Monday, November 14, 2011

Terlerai Kasih 47

BAB 47

DARI jauh aku ralit melihat Ilham yang sedang mengarah dan membebel pada beberapa orang pekerja yang sedang memasang khemah. Sedari tadi ada saja yang dia tidak puas hati.

Aku menguntum senyum tanpa sedar. Sikapnya juga cerewet juga sebenarnya.
Inilah kita, biar berapa lama yang kita lalui dalam pada mengenali pasangan, kita tidak mungkin akan kenal dia selagi tidak bersama di bawah satu bumbung, tidak tidur sebantal.

Dia memang keanak-anakkan. Bila diingatkan kerenahnya bersama anah buahku, Amir beberapa hari lepas, sangat mencuit hati. Kalah dengan sikap keanakan Amir bila dia terjun ke laut.

“Jom sayang, mandi laut!” ajak Ilham kuat bila dia sudah menenggelamkan seluruh badannya.

Hanya kepala saja yang masih terjengul ke udara bagaikan kepala penyu pula. Tapi, penyu kaki dua yang pandai cemburu dan merajuk.

“Tak naklah. Fiah tak suka mandi laut,” balasku pula sedikit terjerit melayan deru ombak yang semakin hebat menghempas pandai Rhu ini.

“Ala, tak syok ar sayang ni. Orang kemain bercuti ke pulau semata-mata nak mandi laut. Kampung dia ada laut tak nak masuk pulak. Tak menikmati langsung,” cebiknya padaku yang sekadar bermain di gigi pantai.

Dia ku jeling tajam. Sejak aku menerima dia kembali, dia suka pula mengenakan aku. Tapi, aku benar-benar bahagia. Entah harus bagaimana harus aku ungkapkan rasa syukur ini. Benar-benar tidak terluah dengan kata. Hanya hati yang menitipkan rasa syukur itu setiap masa kerana Allah itu Maha Mendengar.

“Ngata Fiah, ya? Tak mandi laut, tak semestinya tak pandai menikmati. Fiah menikmati la ni. Menikmati keindahan alam. Kecantikan yang telah Allah anugerahkan buat kita ni,” jawabku sambil mendepangkan tanganku melebar. Merasakan kenikmatan hembusan bayu petang laut di kampungku.

Ilham jungkit bahu lalu dia menenggelamkan kepalanya seketika sebelum dia timbul kembali dengan melambung Amir. Terbahak-bahak budak itu ketawa.

Kali lepas, aku bersama mak dan anak-anak buahku juga ke sini dan tatkala itulah, aku bersua dengan Mak cik Zahrah. Tapi, sejak aku berkahwin, tiada lagi wajah dia datang bertenggek di tangga rumah kami.

Rasanya lebih elok begitu. Aku juga sudah tidak mahu mengambil tahu tentang dia dan anaknya, Zura. Kerana dialah aku jadi begini. Dia dan Fazlee sama saja. Parasit dalam hidupku.

Mataku dapat menangkap wajah Amir yang begitu seronok berada di atas belakang suamiku. Dia sudah gelak mengekek bila dipukul ombak malah bila Ilham menggoyangkan badannya ke kiri dan kanan bagaikan seekor ikan yang berenang-renang. Tapi, rasanya suami aku itu sesuai jadi ikan jerung. Suka ngap sana sini.

Aku ketawa geli hati. Bahagia melihat Amir ketawa. Mungkin menikmati kasih sayang yang tidak pernah dia dapatkan daripada Abang Zali. Aku kalih pula ke kiri mencari kelibat Amira yang sedang mengutip cengkerang.

Dari jauh, dia tersenyum dan melambai padaku. Bila aku menggamit, dia pantas berlari dan sudah termengah bila tiba tepat di depan aku.

“Ada Acu suruh lari?” tanyaku.

Dia sengih. “Maaf.”

“Dapat banyak tak?”

Amira mengunjukkan baldi kecil yang penuh dengan cengkerang dalam pelbagai rupa itu. Semuanya cantik-cantik belaka.

“Mira nak buat apa sebenarnya dengan semua ni? Rumah umi dan rumah Tok Mak bukannya ada aquarium pun.” Aku pelik bila dia beria mengutip cengkerang itu.

Sebelum ini, bila ke pantai bersamaku, dia hanya diam duduk seperti aku jua. Hanya sesekali mandi itupun berteman.

