Thursday, April 05, 2012

Kerana Sekali Cinta [6]

BAB 6

“ALAMAK!”

Aku tepuk dahi lagi. Wajah memang keruh macam apa dah. Penangan Anaresa dan permintaannya itu, aku terlanggar belakang kereta orang. Pertama kali dan haruslah sedih bila memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi pada ‘kekasih’ aku ni.

Tak mudah aku kumpul duit nak bayar muka Mazda ni. Tak senang aku pejam mata hempas sebeban duit simpanan di atas meja ejen Mazda lima tahun sudah. Penat jerih tahan perut masa tu, memang akan aku kenang sampai bila-bila. Mujur saja tinggal dengan keluarga dan masa tu pun terpaksa tahan telinga bila mama sindir, aku tinggal percuma walaupun dah kerja. Tapi hari ni, dek kerana suara yang terbit dari celah bibir mungil comel itu, ‘kekasih’ hati haruslah kena masuk hospital.

Aku pandang Anaresa. Rasa nak meraung kala ni. Sedih bila ku bayangkan Mazda ni kemek sana sini dan Anaresalah harus bertanggungjawab nanti biarpun aku yang cuai sebab leka.

“Encik tak apa-apa ke?” tanya dia dengan suara yang cemas. Telapak tangan itu menyapa bahuku sikit. Nampak jelas kerisauan dia.

Aku tepuk dahi lagi sekali sebab apa? Sebab aku rasa bersalah. Dia risaukan aku tapi aku risaukan kereta. Memang aku sengal. Tahu dek Anaresa, haruslah kecil hati. Teruknya aku ni. Sukar nak tukar ganti tempat Mazda dengan Anaresa ni.

“Err… tak… tak… Resa tak apa-apa ke?” tanyaku juga risau pada dia.

Dia menggeleng. “Resa okey tapi tu…errr….” Dia muncungkan bibirnya ke arah depan.
Cepat-cepat aku kalih dan seorang lelaki yang tegap dan besar sedang keluar daripada kereta yang aku langgar tadi. Adei…

“Eh, macam mana ni, encik?” tanya Anaresa bila lelaki tu dah mula ketuk cermin keretaku.

Aku tayang senyum pada lelaki tu dan berpaling pada Anaresa. Rupa dia agak cuak kala ini dan aku haruslah bertanggungjawab.

“Tak apa… tak apa. Panas ni. Resa tunggu dalam kereta, abang selesaikan, ya?” Aku tolak sikit tangan itu dari terus memaut lenganku.

Dia angguk dan aku terus keluar dari perut kereta. Hendak berususan dengan lelaki ini dan harapnya urusan kami mudah sebab aku tak nak panjang hal.

“Err… maaf, bang. Saya tak sedar tadi,” ucapku sambil memandang pada keretanya yang tak ada kesan apa pun. Tapi bila aku pandang kereta aku, nombor kereta patah. Mengeluh hati ni.

“Maaf apa? Kau tak nampak ke kereta aku kat depan ni? Atau mata kau dekat lutut?” soal dia kasar.

Aku sengih tayang gigi. Masa ni memang tak boleh nak buat apa lagi dah. Apa-apa hal memang salah aku. Sebab memang aku yang terlanggar dia.

“Memang salah saya, bang. Itu yang saya minta maaf. Kalau salah abang, haruslah saya suruh abang minta maaf dengan saya.”

Aduh… betullah Anaresa cakap, aku loyar buruk. Saat-saat genting macam ni pun aku boleh buat lawak. Muka abang ni dah merah padam. Dia mula bercekak pinggang. Otot dia memang mengalahkan ahli bina badan. Aku pandang tubuh aku, kurus nak banding dengan dia. Kalau kena lipat, memang tak sempat nak rasa nikmat perkahwinan.

“Kau buat lawak, ya?” tanya abang ni marah.

