Friday, June 01, 2012

Cinta Bukan Milik Kita

HARI ni rasa sepi tanpa teman-teman yang rata-ratanya berkursus dan keluar daerah. Menghadapi makan tengah hari sendiri rasanya tak mampu hendak kutelan. Tersekat dikerongkong. Hilang selera.


Sudahnya, nasi dipinggan aku kuis dengan sudu dan garpu saja. Mengeluh sana sini ditimpa kebosanan. Akhirnya, aku cuba angkat tubuh hendak berlalu namun, belum sempat aku bangkit, ada seseorang menarik kerusi lantas duduk tepat di depanku. Tersenyum manis.

“Teman saya makan, boleh?” tanya dia tenang.

Aku menggeleng. “Saya dah sudah,” jawabku menolak penuh sopan.

“Sudah apa macam tu?” Dia juihkan bibirnya ke arah pingganku yang masih tidak luak kemudian mata itu merenungku kembali.

“Err… tapi saya tak kenal awak.”

“Saya Adha dan awak Aidil, kan? Aidilia Ali? Betul tak?”

Aku terkaku kala dia menyebut namaku. Tepat. Mata itu aku pandang lama. Menghantar soalan bisu agar dia meneruskan bicara tapi sayang bila dia sekadar buat tidak mengerti.

“So, dah kenal, kan? Boleh duduk? Kita makan sama-sama. Saya pun tak ada kawan hari ni. Sorang-sorang. Tak lalu la pulak nak telan nasi sorang-sorang,” ucap dia dan aku bagaikan dipukau, langsung melabuhkan kembali dudukku di depannya.

Dalam hatiku, tertanya-tanya, siapa dia? Dari mana dia tahu nama ini? Pernahkah kami bersua sebelum ini?

“Nama kita macam sesuai, kan?” tanya dia padaku.

Aku tersentak. “Erk… apa yang sesuai?”

“Nama kita. Adha dan Aidil,” jawab dia.

“Tapi saya Aidilia.”

“Dan saya Ahmad Adha,” sahutnya pantas dan tersenyum lagi.

Sudu itu dia sua ke mulutnya dan aku hanya mampu memandang buat seketika sebelum aku temui keberanian untuk bertanya lanjut.

“Kita kenal ke, Adha?” Wajah ini agak berkerut akibat rasa asing yang melanda.

Pertama kali rasanya ada lelaki menegurku dan meminta aku menemaninya begini. Biarpun ada yang pernah cuba memikat, namun tiada yang benar-benar berani.

“Aidil tak kenal saya tapi saya kenal Aidil,” jawab dia.

Aku angguk sedikit dan bertanya lagi. “Kat mana awak kenal saya?”

“Dalam hati masing-masing,” jawab dia tenang.

Aku mengerutkan wajah dan kali ini lebih teruk rasanya. Terbelit akal hendak mencerna kata-katanya.

“Jujur saya akui, saya tak pernah kenal awak, Adha…”

“Dan saya juga jujur akui, saya kenal awak dengan baik, Aidil.” Dengan pantas juga dia menjawabku.

Akhirnya, aku mati kutu. Tak tahu bertanya apa-apa lagi melainkan mata ini hanya mampu melirik ke arah dia sesekali. Bila kami berlaga pandang, aku cepat-cepat melarikan anak mataku dan membiarkan Adha senyum sendiri. Penuh makna di balik bibir yang agak kemerahan itu.

Pertemuan pertama yang agak aneh padaku. Tiada kata-kata, hanya hening yang menemani. Dia hanya tersenyum dan sesekali mengjungkitkan keningnya. Biarpun terlalu banyak soalan yang mahu aku utarakan, rasanya pasti tercantas dan tiada berjawapan.

Aku melangkah keluar dari restoran setelah Adha siap makan dan sedang membayar harga makanan kami. Kaki ini maju ke arah pejabat namun langkahku pegun bila ada suara yang memanggil.

Bila aku berpaling, ternyata Adha sedang berlari anak menuju ke arahku. Nafas itu agak tercungap-cungap sedikit.

“Aidil nak pergi mana?” soal dia pelik.

“Balik pejabatlah.” Aku menjawab mendatar saja.

Dia senyum. “Tak nak ucap terima kasih saya belanja makan tadi?” tanya dia.

Aku menggeleng. “Saya tak makan pun,” selaku menutup rasa malu. Sudahlah orang bayar harga makanan yang tak luak, ucapan terima kasih juga aku abaikan.

