Monday, February 06, 2012

Bila Nak Saksi? [17]

[17]

JAM terus berdetik. Usop agaknya tak balik kot tengah hari ni. Eh kejap, kenapa aku nak dia balik sini pulak? Kan aku juga harap dia tak balik lagi? Pelik betul tapi bila aku fikir lama-lama, aku sebenarnya nak tanya dia pasal kereta tu. Maknanya Wahyudah tak berterus terang pada aku hari tu.

Aku yakin lelaki itu adalah Usop dan aku yakin, penampilan yang aku ingat-ingat lupa tadi adalah lelaki yang di depan rumah anak-anak yatim dulu tu. Aku yakin itu dan dia adalah Usop.

Siapa dia ni? Dia kerja apa sebenarnya dan tahap mana pendidikan dia? Tiba-tiba aku jadi nak tahu. Memanglah kami ni bukan sesiapa, dah alang-alang dia angkat diri sendiri menjadi suami aku, aku nak jugak tahu.

Dah puas mundar mandir di dalam bilik ni, mataku tertancap pada satu sampul surat di atas surat nikah aku tu. Cepat-cepat aku menggapainya.

“Surat apa pulak ni? Bila masa ada kat sini?” Aku menggumam sendiri.

Jari ni cepat je koyak sampul putih tu dan sungguh aku terduduk sekali lagi. Nasib baik terduduk di atas birai katil. Buatnya terduduk di atas lantai ni, naik kematu punggung.

Aku kedipkan mataku berkali-kali. Jumlah itu tepat. Yang satu lagi juga tepat. Ada wang sebanyak RM22.30 dan juga sekeping cek bernilai RM15 ribu di tanganku sekarang ni. Cepat-cepat aku capai pula surat nikah itu. Ada dua keping. Satu yang free tu, dan satu lagi yang punyai nilai.

Apa aku nak buat ni? “Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini. Andai benar ini adalah satu permainan, Kau tunjukkanlah hamba bernama Yusuff itu jalan yang lurus, jalan yang benar, Ya Allah,” doaku agak kuat.

Cek dan duit tadi aku masukkan semula ke dalam sampul surat tu. Aku tarik sekeping sampul surat berwarna coklat dari dalam laci dan terus aku masukkan surat nikah tu tadi ke dalam sampul.

Bila aku lihat jumlah dan ceknya sekali malah surat nikah tu siap dengan nombor siri lagi, aku ada rasa lain macam. Rasa curiga semakin membuak-buak. Rasa ingin tahu tu tak usah cakaplah. Rasa syak juga tak ketinggalan.

Bila macam ni, aku teringatkan perbualan mama dengan aku dulu. Juga perbualan aku dengan abah lepas aku jahanamkan batang pisang dia kali lepas.

Aku terduduk di birai katil. Menggaru kepala yang tidak gatal tapi teramatlah berserabut. Tak kanlah!
Kala ini, perbualan aku dan abah serta mama dulu tu terngiang-ngiang di dalam kepala ni. Berdengung macam lebah menyerang.

“Apa kata Lit kahwin?” Itulah soalan mama padaku.

“Lit macam ni abah nikahkan baru tahu!” Itu pulak apa yang abah cakap.

Masa tu abah serius tapi aku tahu dia tak maksudkan. Aku pun masa tu boleh tahan menjawabnya.

“Ada ke yang nak tahan nak jadi punch bag Lit? Kalau ada Lit tak keberatan.” Itulah jawapan aku pada keduanya hari tu.

Mama dan abah menggeleng saja masa tu dan aku pun hanya ketawa sebab dapat mengusik mama dan abah.

Ni dah hampir tengah hari dah. Aku rasa lepas Zohor nanti aku nak keluar dan akan aku bawa bersama surat nikah tu. Aku nekad sebab aku yakin, pasti dan mesti ni!

Hari ini hari Jumaat dah. Mungkin abah balik awal. Kak Shima pun mungkin balik awal. Nak pergi lepas solat Jumaat karang kantoi dengan abah dan Kak Shima pulak. Alang-alang aku pergi sekarang, baik aku pergi sekarang.

Cepat-cepat aku atur langkah menuju ke bilik air. Tadi, masa abah suruh mandi awal pagi tadi, aku tak mandi pun. Bukan nak ikut mereka berjemaah. Cumanya gosok gigi dan cuci muka je. Ni memang kena mandi sebab bau getah pisang je badan aku ni.

