Saturday, March 31, 2012

Kerana Sekali Cinta [3]

BAB 3

MAMA tak terkata. Di kerling antara aku dan Anaresa silih berganti. Aku pula takut nak bangkit. Dari tadi mengintai dari celah daun pintu.

“Hah, Zafran. Tu Ana dah sampai. Sedang elok pun,” sergah Pak cik Lah kuat. Terkejut aku.

Mama senyum paksa. “Mari sini.” Tangannya menggamit aku bangkit.

Rasa macam berat sungguh nak angkat tubuh sasa aku ni. Sasa la sangat. Tapi, bila abah menepuk bahuku, aku ringankan tulang menghampiri mama.

“Err…Siapa ya?” tanya Anaresa sekali lagi pada mama.

Tapi yang penting senyuman manis dia tu tak lepas dari bibir. Biarpun wajah tu nampak berkerut sana-sini, senyuman tetap lebar dan aku rasa, senyuman manis tu akan padam kejap lagi bila dia nampak aku.

“Err… mama ni mama Zaf,” jawab mama. Hui… nampak sangat mama berkenan. Siap biasakan diri mama lagi.

“Zaf?” Wajah comel tu semakin keruh.

“Err… ni mama saya.” Aku menyampuk tiba-tiba bila sudah ada tepat di sebelah mama dan pastilah di depan Anaresa yang baru masih berdiri tegak di atas anak tangga.

“Awak!” Jari telunjuknya lurus padaku. Mata itu bulat.

“Tak kan nak datang tuntut hutang RM60 tu bawa mama pulak?” soal dia polos.

Mama kerling padaku tajam. “Apa hutang-hutang ni, Along? Kamu perangkap budak ni ke?” gumam mama keras.

Aku sengih dan menggeleng. “Dia salah faham tu, ma,’ jawabku juga berbisik.

“Eh, naik dulu Resa. Kan ada tetamu ni,” arah Mak cik Anisah pulak. Oh, keluarga dia panggil dia Resa rupanya. Aku angguk sendiri.

Cepat-cepat Anaresa buka kasutnya dan menyalami mama. Tunduk hormat mencium tangan mama.

“Maaf, mak cik. Ana ingatkan siapa tadi. Terkejut juga tiba-tiba muncul orang lain dari dalam rumah,” akui dia jujur.

Mama senyum dan menyentuh kepala Anaresa.

“Tak apa. Salah mama kejutkan kamu. Ini Si Zaf punya kerja la ni.” Dah dia jeling pada aku pulak.

Jelingan mama biasa je aku rasa tapi jelingan Anaresa rasanya, memang boleh buat aku terbunuh. Sebab sekarang ni pun, hati ni dah tergores sikit dengan… cinta? Oh indahnya.

Anaresa naik dan bila dia melaluiku, dia kepal penumbuk padaku dengan mulut yang terkumat-kamit sendiri. Jampi aku lah tu. Jampi cinta, memang aku sudi nak terima. Dia duduk sopan dan bersalaman dengan semua tetamu perempuan sebelum beralih mendekat pada ibu dan adik beradiknya yang lain.

“Siapa?”

Aku dengar Anaresa bertanya begitu pada ibunya dan tak tahu pulak apa yang si ibu menjawab.

Aku renung dia lama dan bila aku terpandang kakinya, dia pakai stoking dan itu pun warna merahnya mak ngah. Dia memang stailo lah.

“Hutang apa Anaresa cakap tadi, Along?” tanya mama berbisik.

“Err.. nantilah Along cerita. Mama selesaikan dulu hal Along dengan Ana ni,” jawabku pada mama.

Masa ni, apa lagi. Singgah satu cubitan pada pehaku. Hadiah istimewa daripada mama dan aku tahu, balik je rumah nanti… masih banyak hadiah istimewa menanti. Nak-nak telinga ni yang jadi mangsa.

“Tuan punya badan pun dah ada ni.” Pak cik Lah bersuara memecahkan rasa hening tiba-tiba.

“Emm… itulah. Sedang elok ni alang-alang tanya tuan punya badan jelah terus, ya tak?” sambung abah pulak.

“Anaresa, Zaf sekeluarga datang nak meminang kamu. Sudi?” Memang jenis keluarga gamble betul mereka ni. Pak cik Lah main tanya macam tu je sampai aku tengok wajah Anaresa tu merah padam.

Tak suruh kami main-main kat luar dulu ke? Macam kisah drama dulu-dulu tu. Hal peminangan, yang meminang dan yang dipinang kena main kat luar. Tapi ini tidak.

“Resa?” Anaresa menunjuk ke arah wajahnya sendiri. Ayahnya mengangguk.

“Kenapa Resa? Bukan Kak Aniraha atau Kak Anisara?” tanya dia perlahan.

Wajah dia memang merah padam masa ni. Mama senyum dan aku pun tak tahu kenapa mama senyum.

Nama adik beradik dia memang boleh buat aku terngaga. Payah nak sebut, susah nak ingat. Tapi, memang unik. Dari mana ayah dia dapat nama semua ni?

“Mereka masuk pinang kamu. Kamu yang berhutang dengan Zafran, kan. Bukan Kak Sara, bukan Kak Raha. Tapi Resa,” tekan Pak cik Lah.

Anaresa langsung memandangku. Tapi tak lama bila Pak cik Lah suakan surat cinta aku tu pada dia. Bila Anaresa baca, haruslah dia menjegilkan matanya yang sedia bulat itu. Mata bundar dan tenang tu nampak tajam membunuh. Aku telan liur. Takut!

“Err… bu, macam mana ni?” Dia kalih pada ibunya setelah surat itu dia lipat kasar.

“Resa yang buat keputusan. Ini hidup Resa. Tapi, orang dah sudi, nak jual mahal buat apa?” Perlahan je suara Mak cik Anisah ni.

“Kamu paksa dia ke, Along?” soal mama tiba-tiba.

“Tak adalah, ma. Kalau dia tak setuju, kita balik,” selaku mendatar. Berlagak tenang padahal dalam hati, hai… cinta tak kesampaian lagi.

Mama angguk dan kami terus memandang bibir Anaresa menanti mengungkap kata. Dia berpaling pada kami semua dan memandang kami seorang demi seorang. Bila dia jatuhkan renungannya padaku, aku nampak mata itu digenangi airmata sikit. Aduh, rasa bersalahlah pulak.

Masa ni, rasa macam nak balik terus. Jangan paksa dia lagi. Nampak sangat dia tak bahagia tapi rasanya, telahanku silap.

“Err… kalau kata ayah dan ibu setuju, ikutlah. Resa okey je. Resa masuk dalam dulu,” ucap dia dengan suara yang cukup perlahan lantas dia angkat tubuhny dari simpuh dan berlalu ke dalam bilik di tengah-tengah tu. Bakal bilik aku la tu nanti.

Nak ketawa, nak guling-guling sekarang aci tak. Tapi, bila mama menjeling, aku tekup mulut dan buat muka serius.

“Allahamdulillah,” ucap Pak cik Lah dan abah serentak.

“Dah jodoh budak berdua. Allah permudahkan,” sambung abah pula. Yang lain turut mengaminkan doa tanda syukur.

Mama dan keluarga Anaresa mula berbincang sesuatu. Aku pula beralih ke anak tangga, duduk sendiri di situ dengan bibir yang tak lekang dari senyum. Mudah sungguh dia terima aku. Rasa macam nak cakap dekat mama, tak payah bertunang, terus nikah je. Aku mampu adakan semuanya tapi…

“Tunang dululah kejap. Bagi diorang selesa. Lagipun, Resa kan belajar lagi. Kena tengok jadual dia jugak,” ucap mama memberi cadangan.

“Nikah jelah terus, mamanya. Awak kan dah lama nak bermenantu,” bantah abah.

“Resa tu, boleh ke?”

“InsyaAllah boleh tu, dik. Nanti kakak cakap pada dia. Dah kalau itu hajat pihak lelaki, kami ikutkan je. Mana yang baik,” sampuk Mak cik Anisah pula. Ibu pada Anaresa.

“Boleh ke Along tu, abahnya?” tanya mama pada abah.

La, mama risaukan aku pulak. Aku ingatkan dia risaukan Anaresa yang masih pakai baju kurung dengan sneakers tu? Aku dah tua, nak bentuk bakal isteri umur 20 tahun, haruslah aku boleh. Ucap hatiku yakin. Jangan aku yang dia bentuk sudah.

“Bolehlah. Along tu dah dewasa. Nak tunggu bila lagi. Sampai Anaresa habis belajar, tak bercucu la awak,” ucap abah diselangi tawa yang lain.

Aku apa lagi. Memang sukalah. Yang lama kian pergi, dan yang baru sedang mendiami lantas aku bersyukur. Kan pernah aku cakap, yang tercipta untukku, akan datang menyerah. Menerima persetujuan Anaresa tadi, bagaikan dia sudi menyerah.

Terima kasih buat awak, Anaresa. Tapi, bukan Ana. Malah Resa. Aku suka nama tu. Unik macam orangnya.

“Kalau macam tu, kita dah tetapkan tarikh. Masuk sarung cincin jelah, ya?” pinta mama sopan.

“Emm.. bolehlah tu. Mari kita,” ajak Mak cik Anisah.

Erkk… dah tetap tarikh? Bila? Aku tak dengar pun. Mama ni, memang tak sabar nak bermenantu dan aku juga tak sabar nak terima Anaresa dalam hidup aku. Belajar bercinta semua dan pastinya, lepas nikah. Nak buat tak ada siapa larang. Tu penting dan aku harap, cincin tu muat dengan dia sebab mama ukur jari Zafrina.

***

MATA Anaresa bulat. Aku tahu dia sedang menahan marah. Surat di dalam genggamannya dia renyuk berkali-kali. Tapi, tak pulak dia koyak. Itu yang menyebabkan aku yakin yang dia bersetuju juga.

“Kenapa encik buat saya macam ni?” tanya dia.

Bukan suara je tapi dia siap tentang tiang pangkin tu dengan kasut Nike dia tu. Kuat betul perempuan ni. Wajah putih tu merah padam. Giginya diketap hebat.

“Bukan enciklah. Abang Zafran,” tegurku lembut. Saja hendak mengusik dia. Suka lihat dia marah.

“Eiii… abang apa pulak?” tanya dia geram.

“Dah tunang pun,” selaku.

Dia jegilkan mata. “Bila masa pulak? Kata nak datang tuntut hutang. Tapi ni tuntut orang. Kalau macam ni, memang saya tergadai body tau tak?” marah dia.

Aku ketawa kecil. Dia memang unik. Setiap perbuatannya itu memang mencuit hati. Kata-kata dia juga.

“Tergadai pada yang halal tak apalah,” ucapku lembut.

Bibir ini tetap tersungging dengan senyuman melihat dia yang terus menyepak batang pokok kelapa pula.
Haih, ganas sungguh. Tak padan pakai baju kurung. Bertudung litup ayu lagi. Tapi, kaki tu hidup je manjang.

“Orang nak sekolah lagilah. Siapa nak kahwin dengan encik?” soal dia kasar.

“Saya nak.”

“Saya tak nak.”

“Tapi dah terima cincin,” selaku.

Dia mendengus. “Tu ibu terima. Encik nikah dengan ibu jelah!” tekan dia.

Huh, mulut dia boleh tahan. Ada ke dia nak aku jadi bapak tiri dia? Mana boleh. Tak masuk akal betul pemikiran dia. Aku menggeleng.

“Ibu Resa tu kan bakal ibu saya. Saya nak Resa, bukan nak ibu Resa.”

“Tapi, saya tak nak encik,” bantah dia dengan mata yang semakin bulat.

“Tak nak, tapi pakai cincin kenapa?”

Dia telan liur. Jari manisnya dia pandang dan tiba-tiba je dia tarik cincin tu keluar tapi memang nasib menyebelahiku. Cincin tu tak nak tinggalkan jari manisnya.

“Eiii… cincin ni. Melekat pulak. Potong jelah jari,” rungut dia.

“Eh, jangan potong. Nanti kurang hantaran, nak macam tu?”

Sungguh, aku tak pernah puas nak usik dia. Malah makin seronok pula tengok wajah comel tu berkerut seribu.

“Encik ni, kan… dari hari pertama lagi suka kenakan saya. Ni surat ni…” Dia suakan surat yang ayahnya berikan pada dia.

“… apa yang encik merapu ni?”

“Bukan merapulah. Tu syarat untuk awak bayar hutang saya. Cuba baca elok-elok terma dan syaratnya,” suruhku selamba.

Padahal dalam diri ni, tersangatlah malu bila abah membaca surat itu sekuat hati di tengah-tengah ruang tamu tadi. Apalah abah ni. Mama apa lagi, bulat la mata. Nak-nak bila Zafrina ada sebut pasal surat beberapa hari sudah. Balik ni, pasti kena campak dalam mesin basuh. Mesti mama basuh otak aku cukup-cukup.

“Syarat tak masuk akal!?” cebik dia.

“Tak masuk akal apa? Resa juga cakap nak dibiayai seumur hidup. Jadi itulah syarat dan terma yang terbaik. Nak saya ulang balik apa saya tulis ke?” tanyaku menyindir.

Dia menggeleng. “Geli nak dengar.”

“Dah tu baca tak apa pulak?” tanyaku.

“Tak jugak. Naik berbulu mata saya baca ni!” jawab dia.

“Dah memang ada bulu mata. Haruslah berbulu!” Aku loyar buruk.

Dia hentak kaki dia ke tanah. Aku tengok sneakers dia tu dah kotor. Pelik, kenapa nak turun pun pakai kasut? Pakai jelah selipar.

“Encik ni mesti lawyer, kan? Sebab tadi, keluarga saya tanya dah lama ke kenal, saya jawab tak adalah lama. Lepas tu, bila ayah tanya encik kerja apa, saya jawab encik lawyer. Betul tak?” tanya dia dengan mata yang redup.

Aku ketawa. “Ada rupa lawyer ke?” Jariku aku luruskan pada wajah sendiri.

“Ada. Loyar buruk!” jawab dia panas. Aku apa lagi, ketawa jelah.

“Saya bukan lawyer tapi saya kuli je. Dok tengah-tengah panas tiap-tiap hari. Macam buruk paksa,” jawabku.

Dia merengus. “Memang betullah encik ni, tak betul!” tekan dia.