“Membazir, kan? Saya bayar mahal tu. Tapi tak apalah. Lain kali kita keluar lagi makan sama ganti balik nasi yang tak habis tadi tu dan kali ini kena makan bagi habis,” cadang dia mudah.

Dia senyum lagi. “Saya harap ini bukan pertemuan terakhir kita.”

“Tapi, saya berharap setakat ini je pertemuan kita. Saya tak keluar dengan orang yang saya tak kenal,” bantahku sopan.

“Sebab tak kenallah, kita kena kenal. Kalau dah kenal senang pulak saya tak ajak awak keluar, Aidil. Haruslah saya datang jumpa awak dekat rumah awak je,” sela dia mengusikku.

Aku ketap bibir. Kematian kata lagi berhujah dengan lelaki yang baru aku kenali ini. Namun dia, terus berlalu meninggalkanku sekuntum senyum yang aku fikir, sedang berputih di dalam hati.

“Er... Adha!” seruku agak kuat menghalau putik yang mahu bercambah ini.

Dia matikan langkah dan berpaling. Kedua belah tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Nampak segak di dalam slack biru gelap dan t-shirt berkolar warna kuning cair itu. Tak kerja ke? Santai je dia pakai? Hati ini bersoal sendiri.

“Ya saya, Aidil.” Dia menyahut lembut.

“Terima kasih,” ucapku ikhlas. Ibu dan ayah tidak pernah mengajar aku melupakan budi orang. Biarpun tidak kupinta, namun biarlah terbayar sedikit dengan penghargaan.

“Kasih awak dah lama saya terima dalam hati ni, Aidil,” jawab dia seraya menepuk dadanya beberapa kali.

Dia kenyit mata padaku dan terus berlalu semula meninggalkan aku sendiri yang terkulat-kulat cuba memahami ayat terakhirnya itu.

“Siapa dia?” tanyaku pada diri setelah dia hilang di balik dinding.

Dari caranya, aku yakin dia memang mengenaliku. Dia memang tahu akan diri ini. Tapi, dari manakah sumbernya?

“Aidil!”

Aku tersentak. Cepat-cepat aku kalih pada suara yang menyeruku. Ternyata wajah Yanti tersenyum padaku.

“Kau ralit sangat ni tengok apa? Aku kat belakang pun tak sedar?” tanya dia.

Aku pantas menggeleng. “Tak ada apa. Errr… awal kau balik. Ponteng course ke?” Cepat saja aku menukar tajuk perbualan.

Yanti sengih menampakkan barisan gigi yang memakai pendakap. Tua-tua baru nak pakai pendakap. Ejek hatiku bersama senyuman sinis.

“Aku pontenglah. Tak best. Mengantuk aku. Ajak yang lain, tak nak pulak. So, aku sorang jelah cabut. Lagipun, aku sakit perutlah. Asyik terdetik je. Kat sana nak bangkit pergi tandas segan. Kerap sangat. Kat office tak adalah rasa segan,” ujar dia sambil memeluk bahuku menarik aku menapak ke bersamanya ke pejabat.

“Terdetik lebih ke tak?” sinisku.

Dia angguk. “Lebih!” jawab dia dan aku ketawa kerana mengerti akan tapisan bahasa yang sering kami gunakan andai mahu ke tandas.

Bila kakiku mahu memijak anak tangga pertama untuk naik ke Mozaid Architecture, aku berpaling sekali lagi ke arah hujung bangunan kala terasa nama ini diseru berkali-kali dan sungguh aku pegun dari melangkah bila ternyata Adha sedang melambai ke arahku.

“Aidil, kau kenapa ni?” tegur Yanti lantas turut memanjangkan lehernya hendak melihat kea rah hujung sana.

Tapi sayang, bila susuk tubuh Adha tiada lagi. Hadir tanpa aku duga, hilang sekelip mata. Siapa dia.

“Eh, tak ada apalah. Jom-jom naik. Kau kan sedetik lebih,” ajakku dan pantas aku daki anak tangga itu satu persatu menuju ke tingkat dua pejabat Mozaid.

***

PULANG ke rumah petang itu, aku hampiri ibu dan ayah yang ada di laman. Sedang minum petang bersama. Setelah usai memberi salam, tangan kedua-duanya aku salami penuh hormat. Lalu aku labuhkan duduk di sisi ibu.

Ibu senyum dan memeluk bahuku. “Ai.. ibu dengan ayah nak minta sesuatu dari Ai,” ucap ibu saat aku suakan cawan yang berisi milo panas itu ke bibir.

“Apa, bu?” tanyaku setelah aku teguk airnya sedikit.

