Sunday, July 31, 2011

Saya Benci Kejujuran Awak!!


Basikal hadiah daripada ayah sempena kejayaanku dalam UPSR itu, aku kayuh laju. Jam sudah menginjak ke jam 1.00 tengah hari. Kurang daripada 10 minit lagi, pelajar sesi pagi akan keluar dan akan dimulakan oleh pelajar sesi petang pula.
Aku mahu seperti hari-hari sebelumnya, menatap seraut wajah tampan itu sebelum memulakan pembelajaran. Setelah meletakkan basikal di tempat yang sepatutnya, aku pantas berjalan melalui kantin, makmal dan akhirnya tiba di depan kelasku yang dikongsi dengan pelajar Tingkatan 6 Atas Sains 1.

Peluh yang merintik di dahi itu aku seka cepat-cepat. Dengan nafas yang termengah-mengah, bahu Lily aku tepuk perlahan.

“Sorry, Ly. Aku lambat. Tolong mak aku kat kebun!” Wajah Lily kelat memandangku.

“Kau ni, Asy, nasib baik jejaka idaman kau tu belum habis kelas tau!”
Aku menjenguk ke dalam kelas yang kami kongsi bersama dengan pelajar sesi pagi itu selama lebih setengah tahun ni. Wajah tenang itu setia ditempat yang menjadi tempat dudukku di sebelah petangnya. Menyandarkan kepala ke dinding dan mata menghadap ke papan hitam.

“Lagipun, kan dah janji nak datang awal semalam. Aku tak siap lagi kerja sekolah yang Sir Arman bagi tu. Jap lagi masa dia terus. Macam mana ni?” Lily mengeluh gusar. Terus menarik pandanganku padanya.

“Nah, ambik dalam beg aku ni!” Beg galas itu aku hulur kepada Lily. Punggungku lantas mencari tempat di tembok yang menjadi batas pokok bunga teh.

“AKu tak larat nak buka dah. Kau ambik sendiri!” ujarku dalam pada mendamaikan nafasku.

Lily terus menyelongkar beg galas Nike tiruan kepunyaanku itu. HuisH dia ni, kasar betul. Habis jahanam beg aku tuh!

“Ly, kot ya pun jangan la mengganas sangat. Jahanam beg aku tu. Mak aku baru beli tu. Nak pakai lagi 4 tahun tau tak?” tegurku.
Lily tersengih. “Sorry!”

“Kau rasa dia baca tak?” tanyaku pohon jawapan positif daripada teman baikku ini.

“Eh, mestilah. Kan kau letak dalam meja yang kau orang kongsi tu. Siap tulis nama dia lagi. Mesti dia ambil baca! Lagipun idea tu daripada kepala otak cerdik pandai aku ni,” balas Lily yakin.

“Ceh, pandai la sangat. Kerja sekolah asyik fotostat aku punya je,” sinisku. Lily ketawa.

Serentak itu, loceng berdering nyaring! Wajah Lily yang berubah cuak aku pandang dengan sengihan yang melebar. Aku tahu dia bimbang akan kerja sekolah yang belum siap tapi aku mula teruja bila mendengar suara-suara pelajar 6 Atas Sains itu bersiap sedia untuk keluar.

Jantungku bergendang pantas dan sekelipan itu berasa bagaikan mahu keluar daripada dada tatkala mataku menangkap susuk tubuh Qalam Azad mendekatiku. Padahal bukan mendekatiku, sekadar melalui kaki lima yang menjadi tempat aku berdiri sedari tadi. Huh, aku cemas! Lantas lengan Lily ku paut erat.

Lututku terasa longlai bila dia berhenti tepat di hadapan kami bila semua pelajar kelasku sudah beransur ke kelas. Dia berpaling pada temannya dan menggamit agar mendekati. Selepas seketika dia terus berlalu tanpa melihat ke arahku. Dan aku terasa amat kecewa. Wajah Lily yang sedang sibuk membelek buku latihan milikku itu aku pandang penuh duka.

“Dah sah dia tak tengok surat tu, Ly. Buat penat je aku tulis untuk dia,” aduku pedih menekur ke kaki lima.

“Abang baca la surat tu! Adik ke yang bagi kat abang?”
Aku terkaku. Lily sudah memuncungkan mulutnya ke belakangku.

“Abang Qalam Azad!” Lily mengisyaratkan nama itu dengan mulut tanpa suaranya. Aku perlahan-lahan kalih ke belakang. Sungguh! Aku kembali teruja. Terasa akan menerima jawapan positif darinya.

“Adik ke yang bagi abang surat tu?” soalnya sekali lagi. Aku sekadar tersenyum menggantikan jawapan. Lily sudah mencuit pinggangku. Hatiku kembang setaman.

“Adik memang suka abang sebagai abang angkat ke, sebagai senior ke atau sebagai apa ni sebenarnya?” aju Qalam Azad lagi.

“Sebelum saya jawab, boleh tak awak jangan berabang adik dengan saya. Awak bukan abang saya, atau saya ni adik awak!” tegasku lantas mencemik.
Qalam Azad ketawa. “Dah memang awak ni muda daripada saya. Jauh tu, 6 tahun! Okeylah tu saya biasakan diri abang dan panggil awak adik!”

“Saya tak suka!” Wajahku berubah serius. Qalam Azad ketawa lagi.

“Okey, kalau macam tu, abang angkat dah tendang tepi, tinggal lagi sebagai senior je?”

