Saturday, December 10, 2011

Salahkah Aku Kagumi?

SAIFULLAH...

AKU berlari dengan tergesa-gesa menuju ke pintu rumah. Panggilan ibu yang menyuruh aku bersarapan dahulu ku jawab dengan gelengan sahaja. Terkocoh-kocoh tanganku menyarungkan stokin ke kaki. Ibu mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa sajalah yang dikejarkan sangat tu? Penat-penat je ibu masak. Lepas ni ibu nak mogoklah. Kalau masak pun, bukan Epul nak makan pun.”

Kata-kata ibu membuatkan aku mengarukan pipi yang tiba-tiba terasa gatal. Aku bukan tidak mahu menjamah masakan ibu. Tapi sebenarnya masa sudah tidak mengizinkan aku terus berlama-lama.

Aku melirikkan mata ke arah jam tangan yang sudah tersedia di pergelangan tangan. Aish, memang benar-benar sudah terlewat.

“Epul nak cepat bu.. Nanti tengah hari Epul balik makan ya.” Aku cuba memujuk walaupun wanita dihadapanku ini adalah seorang wanita yang terlalu payah untuk dipujuk. Agaknya macam ni ke yang arwah ayah rasa setiap kali nak pujuk ibu?

Ini baru ibu. Belum isteri lagi? Erkk... isteri? Masih terlalu jauh perjalananku ini. Aku masih belum cukup puas bermanja dengan ibu. Dalam erti kata yang sebenar, aku masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Karenah perempuan ni macam-macam. Tak larat nak faham!!!

“Tak payah nak janji kalau tak mampu nak penuhi.” Masih dengan rajuknya lagi. Satu keluhan berat aku lepaskan. Jika tidak diikuti, makin panjang pula rajuknya nanti.

Ibu, ibu... kalau aku dapat isteri macam ibu yang kuat merajuk, alamatnya botaklah kepala ini. Macam ni salah, macam tu salah, memang bermasalah!

“Yalah-yalah.. Epul masuk sarapan dulu.”

Senyuman ibu sudah mula merekah di ruang wajahnya. Nampak seronok sungguh. Seperti kanak-kanak yang baru mendapatkan gula-gula sahaja. Benar kata orang, bila umur seseorang sudah mula menginjak waktu senja, kita harus melayan dan memberi perhatian kepadanya seperti anak kecil.

Biarlah aku beralah. Dengan siapa lagi yang ibu boleh menumpang manja selain daripada aku. Lantaran dalam dunia ini, ibu cuma hanya ada aku seorang sahaja, jadi akulah yang seharusnya meluangkan masa bersamanya dengannya. Merawat kesepian dirinya yang telah kehilangan seorang suami.
Tapi aku pula asyik sibuk mengejar harta dunia yang sudah pasti tidak akan pernah cukup. Sering kali meninggalkan ibu keseorangan di rumah. Pasti sahaja ibu kebosanan. Maafkan aku ibu, jika seringkali terleka dalam menjaga perasaanmu!

Aku menjamah nasi goreng dengan begitu seleran sekali. Ibu hanya tersenyum sahaja. Senang melihat gelagat anak bujangnya. Ataupun mungkin juga geli hati. Tadi beria sangat menolak. Tapi bila sudah dapat makan sekali, mulalah nak tambah sampai dua kali.

“Tambah lagi Epul...” Ibu sudah berkira-kira hendak menyendukkan nasi goreng ke dalam pingganku. Lantas dengan cepat aku melarikan. Tidak mahu terus terlewat. Dalam hatinya berdoa agar parking kesukaanku itu masih kosong.

“Sejak kerja kat tempat baru ni, selalu je nak cepat. Ada meeting ke sampai tergopoh macam ni sekali?” Akhirnya terkeluar pertanyaan itu dari mulut ibu. Aku sudah mula tersengih-sengih.

“Epul kena cepat, kalau tak nanti ada orang ambil parking kesukaan Epul.”
Ibu membeliakkan matanya. Mungkin terlalu terkejut. Mungkin juga tidak menjangkakan jawapan itu akan keluar dari mulutku.

“Jadi semata-mata kerana parking? Astarfirullahalazim.... Ibu ingat perkara penting apalah tadi.” Aku hanya tersengih-sengih sambil mula mencapai tangan ibu untuk bersalam. Lantas kucium lembut pipi ibu.

Mungkin orang akan menyangka bahawa aku anak manja. Aku tidak pernah mahu peduli. Bagiku, lebih baik menumpang manja bersama seorang ibu dari bermanja dengan seorang gadis yang belum tentu lagi akan menjadi milik sendiri. Lagipula, aku sudah terbiasa dari kecil lagi.

“Pasal parking pun nak berebut..” Tidak habis lagi rupanya. Mungkin ibu masih berfikir lagi tentang sikapku yang aneh! Aku hanya tersenyum.

“Ibu kan tahu, kalau Epul dah suka, Epul akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang Epul suka.”

“Epul memang... Keras kepala!”

“Kepala je keras... Tapi hati macam ais... boleh cair jika kena dengan situasi.”
Ibu mencebik. Aku hanya ketawa lantas mula masuk ke dalam perut kereta. Aku mula memandu dengan tenang. Walaupun dalam hati tetap risaukan tentang parking kesukaanku itu. Pelik kan? Tapi ini benar belaka. Ini adalah perangai pelik yang baru bertandang!!!

Dulu aku main hentam sahaja tika mencari kawasan parking. Namun apabila aku mula memandu Honda Accord, aku mula mementingkan keretaku dari segala aspek dan sejak itu aku gemarkan kawasan parking tersebut.

Dulu kereta murah, apa aku nak hairan.. tapi sekarang bila pakai kereta mahal, kenalah jaga sikit. Payah nak dapat jadi kena hargai sebaiknya. Itu memang perangai aku!

Sejak mula berkerja di Azam Architect, aku paling sukakan parking tersebut. Kawasan itu agak redup walaupun tidak
berada di bawah pokok. Kawasannya juga agak lapang dan selamat walaupun sebenarnya agak jauh juga dari bangunan pejabatku. Aku rela berjalan jauh. Asalkan kereta kesayanganku ini selamat!

Aiseh... budak tu dah parking dulu. Aku mengetuk stereng kereta. Bengang!!!

Tanpa berfikir panjang, tanganku terus mencapai pen yang sedari tadi memang berada kocek kemeja kiri. Terus aku selongkar kertas yang tidak berguna yang berada di dalam laci dashboard.

Pantas sahaja tanganku ini menulis sesuatu di kertas tersebut. Lantas aku keluar dari perut kereta dan mula menghampiri Myvi berwarna oren itu.

Dari pemerhatianku, pemilik kereta ini pastilah seorang wanita. Yalah, tak kan lelaki sibuk nak penuhkan kereta dengan anak patung yang pelbagai bentuk itu!! Ceh, nampak sangat tak ada sifat kematangan.

‘Tolong jangan guna parking ni!’

Itulah kata-kata yang ditulis di nota kecil yang diselitkan pada wiper Myvi Oren tersebut. Bibirku mula merekah dengan senyuman. Senang jika dapat membuatkan pemilik Myvi ini bengang!!!

Selepas ini, aku pasti yang Myvi oren ini akan mula beralih tempat. Tidak akan berani sesedap rasa mengunakan parkingku ini lagi.

................................................................................................................
NUR SUFINA...

SEHELAI tisu aku tarik daripada kotak yang ada di atas meja. Dahi yang merenik dengan peluh kecil, aku lap perlahan. Fuh, lega dah siap. T-square itu aku letak ke tepi dan aku angkat kertas bersaiz A1 itu lalu aku gulung pantas. Penuh cermat. Jam di pergelangan tangan aku kerling. Times is running out!

Waktu memang tidak mahu menunggu kita. Andai kita leka, memang akan tertewas oleh waktu. Kertas pelan ini harus ku hantar dengan segera selepas membuat beberapa pembetulan. Memanglah mengada arkitek baru tu. Rasanya bukan baru aku bekerja dengan Azam Architect, sudah mencecah dua tahun aku menjadi pereka hiasan dalaman untuk projek-projeknya tapi, sejak akhir-akhir ni tak sudah-sudah aku dibuli oleh arkitek baru syarikatnya.

“Sufi, dah siap?”

Aku tersentak. Wajah yang bertanya aku renung penuh amaran. Fia ni memang tak pandai ketuk pintu gamaknya. Takut patah jari ke apa? Rungut hatiku geram.

“Haish, kau ni. Kenapa suka tak nak ketuk pintu? Main langgar je,” marahku pada dia. Fia tersenyum buat muka tak bersalah. Dia menghampiri mejaku lalu dia sangkut kedua belah tangannya di kerusi.

“Maaflah, tak sengaja la.”

Aku mencebik. Banyaklah dia punya tak sengaja. Rasanya dekat dua tahun ini memang dia tak pernah sengaja. Semua tak sengaja.

“Dah siap ke? Orang tu dah call tanya,” ucapnya padaku. Aku angguk.

“Dah, dah. Baru je siap ha. Jom kita hantar cepat sikit. Aku dah letih dah ni.” Aku tarik kot labuhku lantas berlaku ke pintu bersama Fia.

“Ni kali ke berapa dah dia buli kau?”

Aku tidak menjawab sebaliknya aku tegakkan jari aku tiga batang. Fia tersenyum saja. Nak gelakkan aku la tu.

“Memang teruk ar kau kena kali ni. Dengar kata arkitek baru tu cerewet dia lain macam sikit. Tapi, aku rasa kalau dia tengok rupa kau ni, mesti hilang cerewet dia tu. Mesti terkedek-kedek nanti.” Fia gelak.

“Banyaklah kau terkedek-kedek. Kau ingat dia itik? Kita ni ha, takut nanti terus jadi keledek rebus kalau tak hantar benda ni tepat pada waktunya.” Aku bulatkan mata dan tunjukkan kertas bergulung kemas itu tepat ke muka Fia.

Dia mula tarik muka. “Yalah-yalah,” jawabnya mengalah.

Sudahnya kami terus berlalu ke lif. Tiba saja di bawah, kami terus saja melangkah ke bangunan sebelah. Pejabat Azam Architect tu bersebelahan saja tapi aku tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke sana sejak beberapa tahun bekerja dengan bosku ini.

Kali ini, terpaksa pula menghantar lukisan ini sendiri. Bimbang ada apa-apa perubahan lagi, senang aku mengubahnya terus.

Tiba di reception Azam Architect, kami duduk saja di ruang menunggu sementara menanti Encik Arkitek yang cerewet itu muncul. Fia sibuk saja membelek majalah sedangkan aku pula, sejak dari tadi menggenggam lukisan itu. Takut juga andai ditolak sedangkan aku telah sumbangkan idea yang terbaik dalam projek ini.

“Nur Sufina ke?”

Aku dengar satu suara menyebut namaku. Fia terlebih dahulu bangkit.

“Err, bukan saya. Dia Nur Sufina,” ujar Fia sambil menunjuk kepadaku. Aku yang baru saja hendak bangkit terus berpaling dengan harapan, wajah dia tidaklah seperti harimau.

Tapi, bila aku lihatnya, wajah itu tenang saja. Cuma anak matanya itu sedikit membulat melihat ke arahku.

“Errr, Nur Sufina?” tanya dia. Aku angguk. Mata kami terus bertentangan lama. Dalam hati ini, hanya satu yang aku pinta, usah ditolak lagi hasil kerjaku ini. Sudah letih.

“Saya Saifullah. Tak sangka awak ni cantik sangat. Kalau saya tahu awak cantik macam ni, mesti awak tak kena buli,” ucapnya tenang.

Fia menyiku aku. Bibir temanku ini sudah tersungging dengan senyuman pelik. Aku kembali menatap bening mata kuyunya. Renungannya kali ku rasa lain macam pula.

“Oh, Encik Saifullah, ini pelan untuk ID works yang terbaru tu.” Aku hulurkan kertas itu dan dia menyambutnya namun, mata itu tetap terpaku pada wajahku.

“Kagum sungguh saya dengan kecantikan awak ni,” ucapnya lagi.

Aku terkedu. Pertama kali seorang lelaki mengakui begini di depanku. Andai dulu, ada yang memberi alasan melihat kecantikan hatiku, budi pekerti dan macam-macam lagi. Hari ini, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Saifullah ini tenang mengakui yang dia kagum dengan wajah ini membuatkan lidahku kelu hendak berkata-kata lagi.

.................................................................................................................
SAIFULLAH...

SEKEJAP berkalih ke kiri. Sekejap pula ke kanan. Tidak kena pulaku rasa. Entah kenapa, wajah gadis yang bernama Nur Sufina itu bagaikan terlayar di ruangan mataku. Walau kejap dipejam, wajah itu masih belum hilang.

“Ah sudah, dah gila gamaknya aku ni.” Aku mula bercakap dengan diriku sendiri. Kenapa dia cantik sangat? Kenapa aku tak pernah terjumpa dia selama tiga bulan aku bekerja di situ? Kenapa baru sekarang?

Tanpa sedar, kakiku mula melangkah ke balkoni rumah. Malam ini terasa sungguh dingin. Bintang-bintang berkelip menyerlahkan kecantikkan. Aku hanya memandang dengan senyuman. Wajah Sufina tiba-tiba melayang-layang di ruang udara.

Naya-naya. Ini mesti kes angau ni!

Orang cakap kalau angau maknanya sudah jatuh cinta? Tapi betul ke ini cinta? Arghhh... tak percayalah. Tak kan semudah ini aku jatuh cinta? Hanya kerana kecantikanya sahaja. Bukan kerana sikapnya. Aku tak boleh menilai Sufina semudah itu. Biasanya yang cantik itu sangat berbisa.

“Bagaimana Encik Saifullah? Encik berpuas hati dengan ID works yang baru ini?” Gadis itu menghulurkan pertanyaan tika usai membentangkan hasil kerjanya. Namun mataku tidak lepas dari memandang setiap inci wajahnya. Terlalu cantik. Terlalu sempurna. Tak terkata aku dibuatnya.

“Encik Saiful ...” Sahabatnya yang setia menemani mula menyeru namaku pula. Mereka mula berpandangan sesama sendiri. Sufina dengan wajah tidak selesanya dan Fia dengan senyuman sumbingnya. Manakala aku pula tenggelam di dalam lautan kecantikan wajahnya.

“Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Just panggil Epul sahaja. Satu permulaan yang baik untuk kita kan?” Entah kenapa aku boleh terjadi terlebih ramah dengan Sufina. Sedangkan semua ini bukanlah ramuan yang biasa aku lakukan.

Gadis itu sudah nampak seperti terkebil-kebil melihat sikapku yang kelihatan agak nakal atau mungkin sahaja mengangapku sebagai lelaki gatal. Namun aku selesa memandangnya. Terasa anugerah Allah ini terlalu bernilai buatku.

“Encik Epul setuju ke...”

“Panggil Epul sahaja.. Tak payahlah berencik-encik dengan saya.” Pintasku cepat-cepat. Gadis itu tersenyum sedikit.

Mungkin menyedari kekhilafannya. Namun senyumannya itulah yang berjaya meragut tangkai hatiku.
Tolonglah jangan senyum lagi.. Aku bisa mati jika merinduimu nanti!

“So, E...pul setuju ke dengan ID Works saya ni? Kalau Epul tak berpuas hati, saya boleh tukar balik.” Tenang sahaja nada suaranya. Alangkah indahnya jika hatiku juga setenang ini. Melihat wajahnya sahaja mampu membuatkan jiwaku bergelora. Sungguh!!!

“Kalau saya suruh awak buat yang lain, ada harapanlah saya nak jumpa awak lagi kan...” Usikku sengaja. Sedangkan air mukanya nyata sudah berubah kelat.

“Erkk...” Dia terpinga-pinga seketika.

Walaupun kelat, namun tetap cantik di mataku.

“Jangan risau.. saya teramat berpuas hati....” Kata-kataku terhenti bila melihat sepasang mata itu ralit menunggu jawapanku.

“..sebab dapat tengok awak!” Aku hanya tersenyum, tersenyum, dan tersenyum. Terasa hidup ini begitu indah hari ini. Kalau ini digelar sebagai anugerah, serius aku teramat mensyukuri anugerah ini.
..................................................................................................
NUR SUFINA

TELEKUNG putih bersih itu, aku buka usai mengaminkan doa selepas solat Isyak lalu perlahan-lahan aku bangkit dan labuhkan duduk di birai katil. Sedang elok je dok melayan perasaan sendiri, wajah Saifullah hadir pulak dah.

Sebenarnya, aku ni masih geram lagi dengan sikap tak malu Saifullah tadi. Maksud nama dah cantik. Pedang Allah. Tapi, dia tu bukan pedang rasanya, itu gergaji. Mulut dia bising je memanjang.

Tapi, rasa pelik pula. Kenapa aku boleh melayan perbualan dia tadi. Sepuluh yang dia tanya, sepuluh juga yang aku jawab. Emm, semuanya pasal kerja saja. Aku mulalah nak sedapkan hati.

“Macam mana, errr encik...”

“Dah berapa kali saya cakap, jangan panggil saya encik,” pangkas dia.

“Panggil saya Epul je.”

Aku senyum sekali dan dapat aku lihat dia telan liur berkali-kali. Hatiku terasa lain macam. Kadang-kadang aku bukan nampak seorang arkitek yang cerewet di depanku ini, tapi aku nampak seorang badut. Sebab senyum dia tu dah sampai ke telinga. Memang lebar.

“Err, saya kalau bekerja saya lebih suka bersikap profesional. Tak kisahlah dengan kawan ke. Yang mana patut panggil encik, kita panggil encik. Yang mana kena panggil tuan, kita panggil tuan,” ujarku membantah sesantun yang mungkin.

“Err, kita kawan la ek?” Saifullah melebarkan lagi senyum dia. Kali ini aku dah tak tahu nak cakap sampai mana sebab rasanya dah lepas telinga dah.

“Err, entah....” Aku beri jawapan tergantung.

“Ok, berbalik pada pelan ni. Ada apa-apa nak tambah, encik boleh beritahu saya sekarang? Senang saya terus siapkan kat sini je. Tak payahlah nak berulang-alik ke sana sini.” Aku cepat-cepat ubah tajuk perbualan.

Malas dilayan dia ni. Nanti tak pasal-pasal kerja ke mana, aku pula ke mana. Yang tinggal hanya Fia jelah yang sejak dari tadi dok menyiku aku. Bila aku jeling, dia pandang siling. Saifullah ni pun gelak mungkin perasan dengan keadaan kami.

“Pandai lari ek?” tanya dia. Aku juihkan bibir sikit.

“Okey tak?” tekan aku lagi. Pensel mekanikal itu aku goyangkan dengan hujung jari.

“Emmm...” Saifullah tidak menjawab sebaliknya dia terus tunduk memerhatikan lukisan tu macam dia rabun dah. Yang menariknya, dekat pulak dengan wajah aku kala tu. Nak tak nak, aku angkat kepalaku dan tegakkan tubuh. Terkesan juga senyuman tipis di bibir merah sensual milik dia itu.

“Kalau wanita secantik awak ni yang lukis, memanglah hasil dia cantik,” jawabnya. Aku mula nak pandang siling. Memang kaki mengayat.

“Emm, yalah tu, kan? Padahal hari saja dah tiga kali kita kena tukar design ni. Itulah tak kena, inilah tak kena. Kan Fia?” Aku siku Fia pula.

Dia dah termangu-mangu dah ha. Bila aku tengok dia, rupanya dia tengah pandang ke luar. Aku tak pasti dia tengok apa, tapi bibir tu senyum lain macam.

“Err, apa kau cakap tadi, Sufi?” Fia garu kepala. Aku tepuk dahi. Budak Fia ni aku rasa nak lipat je macam kain, lepas tu letak dalam almari, susun elok-elok.

Dia yang aku harapkan back-up aku, dia yang terpinga-pinga dan buat aku malu sendiri dengan sindiran aku ni. Aku bulatkan mata pada dia tapi dia terus tersengih buat muka tak bersalah.

“Emm, tak ada apalah,” jawabku dengan suara yang mendatar. Tanda tak puas hati la tu.

“Kan saya dah cakap tadi, kalau saya tahu awaklah orang yang buat ID untuk projek ni, dah lama saya terima idea pertama awak tu,” ulang Saifullah lagi. Seperti mana yang dia ucapkan di awal pertemuan.

“Saya kagum dengan hasil kerja awak seperti mana saya kagum dengan wajah awak, Sufina,” ucapnya lagi dan dengan tiba-tiba saja.

Aku telan liur yang terasa perit. Renungan lelaki ini nampak dua tiga macam dah. Aku nampak sesuatu dalam anak matanya. Sesuatu yang selama ini tidak pernah aku nampak dalam mana-mana mata lelaki.

“Errr, tak apalah, Encik Saifullah. Kalau kata ada perubahan....” Aku dah siap angkat tubuh waktu ni. Dia juga sama.

“....encik boleh telefon saya dekat pejabat bila-bila je dan kita boleh tukar lay-out lain kalau kata last minit tiba-tiba rasa kagum encik tu hilang,” sinisku.

Dia ketawa nipis sambil tekup mulut dia. Aku tengah sindir dia ni sebenarnya tapi dia boleh ketawa. Atau dia sebenarnya sedang dengar aku sedang berpuisi? Malas nak ambil tahu lagi, aku terus tarik Fia keluar. Minah ni sejak dari tadi sengih-sengih. Main mata dengan siapa entah.

Seharian dekat pejabat hari ni, aku tengok Fia dah mula macam orang angau. Macam ada tak kena je ni. Entah-entah hati tu dah tersangkut kat mana-mana ni? Sampai waktu balik pun aku kena heret dia. Biasa dia yang heret aku, hari ni dah terbalik. Sudahlah kena pimpin Fia macam orang buta, sampai dekat tempat letak kereta, aku terpaksa pulak bercekak pinggang dengan mulut yang dah mula membaca jampi serapah ni.

“Siapa punya kerja ni?” tanyaku geram. ‘Surat cinta’ yang terbang lalu terselit di viper kereta aku ni, aku tarik kasar.

“Surat cinta ke?” tanya Fia. Dia ku jeling tajam memberi jawapan pada pertanyaan dia tu.

“Tolong jangan guna parking ni?!” Aku ulang berkali-kali tulisan tangan tu. Tak cukup aku baca, Fia juga baca berkali-kali. Takut-takut aku salah baca kata dia. Haishh...

Aku beristigfar panjang. Pesan mama, orang yang kalah ni adalah orang yang tak mampu menahan sabar. Jadi, aku tak mahu menjadi salah seorang hamba Allah yang tewas tu.

“Siapa?” tanya Fia.

“Kalaulah dia tinggalkan alamat kat sini kan senang, Fia. Boleh aku balas semula surat cinta dia ni...” sinisku pada Fia. Dia gelak.

Nak kata marah, memang aku marah. Nak kata sakit hati, memang aku sakit hati. Sesuka dia bagi amaran. Siapa cepat dia dapatlah. Lagipun, ni tempat letak kereta kegemaran aku. Mula-mula aku nak je koyakkan kertas tu, tapi bila fikir balik baik jangan. Sudahnya aku simpan ‘surat cinta’ yang pertama kali aku dapat tu dalam beg tangan.

“Eh, simpan buat apa?” tanya Fia dengan wajah pelik dia tu. Aku gariskan senyuman lebar macam Saifullah tadi. Erk, kenapa mesti aku sebut nama dia? Haishh..

“Ni nak buat bukti satu hari nanti,” jawabku tenang lalu aku masuk ke perut kereta.

“Sufi!”

Aku tersentak. Teguran Fia membuatkan segalanya hilang. Hilang wajah Saifullah, hilang peristiwa seharian ini. Tak tahu bila dia dah ada sebelah aku. Tak sedar bila dia masuk.

“Kau ni dah sampai mana?” tanya Fia.

“Sampai syurga.”

“Sampai syurga dengan Saifullah ke?” tanya dia lagi. Kali ini aku hadiahkan dia satu jelingan maut. Nasib dia tak maut lagi. Dok tersengih-sengih lagi. Kalau maut tak pasal-pasal aku jadi pembunuh dengan hanya satu jelingan.

“Jangan nak mulakan...” Aku beri amaran pada Fia lalu aku bangkit dan menyangkut telekung di penyidai. Rambut yang masih basah ini aku kirai dengan hujung jari.

“Aku rasa kan, ni pertama kali lelaki main cakap je yang dia kagum dengan rupa kau. Kalau selama ni, mesti buat alasan nampak kecantikan hati lah, budi la. Padahal baru kenal,” luah Fia tiba-tiba. Perbuatanku terhenti lalu aku selak rambut ke belakang.

“Maksud kau?”

“Itulah maksud aku. Seems like he is an honest guy,” tukas Fia lalu dia ketawa. Wajah Fia aku pandang lama. Aku dah bercekak pinggang bila melihatkan dia tidak sudah-sudah ketawakan aku. Memang ada yang nak kena rebus ni.

“Honest tak honest, aku tak kira. Janji dia jangan nak tukar lagi pelan tu. Elok-elok dah setuju tengok-tengok esok, dia ubah fikiran lagi,” ujarku pula sengaja ubah tajuk lagi. Malas nak dengar pasal Encik Epul tu.

“Kan dia dah cakap, dia kagum dengan hasil kerja kau seperti mana dia kagum dengan wajah kau tu,” sela Fia selamba.
Aik, dalam pada dok mengelamun kelain pun dia dengar lagi. Aku senyum lagi kali ini.

“Eh, ingatkan orang yang mengelamun tadi tak dengar apa-apa dah. Dengar rupanya walaupun dok bertelepati tadi, kan?” tebakku sengaja aku kenakan Fia pula. Biar dia rasa.

“Err, mana ada....” dalihnya. Dia sudahnya bangkit. Berdehem beberapa kali dan tersenyum lalu dia keluar macam tu je. Haishh....
............................................................................................................
SAIFULLAH

AKU melangkah menuju ke parking kereta. Waktu-waktu makan tengah hari begini, jalan raya sudah mula terasa sesak. Aku mengeluh. Tersangat malas rasanya hendak memandu. Apatah lagi mengenangkan yang rakan sekerjaku tiada untuk menemaniku makan.

Ali ni kan, sibuk benar hendak makan dengan makwe baru. Berdating aje kerjanya! Rungutku geram.
Nak balik makan dengan ibu, ibu pulak kebetulan nak pergi ziarah temannya di hospital. Hai, memang keseoranganlah aku hari ini. Susah juga jika hidup tak berteman ni. Aish.

Malas untuk terus menyesakkan kepala otak, aku terus menapak masuk ke dalam restoran yang sememangnya memang sedia ada di bawah bangunan pejabatku ini. Sebab utama aku malas makan di sini ialah, lauknya semua fesyen lama. Tekak pun dah naik jemu. Tak effective langsung berniaga!

Namun, tiba-tiba pandangan mataku teralih pada seraut wajah yang sangat aku kagumi. Bibirku sudah mula merekah dengan senyuman. Apatah lagi melihat si gadis hanya keseorangan.
Allah dah beri aku ruang, jadi aku jangan persiakan peluang!!!

Hati aku berdegup kencang. Terus aku melangkah mengambil pinggan dan mengisi beberapa lauk. Langsung tak berfikir. Dalam fikiran aku cuma ada Sufina seorang sahaja. Namun, aku sempat menitipkan pesan pada pelayan untuk minuman kesukaanku. Dasyat betul perempuan ni? Kelam kabut aku dibuatnya...

“Assalamualaikum.” Sapa aku lantas terus duduk. Langsung tidak memohon keizinan. Alah, kedai ini bukan bapak Sufina punya. Jadi aku sebagai pelanggan berhak untuk duduk di mana sahaja yang aku suka. Hehehe..

Kelihatan Sufina agak tersentak dengan kedatanganku. Terhenti suapannya seketika. Matanya tidak berkelip memandangku. Mungkin terkejut! Mahu tak terkejut, mamat handsome duduk depan dia nih! Aku dah mula rasa nak perasan.
Hmm, aku perlu lakukan sesuatu agar dia tidak merasa kekok bersama denganku.

“Ya, saya tahu banyak meja yang kosong lagi.....” Badanku mula merapat sedikit ke arahnya lantas menyambung bicara.

