Wednesday, May 16, 2012

Suami Tak Kuhadap 2

BAB 2

JELINGAN Faez langsung tidak ku hiraukan. Dia tenang menghampiri keretanya namun resah perasaannya itu dapat kukesan jua. Bibir itu nampak bergetar hendak menuturkan sesuatu namun sayang bila dia telan saja akhirnya lalu dia kembali menatap bumi yang dilitupi tar hitam.

“Aez nak cakap, kan? Sila cakap!” suruhku agak tegas. Berubah langsung.

Tiada lagi kemesraan. Tiada juga senyuman. Hanya wajah kaku semata-mata tanpa memandang dia.



“Erkk…” Faez kelu bila aku menyergah. Kunci di tangannya di genggam erat.

“Aez tak tahu nak tanya apa.”

“Aez mesti nak tanya pasal hal tadi, kan?”

Lambat-lambat Faez mengangguk.

“Jadi, tanyalah. Apa yang Aez nak tahu?” Aku menggiat.

Hendak bercerita, aku sendiri tidak tahu hendak bermula dari mana. Mudah hendak aku memberi jawapan andai dia bertanya.

Dia nampak menelan liur berkali-kali. Nampak takut pula. Dia memang pengecut padaku. Namun, ada sifat yang baik dan luhur dalam dirinya yang membuatkan aku selesa dengan Faez. Tidak mendesak walaupun agak keanak-anakan.

“Err… siapa lelaki tadi tu?” tanya Faez akhirnya.

Aku senyum sinis. “Budriz.” Aku menjawab sepatah.

“Dia siapa dengan Syai?”

“Tak ada sesiapa.”

“Tapi dia kata dia abang Syai. Aez tak pernah tahu yang Syai ada abang. Setahu Aez Syai sebatang kara, kan?” soal dia lagi. Ada curiga di balik wajahnya.

“Memang dia bukan sesiapa. Kami tak ada pertalian darah dan secara logiknya dia bukan abang Syai. Dia adalah anak tiri ayah sebab bondanya kahwin dengan ayah. Itu je. Yang lain, kami tak ada kaitan,” jawabku jujur dan agak kasar.

Faez nampak gamam. “Aez tak pernah tahu pun selama ni?”

“Sebab tak ada kepentingan dia untuk kita. Untuk hidup Syai,” bentakku sedikit.

Wajah Faez nampak berkerut. Aku tahu dia sedang mencurigai aku dan agak kurang berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan. Selama berkenalan dengan dia beberapa tahun sudah, sepatah pun tidak aku ungkapkan perihal keluarga. Berat lidah hendak mengungkap kata.

“Aez boleh terima alasan Syai tu, tapi kenapa sampaikan soal ayah Syai pun, Syai tak nak cerita dekat Aez?” Suara Faez kedengaran tidak berpuas hati.

Aku senyum lagi pada dia yang mula nampak tidak senang duduk. Jiwa dan perasaannya nampak terganggu.

“Ayah yang tak pernah ambil peduli dengan kepentingan anak tunggalnya? Ayah itu ke yang Aez maksudkan?”

Dia mengucap panjang. “Astaghfirullah, Syai… apa-apa pun dia tetap ayah Syai. Dia akan walikan pernikahan kita nanti. Kenapa Syai tak pernah cakap dengan Aez semua ni? Tentang keluarga Syai?”

Aku merengus bila Faez membentak sedemikian. “Sebab Syai dah lama buang mereka tu dari hidup Syai!”

“Tapi, tak boleh macam ni, Syai. Keluarga tu penting…”

“Untuk orang lain tapi tidak pada Syai!” pangkasku keras.

“Maknanya, tak ada guna kita kahwin, kan? Sebab Syai tak pentingkan hubungan kekeluargaan?” tebak dia juga turut melengking.

Aku telan liur. Sejarah lama kian berulang dan kali ini bersama Faez. Lelaki yang berjanji hendak mengharungi hidup denganku mula berpaling tadah.