“Senior pun tak!” jawabku telus.

“Habis tu?” Qalam Azad menjungkitkan keningnya yang tebal hitam itu. Buku di tangannya dipeluknya ke dada.

“Saya nak jadi makwe awak! Boleh?” tukasku selamba. Qalam Azad terbatuk kecil. Lily yang di belakangku mengekek ketawa.

“Saya ingatkan dalam surat tu je awak ni jujur tapi rupanya kat luar pun awak teramatlah jujur budaknya!” Berderai tawa Qalam Azad dan teman-temannya. Wajahku merona merah. Bukan malu tapi sebaliknya menahan marah kerana panggilan budaknya padaku.

“Saya bukan budak!” tekanku. “Saya yakin dengan perasaan saya pada awak. Dari awal tahun sampai ni nak habis tahun saya cintakan awak! Rasanya tak ada apa yang salah kalau saya berterus terang!”

“Salah tu tak...” Tawanya masih bersisa. “Yang kelakarnya awak tu terlalu jujur. Terlalu berterus terang. Kalau orang lain tak mungkin dia nak cakap macam ni. Depan orang lagi, kot ya pun tunggulah kita berdua je!” ujar Qalam Azad masih mengekek ketawa sampai menepuk-nepuk bahu kawannya. Hatiku sebal. Apa yang salahnya dengan kejujuranku?

“Tak sangka, awak ada peminat Jad! Budak Form 1 pun boleh minat awak. Memang tak salah saya pilih awak jadi boyfriend saya!” Suara seorang perempuan yang berkongsi kelas dengan Qalam Azad kedengaran jelas sinis di telingaku. Boyfriend? Aku menarik nafas dalam-dalam menahan gelora hati yang membentak.

“Entahlah la, Ema! Saya ni kacak sangat agaknya sampai budak ni pun berani luah perasaan dia dekat open air macam ni!” sahut Qalam Azad pula. Lily pula tidak habis-habis menarik tanganku bila desah nafasku bertukar kasar.

“Wahai adik yang baru Form 1 ni, kot ya pun nak ngorat pakwe akak, biarlah malu-malu sikit. Perempuan kena tersipu-sipu sikit dalam meluah perasaan ni. Barulah lelaki tak ketawakan awak macam ni!” ejek perempuan yang digelar Ema itu. Aku tahu dia tapi selama ini tidak pula aku perasaan akan kewujudannya sebagai teman wanita lelaki yang aku cinta.

“Lebih baik saya berterus-terang je daripada malu-malu dan akhirnya terlepas macam tu je. Lagipun buat apa nak tipu diri sendiri menjadi pemalu padahal sebenarnya tidak. Setidak-tidaknya saya tidak menipu perasaan saya. Saya jujur dengan hati sendiri!” bentakku lantas menarik tangan Lily yang terkedu itu berlalu ke kelas. Membiarkan tawa mereka terus menghina cinta suciku pada Qalam Azad. Setitis airmataku menitis jua.

Kelas yang riuh sunyi tiba-tiba bila Sir Arman muncul dengan kanta mata tebalnya. Aku pantas menyeka titisan airmataku akibat kejujuran cintaku pada lelaki itu dijadikan bahan ketawa.

Kini dan hari ini, selepas berbulan peristiwa itu berlalu, aku tidak lagi memandang wajah Qalam Azad. Sekadar mencuri-curi pandang andai rindu ini sudah mendera hati biarpun sesekali Lily menyatakan pandangan Qalam Azad bagaikan jatuh ke wajahku, aku sekadar tidak peduli.

Hari terakhir aku di tingkatan 1 Pluto, di dalam kelas yang banyak menyaksikan kekecewaanku pada Qalam Azad. Aku duduk berseorangan di tempat yang sama sedangkan kawan-kawan yang lain sibuk bergembira di luar kelas. Membelek beberapa nota dan kata-kata semangat di bawah pembalut jernih meja yang aku kongsikan dengannya selama setahun ini.

Tiba-tiba mataku tertancap pada satu kertas. Eh, sebelum ni tak ada. Mesti coretan baru ni! Aku menarik kertas kecil itu cermat. ‘AKAN KU KEJAR CINTAKU SELEPAS MERAIH CITA!”

Tulisan tangan itu aku amati lama. Memang coretannya. Pasti Ema orang yang akan dikejarnya! Dan airmataku kembali merintik bersama dengan hujan lebat di musim tengkujuh ini.
*****

Wajah Ema aku renung tajam. Mata kami beradu sesama sendiri. Jari jemarinya bermain sesama sendiri dan ada sesuatu yang menarik perhatianku di situ. Lily pantas mencuit lenganku agar beralah. Aku sekadar buat tidak mengerti.

“Cik Ema, apa salahnya kalau saya bentangkan cadangan saya walaupun saya tahu yang cadangan Cik Ema tu memanglah bernas yang amat. Lagipun, Cik Ema tak ada hak untuk menolak bulat-bulat design saya ni walaupun saya hanya seorang pekerja bawahan kat sini!” sinisku lembut.

“Ini ke yang kau nak arkitek baru tu tengok. Baik aku tapis sebelum sampai ke dia atau nanti kau lebih teruk kena. Apa punya Interior Designer kau ni, Asy? Gred 1st class tapi hasil kerja, zero. Design kau ni sepatutnya layak berada kat situ!” Seraya itu Ema melempar fail tipis itu aku tepat ke mulut tong sampah bilik mesyuarat.

