Wednesday, September 07, 2011

RENDANG MENANTU


RAUT suamiku yang tenang aku renung lama. Riaknya sukar untuk ku ertikan. Marahkah dia? Sedihkah dia? Dia sekadar tenang duduk di sebelah Along Adzriq dan isterinya, Irina. Aku pula duduk rapat pada papa. Memaut lengan papa erat, pohon pengertian daripada papa agar dia memujuk suamiku. Mataku terasa sarat dengan air mata. Andai mereka bersuara sepatah lagi pastilah berderai air jernih itu nanti. Permintaan daripada mentuaku beberapa hari sudah saat aku menelefonnya, masih terngiang-ngiang di telinga. Aku cuak!
“Atai kenalah ikut cakap suami. Papa tak ada hak atas Atai lagi!” Suara papa jelas tidak menyebelahiku. Menyatakan ketidaksudiannya memujuk Encik Jazannul, yang telah menjadi suamiku sejak 6 bulan yang lalu. Airmata pula terus merembes laju. Nah, kan sudah ku katakan, sepatah kata lagi pastilah aku dijeruk airmata.
“Entah Atai ni. Along memang tak boleh nak sebelahkan Atai kali ni. Atai dah jadi isteri. Arahan suami wajib dipatuhi selagi tidak melanggar hukum syarak,” tokok Along. Ceh, sikit pun tidak membantu adikmu ini.
Aku melarikan pula pandangan pada kakak ipar kesayanganku. Menghantar rayuan dalam diam. Bertelepatilah konon. Tapi, sedih sungguh bila Kak Irina hanya menjungkit bahu tanda tidak campur tangan.
“Atai dah janji dulu, kan? Mana boleh mungkir janji. Abang sendiri pun pegang pada syarat Atai dulu, nak abang tinggal di rumah ni selepas kahwin dan Atai pun dah janji akan sambut raya pertama kita di kampung abang,” ujar suamiku lembut. Renungannya bersahaja. Tenang bagaikan air di kali. Tidak pernah meninggikan suara denganku. Rasa bersalah pula bila memikirkan kehendak hati. Terlalu mementingkan diri sendiri aku ni.
Perkahwinan aku dan Jazannul bukanlah atas dasar cinta. Dia pada asalnya adalah teman baik Along semasa menuntut di luar negara dan kini sama-sama memajukan syarikat papaku, Dato’Amshar. Seseorang yang berasal dari kampung dan lembut sikapnya dalam melayani karenah manjaku yang terlebih manja ini. Bila ingin dijodohkan dan kami masing-masing saling menerima, papa dan Along serta Kak Irinalah yang paling bahagia bila aku sudi menamatkan zaman bujang pada usia 26 tahun. Itupun bersyarat!
Ops, lupa nak berpenglipur lara. Aku anak perempuan tunggal Dato’Amshar. Hanya mempunyai papa dan Along dalam keluarga bila mama pergi meninggalkan kami saat aku lahir ke dunia 26 tahun lalu. Pasti semua orang merasakan aku ini anak manja. Ya, aku memang dimanjai oleh papa dan Along serta kakak iparku. Tidak pernah rasa kurang malah berlebihan pula. Tugasku hanya belajar sahaja. Selepas tamat dengan cemerlang, aku jua tidak pernah bekerja. Hanya elaun yang papa masukkan ke akaunku setiap bulan.
Status isteri juga tidak pernah membawa apa-apa perubahan dalam hidupku. Hanya gelaran sahaja bertukar daripada cik kepada puan. Tugasku adalah melayani dan menyediakan pakaian Jazannul semata-mata. Tidak pernah menjengah ke dapur bila papa dan Along sentiasa menegah. Pernah sekali aku ke dapur dan sudahnya, hujung jariku sedikit tergores dengan mata pisau. Sejak itu, papa melarang keras aku ke dapur. Bimbang katanya. Cuma, sejak menjadi isteri ini, papa selalu pula berkias padaku untuk turun padang menyediakan makan minum si suami. Macam-macam papa tu, kan?
“Atai dengar tak apa yang abang cakap ni?” Suara lembut Jazannul membawa aku kembali kepada wajahnya. Lambat-lambat aku mengangguk dan terus mengangkat tubuhku, berlalu ke bilik kami di tingkat atas.
*******
Pulang dari terawih malam ke 27 Ramadhan, aku sekadar duduk berteleku di birai katil. Airmataku tidak sudah mengalir. Sedih ingin berjauhan dengan papa apatah lagi mengingatkan 1 Syawal yang bakal menjelma beberapa hari saja lagi. Bagasi sederhana besar itu aku pandang sepi. Aku sedih!
“Nur Ataila,” seru satu suara dekat di peluput telingaku. Aku tidak sedar bila dia melabuhkan duduk di sisiku. Mungkin kerana aku terlalu melayan perasan sebu.
“Abang panggil pun dah tak nak menyahut. Derhaka tau seorang isteri buat-buat tak tahu pada suami dia,” ujarnya lembut. Jemariku diraih ke dalam genggamannya. Aku membalas genggaman itu bersama tangis yang makin keras.
“Atai tak boleh nak berpisah dengan papa, Along dan Kak Irina,” ucapku bersendu.
“Abang kan tahu, Atai tak pernah berjauhan dengan keluarga. Atai minta maaf sebab mungkir janji dengan abang tapi Atai mohon, tahun ni kita beraya kat sini dulu. Then, baru kita balik kampung abang,” sambungku tersekat-sekat. Genggaman aku pereratkan lagi. Pohon agar si suami mengerti dengan kehendakku.
Jazannul tersenyum seperti biasa. Tenang! Genggaman dilepaskan dan dia memaut bahuku pula. Erat! Rapat padanya.
“Atai tahu tak, munafik jika seseorang itu memungkiri janji. Atai nak jadi hamba yang munafik ke?” Tanya Jazannul. Aku diam menekur pandangan ke permaidani hijau lembut buatan Itali itu.
“2 hari lagi, insyaAllah raya. Kita balik malam ni, ya?” Pandangan Jazannul padaku penuh mengharap.
“Beg dah kemas. Kereta dah servis. 27 hari dah abang berpuasa dengan keluarga Atai. Abang nak juga merasa berbuka puasa dengan mak abah dan adik-beradik abang. Raya ketiga, pagi-pagi lagi kita balik sini semula,” cadangnya. Aku renung wajah tampan itu penuh kasih. Saat kami dinikahkan, cinta padanya memang hadir saat itu. Aku syukur atas penerimaannya terhadap diriku yang begitu banyak cacat celanya. Setelah lama berfikir, akhirnya aku mengangguk dengan berat hati.
“Kenapa Atai tak nak balik kampung abang sebenarnya? Cuba cerita sikit dekat abang?” Tubuh sasa Jazannul sudah beralih tepat menghadap tubuhku. Aku telan liur. Tak mungkin ku kongsikan dengan dia perbualan antara aku dan emaknya tempoh hari. Jatuhlah pride I nanti!
“Kan Atai dah cakap. Atai tak pernah berpisah dengan keluarga. Lebih-lebih lagi hari raya macam ni,” dalihku. Ya, itu alasan semata-mata. Bukanlah sebab utamaku.
“Tapi, abang rasa ada sebab lain kenapa Atai tak nak balik kampung, kan?” Suamiku terus menduga. Wajah tenang itu menggariskan senyuman tipis. Kacak seperti biasa dengan songkok yang masih melekat di kepala. Aku telan air liur yang terasa kelat.
