Thursday, December 14, 2017

OBJECTION Released!

Assalamualaikum wbt... Alhamdulillah... nahh ada kejutan.  Kisah Zafiq dan Aira dah selamat menjadi naskah bercetak.  Tak tebal sangat (554ms) dan tak mahal.  Harga mampu milik insyaallah... 

RM 23 (SM)
RM 26 (SS) 

Untuk belian atas talian, boleh order terus di Facebook Makcik Karyaseni atau download aplikasi Karyaseni di telefon pintar.  Boleh order terus untuk dapatkan harga istimewa (diskaun RM3 dan free pos ke seluruh Malaysia).  

Atau juga boleh datang ke Eskpo Buku Malaysia (EBM) pada 22-24 Disember 2017 ini di PWTC KL.  Dengar kata, ada diskaun yang sangat menarik.  wink2.

Atau boleh juga tunggu di kedai-kedai buku seluruh negara atau (berapa banyak atau entah) boleh juga pre-order dengan saya mengikut gambar di bawah.  ^_^ 

Friday, December 01, 2017

Objection 22

SEBAIK saja dia balik dari sungai, dia tengok Nazri sedang menyiram kebunnya.  Hari dah pun beransur petang.  Aira dekati Nazri.  Terkejut juga tiba-tiba Nazri muncul ni.  Kata Zafiq, tak akan balik ke sini dalam seminggu dua.  Lama tu.  Tapi, dia dah tak kisah. 
“Kenapa kau datang sini, Yie?”  Aira letak baldi.  Merapati Nazri dengan wajah resah.  Dia menoleh ke belakang.  Risau kalau-kalau Zafiq muncul tiba-tiba. 
“Kau tak takut dengan bos kau ke?  Buatnya dia datang.  Kau kena, kakak pun kena.”  Aira capai cebok daripada tangan Nazri dan menyuruh anak muda itu berlalu.  Tapi, Nazri berkeras tak nak berganjak langsung.
“Nazri!  Kau faham ke tidak kakak cakap apa ni?”  Dahlah Zafiq tu jenis tak nak faham orang cakap.  Ini, Nazri pun nak ikut perangai Zafiq juga ke?

Wednesday, November 29, 2017

Objection 21

ZAFIQ tenang memandu sendiri.  Nissan Navara hitam pekat itu terus membelah jalan raya menuju ke Tambon Mai Khao, Amphoe Thalang, Chang Wat.  Mak Long dengan Pak Long akan mendarat kejap lagi di Phuket International Airport.  Perjalanan yang tak sampai satu jam, rasa seperti jauh sangat.  Tak sabar nak tatap wajah tua itu yang dah lama dia nak tengok.  Hampir enam bulan rasanya.  Dia terlalu sibuk atau dia sebenarnya sedang lari daripada kenyataan. 
Zafiq mengusap wajahnya yang dah kembali ditumbuhi jambang dan misai.  Kenapa sejak akhir-akhir ini susahnya dia nak halau wajah Aira dalam kepala.  Jika sebelum ini juga wajah itu tak pernah lepas, tapi ia penuh kebencian.  Cuma sekarang, dia rasa lain.  Tak kan setelah Zariq belot, Nazri pun hampir buat benda sama… sekarang diri sendiri pula! 

Monday, November 27, 2017

Objection 20

MATANYA tertangkap Aira yang sedang terlena menyungkur di atas meja di ruang tamu.  Penat sangat gamaknya.  Dia tadi ke jeti.  Rahim datang bawa dokumen yang perlukan perhatian dia.  Juga, sedikit keperluan lain.  Bila dia balik, Aira sedang terlentok atas meja kopi.  Lena.  Zafiq duduk di atas sofa.  Condong ke depan.  Menilik wajah Aira. 
Cantik betul perempuan ni.  Comot macam ni pun cantik.  Kemudian, jatuh ke jari-jemari runcing Aira.  Kukunya tak dipotong elok.  Gamaknya, Aira gigit kuku ni.  Jarinya jangan cakaplah.  Kotor!  Kulit Aira juga nampak kian kusam.  Tak seperti hari pertama dia bawa perempuan ni ke sini. 

Wednesday, November 22, 2017

Objection 19

BALDI air dijinjit perlahan.  Aira menapak dengan berhati-hati.  Berselipar basah, dia boleh jatuh tergolek macam hari tu.  Kebun dia kena siram.  Cepat sikit membesar.  Nasiblah Nazri tolong sediakan sedikit baja organik.  Sihat sikit tanaman dia. 
Aira menyiram perlahan tanamannya.  Setelah siap, dia duduk mencangkung.  Membelek kot-kot ada ulat ke.  Syukurlah tiada.  Bibirnya koyak dengan senyuman.  Lebar. 
“Kau kena tabah macam aku.  Apa pun jadi, kau kena hidup dengan baik.  Aku perlukan kau,” ujar Aira seperti berbicara dengan manusia.

