Saturday, August 27, 2011

Terlerai Kasih 18, 19, 20


BAB 18

Keesokan harinya, aku ke pejabat seperti biasa. Menjalani rutin harianku. Meja Fara masih kosong. Sudah berkali-kali aku memohon kepada Encik Azhan agar mengatur temuduga secepat mungkin. Sebetulnya aku sangat memerlukan seorang pembantu.
Bebanan kerja yang semakin bertambah membuatkan aku tiada masa untuk keluarga malah untuk diri sendiri juga. Ditambah pula dengan beberapa projek baru yang akan dimulakan tak lama lagi. Aku lelah.
Hanya aku saja yang terkial-kial menyiapkan laporan setiap bulan dan akulah juga yang akan ke tapak projek menyemak kemajuan kerja untuk memastikan jumlah bayaran yang akan dibuat. Biarpun masih ada beberapa orang staf di bawahku, aku tidak sanggup mengarahkan sesuatu yang di luar bidang tugas mereka.
Rinduku pada Fara menggunung tinggi. Entah mengapa, sejak dari hari pertama dia ke sana hanya sekali SMS yang ku terima daripadanya mengatakan yang dia selamat tiba namun perjalanan menuju ke destinasi sebenar masih terlalu jauh katanya.
Mungkin saja di sana tiada coverage hingga menyebabkan Fara terpisah oleh dunia luar dan terpisah khabarnya daripadaku.
Tanganku masih ligat melarikan pena membuat beberapa perkiraan di atas dada A4 putih sambil menekan mesin kiraku. Biarpun tanpa pembantu, amanah harus dijalankan dengan baik.
Dalam kesibukan aku memerah otak membuat kira-kira, aku tidak sedar bila wajah Am hadir di mindaku.

“Please, Am! Please don’t do this again! Wafi takut!” rayuku dengan tangisan yang tertahan-tahan. Tanpaku sedar, terlunjur laju namaku dan namanya dari celah bibir.
Hebat lelaki ini kerana bisa membuatkan aku menitiskan airmata yang ku kira telah lama kering.
“I won’t! Kan senang kalau Fiah mengaku awal-awal. Kemain payah nak mengaku. Sampai ke tahap ni baru Fiah nak berhenti bersoal jawab dengan Am! I am sorry, okay?”
Aku mencebirkan bibir. Mengesat saki-baki airmata yang sedikit tersisa.
“Lagi-lagi sorry! Nanti sorry Am tu tak bermakna pulak satu hari nanti!” marahku. Benci benar bila dia menuturkan maaf.
“Buat tak pernah nak fikir! Lepas tu minta maaf je pandai!” Suaraku makin meninggi.
Hilang sudah rasa takutku. Yang ada hanyalah rasa marah yang meluap-luap. Mahu saja aku tampar wajah selamba itu. Biar dia sedar akan tindakannya yang boleh membunuh sebentar tadi.
Aku mengetap gigi bila Am hanya tersengih memandangku sambil mengelus tanganku lembut. Aku cuba menarik tangan itu dari terus dinodai jemari kasarnya. Aku tidak rela disentuh sesuka hati oleh lelaki biarpun oleh seorang lelaki yang mula ku cinta.
“Tersengih-sengih tu kenapa? Am dengar Wafi sedang baca puisi ke? Kalau Am rasa nak bunuh diri, Am buat macam tadi bila Am memandu sorang-sorang. Jangan nak libatkan Wafi pulak!”
“Bukan Wafi… tapi Fiah!” ujarnya lembut membetulkan sebutan pada namaku. Ikut akulah nama aku!
Hatiku makin membara bila Am masih dengan wajah selambanya. Tahulah kau tu handsome so tak payah buat muka tak bersalah macam kera langsat! Aku mencemik.
“I fall in love for you at my first sight!” ujar Am penuh makna dan kali ini lebih romantik hingga terus menusuk tepat ke jantungku. Membawa debaran yang berentak hebat.
“Am tak perlukan masa membuat kira-kira untuk menyintai Fiah dan Am tahu Fiah pun sama. Tak usah pakai pakai formula, format atau calculator! Tanpa Am, Fiah memang seorang akauntan yang cekap tapi bersama Am, Fiah tak mungkin dapat membuat closing account pada cinta Am sebab cinta kita tak akan dapat Fiah ditutup selamanya!”
Suara parau Am yang lunak itu membuatkan aku hilang punca. Namun, masih ada bening tawa yang bakal pecah dari mulutku mendengarkan Am membuat metafora antara cintanya dan kerjayaku.
“Akaun dengan cinta sama, ke?” tanyaku dengan kening yang sedikit terjungkit.
“Of course! Sebab cinta ni adalah hasil tambah Ilham dan Wafiah!” ucapnya ceria.
Aku terngaga demi mendengarkan sepotong nama yang keluar dari celah bibir Am tadi. Bagaikan pernah terdengar sepotong nama tu? Benarkah apa yang diucapkan atau aku sendiri yang tersalah dengar?
“Nama siapa Am sebut tadi?” Aku mengerutkan wajah pohon kepastian.
“Erk… nama siapa?” soalnya kembali dengan suara sedikit ragu-ragu. Aku memandangnya dengan hujung mata, sedikit curiga dengan kata-katanya tadi.
“Tapi, tadi Am se…”
“Assalamualaikum, encik!”
Belum pun sempat aku terus membuat soal siasat, cermin kereta Am diketuk oleh dua orang lelaki yang segak dengan uniform PDRM. Berderau darahku. Sudah pasti kerana pecutan Am yang melebihi paras bahaya tadi. Am menurunkan cermin.
“Wa..waalaikummussalam!” jawabnya sedikit kaget.
“Maaf, encik! Ada kecemasan ke? Kenapa pasang lampu hazard?” soal salah seorangnya yang sedikit membongkok.
“Kereta rosak ke?”
“Tak ada apa, tuan! Saja berhenti sekejap!” Am menggeleng beberapa kali.
Wajahnya menyeringai mempamerkan riak yang tidak bersalah. Itulah dia, pakar benar tayang wajah begitu.
“Kalau tak ada apa, rasanya lebih baik encik teruskan perjalanan!” nasihat pegawai polis itu lagi.
Matanya mengerling sekilas kepada genggaman tangan Am pada jemariku. Aku cuba menarik bila pegawai itu beralih pandang padaku tapi Am sekadar buat-buat tidak mengerti.
Rasa malu sudah menyerbu naik ke wajah. Pasti wajahku kini merah padam menahan malu. Seorang wanita bertudung sepertiku berdua-duaan dengan seorang lelaki di bahu jalan yang agak lengang dengan tangan yang bertautan memanglah akan menimbulkan curiga.
“Kot ya pun nak bercinta bukan di sini tempatnya, encik!” sinis pegawai itu padaku dan Am.
Aku ketap bibir dan Am hanya tersengih memandangku sekilas.
“Kalau nak buat anak pun bukan di sini tempatnya!” bidas pula yang seorang lagi seraya berlalu menuju ke kereta proton Waja bercop PDRM di pintunya.
Saat itu, sukar untukku gambarkan perasaanku. Berketup ketap gigiku menahan sabar. Malunya hanya Allah yang tahu. Tidak pernah aku terperangkap dalam hal sebegini sebelum ini dan dengan Am pula, hanya dengan ‘temujanji’ bidang terjun kami, aku dimalukan sebegini.
Memang mulut polis itu pun tiada insurans. Gurauannya terlalu kasar pada pendengaranku.
Am ketawa mengekek dan aku terus menarik tanganku dari genggamannya dengan kasar.
Dia memusingkan badannya menghadapku. “What now?”
“Apa Wafi pulak?”
“Fiah!” Am membetulkan sebutanku. Aku mendengus.
“What ever!”
Am mengeluh dan menarik kembali tanganku ke dalam genggamannya. Biarpun aku menghalang, tanganku tetap berjaya di raihnya. Tapi, aku tetap tidak mahu kalah lalu aku rentap terus tanganku dari pautannya.
Aku memusingkan wajah ke luar cermin. Malas hendak menghadap wajah itu. Takut jua mahu diserahkan segalanya padanya nanti. Bimbang andai keimanan yang setipis kulit bawang ini tercarik sedikit demi sedikit.
“I thought we are already okay just now?”
“Tak ada yang okey pun!” Aku menempelak geram.
“Polis tu bergurau je. Kalau nak proses anak pun bukan sekarang!” ujarnya selamba.
“Don’t you ever mention that!” Aku keras memberi amaran padanya.
“Sooner or later yes, my unpredictable princess!” ujarnya separuh berbisik.
Aku buat-buat tidak mendengar. Sudah berkali-kali dia mengatakan aku begitu.
“I love you!” ucapnya lembut. Kali ini, naluri wanitaku tercuit dengan ucapan sayang yang telah lama tandus dari hatiku dan Am terus memandu.

Aku tersentak bila daun pintu di tolak seseorang. Hilang kejadian di lebuhraya beberapa minggu sudah. Fariza muncul dengan raut yang sedikit cuak. Mungkin takut padaku yang bersentiasa bertegas dengan semua staf.
Aku tidak mahu dia terus menjurangkan hubungan kami. Bagiku mereka semua adalah teman. Mungkin tidak seerat mana seperti aku dan Faralina tapi sebolehnya aku mahukan hubungan yang mesra antara kami.
Salahku jua kerana terlalu egois dengan rasa marah dan dendamku selama ini hinggakan ku pandang sepi setiap yang ingin menghulurkan persahabatan dan kini aku mahu segalanya berubah.
Sejak akhir-akhir ini, wajahnya itu selalu saja terjengul di pintu bilikku. Setelah Fara, dia pula yang Encik Azhan sambar untuk dijadikan setiausahanya. Kerani kewangan itu tidak membantah langsung. Sekadar mengikuti arahan bos.
Pernah aku cadangkan agar Encik Azhan mengatur satu temuduga untuk mencari setiausaha untuknya tapi dia sekadar tersenyum.
“Kalau tak jumpa yang secantik dan secekap awak, baik saya suruh staf kita yang mana ada je!”
Masih ku ingat kata-kata Encik Azhan dulu bila dia mengarahkan Fara menjadi setiausahanya.
Kini, hanya tinggal Sharul dan Suraya sahaja yang membantuku di waktu kecemasan. Itupun jika Sharul tidak perlu ke tapak projek.
“Kenapa, Iza?” tanyaku mesra sambil melemparkan senyuman.
“Bos nak jumpa Cik Wafi! Katanya ada interview orang baru!”
“Hari ni, ya?” soalku jelas lupa. Fariza mengangguk
“Ya, Allah! Macam mana saaya boleh terlupa ni,” rungutku pada diri sendiri. Satu keluhan berat terbit dari celah bibirku. Entah bagaimana aku terlupa dengan temuduga itu. Mungkin kerana perancangan Encik Azhan yang begitu tergesa-gesa menyebabkan aku sentiasa dicemburui masa.
“Sekarang?” tanyaku lemah. Fariza mengangguk.
“Baiklah! I’m on my way!”
“Baik, Cik Wafi!” Fariza terus berlalu.
Aku mencapai kot labuhku dan terus berlalu menuju ke bilik mesyuarat di sebelah bilik Encik Azhan.
“Selamat pagi, bos! Maaf bos, terlambat,” ucapku hormat dan terus mengambil tempat di sebelahnya.
“No, it’s okay, Wafi! I tahu you tak sempat nak get ready. Lagipun I tahu you perlukan pembantu secepat mungkin. I dah minta Fariza jadi PA I, so tinggal budak berdua tu, I takut you tak menang tangan kalau Sharul ke site!”
Aku mengangguk tanda faham. Bos kan bos, saya ni kuli hanya mengikut jelah! Keluh hatiku.

Temuduga membawa ke petang. SMS daripada Am juga tidak sempat ku balas. Jauh sekali menjawab panggilannya hinggakan membawa dia hadir ke pejabatku petang itu.
Aku tidak sempat bertemunya. Kehadirannya hanya dibisikkan oleh Fariza sebentar tadi yang kebetulan menghantar dua botol air mineral untuk kami.
Jam di dinding sudah hampir ke 4.30 petang dan di luar sana masih ada seorang lagi calon. Badanku benar-benar dimamah keletihan.
Saat pintu terkuak, hampir saja aku mengangkat batang tubuhku bila wajah seseorang yang cukup ku kenal muncul di depanku.
“Zura!” seruku terkejut.
“Wafi!” balasnya pula. Encik Azhan memandang kami silih berganti.
“Kamu berdua ni dah kenal ke?”
Aku mengangguk. “Kawan lama, bos!” ujarku tanpa selindung.
“Sila duduk, Zura!” pelawaku.
“Mintak tu!” Aku menunjukkan ke arah fail hitam yang dibawanya. Dia menghulurkan padaku lantas kembali ke kerusinya.
Sudah lain benar minah ni! Keningnya terandam nipis, bibirnya merah, pipinya juga merah jambu begitu juga dengan alis matanya yang melentik dengan bulu mata palsu. Aku tersenyum sinis. Non-organic beauty!
“Sijil SPM bos!” maklumku pada Encik Azhan.
“Kalau you rasa okey yang ni, I tak ada halangan! You yang nak pakai orang! Sijil ke, ijazah ke, it is fine to me! Janji you selesa nak kerja dengan dia! Faralina dulu pun you yang pilih sendiri. I ikut je!” ujar Encik Azhan perlahan.
“I keluar dululah Wafi! You boleh handle sendiri, kan? I ada hal sikit dengan IF Group!” Encik Azhan lantas berlalu menyerahkan bulat-bulat tugas ini padaku.
Sesekali menyampah juga dengan sikap Encik Azhan yang meletakkan berbagai beban di bahuku. Bila difikirkan semula, elok juga bila majikan mempercayaiku dan aku tidak akan sesekali merosakkan kepercayaan itu.
Aku rasa inilah peluang yang perlu aku gunakan sebaik mungkin. Masih tersisip dendam itu pada Zura sekeluarga rupanya.
“Okey, macam ni Zura! Jawatan ni adalah sebagai pembantu kewangan kat syarikat ni. Secara tak langsung, kau adalah pembantu aku. We all dah setuju nak bagi kau peluang dan aku harap kau sudi belajar daripada yang lebih berpengalaman. Kalau kau setuju, esok kau datang, kita sign offer letter. Gaji dan elaun semua adalah seperti yang dinyatakan dalam iklan la. Ada apa-apa pertanyaan berkaitan kerja ni?”
“Maknanya kau jadi bos aku ke?” Tanya Zura ragu-ragu.
“Ya,” jawabku tenang.
“Ada masalah ke?” perliku.
“Kau sebagai apa kat sini?” soalnya lagi.
Aku menggeleng kecil dan menghadiahkannya sebuah senyuman yang penuh dengan ejekan.
“Zura… Zura! Aku minta kau tanya pasal offer aku pada kau ni! Bukan pasal aku!”
Zura tersengih malu.
“Tapi, kalau kau nak tahu pasal aku, kau akan tahu juga nanti Cuma aku nak double confirm, kau setuju dengan offer ni! Nanti kerja kau teruklah sikit!” ugutku dalam tidak sedar.
“Aku setuju! Tapi, gaji tak boleh naik lagi ke?” Soalan Zura membuatkan aku ketawa kecil.
“Kau ni kan, kerja pun tak lagi, dah nak minta increament pay. Ingat sikit Zura, kau sorang saja yang datang temuduga ni bawa sijil SPM yang apa orang kata… cukup-cukup makan je,” ucapku lembut namun masih jelas sinisnya.
“Orang lain semua datang dengan ijazah sarjana, paling kokak pun, diploma tapi kau apa ada!” ejekku.
“You have nothing jadi bersyukurlah dengan gaji yang kami tawarkan so don’t be so greedy! It is not good for you!”
Sengaja aku mengenakannya dalam Bahasa Inggeris. Biar dia tergaru kepalanya macam beruk kena kutu! Bentak hatiku marah.
Aku mengangkat tubuhku mengatur langkah ke arah pintu. “Jumpa kau esok! Jangan lambat. Sharp 8.30 a.m.!”
Hatiku mula diamuk dendam lagi. Setelah bertahun, akhirnya wajah itu datang sendiri kepadaku membawa bersama episod duka yang lalu.

