Monday, November 27, 2023

DINGIN 11

DENGAN jasad yang menggigil, Mukminin cuba capai apa sahaja barangan miliknya. Rasanya tiada apa. Dokumen penting juga sudah ada dalam beg galas. Pakaian telah disumbat dalam beg lain. Rumah juga dalam keadaan bersih. Dia akan memberitahu tuan rumah yang dia tidak akan menyewa lagi di sini nanti. Dia tak kisah jika bayaran depositnya hangus kerana keluar tanpa notis awal.

Apa yang pasti, dia mahu segera pergi.

Mukminin keluar rumah dengan keadaan tergesa-gesa. Pintu dan grill dikunci. Sebaik sahaja menoleh, jiran depan rumahnya menegur.

“Eh… Min? Nak pergi mana dengan beg ni?” Mata wanita tua itu jatuh pada beg yang ada di tangan Mukminin. Wajahnya berpeluh.

“Nak balik kampung beberapa hari, mak cik. Ada urusan,” jawab Mukminin, sopan.

“Oh… mak cik tak perlulah simpan nasi lemak dekat kau, ya?”

DINGIN 10

MARAH sedang meluap-luap, membakar hati. Tangannya menggigil. Urat sarafnya bagai nak pecah. Amirul tak turun ke bawah. Sebaliknya, kembali ke pejabatnya. Duduk tanpa berkutik sepatah pun.

Danial memerhati. Jelas ada yang tak kena. Pasti ada sesuatu yang pernah terjadi antara dua manusia ini. Perasaan ingin tahu itu kuat, namun dia tak berdaya untuk ajukan soalan. Silap hari bulan, dia pula menjadi mangsa keadaan. Yang mampu dilakukan saat ini, hanyalah berdiri kaku. Menanti penuh debar akan kata-kata yang bakal terluncur daripada mulut Amirul.

Kertas yang direnyuk oleh Amirul tadi, ditenung. Membaca setiap maklumat diri Mukminin. Wanita itu punya masa depan yang baik dengan kelulusan dan kebolehan yang ada. Dengan tawaran yang diberikan, masa depan Mukminin akan cerah dan tak mustahil akan menjadi orang kanan Amirul satu hari nanti. Amirul yang dia kenal sangat suka pada sesiapa sahaja yang berkebolehan.

DINGIN 9

SEBAIK sahaja dia tiba di perhentian bas itu, sebuah teksi sedang menurunkan penumpang. Kebiasaannya dia akan menunggu bas atau berjalan ke stesen LRT. Tapi, memikirkan keadaan sekarang dan dia tak boleh nak menanti biarpun seminit atau membuang masa, dia terus dapatkan teksi.

Kotak isian kertas A4 itu ada di ribaan. Tak banyak barang. Sejak awal, memang tak banyak barang. Bila memikirkan kembali apa yang telah terjadi, hatinya benar-benar sayu.

Mukminin meraup wajah berkali-kali.  Sudah tidak dihiraukan akan tudung yang senget-menget. Dia tak pernah mementingkan semua ini.

Gamaknya, Tuhan memang hantar isyarat untuknya melalui Syira. Pada awal dia memang tidak selesa dengan wanita itu yang begitu mudah menghakiminya. Tapi sekarang, tanggapan Syira itu punya asas. Dia benar-benar punya kisah lalu dengan lelaki itu.

DINGIN 8

ENTAH beberapa kali dia tersilap ejaan. Surat yang begitu mudah itu, menjadi amat payah. Sendinya seperti mengeras. Susah untuk bekerja. Dengan jari-jemari menggigil, surat itu disiapkan juga. Dia tidak peduli. Yang penting, dia mahu berlalu dari situ dengan segera.

Setelah dipastikan, semua barang peribadinya telah dimasukkan ke dalam kotak kecil, Mukminin angkat tubuh. Surat tersebut segera dihantar ke meja Puan Diana.

Wanita itu sedang menantinya. Nampak keliru dan dibanting persoalan. Dia pula… tiada jawapan melainkan alasan yang tidak konkrit. Tapi, kala itu sahaja yang dia ada. Mustahil untuk dia katakan kebenaran. Itu terlalu peribadi.

“Ini, puan… suratnya. Saya minta maaf sebab menyusahkan puan. Dalam masa singkat ni, saya banyak belajar. Terima kasih.” Mukminin tundukkan kepala sebagai tanda hormat.

DINGIN 7

AMIRUL labuhkan siku di atas meja. Genggaman jari-jarinya sedang menongkat dahi. Pelbagai persoalan yang muncul. Usah kata penafian Kak Diana, dia sendiri juga bagai tak percaya dengan penolakan itu. Padahal tadi, dia yakin dia nampak riak gembira biarpun terselindung gugup pada wajah indah itu.