“Tapi saya ni kalau tak ada teman, makan jadi tak kenyang. Jadi, hope awak sudi jadi peneman saya hari ini.” Alahai, aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh bertukar ramah sedrastik ini. Kebiasaannya, aku ini pemalu orangnya. Ceh!!! Aku lihat Sufina tersenyum. Manis mengalahkan air gula.

“Susah kalau orang dah biasa berteman ni..” Sufina kembali meneruskan suapan. Wah, nadanya kedengaran seperti orang cemburu sahaja.

“Yalah, biasanya ibu saya yang teman.. Kali ini, ibu melawat kawan dia kat hospital. Terpaksalah makan sorang-sorang. Hmm, mujur sahaja ada awak!” Aku tak mahu dia berfikir yang bukan-bukan tentang diriku. Aku mahu dia fikir yang positif sahaja.

“Anak mak rupanya..” Andailah bagaimana sekalipun, aku memang akui yang anak mak. Sebab tanpa mak, siapalah aku di dunia ini.

“Habis tu, awak anak gajah ke?” gurauku selamba sambil mula menguyah nasi. Mak ai, entah siapa yang jadi tukang masak ni? Tak sedap langsung!

“Maksud saya, saya bukanlah spesis anak manja...,” balas Sufina pula. Nada suaranya ditekan sedikit. Mungkin tidak senang dengan gurauanku.

“Manja dengan ibu lebih baik daripada bermanja dengan perempuan yang belum pasti menjadi milik kita kan?” Aku melirik sedikit ke arahnya. Kelihatan seperti moodnya agak teruk hari ini. Bergaduh dengan pakwe ke? Aik, dah ada pakwe ke?

Seketika, pelayan datang membawa minuman yang dipesan. Lantas ku hirup selamba. Menolak nasi yang tersekat di kerongkong. Tak boleh nak telan sendiri.

"Awak pulak, selalu ke makan sorang-sorang? Kenapa tak ajak orang teman? Mana kawan baik awak tu?” Aku masih mahu meramahkan diri. Walaupun nampak yang dia sebenarnya agak malas hendak melayan karenahku.

“Orang ada pakwe, makan dengan pakwelah.” Bunyi suaranya seperti berjauh hati sahaja. Aku tersenyum enak.

“Habis tu, awak tak ada pakwe ke?” Serkapku cepat-cepat. Dalam diam aku mula mengutuk diri sendiri. Mengelabah betul! Cubalah cool sikit. Rasa macam hendak diketuk kepalaku ini.

“Belum tiba masanya lagi..” Jawab Sufina mendatar.

“Awak tunggu saya kot...”

Uhuk!!! Sufina tersedak! Cepat-cepat aku menghulurkan minuman. Hebat juga penangan aku ni? Aish... Sufina mencapai tanpa kata. Terus disedut minuman itu.

“Errkkk....” Tiba-tiba, dia mula tersedar sendiri.

“Kenapa?”

“Rasanya saya tak order air milo ais tadi?” Muka dia jelas terpinga-pinga. Aku cuma tersenyum sahaja.

“Memanglah, itu air saya.” Tenang je aku menjawab. Muka Sufina sudah mula kemerahan. Mungkin malu sudah singgah di hatinya. Nampak sangat tak biasa. Hmm, gadis seperti inilah yang layak untuk dijadikan isteri.

“Sorry, saya tak senga....”

“Bukan salah awak pun.” Cepat-cepat aku pintas.

“Saya yang terberi. Err.. tindakan refleks!” Memang aku tak sengaja menghulurkan minumanku.
Muka Sufina masih kekal tergamam namun ais di dalam hatiku sudah mula rasa cair. Cair tika melihat seraut wajahnya. Buatlah muka gaya macam mana sekalipun, aku tetap berasa kagum melihatnya.

“Dah, cepat makan..” Selamba je aku mengarah dia dan juga kembali meneruskan suapan. Rasa berselera pula walaupun lauk yang terhidang, tidak sedap langsung untuk ditelan. Tapi, bila berhadapan dengan Sufina, semuanya pun jadi sedap belaka. Sesedap rasa di dalam hatiku ini.

Sufina makan dengan teragak-agak sedikit. Mungkin malu dengan insiden tadi. Masalahnya ialah, aku bukannya sengaja. Aku ambil berat sebab dia tersedak sebab aku. Sebab kata-kata aku.

“Ehemm..” Aku mula merasakan yang makanan itu seakan-akan mula tersekat di kerongkong. Dengan selambanya aku mencapai milo ais tersebut dan lantas menghirupnya terus. Langsung tidak terasa hendak menukar straw.

“Hmm, mula-mula berkongsi minuman, lepas ni berkongsi kasih pulak.”

“Hah?” Bulat mata bundar itu memandangku. Terkejut dia!

Entah kenapa, ayat itu tidak dapat ku tahan lagi. Lantas dengan selambanya sampai ke pendengaran Sufina. Aku meneruskan suapan walaupun aku tahu yang Sufina memandangku bagai tidak ingin lepas. Sufina, jika aku kagum melihat wajahmu, aku ingin kau kagum dengan segala usikanku.
..........................................................................................................
NUR SUFINA

SEJAK pertemuan dengan Saifullah masa makan tengah hari tu, hati aku ini dah makin rasa lain macam. Nak aku luahkan pada Fia, dia dah sibuk dengan agenda sendiri. Asal tengah hari je, dia awal-awal lagi dah lesap. Kadang-kadang tu siap pesan dekat aku, jangan buat apa-apa rancangan dengan dia. Tiba-tiba saja rasa sunyi tanpa Fia tapi rasanya bukan sebab Fia kot aku rasa macam ni.

Saifullah! Tukas hatiku tiba-tiba. Ya Allah, kenapa pulak aku sebut nama dia tu? Aku tepuk dahi berkali-kali. Menyedarkan diri. Tapi, kenapa sejak aku kenali dia ni, hati aku rasa sunyi semacam je. Betapa sepinya dunia ini di dalam riuh rendah yang tak berkesudahan.

Hari pun sama juga. Fia tak ada untuk temankan aku makan tengah hari. Balik kerja pun sekarang aku sendiri saja dan seperti biasa, aku pasti berebutkan tempat letak kereta dengan sebuah Honda Accord hitam metalik itu. Kalau kata aku terlewat sikit, mesti dia yang dapat dan begitulah sebaliknya.

Bila dia tinggalkan nota, aku malas dah nak dera hati aku ni dengan rasa tak puas hati sebab hati aku ni dah pandai dera diri sendiri sejak akhir-akhir ni hanya kerana lelaki itu. Seperti biasa ’surat cinta’ dari pemilik Honda Accord tu aku selit celah beg tangan. Kalau nak kira, dah ada berkeping-keping jugalah surat ini dengan pesanan yang sama.

Baru saja berjalan-jalan tanpa arah, aku terkejut bila bahuku dicuit dari belakang. Bila aku kalih ternyata wajah itu lagi. Nak kata bosan, tak pun sebab aku memang berharap untuk bertemu dia.

“Sorang?” tanya dia dan seperti biasa sengihnya mengalahkan badut. Melepasi telinga. Aku angguk.

“Mana kawan?” tanya dia lagi.

Aku jungkit bahu. “Entahlah. Sejak akhir-akhir ni ada pakwe. Sibuk dengan pakwe la tu.” Ada keluhan pada akhir nadaku.

“Kenapa nak mengeluh? Tak puas hati sebab member dah berteman? Hati tu dah sedia ke nak berteman dan hendak menerima teman?”

Gulp... Aku telan liur berkali-kali. Tak sempat nak jawab, Saifullah dah ajak aku duduk makan tengah hari bersama dia. Tidak dapat tidak, aku turutkan saja.

“Biarpun awak dah dengar sebelum ni berkali-kali, tapi saya nak cakap jugak lagi,” ujar dia memulakan bicara setelah kami sama-sama melabuhkan duduk di Restoran Ayam Penyet.

“Apa?” soalku sepatah sambil memandang tepat ke mata kuyu itu.

Saifullah tongkat dagu di atas meja dan menyebabkan aku mengundurkan tubuhku ke belakang. Takut terlalu dekat dengan wajahnya. Kerap kali kami begini. Sesekali aku rasa dia sengaja je.

“Saya terlalu kagum dengan kecantikan awak ni,” akuinya entah kali ke berapa dah.

Kali ini, aku membalas pengakuannya itu dengan keluhan tipis. Rautnya aku renung lagi kemudian aku menggeleng perlahan-lahan.

“Pertama kali lelaki cakap macam ni dekat saya,” ucapku jujur. Saifullah senyum. Dia jungkit kening.

“Maknanya saya orang pertama la ni?” Sengihnya dilebarkan. Aku pelik.

Riak aku ini rasanya jelas menunjukkan aku tidak selesa malah tidak suka dengan kata-kata itu. Yang terlalu mengagumi wajah yang tidak akan kekal ini. Kenapa tidak mahu lihat jauh ke dalam hatiku?

“Kenapa awak suka wajah saya?”

“Sebab awak terlalu cantik. Rasanya, awaklah perempuan yang paling cantik selepas ibu saya.”

Aku senyum. “Lelaki memang suka kepada kecantikan, kan?” tanyaku lagi. Dia mengangguk.

“Kenapa mesti kepada kecantikan yang sudah tentu-tentu tak kekal lama? Semua ni...” Aku tunjuk ke wajahku sendiri.

”.... tak akan kekal lama. Sekelip mata Allah boleh tarik balik kalau Dia nak. Semua ni pinjaman saja. Tak ada apa yang perlu dibanggakan.”

“Tapi, kita masih boleh berasa kagum, kan? Dengan segala keindahan yang telah Allah anugerahkan buat awak, Sufina?”

“Menghargai segala anugerah dan kurniaan Allah itu besar nikmatnya, Sufi. Bukan saya memuji, jauh sekali hendak memuja kecantikan awak ni. Saya cuma berada kerdil dengan keindahan yang telah Allah berikan untuk saya nikmati dengan kedua belah mata saya ni. Salahkah kalau saya kagumi?” tanya dia tenang. Aku bawa semula mataku menghadap dia. Perlahan-lahan aku menggeleng.

“Tapi, kecantikan ini tak akan kekal lama,” ulangku sekali lagi. Kali ini sedikit tegas.

Saifullah senyum lagi. Lama kami bersabung pandang hingga akhirnya aku yang perlu beralah. Malu ditatap tajam begitu oleh seorang lelaki. Aku bimbang, aku dengan rela hati menyerahkan hari ini pada dia tanpa sebarang syarat nanti.

“Dan sementara ia masih ada, tak salahkan kalau ia dinikmati dengan sebaik-baiknya? Bukan nak riak atau bangga diri kerana saya yakin awak bukan begitu. Cuma, hargailah ia kerana tak semua orang berpeluang miliki keindahan begini. Jangan kata nak miliki, nak menatap pun mungkin tak ada peluang. Sebab tu saya bersyukur bila Allah beri peluang pada saya menatap keindahan yang ada depan mata saya sekarang ni.” Saifullah juga bertegas dengan kata-katanya. Sudahnya, aku hanya jungkit bahu. Tidak tahu hendak berkata apa lagi.

“Jangan kata awak jatuh cinta dengan kecantikan saya ni sudahlah, Encik Saifullah!” sinisku pada dia. Saifullah menggeleng pantas.

“Saya memang dah jatuh cinta pada awak, Nur Sufina,” akui dia tenang. Riak itu nampak tidak main-main langsung. Aku telan liur berkali-kali. Rasanya betullah apa yang Fia cakap. Dia terlalu jujur orangnya dan bila aku bawa telapak tangan ke dada, ada sesuatu di situ. Aku kelu dan dia juga begitu.

Untuk menghilangkan gundah, aku capai air dan terus menghirupnya laju. Namun pandangan mata Saifullah yang menikam kalbu itu membuatkan aku terfikir sendiri. Kenapa air yang ku minum terasa lain macam?

Erkk.... tak kan salah minum air lagi kot? Aku memandang gelas yang berada di gengamanku. Mataku terbuntang!
Macam mana aku boleh tersalah ambil?

“Awak rasa tak apa yang saya rasa?” tanya Saifullah dengan senyuman yang tidak lepas dari wajahnya.

“Rasa apa?”

“Yang kita memang ada jodoh,” sambung dia tenang. Demi mendengarkan ayat itu, aku melepaskan gelas tersebut perlahan-lahan. Betul ke ini jodoh? Atau kebetulan yang hanya singgah seketika???
.........................................................................................................
SAIFULLAH

“HOI, Epul, kau ni daripada tadi aku tengok asyik duk mengelamun je.” Tegur Ali seraya mencampakkan beberapa fail ke atas mejaku. Dia ni kan, tak pernah berhalus! Asyik mengganas sahaja.

“Aku tak boleh berfikirlah Ali...” Luahku jujur. Entah kenapa perasaan seperti ini membuatkan aku tak senang duduk. Harus aku akui yang aku benar-benar sudah jatuh cinta dengan Nur Sufina. Tapi, kenapa sukar benar untuk gadis itu faham akan isi hatiku.

“Pasal apa ni? Aku rasa, pasal kerja tak akan buat kau serabut macam ni sekali.” Tingkah Ali memang ada benarnya.

“Pasal parking ke?” tebak Ali tiba-tiba. Aku membuntangkan mata. Bergurau tak kena tempat langsung!

“Ini lebih teruk dari parking Ali...”

“Pasal perasaanlah tu kan...”

“Agak-agak dia rasa tak apa yang aku rasa?” Tanyaku tiba-tiba. Macam tak ada kerja. Padahal kerja berlambak-lambak menuntut kudratku. Tapi, Sufina telah mematahkan segalanya.

“Apa yang kau rasa?” Tanya Ali lagi.

“Rasa cintalah....” Tanpa malu aku menjawab. Aku senang memaknakan sebuah rasa melalui kata-kata berbanding menggunakan bahasa badan. Kalau tersalah bagi isyarat, boleh tersalah faham dibuatnya.

“Hmm, kau pernah cakap pada dia?” Tanya Ali lagi. Bagaikan para-para cinta pula.

“Pernah. Tapi....” Ayatku mati mengenangkan tindak balas Sufina yang aku terima.

“Macam tak ada respon. Macam tu?” Ali meneka dan kembali menyoalku. Aku terus angguk. Macam burung belatuk pun ada.