Aku angkat tangan mengalah dan menggeleng. “Err.. maaf, bang. Saya tak bermaksud macam tu tapi betullah saya yang silap. Err, tapi tak ada kesan pun ni. Nak kira macam mana, ya?” tanyaku sopan.

Dia merengus. “Nak kira macam mana apa? Kira bayarlah. Ni kesan ni…” Jari dia menekan sikit bumper kereta yang nampak sedikit kesan kotor.

Aku pandang dia. “Okey, kenapa dengan kesan tu?” soalku polos.

Sungguh aku pun pelik. Apa kaitan aku langgar dia dengan kesan kotor atas bumper tu? Tu bukan tempat aku langgar. Pelik sungguh.

“Kenapa kau tanya? Tadi kesan ni tak ada tau. Ni mesti sebab kau langgar la ni. Aku baru basuh kereta aku tadi. Kesan ni tak ada ni,” herdik dia.

Aku garu kepala. “Saya langgar kat bawah rasanya sebab nombor kereta saya yang patah tapi macam mana saya boleh bagi kesan kotor kat situ pulak?”

“Arrghh, ni sebab kau langgar ni. Tadi tak ada!” marah dia semakin kuat.

“Okey, bang.” Sekali lagi aku angkat tangan mengalah.

“Memang salah saya langgar abang biarpun saya sendiri pelik, apa kaitan kesan kotor tu dengan kereta saya tapi tak apalah. Dah memang salah saya, saya bayarlah. Abang pergi polish kereta abang ni, bagi kilat-kilat, ya?” ujarku sinis.

Baru nak kembali ke kereta, nak ambil beg duit, Anaresa muncul. Terpaku juga wajah abang ni memandang tunang aku.

“Teruk sangat ke?” tanya dia lembut. Aku menggeleng dan buat muka sikit pada Anaresa.
Dia mendekat dan terus intai dua buah kereta ni silih berganti. Kemudian dia pandang aku dan aku hanya mencebirkan bibir sikit.

“Tak ada kesan pun,” ujarnya.

“Apa tak ada kesan?” tanya abang tu pada Anaresa.

“Betullah tak ada kesan pun. Nak bayar kenapa?” soal Anaresa kembali.

“Eh, kenalah bayar. Dah langgar orang,” jawab abang tu agak lembut.

Huh, denganku tadi kemain mencanak marahnya. Dengan Anaresa, dah berlembut dalam ketegasan.

“Tak payah bayarlah. Tak ada apa pun ni. Jom-jom, kita gerak. Panas ni,” ajak Anaresa tiba-tiba.

Terkebil-kebil aku waktu ni tapi bila abang itu menghalang aku tak mampu berbuat apa-apa lagi. Melihatkan Anaresa yang terus bertekak dengan abang tu, rasanya kami memang tak akan memang bila dah terang terentang kami yang silap.

Penat bertekak, aku akhirnya angkat tangan mengalah. Dahlah meleleh peluh merintik di dahi. Anaresa pula masih galak menegakkan yang kami tak perlu bayar apa-apa. Aku rasional. Malas nak kalut sangat.

Aku pandang tunang aku ni. Boleh tahan bila dia marah. Terangkat habis tangan. Terhentak-hentak sneakers tu ke jalan raya. Rahang itu diketap kuat. Kurang kesabaran agaknya dia ni.

Aku rapat ke dalam kereta dan mengambil beg duit yang aku selit di celah dinding kereta. Senang cerita aku bayar je harga yang dia nak.

“Resa, dah lah tu,” larangku lembut sambil menarik lengan bajunya.

“Mana boleh? Memang abang langgar dia tapi tak ada kesan apa pun hah.” Jari runcing itu lurus ke arah bumper kereta MyVi berwarna perak itu.

Aku telan liur. Indahnya rasa bila Anaresa panggil aku abang biarpun aku tahu dalam pada dia tengah nak marah tu. Aku tetap mengulum senyum. Indahnya…

“Eh, sikit apa? Saya baru basuh kereta tau tak? Kesan tu tak ada lagi tadi!” jawab lelaki ini pula sambil menunjuk ke arah sedikit kesan kotor tu.