“Kalau tak betul saya tak datang pinang awak tau?”

“Sebab encik tak betullah encik pinang saya yang encik baru jumpa beberapa hari sudah!” tekan dia tak kalah.
Aku pun, tak kalah jugak.

“Dan awak pun tak betul jugalah kalau macam tu,” tekanku.

“Saya pulak?” Wajah dia keruh.

“Iyalah sebab terima pinangan orang yang awak baru kenal beberapa hari,” jawabku pantas.

“Eii… bencilah. Ada tunang pun macam apa entah! Tak suka… tak suka!!” marah dia dengan wajah yang cemberut lantas dia berlalu hendak ke rumah.

Aku tak mampu nak tahan senyum lagi dah. Aku biarkan saja dia berlalu. Lagipun tak manis. Pak cik Lah dan abah bagi lesen kejap je untuk bersembang sebelum kami pulang ni. Yang pasti, aku dengar dengan jelas dia akui, aku ni tunang dia.

Bila Anaresa dah menjauh, aku pun menapak juga. Dia terus ke pintu dapur rumah kampung itu dan aku terus ke pintu depan hendak menyertai orang tua kami yang sedang duduk minum-minum lagi.

“Hah, Along. Dah siap sembang?” tanya abah.

“Dah, bah,” jawabku.

“Sikit-sikit sudah. Darah manis tu,” usik Pak cik Lah pulak. Aku hanya senyum simpul mengingatkan wajah comel itu marah.

“Semua dah selamat, kami pun nak minta diri dululah, Lah. Nanti, pandai-pandailah budak berdua ni uruskan barang-barang dia sendiri. Kata nak cepat, kita buat cepat. Nak mudah, kita buat mudah, ya tak?” Abah ni memang boleh tahan kalau bercakap.

“Betullah tu. Belajar pun, belajarlah. Pandai-pandailah Zaf tengok-tengokkan dia. Perempuan ni, belajar tinggi-tinggi pun, kat sisi suami jugak nanti. Ke dapur juga.” Hah, Pak cik Lah lagi pandai.

Memang kenalah abah dengan bakal ayah mertua aku ni. Mama bangkit bersalaman dengan Mak cik Anisah dan yang lain. Aku pun sama. Usai bersalam dengan semua, aku turun hendak berlalu ke arah kereta.

Tak tahu kenapa, aku ada rasa hendak berpaling dan sungguh, bila aku kalih mata ini terus tertancap pada wajah ayu itu tanpa tudung di sisi jendela, sedang merenung ke tengah bendang yang menghijau. Rambut itu melambai lembut dielus angin.

Langkah kaki pegun. Ya Allah, cantiknya bakal isteri aku ni. Cantiknya wanita yang telah kau ciptakan untuk menerima kasih dan cinta ini, Ya Tuhan. Bisik hatiku lalu aku cepat-cepat berpaling. Nak simpan segalanya lepas kahwin nanti dan bibir ini tak lepas dari senyuman. Nakal, memang aku nakal! Dan sungguh, Allah makbulkan doaku. Perginya Anahara, berganti Anaresa namun cinta kedua, lebih hebat rupanya. Amin.. Cuma nak fikir, macam mana nak hilangkan panggilan encik dia tu. Emm...

~~> bersambung

Friday, March 30, 2012

Ku Ingin Milikimu (Special Edition)

Special Edition

JARIKU ligat membelek helaian album perkahwinan kami. Sungguh bak kata Mukhlis dulu. Gambar candid begini lebih natural. Aku senyum lagi. Syukur pada Allah atas izin-Nya semua ini terjadi dalam hidup kami.

Setelah puas membelek gambar-gambar yang bagaikan kami kembar siam itu, aku tutupnya cermat dan terus meletakkan semua ke atas katil dan aku bawa tubuhku mendekat pada pintu luncur yang ternganga luas. Membiarkan tubuhku yang sedia kesejukan dihembus penghawa dingin, disapa angin indah di musim bunga Swiss.

Aku sajikan pandanganku dengan padang hijau yang luas terbentang di musim bunga ini. Satu-satunya Negara yang menjadi pilihan Mukhlis untuk kami lawati menjadi hadiah bulan madu kami biarpun majlis nikah kami sudah berbulan berlalu hanya kerana menanti kerjaya dia agak stabil setelah dia nekad tidak mahu berada di bawah satu bumbung dengan keluarganya lagi. Mahu bertatih sendiri membela anak isteri, katanya.

Aku pejam mata mengingatkan perjalanan berjam-jam di dalam penerbangan dari KLIA menuju ke Zurich International Airport bersama Qatar Airways lantas kami terus saja mengambil kereta api melalui Autoroute Suisse A8 dan dihidangkan dengan padang hijau yang luas terbentang. Menikmat perjalanan sepanjang 89.2 kilometer dan mengambil masa sejam lebih menuju ke pekan Sachseln, Switzerland.

“Cantik, kan Flueli-Ranft Sachseln ni, yang?”

Aku tersentak. Terkejut sebenarnya bila ada tangan yang sejuk melingkari pinggangku. Rasanya dia baru selesai mandi tapi sebentar sangat.

“Abang ni,” tegurku.

Dia memang begitu. Suka muncul tiba-tiba dan membuat aku tersentak sendiri. Tak pernah nak menghulurkan salam melainkan kala dia menuntut rindu saja. Haih…

“Terkejut orang.”

Mukhlis ketawa kecil. Pinggangku diraih erat. Dagunya disangkut ke bahu bila dia selak rambutku ke depan.

“Tapi, memang cantik tempat ni. Ann suka padang sangat suka. Tengok kehijauan Fleuli-Ranft ni memang boleh buat jiwa tenang. Nak-nak…” Aku lepaskan pelukan dia dan membawa tubuhku menghadap dia.

Menarik tangannya rapat padaku. “…ada abang dengan Ann. Segalanya indah. Cuma Aryana je tak ada.”

Teringat pula pada puteri kami itu. Terpaksa meninggalkan dia bila mama memaksa. Tidak mahu Aryana mengganggu bulan madu kami katanya.

“Alaa… biarlah. Kita datang ni sebab nak bagi Aryana adik apa,” selorohnya. Aku jegilkan mata dan cubit lengannya sikit.

Mukhlis senyum. “Abang dah imun dah dengan cubitan sayang tu,” ejek dia.
Aku ketawa. Tak jadi nak buat muka merajuk bila bersama dia. Tak reti hendak merajuk sebenarnya. Cuma cemburu tu sesekali memang ada bertapak di hati.

“Cantik bilik ni, bang,” pujiku sambil mata ini melilau ke seluruh bilik yang kami sewa di Obwalden Old House ini.

Pandai dia memilih rumah tumpangan untuk menjadi tempat kami melepaskan lelah. Tolak saja pintu luncur, terus saja terhidang dengan padang Flueli-Ranft. Jenguk sikit ke sebelah sana, ada pula Samen Giswil. Juga padang rumput yang menghijau.

“Abang akan pilih yang terbaik buat isteri abang ni. Abang tahu isteri abang mampu segalanya apatah lagi lepas abang dah tak ada apa ni. Bermula dari kosong semata-mata tapi syukur, bila abang mampu juga tunaikan niat abang nak lepak dengan sayang. Tapi bukan dekat padang Shah Alam, tapi dekat Swiss. Petang ni kita jalan kaki pergi Giswil pulak,” ujar dia.

Aku angguk saja. “Terima kasih, abang,” ucapku kerana kesungguhannya merancang semua ini tanpa pengetahuanku.
Mukhlis menarik aku ke dalam pelukannya. Terasa hangat menjalar ke seluruh tubuh ini. Aku membalas pelukan itu seadanya.

“Abang cintakan Ann. Ann tahu, kan?” soal dia.

“Ann tahu. Setiap masa abang ungkapkan pada Ann,” balasku.

Dia diam. “Abang harap Ann tak kesal hidup bersama abang sekarang.”

“Eh, kenapa pulak?” Aku kerutkan wajah.

Bahu itu aku tolak biarpun lengan itu masih melilit tubuhku erat. Telapak tangan ini aku daratkan ke bahunya. Mengusap lembut tubuh yang terdedah itu.

“Abang dah tak kerja dengan abah lagi dah. Abang dah pulangkan kereta tu pada abah. Condo dekat Damansara tu pun abang tak mampu nak sewa lagi dah. Kereta pun tak mewah dah. Nak kumpul duit bawa sayang datang tengok padang ni pun, mujur sempat. Sebab dah niat. Tiap-tiap kali solat Jumaat, abang doa antara dua khutbah tu. Mohon Allah kabulkan doa abang nak bersama, sayang,” luahnya luhur.

Aku senyum sikit. “Ann dapat royalti apa?”

“Itu duit sayang. Abang mana boleh usik,” sela dia mencemik.

“Ann tak suruh abang usik pun. Tapi, abang kan dah mula bisnes sendiri sekarang. Tak ada masalahlah. Kot kata tak sempat, Ann boleh bantu. Nak berjaya ni tak mudah. Sama juga macam kita. Tengok apa yang dah kita lalu selama ni sebelum kita nak hidup bahagia. Rezeki pun macam tu. Tak mudah datang tanpa usaha. Kalau kata abang dah usaha tapi Allah tak izinkan juga, maknanya Allah sedang rancangkan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Ann akan sentiasa ada di sisi abang,” pujukku. Pipinya kau elus lembut. Rasa tajam selepas dia baru saja kemaskan janggut dan misainya.

“Jangan pergi dari abang. Abang haramkan,” ucap dia dengan wajah kelat.

“Ann akan pergi nanti. Tapi, bukan sekarang. Satu hari nanti. Dengan lengkap berpakaian putih dan waktu tu, haruslah tanpa nyawa. Hanya jasad semata-mata dan Ann harap, abang redhakan Ann masa tu. Selagi Ann bernyawa, di sisi abanglah tempat Ann. Hanya pada abang Ann serahkan diri ni dan abang, hargailah cinta ini,” balasku agak sedih dengan suara yang dicengkam sebak.

Terasa panas tubir mataku bila melihatkan renungan Mukhlis redup dan kian redup hingga aku pejamkan mataku rapat bila bibir Mukhlis singgah tepat ke dahiku. Mengucupku lama dan bila dia lepaskan kucupan itu, airmataku menitis laju.

“Kala itu abang akan benarkan tapi sebelum tiba masa tu, abang akan jaga Ann, mencintai Ann selama hidup abang. Abang berjanji, hanyalah Ann yang abang sayangi dan abang akan setia di sisi Ann, menyayangi dengan sepenuh hati sampai Ann rasa tak mampu tanpa cinta abang setiap waktu.”

Dia pegang pipiku dan membelainya lembut. Jemari suam itu pantas menyeka sisa airmata ini.

“Sekarang, sayang boleh menangis bila-bila saja sayang mahu sebab abang akan ada di sisi untuk seka airmata, sayang,” pujuk dia.
Aku angguk dalam tangisan dan bibir yang mencebir. Tanpa sedar, Mukhlis mengucup bibirku pantas kemudian dia ketawa lepas bila aku membulatkan mata.

“Abang ni. Ambil kesempatan sungguh!” marahku sambil menenyeh bibir.

“Oh, tenyeh abang cium ya. Jaga Ann. Mari sini.”

Dia tarikh pergelangan tanganku memaksa aku mengikut langkahnya, tapi aku lebih pantas meloloskan diri daripada dia. Tapi, tiada arah yang mampu aku melarikan diri di dalam bilik ini hingga akhirnya, kedua belah tanganku terperangkap lagi dalam genggaman dia.

“Kan abang dah cakap, Ann jangan lari selangkah pun daripada abang. Abang tak benarkan.” Suaranya tenang mendatar.

“Ann bergurau jelah,” selaku bersama tawa.

“Abang tak bergurau. Abang tak suka Ann lari biarpun setapak. Abang tak mudah nak dapatkan Ann. Dulu terpaksa berperang dengan keluarga, lepas tu terpaksa hilang Ann bila keluarga merestui dan bila dah dapatkan Ann ni, abang tak boleh hilang Ann lagi.”

Bicaranya serius saja. Aku masamkan wajah. “Kenapa ni? Ann ada kat sini. Ann ada dengan abang. Ann hidup dalam hati abang dan abang ada dalam hati Ann selamanya.” Aku bersuara lunak.

“Abang tahu tu. Kisah hati kita, kekalkan bersama kita,” ucap dia lantas dia benamkan wajahnya ke leherku dan aku hanya mampu membelai rambutnya lembut.

***

MENYELUSURI padang hijau Samen Giswil, Sachseln tanpa kasut membuatkan aku ditertawakan oleh Mukhlis. Biarpun dia hebat melarang, aku hanya buat-buat tak tahu saja. Lepas impianku hendak menjejakkan telapak kaki di atas padang menghijau begini. Keindahan musim bunga yang memang indah dijamu mata.

“Yang, pakai kasutlah. Cacing karang,” laung dia kuat.

Aku ketawa dan berpaling pada dia. “Cacing apa pulak abang ni? Ann bukan Aryanalah.”

“Eh, orang dewasa pun kena cacing tau. Nanti perut buncit macam mana? Tapi, kalau buncit berisi tak apa. Abang pun suka tu,” laung dia lagi.
Beberapa pengunjung berpaling ke arah kami. Huh, mujur mereka tak memahami andai tidak, tidak tahu di mana harusku sorok wajah ini.

Aku sudahnya berpaling dan terus melangkah perlahan-lahan menikmati alam, membiarkan Mukhlis duduk sendiri di bawah sepohon pokok yang agak rendang. Waktu-waktu begini, tidak terlalu ramai pengunjung. Hanyalah warga tempatan saja.

Melihat ke arah air Tasik Sarnen Samarsee yang membiru, malah bertambah indah kala di bias cahaya mentari, benar-benar memukau mataku. Tanpa sedar, aku halakan langkah kaki ini ke arah tasik itu.

“Ya Tuhan, indahnya bumi-Mu,” ucapku perlahan.

“Emm… memang cantik.”
Tanpa sedar, Mukhlis sekali lagi memeluk pinggangku.

“Abang ni kenapa suka buat orang terperanjat?” tanyaku geram.

“Cuba bagi salam sikit.”

Dia ketawa. “Kalau abang bagi salam, maknanya saya hanyutlah nanti. Bukan kat tepi tasiklah kita. Kat dalam biliklah.”

