Friday, March 04, 2022

SUMPAH 21

SEMUA pekerja menyambut baik rancangan dan syarat yang diusul. Dia benar-benar lega, di saat dia cukup memerlukan, bantuan itu hadir tanpa dia sangka. Biarpun entah daripada mana, dia berharap semuanya akan baik-baik sahaja.

Namun, kenapa biarpun semua masalah telah hampir selesai, jiwanya masih terasa kosong. Perasaannya menggeletar dan hatinya bagai membiru. Dia mahu menangis, tapi tiada air mata yang mengalir kerana membeku belum sempat air mata itu mengalir. Begitu juga dengan suaranya tidak mampu melepasi rengkung yang turut beku.

Segalanya cukup tak mudah.

Dia lemah. Tapi, dia sekadar mencuba menjadi gagah.

Dia tak berdaya. Namun, dia masih tetap berusaha.

“Deen?”

SUMPAH 20

PINTU kaca itu tertutup rapat. Mereka tidak berada di ofis Deen. Sebaliknya, hanya di meja di depan kaunter.

“Jemput minum,” pelawa Deen setelah diletakkan botol jus oren segera di hadapan Muiz. 

Dia kerut dahi memerhatikan Muiz yang meneguk air. Segak dengan suit. Biarpun tidak bertali leher, tetapi dia tahu lelaki ini bukan orang sembarangan. Malah, masih muda. Boleh jadi sebaya dengannya.

“Boleh saya tahu, apa yang buat Encik Muiz berminat nak teruskan juga semua ni? Saya percaya Encik Muiz dah tahu keadaan kewangan saya sekarang yang sangat-sangat kritikal. Belum dikira dengan keadaan bisnes saya yang saya kira memang nyawa-nyawa ikan,” ujar Deen memulakan bicara.

“Saya tak akan sorok tentang hal tu. Sebelum saya datang untuk propose idea ni, saya dah tahu semuanya. Sebelum semua ni jadi, saya juga tahu yang restoran ini sangat berpotensi.

SUMPAH 19

SELESAI mengira tunai yang baru dia dapat selepas menjual segala barang kemas yang ayah hadiahkan sejak dulu, biarpun hasilnya tidak seberapa tapi dia akan dapat lunaskan tuntutan ganti rugi sebelum dia diheret ke mahkamah dan kosnya akan menjadi lebih tinggi berlipat kali-ganda.

Dia keluarkan telefon bimbit dan mendail nombor Encik Murad. Tak lama, suara lelaki separuh usia itu kedengaran tenang di hujung talian.

“Oh, Cik Erdeena?”

“Ya, saya. Maaf saya telefon Encik Murad masa ni.” Dia memandang jam di dinding pejabat kecilnya. Waktu makan tengah hari baru saja tamat.

“Tak apa. Saya pun memang nak telefon Cik Erdeena. Sedang elok cik yang telefon saya dulu.”

“Tentang ganti rugi tu…”

Mereka bersuara, serentak. Erdeena diam. Encik Murad ketawa.

SUMPAH 18

KOT disangkut pada kerusi. Thaqeef terus labuhkan duduk dan memejamkan mata buat seketika. Kepalanya bagai hendak pecah. Hampir dua minggu ini, dia hanya dapat lelapkan mata dua atau tiga jam sahaja dalam sehari. Selebihnya, dia guna masa yang ada untuk meneliti segala program dan rangka kerja yang telah dirancang.

“Bos?”

“Ya, Iz?” Mata dibuka. Muiz setia berdiri di depan meja.

“Bos nampak penat,” ujar Muiz.

“Sikit.” Dia senyum tipis. Kembali bersandar.

Muiz kerut dahi. Sikit katanya? Tapi, apa yang dia nampak tidak sikit. Memang banyak. Kerana dia tahu ada harinya Thaqeef bersengkang mata di pejabat. Biarpun dia menemani, tapi dia terlelap juga tanpa disangka.

“Rasanya, semua benda dah hampir selesai, bos. Apa-apa saya dah pesan juga untuk diorang semua beritahu saya. Apa kata bos balik awal hari ni?” cadang Muiz.