“Ai dah cakap umur untuk kahwin, kan?” soal ayah tiba-tiba. Aku mengerutkan wajah tanda tidak faham.

Ibu dan ayah berbalas senyum. “Kami nak Ai kahwin,” sambung ibu pula.

Aku tersedak air liur sendiri. “Kenapa tiba-tiba?”

“Tak ada tiba-tiba. Kalau dah ada calon, kami akan terima…insyaAllah. Kalau tak ada, kami nak kenalkan pada seseorang,” ujar ayah.

Mereka memang sudah dan sedang merancang sesuatu untukku nampaknya dan aku, sebagai seorang anak tunggal, kebahagiaan ibu dan ayah adalah yang terpenting.

“Ai tak kisah, tapi Ai nak kukuhkan kerjaya dulu, bu… ayah…” dalihku.

“Perkahwinan tu dituntut agama, sayang. Banyak kebaikannya. Lagipun, ibu tengok Ai terlalu sibuk dengan kerja. Tak pernah ibu tengok Ai keluar dengan kawan-kawan.

Kecuali Yanti dan itu pun ke pejabat, tak pun duduk di laman. Ai perlu ada kehidupan yang lebih dari sekarang dan cara yang terbaik, Ai kahwin. Setuju?” tanya ibu.

Aku diam seketika. Tunduk memandang cawan Correll itu lama sebelum aku angkat mataku memandang ibu dan ayah.

“Kalau dah itu kata ibu dan ayah… Ai ikut jelah. Tapi, Ai tak ada calon,” akuiku jujur.

Teringat juga pada Adha namun sayang, pertemuan kami terlalu singkat. Andai tidak, ada juga terdetik di hati hendak menjadikan dia calon. Aku senyum pada ibu dan ayah menyatakan persetujuanku dan aku lihat, kedua ibubapaku mengucapkan syukur.

***

SETELAH beberapa hari berlalu, Adha tidak muncul dan mengertilah aku yang dia sekadar berbicara. Tidak berjanji dengan hati membuatkan aku senyum sinis pada diri sendiri. Agak termakan dengan kata-katanya. Bagaikan sudah terjatuh cinta. Calon ibu juga tidak muncul-muncul. Aneh jodoh ini namun aku tetap yakin akan percaturan takdir.

Allah tidak memberikan apa yang kita mahu namun Dia akan berikan apa yang kita perlu. Apa yang aku perlu, adalah lelaki yang mampu mendidik aku mampu hidup tegar biarpun tanpa dia nanti kerana aku yakin, Allah di sisi andai aku terus mendekatkan diriku dengan-Nya.

Keluar dari pantry hampir tengah hari itu, aku dikejutkan dengan sesuatu. Kotak berwarna putih keemasan itu, aku renung lama. Aku pandang Yanti dan dia hanya tersenyum penuh makna. Kening itu berkali-kali terjongket. Kini, dia sudah bangkit dan menongkat dagu pada dinding word station milik kami.

“Siapa bagi ni, Yan?” soalku ingin tahu.

Pelik. Memang pelik. Tidak pernah aku menerima hadiah apatah lagi hadiah ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Sepersalinan pakaian akad nikah berwarna putih bersih kini di depan mataku.

“Patutnya aku yang tanya soalan ni pada kau, Ai,” balas dia.

Aku diam memandang Yanti. Kepala ini tidak berhenti dari memikirkan hadiah di depan mata yang takut hendak kusentuh. Terasa lain macam bila melihatkan persalinan yang cantik itu.

“Kau nak kahwin ke, Ai?” soal Yanti lagi membuatkan aku memandang dia bersama wajah yang berkerut sana sini.

Aku menggeleng. “Bila masa aku ada pakwe? Nak kata ibu dan ayah aku kenenkan, tak pulak diorang cakap calon tu nak bagi surprise. Semalam elok je tak kan hari tiba-tiba ada surprise macam ni pulak?” Aku merungut sedikit.

Yanti ketawa kecil. “Ada peminat rahsia ni, Ai. Sampai bagi hadiah baju nikah ni. Lain dari yang lain ni. Biasa orang hantar bunga la, coklat la… tapi ni terus pakaian nikah. Mudah kerja kau, Ai. Cuba kau try. Kalau sedang elok… calon dah ada, baju dah ada, malam ni jalan,” gurau Yanti bersama tawa.

“Gila!” tekanku sambil mencebik.

“Kau ingat aku anak ayam?” Dan Yanti terus ketawa lepas kala aku berkata demikian.

Kotak pakaian itu, aku bungkus semula dan letakkan di tepi lantas aku labuhkan duduk di kerusi. Ada kerja yang perlu dibereskan. Ada design yang perlu aku siapkan.