BAB 19

PETANG itu, aku, Zura dan beberapa orang teman kami yang lain sedang mengulangkaji petang itu di anjung rumahnya bila terdengar derap tapak kaki yang keras menghentak lantai papan.
“Zura, kau jangan berkawan dengan si Wafi ni lagi! Kau tak payah nak ajak dia belajar sama-sama kat rumah kita!” jerit Makcik Zahrah tiba-tiba.
Kami semua pantas berdiri. Aku lebih-lebih lagi. Terkejut besar dengan suara Makcik Zahrah. Pandangannya padaku penuh dengan kebencian sehinggakan aku tidak berani menentang matanya.
“Kenapa, mak?” Zura mula berwajah pelik.
“Kenapa apa?” sergah Makcik Zahrah pada anaknya.
“Kau bukan tak tahu yang si Wafi ni bukan dari keturunan baik-baik! Dulu, ayah dia ada hubungan sulit dengan betina mana entah. Lepas tu, kakak dia si Waznah tu pulak yang buat hal. Kamu semua jangan berkawan dengan dia ni!”
Makcik Zahrah mula menuding jari telunjuknya padaku. Dekat. Sehinggakan bersentuhan dengan hidungku.
“Lepas tu, sekarang ni orang kampung semua tengah heboh yang si Waznah tu tengah mengandungkan anak luar nikah!”
Berdesing telingaku kala ini. Rasa ingin disumpah sahaja Makcik Zahrah. Rasa ingin ditampar sahaja mulutnya yang tidak habis-habis menjaja perihal keluargaku. Kini, kesabaranku sudah tiada.
Biarlah aku dikatakan kurang ajar melawan cakap orang tua kerana usiaku hanya 14 tahun Aku tidak peduli lagi bila teman-teman lain juga mula bercakap sesama sendiri dan mula menjauhiku.
“Lama-lama nanti, kau pulak Wafi yang bagi cucu haram dekat mak kau. Dulu, ayah kau buat hubungan sulit dengan perempuan mana entah, lepas tu Kak Anah kau. Entah-entah lepas ni, kau pulak!” sergah Makcik Zahrah kuat.
Aku ketap gigi. Tangan aku genggam seeratnya. Menahan amarah yang mula merasuk diri. Kali ini, aku tak mungkin diam. Apa yang akan berlaku selepas ini, aku sudah tidak peduli. Sekalipun, aku terpaksa menggalas kesannya seumur hidup ini, aku juga tetap tidak peduli.
“Kau balik, Wafi! Aku tak nak anak aku jadi macam kau!”
“Makcik Zahrah jangan berani cakap pasal keluarga saya lagi kalau makcik tak nak menyesal. Makcik ingat saya ni apa? Memang keluarga dan keturunan saya bukan daripada golongan baik-baik macam keluarga makcik, tapi saya akan bela maruah keluarga saya! Ingat makcik jangan sampai saya dengar lagi makcik cerca arwah ayah dan kakak saya!” Suaraku sekadar cukup-cukup dengar tapi ada ketegasannya.
Makcik Zahrah dan teman-teman yang lain nampak terperanjat besar dengan tindakanku yang pasti mereka tidak jangkakan.
“Kurang ajar kau ni Wafi,” jerit Makcik Zahrah nyaring.
“Kau berambus dari rumah aku, anak haram!”
Aku tidak perlu menunggu lama. Terus sahaja aku melangkah bersama buku-buku sekolahku. Aku berhenti seketika di tangga batu itu lantas berpaling pada semua yang mula memandangku jengkel. Aku menghadiahkan mereka senyuman sinis.
“Kau ingat Zahrah! Kau juga ada anak perempuan. Kata-kata kau pasti menjadi satu doa untuk anak kau!” ucapku lantas terus berlalu. Rasa hormatku padanya memang sudah tidak berbaki.
Keesokan harinya, aku berjumpa dengan Zura. Meminta supaya dia mengerti akan keadaan aku. Tidak pernah aku minta lahir dalam keluarga yang begitu keadaannya. Aku tidak dapat mengatur takdir hidupku sendiri. Memang tidak mampu. Itulah yang emak beritahuku malam tadi.
Tapi, aku benar-benar hampa bila Zura sendiri mengherdik aku di depan teman-teman yang lain. Aku mengalirkan airmata bila sahabat yang sudah ku anggap sebagai adik-beradik sendiri itu, tergamak menghina aku. Malah sama hebat dengan emaknya.
Aku bercerita pada emak dan Kak Anah selepas pulang dari sekolah. Emak hanya memujukku dan Kak Anah hanya menangis kerana rasa bersalahnya pada kami semua. Sejak hari itu, aku nekad untuk akan membawa hidupku tanpa insan yang bergelar kawan.
Hampir terlompat aku apabila seseorang menarik hujung tudungku setelah aku hampir tiba di bilikku. Bagaikan hendak luruh jantung akibat terkejut dalam pada aku sedang memutarkan kembali kisah silam itu.
“Apa ni?” bentakku marah.
“Marah nampak?”
Aku menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan apabila melihat wajah Am yang tersengih padaku. Memanglah marah! Rungutku sendiri.
“Kenapa bergurau macam tu?” soalku bernada kecewa setelah Am merapatkan daun pintu dan kami sama-sama melabuhkan duduk.
“Maaf..”
“Kan Fiah dah cakap, jangan…”
“… suka minta maaf. Nanti satu hari takut maaf tu tak laku dah. Nak buat apa-apa fikir dulu, jangan buat dulu, dah tu minta maaf! Kan, kan?”
Aku mengukir senyuman pahit. Sedikit sebanyak kehadiran Zura membuatkan dendam yang hampir terurai itu kusut kembali.
“Kalau dah tahu, buat jugak,” rungutku lembut.
“Okey, lain kali Am fikir dulu sebelum buat!”
“Tarik-tarik tudung orang, macam budak-budak je. Kalau bukan Am tadi, Fiah tampar je!”
“Wah, beraninya dia!” sela Am.
“Am tak kenal Fiah lagi! Fiah ada blackbelt Taekwon-do tau!” ujarku bangga.
“Mak ai… takutnya Am…” balas Am mengerutkan wajah seperti orang ketakutan.
“Ha, tahu pun takut! Lagipun tadi, kalau terbuatnya tudung Fiah ni tertanggal, macam mana?” tanyaku sambil memegang hujung tudung berwarna orange muda itu.
“Kan orang lain dah nampak rambut Fiah, nak ke?”
“Eh, tak naklah!” jawab Am pantas. Dia menggeleng berkali-kali. Perangai macam budak-budak. Bisik hatiku sendiri.
“Semua yang ada pada Fiah hanya untuk Am je. Hanya Am sorang saja berhak untuk tengok semua milik Fiah!” tegasnya dengan wajah serius.
Aku tersenyum. Dari ke hari, aku mula belajar akan sikapnya. Mood yang boleh bertukar sekelip mata, selalu saja buat muka tak bersalah bagaikan anak kecil dan hari ini, sudah pandai cemburu pula. Langsung tidak mahu berkompromi.
“Love you!” bisiknya. Aku tidak mampu menjawab.
Bisakah Am menuturkan kata cinta begitu lagi setelah dia mengetahui lahirnya aku di dalam sebuah keluarga yang pincang?
Aku memandang Am tanpa perasaan. Tumpuan mindaku beralih pada Zura. Suratankah? Atau sekadar kebetulan pertemuan kami? Bagaimana jika mulut tempayan itu membuka pekungku yang bertahun ku tutup kemas.
“Muram ni kenapa?” Soalan Am membawa aku kembali menatap wajahnya.
“Lapar?” soalnya dan spontan aku mengangguk.
“Am call tadi, Fiah tak sempat nak jawab,” beritahuku bersama rasa bersalah.
“Tapi, Am tak perlu ke sini pun! Kan selalunya Fiah akan call balik! Kenapa nak datang?” soalku sedikit tidak selesa dengan kehadirannya pada waktu pejabat.
“Tak boleh ke?” sela Am.
“Boleh tapi Fiah takut apa pulak kata Encik Azhan nanti. Staf lain lagi. Bukan apa, Fiah takut ada pulak yang terjatuh cinta dekat Am. Menangis lagu dangdut la Fiah nanti,” gurauku agar dia tidak rasa bersalah.
Am tersenyum padaku. Anak matanya bersinar-sinar menikam bola mataku. Setiap kali, renungan itu mampu membuatkan aku ditimpa perasaan.
“Ala… biarlah diorang nak terjatuh cinta ke, terjatuh tangga ke, Am peduli apa! Bukan Am yang terjatuh pun! Am terjatuh pada Nur Wafiah je!” Aku mencemik. Ada saja jawapan dari mulutnya.
“Bos Fiah memang tak suka ke Am datang sini jumpa Fiah ke?”
Aku menggeleng menidakkan sangkaannya.
“Fiah tak cakap macam tu pun. Cuma Fiah rasa segan dengan mereka semua. Lainlah kalau pejabat ini Am punya,” usikku.
“Kalau macam tu, Fiah kerja dengan Am jelah nanti. Am boleh minta daripada Uncle Azhan!”
“Uncle?” Aku menjungkitkan kening.
“Kenapa Am panggil Encik Azhan uncle? Rasanya Am baru je kenal dia, kan? Lainlah kalau Encik Izham. Hari tu masa kita pulang dari KLIA pun Am panggil uncle jugak! Am ni agaknya ada sembunyikan apa-apa daripada Fiah kot,” dugaku cuba memancing penjelasan daripada Am dan dia mula tersengih menggaru kepalanya yang gatal barangkali. Tayang muka tak bersalah lagi.

BAB 20

ESOKNYA aku terpaksa ke IF Group atas permintaan Izham. Pertemuan kali ini ku rasakan sangat berbeza dari yang sebelumnya. Bahasa tubuh dan tingkah Izham kali ini tampak dingin sungguh.
Kesungguhannya dalam bekerja sudah nampak berkurangan benar atau dia sudah tidak sudi bekerjasama denganku lagi. Itu aku tidak pasti.
“Kalau Encik Izham tak puas hati dengan payment yang saya luluskan ni, saya minta maaf sebab saya tak akan mengubah apa-apa. Kalau Encik Izham nak tahu, kami dah hantar orang ke tapak projek untuk memastikan jumlah yang dituntut setimpal dengan kemajuan yang berjalan tapi nampaknya, laporan mereka ada beberapa perbezaan,” tegasku bila dia mempersoalkan jumlah pembayaran yang telah diluluskan.
“Contohnya?” Soalnya pula pinta penjelasan.
“Seperti yang encik lihat dalam laporan tu muka surat tiga para dua, memang barang sudah ada di tapak projek tapi kerja pemasangan masih belum dijalankan sedangkan jumlah semua tuntutan adalah selepas kerja pemasangan. Kami tak mahu berlaku sebarang corruption dalam pembayaran! Lepas tu kena quiry oleh pihak encik!”
Kali ini, aku perlu bertegas dan benar-benar berharap agar dia bersetuju sahaja dengan jumlah ringgit yang akan dibayar. Aku sudah penat bermain dengan nombor. Mata yang sudah sedia rabun, bertambah pula rabunnya nanti. Keluh hatiku.
Lama Izham memerhatikan kertas di tangannya dan akhirnya dia mengangguk. Aku melepaskan keluhan lega. Tidak perlu berulang-ulang kali menyediakan laporan yang sama lagi.
“Baiklah, kalau begitu kami akan bersetuju dengan jumlah yang awak luluskan ini. Lain kali kami tak mahu terima sebarang rungutan daripada perunding ke, sub-kontraktor ke! Saya tak mahu semua ini sampai ke meja Pengarah. Haru biru nanti!” ujarnya separuh berjenaka.
Bagiku jenaka itu kedengaran hambar benar. Tidak seperti Izham yang dulu. Dulu, dirinya yang takut-takut berani itu sentiasa mengusikku tatkala bersua mata. Usikan yang menimbulkan rasa geli hati dan perasaan itu setakat itu. Tak pernah terbit rasa cinta.
Tapi kini, dia bagai menjauhkan diri. Setiap kali berurusan, sudah jarang dapat ku lihat wajahnya. Sejak akhir-akhir ini juga aku jarang benar melihat Am andai aku ke IF Group. Sibuk benar dia. Mengalahkan Pengarah! Getus hatiku.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta dulu, Encik Izham! Ada orang baru nak report duty hari ni!” ujarku telus lantas menghadiahkan dia satu senyuman manis.
Benar, aku ingin menjadi Wafiah yang lain. Yang mesra, yang bertolak ansur dan yang bersih daripada dendam lagi.
Izham merenungku tidak berkedip. Aku gelisah!
“Encik Izham, I got to go now!” ulangku bila dia berterusan menjamah wajahku dengan matanya.
“Oh, ya… o.. . okey!” balasnya kaget.
Aku tersenyum lagi sebelum meneruskan langkah. Belumpun sempat aku memulas tombol pintu, dia memanggilku.
“Cik Wafiah!”
“Ya, saya!” jawabku lembut.
“Next weekend we’ll celebrating our annual dinner. Sekali meraikan Pengarah Urusan baru. Hopefully Cik Wafi sudi menghadirkan diri!”
Aku tidak mengulas. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Sekadar tersenyum tipis padanya. Bukan aku tidak tahu akan majlis ulang tahun syarikat IF Group Sdn. Bhd. tapi setiap kali itu aku mengelak untuk menghadirkan diri
Tidak betah rasanya berada bersama-sama orang ramai dan kini majlis meraikan pengarah baru, majlis ini pasti lebih meriah dan dihadiri ramai orang-orang besar.
“You are most welcome to the function!” ujar Izham memancing minatku.
“Terima kasih sebab menjemput, tapi saya tak dapat nak janji datang ke tidak. Kalau janji tak boleh nak mungkir lagi. Kalau tiada aral melintang, saya datang. Kalau tak ada saya pun, majlis tetap akan berlangsung jugak, kan?” selaku bernada gurauan.
“You have to! Got surprise to you!” pancing Izham lagi.
Surprise? Aku angkat kening mencari kepastian dalam wajah Izham. Aku menggeleng akhirnya.
“Thanks but no thanks! Saya balik dulu!” Aku lantas mengatur langkah tanpa menghiraukan Izham yang mungkin masih merenungku.
Sesekali muak juga rasa hati dengan perubahan demi perubahan dalam diriku. Menjadi wanita yang lemah lembut dan penuh dengan sopan santun membuat aku ketawakan diri sendiri.
Saat aku melalui meja depan, Fatehah tiada di tempatnya. Ingin juga aku menyapanya tapi memandangkan dia tiada aku aku mempercepatkan langkah.
Langkah pantasku mati tiba-tiba tatkala terbias oleh mataku susuk tubuh yang cukup ke kenal dan tak ingin ku temui lagi tapi kali ini ada wanita di sebelahnya. Wanita itu Fatehah. Ya, tak salah lagi! Memang Fatehah tapi benarkah itu dia?
Aku mengecilkan anak mata. Ah, tersilap orang barangkali! Pujuk hatiku tidak mahu menduga serong dan aku terus menapak keluar daripada Menara Tun Razak.