SUMPAH 17

MATA kuyu Thaqeef tunak merenung skrin di depannya. Melihat pada segala maklumat yang dibentangkan. Untuk meluaskan dan memperbanyakkan cawangan restoran francais yang menggunakan segala bahan keluaran syarikat mereka.“Dalam masa terdekat ni, ada dua buah restoran francais yang akan dibuka. Semua kontrak telah siap dan dalam minggu ni, kita akan panggil pemilik tu untuk tandatangan kontrak,” beritahu Amira, ketua team marketing 1.

“Dua buah francais tu, dalam tempoh berapa lama?”

“Dalam setahun, Encik Thaqeef. Termasuk kerja-kerja ubah-suai semua.”

Thaqeef belek lagi kontrak yang termeterai.

“Kita tetapkan caj royalti francais enam peratus. Di samping itu, pemilik juga menyewa premis milik kita dan akan gunakan bahan mentah keluaran kita. Kita ada buka kursus penyediaan atau kita akan hantar orang kita ke sana?” soal Thaqeef, ingin tahu.

SUMPAH 16

KERTAS kerja yang telah ayah siapkan itu, dia belek perlahan. Membaca setiap baris ayat akan proposalnya. Kini, setelah ayah pergi, rakan kongsi yang katanya mahu membuat pelaburan dalam pembukaan cawangan restoran milik ayah menarik diri tiba-tiba kerana tidak yakin akan kemampuannya menguruskan semua perkara.

Deen mengintai keluar dari celah bidai yang diselak sedikit. Ruang restoran kelihatan lengang. Dalam seminggu dua ini, hampir tiada pelanggan. Entah di mana silapnya. Rasanya, setiap masakan masih mempunyai kualiti dan rasa yang sama biarpun sedikit berubah.

Atau apakah benar, dia tak mampu menggantikan tempat ayah? Apakah dia tidak berdaya menguruskan restoran mereka yang telah ayah bangunkan dengan jerih payah?

Dia bersandar lemah. Tanpa sedar, keluhan berat lepas dari dalam dada.

SUMPAH 15

HARI pertama menjejakkan kaki dalam ruang pejabat yang asalnya bukan miliknya, bukan kemahuannya, membawa senyuman pada bibir Thaqeef. Senyum kerana mengingatkan segala yang indah. Yang pernah terjadi satu ketika dahulu, yang telah begitu lama berlalu.

Dia pegang kerusi kulit berwarna hitam itu. Merenungnya lama. Bagai nampak wajah pemilik asalnya yang sedang sibuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cekap. Berat hatinya untuk duduk di situ. Di situ bukan tempatnya.

Perjalanan yang dia rangka adalah yang lain. Namun, siapa dapat duga, dia perlu membuat pusingan pada selekoh yang cukup tajam tanpa mampu menekan brek.

“Bos?”

Thaqeef menoleh separuh. Anak muda itu masih ada di belakang dia rupanya.

SUMPAH 14

AIRMATA Kak Ram berjuraian ke pipi melihat Deen muncul bersama senyuman tipis. Wajah itu nampak cengkung. Cukup berbeza dengan Erdeena yang dia kenal sebelum kejadian malang itu. Dia terus memaut tubuh Deen ke dalam pelukan bersama esakan panjang tanpa mempedulikan mata pelanggan yang merenung kerana semua orang tahu, pemilik restoran ini telah pergi meninggalkan anak tunggalnya sendirian.

“Maaf buat Kak Ram risau,” ucapnya perlahan walaupun dia tidak membalas pelukan mesra Kak Ram. Dia tolak bahu Kak Ram dan menatap mata basah itu.

“Tak apa. Asal Deen baik-baik aje. Semua yang lain tak jadi masalah dah,” jawab Kak Ram. Mengesat pipi.

“Apa khabar semua?” sapa Deen bila dia dekati kaunter di mana, beberapa orang lagi pekerjanya kaku di situ. Gamaknya, terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba.