Suara mak mentuaku bergema lagi di dalam kepala. Aduhai, mak bergurau atau memaksudkan semua tu? Tertanya-tanya hatiku sendiri. Oh, ibu mertuaku!
Suara mak mentuaku jelas di hujung talian. Riuh rendah suara adik iparku juga kedengaran bingit dari belakang.
“Sihat, mak?” Tanyaku usai menjawab salam mak.
“Sihat je. Atai sihat? Raya ni beraya kat mana?” Tanya emak pula.
“Sihat, mak. Kami beraya kat rumah mak tahun ni. Kan Atai dah janji nak raya pertama kami dengan mak. Abang Azan tu tak sabar dah nak balik. Minggu depan kami balik la. Abang Azan dah minta cuti lama sikit dari papa. Sempat la berbuka dua tiga hari dengan mak, ayah, Jazmin suami isteri dan Jazlin,” terangku panjang lebar. Aku dengar emak ketawa di hujung talian. Gembira barangkali dengan pengakuanku sebentar tadi. Hatiku senang mendengar tawa itu. Rindu dengan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah ku rasai sejak dari bayi.
“Emm… seronok mak dengar Atai sudi nak beraya kat pondok buruk mak ni. Nanti mak masak sedap-sedap untuk Atai. Pagi raya nanti boleh la mak rasa rendang yang Atai buat, kan?”
Erk… Aku tersedak liur sendiri. Permintaankah itu? Atau sekadar gurauan mak semata-mata? Oh, mak mentuaku! Mak tidak pernah tahu yang menantumu ini tidak pernah menjengah ke dapur walau sekali. Bagaimana belanga, apakah senduk? Macam manakah rupa rempah-ratus semua?
Nafasku sesak. Benar-benar sesak. Serasa sarat tubir mataku kala itu. Kegembiraan untuk bertemu keluarga mentuaku ranap sama sekali. Oh tidak! Tidak!!
“Atai dengar tak abang tanya ni?” Aku tersentak dengan suara Jazannul. Hilang suara emak dari gegendang telingaku.
“Erk, abang tanya apa dah tadi?” soalku kembali dengan sengihan tidak bersalah. Aku tayang muka innocent. Jazannul senyum sambil menggeleng kecil. Tercuit dengan telatahku barangkali. Yalah, tadi sedih, ni sengih!
“Wahai adindaku Nur Ataila binti Dato’Amsyar, kekanda ini bertanya pada dinda, apakah gerangan yang menyebabkan dinda tidak sudi pulang beraya di teratak buruk keluarga kanda? Kanda tidak rasa yang ayahanda dan kekanda Adzriq yang menjadi sebab utamanya kerana selama ini, adindalah orang yang bersungguh-sungguh untuk pulang beraya di kampung kanda!”
Eleh… berbahasa istana la pulak Encik Jazannul ni. Aku mencebikkan bibir. Dia ketawa lepas.
“Wahai kandaku, benar seperti yang dinda katakan. Itulah alasannya, wahai kanda. Bukankah kanda maklum keadaan dinda yang selama ini tidak pernah berjauhan dengan keluarga,” balasku mengenakannya semula.
“Benarkah begitu, wahai dinda?” Aku mengangguk. Mengulum senyum manis dengan gurauannya.
“Atau dinda gusar dengan rendang yang mentua dinda hajatkan di pagi Syawal nanti?” Sengihan Jazannul melebar. Erk, aku tersedak liur sendiri sekali lagi lalu aku melarikan anak mata dari renungannya yang ku rasakan terselit tawa pada hujung mata kuyu itu. Manalah Encik Suami ni tahu? Desis hatiku sendiri.
“Toksah dok risau la. Mak abang bergurau je tu,” ujarnya bernada pujukan.
“Mana abang tahu semua ni?”
“Mak cakap dekat abang masa abang call dia semalam beritahu nak bertolak malam ni.”
“Dah tu, kalau mak dah beritahu abang, maknanya mak tak berguraulah tu!” rungutku. Muncung keluar sekilometer tau. Nak tunjuk aku merajuk la tu. Sedepa pendek sangat.
“Nur Ataila, isteri abang. Kalau betul mak nak Atai sediakan rendang pagi raya pun, apa yang susah. Resepi kan banyak. Tak sempat nak cari dalam buku, tanyalah pakcik awak tu!” Wajahku berkerut seribu. Hampir saja bertaut kening. Bila masa aku ada pakcik ni?
“Siapa pulak pakcik Atai ni?”
“Pakcik Google la,” selanya bersahaja disulami tawa berdekah-dekah. Jazannul lantas bangkit dari birai katil, menuju ke bagasi yang terletak elok di tepi almari lalu menarik bagasi itu menuju ke pintu.
“Abang ni, memang tau,” jeritku sedikit kuat.
“Cepat siap. Nanti tak sempat sahur kat rumah pulak. Abang nak makan rendang sahur nanti,” usiknya lagi lantas menghilang di balik pintu. Aku ketap bibir menahan geram. Nak kena ni!
Aduh! Hai lah hati, hai lah jiwa. Parahlah anda berdua nanti. Daripada status menantu kesayangan, rasanya terus saja menjadi hantu jembalang barangkali.
******
Kami tiba di laman rumah keluarga Jazannul di Tanjung Piandang dinihari itu. Suasana kampung benar-benar mendamaikan. Kesejukannya terus mencengkam hingga ke tulang. Langsung hilang keresahan akibat peristiwa rendang itu.
Kereta Jazmin, adik lelaki Jazannul sudah tersadai di laman. Teringat pula pada birasku, Suria yang tidak semesra mana.
“Beraya kat sini juga kamu berdua tahun ni,” gumamku. Tiba-tiba sahaja, permintaan emak hadir lagi di minda. Oh, pastilah tertewas oleh Suria nanti. Hampir saja aku menangis. Tolong Atai papa, Along! Jerit hatiku sendiri. Pedih, lirih, merintih!
*******
Hari ke 28 Ramadhan, aku dan emak mula sibuk di dapur. Menyiapkan beberapa jenis biskut raya dan juga kuih-kuih tradisional. Suria pula langsung tidak kelihatan. Jangankan hendak menghulurkan tangan meringankan kerja, menjengah pun tidak. Yang peliknya, emak tidak pernah merungut tentang menantu dia yang seorang itu. Ops, adakah rungutanku ini berbau cemburu?
“Mak minta Suria masakkan kuah kacang raya nanti,” beritahu emak padaku tatkala dia sedang menggoreng kuih loyang dan aku sekadar menyusun kuih itu yang sudah sejuk ke dalam bekas.
“Boleh mak buat nasi himpit. Atai tinggal buatkan rendang je. Mak rasa cukup dah tu kot. Tambah lemang lagi. Atau Atai nak tambah hidangan lain?”
Aduh, hati ini tertusuk lagi! Pedih dengan ayat yang terluncur laju dari celah bibir mak mentuaku. Rendang itu entahkan jadi entahkan tidak, nak ditambah pula dengan menu yang lain?
“Err… banyak dah tu mak kalau nak buat raya pertama semua. Raya kedua nanti boleh la kita buat roti jala ke, mee goreng ke. Untuk raya pertama, itu jelah kot,” ujarku sedikit memprotes.
