Saturday, December 29, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 39


SUBUH hari, Sera bangkit dengan tubuh yang sedikit berat.  Dia pandang Buya di sisi.  Lama.  Tangannya ringan untuk menyentuh bahu Buya yang terdedah tapi terhenti.  Terasa sukar untuk dia sentuh kulit lelaki ini.  Akhirnya, Sera sekadar melangkah ke bilik air.  Setelah siap Subuh, dia kejut Buya bangkit.  Dengan intonasi suara yang serak.  Dia tak sihat.  Badan dia mula panas. 
“Sera dah siap?”  soal Buya bila melihat Sera sedang memasang pin pada tudung bawalnya. 
“Bangkit cepat.  Dah lewat ni…”  suruh Sera tanpa menjawab soalan Buya jauh sekali nak memandangnya. 
“Ya, abang bangkit ni…”  Waktu ini jam dah hampir ke tujuh pagi.  Kenapalah Sera baru kejut dia.  Sengaja nak balas dendam ke apa.  Tapi dia, tak dapat nak sembunyikan senyum.

Friday, December 28, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 38



MELIHAT pada sekujur tubuh Sera yang terlena di atas sofa putih itu, hati lelakinya menangis lagi.  Berkali dia pujuk Sera untuk rebahkan diri di atas tilam, Sera hanya buat tak tahu.  Telah dia katakan, dia tak akan memaksa Sera.  Cukuplah dia paksa Sera ada dengannya.  Selebihnya, dia tak akan paksa. 
Tiada berbaki langsungkah kepercayaan Sera padanya.  Dia angkat tubuh.  Dirapati Sera dan baru saja hendak tunduk mendukung isteri ke katil, tingkahnya terhenti.  Tubuh yang bengkok kembali tegak. 
“Abang tak kasihan langsung ke dekat Qish?  Sampaikan segalanya abang pertaruhkan demi dia?  Qish ni tak penting ke untuk abang?”  Airmata Balqish mengalir tak henti-henti. 

Wednesday, December 26, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 37


PANDANGAN yang macam mana dia mahu lemparkan pada mak su dan Naz, dia tak tahu.  Dia hanya mampu senyum saja sejak di meja makan tadi lagi.  Segalanya benar-benar janggal.  Balqish berkurung.  Buya hanya memandang dia tak lepas.  Uncle Malik dan Zul juga menyepi.  Pembantu rumah, lagilah.  Membantu.  Menekur ke lantai.  Tak angkat wajah biarpun sesaat.  Naz dan mak su tak berhenti saling memandang sebelum merenungnya dengan pelbagai persoalan.
Apa nak kata. 
Naz dan mak su muncul bersama uncle Malik dan Zul pada saat dia sedang Buya memeluk tubuhnya erat.  Dia yakin, empat pasang itu akan menilai yang sebaliknya padahal ia adalah tidak serupa.  Bukan seperti apa yang dilihat. 

Thursday, December 20, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 36


PANDANGAN mata Sera tenang sebaik saja dia menjengah ke ruang makan daripada ambang pintu dapur.  Kain putih masih di tangan.  Mengelap tangan yang sejak sebelum tenagh hari tadi lagi basah.  Sebabnya, dia ajak sukarela mahu turun ke dapur untu sediakan makan tengah hari.  Itu pun setelah mak su telefon nak datang.  Biarpun baru semalam, hati mak su tak tenang.
Pujuklah…
Katalah…
Biar berjuta kali pun, masih ada nada curiga dalam setiap kata-kata mak su.  Dan, ini pun Buya sendiri yang pergi jemput. 
Mak cik Rokiah memandang pada Sera dengan pandangan yang penuh resah.  Ada genangan jernih bertakung pada tubir matanya.  Riak wajah itu berbicara tentang rasa serba-salah bila sebiji lagi pinggan dihempas ke lantai.  Pecah berderai.  Tak ubah seperti hati dan jiwanya sejak diangkat menjadi isteri Buya. 

Friday, November 23, 2018

The REASON - Released! ^_^

Assalamualaikum dan salam sejahtera.  