“Abang ni memang gatallah!” Aku cubit lengan dia.

“Kan dari dulu abang dah cakap. Abang tak adalah baik sangat. Ada sembilan akal, satu nafsu je kot,” ujar dia selamba.

“Eleh abang tu. Itu je dia ingat,” sinisku.

“Eh, sayang lagi abang ingat. Segalanya ada pada Anahara semua abang ingat.”

Bila aku memandang dia dari ekor mataku, dia sengih. Nampak nakal macam Aryana.

“Abang ni mengada betullah.”

“Dengan sayang je,” balas dia pula. Ada saja yang dia jawab andai aku menegur.

“Bila kita nak bagi Aryana adik, ya yang? Abang nak rasa pengalaman jaga isteri mengandung ni. Nak rasa macam mana cemasnya nak sambut orang baru. Lagipun, mama bisinglah. Mama tu semua nak bising. Dulu nak kahwin dengan sayang bising, berpisah pun bising. Berbaik pun bising. Lambat bagi cucu pun bising. Apalah mama abang tu, kan?” Dia mencemik.

“Kutuk mama. Syurga abang tu,” tegurku.

Dia ketawa. “Tapi betullah. Tak cukup riuh dengan suara Aryana, nak suruh kita tambah lagi. Dia ingat abang ni pencetak ke apa?”

“Abang tu bukan pencetak, tapi penggatal. Nak menggatal je manjang.” Aku tolak tangan dia dari terus memelukku tapi dia terus melingkari bahuku pula dan kami sama-sama duduk di tepi tasik, menikmati matahari musim bunga yang kian terbenam.

“Ann tak sangka, kita kat sini berdua hari ni. Juga tak sangka, abang ada di sisi Ann masa jumpa peminat sampai tak ada sorang pun berani jeling dah,” ujarku dengan anak mata yang ku lemparkan jauh ke tengah tasik.

Aku tahu, Mukhlis sedang merenung sisi wajahku tapi aku tak mahu memandangnya. Biar dia menatap wajah ini semahunya kerana ku milik dia.

“Abang pun tak sangka. Abang ingat abang hanya mampu pandang je Ann dari jauh selamanya. Tapi, macam sayang cakap. Takdir berkata ya pada kita dan kita sama-sama jaga jodoh kita, ya?”

Aku pandang dia dan mengangguk beberapa kali. “Selagi Allah izinkan,” bisikku.

Mukhlis senyum dan wajah itu rapat dan semakin rapat pada wajah. Hampir dan semakin mendekat hinggakan dengusan nafasnya hangat menyapa wajah tapi bila bibirnya hampir menyapa bibirku, aku tolak wajahnya menjauh.

“Tak malulah abang ni,” cebikku lantas aku bangkit dan berjalan laju meninggalkan dia yang terkial-kial hendak bangkit.

***

ALBUM percutian itu aku belek lagi. Cantik setiap gambar yang diabadikan. Gambarku merajuk, gambar dikala menangis, gambar sewaktu menikmati makanan seperti orang kebuluran. Sungguh aku sendiri tidak sedar, bilakah Mukhlis menangkap gambar-gambar ini semua.

“Tidurlah kejap, sayang. Kan tak sihat tu,” arahnya sambil menarik kepalaku agar bersandar pada bahunya. Baju panas di tubuhku dia betulkan sedikit.

Aku tersentak. Percutian kami tamat sudah. Kini berada di KLIA menanti tibanya Nayli untuk menjemput kami pulang ke rumah. Tak terasa masa berlalu kala bersamanya. Yang peliknya, sehari sebelum pulang, perutku tidak mampu menerima makanan dan hingga ke hari ini, aku masih belum mampu menelan makanan.

“Ann tidur kat rumah karanglah.”

“Dah tu, sandar pada abang. Dah nak masuk dua hari tak makan ni. Abang telefon mama tadi, kemain mama risau. Sayang ni kenapa?” tanya dia.

Aku jungkit bahu. “Entahlah. Tak biasa dengan makanan dia kot.”

“Hai, sebelum tu okey je,” sela Mukhlis tak puas hati.

Tanpa sedar, aku mengalirkan airmata. Tersentuh hati bila dia bertegas begitu. Aku tahan tangis namun akhirnya, esakan kedengaran juga.

“Eh, yang. Kenapa menangis?” Mukhlis tolak bahuku. Dia melutut dan mata itu menyoroti mataku tajam.

“Ann tak pernah bohong abang. Sungguh Ann alah dengan makanan dia. Mana Ann tahu. Kalau Ann tahu nak jadi macam ni, dari awal lagi Ann tak nak pergi. Tak payah nak membazir duit abang pergi sana semata-mata nak tengok padang. Selama ni Ann tak pernah susahkan abang,” aduku sedih.

“Sayang… kenapa tiba-tiba ni? Abang tak marahlah. Abang cakap je. Abang minta maaf tapi tak nak la menangis macam ni. Tolong, yang. Abang tak reti nak pujuk ni.” Dia mula beriak risau.

“Ann tak pernah minta abang pujuk. Ann dah biasa pujuk diri.”

Jemariku diraih. “Jangan macam ni, yang. Abang tak marah tadi tu. Abang percaya sayang alah pada makan tu. Abang tak marah,” pujuk dia tapi aku, tidak tahu kenapa, terasa hati sungguh.

Mukhlis melihat ke arah telefon bimbitnya. “Dahlah, mari kita keluar. Nayli dah sampai.”

Dia menarik pinggangku dan membawa aku berjalan bersamanya dengan sebuah bagasi yang besar. Aku terus menitiskan airmata. Pandangan juga semakin berbalam dan kepala semakin menyengat. Mungkin juga perubahan waktu dan cuaca.

Langkah ini semakin longlai rasanya. Bila kami tiba di pintu masuk balai ketibaan, aku terbias dengan lambaian Nayli yang sedang berlari-lari anak ke arah kami tapi tidak lama bila aku akhirnya berasa berada di awangan.

“Yang, kenapa ni?”

Aku sedar Mukhlis mencempung tubuhku ke dalam gendongannya tapi aku sudah tidak mampu berkata apa bila akhirnya, aku terkulai lemah di dalam pelukannya.

***

“SAYANG…”

Aku paksa kelopak mataku terbuka bila aku dengar ada suara yang memanggilku. Sakit rasanya kepala ini. Berdenyut-denyut rasanya.

“Kat mana ni?” tanyaku.

Bila aku cuba bangkit, Mukhlis menahan tubuhku dari bangun. Jemari itu singgah membelai rambut tapi tidak lama, bila aku terdengar suara yang sedang menhampiri kami.

“Ann kat bilik kitalah. Sayang pengsan semalaman.” Dia menarik sehelai tuala kecil lalu diletakkan di atas kepalaku. Menutup rambut yang terdedah.

“Kenapa?” tanyaku pelik.

“Rambut sayang ni. Hak mata abang je. Abang tak sudi orang lain tengok apa yang jadi hak abang je,” jawab dia.

“Tak, maksud Ann kenapa Ann pengsan?” soalku membetulkan tanggapannya.

Tentang aurat tu, aku sendiri tahu menjaganya. Dia sentiasa begitu. Sikit pun tak boleh. Bila aku mengusik, dia mula katakan yang dia tak suka berkongsi.

“Yang tu kejap lagi, sayang dengar suara mama…”

“Hah, berapa kali mama nak pesan.” Tiba-tiba je suara mama menerjah gegendang telingaku.

Bila mata kami bersabung, dia senyum. “Eh, menantu mama dah sedar? Sihat hari ni?” tanya dia dengan suara yang mendayu mesra.
Aku ukir senyuman dan mengedipkan mataku sekali. Apa masalah mama ni?

“Hah, mujur Ana sedar. Kalau tak sedar lagi, memang mama suruh kamu duduk sorang-sorang biar mama jaga Ana. Orang suruh jaga isteri sorang pun tak boleh. Sampai pengsanlah kamu buat budak ni.” Mama memarahi Mukhlis. Siap bercekak pinggang lagi.

“Err… kenapa ni, bang?” tanyaku perlahan.

“Syhhh… dengar je. Abang dah dengar dua hari dua malam je,” balas dia berbisik.

“Lain kali, kalau sampai Ana pitam lagi, siap kamu, Mukhlis!” tekan mama geram.

“Dah sudahlah. Budak tu tak buat apa pun. Dia buat apa yang patut je. Awak nak marah-marah kenapa? Ana dah sedar dah tu,” tegur abah sambil menggeleng.
Nayli ketawa sambil mendukung Aryana.

“Kenapa ni?” tanyaku tidak puas hati.

“Aryana nak dapat adik!” jerit Nayli kuat.

Aku melopong. Bila aku pandang Mukhlis dia jungkit kening dengan wajah bangga. Aku pandang mama pula.

“Ana tinggal dengan mama sampai melahirkan. Takut nak bagi Mukhlis jaga Ana sendiri kat rumah kamu tu. Nanti jadi apa-apa payah. Mama keluar kejap. Nanti mama masak sikit untuk Ana. Perut kosong tu. Tak baik untuk Ana dengan bayi,” ujar mama lantas dia berlalu bersama abah dan juga Nayli serta Aryana.

“Errr… Ann…” Aku mati kata. Sungguh tak sangka dengan rezeki yang telah Allah kurniakan.

“Abang kan hebat. Made in Swiss yang sorang ni,” ucap Mukhlis menyentuh perutku.

“Made in Swiss apa kalau dah tiga bulan dalam perut mama?” Dia bertanya bagaikan berbicara dengan penghuni perutku. Anak kami. Benihnya yang akan membesar dalam rahimku sekali lagi atas izin Allah.

“Apa abang ni?” tanyaku.

Mukhlis sengih. “Saja marah sikit. Dalam perut dah pandai buat mama pitam. Sampai papa kena marah dekat nenek. Haih…” Dia geleng kepala.

Aku hanya mampu ketawa melihatkan gelagatnya itu. Lucu sungguh. Dapat ku lihat wajah terujanya itu lalu aku paut jemari itu dan mengucupnya lembut.

“Jaga kami?”

“Dengan nyawa abang,” janji dia.

Aku angguk dan dia membawa aku rapat ke dadanya. “Terima kasih sudi jadi kilang untuk abang,” ucap dia.

“Erkk…” Aku tolak dadanya.

“Kilang?”

“Kilang anak,” jawab dia dan dia ketawa lagi sampai tergolek di atas permaidani.

Hatiku ketawa senang melihat dia. Bibir ini mengukir senyum yang sukar hendak padam. Sungguh sukar kami hendak menggapai bahagia tapi setelah kami diduda, bahagia itu menyapa sedikit demi sedikit hingga aku mampu melihat Mukhlis ketawa begini.

Tawa yang hanya lahir kala ada aku. Semoga dia kekal di sisi dan andai ada yang berlalu pergi, biarlah jasad kami tanpa nyawa lagi kerana aku akan kekal setia menemani kisah hati kami untuk kami sambung si Syurga kelak.

Selagiku mampu bertahan, selagi Allah mengizinkan, aku akan setia di sisimu, kala sukar dan senangmu kerana aku tercipta untuk kamu, selamanya kamu.

***TAMAT****

Cik Penulis : Haha..happy nye rasa dapat siapkan SE KIM jap je. Hadiah untuk pengunjung blog ijo. so, lets ended here..jmp lagi dalam KSC plk..

Thursday, March 29, 2012

Kerana Sekali Cinta [2]

BAB 2

PEN mekanikal dengan mata pena 0.7 dakwat cair itu aku pusing di hujung jari. Tak tahu nak tulis apa syarat yang aku nak bagi pada Anaresa ni. Alamat dan nama penuh dia aku tatap lagi. Cantik tulisannya. Kemas saja biarpun dia hanya menulis tanpa lapik.

Terbayang lagi depan mata aku ni wajah cuak tu bila aku kenakan syarat. Aku tahu dia menganggap aku bersungguh-sungguh sedangkan, niatku lain. Aku mahukan dia. Aku mahu dia menghalau cinta lama di hati ini kerana rasanya aku juga ada cinta untuk dia. Hanya tinggal yakin dan tidak saja.

Kertas putih itu aku pandang lagi. Lama setelah itu, aku garu kepala yang tidak gatal. Sungguh buntu.

“Ya Allah, niat dah betul tapi kenapa rasa takut ni?” tanyaku pada diri sendiri.

Sekejap aku bangkit dan sekejap melangkah rapat ke arah pintu luncur. Bila aku tolak pintu luncur itu, angin malam menerobos masuk dengan agak rakus. Nak hujan barangkali. Bila aku dongak ke langit, tiada bintang. Sah hari nak hujan.

Aku membongkokkan badan sikit dan menongkat dagu pada pagar balkoni. Lepas solat Isyak dekat masjid tadi, tak sempat nak sembang dengan mama, abah dan adik aku. Yang seorang lagi dekat asrama. Adik aku juga. Seorang lelaki dan seorang perempuan.

“Ya Allah… kalau cakap dekat mama dengan abah ni, agak-agak kena ketuk sampai terbenam macam kena piling tak?”

Risaunya hati bila memikirkan persetujuan mama dan abah dengan rancangan aku ni. Sungguh aku berani mati. Baru kenal sesaat sudah berani buat keputusan macam ni. Tapi, bukan ke jodoh itu hadir dalam pada waktu yang kita tak jangka juga dengan orang yang kita tak duga?

Sebenarnya aku lelah dikejar bayangan Anahara. Rasa berdosa pada suaminya, Mukhlis. Bibir mengatakan redha tapi sukarnya hati hendak menerima. Aku paksa dan mencuba. Bukan berserah semata-mata tapi rasanya kata-kata akhir Anahara dekat KLIA dulu aku perlu praktikkan pada diriku pula.

Untuk hidup yang baru, kita harus menggantikan yang lama tu. Hanya dengan cara itu kita mampu menjauhkan yang lama dari hati. Bukan beerti lupa tapi sekadar ingatan teman dah lebih mencukupi.

Lama juga kau membiarkan angin menyapa tubuhku yang tak berbaju. Panaslah. Tu tak pakai baju. Tapi masih menjaga aurat. Seluar aku ni tetap berada atas pusat dan melebihi kepala lutut. Bersendiri pun, aurat perlu di jaga.

“Ya Allah, buntu ni. Tolong aku, Ya Tuhan,” doaku bersama akal yang hampir menemui jalan mati.

