Friday, August 19, 2011

AKU & OBENG


WAJAH yang lena itu aku renung penuh kasih. Sungguh mendamaikan. Tubuhnya masih dibaluti Baju Melayu dan berkain pelekat selepas pulang dari surau tadi. Rindu ini sentiasa untuknya. Hatiku sudah lama pergi kepada dia dan aku pula telah menjaga penuh rapi hatinya yang telah dia amanahkan padaku sejak sekian lama.
Aku renung wajah itu lama. Bersih. Sebersih cintanya padaku. Tenang. Setenang sikapnya dalam melayani kerenahku yang kadang-kadang terlebih mengada-ngada. Aku tarik cermin mata bingkai tebal warna hitam itu dari wajahnya.
“Setiap kali pasti tertidur tak buka cermin mata,” gumamku sambil menggeleng kecil. Tahu benar dengan tabiat dia yang satu ini.
Andai tiada kaca mata, wajah itu tampan. Bisa mencairkan hati mana-mana wanita. Tanpa kaca mata itu, dia tak layak digelar skema atau nerdy. Tapi, nerdy itu kan gelaran yang terbit dari celah bibirku jua satu waktu dulu? Aku ketawa waktu itu tapi dia hanya senyum menerima gelaran yang aku berikan padanya. Merenungnya lama bisa membawa aku kembali ke waktu lalu. Waktu yang penuh dengan harapan hingga berjaya melestarikan impian.
******
Jenuh aku menanti si dia. Tapi, batang hidungnya tetap tidak terbias di korneaku. Rasanya sudah naik kematu kakiku berdiri. Andai setengah jam lagi dia masih belum muncul, aku pasti akan bertukar menjadi tiang lampu. Terkena sumpahan. Sesekali aku mengetatkan ikatan tocang pada rambutku. Jenuh juga emak membebel supaya aku memakai tudung di usia 26 tahun ini tapi aku masih belum bersedia untuk itu.
Hailah, Obeng. Jika tidak diingatkan tempatnya di hatiku, mahu saja aku berlalu dari terus menanti setiap kali pun. Ya, setiap kali aku yang menanti! Pedih, kan? Tapi, rasa rindu yang menderu-deru telah memakukan kakiku. Merindui wajah teman baikku sejak dari zaman kanak-kanak.
Kini, kami terpisah kerana ilmu yang dikejarnya sedangkan aku lebih senang memilih untuk bekerja biarpun sebagai seorang kerani dan menjadi penulis separuh masa memandangkan masalah kewangan yang ibu dan ayah alami waktu itu. Sesekali, hatiku dibelit hasad dengki padanya. Berpeluang belajar hingga ke tahap Master tapi aku, SPM sahaja. Tapi, demi kerana sayang, ku doakan jua dia berada di mercu kejayaan kelak.
“Manalah Obeng ni? Kata dah sampai KL,” rungutku. Memang nak kena mamat nerdy ni. Erk, nerdy? Kenapa nerdy? Tidak sedar perkataan nerdy itu terpacul dimulutkan lantas membuahkan tawa yang mengekek. Tapi, sesuai saja dengan perwatakan dia! Bisik hati ini sendiri.
“Assalamualaikum, masih waras ke anda ni? Kenapa ketawa sendiri?”
Aku kalih pada suara yang menegur. Cam benar dengan usikan klise begitu. Hanya dia yang berani berkata begitu padaku kerana kasih sayangku padanya sudah lama bertapak di hati ini. Wajah nerdy itu muncul di depanku sudahnya.
“Waalaikummussalam,” jawabku dalam pada menahan marah.
“Encik Nerdy, kenapa baru muncul? Kata dah masuk KL 2 jam sudah. Ni dah dekat 3 jam baru nak sampai. Sesat cari The Mall ke apa?” sinisku. Sesekali melepaskan geram padanya dengan harapan dia memujukku. Reza sengih padaku. Menggaru kepala yang tidak gatal atau sememangnya gatal berkelumumur dan selepas itu membetulkan cermin mata berbingkai tebal warna hitam itu. Nah, tidak salah andai dia ku gelarkan mamat nerd, kan?
“Nerdy? Sejak bila pulak Obeng tukar nama ni? Payah tu nak tukar nama. Naik turun mahkamah, angkat sumpah segala. Lagipun, rasanya nama Obeng dah cukup handsome dah. Tak cukup ke dengan nama Obeng yang yang Rean berikan dulu?” Dia mula loyar buruk denganku. Aku ketap gigi. Inilah dia, suka mempermainkanku.
Hatiku ketawa kuat. Obeng! Itulah nama manja yang ku berikan padanya setelah berlaku satu peristiwa dulu. Peristiwa yang tak akan pernah aku lupakan.
“Tadi, sangkut dekat tol Sungai Besi la. Dah la PLUS pun boleh tahan jammed hari ni. Bukan Obeng je pengguna highway kat Malaysia ni,” sambungnya, menambah perisa pada sindiran. Aku ketap gigi. Geram dengan sikapnya yang kurang serius. Muka je ketat, tapi perangai, longgar. Erk, bukan longgar. Tapi, selamba.
“Yalahlah sangat Obeng tu. Lain Rea tanya, lain Obeng jawab. Bukan ya atau tidak je, berjela-jela Obeng punya ulasan. Memanglah nama nama Obeng handsome tapi Obeng tu, handsome ke?” Aku angkat kening berkali-kali dengan senyuman sinis di hujung bibir.
“Kalau tak handsome, orang tu nak kena tunggu Obeng ni sampai berbelas tahun dah?” sinisnya bersama senyuman di hujung bibir.
Erk, aku telan liur. Tersekat nafas seketika bila menerima sindiran begitu. Ceh, aku yang mulakan, aku yang terkena.