Maaf, lama tak bersiaran.  Tiba-tiba, keluar buku baru yang segar-bugar dan tidak pernah dikongsi di mana-mana. Facebook Page atau Blog saya.  Alkisahnya, sebab sangkut dengan cerita BuyaSera, saya cuba channel otak saya ke lain.  Dalam meniti writer's block dengan cerita tu, Tuhan ilhamkan dengan cerita lain.  

Dan, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, saya persembahkan The REASON...is YOU.  Kenapa The Reason? Kenapa mawar putih itu berdarah?  Kena baca.  wink2. 

Tuesday, November 13, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 35

SENYUMAN Sera, sangat berharga.  Sejak kembali ke rumah ni semalam, ini kali pertama dia nampak isterinya tersenyum.  Biarpun tak semanis senyuman saat pertama kali mereka saling jatuh cinta, cukuplah.  Asalkan wajah itu tidak terus masam.  Resah hati dibuatnya.  Serba salah segalanya.  Malam tadi pun, tak mudah untuk dia lalui malam yang begitu sunyi dan menyakitkan. 
Zahir dan batin.
Segalanya, begitu cukup memilukan. 
Apatah lagi bila dia melihat titisan airmata jatuh melalui juring mata Sera.  Dia mahu kesat namun Sera yang terlena seperti dapat merasa dia mendekati, lantas wanita itu membuka mata. 
Biarpun tiada suara, namun pandangan mata Sera cukup tajam menikam.  Memberi amaran. 

Thursday, October 04, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 34

MAK SU memang dah hampir mati kutu dengan ketegasan Sera.  Atau mungkin dia boleh katakan, itu adalah kekerasan hati yang sedang Sera didik untuk menjadi seperti kerikil.  Yang tak terhaki oleh apa-apa. 
“Sampai bila Sera nak macam ni?”  soal mak su. 
Sera menyepi.  Hanya membelek bunga yang dia bawa balik daripada kedai.  Tempahan besar sekali lagi masuk mengetuk pintu kedainya daripada Auntie Jane.  Lihatlah… dalam pada dugaan itu membalut hidup, masih ada ruang rezeki untuk dia bernafas. 
“Apapun jadi, Sera tu masih isteri Buya…”  Mak su menekan suaranya.  Dengan harapan, Sera memberi reaksi dan ya, bila Sera menoleh. 

Monday, October 01, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 33

MAK SU pandang wajah redup Sera.  Sejak tadi, Sera tak sudah-sudah mengemas rumah yang entah apa nak dikemaskannya.  Semua dah bersih terletak.  Dah beberapa hari, Sera menyepi.  Sesekali, hanya tersenyum dan bercerita itu ini.  Tapi, air wajahnya sudah jelas berubah.  Sangat. 
Sera bukan lagi anak saudaranya yang dulu.  Tiada lagi seri di wajah Sera.  Malah, jirannya ada yang dah bertanya, mana suami Sera.  Tak ikut pulang sama kah?  Entah macam mana dia nak jawab.  Kelu. 
Sejak kembali, sepatah pun Sera tak sebut tentang Buya.  Sampaikan dia nak bertanya pun, jadi berat lidah.  Bimbang jika soalan itu akan membuatkan Sera menangis kerana dia sendiri yakin sesuatu telah terjadi antara Sera dan Buya.  Yang masih menjadi tanda tanya, apakah perkara tu? 

Sunday, July 15, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 32

WAJAH mak su merah padam bila Sera sampai di rumah bersama Riz dan Naz seketika tadi.  Wajah itu begitu Suram dan tubuhnya nampak sangat tak bermaya.  Paling menyakitkan hati, Sera heret bersama bagasi yang dia bawa semalam. 
Bila ditanya, Sera langsung tak bersuara.  Malah, Naz dan Riz juga tak tahu menahu.  Sejak masuk kereta, Sera hanya diam.  Telinga disumbat dengan earphone tapi tak tahulah ada muzik atau tak.  Boleh jadi itu hanya cara Sera untuk lari daripada sebarang soalan. 
“Sera tidur ke, Naz?”  soal Riz tak sabar bila Naz keluar daripada bilik Sera. 
Naz jongket bahu.  “Mata pejam tapi airmata dia menitik.  Aku pun tak tahu apa dah jadi, Riz.  Aku nak paksa dia cakap dekat aku, tapi Sera ni bukan macam Sera yang kita kenal.  Tak kan dalam satu malam, manusia tu boleh berubah macam ni sekali?”  Naz ketap bibir. 