“Kenapa? Aez takut Syai tak boleh sayang Aez? Macam tu?”

“Bukan macam tu, Syai. Tapi, serta-merta Aez takut bila tengok Syai macam tu tadi. Seolah-olah Aez tak kenal siapa lagi Syaima yang bersama Aez selama ni. Syai berubah seratus peratus. Siapa Syai sebenarnya?” Berkerut keningnya menyoal aku sedemikian.

Sesak nafas ku kala ini. Aku telan liur yang terasa kelat tiba-tiba. Soalan Faez benar-benar membuatkan aku terhenyak. Siapa aku? Apakah aku? Terngiang-ngiang suara ayah. Hidup aku tiada jiwa biarpun bernyawa. Bagaikan mayat hidup saja.

“Aez cintakan Syai, kan?” Tiba-tiba, terpacul soalan itu dari bibirku. Ada genangan yang membuatkan pandanganku kabur seketika.

“Aez cintakan Syai tapi…”

“Tapi tak mampu nak terima lepas tengok Syai bersikap macam tadi? Aez nak mencari isteri yang secantik bidadari, seindah wanita Melayu terakhir, kan?”

Dia diam dan menelan liurnya. Wajah itu nampak pucat.

“Bukankah kita saling mencintai diri masing-masing seadanya kita?” tekanku lagi.

“Aez takut… Aez…” Dia menundukkan wajahnya ke bumi sekali lagi. Lengannya bertongkat pada tubuh Toyota Wish miliknya. Wajah itu tegang.

Aku tahu dia berperang dengan hati sendiri dan kala ini, rasanya terbukti kehebatan cinta Faez padaku.

“Kesal cintakan orang macam Syai?” dugaku lagi.

Dia menggeleng. “Aez tak kesal tapi Aez takut.”

“Kenapa nak takut kalau Aez bercinta?”

Waktu ini airmataku semakin menujah tembok kelopak mata kerana aku mula sedar, aku bakal kehilangan Faez tidak cepat dan tidak lambat. Yang pastinya sekarang ini.

“Aez dah macam tak kenal Syai lepas apa yang terjadi tadi. Aez nampak Syai lain sangat. Wajah lembut Syai hilang. Atau Syai memang ada kisah silam yang Syai tak nak Aez tahu?”

“Kisah silam untuk disimpan, Aez. Bukan untuk dicanang!” tegasku separuh berbisik.

“Tapi, bila lihatkan marah Syai pada Budriz, Aez yakin ada sesuatu antara korang, kan? Sesuatu yang Aez tak tahu. Betul tak?” tanya dia.

Matanya terarah tepat kepada aku yang sedang menapak mendekat pada dia sedikit. Bila aku semakin menghampiri, Faez membetulkan tegak tubuhnya itu. Aku angkat sedikit wajahku melihat mata yang tampak jelas dengan rasa sesal itu.

“Kalau Aez nak tahu, dia tu perosak,” jawabku separuh berbisik.

“Perosak seluruh hidup Syai selama ni,” sambungku lagi.

Wajah Faez semakin tegang. “Apa maksud Syai kata dia rosakkan hidup Syai? Syai jangan cakap yang Syai…” Faez terhenti di situ. Dia menggeleng beberapa kali.

Tahu akan apa yang bermain di fikiran Faez, aku ketawa sinis. Semudah itu dia menilai makna yang tersirat di sebalik apa yang aku zahirkan. Aku menggeleng juga menidakkan anggapannya.

“Jangan salah faham, Aez. Dia tu…”

“Memang aku perosak.”

Aku tersentak. Faez juga. Kami sama-sama kalih ke belakang dan ternyata Budriz berdiri tegak di belakang kami.

“Memang aku satu-satunya lelaki yang dah rosakkan dia, Faez. Kalau kau rasa kau boleh terima perempuan yang aku dah usik, kau boleh ambil. Kalau kau rasa tak boleh, pulangkan pada aku!” sambung Budriz lagi.