SUMPAH 13

RAUNGAN dan tangisan itu benar-benar kedengaran cukup sayu dan hiba. Deen menekup wajahnya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Cuba menahan suara pedih itu terus pecah. Tapi, dia gagal. Setiap kali, suara tangisnya akan semakin kuat.

Sudah dua minggu ayah pergi dan dia masih berkurung dalam rumah. Setiap panggilan telefon, langsung tak disambut. Setiap salam di muka pintu juga tidak disahut. Segala rayuan juga dia tak hiraukan.

Dunianya terasa gelap. Di luar sana entah malam atau siang, boleh jadi ribut atau taufan, dia juga tidak peduli. Dunianya kini seperti kehilangan matahari. Gelap gelita. Rumah yang selama ini begitu ceria biarpun hanya berdua, kini suram didiami duka.

Dia sedang menderita.

Siang berganti malam dan malam berganti siang. Deen tahu dia tak boleh selamanya begini.

SUMPAH 12

KEPALA tiba-tiba rasa menyengat. Permintaan abah lebih pada keputusan sebenarnya. Keputusan yang tak mampu dia bantah lagi. Melihat pandangan mata abah, dia tahu lelaki itu juga resah dan bingung.

“Abah faham kalau Qeef tak boleh. Abah tahu Qeef ada cita-cita dan rancangan sendiri. Tapi, Qeef sendiri tahu, Qeef tetap boleh kembangkan impian Qeef. Kita pun dah lama dalam bisnes F&B. Tiada masalah untuk Qeef ambil alih buat masa ni. Lagipun, abah dah tiada siapa nak diharapkan,” ujar Datuk Thaha bila melihatkan anaknya diam.

“Jujurnya, abah… bisnes macam ni bukan kepakaran Qeef. Walaupun Qeef belajar pasal bisnes, tapi buat masa ni Qeef tak praktik kan sangat. Qeef risau…”

“Abah bukan nak Qeef uruskan sendiri. Abah akan tolong. Cumanya, abah tak boleh nak buat sorang. Abah perlukan bantuan yang selama ini abah dapat,” pujuk Datuk Thaha.

SUMPAH 11

DIA hanya mampu melihat Deen keluar daripada hospital yang mana semua bilnya telah diselesaikan. Untuk mendekati, dia bimbang akan terus menjejaskan emosi Deen. Kerana itu, dia sekali lagi bergelar pengecut. Andai selamanya dia perlu menjadi bayang, mengikut sahaja langkah Deen tanpa suara, dia rela.


Sebaik saja gadis itu masuk ke dalam perut teksi, dia mengikut kereta itu rapat dan tatkala teksi itu berhenti di depan sebuah rumah jenis semi-D itu, dia juga memberhentikan kereta di simpang jalan. Sedikit jauh tapi masih nampak jelas Deen melangkah mendekati pagar.

Lama Deen berdiri di depan pagar rumah yang terkunci rapat. Matanya memicing. Melihat pada wajah yang jelas tidak beriak. Nampak begitu kosong. Tak lama, bila Deen masuk ke dalam rumah, Thaqeef masih tidak berganjak. Berat hatinya untuk pergi. Ringan kakinya untuk melangkah, mendekati.

SUMPAH 10

MENERIMA khabar Erdeena sudah sedar adalah satu rahmat yang tidak terkata indahnya. Namun, merenung wajah Erdeena, Kak Ram dan Pak Omar saling memandang. Air mata Kak Ram sejak tadi, tak berhenti mengalir. Pak Omar pula berusaha untuk menutup duka yang jelas timbul pada muara wajahnya. Memandang pada Deen yang hanya duduk bersandar memandang kosong pada skrin televisyen yang gelap.

Dia bukanlah orang berpelajaran, namun dia mengerti akan apa yang dikatakan oleh doktor ini sebelum mereka berdua melawat Erdeena.

“Saya hanya boleh ceritakan keadaan sebenar pada pak cik dan puan sebab saya dikhabarkan, Cik Erdeena tak ada ahli keluarga lain. Mungkin sebagai kenalan rapat, pak cik dan puan boleh bantu dia.” Suara doktor juga perlahan dan bercampur simpati.