Saturday, July 07, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 31


BAGASI sederhana itu diseret dengan tangisan yang kian laju.  Apa dia nak jawab pada mak su?  Macam mana keyakinan dia runtuh begitu saja angkara Buya?  Macam mana dia mahu hadapi Naz dan Riz yang selama ini begitu menjaga hatinya?  Sekalipun tak pernah dilukai.  Tapi, dengan mudah Buya toreh luka yang sebegini dalam pada hatinya. 
Sera terduduk di tepi jalan.  Jalan yang senyap sunyi tiada satu kenderaan pun yang lalu lalang.  Dia dongak ke langit.  Tiada satu bintang pun menghiasi sejak awal tadi sepertinya sudah tahu akan takdir hidupnya yang sebegini.  Mulut ditekup rapat.  Takut mendengar tangis sendiri.  Biarlah airmata itu mengalir lesu tanpa suara.  Sejak dulu, dia tak pernah menangis.  Dirinya begitu disayangi dan dia sentiasa berbahagia dalam hidup yang serba sederhana. 

Thursday, June 21, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 30

KEPALA dilentok ke bahu mak su.  Sejak dulu, dia hanya ada mak su.  Dia tak pernah merungut malah sentiasa merasa cukup.  Pernah… dia rasa cukuplah hanya dia dan mak su.  Dia tak perlukan orang lain lagi.  Tapi, keadaan jadi sedikit berbeza bila Uncle Bakri muncul.  Malah, dibawa bersama kisah lalu orang tua mereka.  Hingga ke anak bujang lelaki tua itu yang sejak awal telah membuatkan jantungnya sedikit goyah. 
Dia cuba tepis.  Berhasil.
Namun, goncangan itu kembali bila dia melihat lelaki itu di depan mata.  Perasaannya berbeza daripada melihat gambar.  Andai Buya tak mengamuk pertama kali itu, rasa dia akan kaku di situ. 

Sunday, April 22, 2018

Tak Sempurna Mencintaimu

Salam alaik.  Ingat lagi kisah Ramadan yang saya garap hampir setahun lalu?  Kisah biasa dalam bulan Ramadan yang dilalui oleh seorang lelaki bernama Mustaqim dan seorang perempuan yang dipanggil Siratul?Kisah di mana, mereka sama-sama berjalan di atas jalan yang sama, saling berpegangan tangan melawan ujian?  Kisah mereka dalam cerita yang bertajuk USAH KAU TANGISKAN.  

Insyaallah, kisah tentang #SiratulmMustaqim akan menemui kalian dalam bentuk buku bertajuk TAK SEMPURNA MENCINTAIMU.  Kenapa tak sempurna?  Kena baca versi baru ni.  Lebih dramatik, lebih emosi, lebih detail dan lebih cinta.  Gitewww.  Hiks.  

Monday, April 09, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 29

MAJLIS berlangsung dalam serba-sederhana.  Hanya kawan rapat Buya yang hadir dan juga pekerja syarikat.  Dan dia, bahagia melihat senyuman Naz, Rizqi dan mak su yang setia menemani daripada majlis akad nikah pagi tadi dan hingga majlis mala mini.   
Airmata Sera meniti pada alis yang panjang dan lentik.  Dia pandang Naz. 
“Aku tahu segalanya tak akan sama seperti sebelum ni, Naz.  Aku harap aku boleh jalankan tanggungjawab aku pada Buya sebaik mungkin dan aku juga pada mak su…” 
“Insyaallah, Sera.  Kau akan dapat buat yang terbaik.  Lagipun, kalau kau tak sempat, aku dengan Riz boleh aje jenguk mak su.  Tapi, kau tak cuba ajak mak su tinggal sini ke?”  Iyalah, rumah Buya ni besar kot.  Tak jejas apa pun kalau mak su datang tinggal sini.

