Wednesday, December 28, 2011

Bila Nak Saksi? [2]

[2]

YA, TUHAN. Aku rasa dekat nak botak dah kepala aku sebab dari petang tadi aku dok garu kepala yang tak gatal tapi sakit. Sakit sebab penyakit yang aku cari sendiri.

”Betul ke apa yang mama cakap tu, Jelita?” tanya abah kuat. Abang Jeff diam je dengan Kak Shima bila aku kena serang dengan mama dan abah.

”Tak, bah.” Aku berkali-kali menidakkan tapi mereka tetap tidak mahu percaya.

”Kamu jangan main-main dengan kami, Jelita! Jangan sesekali nak rosakkan maruah dan kepercayaan kami pada kamu!” tengking abah kuat.

Aduhai, inilah orang kata, terlajak perahu boleh diundur tapi terlajak kata, nak padam pun tak boleh. Kalau komputer boleh backspace. Kalau pen, boleh pakai liquid paper tapi kata-kata aku, tak boleh nak padam dengan apa-apa dah.

”Cuba kamu berterus terang dengan kami ni, Jelita! Sejak bila pandai bohong?” Suara abah makin berdentum. Bersahutan dengan guruh kat luar yang sabung menyabung.

”Ya Allah, sungguhlah ma, abah. Lit gurau jelah. Dah mama suruh Lit kahwin, Lit tanyalah, kalau kata Lit dah kahwin, mama boleh terima ke? Itu je. Lit tak kahwin lagi. Teman lelaki pun tak ada ni ha,” tegas aku dalam kesopanan.

Tak boleh nak kurang ajar sebab dua orang depan aku ini adalah insan yang sangat aku hormati.

”Kalau betul macam tu, kenapa Lit boleh tanya soalan macam tu kat mama?” Abang Jeff pulak menyampuk.

Aku ingat dia diam dari tadi, dah hilang suara. Langsung tak membantu. Memang dia macam tu dari dulu. Suka ambil jalan mudah. Menjadi pemerhati je.

”Abang tak kan tak kenal Lit. Lit gurau jelah sebab mama tadi cakap Lit dah boleh kahwin,” ulang aku lagi.

”Mama tak percaya. Tunjukkan bukti yang Lit belum kahwin!”

Aduhai mama ni. Bukti apanya? Aku garu kepala sekuat hati. Rasanya, kalau aku garu sikit je lagi, mesti tersiat kulit kepala aku ni.

Aku angkat tubuh dan menyandarkan belakangku ke almari hiasan mama. Mata masing-masing tajam je merenung aku. Kalau renungan tu boleh membunuh, rasanya dah lama aku mati terbunuh angkara keluarga sendiri. Aku pandang Kak Shima, tapi dia juga diam.

”Lit sumpah atas nama Allah yang Lit tak kahwin lagi. Lit saja je tanya mama macam tu. Lit kan suka bergurau.”
Berkali-kali dah aku menidakkannya. Tapi mereka ni semua tetap tak nak faham atau perlukan aku bercakap bahasa Mandarin yang telah aku belajar sebagai bahasa ketiga semasa kat universiti dulu?

”Mama curiga. Entah-entah Lit kahwin dengan lelaki yang Lit jumpa siang tadi tak? Lelaki yang langgar Lit tu kot. Padahal suami Lit tapi Lit tipu mama, kan?” Mama menduga tapi makin terpesong.

Aku tepuk dahi. ”Lit tak kenal pun hamba Allah sorang tu mama. Kami terlanggar macam tu je. Itulah pertama kali Lit jumpa dia dan itulah kali terakhir,” tegasku.

Erk, kali terakhirkah? Entah, andai Allah mahukan pertemuan lagi, siapa aku nak menghalang tapi aku memang tak mahu bertemu dengan dia lagi. Menyampah.

”Betul ni?” duga mama dan abah hampir serentak.

Aku angguk. ”Betullah. Bila masa Lit pernah menipu?” tanyaku.