Dah siap mengenakan pakaian, aku terus menapak keluar setelah mengambil beg galasku. Baru saja nak menapak turun, langkahku pegun. Ada sesuatu yang aku lupa. Nak pergi sana macam ni tak sopan. Jadi aku masuk semula ke dalam bilik dan terus menuju ke almari.

Tak sempat nak tolak pintu almari lagi, mataku sekali lagi tertancap pada sehelai selendang.

“Eh, pashmina aku?!” seruku terkejut.

“Macam mana boleh ada kat sini pulak?” Aku ambil selendang berwarna ungu muda tu.

Aku letak atas kepala dan memang tak kena dengan blouse hijau aku ni. Aduhai, dah kena tukar baju pulak. Nak tak nak, aku tukar baju kemeja berwarna ungu gelap. Aku duduk di depan cermin dan kali ini, nekad. Sekali letak, jangan buka lagi dah.

Aku pakai anak tudung dan terus aku belit selendang itu di dalam di kepala. Nasib baik aku ada jenguk blog Hana Tajima Simpson, jadi aku tahulah sikit-sikit nak belit selendang.

Mungkin tak cantik, tak lah selekeh. Kalau Usop tengok, memang tak jadi nak berpisah dengan aku ni. Erk, apa aku cakap ni. Tiba-tiba, je ada rasa seriau dalam diri. Memang aku yakin tapi sampailah hati semua kalau betul macam aku fikir ni.

Aku kembali turun ke bawah. Pintu aku kunci siap-siap. Tak pernah aku kunci bilik sendiri tapi kali ini kena kunci. Bukan apa, takut nanti aku balik Usop selamba je tersadai atas katil aku. Kan naya tu!
Mata ini melilau mencari mama. Kat dapur tak ada, ni mesti kat laman rawat orkid dia tak pun kat kebun abah, siram tanaman. Aku hampir ke pintu besar dan terus menyarungkan kasut.

Tengah-tengah terbongkok aku ketatkan tali kasut, ada suara menegur dari belakang.

“Err, cari siapa ya, cik? Kalau nak berniaga, maaflah… mak cik tak nak.” Lembut je suara mama.

Aku senyum sendiri. Masih lagi mengetatkan tali kasut yang aku pakai. Sampailah mama tepuk bahuku lembut.

Aku berpaling perlahan. “Puan nak tak beli seorang anak dara?” tanyaku main-main.

Mama melopong. “Ya Allah, Jelita ke ni? Jelita binti Johari?” tanya mama tak percaya.
Aku angguk.

“Jelita anak mama. Anak guru besar Johari dai Sekolah Kebangsaan Alor Akar dan staffnurse pencen Junaidah binti Jusoh?”

Aku rasa nak buka je tudung di kepala aku ni bila dengar mama tanya macam tu. Ada ke patut dia sebut nama penuh dia dan abah? Siap bagi kerja lagi.

“Apa mama ni?!” tegurku geram.

Mama ketawa.

“Betul ke ni Lit?”

“Tak…” Aku menggeleng. Mama menggariskan senyuman tipis. Dia memegang pipiku dan mengusapnya lembut.

“Lit, kan?” tanya dia entah buat kali ke berapa dah. Memang aku dah tak tahan dah ni. Ada je aku merajuk nanti.

“Tak lah. Isteri Yusuff, kenapa?” Aku buat muka. Tapi, pelik tersebut nama tu pulak.

Mama ketawa besar. “Betullah tu. Mama memang harap Lit bertudung dah lama tapi mama tetap syukur biarpun bukan mama yang menyebabkan Lit bertudung. Sebab Lit dah bersuami, maruah diri dan suami wajib Lit jaga. Aurat ni, hanya untuk tatapan suami je tau,” ucap mama lembut.

Entahlah nak cakap apa dah. Mama pun macam ya ya je aku ni isteri Usop. Tapi tak apa. Aku akan jadi Mc’Gyver. Nantilah semua orang bila aku dapat tahu mereka ni semua berpakat nak mainkan aku.

“Kadang-kadang Lit tertanya, kenapa mama dah tak percayakan Lit?” Tanpa sedar, aku usulkan soalan tu.

Riak mama berubah. “Kenapa tanya macam tu?”

“Yalah, bila Lit cakap Lit dengan Usop bukan suami isteri, kenapa mama tak percaya?” tanyaku lagi.

Mama mengeluh. “Kenapa nak percaya, sedangkan dah terbukti, kan? Surat nikah tu. Lepas tu Usop tu boleh masuk bilik Lit. Mama yakin Usop tu baik dan dia tak akan masuk bilik anak dara orang sesuka hati kalau kata Lit tak ada kaitan dengan dia,” ujar mama membuatkan aku mengeluh sendiri.

