Friday, November 11, 2011

Terlerai Kasih 42

BAB 42

MAK kurang setuju bila kami ingin bertolak usai Zohor nanti. Bimbang melihatkan Ilham yang masih nampak kepenatan. Tapi, aku pula tetap nekad hendak pulang ke Kuala Lumpur hari ini juga. Lagi cepat lagi baik kami berdua meninggalkan rumah mak.

“Lagi cepat kami keluar daripada rumah mak lagi baik, kak,” beritahuku pada Kak Anah sewaktu kami sama-sama memasak untuk makan tengah hari.

Andai ikutkan hatiku dan Kak Anah, malas hendak memasak untuk perut Ilham dan Abang Zali tapi, arahan mak tak mungkin kami bantah. Niatnya suci hendak makan bersama anak dan menantu serta cucunya.

“Ikut suka kamulah, dik. Yang mana Fiah rasa baik, baiklah juga pada akak,” balas Kak Anah pula.

“Ni akak nak tanya, berapa banyak kamu bagi Abang Zali nak suruh dia tutup mulut?”

Mata Kak Anah aku pandang lama. Takut hendak menyatakan amaun yang telah aku hulurkan sebagai rasuah untuk menjaga rahsia besarku ini daripada sampai ke telinga mak dan orang kampung.

“Err, sikit je kak,” dalihku.

“Sikit ke tak, akak tak tanya Fiah. Akak tanya berapa banyak. Akak nampak senyum dia lain macan je. Akak memang tak sangka sampai tahap ni dia berani.” Kak Anah geleng kesal.

“Err, dua ribu je, kak,” ujarku takut-takut.

“Dua ribu?!” Mata Kak Anah bulat.

“Dua ribu tu kau cakap sikit, Fiah?” Kak Anah sudah mula meninggikan suaranya.

“Kak, perlahan sikit boleh tak?” tegurku dengan muka yang masam.

“Dengar kat mak nanti. Maut Fiah.”

“Patutlah sengih Abang Zali tu melebar semacam je. Tapi, akak tak setuju Fiah buat macam ni. Fiah bukan tak kenal Abang Zali. Hari ni dia minta banyak tu, esok lusa dia akan minta lagi. Masa tu mana Fiah nak cakau duit? Fiah jangan kata Fiah ada duit lagi, lepas bagi pada mak dengan Abang Zali dan bayar duit Ilham 10 ribu tu. Fiah memang dah tak ada simpanan langsung dah, kan?”

Kakakku ini menunjukkan kerisauan yang amat. Tapi, padaku pula duit bukan menjadi hal. Dengan statusku sebagai akauntan, aku masih mampu mencari simpanan yang lain. Bagiku, senyuman dan kebahagiaan mak lebih penting.

“Kak, biarlah. Selagi Fiah mampu bayar dia untuk tutup mulut, Fiah akan lakukan. Apalah sangat dengan duit tu andai nak dibandingkan dengan mak kita. Kan Fiah dah pernah cakap, kebahagiaan Fiah pun Fiah sanggup jual untuk pastikan mak bahagia,” jawabku, mengulang sekali lagi pendirianku yang pernah Kak Anah pertikaikan.

“Memang mak dah banyak berkorban untuk kita, Fiah. Tapi, akak juga sedih tengok Fiah macam ni. Bila penderitaan kamu nak berakhir, Fiah?”


Aku jeling Kak Anah yang sudah mula mahu berdrama air mata.

Bibirku menguntum senyum. Senduk di tangan aku letak di atas piring di tepi dapur. Perlahan-lahan aku paut lengannya.

“Kak, jangan risaukan Fiah, ya! Fiah mampu harungi semuanya. InsyaAllah lepas, hal antara Fiah dengan Ilham selesai, Fiah akan mulakan hidup baru. Akak tu, Fiah mohon, jaga Amira dengan Amir baik-baik. Bagi mereka cukup kasih sayan dan perhatian. Jangan biar budak berdua tu jadi macam Fiah,” pesanku ikhlas daripada lubuk hati yang paling dalam.

Tinggi impianku hendak melihat dua orang anak buahku itu Berjaya satu hari nanti. Hidup dalam keluarga yang harmoni maka sebab itulah, aku lebih rela beralah dengan Abang Zali. Beralah tak semestinya aku kalah.

