Sunday, April 01, 2012

Kerana Sekali Cinta [4]

BAB 4

AKU pandang mama dengan mata terkebil-kebil. Buat muka tak bersalah. Apa lagi yang mampu aku buat masa ni melainkan tayang riak tak bersalah? Zafrina gelak tak henti-henti. Zafrin yang baru masuk ke rumah juga berkerut-kerut wajah lalu duduk di sisiku.

“Kenapa, Long?” Zafrin menyikuku selepas dia letakkan topi keledar dia di sisi sofa.

“Diamlah kau. Dengar je mama cakap apa tu. Pasang telinga,” gumamku memberi amaran. Nanti dengan dia sekali mama heret.

“Apa lagi la yang nak bising tu, mamanya? Dah terikat pun. Biarlah hal lepas-lepas tu. Janji Along tak main-mainkan Resa tu sudah!” Abah dah menyampuk. Memandang mama dengan mata ke atas, mengelak dari bingkai cermin matanya.

“Ton bukan apa, abahnya. Tak malu ke masa abang baca surat dia tulis kat Anaresa semalam tu. Sebab RM60 tu dia boleh minta budak tu terima pinangan dia. Ingatkan memang Anaresa tu sendiri nak.”

Aku garu kepala kuat. “Mama… Resa setuju apa. Kan kami dah bertunang pun. Tak ada masalah lagi dah. Lagipun, mama yang tetapkan tarikh. Apa lagi yang tak kena?”

“Mama malu tahu tak?” Mama tunjuk rupa dia. “Padanlah Rina cakap pasal surat. Along suruh adik pergi pos surat pada Resa rupanya. Hii… mana Along dapat keberanian yang buat anak dara orang macam tu, hah?”

Tak tahu nak jawab apa bila mama tanya mana datang keberanian tu. Kata pujangga, keberanian tu akan datang setelah kita alami kekecewaan. Agaknya aku pun macam tu. Aku bangkit dulu mendekat ke pintu luncur yang sudah sedia lebar ternganga.

Aku silang tangan ke dada dan memandang laman rumah yang nampak semak sikit. Petang nanti haruslah mama arah aku dan Zafrin kemas laman. Tambah-tambah nak kenduri pulak ni.

“Zafran!” panggil mama kuat.

Aku berpaling pada dia dan mengeluh. “Berani tu taklah, ma. Tapi, yakin! Along memang yakin yang dia adalah orangnya untuk Along. Tapi, pasal duit yang Along bayarkan buku dia tu, memang Along ikhlas. Saja bersedekah dekat budak sekolah. Gaji Along tak luak apa pun,” jawabku diakhiri keluhan pada akhirnya.

“Kalau ikhlas, orang tak minta balasan!” tekan mama. Siap jegil mata lagi.

“Dia yang nak bayar. Along cakap tak nak. Lepas tu dia kata nanti dia kurang duit, dia minta Along taja dia. Habis tu mama nak Along taja dia macam tu jelah? Buat kerja tak elok tu kat anak dara orang. Along minta balasan nanti macam mana?” soalku mengugut mama.

Biar mama tahu sikit yang aku ni lelaki. Mula-mula niat baik nak membantu. Nanti lama-lama karang aku tuntut Anaresa balas budi aku. Tak ke tergadai body, terjual iman masa tu.

“Habis tu, Along jawab apa?”

“Along cakaplah, boleh nak taja seumur hidup tapi… itulah syarat yang Along cakap dalam surat tu. Kahwin dengan Along. Jadi, seumur hidup Along taja seluruh hidup dia. Senang, kan?” Aku sengetkan kepala sikit dan angkat tangan separa dada.

Mama mengeluh tapi abah senyum.

“Memang berani anak jantan kita ni, mamanya,” ucap abah selamba.

“Memang berani. Sampai buat saya pening. Naik lumut muka ni masa abang baca surat tu. Yang abang pun sama, baca kuat-kuat kenapa? Kan elok abang pergi surau semalam tu,” sahut mama.

Marah dia dah beralih pada abah pulak dah.

“Kenapa nak pergi surau pulak? Kan elok je kita sempat balik solat kat rumah!” tanya abah.

“Sebab boleh pinjam microphone surau tu, baca surat yang anak jantan abang ni bagi pada Anaresa tu,” sindir mama lalu dia berlalu ke dapur dengan mulut yang macam bertih jagung.

Zafrin ketawa. Zafrina juga. Abah buat muka dan aku hanya diam mengeluh. Mama ni, nak bagi menantu comel pun tak nak.