Tak silap aku, aku langgar bawah bumper tu sebab Mazda aku ni memang rendah. MyVi dia tinggi apa. Macam mana boleh terkesan sampai atas tu? Haruslah aku pelik.

“Tak apalah, Resa. Biar jelah. Abang mampu bayar apa.” Aku pujuk Resa lagi bila dia nampak nak menjawab.

“Tak bolehlah. Tak ada kesan sikit pun. Kereta abang yang kemek. Nombor plat abang yang patah. Kita dah minta maaf apa. Ini lebih-lebih pulak. Nak polish pun nak minta dengan kita,” cebik Anaresa.

Tajam je dia menjeling mamat ni tapi aku lihat mamat ni senyum-senyum pulak dekat dia. Ada hati nak mengorat.

“Syhh…” Aku letakkan jari ke bibir. “Tak apalah. Abang bayar, sikit je dia minta. Salah abang tadi.”

Anaresa mendengus bila aku keluarkan not RM50 tu. “Nah, bang.” Aku suakan pada lelaki itu tapi dia tak sambut pulak.

“Emm… tak apalah kalau tak nak bayar pun. Janji bagi aku nombor telefon adik kau ni, boleh?” pinta lelaki itu membuatkan aku hampir nak angkat penumbuk.

Tadi, elok aku nak bertolak ansur, dia bikin aku lebih panas daripada biasa di bawah terik mentari ni. Memang nak kena. Tapi, tak sempat aku berbicara, Anaresa bercakap dulu.

“Dah, nak nombor telefon saya rupanya?” tanya Anaresa sinis. Lelaki itu angguk dengan wajah gatal.

“Maaflah, encik. Sebab saya ni bukan adik dia…” Anaresa memandangku dan lelaki itu silih berganti.

“… dia ni tunang saya. Bakal suami saya!” sambung dia sambil mengangkat tangan dan menunjukkan jarinya yang tersarung cincin belah rotan tanda dia kepunyaanku itu.

Wajah lelaki itu nampak tidak percaya tapi aku suka bila Anaresa mengaku begitu. Tiba-tiba je, dia capai duit RM50 tu dari tanganku. Anaresa menapak ke arah kereta MyVi tersebut dan sungguh aku hampir pitam bila Anaresa tendang nombor plat kereta lelaki itu sampai patah dua.

Aku bulatkan mata. Lelaki itu juga. “Eh, apa ni?” Lelaki itu nampak terpinga-pinga. Aku lebih-lebih lagi rasa terkujat sendiri.

“Nah.” Dia hulurkan not tadi pada lelaki itu dan macam robot, lelaki itu sambutnya pula.

“Sebab tadi tak ada kesan kami langgar, ni memang kesan sebab saya tentang. RM50 tu buat ganti nombor plat lain, ya encik. Assalamualaikum!” tekan dia tegas.

Dia terus berpaling dan masuk ke dalam kereta dan aku juga turut sama meninggalkan lelaki itu yang nampak gamam sendiri melihat ke arah kepingan nombor keretanya yang telah patah dua.

Mata ini terkebil-kebil memandang Anaresa yang tersenyum puas. Dalam hati aku, ganas sungguh tunang aku. Padanlah dia asyik pakai sneakers Nike dia tu je.

“Padanlah Resa suka pakai kasut, senang nak tendang orang rupanya,” ucapku sambil menggeleng beberapa kali. Memang tak percaya.

Andai dulu, wanita itu lembut saja. Lemah gemalai langkah dan gerak tubuhnya. Sopan santun lantunan suaranya dan mengalah saja menerima penghinaan tapi kali ini, memang Allah menduga aku dengan membawa dekat gadis nakal ini ke dalam hati.