“Fiah ni tak pernah berubah. Dari kecil sampai besar, selalu fikirkan orang lain. Sampai sanggup gadai kebahagiaan sendiri,” balasnya dengan senyuman tawar. Pipiku dielus lembut dan aku kembali ketatkan pautan pada lengannya.

“Setidak-tidaknya akak kena bersyukur sebab Fiah tak gadai tubuh ni… Fiah gadai kebahagiaan je,” gurauku. Aku ketawa kecil. Rasa lucu pula.

“Kamu ni, menjawab ya.” Mata kakakku bulat.

Dia cubit lenganku sikit. Aku juga menjerit manja. Terasa ada bahagia yang menyelinap ke dalam urat sarafku kala ini. Bahagia ada kakak yang mengerti biarpun dia tidak mampu membantu.

“Kebahagiaan tu bukan milik kita. Semua tu anugerah Allah. InsyaAllah satu hari nanti, mudah-mudahan Allah berikan Fiah secubit bahagia sementara Fiah bernyawa ni,” sambung serius.

“Akak doakan yang terbaik buat Fiah,” sahutnya pula.

“Hai, mesra betul semenjak dua menjak dua beradik ni,” tegur mak tiba-tiba.

Kami sama-sama kalih pada mak yang sedang memasuki rumah dengan pucuk ubi kayu di tangannya.

“Dah nama pun adik beradik. Mestilah mesra, kan kak?!” Aku angkat kening pada Kak Anah dan dia tersenyum tawar.

“Seronok mak tengok kamu berdua ni dah bahagia dengan kehidupan masing-masing,” ucap mak sambil meletakkan pucuk ubi itu di dalam sinki.

Kak Anah tunduk. Air matanya bergenang. Cepat-cepat aku geleng kepala padanya dan dia terus berlalu ke bilik air.
Selepas Kak Anah hilang di balik pintu bilik air, aku terus dapatkan mak yang sedang menjerang air. Mahu dicelur pucuk ubi itu.

“Siapa nak makan pucuk ubi ni, mak?” tanyaku mengubah topik.
Tidak mahu perihal kebahagiaan kami dibualkan oleh mak. Mungkin mak nampak Kak Anah bahagia sejak akhir-akhir ini kerana Abang Zali tidak lagi bertempik kuat dan aku juga bahagia bila Ilham melayaniku dengan baik di depannya sedangkan hakikat tidak begitu.

Kak Anah masih terluka malah makin bernanah agaknya luka di hatinya itu dan aku sendiri, semakin tersepit di antara cintaku pada Ilham yang tidak dihargai dan juga maruah diri serta keluarga yang ingin aku pertahankan.

“Siapa lagi. Menantu baru mak tu lah,” jawab mak ceria.

Wajahku dah berkerut. Macam tidak percaya dengan apa yang mak cakapkan. Memang sukar akalku nak terima kata-kata mak itu.

“Eh, mak ni main-main pulak. Bila macam Ilham cakap dia nak makan pucuk ubi celur ni pulak?”

“Masa dia telefon mak semalam tu. Dia cakap kalau dia balik lain kali dia nak makan pucuk ubi celur dengan sambal air asam. Tu yang mak buat dah alang-alang dia sampai hari ni.” Mak kerling kepadaku bersama senyuman dan aku diam saja menerima jawapan mak.

Pandai pula Ilham meminta daripada mak sedangkan dia akan berlalu pergi jua daripada keluarga kami suatu hari nanti. Tinggal cepat dan lambat saja. Tanpa sedar aku mengeluh. Lelah jasadku sebenarnya.

“Kenapa mengeluh?” tanya mak.

Aku geleng kepala. “Tak ada apalah, mak. Nah tutup periuk, bagi cepat mendidih air,” ujarku berhelah.

“Fiah ni kenapa? Sejak balik cuti ni mak rasa lain macam je. Sejak dari belum kenduri lagi, mak dah perasan Fiah agak berubah sikit.” Mak sambut tudung periuk yang aku hulurkan. Dia berlalu pula ke sinki.

“Berubah yang macam mana pulak? Mak ni, macam-macam,” dalihku lagi. Tawa kecilku meletus. Seperti biasa, tawa yang dibuat-buat.

Mak kalih memandangku dan aku tidak mampu lagi memandang mata mak dengan mataku yang penuh dengan penipuan ini. Aku mendekat pada rak pinggan dah aku capai mangkuk, hendak di isi kuah lemak kuning ikan kering dan nenas itu untuk dihidangkan.