Cantik?

Ya. Dia perlu akui. Mana mungkin dia nafi kebenaran yang jelas terbentang di depan mata. Sama seperti hasil kerja dan bakat wanita itu. Dia akur kerana itu kenyataan. Tapi, apakah yang membuatkan wanita itu berubah sekelip mata sedangkan Kak Diana cakap, sebelum masuk pun wanita itu berkali-kali mengucapkan terima kasih. Wajahnya usah dikata. Terpancar riak ceria. Bahagia dan syukur.

Anehnya.

Apakah yang menyebabkan perubahan itu berlaku sekelip mata?

DINGIN 6

SEBAIK sahaja pintu dibuka dan dua orang wanita itu melangkah masuk, rongga hidung Amirul sudah mula menghidu haruman yang asing itu. Maka, tahulah dia. Haruman ini adalah milik pekerja baharu mereka. Dia senyum dan mengisyaratkan untuk Diana dan pekerja baharunya itu duduk.

“Ini offer letter, bos…” Danial menolak fail kulit keras itu ke depan Amirul.

Buat seketika, ruang bilik terasa hening. Amirul tekun membaca surat tawaran itu. Namun, ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hatinya.

“Nampak gaya, kita tak boleh nak bagi awak surat tawaran ni lagi. Ada beberapa benda saya tak berkenan. Macam ni… kita bincang dulu. Surat ni akan keluar paling lewat esok pagi. Masa tu, baru kita sign. Macam mana?” Amirul pandang wanita yang berdiri di sisi Diana. Tunduk sejak tadi. Sedikit terkebelakang. Sebahagian tubuhnya terlindung dek Diana.

DINGIN 5

 


YANG
berlaku, biarlah berlaku. Tiada apa lagi yang dapat dilakukan selain terima sahaja kesannya. Jika ketenangan hari-hari di tempat kerja adalah perkara yang perlu dikorbankan demi jawatan tetap ini, dia tiada pilihan. Dia masih banyak tanggungjawab yang mahu dilunaskan dan dia tidak akan terus bertelingkah dengan diri sendiri tentang apa yang telah terjadi. Semuanya tak akan ke mana. Malah, akan memberi kesan mudarat pada diri sendiri.

Mukminin senyum sendiri. Apa sahaja, dia akan terus dengan pendiriannya. Dia akan mengabaikan apa yang bukan urusannya. Dia akan menjalankan tugas dengan baik. Akan membantu jika diminta. Akan menyepi jika tidak dipandang. Semuanya akan pulih seperti sediakala.

“Terima kasih, Puan Diana,” ucapnya.

Walau pada awalnya dia tidak senang dan lebih rela jika tiada siapa yang membelanya. Tapi, Puan Diana membantu menghentikan herdikan dan menghargai hasil kerjanya. Dia perlu berterima kasih untuk itu.

DINGIN 4

MUKMININ tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja bila Puan Diana sampaikan berita gembira itu padanya. Hampir seminggu dia bersengkang mata. Menyemak dan meneliti semua data budget syarikat bagi tahun-tahun yang lepas. Dibandingkan dengan keperluan pada tahun ini dan tahun hadapan bagi mendapatkan budget yang sesuai. Agar tidak berlaku pembaziran dan terlebih penggunaan.

“Saya sign surat tawaran hari ini, kira esok saya datang kerja sebagai pekerja tetaplah, ya?” soalnya, mencari kepastian. Kerana dia masih tak percaya dengan apa yang sampai ke pendengarannya.

Semua bagai mimpi. Yang terlalu indah untuk diharapkan menjadi nyata.

“Ya, betul. Kiranya, awak dah tak perlu patah balik ke cawangan. Awak akan terus kerja dekat sini. Atau awak sebenarnya nak patah balik ke sana?” Sengaja Diana mengusik Mukminin.

“Saya ni, kat mana-mana pun saya okey. Saya tak memilih.” Itulah kebenarannya.

DINGIN 3

NAFAS lega dihela. Penat lelahnya dirasakan berhasil. Malah, waktu rehat dan tidur yang telah dikorbankan juga memberi pulangan. Tidaklah segalanya sia-sia. Tidak juga seperti tahun-tahun sudah. Segalanya pasti kelam-kabut. Pasti caca-marba. Seperti disediakan oleh orang yang tiada otak.

Mata kuyunya melilau ke setiap wajah pekerja yang ada di depannya. Menerka di dalam samar, siapakah yang mendraf belanjawan syarikat kali ini? Mereka ini terdiri daripada golongan bijaksana. Kerana itu dia ambil mereka ini menjadi pekerja. Tapi, rasanya baru kali ini dia mampu hela nafas lega dengan hasil kerja yang diberikan.

Untuk apa dia gajikan orang jika semua kerja dia perlu lakukan sendiri?

