Wednesday, August 30, 2017

Objection 14

MATA Airin luas memerhatikan keindahan laut Phuket.  Cantik sangat sampai susah dia nak gambarkan dengan kata-kata.  Tak puas mata memandang.  Nak-nak bila Alif siap dapatkan dia bilik yang menghadap kolam dan lautan.  Lagilah dia teruja.  Dia labuhkan duduk di atas kerusi di beranda usai membersihkan diri.  Kejap lagi nak turun makan malam.  Dengar kata, masakan di sini kelas pertama.  Malam ni, bolehlah berenang. 
Dia renung kolam daripada tingkat dua bilik penginapannya.  Kolam itu nampak kosong.  Hanya ada seorang saja yang sedang berenang. 

Tuesday, August 29, 2017

Objection 13


APA lagi yang perlu dia katakan.  Pertuduhan telah dibaca.  Dia, yang dikatakan pesalah tak mahu menerimanya.  Tak akan mengaku salah sampai bila-bila.  Tapi, pendakwaraya-juri-hakim adalah orang yang sama; tetap memaksa dia terima bulat-bulat semua tuduhan dan menjalani hukuman.  Nak bela diri sendiri juga, dia tak layak.  Mahkamah Zafiq, adalah mahkamah gila.  Dakwaan Zafiq adalah dakwaan tak berasas dan penilaian Zafiq sebagai juri adalah penilaian berat sebelah. 
Aira memeluk lutut di tepi katil.  Melentokkan kepalanya atas lulut, memejamkan mata.  Dia cuba tenangkan dirinya.  

Wednesday, August 23, 2017

Objection 12

KEPALA Azman rasa pening tiba-tiba.  Apalah nak jadi dengan anak-anak dia?  Sorang hilang entah mana pergi.  Telefon pun tidak.  Atau memang Airin ni menipu dia?  Sedangkan semua tak tahu mana Aira pergi?  Yang Si Airin ni pulak sign kontrak dengan agensi pelancongan mana entah?  Main sign aje.  Cubalah bawak berbincang dengan orang tua dulu.  Macam tiada mak bapak.    
“Ayah, Rin pergi timba pengalamanlah.  Lagipun, sambil-sambil wartawan tu nak interview salah sorang rakyat Malaysia yang berjaya di sana.  Katanya, tak pernah lagi ada yang berjaya interview dia tu, tapi kali ni dia macam setuju.  Itu yang dia nak Rin ikut sekali untuk photoshoot.  Bolehlah ayah…”  Lengan Azman dipeluk erat. 
Sesekali, Airin pandang Maria.  Meminta agar mama menyokong tindakannya. 

Tuesday, August 22, 2017

Objection 11

BARU nak memanjat dua anak tangga itu, Aira jatuh terjelepuk.  Selipar dia licin.  Dia mengaduh sendiri.  Airnya tumpah.  Dahlah hujan begitu lebat.  Baju dia hanya ada yang ini.  Yang lain semua tak kering lagi.  Aira cuba bangun tapi dia kembali terduduk.  Buku lalinya perit.  Sekali lagi dia cuba bangkit, masih tak berjaya.  Bukan kerana buku laki itu saja tapi dia benar-benar keletihan. 
Seluruh tubuhnya sakit.  Seperti dihempap batang balak.  Akhirnya, Aira rebahkan badan di atas tanah.  Membiarkan hujan membasuh rasa sakitnya.  Menyentuh wajahnya.  Menyembunyikan tangisannya.  Dia buka mata bila dirasakan air itu tidak lagi menyapa wajah dan tubuhnya. 
Lelaki itu muncul.  Memayungi dia. 

Friday, August 18, 2017

Objection 10

NAFAS Aira tercungap-cungap bila wajahnya disimbah air.  Dia angkat tubuh.  Terbatuk berkali-kali hingga merah matanya.  Dia kerutkan kening dan memandang lelaki depan matanya yang muncul setelah beberapa hari menghilang. 
“Kau nak tidur sampai bila?  Atau kau nak tidur terus?  Tak payah bangun sampai bila-bila dah?!”  sembur lelaki itu.  Marah! 
Aira buat tak dengar.  Sekadar mengelap wajah dan rambut yang basah.  Malas nak layan amukan orang pagi-pagi ni. 
“Kau pergi mana?”  tanya Aira biarpun tekak masih perit.  
“Kau lupa sesuatu nampaknya.  Kau tak ada hak apa-apa dekat pulau ni!  Jadi, jangan tanya apa-apa soalan!”  tegas Zafiq. 
“Bangun!”  arahnya. 