Mataku membulat. Mata Faez juga. “Syai, apa ni? Kenapa Syai tipu Aez? Betul ke apa yang dia cakap ni, Syai?”

Dadaku sesak. Nafasku lelah. Tergamak Budriz berkata demikian. Tak cukup lagikah dia merampas kebahagiaan aku dan hari ni, ingin rampas maruah dan air muka serta lelaki yang mencintai aku ini?

“Kau jangan biadap, Budriz!” marahku kuat.

Temannya nampak kecut kala ini. Aku pandang keduanya silih berganti. Tajam menikam dan mampu membunuh andai renungan ini adalah satu senjata.

“Abang tak pernah biadap dengan Syai. Dari dulu sampai hari Syai lari, abang yang jaga Syai. Tengok-tengokkan Syai. Tadi siapa yang biadap? Abang ke Syai? Baju abang ni….” Budriz mengibas-ngibas kemeja biru lautnya yang masih basah.

“… siapa yang simbah dengan air? Syai ke abang yang biadap?” tanya dia keras.

Aku telan liur. Mata ini aku larikan pada Faez dan ternyata dia kaku membisu. Nampak termakan dengan kata-kata Budriz.

“Kalaulah aku mampu bunuh kau, Budriz…” Aku mengeluh sendiri.

“Dan kalaulah abang tak kemalangan dulu…” sahutnya pula.

Nampak sikit kekesalan kerana kebetulan itu. Atau patutkah aku panggilnya suratan bila tarikh itu sama dengan tarikh pemergiaan mak sewaktu dia pulang setelah menghantarku ke hospital sepuluh tahun dulu.

“Betul ke Syai yang Syai dah rosak?” Soalan Faez berdengung dalam kepala.

Aku pejam mata rapat-rapat. Jika aku menyatakan tidak, kuatkan Faez hendak percaya? Kuatkan cintanya hendak mempertahankan aku di hatinya?

“Aez jangan percayakan dia. Dia memang sengaja nak jahanamkan kita!” jawabku sambil menjeling ke arah Budriz.

“Macam mana Aez tak nak percaya kalau dia bersungguh-sungguh mengaku, Syai? Kenapa Syai bohong Aez?”

Aku menggeleng menahan sebak. “Syai tak pernah bohong Aez. Lelaki ni tak pernah usik Syai. Percayalah, Aez,” pujukku.

Namun sayang, bila Faez menggeleng dan terus menggeleng. Pintu kereta dibuka.

“Bagi masa pada Aez, Syai. Kepala Aez bercelaru dengan semua ni. Maafkan, Aez,” ucap dia lantas dia merapatkan pintu kereta dan berlalu pergi biarpun aku berkali-kali mengetuk cermin keretanya pohon secubit simpati untuk aku sandarkan hati.

Sayang seribu kali sayang bila dia meluncur pergi. Aku tahu Faez menangis dan hati aku juga meraung hebat biarpun aku tidak mampu mengalirkan airmata. Kini, aku kehilangan lagi. Kehilangan sudahnya angkara makhluk yang sama.

Perlahan-lahan, aku kalih pada Budriz. Dia masam tanpa riak. Wajah itu semakin tampan. Masih tinggi dan sasa bagai dulu. Malah semakin segak dengan pakaiannya yang kemas dan rambut yang terpacak. Kumis tipis dan janggut sejemputnya benar-benar memukau mata namun keindahan wajahnya langsung tidak mampu menjentik hati ini.

“Kenapa kau buat aku macam ni, Budriz? Apa lagi yang kau nak dari aku sampaikan maruah aku pun kau permainkan dengan hujung jari kau saja?” tanyaku tenang.

Terik mentari tengah hari langsung tidak memberi kesan lagi. Dingin di dalam hati kian membeku dan makin membeku. Pemergiaan Faez yang mendesak itu membuatkan aku yakin. Aku wanita yang tidak ditakdirkan untuk lelaki.

“Sebab abang tak nampak dia boleh jadi pelindung adik abang ni, Syai,” jawab dia sambil cuba melelar pergelangan tanganku sekali lagi namun pantas aku mengelak.