Aku senyum bersyukur dengan anugerah Ilahi. Setelah sekian lama, hidup ini agak murung menjaga kisah hati yang telah pergi, kini kisah hati ini hidup kembali. Ceria dan bahagia dengan kenakalan Anaresa. Terima kasih, sayang. Ucap hatiku gatal.

“Senyum kenapa?” tanya dia.

Tersentak aku tapi nak buat apa lagi. Senyum jelah dengan anak mata yang terus terpaku pada jalan raya. Tak nak perkara sebentar tadi berulang. Namun, aku mahu dia akuinya sekali lagi yang dia sudi nak menjadi suri halal buatku secepat ini. Macam tak percaya pun ada.

“Senyumlah tengok tunang sendiri. Ganas sungguh!” usikku lagi.

Dia merengus kecil. “Kalau Resa ganas pergilah cari yang lembut macam yang kena dengan jiwa encik,” rajuknya tiba-tiba.
Err.. encik?

“Encik pulak?” tanyaku spontan.

“Habis tu, Rsa panggil apa?”

“Tadi panggil abang.”

“Bila?” Dia jegilkan matanya bertanya padaku.

Aku ketawa halus. “Masa Resa marah tadi. Resa panggil abang. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Tak ingat?”

Anaresa diam dan kemudiannya dia tekup mulut. Dah ingat barangkali yang dia panggil aku abang. Laju je meluncur perkataan tu dari celah bibir dia tadi.

“Alamak, yalah. Macam mana boleh terpanggil ni?” tanya dia lebih pada dirinya sendiri.

Aku ketawa sinis. “Ter, ya? Orang kata kalau ter ni tak sengaja. Maknanya Resa tak sengajalah, ya?” soalku.

Dia angguk pantas. “Memang Resa tak sengaja, bang. Resa tak sedar bila masa Resa panggil abang. Aduhai…” Dia mengeluh sambil menepuk dahinya sendiri.

Ya Tuhan, kenapalah dia ni lucu sangat? Aku tahan ketawa takut dia tersedar akan keterlanjurannya memanggilku ‘abang’ lagi. Kali ini, aku malas nak tegur dah. Biar dia sedar sendiri. Aku suka tengok wajah malu kemerahan itu.

“Tepuk dahi, tepu otak nanti. Akal ada kat situ,” ucapku memulangkan paku buah keras pada dia.

Anaresa menjeling tajam. Rupa tak puas hati lantas dia peluk beg galasnya erat dan terus melemparkan pandangannya keluar. Merajuk! Tapi, sangat comel bila mulut tu tak sudah-sudah mengomel sendiri.

“Resa,” seruku setelah agak lama kami diam. Jalan raya dah mula lengang dan kereta pun dah meluncur laju.

“Emm…” jawab dia malas.

“Abang nak tanya ni. Sungguh ke Resa nak kita nikah hujung minggu ni sebab sayang nak batalkan pertandingan netball tu?”

Pantas saja Anaresa berpaling padaku. Dia merenungku tidak berkelip. Macam ada pembatalan je dalam tawaran dia tadi tu.

“Err…” Suara dia gagap.

“Kenapa? Resa nak batalkan pulak? Nak tarik balik tawaran terhad tu?” tanyaku pantas.

“Resa err… Resa tak cakap nak batalkan tapi…” Dia sangkut lagi dalam berkata-kata.

Aku hanya diamkan diri. Tenang memandu sedangkan di dalam hati, hentakan semakin mengganas menanti pengakuannya. Andai benar dia nak batalkan, aku memang kena bincang dengan mama balik demi minat Anaresa. Tapi, kalau dia nak teruskan, aku rasa dia nak tetapkan syarat dan aku yakin, aku harus terima je syarat dia.

“Tapi, abang yakin ke dengan Resa? Yakin Resa boleh jadi isteri yang baik untuk abang? Padahal kita baru kenal. Resa ni budak sekolah lagi. Ramai kawan, banyak aktiviti dan kuliah. Abang boleh terima ke?” soal dia laju je meluncur kata-kata itu.