Sebenarnya, aku rasa sedih sebab mama tak percaya dekat aku. Macam tak kenal dengan perangai aku yang suka bergurau ni. Tapi, memang diakui, silap aku sebab bergurau dalam hal-hal sensitif macam tu. Hal nikah kahwin aku boleh buat main. Memanglah aku ni tak matang agaknya.

Airmata aku menitis perlahan-lahan melalui lekuk pipi. Mama mendekat dan aku terus menyapa tubuh gempalnya erat.

”Dah nak menangis kenapa pulak?” tanya mama tegas. Tapi, aku tetap rasa belaian lembutnya pada rambutku.

”Dah tu, semua orang marah Lit. Lit sedih sebab abang, abah, mama tak percayakan Lit padahal Lit tak pernah menipu pun. Tadi, Lit bergurau je,” ucapku bersendu.

Dah lama tak menangis dalam pelukan mama, aku rasa aku nak nangis lama-lama sikit. Saja manja-manja. Airmata mengalir tapi hati aku senyum. Lega!

”Orang tak bergurau benda-benda macam ni, Jelita. Lain kali jangan bergurau macam ni lagi. Mama betul-betul ingat Lit dah kahwin senyap-senyap. Nak kahwin boleh, beritahu kami. Kami uruskan tapi jangan sesekali dengan cara yang tak elok. Kahwin senyap-senyap la. Kahwin lari la dan paling teruk, kahwin sebab kena tangkap khalwat. Masa tu, kamu tahu la apa mama buat pada kamu nanti!” gumam mama keras.

Aku angguk di bahu mama. Bila aku terpandang abah, dia menggeleng berkali-kali. Kesal agaknya dengan kata-kata aku yang menganggap ayat yang aku ucapkan pada mama siang tadi telah dibuat main oleh lidah aku.

Wajah ini aku buat sepolos mungkin. Airmata yang mengalir aku paksa bagi makin laju menodai pipi ini. Aku nak abah dan abang Jeff serta Kak Shima simpati padaku selepas mereka memarahi aku tadi. Memang tak puas hati. Tak pernah kena marah macam ni.

”Jangan suruh abah pujuklah buat muka macam tu,” sinis abah. Makin berkerutlah wajahku ini.

Abang Jeff senyum. Kak Shima juga senyum. Masing-masing sudah menghela nafas tenang dan aku, fuh.... lega. Pandai lagi mulut aku nak bergurau kurang cerdik dengan mama. Dia memang pantang. Mungkin mama dan abah serta abang Jeff agak moden orangnya tapi, perkara-perkara begitu, tak mungkin dia benarkan berlaku. Aku tahu itu.

”Lit kan dah minta maaf,” ucapku pada abah perlahan. Abah senyum dan mengedipkan matanya sekali.

”Lain kali jangan bergurau macam ni lagi. Nak kahwin, cakap betul-betul. Jangan pandai-pandai sendiri,” sambung abah lalu dia berlalu naik ke atas.

”Huh, tak ke masjid abah malam ni sebab kamu ni, Jelita.” Abah membebel lalu dia terus mengatur langkah naik ke atas.

Mama tolak tubuh aku dari terus rapat kepada dia. Jari tua itu terus menyapu pipi aku lembut. Aku memang tahu. Keluarga aku ni memang akan kalah dengan airmata aku. Tapi, aku tak adalah nak ambil kesempatan setiap kali pun. Cumanya, tadi aku betul-betul rasa sedih bila mereka tidak ada langsung tanda hendak mempercayaiku.

”Jangan buat lagi, tau!” pesan mama lalu dia juga turut berlalu naik ke atas.
Abang Jeff dan Kak Shima mendekat padaku. Seperti biasa, abang Jeff memang suka la cubit aku sana sini. Kalau aku cubit dia, dia mula cakap dekat mama yang aku gunakan jurus karate-do aku ni buli dia. Padahal dia yang buli aku.

”Apahal Lit bergurau macam tu tadi?” tanya abang Jeff. Aku cebirkan bibir.

