Tuesday, August 09, 2011

RAMADHAN DI HATI ADINA


PERISYTIHARAN Ramadhan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sebentar tadi membuat aku langsung memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi.  Sudah 2 tahun juga aku diamkan Ramadhan di dalam hati ini.
“Alhamdulillah, syukur di atas kesempatan yang Kau kurniakan, Ya Allah!” ucapku penuh syukur lalu meraup telapak tangan ke wajah.  Langkah kaki ku hayun pantas ke bilik emak.  Tubuh itu aku dekati, lalu melabuhkan lutut di depannya.

“Mak, esok kita jadi puasa.  Jadi, malam ni dah mula terawih, kan mak?” soalku pada emak.  Dia masih berteleku di atas sejadah usai Maghrib tadi.  Mengalunkan wirid yang aku sendiri tidak berapa dapat memahaminya.  Tapi yang pasti, emak memuji Yang Esa.   
“Alhamdulillah, panjang umur kita jumpa lagi Ramadhan tahun ni dan berpeluang lagi jumpa seorang lagi Ramadhan.” Emak menutup kitab tafsir setebal 3 inci itu dan diletakkan di atas katil sambil menggariskan senyuman penuh makna padaku.  Aku tunduk menyembunyikan wajah yang sudah membahang.
“Cepat siap, nak!  Kita ke surau sekarang!” ajak mak lembut.  Aku angguk lantas berlari menuju ke bilikku. 
Bilik yang pada asalnya kepunyaan anak tunggal emak yang kini sudah menjadi tempat beraduku sejak 2 tahun yang lalu.  Tidak pernah pula aku bersua empat mata dengan Abang Adan kerana dia sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.  Hanya sekeping gambar yang emak tunjukkan kepadaku dan gambar itu aku simpan kemas di bawah celah pakaian di dalam almari. 
Mengikut kata emak, tahun ini adalah tahun terakhirnya dan Abang Adan akan pulang ke tanah air menjelang Ramadhan.  Aku menyarung telekung di kepala lalu mendapatkan mak yang sudah melepasi ambang pintu.
“Mak, sepatutnya Abang Adan dah mendaratkan?” ajuku pada emak dalam perjalanan ke surau bertemankan lampu suluh dan bunyi unggas malam yang turut sama berzikir kepada-Nya.
“Masa dia telefon hari tu, macam tulah katanya.  Kalau tak ada aral, sampailah tu dinihari nanti!” jawab emak.
Aku melebarkan senyum.  Emak yang aku kenali 2 tahun lalu ini sederhana orangnya.  Tak kaya harta dunia.  Sekadar sebidang tikar buluh di ruang tamu, sebuah TV 21 inci dan set kerusi rotan yang agak tua menghiasi rumah kampungnya.  Tahap kesihatan emak yang semakin merosot juga memaksa aku nekad berhenti belajar lebih setahun yang lalu dan membanting tulang di tengah bendang demi meneruskan kehidupan.    Sudah tidak tegar hati ini membiarkan emak berseorangan mencari rezeki buat kami.  Hanya beberapa hari ini saja aku sudah tidak ke bendang.
“Mak,” seruku lembut.  Emak memandangku sekilas.  “Mak rasa macam mana perasaan Abang Adan bila lihat Ina ada di rumah bila dia sampai nanti?” 
“Mak dah cakap dekat Adan pasal kamu, jadi tak payahlah Ina risau sangat, ya nak?!” pujuk emak lembut.  Aku ketap bibir.  Ada gundah yang bermukim di jiwa.
“Tapi, kan Abang Adan tak boleh nak terima Ina dalam keluarga ni?” soalku tidak puas hati.  Mungkin emak sudah lupa akan kehadiran surat daripada Abang Adan dan juga panggilan telefon selama ini setelah emak khabarkan akan kewujudanku di dalam keluarganya.  Remuk redam hati bila mata kepalaku sendiri tertancap pada surat bertinta tangan itu.  Jelas ketara prejudisnya lelaki itu terhadapku.
“Jangan risau, Ina.  Mak tahulah nak pujuk dia nanti!” Senyum emak melebar.  Tidak dapat ku tebak yang tersirat di sebalik mata tua itu.  Wajah itu sentiasa tenang.  Sama seperti saat dia mengundangku untuk tinggal di terataknya dulu saat aku kehilangan tempat berpaut.
 “How dare you are, Angie?  You betrayed your parent, your great great grandparent.  What a shame of me to have a daughter like you, Angie.  One day, you’ll be punished! You are no longer my daughter, Angie! Now, get lost.  Out from my house!”  Suara daddy nyaring di telinga.
Tubuhku diseret kasar ke pintu besar dengan wajah yang menyinga.  Aku tahu daddy marah dan kecewa tapi kehendak dan naluri hati ini tidak mampu aku tolak.  Rasa cintaku hadir tanpaku duga selepas bertahun-tahun bercampur dengan anak-anak Islam biarpun lahirku di dalam sebuah keluarga berketurunan Cina di sebelah daddy dan Kristian Sabah di sebelah mummy.
“Please, daddy!  I am just 23 years old and just a student.  I don’t have someone else outside there.  I’m always your daughter, daddy.  It doesn’t a matter if I change my name but I still carried your name.  Will always be.  Don’t you have a pity on me, daddy?”  Daddy tidak mempedulikan rayuanku.  Terus sahaja diseret hingga ke pintu tanpa perasaan.  Hilang sudah sikap sabar daddy melayani kerenah manjaku selama ini. 
Aku mencari anak mata bundar mummy.  Wajah jelita itu persis anak Melayu sejati.  Wajah itulah yang telah aku warisi dan kulit putih bersih ini daripada keturunan daddy.  Aku tahu mummy turut kecewa.  Airmata yang mengalir di wajahnya sedikit sebanyak membuatkan rasa bersalah hadir mengetuk pintu hatiku.  Namun, aku harus tekad.  Itulah pesan emak yang selama ini banyak membimbingku dengan ajaran-ajaran Islam. 
Hampir 2 bulan aku mengabdikan diri kepada Islam jauh di sebuah kampung tanpa pengetahuan daddy tapi akhirnya, tertangkap jua kerana kecuaianku atau kerana kehendak takdir.  Aku tidak pasti kerana aku masih belum sebenar-benarnya memahami maksud takdir dan hikmah itu sendiri.  Mummy hanya mengalirkan airmata di dalam pelukan abangku, Andrew.
Aku terjelepuk di depan rumah emak di Kampung Hj. Azim, Sabak Bernam di dalam hujan lebat remang Maghrib itu, selepas beberapa hari bila dihalau daddy daripada rumah dengan hanya sehelai sepinggang selepas menjumpai telekung putih dan sebuah kitab suci Al-Quran bersaiz kecil di dalam bilikku. 
Saat itulah, emak hadir memayungiku lalu tubuh aku diraih ke dalam pelukannya.  Esakanku diredakan dengan usapan lembut.  Langsung tiada soalan, hanya pujukan semata-mata.  Seperti sudah dapat ditelah olehnya akan keadaan diriku.  Saat itu, ada satu perasaan halus yang bagaikan singgah, meresap ke seluruh jiwa dan nadi.  Lalu memenuhi seluruh hati yang kosong.  Biarpun esakan masih bersendu, hatiku tenang dan syahdu tatkala suara emak tenang membisikkan kalimat Allahuakbar.  Terus menerjah ke gegendang telinga.  Meresap ke sanubari.  Membawa aku kembali kepada Sang Pencipta Yang Maha Satu.  Kembali pada ketentuan-Nya, kepada Qada dan Qadarnya.  Mengkhabarkan bahawa jalan yang telah ku pilih adalah tepat. 
“Sudahlah tu, Adina!” Ingatanku pada peristiwa lalu tercantas dek suara emak.  “Jangan fikirkan sangat pasal Abang Adan kamu tu.  Dia marah macam tu je.  Mak yakin, lepas dia tengok wajah Adina anak mak ni, dia pasti sejuk hati!”  Aku terima pujukan emak dengan  senyuman yang hambar. 
Emak tidak tahu apa yang bermain di mindaku sebentar tadi.  Sesungguhnya, biarpun sudah tidak seagama, tapi mereka tetap ibubapaku dan rindu itu sentiasa hadir menyapa.  Pedih hati saat kehilangan darah daging sendiri dan benar kata emak, itulah takdir untukku tapi emak hadir memayungiku dan inilah hikmah.  Kini, aku bukan lagi Angie Lee tapi Nur Adina Lee Abdullah!
“Ina baik-baik je, mak!  Kalau kata Abang Adan tak boleh nak terima kehadiran Ina dalam keluarga ni pun, Ina tetap akan sabar sebab Ina dah tak ada sesiapa lagi selain daripada mak!” ucapku lirih.  Ada getar dalam alunan suaraku.  Menghantar maksud yang penuh tersirat.  Emak paut bahuku rapat padanya.
“Ina, mereka tetap keluarga Ina dan Ina tetap ada mak dalam dunia ni selagi mak hidup. Ina anak mak.  Tapi, Ina kena ingat satu perkara, Allah sentiasa ada bersama kita dalam susah senang kita.  Banyak-banyaklah berdoa lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ni agar Allah permudahkan segalanya untuk kita!”
Airmataku merintik demi ucapan ikhlas emak.  Aku tidak pernah menyesali pilihanku, kerana inilah yang benar dan sebenarnya tapi aku jua tidak dapat lari daripada mengeluh akan nasib diri biarpun emak sentiasa berpesan, mengeluh itu sikap orang yang putus asa dan Allah tidak suka kepada hamba yang berputus asa.
“Ke mana Ina nanti kalau Abang Adan tak izinkan Ina tinggal dengan mak?!” Tanyaku lebih pada diri sendiri.  Aku ukir senyum paksa.
Emak tepuk bahuku lembut.  “Tiada siapa boleh nafikan hak kamu dalam hidup mak walau Adan sekalipun,” tekan emak.  Namun, tidak langsung dapat memujuk resah ini.
*******
SUARA parau lelaki memberi salam di luar pintu membuatkan tanganku terhenti dari menyenduk nasi.  Abang Adan!  Pantas nama itu ditukas hati.  Aku dan emak yang sedang menyediakan juadah sahur berpandangan sesama sendiri.  Emak menggariskan senyum tapi aku menelan liur yang terasa kelat.  Rasanya tiada berdarah rautku kala ini.  Detak hati kuat menhentak dada.  Seakan mahu roboh.