“Nanti esok cuti, kita pergi tengok kad,” laung mama sebelum dia hilang di balik dinding dapur. Aku menggeleng. Tak menyempat.

“Waa… Along kau jadilah kahwin ya. Tahniahlah, Long. Umur dah dekat setengah abad dah baru nak jumpa pasangan? Cantik ke?” tanya Zafrin padaku.

Wajah dia macam biasa. Gatal. Menyindir. Mentang-mentang dia dah ada makwe dulu dari aku, suka sindir aku. Ni dia tak tengok lagi Anaresa, kalau tengok haruslah terlopong.

“Bolehlah. Janji hati Along berkenan. Dia pun suka Along. Sudah…,” selaku malas.

“Eleh, rendah dirilah konon. Dik, cantik tak tunang Along? Rugilah Angah tak ikut semalam,” rungut Zafrin.

Zafrina buat muka teruja. Dari tadi mata tu dok menonton televisyen, dia terus kalih pada kami berdua.

“Sangat comel dan sangatlah lucu,” komen Zafrina.

“Lucu? Kenapa?” Semakin terujalah pulak adik aku berdua ni.

“Pakai baju kurung dengan sneakers, siap dengan stoking warna merah terang tu,” ujar Zafrina sambil ketawa.

Sudah ku agak. Haruslah ada yang perasaan apa yang mata ini nampak. Sampai ke stoking Anaresa pun dia perasan. Haih…

“Along naik dululah. Layan korang berdua ni, buat pening je.” Aku terus bangkit. Malas nak lepak lagi. Baik aku tidur sementara nak tunggu tengah hari. Hari cuti macam ni, rehatkan minda sikit. Tak pun, fikirkan Anaresa lagi layan.

Aku terus melangkah ke anak tangga hendak naik ke bilikku. Tanpa sedar, mama terjengul dari dapur sebelum aku sempat panjat anak tangga.

“Mama ni…,” rungutku. “Terkejut Along.” Aku mengurut dada.

Dia sengih. “Terima kasih dekat Along,” ucap mama tiba-tiba.

“Eh, kenapa pulak?” Aku buat rupa pelik.

“Sebab Along sudi bawa menantu untuk mama akhirnya. Comel budaknya. Pandai-pandailah Along jaga dia, ya. Nampak risau ibu dengan ayah dia masa mama sarung cincin dekat jari Resa semalam. Yang penting jangan…” Kata-kata mama terhenti.

“Jangan? Apa yang jangan?” tanyaku lagilah pelik.

“Err… jangan mengandung dululah. Takut tak habis pulak belajar budak tu,” sambung mama malu-malu.

“Laa… Along sampai sudah tak mengandung. Kiamat pun memang tak mengandunglah. Anaresa tu yang akan mengandung. Apalah mama ni?” Aku ketawakan mama padahal aku memang faham sangat apa yang dia nak maksudkan tu.

“Eiii… budak bertuah ni!” Mama tepuk bahuku kuat. Tak sempat nak elak.

“Along buat-buat tak faham, ya?”

Aku angguk. “Along fahamlah. Tapi, dah jadi hak Along, ikut Alonglah nak buat apa.”

“Ni permintaan ibu Resa. Dia takut Resa tak larat nak tamatkan pengajian,” ujar mama.

“Dah pulak? Kalau Along elak, tapi Resa sua, tak kan Along nak lari pulak?” tanyaku lalu aku berlari menapak anak tangga cepat-cepat sebelum mama panjangkan topik ni lagi.

***

LEPAS satu, satu pesanan penaja yang aku terima daripada mama. Pedih telinga dengar mama membebel. Dia tak sudah-sudah tuduh aku perangkap Anaresa dengan RM60 tu. Sungguh tak perangkap. Tu aku sedekah. Tapi niat aku terlebih ke depan sikit sampai kini dia dah jadi tunang aku. Tak salah pun. Dia pun setuju. Apalah mama ni.

Baru je labuhkan duduk di birai katil, telefon bimbit berdering la pulak. Hari minggu macam ni, nak berehat sikit pun tak boleh. Dah lah, semalam pergi meminang, hari ni kena bebel lagi dengan mama. Bersambung dari episod semalam.

“Ya,” jawabku mendatar bila aku lekapkan telefon ke telinga.

“Benci!!”