”Entahlah. Sebab tadi, mama kata Lit dah sampai umur untuk kahwin. Sebab risau Lit sorang-sorang tak ada teman. So, mama kata lebih baik Lit kahwin. Lit saja tanya, kalau betul Lit dah kahwin macam mana? Tapi, memang mama marah sampai terus je dia call abah dengan abang. Padahal Lit gurau je kot. Dah orang nafikan, mati-mati tak nak percaya,” terang aku pada abang dan kak Shima.

”Itulah. Terkejut gila aku bila mama cakap yang kau dah kahwin. Pelik. Bila masa kau ada teman lelaki?” tanya Kak Shima. Aku jungkit kening pada dia.

Memang aku tak pernah ada teman lelaki. Macam mana nak ada, semua orang takut pada aku. Aku pun tak tahu kenapa. Padahal aku ni tak adalah jahat sangat. Agak kasar sikit, tapi aku tetap perempuan apa.

”Lit ni, lain kali jangan bergurau macam tu lah. Tapi, kalau betul mama dah bagi green light suruh kahwin, apa lagi. Rebutlah peluang. Hidup berteman seronok woo...” Abang Jeff melilitkan tangannya pada bahu Kak Shima.

Isteri dia menepis tapi dia terus buat muka tak malu dan terus memeluk bahu Kak Shima erat menyebabkan aku pula yang malu. Haish, pengantin basi ni. Berkepit ke 48 jam.

”Abang ingat Lit macam abang. Gelojoh? Tak dan-dan Kak Shima habiskan sekolah, dah ajak kahwin. Yang kau pulak, kak... gatal kan terima. Sekarang, aku dah habis sekolah, kau terkedek-kedek lagi,” sinis aku pada dia.

Kak Shima ketawa kecil. ”Terkedek-kedek tak apa sebab hati aku bahagia. Tidur berteman, makan berteman, keluar berteman...”

”...Mandi berteman,” pangkat Abang Jeff tiba-tiba. Eii, dia memanglah tak malu. Itu pun nak cakap ke?

Aku tumbuk perut abang aku tanpa sedar. Sebagai upah buat aku malu sendiri macam ni. Kak Shima tekup mulut dan wajah abang Jeff menyeringai. Eleh, tak sakit pun rasanya. Saja berlebih-lebih berlakon abang aku ni.

”Abang tak payah la berlakon. Karang betul-betul Lit buat abang jadi karung guni, nak?” tanyaku sinis.

Abang Jeff tegakkan badan dah ketawa. T-shirt putih tu, dia kibar-kibarkan sikit. Songkok di kepala dia buka dan dia pakaikan di atas kepala isterinya. Hati aku masa ni, rasa cemburu tengok kemesraan dua insan ini. Dah setahun berkahwin tapi, romantiknya masih belum hilang malah makin menyinar.

Mulutku terkatup rapat bila akal berbicara dengan hati. Mama bagi keizinan untuk kahwin, tapi aku tak ada calon. Naluri wanita ini rasa juga ingin menyintai dan dicintai tapi siapa yang sudi terima aku? Andai dulu tiada sesiapa yang berminat, kenapa pula sekarang aku rasa ada yang akan berminat dengan aku?

”Hah, mengelamun nampak? Ingat nak kahwin ke?” Usikan Abang Jeff membawa aku memandang dia. Bibirku menguntum senyum. Malu pula tertangkap sedang mengelamun. Rasanya kalau dia tahu apa yang aku fikirkan, pastilah dia ketawakan aku sampai keturunan ke-7.

”Eleh, abang ni. Kahwin je yang abang tahu, kan? Lit tak bersedia lagi la. Lagipun, Lit tak ada calon lagi. Tak percaya, tanya Kak Shima,” jawabku selamba lalu aku melangkah berlalu ke bilik yang juga terletak di tingkat atas.
Di tengah-tengah antara bilik mama dan bilik abang aku.

”Kalau payah sangat, biar abang carikan,” laung dia dan kemudiannya dia ketawa.

Aku malas nak ambil pusing, aku terus tutup daun pintu rapat-rapat. Siap kunci lagi sebab aku tahu, kejap lagi mesti Kak Shima singgah sebab memang itulah rutin harian dia sebelum dia masuk bilik dia. Macam bilik aku ni ada magnet. Lalu je, mesti kena tarik. Mama pun macam tu juga. Orang dah gantung tanda larangan, pun ada yang singgah.