“Payah Lit nak cakap pada mama…”

“Tak payah cakap dah. Mama tak kisah Lit kahwin dengan siapa pun. Kan mama pernah suruh Lit kahwin cepat-cepat. Keluar berteman, ada orang jaga. Nanti kita buat kenduri besar-besaran, ya?” pujuk mama sambil memegang pipiku.

Aduhai… kenduri dah pulak. Kenduri apanya? Kenduri arwah boleh tapi tunggu aku dapat jawapan dulu, nanti aku kerjakan Usop tu. Jaga dia.

“Eh, kejap. Pakai cantik-cantik ni nak pergi mana?” tanya mama. Baru nak tanya.

“Lit nak keluar kejap. Nak pergi jenguk Wahyudah dengan yang lain. Dah lama tak jumpa. Rindu la, ma.”

Mama angguk. “Kalau macam tu, pergilah. Tapi, telefon Usop dulu. Nanti dia cakap apa pulak keluar rumah tanpa izin dia,” pesan mama.

Aku mengeluh lagi. Nak tak nak kena angguk juga. Kena sabar sikit. Kena cari kebenaran dulu barulah aku boleh bersilat malam ni.

“Yalah, ma. Nanti Lit telefon dia.” Aku bersetuju saja dan mama tersenyum dan melambai menghantar langkahku.

Sedang elok aku keluar, sebuah teksi ada di perhentian teksi di depan sana. Aku cepat-cepat melambai dan terus menaiki teksi tersebut.

“Nak ke mana, cik?” tanya pak cik teksi ini.

“Err… pergi pejabat agama, ya pak cik,” jawabku sopan.

Kereta terus berlalu menjauh daripada kawasan perumahanku. Aku tarik sampul surat berwarna coklat tadi, dan aku tatap sekali lagi surat nikah tu. Terbentang Jabatan Agama Islam Pahang. Siap dengan tandatangan pendaftar lagi. Gambar aku dan Usop juga ada. Tapi ni gambar masa aku ambil lesen L tak lepas dulu. Tak silap aku gambar ni, abah je simpan.

“Mana la dia dapat gambar ni? Gambar masa umur 20 tahun,” keluhku perlahan.

Aku renung gambar Usop yang agak kabur tu. Tampan sungguh. Gambar dia ni nampak baru. Aku jelah nampak gambar macam dalam kenangan. Sabar jelah hati aku ni. Sampai tahap ni aku kena main. Teruk sangat ke aku kacau dia dengan Shila hari tu? Tiba-tiba rasa nak menangis.

Jauh perjalanan tapi tak luas pemandangan pun sebab daripada tadi mataku ini dok terpaku je pada surat nikah dan cek Maybank tu. Tandatangan tu jelas nama Yusuff. Aku rasa dia bukan tandatangan tapi dia tulis nama dia. Cuma ada la berangkai sikit. Sedar tak sedar, dah sampai dekat dengan Wisma Persekutuan, belakang Sekolah Methodist Girl School. Ada pulak budak-budak berlatih pasukan sorak hari ni. Sekolah aku dulu ni.

Aku terus membayar harga tambang dan menapak pantas ke arah bangunan setingkat di depan wisma. Pejabat agama. Baru je masuk, aku memberi salam. Ada yang menyambut dengan senyuman. Nasib baik tak ada orang ramai. Cepatlah sikit aku dapat keputusan.

“Ya cik boleh saya bantu?” tanya salah seorang yang manis bertudung.

“Err, saya nak minta tolong cik semak surat nikah saya ni boleh tak?” tanyaku.

Aku keluarkan surat nikah tu dari dalam beg galas dan terus aku letak di depan dia. Dia senyum dan mengangguk.

“Cik tunggu kejap, ya?”

Aku angguk dan hanya sabar menanti bila dia sedang menekan papan kekunci komputernya.
Tidak lama setelah itu, cik itu bangkit dan tersenyum padaku.

“Puan punya kad perakuan nikah tak siap lagi…” Suara cik ni lembut je. Dan-dan tu bertukar panggilan cik kepada puan. Masa ni aku dah yakin sangat.

“… sebab tarikh nikah puan baru dua minggu sudah jadi kad tu akan ambil masa sebulan paling cepat baru siap. Nanti, kalau dalam tempoh sebulan nanti, puan boleh call kita. Kita akan semak dalam sistem dah siap ke belum,’ ucapnya lagi.

