jungkit bahu tanda tidak tahu.
Selepas puas menatap berita daripada internet itu, aku membawa langkahku ke bilik. Dalam hati ini masih tidak dapat menerima hakikat yang penulis kesayanganku itu sudah tiada.

Ingatanku menerawang pula kepada peristiwa beberapa hari sudah. Nama yang ditanya oleh lelaki itu. Merlis? Adakah Reana Merlis atau Merlis yang lain? Entah mengapa, aku terasa pelik pula. Ada rasa lain menujah hati dan bayi kembarnya... Benarkah?
******
BUKU terakhir daripada penulis itu aku peluk seerat mungkin. Entah mengapa, terasa dekat saja dengan dia. Cuma, tidak pernah berpeluang bersua empat mata tapi sudahnya, dia telah pergi menghadap Ilahi.

“Kita singgah Al-Ihksan kejap, Fika. Aku nak beli kasut sport untuk adik aku la,” ujar Nadya. Aku hanya mengangguk dan membontoti dia ke dalam butik kasut itu.

Sedang ralit Nadya memilih kasut suka, mataku tertancap pada seorang lelaki yang sangat aku kenali itu. Wajah yang tak mungkin dapat aku lupakan dari mindaku. Dia yang berjaya membawa debar dalam hatiku.

“Nad, aku nak ke sana kejap, ada hal,” beritahuku pada Nadya lantas berlalu sebelum Nadya berkata apa-apa.

Tubuh sasa itu aku rapati. Seperti hari itu juga, aku lihat dia sedang menolak stroller berkembar sambil bersembang manja dengan bayi yang ada di dalamnya.

“Err, Assalamualaikum, encik,” hulurku mesra.
Dia lantas berpaling dengan wajah yang berkerut seribu. “Waalaikummussalam,” jawabnya.

“Awak ni yang hari tu, kan?” Aku angguk saja menjawab pertanyaan dia.

“Maaf kalau mengganggu. Saya nak tengok anak-anak encik ni. Kalau tak keberatan, saya teringin nak tahu nama anak-anak encik ni. Comel sungguh,” pujiku ikhlas.

Aku renung anak-anak yang sedang tersenyum itu. Matanya bulat. Pipi juga tembam. Mahu saja aku cuit pipi gebu itu, tapi bimbang juga andai lelaki ini memarahiku seperti hari itu.

“Reana Marisa… Rania Merlis... ,” jawabnya sedikit teragak-agak. Aku angguk tanda mengerti. Dalam hatiku terdetik, Marisa seperti nama keduaku. Tapi, apa yang menarik perhatianku bukanlah nama Marisa itu tapi cantuman dua nama anak-anaknya menjadikan nama itu…. Mungkinkah?

“Er, kami jalan dulu,” ujar lelaki itu lantas berlalu meninggalkanku tanpa sempat aku berkata apa-apa lagi.

Andai ku ikutkan hati, mahu saja aku kejar. Tapi, bila aku mula yakin akan apa yang hati ini bisikkan, tiada gunanya. Riak wajahnya juga menunjukkan yang dia tidak berminat berbicara panjang denganku. Dan, andai benar, aku benar-benar hiba melihatkan wajah-wajah comel itu tadi lalu tanpa ku sedar, ada satu perasaan menjentik tangkai hatiku kini.
*******
LEWAT malam itu, aku menerima panggilan telefon daripada mak. Satu panggilan yang tidak pernah aku duga.

“Fika tak sedia lagi la, mak,” dalihku.

“Tak sedia apa lagi? Fika dah umur berapa sekarang? Kerja dah ada, tinggal nak berkeluarga je lagi. Ke Fika dah ada orang lain?” tebak mak di hujung talian.

“Mana ada, mak. Fika cuma tak sedia lagi.” Aku mengeluh. Mataku jelas tergambar oleh tiga wajah yang sudah mendapat tempat di hatiku kini. Terasa rindu tiba-tiba tapi untuk apa, aku tidak tahu pula.

“Dah tu, kalau Fika tak ada sesiapa lagi, Fika terima jelah. Mak dah terima cincin daripada mak dia petang tadi, tak kan Fika nak mak pulang balik? Malu la mak.”

Aku melepaskan keluhan lagi. Letih dengan sikap mak yang seringkali bertindak sendiri tanpa mahu bertanya aku terlebih dahulu. Selalu begitu.

“Siapa tu, mak. Orang mana?” Aku mengalah jua akhirnya. Malas hendak bertekak dengan mak. Bimbang dia berkecil hati.

“Mukhriz nama dia. Orang Kijal. Tak adalah jauh sangat dengan Kuantan kalau Fika nak balik dua buah rumah sekaligus,” ucap mak sedikit teruja.

Mungkin dia sudah dapat mengagak yang aku akan menyatakan persetujuan. Aku berat hati sebenarnya
hendak menerima pinangan Mukhriz bila mengenangkan cinta ini bukan milikku lagi. Sudah menjadi milik lelaki dingin itu tanpa ku sedar. Aku takut juga andai hidup tanpa cinta bersama Mukhriz. Tidakkah akan melukakan hatinya nanti?

“Fika setuju ke tidak ni? Mak nak telefon keluarga Mukhriz pulak ni,” tanya mak keras.

“Emm, ikut suka maklah,” jawabku pasrah. Mungkin sudah jodohku dengan Mukhriz. Sudahnya talian tamat di situ selepas aku titipkan salam buat keluarga semua.

Esoknya, usai aku mengaminkan doa solat Subuh, telefonku berdering lagi. Aku tilik nombornya. Mak!

“Awalnya mak telefon. Tak nampak tanah lagi ha,” gurauku. Mak ketawa kecil di hujung talian sana.

“Eh, mestilah. Berita baik tak elok kita lengahkan. Kalau boleh semalam lagi mak nak beritahu, tapi ayah cakap esok sebab dah lewat malam.” Suara mak kedengaran bahagia.

“Apa mak yang seronok sangat ni? Nak dapat menantu baru ke?” usikku bila mengenangkan kakakku yang seorang lagi yang sudah bertunang.

“Haa, pandai pun Fika teka. Memang mak nak dapat menantu ni. Bukan Kak Rafiza, tapi Fika.”

“Eh, kenapa Fika pulak?” tanyaku terkejut. Aku tarik telekung dari tubuh. Terasa hangat tiba-tiba.

“Kan mak dah cakap semalam pasal Mukhriz tu. dia dan keluarga dia dah setuju dan hantar rombongan hujung minggu ni. Fika kalau sibuk tak payah balik. Tapi, mak dengan ayah nak langsung hujung bulan ni.”

Aku mengeluh lagi. Terkejut dengan kata-kata mak. Sekelip mata dia buat keputusan untuk hidupku. Dan, hujung bulan itu hanyalah dua minggu saja lagi.

“Ikut suka maklah,” jawabku. Pasrah lagi bila tahu aku tidak mampu menolak kehendak mak.
*****
MATA Nadya bulat bila aku mengatakan yang aku bakal bernikah hujung bulan ini.

“Kau ni ribut tak ada angin tak ada, tiba-tiba nak kahwin,” rungutnya.

“Siapa cakap tak ada ribut?” Aku angkat kening pada Nadya.

“Mak aku tengah buat ribut kat kampung tu ha...” sambungku berseloroh. Sengaja aku berkata demikian untuk menceriakan sedikit hatiku ini. Rasa sedih benar bila memikirkan anak-anak kecil itu.

“Kau tak setuju nak kahwin dengan Mukhriz tu, kan?” tanya Nadya tiba-tiba. Aku diam. Angguk tidak, menggeleng juga tidak. Jika Nadya sudah dapat menangkap keresahan hatiku, entah bagaimana agaknya aku harus berhadapan dengan keluargaku lebih-lebih lagi Mukhriz sendiri.

“Entahlah, Nad. Aku rasa serba salah. Jujur aku cakap, aku terima Mukhriz pun sebab mak aku suruh. Dia kata kalau tak sudi pun, kesiankan Mukhriz tu. Aku pun tak paham apa maksud mak aku. Tengoklah, rasanya hari ni Mukhriz tu nak jumpa aku kot. Nanti aku tanya dia, kenapa dia macam tergesa-gesa sangat nak kahwin.” Segaris senyuman aku hadiahkan buat Nadya. Dia mencebik.

“Terima jelah, Fika. Jodoh dengan restu orang tua ni banyak berkatnya. Aku sentiasa doakan kau.” Dia tepuk bahuku perlahan dan aku tersenyum lagi. Perit rasanya hati.

“Atau kau dah jatuh cinta pada lelaki yang ada anak dekat Leisure Mall hari tu?” Aku terkejut dengan
soalan Nadya tiba-tiba.
Dia sudah memandangku lain macam. Tak sangka pula yang dia ternampak peristiwa aku menegur lelaki itu.

“Kalau ya?”

“As expected.” Nadya angkat kening.

“Dari cara kau hari tu pun aku dah boleh agak kau suka lelaki tu. Kalau tak, tak mungkin kau nak masuk dekat. Kau bukan aku tak kenal, bukan senang lelaki nak masuk dekat kau. Dengan yang ni kau alih-alih serah diri. Kalau bukan sebab suka, cinta… sebab apa lagi, kan?”

“Tapi, cinta aku pada mak dan keluarga aku lebih hebat, Nad. Jadi, aku kuburkan saja dia. Lagipun aku tak kenal siapa. Biarlah. Aku dah malas nak fikir. Mak aku dah dekat nak jadi taufan dah kalutnya dok uruskan majlis aku nanti,” gurauku. Nadya ketawa tapi aku tidak mampu walaupun hanya untuk tersenyum.

Buku yang aku beli di Popular tempoh hari aku capai, lalu aku belek dengan cermat. Pedih mengenangkan hidup watak utama di dalam karya arwah Reana Merlis ini yang dianggap persinggahan oleh si suami yang telah kehilangan isteri. Tegar benar dia tidak memandang isteri yang begitu luhur menyintai dek kerana rindukan cinta yang telah tiada. Tersentuh hatiku membaca novel terakhirnya itu.

Entah bagaimana kehidupan lelaki itu tanpa isteri di sisi bersama dengan anak-anak yang masih kecil? Andai ditakdirkan, aku mahu menjadi ibu pada mereka tapi tidak sudi hendak menggantikan arwah. Aku mahu menjadi diri aku sendiri. Tapi, itu semua adalah mustahil kerana aku kini akan menjadi milik Mukhriz.

Aku tersentak bila Nadya menepuk pehaku. Lalu aku berpaling pada dia. Terlalu asyik meladeni rasa rindu pada dia yang tidak pernah aku kenali.

“Telefon kau bunyi tu,” beritahu Nadya. Aku mula gelabah menggapai telefon di atas meja.

“Ya, saya,” jawabku.

“Kat mana?” tanyaku pada lelaki yang mengatakan dia adalah Mukhriz.

“Bagi alamat, nanti saya jemput awak,” beritahunya tanpa nada. Rasa lain macam saja dia ini. Bagaikan dipaksa kahwin pula.

Selepas menyatakan persetujuan, aku terus SMS alamatku kepada Mukhriz. Jauh di sudut hati, rasa was-was itu ada tapi bila memikirkan dia adalah tunangku, sejauh mungkin aku lemparkan rasa gusar itu.

“Nak ke mana?” tanya Nadya bila aku angkat punggung daripada sofa hendak berlalu ke atas. Nak bersiap. Pertama kali mahu bersua mata dengan bakal pendampingku.

“Nak keluar dengan Mukhriz. Kejap lagi dia datang jemput.” Aku terus melangkah ke dalam bilik.
Aku sekadar mengenakan baju kurung dari jenis kain kapas corak bunga-bunga kecil berlatar putih dan berbunga hijau muda saja. Sama seperti aku ke pejabat. Begitu sajalah, janji selesa. Bisik hatiku sendiri.
*****
TELINGAKU menangkap bunyi hon kereta. Terus aku berlalu ke pintu. Sebuah Honda City hitam metalik berhenti tepat di depan pagar rumah. Cepat-cepat aku sarung selipar lalu aku melangkah tenang ke arah kereta itu.

Bila aku makin hampir, seorang lelaki keluar daripada kereta. Bila dia sudah tegap berdiri dan menarik kaca mata hitamnya, beg tanganku terjatuh ke kaki. Pandanganku pegun. Lidahku kelu. Tiada sapaan jauh sekali salam.

“Awak?” Dia juga beriak terperanjat. “Fika?” tanya dia tidak percaya.

Aku angguk. “Mukhriz?” soalku pula pada dia dan dia angguk juga.

“Kebetulan yang indah,” ucapnya senada. Langsung tiada beriak gembira. Bagaikan tidak melihat sedikit keindahan pun. Yang lelah, hanyalah aku. Debar hadir lagi menghendak dada. Seakan mahu runtuh jantungku dipalu rasa cinta buat dia.

Benar katanya. Kebetulan yang sangat indah bila aku dipertemukan dengan orang yang aku cinta. Rasanya Allah itu sangat mengasihiku hinggakan dia tunaikan doa aku yang satu ini. Rasanya sudah tidak perlu aku tanyakan mengapa dia tergesa-gesa mahu punyai seorang isteri.

“Come. Hop in. Nanti lambat balik pulak,” ajaknya tanpa riak.
Dia terus masuk semula ke perut kereta dan aku terkial-kial juga hendak menarik pintu kereta dalam pada membendung rasa terkejut dengan layanannya padaku. Hati ini terasa juga dengan sikap dinginnya. Sebenarnya aku tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Mungkin juga Mukhriz masih dalam menyesuaikan dirinya denganku dan aku begitu juga.

“Awak memang tak pernah tahu ke siapa tunang awak selama ni?” tanya dia sejurus selepas kereta meluncur laju.

“Tak,” jawabku sepatah. Tidak selesa hendak bertutur dengan dia.

“Mesti awak tak tahu yang awak kena ditunangkan dengan duda anak dua, kan?” Aku menggeleng pula kali ini sebagai jawapan kepada soalannya.

Sungguh aku tidak tahu. Hati ini bukanlah tidak sudi menerima tapi rasa ralat pula. Patutlah mak beria menuntut belas kasihan dariku.

“Andai tidak mahu pun, berbelas kasihanlah pada Mukhriz.” Itulah pesanan terakhir mak yang membuatkan aku memaksa diriku rela menjadi milik insan yang tidak aku kenali.
Tapi hari ini, setelah bersua dengan dia. Ternyata dia lelaki yang aku cinta melalui pandangan pertama. Namun, entah mengapa, rasa berat hati pula hendak menerima dia. Terasa bagaikan dia sendiri tidak sudi menerima aku.

“Memang betullah awak tak tahu. Agaknya awak ni kena tipu, tak? Ke orang tua awak janjikan awak lelaki bujang? Saya pun bujang juga, bujang anak dua,” ucapnya berseloroh.

Tapi sayang, bila gurauan itu aku terima sebagai satu sinis buatku. Menjadi belati yang mula menggores hati ini sedikit demi sedikit. Biarpun mungkin belum dalam lukanya, tapi pedih tu kian terasa.

“Awak dah makan ke?” tanya dia lagi selepas beberapa ketika kami diam saja. Aku lebih melayan perasaan yang mula sayu ini.

“Belum lagi,” jawabku lemah.