“Pak Su nak. Dia cakap nak letak dalam aquarium rumah dia. Lepas tu dia kata, kalau Mira suka bela ikan, Pak Usu nak belikan aquarium letak dekat rumah. Boleh tak, Acu?”
Aku menggeleng kecil. Perlahan-lahan aku gosok kepala anak dara seorang ini yang berseliputi tudung perlahan-lahan. Baru hari ini, aku dapat lihat keceriaan pada wajahnya.

Ilham pula bagai anak kecil. Rasanya benda ini semua boleh dia beli saja dekat sana. Dia bukannya tidak berduit. Memang betul-betul kebudakan suami aku ni.

“Bila Pak Su suruh?”

“Semalam. Masa kami sembang kosong tu. Pak Su tu baik, kan Acu? Tak macam ayah,” keluhnya dengan wajah yang sudah berubah mendung.

Bahunya aku paut lembut. Mengerti dengan kekosongan jiwa anak remaja ini kerana aku juga pernah melalui perkara yang sama.

“Nur Amira….” Seruku lembut. Aku perkemaskan pelukanku pada bahunya.

“Nur Amira anak yang baik, yang solehah. Jadi, tak elok cakap macam tu. Tak baik. Buruk ke dia, baik ke dia, Mira tak boleh bandingkan ayah Mira dengan sesiapa. Tanpa dia, Mira tak akan ada di dunia ni, tak akan dapat menikmati keindahan yang telah Allah anugerah ni. Jangan salahkan ayah. Satu hari nanti, dia pasti berubah. Mira doakan, ya,” pujukku lembut.

Dia mengesat matanya dengan hujung lengan baju. Menundukkan pandangannya ke pasir puteh bersih itu. Menguis-nguis pasir itu dengan jarinya. Dia juga seperti aku, mudah merasa bersalah tapi sukar menerima hakikat sebuah keperitan.

Sesungguhnya, aku sentiasa bermohon pada Allah agar Nur Amira tidak melalui perkara yang sama pernah aku lalui dulu. Aku bermohon agar hidupnya tidaklah diduga seperti mana aku. Tapi, andai begini sikap Abang Zali payah juga satu hari nanti.

Wajah itu sudah beberapa hari hilang dari rumah. Mungkin keluar berjoli dengan duit yang telah aku berikan padanya beberapa hari sudah. Langsung tidak difikirkan anak yang mahu menduduki peperiksaan PMR nanti.

Kesalnya aku, sesungguhnya kesal apatah lagi Kak Anah juga tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dua beradik ini akibat terpaksa berlelah mencari rezeki.

“Ingat pesan Acu ni. Biar apa pun terjadi, Mira tak boleh tuding jari pada ayah. Mira dah besar, dah pandai fikir mana yang baik mana yang buruk. Yang paling penting, sekolah pandai-pandai. Nanti boleh masuk asrama penuh, masuk university, dapat kerja bagus-bagus, pakai kereta besar, boleh bawa umi dengan adik tinggal dalam rumah besar tu.” Aku terus memberi kata semangat buat dia. Tidak rela andai dia tewas.

“Tapi, nek Zahrah tu…”

“Nur Amira….” Cantasku pantas.

“Usah pedulikan orang. Benar kita hidup bermasyarakat dan pandangan manusia tu penting. Tapi, pandangan Allah tu lagi penting dari segalanya, Mira. Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia. Dia Maha Melihat, Maha Mengetahui. Nek Zahrah tu, biarkan dia. Moga dia bertaubat satu hari nanti.”

Amira mengangguk. Dia kesat pipinya dengan lengan baju sekali lagi. Bila dia memandangku, dia tersenyum lebar.

“Nanti Mira nak jadi macam Acu lah,” ujarnya berwajah bangga.

Aku menggeleng. “Tak nak macam Acu. Mira kena jadi lebih baik daripada Acu.” Bahunya aku tepuk lagi. Memberi semangat.

“Dan nak cari suami baik macam Pak Su,” sambungnya tersengih-sengih dengan wajah yang merah.

Mataku bulat. Amboi anak dara Kak Anah ni! Dia ketawa kuat. Sesungguh dia tidak pernah tahu apa yang telah aku lalui untuk mendapatkan Ilham kembali.

Aku kembali melihat Ilham dan Amir yang masih seronok bermain air. Dia membalas pandanganku dan terus melambai.

“Sayang, abang sejuklah,” jerit dia.
Sejuk tapi masih berendam tu kenapa? Bebel hatiku sendiri. Amira sudah mula bergerak menjauh. Hendak membina istana pasir katanya.

