Wednesday, May 23, 2012

Suami Tak Kuhadap 7

BAB 7

DUA HARI diganggu oleh pesanan ringkas daripada Budriz dan juga panggilan daripadanya benar-benar membuatkan aku tidak betah duduk. Akhirnya, aku mencampakkan telefon bimbitku ke dinding. Senang begitu. Pecah berderah.


Dua hari juga tanpa keluar bekerja dan dua hari yang aku habiskan dengan memunggah sedikit barang-barangku untuk masuk semula ke rumah yang pernah kau huni bersama ibu.

Aku sentuh langsir berwarna peach lembut. Berhabuk teruk. Sampaikan aku terbersin berkali-kali. Saat ini, aku terdengar ibu ketawa lantas aku pejamkan mata. Rindu hadir lagi.

Kembali ke rumah ini dengan harapan, hidupku tidak diganggu mereka seperti mana janji ayah.

“Maaflah, Syai. Ibu tak sempat nak buang habuk kat rumah kita ni. Agak penat sikit sehari dua ni.” Ibu terbatuk waktu itu.

Dia lantas melabuhkan duduk di atas sofa yang masih diliputi kain putih tanda rumah yang tidak berpenghuni sekian lama. Rasa sepi dan suasana hening yang menyucuk hati.

“Ibu tak sihat ke? Syai tengok sehari dua ni ibu lemah je?” tanyaku yang menapak hendak mendekati ibu.

Dia senyum. “Ibu sihat, nak. Ibu akan sihat untuk Syai. Syai adalah satu-satunya tujuan hidup ibu di dunia ini. Selebihnya, ibu dah serahkan untung nasib ibu pada Allah.”

Kala itu, aku tidak mengerti akan kata-kata ibu biarpun aku sudah menginjak dewasa waktu itu. Kata-kata ibu aku telan dengan senyuman. Dia terbatuk lagi lalu aku bangkit dan berlalu ke stor dan kembali semula dengan kain dan sebaldi air.

“Nak buat apa tu?” tanya ibu.

“Nak lap ni. Nanti tak adalah ibu batuk-batuk lagi. Syai kan sayang ibu.” Aku bersuara manja sambil tangan ligat mengelap habuk di atas kabinet berwarna hitam berkilat itu.

“Syai memang anak ibu yang baik. Apa-apa jadi, Syai terus tabah,” pesan dia.

Aku diam. Dalam hatiku rasa lain macam kini. Ada rasa sedih dan kecewa dengan sikap pelindung kami.

“Ayah dah jarang balik, kan bu? Syai rindu ayah lah.” Sengaja aku bersuara lirih agar ibu juga mengerti akan kerinduanku pada ayah.

Tanpa aku tahu, ibu pastilah merindui ayah kala itu kerana dia telah berkongsi hidup selama ini dengan ayah.

“Ayah ada hal. Nanti sampai waktu, ibu perlu kembali… insyaAllah ayah akan balik masa tu, Syai,” luah ibu agak sebak.

Aku kalih pada dia. Mata redup dan letih itu aku renung semahuku. Ada genangan jernih pada tubir matanya yang nampak berkaca dan berkedut itu.

Ibu menangis! Keluh hatiku sendiri. Kain basah di tangan aku letak di dalam baldi berisi air. Tanganku, aku lap pada baju T dan kaki ini menapak pada ibu lalu aku jatuhkan lutut di depannya yang mencengkam bahagian perut. Nampak sakit amat.

“Ibu sakit ke?” Aku resah sendiri.

Namun, bila ibu menggeleng, aku hela nafas lega. Lega bila mata ibu mula bersinar dalam kelesuan.

“Ibu tak sakit, Syai. Mungkin ayah tak ada dengan kita tapi Syai kena ingat, ayah pasti ingatkan Syai setiap masa,” pujuk ibu.

Dia menarik kepalaku lalu direbahkan di atas ribanya. Rasa hangat usapan tangan tua itu pada kepalaku membuatkan aku memegang kepalaku sendiri. Dapat kurasakan usapan mesra itu hingga ke hari ini. Dan itulah yang terakhir kali kerana ibu dimamah parasit kanser di dalam rahimnya. Tanpa aku tahu, tanpa dia khabarkan.

Sudah tidak mampu rasanya dihambat kenangan demi kenangan lalu. Tak mampu berlari. Kaki ini hampir tidak mampu bertahan.