Masa depan Anaresa semalam, kemain yakin aku bertutur. Kemain galak mengusik dia tapi bila bersendiri, nak menitipkan surat tu buat dia dan menyatakan hasrat hati pada mama dan abah, kecut semacam.

Sudahnya, aku masuk ke dalam semula. Pintu luncur aku rapatkan dan aku terus berlalu ke katil dan merebahkan tubuhku. Memandang ke siling melihat ke arah kipas yang berputar ligat tapi masih tak mampu memberi kedinginan pada tubuh yang hangat ni, lantas aku bangkit semula. Mematikan kipas dan memasang penghawa dingin lalu kembali berbaring.

Tergolek ke kanan, tak kena. Tergolek ke kiri juga tak kena. Wajah Anaresa hadir lagi tapi sayang bila akhir pertemuan kami semalam, wajah Anaresa kelat lepas aku kenakan dia. Mudah merajuk sungguh. Berbezanya wanita yang aku cuba dekati kali ni.

Kalau dulu, Anahara sangatlah unik orangnya. Matang, dingin, tegas dan nampak penyayang malah langsung tidak memandangku dengan sesuka hati. Lain pula dengan Anaresa, nampak kebudakan, cepat melatah, nampak manja dan suka merenung tepat ke wajahku bila bercakap.

Segalanya berbeza. Tapi, aku rasa aku sedang buat salah lagi. Astaghfirullah… apa aku ni? Tak sudah-sudah nak bandingkan dua orang Ana tu. Memang berbeza tapi aku yakin, Anaresa juga hebat seperti mana Anahara dan hati ini kuat mengatakan, dia adalah yang telah Allah dekatkan denganku, untuk menerima cinta ini.

Sudahnya, aku batalkan niat nak tidur dan terus aku bangkit menuju ke almari. Pakaian aku tukar bagi sopan dan terus aku ke bilik air, mengambil wudhuk. Usai itu, aku kembali membentangkan sejadah. Waktu ini, hanya pada Allah tempat aku mengadu. Hanya pada dia aku bermohon belas dan mohon diberi petunjuk pada bisikan hati yang mungkin mengikut nafsu semata-mata.
Setelah memberi salam kedua, aku terus angkat kedua belah tanganku memanjatkan doa moga dipermudahkan segalanya.

“Ya Allah, jika ini adalah kehendak-MU, perkenankanlah. Andai ini jodoh yang telah Kau utuskan buatku, restuilah. Jika dia adalah pendamping untukku curahkan cinta dan kasih ini, kau bukakanlah jalan untuk kami,” doaku penuh rendah diri.

Aku aminkan sepuluh jari ke wajah. Sesudah itu, bagaikan ada satu semangat baru yang meresap ke dalam seluruh urat sarafku membawa aku bersujud tanda syukur dengan keyakinan ini yang kian bertambah biarpun takut masih cuba membaham keyakinan itu. Aku dah tak nak peduli sebab aku tahu apa yang aku lakukan. Yang pasti, mendapat restu abah dan mama serta dilindungi-Nya.

Bangkit dari sujud, aku sekali lagi duduk di meja tulis. Pen mekanikal itu tadi aku capai semula dan kali ini, laju saja aku menconteng dada kertas itu menuntut terma dan syarat serta janjiku pada Anaresa.

Aku yakin dan seyakinnya pasti lalu aku lipat kertas tu. Esok nak minta adik perempuan aku pos laju ke alamat yang Anaresa berikan kerana empat hari lagi, hujung minggu akan menjengah.

***

WAJAH mama jelas terperanjat bila aku lahirkan niat di dalam hati ini. Abah jugak yang cool. Mama ni sentiasa hot. Hot mama. Zafrina, adik perempuanku itu senyum-senyum simpul. Rasanya dia lagi tua dari Anaresa setahun dan adik lelaki aku yang seorang lagi tu, Zafrin lagi jauh beza dengan Anaresa.

“Mana Along kenal dia?” tanya mama.

“Kat kedai buku.”

“Bila kenalnya? Kenapa tak pernah bagi tahu mama? Seingat mama, dulu Along rapat dengan sorang novelis ni tapi bila dia dah kahwin, Along kekal sendiri sampaikan mama nak kenalkan dengan mana-mana calon pun Along tolak. Ni dah ada calon boleh pulak tak bagi tahu mama. Tup-tup ada niat tu baru nak bagi tahu.”

Nada mama jelas kecewa. Aku rasa bersalah juga tapi nak buat macam mana. Memang sebelum ni aku tak ada calon lain selepas cinta tak kesampaian aku tu. Bukan sengaja pun. Nak menipu jauh sekali.

“Mama… Along baru je kenal dia.”

“Yalah, baru tu bila?” Mama jegilkan mata.

“Setahun, sebulan, seminggu…”

“Dua hari sudah,” jawabku memangkas andaian mama.

Apa lagi, makin bulat mata dia. “Dua hari?” Jari mama tegak dua batang. Aku angguk saja.

“Wah, hebatlah Along ni. Kenal dua hari terus ada niat suci murni tu,” tokok Zafrina mengusik.

Aku angkat penumbuk dan dia ketawa tapi tak lama bila mama menjeling tajam. Nak juga aku bahankan dia tapi tak boleh, sebab mama sedang tahan marahnya.

“Abahnya tengok Along ni. Tengok anak jantan abah ni. Masa orang beria nak suruh dia kahwin, nak kenalkan dengan calon yang mama pilih, dia tolak. Tengok-tengok, dia pilih yang dia kenal dua hari?” rungut mama pada abah yang sedang membaca akhbar.
Riuh rumah kami malam ni.

“Alah, dah dia nak, ikut dia lah. Nanti tak kahwin-kahwin sampai tua, awak juga bising nanti, mamanya,” sela abah tenang.

“Along cakap dekat mama? Siapa nama dia? Umur berapa, tinggal kat mana? Along jangan ingat kita nak pergi pasar Selayang je ni. Ni nak pergi rumah orang. Pergi tengok anak dara orang,” tekan mama tak puas hati.

Dia ingat aku tak tahu semua tentang Anaresa. Memang tak semua tapi setidak-tidaknya aku tahu nama penuh dia, nombor kad pengenalan dia, alamat dia dan dia belajar di mana. Kursus pun aku tahu dia sedang belajar dalam kursus apa masa terpandang buku dia hari tu.

“Nama dia Anaresa binti…”

“Hah, surat semalam tu Along pos ke kekasih hati la, ya?”

Dah sekali lagi adik aku menyampuk. Pecah rahsia lagi. Mulut dia memang tak boleh nak zip. Menyesal aku minta tolong dia poskan surat aku pada Anaresa. Tolonglah sangat sedangkan kos pos baru RM5 tapi upah dia RM50. Akhirnya, pecah rahsia juga.

“Surat apa ni? Surat apa?” tanya mama geram.

Zafrina tekup mulut lalu dia bangkit dan menapak ke bilik dia. Yang penting dengan riak tak bersalah meninggalkan mama bertanya sendiri.

“Err… tak ada apalah. Ni Along nak bagi tahu. Nama dia Anaresa. Sekolah lagi…”

“Hah, tingkatan berapa? Along apa ni? Nak kahwin dengan budak bawah umur pulak ke?” soal mama mencantas.

Aku baru nak tepuk dahi tapi sempat brek sebab teringat pesanan Anaresa. Situ ada akal nanti rosak jadi aku tepuk bahu sofa.

“Mamanya, biarlah Along tu cerita. Nak mencantas je kerja dia,” tegur abah sambil menggeleng.

“Entah mama ni,” tokokku pula.

“Maksud Along dia belajar lagi dekat UiTM Shah Alam tu. Along jumpa dia dekat kedai buku dua tiga hari sudah. Ada debarlah mama. Tu yang Along nekad tu. Dulu dah melepas, sekarang ni sayanglah nak biar macam tu je. Umur dia… errr…”

Aku gagap. Mula seriau nak maklumkan umur Anaresa pada mama. Takut kena jerit lagi tapi kata hati ditemani akal aku ni meminta aku berkata-kata jadi aku kumpulkan semangat yang ada.

“Dia umur 20 tahun kot tahun ni.”

Sungguh aku cakap. Mama terus berdiri tegak. Tangan bercekak pinggang. Matanya tajam menyinar.

“20 tahun? Lagi muda dari Rina?”

Aku angguk saja menjawab soalan mama.

“Ya Allah, muda sangat tu, Along.” Mama merungut lagi.

“Muda tak ada hal lah. Janji lepas kahwin boleh jaga suami, boleh beranak, jaga rumah tangga sudah.” Abah menyampuk tenang. Aku memang suka abah.

“Ya Allah, abahnya. Boleh ke dia jaga anak lelaki kita ni?”

“Eh, awak ni mamanya. Apa pulak macam tu? Si Zafran ni lah patut jaga errr… sapa tadi nama dia. Pelik sangat abah dah lupa tapi anak kitalah patut jaga dia, kenapa dia nak jaga anak kita pulak?” bantah abah.

Aku rasa nak angkat tangan menyokong kata-kata abah. Biarlah aku jaga dia, kenapa dia nak jaga aku. Aku haruslah menjadi pelindung dia.

“Masalahnya, Zafran ni kaki makan. Buatnya tak reti masak macam mana?”

Mama memang risau tahap apa aku tak pasti. Tapi, apa susah. Aku makan dekat kedai sementara dia belajar ni.

“Lepas tu, nak tunggu dia habis belajar empat lima tahun lagi, bila masa Zafran nak jadi bapak?” soal mama kali ini lebih keras.

Abah ketawa. Aku telan liur. Rasa lain macam je bila mama sebut ‘bapak’ tu. Ada rasa asing menyelinap dalam diri. Masa ni, teringat Aryana. Bakal anak tak jadi. Mesti dah besar dan comel macam mama dia.

“La, beranak jelah. Apa masalahnya. Pelajar universiti boleh beranak apa tapi kena nikah dululah,” jawab abah lebih cool dari biasa.

“Cakap dengan abang ni memang tak menang! Hah, Along!” Tiba-tiba je mama beralih padaku.

“Kalau Along betul, bila kita nak pergi ni? Dah cakap pada keluarga dia?” tanya mama akhirnya beralah dalam ketegasan.

“Err… harap Anaresa dah bagi tahu dah,” jawabku penuh harapan seperti mana aku titipkan dalam warkah cinta pertama tu.

“Bila nak pergi?”

“Hujung minggu ni,” jawabku takut-takut.

Mama terduduk. Dia tepuk dahi. Mama ni, rosak akal kat situ mama tepuk dahi kuat sangat. Desis hatiku dah jadi macam Anaresa dah.

“Persiapan?”

“Along bagi duit,” jawabku pantas.

“Aduh, sakit kepala mama dengan kamu ni, Zafran,” keluh mama sambil memicit kepalanya.

Aku apa lagi, bila aku lihat mama diam tu, aku tahu mama setuju dan aku cepat-cepat naik ke atas, takut tiba-tiba mama bertukar fikiran pulak.

Dah sampai masanya, saya lepaskan awak pergi jauh dari hati saya Anahara sebab awak milik dia. Tiga tahun saya tegar menjaga rindu ini tapi rasa sarat dihimpit dosa pada Mukhlis. Berlalulah, Anahara kerana saya mahu isi cinta buat Anaresa pula dalam hati ini, bisik hatiku lalu aku ukir senyum dan meraup wajah.

Mata ini aku pejam dan aku berharap, lenaku bertemankan mimpi indah biarpun kosong lagi setakat ini.

***

HUJUNG minggu tiba dalam kesibukan aku di pejabat dan ke tapak. Sarina bercuti. Tak sempat nak bagi tahu dia tentang rancangan aku tapi rasanya, biarlah dulu. Tunggu dapat khabar baik dulu baru aku beritahu dia. Buatnya tak jadi, bikin malu.

Perjalanan menuju ke Kuala Selangor dari rumah aku di Taman Nakhoda, Selayang rasanya tak lah jauh. Dua jam lebih sikit je tapi kenapa aku rasa macam jauh. Dari pagi kami bergerak tapi tak juga sampai. Aku takut sebenarnya. Takut Anaresa menolak lantaran surat itu tak berbalas.

Mazda aku ni agaknya kena service aircond aganya. Berpeluh semacam. Kemeja aku pakai dah lencun. Tapi, orang lain elok je. Atau sebenarnya aku takut. Mama dari tadi tak henti-henti membebel. Baik abah, diam je tak berkata apa. Adik aku yang seorang tu sibuk dok menyiku. Mengusik la konon. Aku usik dia karang.

“Betul ke apa yang kita buat ni, Along?” tanya mama entah kali ke berapa. Padahal kami dah dalam perjalanan pun.
Aku tenang memandu lantas menjeling pada mama dan abah di belakang untuk seketika.

“Betul dah ni. Along nekad dah ni,” jawabku senada.

“Dah awak mamanya, berduyun dah kereta kat belakang kita bawa ni, apa yang tak betul pulak?” tanya abah menyokongku.

Mama mendengus kecil. “Kita nak pergi rumah orang ni, abahnya. Bukan nak pergi pasar beli anak ayam balik bela bagi makan dedak!”

Aku ketawa kecil. Adik bongsuku, Zafrina juga ketawa. Bila mama merengus lagi, kami sama-sama matikan tawa.

“Apa pulak dedak mama ni? Gaji Along lebih dari cukup nak bagi dia makan hari-hari. Lagipun dia kecil je orangnya. Takat dada Along je. Makan pun haruslah sikit,” selorohku.

Padahal dalam hati ni memang aku cuak amat. Takut Anaresa koyak surat yang aku pos pada dia beberapa hari sudah. Aku minta balasan dari surat tu tapi Anaresa tak membalas langsung biarpun, aku dah bagi nombor telefonku.

Sebab itulah, aku beranikan diri meredah juga onak duri ni. Paling tidak, kalau betul tercucuk duri dari awal, mudah aku cabut dan rawat cepat-cepat kalau tidak, aku akan hadap segalanya.

“Mama pening dengan Along ni. Macam-macam hal. Barang-barang ni semua, tak cantik langsung! Cuba bagi masa sikit mama siapkan cantik-cantik, haih…” Mama terus mengeluh.