Friday, November 17, 2017

Objection 18

TURUN aje daripada bot, Zafiq terus ke pantai.  Rasanya tadi dia macam nampak susuk manusia tapi kejap aje dah ghaib.  Dia sengih sinis.  Ghaib pun manalah sangat kau nak pergi.  Melainkan kau berenang merentasi lautan ni.  Dia tunggu Nazri menambat tali bot.  Kemudian, menurunkan beg.  Baru nak terus melangkah, kakinya terpijak sesuatu.  Bunyi macam sesuatu dah patah.  Zafiq pandang bawah.  Dia angkat kasut. 
Eh… tak semena-mena dia ketawa kecil.  Ini mesti Si Aira yang kutip lepas tu nampak dia terus lari sampai tinggalkan benda ni.  Yang jadi persoalannya, kau nak buat apa cangkerang ni, Aira?  Dia bertinggung.  Melihat koleksi cangkerang yang Aira kutip.  Kemudian, dia bangkit dan menyepaknya sekuat hati.  Hingga berterabur. 

Wednesday, November 01, 2017

Beast and The Beauty Released!

Beast and The Beauty dibuka untuk pembelian.  Pre-order sekarang.  Akan ready-stok pada 4.11.2017

Untuk tempahan, boleh rujuk poster di bawah : 

 
Manusia akan rasa rimas bila dikongkong. Tapi, tidak pada Sufi. Dia rela. Rasa selasa dan selamat setelah apa yang terjadi sedekad yang lalu. Memori pahit yang cuba ditelan. Biarpun kini, ayah, mama dan Abang Johan mahu dia beranikan diri hadapi dunia, dia tetap menolak. Hingga satu hari, lelaki itu muncul di depannya. Kacak, segak, tenang dan misteri. 


“Nak jawapan jujur ke tipu?” - Juliana Sufia
“Jawapan yang awak rasa senang nak bagitahu.” - Benjamin
“Jujurnya, dia orang tak suka saya…” – Juliana Sufia
“Tak apalah. Janji saya suka awak, rasanya itu dah cukup kot…” – Benjamin

Monday, October 16, 2017

Objection 17



DAH hampir seminggu.  Zafiq benar-benar kentalkan hatinya.  Langsung tak difikirkan tentang Aira yang boleh jadi dah tinggal tengkorak.  Lantaklah dia.  Berlagak sangat bila Nazri nak bagi kunci, kau tak nak.  Duduklah kau kat situ! 
Tapi, macam mana kalau dia balik sana nanti jangan kata Aira, tapi tengkoraknya juga tiada.  Kalut!  Macam mana kalau Aira tu ditelan ular sawa masa tidur?  Tuhan… dia ramas rambutnya.  Tabiat buruk sejak dulu.  Umi selalu larang.  Kadang-kadang umi sampai tepuk tangan dia. 
Sesekali, dia harap sangat Nazri curi-curi ke pulau.  Dia akan buat-buat tak tahu.  Tapi, sejak peristiwa malam tu mana Nazri berani lagi.  Biarpun sesekali pandangan Nazri jelas mengajak dia balik ke sana. 

Wednesday, October 11, 2017

Objection 16




SEPERTI yang dijanjikan, dia dan beberapa orang pekerja terjun ke laut pagi ini.  Demi membaik pulih taman batu karang yang rosak.  Dalam hati dia mengucapkan syukur bila malam tadi, hanya berangin.  Walaupun agak kuat, tidaklah dipanggil ribut.  Rasanya, dekat sana juga sama. 
Zafiq naik ke pantai.  Membuka gogal dan duduk di atas pasir.  Membiarkan pekerja yang lain menyambung tugas.  Masih banyak yang perlu di baik pulih.  Seperti kata Rahim, dalam seminggu juga baru siap ni.  Matanya mendongak langit yang begitu terang.  Tiada langsung awan.  Hanya warna biru yang menghiasi.  Dia senyum tawar.  Andai Zariq di sisi, senyuman dia sentiasa manis. 

Sunday, October 08, 2017

Objection 15



DADA Zafiq bagai nak pecah bila Rahim datang dan berbisik sesuatu padanya padahal belum pun separuh sesi temu ramah berjalan.  Dalam hati berkira-kira, bagus juga sebab dia betul-betul tak selesa apatah lagi mata perempuan yang dia kenali sebagai Rin itu asyik memandang dia.
Semak! 
I rasa kita kena berhenti takat ni dulu.  I ada hal penting nak kena urus sekarang…”  beritahu Zafiq pada dua orang wartawan, termasuk dua orang cameraman.  Macam nak temu ramah perdana menteri sampai sebegini ramai.  Tapi dia diberitahu, mereka akan buat photo shoot di sekitar pulau. 

Wednesday, August 30, 2017

Objection 14

MATA Airin luas memerhatikan keindahan laut Phuket.  Cantik sangat sampai susah dia nak gambarkan dengan kata-kata.  Tak puas mata memandang.  Nak-nak bila Alif siap dapatkan dia bilik yang menghadap kolam dan lautan.  Lagilah dia teruja.  Dia labuhkan duduk di atas kerusi di beranda usai membersihkan diri.  Kejap lagi nak turun makan malam.  Dengar kata, masakan di sini kelas pertama.  Malam ni, bolehlah berenang. 
Dia renung kolam daripada tingkat dua bilik penginapannya.  Kolam itu nampak kosong.  Hanya ada seorang saja yang sedang berenang. 