“Kalau dia ingatkan Syai, kenapa dia tak balik masa ibu meninggal? Kenapa dia lebihkan puaka dua orang tu?” tempikku di luar sedar.

Serentak itu, aku membentak pasu bunga kaca di atas kabinet kotor berhabuk itu. Langsung terhempas ke lantai dan pecah berderai namun remuk hatiku masih hebat ditoreh luka.

Airmata yang menitis ke pipi, aku seka pantas dengan hujung jari. Airmata ini telah kuharamkan menyimbah wajah. Mulusnya wajahku tersimpan berjuta amarah yang menghambat jauh kelembutan hinggakan airmata pun gerun hendak menyentuh pipi.

Sudahnya, aku melangkah ke dapur. Rumah yang kotor ini harus aku bersihkan. Seketika nanti, ada urusan yang perlu aku siapkan. Ada warkah yang perlu aku tintakan.

***

BEBERAPA minggu sudah, aku hadir di depan pintu kaca Binajaya Sdn. Bhd. kerana mencari rezeki setelah peluang itu ada. Tapi hari ini, aku hadir juga setelah dua hari menghilangkan diri dari mereka.

Lambat-lambat aku tolak pintu itu dan Najwa terus berdiri tegak dengan wajah yang risau. Gundah itu jelas tergambar di wajah hitam manis itu.

“Syai… mana awak pergi?” tanya Najwa sambil mendekatiku.

Aku angkat tangan menahan dia dari memelukku. “Tak ada apa. Saya ada hal sikit. Pindah rumah,” jawabku jujur.

“Tapi, saya cuba call awak. Tak dapat.”

“Saya baling handphone saya ke dinding.” Selamba aku menjawab.

Najwa nampak mencebik. “Awak bergurau, ya?” tebak dia.

Aku sekadar menjungkitkan bahu tanpa malas hendak melayan andai dia tidak percaya.

“Bos ada? Dia ada cari saya tak?” soalku mengubah topik.

Najwa menjatuhkan kepalanya beberapa kali.

“Dia marah ke?”

Dia menggeleng pula.

“Boleh saya jumpa dia?” tanyaku.

“Emm… Puan Sarimah memang sedang tungguh awak, Syai,” balas Najwa.

“Thanks, Najwa.”

Bahunya aku tepuk beberapa kali dan kaki ini maju ke arah pintu yang tertera nama Sarimah Sh. itu. Agak unik namanya.
Setelah sekali kuketuk daun pintu, aku dengar suaranya menyeru aku masuk. Daun pintu aku tolak perlahan dan memang benar kata Najwa. Dia sedang merenung tepat ke arahku.

“Assalamualaikum, puan,” sapaku mendatar.

“Waalaikummussalam, Syai. Duduk,” suruhnya tapi aku menggeleng.

“Saya datang sekejap je ni. Saya nak serahkan sesuatu.”

“Apa ya?” tanya ringkas.

“Ini surat perletakan jawatan saya, puan.” Surat bersampul coklat gelap itu aku letak cermat di atas meja Puan Sarimah.

Dia mendongak mencari mataku lantas dia membawa kedua belah tangannya menongkat dagu. Renungannya langsung tidak menggambarkan dia marah setelah dua hari aku tidak hadir ke pejabat dan gagal dikesan.

“Saya agak kecewa dengan kamu, Syai. Bukan apa… saya ingat lepas dua hari kamu bercuti, tak sihat mungkin… kamu akan kembali bersemangat bekerja tapi rupanya ini yang saya dapat.” Dia menggeleng kesal sambil menjuihkan bibirnya ke arah surat itu.

“Maaf, puan,” pintaku dengan rasa bersalah.

Puan Sarimah tidak menjawab sebaliknya dia bangkit dari kerusi eksekutif itu lantas berjalan perlahan ke arahku. Punggungnya dilabuhkan di birai meja. Dia memeluk tubuh dan bibir itu menguntum senyum.

“Kenapa nak berhenti kerja? Saya tak marah kamu pun. Saya nampak kesungguhan dalam diri kamu, Syai. Mungkin kamu tak sihat dua hari sudah dan mahu bersendiri. Sebab tu saya tak marah. Tapi, hari ni kamu datang nak berhenti kerja? Cuba kamu cakap dekat saya, apa masalah kamu?” soal dia bertali arus.

