Monday, April 09, 2012

Kerana Sekali Cinta [10]

BAB 10

MATA ini menjeling Anaresa yang diam tidak berkutik. Beg kertas di tangannya, dipegang erat bagaikan tak sudi melepaskan. Naik risau pulak aku dengan dia ni. Lepas kami keluar daripada SOGO tadi, aku bagi kad kreditku untuk dia sementara menantikan masa kerja tamat tapi rasanya, tak ada apa yang dia beli. Menjaga amanah sungguh.

“Resa kenapa?” soalku memecahkan sepi.

“Emm?” Dia berpaling dengan wajah polos membuatkan aku terpanah lagi dengan cinta budak sekolah ni.

“Diam je? Kenapa?” soalku sekali lagi dan tenang memandu membelah lebuhraya pada kelajuan orang belajar memandu sebab jalan sesak.

“Tak ada apa.”

“Kalau tak ada apa, macam mana boleh monyok je? Atau abang ada buat salah pada Resa? Marah kena tunggu abang lama tadi?” tebakku.

Dia menggeleng. “Tak lah. Abang kerja, Resa faham je.”

“Habis tu?”

“Err… Resa rasa bersalah pulak,” akui dia akhirnya. Sudah ku agak.

“Nak bersalah pasal apa?”

“Ni…” Dia angkat beg kertas tertulis Titus itu padaku.

“Jam tu?” soalku pelik. Dia angguk.

“Jam Resa beli dekat Up-town bulan lepas elok lagi. Tak payahlah nak beli jam ni. Menyusahkan je. Padahal baru je kenal kot,” ujar dia.

“Resa, jangan cakap baru kenal boleh tak? Abang tak selesa sangatlah dengar ayat tu. Kenal baru ke kenal lama ke, kita dah tunang. Abang rasa nak bagi hadiah pada Resa, tak salahkan?”

“Tapi, jam Resa ni…” Dia unjukkan pergelangan tangannya padaku. Jam Up-town yang ada gambar kartun. Tak matang sungguh.

“Tak sesuai dah nak pakai jam kartun-kartun Angry Bird tu bila dah tukar status puan nanti,” ujarku memangkas suaranya.

Bibir itu muncung. “Orang jimat duit biasiswalah. Pakai jam murah sudah.”

“Sebab tu abang belikan Resa jam tu. Tajaan abang tu. Kan Resa dah sign surat nak terima tajaan abang seumur hidup ni,” selaku lagi.

Dia menguntum senyuman tipis. “Kalau macam tu, Resa pun ada hadiah untuk abanglah. Nanti dah sampai rumah sewa, Resa bagi,” ujar dia berubah ceria.
Inilah menarik tentang Anaresa. Muncung keluar sedepa kejap, lepas tu dalam sekelip mata senyuman pula menguntum. Hai… cepat benar mood dia berubah. Senang hati aku.

“Waa… seronok ni nak dapat hadiah. Tapi, rasanya tak ada hadiah pun tak apa sebab Resa dah jadi hadiah paling berharga dalam hidup abang,” beritaku luhur.

Dia nampak terpinga-pinga. Mati senyumannya. Aku pula, hanya mampu melebarkan senyuman tanpa mampu memandang dia. Haruslah aku pandang ke depan kala ini. Buatnya aku sondol lagi kereta orang, memang kena. Nombor plat yang patah itu pun tak berganti lagi. Tak sempat.

“Err… Resa tak tahu nak cakap apa.” Suara itu sedikit menggeletar. Terharu la tu.

“Tak payah cakap apa-apa. Ucap syukur je dalam hati,” balasku separuh berbisik dan mengerling dia sekilas.

Dia angguk dan bibir itu nampak manis dengan senyuman. Aku pula kembali memandu tenang. Dalam hati, sungguh aku bersyukur. Doaku termakbul. Kala dulu, aku pernah ungkapkan pada cinta yang tak kesampaian, satu hari Allah akan bawa seseorang dekat padaku, untuk aku tebarkan cinta ini dalam hidupnya dan ternyata dia adalah Anaresa.

Kereta sudah melepasi tol Batu Tiga. Anaresa masih diam membelek kotak baldu merah itu. Akhirnya, kotak itu terbuka dan dia berpaling padaku dan tersenyum.

“Resa ingat tadi nak minta abang taja set barang kemas yang kat depan cermin tu. Barulah betul-betul ditaja. Tapi, Resa jatuh cinta dulu dengan cincin ni. Jadi, macam Resa cakaplah, sekali cinta, Resa tetap cinta.”