Tuesday, August 29, 2017

Objection 13


APA lagi yang perlu dia katakan.  Pertuduhan telah dibaca.  Dia, yang dikatakan pesalah tak mahu menerimanya.  Tak akan mengaku salah sampai bila-bila.  Tapi, pendakwaraya-juri-hakim adalah orang yang sama; tetap memaksa dia terima bulat-bulat semua tuduhan dan menjalani hukuman.  Nak bela diri sendiri juga, dia tak layak.  Mahkamah Zafiq, adalah mahkamah gila.  Dakwaan Zafiq adalah dakwaan tak berasas dan penilaian Zafiq sebagai juri adalah penilaian berat sebelah. 
Aira memeluk lutut di tepi katil.  Melentokkan kepalanya atas lulut, memejamkan mata.  Dia cuba tenangkan dirinya.  

Wednesday, August 23, 2017

Objection 12

KEPALA Azman rasa pening tiba-tiba.  Apalah nak jadi dengan anak-anak dia?  Sorang hilang entah mana pergi.  Telefon pun tidak.  Atau memang Airin ni menipu dia?  Sedangkan semua tak tahu mana Aira pergi?  Yang Si Airin ni pulak sign kontrak dengan agensi pelancongan mana entah?  Main sign aje.  Cubalah bawak berbincang dengan orang tua dulu.  Macam tiada mak bapak.    
“Ayah, Rin pergi timba pengalamanlah.  Lagipun, sambil-sambil wartawan tu nak interview salah sorang rakyat Malaysia yang berjaya di sana.  Katanya, tak pernah lagi ada yang berjaya interview dia tu, tapi kali ni dia macam setuju.  Itu yang dia nak Rin ikut sekali untuk photoshoot.  Bolehlah ayah…”  Lengan Azman dipeluk erat. 
Sesekali, Airin pandang Maria.  Meminta agar mama menyokong tindakannya. 

Tuesday, August 22, 2017

Objection 11

BARU nak memanjat dua anak tangga itu, Aira jatuh terjelepuk.  Selipar dia licin.  Dia mengaduh sendiri.  Airnya tumpah.  Dahlah hujan begitu lebat.  Baju dia hanya ada yang ini.  Yang lain semua tak kering lagi.  Aira cuba bangun tapi dia kembali terduduk.  Buku lalinya perit.  Sekali lagi dia cuba bangkit, masih tak berjaya.  Bukan kerana buku laki itu saja tapi dia benar-benar keletihan. 
Seluruh tubuhnya sakit.  Seperti dihempap batang balak.  Akhirnya, Aira rebahkan badan di atas tanah.  Membiarkan hujan membasuh rasa sakitnya.  Menyentuh wajahnya.  Menyembunyikan tangisannya.  Dia buka mata bila dirasakan air itu tidak lagi menyapa wajah dan tubuhnya. 
Lelaki itu muncul.  Memayungi dia. 

Friday, August 18, 2017

Objection 10

NAFAS Aira tercungap-cungap bila wajahnya disimbah air.  Dia angkat tubuh.  Terbatuk berkali-kali hingga merah matanya.  Dia kerutkan kening dan memandang lelaki depan matanya yang muncul setelah beberapa hari menghilang. 
“Kau nak tidur sampai bila?  Atau kau nak tidur terus?  Tak payah bangun sampai bila-bila dah?!”  sembur lelaki itu.  Marah! 
Aira buat tak dengar.  Sekadar mengelap wajah dan rambut yang basah.  Malas nak layan amukan orang pagi-pagi ni. 
“Kau pergi mana?”  tanya Aira biarpun tekak masih perit.  
“Kau lupa sesuatu nampaknya.  Kau tak ada hak apa-apa dekat pulau ni!  Jadi, jangan tanya apa-apa soalan!”  tegas Zafiq. 
“Bangun!”  arahnya. 

Thursday, August 17, 2017

Objection 9

DIA baru saja sampai pagi di Kuala Lumpur setelah hampir dua bulan tak pulang.  Dia balik ke sini pun, kerana Zariq yang beria minta dia kembali.  Katanya, ingin ke Itali dalam masa terdekat.  Eloklah kalau betul Zariq dah sedia.  Tapi, yang anehnya secara tiba-tiba. Itu yang menjadi tanda tanya. 
Kakinya laju meniti anak tangga menuju ke meja makan.  Kejap lagi dia ada mesyuarat dengan agensi pelancongan dekat sini yang nak tahu tentang rahsia kejayaan dia membina perniagaan di negara orang.  Rasanya tak susah mana untuk dia memandangkan arwah uminya berasal daripada Thailand.  Cuma dapat taraf penduduk tetap di sini aje.  Asas yang dia ada adalah peninggalan umi.  Selebihnya itulah dia usahakan sendiri setelah umi dan ayah pergi. 