“I’m so sorry, Zura to make you wait!” ujarku saat melihatkan Zura yang sedang menantiku sudah tersengguk-sengguk menahan mata yang mengantuk. Dia bingkas bangun dengan mata yang terpisat-pisat.
“Kau dah lama sampai ke? Aku ada hal penting tadi, so terpaksa masuk lambat. Tak sempat nak maklumkan sesiapa!”
“Tak apa!” jawabnya pendek.
“Mari, Zura. Kita ke bilik aku!” ajakku dan dia terus menyaingi langkahku. Aku menghempaskan badan ke kerusi eksekutifku dan Zura mengambil tempat di depanku. Matanya meliar ke kiri dan kanan dengan keadaan bilik yang agak tidak terurus ini.
“Sorrylah, bilik aku ni tengah nak transform. Tu yang jadi macam kapal pecah sikit!”
“Besarnya biliknya kau, Wafi!” ujar Zura berwajah terkejut. Eh, mestilah! Dah aku akauntan kat sini! Memanglah besar! Bentak hatiku. Dalam pada aku cuba mengubah diriku menjadi lebih berlemah lembut, masih terselit jua dendam pada wanita ini.
“Tak sangka, lepas PMR dulu terus tak jumpa kau! Kau pergi belajar kat asrama, kan! Tak sangka betul! Tup-tup sekarang dah jadi bos kau ye?”
“Bukan bos. Aku pun kuli macam kau jugak!”
Aku tersengih nipis. Malas hendak melayan Zura melainkan untuk kerja-kerja rasmi sahaja.
“Semalam kau bersembang dengan siapa tu, Wafi?” soal Zura.
Matanya membulat menunjukkan betapa dia berminat dengan orang yang aku temui semalam. Pastinya orang itu adalah Am. Aku yakin itu tapi aku tidak sedar bila dia melihat kelibat Am.
“Kenapa kau nak tahu?” soalku sambil lewa.
“Sajalah. Pakwe kau ya. Handsome ya dia!” Zura menyulam jemarinya sesama sendiri dan aku sudah menunjukkan wajah yang mual dengan sikap gediknya.
“Kalau ya pun dia pakwe aku, dah tu handsome pulak, ada kena mengena dengan kau?” sindirku. Zura ketawa halus.
“Tak adalah, kalau bukan pakwe kau aku nak la!” akui Zura terus terang.
“Kau ingat yang kau nak tu barang mainan yang mak kau beli untuk kau masa kau kecik-kecik dulu ke?”
“Ala janganlah marah! Tapi, aku pelik la! Kenapa sejak dari dulu, semua yang handsome mesti terpaut pada kau? Dari sekolah rendah, sampai sekolah menengah hinggalah sekarang?” soal Zura jelik memandangku.
“Dah tu, kau nak aku buat macam mana?” Aku mula membentak.
“Tapi kalau bukan pakwe kau, aku ingat nak ngorat dia la. Bila dia nak datang lagi?” Wajah Zura sudah ditimpa perasaan. Benci aku melihatnya. Tidak pernah berubah sejak dari dulu.
“Okey, Zura! Stop it! Kau datang nak kerja, kan?” soalku kasar menghentikan angannya yang memualkan. Dia mengangguk.
“Kerja kau kat sini adalah membantu aku dan beberapa pegawai lain dalam penyediaan laporan akaun syarikat. Kau akan amat diperlukan jika semua yang lain berurusan di luar. Mereka memang sibuk dan aku sendiri sesekali terpaksa turun ke tapak projek dan waktu tu aku harap kau boleh membantu. Aku akan ajar kau sikit-sikit dan aku harap kau tak segan nak menimba ilmu!” nasihatku padanya. Dia mengangguk tanda faham. Aku menekan butang interkom.
“Suraya, boleh Su masuk kejap!”
“Baik, Wafi!” Seketika kemudian wajah Suraya sudah ada di depanku.
“Su tolong bawa dia ke tempat Faralina dan kenalkan dia dengan semua. She’s part of us now! Saya minta Su dan kawan-kawan semua tak lokek untuk memberi tunjuk ajar pada dia dan saya rasa dia tak akan segan untuk belajar dan Zura tolonglah, selain hal kerja, jangan kau nak libatkan hal-hal lain pulak dari jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang, faham?”
Zura mencerlung pandang padaku yang bagaikan memberi amaran padanya dan akhirnya dia berlalu apabila dijemput penuh sopan oleh Suraya. Aku menggeleng kesal dengan sikapnya yang tidak pernah berubah. Zura… Zura! Keluh hatiku.

...bersambung..

Wednesday, August 24, 2011

Terlerai Kasih 16, 17


BAB 16

LAMBAIAN Fara benar-benar membuatkan hatiku sebu. Kepergiaannya bukanlah untuk tidak kembali tapi entah mengapa sukar untuk aku menerima keputusan yang Fara muktamadkan demi masa depannya.
Minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan telah membawa dia jauh ke hulu Long Pasia di Sabah Borneo. Emaknya teresak-esak di bahuku saat kelibat Fara mula menjauh dari pandangan kami dan aku sendiri bagaikan mimpi yang sahabat itu telah jauh dari sisi.
Mungkin sudah tiba masanya aku melangkah sendiri tanpa sokongan temanku itu. Tidakkah selama ini aku bersendiri sebelum wujudkan Fara dalam hidupku? Semoga kau mendapat kehidupan yang lebih baik di sana, Fara. Desis hati ini pilu.
“Aku berani potong jari, dia cintakan kau!”
Masih berdengung rasanya bisikan Fara padaku sebelum dia masuk ke balai berlepas sebentar tadi. Aku hanya diam menjadi pendengar yang setia. Cinta? Satu perkataan yang sudah hampir hilang dari kamus hidupku.
“Fazlee dan kejadian malang dalam keluarga kau adalah masa lalu yang dah jauh kau tinggalkan. Pandang ke depan. Biarpun jatuh, bangkitlah semula. Sebab, selama ni, kau begitu kuat untuk aku papah. Cuma tak salah bila sesekali kita berkongsi. Am is your right path! Trust yourself!”
Benarkah kata-kata Fara? Yakinkah aku untuk maju setapak lagi? Ya Allah, andai ini adalah anugerah dari-Mu, kau titipkanlah keyakinan buatku dan bawalah pergi kesakitan itu dariku. Kala ini, aku amat merindu emak dan Kak Anah serta arwah ayah.

Am mengatur langkah kemas ke arahku yang sedang bersandar pada sebatang tiang. Dari jauh, aku dapat lihat ada keikhlasan pada dirinya. Dulu juga aku nampak keikhlasan dalam diri Fazlee tapi sudahnya, mata ini jelas menipu. Am nampak sedikit tergesa-gesa mendapatkanku. Di tangannya, dia menjijit dua gelas bercop Starbuck.
“Jauh termenung?” tegur Am lantas menghulurkan salah satu gelas Starbuck itu kepadaku. Bau haruman mocha semerbak menerjah deria bauku. Aku menyisip mocha ais di tanganku. Rasa dahaga hilang serta merta.
“Fikir apa?” soal Am kemudiannya. Aku menentang renungannya.
“Teringatkan keluarga!” jawabku jujur.
“Keluarga?” Soalannya jelas menunjukkan yang dia tidak mempercayai jawapanku. Aku mengangguk. Benar aku merindu mereka. Sesungguhnya rindu.
Terngiang-ngiang pesan emak saban masa. Meminta aku meleraikan dendam yang sudah lama tersimpul rapi dan saat ini aku bersungguh-sungguh mahu melepaskan segalanya. Aku sedang berusaha keras. Tak sudah bermohon pada Yang Maha Kuasa agar menuntun hati ini ke jalan yang benar. Tanpa dendam dan tiada kebencian.
Sesungguhnya, aku mahu menoktahkan segala kepahitan yang aku tanggung selama ini. Aku mahu memaafkan dan dimaafkan. Aku mahu melepaskan segala pergi. Aku lelah dikejar kepahitan cinta Fazlee dulu dan aku juga makin lelah menidakkan rasa cintaku pada lelaki di depanku kini.
Fitrah manusia memang begitu. Rasa ingin disayangi dan menyayangi itu tetap ada biarpun berkali-kali hati dan perasaan ini ditoreh luka. Hanya perkataan serik saja yang sentiasa digalas bagi sesetengah orang termasuklah aku.
Terbayang wajah emak dan Kak Anah yang sedang tersenyum kepadaku dan aku membalas senyuman mereka di luar sedar.
“Kenapa senyum?” soal Am pelik. Aku memandang lelaki di sebelahku ini. Terlupa seketika akan kewujudannya.
“Tak ada apa,” jawabku menyembunyikan perkara sebenar. Am memegang kedua belah bahu dan membawa aku menghadapnya. Aku pantas mengelak. Tidak sudi benar diri ini diperlakukan macam patung bernyawa yang tiada berharga.
Berani sungguh dia memperlakukan aku begitu. Adakah dia sudah sedar akan perasaan halus dalam diriku yang sememangnya untuk dia sehinggakan dia yakin yang aku tidak akan membantah tindakannya? Tapi dia silap kerana diri ini bukan untuk dicuit sesuka hati. Wajahnya jelas berubah walaupun pada akhirnya dia mengukir senyum. Terpaksa atau rela aku tidak tahu.
“Kenapa Nur Wafiah ni suka berahsia?” soal Am lembut. Kala ini wajahnya tampak polos benar biarpun raut wajah yang tidak berapa terurus.
“Tentang apa?” Soalannya ku balas dengan soalan.
“Tentang segalanya!”
“Segalanya?” Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham.
“Kenapa?”soal Am lagi dan kali ni sedikit keras.
“Kenapa Nur Wafiah suka berahsia sangat?”
“Maksudnya?” Aku menjungkitkan kening. Entah berapa kali Am mengeluh mendengarkan soalannya bersambut dengan soalan lagi.
Hatiku ketawa. Aku senang membuatkan dia separuh sasau begitu. Cinta pandang pertama seperti yang Fara nyatakan. Betapa yakin dia yang Am menyintaiku dan hari ini merupakan satu kebetulan yang tersangat indah.
“Lain yang difikir, lain yang Nur Wafiah beritahu. Lain yang hati rasa, lain yang Nur Wafiah zahirkan! Menidakkan segala yang sememangnya kenyataan.”
Aku ukir senyum tipis tanda faham dengan kata-katanya.
“Mana ada berahsia. Kenapa tuduh saya macam tu?”
“Am tak tuduh tapi Am tanya!”
Aku ketawa. Suaranya menyapa mesra ke peluput telinga bila dia membiasakan dirinya sebagai Am.
“Okay, sorry! Salah tafsir pulak!”
“Soalan tadi masih belum berjawab, Nur Wafiah!” ulang Am dengan suara yang ku kira dia sengaja lunakkan. Aku tergoda.
“Tiada jawapan untuk soalan tu, awak! Macam mana saya nak jawab?”
Am melepaskan keluhan berat dengan sikapku yang bagaikan tarik tali dengannya.
Benar aku turut menginginkannya tapi biarlah dia melepasi beberapa fasa dulu. Bukan niat untuk menguji, tapi sekadar ingin melihat kesabarannya dalam meraih hatiku.
“Dingin, kan?” Soalan itu pernah diajukan padaku dulu dan hari ni apakah yang tersirat di sebalik kedinginan itu sedangkan matahari terang membahang.
“Apa yang dingin?”
“Nur Wafiah binti Abdul Wahid!”
Keningku terjungkit lagi demi mendengar nama itu. Andai dulu aku tidak selesa apabila sebaris nama itu disebut-sebut tapi hari ini aku bangga membawa nama arwah ayah ke mana saja aku pergi.
Kerana kaulah aku kembali merindui arwah ayah, kerana kaulah aku mula menyusuri di landasan takdir! Getus hatiku sendiri. Perkara yang berlalu biarlah aku kuburkan saja di pusara yang tidak bernama, jauh sekali untuk memberi peluang pada Am mengetahuinya.
“I am talking to you, Nur Wafiah!” tegas Am bila aku sekadar buat tidak tahu dengan soalannya tadi.
Aku memusingkan badanku menghadap tubuhnya sekali lagi lantas ku hadiahkan dia sekuntum senyuman yang ku rasa paling manis. Semoga dia mengerti akan kesediaan hatiku untuk menyintainya. Aku lihat Am telan liur.
“Masih terlalu awal usia perkenalan kita untuk saya beritahu semua itu pada awak!” jawabku dengan sedikit ketegasan.
Am mengeluh lagi dan kali ini dia meraup wajahnya yang tampak kecewa.
“Masa perkenalan tu terlalu pentingkah untuk, Nur Wafiah?”
Aku diam. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Melayang saja fikiranku kepada kata-kata Fara tempoh hari.
Mungkin benar masa perkenalan tidak penting? Jawapannya jelas bila aku dengan Fazlee, bertahun bercinta akhirnya hancur jua di tengah jalan.