“Ina pergi buka pintu, nak!” arah emak.  Aku kalut.  Lama aku pegun di tepi dapur tanpa ada niat untuk melangkah ke atas. 
Wajah bengis Abang Adan menari-nari di wajahku.  Kecut hatiku malah bertambah-tambah lagi bimbangnya andai benar Abang Adan nekad menghalauku seperti mana yang pernah dia titipkan di dalam suratnya.
“Ina, cepat pergi buka pintu, nak!” ulang emak.  “Abang Adan kamu tu rasanya.  Sedang elok dia sampai sahur pertama!”  Wajah tua itu beriak gembira.  Jelas terpancar kasih sayang dan rasa rindu di sebalik bening matanya.
“Ina takut, mak!” ujarku perlahan.  Emak ketawa kecil.
“Budak ni... nak takut apa.  Ina dah lupa kelas Tauhid Ustaz Udin tu.  Kan dia ada cakap pada Ina, bulan Ramadhan, jin, syaitan, iblis, hantu segala tu kena kurung!  Nak takut apa?” Emak menggeleng bersama tawa yang bersisa.
Aku tepuk dahi.  Aduhai mak ni.  Buat-buat tak tahu ke atau memang tak tahu akan keresahanku kala ini?  Tidak dapat tidak, aku gagahkan jua kaki ini mendekat ke pintu utama.  Lambat-lambat aku menarik selak dan menguak daun pintu.  Tubuh Abang Adan tegap berdiri di atas anak tangga.  Beriak penat.  Langsung mati senyum tipisnya saat kami bersabung pandang.  Aku telan liur bila pandangan Abang Adan makin tajam menikam bola mataku lantas aku melarikan pandangan, menekur ke lantai.
“Jemput masuk, bang!” pelawaku lembut.  Aku rapat ke tepi pintu memberi laluan padanya menapak ke dalam.  Abang Adan tidak berganjak.  Dia hanya diam merenungku tanpa tanpa berkedip.  Tidak dapat ku telah maksud di sebalik mata suram itu.
Ada lagi kau kat sini?  Memang la dasar muka tembok,” sinis Abang Adan padaku selepas beberapa ketika wajahku dijilat dengan matanya.  Aku ketap bibir.  Hatiku membekam.
“Tu, angkat bagasi tu bawa masuk!” arahnya keras.  Aku mengangguk lemah.  Hati ini tertusuk lagi.  Pedih dan nyilu.
“Mak...!”  Abang Adan tunduk mencium tangan emak yang muncul di ambang pintu dapur.  Membiarkan aku  sendiri terkial-kial mengangkat bagasinya. 
Ingatanku kembali kepada sekeping gambar yang menjadi simpananku selama 2 tahun ini.  Wajah itu pernah membawa debar di hati dan hari ini juga sama tapi aku juga sedar, wajah itu sudah banyak berubah.  Rambutnya juga sudah agak panjang dan tidak kemas.  Tubuhnya juga nampak susut.  Kulitnya juga sedikit cerah dan tiada lagi senyuman manis yang terukir di bibir tipis itu.  Langsung tiada riak kegembiraan di wajahnya.
Benci benar Abang Adan pada seorang muallaf sepertiku.  Pertemuan pertama kami ternyata benar seperti yang ku duga.  Tiada kemesraan.  Yang ada hanyalah kebencian yang menyala-nyala di matanya.
“Alhamdulillah, Adan dah selamat tiba hari pertama puasa!” ucap mak lembut.  Tubuh lelaki itu dipaut ke dalam pelukan.
Aku memandang ke arah ibu dan anak itu bersama segaris senyuman.  Pelukan erat emak pada Abang Adan jelas menunjukkan yang dia benar-benar merindui anak tunggalnya.  Sengihan emak yang semakin lebar sedikit sebanyak mengubat luka hati yang tergores dek sikap Abang Adan.
“Hah, yang kau tu buat apa lagi tercegat kat situ?  Cepat bawa beg aku tu ke dalam bilik.  Orang penat, nak berehat, tau tak?” Berdentum suara Abang Adan tiba-tiba.
Terkulat-kulat aku bila disergah begitu lantas sepantas kilat aku terus mengusung bagasi besar itu terus ke bilik ke 3.
“Woi, itu bukan bilik aku.  Bilik aku yang tengah ni..,” jerit Abang Adan lagi.  Langkahku mati di ambang pintu.
“Adan, kenapa mesti nak tengking Adina?” tanya emak lembut.  Abang Adan merengus.
“Adan dah pernah suruh mak halau je dia.  Adan tak suka orang luar ada dalam rumah kita, anak kafir pulak tu!” Matanya tajam menjeling ke arahku.  Hatiku tercengkam.  Sesak!
“Ramadhan Fitri,” seru emak lembut.  “Jangan cakap macam tu.  Dia dah 2 tahun masuk Islam.  Kamu tu baru sampai dan jangan nak buat perangai barat pulak kat rumah ni, Adan!”
“Tapi mak...”
“Sudahlah,” pangkas emak.  “Cukuplah sekali ni kamu buat Adina macam ni.”  Intonasi suaranya masih lembut merayu. 
“Lain kali mak tak nak dengar kamu tinggikan suara dengan Adina.  Bilik lama kamu, mak dah bagi Adina guna, kamu guna bilik tu,” sambung emak menjuihkan bibir ke arahku.  Aku tunduk ke lantai.  Tidak berani mengangkat wajah.  Cuak untuk menerima pandangan penuh kebencian Abang Adan.  Emak berlalu ke dapur dan Abang Adan akhirnya merenggut bagasinya daripada tanganku lalu melangkah ke dalam bilik dengan dengusan yang panjang.  Airmataku merintik sudah.
******
Hari pertama Ramadhan, lelah aku dikerjakan Abang Adan.  Diarah membersihkan biliknya yang sememangnya sudah sedia bersih.  Dari selepas Dhuha, aku dikerah melakukan pelbagai perkara hinggalah masuk ke waktu Zuhur.
“Kau ni buat kerja sikit dah mengah.  Dah 2 tahun kau hidup dengan hasil titik peluh mak aku, kan?  Sekarang ni, aku dah balik... aku nak kau sendiri keluarkan peluh.  Kerja demi sesuap nasi!” sinis Abang Adan.  Biarpun suara itu mendatar tapi jelas nyata kebenciannya.
“Tapi, selama ni Ina.....” Suaraku mati di situ bila suara Abang Adan sudah mula melengking.
“Eh, Ina!  Kau tu hanya layak jadi hamba abdi aku je tau!  Kalau aku suruh buat tu, kau buatlah.  Tak payah nak banyak cerita!  Lagipun, kawan aku nak datang.  So, dia akan guna bilik ni, okey.  Kau kena kemas betul.  Aku tak nak sikit habuk pun ada!” ujarnya separuh berbisik.  Mungkin saja tidak mahu tersapa ke telinga emak.
“Ina dah kemas bilik abang tiap-tiap hari sebelum abang balik lagi.  Rasanya tak ada apa yang perlu dikemaskan lagi,” protesku perlahan.  Bimbang mengundang amarah lelaki ini.  Mata Abang Adan membulat.  Dia sudah bercekak pinggang. 
“Menjawab kau, kan?  Dahlah, kau boleh berambus dari bilik ni!  Memang dasar menumpang!  Benci aku tengok muka kau, Angie!”
Aku tersentap tatkala nama itu ditukas olehnya.  Sudah lama aku tidak digelar begitu.  Serta merta sumpah seranah daddy terngiang-ngiang di telingaku.  Adakah ini hukuman atau sekadar dugaan  dari-Mu untukku, Ya Allah?  Serasa masih terlalu tipis iman di dalam diri.
Aku mengatur langkah keluar dengan hati yang sebu.  Terasa bagaikan tertimpa hukuman tapi rasanya aku perlu meletakkan ini sebagai dugaan semata-mata.  Tidak beriman seseorang itu selagi dia tidak diduga.  Itulah antara pesanan Ustaz Udin yang kemas tersemat di hatiku.
Kakiku maju ke bilik sendiri.  Menyeka airmata yang tidak sudah-sudah mahu tumpah biarpun jenuh aku melarang.
“Ina…” Suara itu membawa aku menyapu pipi yang basah.  Wajah emak tersenyum mesra tapi jelas hambar di mataku. 
“Maafkan Adan, ya Ina?” pintak emak tatkala melabuhkan duduk di sisiku.
“Bagi dia masa sikit untuk terima Ina dalam hidup dia.  Dulu, Adan tak macam ni.  Mak pun tak pasti apa yang telah buat dia berubah tapi Ina kena ingat, setiap manusia akan berubah,”  sambung emak.  Aku diam seribu bahasa.  Tunduk lagi.  Menjadi hamba yang tertewas dek dugaan.
“Manusia hanya akan berubah kepada dua perkara, Ina.  Sama ada ke arah kebaikan atau pun keburukan dan nampaknya Abang Adan kamu sudah mula tergelincir dari landasan kebaikan.  Tugas kita untuk membawa dia kembali meniti jalan yang benar!” ucap emak sedikit sayu. 
Aku angguk tanda mengerti.  Ibu mana yang tidak sedih bila anak yang perginya dengan cukup didikan agama namun pulangnya dengan sikap yang tidak terduga.  Solatnya bersuruh, bicaranya meninggi.  Tidak lagi tunduk penuh tawadhuk, hilang sudah qanaah dalam diri.
“Mak tak pandai nak bersikap kasar pada sesiapa, Ina.  Lebih-lebih lagi pada anak sendiri.  Selagi mak boleh pimpin dia, selagi itu mak akan lakukan.  Kita harus percaya, selagi niat kita ikhlas, Allah akan bantu.  Mak yakin ada sesuatu yang telah menyebabkan Adan berubah dan mak amanahkan Ina untuk merubah Abang Adan.  Bawa dia kembali kepada dirinya,” pujuk emak sayu. 
“Jangan mak!”  Aku pantas menggeleng.
“Terlalu besar amanah mak pada muallaf seperti Ina ni.  Ina tak mungkin mampu, mak.  Betapa sikit dugaan Allah pada Ina tapi sudah selaut airmata Ina tumpahkan!  Ina tak kuat mak.  Iman yang tipis ni….” Aku bawa telapak tangan ke dada.
“…. takut tercarik nanti, mak!” rintihku bersama airmata yang kian lebat.   Emak seperti biasa, memaut tubuhku ke pelukannya.  Diusapnya kepalaku yang berbalut selendang ungu muda.
“Jangan cakap macam tu, nak!  Kadang-kadang mak terfikir, apalah pahala yang telah emak buat sampai Allah anuegerahkan Ina sebagai amanah-Nya?  Mak tahu Ina sayangkan Adan lebih dari seorang abang.  Mak merestuinya dan mak mohon, bimbinglah Adan menjadi hamba yang qanaah, yang tawadhuk, yang lemah lembut andai dia tidak dapat membimbing Ina.  Biarkan airmata kamu merintik, tegarkanlah hati, yakin pada Allah hingga ke hujung nyawa!”