Wednesday, August 16, 2017

Objection 8

MATA Airin berlaga dengan mata Maria.  Mamanya memberi isyarat.  Kemudian, Airin pula menghantar isyarat.  Hingga Azman perasan perbuatan dua beranak itu.  Dia pandang anak dan isterinya. 
“Apa yang tak kena?  Cuba cakap?” 
“Err… tentang Aira, ayah…”
“Hah, dia ada call ke?”  Azman teruja.  Iyalah.  Nak buat report, bersungguh anak dan isteri dia larang. 
Airin angguk.  “Err… dia ke rumah kawan dia…”
“Kawan?”  Azman simpan syak.  Dia tenung Airin lama.  Airin dah biasa sangat berbohong pada dia.  Lebih-lebih lagi pasal Aira. 
“Kamu jangan nak tipu ayah, Airin.  Aira tu mana ada kawan…”  Dalam diam, Azman memberi amaran.  Kalau dia tahu Airin menipu, dia tak akan lepaskan Airin kali ini. 

Objection 7

SYUKURLAH demamnya tak merebak.  Dia pandang botol ubat yang ada di atas katil.  Dekat dengan dia.  Aira keluar dan suasana terasa hening.  Yang menghiasi pendengaran hanyalah unggas hutan.  Dia capai baldi.  Rasanya dia boleh cari di mana anak sungai itu berada.  Nazri pulak entah ke mana.  Orang gila itu juga tiada. 
Perlahan-lahan, Aira menapak.  Mengelak daripada ranting dan sesekali dia mendongak ke atas.  Bimbang andai ada ular atau apa saja.  Memikirkan dia di tengah hutan, segalanya boleh berlaku.  Sudahnya, Aira letak baldi di atas kepala.  Apa-apa jatuh, kepala aku selamat. 
Dia senyum.  Terus berjalan tenang, menikmati keindahan bunyi-bunyian unggas hutan yang berbisik sesama sendiri. 

Thursday, August 10, 2017

Objection 6

DAH tengah malam.  Tapi, Aira tak dapat agak pukul berapa sekarang.  Jam dia tiada lagi di pergelangan tangan.  Bunyi unggas dan serangga sedikit membuat hati dia kecut.  Dia tahu, dia dibawa ke tempat yang jauh.  Cuma, tak tahu di mana.  Boleh jadi juga, dia memang akan habiskan sisa hayat dia di sini.  Dalam pondok usang ini.  Yang hanya berdinding kayu dan beratap rumbia. 
Sejak tadi, tak henti-henti dia menepuk seluruh badan sendiri.  Selimut yang ada tak mampu menghalang nyamuk daripada terus menggigit tubuhnya.  Rasanya, seluruh tubuh dia akan merah.  Malah, luka di betis dan lututnya juga mula terasa pedih.  Gamaknya dah kena jangkitan. 
Aira angkat tubuh.  Pelita itu dibawa dekat ke katil.  Disuluh tempat yang sakit.  Ya, dah nampak sedikit nanah muncul.  Dia perlukan antiseptik dan antibiotic sekarang.  Kalau tak, dia mungkin boleh jatuh sakit. 

Wednesday, August 09, 2017

Objection 5

TANGAN Zariq ligat membawa berus itu menari di atas kanvas.  Suasana matahari terbenam dan seseorang yang sedang berenang di bawah sinar keemasan suria petang, dilakarnya dengan penuh cermat.  Nak diabadikan di atas sekeping kertas. 
Sebaik saja lelaki itu berlari ke arahnya setelah berhempas pulas melawan arus ombak, Zariq tersengih.  ZRQ.  Lukisan itu siap sebaik saja dia noktahkan dengan tandatangannya. 
“Cantik?”  soalnya.
Modelnya angguk.  Sejak dulu, inilah model tetap.  Dalam keadaan paksa atau rela. Lelaki itu senyum lebar.  Nampak menarik tapi dia tak reti pasal lukisan.  Tak tahu nak nikmati.  Selalu Zariq kutuk.  Tapi, dia… katalah apa saja.  Dah memang tak reti. 
“Riq betul nak sambung belajar ke Itali?”  tanya lelaki itu sambil mengelap kepala. 

Monday, August 07, 2017

Objection 4

KERESAHAN Azman tak usah diucapkan dengan perkataan.  Semuanya dah jelas tergambar.  Hampir dua hari Aira tak balik rumah.  Tak pernah pulak budak ni buat perangai.  Dia benar-benar syak sesuatu telah berlaku pada Aira tapi nak report polis, masih tak cukup empat puluh lapan jam.  Malah, Airin dan isterinya melarang.  Tak nak keluarga dapat malu kerana ada anak yang lari daripada rumah.
Tuhan… mereka ni sedar ke tidak, Aira mungkin dalam bahaya.  Mungkin diculik.  Taip, tiada pula mana-mana panggilan masuk meminta tebusan.  Aneh.  Apa dah jadi ni.  Aira tak dapat dikesan langsung. 
“Abang tak payah dok buat muka macam itulah depan saya…”  Maria menegur suaminya.  Daripada semalam, dah habis-habis dengan muka macam tu.  Sakit pulak hati. 