Demi melarikan wajah yang terus memerah, aku terus berlalu menuju ke Secret Recipe. Sejak dari pagi tidak makan kerana terlalu teruja untuk bertemu dengan buah hati pengarang jantung.
Setelah beberapa tapak, langkahku pegun. Rasa bagaikan Obeng terpaku di tempat tadi. Aku kalih dan dia rupanya sedang membelek sesuatu di sebuah booth yang menjual beraneka selendang dan tudung. Aku kembali mendekatinya.
“Buat apa lagi ni? Orang dah lapar la, Obeng. Dari semalam tak makan tau tak? Jomlah, kita makan dulu,” rengekku. Obeng kalih padaku lalu tersenyum dan seketika mengalihkan pandangan ke rambut hitamku.
“Cantik bertocang hari ni?” pujinya. Aku senyum. Bahagia bila sesekali dipuji oleh buah hati.
“Beli kat mana? Kalis apa ya tocang tu?” Senyumanku mati. Pedih hulu hati dengan kata-kata itu. aduh, tepat menusuk ke jantungku.
“Tapi lagi cantik kalau pakai tudung, kan?” sambungnya. Selama ini dia tidak pernah mempersoalkan diriku yang tidak bertudung tapi hari ni, rasa lain pula.
“Rea dah 26 tahun, kan?” Tanya Obeng kononnya tidak tahu. Sedangkan aku dengan dia seumur. Lahir pada tarikh, bulan dan tahun yang sama. Mujur sahaja waktu tidak serupa.
“Obeng rasa dah sampai masanya Rea pakai tudung atau Rea tak terbuka hati lagi nak pakai tudung?” Aku sengih menahan pijar di wajah bila dia bertanya begitu.
“Bukan Rea tak nak pakai, Obeng tapi bagi Rea sikit masa lagi. Rea tahu, pakai tudung tu wajib bagi umat Islam.”
Obeng geleng kepala dengan senyuman tipis yang tergaris di bibir kemerahan itu. Dia membetulkan kanta matanya seketika sebelum membelek sehelai demi sehelai selendang yang bergantungan. Aku hanya memerhati. Serasa hilang lapar mendengarkan komen Obeng kali ini.
“Reana Merlis, bertudung itu tidak wajib langsung,” ucap Obeng padaku. Aku buntang mata. Terkejut dengan kenyataannya. Ajaran sesat mana pula yang melekat pada buah hatiku ini? Oh, Tuhan. Tidak!!! Dia selamba sahaja mengangkat kening pada gadis penjual itu. Lalu tersenyum penuh makna padaku.
“Ajaran sesat mana yang Obeng ikut pulak ni? Walaupun Rea tak bertudung tapi Rea tahu yang bertudung itu wajib,” tekanku sedikit tegas dengan niat ingin menyedarkan dia.
“Eh, mana ada ajaran sesat? Betullah Obeng cakap. Bertudung tu tak wajib. Yang wajibnya menutup aurat. Tak kiralah pakai kelambu ke, pakai langsir ke, pakai selimut ke, kain batik ke, guni sekalipun. Okey? Boleh macam tu?” jawabnya tenang. Gadis penjual itu mengekek ketawa. Aku ketap bibir menahan geram. Alih-alih aku yang kena!
Tanpa menunggu lama, aku terus berlalu meninggalkan dia yang masih setia membelek selendang. Terus ku bawa rajuk hati ke Secret Recipe. Hanya Carrot Cake sahaja yang bisa mengubati hatiku kala ini. Oh, hanya kau Carrot Cake. Tidak Obeng atau Reza Mukhriz itu.
*******
Aku melompat kegirangan bila Obeng memberitahu yang kami akan bertolak pulang ke Kemaman awal pagi ini. Seusai Subuh dia menelefonku memberitahu perkara itu. Katanya hadiah untukku kerana merajuk sewaktu di The Mall semalam. Tidak cukup dengan 2 potong Carrot Cake yang dia belanja, dia add on lagi dengan cuti pulang ke kampung lebih awal dari yang dijanjikan.
Telefon bimbit ku gapai. Kepada bos ku titipkan pesanan untuk memohon cuti kecemasan. Mujur sahaja bosku tidak banyak bersoal jawab. Iyalah, setakat kerani biasa. Yang hanya menaip surat sahaja. Menjadi pekerja yang tidak penting mana andai aku bercuti agak lama.
“Seronok nampak?” tanya Obeng saat aku memboloskan diri ke dalam Wira Aeroback hitam metaliknya.
“Eh, mahu tak seronok? Nak balik kampung jumpa mak ayah, seronok tu!” Sengihku melebar. Dia hanya menjeling sekilas ke arahku dengan senyuman tipis.
“Obeng cuti berapa lama?” tanyaku kemudiannya bila kami sudah melepasi tol Gombak.
“Obeng cuti sebulan. Kenapa, Rea nak cuti sebulan jugak ke?” Aku tarik muka. Tak sudah-sudah dia ingin mengenakanku.
“Rea cuti seminggu je. Tapi, hari ni dah tambah lagi 3 hari, jadilah 10 hari,” terangku.
“Obeng cuti ni pun sebab nak buat research. Projek akhir nak dekat dah ni. Kalau tak lulus, maut la Obeng nanti. Sanggup ke Rea nak tunggu Obeng lagi beberapa tahun? Silap-silap umur 40 Obeng dok bersanggah lagi kat UTM tu,” ucapnya. Aku menggeleng.
“Eii... umur 40 dah tua gayut la Rea nanti. Obeng tak apa lelaki,” protesku buat-buat merajuk.
“Reana Merlis ni kan cantik. Obeng ni sapa la nak. Nerd la katakan,” leretnya. Bibirku tersenyum tanpa dipaksa.