“Tapi, Ina dah tak sanggup, mak!  Ina terbuang dari darah daging sendiri.  Mengharapkan kasih pada yang tak sudi, malah lebih terhina Ina di mata dia, mak,” aduku bersama airmata yang tidak mampu aku seka.  Pujukan emak sudah tidak mampu menghentikan empangan airmata yang sedang laju mengalir. 
Aku tahu, emak beriak kesal dengan anak tunggalnya namun aku lebih kesal kerana menjadi duri dalam daging di dalam keluarganya.
“Allah berfirman, dalam surah Al-Baqarah, ayat 286.  Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.  Bahu kamu ni....” Emak tepuk bahuku beberapa kali. 
“...perlu gagah untuk menopang dunia, Nur Adina Lee Abdullah!”  Dalam maksud kata-kata emak lalu dia bangkit berlalu sambil mengesat juring matanya dengan hujung lengan baju.  Aku terhimpit rasa sesal.  Begini halus dugaan yang hadir tapi sudah hampir tersungkur ke bumi.  Di mana imanku, di mana kesabaranku?  Aku beristighfar berkali-kali mohon keampunan kerana telah membuat emak mengalirkan airmata. 
‘Ina akan pulihkan keadaan Abang Adan seperti dulu, mak!  Ini janji Ina pada mak!’ Bisikku sendiri bersama secubit kekuatan yang ku pinjam dari Yang Satu.
******
Petangnya, saat aku dan emak sedang sibuk menyediakan juadah berbuka, kami dikejutkan dengan suara seorang wanita yang memberi salam di pintu dan sejurus selepas itu bersambut pula dengan jeritan Abang Adan.  Dari suaranya, aku tahu yang dia terlalu gembira.  Adakah teman yang dinanti itu adalah insan yang telah menghuni hatinya.
“Mak!” Suara Abang Adan dekat pada kami.  Aku tidak berani menoleh.  Sekadar menyibukkan diri dengan ikan yang sedang dibakar.
“Inilah kawan yang Adan cakap tu.  Kawan sama-sama di luar negara.” Dari nada suaranya, Abang Adan jelas teruja.  Aku menjeling sekilas ke arah kawan yang dimaksudkan.  Seorang wanita yang cantik dan moden.  Tampak kaya dan berpendidikan.  Tidak seperti aku, tiada berpendidikan, tiada rupa, apatah lagi harta.  Hanya mak dan iman semata-mata.
“Tasha, meet my mom dan mak, ni Tasha!”  Aku diam mendengar butir bicara Abang Adan memperkenalkan perempuan cantik itu.  Tidak dapat ku nafikan, hati ini tertusuk lagi.  Pilu bila menangkap renungan mesra Abang Adan pada Tasha. 
“Sihat, makcik?” Tasha menghulurkan salam.  Aku lihat emak senyum mesra dan menyambut salamnya kemas.
“Alhamdulillah, sihat!  Lewat Tasha sampai?  Bertolak jam berapa tadi?” soal emak lalu kembali memotong bawang.
“Lewat dah juga, lepas hantar mama dengan papa ke KLIA.  Mereka nak berpuasa di London, rumah kakak Tasha, makcik!  Tu yang Tasha minta izin nak berpuasa di sini beberapa hari.  Sunyi je kat rumah tu tak ada orang!” jawab Tasha manja.  Aku lihat emak mengangguk dan senyum memberikan persetujuan.
Kini, tahulah aku akan tujuan kedatangan wanita elegan ini dan satu perkara yang amat sahih, dialah kekasih hati kepada lelaki yang aku tunggu selama 2 tahun ini.  Terasa sarat tubir mata dan tanpa ku sedar ada esakan halus yang terbit.
“Kenapa kau?” tanya Abang Adan keras.  Aku pantas mengesat hidung yang mula berair dan mata yang basah.
“Tak ada apa, bang!  Asap masuk mata!” jawabku bila asap daripada arang itu mula berkepul-kepul di udara.  Menyorok hakikat.
Aku bangkit meninggalkan ikan yang sudah masak di atas meja, lalu menghulur sepuluh jari di depan Tasha dan dia menyambut huluran bagai tidak hendak saja.  Aku tertangkap kerlingan matanya.
“Ina pergi tunjuk bilik kat Tasha.  Tinggal gulai lemak je lagi.   Yang lain tu biar je mak buat seorang!” kata emak padaku. 
“Sila, Tasha,” pelawaku ramah.
“Adina, bilik kau bagi pada Tasha sebab bilik tu besar sikit.  Kau kongsi bilik dengan mak je.  Bilik aku, aku nak pakai!  Punggah barang-barang kau sekali bawak keluar!” arah Abang Adan tegas.  Aku mencari mata emak dan dia sekadar tersenyum dan aku mengangguk perlahan.
*******
Usai berbuka, emak pantas bersiap untuk ke surau bersama Abang Adan.  Aku tidak dapat turut serta kerana diri yang uzur tiba-tiba.  Pilu rasanya hati kerana terpaksa meninggalkan solat sunat yang hanya aku temui setahun sekali. 
“Adan kata kau bukan anak orang Islam, betul ke?” tanya Tasha tiba-tiba saat aku sedang mengemaskan pinggan mangkuk di sinki.  Mujur sahaja pinggan itu tidak terlepas dari tangan.
“Ya,” jawabku sepatah.
“Sudah lama masuk Islam?  Kenapa berminat dengan Islam?”  Tasha melabuhkan duduk di kerusi.  Saat aku memandangnya, hampir saja jantung aku terhenti melihatkan pakaiannya yang sangat menjolok mata.  Berseluar pendek separas lutut dengan spageti sendat.
“Sudah 2 tahun.  Ya Allah!  Awak tak boleh nak pakai macam ni, Tasha!  Dalam rumah ni ada yang bukan muhrim dengan awak!  Nanti kalau mak tengok, entah apa mak fikir nanti!” tegurku penuh hemah.
“Ini cara aku, okey dan kau tak payah nak nasihatkan aku.  Adan sendiri suka aku pakai macam ni mata kami tinggal serumah di UK dulu!  Kau yang sibuk kenapa?” 
Aku tersentap.  Darah sudah menyerbu ke muka.  Mahu saja telapak tanganku singgah ke wajah putih bersih itu.  Tidak malukah dia membuka aib sendiri bila memberitahu hubungannya dengan Abang Adan padaku?
“Itu di negara barat, Tasha tapi sekarang kita di Malaysia.  Rumah mak Abang Adan.  Rumah orang yang menjaga agama dan tertib.  Salah perbuatan awak tu, Tasha!”
“Hei, muallaf.  Kau jangan nak pandai-pandai tegur aku tau.  Kau tu baru setahun jagung masuk Islam dah tunjuk pandai!” herdiknya.  Aku ukir senyum.
“Masa itu tak penting. Tasha.  Sehari atau dua hari saya menjadi saudara Islam juga tak penting.  Yang penting hati dan niat saya ini adalah tulus menerima Islam sebagai agama hidup mati saya!”
“Atau kau terima Islam sebab Ramadhan Fitri?  Siapalah tak gilakan lelaki kacak macam tu?  Walau kurang harta tapi ada rupa, ada pelajaran.  Memang boleh menjamin masa depan, kan?” sinis Tasha padaku.  Aku perlu kuat seperti pesan emak.  Dugaan ini datang sesuai dengan kesanggupanku untuk menerimanya.
“Tidak kerana Abang Adan langsung, Tasha!  Sebelum mengenali Abang Adan, hati saya sudah terpaut pada Islam.  Saya terima Islam kerana Allah.  Kerana jatuh cinta pada Allah, kerana jatuh cinta dengan pengorbanan Rasulullah untuk umatnya.  Bukan kerana sesiapa.  Hanya kerana Allah Yang Agung!” jawabku telus.
“Sudahlah, Adina!  Pertama kali aku dengar Adan bercerita pasal kau dulu pun aku dah benci pada kau, apatah lagi bila lihat muka kau tu, lagi buat benci aku ni!” Tasha meluruskan jarinya tepat ke wajahku.  Aku ukir senyum lagi menyembunyikan hati yang tersayat.
“Saya tak dapat menahan awak dan Abang Adan dari membenci saya.  Cukuplah Allah pada saya, dan yang lainnya hanyalah pinjaman sahaja,” ujarku lalu berlalu ke bilik.  Meninggalkan Tasha bersama rengusan yang tidak berkesudahan.  Airmataku merintik lagi.
******
Seminggu Ramadhan, Tasha masih setia bersanggah di rumah emak.  Aku tahu, anak mata emak seringkali menghantar rasa tidak selesanya padaku tapi aku tidak mampu berbuat apa-apa.  Tidak salah Tasha di sini kerana adanya kami.  Kebencian Tasha semakin menyala-nyala di matanya setiap kali kami bertembung pandang.  Seperti biasa, aku ukir senyum padanya.  Ingin mencontohi Rasulullah dalam melayani musuh biarpun jauh untuk tercapai.
Aku semakin pelik dengan Tasha.  Sahurnya bersama kami, berjemaah Subuh juga bersama-sama tapi, siangnya aku terlihat dia meneguk air tin di dalam bilik.  Atau dia sebetulnya sedang uzur?  Tapi, itu tidak mungkin.  Bagaimana Subuh yang dikerjakan berimamkan Abang Adan setiap pagi?  Hendak ku adu pada emak, bimbang menimbulkan fitnah.  Sudahnya aku hanya diam sendiri.
“Mak suka Tasha, Adan tapi dia tak sesuai untuk kamu!” Suara emak jelas di cuping telingaku saat aku ingin masuk ke bilik. 
“Adan sayangkan Tasha, mak!  Kami dah lama berkenalan.  Dia pun sayangkan Adan!” balas Abang Adan sedikit meninggi.  Aku bawa telapak tangan ke dada.  Bagaikan mencengkam erat hati sendiri demi pengakuan lelaki yang aku cintai.
“Sayang tak akan bawa kamu ke mana, Adan.  Yang kamu perlukan adalah seorang isteri yang solehah, yang boleh menegur kamu bila mana kamu silap.  Yang menjaga maruah diri dan maruah suami, yang berpaksikan agama Allah!” tekan emak.  Aku dengar Abang Adan merengus.
“Mungkin mak tengok Tasha tu macam tu tapi Adan boleh bimbing dia, mak!” Suara Abang Adan berubah sayu.  Barangkali sedang memujuk emak.
“Bimbing dia kamu cakap, Adan?” Suara emak berubah sinis.
“Mak tengok bukan kamu yang bimbing dia tapi dia yang dah bawa kamu ikut cara hidup dia!  Sungguhlah, Adan.  Sejak kamu jejak kaki ke rumah ni semula, mak macam tak berapa nak kenal kamu.  Betul ke kamu tu Ramadhan Fitri anak mak?” tokok emak. 