“Atau kamu ada masalah dengan pekerja-pekerja yang lain?” tanya dia lagi.

Aku menggeleng menidakkannya. Semua pekerja di sini tidaklah rapat denganku tapi mereka juga tidak pernah mengganggu hidupku melainkan lelaki itu saja. Biarpun tidak sepejabat namun, sebumbung dengannya membuatkan aku hampir hilang kewarasan.

“Saya tak ada alasan puan. Saya nak berhenti kerja dan itu suratnya. Lagipun, masih tak sampai sebulan saya kerja dan jangan risau sebab saya tak akan tuntut gaji saya. Terima kasih atas peluang yang puan berikan pada saya,” ujarku mendatar lantas aku berpaling hendak melangkah keluar.

Keluar dalam erti kata yang sebenarnya. Anggap saja ini bukan rezeki untukku biarpun Puan Sarimah terlalu baik melayani. Berat rasa hati kerana rasa ada sedikit kasih yang kembali hidup melihatkan wanita ini. Tergambar di mindaku wajah ibu.

Namun, memang benar agaknya yang aku tidak layak menyayangi atau disayangi. Lantas takdir tetap menduga, membawa Budriz dekat dan amat rapat hinggakan aku terpaksa berlari dan terus berlari.

“Atau sebab saya minta awak hantar surat ke Perunding AZ tempoh hari membuatkan awak rasa saya suruh awak buat kerja tak sepatutnya?”

Langkahku pegun. Telahan Puan Sarimah aku tidakkan dengan gelengan. Tanpa mampu aku berpaling, lidah ini terus menyusun kata.

“Bukan macam tu, puan. Saya tak ada alasan. Saya nak berhenti kerja,” tegasku lalu langkah ini kembali ke depan.

Baru saja aku tarik tombol pintu, aku sekali lagi terdiam. Kepala ini aku dongak hendak menyaingi ketinggiannya.

“Atau Syai nak lari dari syarikat kecil ni sebab anak buah saya?” soal Puan Sarimah yang tiba-tiba saja ada di sebelahku.

Anak buah dia? Apakah semua ni? Kenapa tidak sudah aku dipermainkan nasib?

“Err… anak buah?” soalku gagap.

Wajah Budriz yang ada di depanku, aku renung dengan rasa tidak percaya. Aku tidak sangka, hubungannya dengan Puan Sarimah sehingga ke tahap ini.

“Ya….,” sahut Budriz bersama anggukan.

“Aunty adalah kakak pada arwah ayah abang,” sambung dia.

“Aunty?” Aku merenung pula Puan Sarimah tidak percaya.

Andai benar, di manakah gelaran pada pangkal nama dia selama ni? Aku menggeleng tidak percaya.

“Aku tak percaya!” tekanku kasar.

“Sarimah Sh. Sharifah Sarimah sebenarnya, Syai. Saja aunty letak nama keluarga tu tu kat belakang. Tak kan Syai tak perasaan pada surat yang saya minta Syai hantar tu?”

Aku menggeleng lagi. Langsung tidak perasan akan semua ini.

“Jadi, puan pun sengaja nak kenakan saya? Sengaja nak huru harakan hidup saya dengan rahsiakan semua ni dari saya? Sengaja nak saya bertembung lagi dengan jantan keparat dari darah keturunan puan? Macam tu?” herdikku meninggi.

Jari ini aku luruskan tepat ke hidung mancung milik Budriz. Budriz terkaku. Puan Sarimah juga.

“Memang hebat permainan keturunan kau ni, Budriz. Dari bonda kau, mak cik kau dan diri kau sendiri memang hebat berdrama. Kalau semalam aku teramat benci pada kau… hari ini aku dah tak jumpa perkataan apa yang perlu aku sebut untuk gambarkan betapa aku jijik dengan kau!” Aku terus memuntahkan kata tanpa berfikir lagi.

Wajah Puan Sarimah juga sudah tidak mampu membuatkan hatiku sejuk. Andai seketika tadi, aku rasa dia bagaikan ibu tapi kini, dia adalah sama dengan semua orang. Semua yang hendak menjahanamkan hidupku.

“Jangan tuduh aunty, Syai. Dia tak tahu hinggalah abang yang beritahu dia pasal Syai,” bantah Budriz lembut.