Thursday, August 17, 2017

Objection 9

DIA baru saja sampai pagi di Kuala Lumpur setelah hampir dua bulan tak pulang.  Dia balik ke sini pun, kerana Zariq yang beria minta dia kembali.  Katanya, ingin ke Itali dalam masa terdekat.  Eloklah kalau betul Zariq dah sedia.  Tapi, yang anehnya secara tiba-tiba. Itu yang menjadi tanda tanya. 
Kakinya laju meniti anak tangga menuju ke meja makan.  Kejap lagi dia ada mesyuarat dengan agensi pelancongan dekat sini yang nak tahu tentang rahsia kejayaan dia membina perniagaan di negara orang.  Rasanya tak susah mana untuk dia memandangkan arwah uminya berasal daripada Thailand.  Cuma dapat taraf penduduk tetap di sini aje.  Asas yang dia ada adalah peninggalan umi.  Selebihnya itulah dia usahakan sendiri setelah umi dan ayah pergi. 

Wednesday, August 16, 2017

Objection 8

MATA Airin berlaga dengan mata Maria.  Mamanya memberi isyarat.  Kemudian, Airin pula menghantar isyarat.  Hingga Azman perasan perbuatan dua beranak itu.  Dia pandang anak dan isterinya. 
“Apa yang tak kena?  Cuba cakap?” 
“Err… tentang Aira, ayah…”
“Hah, dia ada call ke?”  Azman teruja.  Iyalah.  Nak buat report, bersungguh anak dan isteri dia larang. 
Airin angguk.  “Err… dia ke rumah kawan dia…”
“Kawan?”  Azman simpan syak.  Dia tenung Airin lama.  Airin dah biasa sangat berbohong pada dia.  Lebih-lebih lagi pasal Aira. 
“Kamu jangan nak tipu ayah, Airin.  Aira tu mana ada kawan…”  Dalam diam, Azman memberi amaran.  Kalau dia tahu Airin menipu, dia tak akan lepaskan Airin kali ini. 

Objection 7

SYUKURLAH demamnya tak merebak.  Dia pandang botol ubat yang ada di atas katil.  Dekat dengan dia.  Aira keluar dan suasana terasa hening.  Yang menghiasi pendengaran hanyalah unggas hutan.  Dia capai baldi.  Rasanya dia boleh cari di mana anak sungai itu berada.  Nazri pulak entah ke mana.  Orang gila itu juga tiada. 
Perlahan-lahan, Aira menapak.  Mengelak daripada ranting dan sesekali dia mendongak ke atas.  Bimbang andai ada ular atau apa saja.  Memikirkan dia di tengah hutan, segalanya boleh berlaku.  Sudahnya, Aira letak baldi di atas kepala.  Apa-apa jatuh, kepala aku selamat. 
Dia senyum.  Terus berjalan tenang, menikmati keindahan bunyi-bunyian unggas hutan yang berbisik sesama sendiri. 

Thursday, August 10, 2017

Objection 6

DAH tengah malam.  Tapi, Aira tak dapat agak pukul berapa sekarang.  Jam dia tiada lagi di pergelangan tangan.  Bunyi unggas dan serangga sedikit membuat hati dia kecut.  Dia tahu, dia dibawa ke tempat yang jauh.  Cuma, tak tahu di mana.  Boleh jadi juga, dia memang akan habiskan sisa hayat dia di sini.  Dalam pondok usang ini.  Yang hanya berdinding kayu dan beratap rumbia. 
Sejak tadi, tak henti-henti dia menepuk seluruh badan sendiri.  Selimut yang ada tak mampu menghalang nyamuk daripada terus menggigit tubuhnya.  Rasanya, seluruh tubuh dia akan merah.  Malah, luka di betis dan lututnya juga mula terasa pedih.  Gamaknya dah kena jangkitan. 
Aira angkat tubuh.  Pelita itu dibawa dekat ke katil.  Disuluh tempat yang sakit.  Ya, dah nampak sedikit nanah muncul.  Dia perlukan antiseptik dan antibiotic sekarang.  Kalau tak, dia mungkin boleh jatuh sakit. 

