Wednesday, November 09, 2011

Terlerai Kasih 40

BAB 40

BEG galas Ilham aku letak di kaki katil. Sekali lagi berada di bawah satu bumbung malah di dalam satu kamar bersama lelaki yang tidak menyintaiku, benar-benar membuatkan aku sesak nafas.

Terpaksa membantalkan rancanganku hendak bertolak balik ke rumah sewaku pagi ini. Niat di hati, hendak terus memulakan kerja biarpun cuti masih seminggu berbaki.

“Aku terpaksa balik jemput kau. Bukan aku nak. Mama yang paksa,” beritahu Ilham padaku saat aku berpaling hendak keluar dari bilik.

“Okey,” balasku sepatah. Wajahnya langsung tidak ku pandang.

“Okey je?” tanya dia semula.

“Dah tu nak jawab apa. Saya tak tanya pun semua tu,” selaku dingin.
Tertanya juga pada diri sendiri, adakah aku sudah kembali menjadi Nur Wafiah yang lama? Ataupun sudah menjadi lebih teruk daripada dulu? Sedangkan aku tidak menginginkan begini.

Tapi, rasanya biarlah begini agar aku mampu menghadapi badai yang sedang dan bakal mendatang. Betapa sukar aku berubah tapi akhirnya kembali ke asal. Aku menggeleng. Rasa kesal dengan diri sendiri andai benarlah seperti yang ku rasa.

“Memang kau tak tanya, tapi aku nak kau tahu. Kau jangan ingat aku balik ni sebab kau. Semua ni sebab mama,” tekannya dengan suara yang keras.
Kali ini, aku berpaling memandang Ilham dengan wajah yang tidak beriak. Dia juga turut merenungku tajam. Menggambarkan kebenaran akan apa yang dikatakan di balik suram mata itu.

“Kalau macam tu, awak boleh balik. Whatever. As you wish.”
Ilham bingkas bangun. Daguku dipaut kasar. Terdongak wajahku menyaingi tubuh tingginya.

“Jangan berani sentuh saya!” bentakku keras. Jemari kasar itu aku tepis sekuat hati.
Aku pegang rahang yang terasa sengal. Entah bagaimana, aku sudah temui sedikit kekuatan. Mata Ilham bulat. Mungkin tidak percaya dengan tindakan beraniku sebentar tadi.

“Kalau awak nak datang jemput saya dengan cara baik, jawapannya adalah ya. Saya akan ikut awak dengan baik. Tapi, jangan ingat awak boleh sentuh saya sesuka hati,” tegasku.

Sekali lagi ku lihat wajah Ilham terpana seketika sebelum dia kembali tersenyum sinis.

“Aku ingatkan perempuan semurah kau ni boleh disentuh sesuka hati oleh mana-mana lelaki?” tanya dia.
Tersayat hati ini dengan kata-kata itu yang bagaikan belati. Menjadi racun kini sedangkan dulu ku rasakan bicara dialah penawar bagiku. Tapi, aku perlu pandai menguasai diri sendiri. Usah tewas di sini. Perjalananku masih terlalu jauh.

Belum terbias di mataku akan masa depan yang terlalu kabur. Aku perlukan ungkapan perpisahan itu daripada bibir Ilham agar senang aku membentuk kembali acuan perjalanan hidupku yang kini bagaikan ular dipalu. Beronak berliku. Penuh dengan duri.

“Ya, untuk orang lain. Saya relakan kulit saya disentuh. Tapi, dengan awak…” Aku pandang dia dari atas ke bawah dan kemudiannya aku menggeleng. Ada sengihan pada hujung bibirku. Sengaja aku sakitkan hatinya.

Hanya dengan cara itulah hatiku sedikit lega. Dendam? Dendamku kembali menebal. Kini, telah ku temui kekuatan di balik semua ni. Untuk apa menjadi sebaik-baik manusia sedangkan aku sering disakiti?

Akal waras menidakkan segalanya. Memintaku kembali pada qada dan qadar Allah tapi hati ini terus berapi dengan dendam. Tak mungkin ada lagi airmata. Yang tinggal hanyalah darah merah yang sentiasa mengalir dari hati yang terluka. Sudahnya, aku memilih untuk mengikut kehendak hati. Mencoretkan dosa lagi di sebelah bahu kiri.