“Eleh, cakap merendah diri tak bertempat nampak. Awak tu lagi la ramai orang nak, Encik Reza Mukhriz. Nerd tu sebab cermin mata awak je. Jangan lupa yang awak tu bakal ada Master. Bekas engineer pulak tu. Lepas ni, dah tentu-tentu dapat jawatan lagi baik punya. Bukan macam saya ni, SPM saja ada. Kerja kerani pulak tu. Umur 40 semua dah kedut. Masa tu, orang pun tak ambil tahu saya wujud ke tak atas muka bumi ni,” ujarku menidakkan apa yang Obeng ucapkan tadi.
“Lelaki ni lain dengan perempuan, Obeng! Bak kata pepatah. Resam padi, makin tunduk makin menjadi dan resam lelaki, makin tua makin dicari,” sambungku. Obeng ketawa.
“Kenapa ketawa?” tanyaku.
“Memang Obeng akui yang Rea ni berjiwa penulis. Berpepatah saja. So, Rea dah cakap begitu, kalau kata Obeng tak lulus projek akhir ni, Rea kahwin la orang lain. Suruh Makcik Rahimah carikan. Obeng nanti umur 40 pun boleh cari lain sebab nak habiskan jugak Master tu walaupun Obeng rasa dah serik nak belajar lagi. Pening kepala otak ni. Boleh tandus!” Obeng ketawa.
Entah mengapa hatiku dipagut pilu. Diam menelan liur yang terasa kelat. Akalku tidak dapat mencerna kata-katanya dengan baik. Terasa ada sembilu yang tertusuk ke hati. Obeng seriuskah? Sukar ku tebak perasaannya padaku biarpun berbelas tahun kami bercinta. Bila difikirkan, cintakah dia padaku? Kerana selama ini, sikapnya tidak pernah menyuratkan apa yang tersirat.
Tidak sedar bila rasa sarat di mata hilang bila air jernih itu menitis laju melalui lekuk pipi. Aku terus melarikan wajah ke kiri. Menyorokkan wajah yang muram dan sebek daripada Obeng. Menyandarkan kepala ke seat kereta lalu memejamkan mata.
“Rea mengantuk. Pagi-pagi lagi Obeng kacau. Rea tidur jap. Kalau Obeng nak tukar driver nanti kejut Rea. Kalau tak jangan kejut,” pesanku lemah.
“Okey,” jawabnya sepatah. Tiada terusik sedikitpun emosinya dan mataku terus tidak mendengar kata. Masih mahu merintikkan airmata biarpun akal ini jenuh melarang. Haru!
******
Lewat pagi itu, kami tiba dengan selamatnya di Kijal. Selepas menghantarku, Obeng terus pulang. Penat katanya. Aku hela nafas panjang. Menikmati hembusan bayu Laut China Selatan yang mendamaikan. Membawa bisikan akan agungnya ciptaan Allah. Sayangnya Dia pada hamba-Nya hingga dihamparkan keindahan alam yang sebegini indah.
“Mak dah lama tak tengok Reza. Tak singgah dulu ke dia?” tanya emak saat aku melabuhkan duduk di sofa. Aku lihat seluruh rumah lot setingkat milik mak dan ayah ini. Sudah banyak berubah setelah ayah berjaya memajukan rumah peranginannya yang pernah menuntut ayah berkorban apa saja satu waktu dulu. Penat memaksa aku menyambung pelajaran selepas itu, tapi aku hanya memekakkan telinga. Sudah malas. Tertewas oleh waktu.
“Dia penat, mak! Dia memandu seorang. Rea tidur!” Aku sengih. Emak buat muka dan aku ketawa.
“Rea dah umur 26 tahun ni, kan?” Erk, aku tepuk dahi demi soalan mak. Apakah jenis soalan itu? Bukankah dia yang melahirkanku? Rasanya setiap tahun dia tidak pernah lupa untuk mengadakan doa selamat sempena tarikh lahirku dan Obeng biarpun kami tiada di rumah.
“Soalan apa tu, mak?” Aku ketawa. “Semalam Obeng yang tanya, hari ni mak pulak. Macamlah tak tahu Rea umur berapa?”
Emak tidak menjawab, sebaliknya duduk di sebelahku lalu meraih jemariku ke dalam genggamannya. Senyuman mak nampak semacam. Bagaikan menghantarkan maksud yang pasti mengejutkanku. Yang pasti membuatkan aku melopong habis. Aku angkat kening. Menduga mak.
“Mak nak tanya ni. Rean tak nak tamatkan zaman bujang lagi ke?” tanya emak. Sudah ku telah, itulah soalannya, kan? Biarpun hanya sijil SPM yang ku genggam namun, tahap kecerdasanku masih tinggi. Tidak lemau.
“Dengan bahasa mudah untuk kau faham, mak nak tanya bila Reza atau Obeng kau tu nak masuk meminang?” Entah dari mana muncul kakakku yang seorang ni. Terus sahaja menyebut nama Obeng kesayanganku itu. Terdongak aku mencari wajah Kak Resya. Wajah itu selamba seperti biasa.
“Erk, soalan apa tu, kak?” tanyaku buat-buat tidak tahu.
“Apalah lemau sangat kau ni, Rean? Bukan ke kau dah lama bercinta dengan Obeng tu? Nak tunggu sampai bila baru dia nak masuk meminang kau? Nak tunggu umur kau 40?” tekan Kak Resya seraya duduk di sebelah mak. Aku telan liur.
Erk, angka itu lagi. Baru pagi tadi angka itu ditukas Obeng. Rasanya bagaikan terkena sumpahan nombor pula. Entah-entah masin mulut Si Obeng tu. Aku pantas mengucap panjang. Mohon pada Allah agar dijauhkan semua itu.
“Ala, Obeng tu tengah belajar lagi, kan? Nanti dia dah habis belajar, dia masuk mintak la tu,” jawabku dalam pada memujuk hati yang kewalahan.
