Friday, November 04, 2011

Terlerai Kasih 38

Saya sebenarnya tak ada apa nak tinggalkan untuk anda semua masa cuti ni, jadi saya letak BAB 38 TK.. Harap dapat mengubat rindu anda pada Fiah dan Ilham dan saya juga.

BAB 38

USAI Isyak malamnya, aku sekali lagi memberanikan diri melangkah ke rumah Kak Anah selepas memastikan yang suaminya tiada di rumah. Sementara mak juga masih belum kembali dari surau, aku perlu meminta pada Abang Zali. Walaupun hati tidak mahu, tapi aku tiada pilihan.

Betapa berat kakiku hendak ke sana bila memikirkan perkara yang pernah terjadi antara kau dan Abang Zali dulu. Di mana peristiwa aku ditampar oleh Kak Anah kerana kelantangan suaraku mengherdik suaminya yang ku rasakan layak untuk menerima herdikan itu.

“Masuklah, Fiah. Dah lama sangat kamu tak masuk rumah Kak Anah ni,” ujar Kak Anah. Nadanya bagai orang berjauh hati saja.

“Kakak tahu kamu tak boleh nak lupa perkara dulu tu. Tapi, kakak tak boleh nak buat apa, dik. Dia tu suami akak,” ujarnya lagi tanpa ku pinta.

“Tak apa, kak. Fiah faham.”
Sesungguhnya, aku benar-benar faham perasaan Kak Anah kala itu biarpun baru beberapa hari menjadi isteri. Rasa ingin berkorban demi kebahagiaan suami itu lahir dengan sendirinya.

“Fiah tak pernah lalu lagi apa yang mak dan Kak Anah sedang lalui ni. Kak Anah tu isteri dan dia wajib pertahanankan maruah suami dia.” Terngiang-ngiang suara mak menegurku satu waktu dulu. Kini, aku sedang melaluinya malah lebih teruk daripada itu.

“Pasal semalam tu, kakak tak pesan kat Abang Zali, jangan beritahu mak dulu.” Suara Kak Anah membawa aku memandangnya.

Wajah suram itu aku pandang sekilas. Nampak tua sebelum usia dek bebaban yang tergalas di bahu akibat suami yang tidak bertanggjawab.

“Habis tu, dia cakap apa?” soalku pula. Kak Anah mengeluh.

“Dia tu macam tu la, Fiah. Bukan kamu tak kenal Abang Zali tu macam mana. Kerja dia nak mengugut je tahu. Tapi, Fiah jangan risau, selagi kakak terdaya, kakak akan halang perkara ni daripada sampai ke telinga mak,” janji Kak Anah kepadaku.

Perlahan-lahan aku mengangguk. Berat hendak menerima kata-kata Kak Anah. Bukan aku tidak mempercayainya tetapi dengan sikap suaminya yang suka menimbulkan cela keluarga kami, tidak mustahil perkara ini akan sampai juga ke telinga mak. Cuma waktunya sahaja yang belum dapat aku tentukan. Sama ada cepat ataupun lambat.

“Kali ni kak, biarpun Fiah kena sujud dekat kaki Abang Zali, Fiah sanggup, kak. Asalkan dia tak cakap dekat mak. Fiah tak boleh nak terima kalau mak menangis lagi dan kali ni sebab Fiah,” aduku.

Kak Anah bangkit lalu melabuhkan duduk di sebelahku. Telapak tangannya singgah di belakang tanganku.

“Sabarlah, dik. Kakak tahu Fiah kuat. Kita hadapi sama-sama,” pujuk Kak Anah lagi.
Aku menggeleng. Dia tidak pernah mengerti akan kesengsaraanku melalui semua ini. Mengharapkan kebahagiaan setelah mengharungi kedukaan tapi akhirnya, kebahagiaan itu sebenarnya tidak mahu hinggap lama di dalam diriku. Sekelipan terduga pula.

Baru saja hendak terlerai dendam di hati, semakin kusut pula jadinya dan aku takut, andai kali ini aku sudah tahu bagaimana hendak ku leraikan kekusutan dendam yang makin terbelit itu nanti.