Terkejut aku dengan suara kuat tu. Cepat-cepat aku jauhkan Samsung Galaxy tu dari telinga. Mahu pecah gegendang telinga aku. Tapi, suara tu macam cam lantas aku rapatkan semula telefon aku tu ke peluput telinga.

“Resa, ya?” tanyaku.

“Tak… hantu,” jawab dia.

“Waa… moden sungguh hantu sekarang. Pandai telefon orang dah. Siang hari pulak tu. Ni mesti hantu pergi universiti ni,” usikku menahan tawa.

Dia terjerit kecil. “Encik ni, kan…”

“Abang…” selaku pantas.

“Tak nak panggil abang!”

“Sekarang tak apa. Hujung bulan ni, kenalah,” ucapku lembut.

Dia mendengus. “Kenapa nak nikah cepat sangat?” tanya dia kemudiannya.

Seperti ku duga, soalan itulah yang membawa Anaresa menelefonku ni. Aku diam. Sungguh, aku sendiri pun tak tahu secepat tu keluarga kami tetapkan majlis nikah kami hujung bulan ni. Lagi tiga minggu. Tapi aku, suka je. Tak payah nak fikir lebih-lebih.

“Resa tak setuju ke?” soalku memujuk. Aku matang, haruslah aku pandai memujuk dia yang baru nak matang ni.

“Eii, Resa ada pertandinganlah hari tu,” jawab dia dah mula menyebut namanya.

“Erk, pertandingan apa?”

“Netball.”

Aku garu kepala. Aktif sungguh tunang aku ni. Tak sibuk ke belajar? Dahlah, kursus dia ambil tu boleh tahan menduga iman seorang pelajar. Aku dulu pun tak nak ambil yang tu.

“Tarikh dah tetap, kad dah tempah, Resa tunda jelah pertandingan tu? Tak pun, keluar je terus. Mana Resa sempat nak belajar lagi, main lagi. Kursus Resa tu bukan calang-calang tau. Kejuruteraan Kimia tu,” nasihatku pada dia.

“Resa minat netball. Ni peringkat Asia Tenggaralah. Tundalah majlis kita.”

Mak aih. Semudah tu dia nak suruh aku tunda. Puting beliung mama nanti. Baru kejap dia sibuk nak tempah kad. Mati aku.

“Tak bolehlah, sayang. Mama abang dah uruskan semua dah tu.” Aku pancing dia dengan cuba beromantis pula. Tak pernah dibuat dek aku. Tapi, demi Resa, buat jelah.

“Semalam baru jadi tunang, dah nak buat persiapan?” tanya dia sinis.

“Ni bermakna, tunang awak yang tak betul ni, serius. Sungguh-sungguh nak peristerikan awak budak sekolah yang pakai baju kurung dengan sneakers,” sindir aku pula. Biar sama-sama rasa.

“Eleh…” Dia elehkan aku.

“Tengoklah macam mana. Bagi abang fikir dulu,” ujarku akhirnya. Tak sedap hati pulak nak kongkong keputusan dia.

“Ni kat mana ni?” tanyaku cepat-cepat. Ubah topik.

“Kat rumah. Nak balik rumah sewa dah kejap lagi.”

“Dengan siapa nak balik?” Aku rasa aku dah mula risau. Ada rasa tak sedap hati je.

“Err.. dengan…”

Suara Anaresa mati bila tiba-tiba, aku terdengar ada suara lain yang menjerit di hujung talian. Mungkin salah seorang kakaknya.

“Resa, Haqmi dah sampai ni,” laung suara itu dan aku terus kaku.

“Siapa Haqmi tu?” tanyaku resah.

“Errr… dia… dia… errr.. Resa nak gerak dah ni. Bye.” Talian mati dan aku mati jugak. Mati kutu!

Aku pandang telefon bimbit aku sekejap tapi tak lama lepas tu, terus aku berlari ke bilik air. Cuci muka, basahkan rambut dan terus rapat ke almari. Jeans yang tergantung aku capai. Baju T berkolar warna kuning cair tu aku sarung ke tubuh. Tak boleh jadi ni. Janganlah kata ada yang nak menjadi tembok besar Cina pulak.

Lepas dah siap, terus aku turun ke bawah. Sampai di anak tangga yang terakhir, mama muncul dengan senduk di tangan.

“Hah, nak pergi mana ni?” sergah mama.

“Petang nanti bersihkan laman. Ajak Angah,” suruh mama. Kan dah aku kata tadi, mesti keluar arahan ni tapi aku cepat-cepat menggeleng.