“Kalau dia tak habis-habis jugak belajar? Rea nak tunggu dia jugak ke?” sela emak pula. Aduh, pedihnya soalan mereka ini. Kenapalah skrip mereka hampir sama? Diarahkan oleh pangarah yang samakah?
“Hanya Obeng je dalam hati Rea ni, mak! Tak kiralah umur berapa pun, Rea tunggu,” jawabku seraya mengangkat tubuh mahu berlalu ke bilik. Baru saja tiba, sudah diterjah dengan soalan membunuh begini. Pedih hati memikirkan andaian negatif dari Obeng, Kak Resya dan lebih-lebih lagi dari mak. Oh, tidak! Jerit hatiku kuat.
“Emm, tunggulah Obeng tu, Rea. Mahu akak dapat cucu dulu nanti,” perli Kak Resya. Aku kalih sekilas. Emak tersenyum penuh makna.
“Dan Kak Resya toksahlah nak panggil dia Obeng. Panggil dia Reza ke Mukhriz atau apa sajalah. Obeng tu Rea seorang je boleh panggil,” pesanku tawar. Emak sengih pula.
“Gila kuasa!” ejek Kak Resya.
“Lepas tu, mak toksah jugak terima kalau ada sesiapa masuk meminang. Nanti Rea terjun laut,” ucapku pada emak selepas dapat mengesan maksud yang tersirat di balik bening mata tua itu.
Erk, ada ke orang yang masuk meminang? Bisik hati ini. Macamlah cantik? Emm, memang tak cantik, tapi still cute! Jawab hatiku lalu berlalu ke bilik. Menutup pintu, menghempas badan ke tilam dan menutup mata. Tapi, masih berdoa agar tidak menutup mata terus. Heee...
******
Esoknya, aku dan Obeng menuju ke Pantai Telok Kalong tempat rumah peranginan yang diusahakan oleh ayahku dan ayahnya . Dari kejauhan ku lihat ayah dan bakal ayah mentuaku sedang berbual di gazebo kayu. Erk, bakal ayah mentua ke? Harap-haraplah. Desis hati ini sendiri.
Entah bila gazebo itu ada di situ? Ketara indah keseniannya ala-ala hiasan Bali itu. Lama benar rasanya tidak menjengah ke kampung. Bagaikan berjawatan seorang jurutera atau lebih lagi doktor. Sibuknya tak menyempat. Nak lebih lagi, Perdana Menteri. Heee…
“Assalamualaikum, ayah, Pakcik Razak,” ucapku. Itulah nama ayah Obeng, Razak dan ayahku pula Rahim. Emakku Rahimah dan ibunya Rosila. Menarik kan, susun atur abjad nama aku dan Obeng?
Selepas mereka menjawab salam, aku memaut huluran tangan ayah dan tersenyum pada ayah Obeng. Kami sama-sama melabuhkan duduk di atas bangku yang diperbuat daripada batang kayu berdiameter 15 icni itu. Hatiku terpaut. Rasanya berada di tempat lain sedangkan hanya bertenggek di gazebo yang hanya sekangkang kera.
“Cantik gazebo ni, ayah? Arkitek mana yang buatkan ni?” tanyaku teruja. Mataku tidak lepas memandang jutaian pokok menjalar di sekelilingnya. Mahu saja meminta agar Obeng melamarku di sini nanti. Erk, dia nak aku ke?
“Bukan arkitek tapi jurutera,” jawab ayah bagaikan berselindung. Aku angkat bahu, malas nak mengada bertanya lebih-lebih di depan Obeng dan ayahnya.
“Emm, tahniahlah buat jurutera tu sebab buatkan Rea terpaut hati pada dia walaupun tak tahu dia siapa dengan hiasan gazebo ni,” ujarku selamba. Mahu mengenakan Obeng. Agar dia tahu erti cemburu dan dipamerkan sedikit kesungguhannya dalam menginginkanku. Tapi, hampa. Sudahnya aku kecewa sendiri bila dia buat muka selamba berborak dengan ayahku. Siap tukar topik! Aduh, pedihnya.
“Lama cuti kali ni, ya Obeng?” tanya ayah. Aku menyiku ayah. Memberi amaran dalam diam.
“Oh maaf, Rea! Rea saja boleh panggil Reza Obeng, kan?” usik ayah. Aku tarik muka. Pakcik Razak ketawa dan Obeng, seperti biasa. Tayang muka ketat yang selamba la. Apa lagi!
“Lama jugaklah, pakcik. Nak sempurnakan semua dalam sebulan ni jugak. Lepas tu baru boleh balik Skudai, siapkan projek akhir dengan jayanya. Cari pembakar semangat dulu, baru bersemangat. Tak gitu, ayah,” ujar Obeng.
“Baguslah tu. Pakcik tak kisah. Mana kamu rasa elok, eloklah pada kami, ya Jak?” sambung ayah pula. Pakcik Razak mengangguk laju.
Erk, apa sajalah yang dibincangkan? Obeng pun satu. Janji nak berjalan tepi pandai. Sudahnya berborak dengan ayah pula! Rungut hatiku pilu. Entah mengapa, selepas peristiwa angka 40 itu, aku makin terasa yang Obeng sudah berubah hati. Mungkin saja kerana dia dikelilingi wanita cantik yang berpendidikan. Educated cakap orang barat. Tapi, aku? Bukan educated tapi bawah tempurung ada katak! Tapi, tak mengapa juga. Selagi katak itu warna hijau pucuk pisang, aku suka.
“Rea nak jalan tepi pantai dulu, ayah, Pakcik. Dah lama tak tengok air laut,” ucapku sambil mengangkat tubuh.
“Hai, berani pulak nak ke pantai?” tanya ayah bagai tidak percaya.
“Bolehlah daripada takut langsung tu.” Jawapanku mengundang tawa pada ayah dan Pakcik Razak. Aku hanya menjeling Obeng sekilas menghantar ajakan dalam diam tapi.... emm... seperti biasa juga. Malas dah nak cakap.