“Mak rasa je. Takut salah, lebih baik mak tanya Fiah. Dah Fiah kata tak ada apa-apa, Alhamdulillah la. Mak lagi senang hati,” ujar mak lembut.

“Tapi, kalau kata Fiah diduga satu hari nanti, mak mohon pada Fiah. Mak tak nak tengok Fiah berubah menjadi pendendam macam dulu. Tak elok, nak. Kalau kata mak tutup mata sekalipun, mak tak nak Fiah jadi macam dulu,” tekan mak lagi.

Pandanganku pantas aku bawa menghadap mak. Mangkuk kaca itu aku letak di atas meja makan. Tubuh yang sedikit rendah daripadaku itu, aku paut lembut. Memeluknya erat bagaikan aku tidak akan mampu memeluknya lagi selepas ini.

“InsyaAllah, mak. Berkat doa mak, Fiah tak akan berubah jadi macam dulu. Lagipun, Fiah dah bersuami. Fiah pun tak nak jadi macam dulu tu,” balasku tenang.

Namun, gundah di hati hanya Allah saja yang tahu. Itulah jua perkara yang aku bimbangkan. Risau andai berlaku perubahan sekali lagi, aku sudah tidak mampu kembali semua ke pangkal jalan. Bimbang sukar melentur diri sendiri lagi. Gusar andai menjadi sekeras kerikil dan seteguh tembok.

“Mak sentiasa doakan yang terbaik buat anak-anak mak. Apatah lagi yang seorang ni dah banyak berkorban untuk keluarga.” Mak usap kepalaku.

Jauh di sudut hatiku, aku dapat merasakan yang mak bagaikan sudah dapat menangkap diriku yang sudah tertimpa dugaan dan terhimpit masalah. Sesekali benci juga pada diri sendiri.

Kenapa terlalu sukar aku mahu berterus terang? Kenapa aku lebih memilih untuk menelan segalanya sendiri. Serentak itu wajah Fazlee, Zura, Faralina, Suraya, Fariza, Izham dan semua yang aku kenali bergayut di minda.

Letih mahu menghadapi mereka. Hingga ke saat ini, aku masih ingat dengan jelas suara Suraya dan Fariza menghinaku. Masih jelas juga suara Zura menengkingku. Masih terlalu kuat ingatanku pada Faralina, teman yang sudah sekian lama pergi kerana cita-citanya. Kini, tanpa khabar dan berita. Andai dia ada, pastilah lelahku lega. Dan paling pedih, suara Ilham menengkingku kerana mahu membatalkan pernikahan kami dan suara herdikan Fatehah padaku yang ku rasakan wanita itu terlalu lembut pada mulanya. Tapi, terpengaruh juga oleh perubahan Ilham padaku hinggakan dia berubah kasar. Entah apa kisahnya dengan Fazlee? Aku benar-benar ingin tahu.

“Eh, lamanya Kak Anah dalam bilik air.” Aku sengaja kuatkan suaraku selepas mak meleraikan pelukan.

Sengaja aku mengalih perhatian mak agar tidak saja terpaku pada wajahku yang dibadai kepedihan. Aku tidak mahu mak perasaan akan kecanggunganku kala ini dalam pada aku menahan tangis.

“Ya tak ya. Anah…..,” panggil mak agak kuat.

“Buat apa lama sangat dalam bilik air tu?” tanya mak bila Kak Anah sudah terjengul di ambang pintu. Dia garu kepala.

Wajahnya basah dan aku sudah dapat agak yang dia mahu menyembunyikan tangisnya kerana aku tahu, dia tidaklah setabah mana. Dia tidaklah sekuat aku untuk menghadapi semua ini. Dan kerana itu, aku mohon pada Allah agar segala dugaan untuk keluarga kami, biarlah aku yang menggalasnya.

“Dah siap ni. Kejap lagi adik kamu nak bertolak balik dah. Pergilah panggil Zali dengan anak-anak. Fiah dengan Ilham nak bertolak dah lepas ni. Karang lewat sampai pulak,” sambung mak.

“Fiah yang tercegat lagi ni kenapa? Dah, pergi naik sana. Kejut Ilham makan. Dah nak Zohor dah kejap lagi ni. Sedang elok boleh bertolak lepas solat,” arah mak padaku pula.

Aku terus naik ke atas bila Kak Anah juga sudah keluar melalui pintu belakang hendak menuju ke rumahnya.
Daun pintu aku tolak perlahan. Selepas melepasi pintu, aku tutup kembali pintu bilikku itu perlahan-lahan bila terpandangkan Ilham yang masih terbaring lena.