Setiap wajah menunduk. Langsung tidak bengah. Beginilah keadaannya setiap kali mesyuarat yang diadakan. Tak ubah seperti di medan perang. Masing-masing menekur ke meja. Menelan liur.

DINGIN 2

RASANYA dah dua cawan kopi espreso pekat diteguk.  Namun kafein itu tidak membantu. Matanya hampir tak dapat dibuka. Sepanjang penerbangan balik dari Taipei, dia tak lelapkan mata.

Bagaimanapun, dia perlu berjaya untuk dapatkan projek kali ini. Melebarkan sayap perniagaannya. Cita-cita tinggi melangit. Untuk melihat nama syarikat miliknya tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia. Ketika itu, baru dia akan berasa puas.

Kini, sedikit demi sedikit dia sedang membina kekuatan sendiri dalam dunia perniagaan yang pelbagai cabang. Menjadi salah seorang ahli perniagaan muda yang disegani adalah tidak mudah. Terlalu banyak yang telah dia korbankan.

“Apa kata saya tunda miting dalam 1 jam? Bos boleh tidur sekejap.”

DINGIN 1

WAJAH mulus bujur sirih itu menengadah langit yang cerah. Angin pagi bertiup agak rakus pagi ini. Tidak seperti semalam. Namun, masih menyamankan. Langit juga terang-benderang.

Harapannya, agar suasana ini berterusan hingga ke petang. Bibir merah basah itu koyak dengan senyuman tipis.

Dia kembali memandang ke jalan raya. Menyambung langkah. Kemas dan meyakinkan di tengah lautan manusia yang berkejaran dengan masa.

Mukminin masuk ke dalam bangunan Teguh Tower. Sudah dua minggu dia ditukarkan ke ibu pejabat setelah tiga bulan ditempatkan di pejabat cawangan dan masih berbaki tiga bulan untuk dia tamatkan tempoh percubaan.

Berharap akan diserap sebagai kakitangan tetap setelah ini. Di usianya dan dengan apa yang sedang ditanggung, dia perlukan sedikit jaminan.  Kerana itu, dia berusaha sedaya-upaya.

Di mana sahaja, Mukminin yakin dia akan sentiasa mampu bernafas

Thursday, August 03, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 10

SATU persoalan yang sangat mengganggu tenangnya sekarang adalah tentang kejadian di KLIA.  Bukan yang hari ini, tapi yang hari tu.  Apakah wajahnya adalah seraut wajah yang tak mudah diingat dan begitu mudah dilupakan?  Apakah wajahnya tidak langsung meninggalkan bekas pada ingatan wanita itu? 

Haih… tak sedar, Lukman mengeluh.  Menggeleng kecil.  Cuba menolak persoalan demi persoalan yang dikait dalam kepalanya.  Tak pernah-pernah dalam hidupnya dia membiarkan dirinya terlilit dengan persoalan begini.  Jika dulu, rasa tak beri manfaat langsung.  Membazir sumber fikiran.  Tapi sekarang, tak pula rasa membazir. 

Dalam tak sedar dia koyak senyum pula.  Sebelah keningnya terjongket.  Dia tak sabar nak tengok.  Masalah itu akan tewas atau dia yang perlu mengalah. 

Wednesday, August 02, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 9

PEMANDUAN agak perlahan memandangkan hujan masih lebat.  Tapi, syukurlah jalan tidak sesak.  Dalam setengah jam sahaja lagi mereka akan sampai ke KLIA.  Berkali Tiani menolak, dia tetap berkeras.

“Encik hantar saya dekat KL Sentral pun dah okey tadi…”

“Saya nak hantar ke KL Sentral juga.  Tapi, itulah.  Sebab stereng dekat tangan saya dan minyak dekat kaki saya, jadi… saya terus ke KLIA ajelah…”  jawab Lukman, bersahaja.

Eleh… lelaki ini.  Betullah tanggapan pertama dia bila membaca nama Lukman pada kad nama yang mama bagi hari tu.  Bukan hanya lawyer.  Tapi, lebih kepada loyer-buruk. 

“Saya nak jemput bos saya sekali.  Alang-alang ni, saya pergi terus.  Saya tumpangkan cik sekali.  Rasanya, ini lebih selamat untuk cik…”

“Dalam kereta ni?”  tanya Tiani, mengerling pada Lukman. 

Tuesday, August 01, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 8

KEADAAN dalam kereta miliknya sangat tenang.  Ditambah pula kedudukan kereta yang ada di tempat letak kereta bawah tanah bangunan pejabat, menjadikan semuanya sunyi sepi.  Hinggakan dia dapat dengar dengan jelas degupan jantung wanita di sebelahnya saat ini. 