“Nak makan? Kalau nak kita sembang dekat mana-mana restoran je. Kalau kata tak nak kita sembang je dalam kereta sambil-sambil pusing ni. Lepas tu saya terus hantar awak balik. Saya banyak kerja lain lagi ni,” tekannya menggambarkan yang dia sendiri tidak sudi duduk berbual mesra denganku sebelum kami diangkat menjadi suami isteri minggu depan.

“Tak apalah. Kita sembang kejap jelah. Lagipun, saya tak lapar,” ujarku dalam pada menahan rasa pedih yang mula menggigit perasaan.

“Saya ni jenis yang senang. Nak tahu saya tanya, kalau tak saya diam je. Jadi, saya nak tanya awak, sekarang ni kena paksa ke atau awak rela nak jadi isteri saya ni?” tanya dia tenang.

Aku diam juga. Tidak tahu harus bagaimana aku menjawab soalan itu. Hendak menjawab aku terpaksa sebelum melihat wajahnya, rasanya tidak kena dan hendak menjawab kerana aku rela sesudah bersua dengan dia juga, rasanya lagi tidak elok.

“Saya terima jodoh yang telah Allah aturkan buat saya dengan hati yang terbuka,” jawabku akhirnya memberikan jawapan mati. Aku lihat Mukhriz senyum sinis.“Jodoh yang Tuhan beri, kemudian Dia ambil kembali dan Dia ganti semula dengan yang lain. Alhamdulillah,” ujarnya bersama keluhan. Bagaikan tidak bersyukur dengan takdir yang telah ditetapkan.

Dia bersyukur tapi rasanya syukur itu tidak ikhlas terbit dari hati. Bagaikan terpaksa pula menerima kehadiranku dalam hidup dia.

“So, awak nak balik ke Kuantan nanti hari apa? Dengan apa?”

“Err, hujung minggu ni InsyaAllah. Saya balik naik bas je,” jawabku tenang. Sesungguhnya aku tidak punyai kenderaan. Malah memandu juga langsung tidak reti. Lebih selesa menggunakan pengangkutan awam sebenarnya.

“Saya pun balik hujung minggu ni. Nak saya tumpang, kan?” Dia mengerling sekilas ke arahku.

“Err, saya dah beli tiket bas pun,” jawabku serba salah.

“Biarkan jelah tiket bas awak tu. Biar saya tumpangkan. Kalau awak rasa keberatan nak buang, biar saya bayar balik harga tiket yang awak dah bayar tu,” ucapnya tenang tanpa mempedulikan perasaan aku kala itu.

Tubir mataku terasa suam. Bukan kerana cinta yang mungkin langsung tidak berbalas. Tap,i kerana kata-kata Mukhriz yang bagaikan belati. Dia cuba meletakkan harga dalam diri ini. Cuba membuat urusniaga untuk membeli seorang isteri.

Sudahnya aku diam saja. Aku bimbang andai aku berkata lagi, pastilah wajah ini dijeruk air mata. Dalam hati ini sudah dapat ku agak apakah kehidupan yang bakal aku lalui nanti selepas bergelar isterinya.

“Fika.” AKu tersentak bila Mukhriz menyeru namaku. Bila aku angkat wajah melihat sekeliling, ternyata kami kini sudah berada tepat di depan pagar rumah sewaku.

“Oh, dah sampai,ya?” Aku cuba membuka tali pinggang keledar bila Mukhriz menahan tingkahku. Wajah tampan itu aku pandang sepenuh hati bila dia juga mula merenungku tidak berkedip. Degup hati ini sudah makin menghentak.

“Sekali lagi saya nak tanya awak. Betul awak rela kahwin dengan saya? Tanpa paksaan?” Wajah itu penuh mengharap.

Berat hendak aku jatuhkan kepala mengangguk menyatakan persetujuan. Namun, bila saja wajah dua anak comel itu terbias di mataku, aku pantas mengangguk. Aku ingin mengasihi mereka seperti mana arwah ibunya mengasihi mereka.

“Betul ni?” tanya dia lagi. Jelas tidak percaya dengan anggukanku.

“Ya. InsyaAllah saya terima abang dan anak-anak kerana Allah,” jawabku lalu aku lepaskan tali pinggang keledar dan terus menolak pintu kereta lalu aku melangah tidak berpaling lagi. Setitis air mataku gugur lagi.
*******
MUKRIZ tiba di depan rumahku sewaktu aku sudah siap sedia menantinya selepas menerima SMS mengatakan yang dia sudah hampir tiba. Bila aku memasuki perut kereta, aku lihat dua orang bayi comel itu lena di dalam baby seat. Seorang di bahagian depan dan seorang lagi ada di belakang.

“Assalamulaikum, sayang,” ucapku perlahan sambil menyentuh pipi salah seorangnya. Bayi kecil itu sedikit merengek. Mungkin terasa lenanya terganggu. Aku ketawa kecil tanpa mempedulikan Mukhriz yang sedang memerhatikanku melalui cermin pandang belakang.

“Boleh tak awak jangan kacau Reana tu. Saya nak memandu ni, nanti dia jaga susah pula nak berhenti tengah-tengah highway ni. Kalau kata awak ada pengalaman nak jaga bayi tak apalah. Ni jangan nak susahkan saya,” ucapnya perlahan tapi penuh dengan amaran.

Aku terdiam. Tawaku mati. Takut pula hendak menghadapi lelaki yang aku kenali sebagai Reza Mukhriz ini. Lelaki yang akan aku kongsikan seluruh hidupku dengannya. Lelaki yang pernah sedang menghadapi kehilangan isterinya. Hari ini juga jelas, lelaki ini sebenarnya tidak sudi menerimaku andai bukan kerana anak-anak.

Tidak menyangka begini sekali Mukhriz menilai diriku. Benar aku tidak pernah menjadi seorang ibu, namun aku juga pandai menguruskan anak-anak. Aku wanita yang telah Allah titipkan naluri keibuaan itu secara semula jadi. Langsung tidak dibuat-buat.

Sudahnya, aku mendiamkan diri saja. Sesekali tersenyum sendiri melayan kaletah dua beradik ini. Dan dia, diam saja. Langsung tidak mempedulikanku.
******
TIDAK seperti biasa, aku tiba di Kuantan lebih awal. Mak tersenyum senang melihat ke arah aku yang baru saja turun daripada kereta milik Mukhriz. Dia lantas keluar daripada pagar dan terus mendapatkan kami. Aku salami dia penuh tertib. Begitu juga dengan Mukhriz.

Mak kemudiaannya menjenguk ke dalam kereta. Melihat ke arah dua orang bayi yang terlena.

“Kasihan mak tengok mereka berdua tu, Fika,” bisik mak ke telingaku. Aku hanya diam saja. Dalam hati ini, bukan lagi kasihan pada mereka, malah sudah jatuh kasih sebenarnya.

”Mukhriz nak balik Kijal teruslah ni, ya?” tanya mak pada Mukhriz. Dia angguk.

“Emm, balik terus la. Tolong mak apa yang patut. Lagipun majlis tinggal hujung minggu ni je, kan?” Dia senyum tapi aku tidak dapat merasakan keikhlasan dalam senyum itu.

”Apa kata Mukhriz tinggal jelah anak-anak kat sini. Biar Fika jaga. Dia pun akan jaga budak berdua ni juga nanti. Anak-anak lain juga, kan?” seloroh mak.
Aku lihat wajah Mukhriz mendung. Dia memandangku dan aku membalas renungan itu penuh dengan rasa cinta yang menggebu.

”Err, tak apalah, mak cik. Saya dah biasa jaga anak saya sendiri,” jawab dia akhirnya.
Aku ketap bibir. Sekali lagi dia telah menyatakan secara tidak langsung yang dia sebenarnya tidak memerlukan aku pun dalam hidupnya.

“Eh, masa Mukhriz tak ada Fika dulu, bolehlah cakap macam tu? Ni dah ada, biarlah Fika jaga. Dia boleh jaga anak kecil ni haa. Jangan risau. Lagipun, hujung minggu ni Mukhriz dah datang sini, kan?” Mak sedaya upaya memujuk. Aku juga tidak tahu mengapa mak beria-ia benar mahu Mukhirz meninggalkan kembarnya kepadaku.

Jika benar Mukhriz rela meninggalkan mereka padaku, aku gembira tapi bila keadaan menjadi paksaan begini, aku juga terasa pedih melihat tikaman mata Mukhriz yang jauh tidak bersetuju.

”Err, tak apalah, mak. Biar jelah abang Mukhriz buat balik anak-anak. Takut nanti Fika sibuk nak tolong mak pulak,” ujarku cuba meredakan ketegangan pada wajah Mukhriz yang nampak benar tidak mahu menerima cadangan mak.

”Err, terima kasih abang, tumpangkan Fika. Hari dah nak lewat petang ni. Err, Fika rasa baik abang gerak sekarang. Takut nanti tak sempat sampai sebelum Maghrib, risau juga dekat anak-anak.”
Dia memandang aku lama. Pandangan yang aku sendiri tidak tahu apakah makna di sebalikya.

”Emm, betul juga kata Fika. Dah dekat nak Maghrib ni. Saya tinggalkan Reana dengan Merlis dekat sini jelah. Lagipun, budak berdua ni bukan jenis meragam. Mungkin sebab dah biasa tak ada ibu, kan?” Mukhriz senyum pada mak kemudian dia jeling padaku.

Entah kali ke berapa sudah, Mukhriz menyatakan begitu. Aku hanya mampu tersenyum saja. Hati ini rasa terluka juga tapi luka itu pantas disembuhkan oleh rasa cintaku pada dia dan rasa kasih ini pada anak-anaknya.

Mak terus mendekat ke kereta. Aku juga sama tapi Mukhriz pantas menyambar pergelangan tanganku. Aku kalih pada dia yang sudah mendekatkan wajahnya ke wajahku. Rapat hinggakan dapat aku rasa hangatkan hembusan nafas itu menyapa wajah ini.

”Aku amanahkan anak ini pada kau. Jaga mereka berdua sebaiknya. Kalau kata sedikit pun tercalar, aku akan terima balasannya.’ Bulat mataku menerima ugutan Mukhriz.

Di sebalik kedinginan wajah itu, di sebalik ketampanannya dia sebenarnya begini orangnya. Aku terkedu lagi. Lemah segala sendi. Sudah tidak mampu rasanya hendak melangkah menghampiri Rania Merlis di bahagian depan bila mak sudah pun membawa Reana Marisa ke dalam pelukannya.

”Fika, buat apa lagi tu? Cepatlah ambil anak tu. Mukhriz nak gerak balik dah tu,” tegur mak sedikit keras.

Aku masih pegun. Bukan tidak mahu melangkah tetapi tidak mampu. Kaki ini terasa kebas. Airmataku pula sudah mula bergenang.

”Fika!” tegur mak keras.

”Err, tak apa, mak cik. Mukhriz ambilkan,” jawabnya pantas dan dia terus membuka pintu kereta.
Tubuh kecil Reana Marisa dia suakan padaku. Aku sambut tubuh itu dengan tangan yang terketar-ketar.

”Take a very good care of my daughters,” pesannya tegas lalu dia tunduk mencium pipi anak ini yang berada dekat di dadaku. Selepas itu dia terus berlalu laju.

Airmataku gugur lagi hari ini membayangkan nasib yang bakal aku lalui bersama dia nanti. Ya Allah,
andai ini ketentuan-Mu, pasrahkanlah hati. Doaku tidak putus-putus.

Aku melangkah ke dalam rumah bila ternampak kelibat Kak Rafiza merenung tajam ke arahku. Bila aku senyum, dia tetap masam mencuka.

“Mukhriz tu cakap apa dekat kau tadi?” tanya dia keras.

“Err, dia suruh jaga anak dia baik-baik. Tu je.” Aku cuba bertenang kerana aku tahu, Kak Fiza ternampak aku mengalirkan airmata sebentar tadi.

“Dia suruh jaga anak dia baik-baik, tapi kau menangis, macam tu?” sinisnya. Aku telan liur.
Tangan kak Fiza aku raih. ”Jangan salah faham, kak.”

Kak Fiza menggariskan senyuman sinis. ”Dari awal lagi aku dah agak dah tengok cara dia tu. Tapi, kalau kau tak bagi akak salah faham, okey. Akak buat tak nampak. Jangan satu hari nanti, perkara lebih buruk berlaku, sudahlah Fika,” tekannya lantas dia berlalu selepas dia melabuhkan bibirnya di dahi anak kecil ini seketika.
*****
ESOKNYA, mak datang padaku sewaktu aku sedang memotong kuku di jari kecil milik Reana Marisa dan Rania Merlis.

”Hai, seronok layan anak?” sapa mak. Aku senyum saja. Mataku terus saja memerhatikan jari kecil itu. Aku perlu berhati-hati agar tidak terluka. Bimbang juga.

”Baguslah kalau kata kamu berdua boleh terima satu sama lain. Lebih-lebih lagi Fika. Kami mula risau juga takut Fika tak nak kahwin dengan duda anak dua ni. Anak pun kecil je lagi. Baru 6 bulan. Tapi, memang kasihan betul. Dahlah dia tak harapkan sangat orang lain jaga dia. Ini bila Fika dah jadi isteri dia, ringan sikit beban dia. Benar pahala kita tolong orang ni, nak,” ucapnya mak.
Aku lihat dia. ”Apa bezanya kalau kata Fika untuk jaga anak dia. Fika tetap orang lain. Fika tetap bukan mak kandung budak-budak ni.” Aku mula terasa sesak di dalam dada dengan kata-kata mak. Aku teringat akan setiap kata-kata Reza Mukhriz yang memang jelas lagi bersuluh tidak sudi menerima aku sebenarnya.

”Besar bezanya, Fika. Bila kamu diangkat jadi isteri dia, kamu juga akan jadi ibu pada anak-anak ni,” jawab mak tenang.

Aku tidak menjawab. Sedaya upaya aku cuba menahan airmataku dari menitis. Sehabis fokus aku tumpukan pandanganku memotong kuku si adik terlebih dahulu dan tanpa aku sedar tiba-tiba saja, si akak menangis kuat.

Aku terperanjat. Mak juga. Si adik ketawa saja. Aku angkat Reana Marisa dan aku pelukknya erat.

“Ya Allah, kenapa sayang? Kenapa ni?” tanyaku lembut. Aku ucap belakangnya lembut dan bila tangisan itu reda, aku tatap wajah itu, dah bulat mataku melihat kesan calar sepanjang pipinya kesan daripada kuku Rania Merlis.

“Ya Allah. Dia gelak boleh cakar muka kakak dia, budak ni!” Mak ketawa tapi aku hanya terkedu lagi. Aku berharap agar kesan ini hilang secepat mungkin sebelum lusa. Aku tidak dapat bayangkan hukuman apakah yang bakal Mukhriz berikan andai melihat pipi gebu puterinya ini tercalar kerana kelalainanku.
******
MAJLIS pernikahanku berlangsung meriah kerana disekalikan dengan kenduri Kak Rafiza. Aku lihat bibir itu tidak sudah mengutum senyum. Bahagia bila diri menjadi milik sah jejaka pujaan. Tapi tidak pada aku. Aku tidak mampu hendak tersenyum biarpun sekali. Aku takut melihatkan jelingan Mukhriz padaku sejak daripada tadi, setelah ternyata kesan calar halus itu tidak hilang lagi dari pipi Reana Marisa.