BERKALI-KALI aku menolak pelawaan Am untuk menumpangkan aku dan akhirnya aku terpaksa mengalah bila Am mula memeluk bahuku di tengah-tengah khalayak ramai. Memaksa aku menuruti langkahnya.
Rasa ingin di tampar sahaja wajah yang tersenyum bangga bagaikan merai kemenangan kerana mampu membuatkan aku mengikut kehendaknya. Am menolak sedikit tubuhku yang kaku di depan pintu penumpang Honda Civic Vtec putih mutiara itu.
“Jangan degil, Nur Wafiah! You better hop in. Panas sangat dah ni. Nanti tak pasal-pasal, Am meletup Nur Wafiah kena firework pulak!” ugut Am padaku yang masih membatukan diri.
Ewah, mentang-mentang aku berlembut, kau nak ambil kesempatan pulak! Marahku di dalam hati.
Inilah yang membuatkan aku terus mendidik diri menjadi sekeras kerikil, tidak mahu diambil mudah oleh sesiapa seperti yang telah berlaku pada emak dan Kak Anah.
“Tengok tu! Orang suruh awak masuk, bukan suruh awak melongo macam kera duku!” marah Am tiba-tiba.
“Kera duku?” Aku ketap gigi.
“Berani-berani awak kata saya kera duku ye? Habis tu awak tu apa? Kera langsat?” bentakku marah.
Am ketawa. “Elok dah tu, Wafiah kera duku, Am kera langsat, esok-esok boleh bukak gerai jual buah-buahan tempatan, duku dan langsat! Nak tak?” guraunya.
Hatiku bengang. Aku serius memarahinya dan dia bagaikan menerima amarahku sebagai satu gurauan.
“Wafiah marah, ya? Sorry, okay?” pintanya.
“Sorry-sorry naik feri la. Suka sangat minta maaf. Jangan selalu macam tu, nanti maaf awak tu tak laku satu hari nanti. Mengata orang, lepas tu minta maaf. Lepas tu buat salah lagi, lepas tu minta maaf lagi! Lain kali nak mengata orang, fikir dulu kat sini!” marahku sambil jari telunjuk menekan sisi kepala sendiri.
Biar dia rasa. Ada akal pakai la, kawan! Bentak hati. Teringat pula pada kata-katanya saat pertama kali kami bersua dulu. Huh, geram sungguh!
“Kalau pasal dulu tu, Am dah minta maaf, kan?!” ujarnya bagaikan dapat membaca fikiranku.
“Lagipun Am tak nak naik feri sebab Am ada kereta je. Feri tak ada! Nak naik feri, nanti kita ke Penang, tak pun Langkawi. Boleh honeymoon sekali!”
Aku membulatkan mata. Dia meledakkan tawa. Aku mencebik geram. Tidak putus-putus dengan gurauannya. Menyampah betul melihat wajah yang tersengih bagaikan tidak bersalah itu. Dalam pada rasa menyampah itu, terselit jua satu rasa yang ku rasakan sukar untukku menidakkannya.
“Kalau tak ada feri tak apalah, saya boleh balik naik ERL. Lagi cepat daripada feri!” bidasku lantas melangkah cuba menjauh daripadanya.
Belum sempat aku melangkah, Am terlebih dahulu menghalang langkahku dengan tubuh sasanya.
“Jangan degil, Nur Wafiah! Dahla panas terik ni. Jangan buat Am berkeras dengan Wafiah boleh tak?” pujuknya lembut. Renungan matanya tajam menikam bola mataku.
Tubuhku sekadar tidak berganjak. Tidak mahu tewas dengannya kali ini biarpun sudah berkali-kali aku kalah oleh panahan sepasang mata kuyunya. Rupanya hati ini sudah tidak menjadi kerikil lagi. Hatiku mengeluh sendiri.
“Masuk!” paksanya lagi dalam nada yang memujuk dan aku tidak dapat tidak, terus sahaja mengikut rentaknya.
Pandangan mata Am membuatkan aku tewas jua. Sikap tenangnya biarpun sesekali ada jua angin pasang itu membuatkan aku hanyut oleh arus degupan jantung yang berombak resah.
Alang-alang orang dah nak bagi tumpang, apa salahnya. Jimat duit, jimat masa, jimat tenaga, penat pun tak! Pujuk hatiku dalam pada menahan angin pasang yang sudah berdengung di dalam kepala.
“That’s better!” ucapnya gembira.
Hai, dalam sekelip mata moodnya boleh berubah-ubah. Am mengambil tempat dan keretanya terus meluncur laju membelah jalan raya yang lengang.
“Diam je?” ujar Am bila aku sendiri tidak bersuara.
“Tak ada apa!” jawabku tanpa menoleh. Am mengeluh.
“Nur Wafiah ni kenapa? Marah Am sebab Am paksa awak, ya?”
Kali ini aku menoleh padanya, menatap wajahnya dari sisi. Wajah maskulin itu terserlah ketampanannya dengan wajah yang dihiasi hidung mancung dan sepasang mata redup yang dihiasi alis yang hitam dan tebal.
“Kenapa awak suka panggil saya Nur Wafiah?”
Am diam untuk beberapa ketika sebelum mengerling sekilas ke arahku.
“Kenapa soalan Am mesti dijawab dengan soalan?” rungut Am jelas kecewa.
Aku sendiri tidak pasti mengapa aku mesti bersoal jawab dengannya. Sedari tadi, soalan yang ditanya, ku jawab dengan soalan.
“Kenapa, ya?” tekanku masih bertegas dengan soalan tadi. Mengharapkan jawapan dan bukan lagi soalan.
“Tengok tu!” marah Am dan dia terus membiarkan soalanku itu tergantung tanpa jawapan.
“Well, just asking! No need to answer!” Aku kembali menatap deretan kelapa sawit yang ada di kiri kanan jalan raya.
“Nama itu kan doa, Nur Wafiah! Lagipun itu memang nama Wafiah, kan?” Suara Am memecahkan kesunyian di antara kami.
“Wafiah ni maksudnya menetapi janji. Bila Am panggil Nur Wafiah… Nur Wafiah… maknanya Am mendoakan Wafiah supaya menjadi orang yang sentiasa menetapi janji. Bukankah menetapi janji itu salah satu sifat baik orang Islam dan memungkiri janji itu adalah sikap golongan yang munafik!”
Aku tergamam mendengar hujah daripada Am. Emm… calon yang baik untuk dibuat suami.
“Am mendoakan Wafiah supaya sentiasa menjadi orang yang sentiasa berpegang pada janji dan minta dijauhkan dari tergolong di kalangan mereka yang munafik!” sambungnya tenang.
Sesungguhnya aku tidak dapat berkata-kata. Indah sahaja suara itu menerjah ke gegendang telingaku. Rasa sejuk jiwa ini bagaikan disirami oleh embunan di pagi hari.
“Kenapa diam?” soal Am kemudiannya. “Your question already answered and now your turn!”
“Soalan apa ek?” Aku tersengih pada Am yang menjeling ke arahku.
“Lupa ke buat-buat lupa?” Suara Am sinis.
Sungguh, aku sememangnya terlupa. Terlalu banyak soalan yang diajukan padaku dan terlalu banyak pula jawapan yang berbentuk soalan.
“Banyak yang awak tanya? Yang mana satu?” ujarku membela diri.
“Untuk hari ni, Fiah jawab satu je dulu dan soalannya ialah, adakah masa perkenalan tu penting bagi Fiah dalam menjalinkan satu hubungan yang lebih dari seorang kawan?”
Aku mencebik bila soalan itu Am atur kemas. Macamlah aku ni tak sekolah sampai dia mengatur ayat itu bagaikan cikgu tadika yang sedang mengajar anak-anak 5 tahun.
“Hai, dah dipendekkan pulak nama saya tu? Tadi kata doa?” ejekku bila terdengar dua suku kata akhir namaku menjadi sebutannya. Rasa indah pula nama itu. Terasa lain bila dia menyebutnya. Sama macam emak dan Kak Anah memanggilku.
“Entah, tiba-tiba terkeluar dengan secara kebetulan! Tapi ok jugak tu, cantik apa? Lagipun Am sentiasa mendoakan Fiah!” balasnya semakin mesra.
“Yalah kot,” selaku malas biarpun dalam hati aku suka dengan panggilan baru itu dan ianya terlalu istimewa pada pendengaranku bila ianya terbit dari lelaki ini.
“Jawablah soalan!” rengeknya mengada-ngada.
“Awak mahu jawapan yang kenyataan ke yang wayang punya?” gurauku.
“Tengok tu, soalan lagi!” Am merungut sambil menggeleng kepalanya. Aku meledakkan tawa yang sedikit kuat bila Am memuncungkan mulutnya.
“Dah puas ketawa?” ujar Am sinis saat aku mengesat hujung mataku dengan tawa yang masih bersisa.
“Answer me, now! Yang kenyataan!” desaknya serius.
Aku menarik nafas dan berdehem beberapa kali membetulkan nada suara yang sedikit serak akibat tawa yang panjang sebentar tadi.
“Dulu…” Aku memulakan bicara selepas keadaan tenang kembali.
Tiada lagi tawa, yang kedengaran pada pendengaranku hanyalah hembusan nafas Am yang agak keras turun naiknya.
“… saya percaya yang masa perkenalan itu sangat penting dalam sesuatu hubungan antara adam dan hawa. Demi masa yang berlalu, kita akan lebih mengenali pasangan kita! Baikkah dia, burukkah dia? Adakah keburukannya mengatasai kebaikan ataupun sebaliknya? Tapi, itu dulu!” Suaraku terhenti di situ dan mendongakkan pandanganku jauh ke dada langit.
Bercerita soal begini, bagaikan mengundang kenangan pahit bersama Fazlee. Ah, Am tidak pernah tahu. Kenyataan yang dia inginkan akan menggores luka lama yang baru hendak sembuh.
“Dulu?” Sepatah soalan Am mencantas ingatanku pada Fazlee. Dia menjungkitkan hujung kening meminta aku meneruskan ‘kenyataannya’.
“Dulu, ya! Tapi sekarang, saya mula sedar yang waktu perkenalan itu tidaklah sepenting yang saya rasakan dulu andai dah tertulis di landasan takdir yang kita akan mengenali pasangan kita selepas diijabkabul!” Aku menelan liur. Menghela nafas mencari kekuatan untuk meneruskan kata.
“Bertahun bercinta pun tak semestinya kita akan mengenali hati budi pasangan kita. Selagi kita tidak duduk serumah, selagi tidak tidur sebantal, selagi itulah sikap sebenarnya tersorok dari pandangan mata yang sentiasa tertipu oleh cinta!”
Aku mengetap bibir menahan hati yang sudah mula sebak. Pertemuan dengan Fazlee tempoh hari kembali terlakar di benakku. Di saat aku inginkan episod duka itu berlalu, kala ini juga Allah mendugaku. Membawa wajah Fazlee terus ke depan mata.
Kali ini, aku tidak mahu tewas dengan dugaan. Benar kata emak, andai dulu aku tidak pernah tewas, kenapa hari ini aku mahu tewas oleh permainan perasaan? Aku harus tabah, aku harus meleraikan segala dendam yang sudah lama bersarang di kalbu.
Aku jua berhak memiliki bahagia. Biarpun tidak datang bergolek, dan tak hadir melayang, akan ku cari bahagia itu untuk menjadi milikku.
“Neither do I!”
Aku tersentak. Lantas ku kalih pada raut wajahnya yang masih terpaku di jalan raya. Rupanya Am masih pada topik tadi. Diamnya tadi sebenarnya berisi. Pemanduannya tampak tenang namun gelora jiwa tiada siapa tahu.

...bersambung ....

Monday, August 22, 2011

Terlerai Kasih 10, 11, 12, 13, 14, 15


BAB 10

JAM di pergelangan tangan ku pandang sekilas. Sudah menghampiri ke pukul 11.00 pagi. Sudah hampir sejam aku menunggu kehadiran pengarah baru itu. Jangankan hendak dimaklumkan kelewatannya malah menghantar wakil pun tidak.
Aku merengus keras. Air yang dihantar Fatehah sebentar tadi sudah sejuk dihembus penghawa dingin. Kesabaranku mula menipis. Pantang bila temujanji tidak berjalan seperti yang telah ditetapkan.
Sesungguhnya aku langsung terlupa akan kelewatanku selama setengah jam pagi tadi yang menyebabkan aku terpaksa menunggu untuk sejam.
Aku memujuk diri untuk terus menunggu. Pasti Encik Azhan mahu mendengar keputusan yang positif hasil daripada perbincangan kami hari ini. Aku lantas bangkit menuju ke tingkap. Melemparkan pandangan ke tengah ibu kota.
Sesekali ingatan kepada lelaki itu kembali menyapa. Kerinduan pada arwah ayah telah membawa ingatanku padanya. Kerana dialah aku berpijak di bumi nyata. Biarpun berjuta kali aku menidakkannya, ingatan itu semakin mekar dalam mindaku.
Kini, ingatan itu telah membawa aku pada seraut wajah tenangnya yang dihiasi dengan sepasang mata yang cukup redup renungannya, alis dan keningnya yang hitam pekat, hidung mancungnya dan seulas bibir yang sentiasa tersenyum tipis saat memandang wajahku.
Aku merapatkan kelopak mata. Mengingatkan kembali pertemuan kami semalam. Ah, untuk apakah ingatan ini? Aku sudah penat dengan permainan hati. Aku melekapkan telapak tangan ke dada, cuba menghalau perasaan aneh itu pergi. Aku tidak mahu perasaan sebegitu hadir lagi dalam hati ini. Aku haramkannya singgah di kamar hatiku!
Cukuplah sekali. Tidak rela hati ini dilukai dan yang paling penting, aku tidak rela lagi sejarah keluargaku dijaja ke sana ke mari dan dijadikan alasan perpisahan. Tapi, aku gusar! Entah sampai bila dapat aku menidakkan rasa aneh yang semakin galak menujah hati.
Aku mengerling ke pergelangan tangan sekali lagi. Sudah melewati ke angka 12 dan kini aku memutuskan untuk berlalu sahaja tanpa apa-apa keputusan yang boleh ku bawa pulang untuk Encik Azhan.
Hatiku dibalut kecewa. Aku mencapai beg tangan dan kot labuhku yang ada di kerusi dan terus menapak ke pintu. Saat aku memegang tombol pintu, daun pintu terlebih dahulu di tolak dari luar.
Aku terdorong ke belakang beberapa langkah. Mujur sahaja kepalaku tidak terhantuk pada bucu pintu.
Kepala ku angkat mencari empunya diri yang berada di depanku dan alangkah terkejutnya kala terpandang seraut wajah yang sudah mendapat tempat dimindaku.
“Ops, sorry! Are you okay?” soalnya sedikit panik. Aku sekadar mengangguk sebagai jawapan pada soalannya.
“Betul ke okey? Nak ke mana?” Soalannya kali ini ku biarkan tanpa jawapan.
“Maaf sebab dah lama menunggu!” sambungnya seraya melangkah ke kerusi lantas melabuhkan duduknya di situ.
Aku masih berdiri bagaikan patung cendana di depan pintu yang telah tertutup rapat saat dia menggerakkan jari telunjuknya meminta aku duduk.
“Come, have a sit!” pelawanya lagi bila aku masih tidak berganjak.
Perasaanku kaku kala ini. Menatap wajah itu membawa aku kepada kerinduan terhadap arwah ayah. Menatap wajah itu, mengundang rasa sebu di hati. Menatap wajah itu menyebabkan rasa bersalah semakin membelit hati.
Ada marah, ada rindu, ada malu dan ada sayu yang membuatkan hati wanitaku tidak keruan hinggakan lama mataku terpaku pada seraut wajahnya.
“Nur Wafiah!”
Aku tersentak. Sebaris nama yang meniti di bibirnya membawa aku kembali ke realiti.
“Ya, saya!” jawabku jelas terkejut. Dapatku lihat senyuman yang mekar di bibirnya. Itulah senyumannya saat kali pertama aku terpandang seraut wajah tampan itu.
“Are really really okay?” Kali ini terentang kerut di dahinya biarpun senyuman masih menghiasi bibir sensualnya.
“Ya!” jawabku ringkas.
“Tapi nampak macam tak okey je?” Dia masih belum berpuas hati dengan jawapanku.
“I’m just... fine!” tegasku cuba menyembunyi kalut yang sudah mula bermaharajalela di hati.
“If you say so, please have a sit!” ujarnya jelas dengan nada mengalah. Aku tidak banyak soal dan terus mengambil tempat duduk di sisi kirinya.
“Maaf lama tunggu!” ulangnya sekali lagi.
“Tak mengapa, lagipun saya yang terlambat sikit pagi tadi, so kalau kena tunggu sikit pun apa salahnya!”
Sikit la sangat! Ejek hatiku sendiri. Sedaya mungkin aku cuba mengawal riak wajah agar tidak menampakkan kecanggunganku.
Rasa salah pada arwah ayah dan rasa cuak dengan satu perasaan yang mula bertandang itu bercampur menjadi satu.
“Maaf buat awak tunggu tadi!”
“Third time!” sinisku sambil menentang matanya. Dia ketawa tanpaku tahu apa yang mencuit hatinya.
“Sorry, dah selalu sangat terminta maaf pada orang!” jelasnya bersahaja dengan tawa yang masih bersisa.
“Jangan terlalu mudah menyatakan maaf, bimbang satu hari nanti maaf tu tiada bernilai!” ujarku berbaur sindiran.
Dia berdehem beberapa kali sebelum kembali menatap wajahku dan aku, hampir saja tertewas dalam membalas sinar matanya. Namun, cepat-cepat aku kawal kegelisahan diri.
“You look beautiful, no damn beautiful with your white pinky kurung!” pujinya.
Aku buat-buat tidak mendengar dan terus mempamerkan wajah serius. Biarpun pada hakikat, hatiku mula berdetak hebat.
“Untuk pengetahuan Nur Wafiah, pengarah ada urusan dengan client jadi tak dapatlah dia menghadirkan diri untuk bertemu dengan Nur Wafiah hari ini. Jadi, sayalah yang menggantikan bos saya memandangkan Encik Izham pun tiada di pejabat hari ini!”
Terlopong aku dibuatnya dengan apa yang terkeluar dari celah bibir lelaki di depanku ini. Bukan kerana temujanji terpaksa dibatalkan tapi kerana berkali-kali namaku penuhku disebut-sebut.
Terasa aneh benar bila lelaki memanggilku begitu dalam usia perkenalan cuma sehari. Sedangkan namanya tidak ku tahu tapi namaku kerap saja meniti di bibirnya. Sudahlah langsung tiada cik atau puan pada pangkal namaku.
Tidaklah ku berharap pada panggilan pada pangkal namaku tapi setidak-tidaknya aku rasa lebih profesional dalam berurusan.
“So, Nur Wafi...”
“Cik Nur Wafiah!” pangkasku. Ada ketegasan pada hujungnya.
Dia memandangku tidak berkelip. Lama begitu dan perlahan-lahan dia mengukir senyum. Itulah senyumannya.
“Okey, maaf Cik Nur Wafiah! Just straight to the point. Saya tak boleh nak menandatangani apa-apa perjanjian dengan cik hari ni sebab dokumen masih belum lagi mendapat kelulusan daripada Pengarah, so if you don’t mind, we can sign the document another day, bila-bila cik senang!”
Suaranya kali ini kedengaran mendatar sahaja. Hilang langsung riak mesra pada bening matanya. Mungkin kerana lidahku lancang mencantas kata-katanya sebentar tadi.
Aku yakin itu kerana dia menekan keras pada perkataan cik saat dia berbicara padaku.
Cepat benar sikapnya berubah dan aku sekadar malas hendak ambil kisah. Urusan perlu dibereskan dengan segera. Sudah hampir setengah hari aku membuang masa di IF Group sedangkan hasilnya masih belum ada tanda untuk menjadi.
“Kalau tentang kerja, bila-bila masa pun saya senang. Kalau encik nak saya datang lagi esok pun boleh. Sekadar menunggu untuk beberapa jam tu apalah sangat!” balasku bersama dengan senyuman sinis yang tersungging di hujung bibir.
Biar dia tahu silapnya dia kerana membuat aku tertunggu-tunggu sehingga waktu sudah merangkak ke tengah hari. Lama benar aku membuang masa di sini, dan hasilnya, Pengarah tiada untuk meluluskan dokumen penyerahan peruntukan.