“Emm, elok juga macam tu. Kalau Atai nak buat roti jala hari raya kedua elok juga. Hari raya pertama ni, budak-budak je ramai yang datang. Dia orang semua tu nak duit raya je. Bukan nak makan sangat,” akui mak diselangi tawa halus. Aduh, banyaklah kau punya roti jala jemala, Atai. Rasa mahu dicabai mulut sendiri. Pepandai berjanji. Bukannya reti!
“Err… Atai cakap je mak, roti jala tu. Nak buat tak adalah pandai. Kalau kita tempah boleh, kot?” cadangku telus. Mentuaku memandangku sekilas. Dia senyum tipis. Sukar untuk aku ertikan senyum itu. Macam Jazannul juga. Setiap kali senyum, sukar nak tafsir suka atau marah.
“Mak pun tak pandai nak buat. Ikut suka Atai la. Nak tempah pun boleh tapi masalahnya dekat siapa kita nak menempah?” Oh, betul juga kata mak. Siapakah yang sudi menerima tempahan pada saat-saat akhir ini? Aku pandang emak, dan emak pandang aku. Sudahnya aku sengih tayang raut tak bersalah. Memang kepakaran aku tayang wajah comel ni. Raih simpati kata orang.
“Tak payah nak tempah, mak! Su boleh buatkan roti jala tu!” Suara Suria keras kedengaran di peluput telingaku. Entah dari mana datangnya. Tanpa salam, tiada sapaan, terus menerjah. No manner! Rungut hatiku.
“Eh, Su pandai buat roti jala? Kalau macam tu eloklah. Su buat roti jala raya kedua. Atai yang cadang tapi dia tak reti. Itu yang dia kata tempah je. Mak tak kisah,” ucap mak.
“Anak Dato’, mak! Nak harapkan apa. Makan terhidang semua. Mana nak reti semua tu, kan Kak Atai?” Suria memandangku sekilas.
Aku tahan hati mendengarkan kata-kata Suria. Mulut tidak berinsurans. Mengata orang sesedap rasa dia je. Hampir rabak kesabaranku. Apa salahnya aku dilahirkan dalam keluarga berada? Bukan aku tidak pernah ke dapur, tapi papa melarang. Salah ke kalau tidak pandai memasak? Yang penting aku menjaga maruah diri, adab dan aurat. Tak macam kau! Rambut perang berkarat! Bisik hati ini. Haa, kan dah kedengaran macam puisi tu.
“Anak orang kaya ke, anak orang biasa ke, yang penting kena pandai masak sebab nak ikat suami ni kena ikat perut dia dulu,” tokok emak pula bagaikan sengaja mengenakan aku. Perumpamaan yang sudah terlalu klise di pendengaranku.
Bukan tidak pernah mencuba, tapi entahlah. Setiap kali pasti berlaku kemalangan kecil. Mujur sahaja dapur papa tidak terbakar atau lebih teruk lagi, aku yang rentung! Ditambah pula dengan larangan papa, aku makin jauh dari dapur.
“Waa… dari luar dengar roti jala segala ni. Siapa yang nak buat? Lin suka tu.” Kini, wajah Jazlin, adik bongsu suamiku pula muncul entah dari mana. Langsung duduk di sebelah Suria dan memaut lengan birasku itu. Hatiku pula dipaut cemburu.
“Kak Suria kamu nilah yang nak buat,” sela emak bersahaja. Sekali lagi dia tersenyum kepadaku penuh makna dan aku seperti biasa, sukar untuk menebak yang tersirat di balik raut tua itu.
“Bestnya, Kak Su. Tak sabar nak rasa masakan dua orang kak ipar Lin ni. Seorang buat kuah kacang, seorang buat rendang. Nak tahulah nanti, siapa punya lebih sedap,” ucap Jazlin teruja. Hampagas punya budak! Pepandai buat pertandingan. Mahu Kak Atai yang lingkup.
Mataku bersabung pandang dengan Suria buat seketika. Pandangan jengkel itu aku terima seadanya. Sudah lali dengan jelingan mautnya yang tidak membunuh itu. Emak hanya tersenyum padaku. Terjerut rasanya hati ini dengan pandangan penuh harapan daripada ibu mentuaku ini.
*******
Sekembali dari terawih tadi, aku terus bergegas ke dapur membersihkan pinggan mangkuk, periuk belanga dan mengemas dapur emak yang berselerakan. Dia pula, sekadar duduk di ruang tamu bersama suaminya Jazmin, Jazlin dan kedua mentuaku. Rasanya suamiku masih belum pulang dari pasaraya selepas padanya aku meminta membelikan aku beberapa jenis keperluan.
Usai membersihkan pinggan mangkuk dan mengemas bersih dapur, aku melangkah lemah memanjat tangga untuk ke bilik. Badan sudah dimamah penat kerana sejak petang tadi segala sendiku bekerja tidak henti-henti. Sesekali terasa yang emak pilih kasih pula antara aku dan Suria. Kukunya bersih berkilat sedangkan aku berwarna kekuningan kesan garam kunyit. Wajahku tercolet juga oleh arang tatkala membakar ikan di dapur arang tapi Suria, bersih sahaja kerana sekadar menyusun pinggan mangkuk di atas meja. Mentang-mentanglah menantu yang itu pandai memasak! Ujar hati ini lirih.
“Mak suruh Kak Atai buatkan rendang, ya?” Langkahku pegun di anak tangga dapur bila mendengar suara Jazlin menyebut namaku. Tiada suara emak menyahut. Barangkali dia mengangguk sahaja.
“Pandai ke dia, mak? Selama kita ke rumah dia ni, tengok orang gaji dia yang sediakan semua. Tak pernah pun Min tengok dia ke dapur,” tokok Jazmin pula.
“Entah mak ni. Tengok-tengok tak jadi rendang nanti. Jadi badak berendam macam mana?” Kata-kata Suria disambut hilai tawa. Aku ketap bibirku menahan hati yang pedih.
“Kak Atai memang tak tahu buat tu, mak! Biarlah Su yang buatkan. Biar je dia dok goyang kaki. Orang dah biasa tak buat kerja. Anak orang kaya, nak kata apa. Dah biasa orang sediakan semuanya,” ujar Suria lagi bernada perli. Mataku sudah sarat dengan airmata. Bila-bila masa sahaja akan tumpah.
Oh, Encik Jazannul, suami saya! Pulanglah cepat. Atai nak balik rumah papa. Hatiku merintih pilu.
“Biarlah dia buat. Mak pun nak tengok juga rasa, sedap ke tidak. Kot la dia pandai masak, sedap pulak tu. Macam mana?” Kali ini suara emak jelas di pendengaran. Memuji atau memerli, aku tidak tahu.
“Pandailah sangat,” sahut Suria pula. Dapatku bayangkan wajah mencemik itu padaku.
“Tapi, betullah mak! Kak Atai kan anak Dato’. Siap ada bibik lagi kat rumah dia. Mesti dia tak pandai masak, mak. Setiap kali balik, Lin tengok Abang Azan macam kebulur je macam tak pernah jumpa makanan,” ucap Jazlin pula. Suria kedengaran ketawa lepas. Disahut pula oleh suaminya, Jazmin.
Kini, airmata yang ku tahan sedari tadi, mengalir laju. Aku bawa telapak tangan ke dada. Mencengkam erat, bagaikan memujuk hatiku dengan sinis mereka.
“Kamu jangan pandang rendah pada Atai. Kalau benar dia tak pandai memasak, setidak-tidaknya dia pandai menjaga aurat dan adab. Bukan macam sesetengah orang tu,” sampuk abah tiba-tiba. Mungkin memerli menantu keduanya itu.