Detak hati ini semakin hebat melanda bila malam menjelma. Usikan demi usikan langsung tidak berbekas di hatiku. Aku sedang menepuk punggung si adik setelah berjaya menidurkan di kakak bila aku tersedar Mukhriz masuk ke bilik. Nafasku mula terasa sesak.

Dia duduk di belakangku. Nafasnya tenang saja namun hati aku ini, sudah tidak mahu duduk diam. Kuat bekerja mengerah debar kerana perasaan takut.

”Kenapa dengan pipi Reana?” tanya dia tenang. Aku telan liur.

”Err, tercalar kena kuku adik,” jawabku perlahan. Hampir saja tidak didengari.

”Masa tu kau buat apa?”

”Err, Fika memang ada tapi...”

”Tapi, mata ke lain? Memang kau ni tak boleh harap ke? Jadi, untuk apa aku berhabis duit beli kau untuk jaga anak aku?” tanya dia keras.

Rasanya tercabut jantungku dari tangkainya. Tersentap hati ini dengan kata-katanya. Bergetar bibirku menahan tangis.

”Apa maksud abang beli Fika?” tanyaku tersangkut-sangkut.

”Aku tak ingin pun nak kahwin dengan kau. Kau tak akan pernah mampu menggantikan tempat arwah Reana Merlis dalam hidup kami. Sebab mak aku mendesak, tak nak orang gaji yang tak ada hubungan sah. Dia takut. Jadi, nak tak nak, aku beli kau jadi isteri aku yang sah,” jawabnya lancar saja.

Sekali lagi aku terhenyak sendiri. Menerima layanan sebegini di malam pertama, aku benar-benar merasakan, harga diriku hanya berada di telapak kaki Reza Mukhriz saja. Bila dibandingkan dengan arwah Reana Merlis, aku merasakan aku hanyalah akan menjadi patung hiasan di dalam rumahnya nanti.

”Kali ini aku maafkan kau biarkan pipi anak aku tercalar. Lain kali, aku tak akan maafkan lagi dah,” tekannya dan dia terus menarik bantal dan merebahkan tubuhnya di atas permaidani indah itu. Namun, keindahan ini tidak langsung mampu menghalang aku mengalirkan airmata.
*****
DINDING putih itu aku pandang lama. Terasa bosan benar bila kedua anak kembar itu kembali terlena. Rumah juga telah siap aku kemaskan. Seperti yang Mukhriz mahukan, langsung tidak meninggalkan sedikit habuk pun di dalam rumah teres dua tingkat miliknya ini. Rumah yang menjadi penjara buatku namun terhibur juga dengan wajah comel ini. Rumah yang memagari aku dari terus bekerja atas arahan Mukhriz.

”Aku nak kau berhenti kerja. Aku nikah dengan kau ni supaya kau boleh jaga anak aku.” Masih jelas di telingaku suara Mukhriz satu malam itu sewaktu aku menyediakan makan malam biarpun dia tidak pernah menjamah walaupun sedikit.

”Kenapa? Fika sayang kerja Fika ni.” Aku sangat sayangkan kerjaku sebagai pegawai farmasi di sebuah klinik swasta itu.

”Kan aku dah cakap tadi, aku nikahi kau untuk jaga anak-anak aku tu. Bukan nak suruh kau jadi puan besar dalam rumah ni. Lagipun Reana Merlis dulu tak bekerja pun. Dia memang dok rumah,” tekannya dengan suara yang meninggi. Terus saja terlepas cawan Correl itu dari pegangannya. Hancur berkecai.
Mukhriz tajam melihatku. ”Eh, kau ni cuai sangat kenapa? Baru seminggu kau masuk rumah aku ni? Kau tahu tak, sepanjang aku hidup dengan Reana Merlis dulu, dia sekali pun tak pernah cuai macam kau ni,” herdiknya meninggi lantas dia berlalu.

Aku terduduk ke lantai. Kaca yang selerakan itu aku kutip satu persatu. Bagaikan mengutip serpihan hatiku yang tidak sudah-sudah diremuk redamkan oleh Mukhriz. Aku pandang kelibat dia yang sedang keluar daripada rumah.

”Fika hanya ada satu jawapan untuk soalan abang tu. Sebab Fika bukan dia, bang,” ucapku dengan airmata yang berlinangan.

Aku tersentak dek tangisan Reana Marisa mungkin. Terbang segala ingatkanku pada peristiwa yang telah hampir dua minggu berlalu. Peristiwa yang membawa aku meletakkan jawatan. Pantas saja aku berlari ke atas menuju ke bilik anak-anak untuk melihat. Aku terkejut bila melihatkan tangan kanannya terselit di celah pagar baby cod. Aku pantas mendapatkannya dan bila lengan itu lepas dari pagar kayu itu, aku lihat lengan kecil itu berbekas merah.

”Ya Allah, kalau papa tengok ni, macam mana mama nak jawab, nak?” tanyaku pada dia biarpun aku tahu dia tak mungkin menjawab. Tangisnya reda dan bila kau tepuk punggungnya lembut, dia kembali lena.
Malamnya, Mukhriz tiba di rumah agak lewat. Seperti biasa, aku sambut dia di muka pintu. Tangan ini tetap aku hulurkan sebagai tanda hormat biarpun tidak pernah bersambut. Seperti biasa, dia terus naik ke bilik anak-anak. Hati aku dipalu debar lagi. Petang tadi, kesan merah itu kelihatan sedikit lebam. Puas disapu minyak tetapi tidak juga mahu hilang hingga akhirnya, aku hanya mampu menyerahkan untung nasibku di tangan Allah menanti hukuman daripada Mukhriz.

”Rafika!!!” laungnya kuat daripada atas. Aku yang baru saja hendak menghidangkan makan malam tersentak. Laju saja kakiku berlari ke atas.

”Kau buat apa sampai anak aku jadi macam ni?” tanya dia sambil memegang tangan kecil anak itu.

”Err, Fika kat bawah tadi. Anak tidur... Fi... Fika tak .... tak tahu macam mana boleh tersepit dekat pagar,” jawabku tergagap-gagap.

”Maknanya,kau memang tak tengok la anak-anak aku ni?” tanya dia dengan suara yang perlahan.

”Fika...”

”Dahlah. Pergi masuk bilik sekarang,” arahnya. Aku masih pegun. Rasa bersalah pula.

“Pergi,” jerkahnya membuatkan aku terus berlari masuk ke bilik.

Airmataku menitis laju. Aku yakin, kali ini aku sudah tidak lari daripada menerima hukuman daripada dia. Seperti mana yang telah dia tegaskan sebelum ini. Aku yang duduk di birai katil bingkas bangun bila tubuh sasa Mukhriz sudah masuk ke bilik. Pintu itu berdentum ditendangnya.

”Fika minta maaf, bang. Fika tak sengaja,” rayuku dalam esak tangis.

”Lain kali Fika tak buat lagi,” sambungku berharap agar dia mengerti.

Mukhriz tarik nafas dalam. Kakinya teratur kemas ke arahku. Dia diam saja. Bila dia semakin menghampiri, aku sudah dapat rasakan kelainan dalam renungan tajamnya.

Tali leher yang sudah sedia longgar itu dia rungkai kasar. Lalu dia campakkan tepat ke wajahku. Langkah makin menghampiri. Kemudian butang baju kemejanya itu dia buka satu persatu-satu. Aku menggeleng bila jelas di mataku kini dada bidangnya. Pertama kali melihat susuh tubuh itu, aku menjadi takut.

”Aku rasa inilah pengajaran pada perempuan macam kau ni. Tak pernah nak dengar kata aku!” ujarnya keras bila dia sudah berjaya menolak aku jatuh ke katil.

Airmataku terus menitis. ”Jangan, bang. Jangan sebab Fika silap sikit je abang buat Fika macam ni. Fika tak solat Isyak lagi ni, bang.” Aku memberikan alasan.

Mukhriz bagaikan sudah pekak. Rayuanku langsung tidak dihiraukan. Aku cuba bangkit setelah sedaya upaya aku menolak tubuhnya dari terus menghimpitku. Baru saja hendak turun dari katil, Mukhriz terlebih dahulu berjaya meraih pinggangku dan sekali lagi dia menghempas belakangku ke tilam.
Aku terperangkap bila kedua belah tanganku sudah berada kemas di dalam genggamannya.

”Tolonglah, bang. Fika tak nak macam ni,” tolakku berani. Aku sesungguhnya tidak sudi didekati dengan cara sebegini. Andai dia meminta, aku akan ikhlas melayani.

”Tolonglah, bang. Kasihanlah dekat Fika. Jangan sebab perkara tu, abang buat Fika macam ni?” soalku lagi dengan suara yang lebih meninggi.

Mukhriz langsung tidak mempedulikan rayuanku lagi. Dia makin mendekatkan wajahnya kasar dan bila bibir kami bertaut, aku yakin aku tiada lagi peluang hendak melepaskan diri hingga akhirnya aku menyerahkan segalanya dengan tiket, dia adalah suami yang hanya menganggap aku orang gaji.
******
AKU buka mata selepas merasakan tiada lagi keberatan tubuh Mukhriz yang perlu aku tampung. Aku lihat dia sedang berjalan ke muka pintu.

”Kenapa buat Fika macam ni, bang? Kalau kata anak minta dengan cara baik, Fika rela hati.” Suaraku masih jelas bersendu.

”Sebab kau bukan dia, Rafika,” tekannya lantas berlalu meninggalkan aku yang semakin hebat menangisi nasib malangku. Pertama kali didatangi suamiku dalam keadaan begitu, membuatkan airmata ini mengalir tidak henti-henti.

Lewat malam aku aku tidak dapat melelapkan mata. Setelah menjenguk bilik anak-anak dan menukar lampir dan memberi susu, aku kembali ke bilik. Rasanya Mukhriz sudah berkurung di dalam biliknya.
Buku yang hasil karya arwah isteri Mukhriz itu aku capai. Kali ini airmataku menitis lagi. Bukan menghayati garapan hebat itu, tapi menangisi nasib diri yang tidak ubah seperti sebuah cerita dongeng hingga akhirnya aku terlena bersama airmata.

Esok paginya, aku bangkit agak lewat daripada biasa. Bangkit dengan tubuh yang berasa sakit amat. Usai Subuh, aku segera menuju ke bilik anak-anak dan ternyata mereka sudah bangkit dari lena. Wajah keduanya ceria saja. Aku dekati dan aku cium mereka bertalu-talu.

”Kenapa papa buat mama macam ni, nak?” tanyaku pada mereka. Airmataku menitis lagi.

”Kenapa papa tak pernah nampak cinta mama pada dia dan tak pernah nampak kasih mama pada kamu berdua?” Aku usap pipi mereka pula.

Aku sudah hampir teresak-esak bila mengenangkan kejadian malam tadi. Terasa ngeri untuk berada di dalam rumah ini lagi andai tidak difikirkan wajah-wajah yang memerlukan kasih sayang ini. Aku kesat airmata di pipi dan terus saja aku angkat Reana Marisa dan Rania Merlis, lalu aku letakkan di atas tilam di lantai. Lampin ini perlu ditukar. Sekejap lagi perlu dimandikan pula.

Entah mengapa, aku berada diri ini diperhatikan dan bila aku kalih, ternyata Mukhriz sedang menyandarkan tubuhuku di pintu. Riaknya langsung tidak menggambarkan dia rasa bersalah terhadapku. Memang dia tidak pernah bersalah kerana aku adalah wanita yang sah untuk disentuhi.

”Abang tak kerja ke hari ni? Dah dekat pukul 7 tak siap lagi ni?” tanyaku sambil menukar lampin si kakak terlebih dahulu.

Mukhriz diam saja. Langsung tidak menjawab. Aku hanya buat tidak tahu. Rasanya sakit hati ini sudah tidak tertanggung lagi. Aku bimbang, andai aku berpaling dan menatap wajah itu, aku akan menangis lagi.

”Fika, pasal semalam tu aku...”

“Tak...” Aku mencantas. “Fika hak abang. Sebab abang dah beli Fika dulu. Terserahlah abang nak buat Fika macam mana pun. Fika terima.”

Aku angkat tubuh dan terus berlalu ke bilik air. Pampers yang kotor itu aku lempar ke dalam tong sampah. Selepas membasuh tangan, aku terus turun ke bawah dengan membawa flusk untuk diisi dengan air panas. Bila aku kembali dengan dua botol susu yang telah siap dibancuh, aku lihat Mukhriz sudah berada dekat dengan anak-anak.

Aku dekati dia dengan rasa takut dan malu yang tebal menyelimuti diri. Aku angkat Rania Merlis bila Reana Marisa berada di pangkuan papanya. Tubuh montel itu aku peluk dan aku suakan botol susu itu ke mulutnya. Terus disambar dan menyedutnya rakus. Aku senyum lagi. Terubat juga rasa hati dan aku juga sedar, mata Mukhriz sejak daripada tadi merenungku.

”Kau letak jelah anak aku tu. Biar aku je bagi susu. Aku tak suka tengok kau bagi susu. Aku nampak...” Suaranya terhenti bila aku angkat wajah menentang pandangan matanya.

“Abang nampak arwah Reana Merlis dalam diri Rafika Marisa?” tanyaku. Kelopak mata terasa suam lagi. Mukhriz diam. Bila dia tidak juga menjawab, aku terus saja meletakkan anak itu di atas tilam dan terus aku bangkit bersama titisan airmata yang kembali lebat.

Sesungguhnya, aku mahu biarpun hanya sekali Mukriz memandang aku hanya kerana aku, bukan kerana bayangan arwah isterinya. Buku itu aku capai lagi dan aku dakap seeratnya. Tabahkanlah hatiku untuk menerima dugaan-Mu ini, Ya Allah, bisik hatiku penuh rendah diri.
******
DUA minggu berlalu selepas peristiwa di bilik tidurku dulu dan Mukhriz aku lihat semakin hari semakin terus sikapnya. Pergi seawal yang mungkin dan pulangnya juga setelah aku dan anak-anak terlena.
Ketara benar yang dia tidak mahu melihat wajahku lagi.

Setelah anak-anak tidur lewat pagi itu, aku kembali ke ruang tamu. Bingkai-bingkai gambar yang jelas tertera wajah ayu milik arwah isterinya, aku kutip satu persatu dan aku letak di dalam kotak yang telah aku khaskan. Rasanya tidak elok lagi hendak mempamerkan apa yang telah tiada. Dia harus aku bawa keluar daripada dunia dia di mana hanya ada dia dan arwah Reana Merlis.

Aku perlu berjuang hingga ke akhirnya untuk menyelamatkan rumah tanggaku yang kian pincang ini. Aku cinta dia dan selamanya cinta. Aku kasihkan anak-anak dan pastilah kasih itu untuk selamanya.
Setelah siap, aku gantungkan sekeping gambar pernikahan gambar bersama dengan anak-anak di dinding.
Nampak kemas dan tidak terlalu sarat. Hanya ada sebuah bingkai gambar kami dan sebuah bingkai lukisan saja. Aku senyum sendiri biarpun aku tahu, Mukhriz pastilah mengamuk nanti.