Saturday, August 05, 2017

Objection 3

ENTAH berapa lama Aira terlelap setelah keletihan menangis.  Sebelah tubuhnya dah rasa sengal.  Lenguh.  Aira cuba bangkit.  Dalam kepayahan, akhirnya dia mampu duduk.  Dilunjurkan kaki.  Pergelangan kaki dah merah.  Ada kesan lebam di balik ikatan.  Dia ketap bibir.  Sakit.  Bahu dia juga rasa nak tercabut.  Dah lama sangat dia diikat begini.  Aira melingas ke sekeliling kawasan pondok.  Lengang.  Hanya ada dua army-bed.  Satu dihujung dinding sana dan satu dihujung sini. 
Aira toleh belakang.  Ada satu jendela yang siap dengan pagar kayu.  Entah mana lelaki ini bawak dia, dia tak boleh nak teka langsung.  Mendengarkan bunyi unggas, Aira yakin sesuatu.  Pondok ini jauh di dalam hutan. 

Friday, August 04, 2017

Objection 2

AIRMATA meleleh di juring mata Aira.  Berkali-kali dia kesat, air jernih itu masih mengalir perlahan.  Lelaki kacak yang ada di depannya kerut kening.  Tak faham.  Kenapalah dengan perempuan sorang ni.  Nasib baiklah kau comel.  Aku tak rasa nak luku.  Tapi, rasa nak tenung lagi. 
“Awak kenapa?”  Zariq menyoal lembut.  Tongkat dagu atas meja.  “Buruk sangat ke?”  Gamaknya, Aira nak kutuk hasil kerja dia. 
“Ini?  Awak kata saya?”  Tawa Aira masih galak.
Lelaki itu angguk.  “Buruk?”
“Awak rasa, saya ke potret ni lagi cantik?” 

Objection 1

SEMUANYA serba-serbi tak kena.  Itu, ini… dia yang kena terima segalanya.  Padahal, bukan salah dia pun.  Betapa dia cuba pertahankan diri, kata-kata dia tak akan dipeduli.  Segala hukuman akan jatuh ke bahunya.  Sejak dulu.  Belakang inilah  yang ada kesan jalur rotan.  Telapak tangan inilah yang berbirat.  Tapi, sekarang tak lagi.  Cuma, tiada apa yang berbeza. 
“Kenapa mak tak habis-habis nak hukum Aira, kak?”  Airmata bergenang bila soalan itu diaju pada pembantu rumahnya. 
“Airaaaaa…”  Lemah jiwa wanita itu nak jawab soalan Aira.  Dia pun tak tahu.  Dia baru aje kerja dekat sini lepas mak saudaranya berhenti kerja kerana nak berehat. 

Monday, June 19, 2017

Usah Kau Tangiskan 19

SEMUANYA telah selesai.  Taqim nampak tenang saat menatap kali terakhir wajah daddy.  Sesekali, dia balas pandangan Pak cik Husin.  Sekarang, hanya dua orang itulah yang menjadi keluarganya dalam rumah besar itu.  Melisa?  Entah ke mana perginya.  Tak dapat dikesan langsung. 
Taqim tenang duduk di meja makan.  Menanti waktu berbuka.  Hari ini, kesunyian yang pernah dia rasai, meningkat berkali-ganda.  Rasa hening sungguh hati di ambang hari raya ini.  Dia telah kehilangan orang yang dia sayang.  Namun, syukurlah… bila dia hampir rebah lagi sekali, ada tangan menyambutnya dan saat dia angkat wajah, senyuman itu muncul menyediakan juadah berbuka di atas meja.

Sunday, June 18, 2017

Usah Kau Tangiskan 18

PINTU bilik daddy diketuk.  Dah dua hari daddy tak keluar bilik.  Melisa pulak, lesap entah ke mana.  Apalah nak jadi.  Dia pun tak tahulah.  Dia pun dah banyak hari tak masuk kerja.  Langsung tak dapat nak tumpu. 
Kaki Taqim merapati katil.  Daddy terbaring lesu.  Wajah itu nampak pucat tapi daddy masih nak puasa biarpun dia dah cakap, berbuka aje.  Bukan sengaja, tapi memang daddy tak sihat. 
“Daddy okey sikit?”  soal Taqim, perlahan. 
Pagi tadi sahur pun, dia yang bawak naik susu dengan kurma ke bilik daddy.  Itu ajelah yang daddy boleh telan.  Sayu pulak hati dia. 

Usah Kau Tangiskan 17

BERPULUH kali Fiqri meningkah, berpuluh kali juga Kuca menyokong.  Mungkin Fiqri tak pernah lalu perkara yang menyakitkan.  Kerana itu Fiqri melarang.  Rodi juga sama seperti Fiqri.  Hanya Kuca yang sedang berdiri bersamanya.  Kerana lelaki itu pernah ada di dalam kasut yang sama, Cuma saiz saja berbeza. 
“Aku sokong apa saja, Qim.  Kalau apa-apa kau nak aku bantu, cakap aje…”
“Aku harap semuanya macam yang aku rancang.  Aku dah sedia, daripada A sampai Z…”
“Dia?”  soal Kuca.  Risau jugak.  Kalau Sirat macam Qais, isteri dia… okeylah.  Tapi, Sirat ni lagi tabah daripada Qaiser.  Bimbang rancangan Kuca tergendala biarpun semua sudah sedia.