“Hati-hati kat tepi pantai tu. Karang masuk ke laut pulak. Awak tu pantang dengan laut,” jerit Obeng. Aku hanya mengangkat tangan tanpa menoleh.
“Eleh, aku pantang laut pun pandai berenang, kau tu, boleh?” rungutku membawa hati yang merajuk lagi.
*******
Pagi itu, aku tercari-cari kelibat emak selepas aku bersiap. “Eh, mana mak ni? Dah la aku tak boleh tak tengok wajah dia satu hari. Dah ada live nak la tatap. Selama ni, dok renung gambar je,” gumamku.
“Kau ni waras ke tidak, dik? Sejak bila pandai cakap seorang diri?” Erk, soalan ni Kak Resya ni tiru dan tampal daripada Obeng ke?
“Waras,” jawabku buat-buat nada orang Jawa.
“Cari mother? Mana?” Aku angkat kening.
“Kat belakang, kopek kelapa. Nak buat kenduri,” jawab Kak Resya lalu duduk menyusukan bayinya. Pipi tembam si comel Rizqin aku cubit. Merengek anak itu hinggakan Kak Resya menepis tanganku.
“Tiga empat hari dah Rea balik ni, tak nampak pun Abang Rizman?” tanyaku. Itulah menariknya keluarga aku dan Obeng. Semuanya berabjad ‘R’ di pangkal nama. Termasuk ipar duai segala.
“Abang ipar kau tu naik pelabuhan minggu sudah. Sehari dua nak kenduri nanti dia balik la?” Aku mengangguk tanda mengerti lalu kembali mencuit pipi Rizqin.
“Kau tak nak tahu ke mak buat kenduri kenapa, Rea?”
“Emm, toksah cakap. Seperti biasa jelah tu,” jawabku merenung Kak Resya seketika dan dia tersenyum penuh makna. Lalu berlalu ke bilik.
“Orang nak menyusu, kau kacau kenapa? Beranaklah sendiri nanti, biar akak kacau anak kau. Kau tahulah masa tu angin ke ribut,” marah Kak Resya dan aku terus ketawa. Kedekut anak!
Tawaku tidak lama, mati selepas itu bila memikirkan perihal kenduri. Biasa yang ku maksudkan tadi adalah kesyukuran hari lahir aku dan Obeng tapi ini lambat lagi. Kenduri apa?
“Boleh jadi saja-saja mak buat. Top up pahala kot,” bisikku pada diri sendiri. Sudahnya aku terus mendapatkan emak yang sedang menolong ayah mengopek kepala.
*******
Dua hari tidak berjumpa Obeng, aku benar-benar kerinduan melihat wajah nerdnya. Nerdy in my heart and will always stay there ever! Katanya sibuk menguruskan sesuatu.
“Rea tinggal cuci kaki je nanti!” Itulah jawapannya bila di tanya. Senyum memanjang sedangkan aku mencuka 24 jam. Geram aku dibuat si lelaki ini.
Pada emak ku pohon keizinan untuk ke pantai bersama Obeng. Menikmati kebiruan laut yang disukainya. Segalanya biru dan bukan semua biru tapi biru lembut saja. Aku pula segalanya hijau, juga bukan semua hijau tapi mestilah hijau pucuk pisang saja. Bila difikirkan, besar bezanya kami ini. Yang serupa hanyalah tarikh lahir dan Lord of The Ring sahaja. Tapi, bila aku memilih hero cerita itu yang bernama Aragorn, dia selamba memilih Gollum, makhluk pelik yang terkena sumpahan.
Bila ke gerai atau ke restoran selama dia menziarahiku di KL selama ni, hanya air itu yang dimintanya. Pernah sekali kami ke Restoran Nelayan di Tasik Titiwangsa sewaktu kami di Tingkatan 2, mengikuti lawatan percuma yang sekolah anjurkan dan itulah detik di mana, aku melabelkan dia sebagai Obeng dan Obeng itu hanya aku yang layak menyebutkan.
*******
“Teh o ais limau, bang!” Aku meminta teh o ais limau bila pelayan restoran itu bertanyakan pesananku. Dia mencatit pada kertas di tangannya. Dia beralih pandang pula pada Obeng.
“Air apa, dik?”
“Teh o beng,” jawab Obeng jelas dan telus. Pelayan itu kerut wajah. Pastinya anak jati KL yang belum pernah dirojakkan dengan loghat lain.
“Abang bin Ahmad,” jawab pelayan itu bermuka blur. Aku ketawa disambut pula dengan kawan-kawan yang lain.
“Erk, kenapa bin pulak. Orang minta teh o beng,” tekan Obeng sekali lagi. Wajahnya seperti biasalah. Ketat yang selamba. Aku menyiku Obeng minta dia berhenti berkata demikian.
“Abang, dia minta teh o ais,” ujarku dalam pada menahan sisa tawa. Pelayan itu mengangguk sambil menggaru kepala lantas beralih kepada pelajar yang lain. Sudahnya, Obeng mula membaca mentera sebiru lembutnya padaku. Sengaja aku tukar serapah itu menjadi sebiru.
“Jauh termenung?” Suara itu ku kenal amat. Dia lantas melabuhkan duduk di sebelahku, sedikit menjarak kerana kami bukan lagi zaman kanak-kanak ribena dulu. Boleh berpimpin tangan, dan berpelukan bila masing-masing dimarahi mak atau ayah. Memujuk la konon! Tapi, kini, hari ini, saat dan detik ini, ku rasakan aku makin jauh dengan hati Obeng. Tidak pernah sekalipun dia mengucapkan perkataan nikah padaku walau sekadar gurauan. Dulu, aku berpendapat, mungkin dia masih belum bersedia tapi kini, rasanya jodohku dengan dia hanya angan-angan saja. Bakal sirna. Masinkah mulut mereka semua?