Beberapa mata kalih padaku semula. Aku meraup wajah, beristighfar berkali-kali demi secubit kesabaran. Aku tidak tahu apa yang tidak kena dengan wanita itu. Semua hasil kerjaku dipandang sepi dan hari ini sudah berani melemparkannya tong sampah.
Entah bagaimana jodohku dengan Ema, teman wanita Qalam Azad ni cukup kuat hinggakan aku terpaksa bekerja satu pejabat dengannya. Ikutkan hati, mahu berhenti saja. Tapi Lily lebih pandai memujukku agar terus bersabar.

Biarpun 10 tahun berlalu, aku tetap tidak akan melupakan kata-kata wanita itu padaku dulu. Mengherdik dan memperkecilnya ketulusan cintaku dan kini dia bagaikan membalas segalanya padaku tanpa bersebab.

“Design tu milik saya, dan hanya saya yang layak untuk membuangnya dalam tong sampah. Oleh yang demikian, saya minta dengan cara baik agar Cik Emalin mengutip semula,” arahku pada bos kecilku itu. Pelikkan, macam aku pulak bos dia! Ah, tak peduli!

“Kalau aku tak nak?” selanya bersahaja.

“Kalau cik tak nak....” Aku bangkit lalu melangkah ke arahnya. Wajah itu aku renung tajam. Wajah Ema tampak sedikit gelabah. Bimbang dengan tindakanku barangkali.

“... saya kutip sendiri dan saya akan buat lain!”
Serentak itu, ketawa beberapa orang staf berhamburan memenuhi bilik mesyuarat dan aku dengan selamba melangkah ke luar menuju ke tempat dudukku.
*****

Aku berteleku sendirian di dalam surau selepas menunaikan Solat Zohor sebentar tadi. Membasah bibir dengan zikrullah dan pujian ke atas Rasul-Nya. Jelas terbias di mataku kilauan permata sebentuk cincin di jari manis milik Ema. Jiwaku dipagut pilu. Penantianku selama ini ternyata sia-sia dan rasa rindu yang mekar ini telah membunuh hatiku.

Emm... Bila difikirkan, Qalam Azad tidak pernah meminta kesetiaanku, juga tidak pernah menagih aku merindu dan menantinya tapi mengapa aku terlalu jujur dengan perasaan diri sedangkan dia entah di mana? Sedarlah Nur Asy Syaima, dia bukan untukmu. Dia sudah menjadi milik Ema. Pasti Emalin kerana sedari dulu kasih mereka bertaut erat! Airmataku merintik lagi.

“Kau menangis, Asy?” Aku berpaling ternyata wajah Lily di belakangku. Basah dengan wuduk. Soalan apa tu Lily wei? Dah terang terentang aku menitiskan airmata!

“Kau tak ajak aku pun solat?” Tanya Lily lagi. Aku menggariskan senyuman ringkas buatnya.

“Nak menangis kenapa? Bukan kau tak pernah kena dengan Si Ema tu sejak kita masuk kerja setengah tahun sudah? Tiba-tiba hari ni nak emo sangat kenapa?” Tanya Lily seraya menyarungkan telekung ke kepala.

“Aku bukan apa. Kot ya pun janganlah dia terus lempar je dalam tong sampah macam tu! Kalau dah buruk sangat hasil kerja aku tu, berilah balik pada tuannya. Kalau tak ingat dia bos aku kat sini, dah lama aku lempang dia!” aduku bernada sebak.

“Janganlah. Kang kau kena fired, siapa nak geng dengan aku kat office ni!”

“Kau kawanlah dengan Si Rimau tu,” balasku lemah.

“Rimau?” Lily meledakkan tawa. Aku memandangnya pelik. Apa yang kelakar entah?

“Rimau mana? Ema ke?” Aku mencebik. Dia ketawa lagi.

“Ema... rimau... rimau... emau...!” Aku mendengus mendengarkan kata-kata Lily. Nak menyakat aku la tu.

“Tak tersengaja keluar rimau,” jawabku tanpa disoal.

“Kau ni kenapa sebenarnya, Asy? Cuba cerita sikit... kita kan dah lama kenal. Kot pun tak yakin aku boleh selesaikan masalah kau, setidak-tidaknya yakinlah yang aku boleh berkongsi masalah dengan kau!” Lily melulut di depanku yang masih sedari tadi duduk memeluk lutut bersama wajah sugul.

“Kau rindu dia ya?” Pandangan Lily jatuh tepat ke wajahku. Lama aku membalas renungannya hinggalah mataku terasa kabur dan laju jua air hangat itu mengalir. Aku mengangguk.

“Tapi, cincin kat tangan Ema tu... aku yakin mereka dah terikat antara satu sama lain!”

Bahuku sudah terhenjut-henjut menahan tangis. Niat untuk bertanya Ema perihal lelaki itu mati sudah bila Ema turut mengiyakan hubungan serius mereka sejak di bangku sekolah. Hatiku pedih.

“Cincin tu tak melambangkan apa-apa, Asy! Kalau kata Ema mengaku tapi kita tak tahu pihak lelaki macam mana. Entah-entah Ema tu SS, syok sendiri,” ujar Lily positif.
Aku termangu sendiri. Bagaimana hendak mencari sebuah jawapan yang pasti andai dia sudah 10 tahun tidak ku temui. Memikirkan berpuluh ideaku ditolak mentah oleh Ema kepala bertambah buntu. Menanggung rindu yang tak berkesudahan di tambah lagi pembentangan rekaan hiasan dalam kepada Ketua Arkitek baru syarikat ini benar-benar membuatkan aku lelah.