Malam itu, usai Isyak, aku dengar derumah enjin kereta tiba di porch. Tanpa sempat membuka telekung, aku terus berlari menuruni anak tangga selepas terdengar ketukan bertalu-talu pada pintu.

Wajah itu aku lihat kepenatan. Dia merungkai tali lehernya dan seperti biasa juga, dicampakkan tepat ke wajahku. Aku tarik telekung dan terus mengambil beg bimbitnya hendak di bawa ke atas bila tiba-tiba saja, namaku diseru kasar.

“Kau buat apa ni, Fika?” tanya Mukhriz kuat.

”Fika buat apa?” tanyaku lemah.

”Siapa suruh kau pandai-pandai ganti semua gambar dalam rumah ni?” tanya dia lantang. Dia sudah bercekak pinggang. Tubuhku mula menggeletar.

”Fika cuma gantikan gambar kita dengan anak-anak je. Tak elok letak gambar orang yang dah tak ada,” ujarku cuba berbahasa. Mata Mukhriz bulat. Dia berjalan menghampiriku yang berada di anak tangga pertama.

”Ada aku suruh? Kau jangan cakap dia dah tak ada. Dia tetap kekal dalam hati aku. Kau tu yang cuba nak ambil tempat dia dalam hidup kami, tau tak?” tengkingnya lagi. Kali ini dia sudah menyambar rambutku. Aku pegang tangannya sekuat hati.

”Jangan, bang. Sakit ni,” rayuku bersungguh-sungguh.

”Kau cakap kenapa kau memandai nak tukar gambar dia dan gantikan dengan gambar kau, hah? Kau ingat dengan gantikan gambar kau dalam rumah ni, kau boleh gantikan dia dalam hidup aku?”

Mukhriz menolak kepalaku. Mujur sahaja tidak terhantuk pada dinding. Aku pegang kepala yang terasa pedih. Airmataku mengalir laju.

“Fika minta maaf, bang. Fika sayangkan abang. Fika sayangkan rumahtangga dan anak-anak kita...”

“Bila masa itu anak kau? Bila masa?” tengking dia pantas. Terangkat bahuku kerana rasa terkejut.

”Bukan anak kita.” Cepat-cepat aku memperbetulkan ayatku. Takut melihat mata Mukhriz yang merah menyala.

”Memang bukan anak kita. Itu anak abang,” ucapku lagi.

”Maafkan Fika tukarkan gambar tu. Tapi, Fika tak nak abang hidup dalam bayangan arwah lagi. Fika nak abang lihat Fika sebagai isteri abang sekarang. Fika tak mampu nak jadi dia dan tak akan jadi dia sampai bila-bila.”

”Habis tu kau pandai-pandai nak tukar gambar tu semua kenapa?” herdiknya lagi. Langsung tidak terkesankan olehnya akan tangisan dan sendu serta pengakuan cintaku padanya tadi?

Aku beranikan diri merenung mata Mukhriz. Airmata ini terus mengalir laju. Aku tidak mahu menyekanya. Biarlah ia mengalir semahunya.

“Maaf, bang. Fika tak bermaksud langsung nak menggantikan arwah dalam rumah ni. Fika tahu besar beza Fika dengan dia. Tapi, Fika cuma ada satu saya jawapan untuk soalan abang tu. Sebab Fika bukan dia. Dalam diri ini tiada dia,” jawabku lantas aku berlari mendaki anak tangga menuju ke bilik.
******
AKU terbaring lemah. Rasanya panas badanku semakin meningkat. Namun, tatkala mendengarkan tangisan anak-anak yang mungkin dahaga, aku gagahkan jua diri ini untuk bangkit dari pembaringan. Dengan langkah yang perlahan, aku menuju ke bilik anak-anak dan kala itu juga bertembung dengan wajah Mukhriz yang baru keluar daripada biliknya.

”Kau tak sihat ke?” tanya dia. Aku geleng kepala dan terus saja mencapai tombol pintu. Baru saja hendak menolak pintu, Mukhriz terus menarik tubuhku rapat pada dia.

”Aku tanya ni kau tak sihat ke?” tekannya lebih keras. Aku geleng lagi.

”Sejak bila jadi bisu?”

Kali ini, kolam air mataku melimpah lagi. Perlahan-lahan airmata ini gugur tanpa dapat aku tahan.

”Fika sihat je. Fika nak masuk tengok anak. Tengah nangis tu,” ucapnya dengan suara yang tersekat-sekat dalam pada menahan sendu. Aku takut andai Mukhriz mengherdikku lagi.

”Kau jawab dulu aku tanya ni,” ucapnya penuh ketegasan.

”Kalau kata kau mengandung baik kau cakap, senang pulak. Tengok tubuh kau ni lembik je. Kau memang mengandung, ya? Tak nak cakap dekat aku, kan?” tuduh Mukhriz.

Aku menggeleng lagi. Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu adakah perut ini berisi atau tidak. Yang pasti memang tubuhku lemah. Aku tolak cengkamannya dibahuku tanpa daya.

“Fika tak mengandung. Kalau kata Fika mengandung pun, Fika tak akan susahkan abang,” ucapku lalu aku membawa langkah mendekati katil anak yang aku langsung tidak berhak ke atasnya kerana berkali-kali telah Mukhriz tegaskan yang aku bukan ibu kepada anak-anak itu. Airmataku gugur lagi.

“Siapkan anak-anak. Mari aku bawa kau ke hospital,” ucapnya tenang. Aku menggeleng.

”Fika tak apa-apa. Abang jangan risau.” Aku menolak ajakannya lembut. Selepas menepuk-nepuk Rania Merlis, aku terus melangkah melepasi tubuh Mukhriz dan terus saja melepasi pintu.

”Fika!”

Aku terpaku di depan pintu bilik. Perlahan-lahan aku kalih pada Mukhriz yang berada di depan pintu bilik satu lagi. Dia nampak serba salah.

”Maafkan aku pasal malam tu. Sepatutnya aku tak sentuh kau...”

”Tak apa, bang!” cantasku. Aku malu bila dia mengungkit perkara itu. Aku tidak mahu dengar lagi.
Telinga ini semakin bernanah rasanya.

”Fika faham. Abang nampak Reana Merlis dalam diri Fika masa tu, kan?” tanyaku sinis. Dia diam lagi.

”Mungkin abang tak bermaksud nak usik Fika tapi perkara dah berlalu. Fika maafkan,” tuturku lemah. Cuba menyembunyikan sebak yang menggigit hati.

”Aku janji tak akan buat kau macam tu lagi. Tapi, tolonglah. Jaga anak-anak aku dengan baik lain kali,” pesannya lalu dia berpaling.

Aku lihat susuk tubuh itu dari belakang. Perlahan-lahan airmataku merintik tapi aku pantas sekanya bila Mukhriz kembali memandangku.

”Mujurlah kalau kau tak mengandung, Fika. Aku tak rasa dah sedia nak terima anak lagi,” ujarnya tanpa rasa salah dan dia terus hilang di balik pintu biliknya.

Aku paut pintu pantas. Menggeletar tubuhku kala ini bila dia nekad berkata demikian. Makna kata, andai benar aku mengandung, dia tak mungkin mengaku ini adalah anaknya dan andai benar juga aku mengandung, anak di dalam rahim ini akan menjadi yatim dan anak terbuang sebelum masanya.

”Ya Allah, kenapa kau berikan aku dugaan sehebat ini? Aku tidak mampu menggalasnya,” gumamku sendiri dalam esak tangis yang tersedu-sedu.

Jauh sekali aku hendak menyalahkan takdir, tapi betapa sukarnya aku terima segalanya daripada seorang lelaki yang bergelar suami yang aku cintai dengan sepenuh hati. Lelaki yang ingin aku kongsikan segala kebahagiaan dan kedukaanku dengannya. Tapi sayang, dia hanya mampu memberikan aku derita sahaja.

Kaki ini aku gagahkan juga melangkah ke dalam bilik. Buku itu aku pegang lama. Aku buka helaian pertama yang terpapar nama arwah. Sebatang pen aku capai dan aku larikan mata pena itu di dada buku tersebut. Meluahkan segala yang terbuku.

Benar katamu, Reana Merlis. Dalam dirimu tiada aku dan sudah pastinya di dalam diriku juga tiada kamu. Tapi, aku khilaf kerana dalam dirinya hanya ada kamu. Cinta dan kasihnya terhadapmu tidak dapat ditukar ganti biarpun aku yakin yang cintaku pada dia lebih hebat daripada cintamu padanya.
Hingga kini, aku lelah. Jasad hidup ini bagaikan tidak bernyawa lagi. Hari ini, aku harus akui. Dalam dirimu tiada aku dan aku tegaskan berkali-kali lagi, dalam diriku jua tiada kamu. Buku itu aku tutup dah aku letakkan di bawah bantal. Biarlah kekal di situ.
*******
”FIKA nak balik kampung,” beritahuku pada Mukhriz satu hari itu sewaktu dia sedang bermain dengan anak-anaknya.

”Balik kampung?” Dia jungkit kening. Aku angguk saja.

”Anak-anak ni?”

”Kalau abang benarkan, Fika bawa balik sama-sama.”

Mukhriz diam saja. Permintaanku ini langsung tidak diberi jawapan yang pasti. Aku hanya tegak saja berdiri, menanti keizinan daripada dia.

”Nanti aku hantarkan hujung minggu ni,” jawab dia akhirnya. Aku hela nafas lega.

Buat masa ini, aku perlu berjauhan daripada dia. Aku tidak mampu lagi melihat wajah itu selepas aku mendapat tahu keadaan diriku yang sebenar. Mengandungkan anak lelaki yang tidak sudi padaku. Malah tidak sudi juga kepada anak ini.

”Kau nampak pucat, kenapa?” tanya dia tiba-tiba.

”Fika sihat je. Mungkin kurang tidur kot,” jawabku mencipta alasan. Mukhriz bangkit mendekat padaku.

Dia kini tegak berdiri di hadapanku. Telapak tangan itu jatuh di dahiku. Wajahnya berkerut.

”Panas badan ni. Demam ke?”

Aku geleng kepala. Bila aku mahu berlalu, dia pantas meraih pinggangku. Bila aku lihat wajahnya, semakin terentang kerut pada dahinya.

”Fika.....”

Aku pantas menggeleng lagi. ”Tak, Fika tak mengandung.” Cepat saja aku menidakkan. Aku takut andai
Mukhriz memaksa aku menggugurkan kandungan yang sudah berusia dua bulan ini. Setidak-tidaknya, andai Mukhriz sudah tidak menginginkan aku lagi, aku ada tanda kenangannya. Cepat-cepat aku meninggalkan Mukhriz dan terus berlari ke bilik.
*******
AKU melihat lambaian Mukhriz padaku dengan hati yang sebu. Kali ini, aku pulang tanpa Reana Marisa dan Rania Merlis. Tidak tahu mengapa, aku meminta Mukhriz menghantar anak-anak itu ke rumah maknya. Aku tidak mahu, semakin aku luangkan masa dengan mereka, semakin sukar untuk aku lepaskan mereka pergi satu hari nanti.

”Mak tengok Fika ni kurus benar? Mukhriz tak bagi makan ke?” tanya mak tiba-tiba.
Aku senyum dan menggeleng lemah. ”Mana ada. Fika penat sikit. Anak-anak tengah nak membesar. Kena kerah banyak tenaga la sikit,” jawabku berdalih.

Mak merenung aku dari atas ke bawah. ”Mak nampak susuk tubuh Fika ni dah agak berubah. Betul Fika tak apa-apa ni?” tanya mak tidak puas hati. Aku angguk lagi.

”Fika sihat, mak. Jangan risau.” Aku paut tangan mak tapi telapak tangan mak jatuh ke perutku.

”Fika mengandung, kan?’ tanya mak mendesak. Aku geleng lagi.

”Mana ada.” Aku senyum paksa.

”Mukhriz tahu tak?” tanya mak. Aku menggeleng tanpa sedar.

”Ha kan betul mak teka. Kamu memang mengandung dan yang baiknya kamu tak bagi tahu Mukhriz, kan?”

Kali ini aku sudah hampir menangis. Pedih dengan tuduhan mak pula. Sampai hati mak menuduk aku begitu.

”Kenapa tak bagi tahu Mukhriz. Tu anak dia. Dia berhak tahu,” tekan mak.

”Berhak apa, mak kalau dia tak nak anak ni? Berhak apa kalau dia awal-awal lagi pesan supaya Fika jangan mengandung? Berhak apa mak kalau dia hanya nampak arwah isterinya dalam diri Fika ni, mak?” soalku pada mak dalam tangisan yang mula kedengaran halus.

Aku lihat mak terkejut. Dia terduduk di kerusi rotan.

“Fika terima jodoh yang mak cari untuk Fika dengan hati yang terbuka biarpun awal-awal lagi Fika sedar yang dia tak pernah mahukan Fika dalam hidupnya. Dia beli Fika melalui sebuah perkahwinan untuk menjaga anak-anak dia je, mak sedangkan hak sebagai ibu ke atas Reana Marisa dan Rania Merlis tu dia tak pernah beri pada Fika,” ucapku lirih. Airmata sudah berjuraian di pipi.

Ayah yang baru saja pulang, terduduk di sisi mak tanpa berkata apa-apa. Dia mengeluh berat mengenangkan nasibku yang indah khabar daripada rupa.

“Kalau Fika dah tahu macam tu, kenapa Fika tak cakap dekat mak yang Mukhriz tak nak kan kamu?”
Aku geleng kepala. Bagaimana harus aku menidakkan perkahwinan ini sedangkan aku amat menyintainya setulus hatiku. Mengasihi zuriatnya seikhlasnya.

“Fika tak mampu, mak. Fika cintakan Abang Mukhriz awal-awal lagi,” akuiku telus.
Mak mula teresak-esak. Keluhan ayah pula semakin berat. Perlahan-lahan mak bangkit mendekati. Tubuhku dia sapa ke dalam pelukannya.

”Maafkan mak, Rafika Marisa. Mak bersalah sebab dah letak kamu dalam keadaan macam ni,” pinta mak di telingaku.

Aku geleng kepala. Tidak pernah sekalipun aku salahkan mak. Dia hanya mahu yang terbaik untukku. Silapnya hanya satu. Aku menyintai lelaki yang terlalu setia menyintai arwah isterinya. Hinggakan di dalam setiap langkahku, dia hanya terbayangkan wajah itu.

”Fika sayangkan Abang Mukhriz, mak. Tapi, kenapa dia buat Fika macam?” tanyaku pada mak. Tangisanku semakin meninggi tapi tidak lama bila pandanganku kelam tiba-tiba dan aku jatuh juga diribaan mak.
******
SAMAR-samar lampu tidur membuatkan aku buka mataku perlahan-lahan. Aku nampak ibu bapaku dan juga ibu bapa Mukhriz di hujung katil. Mak mertuaku sedang menangis. Mak aku juga. Tapi, tidak pula aku nampak Mukhriz. Bila aku cuba bangkit, ada tangan membantu aku untuk bangkit. Bila kau lihat wajah itu, ternyata wajah Mukhriz dekat di sisiku.

”Fika dah bangun, nak?” tanya mak mentuaku. Aku angguk lemah tanpa mempedulikan Mukhriz yang merenung sisi wajahku tajam.

”Maafkan mak, Fika sebab anak mak buat Fika macam ni. Dia memang tak kenal permata. Dia memang rabun hati,” sindirnya lagi. Mukhriz makin tajam merenungku.