“Kenapa? Orang lain tu bayar kau?” tanya Ilham dengan wajah yang merah padam.
Bibirku menguntum senyum. Terasa ada bunga cemburu pada wajah tampan lelaki yang entahkan bisa entahkan tidak untuk aku gelarkan dia suami.

“Tak payah bayar pun. Kalau dengan lelaki yang saya suka…” Aku matikan kata-kata di situ sebelum menyambung.

“…F.O.C. Free of charge. Dan kalau dengan lelaki yang saya tak suka, saya tak akan layan biar saya dibayar berjuta sekalipun.”
Ilham kepal penumbuk. Rahangnya turun naik. Nafasnya berubah kasar. Aku sengih lagi. Lebih sinis daripada tadi. Rasakan. Ejek hatiku.

Tombol pintu aku gapai. Malas hendak bertegang leher dengan lelaki seego ini. Sementara aku masih boleh mengawal rasa marahku, ada baiknya aku keluar menyediakan sarapan untuknya.

Isteri… Tidak dapat lari daripada kerisauan terhadap suami. Sudah makankah? Penatkah? Belum sempat aku memulas tombol pintu, Ilham terlebih dahulu menarik tubuhku daripada belakang dan melemparkan aku ke katil. Tepat di tengah-tengahnya.

“Apa ni?” tanyaku dengan suara yang masih mampu ku tahan nadanya. Geram betul diperlakukan demikian.

“Aku juga pernah jadi orang yang kau suka, kan? Dulu, aku pernah nak peluk kau, tapi kau halang. So, apa kata…” Ilham membuka t-shirt berkolarnya.

Jelas saja susuk tubuh sasa itu di depan mataku. Membawa debar yang hebat menghentak dada. Aku telan liur yang terasa kelat. Takut hendak menghadapi semua ini.

“… kau layan aku kejap. Tak dapat dosa. Dapat pahala lagi ada,” sambungnya yang sudah mula naik ke katil.
Pergelangan tanganku dipegang kuat. Sedaya upaya juga aku cuba meronta melepaskan genggaman Ilham. Aku tidak mahu begini. Bukan ini yang

sepatutnya. Sungguh aku tidak menduga, begini berani dia bertindak.

“Ilham, don’t. I am not yours,” halangku keras. Airmata sudah hendak mengalir. Takut menghadapi suami sendiri.

“Who say so? Who said you are not mine, Wafiah?” Wajahnya semakin dekat ke wajahku.
Mudah saja dia rapatkan dada bidangnya ke tubuhku pabila kedua belah tangan ini sudah tergenggam erat.

“Kau milik aku. Hanya aku yang berhak ke atas tubuh kau. Bukan dia,” bisik Ilham ke telingaku.
Dia? Aku tersentak dengan sepatah ayat itu. Aku tidak tahu siapakah yang Ilham maksudkan sebagai dia. Adakah mereka yang tak wujud yang telah ku ucapkan tadi?

Tudungku disingkap. Sama seperti waktu aku meletakkan syarat untuk dia mengahwiniku di dalam pejabatnya dulu. Bezanya, dulu haram dan kini halal segalanya. Tapi, perasaan mesra itu telah lama menjauh pergi.

Wajahnya sudah mendarat di sekitar leherku. Dia memainkan bibirnya di sekitar itu. Airmataku meleleh di hujung mata. Tidak mampu melawan. Bimbang dinding rumah kayu ini membawa berita kekeruhan rumah tangga kami ke telinga mak.

Lama bibirnya bermain di leher hingga akhirnya dia angkat wajah menentang mataku.

“Let me pay you after all this,” bisiknya lagi.
Telingaku dikucup lembut. Aku pejam mata rapat-rapat. Teramat pedih dengan kata-katanya. Diletakkan tanda harga oleh suami sendiri membuatkan hatiku menangis hiba. Tapi, aku tidak mahu kalah.

“Saya tak rasa awal balik ni semata-mata mama awak suruh, Ilham. Tapi, awak balik sebab nak tuntut hak awak daripada saya,” ujarku tiba-tiba. Sepintas lalu sahaja fikiran begitu singgah di minda. Lalu, terungkap sudah.

Serta-merta Ilham bangkit. Aku betulkan tudung sedikit dan turut bangkit. Berlalu dari katil bila Ilham diam tidak berkutik.