Sunday, April 08, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 28

AIRMATA Sera jatuh melihatkan Rizqi menghampiri.  Segak berbaju Melayu siap bersampin.  Tersengih tipis. 
“Aku… kacak tak?”  Itulah ayat pertama yang Riz ucapkan pada Sera saat itu. 
“Tengoklah kawan siapa.  Dah tentulah kacak…”  Sera menjawab.  Suaranya serak.  Airmatanya diseka perlahan. 
“Tapi, kacak pun kau tak pandang jugak…”  Bibir Riz mencebek. 
“Hey, aku pandanglah.  Selama ni memang aku pandang.  Dalam pandangan aku ada kau dengan Naz sejak dulu.  Kita kan kawan.  Sahabat sampai syurga…” 
Tawar senyuman yang terukir pada bibir Riz.  Ya, kawan sampai syurga.  Kerana itu dia hadirkan diri, menunaikan janji untuk menghantar Sera melalui gerbang bahagia memandangkan Sera hanya ada mak su.  Biarlah dia tunaikan tanggungjawab untuk bawa Sera dengan selamat tanpa calar dan cela pada lelaki bertuah itu.

Kau Bicara Tentang Cinta 27

MAK SU tunduk.  Pasrah atau reda, dia sendiri tak tahu.  Naz juga diam.  Tak berniat nak masuk campur.  Dia datang ini pun sebab Sera minta temankan.  Jujurnya, dia juga terkejut dengan apa yang Sera sampaikan.  Malah, Sera langsung tak berdalih sebaliknya terus setuju.
Andai mak su sampaikan tertunduk, dia juga sama. 
“Mak su tak setuju?”  soal Sera menagih jawapan mak su.  Dah beberapa ketika hampir berlalu tapi mak su masih mendiamkan diri. 
Dia tahu, mak su berat hati.  Tapi, dia cuma zahirkan niat Buya.  Tak apa mak su tak setuju.  Dia faham dan dia akan pujuk Buya agar mengerti.  Berapa lama masa pun, dia akan pujuk Buya.  Setidak-tidaknya mak su dah terima hubungan mereka.  Nanti lama-lama mak su akan terimalah niat mereka nak dirikan rumahtangga. 

Friday, April 06, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 26

DUA pasang mata di depannya, dipandang tenang.  Tenang pada riaknya saja sedangkan dalam hati, tak usah dikata.  Bergelora tak ubah seperti dibadai tsunami.  Dah banyak hari dia tak nampak Balqish sejak malam tu.  Malah, bila dia ketuk pintu bilik pun, Balqish langsung tak nak buka.  Terkesan sungguh gamaknya. 
Semua ini salah dia.  Andai dia awal-awal bincang dengan Balqish… tapi dia, terlalu sibuk dengan perasaan sendiri. 
“Apa tak kena ni, Buya?”  Perlahan, Uncle Malik menyoal. 
“Balqish tak puas hati…”
Uncle Malik senyum tipis.  Ingatkan apalah tadi.  Mati-mati dia ingat Buya nak mengamuk padanya sebab dah cakap pada Balqish tentang wasiat itu. 

Wednesday, March 28, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 25

NAZ hanya memandang skrin telefonnya.  Missed call daripada Sera.  Pesanan daripada Sera.  Langsung dia tak balas.  Entah kenapa, rasa dikhianati.  Bukan kerana dia punya rasa pada Riz tapi kerana perasaan Sera pada Buya.  Entahlah… tak patut dia buat Sera begini tapi dia kesian pada Riz dan paling penting, kenapa Sera tak mengaku pada Riz yang hati itu sudah dimiliki?
Dia pula masih mempertahankan Sera hinggalah dia dengar sendiri pengakuan Sera dalam panggilan yang Sera abaikan dengan tak sengaja.  Sera tak tahu talian mereka masih bersambung dan dia juga tahu Buya muncul di kedai Sera. 
Sebagai sahabat, tidakkah dia perlu menyokong Sera dalam apa saja tindakan?  Tapi, macam mana dengan Riz?  Riz juga seorang sahabat.  Dia juga sama seperti lelaki itu.  Demi persahabatan, dia  ketepikan soal hati dan perasaan. 