“Kau kena faham bro yang perempuan ni ada nilai-nilai yang tertentu. Kalau dia terus cakap yang dia terima kau, dia akan nampak gelojoh di pandangan mata kau. Macam biasalah, kalau makin payah kau nak dapatkan dia, makin susah kau nak lepaskan dia nanti.” Serius sungguh nasihat Ali ini. Almaklumlah, semua hal melibatkan perempuan sudah sebati di dalam kocek seluarnya.

“Perempuan tak suka kalau lelaki terhegeh-hegeh dengan dia. Tapi dia suka kalau lelaki itu bersungguh.” Tambah Ali lagi. Aku sudah mula khusyuk mendengar.

“Ada beza ke?” Berkerut juga dahiku mendengar penjelasan Ali ini. Pening tiba-tiba menyerang! Susahnya nak faham kaum wanita ini?

“Adalah... Ok, aku bagi contoh... Kalau dia lapar, kau terus belikan dia makanan ke atau kau masakkan untuk dia?”

Kali ini, bertambah lagi kerutan di wajahku. Soalan jenis apa ni? SPM pun tak pernah tanya soalan pelik macam ni.

“Err....” Nak jawab apa ni? Aku mula mengaru kepala.

“Beli makanan je kot. Sebab aku tak reti nak memasak bagai ni.” Gelengan kepala Ali itu membuatkan aku gelisah. Suspen aje memanjang!

“Itu maknanya kau terhegeh. Kalau kau bersungguh hendakkan dia, kau akan masakkan untuk dia. Buat something yang akan buat dia terharu.” Aku melopong. Kenapa aku tak terfikirkan tentang ini tadi?

“Kenapa kau senyum?” tanya Ali apabila aku sudah mula tersenyum-senyum.

“Sekarang aku dah tahu..”

“Tahu apa?”

“Sebab apa, kau yang tak handsome ni boleh banyak peminat? Sebab kau ni memang ayat manis tak ingat dunia!”Sejurus kemudian, aku tergelak besar. Tapi, itu bukan bermakna aku tidak menghargai segala usaha dia dalam membantuku memikat Sufina.

“Orang dah tolong, dia banyak cakap pulak.... Sekali aku...” Cepat-cepat aku pintas. Tidak mahu sahabatku yang seorang ini berjauh hati walau aku tahu yang dia juga sedang bergurau.

“Okey.. Okey... terima kasih Ali. Kaulah pelengkap kisah cintaku,” usikku lagi.

“Sudahlah berangan. Aku nak kau tengok kertas kerja ni. Aku nak hari ni jugak. Kau tu tak payahlah nak rasa down sangat.. Cinta ni bukan membangkitkan kelemahan, tapi menghembuskan kekuatan, kalau kau rasa lemah disebabkan cinta, maknanya cinta kau tu memang bermasalah.” Nasihat dia lagi. Aku mula mencapai fail-fail yang mula menimbun. Semangatku seakan-akan mula terbakar.

Cinta ni memang boleh memungkinkan segalanya.
.........................................................................................................

NUR SUFINA

HARI ni dah masuk dua bulan Saifullah menagih cintaku. Bukan aku tidak menyintainya, tetapi aku takut bila dia hanya mengatakan yang dia terlalu kagum dengan wajahku. Aku takut andai suatu hari nanti, jika Allah tarik balik segalanya, masih adakah cintanya itu untuk aku?

“Terima jelah dia, Sufi. Kau pun bukan ada sesiapa lagi. Aku tengok baik je dia tu. Jujur apa,” ujar Fia padaku saat aku sedang menyemak semua lukisan awal hiasan dalaman ni. T-Square tu aku angkat dan galas ke bahu. Ada je nak kena catuk dengan t-square ni, bebel hatiku pada dia.

“Kau ingat senang ke aku nak terima lelaki yang mengaku jatuh cinta pada wajah aku ni? Aku faham kalau dia kagum sangat dengan keindahan yang telah Allah anugerahkan ni...”

“Haaa, dah tahu, bersyukurlah. Orang lain yang kurang cantik tu lagi kasihan nak cari pasangan tau.” Fia dah menyampuk sebelum sempat aku sudahkan ayatku. Secara spontan, t-square aku ni singgah dekat bahu dia. Nasib baik bahu je, perlahan pula tu. Kalau kena kepala tadi, aku rasa Fia ni boleh mereng.

“Dengar dulu boleh tak?” tanyaku marah. Dia angkat dua belah tangan tanda menyerah.

“Tak kisahlah macam mana rupa ni, Fia. Kalau yang cantik tu bersyukurlah. Yang kurang cantik pun, kena bersyukur jugak. Sebab kejadian Allah ni besar hikmatnya. Aku sentiasa bersyukur dengan anugerah yang aku ada ni, tapi cinta ini antara dua hati Fia. Bukan sebab rupa semata-mata. Kalau kata dari ke hari muka aku ni kedut, cinta dia pun kecut lah. Macam tu?” cebikku pada Fia.

“Sufi... aku rasa Saifullah tu bukan macam tu la. Aku rasa dia mesti lain dari yang lain. Tengok lelaki yang nak mengayat kau sebelum ni. Kata jatuh cinta sebab budi la apa la. Tapi, tengok muka kau tak berkelip. Boleh ke nampak hati macam tu?”

Aku termenung kejap. Dalam kepala ni berfikir, betul juga kata-kata Fia ni. Hanya Saifullah seorang saja yang terlalu jujur berkata begitu. Terlalu berani mengatakan cinta tanpa mengenali aku dengan lebih dekat lagi.

“We need more time to know each other well, Fia,” ucapku akhirnya. Fia mengeluh.

“Seems like you are already gave your heart to him. Am I right?” tebak Fia. Aku mengeluh.

“Kenapa pulak macam tu? Aku cakap lain, kau cakap lain.”

“Your face shows everything, Sufi. Mungkin kau rasa kecewa sebab Saifullah cakap suka wajah kau, kan? Mesti kau rasa dia tak ikhlas. Hanya memandang kecantikan semata-mata, kan?”

Pertanyaan Fia aku biarkan saja. Dalam hati aku sudah lama mengiyakan. Aku memang kecewa bila Saifullah mengakui begitu.

“Kalau macam tu, kau ujilah dia,” cadang Fia lagi.
Aku jungkit kening. “Uji dia?”

“Ya, uji. Bukan tabung uji tau. Ni ujian yang akan menentukan dia suka kau kenapa sebenarnya.”

“Nak uji macam mana?” tanyaku pada Fia. Dia sengih penuh makna.
......................................................................................................
SAIFULLAH

“HAH, Epul nak kahwin?” Berdesing rasanya telingaku menangkap jeritan ibu. Serius, boleh pekak dibuatnya nanti.

“Kenapa? Epul tak boleh kahwin ke?” Sengaja aku mengusik ibu.

“Bukanlah tak boleh. Tapi, kenapa tiba-tiba?” tanya ibu lagi. Muka dan tingkah laku ibu sudah mula serius. Sanggup dia meninggalkan segala kerja dapurnya untuk duduk berhadapan denganku di meja makan ruangan dapur ini.

“Mana ada tiba-tiba?” Aku tahu yang ibu agak terkejut. Tapi aku lagi terkejut menyambut kata-kata Sufina yang kedengaran sungguh serius.

“Epul serius dalam hubungan ni?” tanya Sufina tika dia menemaniku makan tengah hari tadi. Kebiasannya macam inilah. Kami hanya bersua muka tika tengah hari menjengah.

“Kenapa? Sufi rasa Epul main-main ke?” Aku menjawab soalan dengan soalan juga.

“Sufi ni perempuan. Epul pulak lelaki. Kalau Epul tak serius, Sufi tak terasa nak teruskan hubungan ni. Sufi perlukan kata putus?”

Mendengar suara dia yang serius itu, aku segera menolak pinggan ke tepi.

“Kata putus yang macam mana yang Sufi nak?” Aku juga sudah mula serius. Kalau melibatkan Sufina, aku memang tidak pernah berniat untuk memainkan perasaannya walau sedetik sekalipun.

“Er....” Dia kelihatan sedikit teragak-agak. Mungkin mencari ayat yang sesuai untuk dihidangkan kepadaku.

“Ada orang dah masuk meminang Sufi. Keluarga Sufi pun dah....”

“Hah!!!” Tanpa sedar aku menjerit. Lantang pula tu. Rasanya seisi restoran ini pun boleh mendengarnya.

Dia meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Memperingati aku tentang nada suaraku yang tiba-tiba meninggi. Mahu tak terkejut? Ada orang masuk meminang dia? Ya Allah, tolonglah bantu hamba-Mu ini.

“Keluarga Sufi tak terima pun....” Setelah keadaan agak lega, dia menyambung kata-katanya yang tergendala sebentar tadi. Aku pula mula melepaskan lelah. Tanda kelegaan.

“Sufi, beritahu rumah Sufi keluarga Sufi di mana? Epul masuk meminang minggu ni jugak!” Aku tidak betah lagi terus bersabar. Bayangkan jika tiba-tiba Sufina menerima lamaran itu. Aku bukan sekadar gigit jari tangan tapi boleh gigit jari kaki. Frust tertonggeng!!!

“Errr... kita bukan baru kenal ke?” ujar Sufina teragak-agak.

“Perkenalan yang lama bukanlah satu syarat untuk bahagia Sufi. Epul nak bersama dengan Sufi dalam dua masa sahaja....” Aku mula menarik nafas sedikit.

“Dua masa?” tanya dia. Mungkin dia agak terkeliru mendengar kata-kataku.

“Yup. Dua masa. Now and forever...”
Ucapan ini memang ikhlas dari jiwaku. Tanda aku tersangat bersungguh ingin menjadikan dia sebagai suri dalam hidupku.

Aku lihat dia menutup sedikit mulutnya. Mungkin terharu. Mungkin juga tersentuh. Betul kata Ali, aku tidak perlu untuk kelihatan terhegeh-hegeh dalam mengejar cintanya kerana aku perlu bersungguh-sungguh untuk menempatkan diriku dalam hatinya.

“Epul tengah melamar Sufi ke ni?” Muka dia berkeruh! Mungkin terkejut dengan kata-kataku yang agak serius tadi.

“Kenapa, sebab tak ada candle light dinner, so tak rasa macam serius? Macam tu?” Sengaja aku menguji perasaannya. Teringin juga ku tahu jawapan darinya.

Dia tergelak kecil. Manis dan sopan sahaja. Aku terlalu pasti yang dialah wanita yang akan menjadi ibu kepada anak-anakku nanti. Dialah yang bakal menjadi pentadbir dalam kerajaan hatiku. Lantas menjadi pengurus dan pendidik kepada keluarga.

“Sufi tahu yang rasa kasih tu tak boleh dibuktikan melalui candle light dinner. Tapi, kasih itu dimaknakan oleh ijab dan kalbu sahaja. Tapi antara kita ni, macam terlalu awal.”

“Kan Epul dah beritahu tadi... “ Cepat-cepat ku pintas kata-katanya.

“Biar kita kenal antara satu sama lain dengan ikatan yang sah. Kenapa? Sufi tak percayakan Epul ke? Tak percaya yang Epul serius dengan Sufi? Macam tu?”

Dia diam tak berkutik. Tidak menggeleng atau mengangguk.

“Sepanjang kita kenal, pernah tak sekali Epul usik Sufi?” Tiba-tiba soalan itu keluar dari mulutku. Dia agak terpana sedikit. Dia tidak menjawab tetapi hanya sekadar mengeleng.

“Pernah tak Epul ambil kesempatan pada Sufi?” tanyaku lagi. Dia tetap menggeleng.

“Epul tak akan sentuh sesuatu yang Epul sayang. Epul tak akan ambil kesempatan pada orang yang Epul sayang. Sebab maruah dia, maruah Epul jugak. Epul tak cakap yang Epul ni terlalu baik, tapi Epul sentiasa ingin menjadi baik untuk mendapatkan seorang yang isteri yang baik juga.” Aku ingin dia yakin denganku. Percaya dengan diriku. Terbuai dengan cintaku.

Aku tahu dia teragak-agak untuk menerima diriku lantaran kerana hubungan ini masih terlalu awal. Dia juga tidak pernah menyatakan rasa kasihnya terhadap diriku. Namun dari lirikan wajahnya, aku tahu terselit kasih antara kami.
Aku percaya yang cinta itu bukan lahir dari bait kata. Cukuplah aku tahu yang hati aku dan hatinya melagukan irama yang sama. Andai kata dia masih belum menyintaiku, akan ku bimbing hatinya menyintaiku. Akan ku cairkan ais di dalam hatinya. Itu tekadku!

Aku lihat dia tersenyum. Mula-mula sedikit kemudian bertambah lagi rekahan di bibir merah delima itu. Air matanya kelihatan sedikit bergenang.

“Maaf jika Epul keterlaluan,” ujarku lagi apabila air matanya meniti di tubir mata. Aku sendiri tidak dapat mentafsir makna di sebalik genangan air mata itu.

“Epul!” Sergahan ibu mematikan lamunan panjangku. Aku tersengih-sengih.

“Kenapa, bu?” Aku buat muka tak bersalah.

“Dari tadi ibu tanya, siapa perempuan tu?” Aku tersenyum lagi.

“Bidadari Syurga.” Selamba sahaja aku menjawab. Lagipun, memang aku tersangat kagumi wajahnya. Aku tidak pernah tergambar dengan wanita secantik Sufina. Kerana itu aku berani mengatakan dia adalah bidadari di dalam Syurga hatiku.

“Epul betul-betul serius ke ni?” Ibu bertanya lambat-lambat sambil matanya tajam menusuk terus ke dalam bola mataku. Aku tahu Ibu terkejut. Tapi, dalam pada masa yang sama aku tahu yang dia terlalu gembira.

“Sejuta rius Epul bagi,’ jawabku yakin. Terus ibu bangun serta merta. Terkejut aku dibuatnya.

“Eh, ibu nak pergi mana ni?”
Ibu sudah mula terkocoh-kocoh mengemaskan dapur. “Lah, nak pergi buat persiapanlah,” jawab ibu gembira.

“Erk.... tak memasak ke?” tanyaku bila aku melihat ibu memasukkan semula bahan masakan ke dalam peti ais.

“Ish... tak ada masa dah nak memasak ni. Kita kena sediakan banyak benda tau. Kita makan kat luar aje nanti,” jawab ibu lantas keluar dari dapur.