Aku dengar abah ketawa tapi aku tidak pasti mengapa. Adakah kerana muncung Suria keluar berdepa-depa? Rawan hati ini terubat sikit dengan sikap abah mentuaku yang lebih terbuka.
Perlahan-lahan aku duduk di atas tangga. Menyapu sisa airmata yang masih meleleh perlahan di pipi. Pilu bila mengenangkan diri ini yang bagaikan terasing di tengah-tengah keluarga mentuaku. Emak mesra oranya tapi sukar ku tebak apa yang tersirat di sebalik wajahnya. Aku tidak pasti sejauh mana penerimaannya padaku selama ini.
Aku walang. Hal masak-memasak ini merupakan celaku yang sangat ketara. Aku tahu Jazannul tidak pernah membuka aibku pada keluarga tapi aku juga yakin yang emak dan seluruh keluarga mengetahui tentang perkara ini. Aku bersyukur bila Jazannul terima kekurangan diri. Biarpun begitu, aku tetap melayani suamiku itu dengan baik. Aku tetap melayani dia di meja makan seperti isteri-isteri solehah yang lain. Cuma bezanya, makanan itu bukanlah dari air tanganku sendiri.
“Sayang kenapa?” Aku tersentak dari meladeni perasaan hiba. Suara suamiku jelas di pendengaran. Pantas aku mengelap sisa airmata agar tidak terkesan oleh Jazannul akan kesedihan hati.
“Eh, abang ni! Terkejut Atai. Kenapa masuk tak bagi salam?” tanyaku buat-buat muka terperanjat. Jemari suam itu aku sambut lantas ku kucup seperti selalu.
“Abang dah berbuih bagi salam. Atai tu termenung jauh. Sampai tak dengar. Ingatkan apa?” Tanya Jazannul lantas menghulurkan beg plastik padaku. Aku sambutnya lantas bangkit menuju ke sinki. Meletakkan beg plastik itu lantas jemariku menyelongkar isi di dalamnya.
“Nak buat apa dengan semua tu?” soal Encik Suami lagi. Aku sengih tayang kecomelanku. Langsung hilang gundah hati akan peristiwa sebentar tadi demi terpandangkan seraut wajah maskulin di depanku ini. Riaknya tenang seperti selalu. Senyuman manis itu sentiasa meruntun rindu di hati yang hadir menderu.
“Nak praktis buat rendang untuk mak,” jawabku berbisik. Mata Jazannul bulat. Ada bunga tawa pada hujung bibirnya.
“Nekad?” soalnya sepatah. Aku angguk. Benar aku nekad. Telah ku temui kekuatan untuk menyediakan rendang buat ibu mentuaku. Akan ku buktikan yang diri ini tidaklah seteruk mana. Aku yakin Allah akan membantuku kerana niatku ikhlas. Luhur demi si suami.
*******
Setelah berpenat lelah di dapur, aku membawa tubuhku yang lenguh dimamah penat ke bilik. Jam di dinding aku kerling sekilas. Sudah menginjak ke jam 2 pagi. Badan ini perlukan rehat buat seketika sebelum bangkit semula jam 4 pagi nanti untuk sahur terakhir.
Tangan Jazannul melilit pinggangku saat aku merebahkan tubuh di sisinya. Aku membalas pelukan itu seperti biasa. Membelai seraut wajah itu penuh dengan rasa kasih yang tidak pernah padam malah makin menyala dari sehari ke sehari.
“Macam mana? Jadi?” soalnya lembut dengan mata yang terpejam rapat. Aku senyum.
“Alhamdulillah. Jadi walaupun tak sesedap yang mak masak! Esok kita kena ke pasar lagi. Beli keperluan yang cukup untuk hari raya. Boleh tak, abang?”
Jazannul membuka matanya luas. Tersenyum padaku seraya mengangguk. Telapak tangannya mendarat ke wajahku. Satu kucupan kudus hinggap di dahi ini.
“Apa-apa saja untuk Nur Ataila, isteri abang yang tesayang. So, yang dah siap tu nak bagi siapa rasa?”
“Mestila nak bagi abang dengan mak rasa. Yang hari raya tu dah jadi masakan kedua Atai. Yang pertama nilah nak bagi suami saya yang tersayang ni rasa,” ujarku manja. Kepalaku lantas ku dekatkan ke dadanya dan Jazannul membelai rambut panjangku lembut.
“Sayang tak pandai masak pun tak apa. Boleh belajar pelan-pelan. Yang penting sayang sentiasa menjaga aurat, menjaga maruah diri dan suami, menjaga solat dan adab.” Dahiku sekali lagi dikucupnya.
Teringat pada suara abah mentuaku tadi. Aku tersenyum senang tapi lemah juga semangatku bila memikirkan sebarang kemungkinan tentang penilaian mak mentuaku akan rendang tersebut. Namun, demi kasih dan cinta Jazannul padaku, aku mampu tersenyum lalu memejamkan mata rapat.
*******
Keesokan harinya, aku dan Jazannul menaiki motosikal menuju ke pekan Tanjung Piandang. Pekan yang pada asalnya tenang ini, bertukar semak dengan kunjungan orang ramai memandangkan hari raya akan menjelang esoknya.
“Apa nak beli?” Tanya Jazannul padaku selepas memakirkan motosikal milik abah mentuaku.
“Barang-barang nak buat rendang la. Agak-agak nak buat berapa ekor ayam, berapa kilo daging, bang?” tanyaku teruja. Mataku bulat memerhatikan barang-barang yang dijual di pasar. Daripada semua jenis sayur, lauk mentah, bahan-bahan kering dan bunyi mesin perahan kepala benar-benar membuatkan aku teruja. Tidak pernah aku melihat situasi begini. Hati ini melonjak kegembiraan.
Selama ini, papa dan Along serta Kak Irina tidak pernah membiarkan aku ke tempat sebegini. Tidak mahu aku merasa susah dan kurang bersih sedangkan aku sendiri tidak pernah menyatakan rasa jijik dan malasku tentang situasi begini.
Aku terima segala yang papa aturkan buatku demi kasih sayangnya buat puterinya yang satu ini selepas menerima amanat daripada arwah mama dulu untuk menjagaku agar tidak dihinggap habuk walaupun sedikit. Namun, kerana itu juga aku tidak reti memegang senduk. Mujur sahaja boleh juga mengemas dan mencuci pinggan mangkuk.
“Seronok nampak,” usik Jazannul tersengih macam kerang busuk. Ops, busuk-busuk pun manisnya tetap menyerlah.
“Mestilah. Bukan abang tak tahu, ni pertama kali Atai ke pasar. Abang kan tahu, Atai macam mana sebelum ni?”
“Abang tahu. Sajalah abang mengusik. Seronok tengok isteri abang ni bersungguh nak buatkan rendang untuk mak mentua dia. So, kita nak mula dari mana?” Aku tidak menjawab. Sekadar menarik tangan Jazannul menuju dari satu gerai ke satu gerai.
“Serai dah ada, lengkuas dah ada. Ayam dah beli seekor, daging pun dah beli juga sekilo, cili kering pun dah, bawang semua dah ada, cili padi dah, lengkuas pun dah . Okey, semua dah siap,” ujarku gembira setelah puas mengelongkar barang-barang yang ku beli sebentar tadi.