“Dah tahu sejuk, naiklah ke darat. Berapa jam lagi abang nak berendam? Dah petang sangat dah ni,” laungku pula.

Aku memandang sekeliling. Ramai pengunjung yang sudah mula berlalu. Di kampung beginilah. Sebelum jam 7 semua harus masuk ke rumah. Bukan seperti di bandar, sebelum Subuh sudah keluar dan balik pula selepas Isyak.

“Abang sejuk kalau naik ke darat tak jadi juga. Tak hilang sejuknya,” jawabnya pula. Wajah itu aku lihat dah tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Naiklah dulu. Nah tuala ada ni.” Aku angkat tuala yang aku bawa khas untuknya itu. Tapi, Ilham menggeleng.

“Tak naklah tuala tu.” Dia mencebik.

“Dah tu nak apa?”

“Nak sayang hangatkan, boleh?” tanya Ilham dengan suara yang sengaja dia kuatkan.
Aku kalih ke kiri, sekumpulan anak muda itu sudah tersenyum lain macam pada aku. Aku kalih ke kiri, beberapa orang anak gadis juga sudah berbisik sesama sendiri dengan senyuman dan aku lemparkan pula pandangku ke arah suami yang sedang berwajah gatal.
Rasa menebal wajahku berinci-inci dengan kata-katanya. Nak cakap tak toleh kanan kiri. Main cakap je. Aku rasa nak menangis juga di situ. Malu sungguh.

“Abang ni sengaja, kan?” ujarku amat perlahan. Aku tahu dia tak mungkin dengar bila dia sudah ketawa mengekek.

Cepat-cepat aku pusingkan badan hendak berlalu pulang dengan menarik lengan Amira yang sudah berdiri tegak di sisiku.

“Mengada Pak Su kamu tu. Nak kenalah ni,” marahku sendirian. Amira tekup mulut.

“Haa, Mira jangan nak gelak kat sini. Karang dengan Amira sekali Acu lempar dalam laut tu,” marahku tanpa sedar. Lengannya aku lepaskan lalu aku melangkah laju.

Belum sempat aku sampai ke tembok, aku tiba-tiba merasakan tubuhku melayang ke udara. Ilham sudah mencempung tubuhku dan terus dibawanya aku menghampiri pantai.

“Abang tak nak…” jeritku. Ilham gelak.

“Abang, orang tak nak. Baju ni nipis ni,” ujarku beralasan.

Dia tidak mempedulikan rayuanku dan kami sama-sama rebah di dalam air laut dan serentak itu, aku dapat dengar sorakan anak muda tadi. Malunya sudah lain macam tapi Ilham tetap berwajah selamba. Memang muka tembok agaknya suami aku ni.

“Abang ni, benci lah…” marahku sambil meraup wajah. Pedih mata terkena air masin. Terbatuk aku dibuatnya akibat tertelan air laut.

“Malu sikit orang tengok. Kita kat kampung ni, bukan dekat bandar,” marahku lagi. Dia terus menarik aku ke dalam pelukannya.

Saat itu dapat ku lihat debaran dadanya yang tidak berbaju itu. Aku juga sama. Bukan lemas di dalam lautan, sebaliknya lemas dek renungan menggoda Ilham.

“Bang, nak menuntut ilmu romantik, bang!” jerit salah seorang anak muda itu tiba-tiba. Mereka melepaskan tawa.

Aku terkedu. Ilham garu kepala. Ya Allah, malunya. Ilham angkat tangan dengan wajah megah.

“Nak belajar boleh, tapi kena kahwin dulu ar. Jadi pengantin baru macam kami ni,” laungnya membalas.

Memang dia tak malu tapi yang haru birulah adalah aku. Jenuh mengawal air muka. Amir dan Amira juga sudah tergolek-golek di atas pasir pantai. Sabar jelah hati aku ini, Ya Allah!
*****
“FIAH bahagia?”

Aku tersentak. Terbang pergi kenangan di pantai tempoh hari, sehari sebelum kami bertolak balik ke Kuala Lumpur. Aku lihat sekeliling. Bukan lagi di Pantai Rhu tapi di perkarangan rumah keluarga Ilham di Kampung Tunku, Petaling Jaya dan di sisiku kini yang menegurku tadi adalah Izham, adik iparku yang agak dingin.

“Oh, Iz… ingatkan siapalah tadi.” Aku cuba berbahasa.