Tuesday, March 27, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 24

MELIHAT pada Sera, mak su tahu ada satu perubahan yang begitu ketara.  Dia kenal siapa Sera Nur dan dia tahu setiap kecil perubahan yang berkalu dalam diri anak buahnya itu.  Dia menyayangi Sera Nur, lebih daripada diri sendiri malah dia pernah berjanji akan menjaga Sera Nur dengan baik.  Paling penting, wasiat arwah abang dan kakak iparnya yang Sera Nur tak akan tahu tentang keluarga arwah Bakri apatah lagi keturunannya.
Tapi, dia telah mungkir janji.  Dia sendiri buka mulut tentang apa yang jadi pada keluarga mereka dan Bakri biarpun tidak sepenuhnya.  Paling penting tentang keturunan Bakri… Dengan harapan agar Sera sedar betapa busuknya hati orang berada itu. 

Tuesday, February 27, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 23

WAJAH Rizqi suram.  Dia pandang makanan yang dibungkus untuk Sera.  Tapi sayang, niat baiknya terpaksa dia simpan sendiri bila melihat senyuman Sera begitu lebar di depan Buya.  Apa yang tak kena?  Andai benar Sera tak suka akan lelaki itu, mana mungkin senyuman Sera begitu manis? 

Wednesday, February 21, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 22

SEMALAM, syukurlah mak su benar-benar dah lena.  Andai tidak, dia memang akan dihukum.  Sera raup wajah.  Apalah tak kena dengan dia.  Apalah yang ada pada Buya hinggakan dia tak mampu berbuat apa bila lelaki itu mendekati.  Lain yang dia rancang, lain pulak yang jadi. 

Tuesday, February 13, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 21

MAKAN malam sepi.  Naz sesekali menyiku Sera tapi dia hanya buat tak tahu.  Nasik dalam pinggan disuap lagi ke mulut.  Dikunyah laju dan ditelan saja.  Langsung tiada nikmat makan malam dia bila ada tetamu yang tak diundang ini bersama.  Perang mulut antara dia, Rizqi dan Buya tadi berakhir bila Naz masuk kedai memberi salam.

Monday, February 12, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 20


PANDANGAN Rizqi langsung tak berbalas.  Sera masih tekun menyiapkan sedikit lagi pesanan Auntie Jane.  Tambah pulak hari ni ada ramai pelanggan walk-in.  Hari kekasih apa entah.  Malas nak fikir.  Tak pernah nak ambik kisah pun.  Sekarang, barulah lapang sikit untuk sambung kerja yang masih berbaki biarpun hari sudah hampir lewat petang. 

Friday, February 09, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 19


KERETA berhenti tepat di depan pagar rumah Sera.  Naz pandang dia.  Rizqi juga.  Sera resah.  Dia tahu, pelbagai soalan muncul dalam kepala dua orang kawan baiknya sekarang.  Tapi, dia tak berdaya nak bercerita tentang Buya malam-malam buta ni.  Dia benar-benar nak lupakan segala apa yang dah jadi antara dia dan Buya.  Nak anggap itu mimpi ngeri.  Tak nyata. 

Thursday, February 08, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 18

ZUL tekun mendengar cerita Buya.  Dia sendiri buntu.  Tak tahulah ini sebahagian daripada Plan B atau kenyataan?  Kenyataan yang buat perancangnya tewas dalam rancangan sendiri.  Risau dia makin menjadi-jadi tengok pada keadaan Buya ni.  Sekarang, timbul nama lain pulak dalam novel cinta yang baru nak dikarang ni.  Berbelitlah kalau watak dah banyak sangat. 

Wednesday, February 07, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 17

SEDANG elok aje Buya keluar, pintu kaca kedainya ditolak orang.  Wajah Rizqi tersembul.  Tersengih dengan sejambak bunga lily buatnya.  Sera senyum dengan helaan nafas lega.  Andai Buya tertangkap pulak oleh Rizqi, dia tak jamin Rizqi tak syak apa-apa. 
“Baru teringat dekat kau, Riz…” 
“Teringat ke… rindu?”  Sengaja Rizqi meleretkan kata.

Kau Bicara Tentang Cinta 16


SENYUM Sera lebar bila rezeki hadir lagi mengetuk pintu kedai bunganya.  Wajah Auntie Jane dipandang dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga. 
“Auntie betul nak bagi saya uruskan semua ke?” 