Aku pandang Zafrina dan abah kemudiannya. Abah mencebik. Adikku juga tapi aku pelik sebab aku tak tahu, mama pening sebab rancangan aku atau pun pening sebab barang di tangan dia tu cantik.

“Cantik dah tu,” ucapku menyedapkan hati mama.

Sudahnya dia diam dan membebel sendiri. Aku pula tenang memandu pada kelajuan macam nak pergi pasar besar sebab takut kereta lain sesat. Sabar jelah. Baik naik kereta lembu bila kereta lain kiri kanan, memotong kereta aku.

Akhirnya, kami tiba. Tak banyak sangat kereta. Dalam tiga buah je termasuk kereta aku. Nak merisik je kot. Kalau ada rezeki bertunang terus. Bulan depan kahwin terus. Senang. Tapi, rasanya tak semudah tu.

“Assalamualaikum,” laung abah kuat.

Tak lama kemudian, pintu terbuka luas dan muncul tuan rumah. Lelaki yang agak tinggi dan kasar susuk tubuhnya. Ada misai tebal macam sarjan pencen.

“Waalaikummussalam,” jawab dia.

“Dah sampai, naik-naik.”

Aku terlopong juga. Dah sampai? Dia ada tunggu rombongan lain ke? Ke memang Anaresa dah bagi tahu keluarga dia? Emm, boleh jadi juga.

Nak tak nak, kami naik dengan rombongan beserta dulang hantaran yang mama cakap tak cantik tu. Tak cantiklah sangat. Duit aku bagi seribu ringgit tak cukup katanya. Aku pun tak tahu apa mama buat dengan hantaran tu.

“Jemputlah duduk,” pelawa tuan rumah lagi.

“Zaki,” beritahu abah memperkenalkan diri.

“Lah. Abdullah,” sahut bapa Anaresa pula. Haruslah bapa dia sebab nama Abdullah.

“Err.. kami ni datang sebab anak bujang kami haa…” Abah tunjuk ke arahku. Aku angkat tubuh dan menyalami bapak Anaresa.

“Zafran, pakcik.” Aku memperkenalkan diri tapi aku terkesan senyum sinis pak cik ni.

“Pak cik dah tahu. Yang hantar surat dekat Ana tu, kan?” tanya dia berbisik.

Aku telan liur yang terasa kelat. Mama tolong. Aku ingatkan Anaresa yang dapat surat tu tapi bapak dia pulak ke? Ke Anaresa nak kenakan aku bagi surat aku pada bapak dia? Aku terkejut juga. Mereka bagaikan dah bersedia dengan kehadiranku

“Errr…” Aku kehilangan kata. Pak cik Lah menepuk pehaku beberapa kali.

“Inilah anak jantan, cakap je terus datang tapi Ana tak ada. Tak jadi balik. Katanya hari ni. Kejap lagi mungkin sampailah kot. Tapi niat kamu tu, pak cik boleh perkenankan je,” ucap dia kali ini agak kuat.

Abah memandangku. Mama juga. Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang ku kira tua sikit dari mama. Pastilah mak Anaresa. Dia duduk lantas bersalaman dengan mama dan yang lain.

“Ini ke Zafrannya?” tanya dia. Aku angguk.

Lepas tu, keluar pula dua tiga orang wanita yang agak muda. Tak pasti, adik atau kakak Anaresa menatang dulang hidangan.

“Macam inilah, kalau kata anak bujang Zaki ni dah berkenan dengan anak gadis kami tu, kami tak ada halangan. Tapi, tuan punya diri tak tahu lagi tu. Macam mana, Ani?” tanya Pak cik Lah pada isterinya.

“Nak tunggu Ana pun boleh, tak nak tunggu pun boleh,” jawab Mak cik Ani pula. Memang menyokong habis.

“Ala, terima jelah, mak,” sela salah seorang wanita muda tu. Aku rasa kakak Anaresa kot.

“Buatnya adik kamu tolak?”

“Tak akanlah. Dia kan dengar kata. Bila lagi nak bagi dia berdikari sikit. Ni tiap-tiap minggu balik. Manja sangat,” tokok yang seorang lagi pula..

Bila aku pandang dia, dia senyum padaku.

“Emm… seeloknya, kita tunggu Anaresa jelah dulu, kan abang?” cadang mama. Abah angguk dan aku juga.

Abah dan Pak cik Lah berbual sesama dengan rombongan lelaki yang ada dua tiga orang. Kawan abah semuanya. Mama pula dengan Mak cik Anisah dan juga rombongan perempuan. Termasuk adik aku, Zafrina. Tak jauh dari mama. Hanya akulah yang perlu mengesot ke pintu menjadi kera sumbang menanti Anaresa tiba. Ingatkan betul waktunya. Rupanya tertunda.

Hampir aku nak terlentok sebab mengantuk, tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara orang memberi salam. Rasa takut mula menyelinap dalam diri. Aku tahan hati dan perasaan debar ni. Zafrina dah sengih-sengih.

“Assalamualaikum, bu,” laung suara itu lagi dan aku dengar derap tapak kasut berlari menaiki anak tangga kayu tu.

“Waalaikummussalam,” jawab penghuni dalam rumah ni hampir serentak.

Mama pantas bangkit. Wajah tu ghairah je nak tatap bakal menantu. Zafrina juga sama. Boleh dikatakan semua orang bangkit menuju ke pintu. Hanya aku yang mengintai sikit nak lihat wajah Anaresa.

“Err… siapa ya?” tanya Anaresa pelik.

Sungguh, aku terpana melihat dia berbaju kurung dari jenis kain kapas dengan tudung terlilit kemas di kepala tapi, bila aku pandang di bawah, dia pakai sneaker Nike merahnya mak ngah tu dengan baju kurung? Fesyen apa pulak ni? Mama pandang aku penuh pelik dan aku hanya mampu mengerutkan wajah.


~~> bersambung

Cik Penulis : Errr.. tak tahu nak kata apa...maaf atas kekurangan (ayat sama je)

Kerana Sekali Cinta [1]

BAB 1

DARI tadi, aku asyik memandang wanita ini. Nampak unik perwatakannya. Sebenarnya tidaklah unik mana. Nampak terlebih kalut secara tepatnya. Jemariku terus membelek helaian naskah yang ada di tangan namun mata ini, setia mengerling ke arah dia.

Sekejap buku yang dikeleknya terjatuh, sekejap pula beg yang disandangnya melurut jatuh hingga akhirnya beberapa buah buku yang dia jinjit bertaburan di atas lantai.

“Ya Allah, kenapalah aku cuai sangat ni?” Dia tepuk dahi.

Aku dengar dia bertanya begitu dan haruslah pada dirinya sendiri membuatkan aku senyum di hujung bibir. Novel baru itu aku capai dan terus aku menapak ke arahnya. Tubuh ini aku tundukkan membantu dia mengutip beberapa buah novel yang berteraburan itu.

“Errr…terima kasih, encik,” ucap dia padaku lantas kami sama-sama bangkit biarpun aku tahu wajah comel itu nampak terkejut.

“Sama-sama. Lain kali hati-hati sikit,” pesanku lalu aku bawa buku dia menuju ke kaunter MPH untuk membuat bayaran. Ada niat lain sebenarnya.

“Eh, mana encik nak bawa buku saya tu?” jerit dia tapi aku sengaja buat tidak peduli lantas aku percepatkan langkah menuju ke kaunter kerana aku tahu, dia sedang mengikuti langkahku.

Fuh, dah kena beratur ramai. Sebabnya satu je, pelajar-pelajar sibuk nak habiskan baucer buku 1 Malaysia. Nak daftar bagai menyebabkan aku yang bukan pelajar ni terpaksa beratur sama.

“Err… maaf encik. Minta buku saya boleh?”

Suara gadis itu lembut menegur aku. Aku lambat-lambat berpaling pada dia dan seperti biasa, aku hadiahkan dia sekuntum senyuman tipis.

“Tak apa. Saya tolong pegang sampai ke kaunter, ya?”

Dia menggeleng. “Tak apalah, encik. Saya dah biasa bayar sendiri semua.”

“Saya tak kata nak bayar tapi saya nak tolong awak pegang buku ni sampai kaunter je. Nanti berterabur lagi. Dahlah tangan awak tu dah penuh,” ujarku agak sinis.

Dia nampak gamam dengan mata yang terkebil-kebil memandangku. Kemudian dia memandang kedua belah tangannya. Sebelah memegang beg galas, sebelah lagi memegang buku lukisan dan di celah ketiaknya, ada juga barang. Memang kalut budaknya.

“Err.. terima kasih,” ucap dia akhirnya. Mengalah dan aku terus menghalakan pandanganku ke hadapan. Bergerak selangkah demi selangkah mendekat ke kaunter.

Bila tiba je giliran aku, aku persilakan gadis itu terlebih dahulu. Memberi laluan kepada kaum hawa. Kaum yang lemah. Bila buku itu aku letak di atas kaunter, dia nampak janggal menjeling ke arahku yang ada di sisinya.

Bukan aku peduli sangat pun. Aku masih ralit melihat ke arah sepotong nama pena yang ada pada kulit depan buku itu. Semakin hebat dia dari tahun berganti tahun.

“Okey, semua RM57.00, ya,” beritahu juruwang MPH setelah dia menyemak semua harga.

Aku masih berlagak selamba membelek buku yang aku pilih. Karya wanita yang pernah mengusik ketenangan hati ini dan akhirnya, daripada dia dan suaminya aku berjaya kenal erti cinta. Ada rindu hadir di hati tapi rindu kala ini mampu membuatkan aku tersenyum apatah lagi melihatkan wajah itu berseri-seri kala sah diikat semula oleh lelaki yang dia cintai.

“Eh, kena daftar dulu ke?”

Tersentak aku dibuatnya. Dalam melayan kenangan, suara budak perempuan ni masuk ketat ke dalam telingaku.

“Laa, saya nak cepat ni, kak. Tak boleh ke terima macam ni je?” tanya dia pada juruwang itu.

Juruwang itu menggeleng. “Ni polisi kami. Takut ada penipuan nanti.”

Aku pandang dia lama sebelum dia berlalu. “Kenapa?” tanyaku pada dia lalu dia unjukkan baucer buku percuma itu padaku. Dalam hati ini hai… budak sekolah rupanya.
Gadis itu mengeluh. Dia mengambil kertas baucer buku itu dan menapak ke arah meja untuk mendaftar. Aku terus membuat bayaran pada sebuah novel yang aku ambil tadi termasuk buku-bukunya. Senang! Jenuh nak tunggu padahal aku punya sebuah buku je.

Bila dia kembali, dia letakkan kepingan baucer tu di atas kaunter. Aku capai pantas tanpa melihat ke arah kepingan itu.

“Eh, kenapa ni encik?” tanya dia cemas.

Aku hulurkan resit dan plastik MPH itu padanya. Mata itu bulat. Sungguh agak sama dengan wanita itu. Namun, kematangan dia di depanku ini agak kurang menyerlah. Dengan jeans lusuh, kemeja, selendang yang membelit kepala dan paling menarik, sneakers Nike berwarna merah garang itu di kakinya.

“Eh, encik dah bayar ke?” tanya dia. Aku angguk dan terus berlalu ke pintu keluar.

Takut hendak merenung dia lama-lama bimbang aku terpaksa melupakan cinta lama yang sama sekali aku tidak sudi kisah itu pergi dari hati.

“Kenapa encik bayar?” soal dia. Jelas sangat dia tak puas hati.

“Sebab awak lambat. Nanti saya kena beratur lama pulak sebab nak tunggu awak. Saya banyak kerja lain,” jawab aku mendatar.

“Err… terima kasih tapi saya kena bayar balik ke?”

Huh, memang polos betul soalan dia ni. Ada ke tanya macam tu? Tapi, aku rasa kalau aku kata ya, boleh jumpa lagi tak? Untuk apa? Aku sendiri tak pasti.
Mata ini sekali lagi mengerling sekilas ke arah baucar itu. Tertera namanya membuatkan langkah kaki ini terhenti dengan sendirinya.

“Encik saya punya baucer tu,” mintanya.

Aku berpaling menghadap dia. Mata itu aku renung dalam-dalam hinggakan dapat aku kesan dia mula tidak selesa.

“Err… encik! Baucer buku saya,” ulangnya macam nak tutup kegelisahan.

“Nanti saya ganti balik cash pada encik tapi…” Suara dia mati bila aku makin tajam merenung dia.

“Anaresa?” tanyaku.

Dia angguk. “Anaresa binti Abdullah. Tu nama saya,” ucap dia.

Aku pandang sekali lagi baucer itu. Melihat ke arah tahun kelahirannya membuatkan aku senyum sendiri. Sebelas tahun berbezanya umur kami. Gadis ini baru menginjak dua puluh tahun. Padanlah nampak ranggi pemakaiannya namun masih menutup aurat dan sopan.

“Anaresa,” ulangku menyebut nama unik itu membuatkan aku merindui dia. Merindui seseorang yang bukan menjadi kepunyaanku malah dosa pula aku miliki nanti.
Anahara… seru hatiku tiba-tiba.

“Encik boleh panggil saya Ana,” ucap dia dan sekali lagi aku terkejut sendiri.

“Tapi, saya nak cepat ni. Kalau encik nak saya ganti balik duit encik, kita jumpa kat sini esok masa sama, ya. Assalamualaikum, encik errr…”

“Zafran,” jawab aku tenang sedangkan resah dalam hati ini macam guruh dah bila dia menyebut nama pendeknya.

“Oh, Encik Zafran. Terima kasih, ya dan baucer saya tu…”

“Saya pegang buat cagaran,” balasku dan dia terus berlari bila aku lihat ada temannya yang sedang melambai membuatkan aku kembali mencari wajah yang hampir bertahun tidak ku temui.

***

MASUK je pejabat, aku terus rapatkan daun pintu. Biasa aku buka je tapi kali ini rasa nak tutup. Kenapa tu, aku sendiri tak pasti. Tapi rasanya sebab dia. Ya dia. Bukan Anahara tapi Anaresa.

Kedua-dua wanita yang mempunyai nama yang unik dan hampir sama tapi sikap dan cara yang berbeza. Seorang bersikap selamba dan seorang lagi bersikap tertutup sungguh. Selama aku berpisah dengan Anahara, belum pernah sekali pun hati ini terusik dengan mana-mana wanita tapi kenapa dengan Anaresa ada rasa lain? Memang pelik.