“Sebaik saja dia sedar, dia tak tanya ayah dia dekat mana. Dia terus tanya, adakah jenazah ayahnya selamat dikebumikan dan bila saya jawab ya, dia nampak tenang dan terima semuanya. Saya beranggapan, dia akan menangis. Itu refleksi biasa pada sesiapa saja yang menerima khabar duka. Tapi, dia sebaliknya…” Doktor itu senyum tawar.

SUMPAH 9

SAAT ini, dia tatap lama wajah yang sudah sedikit berubah warnanya. Tidak lagi pucat lesi. Syukurlah tiada apa yang teruk terjadi pada Erdeena semasa kemalangan tersebut. Hanya luka dan retak pada tulang rusuk.

Senyumannya koyak. Dia bangkit dan duduk di birai katil. Perlahan-lahan, tangannya bergerak. Antara berani dan tidak, dia akhirnya menyentuh hujung jari Erdeena yang dirasakan cukup sejuk. Tak ubah seperti memegang ais. 

“Satu hari, bila saya muncul depan awak, mahukah awak maafkan saya? Boleh jadi, menghukum saya? Saya tak kisah. Asalkan awak benarkan saya ada dengan awak, Erdeena?” soal Thaqeef perlahan.

Soalan itu terus berlegar dalam kepala. Kuatkah dia untuk menerima kebencian wanita ini? Rasanya, dia tak kuat. Melainkan dia akan cuba untuk terus kuat.

“Sekarang atau satu hari nanti… saya janji untuk sentiasa ada dengan awak, Erdeena. Tidak mampu saya ganti apa yang hilang melainkan saya ganti dengan yang serba-serbi kurang.” 

SUMPAH 8

SEGALA urusan telah selesai dengan mudah. Pak Omar mengesat birai mata. Kehilangan sahabat sebaik Erwan bukan sesuatu yang mudah. Seseorang yang telah dia anggap sebagai adik sendiri.

Dan, jika baginya sudah cukup susah, bagaimana pula dengan Deen? Entah bagaimana anak gadis itu mahu hadapi kenyataan? Segalanya berubah dalam sekelip mata.

Dia pandang Ram yang begitu sugul. Ibu tunggal itu penuh semangat merancang majlis untuk meraikan hari bahagia Deen tapi berita yang dibawa angin rakus pada saat itu adalah berita duka. Pinggan yang ada di tangan, jatuh ke lantai. Berderai.

Pak Omar senyum tawar. Simpatinya jatuh melimpah. Mencari buah fikiran bagaimana hendak berdepan dengan Deen, membawa bersama berita duka itu. Dia tak tahu, apakah Deen telah tahu atau tidak. Dia masih tidak dibenarkan menziarahi secara dekat kerana Deen belum sedarkan diri.

SUMPAH 7

DI saat dia baru sahaja mahu terlelap, pintu diketuk orang. Mata kuyu yang hampir tertutup itu, kembali terbuka. Di saat dia menoleh, wajah abah muncul. Seperti biasa sejak kejadian dua hari lepas, abah masih sugul. Langsung tiada lagi riak ceria pada wajah itu.

Thaqeef bangkit dan duduk di sisi Datuk Thaha di atas sofa. Dia koyak senyum.

“Mommy tak datang hari ni?”

“Hurm… abah suruh dia rehat. Nampak penat sangat. Tak boleh tidur tu. Abah risau dia pula yang rebah,” jawab Datuk Thaha perlahan.  Dia balas senyuman anaknya, tapi senyuman itu tiada perisa.

“Abah dari bilik sebelah?”

Datuk Thaha gelengkan kepala. Dia terus mencari Thaqeef.

“Selain doa dan berharap, tiada apa yang mampu kita lakukan lagi, abah.”

SUMPAH 6

SEMALAMAN, dia masih lagi setia di atas kerusi keras itu. Tidak bergerak walau seinci. Merenung wajah yang pucat dan dipenuhi calar kecil juga besar. Tak kurang kesan lebam yang membiru. Rambut hitam itu nampak tak terurus. Bibir yang dia yakin sebelum ini merah merekah bak delima itu pucat tak berdarah. Mujurlah tiada yang teruk. Hanya mengalami retak pada tulang rusuk. Lain-lainnya baik-baik sahaja dan hanya menanti masa untuk terjaga.