BAB 11

FATEHAH masuk membawa sebuah fail nipis di tangannya dan terus diletakkan fail tersebut di depan lelaki itu.
”Encik boleh semak dulu jumlah yang tercatat di sini dan kalau ada pembetulan, saya akan betulkan!”
Lelaki itu mengangguk dan terus membelek fail berkenaan berkali-kali. Fatehah terus berlalu sambil tersenyum padaku. Aku sekadar membalas senyumannya.
”Cik Nur Wafiah boleh semak dulu jumlah ni. Betul ke dengan jumlah yang Cik Nur Wafiah mohon tempoh hari?” pintanya sambil menolak fail nipis itu tepat di depan wajahku.
Aku memandangnya sekilas dan dia masih lagi dengan wajah seriusnya. Tidak seperti pertama kali bertemu dan tidak juga seperti tadi. Selepas menyemak semua butir-butir yang tertera pada sekeping kertas A4 putih itu aku mengangguk sendiri.
“Ya, ini jumlahnya!” jawabku.
Dia panggung kepala melihat ke dalam anak mataku sambil menongkat dagu. Wajah yang serius itu masih jua begitu.
”Baik, kalau cik setuju, kita akan tunggu Pengarah luluskan dulu dokumen ni dan saya akan hantar ke pejabat cik nanti!”
”Bila?” soalku sedikit tidak sabar. Dia ketawa mengejek.
”Sabar, tak kan lari gunung dikejar. Lainlah kalau orang, ada kaki, boleh lari!” ujarnya selamba dan aku mencerun pandang padanya.
”Kita tunggu tandatangan Pengarah dulu!” Dia menyambung.
Aku sekali lagi menatap dokumen yang masih di depanku. Mencari sebaris nama yang telah menyandang jawatan yang selama ini dipegang oleh Tuan Fakhri.
Ada senyum di hujung bibirku demi terpandangkan sebaris nama itu. Ilham Fitri bin Fakhri. Ah, anak orang kaya tidak perlu berusaha lebih. Tidak perlu membanting lelah mencari ilmu demi mendapatkan pekerjaan yang menjamin kehidupan. Cukup sekadar mewarisi harta daripada orang tua.
Pastinya masih muda belia kerana setahuku anak kedua Tuan Fakhri iaitu Izham juga baru sahaja menginjak ke angka 27. Aku menolak kembali fail itu kepadanya.
Tanpaku pandang wajahnya, aku tahu matanya meliar meratah segenap inci wajahku menjadikan aku tidak betah duduk.
”Kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu!” ujarku lantas berdiri dan bersedia untuk melangkah.
”Cik Nur Wafiah, tunggu kejap! Saya rasa lebih baik kita makan tengah hari bersama! Lagipun ni dah masuk lunch time,” cadang lelaki berkumis nipis itu saat aku mencapai tombol pintu.
”Sebab?” tanyaku bersahaja. Dia ketawa.
”Makan sebab lapar!” jawabnya seakan cuba memperbodohkanku.
”Kenapa mesti nak makan sama?” tanyaku tidak puas hati. Dia ketawa lagi dan kini mula mengatur langkah mendekat kepadaku.
”Cik Nur Wafiah tahu tak kenapa bila kali pertama berurusan kita perlu makan bersama kalau berpeluang?”
Aku menjungkitkan bahu dan dia menggeleng beberapa kali.
”Sebab, kalau kita makan bersama senang untuk kita terus berurusan! Berbincang mengenai apa-apa yang berkaitan lain kali,” jawabnya yakin.
Namun bagiku, itu kedengaran sebagai alasan semata-mata. Selama aku bekerjasama dengan Encik Izham, tidak pula dia meletakkan syarat demikian.
”Dengan Encik Izham tak pernah pun!” selaku membantah.
”Itu Izham dan ini saya!” Dia menjegilkan mata sedikit bila mendengar bantahan daripada mulutku. Berani saja dia memanggil anak majikannya dengan nama. No sense of respect! Getus hatiku.
”Perhaps okay with Mr. Izham or the new Director but not with someone I met for just couple hours ago!” tegasku.
”So, you like Izham,do you?!” Dia menduga.
”I didn’t say that! Emm... I better make my move. Call me once the document ready!”
Aku memulas tombol dan cuba menarik pintu tapi pantas ditolak rapat kembali pintu yang sudah separuh terbuka itu oleh tangan kasarnya.
”In other words, you are saying that you don’t like me?” soalnya sedikit keras.
”Suka dengan kenal ni jauh berbeza maknanya, encik!” Aku menggeleng beberapa kali.
“Lagipun, kalau saya hanya nak bekerja dengan orang yang saya suka, dah lama saya letak jawatan!” balasku dan kali ini lebih sinis.
”Anyway, thanks a lot!” ujarku seraya kembali membuka pintu dan terus berlalu tanpa menoleh lagi. Debaran yang sedari tadi kencang tiada tanda untuk reda malah makin bertambah hebat rentaknya.

JAM 2.30 petang, aku tiba di pejabatku di Menara Maju. Aku menghempas badan di kerusi bagi melepaskan lelah yang masih menggigit tubuh. Kasut yang setinggi dua inci itu menambahkan lagi rasa penat pada kaki dan betisku.
Huh, inilah akibatnya kerana mengikut penasihat fesyen yang tidak bertauliah itu! Siapa lagi kalau bukan Faralina. Aku sedang mengurut tapak kaki saat pintu bilikku di tolak dari luar.
Wajah Faralina terjengul di muka pintu. Tersengih bagaikan kerang busuk lantas dia terus menapak ke arahku.
“Penat nampak?” soalnya sejurus melabuhkan duduk.
“Sangat!” jawabku bersama keluhan.
“Dari mana?”
“IF Group!” jawabku. Fara angkat kening menghantar pertanyaan seterusnya dalam diam.
“Bos minta aku ke sana semalam untuk ambil dokumen kelulusan dari IF Group!” ulasku malas. Sebal hati mengingatkan pertemuan yang tidak pernah ku jangka.
“Tak kan sepenat ni. Macam baru lepas buat kerja buruh kasar je kau ni!” Wajah Fara jelas pelik dengan keadaanku yang tersemput-semput nafasnya.
“Masakan tidak, aku terlewat setengah jam sebab jalan sesak. Okay, fine! Salah aku jadi aku boleh terima bila terpaksa tunggu untuk satu jam berikutnya…” Aku menarik nafas panjang sebelum menyambung.
“… sebab Pengarah baru tu tengah jumpa client lain tapi yang menyebabkan aku barannya, aku terpaksa tunggu untuk satu jam lagi. Itu pun tak apa sebab aku pasti dapat dokumen kelulusan tu tapi yang menyebabkan aku marah sangat, bila aku dah nak balik, baru orang dia datang jumpa aku, and guess what?”
“What?” Tanya Fara tidak sabar. Matanya membulat.
“The document not ready yet! Kau tahu tak betapa marahnya aku. Sudahlah masa terbuang dua tiga jam kat situ untuk mendengar yang dokumen tu tak dapat kelulusan daripada Pengarah baru dia lagi! Dah la terpaksa berjumpa dengan orang yang aku tak suka!”
Aku melepaskan satu rengusan kasar sambil mengetap gigi tanda aku benar-benar marah.
“Orang yang kau tak suka? Sejak bila kau ada orang yang kau tak suka ni, Wafi?” soal Fara curiga. Keningnya terjungkit sedikit.
“Adalah…,” jawabku berselindung.
Aku tidak mahu peristiwa antara aku dengan lelaki itu diketahui oleh Faralina. Bukan tidak sudi berkongsi tapi sudah pasti dia menuduh aku seorang perempuan yang berhati batu.
Dia! Lelaki yang tidak ku tahu namanya dan aku pula terlalu bodoh sehinggakan namanya pun tidak ku tanya.
“Siapa?!” soal Fara lagi tidak berpuas hati dengan jawapanku. Aku merengus.
“Tak ada sesiapa la, Cik Fara!” tegasku lagi dan Fara terus memandangku penuh curiga.

“Macam mana, Wafi?” Pertanyaan Encik Azhan lambat-lambat ku jawab. Bimbang andai dia mempersoalkan amanah yang telah pertanggungjawabkan padaku.
“Maafkan saya, bos! Kami tak dapat nak tandatangan apa-apa lagi hari ni sebab Pengarah ada urusan di luar, jadi dokumen kelulusan tu masih belum diluluskan!” terangku lembut.
Encik Azhan mengangguk beberapa kali dan aku menarik nafas lega bila dia sekadar memahami situasi yang ku terangkan apdanya.
“It’s okay, Wafi! Nanti dah siap, dia hantarkan la tu! Awak boleh keluar dan satu lagi, saya nak tengok laporan terkini kedudukan kewangan syarikat, as fast as you can!”
“Baik, bos!” Aku hela nafas panjang. Fuh, lega rasanya bila tidak dimarahi. Aku melangkah keluar dari bilik Encik Azhan dengan penuh yakin.
Saat melalui meja Fara, dia bangkit lantas menyaingi langkahku. Pastilah dia bimbang andai aku dimarahi. Sudah pasti itu kerana dialah satu-satunya teman yang sentiasa dekat denganku saat aku berada dalam waktu yang sukar.
“Macam mana? Bos marah tak?” soalnya gusar. Wajahnya beriak bimbang.
“Tak marah pun! Aku cakap yang betul sajalah!” jawabku lantas memulas tombol dan menolak daun pintu bilikku.
Fara mengikut dari belakang dan dia merapatkan kembali pintu lantas duduk di depanku.
“Okeylah macam tu! Risau jugak aku kalau-kalau bos marah! Bos memang sayangkan kau Wafi, kau kan cekap, pandai, rajin pulak tu!”
Aku menjungkitkan kening sedikit demi mendengar pujian yang keluar daripada mulut temanku ini.
“Kau ni puji aku lebih-lebih ni, kenapa?” soalku sekadar mengusik.
“Mana ada lebih. Aku cakap berdasarkan faktalah. Bos sendiri cakap pada aku yang dia suka dengan cara kau bekerja. Walaupun sesekali tu tegas sangat tapi kerja kau tip-top!”
Aku melepaskan tawa. Sudah lama tidak mendengar sebarang pujian terbit daripada mulut Fara.
Andai dulu dia selalu menyatakan rasa iri hatinya dengan wajahku tapi sekarang ditambahkan pula dengan kerjaku.
“Dahlah tu Cik Faralina, aku tak makan pujianlah sebab aku makan nasi! Jom aku belanja!” Aku menghamburkan tawa bila melihatkan raut wajah Fara yang mencebik ke arahku. Wajah cemberut itu tetap manis sebagai teman terbaikku.
“Fara…” seruku selepas seketika.
“Kau ingat tak lelaki yang meeting dengan kita semalam?”
“Lelaki? Lelaki mana?” Bulat mata Fara mengajukan soalan padaku. Ada sengihan nakal pada bibirnya yang sudah dapat ku ertikan maksud di sebaliknya.
“Emm…” Aku teragak-agak hendak memberitahu. Malas andai disalah ertikan olehnya.
“Jawablah, shy-shy cat la pulak kau ni!” gesanya bernada usikan.
“Shy-shy cat kau cakap!” Aku menjegilkan mata. Fara ketawa.
“Ala, yang datang dengan Encik Izham masa meeting semalam tu! Yang soal aku bukan-bukan tu!” sambungku.
Fara mengetuk-ngetuk jari telunjuknya ke meja. Anak matanya beralih ke kiri dan ke kanan bagaikan sedang mengingati sesuatu.
“Oh….!” Suara Fara yang tiba-tiba membuatkan aku hampir terlompat dari kerusi.
“Kau ni, kot ya pun jangan la kuat sangat! Terkejut aku!” marahku padanya seraya mengurut dadaku. Dia tersengih sebelum menyambung.
“Aku dah ingat dah! Orang baru IF Group, kan! Aku pernah dengar bos panggil dia Am tapi tak ingatlah nama penuh dia siapa ya?” ulas Fara lebih pada diri sendiri.
Am? Ulang hatiku. Amran, Amir atau Amri ke? Aku bersoal jawab sendiri dan akhirnya ku biarkan sahaja soalan yang sememangnya tiada berjawapan itu.
“Aku rasa Amri nama dia, Wafi!”
“Amri?” soalku pada Fara meminta kepastian. Fara mengangguk.
“Sebab aku pernah dengar bos bersembang dengan Encik Izham dan dalam pada tu dia menyebut nama Amri, jadi aku rasa memang lelaki tu lah Amri!”
Huh, sepotong nama yang telah bermain di mindaku sebentar tadi. Kebetulan yang indah! Hatiku berbunga!
“Kenapa dengan dia?” Soal Fara kemudiannya.
“Dialah yang aku jumpa semalam!” jawabku selamba lantas mencapai tetikus komputer ingin menyiapkan tugasan yang Encik Azhan minta sebentar tadi.
“Masa meeting semalam, aku perasan dia asyik pandang kau je, Wafi! Kau perasan tak?” Fara sekali lagi menduga.
“Entah!” ujarku berbasa basi. Tidak ku sangka, dalam diam, Fara banyak memerhati.