Buku hasil karya Anahara itu aku belek lagi. Baru sikit aku baca. Hanya kerana dia, aku menjadi mamat novel. Tak ada nak jiwa sangatlah sebab buku dia je aku baca. Namun, tiap kali aku baca bait-bait ayatnya, pasti ada rasa sebak hadir.

Helaian demi helaian aku belek hingga akhirnya baucer buku Anaresa jatuh dari celah-celah buku. Terus tak jadi nak belek buku itu lalu aku tutup dan letak ke tepi. Sebaliknya aku tatap lama sebaris nama dia. Tanpa sedar, aku bawa telapak tanganku ke dada dan sungguh, ada detak pelik kat situ. Detak yang hanya ada kala aku menatap wajah isteri orang itu.

“Zaf!!”

Aku tersentak. Cepat-cepat aku selitkan baucer tu dalam novel dan terus aku panggung kepala melihat ke pintu.
Wajah Sarina tersembul bersama senyuman lalu dia menapak mendekat dan terus duduk di depan aku. Tanpa pelawa, itu sudah pasti. Tunggu aku jadi bos memang aku marah dia cukup-cukup.

“Apalah kau ni, Ina. Suka main ambush je,” tegurku bersahaja.

Dia senyum saja. “AKu risau kau tak sihat. Tutup pintu tiba-tiba. Tu aku terus masuk je,” ucap dia membela diri.

Aku mencemik. Dari ekor mata, aku terperasan yang Sarina sedang menjeling ke arah novel yang baru aku miliki itu.

“Kau beli lagi buku ni?” tanya Sarina.

Aku angguk saja lalu aku membelek kertas laporan yang ada di depan mata hendak melarikan hakikat yang bakal Sarina persoalkan nanti.

“Sampai sekarang kau masih ingatkan Ana ke, Zaf?” soal Sarina telus. Dia memang tak berlapik dah. Malas nak menjawab, aku buat tak tahu je.

“Kawan tu dah bahagia dengan keluarga dia, kau yang nak merana kat sini buat apa? Zaf…,” seru Sarina.
Dia tarik buku laporan itu ingin menarik perhatianku pada kata-katanya. Nak tak nak, aku pandang juga wajah kawan aku ni. Kawan yang membawa aku ada rasa hendak bercinta tapi akhirnya tak kesampaian.

“Biarpun aku kenal Ana lagi lama dari kau, aku lagi risaukan kau, Zaf. Tak bolehlah macam ni. Dah tiga tahun kot hal kau dengan Ana berlalu. Dia dah bahagia sangat dah. Kau tu ha. Sampai bila nak membujang macam ni? Tak ada pun, carilah steady dulu,” cadang dia.

Memang tiap kali Sarina sebut nama Ana itu akan membuatkan hatiku hampir melompat keluar tapi kali ini, cepat-cepat aku cari akal hendak memutuskan langsung telahan dia yang memang berasas tu.

“Aku memang ingatkan Ana tiap-tiap masa, Ina. Tapi ka utu jangan salah faham. Aku tak cinta isteri orang tau. Aku ingat Ana jugak. Cuma bukan Anahara tapi Anaresa.”

Novel di tangan Sarina aku tarik dah kemudiannya aku keluarkan sekeping baucer buku tu.

“Nah… tengok. Jangan tak percaya sudah!” tekanku sinis.

Aku lihat mata Sarina bulat sikit. Aku yakin dia terkejut melihatkan tahun kelahiran Anaresa tapi aku memang tak peduli. Tiga tahun ni pedih telinga aku. Sakit hati aku bila dia ungkitkan cinta tak kesampaian aku tu. Dah lah cinta pertama tu. Mahu tak parah hati.

“Kau biar betul, Zaf? Budak sekolah lagi ni.”

Seperti ku telah, Sarina memang tak akan puas hati. Al-maklumlah, bezanya aku dengan Anaresa tu sebelas tahun dan aku juga yakin yang Anaresa tak mungkin nak pandang aku tapi kejap. Kenapa aku nak dia pandang aku? Apa kaitan? Mengeluh hati ini seketika.

“Mana kau jumpa budak ni?”

“MPH.”

“Bila?” Sarina makin teruja.

“Lama dah,” selaku menipu.

“La, tak cakap pun dekat aku. Penat aku membebel bagi nasihat dekat kau lupakan Anahara tu. Kau ni. Tapi, tak muda sangat ke? Parent kau boleh terima ke, Zaf?”
Sarina ni memang banyak kerisauan. Mujur dia dah kahwin dan dah ada anak pun. Kalau tak, memang aku rasa dia suka aku sebab cara dia mengambil berat pada aku memang lain macam tapi aku tahu, dia tetap berasa bersalah setelah kes dulu tu.

“Siapa cakap aku lupakan, Ana? Aku tak pernah lupa pun. Tapi, ka utu selalu salah faham. Aku ingat dia macam kawan jelah. Kan aku yang tolong dia jumpa suami dia semula dulu tu. Tapi, Ana yang ni memang aku tak lupa.” AKu sengih pada Sarina menyembunyikan gundah.

Mana mungkin aku lupakan Ana pertama dalam hati aku dan aku harap, hadirkan Ana yang kedua ini biarpun hanya seketika mampu menghalau Ana lama itu pergi. Dia bukan milik aku dan akan kekal begitu.

“Kalau macam tu, aku tak risau dahlah nak sampaikan salam Anahara sekeluarga pada kau.” Sarina berubah ceria.

“Err… Ana call kau ke?”

“Haruslah. Aku kan satu-satunya kawan baik dia. Dan ya, dia kirim salam rindu pada kau,” beritahu Sarina membuatkan aku menggeletar sendiri.

“Rin… du?” tanyaku.

Sarina mengangguk. “Rindu sebagai kawan katanya. Kau kan dah ada Ana baru. Dahlah, aku keluar dulu. Ingatkan kenapalah kau nak tutup pintu bilik ni.”
Sarina langsung bangkit dan terus menapak ke pintu. Tanpa aku pinta, dia kuakkan pintu bilikku terbuka lebar. Baru aku nak fokus pada nama Anaresa dan salam rindu Anahara tu, wajah Sarina muncul kembali. Kali ini nampak serius je.

“Hah, apa lagi?” tanyaku dengan mengangkat dagu.

“Aku harap Anaresa tak dibayangi oleh Anahara, Zaf,” pesannya lembut lalu dia berlalu setelah dia mengukir sekuntum senyum paksa.

Aduhai, apalah aku buat ni. Buat Sarina fikir yang aku benar-benar punyai Anaresa dalam diri padahal aku baru je jumpa gadis ranggi ni. Langsung tak menepati citarasa. Jauh beza dia dengan Anahara dan pastilah kini… erkk.

Aku diam. Kata-kata Sarina terbukti dalam sekelip mata. Aku sedang membandingkan dua orang wanita itu kini membuatkan aku tepuk dahi lantas mengucap berkali-kali.
Lupakan semua. Esok aku akan pulangkan baucer Anaresa ni dan cukuplah nama Ana ada dalam diri aku. Dah penat. Nak cari nama Ton ke, Nab ke, Jah ke. Lagi senang. Aku muktamadkan perasaan yang bukan milik aku sebab segalanya miliki Allah dan sungguh, aku sentiasa berdoa moga Allah menuntun hatiku menyebut nama yang sepatutnya.

***

KAKI ini berat je nak melangkah. Bukan apa, ada rasa takut pada diri sendiri. Lelaki sejantan aku takut nak melihat ke arah wajah budak sekolah tu pulak dah. Itu yang pelik. Tapi, aku kuat katakan dia tak akan datang dan kalau datang pun, haruslah dia telah pulang kerana aku sudah terlambat tiba hampir sejam.

Semalam tu aku dari site, jadi ponteng kejap masuk kedai buku tapi hari ni daripada pejabat, waktu rehat baru mula jadi memang aku lambat. Biarpun aku tak sengaja, tapi bersyukur juga bila keluar lambat dengan tak sengaja ni.

Sedang aku memanjangkan leher menjenguk ke dalam MPH SACC Mall ni, aku terkejut bila bahuku dicuit sikit.

“Lama saya tunggu. Terpaksa ponteng kuliah hari ni,” ucap dia.

Bila aku berpaling ternyata Anaresa tersenyum tenang padaku. Wajah itu sedikit pun tiada beriak marah malah nampak mesra lain macam hari ni. Tak adalah kalut dia tu.

“Err… sa… ya baru lunch time ni. Bukan sengaja,” balasku gagap.

Dia angguk. “Saya tahu sebab tu saya sanggup tunggu. Nah…” Dia hulurkan sekeping not RM50 dan sekeping not RM10 padaku.
Dalam hati aku berkira-kira. Nak ambil ke tidak. Nak ambil ke tidak. Bila fikir, apalah sangat duit RM60 tu andai nak dibandingkan dengan gaji aku ni. Tak luak dengan rezeki yang Allah bagi jadi niatkan sedekah jelah. Moga ada pahala untuk aku nanti.

“Tak apalah. Saya datang ni nak pulangkan baucer awak ni je. Duit tu awak simpan jelah. Awak kan budak sekolah. Nak pakai duit banyak. Anggap jelah saya bersedekah.”

Anaresa menggeleng. “Tak apalah, encik. Biasiswa saya insyaAllah cukup untuk saya sepanjang semester ni. Kalau tak cukup, saya minta dengan encik boleh?” Dia senyum.

Aduhai. Memang cantik dia ni. Mata bundar, alis tak lentik sebaliknya macam cucur atap saja. Lurus tak bengkok tapi sesuai je dengan dia. Hidung pun tak lah mancung tapi bibir mungil merah merekah tu memang menampakkan dia comel dan sempurna.

Kejadian Allah segalanya sempurna dan bila dia ketawa kecil, aku nampak Ana yang dulu membuatkan aku tepuk dahi. Ya Allah, apa aku ni?

“Eh, encik saya gurau je. Jangan sampai tepuk dahi macam ni lah. Tak elok. Kat situ ada akal, nanti rosak pulak,” tegur dia sopan.

Nampak je ranggi tapi sangatlah bersopan. Tiap tutur katanya memang membuatkan ku ingat pada Anahara biarpun isteri orang itu sangatlah dingin selama kami berteman. Lain benar dengan Anaresa. Ada rasa hangat yang menjalar dalam hati. Apakah rasa ini? Pelik!

“Eh mana ada. Saya okey je kalau betul awak nak saya support awak belajar. Dengan syaratlah tapi…” Aku matikan ayat.

Lelaki, kan? Apa nak kata. Mula la nak menyakat je. Tapi, kalau dia sorong bantal, aku memang nak lena. Senang kerja aku.

“Syarat? Eh encik ni. Ada terma dan syarat pulak dia. Padahal nak pulangkan baucer je kot,” sela dia mengejek. Riak wajah itu pun jelas dia sedang sinis.

“Saya cakap betul apa. Dah awak nak saya support nanti, bukan setakat RM60 tu je, seumur hidup saya support awak,” ujarku semakin berani.

Dia jungkit kening. “Wow, seumur hidup. Tawaran terhad ni.”

“Memang terhad dan pendek je tempohnya. Bagi alamat awak. Saya hantar syarat-syaratnya,” mintaku.

Semangat semakin menggebu. Aku kena percaya, bak kata Anahara dulu, dia sendiri tidak menjangkakan yang Tuhan telah hantar jodoh padanya dengan cara yang tersendiri dan aku juga harus yakin, mungkin jodohku lebih unik daripada dia.

“Eh, nak buat apa?”

“Awak nak bayar saya harga buku semalam tu, kan? Nanti saya hantar jumlah dengan bunga sekali. Masa tu, awak bayarlah,” tekanku serius.
Berubah air wajah Anaresa. Langsung hilang ketenangan dia.

“Atau awak memang nak terhutang budi pada saya selamanya? Jangan suka terhutang budi, nanti tergadai body, payah.” Aku usik dia lagi.

Wajah itu kalut. Seperti pertama kali juga, beg sandang dia melurut ke kaki. Buku yang dikeleknya juga jatuh. Aku pantas tunduk dan mengutip. Comel sungguh. Pantang terusik, wajah kalut itu mencuit naluri lelakiku dan adakah ini bermakna aku bersedia menggantikan nama Ana lama itu dengan Ana yang baru, aku sendiri tidak pasti namun satu yang pasti, aku akan usahakan.

“Errr… tak nak macam tu.” Dia menggeleng berkali-kali.

Pantas dia gapai beg dia dari tanganku lalu dia keluarkan sekeping kertas dan sebatang pen. Jemari itu ligat menulis dan akhirnya, dia hulurkan sekeping kertas bertinta tangan itu padaku.

Aku senyum puas. Rancangan spontan kau berjaya.

“Itu alamat saya. Alamat kampung lagi. Minggu ni saya balik dan saya akan selesaikan hutang encik beserta bunga sekali.” Laju je dia berkata-kata.

Aku angguk dengan muka tanpa riak. “Betul ni awak balik kampung hujung minggu ni?” soalku pinta kepastian.

Dia angguk. “Dan encik pastikan surat encik tu sampai tepat pada masanya. Saya tak suka berbudi. Nak-nak dengan lelaki tahi hidung kelat macam encik ni,” tekan dia lantas dia berlalu tanpa mengambil baucer bukunya.

Lagi mudah kerja aku. Tahi hidung kelat dia kata. Kelat pun kelatlah. Ada niat yang baik dalam hati tapi rasa takut tu lebih menebal tapi sekali melangkah, aku akan teruskan. Allah akan membantu rancangan gila aku ni.

~~> bersambung

Cik Penulis : Cerita err...entah.. tak plot pun then main tulis je. Memang tak ada keje atau saya memang suke menulis. Haihh.. sabor jelah.layan komen dan maaf atas kekurangan

Wednesday, March 28, 2012

Ku Ingin Milikimu [25-Akhir]

BAB 25 (Akhir)

CINCIN emas itu berkilau di mataku. Bibir ini tidak lekang dengan senyuman. Akhirnya, bahagia sudi juga hadir menjengah ke dalam diri ini setelah apa yang aku lalui selama ini.

Aku pandang jari manisku lama. Lama sungguh jari itu kosong. Pernikahan pertama dulu juga jari itu kosong sebenarnya. Apatah lagi dengan segala persiapan dan persalinan. Tapi hari ini, lain macam pula. Aku bangkit dan membawa tubuhku ke hadapan cermin.