Jenuh mommy dan abah memujuk, namun Thaqeef tetap kaku. Langsung tidak bersuara. Pakaian yang kotor dengan darah kering itu, masih lagi membalut tubuhnya. Dia pandang beg pakaian yang mommy berikan, namun langsung tiada kekuatan untuk bergerak.

Sepertinya, ada sesuatu yang sedang menahan langkahnya daripada pergi meninggalkan jasad kaku di depannya saat ini. Sesuatu yang dipanggil kerisauan. Keresahan. Kegusaran.

SUMPAH 5

THAQEEF senyum tipis. Berat hati nak melangkah. Pertama kali dalam hidupnya, dia akan berjauhan daripada keluarga. Daripada mommy dan abah. Paling penting, daripada sebahagian jiwanya.

“Tak boleh ke belajar kat sini aje, Qeef?” soal Rees.

“Ala… bukan lama pun. Lima enam tahun, dah habis,” balasnya.

“Lima enam tahun kau cakap tak lama? Gila kau? Kalau aku kahwin esok, aku akan ada lima orang anak nak tunggu kau balik!” Mata Taqrees terjegil dengan kata-kata Thaqeef.

Kata-kata Rees tak lain tak bukan, hanya mengundang tawa pada Thaqeef. Ya, kata-kata itu hanya dijadikan pujukan. Bukan untuk orang lain tapi untuk dirinya sendiri yang memilih untuk mengejar cita-cita dalam bidang yang dia minat. Jauh di negara orang untuk tempoh beberapa tahun.

Mommy berat hati.

SUMPAH 4

DEEN buka mata bila dirasakan ada titisan dingin mengalir melalui juring matanya. Dia bangkit dan mengesat air mata itu. Setelah sekian lama, memori perit itu kembali mengejutkannya daripada lena.

Setelah dia lelah bertarung dengan emosi sendiri yang hampir menang. Setelah dia menghabiskan terlalu banyak masa dalam dunia yang dirasakan hanya ada kesunyian dan kekesalan.

Benarkah mama pergi mengejar bahagia sendiri? Apakah dia juga menjadi sebabnya?

Dia meraup wajah. Sungguh dia tak mampu untuk terima apa yang telah terjadi. Tapi, jika dia sendiri tak dapat lupakan, bagaimana pula dengan ayah. Pernah dia lihat ayah mengalirkan air mata. Mendoakan bahagia mama biar di mana dan bersama siapa pun wanita itu berada.

Ada masa, dia mahu mengherdik kesetiaan ayah. Tapi, apalah haknya. Jika kesannya sangat kuat padanya, dia juga tahu kesan itu begitu besar pada ayah.

SUMPAH 3

BAJUNYA masih basah dengan peluh setelah menamatkan latihan bola jaring. Perlawanan akhir akan diadakan minggu depan dan dia mahukan kemenangan. Sebagai ketua pasukan, dia tahu tugasnya agak berat. Menggalas amanat cikgu dan sekolah. Memberi semangat pada semua ahli pasukan agar terus saling bekerjasama dan saling mempercayai.

Dia bergegas balik bila keadaan langit kian kelam. Menunggang basikal dengan laju. Hanya separuh jalan sahaja, hujan turun lebat menyimbah bumi. Deen tak peduli. Malah, dia suka bermain hujan sejak dulu. Kerana itu, dia tetap mengayuh basikal dalam hujan yang lebat.

Sebaik saja tiba di rumah, hujan sedikit reda. Tapi, dia sudah basah kuyup. Deen masuk melepasi pagar yang sudah sedia terbuka. Pelik. Biasanya, ayah akan pastikan pagar sentiasa bertutup rapat biarpun tak dikunci. Deen tongkat basikal dan dia hampiri pintu yang juga tidak ditutup rapat.