“Kenapa kau mesti jadi semurah ni, Wafiah?” tanya dia selepas seketika. Perlahan saja suaranya bagaikan bertanya lebih pada diri sendiri.

“Semurah mana pun saya, awak tak akan dapat beli saya dengan wang ringgit awak. Sampai bila-bila,” jawabku lantas menarik daun pintu. Berlalu ke dapur, meninggalkan Ilham bersama keluhan yang tidak berkesudahan.
*****
TUBUH tua emak aku rapati. Lalu aku peluk erat daripada belakang. Dia sedang mengacau air kala itu.

“Kenapa tak temankan suami Fiah je?” tanya mak.

“Kan dia baru sampai tu.”

“Tak apalah, mak. Fiah nak tolong mak. Dia berehat dulu tu ha. Lagipun, betullah yang Kak Anah cakap tadi. 40 minit je dalam kapal terbang. Dah sampai pun. Bukan macam kereta, berjam-jam,” jawabku. Membela Kak Anah dalam tidak sedar. Mak ketawa nipis.

Ya, memang jauh andai berkereta daripada Kuala Lumpur ke Kampung Pasir Puteh.

“Bila nak bertolak balik ni?” tanya mak lagi.

“Entahlah mak. Kami tak cakap pasal tu pun lagi.” Aku lepaskan pelukan lalu aku menarik teko kaca itu daripada tangan mak. Menatang teko itu ke meja makan.

“Hai, kemain lama dok berkurung berdua tak bincang pasal tu pun,” sela mak bernada usikan.
Aku ketap bibir. Pedih menerima butir bicara mak. Tapi, pedih lagi hati ini bila mak sudah teripu dengan wayang gambar lakonan kami.

“Mak faham. Suami isteri baru je kahwin, dah kena berpisah. Bila jumpa balik, mestilah nak lepaskan rindu,” sambung mak lagi lantas dia ketawa.

“Mak ni, ke situ pulak. Tak ada apa-apalah,” protesku lembut.

“Eh, kalau ada apa-apa pun apa salahnya. Kamu berdua dah sah. Lagipun, kalau betul tak ada apa-apa, kenapa tudung Fiah tu senget benget?”
Aku pantas memegang tudungku dan mengucap laju. Membetulkan apa yang patut. Terus aku menyumpah diri kerana cuai.

“Tudung tu elok je terletak. Yang Fiah gelabah nak baiki tudung tu kenapa? Ni mesti Ilham usik tudung tu, kan?” Emak terus mengusik dan hatiku terus mengeluh. Mak tak pernah tahu. Ujar hatiku pilu.

“Haish, mak ni.” Sengaja aku lunakkan suara agar mak tahu betapa bahagianya aku kala ini.

“Dah, pergi panggil Am sarapan. Mesti tak makan lagi tu.”

Aku mengikut saja arahan mak. Mendaki anak tangga dapur satu persatu menuju ke bilik. Hai, baru sebentar tadi aku tinggalkan lelaki itu dan kini perlu berdepan lagi dengan dia.

“Mak panggil makan,” ujarku sambil menjengukkan kepala ke dalam bilik.
Ilham langsung tidak memandang. Malah, ditarik bantal lalu ditekup mukanya. Eleh, cium bantal aku buat apa. Aku cebikkan bibir. Rasa menyampah pula.

“Awak tak nak makan ke? Mak saya dah siapkan makan ni,” ujarku sedikit kasar.

“Kalau awak tak nak makan, lain kali jangan menyusahkan orang!” tekanku agak kuat bila dia hanya diam tidak mempedulikan ajakanku.
Hatiku mendongkol geram dengan sikapnya yang memang sukar hendakku jangka. Marah sungguh rasanya.

Tubuh masih berada di balik pintu. Malas hendak masuk hingga ke dalam. Takut terjadinya kejadiaan yang seperti tadi. Sesungguhnya, aku rindui dia. Rindui sentuhan dan belaian mesra daripada dia tapi bukan dengan cara tadi. Cara yang membuatkan aku turut membalas dengan menyerang psikologinya. Menjadi terlalu celupar berbicara dengan suami sendiri. Tapi, masih layakkan dia ku gelar suami selepas apa yang dia jatuhkan buatku?