Aku terdiam, terkedu, terkelu dan macam-macam ter lagi. Lebih parah, terkena. Tarikh ni sehari selepas aku terlantar kat hospital akibat kena belasah hari tu. Rasa nak menangis sungguh ni. Aku rasa nak sepak je semua orang. Aku rasa nak meraung je. Nak lari dari bumi dan nak menetap dekat Pluto, jauh dari orang.

“Tapi, surat nikah saya ni yang betul, kan?” tanyaku cuba memancing cik ni agar dia berkata tidak.
Tapi, semakin parah jiwa aku bila dia mengangguk.

“Yang ni yang original puan. Untuk simpanan puan sebagai isteri sebab nombor siri kat hujung ni ada huruf ‘I’ bermakna untuk isteri. Kalau ada huruf ‘S’ tu bermakna untuk simpanan suami puan,” terangnya lagi.

Aku tidak mampu berkata apa lagi. Kini terjawab sudah. Aku memang dinikahkan. Betullah kata dia hari itu, surat nikah ini adalah kepunyaanku. Dia bawa untuk simpananku.

Airmataku mengalir tanpa ku pinta. Cik ini pelik melihatku.

“Puan tak apa-apa ke? Janganlah sedih puan, kad tu tak apa. Yang penting surat nikah ni memang kena jaga elok-elok. Nanti nak bersalin apa semua, hospital nak surat nikah ni berbanding kad perakuan nikah tu,” pujuk cik comel ni.

Aku tak jadi nak sedih. Ada ke dia cakap aku sedih pasal kad perakuan nikah tak siap tu. Dia tak tahu hati aku ni sedang bernanah. Sampailah hati semua orang buat aku macam ni dan aku tahu, ni mesti Abang Jeff punya hal ni. Mesti dia yang jadi dalang. Benci abang!

Pelik juga, macam mana mereka boleh nikahkan aku tanpa persetujuan aku. Bukan ke syarat sah nikah perlu punyai pengantin lelaki dan perempuan, wali dan saksi? Aku memang dah pening. Atau aku masih terasa yang surat nikah ni tipu. Tapi, kalau dah sampai ada dalam sistem Jabatan Agama, tipu apa macam tu?

Sudahnya, aku kesat airmataku di pipi. “Tak apalah, cik. Saya tak sedih cuma terkilan. Terima kasih, cik. Saya balik dulu. Assalamualaikum,” ucapku lantas berlalu setelah menyimpan semula surat cinta pertama dan yang paling berharga tu.

Surat cinta yang telah sah dari Usop untuk aku. Senangnya aku bercinta. Sampai macam ni sekali ha. Tak susah-susah keluar dating, terus dating dalam rumah dan dalam bilik terus.

Keluar daripada Pejabat Agama, aku terus menapak perlahan-lahan hendak menuju ke rumah budak-budak tu. Tak adalah jauh sangat daripada sini. Cuma kalau jalan tu, penat la jugak. Aku lebih suka nak jalan kaki masa ni sebab nak meladeni rasa parah dalam hati ni.

Siapa yang jadi mastermind dalam pernikahan aku ni? Kecewanya menggunung. Kalau betul Abang Jeff, aku rasa aku tak nak mengaku dia abang kejap dan andai benar Kak Shima pun tahu pasal ni, aku rasa nak putuskan persabahatan dengan Kak Shima kejap.

Kejap jelah sebab aku sangat sayangkan keduanya. Kalau lama-lama nanti berdosa sebab putuskan silaturrahim pulak. Dah la bakal nak timang anak buah ni. Satu yang pelik, bila masa aku bagi persetujuan? Huh, naik semak kepala aku ni. Baru nak garu kepala tapi aku lupa yang kepala aku berlitup dengan tudung.

Aku pegang selendang ini. Selendang yang menjadi saksi pertemuan pertama aku dan Usop selama ni. Selendang yang membuatkan aku jatuh kasih pada Usop tapi masih adakah kasih pada dia yang kini bergelar suami tanpa pengetahuanku?
Buntu memang buntu. Sudahnya aku sampai juga setelah setengah jam berjalan sopan santun. Usop? Langsung aku tak telefon dia biarpun mama mengingatkanku. Bila difikirkan, aku patut maklumkan dia sebab dah terbukti dia suami aku. Aku wajib patuhi dia.

Dalam marah ni sebenarnya aku bahagia dan bersyukur tapi tak lama sebab rasa marah aku ni lagi hebat daripada rasa bahagia tu.

“Suami patut dipatuhi.” Itulah pesan mama terngiang-ngiang dalam kepala aku.