“Kalau dah mari kita balik. Atai kena masak malam ni tau. Nak masak esok pagi tak sempat pulak.” Barang-barang bertukar tangan dan kami sama-sama menuju ke motosikal milik abah mentuaku. Heee, nantikan kemunculan rendang menantu esoknya. Tukas hatiku gembira.
******
Setibanya kami di rumah, aku lihat Suria dan emak sedang enak bersembang di dapur. Usai memberi salam aku masuk menyalami emak dan menghulurkan tangan buat Suria biarpun aku tahu, dia berat hati hendak menyambut huluran tanganku. Ah, tak peduli. Nak salam jugak! Desis hatiku. Itukan ajaran yang papa tanamkan dalam diri ini? Bersalaman setiap kali hendak keluar atau pulang ke rumah.
“Banyak Atai beli barang?” Tanya mak mesra. Jemarinya ligat mengisi beras di dalam sarung ketupat. Suria seperti biasa. Duduk tongkat dagu saja melihat emak sendirian melakukan kerja. Mulut sahaja ringan tapi tulang berat macam batu!
“Sikit je, mak. Untuk hidangan esok,” jawabku. Dari ekor mata, aku tahu Suria menjelingku tajam. Bibirnya herot. Emm, mengata akulah tu! Macamlah aku menyakiti hati dia? Rungut hatiku geram.
“Mak rasa elok kalau Atai masak petang ni. Tak pun malam ni. Esok tinggal panaskan je,” cadangkan emak. Aku mengangguk mengiyakan nasihatnya.
“Kalau Kak Atai tak boleh nak masak, biar Su je masak,” sinis Suria tiba-tiba. Dia sengih padaku. Tidak dapat tidak, aku sekadar membalas senyuman itu seikhlas mungkin. Tidak mahu terkesan oleh mak akan kedinginan hubungan kami yang tidak ku tahu dari mana puncanya.
Bila difikirkan, aku tidak tahu mengapa Suria mencemburuiku. Adakah kerana aku anak seorang yang berpangkat Dato’? Mungkinkah kerana aku mempunyai suami yang tampan? Erk, itukan abang ipar dia! Kau gila Ataila. Kutukku pada diri bila sanggup mempunyai fikiran sedemikian pada Suria. Astaghfirullahhal’azim. Ucapku hatiku sesal.
“Kak Atai boleh masaklah, Su. Nanti Su boleh rasa. Mungkin tak sesedap mana tapi bolehlah,” jawabku lembut. Serasa parah hati dengan ejekan demi ejekan yang aku terima daripada Suria sejak aku tiba di rumah mak ini.
Usai fardhu Zohor tengah hari itu, aku paut jemari Jazannul seperti biasa, mengucup lembut, mengharap keampunan daripada si suami untuk kekhilafan diri ini setiap waktu. Dia pula membalas dengan mengucup dahiku lembut.
“Atai tak tahu kenapa Suria benci sangat pada Atai,” aduku lemah. Tanganku lantas menarik telekung daripada membungkus tubuh.
“Kenapa Atai cakap macam tu? Atai ada bukti ke cakap macam tu? Kalau tak ada bukti, itu dah jatuh ke fitnah. Atai tahu kan hukum orang memfitnah ni apa?” Jazannul angkat kening padaku. Seperti biasa juga, wajah itu menggariskan senyuman tipis. Aku angguk perlahan. Faham dengan apa yang dirisaukan si suami.
“Atai tahu hukum fitnah ni, bang! Tapi, Atai yakin yang dia memang tak pernah suka pada Atai. Lepas kita balik dari pasar pagi tadi, dia ejek Atai lagi. Dia kata kalau Atai tak pandai masak, biar dia je masak. Depan mak pulak tu,” ujarku tenggelam timbul. Dada ini serasa sesak dengan sikap Suria padaku yang semakin hari bagaikan ada saja yang tidak kena padaku.
“Habis tu, mak cakap apa?”
“Mak macam biasalah. Senyum manjang. Payah nak tafsir riak mak tu. Macam abang la,” jawabku bernada rajuk.
Jazannul meraih jemariku. Diramas lembut. Dia senyum lagi. Emm, memang itulah kepakaran dia. Senyum tayang wajah menggoda hinggakan hentakan di dadaku makin menggila.
“Memanglah abang macam mak. Kan abang ni anak dia,” selanya bersahaja. Aku tarik muka.
“Sayang, dengar sini!” Jazannul memegang wajahku membawa aku menghadap tepat ke wajahnya.
“Apa?” tanyaku sepatah.
“Mula-mula tarik dulu muncung tu, baru abang cakap!” Mendengarkan usikan itu, aku makin meneruskan rajuk. Jazannul senyum lagi.
“Tak baik merajuk macam ni, bulan-bulan puasa ni, sayang?” tegurnya lembut.
“Emm, Atai minta maaf,” ucapku bernada kesal. Bulan-bulan Ramadhan ni keluarkan muncung sekilometer, saja mengurangkan pahala puasa.
“Atai dengar abang cakap. Biarlah Suria nak cakap apa pun. Hati Atai tu kena sabar. Tetapkan niat. Atai buat semua tu untuk mak dan untuk abang, kan? So, teruskan usaha Atai. Sedap ke tidak, tu tak menjadi masalah. Yang penting Atai dah berusaha. Abang yakin dan percaya yang mak akan dapat rasa keikhlasan Atai di sebalik semua tu. You know me, honey! I am a man of my words,” ujar Jazannul tenang.
Demi penjelasan itu, bibirku mampu menguntum senyum. Ya, benar kata suamiku. Aku ikhlas menyediakan semuanya. Rendang yang sedikit versi percubaan semalam masih tersimpan di dalam bekas di dalam peti sejuk. Masih belum sempat ku hidangkan pada Jazannul. Tidak berkesempatan.
*******
Sesudah Asar petangnya, aku terus ke dapur. Jazannul pula sedang sibuk di bawah bersama abah dan Jazmin, membakar lemang. Suria entah ke mana. Jazlin pula sedang leka mengemas ruang tamu. Hanya aku dan emak di dapur.
“Rasanya dah cukup kot nasi himpit ni, kan Atai?” Tanya emak. Beberapa ketul nasi himpit yang telah masak ditunjukkan padaku.
“Emm, rasanya dah cukup tu mak. Banyak sangat takut tak habis, dah jatuh membazir. Kalau tak cukup, kita boleh tambah lain.” Emak mengangguk mengiyakan kata-kataku.
“Emm, mak nak naik solat dulu, Atai nak masak, kan?” Tanya emak kemudiannya.
“Ya, mak. Tak apalah, mak pergilah solat dulu. Atai siapkan kerja Atai, nanti Atai kemas dapur,” jawabku lembut. Sekuntum senyum ku hadiahkan buat si ibu. Menyatakan kesediaanku untuk menyediakan juadah seperti kehendaknya.
Emak melangkah menaiki anak tangga satu persatu melepasi ambang pintu dapur dan aku terus mendapatkan periuk. Aku panaskan minyak, aku masukkan cili yang telah dikisar bersama bawang. Setelah pecah minyak, aku masukkan kerisik beserta lengkuas, serai dan cili padi. Sesudah itu, aku gaulkan ayam untuk beberapa ketika dan akhirnya aku tuangkan santan pekat dan ku biarkan mendidih sehingga kering.
Bibirku tidak lekang dengan senyuman bila melihatkan rendang yang sudah mahu masak. Akhirnya, daun kunyit dan daun limau purut yang aku potong halus-halus, aku gaulkan di dalam kuali. Haruman rendang mencucuk ke hidung. Hatiku puas. Daripada tidak kenal periuk belanga, daripada tidak reti memasak, aku kini sudah pandai menyediakan satu hidangan ini berkat doa dan keikhlasan hati ini. Allah telah membantuku.