“Yang Fiah terjengul kat pintu ni kenapa?” Aku tersentak dengan sergahan mak yang tiba-tiba.
Pantas aku mengusap dada. Dalam hati tidak lain dan tidak bukan, sekadar bermohon agar mak tidak mendengar bicara kesatku pada Ilham sebentar tadi.

“Cuba masuk dekat, kejutkan dia elok-elok kalau dia tertidur ke. Kamu ni…” tegur mak. Aku sengih sumbing. Menggaru pipi yang tidak gatal.
Pintu bilik aku tolak sedikit. Cukup untuk tubuhku melepasinya. Ekor mata menjeling ke arah mak yang terpaku di belakangku.

“Abang, bangun bang. Mak dah sediakan sarapan ni. Nanti abang tidur balik,” ujarku berdrama.

Mak tersenyum dan terus berlalu. Aku merapatkan daun pintu dan rapat ke katil. T-shirtnya tadi yang sekadar terdampar di lantai, aku kutip lalu aku letak di sisinya yang sedang berbaring.

“Ilham, bangun boleh tak? Kalau kata awak tak sudi nak tengok muka saya pun, hargai sikit penat lelah mak saya tu,” marahku dengan suara yang perlahan.
Saat ini, rasanya aku mahu segera keluar daripada rumah mak. Tak sanggup lagi hendak menipu orang tuaku. Berbohong dalam setiap kata dan tingkahku bersama Ilham tatkala di depannya. Aku letih.

Bantal yang menutupi wajahnya aku tarik. Kini, wajah tampan itu jelas tenang di depanku. Dengan helaan nafas halus dan dada yang turun naik. Rupa-rupanya dia sudah terlena.

Dalam hati, bersyukur jua. Aku pasti yang dia tak kan mendengarkan tutur mesraku sebentar tadi. Sesungguhnya, aku tidak sudi hendak memanggilnya begitu selepas hari pernikahan kami. Biarpun sekadar lakonan, aku jua tetap tidak sudi dan sudahnya, aku menapak keluar selepas merapatkan pintu dengan perlahan agar tidurnya tidak terganggu.

Jauh di dalam diriku, ada juga rasa terharu yang menujah hati. Mahu ku tangiskan akan pertemuan ini sudah tiada beerti. Kerana Ilham sendiri telah tekankan hakikat kedudukan aku di sisinya. Andai bukan kerana mamanya, Puan Insyirah, pastilah dia tidak di sini.

“Mana Am?” tanya mak bila aku melabuhkan duduk di kerusi.

“Terlena. Dah kejut tak nak bangkit,” jawabku tenang.

“Mana ada dia kejut mak. Dia nak sentuh Am pun segan-segan. Nasib baik Am buat-buat tidur je.”
Aku telan liur bila melihatkan Ilham sudah menuruni anak tangga. Lalu mengambil tempat di sisiku. Sengaja dia lingkari tangannya ke bahuku di depan mak.

“Haa, Fiah tak kejut dia rupanya. Pandai Fiah tipu mak, ya?!” usik mak.
Terkedu aku mendengarkan perkataan tipu itu. Pedih rasanya di hulu hati. Memang sekarang ni Fiah sedang menipu mak. Ujar hatiku pedih. Aku menekur pandangan ke meja. Menghadap nasi goreng yang berada di depan Ilham. Hati dan jiwaku sudah melayang. Entah ke mana. Andai aku mampu menangis lagi.
Ilham tenang saja menyuakan suapan demi suapan ke mulutnya. Wajahnya langsung tiada riak bersalah.

“Fiah tak nak makan sikit ke?” Soalan mak hanya menerima gelenganku sebagai jawapan..

“Makanlah sikit, teman suami. Pahala ganjarannya,” pancing mak lagi.

Pinggan disuakan ke arahku lalu aku sambut dan menyenduk sedikit nasi ke dalam pinggan. Menyuakan juga suapan ke mulut untuk menemani Ilham biarpun perut ini sudah penuh benar. Baru saja bersarapan pagi tadi.

“Sedap nasi goreng ni, mak,” puji Ilham cuba memeriahkan suasana yang sepi sejak daripada tadi.

“Bukan mak goreng pun…” Mak senyum.

“Habis tu siapa?” tanya Ilham lalu dijeling ke arahku bila mak angkat keningnya padaku.