Aku tepuk dahi. Tak sangka akan menerima penerimaan yang dasyat daripada ibu. Nur Sufina, selamat dalam ke dalam hidup aku dan ibu.
......................................................................................................
NUR SUFINA

SEJAK daripada tadi aku memang dah tak senang duduk. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Mujur saja aku tak berlari dalam rumah ni. Fia tak habis-habis geleng kepala pada aku. Mulut dia macam biasalah. Terkumat kamit bomohkan aku. Tapi, bila aku kerling, jari itu laju je tekan kekunci pada telefon bimbit dia. Patah jugak jari budak Fia ni.

“Boleh duduk tak?” tanya Fia keras. Wajah marah itu aku lihat sekilas sebelum aku halakan mata aku keluar. Memanjangkan leher mengintai seorang hamba Allah yang akan tiba bila-bila masa saja daripada sekarang.

“Tak boleh,” jawabku tegas. Jemari ini aku sulam sama sendiri. Tapi, lepas tu aku pandang jari aku lama. Kosong tanpa sebarang perhiasan tapi nampak gayanya akan terhias nanti. Ya Allah. Apa yang dah aku buat ni? Aku sudahnya meraup telapak tangan ke wajah.

“Aku risaulah Fia. Si Epul ni on the way ni. Aku takut dia sesat. Tak jumpa rumah kita ni karang,” luah aku membohongi diri sendiri. Padahal bukan takut Epul sesat tapi takut apa yang telah dia katakan padaku sewaktu nenelefonku tadi.

“Eleh, nak risau Epul sesat tak ada pasal. GPS ada. Kau ni risau lain ni sebenarnya. Apa yang nak risau. Rancangan pertama berjaya, maknanya dia memang serius. Jalankan pulak rancangan kedua.” Selamba ke Fia ni berkata-kata tanpa mengetahui degap hati aku ni sudah mahu meruntuhkan sebatang demi sebatang tulang rusuk aku ni.
Aku labuhkan duduk di sebelah Fia. Peha dia aku tepuk kuat. Apa lagi, marahlah dia. Mulut dia muncung terus.

“Sakitlah.”

Aku sengih. “Maaf-maaf.” Aku genggam jari aku yang rasa menggeletar ni. Memang menggeletar habis. Macam dah kena parkinson dah. Sejuk dia lain macam.

“Sufi, tolonglah jadi cool sikit. Selama ni elok je cool and steady. Ni alih-alih nak gabra apa pasal? Masa aku bagi cadangan dia anggukan je. Bila dah berjaya step pertama ni dah nak ketar pulak,” sinis Fia. Aku jeling wajahnya tajam.

“Aku tak expect dia nak terjerat dengan rancangan kita ni. Aku mana tahu dia tu memang serius sungguh nak dekat aku ni. Tapi, aku takut lah Fia. Aku rasa aku nak cakapje dekat dia yang aku ni saja uji dia.”
Fia letak telefonnya di atas meja. Tubuhnya terus saja dia kalih menghadap aku. Hujung jari dia tu mula menolak bahu aku ni ha.

“Jangan nak mengada. Kau uji dia sebab kau cinta dia jugak, kan? Kau cuma nak tahu tahap mana dia sudi terima kau, kan? Bukan sebab rupa semata-mata, kan?”

Aku dah terkebil-kebil dengar soalan Fia. Terlalu banyak ‘kan’.

“Memanglah aku pun suka dia,” akuiku malu-malu. Pertama kali mengaku pada Fia yang aku jatuh cinta pada Saifullah, oh memanglah kena bahan. Katanya, syukur orang gila kerja macam aku ni jatuh cinta jugak akhirnya.

“Suka je?” Fia jungkit kening.

“Errr, cinta sekalilah,” jawabku lambat-lambat dan Fia terus senyum meleret.

“Kau betul-betul cinta dia kan?” tanya Fia lagi. Aku angguk saja menjawab soalan itu.

“Kalau macam tu, hati kau akan berdegup seia dengan dia. Kau akan rasa apa yang dia rasa. Yakinlah Sufi yang dia adalah jodoh kau. Memang kita uji dia, tapi dia dah tunjuk kesungguhan ni, maknanya betullah tu. Ni dah siap ajak...”

Tak sempat Fia habiskan ayat dia, aku dengar telefonku berdering. Cepat-cepat aku capai. Eh, siapa pulak telefon pakai telefon awam ni? Dah lah orang tunggu kekasih hati call ni, rungut hatiku sendiri. Eh, kekasih hati dah pulak.

“Siapa? Dia eh?” soal Fia. Aku jungkit bahu tanda tidak tahu.

“Nombor public ni,” ujarku. Fia senyum.

“Jawablah. Epul la tu kot.”
Eh, tak kan pakai telefon awam? Nak tak nak aku jawab juga dan ternyata memang dia.

“Sufi, tak jumpa lorong rumah la,” ujarnya tanpa sempat aku bersuara lagi. Ish dia ni, memang tak sabar.

“Epul ke ni?” tanyaku minta pengesahan. Buatnya orang lain, nahas aku tapi bila dengar dia ketawa, aku yakin itu memang dia.

“Handphone out of battery la. Tak perasan. Terpaksa singgah public phone. Sufi keluar sikit dekat simpang yang ada pondok telefon ni, Epul tunggu kat sini. Cepat sikit ek, syiling tak ada dah ni. Nak cucuk kad ATM tak nak pulak dia terima,” ujarnya lagi buat lawak.

Sabar jelah hati aku mamat ni. Nak cucuk ATM kat pondok telefon? Kenapa tak cucuk MyKad je.

“Yalah, Sufi keluar sekarang,” selaku lalu dia letak gagang.

“Fia, aku keluar dulu. Dia tak jumpa lorong mana,” beritahu aku pada Fia dan dia hanya angkat kening dan tersenyum menghantar pemergiaanku.

Mentari hari ini panas terik. Baru jam 10 pagi tapi panasnya sudah lain macam. Meleleh peluh di dahi bila terpaksa menapak ke depan taman sana. Nak kata jauh tu tak adalah, tapi jauh jugaklah dalam 100 meter.

Aku tercari-cari kelibat Epul tapi tak nampak pula tapi sebaliknya aku nampak sebuah kereta. Hati ni dah rasa lain macam. Rasa terbakar. Rasa disalai. Bila aku makin dekat, makin jelas jenis kereta dan nombor platnya, aku dah dekat nak rentung. Cepat-cepat aku tarik sesuatu dari celah beg tangan. Beberapa keping ‘surat cinta’ yang pernah terselit di viper kereta aku itu, aku keluarkan. Pesanan yang sama dengan tinta tangan yang sama.

“Emm, sah ni memang kereta orang tak betul tu,” rungut hati aku bila aku betul-betul dah berada di sisi kereta yang sememangnya gelap gelita tak nampak apa di dalam. Nampak aku je terpantul balik.

“Siapa tuan dia ni, ya?” tanya aku sendiri sambil mata melilau ke kiri kanan. Tiada niat hendak marah pun sebenarnya. Hanya ingin dipulangkan surat cinta ini pada dia.

“Sebelum ni, tak pernah pulak tengok kereta ni kat sini,” ujar aku lagi. Dah cakap sorang-sorang tengah panas ni. Aku dekatkan wajahku di cermin hendak mengintai dari dalam tapi sungguh, gelap. Mungkin sebab mata pun dah berpinau dengan cahaya turut membataskan pandanganku.

Nak tak nak, aku senyum sendiri dan baiki sikit lilitan tudung yang ala-ala Hana Tajima Simpson ni. Perempuan bila lihat cermin, mesti terpaku sesaat dua. Aku terus lebarkan senyum bila aku ternampak bayangan wajah Epul di dalamnya. Memang sah aku dah angau jugak ni.

“Hai, yang Si Epul ni manalah perginya. Kata kat pondok telefon, tapi tak ada pulak. Orang dah lah panas ni. Nasib baik aku sayang dia, kalau tak memang aku balik je,” rungut aku lagi dan sedang elok je aku dekatkan wajah aku sekali lagi ke cermin kereta itu, cermin itu turun sendiri dan waktu itu, wajah aku ni....

“Sufi memang cantik dan terima kasih sudi sayang Epul,” ucap dia tiba-tiba. Mataku bulat dan terus membulat.
Terkejut usah di kata bila melihatkan wajah tampan milik Saifullah dekat benar denganku. Hanya beberapa inci saja jarak yang memisahkan. Rupanya memang dia ada di dalam kereta tu. Bukan hanya bayangan yang aku nampak. Memang dia! Dia tenang saja merenungku yang sudah begitu ketara kecanggungannya. Malu usah dikata dengan pengakuan tak sengaja aku tadi dan kereta ini??

Aku tegakkan badan. “Err, ni kereta Epul ke?” tanya aku ingin tahu. Dia angguk.

“Dah Epul ada dalam kereta ni, mestilah kereta Epul,” jawab dia sambil menggosok stereng keretanya. Aku sengih di hujung bibir. Kertas yang sedari tadi ada di tanganku, aku hulur pada dia.

“Nah, ambil balik surat cinta Epul ni. Sufi tak nak,” ujarku tenang. Sengaja aku kelatkan wajah. Dia gamam. Tapi tangannya menyambut jua kertas yang aku hulurkan.

“Err, mana Sufi dapat ni?” tanya dia gagap setelah dia belek kertas itu sehelai demi sehelai. Sengihnya sudah nampak sumbing di mataku. Ada riak malu pada bening mata kuyunya.

“Entah, surat cinta tu terbang dan terselit di celah-celah viper kereta Perodua MyVi Sufi yang berwarna oren tu,” jawabku sinis. Dia terus keluar daripada perut keretanya dan terus menghamburkan tawa. Kuat sungguh! Bila aku jeling beri amaran, dia terus tekup mulut. Suka ketawa. Kat restoran hari tu pun, terkejut sampai menarik perhatian orang. Haish..

“Kereta Sufi ke tu yang Epul selit pesanan penaja ni?” tanya dia dengan tawa yang tertahan-tahan.

“Kalau bukan kereta Sufi, tak adalah surat cinta tu kat tangan Sufi,” jawabku geram. Dia senyum. Aku sendiri sebenarnya langsung tidak menyangka dialah orang yang selama ini membuatkan aku hampir hilang sabar dengan pesanan penaja dia tu.

“Kita memang berjodohkan? Jodoh yang telah dicipta di syurga untuk kita. Indahnya pertemuan ini, kan sayang?” tanya dia.

Aku telan liur. Tengah-tengah panas ni rasa dingin saja kalbu bila dia memanggilku sayang buat pertama kalinya. Rasa menggigil seluruh tubuh. Bagaikan meresap ungkapan itu ke dalam nadi dan urat sarafku.
......................................................................................................
SAIFULLAH

BUAT pertama kalinya, aku pergi kerja awal hari ini namun parking kesayanganku itu langsung tidak disentuh. Aku memilih tempat parking lain. Mengenangkan yang hari masih awal, aku tidak segera masuk ke dalam pejabat kerana aku memilih untuk berdiri di petak parking kesayanganku ini dan untuk apa, pastilah aku sedang menunggu wanita kesayanganku tiba.

Bibirku tidak lepas dari senyuman. Bagaimana semua ini boleh berlaku? Hebat sungguh percaturan Allah. Rupa-rupanya selama ini aku memang bercinta dengan pemilik Myvi berwarna oren itu!
Betullah kata orang, mula-mula menghantar surat layang. Kemudian hati pasti melayang-layang. Lepas tu diserang gila bayang!!!

Kemunculan kereta Myvi itu melebarkan lagi senyuman milikku. Apatah lagi melihat gerangan pemilik kereta yang sudah menapak keluar dari perut kereta. Aku menghadiahkan senyuman paling manis buatnya.

“Selamat pagi sayang...” Aku terus menghampiri dirinya yang tersenyum simpul itu.

“Hmm, pagi ni memang selamat. Sebab biasanya waktu-waktu macam ni parking ni dah diambil orang...” Itulah ayat pertama yang keluar dari mulutnya. Aku tahu yang ayat itu ditujukan kepadaku. Pakar juga dia memerli ya?

“Lah, kan Epul tengah jaga parking Sufi ni... Sebab tu orang tak berani nak ambil,” usikku selamba. Mukanya merah menahan rasa. Masih malu-malu menyambut usikkan manjaku atau mungkin tidak menjangkakan kebetulan ini.

“Tapi, selama ni Epul yang berebutkan sangat tempat parking ni kan?” Aku tergelak. Entah kenapa aku boleh terlalu taksub dengan tempat parking ini. Konon sayangkan kereta! Namun percayalah, aku sanggup berkorban apa sahaja untuk dia termasuklah tempat parking ini.

“Itu sebelum Epul tahu siapa pemilik Myvi Oren ni...” Sengaja aku berjeda seketika. Suka melihat wajahnya yang malu-malu itu.

“Kalau dah tahu kenapa?” tanya dia. Aku tahu yang dia sengaja mengujiku. Ujilah sekuat mana sekalipun, kasihku akan tetap teguh buatmu.

“Epul dengan rela hati melepaskan tempat parking ini untuk Sufi. Bukan setakat parking kat sini aje tau,,, parking dalam hati Epul pun Epul hanya sediakan untuk Sufi seorang sahaja.” Tangan aku bawa ke dada. Sengaja memperlihatkan kesungguhan.

Aduh!!! Pagi-pagi sudah romantik segala. Namun aku pasti yang aku bukan mengigau. Aku ingin memaknakan rasa kasih ini melalui kata-kata dan tingkahku.

“Alamak. Dah tercabut dah hati Sufi ni.” Dia ikut turut membalas gurauanku. Gurauan berkasih gitu.

“Fuh! Nasib baik sempat Epul sambut!” Aku siap buat gaya lagi tu. Memang tip top gilalah perangai aku. Setelah dikaji selidik, aku sendiri pelik? Kenapa aku boleh bersikap sebegini rupa. Cinta punya pasallah ni!!!

“Epul!!” jerit Sufina perlahan. Dia tergelak sendiri. Aku pun ikut turut gelak. Sungguh, aku teramat bahagia. Ya Allah, pertahankanlah kebahagiaan kami. Kau lancarkanlah urusan dalam menyatukan hati kami. Hanya pada-Mu tempat aku berharap.

“Eh eh eh... jangan panggil Epul macam tu. Nanti bergolek pulak jantung Epul.” Memang tak ada kerja betul aku ni kan.