”Susut dah ayah tengok kamu ni, Fika.” Ayah mertuaku menyampuk pula. Aku lihat dia jeling Mukhriz.

”Pandai kamu jaga isteri Reza Mukhriz. Sampai isteri mengandung pun tak tahu. Kurus kering. Pandai buat tak pandai nak bertanggungjawab pulak,” sindir ayah lagi sambil tersenyum. Mukhriz ketap giginya kuat.

”Kalau kata kamu tak nak bertanggungjawab, jangan sentuh dia. Tak adalah jadi macam ni. Mulut kata tak nak, tapi masuk dekat jugak,” tokok mak. Aku lihat mak mertuaku cubit bahu Mukhriz kuat. Wajahnya tegang.

”Marilah keluar. Kamu selesaikanlah sendiri. Sekolah tinggi-tinggi jangan jadi budak tak sekolah pulak.” Ayah terus mengajak mak dan ayahku keluar meninggalkan aku dan Mukhriz saja.

”Kenapa tak cakap Fika mengandung? Berkali-kali saya tanya, kan?” marahnya selepas pintu itu tertutup rapat. Bahasanya juga sudah agak mesra biarpun masih penuh dengan ketegasan.

”Maaf, bang. Fika janji Fika tak akan tuntut hak anak ni.” Aku pegang perutku.

”Fika janji dengan abang. Fika tak akan susahkan abang dengan kandungan ni. Fika boleh jaga diri. Fika tak akan letak hak apa-apapun. Kami tak berhak. Biarlah untuk si kembar tu je. Sungguh, Fika tak nak,” rayuku bimbang.

”Jangan paksa Fika gugurkan kandungan ni, bang,” rayuku sungguh-sungguh. Airmata sudah berjejeran membasahi pipi.

Mukhriz hanya merenungku. Perlahan-lahan dia memegang tanganku. Dia mengangkat buku milikku hasil karya arwah isterinya.

”Abang yang silap,” ucapnya tiba-tiba. Aku lihat mata itu bergenang dengan air jernih.

”Abang yang silap sebab buat Fika macam tu. Abang tak tahu, Fika dah lama tahu tentang arwah. Abang
tak sangka Fika ada buku ni dan abang tak sangka, layanan abang pada Fika sama seperti apa yang arwah gambarkan. Abang marah bila mak nak jodohkan abang dan abang lagi marah bila Fika setuju. Pertama kali bertemu Fika dulu, abang tak dapat nak terima huruf pada pangkal nama Fika. Masa tu, abang dah rasa lain macam. Tapi, abang tak sanggup bunuh cinta abang pada arwah dengan menerima Fika,” beritahunya panjang lebar. Aku sudah tersedu-sedan.

”Tapi, abang buat juga, kan. Abang nampak arwah dalam diri Fika, kan?” tanyaku penuh emosi.

”Abang tak pernah nampak arwah dalam diri Fika malah abang nampak keistimewaan dalam diri Fika yang arwah tidak ada. Rafika Marisa dan Reana Merlis adalah dua orang yang berlainan. Tapi, abang takut. Abang takut abang melupakan Reana Merlis andai abang terus melayani Fika baik-baik. Abang tak nak begitu. Bila abang tahu Fika lah orang yang menjadi tunang abang, abang bertambah benci. Sedaya upaya abang cuba nafikan perasaan ini. Abang benci bila melihatkan layanan Fika pada anak-anak.
Abang tak mahu begitu. Bagi abang, Reana Merlis adalah yang terbaik buat anak-anak itu. Tapi, bila Fika ada, ternyata layanan Fika terlalu tulus untuk anak tiri. Abang hadir dekat dengan Fika malam tu kerana Fika. Lelaki mana yang sanggup bertahan melihat isteri yang halal untuk disentuhi di depan mata. Entah bagaimana harus abang minta pada Fika setelah apa yang telah abang buat. Abang manusia biasa yang hanya ada nafsu ke arah itu. Abang rindukan belaian seorang isteri dalam hidup abang setelah arwah pergi. Malam itu, abang tak sengaja buat Fika macam tu. Tapi, sebenarnya abang cuba zahirkan kasih sayang melalui sentuhan tu, berharap Fika dapat mengerti. Tapi, Fika makin jauh. Bila abang cakap abang tak sedia lagi hendak menerima kandungan Fika, abang tak ada niat. Waktu tu, abang takut Fika berbelah bahagi antara kasih kepada anak kandung dan anak tiri.”

”Sampai hati abang buat Fika macam tu. Fika tak pernah bezakan mereka. Fika sayangkan si kembar tu macam anak sendiri, tak kan itu pun abang tak nampak?” tanyaku keras. Sakit hatiku menerima kenyataannya hari ini.

”Abang nampak dan sebab itulah abang sentiasa dihantui rasa bersalah. Bersalah kerana memperlakukan Fika begitu sedangkan layanan Fika pada kami tak pernah kurang. Bersalah kerana cuba menafikan cinta kedua yang telah Allah titipkan untuk abang hargainya. Dan tatkala terbaca tulisan Fika pada buku ni, hari ini abang akui seikhlas hati, dalam dirimu tiada dia, sayang. Hanya kamu, Rafika Marisa. Maafkan abang. Izinkan abang baiki semula perjalanan hidup kita,” bisik Mukhriz ke telingaku. Aku angguk jua akhirnya.

Untuk apa lagi aku bawa rajuk di hati bila dia sudah mengakui cintanya padaku. Tak mungkin aku tolak biarpun seribu kali terluka, kerana aku adalah Rafika Marisa yang menyintai Reza Mukhriz.

”Fika izinkan ingati arwah selamanya,” ucapku tenang. Pipi itu aku pegang lembut. Dia angguk.

”Dan Fika harus berjanji, lahirkan anak untuk abang setahun seorang. Non-stop selama 3 tahun,” ujarnya dengan senyuman nakal.

Aku muncungkan bibir dan pantas dikucup oleh Mukhriz. Bila aku tekup mulut, dia ketawa besar.

”Dah sihat sikit, nanti kita balik Kijal. Kat sana abang ada bina sebuah gazebo kayu. Mungkin pernah menjadi milik Reana Merlis tapi kini, ianya akan menjadi milik Rafika Marisa untuk selamanya. Terima kasih kerana sudi menerima abang dan anak-anak.” Dia kucup dahiku lama.

”Err, gambar kita tu...” tanyaku bila tiba-tiba teringatkan gambar yang membuatkan dia berkasar denganku itu.

”Abang dah buang...,” selanya selamba.

”Tapi, kenapa?” Aku mula hendak menangis lagi.

”Sebab kecil sangat. Tak nampak. Abang dah hantar kedai suruh print-out besar-besar. Biar jiran depan rumah pun nampak,” guraunya.

Dia ketawa bila aku tarik mula. Aku mula yakin hari ini, inilah wajah sebenar di sebalik sikap dinginnya. Inilah Reza Mukhriz yang pernah menjadi teman kepada arwah Reana Merlis. Kini, aku aku percaya, dia diciptakan untukku, dan aku diciptakan untuknya biarpun dia pernah dimilik orang lain terlebih dahulu.

***TAMAT****

Mencari pengganti itu tidak semudah yang kita sangka. Jangan sesekali mengharapkan yang serupa kerana Allah jadikan manusia itu semuanya berbeza. Kala hadir pengganti, pandanglah dia sahaja. Usah direnung mencari apa ada di sebaliknya, tapi pandanglah dia kerana dia adalah seindahnya yang telah Allah ciptakan untuk kita. Sat orang tanya, RM neh suka sangat cite sedih. Err, tak tahu nak jawab apa. Hahah... Salam sayang.. Dah lama tak bercerpen. Harap enjoy..~~~> RM

Friday, November 18, 2011

Terlerai Kasih 54

BAB 54

JAM sudah menghampiri ke angka 9 malam. Ilham masih belum pulang. Hati ini berasa risau pula. Langsung aku terlupa akan layanan dinginnya padaku pagi tadi. Makan tengah hari juga tidak nampak batang hidungnya. Bila aku telefon Fatehah, gadis itu tidak menjawab. Sementelah pula menelefon Ilham sendiri, telefon itu pula dimatikan.

Hanya Iqram yang ada waktu makan tengah hari tadi. Abah dan Izham juta tiada sama. Mungkin sibuk dengan urusannya tapi mama mengeluh juga. Penat memasak tapi hanya Iqram yang menemani kami makan tengah hari.

Aku keluar daripada bilik setelah memasang niat hendak menunggu kepulangan Ilham dari nanti. Aku mahu dia rasa aku sentiasa ada untuknya. Tak akan aku pergi meninggalkannya selagi jasad dihuni nyawa.

Baru hendak turun, aku dipanggil oleh mama. Langkah aku bertukar arah. Aku terus menapak ke arahnya.

“Fiah nak turun ke? Nak tunggu Am?” tanya mama. Aku mengangguk saja.

“Lambat tu kot. Iz pun tak balik lagi ni. Baru kahwin dah sibuk dengan kerja budak Am ni. Fiah tak payahlah sedih, abah juga sama je macam ni dulu. Mata tu lagi la, mama duduk seorang kat rumah,” pujuk mama yang mungkin perasan dengan riak risau yang terpancar di wajahku.

“Fiah call dia tak?” tanya mama lagi.

“Ada call tapi tak berjawablah, ma. Setiausaha dia pun tak jawab jugak,” jawabku.

Mama mengusap bahuku lembut. Dia menggariskan senyuman manis. Hilang seketika resah di hati bila melihatkan kebaikan mama melayaniku sebagai ahli keluarga yang baru.

“Dia sibuklah tu. Dulu pun lagi teruk. Nanti dia baliklah tu. Fiah jangan risau, ya?” Mama senyum lagi padaku Dia lantas menarik aku membawa aku menapak ke biliknya.

“Kenapa, ma?” tanya aku pelik.

“Duduk sini,” arah mama padaku.

Aku duduk di birai katil dekat pada dia. Bila dia menarik tanganku dan mengusap belakang tanganku perlahan, hati ini mula tidak senang.

“Mama nak tanya ni?” ucap mama memulakan bicara. Aku angguk memberi laluan pada dia agar berbicara.

“Fiah dengan Am okey je, kan?” Riak mama jelas menunjukkan dia risaukan kami.

“Kami okey je. Kenapa mama tanya macam tu?” tanyaku kembali sambil tertawa kecil.

“Hati mama rasa lain macam je pasal kamu berdua. Fiah, betul ni tak ada apa-apa?” tanya dia buat kali kedua.

Aku terdiam sejenak. Pastilah ada apa-apa kerana Ilham sudah lain macam sejak dari semalam lagi sebenarnya. Aku sudah tertangkap dengan perubahan layanannya padaku, tapi aku tetap memujuk hati mengatakan dia begitu dek badan yang lelah.

Baru saja turun dari pentas persandingan, inai juga masih merah di jariku, hangatkan pelukan dia masih lagi terasa tapi dia berubah pula. Aku tidak tahu, apakah aku harus menyatakan perkara sebenar pada mama dan membiarkan hati itu risau sepanjang masa?

Atau aku hanya terus mengukir senyum dan membuahkan tawa biar dia langsung tidak dihimpir risau? Aku sesungguh tidak tahu apakah pilihan yang tepat buatku kali ini.

“Kenapa diam?” tanya mama. “Ni mesti ada apa-apa, kan?”
Kali ini, sepantas kilat aku menggeleng. Padanya aku berikan senyuman yang paling manis. Senyuaman yang selama ini ku ukir tatkala bersama Ilham saja.

“Tak ada apa, mama. Jangan risau, okey,” pujukku.

“Betul ni?” tanya mama buat ke sekian kalinya. Bila aku angguk dia menghela nafas lega.

“Mama memang harap sangat rasa hati mama ni silap. Alhamdulillah kamu berdua tak apa-apa. Jangan kata Am buat perangai sudah. Inai kat jari Fiah tu tak pudar sikit pun lagi,” ucap mama sambil mengurut dadanya.

“Tak adalah. Abang Am layan Fiah baik je.” Seperti sebelumnya, aku kembali berbohong.

Andai dulu pada mak, kini pada mama pula. Apa bezanya pada mak atau mama kerana berbohong itu adalah satu dosa dan aku sedang menambahkan timbangan dosa di bahu kiriku lagi.

Naluri ibu sememangnya benar. Andai dulu, bila mak menebak keadaanku, segalanya benar tapi bila aku menidakkan, mak bulat-bulat menerima pengakuanku dan hari ini juga sama. Naluri mama juga tepat, tapi aku harus juga menidakkannya.

Niat aku tekad untuk menyelesaikan segalanya sendiri. Baru saja terurai simpulan yang membelit diri, kini terbelit lagi akibat sikap Ilham terhadapku.

“Err, pasal Aqam ni macam mana, ma?” tanyaku cepat-cepat mengubah topik.

“Ya Allah… padahal mama tarik Fiah ni nak bagi benda lain lepas tu nak cakap pasal budak Aqam ni. Haish…” Mama tepuk pipinya sendiri. Aku ketawa kecil.

Dia bangkit menuju ke almarinya. Setelah seketika dia kembali semula bersama dengan sebuah kotak baldu berwarna biru muda. Dia hulurkan padaku.

“Apa ni, ma?” Lambat-lambat aku menyambutnya.

“Bukalah,” arah mama tenang.

Bila kotak itu aku buka, ternyata seutas gelang tangan emas disaluti emas putih terpancar kilauannya terbias di mata.

“Apa ni, ma?” tanyaku lagi.

“Gelanglah,” jawab mama.

Dia mengambil gelang tersebut dari tanganku lalu dia tarik pergelangan tangan ini. Gelang yang berukir indah itu dia pakaikan ke pergelangan tangan milikku. Cantik! Desis hati ini sendiri.

“Ni untuk Fiah. Untuk menantu sulung rumah ni. Mama dah belikan tiga bentuk macam ni. Cuma yang Fiah besar sikit dan mahal lebih sikit daripada yang dua lagi tu. mama beli memang khas untuk menantu-menantu mama sebagai hadiah. Kalau kata nak bagi rumah, itu tanggungjawab suami masing-masing. Jadi, ini sajalah yang mampu mama hadiahkan buat Fiah, Faralina nanti dan juga bakal isteri Izham satu hari nanti,” beritahunya.
Kala ini, airmataku hampir saja menitis. Benar-benar rasa terharu. Tidak mampu aku ungkapkan kata kecuali memeluknya sahaja.

“Terima kasih, ma,” ucapku dengan perasaan yang gembira. Gembira kerana dihargai oleh mama biarpun Ilham sentiasa bermain tarik tali denganku.

Bibir mengatakan cinta namun tindakannya pula menunjukkan sebaliknya. Bila bibir mengatakan benci, tindakannya pula menggambarkan yang lain.

“Ini semua anak-anak mama tak tahu. Abah je tahu. Kamu menantu dan isteri yang baik Fiah. Mama tahu walaupun baru beberapa minggu kamu jadi menantu dalam rumah ni. Dari cara kamu melayan Am dan adik-adik ipar kamu, mama tahu Fiah memang baik. Mama harap Faralina pun sebaik Fiah dalam melayan Aqam tu,” ucap mama tenang.