Namun, dia pula sebaliknya.  Dadanya tidak tenang.  Melainkan segalanya sedang bergelodak.  Sungguh.  Persoalan demi persoalan muncul dalam kepala.  Kenapa mesti dia libatkan diri dalam masalah?  Padahal dia dah dapat baca, wanita ini tidak lain dan tidak bukan… adalah satu masalah.  Ya… dia tak tahu apakah masalah itu.  Tapi, perlukah dia palitkan masalah ini dalam hidupnya yang selama ini sangat tenang dan tersusun? 

Lukman raup wajah berkali-kali.  Dia tunduk.  Merapatkan dahi pada stereng kereta.  Aduhai… sakit kepala.  Sejak dulu, dia tak pernah kisah akan masalah orang.  Tugasnya sebagai peguam menjadikan dia begitu bijak meletakkan benteng yang cukup tebal dan tinggi dalam setiap urusan yang diuruskan. 

Monday, July 31, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 7

KOTA RAYA KUALA LUMPUR hujan sejak beberapa hari ini dan bila hujan terlalu lebat, pasti akan berlaku banjir kilat.  Jalan raya akan menjadi sesak berkali ganda daripada biasa.  Segala perkhidmatan juga akan menjadi lambat. 

Tiani mengeluh tipis.  Hujung jarinya mula terasa sejuk.  Tak tahulah kerana perubahan suhu di luar atau kerana diri sendiri.  Malah, dia dapat rasa, telapak tangan yang lembab.  Belakang lehernya juga terasa basah. 

Sungguh… dia tak rasa selamat untuk ada di tengah begini.  Malah, dengan begini ramai orang asing.  Dia hanya akan selamat bila ada di rumah sendiri bersama keluarganya. 

Pagi tadi, Abang Taufiq yang hantar dan setelah itu, abang terus bertolak balik ke Lumut.  Nak harap dekat Teratai Nur dan Lailatul, dua orang tu sehingga ke hari ini belum ada lesen memandu.  Dia pula, tak pernah memandu sendiri sejak kejadian itu.  Dan sekarang, dia pulak perlu kejar penerbangan ni.  Andai dapat ke KL Sentral pun jadilah.  Dia akan ambik ERL.  Tapi, masalahnya dah tiga pesanan e-hailing dibatalkan untuk alasan yang sama.

Thursday, July 27, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 6

MELIHAT cara Tiani membentangkan syarat-syarat perjanjian mereka, fahamlah dia kenapa Dato’ Talhah hantar wanita ini mewakilinya.  Dia renung wajah Tiani.  Mata kuyunya jarang berkelip.  Daripada muncung tudung bawal yang terletak.  Turun pada dahi yang sesekali nampak berkerut dan berpeluh kecil. 

Mata Lukman melilau seketika.  Pejabat ni gunakan pendingin hawa jenis AHU.  Kiranya centralised seluruh bangunan. Sejuk aje.  Apa yang menyebabkan wanita ini berkeringat?

Dia tidak bertanya.  Sebalikanya, memilih untuk terus memerhati.  Mata redup Tiani yang silih berganti memandang dia dan kertas di atas meja.  Alisnya nampak lebat dan panjang biarpun tidaklah lentik.  Malah, birai mata wanita itu nampak seperti memakai celak tebal biarpun tiada.  Asli. 

Pandangannya beralih lagi pada hidung halus dan sederhana tinggi itu.  Jatuh lagi pada bibir merah yang sedang berbicara dengan jelas biarpun tak berapa nak terbuka.  Sesekali, dia dapat lihat Tiani mengesat dahi. 

Wednesday, July 26, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 5

JANJI jam 9.30 pagi.  Ini dah hampir 10.00 pagi.  Apa yang dia dengar tentang staff seorang ni, langsung tak sama.  Katanya, menepati waktu tapi ini apa?  Sejak jam 9.00 pagi dia dah terpacak di lobi.  Tak mahu terlambat.  Prinsip bekerjanya mudah.  Dalam apa sahaja keadaan, biarlah dia yang menunggu.  Namun, tidaklah sehingga membuang waktu dah setengah jam malah masa terus berlalu.  Sayang, batang hidung yang dinanti belum juga nampak.

Duduknya mula gelisah.  Apatah bila banyak mata mula memandang.  Seperti dia adalah seekor rusa yang sedang sesat masuk ke bandar.  Tiani angkat tubuh.  Berjalan ke meja reception. 

“Maaf, cik.  Saya dah setengah jam tunggu ni.  Kalau bos ada urusan lain, saya balik dulu.  Nanti minta tolong aturkan appointment lain,” ujarnya, sopan.

“Oh, cik nak jumpa Encik Luqman tadi, kan?”  soal wanita muda ini, tanpa riak bersalah langsung.