Sungguh menarik perhatian. Abang? Abang? Memang apa saja syarat yang dia tetapkan kali ini, aku terima je atas kesudian dia tu memanggil aku abang. Memang merdu bagaikan buluh perindu.

“Resa yakin dengan abang? Resa yakin abang mampu jadi suami dan pemimpin yang baik untuk Resa? Resa yakin abang mampu jaga Resa, tak?” soalku pula.

Sengaja aku cuba bermain tarik tali dengan dia. Nak tengok apakah jawapan yang dia utarakan nanti.

“Kan Resa tanya abang dulu. Abanglah jawab!” tekan dia marah.

Aku senyum. “Jawapan abang sama dengan Resa,” ujarku.

Dia menggeleng dan mengeluh berat. “Resa tak jawab lagilah.”

“Dah tu, Resa jawablah. Nanti kita tahulah jawapan kita,” selaku tenang.

“Eiii… bencilah macam ni. Orang tanya dia, dia tanya kita balik. Kalau macam ni, jangan kahwin langsung. Putus tunang senang!” Semakin membentak pula dia. Tapi memanglah comel.

Bibirku melebarkan senyum. Sebelah tangan pegang stereng, sebelah lagi aku tekup mulut yang hampir menghamburkan tawa. Sengaja aku nak usik emosi dia.

“Dengar tak ni?” tanya dia tiba-tiba bila aku masih diamkan diri.

“Dengar apa, ya?” Aku tayang muka tak bersalah. Buat-buat tak reti.

“Resa tanya abang tadilah!” gumam dia sambil mengetap bibir.

“Jawapan abang ada pada jawapan Resa,” ucapku mesra.

“Emm… kalau macam tu, jawapan Resa mudah je. Resa yakin dengan jodoh yang Allah berikan. Bila Dia hantar abang dekat pada Resa, dan Dia dah tetapkan abang jodoh Resa, Resa terima. Toksah bercinta dulu, kita bercinta kemudian. Tapi, abang kena terimalah syarat Resa yang Resa tak boleh nak err…”

Dia diam setelah laju memuntahkan kata. Wajah itu tunduk. Jemari itu bersulam sesama sendiri. Bibirnya diketap hebat.

“Apa syaratnya?” tanyaku sekali lagi buat-buat tak tahu.

“Resa tak sedia lagi nak… err… nak…”

“Abang tak paksa kalau Resa tak sedia nak mengandung lagi nanti. Abang faham Resa sekolah lagi. Banyak aktiviti. Abang pegang janji,” sambungku pantas.

Dia nampak gamam. Aku hanya tenang saja sebab aku memang dah tahu syarat dia yang satu itu. Syarat daripada dia rasanya. Jatuh pada ibu dia dan akhirnya sampai ke telingaku daripada celah bibir mama dan kali ini, Anaresa sendiri yang katakan padaku.

“Sungguh ni?” tanya dia teruja.

“Abang tipu je,’ jawabku lalu aku hamburkan ketawa yang lepas.

“Janganlah main-main. Ni bukan main-mainlah,” tekan dia.

“Abang tahu, ini betul-betul. Abang cakap betul jugak ni. Itu semua kerja Allah, Resa. Abang siapa nak halang kalau kata Dia nak bagi rezeki pada kita. Dan jawapan abang pada Resa sama je. Dah Allah permudahkan untuk kita. Dia berhak titipkan kasih sayang dalam hati kita berdua bila-bila masa je yang Dia nak dan Dia boleh tarik nikmat ni bila-bila masa juga. Tak bercinta tak semestinya kita bahagia. Tiada cinta, kita boleh pupuk, Resa sebab cinta dah hati kita ni, milik Dia. Kalau Resa sudi terima abang, kita halalkan hubungan kita. Itu lebih baik, kan? Abang akan tunaikan semua tawaran abang untuk jaga dan biayai Resa seumur hidup. Aci tak?” soalku panjang lebar.

