Monday, April 26, 2021

Seseorang Untuk Aku (SE) 4 - end


Cp. 4

 

MAMA menggeleng tak sudah-sudah.  Airmatanya menitis sejak tadi.  Melihat Lailatul sepertinya nekad untuk kembali ke kampung dan tinggal di rumah pusaka yang sudah usang itu bersama cucu sulung mereka, hati seorang ibu luluh. 

“Qadr?  Apa dah jadi ni?”  soalnya dalam esakan.  

“Qadr tak tahu…”

“Macam mana boleh tak tahu?  Mama yang merayu dia minta maaf pada Qadr.  Mama tak nak kita mulakan Ramadan kita macam ni.  Mama minta dia rendahkan diri dia demi Qadr.  Bukan sebab Qadr anak mama tapi sebab Qadr suami dia.  Tapi, apa yang Qadr dah buat pada dia?” 

Seseorang Untuk Aku (SE) 3

Cp. 3

 

TANGAN halusnya mengetuk perlahan pintu itu.  Dengan berat hati, dengan rasa pilu yang masih memalu… dia tabahkan diri demi mendengar nasihat seseorang yang dia panggil ibu.  Biarpun hanya ibu mentua, tapi dia telah anggap mama bagai ibu kandungnya yang telah lama tiada. 

Ketukan pertama, tidak berjawapan.

Kedua juga sama. 

Kali ketiga dia mencuba masih sepi. 

Seseorang Untuk Aku (SE) 2

Cp. 2

 SUASANA rumah yang sebelum ini ceria, kini bagai dilanggar geruda.  Puan Najihah hanya memandang kosong.  Sejak malam tadi, dia tak lena tidur.  Tak tidur walau sepicing.  Apa yang telah berlaku dalam rumah tangga bahagia anak dan menantunya?  Dengan tiba-tiba saja.  Sedangkan sebelum ini, Lailatul dan Qadr bagai tak dapat dipisahkan.  Bagai isi dengan kuku, bagai aur dan tebing, umpama cincin dan permata. 

Namun…

Tanpa sedar, dia mengeluh.

“Kenapa mengeluh tu?”  soal Kolonel (B) Al-Qadri melihat isterinya sejak tadi muram memandang pinggan yang kosong. 

Seseorang Untuk Aku (SE) 1

Cp. 1

         DILUKAI oleh seseorang yang paling kita sayang, bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan.  Tapi, demi sesuatu rasa yang dipanggil reda, dia telah lama lupakan rasa kecewa itu.  Malah, kerana adanya lelaki itu… dia masih teguh berdiri. 

Gagah. 

Tak akan pernah goyah.

Utuh.

Akan terus kukuh.

Tapi, benarkah ujian itu tidak akan melintas sekali lagi? 

Tidakkah sifat ujian itu hadir di saat diri tidak pernah bersedia?

Saturday, April 10, 2021

NOKTAH

Pembelian buku NOKTAH, boleh dibuat seperti di atas  

Sementara stok masih ada.  

Sunday, April 04, 2021

Noktah 20

MATANYA merenung tanpa berkelip riak wajah tenang Naihara. Bagaikan tiada apa-apa yang terjadi. Dia nampak jelas Naihara sedang mengemas barang peribadi. Telinganya juga mendengar setiap patah kata yang diucapkan. Satu pembohongan untuk membuatkan banyak hati lega.

Siapa yang akan hargai segala pengorbanan itu? Tiada. Tiada siapa yang akan hargai. Setiap pengorbanan Naihara sekadar beralaskan kebodohan gadis itu sendiri.

Satu hari… tiada siapa yang akan hancur melainkan diri sendiri.

Cumanya, senyuman manis itu membuatkan dia terkaku seketika. Tertanya sendiri, apakah yang Naihara rasa saat ini hingga masih boleh mengoyak senyuman yang demikian?

Atau benar gadis itu dibela oleh Badli? Jika benar, kenapa Naihara melarikan diri malam tadi? Apatah lagi melihatkan pakaiannya. Pandangannya mampu mengelaskan setiap pakaian dan kualiti pakaian tersebut. Naihara tidak dibalut dengan pakaian daripada jenama mewah.

Dari hujung rambut ke hujung kaki, semua yang menutup tubuh Naihara adalah sangat biasa. Yang menampakkan gadis itu indah adalah diri sendiri.

Noktah 19

JIKA inilah lelaki yang akan menjadi majikan, rasanya tiada kesal yang bergayut di hati biarpun dia perlu pergi atas kesilapan yang cukup kecil. Jika ini aturan takdir dalam perjalanannya, dia tidak akan menidakkan. Sejak dulu dan sekarang. Akan datang juga pasti tiada beza.

Dia tidak lagi mahu bertemu dengan lelaki ini setelah malam tadi. Maka, meninggalkan tempat ini adalah sesuatu yang tepat untuknya. Bekerja di bawah rasa benci banyak hati, bukan sesuatu yang mudah sebelum ini. Apatah lagi bila pemilik tempat ini juga begitu membencinya. Segalanya akan jadi terlalu payah.