Aku duduk di depan cerpen. Tocang kuda ni, aku tarik membiarkan rambutku ini lepas bebas. Bila aku kirai rambut aku dengan jari, aku teringat akan pashmina yang aku sedekahkan buat lelaki siang tadi tu.

Terasa sayang pula. Terasa membazir sangat disebabkan ego dan amarah yang menggunung kala itu. Padahal, aku terlalu suka akan kelembutan warnanya. Jarang aku suka pashima melainkan itu adalah hadiah daripada orang. Lagipun, itulah pertama kali aku membeli selendang dengan pilihan mata hati sendiri.

Usop? Orangnya biasa saja. Agak tinggi tapi nampak agak selekeh andai nak dibandingkan dengan lelaki yang sepatutnya lelaki. Eh, apa aku cakap ni? Kalau lelaki memanglah lelaki. Tak kan jadi perempuan pulak. Cumanya maksud aku, dia tak cukup kemas dan segak andai dinilai dari pemakaian dia.

Ada rasa bersalah singgah di hati kala ini bila aku memarahi dia begitu tadi. Tapi, dia juga terlalu berani menyentuh kulit aku ni. Pertama kali bersentuhan kulit begitu dengan lelaki, rasa lain macam juga. Yang selebihnya memang aku geram sangat.

Pashmina tu pulak? Aku rasa dia dah buang. Tak kan betul dia tergamak nak hadiahkan buat teman wanita dia pashmina yang kotor tu? Tapi, boleh jadi juga sebab dia nampak sememeh. Kot tak mampu nak belikan untuk teman wanita dia.
Eleh, entah-entah tak ada teman wanita. Hati aku dah membebel-bebel sendiri.

Tapi tak lama bila aku kembali merenung anak mataku di dalam cermin. Kenapa aku nak ingat pasal dia. Memang tak logik ni.

”Kahwin...” Aku sebut perkataan itu di luar sedar.

”Nak kahwin dengan siapa, ya?” Aku ketuk pula jari telunjuk di pipi kanan.

Ingatan aku ini menerawang ke arah beberapa orang teman sekuliah lelaki. Semua pun tak pernah bercakap dengan aku. Semua pun sombong. Bila aku tanya, mereka cakap, aku yang sombong. Aku tuduh dia, dia tuduh aku. Akhirnya, aku diam dan mereka pun diam. Tapi, yang menjeling-jeling pada ekor mata tu adalah beberapa orang dan aku? Tawar hati untuk menerima cinta sebab aku dah tahu, aku bukan idaman jejaka-jejaka di luar sana.

Jenuh aku berfikir tentang tawaran mama, aku akhirnya naik bosan. Mulalah aku tarik gebar dan selimutkan hampir seluruh tubuhku. Hanya tinggal kaki je tak dilitupi gebar. Lemas kalau selimut kaki. Macamlah aku bernafas dengan kaki, kan? Tapi, itu memang tabiat aku.
***
HARI ni, mama ajak aku temankan dia ke bandar. Ada barang yang perlu dibeli katanya. Waktu ni entah kenapa, aku rasa malas nak keluar rumah sebab peristiwa beberapa hari lepas.

Aku jadi takut kalau kata terserempak dengan mamat Usop tu lagi. Tapi, kalau terjumpa lagi, aku dah tak boleh ingat wajah dia. Ingat-ingat kabur macam tu lah. Emm, senang cerita tak ingat langsung.

”Lit nak singgah Popular ke?” tanya mama pada aku bila kami sama-sama menapak masuk ke dalam Parkson.

”Mama nak pergi mana?” tanyaku pula.

”Mama nak beli kopi abah kat Parkson kejap. Lepas tu boleh balik dah.” Aku angguk menerima jawapan mama.

”Kalau Lit nak cari buku kat Popular pergilah. Mama beli barang sikit. Nanti mama cari Lit kat sana.”

”Boleh ke?” Risau juga membiarkan mama sendirian.