“Kalau bergolek, biar Sufi tendang. Bagi masuk gol. Dramatik macam gol Badrol Bahtiar tu.” Hmm, peminat bola sepak jugalah ni eh. Samalah dengan aku ni. So lepas ni, aku dah ada geng nak tengok bola.
Tapi, janganlah sampai dia betul-betul tendang aku masuk gol. Mati aku kalau macam nih!

“Sampai hati, hati Sufi bukan main lagi Epul sambut. Jantung Epul, Sufi bantai sepak je... Pengganas rupanya...” Lepas ni aku pasti yang aku akan teringatkan date ini sampai ke petang. Alamatnya susahlah aku nak cuti kahwin sebab kerja yang berlambakan di office. Tak sudah-sudah dilanda demam cinta.

“La, bukan betul pun jantung Epul tu jatuh. Kalau betul-betul jatuh Sufi pun tak nak dah, sebab Epul tak ada dengan Sufi dan nanti,” ucapnya tenang. Aku senyum saja menerima kata-kata dia. Tak pasal nak emosi aku ni.

“Kalau layan Epul ni, sampai ke petanglah Sufi tak masuk kerja. Hmm, Sufi masuk office dulu ya. Habislah kena potong gaji kalau punch card Sufi merah. Kalau kena potong, Sufi mintak ganti rugi dengan Epul tau!” Wah, dah berani sound-sound dah sekarang.

“Eh, tak ada masalah pun kalau nak ganti...”

“Betul?” Dia mengangkat kening.

“Betullah. Tapi, kena potonglah duit hantaran..” Dia mencebik. Comel sangat!!!

“Berkira...”

“Kasih sayang Epul tak terkira tau!” Jerit aku setelah aku agak jauh darinya. Namun sempat aku mengeyitkan mata kepadanya. Hati terasa senang. Semua ini pasti akanku kenang!
.......................................................................................................
NUR SUFINA

BIBIR ini menguntum senyum. Aku mahu saja gelak mengingatkan telatah Saifullah hari itu. Kalut dia lain macam. Bila dia bercerita yang ibunya kalut ribut bila dia katakan ingin meminangku tapi sebenarnya dia lagi kalut. Habis dijejaknya semua kedai emas. Dari Poh Kong ke Seri Pinang. Dari Habib ke Wah Chan dan sudahnya kedai emas biasa juga di tepi jalan yang aku pilih. Betapa cemberut wajahnya kala itu.

“Kedai emas mana-mana pun cantik apa. Emas sama je. Lagi murah daripada kedai-kedai yang glamour tu,” pujuk aku lembut sewaktu dia menghantar aku pulang selepas dia belikan aku dua bentuk cincin emas.

“Memanglah emas sama. Tapi, Epul nak bagi yang terbaik untuk Sufi. Nak buktikan betapa Epul ni bersungguh-sungguh nak Sufi. Lagipun, design dia biasa-biasa je. Rasa tak sesuai pulak dengan wajah si pemakainya nanti,” balas dia dengan nada yang mendatar.

Aku ketap bibir. Rasa terhenyak setiap kali dia berkata demikian. Bukan tidak sudi dipuji oleh lelaki yang kita cintai, tapi rasanya dia terlalu memuji. Aku semakin bimbang, andai benar keikhlasan hatinya hanya terletak pada wajahku, aku tidak sudi begitu.

“Epul, Sufi tanya sikit boleh?” soalku pada dia. Rasanya sudah tiba masanya aku jalankan rancangan kedua dan yang akhir yang Fia cadangkan ini. Andai dia benar kagumi wajah yang Allah anugerahkan ini, aku mahu dia juga kagum dengan segala ilmu yang telah Allah amanahkan buat kami lebih-lebih lagi dia yang akan menjadi pemimpin buat aku dan anak-anak nanti.

“Boleh, silakan tanya,” jawab dia seraya menjeling sekilas ke arahku sebelum mata itu kembali terarah ke jalan raya.

“Sufi ni tak adalah baik sangat. Macam Epul pernah cakap, Epul tak baik sangat tapi sentiasa cuba jadi baik. Sufi juga macam tu. Setakat ni, alhamdulillah, Sufi dah beberapa kali khatam Al-Quran malah setiap hari juga Sufi khatam kitab suci tu. Sufi harap, Epul pun sama sebab Sufi nak, Epul kemudi rumah tangga kita nanti, berlandaskan agama Allah, bertemankan sunnah Rasullullah dan bersuluhkan kitab suci Al-Quran. Kalau boleh, Sufi nak tahu, Epul dah khatam Quran? Nanti, nak didik Sufi dan anak-anak, kan?” tanya ku perlahan.

Epul tidak menjawab sebaliknya dia lebarkan senyuman. Semakin lebar dan terus melebar. Nak kata macam badut tu tak adalah, sebab dia sekarang ini aku angkat menjadi bakal teman hidupku nanti andai Allah mengizinkan.

“Setakat ni, Epul pun Alhamdulillah. Selagi Allah tak tarik kewarasan akal ni, Epul akan khatamkan bacaan Al-Quran setiap berkelapangan,” jawab dia akhirnya dan bila dia memandang, aku jungkit kening. Aku mahu dia huraikan selanjutnya.

“Epul yakin Sufi pernah dengar sejarah berkenaan tentang perkahwinan Saidina Ali dengan Saiditina Fatimah dan betapa Epul kagum akan kebijaksanaan Saidina Ali masa tu. Puteri Rasulullah ni bukan saje diminati Saidina Ali tapi ada jugak bebarapa sahabat Rasullullah nak mengahwini Saiditina Fatimah ni. Termasuklah Saidina Umar dan Rasullullah telah mencabar sahabat Rasulullah supaya khatam Al-Quran sebanyak 3 kali dalam satu malam tetapi pada keesokan harinya tak ada seorang yang mampu kecuali Saidina Ali dan bila baginda Rasul bertanya, Saidina Ali menjawab dengan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka pahalanya adalah sama seperti kita khatam sebuah Al-Quran dan kerana inilah, Saidina Ali dipilih oleh baginda Rasul untuk mengahwini Saiditina Fatimah. Alhamdulillah, berkat sejarah agung itu, Epul amalkan setiap waktu dan kita akan amalkan dalam rumah tangga kita nanti, Nur Sufina. Dalam mendidik diri dan juga khalifah-khalifah yang bakal hadir dalam hidup kita,” ujar Epul panjang lebar.

Waktu itu sukar hendak aku gambarkan perasaanku. Kelopak mata ini terasa suam tiba-tiba. Bila aku renung sisi wajahnya, dia hanya senyum. Ternyata dia memang cuba yang terbaik dalam hidupnya seperti yang pernah dia katakan. Aku kesat airmata yang bertakung dengan hujung jari.

“Sufi tunggu Epul datang rumah keluarga Sufi hujung minggu ni,” ucapku sebelum aku turun daripada kereta setelah aku hulurkan salam buatnya. Airmataku gugur lagi setitis. Terharu dan sesungguhnya terharu.
....................................................................................................
SAIFULLAH

MATA ibu tidak berkelip memandang Sufina. Bayangkan ibu yang perempuan pun tergamam, inikan pula aku sebagai seorang lelaki.

Mungkin pada awalnya, aku terlalu kagum dengan pemilik wajah ini. Kecantikan yang tidak pernah langsung aku bayangkan. Jika Sufina sudah secantik ini, tidak dapat aku bayangkan kehebatan kecantikan bidadari Syurga. Subhanallah.

“Epul, pilihan Epul memang tip top...” Sempat lagi ibu berbisik kepadaku. Aku tergelak kecil sahaja. Gelojoh juga ibu ni bila nak bermenantu.

“Kan... Jangan ibu berani buli-buli dia nanti tau. Siap ibu nanti!” Dengan selamba aku sound ibu. Ibu siku perut aku. Bergurau masa orang tengah serius. Hehehe.. aku memang begini. Aku biasa bergurau perkara yang luar biasa dengan ibu. Ibu kan ibu yang paling sporting di dunia! Kalaulah ayah masih ada, lagi haru biru hidup aku dibuatnya.

Ibu, jangan ibu risau akan tempatmu dihatiku. Ibu akan kekal sebagai wanita nombor satu dalam hatiku. Kemunculan Sufina tak akan sesekali meragut tempatmu. Syurga seorang anak lelaki bukankah terletak di bawah tapak kaki ibu?

Jika Sufina mencari Syurga di bawah tapak kaki seorang suami, aku ingin bersama beriring dengannya dalam mencari Syurga di bawah tapak kaki ibu. Aku tidak mahu ketinggalan dalam memimpin kedua wanita kesayanganku ini ke Syurga.

Hebatkan Allah? Dia meletakkan martabat yang sama buat seorang lelaki dan wanita. Menunjukkan yang mereka sama-sama berkepentingan dalam menjadi khalifah di muka bumi ini.

Selesai mereka semua berpantun-pantun segala, aku mula melepas rasa lega apabila semua yang dihajati seakan-akan telah diizinkan Allah. Alhamdulillah, tiada halangan daripada pihak Sufina. Dalam masa sebulan lagi, aku dan dia akan bersatu dalam erti kata sebenar.

“Ibu, kenapa sebulan? Lambat sangat..” Sengaja aku usik ibu. Ibu membuntangkan matanya. Mungkin tidak percaya dengan sikap gelojohku ini.

“Amboi, dah gatal benar kamu ni Epul!” Mujur sahaja ibu masih mampu mengawal nada suaranya. Kalau tak, mahu seluruh tetamu ini mendengarnya. Maklumlah, ibu ni macam aku sikit.... Kalau terkejut, sound system akan terlebih volume.. hehehe.. Sebenarnya aku yang ikut perangai kalut ibu ni.

“Jemput makan mak cik..” Sufina datang dengan dulang air di tangan. Aku tersenyum melihat karakternya yang sedikit gabra itu.

“Eh, jemput makan sekali Fina.” Ramah ibu menegur. Alhamdulilah... aku bersyukur kerana ibu mampu menerima Sufina dengan tangan yang terbuka. Dah macam sayap terdempang pun ada jugak.

“Orang tak panggil Finalah. Orang panggil Sufi.,” pangkas aku cepat-cepat.

“Eh, suka hati ibulah nak panggil apa pun. Menantu ibu...” Sufina tergelak sahaja. Mungkin geli hati melihat kaletah kami berdua. Aku sebenarnya ingin menghilangkan kegugupan Sufina tika berhadapan dengan ibu. Aku mahu dia tahu yang aku bangga mempunyai ibu yang bernama Sarimah ini. Dan, aku pun mahu dia merasakan kebanggaan yang sama.

“Mana-mana pun boleh mak cik.” Sufina menjeling sedikit ke arahku. Mungkin memberi hint agar aku tidak melawan kata.

“Eh, mana boleh mana-mana...” Aku dengan Sufina mula sama-sama berpandangan. Sama-sama tercengang mendengar suara ibu yang agak tinggi itu. Tak fahamlah.

“Maksud ibu, mana boleh panggil mak cik.. panggil ibu je..” Aku kelegaan. Aku pasti yang Sufina juga sama sepertiku.

“Ibu ni... menggelabah Sufi jadinya.” Aku back up Sufina. Sufina ketawa sahaja.

“Dengan ibu ni tak payah nak gelabah sangatlah Fina... Kalau Epul dengan ibu pun sekepala, comfirm kita pun boleh jadi geng.. Hah, lepas ni ibu dah ada geng nak bershopping..” Semangat sungguh ibu bercakap. Sufina yang tadinya kelihatan malu-malu, kini sudah mula bersimpuh di sebelah ibu. Mereka pun mulalah berborak topik kaum perempuan.

Aku hanya tersenyum sahaja melihat dua orang wanita kesayanganku ini. Ya Allah, hanya pada-Mu tempat aku melafazkan rasa syukur. Terima kasih kerana perhatian dan kasih sayang ini. Sungguh, aku terharu dengan rahmatmu.
........................................................................................................
NUR SUFINA

AKU paut bahu mama selepas aku labuhkan duduk di sebelahnya. Kala ini seperti biasa, hanya aku dan mama saja di rumah. Sibuk menguruskan beberapa perkara untuk majlis pernikahanku dengan Saifullah hujung bulan ini yang tinggal hanya seminggu je lagi sebenarnya.

Namun, entah mengapa masih ada rasa kosong dalam hati ini. Tidak penuh terisi biarpun Saifullah telah lulus kedua-dua ujian yang telah aku berikan tanpa pengetahuannya. Ada rasa tidak kena dalam hati aku ini. Rasa gusar itu tetap ada.

“Mama tengok Sufi macam ada masalah je,” tegur mama bila aku hanya diam melihat dia membelek persalinan aku untuk akad nikah nanti. Cantik memang cantik meterial yang dipilih. Aku jungkit bahu.

“Bosan kot, cuti awal sangat.” Mungkin juga kerana semuanya mama serahkan kepada perancang majlis. Kami nanti tinggal cuci tangan saja. Itu kehendak mama. Aku tak mahu bantah bila dia teruja hendak memberikan yang terbaik sempena majlis aku nanti.

“Tak ada awalnya. Lagi seminggu. Kena la rehat-rehatkan badan. Nak fitting baju lagi,” sela mama membantah.
Aku mengeluh di luar sedar. “Tak tahu kenapa, Sufi rasa macam ada benda tak kena la,ma,” ujarku jujur. Berharap sangat mama bisa membantu.

“Sufina, majlis tak lama dah ni. Empat lima hari je lagi. Kenapa mesti nak rasa macam ni? Sufi tak yakin dengan Epul?” tebak mama serius. Aku geleng kepala.

“Bukan tak yakin dengan dia, tapi dengan hati Sufi sendiri ni.” Aku renung jari manisku yang sudah tersarung indah dengan dua bentuk cincin yang disarungkan sendiri oleh ibu Saifullah dengan penuh kasih sayang waktu itu.

“Kalau Sufi tak yakin, kenapa Sufi nak terima dia pada awalnya? Kan dah buat susah hati sendiri,” tegur mama lembut. Belakang tanganku dia usap perlahan.

“Entahlah, ma. Sufi sebenarnya takut satu hari nanti, Epul berubah hati bila Sufi dah tak ada wajah macam ni.” Aku pandang mama dengan mata yang mula digenangi air jernih. Kala ini, aku benar-benar rasa pilu bila mengenangkan Epul yang seringkali merasa kagum dengan wajah yang aku miliki.