“Mama minta Angah dengan Rina buatlah. Nanti Along upah adik tu kalau dia malas. Along nak keluar,” jawabku kalut lantas aku paut jemari mama mengucupnya sikit.

“Along nak pergi mana?” laung mama bila aku dah rapat ke pintu.

“Nak pergi mana, Along?” soal Zafrina pula.

“Along nak pergi jemput Anaresa. Dia nak balik Shah Alam dah. Risau dia balik dengan kawan dia. Lelaki pulak tu,” luahku jujur sambil menyarungkan kasut.

“Laa… kamu ni memang angaulah, Along. Budak tu tak ada apa, kamu yang kalut,” tegur mama sambil menggeleng.

“Ada apa-apa lah yang Along nak pergi ni, ma,” selaku lalu aku terus menapak ke arah Mazda merahnya mak ngah aku ni. Macam sneakers tunang aku tu. Kena cepat. Nama Haqmi terngiang-ngiang dalam kepala. Kacau!

Pedal minyak aku tekan tanpa tunggu panaskan enjin macam selalu. Anaresa punya pukulan, tepat kena ke dahi. Sampaikan, nama Anahara kian menjauh pergi tanpa aku sedar. Syukur, Ya Tuhan tapi mana datang Haqmi ni? Aku garu kepala yang tak gatal.
Samsung Galaxy tu aku tarik dari dalam poket. Berhati-hati aku tekan skrin tu, nak hantar SMS pada Anaresa. Moga masih sempat.

Sayang, wait for me. I am coming for you. Resa jangan balik dulu. Abang jemput.

Aku tekan SEND. Dalam pada memandu ni, aku tetap tak sabar nak nantikan balasan dia. Nak telefon, nanti dapat surat cinta berbayar pulak. Earphone pun tak bawa. Kalut punya pasal.

Tak lama lepas tu, aku terima SMS juga dan bila aku tekan OK. Nama ‘ISTERI SAYA’ naik. Tak jadi isteri, aku dah set nama dia macam tu. Ikut suka akulah. Aku bahagia macam tu.

Tak payahlah. Kawan dah tunggu ni. Buat susahkan encik je!

Erk.. encik lagi? Aku dah tebalkan wajah panggil dia sayang dan biasakan diri aku abang, dia masih panggil aku ENCIK?
Mata ke jalan raya tapi jari aku tekan skrin. Sesekali menjeling takut salah tekan. Masalah pulak nanti.

Nope. Abang on the way. Bagi masa setengah jam. Abang jemput. Titik!

Aku muktamadkan keputusan sendiri. Tak boleh bagi muka sangat. Nanti dia betul-betul balik dengan mamat Haqmi tu, naya aku.

Ikut sukalah. Resa dah gerak. Nanti singgah rumah, ibu masak lebih. Bye.

Tak lama lepas tu, itulah yang dia balas dan aku diam saja. Kecewa juga bila dia membalas demikian tapi hati ini tegar dan yakin yang dia tak maksudkan itu.

Pedal minyak aku tekan lagi membelah jalan raya yang agak lengang hendak menuju ke Kuala Selangor. Jauh juga ni dari rumah aku di Taman Nakhoda. Haruslah berderet surat cinta berbayar sampai ke rumah nanti. Arhhh… tak kiralah. Demi Anaresa!

Laju sememangnya laju. Lebih kurang sejam, aku dah sampai ke kampung dia. Sungguh laju. Kalau terjadi apa-apa, memang terus jalan je aku ni. Tapi, syukur bila akhirnya, aku dah nampak bumbung rumah dia dan seperti ku telah, seperti yang ku yakin, aku nampak susuk tubuh kecil itu di atas anak tangga kayu rumahnya.

Aku hentikan kereta tepat di depan rumahnya. Wajah Anaresa keruh. Bibir itu muncung. Marah tapi tak langgar arahan, ini yang buat aku memang jatuh tergolek pada dia.

“Assalamualaikum,” sapaku.

“Waalaikumussalam,” jawab dia dingin.

“Lambat!” tekan dia.

“Jauh, yang. Abang dah laju sangat dah tu.”

“Tak sayang tunang memang suka bawa laju,” sinis dia.

“Sebab sayanglah bawa laju. Nak cepat sampai.”

Dia mencemik. “Memang cepat sampai. Cepat sampai atas, kan?” Jari telunjuknya diluruskan ke langit.

Huih… dasyat dia. Mendoakan aku pergi pulak dah. “Nak suruh abang mati cepat nampak?”