“Kenapa mak cakap macam tu?” Tanya Abang Adan.  Dia jelas tidak puas hati.
“Tak perlu mak jawab, Adan!  Tanya diri kamu, tanya hati kamu!  Kalau kamu sayang diri sendiri, kamu nikahi Adina.  Dialah yang terbaik buat kamu, Adan!” tekan emak keras.  Aku pantas berlalu bila derap tapak kaki emak sudah menuju ke pintu.  Membawa diriku ke ampaian, mengangkat kain yang barangkali sudah kering.  Terasa hilang semangatku mendengarkan perbualan antara anak ibu itu.  Tekad emak berkata begitu?
Keesokan harinya, emak datang kepadaku membawa perkhabaran yang telah aku dengar secara tidak sengaja.  Aku diam, mengangguk tidak, jauh sekali untuk menggeleng kerana perasaan cinta ini sememang menjadi milik Abang Adan sejak dulu.
“Inalah yang paling sesuai dengan Adan.  Mak percaya, kamu berdua boleh saling membimbing antara satu sama lain.  Terimalah pinangan mak ni, Ina!”
Aku pandang bening mata tua emak.  Terbias sepenuh-penuh pengharapan pada wajahnya yang membawa aku kepada persetujuan.
“Jika Abang Adan sudi terima Ina, Ina seikhlas hati menerima dia, mak!” jawabku lemah.  Setitis airmataku merintik lagi.  Emak memelukku erat dan mengusap kepalaku seperti biasa.
******
“Tahniah, bang!” ucapku pada Abang Adan petang itu selepas emak khabarkan yang dia telah diterima bekerja sebagai seorang Arkitek di sebuah syarikat pemaju perumahan yang sangat aku kenali.
“Kau mesti suka sebab kau bakal jadi isteri aku, kan Adina?” Ucapan tahniahku tidak bersambut malah dijawab dengan soalan.  Aku ketap bibir.  Tidak pasti apa yang harus menjadi jawapan pada soalan itu.
Satu perkara yang pasti, dia tidak pernah memanggilku mesra.  Setiap kali, hanya nama Adina yang ditukas kasar tapi aku tetap bersyukur kerana tiada lagi nama Angie yang terbit.
“Ina terima abang sebab Allah.  Andai jodoh ada di antara kita, sungguh, Ina ikhlas terima tapi andai tak pun, Ina ikhlas terima!” jawabku selepas mencerna jawapan beberapa ketika.
“Kau tahu kan aku cintakan Tasha.  Memang tak pernah berlaku perkara yang buruk antara kami tapi aku sangat cintakan dia!”
Aku hela nafas lega bila secara tidak langsung Abang Adan menidakkan kenyataan Tasha tempoh hari.  Aku pasti Abang Adan tidak akan begitu jahil dalam Islam.
“Abang berhak memilih!” ujarku memberi jawapan mati lalu meninggalkan dia menuju ke dapur.  Dekat kepada emak.  Mengharapkan sedikit kekuatan daripada wanita yang menjadi saksi tatkala aku mengucapkan syahadah dulu.
Hampir remang senja itu, telingaku dapat menangkap suara Abang Adan yang sedang memujuk Tasha di ruang tamu.  Aku intai dari pintu dapur.  Abang Adan masih menjarakkan kedudukan mereka.  Hatiku lega sungguh.  Biarpun Tasha cuba menghampiri, Abang Adan tetap menjauh. 
“Kenapa?” tegur emak dari belakang.  Bahuku terjungkit tanda tidak tahu.
“Emm... tu merajuklah tu sebab Adan bagi tahu dia nak kahwin dengan Ina...” tukas emak selamba lalu kembali menyusun lauk di meja.  Aku membontoti emak dengan seribu persoalan.
“Abang Adan dah bagi tahu Tasha ke mak suruh Abang Adan pilih Ina?”
Emek geleng.  “Adan tak beritahu mak suruh pilih Ina tapi dia sendiri yang pilih sebab katanya, Inalah yang terbaik untuk menjadi isteri dan ibu pada anak-anak dia!”
“Kenapa Abang Adan cakap macam tu?” Aku mengerutkan wajah tanda tidak mengerti.
“Manalah mak tahu, Ina!  Agaknya Adan tu dah memang terpaut pada Ina, tak?” usik emak diselangi tawa halus.  Hatiku menidakkan kenyataan emak.  Mungkin saja Abang Adan mahu menjaga airmuka mak di mata Tasha!  Tukas hatiku dan aku yakin itulah niatnya.
*******
Usai bertadarus dinihari itu, emak meraih aku ke dalam pelukannya seperti selalu.  Mengusap belakangku lembut.
“Ina bakal menantu mak yang mak sayangi,” bisik emak syahdu.  Hati ini terpanah dengan rasa sayu lagi.  Pantas kelopak mata terasa suam.
“Mak, Ina tak rasa Abang Adan boleh terima Ina dalam hidup dia sebab dia dah mengaku  dekat Ina yang dia terlalu cintakan Tasha!” beritahuku sejujurnya.  Aku tidak mahu emak terus memaksa Abang Adan menerimaku.
“Cinta itulah yang membawa Adan jauh daripada landasan yang benar, Ina.  Mak nampak Adan dah hampir tewas dengan cinta dunia.  Tak kan kamu tak perasan?  Ada Adan mengaji bulan Ramadhan ni?  Ada dia bertadarus dengan kita?  Ada dia bangkit sepertiga malam, bertahajud?  Berterawih pun mak paksa dan sejak bila pandai merokok pun emak tak tahu.  Entah-entah dia tak pernah puasa selama kat luar negara tu,” tebak emak.
Aku diam.  Benar kata emak.  Abang Adan yang ini agak jauh bezanya dengan Abang Adan yang pernah emak gambarkan dulu. 
“Tasha tu, entah bila nak balik.  Mak tak kisah Ina kalau Tasha tu nak duduk sini tapi mak kurang senang dengan sikap dia yang kurang sopan.  Selagi mak ada, InsyaAllah tak kan berlaku perkara yang tak diingini tapi itulah....” Keluhan emak mati di situ.  Ada nada kecewa di hujungnya.
“Biarlah, mak.  Kita tak boleh nak ubah dia.  Yang mampu, kita nasihat saja dia, mak.  Cuma, soal Abang Adan tu, mak biarlah dia buat keputusan sendiri.  Kalau kata jodoh dia dengan Tasha pun, mak restuilah mereka, ya mak?!” pintaku dengan hati yang tulus ikhlas.  Benar aku ikhlas demi melihat kebahagian insan yang aku cintai.  Bukankah jodoh itu adalah rahsia Allah?
“Ina sedar tak yang permintaan Ina tu akan buat Ina terluka sendiri?”  Aku senyum sebagai menjawab soalan emak. 
Sebab Ina menyintai Abang Adan kerana Allah, mak!  Kerana rasa cinta ini hadir padanya dengan ihsan dan rahmat dari-Nya.  Untuk apa Ina tentang takdir andai sudah tersurat Ina bukan pemilik tulang rusuknya?  Tukas hatiku.
*******
Ramadhan mula menjengah minggu ke 2.  Bermakna, 10 hari pertama adalah keberkatan dan rasanya aku masih belum meraih sebarang keberkatan.  Abang Adan ke Kuala Lumpur awal pagi tadi, usai aku sunat Dhuha untuk melaporkan diri di tempat kerja baru.  Sampaikanlah salam rindu penuh kasih sayang dari Ina buat pemilik syarikat itu, wahai Abang Adan!  Pinta hatiku lirih tatkala Abang Adan mula meninggalkan perkarangan rumah dengan motosikalnya.
Usai Zohor aku sekadar duduk di serambi seorang diri bila emak ke surau untuk gotong royong bagi majlis berbuka puasa di surau.
 “Tak sangka kau sanggup main taktik kotor untuk pikat Adan, ya Adina?” sergah Tasha tiba-tiba.  Hampir saja aku terlompat dari duduk.
“Kenapa awak cakap macam tu?” tanyaku kembali.  Tidak senang dengan tuduhannya.
“Kau tahu Adan cintakan aku, kan?  Tapi, kau masih sanggup goda dia.  Aku tak tahu apa yang kau dah buat pada sampai dia pilih kau.  Entah-entah kau tidur dengan dia tak?”  Terjuih-juih bibir Tasha memfitnah aku.
Aku tahan hati.  Menyabarkan diri agar tanganku tidak hinggap ke wajahnya.  Kata emak, orang yang kalah adalah orang yang tidak mampu mempertahankan kesabarannya dan aku tidak mahu tergolong dalam kumpulan hamba yang tertewas.  Lebih-lebih lagi bulan mulia ini.  Perlu bersabar dalam segalanya.  Tidak putus-putus aku beristighfar demi secubit kesabaran. 
“Ya Allah, fitnah apa awak buat ni, Tasha?  Awak sedar tak awak cakap apa tu?  Dosa orang memfitnah lebih besar daripada membunuh!” Aku lembut menidakkan tuduhannya.
“Saya tak buat apa-apa, Tasha!  Saya ikhlas cintakan Abang Adan dan lebih rela melihat dia bahagia.  Kalau dia bahagia dengan awak, saya tak pernah teragak-agak untuk pergi dari hidup dia,” sambungku lagi.  Penuh pengharapan agar Tasha memahami kedudukan yang sebenarnya.
“Memanglah kau boleh cakap apa saja, Adina!  Eh, kau tahu tak, Adan sejak dia tahu mak dia ambil muallaf masuk keluarga dia, dia dah benci tau tak?  Dia benci dekat kau dari dulu lagi, Adina.  So, macam mana aku tak tuduh bukan-bukan bila tiba-tiba Adan nak pilih kau!” Herdikan demi herdikan Tasha aku terima dengan tenang.  Biarpun gelodak hati mula bergelora tapi aku tidak mampu membalas nista yang terbit dari bibir tipis itu.
“Terserahlah, Tasha.  Hati awak sekarang penuh benci pada saya.  Pergilah berwuduk, solat, pohon ketenangan jiwa dari Allah dan selepas tu, awak nilailah sendiri,” pesanku lantas berlalu ke bilik emak.  Airmataku merintik jua.
******
Jam 5 petang, aku sudah siap memasak beberapa jenis juadah untuk berbuka.  Wajah emak dan Abang Adan masih belum muncul.  Tasha pula mungkin berkurung di dalam biliknya selepas berselisih faham denganku tengah hari tadi.  Tidak solatkah dia?  Hatiku tidak dapat lari dari bertanyakan itu lalu kaki ini pantas menuju ke biliknya. 
“Tasha, awak tidur ke?” tanyaku sedikit kuat.  Sunyi, tiada bersahut.  Aku ketuk beberapa kali dan menyeru nama itu lagi tapi tetap sunyi. 
Aku pandang tombol pintu lalu memberanikan diri memulasnya dan terus menolak daun pintu.  Bimbang andai berlaku sesuatu pada Tasha, aku akan rasa bersalah nanti.  Lebih-lebih lagi pada Abang Adan dan emak.