“Aku dah didik diri aku melewati segalanya dalam hidup ini tanpa penjaga, Budriz. Jadi untuk apa kau nak risaukan aku?”

Dalam hati, aku harus iyakan kata-kata Budriz. Memang Faez pengecut. Dia memang begitu pada awalnya dan begini juga di pengakhiran kami. Pedihnya hati, parahnya jiwa, tak mampu aku gambarkan dengan kata-kata.

“Abang rindukan Syai. Ayah hari-hari merintih mencari Syai. Rumah kita kosong Syai. Kenapa Syai tak tinggal kat situ je? Kenapa mesti lari sampai kami tak mampu nak kesan?” soal dia dengan suara kembali lembut setelah mencalarkan harga diriku.

Aku senyum sinis lagi. “Rumah itu bukan aku punya. Itu rumah ayah. Aku dan ibu hanya menumpang. Bila ibu tak ada, rumah tu hak kau dan bonda kau, Budriz. Bukan hak aku lagi setelah kau dan bonda kau rampas segalanya daripada aku dan ibu,” jawabku keras.

Syed Ahmad Budriz mengeluh berat. Dia meraup wajah tampanya berkali-kali. Bibir itu menyebut Tuhan tanpa putus.

“Perkara dah lama tu, Syai. Bukan salah abang pun. Dah jodoh mereka.”

“Memang bukan salah kau pada pandangan masyarakat. Tapi bagi aku, kau adalah pesalah aku yang utama dan terima kasih menjadikan hari aku ini hari yang kedua malang setelah pemergian ibu,” sinisku.

Budriz ketap bibir. Aku tahu dia sedang dilanda rasa malu yang maha hebat. Tapi aku tidak kisah. Dia tersilap langkah kerana terlalu ramah hendak menegurku tadi.

“Syai tu yang tak boleh nak terima kehendak takdir!” tekannya separuh berbisik. Aku mendekatkan sedikit wajahku ke wajahnya. Menyaingi ketinggian susuk tubuh sasa itu.

“Takdir aku, aku punya sukalah,” ujarku berbisik.

Sengaja menyakitkan hati dia. Aku menggariskan senyuman sinis di hujung bibir. Tanpa kuduga, Budriz memaut daguku kasar. Membawa mata kami bersabung dekat antara satu sama lain hingga dapat aku rasakan hangatkan nafas kasar itu.

“Syai tak pernah beri peluang untuk kami kasihi Syai. Abang dengan bonda sayangkan Syai tapi Syai sendiri tolak kami dan menjadikan kami orang asing!” cemuhnya.
Aku tolak tangannya yang memaut daguku lantas aku cekak kolar bajunya. Biarpun aku tahu bila-bila masa dia mampu menolak tubuhku jatuh ke bumi, aku juga tidak gentar.

“Kasih sayang kau dan bonda kau tak pernah bernilai pada aku, Budriz. Kau boleh ambil apa saja dari aku tapi tidak kasih sayang aku. Untuk kau dan bonda kau yang memang tak layak untuk aku sayangi,” ucapku lagi. Berbisik dalam nada yang tajam menikam.

Kolar bajunya aku lepas. Dia dia mencerlung pandang padaku.

“Buruk sangat ke kami untuk terima kasih sayang Syai?”

Aku menggeleng bersama sekuntum senyum manis untuk dia. Aku lihat Syed Ahmad Budriz menelan liur merenung mataku.

“Kau dengan bonda kau tak buruk pada mata aku, Budriz. Tapi, terlalu jijik!” ujarku lantas aku kuak rambut yang terbang dielus angin.

Serentak itu aku berlalu menapak ke arah kereta Kelisa milikku yang terparkir tidak jauh dari tempat kami berdiri dan bila aku mahu kuak pintu kereta, dia pantas menghalang laluan.