“Kalau masa dah sampai, siapa punyai kuasa nak halang,” sela dia lalu dia bangkit dan menepuk belakang baju kurung dia.

“Resa memang tak sayang abang ke?” tanyaku sedikit terasa hati dengan dia.

“Sayang dekat hati ni tak mudah nak timbul kalau tak ditimba,” jawab dia dan mendekat menghampiriku. Mendongak jugaklah dia pandang wajah aku ni.

“Boleh, abang timba bagi kering. Senang nak tangkap sayang Resa tu,” ujarku yakin.

Dia senyum nipis. “Ni sanggup datang jauh-jauh ni kenapa? Cemburu?” tanya dia.

“Mana ada cemburu. Tercabar je. Mana Haqmi tu?” tanyaku sambil memanjangkan leher mencari kot-kot ada kelibat mamat tu.

“Dia dah jalan dulu,” jawab Anaresa tenang.

“Eh, cepatnya. Ingatkan sempat jumpa abang dulu.”

“Encik… dia naik motorlah. Kalau tak gerak sekarang, pukul berapa dia nak sampai?” ucap Anaresa membuatkan aku bercekak pinggang.

“Err… kalau kata abang tak datang ni, Resa naik motorlah dengan dia, macam tu?” soalku agak kurang berpuas hati.
Anaresa angguk dengan wajah tidak beriak.

“Peluk-peluk? Dia main brek-brek? Macam tu?”

“Peluk tu tak adalah. Peganglah jugak nanti jatuh. Brek tu perlulah kalau dah sampai selekoh,” jawab dia tenang.

Aku tepuk dahi. “Huh, mujur abang sempat sampai sini. Kalau tak…” Aku geleng kepala. Tak sanggup nak bayang tunang aku naik motor dengan lelaki lain.

“Mujur tunang encik ni mendengar kata. Tak naik motor. Tunggu encik kat anak tangga ni,” sindir dia membuatkan aku senyum sendiri.

Tiap kali dia sebut tunang aku, aku memang rasa nak ketawa. Macam tak percaya pulak. Rasa macam baru beberapa hari sudah aku temui dia dalam kalutnya itu tapi hari ni, kalut juga. Kalut untuk biasakan diri dia menjadi tunang aku.

“Eh, Zaf. Bila sampai?” Tiba-tiba je suara ibu Anaresa menegurku.

Aku senyum. “Baru je. Nak jemput Resa balik rumah sewa. Lagipun, Zaf cuti hari ni. Boleh, ya?” Dengan penuh sopan aku meminta izin.

“Boleh je. Tunang kamu. Jaga diri baik-baik dua-dua, ya? Dalam kereta berdua tu, intai-intai belakang sikit,” pesan Mak cik Anisah.

“Kenapa pulak, bu?” tanya Anaresa dengan wajah takut.

“Biasa bila berdua, ada yang ketiga. Ibu saja pesan. Hati-hati di jalan, ya?” Mak cik Anisah terus berlalu dengan senyuman usai berkata demikian.

Ni sama juga macam mama. Pesanan penaja saja. Tapi, insyaAllah… iman dekat dada aku ini, masih ada lagi biarpun tak tebal mana. Aku persilakan Anaresa masuk ke perut kereta dan aku juga. Enjin yang tak mati itu, terus membuatkan aku menekan pedal minyak dan terus meluncur ke jalan raya.

Bila aku pandang Anaresa, dia sedang kerling tajam ke arahku. Beg galas dia, dia bawa menutup dada.

“Apa ni pulak?” tanyaku tak puas hati. Memang tak puas hati bila dia dok pandang aku macam tu je dari tadi.

“Abang salah apa?” Aku angkat kening berkali-kali. Nak memandu pun tak tenang.

“Ingat pesan ibu tadi,” ucap dia.

Dalam hati aku ketawa mengekek. Itu yang dia takutkan. Takut tapi ikut? Aku mulalah nak usik dia lagi.

“Dah takut ikut pulak? Berani?”

“Dah tu, encik dah datang jemput. Lagipun, dah terlepas Haqmi dah,” jawab dia dan paling menggetarkan jiwa, nama lelaki tu. Dia memang sengaja nak duga aku.

“Kalau macam tu, abang bawa ke mana-mana hotel, Resa tak boleh nak buat apalah. Ikut jelah kot,” dugaku.

“Resa terjun!” Dan-dan tu dia nak buka pintu kereta tapi mujur aku sempat lelar lengannya.