Sebenarnya, sejak aku tiba di rumahnya dua hari sudah, aku sudah terasa lain macam dengan Izham. Dia berbicara denganku tapi hanya aku yang bersuara, dia berbicara dengan Ilham tapi aku yang dijelingnya, bila aku bertanya, suaranya langsung tidak pernah menjawab melainkan mata itulah yang lebih hebat berkata-kata bahasa yang aku sukar untuk fahami.

“Dalam rumah ni, selain Abang Am, Iz jelah tinggal. Nak kata suara abang, mesti lain sangat, kan?” Dia senyum sinis.

Aku senyum lalu aku kembali melihat Ilham yang sudah bercekak pinggang. Tentu tidak puas hati dengan hiasan ini.

“Boleh Iz duduk?” tanya Izham lagi.

“Duduklah.” Aku mengesot ke kiri memberi ruang untuk dia.

“Fiah bahagia?” tanya dia lagi sekali setelah melabuhkan punggungnya agak menjarak dariku.

“Alhamdulillah…” jawabku tenang. Benar aku bahagia kini setelah puas aku terduga.

“Zahir ya, tapi batin tu?”
Soalannya kali ini membawa aku memandang sisi wajahnya. Dia langsung tidak berpaling kepadaku sebaliknya dia lemparkan pandangannya ke arah lain.

“Maksud Iz?”

“Fiah tahu apa yang Iz maksudkan.”
Makin pening kepalaku. Adakah seluruh ahli keluarga ini suka memberikan jawapan tergantung begini andai disoal? Ilham juga begini dulu dan hari ini aku terpaksa menghadapinya daripada adik iparku pula.

“Fiah tak tahu.” Aku menggeleng.
Izham kalih. “Satu hari nanti Fiah akan tahu. Tapi, dah Fiah kata Fiah bahagia sekarang, Iz bersyukur sangat. Moga Fiah terus bahagia,” ujarnya tenang seraya bangkit.

Aku lihat wajahnya yang sedang tersenyum. Bila aku soroti senyumannya, ternyata Ilham makin mendekat lalu dia labuhkan duduk rapat di sisiku. Tangannya dibelit ke bahuku.

“Bila nak pergi rumah sewa sayang? Kata nak ambil barang?” tanya Ilham. Aku tepuk dahi, hampir saja aku terlupa tentang perkara itu.

“Lepas abang dah siap semua nilah. Petang ni keluarga Fiah sampai dah,” jawabku.

“Abang okey je,” balas Ilham lalu mengucup telapak tanganku.

Dari ekor mata, aku dapat lihat Izham yang sedang menjeling kami dengan wajah yang sayu. Aku nampak kesedihan di dalam riak matanya. Hati ini rasa takut pula. Tapi, untuk apa aku prejudis pada dia. Setakat menambahkan dosa, rasanya itu tidak payah.

“Yang kamu ni, Iz nak ke mana?”

“Err, Iz…Iz..” Izham tergagap-gagap bila Ilham menyergah.

“Iz nak ke airport ni,” jawabnya kemudiannya.

“Aqam dah sampai ke?” tanya Ilham ceria. Izham mengangguk.

“Jadilah dia nak bawa awek dia kenduri kami esok ni?” tanya Ilham lagi dan Izham angguk jua.

“Waaa, Aqam lagi advance lagi kau, Iz. Kau tu memilih sangat. Jap lagi Aqam langkah bendul kau. Masa tu kau minta pengeras lebih-lebih sikit,” ujar Ilham berseloroh tanpa dia sedar wajah adiknya itu sudah murung.

“Iz sekali jatuh cinta, selamanya Iz cinta. Iz tunggu cinta Iz berbalas walapun mustahil,” balas Izham serius lalu dia berlalu.

“Iz pakai kereta abang,” laungnya kemudiannya tanpa berpaling.

Tanpa sempat Ilham membalas, Izham sudah masuk ke perut kereta. Dia memandang aku dan aku memandang dia. Sudahnya aku jungkit bahu.

“Kenapa pulak dengan Iz ni?” tanya Ilham mungkin lebih pada dirinya sendiri.

“Kenapa apa?”

“Entahlah. Pelik sikit dia sekarang. Kalau kata ada awek, dah orang tak nak, buat apa nak tunggu.” Ilham menggeleng bersama keluhan.

“Ala, biarlah. Yang abang dengki tu kenapa? Ke abang ada niat nak cari untuk dia dan untuk abang sekali ni?” Sengaja aku mengusik.

“Sayang ni. Ke situ pulak,” tegur Ilham. Aku ketawa kecil.

“Iz tu jenis susah jatuh cinta. Tapi, bila dia cakap macam tadi tu, risaulah pula. Takut juga dia dok tunggu je orang yang tak nak dekat dia. Merana dia nanti.”