Friday, June 16, 2017

Usah Kau Tangiskan 16

HATI yang marah, terus dibakar api cemburu apabila pencarian dia berakhir.  Dia ikut Taqim dan Fiqri.  Malah, hingga ke petang bila Taqim dekati sebuah gerai, duduk di situ bergelak ketawa… marahnya meningkat dua kali ganda.  Tahulah dia, itulah perempuan kolot yang Taqim katakan ada sesuatu tentangnya. 
Sesuatu yang hanya mata Taqim nampak? 
Hari ini, dia berani dekati gerai itu.  Sirat tersenyum menyambutkan.  Sendiri.  Baru bukak kedai nampaknya. 
“Maaf, ya.  Boleh tunggu kejap.   Saya sorang hari ni.  Baru bukak gerai…”  Tangan Sirat ligat menyusun lauk-pauk dan kuih-muih di atas meja saat Melisa mendekati.  Langsung dia tak kenal akan wajah itu. 

Wednesday, June 14, 2017

Usah Kau Tangiskan 15

WAJAH Melisa merah.  Tak sangka, bila sampai tadi nampak Taqim dan suaminya sedang berbual mesra seperti tiada apa yang terjadi.  Padahal, tak nampak pun kereta Taqim.  Dia mahu dekati namun langkahnya terkunci di balik dinding.  Penumbuk digenggam kemas.  Sepatah nama itu, benar-benar menyakitkan hati. 
Sepuluh tahun Taqim bawak hati, sehari saja perempuan itu mampu ikat hati Taqim dan memujuknya kembali ke rumah besar ini?  Melisa mengaum dalam hati.  Dia tak boleh terima. 
Siratul… nama itu bergema dan terus bergema dalam kepala.  Kerana itu, dia terus masuk ke bilik tanpa mempedulikan apa-apa.  Sewaktu berbuka pun, meja makan lebih ceria seperti biasa.  Tak pernah sekalipun dia turun makan dengan  Dato’ Mustapha tapi kali ini, hati liarnya sedikit jinak dengan kehadiran lelaki yang sentiasa dia puja sejak dulu biarpun mata Taqim langsung tak mengerling padanya. 

Usah Kau Tangiskan 14

WAJAH Fiqri dipandang.  Lama.  Berdiri tegak di depan pagar tinggi ini, langkah kaki dia seperti tak kuat.  Dia pernah tekad untuk tak kembali, tapi hari ini… dia berdiri di depan pintu rumah besar ini.  Rasa tak yakinnya menebal.  Ini pun dia pilih masa yang Melisa tak ada.  Lantaklah nak pergi mana pun.  Bukan dia kisah. 
Kata Uncle Fahri, daddy tak sihat.  Makin merosot kesihatannya. 
“Kau kena yakin, Qim.  Kita dah ada depan rumah kau ni…”  pujuk Fiqri melihatkan Taqim yang nampak lemah tiba-tiba. 
Liur ditelan berkali-kali.  Rengkung yang kering, terasa perit.  Pedih.  Taqim angguk.  Sirat kata, setiap pengorbanan… ada ganjarannya.  Setiap kesabaran, memang ada pahala mengiringi. 

Thursday, June 08, 2017

Usah Kau Tangiskan 13

DARIPADA jauh, dia hanya mampu pantang pagar rumah besar itu.  Pagar itu tinggi hingga tak nampak apa yang ada di sebaliknya.  Dah hampir satu jam dia di situ.  Langsung tiada niat nak berganjak.  Lepas habis meeting dengan Kuca tadi, dia langsung ke sini.  Malas nak masuak ofis dah hari ni. 
Tak sedar, mata… matanya mula nak terkatup.  Bayangan kisah-kisah lalu hadir.  Kemudian, dia buka kembali matanya.  Menatap cermin yang ada di depan.  Parutnya masih ada.  Sakitnya juga masih terasa.  Bagai baru semalam daddy hayun kayu golf itu pada dia.  Seluruh tubuhnya menjadi sasaran.  Andai sekali daddy bagi peluang untuk dia jelaskan.  Tapi tak.  Daddy lebih percayakan perempuan tak guna tu. 

Wednesday, June 07, 2017

Usah Kau Tangiskan 12

MELIHAT betapa berseleranya Taqim berbuka, Sirat sesekali berdeham.  Ini dah pinggan ke berapa dah.  Tak malunya la hai… anak siapalah ni?  Haih… patut dia suruh aje Taqim bagi berbuka sorang dekat rumah atau dekat masjid.  Kurang sikit pelahap tu. 
“Abang dah berapa hari tak makan nasik?” 
Fuh… akhirnya, Wan tolong tanya apa yang bermain dalam kepala Sirat.  Dia terus mengerling Taqim.  Mak hanya senyum.  Dia yang tak selesa.  Mak ni, nampak dah suka sangat dekat Taqim.  Padahal baru jumpa kot. 
“Err…”  Taqim angkat wajah.  Terhenti suapannya.  Cepat-cepat dia telan nasik dalam mulut hingga tersedak.  Air yang nak digapai, jauh pulak.  Lantas, gadis di depannya menghulur gelas air putih yang masih berbaki separuh.

