Saturday, February 04, 2012

Bila Nak Saksi? [14]

[14]

ENTAH mengapa, airmataku menitis setitis saat mendengarkan alunan ayat suci Al-Quran Nur Karrim yang Usop alunkan di dalam solat Maghrib tadi. Bila lihat dia berkain pelikat, aku rasa nak bahankan saja.

Sudahnya dia pakai baju dan kain abah. Baju pagoda dan kain pelikat warna coklat. Tapi, disebabkan dia Usop, berubah macam mana pun aku tetap nampak dia seorang yang tenang dan nakal di mata aku.

Macam mana nak cakap tak nakal, kalau sampai macam ni sekali dia heret aku masuk dalam permainan ni.
Sempat lagi mengintai ke dalam bilik solat di bilik sebelah dapur semata-mata nak tengok Usop menjadi imam pada ahli keluargaku yang lain.

“Alhamdulillah… sedap bacaan kamu Yusuff,” ucap abah setelah mengaminkan doa.

“Tak sangka masih ada anak muda yang mampu menjadi imam ni. Yalah, dunia sekarang ni bukan boleh kira. Kira boleh dimaafkanlah walaupun kamu bawa anak dara abah lari nikah ke Siam sebab kamu boleh ada didikan agama,” sindir abah pada dia.

Menyeringai wajah Usop kala itu. Aku nampak Abang Jeff tersenyum menyenget. Aku tahu dia pun nak ketawa bila abah cakap macam tu tapi tak jadi ketawa. Mungkin takut kena marah dengan abah.

Hati aku ni betul dah terjatuh dan ternyata Usoplah yang kutip dan benar seperti katanya, dia tak dapat pulangkan lagi pada aku dan dia bawa lari? Memang bawa lari jauh-jauh dah sebab aku sesaat pun tak mampu nak hilangkan dia dari degupan jantungku ini.

Tanpa sedar, pandangan kami bertaut. Cepat-cepat aku berlalu daripada ambang pintu bilik tu. Dahlah tak sempurna sekarang ni, main intai-intai anak teruna orang pulak aku ni. Sebab dah malu, aku segera panjat anak tangga menuju ke bilikku.

Sesudah rapatkan pintu, aku berlalu ke birai katil. Rambut panjang milik aku ni, aku sanggul tinggi membiarkan leherku terdedah. Panas sebenarnya. Panas dengan api yang bakal disembur oleh mulut abah dan mama nanti. Lepas tu minyak tanah daripada mulut Abang Jeff bila kami beritahu perkara sebenar nanti.

Aku kalih ke kiri. Surat nikah aku dan Usop itu, aku capai. Berani betul dia sampai sanggup buat surat nikah palsu ni. Tapi, bila sekali lihat memang macam betul. Aku sendiri pun tertipu. Mama dan abah apatah lagi. Mujur tak mengamuk tapi bakal mengamuk nanti.

Aku? Tahan telinga jelah. Paling teruk pun Usop kena halau, aku kena kuarantin sampai bila-bila dan paling parah, mama terus nikahkan aku dengan sesiapa je.

Entah macam mana, aku nak cakap yang Yusuff tu adalah Usop pada keluarga. Sungguh minda aku rasa kosong masa ni. Risaunya Tuhan saja yang tahu. Risau Abang Jeff buka langkah pencak silatnya terhadap Usop. Aku tahu Usop mampu melawan, tapi dia jenis menghormati orang apatah lagi orang tu adalah abang pada gadis yang dia cinta. Dia mesti menjadi karung guni nanti.

“Kenapalah awak buat macam ni, Usop? Kalau awak sendiri tahu saya cinta awak, tak perlu nak macam ni. Elok-elok mama abah suka, nanti dia seksa pulak,” keluhku sendiri sambil merebahkan badan ke katil.

Surat nikah tu aku tatap lama tanpa sedar aku mengukir senyum. Indah saja nama Jelita binti Johari dan Yusuff bin Yuzman tu ditulis dalam bahasa jawi. Aku baca lagi ke bawah.

Nombor kad pengenalan dia, nombor kad pengenalan aku dan hari ni baru aku tahu, dia sebaya Abang Jeff iaitu beza lima tahun daripada aku. Aku turun ke bawah dan mata aku ni tertancap pada mas kahwin dan jumlahnya? Free?!