“Ni akak nak tanya, pasal Zura tu. Apa cerita sebenarnya?”

Aku panggung kepala seketika sebelum menebarkan pandangan ke luar rumah. Terasa sejuk mata memandang kehijauan alam ciptaan Yang Esa.

“Fiah jumpa dia kat KL,” jawabku tenang.

“Bila?”

“Dah beberapa bulan, kak. Dia datang interview dekat pejabat Fiah. Masa tu, Fiah dengan bos yang temuduga dia.”

“Lepas tu?”

“Fiah setuju bagi dia kerja tu walaupun kelulusan tak ada,” ucapku tanpa berselindung. Aku lihat mata Kak Anah membulat.

“Kenapa macam tu pulak? Kalau dia tak ada kelulusan kenapa mesti Fiah nak bagi kerja dekat dia?” tekan Kak Anah agak kuat. Terkejut barangkali.

Aku jungkit bahu. Sungguh, aku tidak tahu apakah niatku sebenarnya kala itu. Adakah kerana dendam atau pun rasa simpatiku tumpah pada seorang teman lama yang tidak pernah mengangap aku sebagai temannya.

“Rasanya masa tu Fiah fikir nak balas dendam je, kak…”

“Tak sudah-sudah kamu ni dengan dendam tu, dik,” cantas Kak Anah tanpa sempat aku menghabiskan ayat.

“Sampai bila nak hidup dengan dendam ni?” tekannya lagi.

“Kak, dengar dulu,” pintaku separuh merayu. Suka sangat menerjah tanpa tahu di mana ekor di mata kepala.

“Memang mula-mula Fiah nampak dia masuk ke bilik temuduga hari tu, Fiah rasa nak balas dendam sangat pada apa yang dia dan keluarga dia buat kat kita dulu. Lama-lama tu Fiah jatuh kesian pulak. Dah bertukar niat. Rasa nak tolong pulak. Tapi, memang Fiah silap. Sentiasa silap menilai…”

Kata-kataku terhenti. Jauh ku lontar renunganku ke tengah kepekatan malam dan kemudiannya beralih pula ke dada langit yang kelam tiada dihiasi bintang. Terasa kosong dan hambar. Benar aku sentiasa silap membuat penilaian tentang manusia. Terlalu sukar untuk ku kenal mereka.

Pertamanya Fazlee dan telah ku biarkan nama itu terkubur saja tanpa pusara dan tanda. Kini, yang pasti akan melekatkan di hati selamanya, malah hingga ke pintu syurga juga adalah Ilham Fitri. Lelaki yang sah untukku di sisi Allah. Lelaki yang menjawab qabul hanya dengan sekali lafaz.

Terlalu sukar juga untuk aku nilai Ilham hingga kini. Jauh sekali untukku kenali sikapnya apatah lagi waktu perkenalan yang ku rasakan terlalu singkat. Andai dulu, aku yakin waktu pertemuan itu tidak penting sebenarnya jika telah tertulis yang adam dan hawa itu bakal bersama. Bila Ilham juga mengiyakan, aku menjadi bertambah yakin. Tapi, bila aku sudi membuka hati ini untuk dia diami, Ilham tergamak pula menidakkan perkara itu.

“Fiah, kenapa ni?” Pertanyaan Kak Anah membuatkan lamunanku tersentak. Terlupa yang Kak Anah ada bersamaku.

“Zura jaja cerita pasal keluarga kita pada semua, kak. Fiah boleh terima bila semua orang pandang hina pada
Fiah…”

Suaraku terhenti lagi. Tersekat dek sebak bila mengingatkan maki hamun dan cercaan Suraya dan Fariza satu waktu dulu.

“Tapi, Fiah tak boleh nak terima bila dia buat khianat dekat Fiah pasal kerja. Lepas tu, Fiah cakap dekat bos, nak pecat dia. Lepas daripada tu, Fiah ingat semuanya akan pulih. Tapi makin teruk rupanya,” sambungku dengan airmata yang kian sarat bertakung di kelopak mata.
Sedaya upaya aku tahan agar tidak gugur. Aku pandang ke atas, berharap agar air jernih itu tiada bertamu lagi.