“Saya faham, tuan. Saya keluar dulu.”

“Cik Naihara tak jawab lagi soalan saya tadi.”

Langkah Naihara terhenti. Bila dia menoleh, lelaki itu sudah berdiri dekat dengannya. Dadanya berdetak kencang.

“Maaf, tuan. Soalan yang mana?” Dia terus cuba untuk bertenang.

Noktah 18

KAKINYA maju ke bilik yang tertera tulisan Pengarah Urusan yang selama ini kosong, tidak berpenghuni tapi hampir setiap hari dia masuk ke bilik ini, membersihkannya. Pintu diketuk sekali dan bila daun pintu dibuka dari dalam, Naihara beranikan diri untuk melangkah masuk.

Haq tidak bersuara. Diam. Hanya memerhati langkah kaki yang nampak sedikit pincang dengan wajah yang langsung tak diangkat. Seketika, matanya terpejam rapat. Menyedut udara sedalam-dalamnya hingga dia dapat rasa paru-parunya mula sendat. Sebaik saja dia lepaskan helaan nafas, dia senyum sendiri.

Ya… haruman ini yang dicari oleh derianya. Yang tak ubah seperti bunga popi yang membuat dia ketagihan.

Debaran pada jantung Naihara kian menggila. Biarpun semangatnya pudar, hatinya kecut, sekujur tubuhnya menggigil. Dia perlu kuat demi yang lain yang masih berharap biarpun bibir masing-masing terkatup rapat.

Noktah 17

LAPORAN yang disediakan jelas dan mudah difahami. Padanya,  pendapatan bawah seratus ribu setahun adalah sangat kecil tapi tidak pada syarikat ini. Dalam diam, dia akur akan kebolehan Naihara bekerja. Apatah lagi bila Encik Azmi tak puas memuji.

Dia yakin, pemerhatian dan penilaian Encik Azmi boleh diguna pakai kerana dia telah siasat latar-belakang lelaki itu dan lelaki separuh usia itu telah membuktikan segala cerita itu tepat.

Daripada cermin yang bidainya terbuka itu, dia dapat lihat wajah-wajah resah. Menanti untung nasib sendiri. Niatnya hanya untuk memiliki kembali bangunan dan syarikat kecil ini. Dia tidak kisah tentang hal lainnya. Jika dia perlu menanggung kos operasi dan kerugian sekalipun, dia akan kekalkan syarikat ini hanya kerana wanita yang dia panggil kakak.

Tapi kerana Naihara, keputusannya seperti berbolak-balik. Sedangkan selama ini tiada siapa mampu gugah teguhnya keputusan yang telah dibuat. Haq rapat pada tingkap. Dibuka lebar. Dia cucuh rokok itu dan ketika itu juga dia menerima e-mel daripada Aniq.

Noktah 16

MATA kuyu Haq tajam memerhatikan sebuah partition berwarna hijau lembut itu. Kakinya berhenti daripada melangkah bila dia terlihatkan sesuatu yang berjaya menarik perhatiannya.

Buat seketika, dia renung sesuatu yang tergantung di kerusi sebelum senyumannya tersungging sinis. Bagai tak percaya. Apakah benar dunia ini begitu kecil?

Dia terus menelefon Aniq.

“Saya dah e-mel maklumat tu semua. Bos boleh check di sana terus.” Aniq laju menjawab demi mengelak dimarahi kerana tertidur sepanjang malam di pejabat tanpa menyiapkan kerja yang Haq arahkan.

“Tentang semalam tu, tak perlu cari.”

“Pula dah?” Dia baru nak panaskan enjin pencarian data. Macam-macam betullah bos ni.

“Okey, bos. Berita faham.”

Noktah 15

DIA hanya berusia lima belas tahun waktu itu. Dia benar-benar tidak berdaya. Saat mendengar mama menjadikan dia yatim-piatu dalam sekelip mata, Naihara pujuk hati. Mama punya alasan tersendiri. Namun, kemunculan Risya telah mengucar-ngacirkan fikirannya saat itu. Mama senyum mendekatinya.

“Terima kasih datang jumpa mak cik, Naihara. Mak cik harap Naihara dapat hidup baik-baik, ya?” Pipi Naihara diusap mesra.

Saat ini, Naihara angguk. Air matanya jatuh. Bagai terharu dengan harapan yang mama hulurkan. Setelah membuang dirinya begitu saja, mama memujuk dengan ayat yang cukup kejam. Panggilan mak cik itu bagai tak dapat dia terima. Setelah itu, mama berlalu melayani tetamu. Meninggalkan dia dan Batrisya.

Naihara tunduk mengelap pipi setelah kelibat mama hilang daripada pandangan mata.

Noktah 14

AKHIRNYA, Melihat Naqim yang pisatkan mata berkali-kali dan merengek kerana tak suka tidurnya diganggu, Naihara kembali senyum. Jam sudah menginjak ke angka sebelas malam.

“Kenapa ambil Qim lambat? Qim takut Nai tak balik dah. Qim takut Nai tinggalkan Qim lagi.” Suara Naqim kedengaran sayu.