BAB 12

“YANG pergi tu tak usah kau nak kenang lagi, Wafi! Bukan kau yang tak layak untuk dia tapi dia yang tak layak langsung untuk gadis sebaik dan secantik kau ni, Wafi!” keras suara Fara di telingaku.
Sedaya upaya aku cuba menahan airmata daripada terus gugur. Gugurnya airmata bermakna aku ditewaskan oleh cinta. Aku tidak mahu begitu!
Hampir pecah dadaku menahan sebak yang sudah berbulan menjadi penghuni hatiku. Saban malam aku hanya termenung. Jiwaku sasau seketika dengan apa yang telah melanda. Alasannya benar-benar membuatkan hatiku terbunuh.
“Come on, Wafi! Sampai bila kau nak macam ni? Kenapa mesti kau nak biarkan hati kau senang-senang dicarik oleh Si Fazlee keparat tu? Sampai bila kau nak jadi setengah sasau macam ni? Biarpun tak ada airmata menitis pada wajah kau tapi aku tahu, jauh di sudut hati kau tu, kau meraung!”
Meninggi saja suaranya padaku. Aku masih gumam membisu mendengar bebelan Fara kepadaku. Bebelankah? Ah, aku tidak tahu tapi yang pasti dia runsing melihat sikapku sekarang.
Sikap keras hatiku sebelum ni dan kini semakin bertambah keras kesan daripada ditinggalkan kekasih dengan alasan yang mengjengkelkan.
“Tak salah kau nak menangis, Wafi! Menangislah, sebab airmata tu memang Allah anugerahkan khas untuk kita sebagai kaum Hawa. Menangislah sebanyak mana yang kau nak tapi jangan kau bersikap dingin macam ni,” lembut Fara memujukku selepas aku terus tidak berkutik.
Dapatku rasakan telapak tangannya yang singgah di belakangku. Mengusap lembut bagaikan memberi harapan yang baru.
“You always have my shoulder to cry on, Wafi!” sambungnya. Aku pandang jauh ke dalam anak mata Fara, mengharapkan dia mengerti akan amukan hati yang aku tanggung selama ini.
Bukan dia tidak tahu salasilah keluargaku malah lebih dari tahu dan aku bersyukur kerana teman yang seorang ini menerimaku seadanya aku. Bukti dia adalah seorang sahabat dan bukannya kawan semata-mata.
“Aku tak rasa nak menangis, Fara! Memang betul apa yang kau cakap, amukan dalam hati aku ni makin tak keruan tapi entah mengapa, setiap kali aku mahu menangis, hati aku membantah dan jadi semakin teguh. Kadang-kadang aku kecewa, adakah airmata itu untuk aku? Adakah seluruh hatiku ni sudah dipenuhi dendam hingga menyebabkan aku sukar digenangi airmata?” ujarku perlahan.
Fara ketap bibir. Aku tahu dia sedang menahan sebak. Mata sepetnya yag mula berkaca-kaca terus merenung ke wajahku. Lantas jemari kami bertaut. Erat genggamannya.
“Dendam tak bawa kita ke mana, Wafi! Lembutkanlah hati kau yang sekeras tugu itu. Lupakanlah semuanya, mulakan hidup baru, berilah peluang pada hati kau untuk bahagia Wafi! Berilah peluang untuk hati kau menyintai dan untuk dicintai!”
Serentak itu airmata Fara menitis menodai wajahnya. Sabahat ini sudah beberapa kali menangis keranaku dan aku sendiri tidak pernah menitiskan airmata biarpun betapa hebat dugaan melanda.

“Handsome betul dia, Wafi! Terkejut aku tengok, handsome Encik Izham, handsome lagi dia!” suara Fara mematahkan lamunanku. Terlupa langsung akan dia yang masih setia di depanku.
“Handsome? Siapa?” soalku terpinga-pinga.
“Siapa lagi? Amri tu lah!” tekan Fara.
“Aku tahu kau tahu dia pandang kau, kan?”
“Mana ada!” bantahku serius.
“Ada!” balasnya yakin.
“Kalau ada pun aku tak mahu tahu pun!” tegasku.
“Aku rasa dia suka kau!” ujar Fara teruja.
“Kalau suka pun aku tak nak ambil tahu jugak!”
“Apa salahnya bagi peluang untuk dia dan diri kau sendiri!” pujuk Fara. Aku menggeleng. Tidak setuju dengan kata-katanya.
“Tak sudi aku, Fara! Orang yang aku kenal bertahun pun aku tak kenal dalam erti yang sebenarnya. Inikan pula yang baru kenal beberapa saat! Tak ada pasal nak cari pasal tu namanya, Fara!” rungutku keras. Fara mengeluh berat.
“Masa untuk bangkit, Wafi! Yang sudah tu sudahlah! Dah bertahun kau sendiri, jangan kejam sangat pada diri sendiri ya!” pinta Fara lembut.
Aku mengukir senyum pada Fara dan menggeleng lagi. Aku tahu dia terlalu mengambil berat padaku. Baginya akulah satu-satunya ‘adik-beradik’ yang dia ada kerana dia adalah anak tunggal.
“Jangan terlalu keras dengan hati sendiri, Wafi! Masa pertemuan tu tak menjamin apa-apa! Yang penting kau suka dia, dia suka kau!”
Fara masih belum berputus asa memujukku dan aku masih tetap teguh dengan keputusan yang telah ku buat bertahun sudah.
“Fazlee dulu pun suka aku juga, tapi akhirnya…” Kata-kataku mati di situ. Tidak rela meneruskan lagi.
“Fazlee lain, Am lain. Mereka dua orang yang berbeza. Kalau betul dia suka kau, kau cuba la buka hati kau untuk kenal dia!”
“Masalahnya dia sukakan aku ke?” soalku akhirnya. Fara mengangguk sebelum dia mengiayakannya.
“Aku yakin!” ujarnya.
“Aku belum bersedia, Fara! Bagilah masa sikit!” ujarku penuh makna.
“Tiga tahun tak cukup lama ke, Wafi? Berapa juta tahun lagi kau nak?” Fara membentak. Jelas yang dia tidak berpuas hati dengan keputusanku.
“Let it be naturally, Fara! Aku tak nak fikir dulu!” tegasku dan kini keputusan itu adalah muktamad.
Fara yang pada mulanya hendak membantah, terus diam. Masak benar dia dengan sikapku. Sekali aku buat keputusan, itulah keputusannya dan tak kan berubah dalam sekelip mata.
Untuk apa ditambah luka yang sedia ada. Walaupun luka itu telah lama sembuh namun parutnya akan tetap di situ dan sesungguhnya kemaafan itu tak pernah ikhlas lahir dari hati kecilku.
Lain yang ditukas hati, lain pula disanggah akal. Aku cuba menidakkan perasaan halus yang telah pun hadir saat pertama kali kami bersua.
“Wafi!” seru Fara selepas agak lama kami gumam. Aku panggung kepala memandangnya dan menjungkitkan kening menghantar pertanyaan dalam diam.
“Aku dah hantar surat resign!”
“What?!” Suaraku meninggi. Bergema seluruh bilik dengan soalan pendek itu.
“Kenapa? Tiba-tiba saja. Tak cakap pada aku pun!” rungutku kecewa.
“Ni nak cakap la ni!” protes Fara dengan sengihan yang lebar.
“Kau kan tahu aku ada mohon untuk jadi cikgu dan aku dah dapat tawaran tu. Dalam dua minggu lagi aku kena lapor diri kat sekolah tu. Sekolah rendah jelah! Kau kan tahu aku ni graduate tak seberapa, manalah cerdik macam kau!”
Aku mencebik. “Merendah diri la pula kau ni!” Fara ketawa.
“Aku tak sangka cepat pula kau dapat! Kat sekolah mana? Dalam KL je kot?” dugaku.
“Tak la!” Ada resah bertamu pada wajahnya. Aku gusar.
“Habis tu kat mana?” tanyaku tidak sabar.
“Long Pasia!”
Terlopong aku dibuatnya apabila mendengar tempat yang Fara dihantar untuk mengajar. Bukan aku tidak tahu, Long Pasia adalah bersempadan dengan Negara Brunei iaitu di ceruk pendalaman Sabah.
Entah bagaimana kehidupan di situ. Sudah pastinya tanpa bekalan elektrik dan teknologi yang cukup. Tentu saja talian telefon dan internet juga tiada. Ah, Siti Faralina binti Fahmi kini akan menjauh daripadaku.
Satu-satunya teman yang memahami akan jauh di seberang yang belum pasti susah payahnya dugaan di sana dan aku pasti akan merinduinya saban masa.
“Jauh sangat tu, Fara!” ujarku sayu. Nadaku jelas memprotes kepergiannya.
“Aku memang nak ke sana, Wafi! Bukan kau tak tau betapa dalamnya minat aku dalam mengajar ni. Tambah pula mengajar anak-anak di pendalaman. Mereka juga berhak mendapat ilmu yang secukupnya untuk menjadi tongkak negara kita satu hari nanti!” jelas Fara bersungguh-sungguh.
“Tapi, terlalu jauh tu Fara!” ujarku lagi. Keras sahaja bunyinya.
“Tak kisahlah, Wafi! Jauh ke tak, yang penting aku nak curahkan ilmu aku ni kat mana-mana saja aku berada nanti. Kau pun tahu impian sebenar aku. Walaupun kita graduate sama-sama tapi kau lain, kau kelas pertama, menjawat jawatan akauntan di syarikat sebesar ni memang membuatkan kau puas hati dengan pencapaian kau selepas penat lelah belajar tapi aku dengan ijazah kelas kedua, susah Wafi! Lagipun memang minat aku mengajar! Tak kisahlah di mana atau pada siapa!”
Aku mendengar penjelasan Fara dengan rasa sayu di hati. Nekad benar dia ingin pergi ke sana. Aku tahu minatnya dan sebolehnya aku tidak mahu menghalang tapi kehendak hatiku susah untuk ditafsirkan.
Mendambakan dia sebagai teman yang selalu memahami agar sentiasa di sampingku membuatkan aku rasa aku terlalu mementingkan diri. Keranaku, dia juga tidak pernah berteman rapat dengan mana-mana lelaki.
“Aku akan sentiasa menghubungi kau sepanjang aku di sana. Aku memang nekad nak ke sana biarpun parent aku menghalang. Jenuh aku pujuk mak ayah aku, Wafi. At the end, mereka izinkan dan kau pun restuilah pemergiaan aku ni, Wafi!” pinta Fara sayu.
Lama aku memandang wajahnya dan akhirnya aku mengangguk. Kini sudah tiba masanya dia mengejar apa yang diingini dan aku akan sentiasa begini. Tidak ku tahu untuk berapa lama lagi.
“Kau perlukan seorang teman, Wafi!” Sekelipan aku terbayangkan wajah Am tersenyum padaku.

BAB 13

HUJUNG minggu itu aku memandu sendirian menuju ke Leisure Mall Cheras. Fara tidak dapat menemaniku seperti sebelumnya kerana dia pulang ke rumah keluarganya di Saujana Impian.
Biarpun berat rasa hati, aku harus membiarkan Fara pergi mengejar impiannya. Menjadi pendidik adalah tugas yang sangat mulia. Biarpun di mana tugas itu dilakukan dan untuk siapa ilmu itu dicurahkan.
Inilah minggu terakhir aku dan dia namun aku lebih rela jika dia menghabiskan masa bersama ibu dan bapanya yang pasti lebih memerlukan.
Selepas memakir MyViku di tingkat satu, aku melangkah menuju ke kedai buku Popular di tingkat satu. Di sinilah tempat aku menghabiskan hujung minggu dan sesekali terlajak jua ke Borders di The Curve Damansara atau ke MPH Bookstore di Midvalley.
Minatku pada buku tidak dapat disangkal lagi. Duniaku di mana hanya ada aku dan khayalan yang tidak pernah menjadi kenyatan. Biarlah, aku bahagia begitu, meladeni kisah silamku agar terus menjadi kekuatan untuk aku terus melangkah. Bukankah, pengalaman itu adalah guru yang paling jujur buat kita?
Aku mencapai sebuah buku yang bertajuk ‘Jangan Bersedih, Jadilah Wanita yang Paling Bahagia’, hasil karya Sheikh Abdullah Al-Qarni. Beberapa helaian buku itu ku belek cermat dan hatiku tersentuh demi terbaca bait-bait nasihat beserta dengan firman Allah s.w.t. untuk wanita Muslimah agar tidak kecundang dengan duniawi.
Selepas itu aku melangkah ke kaunter bayaran dan terus keluar daripada kedai buku tersebut. Menghayunkan langkahku entah ke mana arah tujunya. Rinduku pada arwah ayah menggamit lagi. Serentak itu juga ingatanku pada dia hadir menjengah ke pintu hati. Mengetuk bertalu-talu tapi aku masih terlalu bimbang untuk menguaknya.
Aku melangkah perlahan sambil mataku terus terpaku pada barisan ayat yang ada pada dada buku yang ku beli sebentar tadi tanpa ku sedar aku terlanggar seseorang di depan Starbuck. Buku itu terlepas daripada tangan dan pantas aku mengutipnya.
“Maafkan saya!” pintaku dengan rasa bersalah lantas memandang lelaki tersebut.
Terkejutnya aku bukan kepalang tatkala wajah itu muncul lagi di depanku. Sudah bertahun wajah itu sirna dari pandanganku dan kini dia hadir lagi. Tanpaku pinta, tidak pula aku duga.
“Wafi!” Suara parau itu berdengung di telingaku.
Sungguh aku tidak menyangka betapa kecilnya dunia. Betapa aku tidak pernah diminta dipertemukan lagi dengannya selepas apa yang berlaku antara kami dulu.
“Wafi!” Aku tersentak bila namaku disebut buat kali kedua. Segalanya bukan mimpi malah terlalu pasti. Sekujur tubuh yang tegap berdiri di depanku itu adalah kenyataan yang ada di depan mata.
“Apa khabar?”
“Emm… ba… baik!” jawabku gugup.
“Dari mana?” soalnya lagi. Aku tidak menjawab. Sekadar menghalakan jari telunjukku kepada kedai buku Popular yang berada di belakangku tanpa menoleh.
“Masih dengan minat yang sama rupanya,” selanya bersahaja. Aku masih diam. Yang aku tahu, aku perlu berlalu. Tidak rela lagi lelaki ini menjamah wajahku dengan anak matanya. Mata yang sudah banyak menipuku.
“Saya minta diri!” ujarku lantas mula memasang langkah.
“Tunggu, Wafi!” Hampir terhenti degupan jantung saat tangan kasar itu meraih tanganku ke dalam genggamannya.
Pantas jua aku merentap, tidak rela disentuh sesuka hati oleh lelaki. Maruah diriku tinggi nilainya, tak kan tercapai oleh mana-mana tangan lelaki.
“Don’t you dare to touch me, Encik Fazlee!” Suaraku keras memberi amaran.
Fazlee mengangkat kedua belah tangannya bagaikan pesalah. Ya, dia memang pesalah kepadaku. Cuma silapnya aku tidak sempat menjatuhkan hukuman buatnya kerana dia terlebih dahulu menghukumiku atas khilaf yang bukan datang dari kehendakku.
“Boleh kita berbual sekejap?” pintanya lembut. Anak matanya penuh mengharap tapi aku tidak mahu sekali lagi tertipu oleh mata itu. Segalanya dusta!
“Masa untuk itu dah lama berlalu!” bentakku. Biarpun dengan suara yang perlahan namun masih jelas ketegasan pada hujung kata-kata.
“Masa lalu tak sama dengan masa sekarang, Wafi!” ujarnya jelas dengan keegoan yang masih menebal dalam diri.
“Memang tak sama, Fazlee! Sebab, andai tiada masa lalu, tak akan ada masa sekarang!” tegasku.
“Wafi dah berubah!”
“Masa mendidik aku melewati perubahan demi perubahan dalam hidup aku dengan segala ketabahan!” ujarku penuh sindiran.
Seboleh-bolehnya aku tidak mahu dia memandang aku sebagai seorang wanita yang tertewas oleh cintanya. Aku telah buktikan padanya. Tanpa dia, aku masih tabah mengharungi hidup yang penuh ranjau.
“Wafi masih cantik macam dulu!”
Aku tergelak sinis mendengar pujian yang terbit dari celah bibir lelaki lidah bercabang itu.
“Kecantikan ini bersifat sementara, Fazlee! Andai Allah ingin mengambilnya semula, dalam sekelip mata semuanya akan hilang!”
Dulu aku sentiasa tersipu malu mendengar pujian darinya. Bangga bila dipuji kekasih hati. Pujian yang sentiasa membuatkan aku rasa disayangi dan dicintai.
Tapi apakan daya, pujian itu telah memakan diriku sendiri hingga bertahun aku menggalas luka yang tidak mahu sembuh.
“Wafi masih keras hati macam dulu jugak!”
“Dulu itu sudah tiada dalam kamus hidup aku!” ujarku lantas berlalu tanpa mempedulikan lagi namaku yang dipanggil-panggil oleh Fazlee.
Betapa aku terluka saat terpandang wajah itu. Betapa aku kecewa kerana setiap pujiannya menyelak kembali lipatan sejarah cintaku yang telah ku ikat kemas.
Hampir saja airmataku menitis tapi aku perlu kuat. Tidak boleh beralah sekarang. Andai dulu aku tidak tewas, maka hari ini aku juga tidak akan tertewas dengan mudah. Itu sumpahku!