“Syukur, Ya Allah,” gumamku sendiri bersama hati yang gembira bila rendang yang ku janjikan buat emak kini sudah sedia masak. Hampir 2 jam di dapur, aku akhirnya berlalu mendapatkan suamiku di luar rumah.
“Atai ambil masa 2 jam nak masak rendang? Lamanya?” Bisik Jazannul ke telingaku.
“Abang ni. Kan Atai tak biasa kat dapur. Kira okeylah tu. 2 jam tu kira cepat dah,” protesku.
“Yalah-yalah! So, macam mana rasa rendang pertama Atai?”
“Rendang kedualah. Sedaplah juga. Bolehlah kalau mak rasa.” Aku sengih tayang gigi.
“Terima kasih sangat buat isteri tercinta abang ni sebab sudi berkorban begini untuk mak abang,” ucap Jazannul mesra.
“Sama-sama. Tapi, rasanya Atai yang kena ucapkan terima kasih pada abang sebab beri kesempatan untuk Atai belajar semua ni. Belajar menjadi isteri yang terbaik buat suami. Lepas ni, Atai janji. Makan minum abang nanti hanya hasil dari air tangan Atai.” Itulah janjiku padanya.
“Lagipun, mak abang tu, mak Atai juga. Atai kan tak ada mak. Jadi, pada mak abanglah Atai nak menumpang kasih sikit!” Jazannul mengangguk dan kami berbalas senyum.
******
Berbuka puasa terakhir remang Maghrib itu sekadar di hiasi sepi. Sesekali bunyi sudu yang berlaga dengan pinggan lauk pauk memecahkan sunyi. Aku tunduk menghadap pinggan nasi yang masih bersisa. Hatiku tidak putus memanjatkan syukur. Menjadi juga rendang menantu untuk mak! Bisik hati ini.
“Su tak nak masak kuah kacang masak malam ni ke?” Suara emak perlahan memecahkan sunyi.
“Su nak masak esok pagi je, mak. Bukan payah pun. Senang je,” jawab Suria sedikit sombong. Jazlin yang disebelah, menyikuku. Aku angkat bahu.
“Kalau masak malam ni, esok tinggal panaskan je tapi ikut kamulah. Mak tak kisah,” sela emak lalu mengangkat pinggannya ke sinki. Diikuti abah dan seterusnya suamiku.
“Jangan tak menjadi sudah!” usik abah bersama tawa lantas berlalu ke bilik air. Aku lihat Suria ketap bibir. Terasa barangkali! Boleh tahan juga abah mentuaku ini kalau memerli. Mahu pijar wajah andai terbias. Sedikit sebanyak, hati ini ketawa dengan wajah bonyok Suria. Erk, teruk kau ni Atai! Ketawakan orang. Marah hatiku pada diri sendiri.
“Emm, wanginya bau rendang ni,”ucap mak tiba-tiba. Dia sedikit menunduk menghidu rendang yang ada di dalam kuali. Senyumku melebar.
“Yalah, wangi betul,” tokok abah. Aku apa lagi. Rasa macam nak sengih sampai ke telinga la. Tatkala bertaut pandangan dengan Jazannul, dia mengeyitkan mata padaku. Eh, Encik Suami ni, ada saja nak mengusik tu!
Aku terkalih pula pada wajah Suria yang sedang membaca jampi serapahnya buatku. Mahu saja aku jelir lidah padanya. Geram sungguh. Mata yang suka menjeling itu rasanya mahu saja aku korek dengan garpu. Biar jadi Kasim Selamat.
Selepas semua berlalu dari dapur, aku terus mengangkat pinggan ke sinki. Mengutip mangkuk dan pinggan kotor di atas meja lalu aku bawa ke sinki. Selepas solat nanti baru basuh! Desis hati ini.
“Yang wangi belum tentu sedap!” Suara Suria keras-keras. Mujur sahaja tidak terlepas cawan kaca dari tangan. Terkejut dengan sergahannya yang tiba-tiba.
“Su ni, terkejut Kak Atai,” tegurku lembut, saja buat-buat tidak dengar dengan kata-katanya tadi. Dah tahu, dia nak ejek aku lagi. Gelas di tangan ku letak di dalam sinki. Kain lap aku capai, langsung aku lap meja yang sedikit kotor.
“Memang wangi rendang Kak Atai buat tapi rasanya belum tentu sedapkan?” Suria sudah meletakkan semula tutup kuali itu.
Tanganku terhenti dari mengelap meja. Wajah mencuka Suria aku pandang lama lalu menggariskan senyuman. Aku perlu memenangi dia dengan kesabaran.
“Kak Atai akui Kak Atai tak pandai masak. Tak pernah masak. Walaupun Abang Azan tak pernah beritahu mak, tapi Kak Atai yakin yang mak tahu pasal ni. Sedap ke tidak, itu tak menjadi masalah pun sebab Kak Atai ikhlas sediakan. Mungkin rasanya tak sedap seperti yang Su masak, tapi bolehlah sekadar untuk dimakan,” jawabku lembut. Suria merengus. Marah barangkali. Aku buat-buat tidak nampak wajahnya yang sudah menjadi udang bakar. Merah padam.
“Tapi, banyak sangat la Kak Atai buat ni. Tak takut tak habis ke? Su takut kuah kacang Su nanti tak cukup. Rasanya nak buat 2 kilo kacang tanah kot,” sinisnya. Aku ketap bibir. Geram betul dengan hamba Allah yang seorang ini.
Nak buat, buatlah! Waima 10 kilo sekalipun. Nak dengki dengan rendang aku yang seekor ayam sekilo daging tu kenapa? Rungut hatiku yang sudah mendongkol geram.
“Buatlah Su. Yang mana Su rasa perlu. Kak Atai baru belajar buat rendang. Itupun tak berapa nak sedap,” balasku berbaur sinis lalu aku menapak ke bilik air. Baik ambil wudhuk, solat dulu. Dok melayan Suria Perkasa Hitam ni boleh rabak sabar aku nanti. Telingaku sempat menangkap rengusan Suria yang makin keras.
*********
Airmataku menitis laju. Lengan Jazannul aku paut erat. Rasa mahu saja meraung memanggil papa, Along dan Kak Irina. Hati ini dibelit pilu. Mengapa begini sudahnya setelah aku berusaha keras untuk menyediakan rendang itu?
“Atai minta maaf, mak. Rasanya tadi dah sedang elok dah rasa dia. Cukup dah masin manis pedas segala,” ucapku perlahan pada emak. Raut emak seperti biasa. Tenang. Sukar untukku tebak perasaannya kala itu tatkala mencuba rendang yang ku sediakan.
“Mak tak kata apa pun Atai. Kalau Atai cakap Atai tak pandai langsung kan senang. Boleh mak masakkan. Tak adalah sampai nak membazir macam ni.” Suara emak sedikit kecewa.
“Atai minta maaf sangat-sangat mak. Atai tak tahu macam mana nak buat dah,” ucapku lirih. Airmata yang meleleh ke pipi tidak mampu ku seka. Malu pada diri sendiri, malu pada keluarga mentuaku dan pedih dengan senyuman sinis yang tersungging di bibir Suria. Tambah lagi pedih hati ini kerana membuatkan Jazannul kecewa. Benar wajahnya tidak menzahirkan itu tapi entah mengapa, hatiku sebagai seorang isteri dapat merasakan itu. Maafkan Atai, abang!