“Staff kat pejabat makin jauh. Lebih-lebih lagi lepas Fazlee datang cari Fiah kat pejabat, bila Ilham kembalikan kad jemputan, makin buruk keadaannya. Semua ni buat Fiah hampir sasau, kak. Tapi sungguh, masa tu Fiah tak tahu yang Zura sebenarnya lari daripada rumah sebab Fiah sendiri tak pernah bertanya di mana dia tinggal, dengan siapa.”

“Mula-mula Zura. Lepas tu Fazlee tu pulak?” Kak Anah menggeleng.

“Kenapalah sekali harung kau kena hadapi semua ni, dik?”
Persoalan Kak Anah itu tidak mampu aku jawab kerana aku sendiri tidak pernah mempunyai jawapan untuk itu. Aku tidak mampu menyalahkan takdir. Hanya satu yang ku pegang. Pesan mak, dugaan datang pada yang mampu menggalasnya. Tapi, bahu ni dah hampir rebeh menggalas semua ini.


“Bila masa pulak jantan dayus tu datang?”
“Banyak kali, kak. Pertama kali kat pejabat. Lepas tu dia tunggu Fiah dekat parking. Kali ketiga masa Fiah nak ambil baju kahwin dan kali ke empat dekat pejabat Ilham,” terangku jujur.

Mengingatkan peristiwa aku dipeluk Fazlee dulu, benar-benar membuatkan aku mahu meraung. Rasanya tidak setimpal jemariku hinggap di pipinya. Serasa mahu aku toreh saja wajah itu dengan belati.

“Terlalu banyak pertemuan Fiah dengan Fazlee. Fiah tak terfikir ke yang Ilham mungkin ternampak semua ni?” duga Kak Anah.

Aku pejamkan mata seketika. Mencerna telahan Kak Anah. Ada benar juga katanya. Tapi, kenapa Ilham tidak berterus terang saja padaku? Apa pula kaitannya aku dengan Fatehah hinggakan wanita muda itu berubah langsung? Aku tidak fikir Ilham tahu mengenai aku dan Fazlee. Aku yakin itu. Mustahil!

“Mungkin benar cakap akak tapi Fiah tak rasa begitu. Fiah yakin, masa Fazlee datang jumpa Fiah tu, tak ada sesiapa Nampak. Mungkin ada sorang dua staff kat pejabat tu, tapi Fiah tak fikir dia orang semua nak bercerita pada Ilham.” Aku menidakkan segalanya.

Sesungguhnya aku yakin dengan semua ini. Bertambah yakin yang Ilham tidak menginginkanku kerana aku dari keluarga yang pincang. Yang penuh dengan masalah.

Bukan sekali dia tekankan yang aku adalah wanita yang tidak layak dicintai malah menyintai. Wanita yang tiada bermaruah. Hanya mengikut nafsu dan mengejar harta semata-mata.

Masih jelas terbayang di mataku bila Ilham cuba memelukku dan berjaya jua memelukku tatkala aku tagih simpati daripadanya untuk melindungi maruah kami sekeluarga kala itu.

Mungkin di matanya, aku terlalu murah hingga sanggu dia bertindak demikian. Mungkin jua, keikhlasan yang dia tunjukkan selama ini dalam menerima aku seadanya hanya lakonan semata-mata untuk menyentuh aku.

“Apa lagi yang Fazlee nak dari kau lagi?” tanya Kak Anah bersama keluhan.

“Fiah tak tahu, kak. Satu je yang pasti, Fiah dah tamatkan segalanya sebelum Fazlee mulakannya semula,” jawabku yakin.

Memang aku benar-benar yakin yang Fazlee kini sedang berbahagian dengan Fatehah. Aku yakin yang dia kini sudah mula melupakan aku. Tak mungkin sehingga dia tergamak menunggu isteri orang lain.

“Yang Zura ni pulak, sekarang dia ada kat mana?”
Aku geleng tanda tidak tahu kepada soalan Kak Anah.

“Itulah kali terakhir Fiah jumpa dia. Lepas tu Fiah tak tahu dia ke mana atau tinggal dengan siapa.”