Aku bingkas bangun. “Ya Tuhan, macam mana abah boleh tak perasaan budak Usop ni letak mas kahwin free? Eii, memanglah main marah je. Orang perhatikan betul-betullah. Nampak sangat surat nikah tipu!”

“Surat nikah tipu?”

Tiba-tiba je, aku ditanya balik dan bila aku panggung kepala ternyata Kak Shima dan menapak ke arahku.

“Kau nak cakap surat nikah kau dengan Usop tipu, macam tu?” tanya dia sekali lagi.
Aku telan liur. Tapi, andai tak berterus terang pada dia, aku nak berterus terang pada siapa lagi.

“Errr, kak. Sebe… narnya dia tu U…sop,” beritahuku lambat-lambat.

Mata Kak Shima membulat. “Jangan bergurau boleh tak?”

“Eleh, bergurau apa pulak. Sungguhlah. Dia Usop. Yusuff nama betul dia. Aku pun baru tahu…,” selaku.

“Ya Allah, macam mana dia nampak lain sangat? Sampaikan tak ada orang cam dia?” Tanya Kak Shima sambil menekup mulutnya.

Aku jungkit bahu dengan kepala menyenget ke kiri.

“Itulah… aku sendiri pun tak cam dia. Lain sangat. Macam dua orang berlainan. Kalau dia tak sengih tu, memang aku tak cam dia, kak.”

Kak Shima ketawa nipis. Aku pandang dia pelik.

“Ketawa kenapa?”

Dia menggeleng kemudiaannya. “Tak adalah. Tapi, memang lainlah. Aku tak dapat nak bayang macam mana kalau betul mama dengan abah tahu yang Yusuff yang dah jadi menantu dia tu adalah Usop yang pernah datang sebelum ni. Parahlah kau Lit. kata tak kahwin, tapi hakikatnya dah menikah dah!”

Terbeliak mata Kak Shima membuat ulasan. Apa masalah dia ni? Berpuluh kali dah aku cakap, aku tak kahwin dengan Usop tu tapi dia tetap nak tegakkan benang yang basah jugak.

Aku menggeleng kesal. “Memanglah dia tu Usop tapi betul ni, aku tak kahwin dengan dia.” Terus saja aku membantah.

Nak percaya ke tidak, aku memang kena buat dia percayakan aku. Bala bakal menyusul kejap lagi ni. Tinggal mama datang ajak aku turun je nanti nak makan malam. Dah lah aku kena masak padprik malam ni atas permintaan mama sebab pertama kali ‘suami’ aku tu jejakkan ke rumah ni. Padahal dah pernah jejak pun sebelum ni.
Kak Shima menggeleng tidak percaya.

“Kalau betul kau tak kahwin lagi dengan dia, tak kanlah dia berani nak mengaku, Lit. Dah tu, sanggup pulak mama suruh masak untuk dia kau masak?”

“Dah tu? Nak bantah cakap mama pulak? Dah lah aku hampir buat mama jadi Kassim Selamat sebab menangis,” sinisku geram.

Jari telunjuk Kak Shima terangkat dekat dengan muka aku. Aku nganga nak gigit tapi dia cepat-cepat jatuhkan.

“Oh, maknanya betullah kau nikah dengan dia, ya? Hari tu kemain kau berdolak dalih. Sekarang ni tengok. Dah terbukti, kan? Kau ni memanglah. Mujur abah tak mengamuk. Risau aku!”

Aku tepuk dahi. Ni lagi seorang. Tak kenal-kenal aku ke?

“Apa ni, kak? Memanglah dia Usop tapi aku tak kahwin lagi dengan dia. Dia tipu je tu. Ni surat nikah ni….” Aku suakan surat nikah tu pada Kak Shima.

“… mas kahwin pun dia tulis free!” tekanku geram.

Kak Shima terduduk di birai katil. Terus saja dia pegang kepala dia. Peninglah tu. Kesian pulak dia. Dah lah alahan teruk, pening lagi fikirkan masalah aku ni. Tapi aku, selain dia aku memang tak ada tempat nak berkongsi dah.

“Apa? Dia ingat aku ni tak ada harga ke? Jagalah dia… kahwin betul-betul nanti aku letak hantaran tinggi-tinggi biar dia tak mampu nak bagi,” gumamku sendiri.

“Kau memang nak kahwin dengan dia ke?” tanya Kak Shima tiba-tiba.