“Kenapa cakap macam tu?”

“Epul tu selalu cakap dia terlalu kagum dengan wajah Sufi. Bila Sufi bantah, dia cakap tak salah dia kagum dengan keindahan yang telah Allah kurniakan buat Sufi tapi hati manusia, ma. Masa cantik ni, dia memang boleh kata macam tu. Sufi takut, kalau kata satu hari nanti, wajah ini tercela, dia akan tinggalkan Sufi,” aduku dengan airmata yang laju saja mengalir ke pipi.

“Syhh...” Mama tarik aku ke dalam pelukannya.

“Mama yakin dengan Epul. Mama nampak kesungguhan dia. Jangan ragu-ragu lagi. Jodoh ini milik Allah. Sekali Dia tetapkan, Dia akan berikan yang terbaik buat hamba-Nya. Percayalah cakap mama ni,” pujuk mama.

Aku angguk terpaksa tapi rasanya, aku mahu juga jalankan ujian yang ketiga yang aku sendiri tidak sedar, bila masa perkara ini terlintas di fikiranku.

Malamnya, aku menghubungi Saifullah. Ada perkara yang perlu aku beritahu padanya sebelum kami diijabkabulkan. Perkara terakhir yang akan menguji kesungguhannya dalam menerima aku bukan kerana rupa semata-mata.

“Sufi nak cakap apa? Macam tak sabar je?” tanya dia mesra bila usai dia menjawab salamku.

“Sufi ada perkara nak beritahu Epul sebelum kita sah menjadi suami isteri nanti dan Sufi harap, Epul boleh terima apa yang nak Sufi cakap ni,” ucapku tenang. Setenang hati ini waktu ini namun bibirnya hanya mengulum senyum.

“Apa?” tanya dia dengan suara yang mula kedengaran resah di hujung talian.

“Kita akan dinikahkan beberapa hari lagi, dan Sufi tak nak kita mulakan rumah tangga kita dengan apa-apa pembohongan sekalipun.” Epul diam tidak menyampuk. Aku tahu, dia sedang berdebar menanti kata-kataku.

“Sufi pernah punyai teman lelaki dulu. Masa tu, Sufi masih mentah nak nilai kehidupan dan lelaki. Memang silap kami, tapi Sufi sendiri tak sedar kenapa boleh jadi macam tu dan bila Sufi sedar, Sufi dengan dia dah terlanjur,” ujarku lancar.

Waktu ini tiada suara Saifullah yang ceria seperti sebelumnya. Yang kedengaran hanyalah helaan nafasnya yang kasar dan mengah.

“Sufi faham kalau Epul tak boleh nak terima Sufi dan kalau Epul nak batalkan pernikahan kita sekarang, pun Sufi terima. Epul berhak memilih dan dapat yang lebih baik daripada Sufi,” sambungku lagi dan tanpa jawapan, dia terus matikan talian.

Serentak itu, airmataku gugur bila kini aku yakin akan cintanya yang memandang rupaku semata-mata. Aku senyum dalam kepedihan menerima keputusan Epul yang sudah terlalu jelas tindakan yang lebih mengatasi suaranya.
. .....................................................................................................
SAIFULLAH

DI sepertiga malam ini, aku bertelekur lagi di atas sejadah. Mengharapkan belas kasihan dari Allah agar memberikan aku sedikit ruang untuk berfikir dengan baik. Tanpa dipengaruhi dek perasaan yang seakan-akan menggila diamuk resah.

Tipu jika aku cakap yang aku tidak kecewa mendengar kata-kata Sufi tiga hari yang lepas. Tipu jika aku katakan yang hatiku tidak berbelah bagi. Bila semua perjalanan sudah diatur kemas, kenapa baru kini bibirnya meluahkan bicara?

Aku tidak mampu untuk berkongsi perasaan ini dengan sesiapa pun. Baik dengan ibu mahupun dengan Ali. Aku tidak mahu mereka memandang serong terhadap bakal isteriku. Aku tidak mahu hubungan ibu dan Sufina yang sedia elok ini berantakan dihentak sejarah silam. Lebih teruk jika ibu terus memutuskan hubungan kami nanti. Apa lagi yang ada untuk diriku nanti. Jadi, aku memutuskan untuk berharap pada Allah. Kerana itulah sebaik-baik urusan di dunia ini.

“Ya Allah, aku memohon pertunjuk daripadaMu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah, Seandainya Engkau mengetahui bahawa Nur Sufina itu adalah jodoh buatku, wanita yang baik bagiku, baik untuk agamaku, pada kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah dia bagiku dan permudahkanlah serta berkatilah hubungan ini.

Namun seandainya Engkau mengetahui bahawa dia bukan jodohku, dia akan mendatangkan keburukan kepadaku, kepada agamaku, kepada kehidupanku dan kesudahan hidupku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhakanlah hatiku menerima ketentuan dari-Mu. Aminnn...” Beberapa kali aku meraup wajah.

Ini adalah solat istiharahku untuk kali ketiga. Aku mohon agar Allah memberikan kekuatan yang kebal buat lelaki sepertiku. Kerana sesungguhnya aku langsung tidak berdaya tanpa bantuan daripada Allah.
Mungkin ini semua adalah ujian daripada Allah. Kerana satu ketika dahulu, aku teramat mengagumi wajahnya. Mungkin aku tersilap dalam mengenal hatinya. Namun entah kenapa, segenap perasaan ini bagai ingin menindakkan kata-kata Sufi tempoh hari.

Aku harus akui yang aku tidak layak untuk mengira dosa orang lain kerana aku sendiri belum tahu bilangan pahalaku. Namun, sanggupkah aku menerima seorang gadis yang sudah tidak memiliki kesucian diri?
.......................................................................................................
NUR SUFINA

RASANYA, masuk hari ini sudah 4 hari Saifullah tidak menghubungiku dan itu sudah cukup membuatkan aku yakin yang dia sebenarnya hanya memandang kecantikan semata-mata. Rasa kecewa itu teramat sangat tapi aku tetap syukur kerana Allah sudah menyelamatkanku daripada seorang lelaki yang tidak ikhlas hatinya.

Hari ini juga, aku terpaksa masuk ke pejabat setelah Fia berkali-kali menelefonku kerana ada tugasan segera yang memerlukan bantuanku. Bila aku beritahu mama, mama hanya senyum mengizinkanku pergi. Dia semakin sibuk menjadi mandur demi majlis aku yang mungkin sahaja tidak akan punyai pengantin lelaki. Entah bagaimana hendak aku beritahu pada mama. Aku takut mama menyalahkan pula kerana terlalu cerdik pandai hendak menguji tunang sendiri sampai ke tahap itu. Memang aku tak sanggup nak lihat titisan airmata mama. Sudahnya, aku berserah saja untung nasibku kepada takdir.

“Maaf ya, Sufi. Kau tengah-tengah sibuk kami paksa datang pulak,” ucap Fia padaku setelah aku siapkan pelan rekaan itu. Aku dah bersiap-siap hendak keluar daripada pejabat.

“No hal la, kawan. Bila-bila masa je. Lagipun sikit je,” balasku bersama senyuman yang tawar.

Aku rindu pada Saifullah. Rindu pada gurauan dan kata-kata romantisnya. Rindu pada redup pandangannya yang penuh dengan kasih sayang itu. Tapi kini, dia jauh dan semakin menjauh barangkali hinggakan majlis hanya tinggal 2 hari saja lagi dan dia masih diam tanpa keputusan yang pasti.

“Nanti kami datang awal sikit majlis kau lusa,” ucap Fia tiba-tiba. Aku tersentak. Hilang bayangan Saifullah.

“Erk... errr... yalah. Datang-datang. Jangan tak datang. Nanti bawa pakwe gelap kau tu,” balasku tergagap-gagap. Sengaja mengusik Fia hendak lindungi kewalahan hati sendiri.

“Aku balik dulu, mama aku suruh balik awal.” Aku berdalih lalu terus saja menapak keluar. Ucapan tahniah daripada rakan-rakan bagaikan sembilu menujah hatiku.

Kaki ini menapak perlahan-lahan menuju ke tempat letak kereta yang sering aku rebutkan dengan dia. Hari ini, tempat letak kereta ini kosong sewaktu aku tiba tadi. Aku yakin dia tiada. Andai dia ada, pastilah keretanya terletak elok di sini.

Baru sahaja hendak masuk ke perut kereta, aku ternampak sehelai kertas terselit di celah wiper.

“Ni siapa pulak nak rebut lagi parking ni? Tak cukup dua orang berebut nak tambah lagi sorang,” bebel aku sendiri dan mencapai kertas putih yang terlipat kemas itu.

Aku renung lama. Hari ini lain macam pula lipatannya. Memang macam surat cinta dan bukan lagi pesanan penaja. Bila aku buka, kertas itu bertinta tangan yang sama. Bibir ini mengutum senyum membaca bait-bait yang ditulis kemas di dada kertas itu.

“Epul....” Baru saja aku nak baca, suaraku rasa tersekat dek sendu.

“Epul jatuh cinta pada Sufi kerana Allah, kerana sunnah Rasullullah.” Tiba-tiba ada suara lain yang membaca bait sama dan bila aku kalih ternyata dia.

“Benar Epul kagum pada wajah Sufi, tapi tak salah sebab Sufi adalah keindahan yang telah Allah ciptakan untuk Epul. Sungguh, Epul cinta pada wajah Sufi, tapi Epul lagi cintakan hati Sufi. Betul Epul nampak wajah Sufi dulu, tapi lama kelamaan, yang semakin jelas di mata Epul adalah hati Sufi. Mungkin Sufi pernah tersilap, dan Epul tetap teguh dengan kekaguman ini hendak menyunting Sufi menjadi permaisuri hati dan bonda kepada bakal putera puteri kita nanti,” ucapnya tenang.

Langsung tidak terkurang atau terlebih sepatah perkataan pun seperti yang ada di dalam kertas putih di dalam tanganku ini.

“Kenapa tak call Sufi?” tanyaku sebak. Aku berasa sedih bila dia langsung tidak menghubungiku.

“Epul perlukan masa, sayang. Tapi, alhamdulillah. Selepas beberapa hari Epul buat Istikharah lagi, ternyata Sufi dan tak akan ada orang lain,” ujarnya tenang.

Hari ini, aku yakin yang dia memang tercipta untuk aku. Memang Allah telah jodohkan kami berdua dalam cara yang kami sendiri tidak duga namun keindahannya membuatkan kami tunduk penuh syukur menerima kurniaakan yang Esa.

“Surat tu selit dalam handbag, ya. Buat bukti satu hari nanti kalau kata Epul mungkir janji,” tokoknya dengan suara mengusik.

“Ada niat tu?” Sengaja aku buat muka kelat.

“Apalah sayang ni, niat kan ada dalam solat je,” sela dia selamba. Aku tarik muka dan dia ketawa.

“Eleh, nak buat semua benda kena sertakan dengan niat tau.” Aku masih tidak mahu kalah.

Dia jungkit kening. “Betullah tu. Sama seperti niat Epul nak memperisterikan Sufi kerana Allah.” Kata-katanya aku terima dengan anggukan berkali-kali.

“Tunggu Epul hari lusa. Epul bawa rombongan yang meriah untuk menjadikan Sufi seseorang yang halal buat Epul nanti,” ujarnya lagi penuh romantik. Aku pantas mengangguk. Rasanya hari ini, aku dapat kembali Saifullah aku ini. Bibirnya tersenyum nakal. Sedangkan aku, sudah menekur pandangan ke tanah. Malu sebab dah menangis!
..........................................................................................................
SAIFULLAH

MAJLIS hari ini berlangsung dengan sangat meriah. Ramai juga kenalan yang dijemput hadir. Dan yang paling mengejutkan aku ialah, Ali. Boleh pulak dia cintan-cintun dengan Fia, kawan baik isteriku. Patutlah dua-dua asyik lesap je selama ni.

Isteri... Dengan sekali lafaz sahaja, Nur Sufina binti Mohd Sulaiman telah selamat menjadi isteriku, merangkap kekasih hatiku, tulang rusukku yang hilang, bonda kepada putera dan puteriku. Alhamdulilah... moga rumah tangga ini berkekalan ke akhir hayat.

“Epul...” Sengaja aku pekakkan telingaku apabila mendengar panggilan dari Sufina itu. Aku tersenyum dalam hati. Sengaja ingin menyakatnya.

“Epul, dah banyak kali Sufi panggil. Tak dengar ke atau buat-buat tak dengar?” Suara Sufi lembut sekali. Namun, dapat ku kesan air mukanya yang sedikit berubah. Mungkin takut jika aku mula berubah dan tidak dapat menerima dirinya seadanya.

Sekali aku melangkah. Aku akan tetap untuk meneruskan langkah. Jika begini suratan hidupku, aku terima dengan lapang dada. Semua yang berlaku, tak pernah silap. Pasti ada hikmah yang menantiku nanti.

“Bila?” tanyaku selamba. Buat muka tak bersalah.

“Tadi...”

“Panggil apa?”

“EpuL lah...” Dileretkan sedikit nadanya. Mungkin geram dengan soalan yang tidak masuk akal ini.

“Siapa Epul?” soalku pula. Berkerut dahinya. Mungkin sedang memikirkan sesuatu. Akhirnya dia mengeluh perlahan sambil tersenyum.

“Habis tu nak panggil apa?” Aku tersenyum puas apabila Sufina memahami kehendak diriku.

“Panggil baby boleh?” Pintaku manja.

“Uweekk...” Selamba badak sahaja dia buat aksi nak termuntah. Nak kena dia ni!

“Oh.. nak muntah eh? Meh abang buat sayang muntah lagi dua bulan... Sayang tunggu, abang nak tutup lampu,” gurauku selamba.

“Hah?” Sengajalah tu buat dia muka terkejut!

Tanpa berfikir panjang, aku terus menutup suis lampu. Hanya cahaya lampu dari luar sahaja yang menerangi bilik kami malam ini. Namun aku masih lagi nampak raut wajahnya yang kelihatan malu-malu itu.

“Abang, sebenarnya Sufi nak beritahu abang sesuatu..,.” ujarnya lambat-lambat apabila aku mula mendekat. Kelihatan dia agak gelisah sedikit.