Rasanya, bukan aku risau mama bersendirian, tapi aku takut aku bersendiri tapi tiba-tiba terserempak lagi dengan lelaki macam Usop Sonto tu. Memang naya diri sendiri. Aku risau kalau-kalau kata-kata Usop Sonto tu menjadi nyata. Kalau kata hati aku terjatuh, dan ada yang mengutipnya lalu dibawa lari, mampukah aku hela nafas tenang lagi?

Dan kalau kata yang mengutipnya itu betul-betul Usop Sonto, apa aku nak buat. Lebih-lebih lagi mama dah bagi peluang untuk aku semalam. Peluang yang mudah datang tapi rasanya tak lama sebab peluang tu akan tertutup jika mama sendiri yang nak carikan aku calon. Masak!!

”Lit temankan mamalah. Nanti boleh bawa barang. Banyak, kan?” tebakku sendiri. Tak mahu mengundang curiga di hati mama. Aku takut dia fikir bukan-bukan sebab aku macam dah tak ghairah nak berjalan sendiri tanpa teman.

Laju saja kaki aku menapak mendahului mama menuju ke bahagian barangan dapur bawah Parkson ni. Sedang elok aku tolak troli, mama angkat bakul.

”Eh, tak nak pakai troli ke?” tanya aku pelik. Macam sikit je nak beli barang.

”Mama tak kata nak beli barang banyak pun. Yang Lit terus tolak troli tu kenapa?” soal mama sambil tersenyum penuh makna.

Tanpa menjawab pertanyaan mama, aku terus ambil barang di tangan dia, dan aku letakkan semuanya di dalam troli. Sebelum aku tolak troli, aku selitkan rambutku di belakang telinga. Rimas bila tak berikat.

”Inilah guna dia, ma,” selaku lalu aku tolak troli itu masuk. Mama menggeleng bersama senyuman.

Aku membontoti langkah mama dari satu rak ke satu rak yang lain. Kata sikit tapi dah hampir separuh troli dia isi. Tu tak termasuk bakul kat tangan dia lagi. Ada je dia capai.

”Hai, ma... kata sikit. Ni dah dekat separuh troli dah Lit tengok.” Sengaja aku mengusik mama. Dia senyum.

”Dah alang-alang Lit ambil troli, kita isu penuh-penuh. Membazir ruang.”
Aku tepuk dahi. Mama ni macam-macam jawapan dia. Kalau aku cakap macam tu, dia cakap macam ni.

”Yalah-yalah.” Aku akhirnya beralah.

Mama melangkah lagi dan aku menolak troli itu lagi hinggalah mama berhenti tepat di hadapan barangan basah dan sayuran.

”Mama tengok, sejak Lit keluar hari tu, dah lain macam je Lit ni. Apa yang tak kena ni, sayang?” soal mama sambil dia membelek helaian sawi yang ada di tangannya.

Aku yang sedang mengisi cili padi di dalam plastik tergamam. Mama perasan. Aku dah cakap, mama memang akan perasan. Silapnya, aku tak pergi bila mama pelawa aku ke Popular tadi.

”Err, kenapa pulak mama cakap macam tu?” Aku berpura-pura tak mengerti sambil menyambung kembali memilih cili padi yang elok.

”Mama perasan dan mama rasa yang Lit sembunyikan sesuatu daripada mama,” duga mama lagi.

Hati dan naluri seorang ibu memang tak mampu aku bohongi. Sejauh mana aku bawa lari kegusaran hati, mama tetap dapat mengejarnya. Betapa terbelitnya tulisan yang aku garapkan di dada hati, mama tetap dapat membawanya dengan baik.

”Atau Lit dah jatuh hati dekat lelaki yang langgar Lit tempoh hari tak?” tebak mama tenang.
Aku telan liur berkali-kali. Rasa kesat, kelat, pahit, masam semuanya ada. Yang peliknya, manis itu tak ada. Sikit pun tak ada.

”Lit terjatuh tanpa sedar, hati Lit terjatuh juga pada dia, macam tu?”