Kali ini, aku rasa lain macam je soalan dia. Tak ada curiga langsung. Rasa macam soalan jerangkap samar je. Dia ni mesti ada rahsiakan apa-apa daripada aku dan Abang Jeff? Ayat Usop tak habis lagi tadi dan soalan aku juga masih tergantung.

Aku perlukan jawapan dan jawapannya mestilah malam ni juga sebelum mama dan abah paksa Usop masuk bilik aku. Itu lagi bahaya dan menempah maut dan bala.

“Kenapa kau tanya macam tu? Macam ada apa-apa je ni?” Aku cuba memancing Kak Shima.
Kot-kot la dia memang berahsia dengan aku, nak je aku korek sehabis rapat ke kerak bumi.

Sudahnya Kak Shima jungkit bahu. “Kalau kau kata kau belum kahwin dengan dia, aku nak tak nak kenalah percaya. Tapi, masalahnya sekarang ni macam mana kau nak betulkan kenyataan ni pada abah dengan mama?”

Aku diam memikirkan soalan Kak Shima sebab aku sendiri pun dah serahkan perkara ini kepada Usop. Natijahnya nanti kami sama-samalah tanggung sebab aku yang mulakan dan dia yang akhirkan.

“Silap hari bulan, mama paksa kau nikah sungguh dengan Usop tu malam ni jugak!” sambung Kak Shima.

Aku terkedu. Jam terus berdetik dan bila-bila masa daripada sekarang mama akan menolak daun pintu aku untuk ajak kami makan malam dan belum sempat habis ayat yang hati aku bisikkan ni, ternyata pintu bilik diketuk sekali dan wajah mama tersembul kemudiaannya. Wajah sugul yang pasti!

“Kamu berdua buat apa lagi dalam bilik ni? Tak nak tolong mama hidang makan malam? Tak sudah-sudah lagi nak susahkan mama, Jelita?” tanya mama sinis.

Aku terus bangkit dari duduk. Kak Shima juga. Baru hendak menapak ke arah mama, dia terlebih dahulu mendekati kami.

“Lit minta maaf, ma,” pintaku dengan rasa bersalah menyelubungi diri.

Mama diam. Mengangguk tidak menggeleng jauh sekali. Dia hanya memandang aku dengan anak mata yang berkaca-kaca. Hidung tu sudah merah. Aku tahu mama dah banyak menangis hari ini. Semuanya sebab aku dan Usop. Kesian mama.
Mata ini mengerling Kak Shima. Dia jungkit bahu dan berlalu dengan alasan hendak menghidang makan malam.

“Lit minta maaf sebab dah bawa hal macam ni sampai ke rumah.” Aku meminta sekali lagi.

Memohon pengertian mama agar dia faham makna di sebalik kata-kata aku ni. Nak berterus terang tak berani lagi. Jadi, aku berkias jelah. Lepas makan baru cakap baik-baik. Masa tu perasaan mesti selesa sebab perut kenyang. Kan ada pepatah, gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati dan aku harap mama dan abah serta Abang Jeff pun akan senang hati juga nanti.

“Patutlah Lit dah pernah menangis minta maaf dengan mama sebelum ni. Rupanya sebab ni, kan?” tanya mama kembali.

Aku cuba ingat kembali peristiwa aku menangis pada mama seminggu sudah. Tapi, masa tu aku ingat mama dah tahu yang aku kenakan Usop dengan mengaku isteri dia sebab tu aku minta maaf. Tapi, bila mama tak tahu, aku rasa mama tak perlulah tahu sebab perkara itu sudah berlalu. Hari ini, lain pula jadinya. Bukan berlalu malah makin mendekat.

“Err masa tu… Lit… Lit… masa tu…” Aduhai, tergagap lagi.

“Masa tu Lit nak berterus terang dengan mama kan, yang Lit dah kahwin dengan Usop tu?”

Aku bulatkan mata sehabis bulat. Sampai senak dan sampai nak terkeluar daripada soket. Terkejut mama sebut nama Usop? Bukan Yusuff. Maknanya mama dah tahulah ni. Aduhai…

“Err, mama dah tahu ke?” tanyaku dengan riak terkejut.

Mama mengangguk. “Mata tu terkeluar daripada soket karang.” Mama menegur dan barulah aku sedar yang aku sedang jegilkan mata aku pada mama.

“Usop baru mengaku lepas solat tadi yang dialah Usop. Tu nama betul dia, Yusuff. Dah kemas macam tu nampak tampan pulak menantu mama tu, kan?”