Usah Kau Tangiskan 11

FUH.  Apapun jadi, dia tak akan biarkan Taqim sendiri.  Dia masih setia pada Taqim.  Katalah apa saja.  Ini, tiada khabar berita, Fiqri yakin ada sesuatu yang dah jadi.  Dia beranikan diri dekati gerai yang baru saja nak bukak. 
“Kita tak bukak lagi,” beritahu Wan tapi suaranya terhenti di situ. 
Lama dia perhati wajah di depan mata.  Err… macam pernah tengok.  Tapi, dekat mana ya.  Tangan Wan menggagau Sirat.
“Kak…”
“Apa, Wan?”  Sempat Sirat tepis tangan adiknya.  Orang suruh buat kerja, dia main-main pulak.
“Ni, kak…”

Tuesday, June 06, 2017

Usah Kau Tangiskan 10

SEJAK tadi, Fiqri hanya mampu telan liur.  Kenapalah nasib dia macam ni?  Ingatkan papa nak panggil sebab tak masuk kerja.  Tipikal anak orang kaya yang kerja dengan company bapak, tapi buat macam harta sendiri.  Ikut suka hati nak masuk tak.  Klise sangat.  Eh, ikut suka oranglah.  Company bapak orang.  Tapi ini, dia tak boleh ikut suka dia dah. 
Aduh, Qim… kenapalah aku yang perlu dihadapkan ke mahkamah milik Dato’ Mustapha ni.  Aku bukan pesalah, Qim.  Disabitkan pun tidak.  Sekadar dipanggil menjadi saksi secara paksa, tanpa surat amaran… tak baik ni, Qim.  Dahlah kau menyepi.  Hati Fiqri tak sudah-sudah membebel. 

Usah Kau Tangiskan 9

TAQIM tunduk mengutip kertas yang punyai nilai itu.  Diusap perlahan.  Susah payah kau carik duit, Sirat.  Semudah itu kau campak.  Tanpa dengar alasan aku.  Alasan yang aku rasa sangat kukuh untuk kau nilai, tapi… sayang…
Bibir lelaki itu senyum lagi.  Malam ni, malam Ramadan.  Entah kenapa, kesayuan yang dia rasa hampir sepuluh tahun, kian teruk.  Ramadan tahun ini, sepertinya paling sunyi, paling perit dan paling menyedihkan.  Dia tergelak kecil.  Kenapalah, perkara yang dia tak suka terjadi dalam masa yang sama.
Daddy… dan sekarang, Sirat.  Dia tahu, Sirat dah tahu segalanya.  Kerana itu Sirat mengamuk dan dia juga tak salahkan Wan.  Seperti Wan pernah cakap.  Amarah Sirat ngeri dan memang agak ngeri hingga buat dia terpaku lama di sini. 

Monday, June 05, 2017

Usah Kau Tangiskan 8

ARGHHHH… jeritan kuat itu membuatkan Taqim terjaga.  Pantas dia berlari keluar daripada bilik sendiri, menuju ke bilik daddy.  Kenapa?  Apa yang tak kena.  Sebaik saja dia tolak daun pintu, dia tengok kaca bertaburan di atas lantai.
“Daddy?”  panggil Taqim kuat.  Kaca itu dilangkah.  Mendekati pintu bilik air yang sedikit terbuka dan bila dia tolak daun pintu, matanya terjegil bila melihat ibu tirinya sekadar berkemban.  Peha putih gebu itu jelas di depan mata, malah dada itu…
Taqim cepat-cepat berkalih namun belum sempat dia berlalu, tubuh sasanya dipeluk daripada belakang. 

Usah Kau Tangiskan 7

WAJAH Wan akhirnya muncul.  Nampak peluh kecik merenik atas dahi.  Taqim sengih.  Tak rasa nak mengamuk seperti biasa bila tengok Wan tunda motor itu masuk ke bengkel Rodi. 
“Susah ke carik kedai ni?”
“Agak susah jugaklah…”  Wan lepas lelah sebaik saja dia tongkat motor.  Fuh… dahaga sungguh. 
“Kau lambat, kenapa?  Dah dekat satu jam aku tunggu.”
“Biasalah, abang.  Motor saya ni, bukan boleh bawak laju…”
“Kau berani ya bawak motor tak ada lesen ni…”  soal Taqim mengingatkan.

Usah Kau Tangiskan 6

PANGGILAN telefon Taqim kejap tadi, sedikit sebanyak buat dia berdebar juga.  Wan tenang.  Mendengarkan permintaan Taqim, boleh ke?  Patut ke dia rahsiakan semua daripada kakak?  Kalau kata kakak tahu, mengamuk ke tak?  Haih… tapi, dia pun memang terdesak jugak ni.
“Kakak kau dah bayar sikit, Wan…” 
“Ya, kakak ada bagitahu…”  Lemah Wan menjawab.  Duit modal.  Dia pulak tak dapat lagi gaji.  Haihh… ada dua hari lagi ni.
“Banyak lagi ke, bang?” 
“Banyak jugak.  Kenapa?  Dia ada cakap nak bayar bila?” 
“Tak.  Kakak tak cakap.  Dia kata, tunggu abang call dia cakap berapa lagi baki.  Kalau abang boleh tunggu dua hari, saya akan bayar lepas saya dapat gaji…”

Usah Kau Tangiskan 5

PINGGAN, kuali dan periuk belanga, masih ada sikit berbaki.  Tak laratnya.  Wan nak datang tolong, tapi Wan pun baru habis kerja.  Apalah yang mak makan?  Risau jugak biarpun pagi tadi sebelum keluar dia dah masak untuk mak.  Tapi, mak… kalau seorang katanya kurang selera.  Macam mana kalau mak pengsan?  Haih… pelbagai fikiran buruk sedang meracun. 
Sebut pasal racun, gamaknya Taqim ni dah nazak makan lauk yang dia masak.  Eloklah.  Biar kau keracunan.  Senang sikit hati aku!  Nak marah depan muka Taqim, rasa bersalah itu ada lagi.  Kerana Taqim adalah mangsa.  Kalau jenis lelaki yang sayang motorsikal lebih pada sayang bini, jadik macam Taqimlah. 