“Oh… kau nak cakap aku dapat kerja kat sini atas belas ihsan kau lah, ya? Sebab kau merayu aunty kau untuk terima aku bekerja? Macam tu?” marahku lagi.

Dia menggeleng. Puan Sarimah juga. “Syai kerja sini sebab rezeki Syai. Lagipun aunty tengok Syai rajin dan mudah menerima arahan. Tak ada kena mengena dengan Budriz.”

Aku mencebik hebat. Padanlah pertama kali dulu, dia mendengar namaku saja, riak itu lain macam saja. Adakah kerana ini?

“Tak mudah saya nak percayakan jantan ni, Puan Sarimah. Saya hormat puan tapi andai sebumbung dengan lelaki ini, saya lebih rela terjun dari bangunan ni. Maafkan saya puan. Saya nekad berhenti kerja,” ujarku tegas tanpa perasaan lalu aku tolak tubuh Budriz yang menghalang laluan.

“Jangan macam ni, Syai. Ini syarikat aunty dan aunty pun keluarga Syai,” pujuk Budriz menghalang langkahku.

Aku berpaling dan ketawa sinis. Kuat dan semakin kuat membuatkan dua wajah di depanku terdiam sejenak.

“Dengan orang yang aku berkongsi darah pun, aku tak lalu nak memanggil dia keluarga apatah lagi dengan kau yang memang tak ada pertalian darah ni, Budriz!”

Serentak itu, aku terus menarik daun pintu dan menghempasnya kasar. Hilang lagi rezeki dariku. Semakin hari, semakin jauh tenggelam ke dasar dendam yang tiada bertepian. Hanya menanti masa saja untuk aku lunaskan kerana betapa aku menolak, dia kian menghimpit bagaikan memberi laluan untuk buatkan lelaki itu jatuh tersungkur.

Bibirku mengukir senyuman jahat. Pandangan mata ini aku redupkan tajam. Berkali aku menolak kamu Budriz. Namun, berpuluh kali kau menghampiriku bagai sudi membiarkan aku memusnahkan kamu. Bisik hatiku dan kala ini, panggilan Najwa yang sedang berbual dengan Norman juga tidak kuhiraukan lagi.

‘Syai akan buat dia dan bondanya jatuh tidak mampu bangkit lagi, bu. Syai akan buat hati itu mati tanpa belas seperti mana mereka seksa hati Syai selama ni,’ desis hatiku sendiri penuh yakin.

Aku pernah menghalang. Tapi, sekadar mampu merancang. Hanya Allah yang tentukan. Dugaan mendatang tanpa mampu aku halang. Mendidik diriku agar menerima segala ketentuan tanpa banyak keluhan biarpun hati dan jiwaku terpalit tebal dengan dendam.

***

AKU sekadar bermalasan di atas katil membelek keratan akhbar hendak mencari peluang pekerjaan yang lain. Sungguh aku tidak pernah memilih. Apa-apa saja, jika rezeki itu halal.

Sehelai demi sehelai aku belek, namun tiada satu pun yang sesuai denganku. Sudahnya, aku campak surat khabar itu ke lantai dan membawa tubuhku terlentang memandang siling putih.

“Susahnya nak cari kerja? Memang hidup aku tak tenang selagi Budriz ada. Emm… kerja 7 Eleven pun boleh lah nanti. Daripada tak buat apa,” gumamku sendiri.

Kosongnya jiwa. Tiada rasa tiada segalanya. Wajah dan senyuman sinis Budriz hadir lagi. Suaranya yang memujukku dulu, bergema di dalam kepala.

“Syai jangan selalu ponteng macam ni. Abang tak suka,” ujarnya kala kami terserempak di hadapan makmal komputer setelah aku keluar dari kelas Rekacipta.

Aku menjeling tajam. Mengerling pula ke sekitar kawasan. Bimbang andai ada mata-mata yang memandang.

“Kau kisah apa? Aku adik kau ke?”

“Syai adik abang!” tekan dia.

“Jangan beranganlah Budriz. Memang kau pujaan kat sekolah ni tapi pada aku, kau tu manusia paling jahat yang pernah aku jumpa!” herdikku tajam.

“Abang ambil berat tentang Syai…”

“Dan ada aku suruh?” Aku mencantas kata-katanya.