“Dah la tu. Lebih baik kau siapkan design lain sebelum bos baru masuk esok. Projek kali ini besar tau. Pastikan kau terpilih untuk ID worknya!” rangsang Lily penuh semangat. Bahuku diusap beberapa kali.
Aku tersenyum hambar. Rasanya sudah sampai masa untukku melepaskan perasaan ini pergi. Cukuplah 10 tahun deritaku merinduinya. Biarlah kerjaya pula menjadi tumpuan utamaku.

“Okey!” Aku sapu airmata yang bersisa. Tubuh aku angkat pantas. Telekung yang tersarung sedari tadi aku cabut dan mengangkat sebelah tanganku selari ke telinga.

“Mulai hari ni, saya Nur Asy Syaima binti Aslam Shah berjanji dengan diri sendiri untuk melupakan perasaan saya pada Qalam Azad bin Qayyum untuk selamanya!”
Lily meledakkan tawa. “Boleh ke?” sinisnya lantas mengangkat takbir.
Ceh, tak sempat aku nak sekeh perempuan ni. Nasib baik kau cepat angkat takbir, kalau tak, maut kau aku geletek.

*****
Sepanjang malam aku di pejabat bagi menyiapkan rekaan terbaru hiasan dalaman yang akan ku bentangkan esok. Inilah titik permulaan kerjayaku. Terpilih atau tidak, itu sudah tidak menjadi hal. Yang pasti aku puas hati kerana telah benar-benar berusaha sedaya upaya.

“Nah, baju kau dengan barang-barang keperluan sekali! Gila ke apa duduk pejabat sorang-sorang sampai pagi. Dahtu menyusahkan aku pulak kena datang office sesudah Subuh, bawak baju kau! Hangin betul la aku dengan kau, Asy!” bebel Lily. Beg kertas dan baju kurung yang tergantung pada hanger yang dihulurkan aku sambut dengan sengihan tidak bersalah.

“Sorrylah. Kau kan tahu, inilah titik permulaan aku! Moga-moga bos baru setuju. Si Rimau punya pendapat boleh jalan. Dia bukan arkitek pun!” Jam di dinding sudah bergerak ke angka 8 pagi.

“Aku ke bilik air jap. Mandi sikit lepas tu bersiap. Kau tunggu aku kat sini tau! Nanti aku belanja sarapan.” Aku melempar umpan. Lily tersengih. Umpan mengena dan aku tersenyum lega.

Selepas bersarapan, riuh suara Ema menjerit namaku agar hadir ke bilik mesyuarat. Aku menarik Lily dan terus mencapai kertas bersaiz A1 itu menuju ke bilik mesyuarat.
Kami melangkah berdengkit-dengkit bila sesusuk tubuh yang aku pasti milik bos baru itu sedang menghadap wajah Si Rimau tu. Lily menyiku dan aku sekadar menjungkitkan bahu.

“Siapa tu, Qam?” Tanya Lily kepada Aqram di sebelahnya. Salah seorang arkitek amatur seperti Lily di syarikat ini.

“Bos baru! Ketua bahagian Architecture and ID works,” jawabnya sambil anak mata galak merenungku. Aku mencebik. Rimas dengan renungannya yang konon menggoda itu.

“Oh, ye ke?” Angguk Lily kepadaku.

“Menyampah betul aku dengan budak yang suka kau ni, Asy! Serba serbi tahu,” bisik Lily. Aku angkat kening. Dia memuncung mulutnya ke arah Aqram yang enak berborak dengan teman sebelahnya.

“Dia suka aku ke?” Aku buat-buat tidak tahu. Lily menjeling. “Buat-buat tak tahu pulak!” cebiknya.

“Tapi, aku tak suka dia. Rasanya dia lagi sesuai dengan kau, Ly!” Lily tarik muka. Aku menekup mulut menahan tawa.

“Okey, good morning ladies and gentlemen! Shall we start now?” Suara Ema mengejutkanku. Langsung kertas yang berada di atas ribaku tergolek ke bawah meja. Aku tunduk cuba mengambilnya. Lor, terjauh la pula sampai ke kaki si Aqram ni. Rungutku perlahan.

Lily pantas menarik tudungku dan menepuk belakangku berkali-kali. “Kejap la, Ly!” balasku perlahan menepuk pehanya.

“I am proud to introduce our new head of our department, Senior Architect Encik Qalam Azad bin Hj. Qayyum!”

Suara Ema bergema. Membulat mataku tatkala mendengar sebaris nama dari bibir Ema si Rimau tu! Benarkah atau sekadar nama saja? Pantas aku angkat kepala tanpa ku sedar yang aku masih di bawah meja dan akhirnya satu drama sadis tertayang pada semua.

“Aduh...” Aku menggosok kepala yang terhantuk pada meja. Aku tahan pijar di wajah bila semua mata tertumpu padaku. Terasa berpinar pandangan seketika apatah lagi melihatkan seraut wajah yang memang kepunyaan nama itu. Dia melihatku tanpa reaksi, hanya pandangan kosong semata-mata. Senyuman sinis Ema pula aku terima dengan hati yang rawan dan akhirnya aku meminta diri untuk berlalu dengan alasan kepalaku sakit teramat sedangkan hatiku lebih berkali ganda sakitnya melihatkan sesekali Ema berbisik ke telinga lelaki itu.