Lama aku berfikir di depan pagar rumah anak-anak yatim ni. Nampak sunyi dan sepi. Entah ada ke tidak penghuninya. Yang lelaki sah-sah bersiap nak solat Jumaat. Yang perempuan buat apa pulak?

Telefon bimbit aku keluarkan daripada beg galas. Nombor Usop aku dail. Aku harus beritahu dia. Buatnya dia tak rela, mati berdosa aku nanti.

“Lit ni…,” beritahuku usai memberi salam.

“Ya, sayang…” balas dia.

Patutlah berani ber abang ber sayang dengan aku, rupanya dia dah sah untuk aku. Patutlah mama cakap dia baik. Tak akan sanggup masuk bilik aku melainkan dia sah untuk aku dan patutlah Abang Jeff tak cepuk dia, memang adik ipar dia rupanya. Tapi, akulah yang masuk api keluar naga. Berapi dah nafas aku ni tahan marah.

Suara dia kedengaran mengah. Macam orang nak cepat je.

“Boleh ke macam ni, Sop?”

Aku dengar ada orang bertanya pada Usop. Macam kenal je suara tu. Tapi, kurang cam jadi aku buat tak tahu jelah. Malas nak fikir sebab masalah aku sendiri pun dah tak terfikir.

“Bolehlah nanti dia masuk, dia buat bahagian ni…” Usop membalas.

Aku dah naik geram. Aku telefon tapi dia boleh cakap dengan orang lain pulak. Ni nak marah ni.

“Usop!” panggilku keras. Dah terkurang ajar dengan suami sendiri. Ya Tuhan, ampun!

“Ya, sayang… ada apa? Abang tengah sibuk ni. Kejap lagi nak keluar sembahyang Jumaat dah dengan budak-budak tu. Sayang ada apa ni?”

Aku terlupa pulak. Kejap lagi Usop mesti datang sini sebab nak bawa adik-adik dia ni ke masjid. Salah timing la pulak aku datang.

“Lit kat mana ni?” tanya dia bila aku diam saja.

“Err… Lit kat luar. Beli barang sikit. Emm, tak apalah. Nak balik dah ni,” ucapku dan yang peliknya, otomatik aku biasakan diri aku Lit pada dia.

Nampak sangat tak? Aku pun tak tahu. Tapi, sebelum apa-apa aku kena cari mastermind dulu.
Baru saja nak berlalu, ada yang memberi salam pula.

“Assalamualaikum, cari siapa ya?”

Aku mengerutkan wajah. Aduhai, tertangkap pulak dah. Baru nak menyorok. Mesti dia beritahu Usop nanti aku datang.

“Waalaikummussalam…” Aku menjawab seraya berpaling dan bila aku lihat wajah tu, sungguh aku rasa nak pitam. Dia! Dan dia, tersenyum manis. Senyuman yang sama.

***

SAMPAI je rumah, aku terus dapatkan mama. Abah juga ada dah masa tu. Tengah bersiap nak ke masjid dah tu.

“Lit daripada mana? Cantik hari ni?” Abah jungkit kening.

Eleh, nak kenakan aku sebab pakai tudung la tu padahal dia tak tahu aku jadi NCIS kejap tadi. Pergi siasat.

“Saja jalan-jalan…,” jawabku malas.

Aku labuhkan tubuhku di atas sofa dan masa ni, abah tengah betulkan kopiah di atas kepala yang tak lama lagi tumbuh rambut la kot sebab dia kata nak buat rawatan Yun Nam.

“Eh, kata nak pergi rumah budak-budak tu, tak pergi?” Entah dari mana, mama pula muncul dan duduk di sebelah aku.

“Pergi kejap je. Kan budak-budak tu nak pergi masjid. Salah masa. Nantilah Lit pergi lain kali,” jawabku.

Dalam hati ni membentak hendak memberitahu mama tentang semua ni tapi aku perlu matang waktu ni. Seperti mana aku dan Kak Shima selalu pakai. ‘MSU’ yang membawa maksud, matang seiring usia dan aku perlu ‘MSU’ hari ni dan untuk selama ni.

“Murung je?” tanya abah pula.

“Penat.” Aku melepaskan keluhan kecil lalu menyandarkan kepalaku pada bahu mama.

Abah senyum. “Cantik anak abah bertudung. Kan elok macam ni.”

Aku jungkit kening. Mood dah hilang. Tapi, rasanya aku kena tanya kepastian daripada abah sejauh mana sahnya sebuah pernikahan tu tanpa persetujuan pengantin perempuan.
Tanya kena berlapik, biar mereka tak syak apa-apa sebab kalau jawapan abah boleh di terima, aku memang nak kenakan dia balik.

