SEPERTI yang ditelah, Doktor Hanan pasti akan mencadangkan untuk Anas menerima rawatan lanjut di klinik milik lelaki itu. Bagi memastikan tiada kecederaan yang lebih serius. Fuzah hanya mampu bersetuju. Dia mengharapkan tiada yang lebih buruk berlaku kepada Anas. Pemuda ini adalah harapan keluarganya.
“Apa-apa, uncle beritahu saya terus, ya? Lagi satu, tolong jangan sampai ayah tahu,”
pinta Fuzah.
Walaupun Doktor
Hanan adalah antara orang yang setia dengan ayahnya, tetapi dia tahu, lelaki
ini masih ada rasa empati. Sejak dulu,
dia tahu Doktor Hanan bersimpati pada dirinya.
Pandangan lelaki itu sentiasa penuh dengan kebimbangan.
“Luka kepala
Fuzah tu pun kena check juga.”
“Tak apa. Sikit aje ni. Kejap lagi saya minta mak su cuci dan letak ubat. Yang penting sekarang, pastikan Anas tak apa-apa. Nanti dah selesai, uncle beritahu saya. Saya hantar orang untuk jemput dia. Dalam keadaan macam itu, dia tak boleh nak balik rumah sendiri.”
Doktor Hanan
mengangguk. Dia hanya mampu bersimpati tetapi,
dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Tan Sri Zain terlalu berkuasa.
“Uncle balik dulu. Nanti ada masa, datang klinik. Kita buat check-up.”
Melihat wajah risau Mahfuzah, Doktor Hanan pantas menambah. “Regular
check-up aje.”
“Hurm…
yalah.” Fuzah angguk.
Menghantar Doktor
Hanan pergi bersama Anas. Dia pegang
sisi kepalanya. Rasa pening itu sudah
lama hilang. Sakitnya juga sudah hampir
tiada. Hanya pedih kesan luka. Rasanya, hayunan ayah tidak sekuat dahulu. Jika tidak, pastilah dia sudah tidak sedarkan
diri. Boleh jadi, kerana faktor
usia. Tapi, sikap baran ayah, kian
merebak seperti barah yang tak mampu disembuhkan lagi. Tidak juga dapat dikawal.
“Mari mak su cuci
luka Fuzah.”
Fuzah
menoleh. Mengikut sahaja ibu
saudaranya. Mereka duduk di sofa. Masih jelas kesan darah Anas yang ada di
permaidani yang diimport daripada Kashmir itu.
“Mak su rasa
karpet tu boleh dicuci ke?” Soal Fuzah
semasa Zana sedang fokus mencuci lukanya.
Zana
menoleh. Dia tahu kenapa Fuzah ajukan
soalan demikian. Kerana permaidani itu
adalah pilihan kakak iparnya. Ibu Fuzah.
“Nanti mak su
suruh orang cucikan. Kalau tak dapat
cuci, mak su minta orang ganti yang serupa.”
“Terima kasih,
mak su…” ucap Fuzah lemah. Dia bersandar
pada kerusi, membiarkan ibu saudaranya terus mencuci luka.
“Kenapa Fuzah
sekat masa ayah Fuzah nak pukul Anas?”
soal Zana. Ada nada sebak di
dalam alunan suaranya.
“Sebab dia tak bersalah,
mak su. Fuzah tak nak orang lain terus
jadi mangsa ayah lepaskan amarahnya.
Pelik. Dulu masa Fuzah masih
budak-budak, ayah kerap pukul Fuzah dengan alasan nak didik Fuzah jadi kuat. Bila dia paksa Fuzah belajar MMA, dia suruh
pengajar tu pukul Fuzah macam kami musuh ketat.
Sekarang, Fuzah dah dewasa. Fuzah
dah puas bertahan. Fuzah tak akan
menangis macam dulu lagi. Tapi, kenapa
ayah kena pukul orang lain pula?”
Mahfuzah pejam
mata. Segala yang pernah berlaku ketika
dia kecil sentiasa segar dalam ingatan.