Tiga minggu selepas kejadian itu, aku menjadi makin keliru. Antara tugas dan perasaan entah yang mana perlu aku dahulukan. Lily tidak dapat membantu. Katanya peluang di depan mata, pilih sahaja tapi aku sedaya upaya mengelak untuk tidak bersua dengannya hinggakan peluang keemasan itu aku tolak ke tepi. Hinggalah pada satu hari Qalam Azad memanggil aku ke biliknya.

“Kenapa awak tolak peluang bila saya minta awak present hasil rekaan awak?” soalnya dingin. Aku menyulam jemariku sesama sendiri. Mencari kekuatan yang pernah aku ada dulu demi menatap wajah itu.

“Saya rasa, saya masih tidak layak. Rasanya orang lain lebih layak daripada saya. Contohnya Aqram, dia lagi lama daripada saya dalam bidang ni!”

“Kenapa mesti Aqram sedangkan awak tahu dia adalah arkitek, bukan ID?”

“Entah!” Aku mengutuk diri bila tersasul nama Aqram dari celah bibirku. Bagaimana boleh tersilap ni? Wajahku berkerut seribu.

“Kerut muka tu kenapa? Feeling guilty?” tebaknya. Aku mengangguk di luar sedar.

“Okay then, let be honest! Awak tak berharap untuk menjadi salah seorang dalam projek ni ke?” Aku diam lagi. Wajah itu ku tenung penuh dengan rasa rindu yang menggebu. Namun begitu, wajahnya tetap dingin tanpa senyuman. Tidak pernah adakah secubit ingatannya terhadapku?

“Bukan macam tu...”

“Habis tu macam mana?” pangkasnya. Aku merengus. Ada bunga tawa pada hujung bibirnya.

“Selama ni Cik Ema selalu cakap hasil kerja saya teruk. Sebab tulah saya tak nak present dekat encik!” terangku jujur.

Benar begitu. Aku masih dapat menerima andai Ema yang berkata begitu, tapi andai dia entah di mana hendak aku sembunyikan lara hati. Diriku sudahlah tidak diingini, ditambah pula hasil kerja yang mungkin dipandang sepi. Oh, aku tak mahu!

“Masih terlalu jujur meluahkan segala-galanya!” komennya bersahaja. Aku terkesima. Wajahku merona merah. Andai dulu merah kerana marah tapi kini kerana malu.

“Tapi, awak kena tahu, saya penilainya dan bukan Ema atau awak memang tak minat dalam kerja ni?”

Kalau tak minat aku tak belajarlah semua ni dengan penuh susah payah Qalam Azad yang tampan bergaya oi. Bentak hatiku kuat. Aku seorang jelah tahu. Memang benar dia menjadi seorang lelaki yang tampak berkaliber ditambah pula dengan kemeja dan vest di luarnya, menampakkan dia seorang arkitek yang tampan dan disegani pada usia menjangkau 29 tahun.

“Saya minat je!”

“Habis tu apa yang menghalang awak?” soalnya lagi. Aku diam menunduk. Mengetap bibir berkali-kali mencari alasan yang logik agar tidak ketara kelurusan aku kali ini. Aku tidak mahu menjadi jujur lagi seperti 10 tahun sudah.

“Kenapa?” tekannya keras. Siap bertepuk meja lagi. Terpempan aku dibuatnya. Main kasar nampak. Karang aku cakap kang, mahu aku yang menangis.

“I ask you one more time, or not you may leave from this unit!” Suaranya kali ini mengugut pula.

“Kenapa Nur Asy Syaima?” Aku menarik nafas dalam-dalam. Cair apabila setiap kali mendengar nama penuhku disebutnya.

“Sebab saya tak suka nak kerja dengan encik. Saya tak suka, tak boleh nak kerja dengan orang yang saya cinta selama ni!” luahku senafas. Rasanya aku menang tapi rupa-rupanya aku kalah teruk sekali lagi bila airmataku menitis tanpa aku pinta. Serentak itu aku berpaling dan terus berlalu.
*****

Pujukan Lily aku biarkan sepi. Nasihat yang terbit dari mulutnya langsung tidak berbekas di hati.

“Janganlah nekad sangat. Jangan jujur sangat dalam hidup ni, Asy. Sayang kalau kau letak jawatan. Selama ni 10 tahun kau bertahan tapi baru 10 hari kau dah nak give up. My best friend is not a quitter, okay!” Lily aku jeling sekilas. Banyaklah kau punya 10 hari!

“Aku tak boleh dah, Ly. Dia macam sengaja nak ungkit balik kisah 10 tahun sudah. Aku tak nak dengar. Sakit hati aku. Aku pedih bila ingatkan ketawa dia dan kawan-kawan dia masa tu. Aku rasa dipersendakan dan sekarang pun sama! Aku cuba menipu perasaan sendiri tapi aku tak boleh. Terluah jugak depan dia yang aku tak boleh nak kerja dengan dia,” omelku berselang sendu.

“Payah betullah minah berkarat macam kau ni. Cinta monyet sampai bertukar jadi cinta godzila kau ni. Si Aqram dok terkedek-kedek pada kau tu, kau tak nak pandang pulak. Orang yang tak pandang kau tu la yang kau dok intai.” Bebel Lily. Aku menjeling tajam.