“Kenapa kau tak pernah nak bawa berbincang dengan kami tentang semua ni, Fiah?” tanya kakakku entah kali ke berapa.

“Sampai bila kau nak tanggung semua ni? Lambat laun mak akan tahu juga Fiah. Kakak takut bila masa mak dapat tahu tu, dia lagi kecewa dengan tindakan kau ni, dik.”

Hati ini setuju dengan kata-kata Kak Anah tapi aku benar-benar belum bersedia untuk itu. Seperti ku putuskan sebelum ini, masanya masih belum tiba. Terlalu awal.

“Mak tak boleh nak bayang macam mana kalau mak tahu tentang semua ni Fiah. Maafkan akak sebab tak mampu nak tolong Fiah. Akak harap Abang Zali tak akan beritahu semua ni pada mak. Tapi, akak tak boleh nak jamin, dik,” gumam Kak Anah perlahan antara dengar dan tidak.

Dia menangis lagi sedangkan aku sudah tidak mampu mengalirkan airmata. Hendak jua ku tangiskan tapi sudah tiada daya. Hanya mampu berserah kepada Dia Yang Esa.

“Memang pun kau tak boleh nak jamin, Anah!”
Kami mencari suara milik Abang Zali dan ternyata dia sudah tercegat di pintu dapur dengan bercekak pinggang.


“Abang,” seru Kak Anah yang jelas terkejut.

“Bila abang balik? Tak dengar pun kereta?” Kak Anah bangkit mendekat pada suaminya.
Aku jua turut angkat tubuh. Melihat ke arah kakakku dan suaminya. Detak hatiku sudah lain macam. Rasanya mahu saja aku menyembah di kaki Abang Zali untuk sebuah janji yang belum tentu dia kotakan.

“Aku dah dengar pasal semalam tu, Fiah. Pasal kau dengan laki kaya kau tu. Hari ni aku dengar lagi pasal Zura anak Mak Zahrah tu. Lepas tu Fazlee. Siapa Fazlee tu? Agaknya kau simpan jantan nama Fazlee tu tak, sebab tu Ilham tinggalkan kau bodoh macam tu je?” sinis Abang Zali padaku.

“Abang jangan salah faham, bang. Apa yang abang dengar tu salah faham je,” dalih Kak Anah.

“Salah faham apa lagi, Anah. Kalau dah keturunan kau suka berbuat jahat, berzina macam ni, salah faham apa lagi? Bukti dah ada depan mata. Arwah ayah kau…”

Tersiat hatiku mendengarkan Abang Zali masih sanggup menyebut nama arwah ayah. Sekuat hati aku tahan sabar agar tidak terus menyerangnya dan akan memudaratkan keadaan nanti.

“… kau sendiri pun dulu, kan Anah?”

“Abang!! Kenapa abang masih nak ungkit perkara berpuluh tahun dulu tu. Pelacur sekalipun kalau bertaubat, Allah tetap terima,” balas Kak Anah agak kasar.

“Pelacur tu okey lagi sebab dapat jugaklah duit, ni kau orang adik beradik ni buat kerja free. Tak ada bayaran. Memang tak ada hargalah keluarga kau orang ni,” herdik Abang Zali lagi.

Kak Anah sudah mula menitiskan airmata lagi. Dia menggeleng beberapa kali. Tidak percaya dengan kata-kata suaminya mungkin setelah mereka hidup bersama sudah berbelas tahun.

“Jangan cakap kami macam tu, bang,” ujarku lembut. Aku renung ke dalam anak matanya, meraih simpati jika masih bersisa.

“Kami tak salah. Arwah ayah pun tak salah. Mak kata dia kahwin dengan perempuan tu. Mereka tak bersedudukan. Hubungan mereka halal,” sambungku lagi.

“Yalah tu. Semua orang kampung dah tahulah yang keluarga kau ni memang keturunan penzina. Kalau kata ayah kau tu tak macam tu, ni perempuan ni…” Abang Zali mula menolak bahu Kak Anah dengan hujung jarinya.

“…tak berzina ke dulu sampaikan aku yang kena bertanggungjawab?” jerkahnya lagi.
Mendengarkan kata-kata itu, Kak Anah terduduk di lantai. Dia mula menangis teresak-esak. Pedih hatiku melihatkan kakakku sendiri dihina dan diherdik di depan mata sedangkan aku tidak mampu berbuat apa-apa.