“Sekarang bukan waktu untuk berborak yang...,” bisikku lembut dan aku terus kunci mulutnya dari terus berkata-kata.

Aku tidak mahu ada apa-apa yang bakal menyekat hubunganku dengan Sufina lagi. Aku hanya ingin berkongsi kasih ini dengannya. Berkongsi bantal dan katil bersama-sama. Dan berkongsi hidup untuk saat ini dan selamanya-lamanya.
......................................................................................................
SAIFULLAH & NUR SUFINA


BUAT pertama kalinya Saifullah dan Sufina menunaikan solat Subuh berjemaah Saifullah dapat merasakan bahawa pagi inilah pagi yang paling sempurna dalam hidupnya kerana dapat mengimamkan solat subuh bersama-sama dengan isteri tersayang.

“Ya Allah, satukanlah hati kami dalam melayari bahtera perkahwinan ini. Titipkanlah kebahagian buat kami agar menjadi pasangan yang bahagia dan berkekalan buat selama-lamanya selagi hayat masih dikandung badan. Kurniakanlah putera puteri sebagai penyeri dalam rumah tangga kami. Hanya kepada-Mu tempat aku bersandar harapan. Moga kebahagian yang kami kecapi ini berada di dalam redhaMu Ya Allah... Amin..”

Saifullah berpusing sambil menghulurkan salam buat isterinya. Sufina menyambut salam Saifullah dengan senyuman manis. Dikucup lembut jemari suam milik suaminya itu. Dan apabila dia mula mengangkat wajah, satu kucupan kudus hinggap di dahinya. Syahdunya terasa seperti waktu pertama kali Saifullah menyentuhnya semalam dan sudah pastinya dengan sepenuh kerelaan hatinya sebagai seorang isteri.

“Kenapa tipu abang?” tanya Saifullah tenang. Tatkala bangkit dari lena tadi, matanya bulat melihat ke arah cadar tempat peraduan.

Sufina suci. Sesuci embun pagi. Sesuci kasih dan cintanya pada sang isteri. Cuma dia tertanya-tanya, untuk apakah Sufina menghuru-harakan hatinya beberapa hari sudah.

Nur Sufina menggariskan senyuman. Dia sudah dapat mengagak soalan ini akan keluar dari mulut suaminya. Sufina tersenyum sambil mencapai tangan milik suaminya. Digengam erat tangan milik Saifullah. Mengalirkan rasa cinta yang menggebu ke seluruh urat saraf mereka.

“Sebab Sufi perlukan kepastian dari abang. Selama ni, Sufi selalu rasa yang abang cintakan Sufi kerana rupa paras Sufi. Bukan kerana diri Sufi.” Luah Sufina hati-hati. Bimbang juga jika dia menaikkan kemarahan suaminya. Sesungguhnya, dia tiada niat hendak menipu. Tapi, keyakinannya pada lelaki yang kini telah bergelar suami, perlu diperkukuhkan. Sekukuh dan seteguh tembok besar Cina.

“Salah ke jika abang terlalu kagumi wajah sayang?” Kedua belah tangan Saifullah berada di pipi milik Sufina. Mata mereka sama-sama beradu. Melontar kasih sayang yang tidak putus-putus. Berbicara bahasa cinta melalui renungan yang semakin membakar rasa sayang di hati masing-masing.

“Memanglah tak salah.” Sufina menggeleng. Dia langsung menyapa belakang tangan suaminya yang masih melekap di pipinya.

“Tapi, Sufi takut andai kata satu hari nanti, Sufi dah tak secantik sekarang, abang dah tak sayang pada Sufi dah,” sambung Sufina dengan raut yang sedikit berkerut menahan gelora di hati. Dibadai resah dan bimbang. Saifullah gelak besar. Dia terus saja meraih tubuh langsing Sufina ke dalam pelukannya.

“Bukan abang memuji, apa lagi hendak memuja. Cuma abang terlalu kagum dengan perhiasan dunia ni...” Kata-katanya terhenti seketika. Kemudian dia meleraikan pelukan dan berdehem sedikit. Naik pelik Sufina melihat suaminya itu.

Kejernihan wajahmu
Sempurna pada pandanganku
Kau kirana keturunan terpilih
Disanjung serta dihormati
Kau permata, kesederhanaanmu
Mengecap kekayaan dunia
Kau mestika, ketaqwaan dirimu
Itu yang merantai jiwaku
Bukan aku memuji, apa lagi memuja
Salahkah aku kagumi?....


Sufina menutup mulutnya. Terharu dengan nyanyian suaminya di pagi hening ini biarpun terasa agak sumbang. Tubir matanya bergenang. Ada rasa hiba yang menyapa melihatkan kesungguhan lelaki ini membuktikan kasih, melestarikan cinta.

Bait kata lagu itu sangat bererti buat dirinya yang kini bergelar isteri kepada Muhammad Saifullah. ‘Ya Allah, moga aku dapat menjadi bidadari di hatinya di dunia dan juga di akhirat kelak!’

“Ish... Mujur sahaja tak ada set karaoke kat sini. Kalau tak abang dah karaoke dah,” usik Saifullah lagi.
Tanpa ditarik, Sufina sendiri menolak tubuhnya mendekat kepada Saifullah dan terus memeluk suaminya. Erat bagai tidak mahu dilepaskan lagi. Dilontarkan rasa malu itu jauh-jauh kerana sesungguhnya lelaki ini telah halal buatnya.

“Eh, sayang tengah goda abang ke ni?”
Sufina terus menepuk lembut bahu milik Saifullah. ‘Orang tengah syahdu-syahdu, dia buat lawak bangla pulak.’

“Sayang...,” panggil Saifullah romantik.

“Ya...”

“Terima kasih...” Saifullah meleraikan pelukan erat Sufina. Dia ingin melihat bening mata Sufina yang cantik itu.

“Sebab?”

“Sebab pelihara kesucian diri sayang untuk abang seorang sahaja.” Tidak pernah dia menduga bahawa isterinya itu hanya sekadar ingin menguji kasihnya. Ingin menguji sedalam mana cintanya. Namun semua ini mampu mengikhlaskan dirinya agar tidak terlalu mementingkan kesempurnaan.

‘Memang aku kagumi wajahmu. Namun, aku lebih mengkagumi budi pekertimu dalam memupuk rasa cinta ini.’

“Bukan ke kesempurnaan seorang isteri, hanya milik seorang suami?” soal Sufina pada suaminya. Apabila mendengar bicara dari sang isteri, Saifullah terus menghadiahkan sebuah ciuman tepat di dahi milik Sufina. Kemudian beralih ke kening pula. Kemudian beralih ke pipi dan apabila ciuman ingin dialihkan di bibir, terus Sufina menutup mulutnya.

“Eh, abang dah gosok gigi ke belum?” Selamba sahaja Sufina mengusik.

“Sufi!!!” Akhirnya, pecah ketawa antara mereka berdua.
***
HAMPIR dua bulan mereka berkongsi segala-galanya. Alhamdulilah, Sufina teramat bersyukur dengan anugerah Allah ini. Dia memejam matanya erat. Terasa berat benar untuk dibuka.

“Sayang... betul tak mahu pergi klinik?” Untuk yang kesekian kalinya, Saifullah bertanya lagi. Bimbang juga ingin meninggalkan isterinya yang demam itu.

“Nanti..nanti... kebahlah demam ni.” Lemah sahaja suaranya. Saifullah meletakkan tapak tangan di sekitar dahi isterinya itu. Tidak sepanas semalam.

“Hmm, tengah hari nanti abang balik tau... sayang duduk diam.. Jangan buat kerja. Nanti abang beritahu ibu yang sayang tak sihat.” Mujur sahaja mereka tinggal dengan ibu. Bolehlah ibu jenguk-jenguk sedikit pada isterinya ini.

“Jangan lupa makan ubat tau!” Saifullah mencium dahi milik isterinya sebelum berlalu keluar. Turun ke tingkat bawah, terus dia memberitahu kondisi isterinya kepada ibu. Kemudian dia melangkah ke garaj kereta.

Baru sahaja Saifullah ingin masuk ke dalam perut kereta namun pandangannya terjatuh pada sekeping nota yang terselit di wipernya. ‘Eh, setahu aku, aku je yang buat kerja tak berfaedah ni? Siapa pulak nak berebut parking dekat garaj rumah aku ni?’ Dicapai nota tersebut yang dilipat kemas itu.

Abang, dah dua bulan kan..
Sufi dah betul-betul uweekkk!!! Hahaha..


Melopong mulut Saifullah dibuatnya. Tanpa membuang masa lagi, terus dia berlari. Hampir-hampir sahaja terlanggar ibunya di depan muka pintu.

“Ya Allah, ibu yang besar ni pun tak nampak ke Epul?” Ibu mengelengkan kepalanya. Namun tersenyum sedikit melihat perangai anaknya itu. Alhamdulillah.. Allah memberikan kebahagiaan buat anaknya.

Semput terasa di dada tika berlari dari garaj kereta naik ke tingkat atas. Nafasnya sedikit turun naik melihat isterinya yang masih berbaring di atas katil itu.

Perlahan-lahan, dia berbaring secara mengiring. Bertentangan mata dengan isterinya itu. Tangannya jatuh di pinggang milik isterinya. ‘Aduhai, nyaris nak tercabut jantung ni..’ Tulus dia mencium dahi milik Sufina.

“Eh, abang tak pergi kerja lagi?” Tanya Sufina sambil tersenyum-senyum. Sebenarnya dia sengaja buat-buat tidur.

“Nakal eh...” Dicuit hidung isterinya. ‘Ya Allah, tidak tergambar rasanya kebahagiaan yang aku kecapi tika ini.’

“Abang suka?”

“Mestilah abang suka..” Sufina senang apabila Saifullah menariknya ke dalam pelukan. Terasa selamat dan tenteram.

“Terima kasih sayang... Sebab sudi mengandungkan zuriat abang.. sebab sudi jadi peneman hidup abang.. sebab sudi berada di saat abang senang dan susah... sebab...” Tiba-tiba tangan Sufina menutup mulut suaminya.

“Abang ni buat ucapan macam menang anugerah pulak..” Sufina melepaskan tawa.

“Memang Sufi ni anugerah terindah dari Ilahi buat abang.” Akhirnya mereka hilang dalam pelukan erat. Moga lautan kasih ini tidak akan kematian ombak. Kerana cinta suci kurniaan Ilahi ini adalah nikmat dunia yang paling agung.

***TAMAT***

Tidak salah andai kita kagumi kecantikan ciptaan Allah swt. Kerana itu tanda kita mensyukuri nikmat dan keindahan yang telah Allah hampar di muka bumi ini, keindahan langit yang telah memayungi kita. Namun, jangan terlalu taksub dengan keindahan, kerana pandangan mata kasar sering menipu. Sesungguhnya, pandanglah dengan mata iman, kerana di situ letaknya keikhlasan.

Kami juga harap, janganlah pembaca terlalu kagum dengan karya kami kerana bimbang jika terkesan cacat celanya, ianya akan menimbulkan rasa tidak puas hati pembaca semua. Sokonglah kami selagi terdaya seperti mana kami akan menulis selagi termampu.

Salam sayang daripada kami.
Rehan Makhtar (RM) ft. S@r@ Sassy Gurlz (SSG)

p/s Cara menulis dua watak begini adalah daripada sifu kami, Syamnuriezmil...Thanks Kak Yard.. We owed you a lot.

22 comments:

  1. perfect-Say Hello(Aina Eyna)

    ReplyDelete
  2. awww~
    so sweet la epul ni. dah la anak yang baik!
    calon suami yang bagus! hahaha...Fina, kena baik2 ni. nanti terjatuh cinta. :p

    ReplyDelete
  3. kalau Fina taknak, bagi kat saya jelah Epul tu...hahahah,
    adoiii so sweeet!!! (^__^)V

    ReplyDelete
  4. wow..lain la cter kali ni..hehehhe..bce sorang2 pun dh tersengih2..ehehehe

    ReplyDelete
  5. angau si epul buat sy senyum manjang... hehehe...

    ReplyDelete
  6. salam dik..
    satu kelainan dalam penceritaan adik..kali ni..harap harap no more sad ending..ek..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  7. nice . so sweet la epul tu . tak sabar nak baca lagi . thumbs up !

    [aya]

    ReplyDelete
  8. best la akak punyer cter semue best2...

    ReplyDelete
  9. Eimma pun pernah jugak rasa kagum bila tengok orang cantik.. AAHAHHAHA...

    ReplyDelete
  10. cerpen ni dah siap dan hasilnya adalah garapan & idea daripada 2 penulis..saya & sara sassy gurlz..u all mesti tau kan karya SSG ni mcm mn..letop2 haa..hehe..

    cerpen ni akan masuk p2u dulu..test market dulu..then baru letak kt blog..

    ReplyDelete
  11. Wow, mantap.
    Karya yg sgt ilmiah.
    Menarik dgn cara yg t'sndri.
    Btw, thanks writers..:)

    ReplyDelete
  12. hebat penceritaannya...gambaran hero seperti epul susha kita nak jumpa dalam mana2 cerpen..lelaki yg tahu di mana letaknya dia di sisi wanita..indah....tahniah RM

    ReplyDelete
  13. lain dpd yg lain..tahniah...
    sy dah selalu sgt bc cerpen n novel kahwin paksa atau kahwin terpaksa...
    yg ini..sy sangat puas hati...

    ReplyDelete
  14. da lama tak jumpa karya islamic macam ni..islamic yg tak membosankan..

    ReplyDelete
  15. Ya Allah best betul baca cerpen ni....
    Terima Kasih RM..
    Terasa kita dekat dengan NYA....

    ReplyDelete
  16. seriously cerita nie best. Islamic in its own way. thanks kak buat cerita nieh. it shows that maruah kita as seorang perempuan sangat penting. keep on writing good ceritas. :)

    ReplyDelete
  17. hehe..best2..nak cari suami mcm epul jgk lah..hehhe

    ReplyDelete
  18. alahai shahdunya lenggok cerpen nii.. pasangan yg bahgia & jodoh yg serasi.
    TAHNIAH buat RM

    ReplyDelete
  19. berbeza....may god bless

    ReplyDelete
  20. islamicnya.. saya suka cerita camni,thumbs upp..

    ReplyDelete