Tuesday, February 06, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 15


MENDENGARKAN penerangan Uncle Malik pasal jumlah harta yang dia dapat daripada peninggalan arwah Dato’ Bakri, Sera tak terkata apa.  Kali ini, dalam rumah dia.  Ada mak su, Buya dan Zul.  Cuma Rizman duduk di luar.  Ya, lelaki setia itu namanya Rizman.  Dia dengar Uncle Malik panggil nama tu. 

Kau Bicara Tentang Cinta 14


SEMALAMAN dia tak tidur.  Disiapkan semua pesanan Auntie Jane dalam satu malam.  Biarpun habis jari-jemarinya luka, Sera teruskan juga.  Setelah dia turun daripada grab-car lepas menghantar bunga pada Auntie Jane, dia terus ke balai polis.  Berat kaki nak menapak.  Seumur hidup, tak pernah lagi dia jejakkan kaki ke tempat sebegini tapi sekarang, dah dua kali. 

Kau Bicara Tentang Cinta 13


MATA Zul dan ayahnya bersabung.  Kemudian, dia menggeleng kecil.  Apalah tak kena dengan perangai Si Buya ni.  Geram pun ada.  Menyusahkan orang betul.  Dalam banyak-banyak kes, kenapa mesti dok dalam lokap dah satu malam kerana kes mencabul?  Nak dinafi,  penjaga kepada mangsa itu datang dengan bukti.  Video siap!  Mampus! 
“Macam mana ni?”  soal Zul.  Dia kerling jam.  Dah lepas sepuluh minit masa perjumpaan.  Kejap lagi, ada kena halau.  Masa ni, jangan kata kuasa, wang ringgit juga tak jalan ni. 
Muka polis semua spesis jujur belaka.  Habislah kau, Buya!  Hati Zul mengeluh tak henti-henti. 
“Aku nak duduk sini lagi untuk satu malam.” 

Kau Bicara Tentang Cinta 12

ANGIN berpuput lembut.  Sera senyum tipis.  Petang-petang ni taman permainan dekat dengan kedai bunga dia, meriah.  Nak-nak ada pasar malam.  Sempat dia beli apam balik nipis dengan air bandung cincau.  Saja, buat hidangan lepak petang-petang ambik angin setelah penat bekerja. 
Wajah tua di sisinya, dipandang.  “Uncle nampak tak sihat…”  Sejak tadi, dah banyak kali, Uncle Bakri batuk.  Kasar pulak tu. 
“Uncle baik-baik aje.  Sihat-sihat orang tua.  Macam inilah…”  Uncle Bakri senyum. 
“Sera banyak tempahan ke sekarang?” 
Sera geleng.  Straw masih di mulut.  Disedut air perlahan.  “Minggu depan kot.  Auntie Jane ada cakap nak mintak Sera tolong.  Sekarang ni, relaks-relaks ajelah…”

Kau Bicara Tentang Cinta 11

PENAT pujuk mak su untuk ke kedai hari ini.  Dah lepas makan tengah hari, barulah mak su izinkan.  Cuma, mak su tak larang.  Tapi, tak bagi izin secara lisan pun.  Diam aje.  Berat hati dia menunggang Yahama Ego itu ke kedai bila mak su melancarkan perang dingin.  Tapi, apa nak kata.  Dia ada beberapa tempahan untuk majlis di sebuah syarikat.  Ini pun dia dapat sub daripada kedai bunga Auntie Jane yang lagi hebat tu.  Kata Auntie Jane, tak menang tangan dan mahu berkongsi rezeki. 
“Sekali lagi, mak su tertangkap Sera dengan dia, kita pindah masa tu jugak.  Tinggal semua ni.  Mak su hanya perlukan Sera.  Atau, mak su report polis cakap dia buat tak senonoh pada Sera dan masa tu, Sera jangan pandai-pandai nak nafi!”  Pesanan mak su pagi tadi.  Pada Sera, itu bukan pesanan tapi ugutan. 