“Abang tahu. Tapi, kalau Resa minta pun, abang boleh adakan. Abang mampu dan insyaAllah akan mampu,” ujarku penuh makna bersama senyuman yang tersirat.

Dia lebarkan senyuman lagi. “Ini je cukup. Budak sekolah pakai cincin macam ni je. Itupun Resa dok fikir, macam mana nak sorok dari kawan-kawan ni. Aduhai… pening-pening,” keluh dia tiba-tiba.

“Nak sorok kenapa?” Berkerut juga wajahku bila dia berkata demikian.

“Benda baik tak payahlah sorok. Nanti dah nikah, Resa kena mengaku je. Lagipun, kita akan jemput kawan-kawan kuliah Resa sekali, kan? Pensyarah semua nak jemput juga, kan?”

“Resa tak ada niat nak jemput diorang sebenarnya,” ujar dia teragak-agak.

“Dah… kenapa pulak?”

“Err… Resa rasa… err… macam segan.”

“Segan apa? Bukan kita nikah sebab Resa berisi dulu pun. Kita nikah cara baik apa. Dah jodoh sampai masa ni, Resa kena redhalah. Tak baik buat abang macam ni, Anaresa,” pujukku perlahan dalam pada memujuk hati sendiri.

Risau juga aku membentak budak sekolah ni. Bimbang nafsu menguasi kematangan dan akal. Boleh bikin kecoh nanti.

Wajah dia nampak merah. “Eii… bencilah. Suka sebut macam tu!”

“Habis tu, nak abang sebut apa? Hari tu Resa juga cakap, tak dan malam pertama dah dapat tengok tubuh abang. Abang tak kira, Resa benci ke tak, Resa kena cakap nanti hal kita. Lagipun, Resa dah tengok abang tak pakai baju, jadi Resa kena bertanggungjawab. Tercalar teruna abang sikit tau,” ujarku mengusik dia dengan wajah yang sengaja aku kelatkan.

Wajah itu cuak. “Erk… tak kanlah sebab tertengok tak pakai baju kena bertanggungjawab. Nak tanggungjawab macam mana?”

“Mengaku abang suami Resa nanti pada kawan-kawan. Abang takut ada yang mengayat Resa nanti. Lagi satu, syarat abang Resa kena tunaikan.” Aku senyum jahat.

“Apa dia?” tanya dia cepat.

Sebut pasal syarat, memang dia cepat je menyoal. Paling tidak, bila aku ungkap syarat, dia membantah tapi syarat dia, semua aku tunaikan sebab syarat dia tu memang buat aku suka.

“Resa tak boleh tinggal rumah sewa lagi, tau. Resa kena tinggal rumah mama dan abah.”

“Jauhlah Resa nak ulang alik dari sekolah ke rumah nanti. Pukul berapa nak tunggu KTM?” Dia mengeluh dan memusingkan tubuhnya menghadapku.

“Abang tak suruh naik KTM pun. Abang hantarlah nanti sementara Resa nak dapatkan lesen kereta. Nanti kita belajar memandu, ya. Senang nanti, abang penat Resa boleh memandu,” ucapku ceria.

Dia menggeleng tanda tidak sudi. “Resa tak naklah. Resa nak tinggal rumah sewa dulu. Nanti hujung minggu Resa baliklah rumah abang,” cadang dia pula.
Dia memang suka memberontak. Aku senyum saja. Budak yang suka memberontak, haruslah kita tahu cara nak membentuknya agar dia tidak terus membentak.

“Sayang…,” seruku manja.

“Resa baik, kan? Resa belajar hukum agama, kan?”

Dia angguk tanpa suara.

“Habis tu, Resa tahu, kan… di mana duduknya seorang isteri. Kat mana lagi haruslah ada seseorang isteri itu jika bukan di sisi suaminya?”

Senang cerita, aku serang psikologi dia. Memujuk dia lembut dengan fakta dan hukum yang telah Tuhan tetapkan buat kami sebagai hamba-Nya.
Dia diam saja. Mengangguk tidak, menggeleng jauhlah sekali. Aku tahu dia mula rasa bersalah. Itulah dia, cepat sungguh tayang raut bersalah. Tak pandai berlakon langsung. Jujur sangat.

“Betul kan abang cakap tadi?” tanyaku meminta jawapan daripadanya.

“Emm… betullah tu. Tapi, Resa tak nak susahkan abang nak hantar Resa jauh-jauh.”