Tuesday, July 25, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 4

KERESAHAN hati kian menjadi-jadi setelah perbualan abang dan kakak iparnya malam tadi.  Dia raup wajah bagi terus menutup gelisah.  Usah majlis doa selamat di rumah keluarga mentua Lailatul, dia bawa diri ke laman di tepi banglo ini.  Ada kolam renang yang baru siap.  Khusus untuk cucu-cucu tersayang. 

Airnya nampak tenang.  Sesekali dihias gelora halus tatkala dihembus angin.  Cuaca hari ini, agak selesa.  Panasnya kurang.  Tidak seperti seperti sebelum ini.  Dia mengintai ke laman hadapan.  Melihat Qadr, Ziyad dan juga abangnya sedang membantu mengemas meja seusai majlis. 

Tiga orang puteri di hati suami itu, nampaknya sedang bersilat dengan putera masing-masing.  Kecuali, kakak iparnya yang sedang meriba si kecil Thalia.  Tiani koyak senyum.  Bahagia menerobos masuk ke hati dengan apa yang dilihat.  Dia tak pernah puas memandang suasana begitu.  Andai dia punya bakat melakar, pasti dia akan abadikan di atas sekeping kanvas.

Monday, July 24, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 3

SEMASA mereka tiba di Kuala Lumpur, jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengah malam.  Johanees yang tertidur dalam perjalanan tadi, membuka mata bila Taufiq hentikan kereta di depan rumah Ziyad. 

“Dah sampai rumah ke?”  soal Johanees, memisat mata sambil menoleh ke sisi, melihat anak yang lena pulas di dalam tempat duduk khas bayi.  Dia senyum.  Anak bertuah ibu.  Langsung tak jaga sepanjang perjalanan.  Hanya sekali aje tadi sebab nak menyusu. 

“Hurm… Tuan Puteri baru bangun, ya?  Kesian patik sorang-sorang memandu.  Tak ada kawan sembang,” usik Taufiq.  Dia lega bila rajuk Johanees tak lama. 

“Biasalah.  Tuan Puteri tuan hamba ni, penat tunggu tuan hamba tadi.   Itu yang tertidur,” balas Johanees, dengan tawa kecil. 

Sejak ada anak ni, memang pantang letak kepala.  Memang akan terlena. 

Friday, July 21, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 2

BUKAN tidak percaya pada pemandu mama.  Malah, Pak Usop kerja dengan mama sejak dia masih bayi.  Cuma itulah.  Dadanya tak lapang.  Sebab tu dia merayu untuk mama dan Kak Mek ikut sama menghantar dia ke lapangan terbang. Tak cukup dengan itu, dia merayu mama tunggu sehingga dia masuk ke balai pelepasan.

Jujurnya, dia masih takut.  Matanya melilau ke sana-sini melihat lautan manusia.  Tambah pula masa yang dipilih bertembung dengan penerbangan Jemaah umrah.  Segalanya sangat menyesakkan.  Tiani tarik nafas dalam.  Dipejam mata rapat, menyebut nama Tuhan berkali-kali tanpa henti hinggakan dadanya lupa terasa lapang. 

Sini tempat umum, Tia.  Tak akan ada yang berani buat bukan-bukan.  Yakin!  Berkali-kali dia meratib ayat yang sama.  Dalam penerbangan juga, dia beli tempat duduk kelas bisnes sehingga dua tempat duduk untuk diri sendiri.  Bila tiba waktu turun, dia mengekori barisan orang ramai. 

Thursday, July 20, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 1

MATA dijulingkan ke atas.  Penatnya dengar pertanyaan macam ni.  Kalau dulu, tidaklah sekerap ini dan tidak juga seperit ini untuk didengar.  Tapi sejak abang kahwin, makin menjadi-jadi.  Macamlah dia jadi mangsa langkah bendul?  Mana ada.  Lagipun, dia juga ikut konsep abangnya.  Tak rushing. Cepat-cepat nak ke mana?

Benar usia sedang meningkat.  Kawan rapat semua dah ada anak dua.  Dia pula masih sendirian.  Seperti langsung tak risau apa-apa.  Kenyataannya, memang tak pernah risau pun.  Lagipun, jodoh ni kan, kalau belum tiba waktu… kejarlah pakai F1 pun, tak akan terkejar juga.  Andai dah tiba masa, maka larilah selaju arnab pun, kura-kura juga akan di depan. 

“Kenapa tu?”  Mama menegur bila melihat sejak tadi, wajah anak daranya berkerut. 

“Apa yang kenapa?”  Tiani terkebil-kebil memandang mama.  Terkejut dengan soalan yang tiba-tiba dan dengan kemunculan mama yang pasti.  Entah bila mama ada depan mata, tak tahulah. 

Friday, May 26, 2023

DIA UNTUK AKU - released!