“Ya Allah.”  Aku mengucap panjang bila terpandangkan Tasha yang sedang meneguk air dalam tin. 
“Apa awak buat ni, Tasha?” Aku masih cuba mengawal intonasi suaraku agar tidak terus bergema.  Benar, aku terperanjat bukan kepalang melihatkan perbuatan Tasha kala ini.
“Kau nak rasa ke, Adina?  Aku yakin kau pernah rasa sebelum ni, kan?” tebak Tasha tanpa rasa bersalah.  Aku menggeleng.
“Saya tak pernah sentuh air tu, Tasha.  Daripada dulu sebelum saya Islam apatah lagi sekarang dan saya tak sangka awak sanggup buat semua ni dalam rumah mak Abang Adan?” Nafasku sudah turun naik menahan amarah bila dia tidak sudah-sudah meneguk air haram itu.  Aku tidaklah naïf mana  untuk mengenali jenis cap pada tin minuman itu.
“Sebab kau tu anak orang miskin.  Sebab tu kau tak mampu nak minum semua ni, kan?” soalnya lagi.  Wajahnya jelas bangga demi dosa besar itu. 
“Aku tidak semiskin yang kau sangka, Tasha!” Tiada lagi kemesraan dalam sebutan namanya yang keluar dari bibirku.
“Aku kaya.  Aku kaya dengan rahmat Allah padaku.  Aku kaya dengan iman yang aku teguhkan dalam hati aku.  Aku kaya dengan rezeki yang Allah kurniakan buat aku dan aku tidaklah sebodoh itu untuk meneguk air itu biarpun saat aku bergelar kafir kerana keluarga aku keluarga terhormat, berdisiplin.  Keluarga kami tidak sentuh itu semua demi menjaga kesihatan!” tekanku sedikit kuat. 
Tasha mendekat.  “Aku nak mak cik dan Adan tahu macam mana sebenarnya kau ni!” Serentak itu, Tasha mencurahkan saki baki air itu tepat ke tubuhku, lalu membasahi separuh tudung yang membelit kepala.  Serta-merta bau tajam menusuk ke hidung dan tanpa aku sedar, jemariku sudah hinggap ke wajah Tasha.  Astaghrifullah!  Airmataku merintik.  Bukan kerana Tasha tapi kerana diriku tidak mampu membendung amarah di bulan yang mulia ini.  Terhasut oleh nafsu dalam diri.
“Berani kau...” Kata-kata Tasha mati bila emak dan Abang Adan muncul di ambang pintu.  Tasha langsung mendekat pada emak dan Abang Adan.
Dia mengongoi di sisi emak sambil memegang pipinya dan aku sudah hampir terduduk ke lantai bila melihatkan wajah Abang Adan yang mencerlung tajam.  Aku tahu dia marah kerana aku telah menyakiti hati wanita kesayangannya.
“Apa kau buat ni, Adina?” soal Abang Adan keras. 
“Adina tampar Sha, Adan!” adu Tasha sebelum sempat aku menjawab. 
“Kenapa Ina tampar Tasha, nak?” tanya emak lembut sambil mengusap pipi Tasha.  Hatiku digayut sayu bila perhatian emak bagaikan beralih arah.
“Maafkan Ina, mak tapi dia....”
“Sebab Sha tegur dia minum, mak cik!  Dia marahkan Sha bila Sha cakap nak mengadu pada mak cik dan Adan!” pangkas Tasha penuh dengan lakonan asli.  Aku melangkah beberapa langkah mahu meraih jemari tua emak sebelum kakiku tersepak tin dan terus menuju ke kaki Abang Adan.
Semangatku terbang bila melihatkan mata emak dan Abang Adan yang membulat tajam.  Lemah serasa seluruh sendi.  Tiada daya lagi hendak mempertahankan diri sendiri bila emak dan Abang Adan bagaikan sudah menyimpulkan segalanya melalui riak wajah mereka.
“Mak, Ina....” Aku meraba pipi yang pedih.  Mati kata-kataku bila jemari kasar Abang Adan hinggap tepat ke pipi kananku.  Terjelepuk aku jatuh di tepi katil.  Airmata menitis laju.
“Kau memang jahil Adina.  Sepatutnya mak halau je kau dari rumah ni dulu lagi dan aku juga mula percaya keikhlasan kau dalam Islam bila mak yakinkan aku.  Apatah lagi setiap malam telinga aku ni tersapa dengan suara kau bertadarus.  Hati yang sesat ni rasa diberi tanda arah semula.  Tapi, kau sanggup buat aku dengan mak macam ni, kan?  Tak sedar diri tu menumpang hidup di sini,” tengking Abang Adan tanpa usul periksa.
“Tak, Abang Adan, mak!  Ina tak buat semua ni...” Aku merintih pilu bersama titisan airmata yang tidak ku seka.
“Tak buat, Adina?” Aku tidak sedar bila Abang Adan dekat padaku.  Yang pasti dia sudah mencengkam tudungku.
“Tak buat tapi ini apa?” jerkahnya.  Dia pasti terhidu sesuatu daripda tudungku.  Aku sekadar mampu menggeleng.  Tidak mampu mempertahankan diri.  Aku lemah, selemah lemahnya bila berhadapan dengan dugaan hebat ini.  Bimbang andai kepercayaan emak padaku sirna.
“Ina... memang tak buat, mak!” Soalan Abang Adan aku biarkan di angin lalu.  Aku mencari renungan mata emak.  Ada genangan air jernih pada tubir mata tua itu.  Emak mendekat.  Melulut di depanku lalu menarik tudung yang sudah berbau arak lalu digantikan dengan kain batik miliknya.
 “Mak percaya, Ina.  Mak yang didik Ina,” ucap emak lantas menarik aku ke dalam pelukannya.  Di bahu emak aku hamburkan tangis yang sedari tadi tertahan-tahan.  Aku kerling pada Tasha yang nampaknya sudah tidak senang duduk.  Resah gelisah!
“Ina tak buat mak!” rintihku terus menerus.
“Dahla tu.  Mak percaya sebab mak yang didik Ina tapi sayang anak dari Rahim mak, yang mak didik dari lahir nampaknya sudah tidak dapat bezakan antara kebenaran dan bida’ah!” tukas emak.  Dia jelas menyindir Abang Adan yang sedikit menjauh.
“Mak tak sangka kepulangan anak mak di dalam bulan mulia ni berakhir dengan aib begini, Ina!  Maafkan mak sebab anak mak telah menampar pipi kamu!  Maafkan mak kerana fitnah ni.” Airmata emak mengalir laju bila aku meleraikan pelukan kami.  Aku jeling Abang Adan yang sedang meraup wajahnya.    Rasa bersalah bersarang di jiwa.  Tidak mampu untuk ku terima biarpun setitis airmata emak gugur tambah pula kerana aku.
“Kamu Tasha, pulanglah, nak!  Tiada niat mak cik untuk menghalau tapi demi kebaikan semua.   Andai benar jodoh kamu dengan Adan, ada hamba Allah ni dah merayu pada mak cik agar merestui kamu berdua!” Emak memandang Tasha yang nampak terkulat-kulat sendiri.
“Sebab rayuan itu, sebab dia sanggup melepaskan Adan pergi demi kebahagian kamu Adan,  mak akan pinangkan Tasha untuk kamu raya kedua nanti.  Biarkanlah Adina ni tenang bersama mak.  Dia tak pernah bersalah pada sesiapa, termasuk kamu berdua!” tekan emak.  Tasha dan Abang Adan diam tidak berkutik.  Tunduk menjadi pesalah.
“Untuk pengetahuan kamu, Adan!  Adina dah hampir hampir 2 tahun berhenti daripada universiti sebab gantikan mak di bawah terik matahari di tengah bendang sana.  Segala keperluan mak, semua Adina yang sediakan lepas mak tak berapa sihat ni.  Mak je suruh dia berhenti ke bendang nak puasa ni.  Demi kamu, dialah yang bersusah payah kumpulkan duit untuk kirimkan makanan pada kamu pada bulan puasa dan hari raya yang lepas-lepas!  Mungkin kamu lupa jadi biarlah mak yang ingatkan semula akan kasih sayang Adina pada kamu!  Kamu tahu tak, beras yang kamu makan tu adalah hasil titik peluh Adina?  Dia tak merempat, dia anak mak,” ujar emak panjang lebar.  Selama ini tidak putus aku mohon pada emak agar menyembunyikan segalanya daripada Abang Adan.  Aku tidak mahu dia terus memusuhiku.
Abang Adan mengucap beberapa kali.  Dia bagaikan dihimpit rasa salah yang bertimpa-timpa.  Mungkin kesal dengan perubahan dirinya dalam tidak sedar atau sesal kerana tapak tangan kasar itu telah singgah ke wajahku sebentar tadi.
“Betul ke apa yang mak Adan cakap, Sha?  Sha fitnah Adina, kan?” tanya Abang Adan pada Tasha dengan suara yang jelas getarannya.
Tasha tidak menjawab sebaliknya dia terus meluru ke beg pakaiannya yang sudah tersedia di tepi almari dan terus melepasi ambang pintu bila Abang Adan memaut lengannya.  Bersentuhan kulit antara bukan muhrim.  Aku ketap bibir.  Pilu melihatkan lelaki yang aku cintai melakukan dosa percuma di bulan mulia ini. 
“Tasha, answer me?” tekan Abang Adan.  Tasha berpaling dengan wajah bengis.  Sesekali dia menjeling ke arahku yang berada di dalam dakapan emak.
“If I say yes, so what?  Do I care,” bentak Tasha pula.  Abang Adan buntang mata.  Mungkin tidak menyangka Tasha sanggup membentak.
“Jadi, betullah kau teguk air haram tu dalam rumah mak aku ni?  Lepas tu kau fitnah Adina?  Aku memang salah menilai kau, Tasha.  Aku ingatkan kau betul-betul nak berubah dari hidup sosial kau tu, tapi sebaliknya aku yang terikut cara hidup kau selama.  Ya Allah, mengapalah aku tak sedar?” keluh Abang Adan.  Wajahnya diraup lagi.  Kini, tahulah kami, sememangnya Abang Adan tahu segalanya perihal Tasha tapi kenapa pipi ini masih menjadi mangsanya?
“Sudahlah, Adan!  Aku pun tak ingin dengan lelaki miskin macam kau ni.  Setakat ada rupa dan ilmu je.  Kau selayaknya duduk dengan muallaf miskin merempat tu!”  Tasha terus membentak.  Menjuihkan bibirnya ke arahku lalu terus berlalu keluar.
Aku lihat Abang Adan bagai mahu mengejar namun langkahnya sekadar maju setapak sebelum menoleh ke arah aku dan emak.  Kemudian dia meluru dan terus melutut lalu memeluk belakang emak.  Aku terus menjarakkan tubuhku daripada pelukan emak lalu melabuhkan duduk di atas katil  memberi ruang pada ibu anak ibu.