“Jauh la jugak,” selaku tiada minat. Benar, aku rasa jauh hati. Apatah lagi emak tidak sudah-sudah bertanyakan tentang angka 40 itu padaku. Perasa yang ditambah Kak Resya juga boleh tahan. Hampir botak kepalaku menahan larva panas.
“Jauh tu sampai mana dah?”
“14 tahun akan datang,” jawabku tanpa memandangnya. Dari ekor mata, aku tahu dia sedang merenungku.
“Meaning, umur Rea 40?” tanya dia lagi.
“Dan umur Obeng jugak!” Dia ketawa.
“Interesting! Boleh tahu apa yang agaknya Rea nak buat masa tu?”
“Duduk rumah mak seorang diri. Damai dan menenangkan,” jawabku penuh makna tersirat di sebaliknya.
“Hai, nak membujang sampai tua ke? Duduk rumah mak tu elok dah, tapi seorang diri tu macam pelik je,” ujar Obeng lagi.
“Tak ada yang pelik. Kot la Obeng tak lepas projek akhir ni. Kan Obeng suruh Rea kahwin dengan orang lain. Obeng tak apalah masa umur tu, muda lagi tu. Rea rasa kita dah makin jauhlah. Dekat tapi jauh. Dekat untuk dicapai tapi jauh untuk dimiliki!” Aku memaksudkan kata-kata itu. Berharap agar jiwa nerd di depanku ini tersapa oleh bisikan rinduku padanya yang menggebu dan semakin menghentak dada.
Obeng ketawa. Ranting kayu yang ada di tangannya di cuit-cuit ke rambutku. Aku mengelak. Menepis dengan wajah kelat. Dia bangkit menyapu belakang seluar dockers krimnya.
“Payah nak faham kata-kata puitis penulis ni, Rea! Obeng budak kejut. Semua maklumat sudah jelas dalam buku. Tinggal baca, apply je. Ayat melankolik ni, Obeng tak boleh nak tafsir,” balasnya. Aku turut berdiri bila dia mula melangkah mendekati pantai yang membiru. Tempat kesukaannya biarpun tidak pandai berenang.
“Obeng tahu tak, mak Rea tanya pasal kita? Rea takut kalau lambat-lambat nanti mak jodohkan Rea dengan orang lain pulak,” beritahuku jujur. Sejak akhir-akhir ini dapat ku rasakan lirikan mta emak tersirat. Cuma dia tidak meluahkannya lagi.
“Obeng tak tahu. Kalau pun Obeng tahu, Rea nak Obeng buat apa?” Soalan itu bagaikan menghantar maksud yang dia langsung tidak ingin mengambil tahu akan keadaan diriku kini. Atau dengan kata mudahnya, bukan lagi Reana Merlis di dalam hatinya.
Kelopak mataku terasa suam sudah. Berat rasa tubir mata menahan genangan air jernih yang bakal mengalir andai Obeng berkata untuk sepatah saja lagi.
“Kalau Rean rasa nak kahwin dengan orang yang mak Rea nak, go ahead. I won’t stop you!” Dia terus maju ke tepi pantai.
…. dan aku pula, terus berpaling memandang ke arah gazebo indah itu. Entah mengapa hati ini kuat mengatakan yang ‘jurutera’ itu adalah Obeng. Ya, dia. Reza Mukhriz bin Razak tapi bila dia tergamak berkata begitu, airmataku mengalir laju. Pandangan ke arah gazebo itu kabur akibat airmata yang semakin melimpah.
Aku memasang langkah lemah. Nyata, Obeng berubah hati. Bukan lagi Reana Merlis ni yang digilai tapi orang lain dan pastilah yang berpelajaran tinggi sepertinya. Baru sahaja beberapa langkah, aku dengar suara Obeng menjerit. Rasa sakit hati ini dimamah bimbang. Hilang langsung hinggakan secara tidak sedar kakiku berlari menuju ke gigi air demi tertangkap tangan Obeng yang tergapai-gapai di tengah laut. Jantung ini bagaikan terhenti.
“Aku rela jika dia hilang dariku Ya Allah tapi aku tidak tegar andai dia hilang dari bumi-Mu ini.” Tidak putus aku berdoa. Kakiku kaku. Terasa berat. Bagaikan kebas seluruh badan bila mahu terjun ke air untuk menyelamatkan Obeng. Peristiwa aku lemas dulu ditambah pula dengan momokan jerung dan pirana, menambahkan lagi rasa kecutku. Memang tidak logik jerung dan pirana di perairan Malaysia, kan? Tapi, benar. Itulah yang terus menghalang aku dari mendekati laut.
Bila melihatkan Obeng yang terus tergapai-gapai, airmataku mengalir lagi. Aku pejam mata ,cuba melangkah ke air. Dah tak pandai berenang mengapa mahu terjun ke laut?
“Aku pandai berenang. Aku mesti selamatkan, Obeng. Jodohkanlah siapa saja untuk Reza Mukhriz, Ya Allah asal tidak kau jemput dia kembali pada-Mu,” jeritku kuat dan serentak itu aku terus terjun dan berenang ke tengahnya. Biarpun air masih di paras dada tapi segalanya berkemungkinan.
Kolar baju Obeng aku gapai dan entah macam mana, kerana body shock, kakiku kejang tiba-tiba. Namun, aku terus kuatkan semangat, pohon pada Allah untuk membawa Obeng ke pantai tapi sayang bila kedua belah kakiku turut kejang. Hingga akhirnya aku hanya mampu berserah. Ombak beralun tenang, setenang rasa hati. Biar tidak hidup bersama di dunia, aku syukur andai kami pergi kepada-Mu bersama-sama, Ya Allah! Bisikku sebelum aku terus tenggelam.