“Maaflah terkutuk kau sikit. Macam nilah, kalau kau memang tak boleh lupa dia, luahkan perasaan kau sekali lagi. Macam kau buat dulu-dulu tu. Letak surat atas meja dia. Lepas tu tunggu dia kat lobby. Still the same, just environment needs to change,” cadang Lily.

“Tapi dia kan dengan Si....”

“Rimau tu bertunang dengan orang lain la. Aku dah siasat!” pancung Lily. Pada mulanya aku teruja mendengar Ema bukan tunangan Qalam Azad tapi akhirnya perlahan-lahan aku menggeleng.

“Tak naklah aku, Ly. Cukuplah sekali aku diketawakan. Rasanya kalau kali ini pun aku diketawakan, memang aku lari berjihad ke Gaza!”

“Haa... elok jugak tu. Mati syahid di jalan Allah. Dapat pahala, boleh masuk syurga,” sela Lily bersahaja. Aku mencebik lagi. Dia ketawa. Lily mendekat padaku. Remote astro bertukar tangan.

“It was 10 years ago and you are just a 13 years old naive girl who really sincere to your feeling. But now, you are 23 already. You must be ready enough! Kau dulu yang cakap, lebih baik tewas selepas berusaha, bukan terus mengalah macam tu je!”

Aku termangu lama menimbang cadangan Lily. Dulu, idea itu daripada kepala dia juga dan kini dia sekali lagi mencadangkan agar aku mengulangi drama sebabak itu. Seketika itu Lily meledakkan tawa. Aku pelik lantas mengalihkan mata ke kaca televisyen. Huh, tengok cerita kartun rupanya.
*****

“Asy... Asy Syaima...” Aku berpaling. Langkah ku paku. Aqram berlari-lari anak mendapatkanku.

“I want to say something before it goes to late,” ucapnya dalam nafas yang kurang teratur.

“Kenapa? Nak luah perasaan dekat lobby ni?” tebakku selamba.
Wajah Aqram melongo. Aku ketawa tipis. Pelik ke ayatku sampai Aqram melopong habis.

“Boleh tak awak jangan berkata terlalu jujur?” Wajahnya keruh.

“Lor, apa masalahnya. Kan kejujuran tu elok!”

“Memanglah elok tapi kadang-kadang lebih baik kalau awak buat-buat tak tahu, barulah saya rasa tercabar sikit!” luahnya tidak puas hati.

“Nak buat tak tahu macam mana sedangkan saya tahu?” jawabku tidak mahu kalah.

“Okeylah kalau awak dah tahu. Saya memang cintakan awak. So, apa jawapannya. Kalau boleh saya nak awak jujur dengan saya!”
Dah nak jujur pulak. Tadi kata lebih baik buat-buat tak tahu.

“Saya tak cinta awak la, Aqam!” Aku buat wajah simpati agar Aqram tidak meletuskan marahnya. Bimbang juga dia buat drama kat sini mahu hijau seperti hulk wajahku nanti.

“Ya Allah, kenapa la mesti jujur sangat ni, Asy?” keluh Aqram. Aku mengerutkan dahi. Hamper bertaut rasanya keningku.

“Tadi awak juga yang nak jawapan jujur daripada saya!” Giliran aku pula mengeluh.

“Setidak-tidaknya boleh tak awak cakap, bagilah masa saya fikir ke, tanya saya betul ke cinta awak ke,tanya saya ikhlas ke tak? Ini terus kata tidak!” keluh Aqram tidak puas hati.

“Aqram, saya dah ada jawapannya. Buat apa nak berdalih. Saya tak boleh nak tipu hati saya ni! Jadi buat apa yang nak tipu awak. Berdosa tau! Allah marah!” jawabku loyar buruk.

“Betullah cakap Ema. Awak ni bukan setakat jujur tapi terlalu jujur! Saya benci kejujuran awak tu, Asy!” tegasnya dan terus berlalu.

“Tapi, Lily suka awak, Aqam!” jeritku sedikit kuat. Dia mengangkat tangannya tanpa menoleh. Aku ketawa. Tak sangka kejujuran aku ni dibenci orang. Salah ke menjadi jujur pada diri dan orang lain? Emm... persoalan yang tiada berjawapan.

“Seronok nampak buat orang kecewa?”
Aku melekapkan tangan ke dada. Terkejut demi sergahan itu. Wajah lelaki itu muncul lagi tatkala aku tidak sudi melihatnya.

“Sangat!” jawabku ringkas lantas membolosi pintu lif yang sudah sedia ternganga.

“Tak elok buat orang macam tu!” komen Qalam Azad saat kami berdua di dalam lif menaiki ke tingkat 17 pejabat kami.

“Okeylah tu. Daripada saya buat dia terus mengharap. Mendengar luahan dia dan tiada jawapan sama ada penolakan atau penerimaan!” sindirku keras lantas keluar cepat-cepat bila lif terbuka.

“Everytime your sincerity touch my feeling, Asy!” Hanya itulah luahan Qalam Azad yang sempat ditangkap telingaku sebentar tadi. Ah, persetankan.
Selepas kejadian itu, aku sudah jarang bersua dengan Qalam Azad. Berita yang Lily bawakan yang dia sedang bercuti dan sibuk berpindah ke rumah baru. Emm... orang dah nak kahwin, memanglah pindah rumah baru. Makan hati berulam jantung cicah sambal kicap la kau, Asy! Ejekku pada diri sendiri.
*****

Sebulan berlalu dengan seribu keresahan bila wajah Qalam Azad ternyata dingin tatkala bertembung pandang denganku. Bila aku menjauh, aku yang rindu dan bila dia pula menyepi, derita hatiku lebih parah lagi.