“Eh, lena pulak dia ni. Dahlah tidur atas katil aku, peluk bantal aku tapi benci aku,” gumamku sendiri.
Terasa geram juga dengan dia. Di depan mak, lakonan dia berlebih-lebih. Berdua-duaan dengaku, dia juga berlebih-lebih menyakiti. Kalau benar benci, jangan muncul lagi. Hati aku ini tidaklah menjadi parah mana.

Tubuh yang tidak berbaju itu aku lihat sudah merintik dengan peluh kecil. Aku selak langsir. Aku pasang kipas memandangkan rumah kampung kami ini memang tidak berpenghawa dingin. Bibirku menguntum senyum tanpa aku pinta.

Tidak dapat aku bayangkan andai kami ini adalah suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya. Sukar hendak aku gambarkan jika dia adalah Ilham yang pernah aku kenali di awal perkenalan dulu. Yang sanggup berbuat apa saja untuk meraih cintaku. Yang langsung tidak hiraukan masa perkenalan kami yang singkat untuk mengikat suatu ikatan. Yang menyembunyikan identitinya daripadaku dengan niat agar aku menerima dia sebagai Ilham Fitri bin Fakhri.
Ilham Fitri yang hanya punyai segulung ijazah untuk mencari nafkah membela aku nanti dengan sebuah kereta Honda Civic putih mutiara dan juga cintanya yang akan membahagiakan aku nanti. Tapi, bila kami diangkat menjadi halal antara satu sama lain, dia menidakkan segalanya.

Fiah rindukan Am. Fiah rindukan Am yang dulu. Bisik hatiku. Alangkah indah andai aku dapat menzahirkan rasa rindu itu pada dia.

Lama ku berdiri di tepi katil, memerhatikan tubuh sasa itu menggeliat ke kiri dan sekejap pula ke kanan. Ralit benar mataku menatap peluh yang mula terbit di dahinya.

“Puas dah tengok aku?” tanya Ilham tiba-tiba. Matanya sudah bulat.

Tersentak aku dibuatnya. Sudahlah terlalu leka memerhatikan dia dan kini disergah pula. Ilham menarik badannya lalu bersandar pada katil. Jelas di mataku otot sasanya. Serta merta aku berlalu ke meja solek. Hendak membetulkan tudung yang ku rasakan sedikit senget gara-gara Ilham juga tadi.

“Kau memang tak lalu nak tengok badan aku, kan Wafiah?” soalku.
Tanganku yang sedang membuka lilitan tudung terhenti. Aku mencari matanya melalui pantulan cermin.


“Apa awak cakap tadi?” tanyaku minta kepastian. Takut juga tersalah dengar.

“Jangan buat-buat tak dengar la, Wafiah. Kau memang tak suka tengok badan aku, kan? Sebab tu kau pusing ke lain tadi,” ulangnya.

Dia cuba mencipta ketegangan lagi denganku. Tidak cukup hanya dengan satu nista, malah dia tidak sudah-sudah mahu mencabar kesabaranku yang semakin menipis.

“Kau memang tak suka tengok badan lelaki yang halal untuk kau sebab kau dah biasa tengok tubuh lelaki yang lebih hebat dari tubuh aku. Yang lebih dapat puaskan pandangan kau, kan?”

Kali ini Ilham angkat kening. Dia menjatuhkan kaki ke sisi katil, lalu dia capai t-shirtnya.

“Saya tak tahu apa yang awak cakap tu, Ilham. Dan saya juga tak tahu apa masalah awak sekarang ni? Kalau kata benci, awak boleh tinggalkan saya dan biarkan saya hidup sendiri,” ucapku bersama ketegasan.

“Kau memang saja nak paksa aku ceraikan kau, kan? Nak sangat hidup dengan jantan lain. Suka sangat berada dalam dakapan lelaki lain agaknya.” Ilham mula membuat rumusan sendiri.

Lidahku kelu. Penat telinga ini dijamu halwa berbentuk penghinaan daripada Ilham. Entah bagaimana lagi harus aku katakan pada dia yang aku ini seorang wanita yang sangat menjaga maruah.

Bukan dia tidak tahu semua itu? Dia tahu segalanya sejak pertama kali dia mengenaliku. Terlupakah dia, aku pernah memberitahunya yang maruahku telah ku letak di tempat yang paling tinggi? Tak mungkin dicapai oleh mana-mana tangan lelaki sekali pun.