Secara rasminya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40 pada Tahun 2023 akan bermula hari ini, 26 Mei sehingga 4 Jun di WTCKL.

Semalam baru sempat muatnaik gambar kulit buku. Boleh jadi saya adalah yang paling lambat untuk mempromosikan buku terbaharu saya. Biasalah… sejarah berulang. 🥲Lambat sikit (ya ke lambat sikit?) hantar. Seperti biasa, penerbit buku saya sejak 2012, Penerbit Karyaseni sedang dan sentiasa usahakan yang terbaik.
Penting untuk semua tahu… buku ini belum ada di PBAKL buat masa ni. Harap tenang dan tunggu pengumuman daripada Karyaseni bila stok sampai.
Dengan lafaz bimillahirrahmanirrahim… saya dengan rendah hati mempersembahkan siri trilogi Seseorang Untuk Aku (SUA) dan Takdir Untuk Aku (TUA). Ya, kalian tak salah baca. Ia adalah trilogi yang berbicara tentang TAUFIQ.
Pada yang menanti kisah Taufiq, terimalah…

Tuesday, May 23, 2023

Friday, February 10, 2023

Tulus, 17

MATANYA tunak memerhati pesanan yang baru sahaja masuk ke telefon. Tak perasan saat dia menerima tugasan itu. Nama dan alamat yang sama. Menu yang serupa. Boleh jadi ini adalah tugas terakhir yang dia terima memandangkan dia perlu menyiapkan tugasan universiti yang tertangguh.

Ayla dongak ke langit. Biarpun malam masih muda, tapi suasana terasa cukup suram dan gelap. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun dan dia perlu cepat agar tidak berlaku peristiwa seperti malam tadi. Ini pun, badannya dah rasa tak selesa sejak pagi. Seram sejuk.

Ayla berhenti di lampu isyarat simpang Jalan Tunku Abdul Rahman bila hujan mula menitis ke bumi. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, dia memecut laju. Menongkat motosikalnya di tempat semalam dan melangkah masuk ke dalam bangunan bila pintu kaca itu terbuka. Belum dikunci lagi. Tak seperti semalam.

Tulus, 16

BILA difikirkan semula, rasanya elok Thaqeef terus duduk di sini. Biarpun tiada siapa yang membantah kedudukannya. Dia yakin adiknya itu lebih sesuai berada di sini setelah apa yang Thaqeef lakukan bagi pihaknya. Segala usul dibaca penuh cermat. Ada yang boleh diterima, ada juga yang merepek.

Mengembangkan empayar ke negara luar adalah sesuatu yang tidak mudah tapi dia sedang cuba sedaya-upaya. Memandangkan produk mentah mereka telah berjaya tembus ke Indonesia dan Brunei, dia sedang menyediakan proposal untuk membolehkan produk mereka tembus pula ke Thailand, Korea Selatan dan Singapore. Kerana dia tahu itu negara-negara tumpuan orang Muslim memerlukan makanan halal.

“Bos nak rehat dulu? Makan ke?” soal Muiz.

Tulus, 15


DENGAN rasa malas, Taqrees buka mata bila dia dengar suara mommy dan ketukan pada daun pintu. Dia terlena begitu sahaja malam tadi. Dengan hanya balutan tuala. Taqrees angkat tubuh. Mencapai baju-T dan menyarungnya sebelum membuka pintu.

“Kenapa, mommy?”

“Dah banyak kali mommy datang panggil. Rees tak respons. Risau dah mommy. Rees tak sihat ke?” Tangan Datin Zafeera naik menyentuh pipi anak lelakinya. Sejuk.

Dia pandang ke bawah. Bertuala. Baru lepas mandi atau semalam tidur bertuala aje?

“Dah lama tak tidur dekat sini. Itu lena lain macam,” jawab Taqrees dengan senyuman lebar. Dia usap belakang tengkuknya. Terasa lenguh pula. Salah postur ke apa ni?

Tulus, 14

BIARPUN sudah hampir ke dua pagi, mommy dan abah masih berjaga. Dah tentu menantinya. Dia masuk ke rumah dengan senyuman lebar. Biarpun penat, tapi melihat wajah kedua orang tuanya, ada rasa lapang yang menyelinap ke dalam jiwa.

“Kenapa lambat? Dua pagi baru sampai rumah? Mommy telefon tak dapat. Mommy telefon gad, dia kata Rees dah balik jam dua belas lebih tadi.” Datin Zafeera tak putus menzahirkan kerisauan.

“Rees minta maaf…” Tubuh Datin Zafeera dipeluk erat.

“Ada hal sikit tadi. Itu yang lambat. Lagipun, hujan. Risau nak memandu laju. Rees bawa perlahan aje.” Andai nak dikira, dia masih trauma dengan kejadian yang menimpanya satu ketika dulu.