“Ala, dia dah dewasa la, bang. Pandailah tu dia fikir untuk kebaikan dia. Kita doakan je dia dapat orang yang sesuai dengan dia,” ujarku cuba menghalau gundah di hati suamiku ini.

“Oh ya. Tadi, abang cakap pasal Aqam dengan awek dia, kan? Siapa?”

“Entahlah.” Ilham jungkit kening. “Esok pertama kali nak jumpa ni.”

“Yang nama Lin tu ke?” Aku teringat akan nama itu yang pernah Iqram sebutkan dulu.

“Ha’ah. Yang nama Lin tu lah. Yang peliknya, si Aqam tu belajar lagi, yang Lin tu dah kerja. Memanglah gelojoh budak sekor ni haa,” kutuk Ilham pada adik bongsunya. Rusuknya aku siku.

“Kenapa?” Dia buat muka.

“Kata orang gelojoh. Abang tu tak ke? Siap buat perancangan sendiri lagi,” sinisku. Ilham ketawa manja.

“Tu bukan gelojoh. Itu tak sabar,” jawabnya loyar buruk.

“Eleh, apa beza gelojoh dengan tak sabar?”

“Banyak bezanya, yang. Kalau tak sabar ni, dia tunggu malam. Kalau gelojoh, sekarang ni jugak abang nak, boleh?” bisiknya ke telingaku.

Serta merta aku berdiri menjauh daripada dia. Ei, memanglah dia bermuka tebal macam kulit kerbau.

“Abang jangan nak mengada. Kalau tahu abang macam ni, rasanya baik tak payah buat kenduri esok ni haa.” Aku cuba berlalu bila Ilham lebih pantas menarik aku duduk kembali ke sisinya. Bahuku dipeluk erat.

Wajahnya sudah rapat ke wajahku. Aku dah tahu apa yang dia nak. Biarpun baru berbaik tapi aku bagaikan sudah lali dengan sikap manjanya ini. Manja mengalahkan anak bongsu.

“Hai, Am. Public pun nak tunjuk mesra,” tegur satu suara dan disambut dengan hilai tawa beberapa orang yang lain.

Tindakan Ilham mati. Dia garu kepala dan aku, seperti biasa, terpaksalah mengawal diri agar tidak cepat melatah biarpun wajah ini sudah membahang malu bila mama Insyirah menegur.

Andai kata hanya dia dan abah tidak mengapa juga, ini dengan renungan mengusik Puan Seri dan bosku sendiri, Encik Azhan benar-benar membuatkan aku juga turut menjadi wajah kulit kerbau.

“Ala, kami ni kan pengantin baru. Baru je lalui siang pertama,” beritahunya tersengih-sengih.

Aku bulatkan mata. Mengamarkan dia dalam diam. Pandai saja hendak membuka rahsia rumah tangga.

“Am cakap apa tadi?” tanya abah. “Siang pertama? Apa tu?”
Wajah mereka berempat sudah berkerut. Pelik dengan kami agaknya. Hampir luruh jantungku bila abah bertanya demikian.

Mujur saja mereka tidak fahaminya, andai tidak memang aku berlari tidak cukup tanah kerana malu.

“Tak ada apalah,” sela Ilham menggaru kepala.
Dalam hati aku sudah membebel bagaikan bertih jagung. Jagalah abang nanti, ucap mulutku tanpa suara.

“Abang tak takut…” Ilham juga menggerakkan bibirnya juga tanpa suara.
Mama, abah, Encik Azhan dan Puan Seri sudah gelak mengekek. Ilham juga, hanya aku yang tunduk.

“Oh ya, Fiah. Mari sini mama nak bagi satu benda ni?” Mama ajak aku masuk ke rumah bersamanya setelah tawa masing-masing reda.

Aku pandang Ilham dan dia tersenyum mengizinkan. Aku cuba mendidik diri aku agar taat pada dia selagi tidak bercanggah dengan agama. Segala tindakanku, aku akan sentiasa memohon keizinan daripada dia.

“Tadi mama nampak Iz tegur Fiah,” ucap mama sambil berjalan beriringan denganku menuju ke dalam rumah.

“Err, ya,” jawabku pendek.

“Iz cakap apa?” tanya mama lagi.

Kali ini aku sudah pelik. Aku teringat kembali akan perbualan kami dulu. Tentang Izham yang pernah dia rahsiakan. Yang tidak pernah sekalipun dia ungkap kebenaran di sebalik kegusaran hatinya itu. Hanya wajah itu yang menggambarkan kerisauan dulu, begitu juga kini.