*******
Mata yang berat aku buka perlahan-lahan. Ada cahaya, ada suasana dan ada suara. Di manakah ini? Masih bernyawakah jasadku?
“Reana,” jerit mak lalu merangkul tubuhku.
“Rea kat mana ni, mak?” tanyaku sambil memegang kepala. Pening. Anak mata pula pedih.
“Rea kat bilik Rea la. Lemas kat laut tadi. Kenapa tiba-tiba terjun ke laut. Nasib ada Reza tolong. Mak tak dapat nak bayangkan kalau Rea betul-betul lemas macam dulu. Toksahlah mandi laut lagi. Kan mak dah cakap dulu, ada jerung datang gigit nanti!”
Nah, tengoklah wahai sekalian makhluk. Emaklah yang memomokkanku dengan jerung dan pirana segala kerana tidak mahu aku ke laut lagi. Takut kehilanganku selepas aku di bawa deru ombak masa kecil dulu. Hingga hari ini, Reana Merlis ini emak layan bagaikan anak kecil. Ibu mana tak sayangkan anak, kan?
Erk, bukankah aku yang mahu menyelamatkan Obeng tapi kenapa pula skrip sudah bertukar menjadi aku pula diselamatkan oleh Obeng? Pandai pula dia berenang?
Wajah ayahku, Pakcik Razak dan isterinya Makcik Rosila, Kak Resya dan Abang Rizman muncul satu-persatu. Tersenyum padaku. Aku tidak putus mengucapkan syukur bila Allah masih memberi peluang untukku terus menghirup udara segar bumi ini. Andai aku pergi, hanya satu perkara yang ku kesalkan. Kepala ini, pasti dibakar api neraka kerana tidak pernah dilitupi biarpun pahala lain masih belum tentu menyelamatkanku.
“Mak, Rea menyesal sebab selama ni tak menutup rambut. Kata Obeng, tak kisah dengan kain cadar, waima guni sekalipun tapi rambut harus ditutup kerana itu aurat wanita. Nanti mak bagi tudung pada Rea satu, ya!” pintaku lirih. Airmata kekesalan laju mengalir. Emak menyapa aku ke dalam pelukannya. Mak Cik Rosila, ibu Obeng mendekatiku.
“Nah, Obeng bagi!”
“Ros,” tegur emak menjeling penuh makna. Mak CIk Rosila tekup mulut. Erk, macam budak-budak dah mak-mak kami ni.
“Maaf. Orang lain tak boleh panggil Obeng, kan? Rea seorang je boleh, kan? Mak Cik minta maaf. Reza bagi. Dia ke laut. Berenang katanya!”
Kata-katanya itu disambut hilai tawa semua. Aku menarik selimut lalu menutup wajahku. Tidak sanggup menentang mata mereka semua. Yang pasti, ada bahagia dalam hati.
Tapi, erk, berenang? Bila Obeng pandai berenang? Bukankah dia tak pandai? Entah-entah dia berlakon lemas. Tak pasal aku pula yang lemas. Ini bukan lagi andaianku, tapi pasti. Pasti! Getus hatiku. Sah, Obeng dah pandai berenang.
“Lusa kenduri tau. Borang-borang semua Reza uruskan. Rea tinggal sign je. Cuci kaki je. Kursus semua dah pergi dulu, kan?” Ucap emak. Cuci kaki? Aku mengerutkan wajah di dalam selimut. Mengangguk sendiri. Inilah yang dimaksudkan Obeng hari tu agaknya. Hendak ditanya tapi malu pula. Padahal hati ini sudah menebaknya. Yahuu, berbunga seladang!
“Kenduri Rea dan Reza ni akad nikah je dulu. Itu permintaan Reza,” sambung mak bagaikan memahami dan aku terus merebahkan badan dan hanyut dibuai impian yang bakal dilestarikan. Yahuuu, syukur, Ya Allah! Mujur saja aku tidak melompat.
*******
Petang esoknya, aku sekadar duduk sesambil di atas gazebo kayu itu. Memegang hujung selendang yang Obeng titipkan buatku melalui emaknya. Pertama kali melihat wajahku bertudung di cermin, terasa sejuk mata memandang. Erk, pelikkan aku? Memandang wajah sendiri boleh menjadi sejuk hati tapi jangan tersilap tafsir, bukan kerana tertimpa perasan tapi kerana kemuaraan wajah ini yang sudah menutup aurat yang menjadikan jiwa ini sejuk. Lagipun, aku memang cute apa! Benar, aku cantik kerana aku adalah ciptaan Allah yang tak ternilai.
“Termenung lagi?” Tanya satu suara. Dia sedang elok menongkat dagu di pagar gazebo.
“Mana ada termenung?” Aku menidakkan kebenaran.
“Cantik bakal isteri Obeng ni bertudung. Sepatutnya dari dulu Rea jaganya hanya untuk Obeng. Tapi, tak apa. Better late than never! Maaf buat orang tu masuk laut!” Aku angguk saja.
“Bila pandai berenang?” soalku ingin tahu. Obeng sengih tayang gigi. Nasib baik putih bersih tersusun rapi. Andai tidak, aku reject. Heee… Memilih aku kan?
“Dah lama retilah!” jawabnya. Aku angguk beberapa kali.
“Selendang ni...”
“Dekat The Mall hari tu,” pangkasnya. “Obeng ada pilih sedozen, macam-macam warna. Nanti lepas nikah esok Obeng bagi,” sambung dia lagi.
Aku rasa wajahku memerah lalu melarikan renungannya di sebalik cermin mata bingkai hitam tebal itu. Perkataan keramat itu akhirnya terbit sudah dari mulutnya setelah jenuh aku menunggu. Hampir menjadi tukun.
“Kenapa? Malu?” usiknya dengan menayang gigi putih yang tersusun rapat.