“Faralina yang Fiah kenal memang baik, ma. Fiah berani jamin sebab kami dah lama kenal. Takdir Allah aturkan memang cantik. Kuatkan persabahatan kami hinggakan Allah nak sambung pula persabatahan kami tu menjadi persaudaraan,” balasku pada mama. Dia senyum lagi.

“Pasal Aqam ni macam mana, ma?”

“Emm, tak sabar dah budak tu. Dia kata nak beromantik macam Abang Am dengan Kak Fiah. Haish, macam-macam budak seorang tu. kerja pun belum. Mama ada tanya Fara, dia kata tak kisah. Keluarga dia pun tak kisah. Nak tak nak, kena masuk meminang jugalah sebelum Aqam balik KK pulak,” keluh mama.

“Tak apalah, mama. Dah dia nak, kan. Fara tu memang jenis tak kisah. Lagipun tak lama dah Aqam dah habis belajar, kan? Nanti suruh je dia kerja dengan IF Group tu. Fiah fikir tak akan jadi masalah pun,” pujukkku.

Teringat juga pada permintaan Iqram padaku agar memujuk mama dan abah. Rasanya abah jenis yang tidak kisah. Mungkin mama kena pujuk lebih sikit.

“Mama bukan apa Fiah. Memanglah Faralina dan keluarga dia tak kisah. Tapi, itulah. Mama ni ha, ibu kepada anak teruna yang risau. Mama takut Aqam tu tak boleh nak bela Faralina tu baik-baik. Fiah tengoklah, perangai macam budak-budak lagi. Padahal sebaya Fiah je. Hai…” Mama mengeluh lagi.

Berat benar dia hendak melepaskan Iqram menikah dengan Faralina hanya kerana anak itu masih lagi belajar.

“Tak apalah, ma. Dah dia nak sangat. Anggap jelah jodoh dia dah sampai. Fara tu pandai nanti sama-sama jaga rumahtangga dia.” Aku usap bahu mama. Dia senyum kelat.

“Lain yang mama suruh kahwin, lain yang nak kahwin. Yang Iz tu mama ada tanya juga, bila nak bawa calon… dia kata calon depan mata. Pening mama dengan budak seorang tu.”

“Calon depan mata?” Aku tersentak sendiri.

“Kata dialah. Depan mata mama ke, depan mata dia ke, mama tak tahulah. Semalam bila Fiah tak balik, dia gelisah je. Katanya ada perkara nak beritahu Fiah. Bila mama tanya dia cakap pasal orang yang dia suka tu ha. Bila mama tanya lagi, tu yang dia jawab depan mata. Agaknya budak pejabat tak? Fiah ada kenal sesiapa tak?”

Pertanyaan mama aku biarkan sepi. Lama aku mencerna kata-kata mama. Aku tidak tahu pula siapakah yang menjadi pilihan hati Izham kerana aku tidak pernah kenal dengan sesiapa di IF Group kecuali Fatehah seorang.

“Entahla, ma. Fiah pun jarang ke pejabat IF Group. Baru beberapa kali rasanya. Yang Fiah kenal setiausaha Am je kot.”

“Macam-macam. Pening mama. Jangan Izham tu suka bini orang sudah. Memang mama marah nanti,” ucap mama lagi.

Aku rasa lain macam saja. Hendak aku tanya mengapa Izham menelefonku malam tadi, rasanya tidak elok pula jika aku menimbulkan prasangka buruk antara anak beranak itu.
Dalam pada aku berfikir dan menilik gelang di tanganku, aku dengar pintu besar dibuka dan ditutup semula. Berdentum juga bunyinya. Kami sama-sama tersentak. Aku pandang mama dan dia memandangku.

“Hah, tu mesti Am la tu kalau berdentum pintu tu. Ada la tu tak kena kat tempat kerja tu bawa balik ke rumah,” bebel mama lantas bangkit.

Aku jua terus mengikut langkah mama menuju ke bawah. Ternyata benar, Ilham sedang duduk bersandar di sofa.

“Assalamualaikum, bang,” ucapku lembut. Jemari itu aku raih lalu aku kucup lembut biarpun dia bagaikan tidak merelakan.

“Lambat balik, Am? Mana Iz?” tanya mama.

“Iz kat pejabat lagi. Am suruh dia siapkan kerja tu hari ini. Am tak ada sambil lewa je dia buat kerja tu. patutlah ada mesyuarat kecemasan hari ni. Dialah punya pasal ni luluskan permohonan perunding tu kenapa?” marah Ilham tiba-tiba. Dia melonggarkan tali lehernya. Keluhan berat di lepaskan.

“Kot ya pun Iz silap tak kan lah dia kerja kerja sampai esok pulak. Yang Am ni kerja pejabat tak payahlah heret sampai ke rumah. Tu, inai kat tangan isteri kamu tu merah lagi ha… Cuba jadi seorang suami yang bertanggungjawab sikit. Kalau lambat balik, telefon supaya orang tak risau,” ucap mama lembut.

“Macam-macamlah kamu adik beradik ni. Yang abah dengan Aqam ni pun tertidur dekat masjid agaknya. Masa ni tak balik-balik lagi.” Mama terus membebel seraya berlalu naik ke atas.

Aku duduk di sisi Ilham dengan rasa takut-takut. Perlahan-lahan, aku pegang tangannya sekali lagi.

“Abang dah makan?” tanyaku mesra. Dia mengangguk.

“Emm, mari naik atas. Mandi dulu, solat lepas tu rehat,” ajakku. Dia diam juga.

“Err, tak apalah. Fiah naik dulu siapkan baju abang.”

Aku angkat tubuh dari sisinya dan terus berlalu ke atas. Fuh. Aku hela nafas lega bila masuk ke bilik. Kecut juga melihatkan kemarahannya sebentar tadi. Seperti biasa, aku keluarkan sehelai t-shirt dan kain pelekat buatnya dari dalam almari. Baru hendak berpaling, tubuh Ilham sudah tercegat di belakangku.

“Fiah mengadu dekat mama ke pasal abang?” tanya dia. Aku menggeleng.

“Nak mengadu pasal apa?”

“Fiah jangan buat tak tahu. Tadi mama cakap abang suami tak ada tanggungjawab. Fiah mengadu apa?” tekan dia lagi.

Malas hendak menjawab soalannya, aku tutup pintu almari terlebih dahulu. Pakaian itu aku hulurkan pada dia tapi dia buat tidak tahu saja. Dia terus merenungku saja sedari tadi. Bila dia jatuh ke pergelangan tanganku, wajah itu makin keruh.

“Fiah tak cakap apa pun. Mama bukan maksudkan macam tu pun. Dia risau sebab abang tak jawab telefon seharian ni,” ucapku lembut.

Dia melemparkan beg bimbitnya ke sofa. Tali leher yang sudah terungkai itu ditanggalkan daripada leher.

“Fiah ingat sesenang tu abang nak percaya Fiah. Cuba sekali je Fiah berterus terang dengan abang. Betul ke Fiah mengadu kat mama tentang kita sampai mama boleh cakap abang suami yang tak bertanggungjawab?”

Aku menggeleng. “Tak, abang. Fiah tak mengadu apa pun.”
Aku sudah mula kecut dengan sikapnya. Rahangnya sudah turun naik. Giginya diketap hebat.

“Fiah tahu tak apa makna kalau suami tak bertanggungjawab ni? Tanggungjawab apa lagi yang Fiah nak dari abang? Tak cukup nafkah zahir batin yang abang berikan sampai Fiah bercakap soal ni dengan orang luar?” tanya dia kuat.

Airmataku menitis laju. Dia benar-benar berubah lagi. Dalam usaha aku mengekalkan keharmonian rumahtangga kami, dia tetap juga berubah.

“Fiah tak cakap, bang. Sungguh Fiah tak cakap,” ujarku membela diri.
Dia sebenarnya salah faham dengan kenyataan mama tadi. Aku tidak pernah mengadu langsung tentang kami.

“Tanggungjawab apa lagi yang Fiah nak dari abang? Kalau Fiah rasa tak cukup tanggungjawab yang abang berikan selama ni, mari sini…,” ucap Ilham seraya menarik tanganku memaksa aku mengikut dia ke katil.

Aku semakin takut tak kecut bila aku dapat menangkap apa yang dia mahu buktikan sekarang.

“Tak, abang. Fiah salah. Fiah minta maaf. Abang bagi cukup pada Fiah. Terlalu cukup dah,” rayuku bila Ilham mula menanggalkan kemejanya.

“Kenapa? Fiah tak sudi nak terima tanggungjawab abang ni? Tak sudi nak terima daripada suami sendiri? Atau Fiah tak dapat segalanya daripada lelaki lain?” herdik dia dengan senyuman sinis.

“Abang!!” jeritku agak kuat. Aku sudah tidak kisah andai mama mendengarnya.

“Kenapa dengan abang ni? Kenapa buat Fiah macam ni lagi? Boleh bilang dengan sebelah jari berapa hari abang berubah dan hari ni berubah lagi malah lagi teruk daripada dulu? Apa yang abang nak sebenarnya?” tempikku lagi.

Ilham pantas menghampiri lalu dia tekup mulutku secara kasar. Matanya merah menahan marah.

“Mulut tu boleh tak perlahan sikit, perempuan. Kau nak suruh satu isi rumah ni dengar yang kau sedang kurang ajar dengan suami sendiri? Inai kat jari kau tu tak hilang lagi, tau tak?”

Aku tolak jemari kasar itu dengan linangan airmata yang semakin lebat membasahi pipi.

“Fiah tak kisah kalau semua orang tahu. Tapi, Fiah lebih nak tahu kenapa abang berubah macam ni. Dalam sekelip mata. Selepas apa yang kita lalui bersama. Apa masalah abang? Abang yang buatkan abang jadi macam ni? Malah lebih teruk daripada dulu.”
Ilham sekali lagi menarik lenganku lalu dia mencampakkan aku ke katil. Bila dia menghampiri, tudung yang aku pakai dia renggut kasar. Rambut yang aku ikat kemas terurai sudah.

“Kau nak tahu apa sebab aku berubah lagi? Kau nak tahu, ya? Mari sini aku tunjuk.” Ilham mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket dan dia terus saja melompat naik ke katil.

Rambut yang baru saja dia katakan cantik itu, dia tarik kasar memaksa aku melihat pada skrin Sambung Galaxy miliknya itu.

“Kau baca ni…” Dia terus menolak kepalaku menghala pada skrin.

Aku diam. Langsung tidak dapat melihat dengan jelas apa yang terpapar pada skrin kerana mata yang sudah ditakungi air jernih sedari tadi. Bila aku diam, Ilham mendekatkan bibirnya ke telingaku.

“SMS ni aku forward daripada telefon kau semalam. Jantan tu cakap tak kisah mana kau nak pergi, dengan siapa sekali pun, tapi jangan tinggalkan dia dengan bayangan kau saja. Dia cakap dia tak boleh hidup dengan hanya memeluk bayangan kau saja. Dia nak peluk kau. Apa maknanya semua ni Fiah?” bisik Ilham dalam ketegasan.

“Fiah tak tahu abang. Fiah tak jumpa pun SMS macam tu dalam telefon Fiah,” protesku lembut.

Ya, benar. Aku perasaan juga akan getaran malam tadi tapi rasanya tiada apa-apa SMS pun yang masuk. Macam mana Ilham boleh berkata demikian sedangkan aku sendiri tidak tahu.

“Kau memang tak tahu sebab aku awal-awal dah buang mesej tu dari telefon kau. Aku tunggu kau berterus terang semalam. Tapi, kau buat tak tahu je. Sampai bila kau nak sorok lelaki yang ada dalam hidup kau selain aku, Fiah?” Ilham mencengkam bahuku erat.

“Fiah tak tahu. Kalau kata abang tengok mesej tu, kenapa tak call balik?” tanyaku lagi cuba memberanikan diri.

“Memang aku call dan suara lelaki menjawabnya, kau tau tak? Belum sempat aku bertanya, dia awal-awal dah putuskan talian. Kalau macam ni caranya, kau aku fikir apa? Kau nak suruh aku buat apa?” sergah dia keras.

Cengkamannya pada bahuku semakin kemas. Sakit dibahu usah ku ucap bila dicengkam oleh jemari kasarnya namun sakit di hatiku makin tidak tertahan rasanya. Aku menggeleng lagi bersama air mata yang kian lebat.

“Abang tak perlu buat apa-apa, bang. Abang hanya perlu percayakan, Fiah. Selepas Fiah serahkan segalanya buat abang, macam ni abang bayar Fiah? Macam ni sekali abang curiga Fiah lagi kali ini? Mana janji abang selama ni. Berapa jam abang berubah dan ini berubah lagi?” tanyaku dalam esakan. Mata itu aku renung jua dalam kekaburan pandanganku menahan air mata yang makin galak mengalir.

“Aku dah cuba percaya kan kau, Fiah. Bukan sekali malah berkali-kali. Aku boleh terima bila orang terpegang tangan kau. Aku boleh terima bila orang renung kau sebab kau memang cantik. Kecantikan yang tak dapat aku gambarkan dengan kata-kata sampaikan orang mengatakan aku berkahwin dengan seorang bidadari. Tapi, bila aku nampak SMS macam ni, aku rasa kau bukan bidadari aku, Fiah. Tapi, kau adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Yang merosakkan kebahagiaan aku. Yang merosakkan hidup aku!” Ilham mengeluh berat. Dia menggeleng kesal.

“Sampai hati abang cakap Fiah macam tu? Betapa payah Fiah kembalikan keyakinan buat abang, nampaknya Fiah silap lagi. Semua orang silap. Kak Anah juga silap menilai tentang abang. Kalaulah Fiah nekad dengan perjanjian kita dulu, tentu Fiah dah bahagia sekarang….”

“Bahagia dengan lelaki yang hantar mesej untuk kau ni?” cantas Ilham dengan wajah yang merah menahan marah.

Aku senyum di dalam tangisan. “Kalau sekarang Fiah kata kan yang Fiah tak tahu siapa lelaki tu, pasti abang tak percaya. Jadi, rasanya elok kalau abang bersihkan diri dulu, tenangkan fikiran dan Fiah harap abang akan dapat berfikiran rasional. Jangan cepat menuduh, bang. Jangan ulang lagi kesilapan abang. Jangan buat Fiah serba salah lagi. Fiah sayangkan abang,” ucapku lembut dan terus turun daripada katil.

Tudung yang direnggut tadi aku capai. Rambut yang kusut masai itu aku ikat kemas lalu aku sarungkan kembali tudung ke kepada hendak berlalu keluar daripada bilik yang mula membahang. Hanya beberapa ketika saja aku dijengah bahagia, kini bahagia itu hanya melintas pula depanku dan sudah bersedia hendak berlalu pergi.

“Mungkin betul cakap kau Fiah. Seeloknya kita kekalkan perjanjian kita dulu. Janji di mana aku akan lepaskan kau selepas kita menikah dan selamatkan maruah keluarga kau”
Langkah kaki ku terhenti lagi. Seluruh tubuhku bergetar hebat mendengarkan Ilham mengungkit kembali perkara itu. Tidak mampu berpaling menghadapnya, aku kakukan tubuhku di situ saja menanti butir bicara dia yang seterusnya.