“Iz tanya khabar je, ma. Lepas tu dia kata nak jemput Aqam,” ujarku sedikit berselindung tentang soalan Izham yang sebenar. Risau juga merosakkan keceriaan mereka nanti.

“Baguslah macam tu.” Mama mengeluh. Kedengaran berat pula pada pendengaranku. Aku pandang wajah mama dengan perasaan cuak dan aku kalih pula pada suamiku yang sedang ketawa bahagia dengan keluarga yang lain.

'Abang…'seru hatiku takut.

~~~> bersambung

16 comments:

  1. huhuhuhu lain mcm jj c izham tu.risau sye d buatnya..

    ReplyDelete
  2. Mama tu tahu Iz ada hati pada Fiah....
    Perangai Iz tu buat mama dan Fiah takut...
    Ilham dan Fiah ni baru nak berbaik ... jangan lah buat hal IZ....

    ReplyDelete
  3. sye rse la kn,,am ad mslh kelakian kowt,haha..xtaw i'm guessing... pas2 nti in the end, am n fiah akn berpisah gak..da nme tjuk pon terlerai kasih kn, ...kemudian, that's where iz plays his role.menggapai kembali cinta sejati dye.. but of coz at dat time, am da xde in the picture,meninggal ke..sbb, obviously,fiah syg gle kowt kat am..
    hahaha,,memandai je sye nie,,xtaw la. cite d tngan writer...
    neway, good job writer!!!!i like it

    ReplyDelete
  4. ada rahsia ke izham ngan ilham nih..kenapa izham cakap 'satu hari nanti fiah akan tahu' cuak semacam la plak nih..

    ReplyDelete
  5. issyyy...ada pl nak kacau daun hubungan am n iz..bg la mereka tu hidup bahagia.

    ReplyDelete
  6. jgn kata izham tue ska kat fiah..adoiyaiii..msti ilham jelez pnya la..

    ReplyDelete
  7. apa rahsia yg cuba Iz sampaikan kat fiah pasal ilham..alahai jgnla..Iz pulak memporak perandakan hidup fiah dan ilham..mereka baru nak rasa pelangi dan kupu kupu dalam kehidupan alam rumah tangga mereka..
    Ilham ada masalah apa ek..??? jgnla fiah diuji lagi..takut dia akan jadi giler aja minah tu..sbb dia tu bukan kuat mana pun..
    Iz tu macamlah tak da perempuan lain..macam ilham cakap..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  8. iz suka kt fiah, fiah kn dh kawin, cari org lain jek la..

    ReplyDelete
  9. wuaa x mau lh kalau Am ada masalahhh . ngee ~

    ReplyDelete
  10. cari je org lain iz...jgn rosakkn kebahagian ilham dan fiah.....sian nnt merana dua jiwa dah le baru berbaik......hope ikatan mereka akan kekal n makin kuat utk ....ilham jgn cemburu buta lg

    ReplyDelete
  11. ilham tu ada masalah gender ke.adoi kesian lagi lah kat wafiah.jgnlah banyak sangat konfliknya serabutlah pulah kepala ni ha.

    ReplyDelete
  12. sbenarnya cm rse ilham tu pura2 bek ar...utk buat fiah jatuh kat tgan dya..bla dya da dpt pa yg dya nak..dya buang fiah jauh2..hehe...only my imagination...hope not..

    ReplyDelete
  13. jangan lah ada orang ketiga dlam perkahwinan mereka.kesian fiah dan am.rehan, biar la diorang bahagia dan kasih mereka bertaut bukan terlerai walaupun tajuk novel ni TK......

    ReplyDelete
  14. Jgn lah Iz kacau fiah & am,sian mereka.baru siang pertama.best ,keep it up writer,next n3 sure byk konflik.

    ReplyDelete
  15. adei la kaco betui...lin?hehe sapa ya?entah2 kawan fiah

    ReplyDelete
  16. kak rehan ni suka cipta kontroversi...nanti adalah tu iz buat perangai sampai si am tu salah sangka lagi dgn fiah...adoi kak x tahan dah dada ni menahan dugaan yang akak ciptakan untuk wafiah...tp itulah klu x cipta tu semua xdelah pulak terungkai semua persoalan dan saya mmg suka novel2 akak sbb ia blh buat saya terasa berada dalam watak
    tahniah buat akak

    hanim

    ReplyDelete