“Sebab tu abang suruh Resa belajar memandu. Apa-apa hal nanti senang. Abang bukan selalu lekat dekat rumah. Kalau kena pergi site Sabah Sarawak sana, memang makan harilah. Nak harapkan Zafrina, dia pun tak ada lesen. Zafrin? Emm, tak payahlah harap ke dia. Abang tak haraplah,” beritahuku.

Anaresa ketawa pula. “Zafrina dengan Zafrin tu siapa? Adik beradik abang, ya?”

Aku tepuk dahi sikit. Lupa nak bercerita tentang adik-adik aku tu. Zafrina rasanya dia boleh ingat tapi Zafrin dia masih belum jumpa lagi. Mamat skuter yang memang suka minta duit dengan aku nak modified apa yang tak perlu pun.

“Zafrina tu, Resa dah kenal, kan?” soalku.

Dia angguk. “Yang datang masa kita tunang tu, kan?”

“Emm… betullah tu. Si Zafrin ni pulak adik abang nombor satu. Budak-budak motor. Tapi, Resa kena ingat, dua-dua orang ni lagi tua dari Resa tapi hak Resa dalam rumah tu nanti, Kak Longlah. Sebab abang diorang panggil Along. Pangkat tu kena hormatlah walaupun umur memang menjarakkan,” ulasku lagi.

Dia angguk dan senyum. “Bolehlah buli diorang ya guna kuasa veto sebagai Kak Long, kan?”

Aku mencemik. “Jangan sampai Resa kena buli dekat Zafrina tu sudah. Dia tu mengada sikit. Buat apa-apa nak minta upah je. Rimas sungguh.”

“Dia belajar lagi ke?”

Aku angguk. “Zafrina tu dekat kampus perubatan UiTM dekat Selayang tu. Yang baru buka tu. Zafrin dah kerja tapi main-main je lebih,” jawabku.

“Habis tu abang? Tak main-main pulak?”

“Abang tak pernah main-main dalam hidup. Semua abang bersungguh-sungguh. Kenal Resa, tunang dengan Resa, nak nikah dengan Resa. Semua tu bersungguh. Cuma nanti, tinggal main dengan anak-anak jelah,” selaku mengusik.

Dia senyum dan mengangguk. “Tengoklah bila Resa sedia,” sela dia pula.

“Jangan risau sangatlah hal tu. Abang tahu Resa ada cita-cita. Lagipun tak sampai hati nak tengok Resa usung perut ke hulur ke hilir masuk kuliah.”

“Sebab tu Resa nak dok rumah sewa. Nanti abang tu…” Kata-katanya mati lagi.

Ya Tuhan budak sekolah ni. Takut sangat. Memanglah budak suci murni lagi ni. Apa pun tak tahu agaknya.

“Anaresa… dengar sini. Dok samalah. Nak pupuk kasih dan cinta antara kita ni. Kita kenal tak lama, sayang. Dah sah ni, barulah nak bercinta. Abang ajarkan macam mana nak bercinta tapi hal yang satu tu, kita buat implant la. Banyak benda boleh mencegah sekarang ni. Nanti, Resa surf internet, tengok apa lagi cara yang ada. Abang tak tahu sebab abang lelaki.”

Serentak itu, aku menyusur ke kiri hendak masuk ke jalan menuju ke Seksyen 7, Shah Alam. Jam dah hampir petang. Solat Asar pun belum. Nanti singgah dekat Shell je solat sebelum balik. Nanti sah tak sempat.

Anaresa diam lagi hingga akhirnya aku memberhentikan kereta tepat di hadapan bangunan rumah sewanya. Tiba-tiba, nampak Haqmi dan Aziana melambai. Kenal saja kereta aku ni. Aku senyum saja dan mengangkat tangan pada dia.

“Dah sampai ni,” beritaku pada Anaresa.
Nampak macam dia tak nak turun pulak. Biasanya, dia yang tak dan-dan nak keluar dari kereta tapi hari ni, lain macam pulak. Apa yang tak kena lagi?

“Err… Resa tanya satu soalan boleh?” tanya dia agak resah.

“Apa dia?”

“Emm… abang rasa berbaloi ke buat semua ni untuk Resa? Jam ni mahal, cincin nikah ni pun mahal jugak. Semua persiapan abang yang support. Resa tak dapat bagi apa pun,” keluh dia resah.

Itu yang dia risaukan rupanya. Ingatkan apalah tadi. Benda kecil je pun dia nak risau. Aku dok risau dia nak pergi main bola jaring lagi nanti, risau dia nak belajar lagi nanti, risau dia tak nak pindah lagi. Macam-macam hal tapi dia risaukan duit ringgit pulak. Polos betul.