Mama dah kemain menelah sendiri ni. Tapi, pelik. Kenapa aku tak pula nak menidakkannya padahal itu propaganda semata-mata. Bukan fakta pun. Sekadar firasat mama yang memang menyimpang kesahihannya.

”Mama ni... jauh betul menyimpang jalan. Kalau sesat di hujung jalan, mama kenalah balik ke pangkal jalan. Jangan teruskan perjalanan, nanti sesat pulak, payah. Kesian abah kat rumah tu,” ucapku mengalihkan tajuk perbualan lagi.

Sedangkan aku sendiri pun tak tahu apakah yang aku cakapkan tu. Alah, tak kisahlah. Janji mama tak bercakap pasal tu lagi.

”Tengok tu. Kalau Lit dah mula merepek tu, maknanya betullah apa yang mama teka ni, kan?” tanya mama sambil letakkan beberapa jenis sayuran di dalam troli.
Macam nak buat kenduri. Tak pun, macam tak nak keluar rumah setahun tengok mama beli barang. Menimbun!

”Mama ni. Lit jumpa dia sepintas lalu je. Mana ada terjatuh ke tergolek hati ke. Lit yang terjatuh tergolek sungguh. Sakit kat punggung ni tak hilang lagi tau.” Aku cebirkan bibir dan aku beralih ke arah makanan basah.

Mata aku bulat tengok sotong yang segar bugar. Nak suruh mama masak sotong la hari ni. Aku memang gila sotong. Kalau orang gila kentang, tapi aku gila sotong.

”Mama rasa dah sampai masa untuk mama lepaskan Lit memilih. Semalam dah bincang dengan abah. Dah terlalu lama kami kongkong kebebesan Lit sebab risau. Lepas hal semalam tu, abah cakap, kami macam tak adil pada Lit. Belajar dah habis. Sebelum Lit kerja ke, kahwin ke, mama dan abah benarkan Lit hidup ikut cara Lit asalkan tak mencalar balarkan kepercayaan kami. Tu je mama minta,” ujar mama panjang lebar.

”Eh, ya ke? Lit tak kisahlah sebab Lit tahu mama dengan abah buat semua ni untuk kebaikan Lit. Tengok ha hari tu, sekali ke Lit keluar sorang-sorang, dah jadi macam tu haa,” ujarku di luar sedar.

”Jadi macam mana?” tanya mama pantas. Jarinya masih lihat membelek sotong-sotong tu. Mama ni semua nak belek. Aku pun tak tahu kenapa tapi mungkin sebab dia bekas staffnurse kot. Jadi, kebersihan dan kesihatan tu memang dia titikberatkan sangat.

”Err, jadi macam tu jelah. Eh, nanti Lit nak masak padprik la.” Aku laju je tukar tajuk lagi. Mama merengus lembut.

”Tukar tajuk lagi, kan?”

Aku ketawa. ”Sungguh pun, tak ada apalah! Nak tukar tajuk apa. Malam ni Lit masak, ya.” Aku raih lengan mama. Aku peluk erat-erat.

”Yalah-yalah. Anak dara kena pandai memasak. Asah bakat yang dah sedia ada tu. Jangan tahu karate orang je. Batang pisang abah belakang rumah tu, habis dah Lit tendang kalau bosan. Itu abah tak tengok lagi. Kalau abah tengok nanti, emm... mama tak tahulah nak jawab apa. Kemain penat abah tanam, awak pergi tendang,” bebel mama.

Aku ketawa kecil mendengar bebelan manja mama pasal pokok pisang belakang rumah kami tu. Dah lunyai pun. Sepohon tu dah menyembah bumi pun sebab aku kerjakan.

”Nanti Lit tanam lain untuk abah. Pisang memang tak berbuah dua kali tapi pokok pisang boleh tumbuh berkali-kali,” selaku mesra. Mama cubit lembut lenganku.

”Ada je menjawab...,” rungut mama. Aku ketawa lagi dan kali ini agak kuat sampaikan beberapa orang pekerja Parkson dah mula kalih pada aku dan mama.

”Haih, tak malu gelak kuat-kuat. Habis orang tengok nanti dia kata anak dara mama tak sopan pulak,” ucap mama sambil diketap giginya kuat.