Tulus, 13

MUJURLAH motosikal lama ini mati enjin bila dia hampir dengan rumah sewa. Jika tidak, jenuh juga hendak menunda dalam hujan yang lebat. Bila dia masuk ke rumah dan rebahkan tubuh, jarum jam sudah menginjak ke angka satu setengah pagi.

Dia mahu mengulang kaji namun tubuhnya benar-benar kepenatan. Memikirkan esok duit akan keluar pula untuk membaiki motosikal, dia lepaskan helaan nafas yang cukup berat.

Apakah ini bahagia yang dia cari selama ini? Dia tak pasti.

Apakah dia sedang menderita? Dia juga tak tahu.

Ada masa, dia sepertinya mahu mengalah tapi dia telah berjanji untuk bahagiakan diri sendiri. Bahagia yang tidak pernah dia dapat dalam rumah itu dulu.

Tulus, 12

JAM sudah menginjak ke angka sebelas malam. Ayla memandang tulisan yang tertera pada bangunan di hadapannya. Sun Suria Tower. Kemudian, dia atur langkah ke pintu kaca yang nampaknya telah berkunci rapat. Diketuk beberapa kali bagi menarik perhatian pengawal yang menjaga di kaunter di bahagian dalam.

Sesekali, tubuhnya menggigil disapa angin malam. Apatah lagi, kasut dan bahagian bawah seluarnya sudah lencun kerana meredah hujan lebat.

“Ada apa, ya?” soal lelaki yang dia kira bertugas sebagai pengawal keselamatan.

“Ini betul kan… alamat sini?” Ayla lekapkan skrin telefon pada cermin tersebut.

Pada mulanya risau juga nak terima kerja penghantaran kali ni. Nak kira, ini bangunan pejabat. Siapa yang masih ada di ofis dah tengah-tengah malam buta ni. Hatinya rasa tak lapang tapi dia terima juga ini sebagai tugas terakhirnya untuk hari ini.

Tulus, 11

BERITA yang dia terima daripada Zalikha sedikit sebanyak membuatkan jiwa lelakinya goyah. Ada rasa kasihan namun, perasaan itu cepat padam bila teringatkan pesanan terakhir yang dia baca hanya selepas dia hari dia sedar daripada koma. Pesanan itu dihantar sewaktu dia tidak sedarkan diri.

Betapa tergoresnya hati seorang lelaki. Tidaklah kerana wanita yang dia rasakan cinta hati itu, telah membunuh cinta.

“Kau ada balas e-mel dia tak?” tanya Thaqeef sebaik sahaja dia habiskan bacaan yang panjang berjela.

Rajin pula dia baca. Yang menjadi tanda tanya, Taqrees baca sampai habis ke?

“Kau baca sampai habis?”

Taqrees geleng. Thaqeef sengih. Dah agak dah.

Tulus, 10

SETELAH berkali-kali dia tolak nampaknya tiada lagi alasan untuk dia berikan bila wajah itu hadir depan mata. Rindu sentiasa ada pada lelaki ini. Cumanya, dia rasa dia perlu bersendiri buat seketika. Seketika yang katanya sudah agak lama.

“Mengeluh?” soal tetamu tak diundang yang sudah labuhkan duduk di sofa berwarna kelabu cerah itu.

“Perlu ke aku balik dulu dan telefon setiausaha kau untuk buat temu janji? Baru dapat jumpa kau?” Soalan yang diajukan penuh sinis.

Taqrees langsung tak ambil hati dengan kata-kata tersebut. Dia lepaskan pen dan angkat tubuh merapati tempat tetamu itu duduk.

“Tiba-tiba muncul?” soalnya ringkas.

Tulus, 9


MATA dibuka. Lehernya terasa lenguh. Ayla tak sedar dia terlena di atas meja kecil di ruang tamu rumah sewanya. Sepanjang malam ditemani memori lalu yang menyakitkan. Masih hidup subur, menjalar dan tak mampu dicantas.    

Sejak keluar daripada rumah itu dua tahun lalu, dia terus berhenti sekolah dan hidup atas hasil usaha sendiri menjadi penghantar makanan. Sejak itu juga, dia tak pernah lepas menghantar bantuan kewangan ke akaun mak biarpun tidak seberapa.

Ayla hanya kembali semula ke sekolah bila hari peperiksaan tiba dan mujurlah juga keputusan peperiksaannya memberangsangkan. Setelah habis fikir dan kira, barulah dia buat keputusan untuk menyambung pengajian biarpun secara separuh masa, memikirkan keadaan kewangan sendiri.