Dia bangkit mendekat padaku sambil menyarung baju T miliknya. Kini, dia tepat berada di belakangku. Merenung aku lagi melalui cermin. Aku yang sudah duduk di bangku, mendongak mencari matanya.

Baru saja aku hendak kemaskan semula selendangku, Ilham terlebih dahulu menahan tanganku dari meneruskan lilitan. Dia membongkokkan badannya sedikit hingga wajahnya selari dengan wajahku.

“Tengok ni,” ujarnya sambil menolak pipiku ke kiri.

Jarinya diluruskan ke arah leherku di sebelah kanan. Aku jeling bila dia berkata demikian dan alangkah terkejutnya bila melihatkan terdapat satu kesan merah di leherku.

Tubuhku terangkat dengan sendiri. Benar-benar terkejut. Dalam pada aku menjaga diri, Ilham masih sempat meletakkan ‘tanda cinta’ ini di leherku. Pastilah tatkala dia memelukku tadi.

“Tak payah terkejut. Ni cap IF. Tanda yang kau tu milik aku. Jangan berangan nak cari jantan lain,” bisiknya. Keras saja menerjah ke telingaku.

Tudung itu aku lilit pantas. Benci hendak melihat tanda merah itu. Sungguh aku tidak menyangka. Sudahnya, aku bangkit menolak tubuh Ilham sedikit ke belakang.

“Tanda merah ni akan hilang. Tak tahan lama pun. Jauh sekali nak kekal,” sinisku cuba mengawal emosi agar tidak terluah rasa marah yang semakin bermaharajalela di hati.

Aku dekatkan wajahku ke wajahnya. Terlalu dekat hinggakan dapat ku lihat jauh ke dalam anak matanya.

“Saya tak tak kisah awak nak cap saya dengan cap harimau ke, gajah ke, ayam sekalipun. Yang pasti, tanda ni akan hilang. Paling tidak pun mungkin beberapa hari je, kan?” Aku hadiahkan senyum sinis buatnya.

“Kau jangan cabar aku, Wafiah. Jangan buat aku letak tanda yang tak akan hilang dari kau seumur hidup!” Suaranya tegas.

Ilham mula mengugut tapi aku langsung tidak gentar. Andai tatkala aku merayu padanya, waktu itu aku lemah. Aku tidak berdaya tapi hari ini, aku langsung tidak akan berundur walau hanya seinci mata pedang diletakkan ke leherku.
Bibirku mengulum senyum lagi. Terasa berkuasa seketika bila Ilham sudah mula melatah.

“Awak juga kena ingat. Sebelum sempat awak buat tanda tu, saya terlebih dahulu akan pergi jauh dari awak,” ujarku lalu aku bergerak ke pintu.

“Mak saya ajak awak makan tengah hari. Kita makan dulu, lepas tu solat Zohor. Nanti kita terus bertolak,” sambungku lantas aku berlalu.

Mahu saja aku menitiskan air mata kala ini. Pedih di hati sudah diucap. Tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata dengan sikap Ilham yang ku rasakan semakin bagaikan lalang.

Sekejap meliuk ke arahku, sekelipan pula berubah hala lagi. Menjadikan aku mangsa perasaannya yang tidak menentu.

~~~> bersambung

8 comments:

  1. aduh ilham nie...dah nyata cinta kenapa harus di cemarinya...

    ReplyDelete
  2. nice.sambung lg rehan

    ReplyDelete
  3. makin panas hati ni bila tengok dorang gaduh je but dah terbukti yang ilham cintakan fiah :)

    ReplyDelete
  4. apa masalah ilham skrg ni??
    x fhm btul la.

    ReplyDelete
  5. salam..apa sebenarnya yg ilham nak..membuat semua org keliru dan marah..cuba bagitau fiah..apa masalah dia..barula minah tu boleh rungkaikan..ini tak..suruh org meneka apa yg dia fikirkan..bengong ke apa..mamat tu..suka dia setiap kali dia melukai hati fiah tu..dia tak rasa terluka ke???Tidak kah sikap fiah..selama ini..membuka matanya untuk menilai sape kah fiah tu..dia bukanlah low class maruahnya..
    salan
    kak idA

    ReplyDelete
  6. apa bendalah si Ilham ni nak...kesiah Fiah......

    ReplyDelete
  7. rasa nak cekik ilham gan zali.hehehe

    ReplyDelete