Bibirku merekah dengan senyuman. ”Minta maaf.”

”Oh, ya....” Mama capai plastik. Aku hanya menolong dia memilih beberapa jenis lauk saja lagi. Stok dua minggu kata dia.

”Lit dah fikir apa yang mama cakap hari tu?” tanya mama tiba-tiba. Adeh, ni mesti pasal dia suruh aku kahwin ni. Takut sangat aku tak ada teman.

”Kalau pasal kahwin tu, Lit tak fikir lagi la, ma sebab Lit tak ada calon pun. Tak kan nak main sebat yang jumpa tepi jalan je.”

”Nak mama carikan?” Mama dah mula buat tawaran penghabisan stok.

”Mama...” Aku peluk bahu mama.

”... Lit tak terdesak lagi. Lit masih ada impian nak sambung belajar. Tak pun, nak kerja dulu. Nanti-nanti la kita fikirkan, ya,” pujukku lembut. Aku usap bahu mama beberapa kali.

”Emm, ikutlah kalau Lit cakap macam tu. Tapi, jangan bergurau macam hari tu lagi dengan mama. Mama tak boleh nak terima.” Mama sekali lagi mengingatkanku tentang perkara itu. Aku mengangguk.

”Dahlah tu. Nah ambil ni. Pergi timbang sana,” arah mama. Aku sambut plastik yang berisi lauk dan sayuran itu dari tangan mama, dan terus saja aku melangkah ke arah tempat timbangan.

”Encik, tolong timbang,” pintaku lembut pada lelaki yang sedang membelakangkanku.

Dia berpaling dan menyambut plastik yang aku hulurkan. Baru saja aku angkat mata menentang mata dia, plastik itu terlepas dari tanganku lalu jatuh di atas meja timbang tu.

”Eh, awak!!” seruku terkejut.

”Kenapa dengan saya?” tanya dia pula.

Aku tahu dia buat-buat tidak tahu. Aku tahu dia buat-buat tidak kenal akan diriku ini. Aku tahu dia cam aku dan aku terlalu cam wajah selekeh dia tu. Aku kenal lelaki yang berambut panjang di depanku ini. Aku memang amat cam wajah yang berjambang dan bermisai itu.

”Ini je ke?” tanya dia tanpa riak. Aku angguk.

”Hai, asyik terjatuh je awak ni. Semua benda nak jatuh. Hari tu jatuh terduduk, saya tolong sambut, lepas tu selendang, tak nak kutip, saya tolong kutip. Hari ni jatuh lauk-lauk depan saya ni, saya juga tolong kutip. Jangan masin mulut saya awak jatuh hati sudah,” sela dia tanpa melihatku. Dia nampak tekun saja menekan butang pada penimbang tu.

Ha, kan aku dah cakap. Dia memang kenal aku. Memang dia Usop Sonto. Punyalah aku nak melarikan diri tak sudi nak bersua mata dengan dia lagi, rupanya Tuhan memang nak temukan kami sekali lagi dan aku benar-benar harap ini adalah untuk terakhir kali.

”Eleh, tadi buat-buat tak kenal,” sinisku pada dia. Dia angkat wajah. Tanpa senyuman, tanpa riak marah.

”Eh, ada ke saya cakap tak kenal? Saya tanya kenapa dengan saya? Terkejut tengok saya kerja kat sini?”
Lain sangat dia kali ini. Hari tu masa dia hulurkan selendang aku tu, lembut je. Kali ini, penuh dengan sindiran.

”Emm, mana selendang saya hari tu?” tanyaku tiba-tiba bila teringatkan selendang berwarna ungu itu.
Dia menggariskan senyuman sinis di hujung bibirnya tapi tak pula dijawab soalan aku. Sebaliknya dia siapkan dulu kerja-kerja timbang menimbang ni lalu dia hulurkan pada aku. Aku biarkan saja. Tak sambut pun lantas dia letak atas rak penimbang tu.

”Kain tu saya dah basuh. Saya simpan nak bagi teman wanita saya nanti. Kan awak tak nak. Dari buang, membazir. Baik saya balik basuh!” tekan dia serius.