“Memang salah Kak Anah masa tu, bang. Tapi, kami tak pernah memaksa abang nikahi dia. Abang yang nak, kan dan abang jangan tak tahu, bila Kak Anah keguguran dulu, Fiah nampak apa yang sebenarnya berlaku.”
Masih jelas di mataku yang Abang Zali menendang perut Kak Anah sewaktu mereka baru-baru berkahwin dulu hinggakan kandungan itu keguguran. Mata Abang Zali bulat.

“Oh, jadi sekarang kau nak ugut aku pulak la ni, Fiah?” tengkingnya padaku.

“Fiah tak ugut tapi Fiah katakan yang benar. Fiah nampak masa tu.”

“Kalau kau suka sangat berkata benar, kenapa kau tak cakap dekat mak kau yang kau tu bayar Ilham untuk nikah dengan kau walaupun sehari?” tekan Abang Zali lagi.

“Nak jaga maruah konon. Maruah siapa nak kau nak jaga Fiah? Maruah keluarga kau yang sememangnya dah tak bermaruah ni ke?” bentaknya makin kuat.

“Tolong, bang. Jangan jerit macam ni. Kita boleh cakap baik-baik. Fiah takut mak dengar,” rayuku kemudiannya. Abang Zali ketawa.

“Oh, takut mak kau dengar? Masa kau buat tu kau tak rasa takut? Aku nak je cakap dekat mak kau yang Ilham tu tinggalkan kau sebab kau main jantan lain. Apa nama jantan tu tadi?” Wajah Abang Zali mencemik.

“Fazlee, kan?” sambungnya pula. Sengaja dia tekan nama itu. Terasa perit telingaku mendengarnya.

“Fiah tak ada apa-apa dengan dia tu, bang. Abang tak boleh nak fitnah Fiah macam ni sedangkan abang tak tahu apa-apa.”

“Fitnah apa, Fiah?” jerkahnya.

“Fitnah apa kalau aku dah dengar dengan telinga aku sendiri? Kau jangan nak cakap kau sedang buat drama pulak dengan kakak kau ni,” herdik Abang Zali terus.

“Abang tak tahu apa-apa tentang keluarga kami selama ni, bang. Jadi saya mohon pada abang, abang jangan beritahu perkara ni pada mak. Kesianlah dekat adik saya ni, bang. Dia dah cukup menderita,” rayu Kak Anah pula.
Dia sudah menyeret lututnya mendekat pada Abang Zali. Dipautnya kaki itu erat. Tidak mampu melihat semua itu, aku larikan wajahku ke lain. Mencuba sedaya upaya agar air mataku tidak gugur lagi.

“Arhhh…” bentak Abang Zali.
Tubuh Kak Anah dikuis dengan kaki. Betapa terhina rasanya kami dengan perbuatan Abang Zali. Semakin hari semakin melampau. Tidak sanggup melihat kakakku terus berpaut pada kaki lelaki itu, aku dekati tubuh itu perlahan-lahan. Menariknya menjauh sedikit dari suaminya itu. Bimbang juga andai dia di sakiti lagi.

“Mari kak,” ajakku dalam pada menahan sebak yang mula menggigit hati.
Kak Anah bangkit bila aku menariknya dan aku membawa tubuh kurus itu duduk di sofa. Kemudian, aku dekati Abang Zali yang masih setia dengan sengihan sinisnya padaku.

“Abang boleh kata apa saja tentang saya. Tapi, abang tak boleh nak kata macam tu pada keluarga saya yang lain. Dan saya mohon pada abang, jangan sesekali abang buka cerita ni pada mak saya. Saya tak nak mak tahu,” ujarku separuh berbisik.

“Kau nak bagi apa dekat aku kalau aku ikut permintaan kau ni?”

“Apa saja. Fiah akan bagi apa saja yang abang nak,” janjiku pada dia.