Tidak akan pernah hilang selamanya.
Dia ingat tangisan dan rayuannya.
Dia masih rasa sakit akan segala luka.
Lebam dan retak itu adalah perkara biasa. Bukan sekali dia tak sedarkan diri kerana
dipukul teruk oleh pengajar seni pertahanan dirinya itu. Kerap kali dia tersedar hanya untuk tahu,
tubuhnya sudah terlantar di atas katil.
Kebencian ayah kepadanya
menyebabkan lelaki itu berubah menjadi lebih buas daripada binatang liar yang
kelaparan.
Mata dibuka. Dia pandang siling dapur dengan renungan
kosong. Entah perasaan apa yang berbaki
dalam dirinya. Semakin hari, dia kian
menjadi seperti ayahnya. Tiada beza
antara mereka kerana mereka adalah darah daging yang sama. Lantas, untuk apa dia persoalkan sikap
ayah?
Kerana sejak
dulu, dia sentiasa berusaha dan terus mencuba untuk menjadi bayang figura
seorang ayah yang sangat disayangi.
Menjadi pengganti kepada yang telah pergi. Harapan yang kian punah, disebabkan Fuzah
sendiri.
Boleh jadi kerana
tubuh yang masih lemah, kelopak mata Fuzah makin layu. Dia hampir terlelap apabila terdengar bunyi
kaca pecah daripada atas.
Dia membuka
mata. Menoleh pada mak su.
“Mama!” Tak menanti, dia bangkit dan berlari memanjat
anak tangga.
Saat dia tiba di
muka pintu, daun pintu itu terlebih dahulu dibuka dan penjaga mama berlari
keluar dengan jeritan dan tangisan.
“Kenapa…”
Belum sempat dia
ajukan soalan, pinggan kaca itu terbang melayang. Mujurlah dia sempat menghadang dengan lengannya.
Namun, kaca itu tetap juga membelah lengannya.
Darah merah terus mengalir.
Perlahan-lahan, dia rapati mama yang sedang mengamuk. Tidak dipedulikan
lukanya yang agak teruk.
“Mama?” seru Mahfuzah perlahan. Dihulur tangan yang tidak luka.
“Ini Fuzah...”
“Pergi! Kau pergi!
Aku benci keturunan kau. Aku
menyesal beranakkan keturunan kau! Aku
haramkan air susu aku. Aku haramkan
setiap titis darah aku yang mengalir sebab nak lahirkan kau!” jerit mama kuat.
Jeritan mama tak
dihiraukan. Sebaliknya, dia terus ke
depan biarpun mama mencampakkan segala barang yang mampu dicapai padanya.
Ditepis
berkali-kali. Tak kiralah yang lembut
atau keras. Dia tetap menepis.
“Mama, ini
Fuzah.”
“Pergi. Aku benci kau! Aku benci keturunan ni!” Mahazera terus menjerit. Meramas dan menarik rambut sendiri.
“Jangan pegang
aku. Jangan!” Dia tolak tangan Fuzah yang cuba
memegangnya.
“Kau
pembunuh. Sebab kaulah semua orang
merana! Kau puncanya! Kau bunuh anak aku! Kau bunuh dia! Aku benci kau! Aku harap kau yang mati! Bukan dia!
Kami boleh bahagia bersama! Bukan
dengan kau!”
Fuzah memujuk
hati untuk bertahan. Apatah lagi bila
dia berjaya memeluk jasad mamanya.
“Mama?” Suara Mahfuzah lembut mendayu. Dia akhirnya berjaya menyapa pipi pucat mama
dan dielus perlahan.
Barulah Mahazera
sedikit tenang. Wajahnya berkerut. Direnung wajah di depannya dan airmata itu
mengalir.
“Mahfuzah?” soalnya.
“Hurm…”
Fuzah angguk.
“Ini Fuzah. Fuzah ada dengan mama,” ujarnya lantas
dipeluk tubuh itu dan dielus belakangnya perlahan.