Tulus, 8

SUARA tawa mak bersama Ayna sedikit sebanyak mengundang perasaan cemburu dalam hatinya. Sejak dulu, mak ketawa juga bila bersamanya.  Tapi, alunan tawa itu jelas tidak serupa di saat mak bersama Ayna.  Dia hanya memujuk mak dan semua itu pasti berakhir dengan linangan air mata biarpun mak tersenyum.

Tak sedar Ayla koyak senyum tipis. Bahagia mendengar suara itu gembira. Dia juga kena akui yang hatinya sedikit lega bila kepulangan Ayna dapat membuat mak bahagia. Jika inilah bahagia yang dimaknakan, dia akan terima.

Ayla melangkah keluar dari bilik kecil di dapur bila biliknya sebelum ini perlu diserahkan kepada Ayna.

“Ayla nak pergi sekolah ke?”

“Ya, mak.”

Tulus, 7


SEJAK
tadi, dia hanya diam. Duduk di depan rumah Mak Cik Safiah selepas membantu wanita itu mengangkat barang mendaki tangga hingga ke tingkat tiga.

“Kau sabarlah, Ayla. Kalau dah mak kau sendiri yakin ayah kau akan berubah, biarlah dia. Kau jangan marah dia. Ayah kau tu suami dia. Dia lebih kenal. Tentang Ayna tu, mungkin dia dah benar-benar kesal. Bagilah peluang dekat dia. Dia tengah sarat. Kesianlah dekat anak dia walaupun kau benci sangat dekat dia. Anak tu tak salah pun,” nasihat Mak Cik Safiah sambil menghulurkan segelas air sejuk buat Ayla. Diajak masuk, tak nak.

“Tak tahulah saya, mak cik. Mak tu... saya nak repot polis, dia tak bagi. Ajak buat aduan dekat mahkamah, pun tak nak.  Nak aje saya biarkan tapi itulah... hati saya tak benarkan.  Saya nak usahakan sesuatu untuk hentikan semua tu.” Ayla lepaskan keluhan berat.

Tulus, 6

PANDANGAN
yang dilemparkan pada kakaknya tidak berperasaan. Sekadar kaku berdiri di situ. Bertanya pada diri. Apakah ini mimpi? Apakah ini bahagia atau ini juga derita yang hadir dalam sifat manusia?

“Apa khabar, Ayla?”

Mata Ayla yang sejak tadi merenung kosong, akhirnya berkelip bila mendengar sapaan itu. Ini bukan mimpi. Rasanya bukan juga bahagia. Boleh jadi juga sebagai tanda derita dia dan mak tidak akan berkesudahan.

Ayna… seorang kakak yang dia mahu bergantung harap sementara dia boleh bertatih sendiri, telah kembali mengusung perut besar setelah lari meninggalkan mereka. Lari demi cinta lelaki yang dipuja dan diagungkan hingga sanggup membuang keluarga.

Tulus, 5

AYLA menarik lutut rapat ke dada dan didakap erat. Setelah dua tahun, dia yakin dia telah pulih. Telah dia terima segalanya kerana dia tahu, melupakan tidak sama sekali. Kerana yakin dia mampu terima semua itu, dia kuatkan hati untuk berdiri di depan mak biarpun dia tak ubah seperti bersembunyi dalam terang. Tapi, kisah pilu itu kembali bugar dan menjalar; melilit kembali tubuhnya.

Dia raba lengannya. Kesan parut kaca itu masih ada dan tak akan pernah hilang. Kemudian, dipegang pipi. Terasa pedih. Bagaikan baru sesaat tadi mak menamparnya. Kejadian itu, benar-benar membuatkan dia sedih dengan sikap mak. Nafas dalam ditarik dan dihembus perlahan.

Jika waktu dulu dia teresak-esak menangis di ribaan mak, kini tidak lagi. Tiada air mata yang tumpah. Air mata itu benar-benar telah membeku dan tidak mampu dititiskan lagi. Sebeku perasaan dan hatinya.

Tulus, 4

KALI
kedua, ayunan itu tepat singgah di belakang kepala biarpun tidaklah kuat mana. 

“Dasar anak sial!”  jerit Anuar dengan wajah menyeringai menahan sakit. 

“Aku bunuh kau!”  Anuar mahu menyerang Ayla tapi Ayla sudah tidak gentar. 

Matanya tepat merenung setiap tingkah ayahnya.  Dia sedang bersedia dan kali ini dia akan pastikan pukulan cukup padu untuk memberi pengajaran kepada lelaki yang hanya tahu menyakiti sedangkan tanggungjawabnya adalah untuk melindungi. 

Di saat Anuar semakin hampir, Ayla juga melangkah ke hadapan.  Dia angkat tinggi kayu hokinya mencari sasaran.

“Ayla, jangan. Itu ayah!” Masyitah menjerit dan cuba menahan tapi tindakan Ayla lebih cepat.