“Isteri Am yang goreng.”

“Untung Am mak, dapat isteri macam Fiah ni. Pandai masak, pandai jaga hati Am selama ni.” Ilham berkata penuh makna.
Dia ku pandang sekilas dan tertanya dia juga sedang merenung ke arahku. Mak ketawa kecil.

“Bila kamu berdua nak bertolak balik ni? Kalau kata penat hari ni, singgahlah dulu beberapa hari. Lagipun majlis menyambut hujung minggu ni, kan. Kalau kata tak sempat, boleh balik terus. Mak tak halang.”

Ilham menyiku lenganku tanpa menjawab soalan mak. Dia memuncungkan bibirnya ke arah air milo yang di dalam teko. Aku cepat saja mencapai cawan dan terus menuangkan air itu lalu aku sua ke depannya.

“Am ingat nak gerak malam ni juga, mak. Kesian mama uruskan sorang-sorang. Kebetulan Aunty Seri ada tempahan lain. Takut juga tak menang tangan je nanti,” beritahu Ilham. Dia meneguk air dari cawannya perlahan.

“Am nak yang terbaik untuk majlis kami, mak. Sebab Am akan pastikan ini akan jadi kenangan yang tak akan Fiah lupakan seumur hidup kami,” sambung Ilham penuh makna.

Aku senyum segaris. Memang tak akan aku lupakan. Malah hingga kea lam barzakh aku ingin menjadi milikmu.

“Untuk Fiah dapat suami macam Am ni. Mak berterima kasih sangat sebab Am sudi terima kekurangan Fiah dan keluarga ni.” Suara mak syahdu.

“Mak…” seruku sedikit keras.

“Jangan sebut lagi perkara dah lepas. InsyaAllah, Fiah akan hidup dengan bahagia. Mak jangan sedih-sedih, ya.”

“Yalah, kita tak usah ungkit lagi. Makanlah, Am. Fiah temankan. Mak nak ke atas kejap.” Mak bangkit lalu berlalu menjauh daripada kami.

Pinggan nasi yang tidak berusik itu aku tolak ke depan. Tidak langsung berselera. Kebetulan juga, perutku masih terasa penuh. Biarlah, lagipun mak sudah tiada di depan kami.

“Kenapa tak makan? Tak ada selera makan dengan aku?” Ilham bertanya sinis.

“Saya bukan tak ada selera. Tapi, perut ni dah kenyang. Kalau kata lapar, dengan sesiapa pun saya makan.”
Tubuh aku angkat hendak berlaku ke sinki bila aku kembali terduduk bila Ilham menarik lenganku memaksa aku duduk di sebelahnya lagi.

“Kenapa pulak ni?” tegurku.

“Kau tak dengar ke mak kau cakap apa tadi?”

“Cakap apa?” Aku sudah mula buat muka. Geram sungguh dengan sikapnya. Kalau benci, usahlah mengada-ngada begini.

“Kan mak kau cakap tadi, teman suami makan, pahala ganjarannya. Atau kau lebih suka teman orang lain yang haram daripada temankan suami kau yang halal ni?”

Aku tarik lenganku yang masih dicengkamannya. Anak mataku tajam menikam matanya. Rasa mahu saja aku cakar wajah itu dengan garpu.

“Kita dah tak ada apa-apa. Hubungan ni untuk mata umum saja. Sepatutnya awak dah lafazkan cerai pada saya seperti mana yang telah kita persetujui sebelum kita nikah. So, sekarang ni. Tak ada istilah suami atau isteri. Pahala atau dosa. Ingat sikit, apa yang awak dah buat pada saya, Ilham,” tekanku separuh berbisik.

Pinggan kotor itu aku angkat jua ke sinki. Malas hendak duduk rapat padanya. Takutkan hati sendiri, andai berubah lagi setelah puas dilukai.

“Selagi aku tak jatuhkan talak, hukum tetap mengatakan kau isteri aku, Wafiah!” tekan Ilham juga dengan nada yang perlahan.
Aku pusingkan tubuh menghadapnya setelah meletakkan pinggan kotor di sinki.