“Nak beli barang tak sempat dah. Pukul 10 dah. Su buatkan kuah kacang jelah. Esok makan dengan kuah kacang je. Lemang tu nanti mak buatkan sambal,” ujar mak seraya berlalu ke atas. Bahuku ditepuk sekali dengan sekuntum senyum yang sukar untuk ku tebak maksudnya.
Aku terus menyembamkan wajahku ke dada Jazannul. Menghamburkan tangis yang teresak-esak. Pedih, lirih, merintih!
“Tak apa, sayang. Atai dah usahakan. Tak jadi nak buat macam mana. Yang percubaan hari tu ada kan. Hidang yang tu jelah. Nanti bagi abang rasa!” Aku angguk pada pujukan Jazannul. Bahuku diusap lembut.
“Tapi, sungguh abang! Atai dah rasa. Semuanya cukup rasa. Tapi, macam mana boleh jadi masin, pahit, pedas semacam?” soalku lebih pada diri sendiri.
“Abang pun tak tahu nak jawab. Tapi, Atai kena ingat, ada yang lebih mengetahui. Allah tahu tentang segalanya.”
“Mari ke pasaraya sekarang, ya bang? Atai nak juga sediakan rendang lain untuk mak. Tak dapat seekor ayam, dapat sepotong pun jadilah. Atai sedih tengok pandangan mak pada Atai,” aduku lemah.
“Kan mak dapat cakap, toksah buat. Makan dengan kuah kacang je.” Jazannul sedikit memprotes.
“Tak apalah, bang! Please, Atai nak juga buat lain. Sikit pun jadilah. Atai dah janji pada mak,” rengekku manja. Jazannul sudahnya mengangguk.
“Yalah, tapi pasaraya dah nak tutup ni!”
“Ala, kita tengok dulu. Kalau dah tutup tak ada rezeki Atai la. Kalau buka maknanya Allah memang nak tolong Atai. Lengan Jazannul aku tarik keluar melalui pintu dapur. Dia menghidupkan enjin kereta dan terus meluncur laju membelah malam raya yang indah permai.
*******
Kami tiba di rumah lebih kurang jam 12 malam. Ramai benar pengunjung di pasaraya. Mujur sahaja waktu perniagaan dilanjutkan hingga lewat malam khas untuk musim perayaan. Andai tidak, aku pasti kecewa dengan diri sendiri. Namun, jauh di sudut hati, aku yakin yang masakan itu telah dikhianati seseorang. Tapi, pada siapa harusku tuding jari? Menuduh tanpa bukti?
Hendak ku adu pada Jazannul, pastilah dia akan kecewa dengan sikap isterinya yang cepat melatah. Hati ini kuat mengatakan dia tapi demi keharmonian malam raya, aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri saja. Benar kata Encik Suami, Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segalanya. Hanya satu ku pinta, andai kebenaran tersingkap, aku harap hatiku ini mampu memaafkan.
Jam sudah menginjak ke angka 2 pagi. Semua penghuni sudah enak dibuai mimpi. Hanya aku lah, Nur Ataila binti Dato’Amsyar yang masih sibuk di dapur. Tidak henti-henti bergerak. Persis lipas kudung. Puas ku kacau rendang tapi tidak juga mahu kering. Aku jenguk ke bawah kuali dan hampir saja aku meraung. Gas habis! Oh, papa! Tolong Atai, pa. Tolong Atai, Along! Tolong Atai, Kak Irina! Jerit hatiku. Kenapa nasib bagaikan tidak menyebelahiku?
Entah bagaimana hendakku siapkan rendang ini tanpa api. Ya Allah. Berilah sedikit ilham buatku. Tolonglah aku. Aku mahu belajar masak sebaik-baiknya demi suamiku itu. Bantu hamba-Mu ini, Ya Allah! Doa hatiku tidak putus-putus.
Aku buka pintu dapur. Memandang tepat ke bawah bangsal di mana tempat mereka membakar lemang beberapa hari ini. Tiba-tiba, ada saja idea itu muncul di mindaku. Ya, akan ku pakai dapur kayu. Bantu aku, Ya Allah!
Aku tidak terus pegun. Langsung aku angkat kuali ke luar menuju ke bangsal. Aku letak di atas palang besi dan aku mula menghidupkan api. Hampir 2 jam, api masih belum menyala. Yang ada hanyalah asap yang berkepul-kepul di udara. Aku terpandang tingkap bilik mak yang sedikit terbuka. Mujur sahaja asap itu tidak terus menuju ke tingkap mak andai tidak pastilah keracunan karbon monoksida kedua mentuaku itu.
Hati ini tidak mahu berputus asa. Putus asa adalah perbuatan yang tidak disukai Allah. Aku terus berusaha dan berusaha lagi. Aku simbah sedikit minyak tanah pada bara. Sudahnya api marak. Terus bau hangit menerjah hidung. Bulu romaku tersambar api. Airmata meleleh tiba-tiba. Atai kesusahan ni pa. Adu hati ini pedih.
Api yang menyala elok itu aku kipas perlahan-lahan. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat meletakkan kuali di atasnya. Mengacau perlahan-lahan sambil menjaga api agar tidak padam. Asap yang singgah ke mata membuatkan airmataku tidak henti-henti meleleh. T-Shirt merah jambu yang aku pakai hitam legam dek arang. Begitu juga dengan tudung dan muka. Serba-serbi comot.
*********
Mata yang terpejam terbuntang luas bila terasa ada tepukan di bahuku. Pantas aku berdiri. Wajah Jazannul dan emak tepat di depanku. Kali ini nampak keruh. Tidak seperti selalu.
“Atai buat apa kat luar? Semalaman tak tidur ke? Dok kat luar ni sorang-sorang?” Tanya suamiku dengan wajah berkerut seribu. Aku angguk perlahan.
“Atai siapkan rendang tu ke?” Tanya emak pula. Aku angguk lagi.
“Kenapa macam ni? Kan mak dah cakap tak payah. Habis comot baju muka semua. Ni pagi raya. Dah pergi naik bersiap sana,” arah mak. Airmataku merembes. Terasa yang mak mentuaku tidak menghargai rendang yang ku sediakan dengan begitu susah payah.
“Kenapa menangis pulak ni, Atai?” Suara Jazannul bernada gusar. Tubuhku dia dekati. Memaut bahuku erat.
“Atai buat semua ni untuk mak,” ujarku bersama esakan yang semakin menjadi-jadi. Pilu hati dengan apa yang telah berlaku padaku pertama Syawal sebagai isteri dan menantu.
“Mak tahu segalanya. Dah pergi mandi. Sedap rendang yang menantu mak buat!” bisik mak seraya berlalu. Aku pandang wajah Jazannul di sisi. Dia juga sengih bermakna. Apakah yang disorokkan kedua anak beranak ini? I am curios!
“Isteri abang yang cantik jelita ini, pergi mandi. Kita bersiap. Dah 6.45 pagi ni. Pergi solat Subuh cepat. Rendang ni abang angkat bawa masuk, ya!”
Wajah Jazannul aku pandang lagi. Something goes wrong somewhere ni! Ya, memang ada yang tak kena! Aku berlalu jua bila sayup suara takbir Syawal kedengaran daripada masjid berdekatan.