Aku menarik sekeping sampul yang bagaikan sekeping kad jemputan di mataku. Berwarna kuning keemasan, bertinta tangan namaku di atasnya. Surat jemputan siapa ni? Aqram ke? Ema kot? Entah-entah, Qalam Azad! Aku tidak menentu. Wajah Lily di meja sebelah aku pandang dengan wajah sebek. Mak, Asy nak berhenti kerja ni. Mak jelah bela Asy nanti! Jerit hatiku.

Aku menarik kad itu keluar dan tiba-tiba sesuatu jatuh ke atas mejaku. Berdenting bunyinya tatkala terkena lapik kaca mejaku. Cincin? Aku menggenggam sebentuk cincin itu dan terus menarik kertas putih itu dari dalamnya.

“Akan ku kejar cintaku selepas meraih cita!” gumamku sendiri. Aku termangu. Menongkat dagu dan mengetuk jemariku pada permukaan meja berkali.

“Macam pernah aku bacalah, tapi.... Ya Allah. Ini coretan pada meja sekolah dulu!” jeritku lantas bangkit. Mata Lily dan Ema beralih kepadaku.

“Ly, benda ni... benda ni...”

“Benda apa?” sergah Qalam Azad tiba-tiba. Aku tergagap-gagap. Lebih tepat lagi, terkedu habis. Hilang kata-kata bila dia mampir padaku.

“Bila cita dah tercapai, inilah masa saya meraih cinta awak Nur Asy Syaima!” luahnya romantis. Wajah Ema dan Lily yang mendekat aku pandang silih berganti. Senyuman Ema mesra kali ini, sengihan Lily pula tampak sedikit sumbing. Aku kalih pula pada sepasang mata redup yang sedari tadi merenungku bersama senyuman yang sama 10 tahun dulu.

“You are proposing me, isn’t it?” jeritku teruja. Qalam Azad tepuk dahi. Ema dan Lily sudah mengekek ketawa. Aku tersengih sumbing. Malu dengan keterlanjuran kata-kata sendiri.

“Kenapa la kau ni jujur sangat Asy? Kot ya pun nak melompat. Control la sikit. Buat malu-malu sikit ke, tersipu-sipu, lepas tu baru mengangguk!” ucap Lily menahan tawa.

“Entahlah Asy ni. Kak Ema tengok awak tu macam apa dah. Tak berubah dari dulu. Jujur sangat sampai kadang-kadang tu boleh buat orang melopong!”

“Thanks to you both, Ema, Lily!” ujar Qalam Azad pada keduanya. Aku sekadar tidak mengerti tapi biarlah. Hatiku bahagia.

“So, tak jadi resign dah?” usik Qalam Azad lagi. Aku menggeleng. Mak, Asy tak jadi berhenti kerja. Tapi, Asy nak kahwin, bolehkan mak? Jerit hatiku yang sudah berbunga sekebun.
*****

“Dulu dah tak nak panggil. Kali ini tak boleh tidak. By hook or by crook, now I’m using my veto power and I order you to call me abang. Lagipun abang beza 6 tahun dengan Asy. Panggillah ek,” pujuk Qalam Azad manja.

“Boleh tapi dengan satu syarat,” balasku lembut. Menjungkitkan kening sedikit. Mencabar suamiku yang tersayang ini. Ada berani ke? Qalam Azad mengangguk pantas.

“Cerita kat Asy kenapa abang ucap terima kasih pada Lily dan Ema hari tu?”

“Dalam banyak-banyak hari tu dalam 10 tahun ni, hari mana yang sayang maksudkan?” Qalam Azad garu kepala sambil tersenyum. Sengaja mempermainkanku.

“Eleh, penyu-penyu naik sampan la pulak dia!” sindirku.

“Eh,bukan kura-kura dalam perahu ke?”

“Itu Asy punya peribahasa sendiri!” balasku selamba.

“Cakaplah tadi kenapa?” rengekku manja sambil memeluk lengan sasanya.

“Okey, thanks to Ema sebab tolong abang tengokkan Asy selama ni. Ema tahu yang abang jatuh cinta pada budak Form 1 Pluto masa tu. Abang bersyukur bila adik sepupu Ema sentiasa bersama dengan Asy. Lebih bersyukur bila Asy kerja dengan dia. Hanya Ema yang tahu betapa azabnya abang menanggung rindu buat Asy selama 10 tahun ni hanya kerana nak kejar cita-cita abang dulu. Kalau tak nanti, dok kejar cinta je, nanti abang nak bagi cinta abang ni makan apa, sayangku oi?” Qalam Azad mencuit hidungku. Aku merengus manja.

“Bila dengar Aqram luahkan perasaan pada Asy hari tu, abang terus nekad nak propose Asy. And I’m so sorry about what had happened 10 years ago. Abang bukan sengaja nak gelakkan Asy tapi kata Ema lebih baik buat tak tahu dulu. Lagipun Asy baru Form 1 masa tu, takut terus mabuk cinta, tak jadi belajar. Rosak masa depan Asy nanti! Nota kecil tu memang abang tujukan untuk Asy sehari sebelum hari terakhir sekolah tahun tu. Mungkin Asy tak tahu langsung pasal abang dalam 10 tahun ni, tapi abang tahu semua kisah Asy and that thanks goes to Lily yang merangkap telefon karat abang, adik sepupu kepada Ema!” Qalam Azad memelukku dan spontan aku menolak tubuhnya.