Monday, February 05, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 10

“HOI!”  Zul ketik jari depan wajah Buya. 
Dah dekat lima minit dia tercangak depan ni tapi Buya boleh pulak berangan.  Manalah kawan baik dia ni terbang?  Jumpa Sera gamaknya. 
“Lama kau sampai?”  Buya raup wajah.  Ingatan dia pada Sera makin kuat.  Rasa risau pun menjadi-jadi.  Buatnya mak su sakitkan Sera, macam mana?  Homen… apa aku fikir ni? 
“Selisih dengan ayah aku tadi.  Apa hal kau ni, Buya?  Pelik aje aku tengok sejak daddy kau tak ada…”  Muka Buya berkerut tak henti-henti sejak tadi. 
“Rosaklah wei, raut wajah penakluk hati wanita seluruh dunia…”  Peh… metafora Zul, boleh bikin telinga berdarah. 
“Nampak sangat ke?” 

Kau Bicara Tentang Cinta 9

WAJAH kecewa Uncle Malik dipandang.  Buya kemudian larikan wajah dan meraup muka berkali-kali.  Pening kepala.  Setelah berlalu daripada kedai bunga Sera lepas tengah hari tadi, dia terus pulang ke rumah.  Niat untuk ke rumah Uncle Malik, tertangguh bila hati melarang.  Namun, bila dia tiba di rumah, Uncle Malik dah setia menanti.  
“Arwah dah pesan pada uncle, Buya.  Wasiat tu kena terus dimaklum pada Sera sebaik saja dibuka.  Apatah lagi lepas arwah dah tak ada ni.  Buya buat macam tu, Sera boleh saman kalau dia tahu…”
“Tapi, dia tak tahu, uncle.  Jadi, biarkan dia tak tahu buat sementara ni.  Bagi saya masa.  Saya akan bagitahu dia dengan mulut saya sendiri.  Tolonglah uncle.  Percaya dekat saya,” pintanya separuh merayu.

Kau Bicara Tentang Cinta 8

SAMPAI ke bilik mak su ikut dia malam tadi.  Hai… memang salah dia. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan terus diamkan diri.  Menerima bebelan mak su.  Hampir empat pagi dia masih jaga.  Mata langsung tak boleh lelap. 
Satu, teringat akan soalan Buya.  Kelakar sungguh.  Tapi, kenapa tak boleh nak gelak pun.  Urat muka dia dah keras gamaknya.  Dua, bebelan mak su mengaum tak henti-henti.  Tertanya-tanya, tapi mana jawapan pada semua soalan? 
“Sera cakap dengan mak su Sera nak pergi kejap aje.  Cukup untuk ziarah dia.  Tapi, kenapa sampai ke malam Sera duduk rumah tu?  Diorang ugut Sera tak bagi Sera balik ke?” 
“Bukan macam tu, mak su.”  Sera menafi, sopan.  Ini kenyataan.  Tiada siapa sekat dia.  Dia sendiri yang nak bantu. 

Kau Bicara Tentang Cinta 7

SUSAHNYA dia nak lena bila ingatkan senyuman akhir Sera tadi.  Apatah lagi bila melihatkan kemesraan lelaki muda itu dengan Sera.  Rasanya, lelaki tadi tu hampir sebaya dia.  Entahlah.  Dia yang tahu usia Sera yang beza empat tahun daripada dia.  Lebih muda.  Benarkah gadis itu isteri arwah daddy?  Ibu tirinya? 
Senyuman Sera tadi, adalah senyum yang mengiyakan segala telahan dia.  Bukan penafian.  Tapi, kenapa Sera begitu tenang setelah kepergian daddy?  Sedikit pun tak sedih atau rasa kehilangan?  Andai Sera tahu betapa kasihnya daddy hingga segala harta ini diserahkan pada wanita itu, macam mana gamaknya penerimaan Sera? 