“Hukum, ya! Masyarakat pun, ya! Apatah lagi di pandangan Allah, juga ya. Tapi, dalam hati saya ni, tidak. Saya bukan isteri awak. Awak tu cuma pemiutang saya dan saya akan jelaskan segala hutang saya pada awak yang masih berbaki tu secepat mungkin,” jawabku lalu menapak ke arah anak tangga.

“Dan selagi kau tak selesaikan baki hutang kau pada aku, selagi itu aku akan tak akan biarkan hidup kau tenang, Wafiah.” Wajah Ilham keruh. Matanya tajam mencerlung ke arahku.

Segaris senyuman aku hadiahkan buatnya. Aku angguk mengerti dan mahu menapak anak tangga. Belum sempat aku mendaki anak tangga terakhir, telingaku menangkap pinggan yang jatuh ke lantai. Pecah berderai. Dan tangannya sudah merah dibasahi darah.

~~~> bersambung

17 comments:

  1. alah baru nk mntak lbih skit..hehehe..
    best..luv u...thanks..=)

    ReplyDelete
  2. sambung lg........

    ReplyDelete
  3. wahhhh...teruja betul nk taw ni..adess...sabar jer lah..

    ReplyDelete
  4. kak..agak2 bile version cetak kuar ek?

    ReplyDelete
  5. bagi lah sikit lagi....
    Sampai Ilham tahu cerita Wafiah yang difitnah ke??
    sian kt Wafiah..... sedih...
    kita nak bagi Wafiah kuat semangat ja....

    ReplyDelete
  6. hai..baru jumpa blog awak..dalam masa 3 jam habiskan baca novel terlerai kasih ni...sangat2 best...suka sangat baca,dan semakin geram pula dengan si ilham..congrates ekk lau dpt ke versi cetakkk...pasti saya akan beli novel awak nanti XD

    ReplyDelete
  7. baru baca cite ni... serius dah bengkak mata ni nangis... sedih ngan nasib fiah n rasa marah pada ilham yang egois... geram pun ada bila fiah menyerahkan takdir hidupnya semata2... sepatutnya dari awal fiah xterima zura kerja ngan dia, xplain tentang fazlee pada ilham, berterus terang pada family dia...maka banyak masalah yg boleh dielakkan...4me..fight selagi kita berada d landasan yg betul...
    by the way.. congratz to u writer.good job...

    ReplyDelete
  8. apa terjadi dik..kenapa tangan mamat poyo tu berdarah..Jangan ada benci dalam hati mamat poyo tu kat minah ni..aduhai..sukarnya nak melakar bahgiakan..ini semua salah mamat poyo tu..hanya kerana cemburu yg melampau dan ego..yg melangit..menyebabkan rumahtangga yg belum dibina..rebah..
    Adik da boleh order ke citer ni..mesti angau..kan novel ni..adik..oooi...
    salam kak idA

    ReplyDelete
  9. aduhh...tgh excited bce nii..tbe2 jek pggn jatuh..knape agknyer..

    ReplyDelete
  10. bukan tangan mamat tu yang berdarah tapi tangan mak fiah kut.sebab mak dia dengar perbualan dia org.

    ReplyDelete
  11. Tak sabarnya nak tggu sambungannya....RM plessss la tambah n3 lagi...suspen betul dah ni....Citer ni mmg sgt best...teruskan usaha RM menulis ye...tak perlu ambil pot dgn pdgan negatif sesetgh reader...anggap ia satu cabaran...

    ReplyDelete
  12. akak,lg la...plis2!!!smpai bab 41!!nk tw pe jd kt am...bole la bole la!!!

    ReplyDelete
  13. alahaiii! RM congrats! best sgt2.. tak sabar tunggu novel!

    ReplyDelete
  14. nk lg... bley r... nk tou tgn sape yg brdrah.. plish3... fiqa

    ReplyDelete
  15. kata yg kluar dr mulut xselari dgn yg dihati...
    setiap kata fiah mmbuat am panasaran...
    ingat am fiah prnah mnjadi batu,jgn sampai hati fiah keras lbh dr dulu...
    fiah psti akn buat am lbh mnderita...
    "jgn mudah kata maaf takut satu hari nanti maaf tu takde nilainya"....
    ini yg akak tggu..fiah berdendam...
    jgn bg fiah lmbut hati..akak xsuka!!!!!!!!

    ReplyDelete
  16. suka berdrama la ilham ni.sakit hati.sian fiah

    ReplyDelete