“Bah…,” seruku.

Abah yang ralit menonton rancangan Al-Kuliyah versi ulangan di TV3 berpaling ke arahku sekilas.

“Lit tanya sikit, boleh?”

“Tanyalah. Hari ni Lit tanya apa pun abah nak jawab.” Abah kemudiaannya memandang aku terus.

Aku jeling mama dan dia tersenyum

“Rukun sah nikah macam mana ya, bah? Bukan ke kena ada pengantin perempuan, lelaki, wali dan saksi, baru sah?”

Abah angguk. “Betullah tu.”

“Kalau kata tak ada pengantin perempuan?”

“Boleh je. Janji wali dia ada. Wali berhak nikahkan anak perempuan dengan mana-mana lelaki yang dia suka. Tapi, dengan persetujuan si perempuan tu lah. Boleh wali nak terus nikahkan pun tapi kalau macam abahlah, abah nak tanya anak abah setuju ke tidak. Macma tu la jawapannya,” jawab abah.

Aku angguk beberapa kali.

“Kalau abah nak nikahkan Lit pun boleh sebab dulu tu Lit dah pernah bagi persetujuan pada abah masa abah kata nak nikahkan Lit,” sambung abah lagi.

“Eh bila pulak?”

“Masa abah marah Lit rosakkan kebun abah tu lah. Memang Lit bergurau tapi abah tak masa tu. Abah sungguh-sungguh!” tekan abah.

Aku teringat balik perbualan kami hari tu. Mama pun ada.

“Betul ke macam tu, ma?”

Mama angguk. “Memang macam tu lah!”

“Habis tu kenapa abah tak nikah je Lit?” Aku sengaja main tarik tali dengan abah sebab aku rasa mereka semua terlibat.

Nak marah tak ada gunanya sebab mereka ibu bapaku. Derhaka saja je nanti biarpun syurga aku sudah berubah tempat. Bukan lagi di telapak kaki mama tapi di telapak kaki Usop. Namun, kasih sayang dan hormatku pada mama dan abah tak mungkin surut. Cuma kecil hati jugalah mereka layan aku macam ni.

“Nak nikahkan apa? Kan Lit dah nikah…” Abah ketawa dan bangkit lalu dia berlalu ke pintu besar.

Mama juga bangkit menghantar abah ke pintu. Eleh, nampak sangat abah dan mama nak lari daripada soalan maut aku. Pandai dia berlakon. Lit dah tahulah. Terus terang jelah, siapa yang nikahkan Lit, ucap hatiku geram. Aku tahu abah yang walikan aku.

Nanti Kak Shima dan Abang Jeff balik, aku siasat daripada dia pulak, siapa yang jadi saksi ni.
Penat berfikir, aku akhirnya tertidur di atas sofa. Nak sembahyang pun tak boleh jadi tidur jelah. Tadi bangkit jam 4.00 pagi. Lena kejap!

***

“SAYANG, bangkit sayang…”

Aku cuba angkat kelopak mataku bila terasa ada yang mengejutkanku. Siap pegang pipi lagi dan bila aku buka mata ternyata wajah Usop jelas di mataku.

Dia pegang pipiku lagi dan kali ini, aku malas nak membentak sebab semua ahli keluarga ada je. Lagipun dia suami, kan? Patutlah selamba dia je pegang aku sebelum ni. Boleh bergurau macam-macam lagi. Dah halal sungguh. Mengada je ajak aku halalkan hubungan ni.

Sengaja nak tambah dosa aku sebab berkasar dengan dia. Huh, bila tengok wajah bersih polos tu, aku rasa nak menangis pun ada. Sampai hati dia buat aku macam ni.

“Sayang tak sihat ke? Kenapa tidur tengah hari tadi tak bangkit-bangkit lagi ni?” Riaknya risau.

“Itulah mama suruh kamu balik awal sikit. Mama kejut tak sedar-sedar. Risau mama.”

Aku dengar suara mama pula. Perlahan-lahan aku bangkit dari pembaringan dan hendak duduk. Bila Usop memaut tubuhku, aku menepis perlahan. Bibirnya menguntum senyum.

Aku tahu, mereka semua ni tak tahu lagi pasal ni. Dia tak tahu aku ni tak lah bodoh pun. Cerdiklah juga. Gred Ijazah Rekabentuk Hiasan Dalam kelas pertama lagi tu.