“Aku terima kata-kata kau dulu, Fiah. Aku selamatkan keluarga kau dan kau terhutang budi pada aku. Kali ini, kau selamatkan maruah keluarga aku, dan budi itu aku kira terbalas di sini,” sambungnya. Tenang saja suara itu masuk ke telingaku.

Aku pejam mata erat. Tanganku meraba lengan dan mencabut gelang yang mama hadiahkan sebentar tadi, sempena aku menjadi menantunya. Rasanya gelang itu harus aku pulangkan nanti. Mungkin tidak hari ini tapi aku pasti satu hari nanti yang akan menjadi pasti.
Tapi, yang ternyata itu bukan rezekiku. Tiada rezeki juga hendak bersaudara dengan Faralina dan bukan rezekiku juga hendak menjadi ibu pada anak-anak Ilham selepas dia meminta zuriat semalam.

“Setelah apa yang kita lalui bersama, abang masih sanggup berkata begitu?” tanyaku bersama keluhan. Perlahan-lahan aku pusingkan badan menghadap dia yang sudah bangkit dari katil.

“Benar, kan? Lelaki baik untuk wanita yang baik dan lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat. Kalau nak pilih isteri, pilihlah berdasarkan keturunannya. Itu adalah salah satu syarat dalam agama kita, kan?” Dia ketawa.

“Aku silap Fiah. Silap membuat penilaian kerana buta dengan cinta pandang pertama pada kau tanpa aku tahu terlebih dahulu siapa kau? Sesungguhnya kau dari keturunan yang tidak baik Fiah. Aku menyesal kerana memperisterikan perempuan macam kau ni,” ucapnya tenang.

Kala ini aku bawa telapak tanganku ke dada. Mencengkam erat dadaku ibarat memegang hati yang terlalu sakit kala ini dengan kata-katanya. Hendak ku pertahankan diri rasanya tiada guna lagi. Perkara ini pernah terjadi kepada kami dan dia juga tidak mahu mendengar penjelasanku. Dan hari ini juga sama malah lebih hebat bila dia menghina darah keturunanku.

Aku pejam mata seketika. Pada Yang Satu aku bermohon petunjuk agar aku terus bersyukur atas apa yang telah dia anugerahkan padaku selama beberapa hari yang lalu. Mungkin terlalu sedikit untuk aku kumpul sebagai kenangan, tapi terlalu banyak untuk aku jadikan pengalaman.

“Maafkan saya kerana dah biarkan awak sentuh perempuan sehina saya ni. Perempuan yang dari keturunan yang bukan-bukan seperti saya ni. Maafkanlah kerana telah mencela keturunan awak dengan memaksa awak menikahi saya dulu. Dan andai perjanjian dulu boleh dikira semula, syaratnya tetap sama. Saya tak mahu mak saya tahu dan kali ini, mama juga tak boleh tahu,” ucapku tenang.

Sesungguhnya aku tidak sanggup melukakan hati mak dan hari ini, tidak mampu juga aku melukakan hati mama. Benar kata Ilham, biarlah kami menjadi suami isteri bersyarat. Tiba masanya, bila mak dan mama mengerti, aku akan berlalu dari rumah ini. Berlalu jauh daripada hidup Ilham Fitri dan aku tak mungkin menoleh lagi.

“Dan, jangan sesekali minta sebuah kemaafan daripada saya lagi,” tekanku memaksudkan makna yang mendalam.

“Terima kasih sebab sudi jaga perasaan mama. Dan kalau kau rasa menyesal kerana serahkan segalanya pada aku sedangkan kau lebih rela serahkan tubuh kau pada lelaki lain, aku akan bayar semula harga layanan kau pada aku dan aku tak akan minta maaf dari kau lagi,” tekan Ilham lantas dia berlalu ke bilik air.

Aku terkedu sendiri. Perlahan-lahan aku terduduk di atas permaidani. Hingga begini sekali Ilham meletakkan harga dalam diriku.

Kak Anah salah. Semua orang salah menilai Ilham. Hanya aku yang benar pada mulanya. Tapi, aku pedih kerana aku juga silap menilai juga pada akhirnya. Silap menerimanya kembali dan membiarkan hati ini dilukai sekali lagi malah tak mungkin sembuh kali ini.

Kenapa hati ini tidak sudah-sudah menipuku? Patutlah bahagia itu datang menderu kerana dia bawa bersama duka yang akan kekal berpanjangan. Biarpun bahagia itu hanya datang melintas dalam sekelip mata, tapi kepedihan itu tetinggal bersamaku dan entah bagaimana harus aku hadapinya.