Anaresa nampak gamam lagi. Mungkin pertama kali aku bersuara agak serius tapi sungguh, aku bukanlah jenis main-main. Sekali cinta, haruslah selamanya cinta.

“Kenapa Resa renung abang?” soalku mencantas renungan dia.

“Err… Resa… Resa… tak sangka abang boleh serius macam ni.”

“Abang tak pernah main-main. Bezanya, berjodoh atau tidak saja,” ulasku bertambah serius.
Tapi, bila aku jeling, aku nampak bunga tawa pada bening mata bundar milik Anaresa tu. Aku tahu dia rasa aku main-main.

“Resa ingat abang main-main ke?” Aku rasa tak puas hati pula. Rasa sedih juga bila dia tak percaya.

Anaresa menggeleng. “Tak lah. Cuma tak sangka, je kita ni. Baru sangat kenal. Macam zaman dulu-dulu pulak, kan?”

“Zaman dulu ke, zaman sekarang ke sama je Resa. Cinta itu tetap dari hati. Jodoh ini tetap dari Allah. Mama dan abah abang nikah dulu, malam pertama baru kenal. Bahagia sampai sekarang dan abang yakin juga dengan kita. Cuma kita harus usaha dan terus usaha,” ulasku.

Dia angguk menyetujui kata-kataku.

“Betullah tu. Ibu dan ayah pun sama juga tapi tak pernah tengok diorang gaduh. Aman sentosa je sentiasa.”

“Dah tu, kita pun patutnya tak ada masalahlah. Setidak-tidaknya, kita lebih baik dari mak ayah kita. Kenal dulu biarpun baru nak masuk dua minggu. Bolehlah, dari Resa kenal abang malam pertama nanti. Tiba-tiba abang terjam je Resa masa tu, memang tak ada dah syarat Resa ni. Abang tak layan dah,” ujarku mengusik.

Doa menjerit kecil. “Syarat tu sungguh tau,” ujar dia mengingatkanku.

“Yalah-yalah. Abang faham. Tapi, kalau Allah kata jadi, maka jadilah.” Aku ingatkan dia sekali lagi akan kenyataan.

Dia diam seketika tapi dia angguk lambat-lambat. “Betullah tu tapi abang Resa rasa betullah Resa telah tadi,” ucapnya bersama bibir yang kembali menguntum senyum.

“Apa yang Resa telah?” Berkerut dahiku sedikit.

“Yang orang baca novel cinta ni, memang jiwa dia lain sikit biarpun nampak macho. Nampak je macam jantan tapi jiwa lembut,” ucapnya lalu dia menghamburkan tawa yang kuat.

Dia ketawa dan terus ketawa. Adeh, dia ketawakan aku lagi. Memang aku mat buku, tapi membaca itu bagus apa. Buku apa-apa pun aku baca. Tak salah rasanya. Cuma aku tak harap dia tanya lebih sebab buku dari penulis tu je yang aku beli selama ni. Yang lain, aku tak pernah pandang. Tapi, lepas ni, aku nak pandang assignment dan tesis Anaresa jelah pulak.

“Hai, perli nampak?”

Dia terus ketawa. “Memang pun. Tengok tadi, cara mengayat. Macam ayat dalam novel je.”

“Eleh, itu suara hati abanglah. Betullah macam tu. Tak salah pun, kan?” Aku mencemik dan Anaresa terus ketawa.

“Jiwa bunga!” komen dia padaku.

Aku biarkan saja tawa dia tu. Dalam kepala ni tengah nak cerna idea untuk kenakan dia balik biar dia terkedu.
Tiba-tiba, ting!! Aku lebarkan senyum dan menjeling ke arah dia.

“Memanglah lelaki baca buku ni ada jiwa lain sikit walaupun macho, kan? Tapi, tahap kejantanan tu, abang buktikan nanti. Jiwa je lembut tapi jantan tu tetap jantan.” Aku tepuk dadaku.