Aiyark!! Mama ni nak marah ke, sedih ke atau suka menantu hantu dia tu? Aku pun dah pening dengan keluarga aku ni. Dari apa yang mama cakap ni, bermakna Usop tak bagitahu lagilah yang sebenar antara kami ni?

Dia memang nak kena. Masa dah suntuk ni. Kejap lagi makan malam, lepas tu sembang-sembang lepas tu mulalah semua pakat-pakat nak masuk tidur. Kalau aku mampu halau dia, aku memang nak halau tapi masalahnya, abah pulak. Pening dah!

“Mama suka dia ke?” tanyaku dengan riak yang lebih terkejut daripada tadi.
Mama diam seketika sebelum menjawab.

“Dah tu, Lit nak mama benci suami Lit, macam tu? Memang mama tak suka apa yang kamu buat ni. Tapi, dah jadi pun. Lit suka mama halau Usop keluar daripada rumah ni, macam tu?”

Cepat-cepat aku angguk. Aku memang berharap begitu buat masa ni. Cinta kami tu fakir kemudian. Nak kena tolak bala ni dulu.

“Apa Lit ni? Kamu tak sayang dia ke?”

Aku diam tak mampu menjawab sebab mama dah nampak naik angin sikit.

“Kalau tak sayang buat apa kamu kahwin dengan dia, Jelita?!” Suara mama dah makin berubah dan aku dah mula nak menangis.

“Errr, Lit sa…yang dia, ma,” akuiku jujur dari lubuk hati.

Memang itulah perasaanku pada Usop sejak kali pertama dia melanggar aku dulu. Sejak pertama kali dia lelar pergelangan tanganku. Sejak pertama kali dia hulurkan selendang aku tu dan sejak pertama kali dia belitkan selendang di kepalaku mahu menutup aurat yang bakal menjadi milik yang sah saja. Seperti mana dia pernah katakana padaku dulu.

“Dah tu kalau sayang, kenapa nak berdalih? Dulu kemain mama tanya tak… tak… tengok-tengok sampai Usop sendiri mengaku.” Mama bersuara lirih.

Aku diam seketika. Dalam kepala aku ni mula buat keputusan nak berterus terang je dengan mama. Biarlah tak kenyang tak ada tali kecapi, tak ada gendang segala. Aku nekad. Cinta aku pada keluarga lebih hebat daripada cinta aku pada Usop. Hilang Usop boleh cari ganti biarpun tak sama, tapi hilang mama, abah, Abang Jeff dan Kak Shima, aku sah-sah jadi sebatang kara.

“Mama sebenarnya… Lit dengan Usop tu be…”

Tak dan habis ayat lagi kali ni, suara abah pulak kuat menegur kami. Wajah itu tenang saja di ambang pintu bilik aku ni. Sejak mereka tahu aku ‘bersuami’ ni, bilik aku sudah kerap menerima kunjungan.

“Pukul berapa nak bagi menantu makan, mamanya?” tanya abah sinis padaku.
Mama bangkit dan mengesat hidungnya. Dia heret aku sama.

“Menantu mama tu suami Lit. Bukan mama patut layan dia di meja makan. Lit yang kena layan,” ujar mama membuatkan aku semakin menggigil.

“Mama…” Aku tarik tangan mama.

Dia merenung mataku lama. “Apa lagi?”

“Lit nak cakap sikit dulu.”

“Lepas makan kita cakap,” tukas mama lantas dia berlalu bersama abah.

Aku tepuk dahi sendiri. Terduduk mencangkung sekejap dengan semua ni. Ingat dah boleh selesai, tapi memang tak lah nampaknya. Berkali-kali aku menggeleng. Masih tidak percaya sebenarnya akan semua ni. Sungguh. Aku rasa macam mimpi.

Jadi, baik aku tidur kejap. Mana tahu, aku bangkit nanti, semuanya akan kembali seperti sedia kala. Aku bangkit dan hendak menuju ke arah katil bila mama memanggil.

“Jelita… cepatlah!”

Mama melaung namaku kuat dan yakinlah aku yang ini bukan main-main. Ini betul-betul. Cubaan…. Ini bukan cubaan, ini betul-betul! Aduhai…

***

MAKAN malam dia saja. Usop masih lagi dengan baju pagoda dan kain pelikat. Nampak macam penghuni rumah ini saja. Aku mula terkumat kamit pada dia yang duduk di mana? Duduk di sebelah aku la. Sakitlah otak aku ni bila mama paksa aku duduk sebelah Usop.