Sekembalinya dari solat sunat Aidilfitri, aku lihat Suria menangis di dapur. Bahu yang terhenjut-henjut itu aku sentuh lembut.
“Kenapa, Su?” tanyaku ingin tahu.
“Kuah kacang Su rentung. Su tertidur!” Lor, sebab tu je ke? Bahunya aku usap beberapa kali.
“Tak apalah. Buat lain, ya!” pujukku. Dia menggeleng.
“Balasan sebab dia dajalkan rendang Kak Atai la tu!” Suara Jazlin bergema di seluruh dapur. Emak, abah, Jazmin dan suamiku turut muncul.
“Kenapa awak buat macam tu, Su?” Tanya Jazmin sedikit meninggi. Mungkin kecewa dengan sikap isterinya.
“Buat apa ni, mak?” Aku jelas tidak mengerti.
“Mak dengan abah tahu yang Suria buat khianat dekat rendang Atai. Mak nampak dengan kepala sendiri. Mak saja buat-buat kecewa dengan Atai. Ingatkan dia nak mengaku,” jawab emak bersahaja. Suria tunduk menekur lantai. Aku mengucap panjang. Benar seperti yang ku telah. Pada Allah aku pohon kesabaran. Tiada guna hendak ku marah sekarang. Tiada sudahnya.
“Su minta maaf, Kak Atai,” pohon Suria sebu. Aku paut tubuhnya erat ke dalam pelukanku.
“Kak Atai maafkan. Kak Atai yakin Su pasti puyai sebab kenapa buat macam tu, kan?”
“Sebab dengki la tu,” pangkas Jazlin. Dia mengaduh kemudiannya, mungkin dicubit emak. Aku senyum lagi.
“Su lebih pandai dari Kak Atai. Su tahu hakikat itu, kan? Kak Atai baru pandai satu tu je. Tapi, tak apalah. Benda dah jadi. Kak Atai maafkan Su,” ucapku ke telinganya. Dia angguk di bahuku.
******
Takbir Syawal bersahutan. Menandakan kemenangan kepada umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu sepanjang Ramadhan. Semoga kita terus menginsafi diri biarpun Ramadhan telah berlalu.
“Mak bangga dengan Atai,” ucap mak tiba-tiba saat aku dan dia sedang memotong nasi himpit dan lemang di dapur untuk dihidangkan pada papa, Along dan Kak Irina yang baru saja tiba ingin meraikan Syawal bersama kami.
“Bangga dengan usaha Atai. Mak tahu Atai buat rendang percubaan. Yang tu lah mak rasa dulu dan memang sedap,” sambung emak lagi. Aku melopong habis. Patutlah mak katakan rendangku sedap pagi tadi biarpun masih belum merasa.
“Mak juga nampak Atai bersusah payah pakai dapur kayu kat luar. Sampai hitam legam baju muka semua. Tapi, mak memang tak sangka, gas boleh nak habis masa tu!” Emak ketawa halus. Aku turut tersenyum.
“Tak apa, mak! Setidak-tidaknya Atai dah belajar sesuatu. Selama ni semua orang siapkan. Atai tinggal makan je. Memang papa melarang, tapi Atai yang salah sebab tidak bersungguh-sungguh pujuk papa nak turun ke dapur!”
“Tak apa. Mak dah tahu sebelum Atai kahwin lagi. Papa dan Along Atai dah ceritakan pada mak. Dia yang minta mak ajar Atai apa yang patut. Azan pun bagi tahu juga Atai ni macam mana. Mak saja nak uji. Tak sangka, Atai sanggup. Mak tak pernah salahkan Atai. Mak sayangkan Atai macam anak sendiri,” akui mak sambil memandang tepat ke anak mataku. Terasa sarat tubir mata dengan pengakuan mak. Rinduku pada kasih sayang seorang ibu terubat dengan perhatian mak padaku.
“Itulah yang membezakan Atai dengan Suria. Tentu Atai dengar kata-kata abah hari tu, kan? Tak pandai masak tak apa. Boleh belajar. Yang lebih penting Atai menjaga aurat, solat dan adab. Sebenarnya, papa Atai dah berjaya mendidik Atai dan mak akan lengkapkan Atai dengan ilmu masakan. Mungkin Atai rasa mak pilih kasih bila asyik suruh Atai je tolong mak. Tapi, percayalah, mak suruh sebab mak sayang Atai dan mak tahu Atai ringan tulang. Mak nak Atai belajar. Bukan jadi berat tulang,” ujar emak. Serentak itu, aku terus paut tubuh emak. Erat bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi.
“Atai sayangkan mak. Atai dah anggap mak macam mak kandung Atai!” bisikku bersama sendu.
“Biarpun tiada kuah kacang tahun ni, mak tetap ada rendang menantu,” sahut emak pula. Pipiku dicium sekali. Aku ketawa dan emak turut melepaskan tawa. Terima kasih, Ya Allah! Awak memang pandai masak, Ataila! Erk, awak jangan nak berlagak, Atai! Pesanku pada diri sendiri. Hati ini ketawa riang. Bersorak sarai. Siap ada pom-pom girl lagi!
Wajah Encik Suami muncul di pintu. Disusuli pula dengan wajah papa, Along, Kak Irina, abah dan Jazlin.
“Cepatlah, maknya! Orang nak merasa rendang menantu ni,” usik abah mentuaku disambut dengan hilai tawa semua.
“Abang sayang Atai!” Bibir suamiku menyebutnya tanpa suara. Aku mengedipkan mata sekali. Membalas kata cinta buatnya.


Di mana ada kemahuan, pasti di situ ada jalan, kan? Pengorbanan yang disulami keikhlasan hati tidak mungkin dipersiakan. Salam Lebaran buat semua pembaca. Maaf zahir dan batin. Terima kasih di atas sokongan kalian ~~~ R.M

****TAMAT****

~~~>Ni cerpen Tema Raya Geng Kaki Tulis. Akan publish di Penulisan2u pada 18 Sept. 2011

12 comments:

  1. ahaks! x sabo nak tunggu... Atai...

    ReplyDelete
  2. adoi... 17 sept?? lame sungguh tue...

    ReplyDelete
  3. Buat pembaca setia penulis jenama RM ni..harap awok2 semua sabar menunggu ek.. terima kasih atas sokongan awok2 sekalian..heee..

    ReplyDelete
  4. first time baco nih...ahaks best gak. tahniah beb

    ReplyDelete
  5. yelah.. tunggu 17 tu.. Hihihi. dah siap full manuskrip ke? Rin belum lagi ^^

    ReplyDelete
  6. ala pendek sgt la kak RM... xpe la, WC tunggu 17 sept nnti.. xlame pon...

    ReplyDelete
  7. hahhaha kak rehan sory td maya nk blk...okeyhh maya dah bc....
    tp kes psl jelez menjelez ni mmg pernah dialami dulu hahhahah..best2...

    ReplyDelete
  8. sweet giler.. heheeh... betullah kata orang, usaha tangga kejayaan.. tak pandai, belajar... (@_@)

    ReplyDelete
  9. sgt best..
    terbaik dr ladang...
    hehehe

    ReplyDelete
  10. Huh menangs bc..mengidam nk jd menantu setabah n seikhlas atai

    ReplyDelete
  11. sharp..u can try it..moga cerpen ni bagi inspirasi n moral yg baek buat semua..thanks..

    ReplyDelete
  12. Untung klau dpt mak mentua mcm ni..

    ReplyDelete