Mata Naihara mula bergenang. Perkataan lagi yang Naqim ucapkan sedikit sebanyak membuatkan hatinya menangis sendiri.

“Nai banyak kerja. Nai kerja, cari duit untuk bawa Qim jalan-jalan nanti,” pujuknya.

Naqim angguk dan senyum. Memeluk Naihara erat. Jasad Naqim berubah seiring waktu tapi sikap dan pemikiran Naqim kekal di situ.

Naihara senyum pada Kak Nor.

“Maaf, kak. Lambat. Terima kasih,” ucapnya lembut.

“Sama-sama.” Kak Nor senyum lembut.

Noktah 13

MATA kuyu itu sejak tadi memerhati. Niatnya hanya untuk melihat bangunan yang pernah dimiliki oleh keluarganya dan sekarang telah kembali kepadanya setelah hampir dua puluh tahun.

Tak sangka, matanya tertancap pada seorang gadis berbaju kurung putih dengan kesan merah. Pada mulanya dia tak sedar tapi bila Jay memberitahunya, barulah dia perasan akan wajah indah itu.  

Biarpun tidak jelas, tapi dia yakin itu adalah gadis yang sama. Melihatnya ada di situ sendirian dengan mengesat pipi, dia yakin gadis itu sedang menangis. Niatnya untuk turun mendekati terbantut bila sebuah kereta yang dia kenal itu berhenti tepat di depan gadis tersebut.

Mustang Camaro kuning itu memang agak jarang ada di atas jalan raya dan nombor pendaftarannya juga sangat istimewa. Jadi, cukup mudah untuk dia kenal.

Dahi Haq berkerut seketika kemudian dia koyak senyum. Nampaknya, ada sesuatu yang sangat menarik bakal terjadi. Akhirnya, rasa ingin tahunya terbunuh begitu saja.

Dia menghubungi Aniq.

NOKTAH 12


MATANYA terbuntang luas dengan nafas yang tercungap-cungap. Naihara bangkit dari duduk. Tak sangka. Dia hanya duduk termangu dengan mata yang terbuka namun memori itu masih berjaya merusuh dalam hati dan mindanya. Dia bangkit dan memegang palang, menumpang kekuatan.

Sungguh… segalanya bagai nyata. Air matanya menitis perlahan saat dia cuba membendung helaan nafas dalam ruangan dada yang dirasakan cukup sempit dan sendat. Sakitnya sudah lama tiada tapi parutnya masih begitu nyata.

Naihara labuhkan duduk semula. Meraup wajah dan menutup mata seketika. Saat itu, mata kuyu dan rambut panjang itu muncul. Dia masih dapat dengar dengan jelas nafas lelah setelah mengheretnya ke daratan. Dia masih dapat rasa hangatnya telapak tangan kasar itu menyentuh pipinya dan juga titisan air dari rambut panjang yang basah itu. Dia masih ingat dengan jelas bagaimana lelaki itu mendukung tubuh lemahnya dan membawa dia pergi. Dengan bisikan yang kini sudah semakin sayup meninggalkan memorinya.

NOKTAH 11


SEMILIR angin malam membuatkan Naihara memeluk tubuh sendiri. Kedinginan kian terasa. Dia masih diam biarpun suara di hujung talian terus-menerus mengherdiknya.

“Eh, dah pekak ke?”

“Saya dengar.” Hanya itu yang mampu dia ucapkan waktu itu.

“Kau buat Badli marah lagi, ya? Kenapa dia mesti masuk semula dalam keadaan macam tu? Kau sejak dulu memang suka buat orang marah. Memang suka kacau majlis orang. Kan aku dah pesan, jangan buat hal. Tak boleh ke kau makan aje senyap-senyap, lepas tu pergi? Susah sangat ke? Kenapa mesti kau nak orang sedar dengan kehadiran kau? Tak boleh ke kau hidup diam-diam sendiri tanpa menyusahkan orang? Kenapa sejak dulu, kau mesti jadi punca semua masalah? Kenapa mesti kau jadi punca orang lain bertelagah?”

NOKTAH 10


AIRMATA Naihara masih menitis perlahan. Bertahun ini dia sering kali memujuk dan memberi kata-kata semangat pada diri sendiri. Dia berhak hidup. Kewujudannya adalah kerana ketentuan Tuhan.

Dia ditakdirkan untuk menjadi salah seorang penghuni bumi. Namun, setelah dia hampir berjaya membuktikan yang dia juga punya hak, semua itu direnggut dengan kejam.

Seorang demi seorang hadir di depannya, membisikkan kata-kata yang sama. Boleh jadi benar kata-kata lelaki tadi. Bisikan lelaki itu membuat rasa nyeri di hati menyusup sehingga ke tulang belakang malah merebak ke seluruh pembuluh darah.

Mungkin segalanya akan lebih baik jika dia tiada di atas muka bumi ini. Biarpun ketiadaannya tak akan membuatkan dunia ini berubah, tapi segala hinaan dan derita akan terhenti sebaik saja nafasnya mati. Urusan setelah kematian itu adalah perkara lain.