“Buat lagi muka nerd dia tu,” marahku manja.
“I am your nerdy, Reana Merlis and will always be yours ever,” ujarnya romantik. Bibirku mengulum senyum melihatkan dia yang masih menongkat dagu di pagar gazebo. Menjarak dariku. Menjaga adab dan susila.
Erk, rasanya ayat itu pernah ditukas hatiku. Oh, indahnya kebetulan ini, Ya Allah! Aku langsung memanjatkan syukur pada Yang Esa. Menjaga hubungan kami selama ini. Putih, langsung tidak ternoda.
“Nikah pakai white pearl sudah. Kenduri nanti rumah Rea warna biru rumah Obeng warna hijau, boleh?” tanya dia. Cepat benar merancang tanpa pengetahuanku. Semua berpakat. Aku juga yang masuk angin keluar asap, siap lemas segala. Mujur tidak dijemput Allah pulang ke hadrat-Nya.
“Any other option?” tanyaku sekadar mengusik. Obeng menggeleng.
“Nope, there’s no option. Dead order,” dan aku meletuskan tawa.
“Kenapa selama ni Obeng tak pernah bercerita pasal nikah kahwin ni dengan Rea?” tanyaku ingin tahu. Benar-benar ingin tahu. Bukan sehari aku menantinya tapi seumur hidupku.
“Nak cakap buat apa sekadar nak sedapkan hati Rea. Nak main tarik tali, nak bergurau. Ni tengok, sekali ucap je terus langsung. Kan senang!” Dia melambungkan kotak baldu biru lembut ke arahku. Erk, biru lagi!
“Apa ni?” tanyaku.
“Cincin merisik plus tunang. Pakailah sendiri. Esok nak nikah terus. Tak ada makna nak tunang-tunang dah.”
Terlopong aku dibuatnya. Beginikah jiwa ‘budak kejut’? Langsung tiada kata menghiasi bahasa? Sudahnya aku sarungkan jua dua bentuk cincin itu ke jari manis. Menarik, kan? Dirisik dan ditunangkan tapi aku menyarungkan cincin ke jari sendiri?
“Lepas tamat Master ni, Obeng dah kerja tau. Kat pejabat lama. Dapat offer dah. Tinggal nak tamatkan projek akhir ni je. Lepas tu mungkin kena duduk offshore sekejap. Rea kena tinggallah. Nak bawa tak boleh, nanti hitam isteri Obeng ni!”
“Pergilah ke mana sahaja. Tapi, tinggalkan hatimu itu padaku!” ucapku puitis. Obeng naik ke gazebo. Duduk bertentangan denganku.
“Menjadi juga Gazebo ni sebagai tempat melamar Rea seperti niat Obeng waktu membinanya dulu. Walaupun tak romantik,” ujarnya. Aku tersenyum. As expected!
“Dan Reana Merlis, andai hatimu itu buih di lautan, akan ku cairkan ais di kutub dunia demi melihat buih itu di seluruh permukaan,” sambungnya. Aku terkedu. Kelu sesungguhnya kelu mendengar bicara puitis Obeng.
*******
“Sampai bila nak renung abang?” Suara yang sedikit serak itu mengejutkanku. Langsung tercantas lamunanku yang panjang. Baru terasa kaki yang kebas kerana terlalu lama berteleku di birai katil. Perut yang sarat sedikit sebanyak membuatkan pinggang ku lenguh bila kenangan itu berlalu pergi dari minta.
“Rindu nak tatap wajah nerdy ni,” akuiku telus.
“Dah tu, mari bangun. Sakit pinggang nanti. Kesian dekat baby tu.” Lenganku ditarik lembut membantu aku bangkit dalam kepayahan lantas duduk di birai katil rapat padanya.
“Ingat apa tadi?” tanya dia. Jemari kami bertaut sesama sendiri.
“Ingat Obeng!” jawabku selamba. Dia buntang mata. Sejak menjadi isterinya, dia melarang aku memanggilnya begitu. Bila aku buat tidak endah, dia menggunakan kuasa veto. Tapi hari ini, rindu pula untuk memanggilnya begitu. Dia senyum sejurus seketika.
“Rindu Obeng, ke?” soalnya lagi. Aku mengangguk.
“Tapi, Rea lagi rindu pada Reza Mukhriz,” ucapku lembut. Dia meraih tanganku ke dalam genggamannya.
“But, I miss RM more. Boleh macam tu?”
“RM? Ringgit Malaysia?” tanyaku bergurau. Obeng menggeleng.
“Reana Merlis,” jawabnya.
“Boleh, boleh!” Aku angguk dan kami sama-sama tertawa.
Aku bahagia biarpun tiada pendidikan yang tinggi kerana aku yakin rezeki dan kebahagiaan adalah kurniakan Allah. Auratku kini terjaga segalanya. Tiada seurat rambut yang bisa menjadi tatapan. Segalanya milik Obeng. Kini, biarpun sekadar berstatus surirumah dan penulis sepenuh masa, cukup membuatkan aku lebih rasa syukur dengan rahmat-Nya. Inilah kisah aku, Reana Merlis binti Rahim dan Reza Mukhriz bin Razak a.k.a. Obeng.


Tiada salah untuk menyintai, tidak salah kita menanti, andai hubungan itu bersih, putih, suci, tidak pernah ternoda, InsyaAllah akan diberkati… ~~ Rehan Makhtar

*****TAMAT*****

5 comments:

  1. sebab dah baca Reana Merlis dulu..tak boleh nak tukar mood kepada hepi bler baca citer ni..patut la Kak Ann suruh baca cter ni dulu baru baca RM...mood RM masih belum terusir dr minda ni..haishhh

    ReplyDelete
  2. kan penulis dh pesan..baca A&O dulu..tgk dh mood sedeh baca cite hepi..

    ReplyDelete