“Syai cabar abang, kan?” tanya Budriz dengan mata yang merah. Tiba-tiba saja, bila dia lekapkan kedua belah telapak tangannya ke keretaku membawa aku terperangkap di tengah-tengah.

~~> bersambung

69 comments:

  1. rasa nak lempang budriz .. tapi rasa nya syai pun layak gak dilempang ... heheheh ... apa2 pun ... best .. sila tepek lagi ... hehe

    hotmum

    ReplyDelete
  2. ala..skit nyer..smbung lg..

    ReplyDelete
  3. huish mmg xreti bhasa la budriz nie
    2 mesti nak wat jahat la 2..

    ReplyDelete
  4. ahhaaha...lempang laju2..
    nk budriz sbg hero.

    ReplyDelete
  5. uhuk...ayat2 rehan...menikam sey... -liyahuma-

    ReplyDelete
  6. alahai...kasi lak syai naik myvi elegance..hehehe..mcm fiah, kelisa tk best lah..

    ReplyDelete
  7. hahaha...kesian syai...best2...

    ReplyDelete
  8. Cite makin best, xsabar next n3 please

    ReplyDelete
    Replies
    1. x silap cite ni dr cerpen .. pembunuh cinta ...kisah shima ...tp mmg best...sambung lg rehan

      Delete
    2. btw... cinta yang kau bunuh..dari situ tapi lain..sikit2 mmg dari situ.. dan nama tu bukan shima..nama watak tu maisurah..hehe

      Delete
  9. kesian syai kn? rasa cm maruah dia dipijak2 je. syai memang patut pon rasa cm tu kat budriz ngan mak dia coz laki kalau berpoligami, xramai yang mampu berlaku adil. by hook or by crook, mesti lebihkan isteri kedua :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmg betul pun kalu laki berpoligami slalu lbh kan isteri ke 2.. sye mcm phm si syai nie sbb ayah sye pun berpoligami gak tp lbh kan isteri ke 2.. da dkt 20thn sye xpnh jmpe ayah sye

      Delete
    2. Tpi dlm kisah ni budriz dgm mak dia jd watak baik.. Yg jd watak antagonis mcm syai la pulak huhu..

      Delete
  10. dua-dua layak kena sepuk... hmmmmmm...

    ReplyDelete
  11. ohh syai...sadis nyer hdup dia..uhuk3

    ReplyDelete
  12. Eee....geram betullah dekat Budriz ni...
    Tak habis nak kacau Syai...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau Budriz dah habis kacau Syai....habislah cerita ni. he he he....

      Delete
  13. best2 tapi dapat agak crtenye heheheh cewah..
    tak sbr nk tnggu next epi kak REHAN MAKHTAR

    ReplyDelete
  14. aku kalau baca ayat2 RM boleh menyetak jantung... Aksi dua2 watak ni bila bersama memang sempoi.Likeeee...

    ReplyDelete
  15. Kak Rehan rasa mcm nk tumbuk je budriz bole x?? hehehe
    jahat btl la si budriz bkn nk bg syai hidup ngn aman

    ReplyDelete
  16. wow mmg best..bgi sy syai ni yg ego sgt.xde prasaan.hehe..budriz ni nmpk ambik berat dgn syai tp syai yg x dpt trima..dari pndapat sy la :)..tak sabar mnggu nxt n3 ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. bingo! mmg betul la apa awk rasa atikah bila bca teaser nxt ep...

      Delete
  17. ngeeeeee :) ada bau2 cinta di mata Budriz

    ReplyDelete
  18. suka hati ja budriz tu main MARUAH seorang wanita.... macamana kalau maruah bonda dia yang di buat begitu....
    rasanya Syai dah banyak bersabar kan???... kenapa rasa sedih sangat.... rasa nak lempang budriz ja... mulut x ada insuran.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. ermm rasanya kalau mulut xde insuran, syai pun sama, yg bezanya budriz buat mcm tu sbb ada niat baik di sebaliknya tapi syai... hati dia penuh duka dan dendam, tu psl mulut dia xde insuran kalau ckp psl keluarga dia yg 'hilang'

      Delete
  19. seperti biasa terbaekkkk...