“Cantik sayang pakai tudung macam ni,” ucap Usop berbisik.

Patutlah… aku lena dengan pakai selendang lagi. Dia menatap aku dalam-dalam.

“Risau abang. Sayang tak sihat ke? Sesungut ek?” tanya dia seraya duduk di sisiku.

“Erk, sesungut?” tanyaku kuat.

Abah, mama, Abang Jeff dan Kak Shima ketawa kuat. Aku jeling pada mereka semua tapi langsung tak membunuh tawa mereka.

“Yalah, sayang kena sesungut ke?” tanya dia lagi. Alahai, yakin je dia sebut sesungut tu.

“Sesungut apa? Sesengat ada? Nak Lit sengat awak ke?” tanyaku geram.

Usop garu kepala. “Tapi, Shima cakap sayang…”

“Senggugut la wei… kau ni tak agak-agak!” sampuk Kak Shima.

Aku dah agak dah. Mereka ni ada sesuatu ni. Dari cara percakapan pun aku dah boleh agak dah. Jagalah kau Shi. Jaga kau! Hatiku mendongkol geram.

“Oh, lain ek. Hah, sayang kena yang tu ke?” tanya dia lagi.

“Mana adalah. Sesengat ada,” gumamku mengetap gigi.

“Pulak dah. Abang ingat apalah. Abang sibuk hari ni. Dah terpaksa balik juga.”

Aku terasa hati kali ini dengan dia. Terpaksa balik? Dah tu, aku ni siapa kalau dia terpaksa balik? Dah lah kahwin di balik tabir macam ni je. Rosak impian aku nak pakai gaun putih macam Cinderella tu. Kot ya pun tak ada gaun, baju kurung warna putih mutiara pun jadilah. Ini aku dinikahkan masa aku terlantar kat katil hospital. Masa bilalah mereka pergi nikahkan aku.

“Dah tu, balik buat apa?” tanyaku serak.

Usop senyum. “Abang balik nak ajak sayang pergi rumah sewa abang ni. Ambil baju. Berani?” Dia jungkit kening mencabar aku lagi.

Eleh, dia ingat aku tak tahu lagi jadi dia rasa aku takutlah tu nak ikut dia. Silaplah. Ini Jelita. Lembut-lembut kasar. Kasar-kasar lembut. Aku pun tak tahu aku cakap apa dah. Memang pening tidur membawa ke lewat petang. Boleh jadi tak betul ni.

“Boleh. Jom kita pergi sekarang,” ajakku lantas aku bangkit dari duduk.

Usop dan semua memandang aku pelik.

“Eh, dah nak Maghrib ni. Lepas Maghriblah.”

“Eh, nanti awak tak ada baju nak tukar nanti. Jomlah sekarang.” Aku terus menggesa.

Usop merenung ahli keluargaku seorang demi seorang dan aku perasaan yang Abang Jeff sedang tahan tawa. Mereka ni ada hubungan lama ni. Tebak hatiku sendiri. Usop memandang aku semula.

“Kot ya pun, Lit pergilah mandi dulu. Tukar baju. Abang tunggu.” Dia masih lagi berdalih.
Dia ingat aku takut kot. Aku dalam hati dah gelak jahat.

“Ala, Lit mandi rumah abang. Nanti Lit ambil baju kejap.”

Aku terus saja berlari ke atas dan seketika kemudian aku turun semula ke bawah. Usop sedang garu kepala di sisi Abang Jeff.

“Aku rasa dah sampai masanya ni, Sop.” Abang Jeff bersuara pada dia.

Aku senyum sinis. Sah memang sah. Kalau tak, tak kan dia sesenang itu tahu tentang aku dan keluarga aku. Tapi, masalahnya, bila tu?

“Ehem.. ehem…” Aku berdehem dan Usop terus berpaling dan Abang Jeff terus sengih.

“Ya, sayang… abang datang!” Tiba-tiba je Abang Jeff menyahut pada Kak Shima padahal aku tak dengar pun suara Kak Shima memanggil dia. Memang sah dia berlakon.

Usop beriak risau. “Eh, awak betul ke nak ke rumah saya ni? Tak takut kena tangkap nanti. Tak pun tak takut saya buat apa-apa nanti?” tanya dia.

Aku menggeleng. “Berani awak buat saya? Kan awak juga cakap pada mama semalam nak ajak saya ke rumah awak. Ni saya nak pergilah ni,” selaku berlagak tak tahu apa-apa.

“Nak pergi tak nak ni? Kalau tak nak awak boleh balik dan jangan datang jumpa saya lagi,” ugutku.