Melihat diriku yang sudah dirias cantik dan sempurna oleh Mak Andam. Tidak ku sangka, aku berpeluang memakai perhiasan sebegini indah dan diraikan di dalam majlis yang cukup meriah dan besar. Sungguh aku rindu dia tapi sungguh juga kudrat bukan di tanganku lantas aku menerima percaturan takdir dengan penuh redha dan rasa syukur.

Inai yang merah di jari memberikan seri pengantin yang aku sendiri sukar hendak menggambarkan rasa hatiku kala ini. Sungguh aku syukur lantas aku raup wajahku berkali-kali.

“Moga segalanya menjadi yang terakhir buat hamba kali ini, Ya Allah,” doaku perlahan.

Tanpa sedar, mak menolak daun pintu. Dia berjalan menuju ke arahku. Tubuhku dibelek dari atas ke bawah.

“Alhamdulillah, mak bersyukur sebab dapat tengok Ana dalam persalinan pengantin ni,” ucap mak agak sayu.

Aku paut tubuh mak dan memeluknya erat. “Maafkan Ana, mak,” ucapku pula.

“Ana tak salah. Yang terjadi, biar saja terjadi. Terima aturan Allah dengan hati yang terbuka kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat Ana,” balas mak tenang.

Aku angguk sekali. Ada air yang bergenang di tubir mata lantas aku bawa hujung jariku menyekanya. Tidak mahu merosakkan kecantikan seni andaman ini kala hendak menyambut si dia yang telah halal buatku.

“Ana betul-betul yakin dengan pilihan Ana kali ini, kan?” duga mak. Aku nampak kerisauan di dalam riak wajahnya.

“Ana yakin, mak. insyaAllah. Moga dia yang menjadi yang terakhir buat Ana,” ucapku meyakinkan mak.

Mak angguk dan dia menarik wajahku lantas dahiku dikucup seketika sebelum dia berlalu keluar dengan mengesat juring matanya. Aku pandang ke sekitar bilik yang dihias cantik. Segalanya putih bersih. Hanya beberapa kuntuman bunga lili berwarna ungu saja yang menghiasi sudut-sudut bilik dan juga katil pengantin. Bilik yang sama kala pertama kali aku bergelar isteri dulu dan hari ini, status itu kembali lagi menjadi miliki atas izin Allah.

Cadar putih itu aku sentuh. Material yang selembut sutera hasil ilham mertuaku sendiri. Agak cerewet dia sebenarnya. Tapi, kekalutannya itu cukup membuatkan aku dan suami ketawa sendiri.

Katanya, biarlah dia meraikan pernikahan kami dalam suasana yang meriah buat pertama kali dan buat terakhir kali ini. Betapa kami memujuk dia agar tidak mengadakan majlis ini di mana-mana hotel besar dan akhirnya dia bersetuju dengan kehendak kami suami isteri dengan wajah yang keruh.

Aku pejam mata kala menyentuh cadar lembut itu. Suara dia terngiang-ngiang di telinga memujukku kala itu. Benar, mencintai dia membuatkan aku rasa detak hati ini terhenti kala dia melangkah pergi. Cinta yang membuatkan aku sedar, Allah memang mahu kami miliki jodoh itu hingga ke syurga.

***

“AWAK okey, Ana?” tanya Zafran risau.

Aku kalih pada dia yang nampak sedih di sisiku. Berdiri kaku di pintu masuk KLIA melihat pengunjung dari segenap pelusuk dunia yang bergerak tak henti-henti sedangkan bagiku, waktu itu telah lama terhenti setelah dia tiada lagi di sisi.

“Ana, jawab saya. Awak okey, kan?” tekan Zafran lagi sekali.

Aku angguk saja sedangkan dalam hati ini menidakkan segalanya. Menidakkan hakikat tapi sungguh, tiada kudrat hendak melakukan demikian.

“Nope, you are not okay, Anahara. You are not. Jangan macam ni, Ana. Kita tahu Mukhlis ke mana. Kita pergi cari. Saya temankan awak cari dia,” cadang Zafran padaku membuatkan aku memandang dia dengan tidak berkelip-kelip.

“Saya tak akan cari orang yang tinggalkan saya, Zafran. Memang salah saya sebab silap tak dengar penjelasan dia, tapi dia yang pergi sebab dia memang dah sepatutnya lama pergi dari hidup saya dan hari ini, bila takdir membawa dia pergi, saya tak akan kesali. Percayalah!” tekanku pada Zafran yang nampak sedang menahan airmata lelakinya dari gugur.

“Kenapa nak jadikan hidup awak macam kisah novel yang pernah awak buat, Anahara? Novel itu takdir di tangan awak. Tapi, hidup awak ni, takdir di tangan Allah.”

“Sebab tu, saya katakan saya tak akan kejar orang yang pergi dari hidup saya. Dia pergi kerana dia rasanya perlu. Sebab takdir yang berkata begitu. Saya sedar, saya penulis dan takdir watak itu dalam tangan saya, tapi ini memang di luar kudrat saya dan saya terima dengan hati yang terbuka,” sahutku pantas bersama airmata yang akhirnya bertali arus setelah lama aku menahan.

Zafran ketawa sinis. “Terima dengan redha tapi menangis. Jangan menipu, Ana sedangkan awak bukan pandai nak menipu pun. Riak awak, bahasa tubuh awak, lirikan mata awak, semuanya ada Mukhlis. Tak mungkin awak boleh lupakan dia.”

“Saya boleh dan saya doakan moga Allah terbalikkan hati saya sekarang juga. Menerima apa adanya yang telah dia berikan pada saya termasuk awak, Zafran,” luahku bersama esakan dan pandangan yang semakin kabur.

Zafran nampak terpaku. “Saya tak nak jadi pengganti macam tu je, Ana sedangkan saya tahu, awak tak ada cinta untuk saya,” bantah dia.

“Saya tak perlukan cinta lagi. Saya cuma perlukan setia dan saya tahu awak mampu setia dan menjaga saya. Maaf atas keputusan drastic macam ni, tapi untuk melupakan yang lama, saya perlukan yang baru. Mulakan segalanya yang baru. Termasuk kisah hati saya,” luahku jujur.

“Jangan melulu buat keputusan, Ana. Saya takut Ana menyesal nanti.” Zafran meraup wajahnya.

Aku terdiam. Tidak tahu berkata apa lagi bila hati lebih menguasai akal lantas bermulakan ungkapan yang tidak memberi erti.

“Anahara, tanpa diri awak, saya mungkin hanya manusia tanpa cinta dan hanya diri awak yang bisa membawa syurga dalam hati saya dan saya ingin awak menjadi milik saya kerana saya akan mencintai awak, menjaga awak selama hidup saya. Saya berjanji hanya awaklah yang saya sayangi dan saya akan setia disini menemani awak jika itu yang telah Allah tetapkan. Tapi, jodoh memang jauh antara kita, Anahara dan hakikat itu saya dah lama terima sebenarnya kerana saya masih mahu mencuba. Kita bukan untuk antara satu sama lain, Ana dan saya yakin, satu hari nanti seseorang itu akan datang menyerah pada saya untuk menjadi milik saya, untuk saya cintai,” ucap Zafran tenang namun jelas sebak di dalam setiap patah ayatnya.

Aku telan liur berkali-kali. Bibir ini aku ketap hebat dan mata ini memandang ke atas namun airmata dan sendu juga tidak mampu terbendung lantas ku biarkan saya ianya mengalir lagi.

“Awak dah buktikan cinta awak pada Mukhlis dengan titisan airmata itu, Anahara. Untungnya dia memiliki dan merasai nikmat cinta awak. Saya yakin dia akan kembali, Ana. Percayalah.” Zafran terus memujuk.

“Saya tak harap… kan… tak a…kan harapkan… dia kembali la…lagi.” Suaraku terketar-ketar dan kali ini lebih ketara bila seluruh tubuhku bergetar menahan sendu.

Aku palingkan seluruh tubuhku menghadap Zafran. Wajah itu aku tatap sepenuh hatiku. Andai ini kehendak-Mu, Ya Allah, aku mohon, Kau palingkanlah hati dan cinta ini pada dia yang teguh berdiri di depanku. Buanglah sejauh mungkin cinta di hati ini pada dia yang telah pergi. Doa hatiku penuh rendah diri berharap belas ihsan dari Yang Maha Esa.

Esak tangisanku kian meninggi. Usah dikira malu, aku lebih rela menangis kala ini daripada terus menitiskan airmata di kemudian hari.

“Anahara… jangan macam ni. Awak buat hati saya sedih. Kita cari Mukhlis. Kita cari,” tekan Zafran sekali lagi.

Bila aku menggeleng, tanpa sedar kakiku kian longlai. Sudah tidak mampu menanggung batang tubuh sendiri dan pantas aku rasa tangan Zafran cuba memaut tubuhku yang hampir rebah namun belum sempat dia singgah menyapa lenganku, tanpa sedar aku kini berada kemas di dalam pelukan seseorang.

“Abang tak akan tinggalkan Ann lagi. Abang tak akan pergi jauh dari Ann lagi. Abang akan buang segalanya demi Ann dan anak kita. Abang tak sudi Ann dimiliki orang lain kerana abang nak buktikan kehebatan cinta abang pada Ann setelah abang berjaya miliki Ann sekali lagi. Abang tak pergi dan abang tak akan pergi. Kalau abang pergi, Ann harus ada di sisi. Demi sesungguhnya cinta abang pada sayang, terima abang kembali,” gumam Mukhlis yang tiba-tiba saja muncul.

Zafran mendekat dan dia menepuk bahu Mukhlis lantas berlalu bersama senyuman dan satu ucapan bisu.

“Saya doakan Ana bahagia.” Aku tahu bibirnya mengucapkan itu. Aku tahu itu dan aku hanya mampu mengedipkan mata saja menghantar langkah dia. Pada Yang Esa aku bermohon agar dia dipertemukan dengan wanita yang lebih baik dariku. Yang tercipta untuk menerima cinta daripada dia.
Perlahan-lahan, aku balas pelukan Mukhlis erat di tengah-tengah pintu masuk KLIA. Menghidangkan sebuah kisah cinta yang tragis antara kau dan dia bersama esak tangis yang kian menggila.

“Kenapa abang kembali?” tanyaku sayu.

“Abang tak pernah pergi, sayang. Abang nak pergi tapi abang tak mampu kerana hati abang di sini. Kisah hati abang ada dengan Ann. Macam mana abang nak hidup tanpa hati bila abang dah amanahkan hati itu untuk Ann jaga?” soal dia padaku. Pelukannya juga semakin kejap hinggakan aku terhimpit tanpa ada ruang lagi.

“Abang cinta Ann. Cintakan Ann Rahana dan cintakan Anahara. Dua-duanya terlalu istimewa buat abang. Terlalu dan sangat istimewa. Maafkan abang sebab tak pandai mencintai hanya tahu memiliki tapi kali ini, abang mohon beri ruang untuk abang miliki Ann sekali lagi dan abang akan buktikan cinta abang pada Ann,” ujarnya yang juga sudah bersendu.

“Ann cintakan abang, kan?” soal dia padaku.

Bahuku ditolak lembut. Jemari suam itu menyeka titisan airmata yang tidak mahu kering.

“Selama Ann masih bisa bertahan, selama Ann masih bisa bernafas, selama Tuhan masih mengizinkan, Ann ingin selalu bersama abang. Selama Ann masih bisa bertahan, selama Ann masih bisa bernafas, Ann akan selalu mencintai abang,” jawabku penuh beremosi bersama airmata yang kembali berjuraian.

“Abang sayang, Ann. Selamanya Ann akan hidup dalam kisah hati abang. Selamanya abang akan jaga cinta kita, sayang.

“Aku inginkan dirimu, datang dan temui aku dan akan ku katakan padamu, aku sangat mencintaimu. Sesungguhnya, aku inginkan dirimu datang dan temui aku dan akan ku katakan berkali-kali yang aku amat mencintai dirimu dan demi semua yang aku jalani bersamamu ku ingin kau jadi milikku, ku ingin kau disampingku. Aku akan mencintaimu menjagamu seumur hidupku, Anahara binti Rahman dan kali ini, aku pinang dirimu dengan Bismillah berharap kau menjadi yang terakhir untukku biarpun kudrat itu tidak di tangan kita, sayang.”

Aku pandang mata Mukhlis yang merah berair. Lambat-lambat airmata itu gugur juga menitis wajah kusam itu.

“Dan aku terima kamu dengan Alhamdulillah, berharap kau adalah yang pertama dan terakhir untukku,” sahutku dan sekali lagi, Mukhlis memaut tubuhku.

“Syukur, Ya Allah. Terima kasih sayang. Terima kasih sangat-sangat,” ucap dia dekat pada cuping telingaku.

***

“Assalamualaikum,” ucap suara itu. Aku berpaling dan ternyata, mama dan abah serta Nayli juga ada bersama dengan mak, Kak Longku dan Abang Ngahku yang juga Aryana.

“Waalaikummussalam,” jawabku malu-malu.

Mukhlis mendekat, dia melutut di hadapanku lantas menarik jariku lembut. Kala ini, cahaya daripada kamer DSLR yang diupah khas oleh mama mertuaku berkerlipan sana sini.

Ada debar di hati. Detak yang tidak pernah aku rasakan seperti pertama kali dulu bila kami diraikan semula dalam suasana yang cukup meriah dan berbeza dan yang pasti, di bawah lembayung restu semua.

“Dah ready?” tanya dia separuh berbisik sambil menyoroti mataku.

“Ready apa?” Wajah ini mula kebas.

“Nak terima cincin abang?” tanya dia lagi.

Aku angguk.

“Dan malam ni,” sambung dia membuatkan aku terjerit kecil. Keluarga kami masing-masing ketawa.

“Apa abang ni?” tanyaku mengetap gigi. Mukhlis ketawa.

“Apa yang kamu cakap kat Ana tu, Mukhlis?” tanya abah kuat.

“Entah abang ni. Tak sabar nampak,” tokok Nayli pula.

“Biarlah dia cakap apa pun, janji tahun ni kena ada riuh suara kecil menangis ketawa dalam rumah kita tu,” sambung mama pula menambahkan sebal pada wajah.