“Aku ingat janji kau ni Fiah. Kalau kata kau mungkir janji, aku tak teragak-agak nak canang kat semua orang pasal kau ni. Kena tinggal dengan laki lepas sehari nikah. Memanglah kau bodoh!” Abang Zali ketawa dan terus berlalu.

Tubuhku longlai rasanya lalu aku terduduk di lantai. Rasa sesak nafasku kini namun seboleh-bolehnya aku harus berkeras dengan diri sendiri. Jangan ada walaupun setitis airmata gugur lagi. Aku tidak sudi. Benar-benar tidak sudi.
Bahuku dipaut Kak Anah lebih erat dan tanpa ku sedar, rupanya ada mata yang sedang melihat ke arah kami dengan airmata yang meleleh laju di pipi. Amira!

“Ayah jahat!” ujarnya tiba-tiba.

“Kenapa ayah macam tu?” tanya dia lagi bersama esakan.
Kami benar-benar terlupa akan dua beradik itu yang mungkin melihat segalanya dan ternyata, Amira sedang memerhatikan.


“Sini, Mira.” Kak Anah menggamit anaknya.
Si anak berlari laju rebah di ribaanku. Menangis teresak-esak bagaikan mengerti akan kedukaan aku dan uminya.

“Mira benci ayah! Ayah jahat.” Dia mula mengongoi.
Kak Anah juga makin lebat air matanya. Hanya aku yang masih cuba membendung air jernih yang sedang menari di tubir mata agar tidak terus jatuh. Cukuplah aku menangis kerana aku perlu menyapu air mata orang lain yang lebih aku sayangi dari diri sendiri.

“Jangan cakap macam tu, Mira,” tegurku lembut.

“Dia ayah Mira. Tak baik, nak,” sambungku lagi. Rambut hitam lebat itu aku belai lembut.

“Tapi, ayah jahat. Dia buat umi dan Ucu.” Amira terus menangis.
Ya, dia memang pintar. Rasa menyesal benar bila bertekak di rumah Kak Anah sedangkan kedua anak buahku ada bersama.

Kini, apa yang aku takuti hampir terjadi bila Amira sudah mengungkap kata-kata benci terhadap ayahnya sendiri. Sama seperti aku dahulu. Yang membezakan hanyalah dendamku pada arwah ayah yang baru ku leraikan dan kebencian Amira kerana sikap ayahnya yang sedang menangguk di air yang keruh.

“Jangan cakap macam tu, nak. Tak baik,” ucap Kak Anah pula dalam tangisan.

“Fiah takut, kak,” gumamku pada kakakku ini. Memaksudkan rasa takut andai Amira menjadi seperti aku.
********
PINGGAN nasi itu aku pandang lama. Rasa sukar benar hendak ku telan. Perit tekak.

“Kenapa main kuis-kuis je nasi tu, Fiah? Macam tak selera je.” Teguran mak membuatkan aku angkat wajah menentang mata tua itu. Dia nampak risau.
Senyuman lebat aku ukir buat mak agar gusarnya hilang. Perlahan-lahan aku menggeleng.

“Fiah penat sikit, mak.”

“Tadi, mak nampak Fiah keluar daripada rumah Kak Anah? Ke Fiah gaduh dengan Zali lagi?” tebak mak.
Bibirku menguntum senyum. Aku geleng menidakkan hakikat lagi. Terus membiarkan malaikat penjaga mencatat di bahu kiri tanpa mampu aku lakukan apa-apa. Hanya hati yang terus menangis dan menangis.

“Fiah dah tak ingat lagi benda lama tu, mak. Lagipun, Abang Zali tu macam dah baik je dengan Fiah.”
Wajah mak berkerut. Dia menyuap nasi ke mulutnya dan tersenyum tipis. Senyuman yang sedikit mengejek.

“Baguslah kalau Fiah rasa macam tu. Ni mungkin berkat Fiah dah jadi isteri orang. Makanlah sikit, nak. Mak tahu Fiah risaukan Ilham tu. tapi, kan dia dah janji nak balik jemput Fiah.”

Pedih benar telingaku bila mak berkata demikian tapi harus bagaimana aku ungkap kebenaran. Tidak sanggup aku melihatkan air mata mak menitis lagi. Benar-benar tidak mahu. Aku mahu wanita kesayanganku ini terus tersenyum hingga ke akhir hayatnya. Cukup sudah dia menderita.