BAB 14

LAPORAN yang diminta oleh Encik Azhan telah ku siapkan tepat pada waktunya. Tinggal untuk dihantar saja sebentar lagi. Aku menarik cermin dari dalam laci, melihat wajahku di dalam cermin, mencari identiti diri yang bagaikan hilang selepas peristiwa semalam.
Andai Fara ada, tentu saja aku curahkan segala yang telah berlaku tapi biarlah dia membuat persiapkan akhirnya tanpa rasa bimbang kepadaku. Aku mahu langkah dengan hati yang tenang. Tidak dibebani oleh masalahku lagi.
Laporan yang ada di dalam fail putih itu ku gapai lantas berlalu membolosi pintu. Aku mengerling ke meja Fara yang kosong. Hatiku rindu. Lantas aku mempercepatkan langkah menuju ke bilik Encik Azhan.
“Masuk!” Kedengaran suara Encik Azhan dari dalam.
Aku menolak daun pintu dan terus melangkah menuju ke meja Encik Azhan yang Nampak sedikit berselerak. Andai ada Fara, dia akan sentiasa memastikan meja itu kemas tersusun sentiasa. Hatiku ketawa sendiri.
“Duduk, Wafi!” arah Encik Azhan.
“Ini laporan yang bos minta! Setakat tarikh hari ini itulah statusnya,” jelasku.
Dia membelek laporan itu dan terus meneliti setiap yang tercatat di atas helaian muka suratnya.
“Macam mana dengan projek IF Tower?”
“Kita masih tidak menerima apa-apa lagi setakat hari, bos! Lagipun, baru Jumaat lepas saya ke sana dan seperti yang bos sediamaklum, IF Group memang tak dapat kelulusan lagi daripada Pengarah, jadi saya fikir kalau bukan hari, mesti dalam minggu ni juga kita akan dapatlah kelulusan kewangan daripada IF Group atau kalau bos nak, saya boleh ke sana jumpa Encik Izham hari ni!”
Encik Azhan menggeleng beberapa kali tanda tidak setuju dengan cadanganku.
“It’s okay, Wafi! Am dah bawakan kelulusan tu! Bawa ke sini dokumen kelulusan tu, Am!” Pandangan Encik Azhan terlontar ke belakang.
Wajahku berkerut seribu mendengarkan tutur Encik Azhan. Aku lantas menoleh ke belakang dan dia, sedang tersenyum saat anak mata kami berlaga. Di sinikah dia sejak dari tadi?
Am bangkit dari duduk mengatur langkah ke arahku seraya mengambil tempat di sebelahku.
“Selamat berjumpa lagi!” ucapnya mesra dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir.
Aku sekadar mengangguk. Tidak mampu hendak berkata-kata. Masih terkejut dengan pertemuan demi pertemuan kami yang bagaikan telah diatur.
Dia menolak fail nipis berwarna biru itu kepadaku. Fail yang pernah ku lihat Jumaat yang lalu.
Aku menarik fail itu lantas membukanya dan tertera tandatangan daripada Pengarah Urusan IF Group Sdn. Bhd., Ilham Fitri bin Fakhri! Kali kedua nama itu ditukas hati.
“Alhamdulillah bos! Kita dah dapat peruntukan ni!” ucapku penuh gembira.
Kelulusan ini membawa makna besar dalam karierku. Setiap kelulusan adalah tanda kejayaan aku sebagai pekerja di syarikat ini. Aku tersengih lebar.
“Suka?” soal Am sepatah. Aku mengangguk bersama senyuman lebar.
“Terima kasih!”
“Saya cuma hantar je. Kalau nak berterima kasih mestilah pada pengarah. Bukan pada orang yang baru awak kenal beberapa jam ni!”
Aku terngadah. Dia memulangkan paku buah keras padaku. Teringat kembali pertemuan kami Jumaat sudah. Tidak habis-habis aku mengenakannya dan kini dia dengan selamba mengenakan aku dan yang paling sadis, di depan Encik Azhan hinggakan Encik Azhan berdehem beberapa kali bagaikan mengerti dengan drama sebabak yang kami lakonkan.
“Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu, bos!” Aku bangkit dari duduk. Mata Am masih tidak lari dari memandangku. Rimas benar dibuatnya. Degup jantung pula semakin laju bila wangian tubuhnya turut dapat ku hidu tatkala dia turut bangkit dari duduk.
“Apapun, terima kasih, Encik…,” Aku mahukan kepastian namanya dari mulutnya sendiri. Inginkan kepastian biarpun Fara telah memaklumkanku minggu sudah.
“Am… Amri!” beritahunya lambat-lambat.
Aku menarik nafas lega tatkala mendengar pengakuannya. Benarlah nama itu. Nama yang semakin mendapat tempat di hatiku.
“Terima kasih, Encik Amri!” ulangku lantas berlalu. Terasa bagaikan tidak sesuai nama itu dengan seraut wajah tampannya. Benarkah itu namanya atau sekadar panggilan cuma?

SUARA nyanyian daripada penyanyi Wann bergema memenuhi ruang bilik. Aku melayani halwa telinga dan ku biarkan fikiranku bebas menerawang ke mana sahaja.
Sesekali teringat rungutan Fara padaku. Katanya aku masih di takuk lama. Meminati lagu-lagu oldies biarpun lagu-lagu sekarang lebih sedap dijamu telinga. Kami benar-benar berbeza pendapat dan minat. Suara nyanyian itu ku matikan tatkala mendengar ketukan di pintu.
“Ya!” jeritku memberi keizinan untuk masuk.
Wajah tampan Am tersembul di muka pintu. Setiap kali, mata aku tetap tewas dalam renungannya. Dia tampak segak walaupun sekadar mengenakan dockers krim dan kemeja biru gelap lengan panjang yang telah tersinsing sampai ke siku.
Renungannya sukar untuk aku ertikan. Adakah aku yang silap membuat tafsiran atau memang dia begitu? Menggodaku di dalam diam! Yang nyata, debar hatiku mengalunkan rentak lagi selepas sekian lama irama itu mati.
“Boleh saya jumpa Cik Nur Wafiah sebentar?” Am meminta keizinan. Aku mengangguk.
“Silakan masuk!” pelawaku. Dia melangkahnya penuh yakin ke arah mejaku.
“Duduklah!” pelawaku. Tanpa banyak soal, dia melabuhkan duduk di kerusi depanku. Senyuman tipis ku hulurkan sebagai tanda aku mengalu-alukan kehadirannya kali ini. Tidak seperti pertemuan kami yang pertama.
“Kau perlukan teman, Wafi!” Terngiang-ngiang suara Fara tempoh hari. Yakinkah aku? Sudahnya, aku langsung terlupa pertemuan dengan Fazlee yang tidak ku jangka.
“Ada apa yang boleh saya bantu?” Jari-jemari yang sedia berada di atas meja ku sulam sesama sendiri.
“Saya mengganggu ke?”
Aku menggeleng. Menunggu kata-kata daripadanya tapi dia sekadar merenungku. Lama dia diam tanpa ku tahu apa tujuannya hadir di depanku.
“Nur Wafiah!” Aku kembali memandangnya.
“Nur Wafiah! Cantik nama cik!” ulangnya lagi. Matanya tepat terarah kepada papan namaku yang ada di bucu kiri meja.
Kini, jarak yang memisahkan kami hanya semeter sahaja. Aku hilang kata-kata bila Am berterusan merenungku.
Suasana sepi kembali! Terasa janggal bila ada orang asing di depanku. Ingin dihalau pergi, bimbang dikata kurang ajar, hendak dibiarkan, entah sampai bila dia akan berada di depanku.
Aku angkat dagu memberanikan diri membalas renungannya demi merasakan pandangan matanya tajam menikam wajahku. Am mengukir senyuman tanpa mengalihkan bola matanya yang tepat mengena anak mataku hingga aku kata-kata yang ingin diluahkan, aku telan sendiri.
“Cantik, kan?” soalnya lagi.
Tergamam aku seketika. Entah apa yang dimaksudkan cantik? Pejabat inikah?
“Terima kasih!” balasku pendek.
“Tapi dingin,” sambungnya.
Dingin? Aku keliru. Sedangkan penghawa dingin bagaikan tidak berfungsi hinggakan aku terpaksa memasang kipas. Apa yang dingin?
“Sejuk ke?” tanyaku bersama wajah yang berkerut seribu.
“Saya rasa tak sejuk langsung. Air-cond macam rosak je, tu yang saya pasang kipas,” sambungku jujur.
Am ketawa. Ketawa yang pada mulanya mengekek bertukar menjadi tawa yang besar. Aku mencemik. Sukar benar untukku tafsirkan sikapnya. Sesaat dia menghamburkan tawa, dan sekelipan pula wajahnya boleh bertukar tegang.
“Kenapa?” soalku tidak puas hati.
“Tak ada apa...,” balas Am tertahan-tahan oleh tawanya.
Hatiku panas tiba-tiba. Semakin panas dengan keadaan bilik yang tiada penghawa dingin dan lebih panas lagi bila merasakan diri ini dipermainkan.
Hati pula tidak sudah-sudah bergendang mengalunkan rentak, meronta minta dilepaskan rasa cinta dan aku, seboleh-bolehnya tidak mahu sekeping hatiku yang pernah retak itu, lebur lagi.
“Sir, if you have nothing to say, better you to make your move now. I still have so much thing to d,” ujarku yang jelas marah.
Am masih dengan tawanya yang sudah agak reda. Dia mengangkat kedua belah tangannya tanda mengalah dan tanpa banyak soal dia terus mengangkat tubuhnya dan berlalu menghilangkan diri di balik daun pintu sudah terkuak dengan sisa tawa yang menjengkelkan.
Sepanjang hari, aku menghadap kerjaku yang tidak pernah sudah malah sentiasa bertambah. Kehadiran Am mampu membawa sedikit ketenangan pada hatiku namun ketenangan itu telah dibunuh oleh ingatanku pada pertemuan dengan Fazlee.

BAB 15

DALAM remang senja yang sudah mula menaburkan gerimis, aku tiba jua di rumah sewaku. Badan yang dimamah lesu ku rebahkan ke katil. Saat aku ingin melebarkan pintu hati, kepahitan itu terlebih dahulu datang mengetuk, lantas menguak jendela kenanganku tanpa izin.
Kepahitan yang Fazlee tinggalkan, aku terimanya sebagai sesuatu yang sudah tersurat di landasan takdir untuk seorang wanita yang bernama Wafiah. Keliru benar perasaanku kala ini.
Wajah Fazlee hadir lagi dan kali ini, dia tersenyum lantas melambai ke arahku. Aku cuba gapai jemarinya agar dia tidak jauh dariku, agar dia tetap bersamaku. Namun sayang, Fazlee tetap melangkah pergi dariku biarpun berkali-kali aku cuba menahan langkahnya.
Mataku yang berkaca pecah jua akhirnya bila melihatkan ada seorang wanita lain yang erat dipaut Fazlee, lantas mereka melangkah pergi meninggalkan aku bersama-sama dengan mimpi ngeri yang tak pernah padam dari lena tidurku.
Tersentak aku dari mimpi bila telefon bimbitku bernyanyi nyaring di tepi cuping telinga. Emak!
“Hello, mak!”
“Wafiah, mak ni! Fiah sihat, nak? Dah makan?” Suara emak ku dengar mesra di hujung talian.
“Sihat, mak! Tapi, Fiah tak makan lagi! Lagipun petang tadi Fiah makan lewat petang dah. Tu yang kenyang lagi!” bohongku pada emak dengan niat untuk tidak membuatkan dia bimbang akan diri ini.
Hakikatnya, seharian ini aku terlalu sibuk dengan kerja-kerja di pejabat hinggakan satu apa jenis makanan pun tidak masuk ke perut. Hinggakan rasa lapar itu hilang begitu sahaja.
“Tak apalah kalau macam tu! Mak saja telefon, nak tanya Fiah macam mana! Lepas pulang dari kampung hari tu langsung Fiah tak telefon mak! Mak risau!” Suara emak kedengaran sayu.
Kali ini, aku diserang rasa bersalah pada keluargaku di kampung. Terlalu ikutkan perasaan marahku hinggakan membuatkan emak dan Kak Anah risau.
Benar aku kecewa dengan sikap Kak Anah yang masih membela suaminya dan emak hanya menyetujui tingkah laku Kak Anah sedangkan Abang Zali hanya tahu menyakitkan hati kami sekeluarga dan kini sudah pandai mengaitkan namaku di dalam hal-hal yang mustahil.
“Maafkan Fiah, mak!” pintaku penuh penyesalan.
Emak ketawa kecil. ”Tak apalah. Mak faham Fiah sibuk!” pujuk emak padaku.
“Kak Anah dengan anak-anak kirim salam. Jaga diri baik-baik!” pesan emak. Talian sepi seketika.
“Fiah terjumpa Fazlee, mak!” terangku tersekat-sekat. Tidak sanggup hendak menyebut nama itu di pendengaran emak.
“Fiah sedih?” duga emak. Aku sekadar diam seribu bahasa. Entah apa yang patut menjadi jawapan kepada emak malah untuk diriku sendiri.
“Terjumpa tu dah takdir Allah. Jangan dikenang sangat perkara yang dah berlalu, Nur Wafiah! Yang dah berlaku, redhakanlah. Andai selama ni Fiah tak pernah menangis, kenapa mesti sekarang Fiah nak bersedih!” sambung emak sedikit tegas tapi penuh kelembutan pada peluput telingaku.
Aku terhenyak. Kelopak mata terasa suam tiba-tiba. Ingatan pada arwah ayah, kenangan pahitku bersama Fazlee dan pertemuan dengan Am membuatkan aku hampir kalah lagi pada perasaan.
“Mak tahu Fiah banyak bersedih selama ni. Dengan masalah keluarga kita yang tak pernah nak selesai, ditambah pula Fazlee tinggalkan Fiah macam tu je... mak tahu anak mak ni sedih. Biarpun Fiah tak cakap, mak dapat tahu tapi bila lihat Fiah ketawa, mak seboleh-bolehnya tak nak tanyakan hal itu lagi walaupun mak tahu, Fiah benar-benar kecewa dan hanya ketawa untuk buat kami tak risaukan keadaan Fiah!”
Suara emak mati di situ. Dapat ku kesan sendu halus yang hadir hujung talian. Aku tidak terkata.
Hilang rasanya lunak suara bila mendengarkan luahan hati emak sedangkan bertahun yang lalu, dia tidak sekalipun membicarakan soal ini padaku bila aku sendiri tidak pernah menyebut nama itu lagi selepas aku ditinggalkan Fazlee begitu sahaja.
Tapi hari ini, kesayuan hati dan kepedihan jiwaku telah dirasai emak. Tanpa kata-kata dan tiada ucapan, hati seorang ibu telah merasakan penderitaan hatiku sebagai seorang anak yang tidak pernah sempurna padanya. Esak halusku lepas jua.
”Menangislah, nak! Kalau itu yang Fiah ingin lakukan sekarang! Tapi pastikan... pastikan yang inilah tangisan pertama dan terakhir Fiah untuk dia. Allah itu Maha Mengetahui. Setiap yang terjadi itu tak pernah silap Fiah dan yang silapnya adalah Fiah terlalu keras pada hati sendiri. Mak pernah muda, Fiah! Fiah anak mak! Mustahil kalau mak tak dapat rasa apa yang Fiah rasa! Takdir tengah duga kita, nak!”