Wednesday, August 09, 2017

Objection 5

TANGAN Zariq ligat membawa berus itu menari di atas kanvas.  Suasana matahari terbenam dan seseorang yang sedang berenang di bawah sinar keemasan suria petang, dilakarnya dengan penuh cermat.  Nak diabadikan di atas sekeping kertas. 
Sebaik saja lelaki itu berlari ke arahnya setelah berhempas pulas melawan arus ombak, Zariq tersengih.  ZRQ.  Lukisan itu siap sebaik saja dia noktahkan dengan tandatangannya. 
“Cantik?”  soalnya.
Modelnya angguk.  Sejak dulu, inilah model tetap.  Dalam keadaan paksa atau rela. Lelaki itu senyum lebar.  Nampak menarik tapi dia tak reti pasal lukisan.  Tak tahu nak nikmati.  Selalu Zariq kutuk.  Tapi, dia… katalah apa saja.  Dah memang tak reti. 
“Riq betul nak sambung belajar ke Itali?”  tanya lelaki itu sambil mengelap kepala. 

Monday, August 07, 2017

Objection 4

KERESAHAN Azman tak usah diucapkan dengan perkataan.  Semuanya dah jelas tergambar.  Hampir dua hari Aira tak balik rumah.  Tak pernah pulak budak ni buat perangai.  Dia benar-benar syak sesuatu telah berlaku pada Aira tapi nak report polis, masih tak cukup empat puluh lapan jam.  Malah, Airin dan isterinya melarang.  Tak nak keluarga dapat malu kerana ada anak yang lari daripada rumah.
Tuhan… mereka ni sedar ke tidak, Aira mungkin dalam bahaya.  Mungkin diculik.  Taip, tiada pula mana-mana panggilan masuk meminta tebusan.  Aneh.  Apa dah jadi ni.  Aira tak dapat dikesan langsung. 
“Abang tak payah dok buat muka macam itulah depan saya…”  Maria menegur suaminya.  Daripada semalam, dah habis-habis dengan muka macam tu.  Sakit pulak hati. 

Saturday, August 05, 2017

Objection 3

ENTAH berapa lama Aira terlelap setelah keletihan menangis.  Sebelah tubuhnya dah rasa sengal.  Lenguh.  Aira cuba bangkit.  Dalam kepayahan, akhirnya dia mampu duduk.  Dilunjurkan kaki.  Pergelangan kaki dah merah.  Ada kesan lebam di balik ikatan.  Dia ketap bibir.  Sakit.  Bahu dia juga rasa nak tercabut.  Dah lama sangat dia diikat begini.  Aira melingas ke sekeliling kawasan pondok.  Lengang.  Hanya ada dua army-bed.  Satu dihujung dinding sana dan satu dihujung sini. 
Aira toleh belakang.  Ada satu jendela yang siap dengan pagar kayu.  Entah mana lelaki ini bawak dia, dia tak boleh nak teka langsung.  Mendengarkan bunyi unggas, Aira yakin sesuatu.  Pondok ini jauh di dalam hutan. 

Friday, August 04, 2017

Objection 2

AIRMATA meleleh di juring mata Aira.  Berkali-kali dia kesat, air jernih itu masih mengalir perlahan.  Lelaki kacak yang ada di depannya kerut kening.  Tak faham.  Kenapalah dengan perempuan sorang ni.  Nasib baiklah kau comel.  Aku tak rasa nak luku.  Tapi, rasa nak tenung lagi. 
“Awak kenapa?”  Zariq menyoal lembut.  Tongkat dagu atas meja.  “Buruk sangat ke?”  Gamaknya, Aira nak kutuk hasil kerja dia. 
“Ini?  Awak kata saya?”  Tawa Aira masih galak.
Lelaki itu angguk.  “Buruk?”
“Awak rasa, saya ke potret ni lagi cantik?” 

Objection 1

SEMUANYA serba-serbi tak kena.  Itu, ini… dia yang kena terima segalanya.  Padahal, bukan salah dia pun.  Betapa dia cuba pertahankan diri, kata-kata dia tak akan dipeduli.  Segala hukuman akan jatuh ke bahunya.  Sejak dulu.  Belakang inilah  yang ada kesan jalur rotan.  Telapak tangan inilah yang berbirat.  Tapi, sekarang tak lagi.  Cuma, tiada apa yang berbeza. 
“Kenapa mak tak habis-habis nak hukum Aira, kak?”  Airmata bergenang bila soalan itu diaju pada pembantu rumahnya. 
“Airaaaaa…”  Lemah jiwa wanita itu nak jawab soalan Aira.  Dia pun tak tahu.  Dia baru aje kerja dekat sini lepas mak saudaranya berhenti kerja kerana nak berehat.