“Awak cakaplah lepas ni semuanya, ya? Kalau tak, saya buat muka awak tu jadi karung guni,” gumamku sambil mengetap gigi siap dengan senyuman paksa.

Usop sengih. “Nak cakap macam mana?” bisik dia pula.

Aku rasa nak sigung je mamat ni. Kau yang cari masalah, selesailah sendiri. Aku nak je membentak tapi depan rezeki, mama dan abah ajar tak baik bertekak. Nanti rezeki jauh. Jadi, aku tunduk saja menelan saki baki makanan yang memang tak boleh nak diterima tekak dah.

Abang Jeff tu dari tadi dok main mata dengan Usop. Ada apa-apa dua orang ni. Aku dapat rasa Usop dah cakap pada Abang Jeff melihatkan pada renungan Abang Jeff pada aku. Kak Shima tak ikut sama sebab dia nak rehat. Muntah teruk. Masa tak tahu mengandung kuat sihat waafiat je. Dan-dan tahu perut berisi, terus lemau, longlai. Memanglah pembawakan.

“Kamu buat kerja apa Usop? Dah tak jaga anak-anak yatim tu ke?” tanya abah memecahkan kesunyian makan malam kami.

Usop tak menjawab sebaliknya dia boleh pula minta air dengan aku. Aku tak nak bagi pada asalnya tapi bila tikaman mata mama lain macam je, aku paksa tangan aku ni jadi ringan dan Usop patut bersyukur sebab tangan aku ni ringan nak hulurkan dia segelas air. Kalau buatnya tangan aku ni ringan mencepuk dia, nahas dia kat meja makan ni.

“Terima kasih, yang,” ucap dia muka tak malu.

Aku bulatkan mata memberi amaran. Jangan nak kusutkan apa yang dah terbelit. Ni bukan tali lembut terbelit, tapi benang. Payah nak hurai. Silap-silap tak terurai langsung.

“Err… Sop jaga lagi rumah tu. Tu amanah pada Usop tu. Tak boleh nak tinggal. Dengan yang dah dewasa yang dah kerja pun Usop ambil tahu lagi. Hidup macam mana, okey ke tidak,” jawab dia.

Waktu ini, aku terus teringatkan kata-kata lelaki yang mengaku adik dia dekat Parkson tu. Encik Timbang yang sebenarnya. Betullah macam tu rupanya. Tapi, aku baru teringat, pemilik Honda EK berwarna perak metalik tu pulak. Mesti salah seorang daripada adik beradik dia kat rumah anak yatim tu jugak.

“Baguslah, Sop. Berbakti pada anak-anak yatim ni, besar pahalanya. Mereka tu amanah Allah pada kita.” Abah bersuara lagi.

Usop mengangguk beberapa kali. “InsyaAllah, bah!”

Abah? Tanpa dapat menahan rasa marah aku ni, aku siku dia kuat-kuat sampai mama pun perasan.

“Kenapa siku abang?” tanya dia. Alahai polosnya.

“Memandai ek.” Aku ketap gigi.

“Dah abah tanya, abang jawablah,” sela dia lagi. Bertambahlah la polosnya dengan kopiah putih di kepala tu.

Dalam hati aku ni dah membengkak dah. Jaga dia. Abang Jeff bergegar seluruh tubuh dia macam menahan gelak. Kejap lagi, lepas mama dan abah tidur, dua orang kaum adam ni akan aku kerjakan.

“Entahlah kamu ni, Lit. kenapa? Tak bangga suami kamu berbakti pada anak-anak yatim? Patutlah beria nak mengajar kat situ? Nak jumpa suami rupanya.” Abah memandang tepat ke arahku.

Pedih je ayat abah masuk ke telingaku. Nak tak nak aku sengih je dulu. Sengih selagi mampu sebab lepas ni aku tahu aku kena menangis. Menangis kena marah dan menangis kena halau pun boleh jadi juga.

“Hah, Sop. Abah tanya ni kamu tak jawab lagi.”

“Sop ada perniagaan sendiri, bah.”

“Dah lama berniaga?” tanya abah.