“InsyaAllah, mak,” akuinya akhirnya.
Sudahnya, makan malam diam saja. Mujur juga aku terus keluar daripada rumah Kak Anah tadi. Andai tidak, tentu ditangkap oleh mak.

Aku angkat pinggan ke sinki tanpa dapat aku habiskan makanan yang masih bersisa. Aku lihat mak senyum dan dapat ku telah apa yang tersembunyi di sebalik bibir mekar itu.
Bila aku sedang ralit membersihkan pinggan mangkuk, telefon rumah berdering. Aku pandang mak dan dia pandang aku.

“Biar mak jawab.” Selepas itu dia bangkit mendaki tangga ke atas.
Perasaanku pilu. Rasa perlu saja berterus terang pada mak sebelum perkara yang lebih teruk terjadi. Aku bimbang, andai mak dapat tahu semua ini bukan melalui mulutku, akan adakah kemaafan buatku nanti?

“Fiah,” seru mak selepas seketika. Aku kalih dengan tangan yang masih basah dengan air sabun dan pinggan yang masih di tangan.

“Telefon untuk Fiah,” beritahu mak.

Aku jungkit kening. “Siapa?”

“Adik ipar Fiah. Tapi, mak lupa dah nama dia.” Kata-kata mak membuatkan aku lebih terpana.
Izham kah? Atau Iqram kah? Tapi, tak mungkin. Malas hendak bersoal jawab tanpa jawapan, aku terus basuh tangan dan terus menuju ke atas.

“Ya, Fiah ni,” jawabku selepas melekapkan gagang telefon ke telinga.

“Iz call handphone Fiah tak dapat. So, Iz call rumah. Mengganggu ke?” Suara Izham jelas di hujung talian.
Seperti yang ku duga, mestilah dia kerana Iqram tak mungkin menghubungiku kerana kami tidak serapat mana. Dengan Izham juga begitu tapi aku tidak tahu kenapa dia menelefonku.

Terngiang-ngiang juga suara Puan Insyirah dan kawan-kawan pejabat tentang perasaan Izham padaku dulu tapi aku tidak mahu mengusutkan keadaan dan sudahnya aku hanya menganggap dia benar-benar mahu bertanya khabar kerana pada hari pernikahanku dengan abangnya, kami langsung tidak sempat bertegur sapa.

“Fiah tengah makan tadi dengan mak. Telefon dalam bilik, tak dengar la pulak. Maaflah, ya?”
Izham diam. Hanya helaan nafasnya yang sesekali ku dengar agak keras.

“Kenapa Iz call Fiah ni?” tanyaku kemudiannya.

“Saja, nak tanya khabar. Lagipun, mama dah bersungut suruh Abang Am jemput Fiah balik,” jawabnya tenang.
Jemput aku balik? Hatiku ketawa. Bibir ini menggariskan senyum sinis buat diri sendiri. Sesuatu yang tak mungkin akan berlaku lagi.

“Err, Fiah boleh balik sendiri. Lagipun, Fiah dah cakap dengan Am, tak payah jemput Fiah,” bohongku lagi.

Izham mendengus kasar. “Kenapa Fiah suka bohong sekarang?” tanya dia lagi.
Bulat mataku. Terkejut benar bila dia berkata demikian.

“Kenapa Iz cakap Fiah macam tu?” Aku sudah tidak sedap hati. Risau juga andai Ilham terlepas cerita pada adiknya ini.

“Ingat tak, Uncle Azhan pernah cakap masa majlis IF Group dulu, Fiah bukan pandai menipu pun,” sela Izham kedengaran sinis di telingaku.

Aku terngadah. Peristiwa di mana aku mendapat tahu segala rahsia tentang Ilham Fitri. Malam yang penuh dengan kejutan tapi masih mampu aku merasai bahagia waktu itu biarpun bibir menidakkannya.

“Err, Fiah tak faham Iz cakap apa,” dalihku buat-buat tidak tahu.

“Tak apalah. Iz Cuma nak cakap, kami kat sini semua rindu Fiah” beritahuku lancar.