“Maafkan Adan, mak!  Adan tahu Adan dah banyak buat dosa.  Adan dah banyak berubah.  Adan dah abaikan segala didikan agama yang mak berikan pada Adan selama ini.  Adan berdosa mak!  Adan terikut-ikut cara hidup Tasha,”  rintih Abang Adan pilu.  Aku renung mata itu.  Terkesan jua genangan jernih di juring mata kuyu itu.
“Emak maafkan kamu, Adan.  Mak tak nak menuduh sesiapa atas perubahan kamu ni tapi kata hati mak jelas menyatakan yang kamu berubah sebab Tasha.  Mak tak sangka dia sanggup tuduh Adina teguk air haram ni sedangkan dia yang lakukan semuanya.  Mak nak tanya kamu ni, Adan.  Apa dosa Adina pada kamu sampai kamu benci dia macam ni sekali?  Kamu tahu tak betapa sabarnya dia menanti kepulangan kamu selama ni?  Betapa susah payahnya dia membanting tulang mencari wang sebab nak kirim makanan kesukaan kamu pada tiap kali Ramadhan dan Syawal?” Suara emak meninggi.  Tidak pernah emak bersuara lantang begitu.  Adakah sabarnya juga makin menipis?
“Kamu tahu perangai Tasha macam tu dan mak yakin yang kamu jugak tahu semua ni perbuatan dia tapi kenapa kamu masih nak tampar Adina?” Intonasi emak kendur kembali mengutarakan soalan yang sedari tadi berlegar-legar di dalam kepalaku.
“Maafkan Adan, mak!  Memang semuanya salah Adan.  Adan yang salah kerana salah menilai.  Betul kata mak, Adan dah buta hati nak nilai mana satu kebenaran dan mana bida’ah.  Tasha adalah bida’ah mak tapi Adina adalah kebenaran.  Adan terima Adina, mak!  Adan terima!  Mak ampunkan Adan.  Bimbinglah Adan kembali pada jalan Allah semula, mak!” Suara Abang Adan tenggelam timbul dalam esakan yang mula kedengaran kasar. 
Wajah itu jelas beriak sesal.  Airmata lelaki mengalir perlahan-lahan menodai pipi kasarnya.  Hatiku tersentuh dengan pengakuannya lalu aku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi bila hijab Abang Adan yang kabur telah kembali terang untuk melihat antara kebenaran dan kepalsuan dunia.  Dia memeluk tubuh emak seerat-eratnya.  Mungkin pohon pergertian dan sebuah kemaafan daripada ibu kandungnya. 
Lama dia memeluk emak dan akhirnya merenung anak mataku bersama genangan airmata yang ku kira airmata penyesalan.  Emak meleraikan pelukan dan bangkit duduk di birai katil membiarkan aku dan Abang Adan melulut di sisi katil.
“Maafkan abang, Ina!”  Airmata yang sedari tadi menari-mari di tubir mata mengalir laju mendengarkan patah bicara Abang Adan padaku.  Mendengarkan diri ini ditukas Ina olehnya benar-benar membuatkan aku merasakan diri ini kerdil dengan kekuasan Allah.  Sekelip mata berubah sekiranya ini adalah kehendak-Nya. 
“Entah mengapa abang terlalu prejudis pada muallaf seperti Ina.  Abang tak boleh nak terima hakikat yang Tasha begitu bila dia berjanji nak berubah dan abang tak sangka yang abang akan terima bulat-bulat fitnah Tasha pada Ina.  Mungkin inilah balasan pada abang kerana telah jauh menyimpang dari jalan Allah selama berada di luar negara.  Beri abang masa untuk terima Ina dalam diri abang,” sambungnya tertahan-tahan. 
Aku melarikan pandangan kepada emak.  Senyuman emak bagaikan memberi satu semangat baru buatku.  Dia mengusap bahuku lembut.  Lama aku menekur pandangan ke lantai dan akhirnya mengangguk jua andai inilah ketentuan hidupku.  Aku redha menerima percaturan takdir ke atas diri ini andai inilah yang telah tertulis buatku.
“Alhamdulillah,” ucap emak dan Abang Adan hampir serentak.  Aku terus mengangkat tubuh dan berlalu ke bilik.
********
Berbuka puasa remang senja itu sekadar dihiasi sepi dan sesekali bunyi sudu berlaga dengan pinggan lauk sahaja yang memecahkan sunyi.  Sesungguhnya, Abang Adan kini makin dekat di hatiku.  Tidak lagi menjauh bagai dulu.  Tapi, masih ada sesuatu yang menghalang bibir ini untuk menguntum senyum.  Sesuatu  yang ku rindu selama ini.  Teramat rindu.
“Bila kamu nak pinang Ina, Adan?” Aku tersedak demi soalan emak lalu dia ketawa nipis.  Abang Adan menggariskan senyuman.  Aku capai gelas air dan meneguknya perlahan.
Kan mak dah pinangkan.  Adan ingat nak selesaikan semuanya raya kedua nanti, boleh tak mak?  Buat ala kadar je dulu.”  AKu agak terperanjat dengan permintaan Abang Adan namun untuk menolak, tidak sama sekali.  Tidak perlukan dia mengenaliku lebih lama lagi?
“Hai, Adan!  Tak sabar-sabar pulak?  Hari tu kemain menolak?  Ke dah nampak Ramadhan dalam hati Adina?” sela emak sinis.  Abang Adan tersenyum saja.
“Perkara elok, tak baik kita lengahkan, mak!  Adan nak bercinta lepas nikah nanti.  Adan dah 27 tahun, mak.  Bimbang juga, dok tengok Ina tiap-tiap hati depan mata ni.  Memang bulan Ramadhan hantu syaitan semua kena kurung tapi yang tertinggal dalam diri Adan ni...” ujarnya bersama sengihan mengusik.  Aku ketap bibir menahan pijar di wajah.  Emak senyum tipis.
“Lagipun Adan dah dapat kerja tetap ni.  Rasanya tak ada masalah.  Lagipun, Encik Andy, majikan Adan tu ada bagi advance gaji,” sambung Abang Adan tenang.
“Mak tak kisah, Adan.  Lagi cepat lagi baik.  Dah lama Ina tunggu kamu.  Cukup dah dia dok bergemulang dengan lumpur bendang tu.  Bagi dia sambung balik pelajaran dia.  Sayang kalau tinggal macam tu je.” Abang Adan mengangguk mendengar pesanan emak.
“Syukurlah Adan kamu belum terlajak jauh.  Dah tu murah rezeki kamu.  Dapat pulak bos baik.  Melayu ke Encik Andy tu?” tanya emak lagi.  Aku masih tunduk menghadap pinggan nasi dan memasang telinga mendengar penuh minat.
“Emm, campuran Cina dan Sabah, mak.  Muka macam Melayu.  Kalau tak kenal memang boleh cakap dia Melayu tapi yang pasti dia Islam, mak!”
Suapanku terhenti.  Benarkah apa yang dikatakan Abang Adan?  Adakah abang Andrew yang ku gelar Andy itu sudah memeluk agama Islam sepertiku?  Tapi, itu mustahil kerana dia sangat mentaati daddy, tidak sepertiku yang terang membelakangi keluarga demi agama hakiki.  Atau mungkin juga Andy yang lain.  Dua tahun bukan masa yang singkat.  Pelbagai dugaan yang telah aku lalui.
Malam itu, selepas pulang dari mengerjakan terawih, aku mendapatkan Abang Adan yang sedang membaca Al-Quran milik emak di kerusi rotan.  Dia tersenyum menyambut kehadiranku.  Lain benar dia sekarang.  Serasa sejuk pandangan ini tatkala jatuh ke wajah itu.
“Nanti malam sikit kita bertadarus sama, ya Ina!  Dengan mak sekali!  Dah masuk 10 pertengahan Ramadan, abang perlukan keampunan dari-Nya.” Permintaan Abang Adan aku jawab dengan senyuman seraya melabuhkan duduk agak jauh darinya.
“Bukan abang je tapi kita semua dahagakan pengampunan dari Yang Esa!” tukasku.  Dia senyum lagi.
“Abang dah banyak lupa tentang tajwid ni.  Minta Ina ingatkan semula semuanya pada abang.  Terasa berdosa sangat selama ni sebab abaikan tanggungjawab sebagai Muslim selama berada di luar negara.  Rasa malu pada diri bila kalah dengan dugaan begini,” keluhnya.
“Kenapa abang mesti diduga begini, Ina?  Mujur saja tak terjerumus lagi dalam!” ucapnya separuh berbisik.  Aku menggariskan senyuman.  Dia sekadar memandangku tanpa riak.
“Abang, Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang membawa maksud apakah kita ni merasakan kita dibiarkan saja mengakui yang diri sudah beriman padahal kita tak pernah diuji dan sesungguhnya Allah telah menguji orang-orang sebelum kita, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan juga yang berdusta,” ucapku senafas.
Abang Adan kelihatan gamam.  Aku tidak tahu adakah marah sudah tersirat di sebalik raut pegun itu?
“Maafkan Ina abang.  Tiada niat untuk Ina mengajar seorang muslimin macam abang tapi Ina sekadar berkongsi ilmu dan pengetahuan selama ina menghadiri kelas agama Ustaz Udin dan juga mendengar kepada bimbingan mak selama ni.  Hakikatnya begitulah abang.  Benar Ina seorang muallaf dan Ina bersyukur kerana Allah telah tuntun hati Ina untuk memeluk Islam seawal usia 23 tahun.  Ina lebih terduga daripada abang.  Tiada pendidikan, dia jawatan, Ina sebatang kara.  Dibuang keluarga hingga kini.  Hanya pada Allah tempat Ina mengadu, hanya pada mak tempat Ina bersandar dan hanya pada abanglah Ina menumpang kasih.”
Sesungguhnya aku tulus mengungkapkan kata-kata itu pada Abang Adan agar dia mengetahui yang dugaan itu adalah untuknya kerana dia mampu menanggung.
“Benar kata mak.  Nur Adina Lee binti Abdullah ni boleh membimbing Ramadhan Fitri yang sudah menyimpang jalan ni.” Dia tersenyum lebar lantas meraup wajahnya, mengucapkan syukur.
“Maafkan abang sebab terlalu buruk sangka pada Ina selama ni,” pintanya.  Aku mengangguk.  Sedangkan Rasulullah murah hati mengampunkan musuh-musuh baginda, apatah lagi aku yang baru setahun jagung mengenali Islam.