SUMPAH 2

SURAT
daripada pihak universiti itu dibaca dengan senyuman yang lebar. Dia benar-benar sudah tidak sabar untuk menyarung jubah dan mortar itu. Menerima gulungan ijazah menjadi bukti kerja kerasnya beberapa tahun ini. Menyempurnakan impian diri sendiri dan yang pasti, membahagiakan ayah.

Senyuman pada bibir lelaki itu adalah sesuatu yang sangat bernilai untuknya. Tidak mampu dibayar biarpun ditabur segunung intan sekalipun. Pengorbanan ayah, akan berbalas sedikit demi sedikit biarpun dia tahu, seumur hidup tiada apa yang akan dapat dia persembahkan demi membayar segala jerih-payah ayah.

Deen menunggang motor Yamaha Egonya. Tak sabar untuk tiba di restoran. Setengah jam berlalu, dia akhirnya menongkat motosikalnya di depan restoran milik ayah yang nampaknya masih sibuk. Seperti biasa.

Tak menanti, Deen terus mengutip pinggan dan gelas kotor yang ditinggalkan oleh pelanggan. Menjinjit penuh cermat dan dihantar ke dapur.

SUMPAH 1

KEHILANGAN bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Apatah lagi, bila kehilangan itu terjadi secara tiba-tiba. Dalam keadaan kita tidak bersedia jauh sekali untuk kita mengagaknya.

Ketetapan takdir, sering bertentangan dengan kemahuan manusia. Yang diharap semuanya indah, yang menjengah buruk tak terpandang.

Manusia… mudah memujuk manusia yang lain tatkala menghadapi kehilangan. Tapi, kuatkah hati manusia itu sendiri untuk terima di saat kehilangan itu terjadi dalam hidup sendiri?

Jawapannya adalah tidak.

Kehilangan itu akan sentiasa menjadi parut yang tak akan pernah hilang. Kenyataan itu akan menjadi sangat pahit tak tertelan. Andai dikatakan parut pada jasad itu sembuh, tapi kesannya di hati tak akan pernah hilang. Malah, luka itu sehingga hari ini masih berdarah. Lebih menyakitkan bila luka itu adalah hadiah daripada orang yang paling dipercayai, disayangi dan yang sepatutnya melindungi.

SUMPAH Prolog

SUASANA sekelilingnya cukup tenang. Tiada sebarang bunyi melainkan helaan nafas halusnya sahaja. Sepertinya dia sedang berada di dunia lain. Yang begitu asing.

Mata memicing. Mencampakkan pandangan di kejauhan tatkala dia ternampak bayangan. Kakinya melangkah, cuba mendekati. Akhirnya, dia senyum. Wajah yang terbias pada pandangan mata, cukup tenang. Senyuman yang koyak pada bibir lelaki itu cukup lebar. Begitu manis.

Jika dikata hempedu itu pahit, lelaki inilah madunya.

Andai dikata sakit itu perit, lelaki inilah penawarnya.

“Ayah minta maaf pada Deen.”

“Kenapa?” soalnya sambil memaut tangan ayah dan menggenggamnya erat.

“Sebab ayah kena tinggalkan Deen sendiri.”

Tuesday, March 01, 2022

SUMPAH released.

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada yang merindui dan sentiasa menanti, saya mempersembahkan #SUMPAH

*****


DITINGGALKAN oleh seseorang yang sangat disayangi telah memahatkan parut pada jiwa rapuh Deen. Mujurlah ayah masih bersama. Pada Deen, ayah adalah segalanya.


Sepuluh tahun… kata orang sudah terlalu lama. Rupanya, sedekad itu hanya sekelip mata. Ayah pergi kerana kecuaian manusia. Jiwa yang sedia retak, hancur berkecai. Tinggal sebatang kara, Deen tutup segala pintu. Tidak keluar jauh sekali untuk membenarkan sesiapa sahaja masuk. Perginya ayah, membawa sekali jiwanya.

Deen hidup hanya kerana masih bernyawa. Moga tiada lagi taufan hadir membawa duka. Tapi, taufan tetap datang. Cuma kali ini, membawa bahagia walaupun Thaqeef muncul entah dari mana. Jiwa yang selama ni dirasakan mati, terasa bernafas kembali.