“Anaresa… abang mampu abang buatlah. Abang tak mampu, abang tak buat. Kalau Resa nak tahu, memang berbaloi sangat. Kalau Resa cakap tak mampu nak buat apa, abang yakin Resa mampu bagi sesuatu untuk abang.” Aku telan liur sebelum menyambung.

Kaki ini aku heret naik ke atas tempat duduk sikit. Membawa tubuhku menghadap sisi tubuh Anaresa.

Dia jungkit kening dan aku terus meleretkan senyuman bila terkesan akan mata bundar yang berkaca-kaca itu. Takut aku tuntut hak la tu.

“Resa bagi cinta dan kasih sayang pada abang. Itu dah cukup dan abang akan balasnya dengan lebih lagi. Setuju?!”

Wajah cuak itu berubah sedikit demi sedikit bila aku berkata demikian.

“Syarat lain?”

Aku menggeleng. “Hubungan kita bukan satu urusan perniagaan sampaikan kita perlu letakkan syarat untuk semuanya. Apa yang Resa suka, selagi tak menentang hukum, abang relakan dan abang akan temankan. Mana yang membelakangkan abang nanti, Resa pandai-pandailah fikir,” nasihatku umum.

Aku tahu dia mampu mencerna dengan baik setiap kata-kataku dan aku juga yakin tidak akan tegar mempertahankan syaratnya kerana dia anak gadis yang baik.

“Lepas nikah, tinggal dengan abang. Nanti hujung bulan ni, abang ikut Resa ke Johor. Temankan Resa main netball. Cinta abang pada Resa tak ada syarat. Tawaran terhad tu memang khas untuk wanita yang halal di sisi abang. Jika bukan Resa sekalipun, orang lain tetap abang berikan tawaran ni. Balasannya satu je. Cintai abang seikhlas hati,” sambung lagi memaknakan kata.

Sungguh aku dambakan cinta yang sejati biarpun aku tahu, sukar untuk kita temui cinta sejati melainkan cinta pada Allah yang Abadi namun aku tidak putus asa mencari.
Tuhan Maha Mengurniakan dan aku yakin, Dia menolak hari Anaresa dekat denganku untuk aku cantumkan hati kami menjadi satu. Membina masjid dan melahirkan khalifah yang hebat atas izin-Nya.

“Terima kasih, abang,” ucap dia mesra dan aku hanya mampu kedipkan mataku sekali menerima kasihnya.

“Kita pupuk kasih sayang kita tapi Resa kena selalu ada di sisi abang,” ujarku.

Dia angguk dan kotak beg kertas Poh Kong itu dia hulurkan padaku. Aku pelik sendiri.

“Kenapa bagi abang?”

“Kan abang nak sarung kat jari Resa nanti. Abang bawa baliklah. Yang lain Kak Raha dengan Kak Sara dah siapkan,” jawab dia.

Aku angguk. “Mana tahu. Tak pernah kahwin lagi,” selaku loyar buruk lagi.

“Encik Loyar Buruk ni, membencikan betul. Habis tu, ingat Resa dah pernah kahwin ke?” sinis dia dengan kening yang terjungkit tinggi.
Aku ketawa kecil. “Sebab tak pernahlah, kita sama-sama nak lalu ni.”

Beg kertas itu bertukar tangan. Bibir ini terus tersenyum. Terbayang di mataku riak Anaresa di hari pernikahan kami nanti. Aku mahu berikan dia kejutan itu. Bukan niat hendak membeli kasih sayangnya namun, selagi aku mampu aku mahu berikan yang terbaik buat dia agar rasa sesalnya dia tu tak kunjung tiba sedikit pun.

“Resa harapkan yang terbaik juga daripada abang sebab Resa nak bagi yang terbaik biarpun abang rasa Resa budak sekolah dan tak mampu nak jadi isteri yang sempurna. Mungkin Resa tak mampu nak jadi isteri yang baik, tapi bagi masa sikit. Resa belajar sikit-sikit,” ucap dia mesra.

Aku senyum. “Abang ajar nanti,” sahutku nakal.

Dia mencemik.

~~> bersambung

Cik Penulis : BNS tak gerak2 dok buat KSC..kahkahkah (gelak kat diri sendiri) tggu publisher sound dulu baru siapkan

29 comments:

  1. terbang-terbang....nak suami macam zafran...:D

    ReplyDelete
  2. hai.... bercinta mmg indah... berkahwin pun indah cuma ada pasang dan surutnya.... hihi..