“What, Lily tu adik sepu...”

“Yes,” pangkas Qalam Azad.

“Asy tak pernah tahu pun,” selaku sedikit berkecil hati.

“Dah Asy tak nak tanya!” jawab Qalam Azad selamba.

“Macam tak logik pulak Asy tak tahu Kak Ema tu sepupu dia dalam masa kami berkawan ni. Patutlah dia beria suruh Asy luah perasaan kat abang dulu, lepas tu pandai pulak menyiasat yang Ema tunang dengan orang lain. Lepas tu provoke Asy suruh letak surat atas meja abang sekali lagi, lepas tu....”

“Banyaknya lepas tu dia,” potong Qalam Azad. “Tak ada dah lepas tu, yang ada lepas ni pulak... Sayang bahagia tak jadi isteri abang pada usia 23 tahun ni?” Aku mengangguk pantas.

“Tak menyesal?” Aku menggeleng pula. “Asy cintakan abang!” bisikku ke telinganya.

“Love you too sayang. With all my heart and now, get ready to be a young mother!” Qalam Azad merenung wajahku penuh makna. Seraya itu tubuhku diraih ke dalam pelukannya. Segenap inci wajahku sudah menjadi mangsa bibir. Semakin aku tolak, semakin dia galak bertindak. Aku sekadar merelakan. Sesungguhnya rela.

“Ops...” Tindakan suamiku itu terhenti. Aku mengerutkan dahi. Apa lagi yang tak kena.

“Kenapa?” soalku sepatah.

“Kura-kura dalam perahu tu abang tahulah maknanya tapi penyu-penyu naik sampan tu apa?” Dia tersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

“Senyum-senyum buat tak faham...” leretku. Dia ketawa lantas membawa aku hingga aku terus hilang di dalam pelukan kasihnya yang aku dambakan 10 tahun ni.
*****

Aku menjengah ke dalam rumah teres dua tingkat corner lot itu. Sesekali mataku mengerling ke laman yang ternyata cantik hiasan landskapnya. Indahnya! Ketawa kecilku meletus. Tau dah! Getus hati kecilku.

“Ini rumah baru kita! Masuklah!” pelawa Qalam Azad ceria.

“Dulu, Asy pernah dengar cerita abang cuti sebab pindah rumah! Rumah ni ke?” tanyaku penuh rasa terharu.

Dia mengangguk. Sungguh aku tidak menduga. Akulah sebenarnya yang menjadi penghuni yang akan berkongsi segalanya dengan dia.

“Hasil titik peluh abang yang tak seberapa selama biarkan Asy merindui abang,” jelasnya merendah diri.

“Cuba sayang tengok ID rumah kita ni....”

“Aaa...dah tahu... tengok landskap kat luar tadi pun dah tahu yang abang ambil design yang Asy nak present dekat abang dulu, kan? Mesti abang ambil masa Asy tertinggal dalam bilik mesyuarat dulu tu?” tanyaku berwajah bangga.
Qalam Azad tepuk dahi. Lantas dia ketawa mengekek-ngekek. Aku memandangnya pelik.

“Boleh tak jangan terlalu jujur macam ni. Buatlah tak tahu ke, muka terharu ke, muka sedih ke, muka teruja ke bila Asy dapat tahu yang abang gunakan hasil kerja Asy ni. Ni tak, terus terkam je. Tak thrill langsung la Asy ni. Jujur sangat!” Ketawanya masih bersisa. Aku turut ketawa.

“Sorrylah, abang! Tak sengaja.” Aku buat muka comel. Lengannya aku paut mesra. Qalam Azad menarik aku ke dalam pelukannya.

“Walaupun ada orang pernah cakap, saya benci kejujuran awak, Asy! Tapi, abang bahagia dengan kejujuran sayang tu! Kejujuran sayang dalam mempertahankan cinta sayang pada abang selama ni!”
Pelukan terlerai. Qalam Azad merenungku penuh makna. Adalah tu, dia nak apa tu? Aku tertunduk menahan malu.

“Eleh... penyu-penyu naik sampan la tu!” usik Qalam Azad lagi dan aku terus meraih tubuh sasanya ke dalam pelukannya. Membangkitkan rasa rindu yang tidak pernah jemu hadir ke laman hati.


*** TAMAT***

14 comments:

  1. comel je asy nih. haha tp kak rehan...nk tny sikit. akak mmg suke guna frasa 'air mataku menitis jua' eh??hehehe acap sgt bace tu...

    ReplyDelete
  2. Alahai..sweet nyer cerita ni :)
    xsangka rupa2xnye Qalam Azad ni pun suka
    kat Asy..best!

    ReplyDelete
  3. hahaha.. sukanya sy

    ReplyDelete
  4. thankz sgt sbab blog dh hlng stress time tgh stdy week n.....

    ReplyDelete
  5. apa penyu-penyu naik sampan tu?
    erm..citer ni sgt comel :)

    ReplyDelete
  6. Ni the same Qalam Azad yang Que gn Jed tu ke ????????

    ReplyDelete
  7. best la baca , hehehe

    ReplyDelete
  8. awesome!!!!sukaa sgt...^_^
    ~SS~

    ReplyDelete