    ReplyDelete
  20. terbaekk...!!!! :D

    ReplyDelete
  21. terbaikkkkk RM...............

    ReplyDelete
  22. dendam yang susah untuk dileraikan. hati dah jadi batu

    ReplyDelete
  23. budriz tu dh jdi suami syai kan..
    tu pasl dia xreti bahse..hik2

    tp aku rasa nk lmpang faez ni..bkn lelaki sejati..

    ::tR::

    ReplyDelete
  24. alahai syai...kasar n keras sahaja..
    tp pasti budriz ada penawarnya..

    ReplyDelete
  25. geram giler dgn budriz..
    rase nk sepak2 je..

    ReplyDelete
  26. Tak suka bila Budriz memfitnah Syai.... Menjatuhkan maruah dan aib seorg perempuan..

    And hoping secretly that Syai won't fall for Budriz but from the way this story goes, cam tinggal harapan jer...

    Boleh tak, setiap kali Syai dimalukan, Budriz pun menerima balasannya and vice versa....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe sabar byk2, budriz buat sume tu mmg brsebab, nnt bru kte tau btapa sygnya dia kt syai, dan perangai syai yg biadap kt ayh sndri tu nnt mmg ptut kne pelempang hehe.. Nk tau watak budriz dgn syai yg sbnr, cuba bca cerpen rehan cinta yg kau bunuh

      Delete
    2. if you read teaser for STK 3.. you'll be secretly hoping that syai would fall for budriz ;)

      Delete
  27. teruk betul si Faez tu baru kena gertak sikit dengan Budriz pasal kesucian Syai terus lari..tak guna betul..apa2 pun harap biar la Budriz hero citer ni..hihihi

    ReplyDelete
  28. mak aihh , garangnya dua dua org nie. tape tape , ade abang budriz nak kasi syaima cair. hehee :)

    #Murni Tan

    ReplyDelete
  29. apa jenis jantan la faez tu???hehehehe bru gertak sikit dah menggigil satu badan...lembik sangat. nak lagi cik writer!!!

    ReplyDelete
  30. syaima mmg x sesuai pun ngn faez,ngn budriz lg bgus, budriz tu nmpk tegas skit..hheehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju.. mmg buku bertemu ruas la syaima dgn budriz tu.. faez mmg penulis jadikan watak dia tak kuat sbb buka dia hero heheh

      Delete
  31. perghhh.. gila arh syai ni.. kalau lah saya jadi budriz, dah lama dah bdk si syai ni kona lompang.... hahaha

    ReplyDelete
  32. hoho....suka la budriz nie =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan? kan? hehe.. saya pun suka budriz.. tpi sian dia nk menghadap perangai syai yg hati dia dh mati tu.. takut nnti tajuk citer ni jadi isteri tak kuhadap pulak haha

      Delete
  33. hehehe sis rehan.. Fristtime komen kat blog akak tak pndai bgi nm taruk anymos jela.. Hehehe.. Ap pun yg kt nak komen mrah ngan watak buzris tp dia gak yg jdi hero dlm cite nie.. Dia jdi kwin ngan syaima tu.. Hehhee, best kak cpt2 smbg tw..

    ReplyDelete
  34. Pergh! Syai! Nak kene lempang ngan Budriz ke? heheheh

    ReplyDelete
  35. berani ya si Syai ni cbr Budriz. lelaki tu Syai! awak tu perempuan! ish3

    ReplyDelete
  36. cepat2 la smbg... xsabar nak tahu apa budriz buat kat syaima.....

    ReplyDelete
  37. berdebar debar baca citer ni.. best2...

    ReplyDelete
  38. berdebar debar baca citer ni.. best2...

    ReplyDelete
  39. Budriz tu dah jatuh kasih kat Syai tapi Syai tu yang keras kepala terlalu mengikut perasaan. Tapi rasanya kalu saya di tempat Syai, saya pun akan berperasaan begitu kalu kasih ayah berbahagi dua dan menidakkan kepentingan di saat2 akhir arwah, serasa bumi yang dipijak tidak kukuh paksinya. Sedihnya tak dapat ditahan.