    -Ika Hatika-

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu. yang indah tetap indah. yang pahit tetap pahit, tapi tetap ku telan.Boleh gitu??

      Delete
    2. gitu le sepak terajang alam perkahwinan.memangla nak bahagia jer..tapi ada duka ada suka.. jadilah ia warna2 ceria hidup.

      Delete
    3. Pasang surut itulah yang mengindahkan alam perkahwinan.....

      Delete
  3. ishk..melayang2 dh ni..best sgt..RM nk lg...tp jgn buat konflik berat2 ye..buat yg biasa2 n sweeeeet je..huhuhu

    ReplyDelete
  4. Mesti comel Resa dengan baju pengantin kan.... mahu Zaf x mahu keluar bilik...hehehe..
    Berterus-terang sebelum kahwin ada baiknya....
    Berkenalan sekejap dah cukup kalau saling berterus terang ok..
    Sabar ja lah Zaf.. bila tengok Resa yang comel tu.....

    ReplyDelete
  5. ehh, zafrina blaja kt uitm selayang??
    bleh la sy cari.. sy pn kt situ..
    ngeh3.. ;D

    ReplyDelete
  6. memang best kalau dapat hubby macam zafran...'abang ajar nanti' memang ayat tak boleh balh..hihihi..Rehan cepat2 update ye tak sabar dah ni...

    ReplyDelete
  7. Adoi Zafran. Ajar la I sekali.....heee.

    ReplyDelete
  8. Touching habis baca entry nie..Love it..X sabar tggu next entry..;)

    ReplyDelete
  9. layannnnnn. memang matang cara zaf ajar resa.. hahaha memang best citer ni mencuit hati dan jiwa.. cayalah RM.. cepat2 sambung... adoila zaf..ko memang jiwa kering tangkap budak sekolah.. hahahhahaaaa

    ReplyDelete
  10. senyum,gelak senyum,malu malu...gelak senyum..hehehhehhe rase campur2

    ReplyDelete
  11. Akhirnya ...resa ..menerima tanpa syarat akan kehadiran zaf..dan zaf pandai psiko minah polos tu kan..

    Akak memang tabik kat RM kerana men psiko kami..ngan citer yg begitu santai tapi mampu menarik minat kami untuk mengetahui perkembangan citer diantara zaf dan Resa..ni

    ReplyDelete
  12. RM jgn kasi si adik zafran kaco line udah ler....

    ReplyDelete
  13. RM jgn bg adik si zafran 2 kaco line udah ler..... cuba buat cerita yg rlax plak...mn tau sisi humr akan menonjol....

    ReplyDelete
  14. waaaa romantik nye zaf... sukaaaaaa tq rehan

    ReplyDelete
  15. alaaa suspennya.. tak sempat nk tau apa hadiah yg resa nk bg kt tunang dia bila smpai kt rumah sewa tu.. RM, next entry pls! hehe x mnyempat RM nk tarik nafas..

    ReplyDelete
  16. hisshh bdk sekah skrg ni mmg suka lelaki yg matang & berkerjaya cam zafran, RM cam real story je..hihi2 hopefully de n3 tiap2 hari

    ReplyDelete
  17. sweet..nasib bljaq kat uitm shah alam..blh la byg kesesakan di puasat komersial...nasib la x g kuliah nek bus...klu x jd sadin la anaresa...hahahha...
    nk berulang alik dr kl ke shah alam...penat lah badan nt...apa2 pn dimana ada kemahuan disitu ada jalan pnyelesaiannya..
    sweet cter..terigt kat my lucky man..hahhaa
    -miss A-

    ReplyDelete
  18. ni baru pi beli cincin..
    belum lg pi fitting baju khwin..
    mesti lagi bnyak ragam n cekadaknyer..
    ayt zaf sume nakal2.. malu anaresa... hehe

    ReplyDelete
  19. pagi2 duk bukak blog cik RM. nsb baik bos x nmpk, klu x...sah2 kn sound, haha!! nk wat cam ne, dh terjatuh suka kt si zafran ni...haha!!

    apa2 pun, best sgt KSC ni...=)

    ReplyDelete
  20. hem...,fuh jiwang habis si zaf tu ya.org dah matang katakan.saya rasa semua gadis2 mahu suami macam zaf tu betul x?

    ReplyDelete
  21. huhuhu dpt cari husband idaman dlm angan-angan saja lah n dlm novel.hehe.

    ReplyDelete
  22. rehan.. cerita nie mengingatkan awal perkenalan akak ngan suami.. bercinta selepas kawin.. di jamin halal

    ReplyDelete