Budriz mengeluh tipis. Rambutnya diramas kuat menyatakan dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

“Memang Syai tak suruh, tapi sini…” Dia lekapkan telapak tangannya ke dada bidangnya.

“… ada yang menyuruh, Syai. Kenapa sukar untuk Syai faham?”

“Siapa cakap aku tak faham? Aku faham satu perkara je. Yang kau dan bonda kau seksa hidup aku dan ibu aku!”

“Abang tak seksa Syai… tapi Syai yang seksa abang.”

“Dan kau memang harus diseksa, kan?” soalku menyindir.

Dia diam seketika. “Tapi, abang sayangkan Syai.”

“Sayang kau tu hanya layak ada di bawah tapak kasut Pallas aku jelah, Budriz!”

Aku mencemik dan terus berlalu tapi dia sempat menahan.

“Belajar rajin-rajin, Syai. Jangan ponteng lagi macam sebelum ni.”

“Hidup aku tak ada kaitan dengan kau, syaitan!” marahku dalam nafas yang tertahan-tahan. Bimbang suaraku berdentum.

Guruh di langit membuatkan aku terkejut sendiri. Dentuman yang bersahutan tiba-tiba. Terbang pergi kenangan lalu bersama Budriz. Waktu ini, wajah Faez menjelma. Kenapa terlalu pengecut kau, Faez? Mengeluh aku dibuatnya bila memikirkan Faez.
Aku bangkit dan mengemaskan ikatan pada rambutku. Langkah ini maju ke tingkap hendak menjenguk ke langit yang nampak agak kelam. Belum sempat aku menyentuh bingkai jendela, salam kedengaran kuat dari bawah.

Berkerut wajahku. “Siapa pulak ni?”

Aku langsung turun ke bawah dan menghala ke pintu utama bila terdengar sekali lagi suara memberi salam. Resah tiba-tiba hadir melanda laman hati. Rasa janji dimungkiri lagi.

Suara ayah semakin kuat kedengaran. Memang dia dan ternyata dia. Mematahkan hatiku lagi kali ini bila dia hadir ke depan pintu rumah ini.

Aku terus memaksa diriku membuka pintu berwarna coklat gelap ini. Mata yang memandang ke bawah, aku angkat sedikit dan saat pintu itu terbuka luas, mataku buntang. Tidak percaya dengan tetamu yang ada bersama ayah. Yang jelasnya adalah tetamu tak diundang.

“Kau buat apa kat sini?” tanyaku kasar.

~~> bersambung

41 comments:

  1. first... hahaha tk sia2 buka lappy mlm nie...

    ReplyDelete
  2. first heheeheh ")

    ReplyDelete
  3. saya baca dari yang pertama sampai yang ketujuh, mmg mantap sungguh ini cerita.Good story Kak Rehan!

    ReplyDelete
  4. saya baca dari yang pertama sampai yang ketujuh, mmg mantap sungguh ini cerita.Good story Kak Rehan!

    ReplyDelete
  5. hahahhaa...its time~

    ReplyDelete
  6. Terbaek n best....
    Smbg lgi

    ReplyDelete
  7. mantappp! sukalah cerita ni kak ann! sambung lagi! hihi :D <3
    Good Job! ;)

    ReplyDelete
  8. hhee... bile nk smbung x sbar wow.. bnyak persoalan nie..huh

    ReplyDelete
  9. Hati kering betullah si Syai ni...

    ReplyDelete
  10. Memang terbaik!!!
    Siapa tetamu yang tak diundang tu???
    Entah-entah bapa Syai dan Budriz bersama rombongan meminang tak.....

    ReplyDelete
  11. Mmg asyik ternanti2 saja akan sambungan cerita ini.... Berkali2 diulang baca....

    ReplyDelete
  12. Mmglah si Budriz tu datang ke rumah Syai dgn ayahnya...

    Yg menjadi persoalan ialah mengapa si Budriz ni tak boleh nak membiarkan Syai mendpt ketenangan? Dan kenapa pula ayah Syai memungkiri janji dgn Syai?

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju sgt! ish, budriz nie bila la nak bagi syai tu tenang jap. asyik nk ganggu je.

      Delete
  13. Huh...semakin menarik....

    ReplyDelete
  14. pasti lepas ni budriz perangkap syai(tangkap basah)bilo dia tinggal kt umah syai

    ReplyDelete
    Replies
    1. ermm....sy rasa pun mcm tu, budriz datang...kena tangkap basah....then, terpaksa kawin..