Puas aku seka air mata dan bila aku dengar pintu bilik terkuak sedikit ditolak dari luar, aku berpaling dan saat itu melihat wajah Izham yang sedang mengalirkan airmata dan dia terus berlalu.

~~~> bersambung

Terlerai Kasih 53

BAB 53

MATAKU terbuka sedikit bila merasakan ada getaran di lengan. Mungkin jua telefonku menerima pesanan ringkas. Tapi, bila aku merabanya, tidak pula tercapai oleh tangan.
Sudahnya aku biarkan saja.

Baru saja hendak kembali lena, mataku terasa silau dengan cahaya lampu yang terang benderang. Perlahan-lahan aku buka mata dan terkejut juga bila Ilham sedang duduk di birai katil merenungku dengan wajah yang kelat.

“Kenapa, bang?” tanyaku. Bila aku lihat jam di dinding, tepat jam 3 pagi.

“Abang lapar ke?” tanyaku lagi bila dia tidak menjawab.

Aku angkat tubuh dan duduk menghadapnya. Mata yang masih terasa pinaunya aku genyeh beberapa kali. Ilham mengangguk. Aku senyum mesra.

“Kan dah cakap awal-awal tadi. Mesti abang laparnya. Maggi je boleh tak?” tanyaku sambil mengikat rambut panjangku dengan ikatan tocang satu.

“Apa-apa jelah. Dah lapar sangat ni. Tak boleh nak tidur dah,” adunya sambil memegang perut. Aku bangkit dan hendak berlalu ke dapur.

“Fiah,” seru Ilham. Langkahku mati seraya berpaling pada dia.

Dia hanya merenungku saja. Langsung kelu tanpa kata. Lama juga kami saling merenung. Riak itu tampak pelik pula. Macam ada sesuatu yang hendak dia katakan.

Bila dia tunduk menekur ke lantai, aku kembali duduk di sisinya. Telapak tangan ini aku labuhkan di atas pehanya.

“Abang ada sesuatu nak beritahu Fiah ke?” tanyaku lembut. Risau juga bila dia begitu. Aku takut dia berubah lagi tanpa sebab. Aku bimbang aku perlu menghadapi kesakitan daripadanya sekali lagi. Pantas aku panjatkan doa buat Tuhan Yang Esa agar tidak diduga kami ditengah kebahagian ini.

Soalan begini pernah dia ajukan padaku dulu. Tapi, jawapanku hanya tidak dan tidak itulah yang memakan hubungan kami. Hari ini, bila aku bertanya, aku mahukan jawapan yang tulus daripada lubuk hatinya yang paling dalam.
Bila dia menggeleng, aku mengeluh. “Tapi, kenapa Fiah rasa abang ada sembunyikan sesuatu?”

Ilham diam lagi memainkan jemarinya.

“Abang…,” panggilku lagi dan kali ini penuh dengan kelunakan.

“Kalau tak ada apa, tak akan abang masam macam ni? Semalam Fiah peluk pun abang tak nak. Kecil hati Fiah,” ucapku perlahan. Menggambarkan betapa aku terasa hati dengan dia.

“Tak ada apalah, yang. Abang penat je tu.” Dia usap pipiku dan tersenyum.

“Mungkin sekarang tak ada apa-apa. Tapi, kalau ada apa-apa, Fiah harap abang cakap je. Apa pun Fiah terima. Fiah tak nak abang berubah lagi. Paling teruk, kalau Fiah sendiri yang berubah. Itu yang Fiah takut.”

Dia menggeleng perlahan lalu dia ukir senyuman yang lebar padaku. Senang rasanya hati ini bila dia begitu. Hatiku berbunga setiap kali dia tersenyum.

“Dah lah. Pergi masak cepat. Abang dah lapar ni. Pertama kali nak makan magi,” sambungnya lagi lalu menarik aku bangkit menuju ke dapur.

“Pertama kali?” tanyaku tidak percaya.

“Masa belajar dulu tak pernah ke?”

Dia menggeleng.

“Abang ni tak pandai menikmati hiduplah,” ejekku bersama tawa kecil. Ilham tarik muka monyok.

“Mama marah kami makan maggi dulu. Mana pernah jumpa benda-benda macam tu,’ ucapnya sedih.

Aku rapat padanya. Pipinya aku pegang lembut. Comel wajah tampan ni bila merajuk.

“Ala, Fiah gurau jelah. Eloklah tak makan makanan segera macam tu. Fiah ni lain. Dari kecil sampai besar sekolah asrama. Macam mana mak larang pun, itulah yang termampu masa tu bila stay back. Tapi, hari ni terpaksalah makan. Tak pun jom kita keluar,” ajakku. Dia senyum.

“Nak pakai apa?” tanya dia.

Aku lihat dia dari atas ke bawah. Kemudian aku tersenyum lucu bila melihatkan seluar yang senteng itu.

“Macam ni je pun boleh,” jawabku dalam pada menahan tawa.

“Pendeklah, yang seluar ni. Malu abang nanti.

“Nak malu apa? Bukan tak pakai baju pun,” selaku kemudiannya.

“Habis tu Fiah nak pakai apa?”

“Fiah ada je lagi jeans dengan t-shirt lengan panjang dalam almari tu haa. Boleh je pakai lagi. Tak ada masalah.” Aku menjawab tenang.

“Alaa, tak nak lah macam ni. Fiah pakai cun-cun, lepas tu abang selekeh macam ni je. Nanti orang cakap abang tak padan jalan dengan Fiah.” Dia memprotes.

Aku ketawa. “La, selekeh apanya? Kalau betul orang cakap selekeh pun, biarlah. Yang penting abang tetap tampan dan segak di mata Fiah sampai bila-bila.”

Aku mula memujuknya dengan kata-kata yang berbunga dan suara yang melunakkan. Dia senyum kali ini. tapi senyum itu sudah nampak lain macam. Perlahan-lahan dia rangkul pinggangku membawa aku rapat ke dadanya lalu dia rendahkan kepalanya dan membenamkan wajahnya itu di leherku.

“Abang suka bila Fiah lepaskan rambut Fiah. Nampak cantik sangat,” gumamnya dengan nafas yang mula mendesah. Perlahan-lahan aku merasakan dia menarik getah rambutku lalu rambut panjang milikku terurai.

“Fiah nampak seksi sangat kalau biarkan saja rambut ni lepas bebas. Tapi, untuk abang je tau,” ucapnya lagi sambil terus memainkan bibirnya di leherku. Aku senyum.

“Segala yang ada pada Fiah memang hak abang seorang.” Dia tolak bahuku membawa mata kami bertentangan.

“Fiah tahu dan Fiah akan jaganya hanya untuk abang seorang,” janjiku sesungguhnya pasti. Kerana diri ini adalah haknya, aku akan jaganya hanya untuk dia seorang.

“Lagi satu, abang tak izinkan Fiah potong rambut ni. Kalau nak potong juga kena dapatkan kebenaran bertulis daripada abang.”

Aku ketawa kecil mendengarkan kata-katanya. Terasa lucu pula. Nak potong rambut pun kena minta kebenaran bertulis. Memanglah dia Ilham Fitri yang ortodok.

Dia terus membelai rambutku. Sesekali dia genggam kemas dan membawa rambut itu ke bibirnya. Lalu dicium berkali-kali.

“Abang ni lain macam je Fiah tengok? Tadi, kata lapar.”

“Abang dah tak rasa lapar. Mungkin lama sangat renung Fiah. Tengok Fiah pun perut dah jadi kenyang,” jawabnya dengan jemari yang masih membelai wajahku.

Tadi beria-ia meminta aku memasak tapi kali ini, bersungguh pula memelukku. Dia sememangnya boleh berubah mood dalam sekelip mata. Sukar dijangka. Hendak ditepis jemari yang membelai pipiku ini, bimbang pula dia berkecil hati. Hendak dibiarkan, terasa rimas pula.

“Hari tu, masa abang tinggalkan kesan merah kat sini…” Ilham sentuh leherku dengan hujung jarinya.

“… Fiah kata kesan tu akan hilang dan tak akan kekal. Hari ni abang nak tinggalkan Fiah dengan kesan yang tak akan hilang selamanya antara kita. Kesan yang akan menjadi tanda kasih sayang antara kita. Boleh abang minta tu?” tanya dia tenang.

Wajah itu penuh mengharap. Mataku jatuh pada matanya yang mula turun naik mengawal nafas yang berombak ganas. Aku sebenarnya kurang faham dengan kata-katanya.

“Abang nak minta apa?” tanyaku malu-malu.
Ilham tidak terus menjawab sebaliknya tunduk lagi mendekatkan bibirnya ke telingaku.

“Bagi abang zuriat supaya kesan kasih kita ni tak hilang buat selamanya. Biarpun kita tiada lagi di dunia, kesan itu adalah hasil kasih sayang kita,” bisiknya lembut.
Perlahan-lahan aku rangkul lehernya. Menjingkitkan sedikit kaki ini hendak menyaingi ketinggiannya.

“Untuk abang. Fiah rela segala kesan itu bersama Fiah untuk seumur hidup ni,” balasku juga berbisik.

Bila Ilham menarik tanganku untuk kembali ke katil, langkahku pegun. Rasanya tadi dia kata dia lapar. Tak nak makan dah ke?

“Err, apa kata kita makan dulu?”

Ilham berpaling seraya menggeleng. “Fiah yang akan kenyangkan abang,” ucapnya lalu memadamkan lampu dan membawa aku hanyut di dalam pelukan kasihnya yang semakin hangat dibakar api cinta dariku.

Jauh disudut hati, aku bersyukur kerana dia masih memegang janjinya untuk menyintaiku dan aku berdoa agar Allah kurniakan kami rezeki yang akan membuatkan ikatan kasih kami tersimpul mati. Tak akan terlerai biarpun dugaan hebat membadai satu hari nanti.
*****
PAGI itu, setelah selesai berkemas apa yang patut, kami terus bertolak balik ke Petaling Jaya. Ilham juga perlu masuk ke pejabat petang itu juga untuk menghadiri satu mesyuarat penting. Cuti yang masih berbaki sehari dua itu rasanya elok saja kami batalkan memandangkan segalanya telah selesai dan berjalan lancar.

Aku juga sudah berkeputusan hendak masuk ke pejabat esoknya. Bila Ilham tidak menghalang, aku tersenyum senang. Rindu benar pada kesibukan di pejabat. Tapi, mengapa wajah itu bagaikan tidak senang.

Sepanjang perjalanan diam saja. Bila aku meminta izin hendak ke pejabat esok, dia hanya mengangguk. Pelik tapi cepat-cepat aku tolak rasa pelik itu. Mungkin saja dia masih penat. Desis hati ini sendiri.

Tiba di rumah, aku lihat mama sedang menyiram pokok di laman. Dia senyum dan terus menapak ke arah kami bila kami sama-sama keluar daripada perut kereta. Ilham terus menuju ke boot, hendak dikeluarkan barang-barang kepunyaanku. Aku salami mama dan dia mengucup pipiku sekali.

“Seronok malam tadi?” tanya mama mengusik. Aku ketawa kecil sedangkan wajah ini sudah merona merah rasanya. Mama ni, soalan boleh tahan, ucap hati ini.

“Seronok Am malam tadi dapat lari daripada keluarga yang lain?” Mama halakan pula matanya ke arah Ilham yang sudah menutup boot kereta.

“Bolehlah daripada tak ada,” jawabnya senada lantas berlalu ke dalam rumah.

Hati ini rasa tersiat pula dengan jawapannya. Mungkin saja dia bergurau tapi gurauan itu bagaikan memaksudkan sesuatu yang di luar jangkaan. Tubuh yang sedang masuk ke dalam rumah itu aku renung lama.

Apakah yang dia maksudkan dengan ‘bolehlah daripada tak ada’ tu? Boleh saja dia menyentuhku sesuka hatinya kerana hanya aku yang sah di sisinya waktu ini? Hampir menitis airmataku mencari jawapan. Mungkin saja dia bersenda, tapi aku tidak dapat menerimanya.

Waktu ini ku rasakan, aku ini hanya wanita simpanannya selepas apa yang dia janjikan padaku sewaktu dia hadir dekat dengan diri ini. Membisikkan kata-kata cinta di cuping telingaku malah aku menunaikan segala tanggungjawabku hanya kerana Allah dan kerana dia adalah suami.

“Kenapa pulak tu?” tanya mama selepas kelibat Ilham hilang daripada mata.

“Entahlah, ma.” Aku jungkit bahu dan melarikan anak mata ke siling yang cantik berhias dengar ukiran berwarna warni itu.

“Muka lain macam je mama tengok Am tu? Kamu berdua bergaduh ke apa?”
Aku geleng lagi. Mana mungkin kami bergaduh selepas apa yang kami lalui beberapa hari ini. Setelah apa yang dia ungkap malam tadi, hendak memberikan aku kesan yang tak mungkin hilang dari kami seumur hidup biarpun hingga ke alam sana tapi mengapa hari ini dia begini?

“Kenapa pulak budak Ilham ni?” tanya mama lagi dan kali ini lebih pada diri sendiri.
Aku diam terpaku di situ. Rasa lain macam saja kali ini. Hati ini kuat mengatakan, rumah tanggaku akan terbadai lagi. Atau lebih teruk, aku mula berfikir yang Ilham hanya menginginkanku kerana itu. Setelah segala apa yang aku persembahkan buat dia, dia akan pergi jua nanti. Membiarkan aku sendiri seperti sebelumnya.

“Kamu berdua ni penat ni,” simpul mama sendiri. Dia gosok belakangku yang sedari tadi terkedu sendiri.

“Fiah masuklah berehat. Kemas barang yang patut tu. Nanti teman mama masak tengah hari. Papa balik nanti. Iz dengan Aqam pun nak balik makan kat rumah hari ni,” pujuk mama melarikan tumpuanku kepada yang lain.

Aku memaksa diriku tersenyum pada mama. Tidak mahu wanita anggun itu berfikir yang bukan-bukan. Cukuplah masalah Izham dan Iqram yang dia fikirkan. Tentang aku dan Ilham, rasanya aku sudah cukup kuat hendak menyelesaikannya sendiri andai benar Ilham cuba buat hal sekali lagi.

“Fiah naik dulu, ma. Abang Am tu memang penat agaknya. Tension la tu, pagi tadi dapat call suruh dia masuk pejabat,” beritahuku pada mama dalam pada menyedapkan hatiku sendiri.

“Hai cepatnya kena masuk pejabat?” tanya mama tidak puas hati.
Aku ketawa nipis. “Ada kerja penting la tu. Fiah pun nak masuk pejabat esok dah. Banyak kerja urgent katanya,” beritahuku lagi.

Mama dah bercekak pinggang kali ini. “Azhan ni memanglah nak kena,” ucapnya. Aku ketawa. Sungguh gelihati melihatkan membebel sendiri pada adiknya itu.

“Bukan Uncle Azhan suruh masuk pun, ma. Fiah sendiri yang nak masuk kerja dah. Kasihan juga dekat kawan-kawan pejabat tu. Fiah tak ada macam pending je semua.” Aku membetulkan tanggapan mama.

Takut juga kalau dia tazkirahkan Encik Azhan. Dia bukan boleh kita. Sama macam anak-anaknya juga. Lembut tapi jelas tegas. Abah pun tidak begini.

“Eloklah Fiah dengan Am tu. sama-sama kaki kerja,” ucap mama dan menjeling manja ke arahku.

“Dahlah. Fiah masuk rehat dulu. Nanti tolong mama masak, ya. Lagipun mama nak bincang pasal Aqam tu ha. Tak dan-dan dah. Alang-alang ada menantu ni, tanyalah pendapat menantu pulak.” Mama sengih.

Aku angguk lantas berlalu. Senyumku mati bila saja membelakangi mama. Ada rasa sarat yang semakin memberat di kelopak mata. Ada air jernih yang mahu tumpah bila mengingatkan kata-kata Ilham tadi.

Semakin aku pujuk hati, mengatakan yang dia tidak sengaja berkata demikian dan semuanya itu hanyalah gurauan semata-mata, semakin itu juga akalku menolak. Aku masih waras hendak menilai setiap kesungguhhannya dalam berkata-kata. Untuk menilai maksud di sebalik setiap ucapannya.

Bila aku pijak anak tangga pertama, langkah ku mati di situ. Terasa kabur pandangan dengan air jernih yang semakin tidak dapat aku bendung lagi.

“Bolehlah daripada tak ada.” Jelas dan padat saja sebaris ayat itu menerjah gegendang telingaku tadi dan kini masih terdengar bagaikan pita perakam yang diulang-ulang berkali-kalu.

Tanpa aku sedar, titisan itu jatuh menodai pipiku. Buat pertama kalinya setelah aku terima dia dalam hidupku buat kali kedua. Setelah dia berjanji untuk tidak membiarkan airmata ini gugur lagi.

Tatkala aku dengar pintu bilik terkuak, aku pantas mengelap pipi yang basah. Bila aku angkat wajah, Ilham sudah tercegat di anak tangga yang teratas.

“Buat apa lambat sangat tu?” tanya dia tanpa kemesraan seperti biasa.

“Abang dapat call tadi, kena masuk office sekarang. Siapkan baju abang. Abang nak mandi,” ucapnya lantas berlalu ke dalam bilik semula.

Aku sekali lagi tersentak. Entah mengapa aku terima itu sebagai satu arahan padaku. Arahan seorang majikan kepada seorang gaji. Benar dia tidak langsung menggunakan kata-kata yang kasar namun, nada itu mendatar saja. Tiada kelembutan.

Sedaya upaya aku tahan air mataku dari gugur bila mendengarkan suara mama yang masuk ke rumah, membebel tentang pokok bunganya. Cepat-cepat aku panjat anak tangga dan menuju ke bilik kami.

Ilham di dalam bilik air bila aku masuk. Almari pakaian itu aku rapati dan aku capai sehelai kemeja bewarna biru lembut yang aku belikan untukku, seluar slack hitam dan juga tali leher dari warna biru yang agak terang dan sedikit bercorak abstrak untuk aku padankan dengan kemeja tadi.

Aku buka papan menggosok dan seterika. Pertama kali menyiapkan pakaian kerjanya membuatkan aku teruja tapi kegembiraan itu perlahan-lahan beransur hilang.

“Dah siap?” tanya dia tiba-tiba. Hampir saja aku terlompat dek rasa terkejut.

“Abang ni… terkejut orang,” rungutku cuba mempamerkan kegembiraan.
Ilham jeling aku sambil mengelap rambutnya. “Orang mana? Orang utan?” sinisnya.

Andai dulu dia pernah berkata begitu, tapi aku dapat rasakan gurauan mesra di sebaliknya tapi hari ini, aku rasa itu hanyalah sindiran buatku semata-mata.

“Err, dah siap baju abang ni.”

Seluar dan kemejanya itu aku letak di atas katil. Dia aku dekat dan cuba meraih tuala kecil itu daripada dia. Sudah menjadi kebiasaanku untuk mengelap rambutnya kini.
Tapi, bila dia menepis aku terkaku lagi. Bibirku bergetar hendak mengatakan sesuatu tapi tidak bergerak pula. Rasa terpasung pada lelangit dengan sikap Ilham yang tiba-tiba ini.

“Abang boleh lap sendiri,” ujarnya tenang.

Sudahnya dia campak tuala itu tepat ke mukaku. Hampir gugur jantungku dengan perbuatannya. Tapi, aku pantas pujuk hati agar bersabar. Mungkin dia tak sengaja, bisik hati ini sendiri. Dia hampiri katil dan dia memandang lama ke arah kemeja biru laut itu.

“Fiah ambil baju siapa ni bagi abang pakai?” tanya dia sedikit keras dengan bercekak pinggang.

“Err, baju tu Fiah beli untuk…”

“Kalau Fiah beli baju ni untuk orang lain tapi lepas tu tukar niat nak hadiahkan dekat abang, tak payah. Baju abang berlambak lagi. Gosok lain,” pangkasnya seraya mengangkat kemeja itu lalu dia campakkan ke dalam bakul baju kotor.

“Abang!” tegurku sedikit meninggi.

Dia kalih padaku dengan renungan yang sedikit tajam. “Abang ni kenapa? Kenapa tiba-tiba jadi macam ni?”

Ilham jungkit bahu. “Tak ada apa-apa pun. Abang mana ada berubah pun.” Dia cuba gelak tapi tidak menjadi. Aku ketap bibir.

“Kenapa tiba-tiba buat Fiah macam ni pulak?” tanyaku lagi.

“Abang buat apa?” Dia sudah bercekak pinggang.

“Cuba Fiah cakap abang buat apa? Abang cuma cakap abang tak nak pakai baju tu. Tu bukan baju abang. Abang minta Fiah gosok lain, payah sangat ke?”

“Itu kemeja abang. Fiah beli untuk abang,” beritahuku dengan harapan agar dia mengerti.

Itu memang kepunyaannya. Mungkin silapku kerana tidak memberitahunya, tapi aku benar-benar belikan untuk dia.

“Abang tak pernah tahu pun Fiah beli untuk abang? Entah-entah Fiah nak belikan untuk orang lain tapi tiba-tiba tukar niat, beri untuk abang tak?” tanya Ilham sinis.

“Itu memang Fiah belikan untuk abang. Kenapa abang berubah lagi ni? Dalam sekelip mata abang jadi macam ni? Kenapa, bang?” tanyaku dengan suara yang mula tenggelam timbul.

Baru sahaja kami berbaik dan dia berubah dan menyesali diri, hari ini dan saat ini dia berubah lagi. Berubah menjadi Ilham Fitri yang lain lagi tanpa aku tahu sebabnya.

“Abang tak ada apa pun. Tak pernah berubah. Kalau kata Fiah nak buat muka sedih macam ni, biarlah abang gosok sendiri,” balasnya keras lalu dia menapak ke almari.

Habis segala isi almari itu dia selongkar sedangkan segala kemeja sudah elok tersangkut di depan mata. Segalanya sudah bersepah sana sini.

“Tak nak gosok cakap tak nak gosok. Jangan banyak dalih macam ni. Buat apa ada isteri kalau nak suruh siapkan pakaian kerja pun tak reti,” bebelnya perlahan sambil dia menggosok pakaiannya sendiri.

Biarpun terlalu perlahan, tapi telingaku dapat menangkap segala ucapan itu dengan jelas. Aku pandang sisi wajahnya yang sedang menahan marah itu dengan mata yang tidak berkelip. Dia sedang berubah. Dia sedang berubah. Ucap hatiku risau. Berat mataku melihatnya namun dia langsung tidak berpaling.

Sewaktu Ilham sedang menyarungkan pakaian ke tubuh, aku terus berlalu ke bilik air. Paip di sinki aku buka sehabisnya, membiarkan air paip itu mengalir kuat bagi menutup tangisanku yang semakin menjadi-jadi.

Ya Allah, adakah dugaan-Mu buat kami hadir lagi? Dalam sekelip mata begini. Tapi, tiada kudratku hendak menghalang andai benar Kau berkata jadi, maka jadilah ia, rintih hatiku sayu.

Tidak sedar sudah berapa lama aku berada di dalam bilik air hinggalan satu ketukan kuat menghentak daun pintu.

“Buat apa dalam bilik air tu lama sangt? Berangan ke apa? Suami nak pergi kerja ni tak perlu hantar ke pintu ke? Itu pun nak kena orang ajar ke?” jerit dia dari luar.
Aku terus bangkit dari duduk dan terus membasuh mukaku. Perlahan-lahan aku tarik pintu dan dia sedang membetulkan tali lehernya. Dia menjeling ke arahku sekilas.

“Ikatkan tali leher abang ni,” arahnya. Aku cepat-cepat dekati dia dan bila tali leher itu bertukar tangan, aku kaku.

Sebenarnya aku tidak tahu hendak mengikat tali leher. Tidak pernah pula menggunakan tali leher itu seumur hidup ini. Bila dia meminta, aku hanya menyambut tali leher itu tanpa berfikir panjang.

“Tunggu apa lagi?” sergah Ilham.

“Err, Fiah tak tahu nak ikat ni.” Aku suakan tali leher itu pada dia semula.

“Kalau tak tahu buat apa ambil?” tanya dia dengan rengusan yang panjang.

“Tak kan tak pernah ikat tali leher orang lain kot,” sinisnya lantas berlalu ke bilik ke depan cermin.

Tersentap hebat jantungku mendengarkan kata-katanya. Perlahan-lahan air mataku menitis. Terasa pedih amat.

“Kenapa abang cakap macam tu?” tanyaku sayu.

“Abang tak cakap, abang tanya. Yang Fiah nak menangis tu kenapa? Nak hantar suami pergi kerja dengan air mata? Macam nak doakan suami cepat-cepat mati nampak,” ujarnya lagi dan kali ini lebih sinis.

“Abang!!” sergahku sedikit kuat sambil menahan sebak yang mula menyesakkan dada.

“Dahlah. Turun siapkan makan abang. Abang nak sarapan dulu. Takut tak sempat makan nanti,” ucapnya lalu dia mencapai kotnya dari dalam almari.

“Bawa kot tu turun. Beg tu sekali.” Dia mencampakkan kot itu ke wajahku.
Aku tunduk membisu. Serta-merta peristiwa di pejabatnya dulu terbias di mataku. Di mana dia melemparkan kotnya juga tepat ke wajahku kala itu. meletakkan aku sebagai wanita yang terlalu murah harganya waktu itu. adakah waktu itu sedang berulang lagi?

Letih aku seka airmata. Hanya seketika saja Ilham menyeka sisa air mata ini dan setelah dia berjanji, dia mungkiri lagi. Tanpa aku tahu apakah puncanya.
Andai dulu jelas jua silapku seperti kata Kak Anah kerana merahsiakan segalanya daripada dia, tapi hari ini rahsia itu sudah terungkai. Lepas dari dadaku setelah aku berkongsi dengan dia. Tapi, ternyata janji manusia itu dusta semuanya kerana lidah tidak pernah bertulang dan hanya aku yang bakal menggalas beban.

~~~> bersambung