Usop menggeleng pantas. “Eh, janganlah macam tu. Nanti saya rindu, macam mana.” Dia buat muka sedih.

Kakiku terus saja menapak ke arah Honda EK milik Usop. Memang sah kereta dia. Siap ada pelekat Persatuan Karate Pahang dan rumah anak-anak yatim tu lagi. Memang betullah dia ni boleh buat aku sakit jiwa.

Cuma aku terfikir ni, macam mana perempuan yang menegurku di rumah anak-anak yatim tadi tu boleh ada kat sana masa tu? Terlalu banyak kebetulan.

~~~> bersambung

Cik Penulis : Ilmu sikit. Pernikahan macam ni sah.. Harap kita dah share sikit ilmu...dah rujuk pada yg pakar ni.

18 comments:

  1. banyaknya... misteri usop...
    selongkar lit jng tak selongkar siapa usop ni..
    usop & ur family dah puas main game..
    ni tiba masa lit pulak main peranan... hehehe.
    mesti rehan tahu camna nak huru hara kan si usop ni.. tapi jng berat sgt...

    ReplyDelete
  2. nk tnye sikit..mas kawen negri mne rm22.30...kalo johor bkn rm22.50 ker

    ReplyDelete
    Replies
    1. setiap negeri tak sama jumlah mas kawen yg ditetapkn oleh pej agama...lagi satu jumlah mas kawen pengantin pompuan boleh tentukn bape dia nak n x semestinya spt yg tlh ditetapkn oleh pej agama....sbb mas kawen adalah hak pengantin pompuan n sape x boleh nak ambil hatta suami sendiri...beza kn wang hantaran....seladar berkongsi...wallahualam...

      Delete
    2. setiap negri xsme tu mmg tau...hehehhe..tp setau sye lah yg plg murah mmg johor rm22.50...tu yg pelik der pulak rm22.30..igt cik penulis slh taip..sye mmg tau beze mas kwen n wang hantaran..tq sbb info anda...

      Delete
  3. Best citer ni....mysterious Usop. Tu yang buat pembaca tertanya-tanya dan ternanti-nanti. So, terjawab sudah Jelita dah jadi Puan Jelita. Suka sangat. Dan siapa pulak perempuan yang Jelita jumpa tu??? Misteri lagi....

    Bestla Rehan...Keep on writing. Chaiyo!!!

    -ety.s

    ReplyDelete
    Replies
    1. status lit dah terjawab tp sape ye pompuan tu?..misteri uso pun ada lg x terjawab ...ni pompuan tu pula....

      Delete
  4. best! xsbr nk tahu camne dowg leh khwin..

    ReplyDelete
  5. bez sgt......;)wt cpt2..heheh..da mmg mroyan tgu cita nihhhhh..;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sampai meroyan.. kite plak rasa macam takut bukak aje blog nie takde entry baru.. takut keciwa

      Delete
  6. hahahaa...
    klau lit pi goda usop ni,
    lgi la usop cuak agaknya.
    lit mainkn usop ni dlu.
    jgn senang2 je ngaku.

    ReplyDelete
  7. memg sah kak.. sy blaja bab nikah2 ni tme frm 5..smpi skrg igt lg.. haha.. sronuk cter akk ni.. jelita baik btol kn, x cpt melenting.. bgus2..hee..

    ReplyDelete
  8. selongkar abis2 lit...
    jgn sgan2 dah...
    da mmg pgkat laki bini kan...
    tp bleh la plak family lit wat cm tu kan...
    xde can la lit nk b'gmbr mse nkah..huhuhu

    ReplyDelete
  9. oooooooo..br makcik paham..eheh!
    -che`leen-

    ReplyDelete
  10. akhirnya tersingkap segala misteri....

    ReplyDelete
  11. tak sabar nak tunggu n3 baru.. cyaiyok rehan. kasi semangat skit cepat2 updates n3..

    ReplyDelete
  12. seram pulak si usop nieh. perempuan mana pulak tegur tdi? ishhhh.
    next entry please :)

    ReplyDelete
  13. mcm kes yg jd tmpt kita hr tu je,dinikahkan senyap2 oleh fmly.
    Ni mesti perempuan yg tempat lit i/view hari tu...

    ReplyDelete
  14. owh, ni mesti lit dinikahkn sbb diorg risau sgt lps lit kne tumbuk msa tournament tu...
    alahai, lit...
    xyah lah sensitip sgt ye...
    family lit syg lit sgat2 tu...

    ReplyDelete