Banyak pulak soalan Encik Guru Besar ni. Tapi, bila fikir… patutlah abah tanya sebab ‘menantu’ dia ni baru pertama kali beramah mesra dengan kami.

“Dah lama tapi sekarang baru bertapak sendiri. Bertatih sikit-sikit dengan ilmu yang ada ni…” Lembut je suara dia menjawab.

Abah angguk lagi. “Baguslah. Bukan apa, risau juga nanti kamu nak bela anak bini kamu makan apa kalau tak kerja betul-betul.”

Dah sudah. Abah dah mula masuk bab anak bini dah. Bini pun belum, anak jauh la sekali.

Usop selera je suap nasi ke mulut dia. Mentang-mentanglah dia tahu aku yang masakkan semua ni. Dia ambil padprik tu. Lepas tu dia cedok pulak telur masak kurma tu. Biar dia makan sebab lepas ni dia akan keluarkan semula.

“Err, bini je dulu kot, bah. Anak tu nantilah dulu…”

Hah, berani dia menjawab lagi. Dia memang cari penyakit.

“Anak tekak ada? Nak? Tak pun anak lutut?” tanyaku sinis.

Dia senyum sinis juga. “Anak tekak abang pun ada. Anak yang merangkap cucu pada abah dan mama kot abah maksudkan?”
Tiba-tiba je abah ketawa. Mama senyum simpul. Abah Jeff tekup mulut. Aku je melopong.

“Ingatkan kahwin senyap-senyap dah berisi?” Mama terus bersuara.

“Emm, elok jugak tak berisi lagi. Abah nak buat kenduri doa selamat jugaklah untuk kamu berdua ni. Malu nanti orang tahu anak guru besar Johari kahwin koboi. Memang kamu tak kena tangkap tapi kahwin macam ni, macam kena tangkaplah. Macam abah tak bagi. Nantilah, tunggu cuti sekolah sikit hari lagi, abah fikir macam mana,” cadang abah.

Aku dah tunduk menekur ke pinggan. Sikit je lagi wajah aku ni nak mencecah pinggan. Abah dah masuk bab kenduri kendara dan aku semakin tersepit dengan bala. Malas dah nak fikir dulu, lebih baik aku habiskan nasi ni lepas tu nak pergi jumpa Kak Shima. Nak ajak Abang Jeff bermesyuarat pasal ni.

Elok je aku suap nasi ke mulut, abah bersuara lagi.

“Usop tidur sini jelah malam ni. Pindah sini terus. Bilik Jelita tu besar. Katil pun cukup besar. Tak elok sangat suami isteri berjauhan.”

Aku terus tersedak. “Eh, tak boleh, bah. Dia tak ada baju nak tukar.” Cepat-cepat aku membantah.

“Baju abah berlambak Lit…,” sela abah lalu dia bangkit menuju ke dapur.

“Tidur jelah sini Sop. Dah jadi rumah kamu juga ni haa,” tokok mama pula biarpun dengan suara yang sebu.

“Eh, tak apalah mama. Sop kena balik. Esok ada urusan kena keluar awal pagi. Takut tak sempat pulak,” tolak Usop sopan. Mama dia saja.

Aku pejam mata rapat. Nak kata lega, tak juga. Nafas ini semput. Minta nyawa… minta nyawa… Abang Jeff bangkit dan Usop juga. Tinggallah aku sendirian di meja makan yang agak bersepah. Kena kemas. Mama pun, konon aku dah jadi isteri ni dia lepas je semua aku buat. Nak suruh aku praktis ke apa.

***

AKU tolak pintu bilik Kak Shima. Bila aku rapatkan kembali pintu, dia berpaling dengan wajah yang agak pucat. Aku lihat, nasi di dalam pinggan tidak luak langsung. Teruk dia kali ini. Aku rasa, Abang Jeff dah pergi mohon cuti dengan universiti dia. Bertangguh lagi la satu semester.

“Okey ke, kak?” tanyaku.

Dia diam dan hanya mengedipkan matanya sekali. Aku pulak, terus batalkan niat nak minta pendapat dia melihatkan keadaan dia macam tu. Tak sampai hati. Aku sayang dia.

“Emm, tak nak makan aku bawak keluar la nasi ni, ya? Nanti semut pulak.”