    ReplyDelete
  40. faez yg lembikk, mmg x padan dgn syai... suka watak syai & budriz, jarang de hero n heroin yg sama2 garang. x sabo nk baca nxt n3

    ReplyDelete
  41. Oh, saya tak sukalah dengan tajuk ni.

    ReplyDelete
  42. timekasih sume sudi singgah n layan STK.. sgt2 hargai semuanya... pada yang tak suka tajuk ni.. HADAP ni bukan mcm yg kita cakap seharian tu.. dalam kamus dewan

    hadap (kata nama)
    1. Bersinonim dengan hala: arah, haluan, tuju, tala, tepas, paran,

    2. Bersinonim dengan muka: depan, hadapan, haluan,

    jadi dalam tajuk ni...maksudnya lebih kurang ...
    tak sanggup bersua muka la..

    ReplyDelete
  43. gile punye dendam syai ni...huhu...

    ReplyDelete
  44. tah nap sy suka je budriz tu..sy rs sbnarnya dia fall in luv dgn syai n 1 g dia nk jd plindung syai tp sbb syai tu xsk dia so dia gn cara y kejam la..sy suka budriz..mesti dia romantik kan,,

    ReplyDelete
  45. sesak nafas bca n3 nie..
    eeii...budriz tu nape?
    rehan...suka btul bt cite yg suspen sgt cmniee
    x saba nk tunggu next n3
    bila agknya nk reveal psl syaima n budriz?

    ReplyDelete
  46. BESSSSSSSSTTTTTT SGGGGTTTTTT, SMBG SMPIII ABIS CITEEEE PLLLLZZZZ... :)

    ReplyDelete
  47. comment bg bab 2 STK
    semakin menarik ayat2 di garap...tp dr sini sy sudah hampir dpt meneka,kenapa,mengapa budriz bertindak begitu.. dan plotnya pun rasanya spt hampir boleh sy kesan...
    erkk...tentang tajuk..makna HADAP yg penulis hujah kan ini memang tiada dalam erti kata sebenar perkataan itu sendiri,HADAP di sini spt yg sy terangkan makna dlm KH mengalas maksud..tidak ingini,tidak mencintai jd disini penulis telah terkhilaf apabila menggunakan perkataan secara sesuka hati tanpa membawa maksud rujukan yg sebenar...kurang sesuai dgn matlamat" Bahasa Jiwa Bangsa" untuk nvl yg dicanangkan garapannya bg mendidik anak bangsa..............wassalam(BCGTR4)..

    ReplyDelete
  48. inilah satu kesan poligami terhadap psikologi anak2...
    kesian Syai terperangkap dgn dendam yg xsudah, menutup semua ruang utk disyangi... harp ada ruang kemaafan utk Budriz, bondanya dan ayah Syai sendiri.

    ReplyDelete
  49. Dasyat konflik syai dgn budriz ni..
    ke budriz suka dgn syai?

    ReplyDelete
  50. syai sangat agresif. ok la tue. kekadang apa yang nak kita sampaikan boleh jadi menjadi perkara lain. seelokny kata2 itu kena jelas. tak bleh nak salahkn aez. dan tak boleh nak salahkan bud gak. ape2 syai tgh marah. teringat kisah2 lama.

    ReplyDelete
  51. Cardio Abs you decide to train at home however this post is mainly about
    the P90x Order Of Workouts Classic. On August 31, 2007,
    X program last for approximately 13 weeks and requires that exercise six days per week.
    This is the power all those who have ended the Classic program and want to work out much
    more. If you are interested in building the body of your dreams then you have the answer to your problems and all playing a game or going in for a jog.


    Feel free to surf to my blog ... go to this site

    ReplyDelete
  52. Rasa mcm nk lempang jer, sape?.....nk lempang faez hehehe

    ReplyDelete