Kali ini, dia
dengar esakan halus mama. Dia dapat rasa
tangan mama sedang hinggap di belakangnya.
Walau tiada elusan, ini sudah lebih daripada cukup. Dan, bila akhirnya dia dapat rasa telapak
tangan mama menepuk belakangnya perlahan, air mata Fuzah mengalir
perlahan. Tak sedar, ada esakan pada
hujungnya.
“Kenapa Fuzah
nangis? Ayah pukul Fuzah?”
Mahfuzah
menggeleng.
“Ada mama yang
selalu lindung Fuzah, tak ada siapa berani apa-apakan Fuzah…”
“Tapi, kenapa
Fuzah menangis? Atau Mahfuz buli
Fuzah?” Mahazera tolak bahu anak
gadisnya. Merenung wajah itu dengan
penuh tanda tanya.
“Mana budak
bertuah tu. Biar mama piat telinga dia. Berapa kali nak pesan. Membuli aje kerjanya…” Mahazera bangkit.
“Mama…” Mahfuzah
menarik tangan mama. Menggeleng perlahan
bila mama memandangnya.
“Mama nak cari
Mahfuz.” Mahazera tarik tangan dan dengan mudah Mahfuzah melepaskan kerana tak
mahu menyakiti mama.
“Abang dah tak
ada, mama. Abang Mahfuz dah lama tak
ada,” ujarnya perlahan. Walau sekadar
bisikan. Dia tak sangka mama
mendengarnya.
Langkah Mahazera
mati. Dia toleh pada Fuzah.
“Apa Fuzah
cakap?”
“Abang dah lama
meninggal. Sekarang, hanya ada
Fuzah…”
Biasanya, dia
akan mengikut rentak mama. Memujuk
mengatakan abangnya masih belum balik.
Tapi kali ini, jiwanya terasa sangat penat. Dia perlukan mamanya sejak sekian lama. Tapi,
mama sudah begitu jauh daripadanya walau ada di depan mata.
“Tipu!” Mahazera mula menjerit.
“Kau tipu!” Mahazera meluru pada Mahfuzah. Dicengkam rambut itu sekuat hati. Ditampar wajah indah itu berkali-kali. Tanpa belas.
Sekuat mana cengkaman
dan tamparan tersebut, Mahfuzah tidak langsung menyeringai.
“Maafkan Fuzah,
mama,” ucapnya.
Mata Mahazera
membulat. Dia lepaskan rambut
Fuzah. Air matanya mengalir laju.
“Ya… dia mati
sebab kau bunuh dia. Kau bunuh anak
aku! Kau yang patut mati. Bukan anak aku! Kau yang patut mati!” jerit Mahazera seraya memukul dan terus
mencakar seluruh tubuh lemah Fuzah.
Tidak dapat
berbuat apa lagi, Fuzah terus memeluk mama sekuat hati. Membiarkan jeritan itu tajam menikam
jantungnya. Walaupun dia masih dipukul tanpa henti malah dicakar, dia tetap
mengeratkan pelukan kepada mamanya itu.
“Kau
pembunuh!” jerit Mahazera.
“Ya, mama. Fuzah bunuh abang,” bisiknya perlahan dan
kala ini, barulah Mahazera berhenti daripada segala tindakan liarnya.
Dia tolak Fuzah
semahunya dan direnung mata itu dengan perasaan benci.
“Mata kau tu
penuh kejahatan. Kenapa tak kau aje yang
mati daripada kau hidup dan menyeksa kami semua?”
Fuzah pejam
mata. Air matanya jatuh ke pipi. Ayat ini bukannya tidak pernah dihamburkan
oleh mama padanya. Namun kali ini, setiap patah kata itu benar-benar menikam
jantung dan perasaannya.
Ia membunuh
segalanya yang tersisa dalam dada untuk dia terus menjadi manusia.
bertambah kesiannnn... mesti ada sejarah hitam yg berlaku
ReplyDeleteSedihnya hidup seorang fuzah
ReplyDelete