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Wajah dan suara emal silih berganti di mata dan di peluput telinga.
“Setiap yang terjadi tak pernah silap!” Itulah kata-kata emak yang masih melingkari benakku. Benar kata Fara, aku boleh menangis semahunya aku. Itu adalah Allah untuk kaum yang bergelar Hawa.
Hingga ke pagi, airmataku jatuh ke pipi dan seperti kata emak juga, biarlah ini sebagai tangisan pertama dan terakhir untuk lelaki yang kejam seperti Fazlee.
Antara sedar dan tidak, azan Subuh sudah berkumandang. Ku sapu airmata yang masih berbaki di lekuk pipi, mengharapkan sejuta kekuatan dari Yang Esa agar dapat ku lalui dugaan-Nya dengan tabah hati.
Selesai menunaikan solat, aku terus bersiap untuk ke pejabat. Hidup sendirian di rumah bujang selepas pemergiaan Fara mengembalikan kehidupanku ke dalam dunia yang hanya ada aku dan bayang-bayang. Tiada tempat untuk mengadu, tiada siapa untuk ku bersandar.

Aku tiba di pejabat lebih awal dari biasa. Suasana pagi yang masih hening benar-benar mendamaikan jiwaku yang semalaman berkecamuk. Samar-samar mentari yang mula menebarkan cahaya, kembali menerangi akalku yang kelam.
Aku mengalihkan pandangan ke arah cermin di tepi mejaku. Meneliti raut wajah yang sedikit pucat dan sembab. Membetulkan kanta lekap yang tidak berapa selesa menutupi anak mataku dan terus menghadap kerja-kerja yang masih ada dan tidak pernah putus.
Hari sudah menjelang petang. Fail-fail yang berselerak itu ku tolak ke tepi. Penat benar fikiranku dengan kerja-kerja ini. Tidak pernah sekalipun kerja-kerja ini tidak didatangi masalah. Aku sandarkan badanku di kerusi dan memalingkan seluruh badan menghadap dinding.
Aku pejamkan mata bagi melepaskan bebanan yang bersarang di dalam benak. Ingin benar aku menghambat pergi peristiwa itu yang bagaikan parasit di dalam hidupku. Ah, sukarnya biarpun sudah tiga tahun berlalu!
Jam di pergelangan tangan sudah hampir ke angka 5 petang. Kini, hampir 7 jam aku cuba menghabiskan kerja-kerja yang tidak pernah mahu selesai. Mataku terasa berat, badan pula sudah dimamah penat.
Aku sandarkan tubuh ke kerusi, menarik nafas dalam-dalam dan cuba melepaskan bebanan kerja yang bersarang di benak.
Fail-fail yang berselerak aku kemas ala kadar dan terus menggapai beg tanganku lantas mengatur langkah untuk keluar dari pejabat.
Beberapa langkah saja, aku ternampak sehelai kertas bersaiz A4 yang terselit di bawah papan tanda namaku yang ada dihujung mejaku. Aku capai kertas yang bertinta hitam itu dan menghayati setiap tulisan yang terlakar di atasnya.

Nur Wafiah,
Sebaris nama yang cantik. Secantik kejadian Allah.
Wajah mulus lagi ayu, lengkap dari semua segi. Tapi, rupanya masih
ada yang kurang dalam kesempurnaan itu, terasa benar hati dan sikap
empunya diri yang terlalu dingin untuk didekati atau dia yang memang
menjauhkan diri dan menjadikan hatinya sedingin salju. - IF

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Tak ku sangka, di dalam diam aku punyai secret admirer. Aku ketawa sendiri. Tapi IF? Siapa dia? Macam mana kertas ini boleh berada di atas meja? Jenuh aku berfikir mengingati sesiapa yang berkaitan dengan singkatan nama itu.
Sudahnya aku melipat kemas kertas itu dan ku selitkan di celah handbag. Malas hendak berfikir. Kepalaku masih berkecamuk dilanda ribut dan masih belum ada tanda untuk reda. Sudah tiada berdaya untuk menambahkan satu lagi beban dalam kepalaku dan akhirnya aku biarkan pertanyaan itu berlalu bersama angin lalu.


PAGI esoknya, aku keluar dari rumah dengan keadaan tergesa-gesa dan terus menuju ke Stesen LRT Pandan Indah yang hanya di belakang kawasan perumahan ini.
Dalam 15 minit aku sudah tiba di Masjid Jamek dan terpaksa pula menukar Putra LRT untuk ke KL Sentral. Entah mengapa aku menjadi tidak yakin untuk memandu ke KLIA sendirian. Bimbang tersesat jalan kerana setiap kali ke sana pasti aku akan mengambil pengangkutan awam atau dihantar oleh teman-teman pejabat.
Ditambah pula dengan nasihat Fara agar aku sekadar menaiki kenderaan awam saja. Bimbang juga dia andai aku tersesat dan tidak sempat bertemu empat mata dengannya.
Sesekali aku mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Kurang dari tiga jam Fara akan berada di dalam perut kapal terbang.
Terlalu banyak urusan pejabat yang perlu aku selesaikan menyebabkan badanku terus dimamah penat hinggakan tidurku pula terlajak pagi ini. Bukan terlupa akan keberangkatan Fara, tapi lenaku bagaikan terbuai-buai.
ERL meluncur laju. Perjalananku ini akan mengambil masa hampir sejam. Fara pasti sedang menungguku.
Terasa bimbang pula sekiranya tidak sempat bertemu dengan Fara. Dalam pada itu, fikiranku tidak lepas daripada mengingati seraut wajah yang mula mendapat tempat di hatiku.
Bagaimanakah dia setelah pertemuan kami seminggu lalu? Rindukah aku? Andai benar ini rindu, adakah cinta itu sudah bertamu?
Sejam kemudian aku tiba di perkarangan KLIA dan terus berlari keluar daripada ERL dan pantas menuju ke pintu balai berlepas. Keadaan KLIA yang dalam pembinaan menambahkan kesesakan dengan manusia yang datangnya entah dari ceruk rantau yang mana.
Aku memanjangkan leher mencari kelibat Fara dan keluarganya. Puas aku berlari ke sana sini mencari raut-raut wajah yang ku kenal. Aku menyeluk poket jeans biru gelapku dan menarik keluar telefon bimbit. Niatku untuk menghubungi Fara langsung mati tatkala aku terlanggar sesusuk tubuh yang tegap berdiri di depanku.
Cuainya aku! Entah berapa kali mahu terlanggar orang! Marahku pada diri sendiri. Terbias di layar mindaku peristiwa di Leisure Mall beberapa hari sudah. Aku cuak! Tidak mahu kejadian itu berulang lagi.
“Maaf!” ucapku menunduk lantas aku pusingkan badan ingin segera berlalu.
Bukan niatku hendak bersikap kurang ajar tetapi aku cuak jika wajah Fazlee muncul lagi. Mataku sudah tidak sudi memandang dia lagi.
“Nur Wafiah!”
Serentak itu langkahku terhenti akibat pergelangan tanganku yang telah disambar orang. Hampir saja tubuhku melayang ke belakang.
Aku pantas memusingkan badan mahu dimarahi sikap beraninya menyentuhku dan sungguh, kata-kataku mati saat wajah Am berada dekat di depanku. Pandangannya tepat menikam ke dalam bola mataku. Marah yang menggunung rata tiba-tiba.
“Nur Wafiah!” serunya lagi. Aku masih diam tidak berkutik. Tidak dapat berbuat apa-apa bila hati ini merelakan pergelangan tanganku terus berada di genggaman jemari kasarnya.
“Nur Wafiah!” tekannya lagi bila aku tidak menyahut.
“Ya, saya!” jawabku pantas. Penuh berdisiplin.
Am ketawa. “Kenapa?”
“Kenapa apa?” tanyaku dengan kerut di dahi.
“Nur Wafiah buat apa kat sini?”
“Hantar kawan!”
Am tersenyum padaku. Oh, senyuman itu lagi! Hampir luruh jantungku kala ini.
“Siapa?”
“Fara!”
“Dia nak ke mana?”
“Kota Kinabalu!”
“Buat apa?”
“Jadi cikgu.”
Bagaikan dipukau oleh Am, aku menjawab setiap pertanyaan patah demi patah perkataan tanpa ada rasa marah. Benar! Aku terpukau dengan seraut wajah di depanku kini.
Mataku tidak lepas merayap ke wajahnya. Seraut wajah maskulin yang memang bisa membuatkan hati wanita cair tatkala memandangnya. Namun aku, bukan kerana itu hati ini mula tertawan.
Sukar benar untukku tafsirkan rahsia hati dan perasaan yang Allah titipkan buatku. Andai di tanya, tiada jawapan yang dapat aku berikan mengapa mudah hati ini tewas padanya.
Am ketawa dengan telatahku yang bagaikan lurus bendul. Tidak seperti aku sebelum ini dan aku yang baru tersedar dari renungan yang tak kunjung sudah itu terus membawa pandanganku menekur ke lantai.
“Kenapa? Malu?” soalnya mesra.
Aku masih tidak mampu mengangkat wajahku menentang pandangannya. Rasa malu benar dengan sikapku yang tidak terduga sebentar tadi. Semuanya diluar kawalan!
“Nur Wafiah, pandang sini!” Aku masih memandang ke lantai tatkala Am sekali lagi menyeru namaku.
Suara Am membawa aku memandang rautnya. Dalam berani itu, terselit jua rasa gundah di dalam diri. Kini, aku tidak mampu lagi mengalihkan pandanganku daripadanya.
Biarlah untuk seketika, aku ingin merasa nikmat kemesraan yang lelaki ini hulurkan buatku walau tidak dinyatakan secara terangnya. Aku yakin dia menyukaiku dan aku sendiri, sudah jatuh suka padanya saat kali pertama terpandang mata itu beberapa minggu sudah dan lebih tepat lagi, aku jatuh cinta padanya!
Beribu kali akalku menidakkan rasa hati, malah berjuta kali pula hati memberontak ingin meluahkan rasa yang sudah mula bercambah. Kenapa terlalu degil kamu wahai hati? Tidak puaskah kamu terluka satu waktu dulu?
Biarlah masa dan ketika sahaja yang menentukan segalanya. Membawa keyakinan padaku akan perasaan suci ini. Aku nekad untuk menghambat semua kenangan lalu pergi. Tidak mahu bersisa sedikitpun dalam diri ini.
Hiruk pikuk KLIA tidak langsung mencantas renungan kami yang penuh bermakna. Terasa bagaikan berada di dalam dunia yang hanya kami berdua bertamu di situ.
Entah berapa lama tanganku di dalam genggamannya aku tidak pasti namun yang pasti, sinar untukku sudah melambai meminta aku terus melangkah dan jangan menoleh lagi.

AKU tersentak saat terasa bahuku ditepuk keras dari belakang. Serentak itu aku berpaling dan wajah Fara sedang tersenyum penuh makna padaku.
“Patutlah dari tadi aku tunggu kau tak sampai-sampai. Traffic jammed kat sini rupanya,” usik Fara.
Aku tergamam namun cepat-cepatku mengawal air wajahku. Tidak mahu kecanggunganku jelas di mata Fara dan di mata Am sendiri.
“Aku cari kau tadi tapi tak jumpa…,”
“Tapi terjumpa orang lain…,” pangkas Fara bernada usikan.
“Mana ada!” dalihku.
“Tu…”
Fara menjuihkan bibirkan ke arah genggaman Am pada pergelangan tanganku yang masih belum ada tanda untuk terlerai. Aku menjatuhkan pandangan pada pergelangan tangan yang dilitupi kemaja dengan panjang dan serentak itu cepat-cepat aku menarik tangan biarpun Am belum ada tanda hendak melepaskannya.
Fara ketawa! Am garu kepala sambil tersengih ke arahku dan aku pula rasanya sudah menebal kulit wajah akibat rasa malu yang sudah menjalar pantas.
“Encik Am dari mana?” soal Fara selepas seketika.
“Hantar adik, dia nak ke KK. Study kat sana! Fara nak ke KK jugak kan?” Fara mengangguk.
“Dapat offer jadi cikgu kat sana!” jelasnya.
“So, kira resign terus la daripada Megah?” Giliran Am menyoal.
“Yup!” jawab Fara pendek.
“Lagipun siapalah saya kat Megah tu, Encik Am! Sekadar pembantu je. Lainlah orang tu. Orang kuat bos. Orang yang berkuasa ke atas keluar masuk duit ni!” ujar Fara bagaikan berjauh hati. Penuh drama.
Aku menjelingnya tajam dan Fara sekadar meledakkan tawa.
“Naik flight sama dengan adik saya la kot!” duga Am.
“Mestilah. Only one direct flight per day!”
“Tak risau nak tinggalkan kawan baik awak kat semenanjung ni?” soal Am sambil mengerling ke arahku. Aku sekadar buat tak tahu. Malas hendak menyampuk.
“Nak risau apa, Encik Am kan ada!” balas Fara lantas menyiku lenganku. Aku yang sedari tadi berdiam diri membulatkan mata memberi amaran pada Fara agar tidak terus berkata bukan-bukan tentang aku dan Am.
Biarpun hatiku sendiri berbunga sebenarnya tapi rasa malu masih menebal dalam diri. Aku tidak mahu digelar perigi mencari timba. Biarlah pengakuan itu keluar daripada mulut Am sendiri dan saat itu aku mohon agar pintu hati ini terkuak dengan sendirinya.

...bersambung...