Anaresa mati tawanya. Berkali-kali dia telan liur.

“Jangan tarik balik tawaran Resa tu. Nanti abang buktikan abang ni jantan biarpun jiwa lembut,” ucapku separuh berbisik.
Dia telan liur berkali-kali dan aku ketawa lepas. Padan muka. Kenakan aku, ya! Tapi sungguh indah jodoh ni. Tak susah macam yang lepas kerana kali ini, dia hadir terus mendekat di hati.

~~> bersambung

Cik Penulis : Kurang sihat, baru je sihat ni. Maaf lambat ya.. Layan KOmen maaf atas kekurangan.

28 comments:

  1. Niceeeee!!

    Yippee!!

    Rhyz

    ReplyDelete
  2. ganaz sungguh si Resa ynag-pakai-baju kurung-sneakers-ni..tapi sweet
    ...bila nak tiba kolej?..he he
    ...haqim tau x resa dah tunang?
    ...apa perasaan haqim?
    ...apa tindakan haqim seterusnya?
    (wah..mcm reporter pulak..he he..sori RM..over teruja..)
    -che`leen-

    ReplyDelete
  3. best lah rm..akhirnya ada jugak ksc 6..tq yer..rehat lah yer..sian rm..sakit2 pon menulis jugak..;)

    ReplyDelete
  4. best cik rehan............

    ReplyDelete
  5. Salam Kak Rehan.... Cak!!! Cian dia kena layan kite dkt FB... Hahahaha... Walau apa-apa pun ttp best... ada unsur lawak, agama and romantik... Teruskan usaha Kak Rehan... Kite doakan akk cepat sihat...

    ReplyDelete
  6. hehehe...sweet sggh lah dia org ni, senyum memanjang je baca

    ReplyDelete
  7. ganas giler resa ni....kak RM kene bykkn berehat..pnt sgt tu..tc ^__^

    ReplyDelete
  8. layannnnnnnnnnnnnn... tertungggu tunggu entry dari RM.. hopefully fully recovered! get well soon!

    ReplyDelete
  9. hahhaa...t'kejut punya psl smp xcden.....mmg ganaz jg resa ni...

    ReplyDelete
  10. alahai..mat buku jgk ke si zafran ni? hehehee

    ReplyDelete
  11. akhirnya ada n3..tq kak rehan..love resa

    >>nickhere<<

    ReplyDelete
  12. zaf ni jd mat nvl bersbb..hihi
    wuih!! ganaz gak resa ni yer..xbleh blah tul
    dia tendang plat kereta org tu..haha
    comey & kelakar lah pasangan ni,moga
    mereka perolehi kebahagiaan yg dicari-cari bersama..
    best!! deabak! rehan..

    ReplyDelete
  13. best best best.. x tau nak ckapa apa la rehan
    suka sungguh karya rehan yang satu nie...happy memanjang tq rehan

    ReplyDelete
  14. comel betu la resa ni...sweet je zaf dengan resa..tak sabar nak tunggu diorang kawin...camne la kehidupan rumahtangga diorang..mesti heppening kan...hihihi

    ReplyDelete
  15. besttt...nk lgi2

    ReplyDelete
  16. perghh...superb lah......asyik kena dan mengena tak sudah2...naik kejang mulut nie ketawa dan senyum sendiri...

    ReplyDelete
  17. best!!!comel la resa ni...

    ReplyDelete
  18. Selamba ja si Zaf ni... tapi bagus berterus terang dahulu.... jangan dah kahwin baru keluar syarat... mahu masak Zaf.... hahaha....bestttt.....

    ReplyDelete
  19. nakal la zaf.main ugut2 resa.dh tu resa tnjuk berani sngt sapa suh kan.we'll see.

    ReplyDelete
  20. best larh citer nie hehehe.......

    ReplyDelete
  21. suka ngan heroin yg mcm ni.....lbh suka crta BSC dr KIM....apa2pun thniah semua karya kak RM mmng best.....

    ReplyDelete