      Delete
  15. sungguh menarik!!!
    jalan cerita penuh mendebarkan..

    ReplyDelete
  16. keras btol ati syai ni..huhu...

    msti budriz yg dtg ngn ayah syai...

    ReplyDelete
  17. best..best.. RM kalau boleh n3 baru setiap hari mcm
    dh gian pula setiap hari menunggu n3 baru dari RM.

    ReplyDelete
  18. aduhh..bt sakit jantung je la rehan ni...
    ermm..budriz cintakn syai at 1st place
    rsanya syai pn ad rsa tue cuma x jelas sbb dendamnya
    but nice cover la ..hehe..
    smbg cpat2 ea...x sabar nk tau apa syai bt utk melepaskan dendamnya tu...nnti ending sma x dgn CYKB?

    ReplyDelete
  19. rase mcm pendek lh pulk bab ni hehehe..suke sngt dngn cter ni...

    ReplyDelete
  20. nk lg plsssssssssssssssssss

    ReplyDelete
  21. nak lagiiiiiii ... ^_^ nak baca lagi ^_^ plsssssss

    ReplyDelete
  22. knapelah watak syai tu keras gila, syai dekat2 dgn syai.... walau dendam sekalipun walau teruk sgt pun tak ada agama k dia...cik penulis tolonglh bimbing pembaca jgnlah watak terlalu negatif sgt, mcm org skt jiwa je...

    ReplyDelete
  23. x puas nak lagi...
    rasanya bukan jantung Budriz yang jatuh bila Syai marah-marah tapi ... jantung Kak Sue yang rasa nak gugur dan hati rasa kecut pulakkkk..... jangan marah selalu Syai ...

    ReplyDelete
  24. yes...adegan yg di tunggu2 akan tiba...hehehe...best...

    ReplyDelete
  25. SEMUA KARYA REHAN MMG BEST BELAKA

    JASMINE

    ReplyDelete
  26. Penatnya menjadi seorang yang bernama Syai...

    ReplyDelete
  27. siannyer syai tu..ptt la dia berdendam sgt.. hati dia dh terluka byk kali.. hemmm.. semakin menarik....thanks RM..

    ReplyDelete
  28. abislah. mesti Budriz nih. abis ah. gaduh lagi lah nih nmpk nyeh

    ReplyDelete
  29. ok best..sambung kkk..he..he..

    ReplyDelete
  30. dlm kehidupan realiti klu ia terjadi, saya akan jalani kehidupan happily, but no one blh usik mertabat my mother, klu dpt father macam ni, i takan dekat dgn dia, klu nak kahwin, i kawin luar negeri lepas kahwin aku bina keluarga bahagia ku sendiri without a father like this attitude

    ReplyDelete
  31. Syai.... jgn trlampau dendam smpai memakan diri sendiri, ape2 pun kredit wat RM

    ReplyDelete
  32. nice. tak sabar nak baca yang seterusnya. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Inspirasi Lyn...bacala puas2
      dah ada episod baru pun ni..
      (hahahah tolong promote)

      Delete
  33. kat sini sy puji sbb waktu dan suasana yg tepat utuk kita gunakan flashback...ckup senang kita mengatur dr satu ayat ke satu ayat tanpa perlu berpusing mencari arahtuju..
    n3 baik lg nih...tp sy mmg x suka sikap ank sebegini... umur 27 tahun patut dh tahu membezakan buruk baik..
    sebenarnya sy rasa syaima kurang satu rukun iman lah....semuanya ada 6 tp dia cuma percaya hanya 5 saja kot....

    ReplyDelete
    Replies
    1. kekadang bila kita tak tahu apa di hati orang lain. apa yang tersirat di dalam. jangan cuba untuk menyatakan sesuatu tanpa memikirkan akibatnya. semuanya kerja tuhan. takkan terjadinya kalu tiada izin dariNya.

      kepada penulis, gud luck. stk memang menarik. teruskan.

      Delete
  34. dendam boleh membawa padah cik syaima..
    hati2x bila bermain dgn dendam.. takut nanti terjerat diri sendiri...

    ReplyDelete
  35. Klau ni projek terbaru, mmg sgt2 x sbr...

    ReplyDelete
  36. syai nie serius menakutkan. sabar2

    ReplyDelete