Sunday, June 04, 2017

Usah Kau Tangiskan 4

RIAK wajah mak risau.  Sirat dua kali ganda risau.  Entah apa yang bakal terbit daripada mulut mak.  Entahkan tentang barang dapur yang tiba-tiba ada di depan rumah.  Atau tentang motor Wan? 
“Cuba Wan cakap dekat mak, macam mana boleh jatuh motor?” 
Suapan terhenti.  Wan pandang Sirat.  Kakak hanya bagi isyarat mata.  Taramlah apa saja.  Jangan cakap kau langgar orang! 
“Bawak barang banyak tadi, mak.”  Dahi Wan berkerut.  Menipu mak! 
“Kebetulan kakak keluar tadi, kakak nampak Wan tengah kutip barang.  Itu yang dia suruh Wan balik, kakak bawak balik dengan kereta.” 

Saturday, June 03, 2017

Usah Kau Tangiskan 3

LANGKAH kaki semakin pantas.  Ada masanya, dia berlari sekuat hati dan bila kaki terasa lemah, langkah kian perlahan.  Yang laju hanya airmata yang mengalir.  Mak tak akan percaya cakap dia dan Wan.  Kata hati mak sentiasa tepat.  Tapi, apa yang dia nak cakap dekat mak?  Kebenaran?  Itu yang sebaiknya.  Tapi, mak tentu susah hati. 
Airmata yang masih mengalir dia sapu kasar.  Tangan masih gagah menjijit sisa makanan yang masih boleh dimakan.  Sirat masuk ke dalam sebuah mini market.  Tersenyum pada tauke dan pekerja.  Menimbang apa yang mahu dibeli dengan ringgit yang berbaki. 

Friday, June 02, 2017

Usah Kau Tangiskan 2

DADA Sirat berdebar tak sudah sebenarnya bila melihat tiga orang lelaki, akhirnya muncul di depan dia.  Wan pantas berlari anak mendapatkannya.  Yang seorang lagi lelaki dikenali sebagai Fiqri itu sudah keluar.  Hanya Taqim yang masih berdiri di muka pintu.  Menyeluk poket jeans yang koyak-rabak di bahagian lutut dan peha.  Merenung dia seperti mahu tembus dibuatnya. 
Ingat kacak sangat ke?  Nampak lagi selekeh daripada dia orang miskini hina ni.  Dia tahu, lelaki ini orang berada.  Tengok pada perangai dan harta dunia yang lelaki ini miliki.  Rasa nak aje dia tambah calar pada badan motorsikal berkuasa besar tersebut.  Baru padan dengan apa yang dah jadi. 

Thursday, June 01, 2017

Usah Kau Tangiskan 1

KATA ibu, sedangkan bumi ini begitu luas.  Tak mungkinlah tiada hak kita dalam rezeki yang telah Allah limpahkan di atas muka bumi.  Apa yang perlu dilakukan, hanyalah usaha.  Selebihnya tawakal. 
Sirat ingat nasihat itu.  Akan kenang sampai mati.  Kerana itu, dia begitu berusaha.  Tak pernah lelah walaupun sehela nafas.  Bersendirian, tiada sebab untuk dia rasa sunyi.  Jauh sekali rasa malang.  Malah, dia bersyukur.  Kerana itu, dia tabah berjalan bersama biarpun segalanya seperti tak kena.  Janji, dia merasa cukup.  Itu yang penting.  Janji bahagia.  Makan nasik dengan garam pun tak apa. 

Monday, April 24, 2017

Takdir Untuk Aku (formerly known as Bisakah) released!

TAKDIR UNTUK AKU (a.k.a Bisakah) 

Salam alaik.  Satu perkataan aje. Alhamdulillah.  Itu yang hati saya bisikkan sebaik saja saya siapkan kisah ini setelah lebih lima tahun.  Lima tahun itu bukan masa yang singkat.  Bila saya toleh belakang, dah begitu banyak watak-watak yang lahir biarpun Ziyad dan Teratai Nur mendahului.  

Pada yang mengikut kisah mini novel Ku Ingin Milikimu, Kerana Sekali cinta, Untuk Dia dan Subhanallah, Aku Mencintainya (yg saya cetak semua dalam Ayat-Ayat Cinta Bercerita), kisah mereka ada sikit dalam Subhanallah Aku Mencintainya.  Tapi, jangan risau. Pembacaan kalian tak akan terganggu biarpun tak baca kisah dalam buku itu.