“Abang,” seruku selepas seketika.  Masih ada soalan yang bermain di mindaku sedari tadi.
“Boleh Ina tahu nama penuh bos abang tu?” Detak hatiku tidak berirama lagi.  Ada gemuruh yang hadir demi menanti jawapan yang bakal meniti di bibir Abang Adan.
“Nama sebenar dia Andrew Lee rasanya tapi nama Islam dia Muhamad Andy Lee bin Abdullah!” 
Aku terus berdiri bila segala benar seperti yang ku telah.  Menekup mulut yang melopong.  Subhanallah.  Besarnya rahmat-Mu.  Airmataku merembes lagi.  Terlalu murah demi nikmat yang Allah kurniakan.
Abang Adan menutup buku di tangannya lalu turut bangkit.  Wajahnya jelas bimbang dengan tindakanku yang tidak disangka-sangka. 
“Kenapa menangis, Ina?  Tiba-tiba je?  Ina sakit?” soal Abang Adan cuak.  Aku menggeleng bila dia mahu dekat padaku.  Langkahnya pegun.  Tubuh emak yang baru hadir di sisiku, aku paut lengannya.
“Mak dah dengar,” tukas emak.  Aku hanya mengalirkan airmata syukur, tidak mampu untuk menjawab pertanyaan Abang Adan.
“Kenapa mak?” Abang Adan sudah tidak sabar.  Dia memandang  kami silih berganti.
“Andy Lee bin Abdullah....” jawab emak ringkas.
“Kenapa dengan bos Adan?”
“Bakal abang ipar kamu,” jawab emak pulak.  Mulut Abang Adan melopong habis. 
“Andrew Lee, Angie Lee... Nur Adina Lee, Muhamad Andy Lee.  MasyaAllah.  Besarnya rahmat yang Adan dapat bulan Ramadhan ni, mak!”
“Nanti abang bagi tahu Abang Andy pasal Ina, ya?”  Aku mengukir senyum, setuju dengan cadangan Abang Adan.  Emak menyapa aku ke dalam pelukannya.
“Tapi, Ina rindukan daddy dan mummy, mak!” bisikku ke telinga emak. 
*******
10 akhir Ramadan adalah pembebasan.  Seringkali aku tertanya, bebaskah diri ini daripada dosa yang membelit diri?  Aku berharap kepada-Nya dengan penuh rendah diri.  Satu yang pasti, doaku termakbul sudah bila Abang Adan berubah ke jalan yang benar.  Ramadhan hadir dan aku sentiasa tidak sabar menantinya, ramadhan pergi tatkala aku masih belum cukup memohon keampunan dari Ilahi.  Benar kata ustaz, berdoalah kamu di bulan Ramadhan ini, merayulah, bermohonlah dengan penuh tawadhuk kerana Allah akan perkenankan doamu.  Sesungguhnya Allah suka akan hamba-Nya yang menangis, merayu-rayu dan meminta-minta pada-Nya.
Pagi hening Syawal, aku dikejutkan dengan kunjungan abang kandungku, Muhamad Andy bersama isterinya, Sumayyah Nadhirah yang berjilbab labuh bersama dengan seorang khalifah anugerah Allah, Muhamad Adha yang berusia 3 bulan.
Dari cerita Abang Andy, daddy kesal selepas memutuskan hubungan darah denganku hingga membuatkan mummy menjadi murung.  Selepas itu, daddy mengambil keputusan menyerahkan syarikat kepada Abang Andy demi menjaga mummy dan di pejabat itulah Abang Andy menemui wanita yang menuntun dia ke jalan Allah setahun lebih yang lepas.
Aku sibuk melayani anak saudaraku bila kedengaran deruman kereta di laman rumah.  Kak Sumayya dan emak yang sedang menyiapkan sisa-sisa untuk kenduri esok melemparkan pandangan buatku.  Abang Adan dan Abang Andy yang sedang menikmati juadah Syawal di meja menjenguk ke luar tingkap lantas Abang Andy meluru ke pintu.
Aku bangkit mendukung Muhamad Adha rapat ke pintu dan sungguh, aku terjelepuk ke lantai demi melihatkan 2 raut wajah yang selama ini aku rindu.  Mujur sahaja Muhamad Adha tidak terlepas dari pelukan.  Tatkala ini, airmataku murah lagi merintik.  Emak dan Kak Sumayya mendekat dan Kak Mayya terus mengambil anaknya lalu membiarkan aku merapati kedua ibu bapaku yang berbaju kurung dan baju melayu lengkap bersampin.  Mungkin mahu meraikan Syawal bersamaku.
“I miss you both, mummy, daddy!  Angie bersalah pada mummy dan daddy!” Tubuh keduanya aku peluk.  Erat.  Bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi.
“No, baby!  You do nothing wrong.  This is your path and now you are not Angie anymore, but Adina.  Even so, you are always our daughter.  I was wrong for chasing you away long ago.” Ucapan daddy membawa aku teresak-esak di dada mummy.
“And we miss you more, baby,” bisik mummy pula.  Alhamdulillah!  Bisik hatiku.
Mereka yang menjadi penonton turut mengalirkan air mata.  Mummy mendekat pada Kak Sumayya dan mencium dahi menantunya lalu menyapa tubuh montel Muhamad Adha ke dalam pelukan dan aku, masih setia di dalam pelukan daddy. 
********
Syawal kedua.  Aku telah selamat menjadi suri yang sah kepada Ramadhan Fitri.  Daddy dan mummy tidak putus tersenyum bila tetamu memuji kebaikanku dan wajahku yang telah mewarisi kecantikan mummy. 
“Adina, come honey!  My employees want to meet my beautiful daughter and my handsome son in-law,” ajak daddy tiba-tiba.  Aku berpandangan dengan Abang Adan lalu mengikut langkah daddy.
“Tasha,” seruku terkejut.  Mata Abang Adan terpaku padaku.  Aku jungkit bahu. 
“Buat apa dia kat sini?” tanya Abang Adan padaku. 
“Biarlah, abang.  Tetamu tu,” pujukku lembut lalu memaut lengan sasa si suami.
“Bos, lama tak jumpa lepas you retired,” ucap seorang lelaki di sebelah Tasha.  Aku tersenyum padanya namun hanya jelingan maut yang menjadi balasan.  Mengerti denganku, Abang Adan menggenggam jemariku erat.
“Adina, ni pekerja syarikat.  Branch Manager, Taqiudin!  Ni anak dia, Natasha, kan?” tanya papa pada Tasha.  Dia tidak menjawab.  Diam tidak berkutik.  Aku terkesan akan wajahnya yang memerah.  Sengihan sinis Abang Adan juga melebar. 
Selepas aku terlepas daripada daddy dan Abang Adan, aku rapati Tasha yang sedang duduk bersendirian. 
“Tasha,” panggilku lembut.
“I am appologise for the past,” sambungku penuh ikhlas.  Dia diam.  Lama dia begitu membiarkan aku menatap wajahnya. 
“I am the one who supposed to ask for your forgiveness, Adina.  Maafkan saya.  Sememangnya awak berharta.  Kaya harta dunia, apatah lagi harta akhirat,” ujarnya bernada sesal.  Aku melabuhkan duduk di sebelahnya lalu mendaratkan telapak tanganku ke belakang tangannya.
“No, Tasha.  Yang berharta, parent saya.  Tapi, saya juga berharta di dunia bila keluarga sudah sudi terima saya semula.  Biarpun berbeza agama.  Harta akhirat masih belum cukup.  Masih banyak yang perlu saya kumpul untuk menghadap Allah yang Esa.”
Tasha mengangguk lantas memelukku erat.  Dari jauh, mataku tertancap pada renungan suamiku yang tersenyum manis. Dia nampak tampan dalam Baju Melayu putih mutiara sedondon dengan baju kurung modenku. 
‘Abang sayang Ina!’  Hatiku dapat merasakan Abang Adan sedang mengucapkan itu padaku lalu aku melebarkan senyum.
*******
Periuk yang sudah hitam terbakar itu aku gosok kuat.  “Kesian periuk mak, hitam legam jadinya,” gumamku sendiri.
“Oh, Encik Periuk dah hitam, ya?  Mari sini, saya bagi Encik Periuk putih balik.  Sebab, kalau tak putih nanti tak dapat tidurlah saya nampaknya,” usik Abang Adan yang muncul tiba-tiba.  Dia sudah melabuhkan duduk di depanku.  Menayang wajah yang dihiasi sengihan nakal.  Aku tunduk menahan malu.  Tahu benar maksud di sebalik gurauannya itu.
“Hidup abang yang pernah kelam beberapa tahun ni bercahaya kembali bila diterangi Nur dari Adina....” ucap Abang Adan romantik dan sedikit tergantung.
“.... dan abang adalah Ramadhan di hati Adina,” sahutku pula.  Mata bertentangan lama hingga tidak sedar jemari kami bersulam sesama sendiri. 
“Isteri abang ni cantik sangat.  Luar cantik, apatah lagi dalam diri!” Wajah Abang Adan makin dekat padaku.  Dekat dan makin mendekat.  Sudah terlalu hampir hinggakan dapat ku rasa hangatkan hembusan nafasnya di wajahku.
“Ehem... ehem... tak nyempat nampak,” tegur satu suara.  Kami tersentak lalu kalih pada empunya suara.  Wajah Abang Andy dan isterinya tersembul di pintu dapur.  Tanpa sedar Abang Adan tersilap mendaratkan telapak tangannya, lalu tergelincir dan wajah itu terus tersembam ke atas alas periuk yang hitam. 
Aku mengucap panjang.  Terus aku tekup mulut dari menghamburkan tawa bila wajahnya sudah hitam legam terkena belakang periuk.  Abang Andy dan isterinya gelak sakan.  Abang Adan mendengus.  Marah mungkin?  Atau sekadar melayan dirinya yang dibahan gelak.
“Padah orang tak sabar.  Allah bagi cash!” bidas Abang Andy seraya berlalu bersama gelaknya.
Abang Adan memandangku dengan wajah sememeh.  Meraih simpati la tu!  Desis hati  ini.
“Biar warna apa pun colour wajah abang, abang tetap Ramadhan di hati Adina!” Abang Adan ketawa lalu menggeselkan pipinya ke pipiku.  Aku terjerit kecil dan dia ketawa kuat. 
Betapa hebat dugaan di bulan Ramadhan kali ini namun Allah mengurniakanku hadiah yang tidak terkira nikmatnya atas secubit sabar ini.  Memakbulkan doaku, hamba yang hina ini.  Inikah yang dikatakan keberkatan Ramadhan biarpun aku masih jauh untuk mencapai ketaqwaan. 
‘Aku akan terus tegar menyintai agamaku dan si suami biarpun airmata ini tidak sudah merintik.’ Bisik hatiku dengan penuh syukur.