“Abang gurau jelah. Abang tak akan usik apa yang tak halal untuk abang,” ujarku menghambat kerisauan dia.

“Tapi, Haqmi tu siapa pada Resa?” tanyaku lambat-lambat.

Resa senyum sikit. “Kawan,” jawab dia ringkas.

Aku redupkan pandangan pada dia seketika sebelum aku kembali memandang jalan raya yang agak sibuk.

“Perempuan dengan lelaki tak boleh kawan sangat tau. Nak-nak Resa dah bertunang. Nanti cakap dekat dia tau, Resa dah tunang,” pesanku serius.

“Ala, tunang je kot,” sela dia membantah.

“Okey, kalau tunang ke kot, hujung minggu ni kita upgrade terus, nikah terus. Hujung bulan kenduri, nak?” cabar aku.

Dia jegilkan mata. “Eiii… dahlah tunang tergesa-gesa, nak nikah pun tergesa. Nanti orang cakap… errr… orang cakap…” Dia gagap.

“Cakap apa?” sergahku.

“Resa preg…” Dia tekup mulut dan aku terus menghamburkan tawa. Lucu sungguh tengok wajah malu tu.

“Lepas dah sah, insyaAllah,” jawabku.

Aku sendiri pelik. Suka sangat menyakat dia. Wajah tu merah padam. Dia palingkan wajah dia kelain tapi aku, tetap ada cemburu dalam diri sebab mamat Haqmi ni. Siapa dia ni? Kawan kuliah dia ke? Nak tanya, takut dia terjun kereta sungguh. Nantilah aku tanya. Ni tak masuk dengan bola jaring dia lagi. Hai… mengeluh hatiku sendiri.

~~> bersambung

25 comments:

  1. waaa.. bestnya citer ni.. suka! :) sambung cepat2 ya RM.. sronoknya bce ble zafran asyik usik kenakan tunang dia ;)

    ReplyDelete
  2. Alaa kak cpt la sambung feel2 niee

    ReplyDelete
  3. comel gler...
    zaf ngan anaresa
    -miss A-

    ReplyDelete
  4. ouh~mcm xpercaya zaf ni zafran dlm kim. ahah!

    ReplyDelete
  5. besttt.... sengih je memanjang... memang berbeza dr yg sebelum2x nie...good job rehan... awak pun dh upgrade jgk.. sukaaaa sgt.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu, sgt setuju ngan mila......

      sgt lawak citer ni.....esp. time si ibu pesan "dlm kereta berdua2an tu intai2 belakang sikit..."

      Delete
  6. Cemburu giler.. Sweetnya resa .. Nk jd resa ler. Ekekek
    -Ika Hatika-

    ReplyDelete
  7. bestnyer...sweet sngt....cepat2 la sambung...

    ReplyDelete
  8. terbyang da...haqmi 2 msti pompuan...hahahah

    ReplyDelete
    Replies
    1. yakin mcm tu juga...xkan la ibu dia nak bagi resa bonceng motor dgn kwn lelaki plak kan?

      Delete
  9. best ar rm..smbg ar cpt..da feelx2 da nie..

    ReplyDelete
  10. aduhai...sweetttnyaaa...rehan saya tak tau nak komen apa dah speechless...besttt sangat....zafran oh zafran....

    ReplyDelete
  11. best!!!! cerita ni sangat kelakar and terasa dekat di hati... untunglah jadi Resa,

    ReplyDelete
  12. amboi demi tersayang jauh pun sangup nak jemput resa. terbaiiiklah cerita ni...

    ReplyDelete
  13. So Sweet bila orang tua bercinta dengan budak sekolah.... hahaha

    ReplyDelete
  14. bila bc ceta ni best x mcm KIM, buat jiwa melantun je. apapun trskn bkarya

    ReplyDelete
  15. best. teringat kisah dulu2.... masa bercinta.....

    ReplyDelete
  16. dlm gelak2 baca..tetiba akak terfikir
    agaknya camni la gaya org lelaki yg
    ada gf jauh lbh muda yer..
    sib baik la resa ni jenis yg mendgr kata,
    klu x mcm2 konflik akan timbul dlm cerita cinta dorg neh..hihihi
    best! Deabak! Rehan..

    ReplyDelete
  17. terbaik lah rehan,best sgt.lain dr yang lain.hapi jer baca senyum2

    ReplyDelete
  18. Sis, hakmi zafrin....baru igt cerpen sis yg tu...hehehe.

    ReplyDelete