“Fiah juga rindukan semua orang,” sahutku pula.
Ya, aku rindukan semuanya. Semua yang pernah terjadi dalam sekelip mata itu. Semua yang aku lalui bersama Ilham. Kemesraan dan usikannya. Aku rindu dia. Rindu juga pada Faralina yang sudah lama terputus hubungan denganku, rindu pada layanan baik Puan Insyirah yang kini bergelas mama mertua buatku dan rindu pada suami yang tidak sudi menerima diri ini.

“Lebih-lebih lagi Iz,” sambungnya tiba-tiba.

“Iz rindukan Fiah yang dulu.” Suaranya tegas saja. Langsung tidak beriak main-main. Bagaikan dia benar-benar memaksudkan. Aku kelu.

“Fiah, rindu…” Suara Izham mati di situ.

“Kau cakap dengan siapa tu, Iz?” Sayup-sayup telingaku dapat menangkap satu suara milik selain Izham.

“Err, Iz…” Klik!! Talian dimatikan.

Rasanya aku kenal suara itu biarkan agak sayup menjauh. Ilham Fitri!

~~~> bersambung. Saya akan up sampai Bab 40..alang2, saya genapkan..haha..enjoy..hehe

13 comments:

  1. saya suka baca kesemua crite RM.. best2 belaka.. kalau la sy blh beli novelni skrg... xsabar nak tau selanjutnya kisah ni.. anyway tahniah.. bila agaknya blh dpt kt pasaran ek?

    -RM jugak-

    ReplyDelete
  2. sememangnya tertunggu2 terbitnya novel ini.....kapaaaaannnnnn......

    ReplyDelete
  3. my God bila novel ni nk release rehan...dh nk pecah rasa dada ni huhuhu -liyahuma-

    ReplyDelete
  4. alahai...cepatla bagitau bila dipasaran..akak nak book kat adik..with signature U of course..rasa sayu pulak bila membaca perjalanan hidup minah ni..banyak betui dugaan..apa pulak..ek..kisah mamat poyo tu..tak rindu kat bini dan apa perasaan dia bila dpt tahu adik dia ada hati kat bini dia..mamat poyo tu tak cari ke Fazlee dan titik dia hidup hidup
    Salam kak idA

    ReplyDelete
  5. yehaa smpai 40..thanks RM ;)
    yg pasti, novel ni bakal dibeli nt..xsabarnye

    ReplyDelete
  6. thanz writer..
    bes citer dia, xsbor nk tungu beli buku dia...
    nanti bgtau la ble keluar d psaran..

    ReplyDelete
  7. Terima kasih RM. Dapat jugak ubat rindu kat Fiah. Kesian Fiah. Sedihnya....Tinggi benar ego Am.

    Macam mana sabarnya Fiah, mcm tu la kena bersabar nak tunggu cite TK siap dan dibukukan. Nak booking siap2 nih!

    Thanks RM. Selamat Hari Raya Haji & take care!

    ReplyDelete
  8. kak rehan bwtkn mata saye bnjir mlm nie!!
    huuaarrghh ksian fiah...
    bila dia nk baik dgn am??
    smbung la lg n3 nie!
    *cik fieqah*

    ReplyDelete
  9. sedihnya n3 kali ni, kesian dgn Fiah tak habis
    diduga. Tabahkanlh hatimu Fiah setiap dugaan tu
    mungkin ada hikmah disebaliknya. tak sabar nk
    tunggu novel ni keluar dipasaran.

    ReplyDelete
  10. tertinggal byk bab la kak RM...sy nak tggu novel je lah.....hehehe

    ReplyDelete
  11. Ya Allah,, sumpah ckp,,
    hati sy berdebar gila bace TK nieh..
    kak,,, tak sanggup nk bace dah..
    nak bace bab last...
    serius sedih kot.. kesian gila kat fiah..
    sampai hati Am buat fiah mcm tu..
    aishhh...

    SSG=)

    ReplyDelete
  12. apa next, wokes nak baca ni.hehe

    ReplyDelete
  13. interesting..tpi hati tertnye2..npe la bukn dgn izham..

    ReplyDelete