Dia angguk juga. Abang Jeff pulak entah ke mana. Lepak dekat taman orkid mama agaknya dengan Usop.
Selepas aku tarik selimut Kak Shima sampai menutupi dada dia, perlahankan penghawa dingin, aku terus jinjit dulang tu keluar. Kaki ini meniti anak tangga satu persatu dan terus ke dapur. Masih ada sikit pinggan kotor yang berbaki.

Mama dan abah dah masuk berkurung. Biasalah. Abah esok kena ke sekolah. Mama pastilah dengan aktiviti berkebun dia. Aku pulak, masuk angin keluar asap.

Lebih kurang setengah jam, aku dah siap kemas semua periuk belanga. Siap mop sekali. Memang itulah cara mama. Jadi, aku pun terikut-ikut juga. Pembersih dan sangat elok untuk kesihatan.

Aku jenguk ke ruang tamu. Sunyi je. Aku jenguk ke luar, pun lengang. Agaknya Usop dah balik kot. Lagipun, dia bukan datang dengan kereta pun siang tadi. Aku tak nampak kenderaan lain selain kelisa mama, Toyota Vios abah, Honda City Abang Jeff dan basikal aku kat laman.

Dia balik jalan kaki la tu, desis hatiku saja nak pujuk hati. Biarlah dia. Aku dah tak larat nak fikir. Apa yang terjadi hari ni benar-benar buat aku penat.

Tanpa fikir panjang, aku terus saja panjat anak tangga ke atas. Aku lalu bilik mama. Lama aku terpaku di situ. Nak je ketuk tapi, kesian dekat mama. Sedih dia. Abah pun mesti pening nak cakap pada kawan-kawan dia nanti. Aku pun sama. Nak kena fikirkan cara sebelum abah dan mama buat persiapan untuk kenduri aku dan Usop. Untuk malam ni tidur dulu. Esok pagi-pagi aku cakap pada mama.

Aku akhirnya berlalu ke bilik. Tombol pintu aku pegang. Aku pulas perlahan dan terus aku tolak dan memboloskan diri ke dalam bilik. Katil sedang memanggil-manggil dan Usop, ikut dialah.

Ikatan tocang kuda aku ni, aku simpul buat sanggul. Tinggi menampakkan leher. Aku capai tuala nak ke bilik air dulu. Nak kena gosok gigi, cuci muka dulu baru boleh tidur. Belum sempat aku tolak pintu bilik air, aku terbias oleh bayang manusia dan bila aku berpaling, aku terus menjerit.

“Mama!! Ada perogol masuk bilik Lit!!” laungku sekuat hati.

~~~> bersambung

Cik Penulis : Maaf lewat sikit sebab layan industan jap. best jugak om shanti om tu. baru tgk.. seperti biasa, layan, komen dan maaf atas kekurangan.

13 comments:

  1. hahhahahhahahhahahhaaha....Usop & Jelita.....emmmmmmmmmmmmmmmm

    ReplyDelete
  2. makin menarik.......ntah2 mmg abah lit dah nikahkn lit ngan usop...mne tahu...takkn abg jeff bg usop masuk bilik adik dia...sambung2 rehan...mlm2 gelak sorang2 je baca n3 kali ni...heheh

    ReplyDelete
  3. ntah2 depa dua ni dah nikah oleh bapak lit diam2 kot...xkan senang2 usop leh masuk bilik lit.

    ReplyDelete
  4. lawak-lawak..gelak sensorang sy..eheh
    -che`leen-

    ReplyDelete
  5. esh..bhye neh..sop sop..bwk bersabar..haha

    ReplyDelete
  6. lucu la...bg dia org 2 kawin betl2..hehee

    ReplyDelete
  7. saya pun speku mcm komen yg lain2 jugak... lit dgn usop dah nikah...mungkin abg jeff jd wali, sbb abg dia dgn usop tu mcm ada smtg jek..hehe

    ReplyDelete
  8. Salam kak Rehan, cepat2 lah post next n3, tak sabar2 dah ni. hu hu

    ReplyDelete
  9. Usop usop, camanelah blh msk bilik anak dara orang? ha ha lawaklah cter ni sesuai nak ilang tensen, terus berkarya kak rehan, saya minat semua karya2 akak

    ReplyDelete
  10. ops, cik rehan. mana ada bahasa jawi. tulisan jawi ada la. pn prihatin.

    ReplyDelete
  11. mesti diorg ni dh dinikahkan x...
    klu x, xkan usop main redah masuk bilik lit tu...
    usop dgn jeff ni confirm best buddy...

    ReplyDelete