Wednesday, January 31, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 6


BANYAK dah missed call.  Kali ini baru Sera jawab telefon mak su.  Sedia untuk dimarahi.  Padahal janji kejap aje.  Ini, sampai ke malam.  Memanglah dia naik komuter siang tadi.  Malam-malam ni nak naik teksi, ngeri jugak rasanya. 
Daripada Seksyen 2 Shah Alam, nak sampai ke Taman Jasa Mulia ni, menangis jugaklah kalau naik teksi.  Berapa harga tambang.  KTM dah sah-sah tak ada dah.  Tak sedar dia akan masa yang berlalu. 
Haih.  Salah sendiri. 
“Sera tahu jam pukul berapa sekarang?” 
“Ya, mak su…” 
“Kalau tahu, kenapa tak jawab call mak su?  Sengaja?  Atau keluarga Bakri tu dah bomohkan Sera biar Sera duduk situ jadi hamba abdi diorang?  Gitu?”  tempelak mak su.  Kasar.

Kau Bicara Tentang Cinta 5


NAK marah Rizman, tak masuk akal.  Man sibuk uruskan pengkebumian arwah daddy.  Rasanya, baru sekarang dia nampak muka Man bila segalanya selesai.  Sampai terlupa nak jemput Sera Subuh tadi.   
“Maaf, bos,” pinta Rizman.  Tertunduk.
“Tak apalah, Man.  Kau sibuk.  Aku pun lupa…”  Buya memicit pelipis. 
Dia letih sangat.  Rasanya, dah hampir empat puluh lapan jam dia tak tidur.  Sudahlah balik dengan tergesa-gesa.  Satu apa makanan pun tak dijamah sepanjang penerbangan.
Sampai aje, dikejutkan dengan berita tentang Sera.  Setelah itu, daddy.  Dia picit kepala dan menggeleng sendiri.  Dia rasa kebuluran sekarang.  Tapi, dia tak mampu nak telan makanan.  Tak selera langsung. 

Tuesday, January 30, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 4


BUYA raup wajah menolak ingatan siang tadi di kedai bunga milik Sera.  Kurang lima minit dia keluar daripada kedai tersebut, nampak Sera bergegas keluar.  Menunggang skuter Ego warna merah jambu dan terus berlalu laju.  Sempat dia mintak Rizman ikut dan sekarang, dia dah tahu gadis itu tinggal dekat mana. 
Tangan dia, okey ke ah?  Haih… kenapalah nak sibuk tangan orang! 
Tubuh yang letih menuntut hak.  Sejak semalam, dia tak lelap walaupun sepicing.  Tiba aje, diberitakan dengan cerita yang mengejutkan.  Dia benar-benar perlukan rehat.  Kepala Buya terlentok di atas sofa putih dalam bilik daddy.  Entah berapa lama dia terlelap, dia buka mata bila bunyi mesin kedengaran bingit di telinga. 

Kau Bicara Tentang Cinta 3


SERA jamah dahi sendiri.  Panas.  Sebaik saja Buya balik, dia terus bergegas keluar.  Segala benda ditinggalkan.  Hanya sempat capai helmet saja.  Beg duit semua ada di kedai.  Tak kisah dah dia kena saman ke apa.  Dicucuk kunci pada leher Yamaha Ego itu dan laju dia memecut dengan peluh yang merenik pada dahi. 
“Sera?” 
Sera pantas bangkit.  Mengelak.  Nafas yang berkocak, didamaikan bila dia akhirnya sedar, dia ada di rumah sekarang. 
“Sera kenapa?” 
“Mak su…”  Laju dia dapatkan ibu saudaranya.  Tangan itu dipegang kemas. 

Monday, January 29, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 1, 2

BAB 1

SEBAIK saja keluar daripada balai ketibaan, matanya tertancap pada kawan baik daddy, Uncle Malik.  Di sebelah lelaki tua itu itu ada seorang lelaki.  Driver daddy.  Wajah masing-masing sugul.  Kaki makin laju diatur dan sebaik saja salam berjabat, tubuhnya dipaut kemas oleh Uncle Malik. 
“Apa dah jadi sebenarnya, uncle?”  Resahnya, tak mampu dia usulkan dengan kata-kata.  Dua puluh empat jam, termasuk transit di Dubai… dia resah.  Makan tidak, apa pun tidak. 
“Kita balik dulu tengok tuan.  Tuan memang tunggu Buya sampai.”  Beg galas dicapai.  Dihulur pada Rizman.  Lantas mereka segera berlalu ke pintu keluar di mana sebuah Hummer putih sedang menanti.