***TAMAT***

Sesungguhnya, 10 pertama Ramadhan itu adalah keberkatan, 10 pertengahannya pula adalah keampunan, 10 akhir Ramadan adalah kemerdekaan dan akhirnya adalah taqwa.  Mampukah kita meraih keberkatan?  Yang pasti adalah keampunan bagi hamba yang meminta demi kasih sayang Pencipta pada hamba-Nya.  Pilihlah untuk merdeka daripada noda dan dosa biarpun terlalu getir untuk kita tergolong dalam hamba-Nya yang bertaqwa.   Akhir kata, bersabarlah.  Kerana orang yang tidak dapat menahan marahnya adalah orang yang kalah. 

8 comments:

  1. xtau nk describe mcm mn...:)..mmg bez..

    ReplyDelete
  2. mcm mna blh terlpas crita ni..ingtkan da baca..adess..
    cerpen yang menarik dan byak pengjaran.
    terasa malu pulak sbb baca crpen ni last..

    >>k<<

    ReplyDelete
  3. best sangat cerita ni... sedey pon ade, kelakar pon ade yg part nding ni

    ReplyDelete
  4. Sukeeeee....
    Mmg kdg2 mualif ni lg byk ilmu dr yg mmg sedia islam ni

    ReplyDelete
  5. cter yg sngt2 bagus.padat dgn pengajaran.

    ReplyDelete
  6. good job,tahniah,best n bnyak ilmu untuk diambil iktibar,,

    ReplyDelete
  7. BERITA BAIK!!! BERITA BAIK!!! BERITA BAIK!!!

    Nama saya fatma Saya ingin menggunakan medium ini untuk memberi tahu semua pencari pinjaman supaya berhati-hati, kerana terdapat penipuan di mana-mana, mereka akan menghantar dokumen perjanjian palsu untuk anda dan mereka akan mengatakan tidak ada bayaran pendahuluan, tetapi mereka adalah orang yang suka bermain, kerana mereka kemudian akan meminta bayaran yuran lesen atau yuran jaminan yuran dan yuran pemindahan, jadi berhati-hati dengan syarikat pinjaman mereka yang curang.

    Beberapa bulan yang lalu saya tegang dari segi kewangan dan terdesak, saya telah tertipu oleh beberapa peminjam dalam talian. Saya hampir kehilangan harapan sehinggalah Tuhan menggunakan kawan saya yang merujuk saya kepada pemberi pinjaman yang sangat boleh dipercayai yang dipanggil ibu Theresa, yang memberi pinjaman tanpa jaminan dari USD100,000 dalam masa kurang dari 24 jam tanpa tekanan atau tekanan dan kadar faedah hanya 2%

    Saya sangat terkejut apabila saya menyemak baki akaun bank saya dan mendapati bahawa jumlah yang saya memohon, dihantar terus ke akaun bank saya tanpa sebarang kelewatan.

    Kerana saya berjanji bahawa saya akan berkongsi berita baik, supaya orang dapat mendapatkan pinjaman dengan mudah tanpa tekanan. Jadi, jika anda memerlukan pinjaman apa-apa, sila hubungi beliau melalui e-mel sebenar: theresaloancompany@gmail.com dan oleh rahmat Tuhan dia tidak akan pernah mengecewakan anda dalam mendapatkan pinjaman jika anda taat.

    Anda juga boleh menghubungi saya di e-mel saya: feyzilfatma@gmail.com dan Sety diperkenalkan dan berbincang mengenai Puan theresa, dia juga mendapat pinjaman baru dari Puan theresa, anda juga boleh menghubunginya melalui e-melnya: martinimarais1986@gmail.com Sekarang, semua yang saya akan lakukan adalah cuba untuk memenuhi pembayaran pinjaman saya yang saya hantar terus ke akaun mereka setiap bulan.

    Satu perkataan cukup untuk orang bijak

    ReplyDelete