”Emm, eloklah. Simpanlah. Lagipun mahal harga selendang tu. Saya pasti awak tak mampu nak beli.” Aku mencebik geram.

Entah mengapa, aku lebih terpanggil untuk menyakitkan hati dia sebab aku memang rasa geram dan yang pasti bukan pasal hari tu lagi dah, tapi pasal lain. Pasal apa tu, aku tak tahu.

”Mahal ke?” tanya dia memerli.

”Mahal la dari yang murah tu,” selaku lalu aku gapai plastik-plastik tu dan terus berlalu.

”Hati-hati jalan tu....,” ucap dia sedikit kuat.
Langkah ku terhenti lalu aku berpaling pada dia. ”Kenapa pulak?”

”Jatuh awak boleh diangkat, jatuh hati, siapa nak bertanggungjawab?” Dia melebarkan senyum.

Emm, senyuman pertama kali aku melihat dia dulu. Rasa nak balas je senyum tu. Eh, apa aku merepek ni? Memang kau dah tak betul Jelita. Marahku pada diri sendiri.

”Ikut hatilah nak jatuh kat mana pun, janji jangan jatuh dekat awak sudah!” tegas aku dan aku terus berlalu tapi telinga aku ni sempat menangkap tawa halus dia.

”Menyampah. Jangan ingat aku nak datang pasaraya ni lagi. Dah black-listed!” Aku mula membebel sendiri menapak ke arah mama yang dah menuju ke kaunter bayaran tanpa sedar, mama sebenarnya ada di belakang aku.

Mujur mama tepuk bahuku, andai tidak memang aku tak sedar. ”Kenapa membebel ni?” tanya mama risau. Dia kalih ke belakang tapi Usop dah tak ada kat situ.

”Benci dengan jurutimbang tu. Tak nak datang sini lain kali!” Aku dah mula nak hentak kaki. Memang aku geram.

Balik rumah ni, yang jadi mangsa sah-sah batang pisang abah. Hai, baru tadi aku berniat nak ganti yang baru tapi nampaknya, aku kena tumbangkan lagi sebatang. Kalau tak, amukan badai dalam diri aku ni tak akan lepas. Boleh sakit jiwa!

”Ya Allah, cuba jangan jadi garang sangat, Jelita! Patutlah tak ada lelaki nak dekat. Dengan orang kerja tu pun Jelita nak ambil hati.” Mama menggeleng.

Dia ambil plastik dari tangan aku dan terus dia letak dalam troli. Kaki dia maju ke kaunter bayaran dan aku juga sama tapi kaki ini pegun seketika. Rasa ada yang memerhati. Bila aku kalih ternyata benar. Aku lihat Usop sedang menayangkan pashmina ungu muda itu pada aku.

~~~>bersambung

15 comments:

  1. rm..just teruskan. saya sokong anda!

    ReplyDelete
  2. bla nk sumbung nie??
    best2... :D

    ReplyDelete
  3. haha.....usop2...akhirnya jumpe gak ngn jelita..hehe

    ReplyDelete
  4. adesss. tersengih je baca cite nie.. dh mcm org x betul la plk.... hehehe.. tq RM memang bestttttttt sgt.... next n3 k.

    ReplyDelete
  5. siapakah en usop ni sebenarnya... hmmmm...

    ReplyDelete
  6. tolong jatuhkan ati Jelita ni usop.. hehe..
    konon2 ajeh tuh... padahal dlm ati suka.. hee.
    jelita,, jgn garang2... t tak terlawan.. hehe

    ReplyDelete
  7. jangan benci2. nanti dah terjatuh hati usop gak yang nak kena sambut. hehe.

    ReplyDelete
  8. next n3... kami tunggu usop tau... nak tengok babak yg seterusnya.. berapa lama jelita boleh tahan..hehehe :)

    ReplyDelete
  9. lit tak paham makna benci kut...benci tu kan benar-benar cinta...

    Misha

    ReplyDelete
  10. hahahha...usop ni mmg keje kt situ k, ntah2 part time jek..heehehe

    ReplyDelete