Mukhlis menyarungkan cincin sebentuk itu ke jari manisku yang sebelah kiri pula. Berapa aku menghalang, dia tetap mahukan kami ditunangkan dahulu sebelum dia menjawab aqad dan kala suaranya bergema di dalam rumah Allah mengangkat aku sekali lagi menjadi wanita yang halal di sisinya, aku masih terdengar suara itu hingga kini. Lebih syahdu dari sebelum ini.

“Aku terima nikahnya Anahara binti Rahman…” Sungguh aku akan rindui saat itu sampai ke akhir hayatku.

“Sayang dah sampai mana ni?” Pertanyaan Mukhlis membuatkan aku tersentak. Cepat-cepat aku senyum pada dia.

“Salam abang,” suruhnya dan aku terus menyapa tangannya dan mengucupnya lembut dan usai itu, dia melabuhkan bibirnya ke dahiku lama dan airmataku menitis setitis menerima nikmat ini.

Alhamdulillah, Ya Allah kerana setelah kepahitan itu pastilah ada kemanisan buat kami. Ucap hatiku bahagia.
Bila kucupan terlepas, Mukhlis menarik aku bangkit. Pinggangku ditarik rapat ke sisinya.

“Tahniah isteri abang,” ucap dia.

“Tahniah juga suami saya,” balasku dan Mukhlis ketawa kuat.

“Cantik sungguh menantu mama ni. Lepas ni, memang nak pergi promosi buku kat mana-mana, Mukhlis kena ikutlah. Kalau tidak muncul pulak Mukhlis nombor dua buru Ann Rahana,” usik mama.

Wajah Mukhlis kelat memandangku. “Kalau Ann jumpa Mukhlis lain Ann pandang tak?” soal dia tiba-tiba.

“Tak la. Ann pejam mata,” jawabku.

“Kenapa nak pejam mata? Kan peminat tu. Kecil hati peminat nanti.”

“Haruslah pejam mata. Bukan apa, takut jatuh cinta lagi,” selorohku dan Mukhlis menjegilkan mata.

“Ada hati, ya?” tanya dia geram.

Aku ketawa pula. Suka melihatkan dia terkena dan bilik ini riuh dengan tawa kami sekeluarga dan di laman rumah mak, suasana juga semakin riuh dan meriah.

“Eh, abang mencintai kan? Bukan memiliki?” Aku saja mengingatkan dia.

Mukhlis mengangguk. “Abang memiliki dengan syarat abang akan mencintai,” balas dia.

Kala ini, tubuhku dipalingkan menghadap dia seluruhnya. Pinggang ini masih tidak lepas dirangkulannya. Bila aku menolak, dia semakin mengetatkan pelukan.

“Abang… semua orang ada ni,” larangku.

“Biarlah semua orang nak tengok. Sayang milik abang dan abang cintai sayang sangat-sangat. Tak mudah abang nak lepaskan rindu dendam di hati ni dan hari ni segala doa abang termakbul. Abang bersyukur dan abang nak maknanya kasih sayang kita tapi sayang tak nak pulak?” soal dia bernada rajuk.

Aku berpaling pada keluarga. Mereka senyum simpul. Terasa semakin menebal wajahku bila Mukhlis sudah menarik aku rapat ke dadanya.

“Abang… keluarga ada ni,” larangku terus.

“Kita pengantin baru apa? Kan orang tengah ambil gambar tu. Biarlah candid macam ni. Lagi menarik dan natural,” ujar dia beralasan.

“Dulu tak ada macam ni pun.”

“Dulu kita kahwin senyap-senyap. Sekarang abang dah tunaikan segala perkahwinan impian sayang apa?”

Aku pandang wajah dia. Nampak segak saja. Tiada lagi wajah kusam dan selekeh itu. Sungguh dia segak dan bergaya.
Lengan ini aku lilit ke lehernya. Menyambungkan kedua tanganku di belakang lehernya membawa dia sedikit terbongkok hingga wajah kami hampir mendekat juga.

“Kenapa dulu abang selekeh je?” soalku.

“Sebab tak ada sayang jaga makan pakai abang,” jawab dia.

“Kenapa tak tinggalkan Ann hari tu? Kenapa tak jadi naik flight?”

“Sebab passport abang tamat tempoh. Lupa nak renew.”

Aku bulatkan mata. “La, padanlah. Kata tak sanggup tinggalkan hati sendiri la apalah. Abang memang.”

Aku cuba leraikan pelukanku pada lehernya tapi Mukhlis segera menahan.

“Mana ada. Passport abang okey je. Abang tak nak berpisah dengan Ann masa tu tapi terima kasih pada Zafran. Dia yang SMS abang cakap Ann on the way tapi sukalah abang bila Ann dah pandai merajuk ni. Dulu tak pandai sikit pun sampai abang pun pelik, Ann ni ada perasaan ke tak ada,” jawab dia.
Aku ukir senyum. Minda ini pantas mengingatkan wajah Zafran. Hadir juga menjadi saksi pernikahan aku dan Mukhlis dengan senyuman. Jeslina juga telah selamat berangkat usai saja aku menjadi milik Mukhlis yang sah sekali lagi.

‘Dulu, aku relakan dia menjadi milik orang lain, tapi hari ini aku akan pertahankan kasihnya menjadi milikku seorang hingga ke akhir waktu kerana aku tercipta untuk dia, dan dia adalah untukku,’ desis hati ini.

“Ann cemburu pada yang sepatutnya. Ann merajuk pada yang sudi memujuk,” selaku.

“Abang adalah orang yang sepatutnya dan abang sudi memujuk tapi jangan merajuk sangat, yang. Abang tak pakar nak pujuk-pujuk ni.” Dia buat muka takut.

Aku ketawa nipis tapi tidak lama bila Mukhlis mendekatkan wajahnya ke wajahku. Membiarkan nafas kami bersatu hangat dan bila bibirnya bergetar hendak menyapa bibirku, aku dengar suara yang berdehem kuat.

“Hai, Mukhlis. Tak sabar nampak. Dah banyak sangat ke bil tertunggak?” tanya Along Mukhlis mengusik. Nayli mencebik. Abah dan mama ketawa.
Tapi Mukhlis, tetap merangkul erat pinggangku.

“Errr… pa… pa…,” ucap Aryana tiba-tiba. Tangan itu terhulur kepada kami lantas Mukhlis melepaskan pinggangku dan mengambil Aryana dari gendongan Nayli. Dia mengucup pipi Aryana dan pipiku silih berganti.

Kemudiannya, dia buat muka. “Pipi Arya natural beauty. Pipi mama tempek make-up. Tak best cium,” usik dia.
Aku cubit lengan itu sekuat hati dan dia mengaduh lantas disambut tawa semua. Aku hanya melihat dia mengusik Aryana dan hati ini bersyukur kerana kasih sayang Allah telah membawa kami bersatu kembali.

***

BERAT sebenarnya hati hendak melepaskan Aryana kembali bersama keluarga Mukhlis. Namun bila difikirkan, Aryana itu adalah darah daging mereka lantas aku relakan saja hati dan terus menjauh dari memikirkan yang bukan-bukan.

Selepas keluar daripada bilik air membersihkan muka dan mengambil wudhuk, aku terus kembali ke bilik. Waktu itu, Mukhlis tiada di dalam bilik lalu aku hela nafas lega. Takut sebenarnya kembali berdua-duaan dengan dia.

Rambut panjang milikku, aku ikat tinggi dengan ikatan tocang satu laku aku rapat ke almari pakaian hendak mengambil sehelai tuala dank ala aku merapatkan kembali daun pintu almari itu, wajah Mukhlis sudah tersenyum padaku dengan tangan yang menyilang ke dada.

“Eh, abang ni. Terkejut Ann.” Aku urut dada dan seterusnya hendak berlalu keluar kononya hendak membersihkan diri bersama tuala itu biarpun aku sebenarnya hendak melarikan diri. Hendak mengelat lagi seperti dulu.

“Nak mengelat abang lagi, ya?” tebak dia sambil meraih pinggangku dan memeluk tubuhku dari belakang.

Detak hati ini sukar hendak ku kata. Terasa hampir pecah apatah lagi bila Mukhlis sudah membenamkan wajahnya pada belakang leherku setelah rambut itu dia tolak ke depan. Nafas itu kian resah.

“Err.. abang dari mana?” tanyaku cuba berbahasa.

“Tiba-tiba je muncul?”

“Abang sembang dengan mak dekat luar tadi. Nampak Ann masuk abang terus masuk,” jawab dia bersama bibir yang masih menari menyentuh kulitku.

Rangkulan dia juga semakin erat dan terus erat. Semakin mencengkam dan terus mencengkam bagaikan tidak mahu di lepaskan lagi.

“Abang dah gosok gigi?” tanyaku lagi. Mukhlis mengangguk.

“Err.. dah basuh kaki?”

“Semua dah, yang. Tinggal nak bersama sayang je,” ucap dia merayu mendayu. Aku telan liur.

Dia membalikkan tubuhku menghadap dia. “Abang cintakan Ann. Sangat-sangat cinta dan abang akan buktikan.”
Aku geleng. “Abang dah buktikan. Cukuplah tu. Ann percayakan abang dan Ann tak akan izinkan abang jatuh cinta pada sesiapa lagi sebab Ann akan lawan sampai ke akhirnya,” ujarku pula.

Sungguh aku percaya yang dia mencintai setelah dia nekad hendak membantu Zafran mendapatkanku kerana merasakan aku bahagia bersama Zafran sedangkan hakikat itu Zafran sendiri tahu yang kami tak mungkin bahagia bersama kerana hati aku milik Mukhlis selamanya.

“Sayang dah pandai cemburu.”

“Sebab Ann sayang,” selaku cepat-cepat. Mukhlis mengangguk tanda faham.

“Dan Ann juga sentiasa cintakan abang, dulu kini dan selamanya,” sambungku lalu aku paut erat lehernya membawa tubuhku rapat pada dia setelah aku sendiri hampir hanyut dalam renungannya yang meresahkan jiwa.

“Buktikan pada abang cinta Ann. Dulu masa Aryana masuk hospital, masa Ann terpeluk abang, Ann ada cakap. Ann tak nak hilang anak kita tu sebab itulah satu-satunya anak yang kita ada. Tanda cinta kita. Tapi hari ni, abang nak lebih dari Aryana dengan Ann. Sorang,dua orang dan seterusnya selagi Ann mampu,” ucap dia berbisik membuatkan wajahku kebas serta-merta.

“Ann sudi tak berikan adik-adik Aryana pada abang?”

Aku renung dia seketika sebelum mengangguk. “Selagi Ann mampu, Ann akan berkhidmat untuk abang,” ucapku romantis.

Mukhlis merapatkan wajah tapi tindakan itu terhenti. “Errr.. sekarang ni abang peminat Ann ke, siapa ya?”

Aku bulatkan mata lantas aku sentuh pipinya dengan kedua belah telapak tanganku.

“Mohd Mukhls ni suami Anahara binti Rahman tapi peminat pada Ann Rahana, aci tak macam ni?” soalku.

“Aci ek? Kalau abang tarik sayang naik katil, aci tak macam tu?”

Aku menggeleng. “Mana aci. Ann nak edit manuskrip sikit lagi. Esok dateline ni.” Aku cuba melepaskan diri dari pelukannya tapi kudratnya langsung tidak terlawan olehku.

“Malam ni Ann hak abang sepenuhnya. Abang dah hack blog Ann. Facebook dengan Fan Pages Ann masa Ann mandi tadi,” akui dia.

“Eh, kenapa? Tak baik ceroboh hak orang,” ujarku sedikit tidak berpuas hati.

Mukhlis menarik aku rapat pada komputer riba miliknya.

“Ann tak tutup akaun siapa suruh. Nak, tengok.”

Dia larikan tetikus itu meliar pada skrin dan sungguh, blog, laman sosial itu dan juga fanpagesku sudah dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada peminat setelah Mukhlis meletakkan gambar pernikahan kami.

Aku pandang dia. “Abang…,” seruku terharu.

“Mulai hari ni. Abang tak nak Ann menyorok lagi. Abang nak semua orang tahu Ann milik abang. Abang cintai Ann. Ke mana-mana saja Ann pergi, abang akan ikut. Abang akan temani Ann sampai bila-bila,” ucap dia.

“Ann juga akan kekal di sisi abang. Jaga hati ini dengan baik sebab Ann dah amanahkan buat abang.” Aku tarik telapak tangannya menyentuh dadaku.
Biarkan dia merasai debar di hati kala aku sedang mencari kekuatan hendak menerima dia kembali dalam diri ini.

“Dulu, Ann pernah mengelat dengan abang dan abang izinkan. Tapi, hari ini, abang banyak rindu yang terbuku di hati. Leraikan rindu abang, sayang. Lepaskan lelah abang selama ini. Abang rindukan Ann dan akan kekal rindu buat selamanya,” gumam dia rapat di cuping telingku.

Bila dia sekali lagi merangkul tubuhku erat, aku membalasnya juga lebih erat daripada biasa. Ikatan pada rambutku dilepaskan. Dia menyelak rambut sedikit lantas dia biarkan wajah dan bibirnya bermain di sekitar leherku sebelum kaki ini terdorong melangkah ke belakang bila tubuh Mukhlis menolak aku perlahan meminta aku melangkah ke belakang hingga akhirnya, aku terdampar di atas tempat peraduan yang dibaluti cadar putih bersih itu dengan haruman lavender lantas dia merapatiku.

Tubuhnya semakin menghimpit dan terus menghimpit lalu aku pejamkan mata bila bibirnya singgah tepat ke bibirku. Membiarkan kucupan itu singgah lama. Syahdu dan sayu saja. Setelah tautan kucupan itu lepas, Mukhlis memaksa aku membuka mata dan dia senyum saja merenungku dan bibir itu singgah lagi ke telingaku, mengucupnya lembut.

“Assalamualaikum, sayang,” bisik dia.

“Waalaikummussalam, abang,” balasku dengan suara yang sengaja aku lunakkan menerima dia kembali dalam hati ini dan akan aku diamkan dia selamanya di dalam kisah hati kami. Menjadikan kisah cinta kami sesuatu kisah cinta yang tak mungkin kami lupakan selamanya kerana takdir berkata ya setelah kami diduga.


***TAMAT***

15.03-28.03.2012

Cik Penulis :

 Maaf atas kekurangan mini novel ini . Sayang kamu semua..