“Kenapa tak buka, Ai?” Yanti sudah berdiri tegak di depanku.

Tangannya ligat membuka kotak tersebut dan bila dia menarik persalinan tersebut dan diletakkan dekat pada tubuhnya, mataku bulat.

“Cantik!” Kami bersuara serentak dan waktu ini, hanya satu nama yang terlintas di mindaku dan hanya seraut wajah yang menari-nari di ruangan mataku.

Belum sempat aku menyebutnya, kami dikejutkan dengan salam. Kala aku berpaling, wajah yang terlintas itu betul-betul muncul di depan mata.

“Adha!” seruku bersama tubuh yang terangkat.

“Aidil busy? Dah nak tengah hari ni. Kita lunch?” ajak dia selamba.

Mata Yanti bulat melihat ke arah aku dan Adha silih berganti. Wajah Adha agak pucat hari ini namun manisnya tetap ada apatah lagi senyuman pada bibir yang nampak kebiruan itu sentiasa mekar.

“Siapa?” tanya Yanti tanpa suara.

Aku menggeleng. “Err… maaf Adha. Saya dah janji dengan kawan-kawan saya,” ujarku berbohong.

Dia senyum. “Dengan orang yang hadiahkan baju pengantin tu ke?” Bibirnya terjuih kea rah Yanti.

“Err… baju tu Yanti punya,” selaku pantas menidakkannya.

Dia ketawa kecil. “Tapi, nampak lagi sesuai dengan Aidil. So, boleh je ajak kawan awak sekali. The more the merrier,” pelawa Adha lagi.

“Errr… tak…”

“Eh, Ai… kau lupa ke aku ada hal lain tengah hari ni. Kau pergilah dengan dia. Nah baju kau.” Cepat-cepat Yanti memotong percakapanku.

Baju tadi dia letak semula di atas meja dan aku terus tarik dan letaknya di dalam laci. Berkedut sana sini. Lantaklah.

“Jomlah,” ajak Adha lagi.

Bila Yanti memberi isyarat agar aku pergi saja, tidak dapat tidak, aku beranikan diri juga melangkah. Terlalu banyak soalan yang aku inginkan jawapannya dan hanya Adha yang mampu berikan padaku.

Kami akhirnya tiba di Restoran Mak Siti di bahagian bawah pejabatku. Tempat yang sama kami bersua beberapa hari sudah. Setelah pesanan dibuat, aku lihat Adha menongkat dagu memandangku.

“Kenapa pandang saya?” tanyaku pada dia.

“Saya nak abadikan wajah awak selamanya dalam minda saya,” jawab dia. Sedikit sebanyak mengundang bunga senyum di bibirku.

“Tapi, saya ingat awak tak akan cari saya lagi…”

“Kan dah cakap, itu bukan pertemuan terakhir kita. Malah andai ada kesempatan, saya nak kita jumpa setiap hari. Setelah bangun tidur dan semasa nak tidur pun,” ucap dia penuh makna.

Kali ini, mengertilah aku akan kiasan yang dia ucapkan. Aku yakin dia menyukaiku. Malah mencintai juga tapi hati ini ragu-ragu lagi tapi aku ada calon daripada ibu dan ayah.

“Apa maksud awak?” tanyaku buat-buat tidak tahu.

“Ai faham. Saya yakin tu atau Ai nak saya bagi jawapan pada perkara yang sudah sedia kita tahu maksudnya?”

“Saya nak tahu banyak hal dari awak, Adha. Siapa awak?”

“Saya Adha,” jawab dia menyampuk. Aku jegilkan mata dan merengus sikit membuatkan Adha menahan tawa.

“Okey… okey… sila sambung.”

“Siapa awak? Mana awak kenal saya? Apa maksud awak selama ni dan yang penting, awak ke yang bagi pakaian tu kat saya?” Pandangan ini aku cerlungkan sedikit pada dia. Memberi amaran agar dia berterus terang saja.

“Itu je?” soalnya dan aku angguk.

“Saya jawab tapi bersyarat. Lepas saya habiskan ayat terakhir, awak mesti kata okey, saya terima! Setuju?” tanya dia dan tanpa berfikir yang bukan-bukan, aku angguk
terus membuatkan bibir Adha tersenyum semakin lebar.

“Siapa saya? Saya Ahmad Adha. Macam mana saya kenal awak, dari keluarga awak. Apa maksud saya, sebab saya cintakan awak dan pakaian tu tanpa yang saya nak nikahi awak. Awak terima saya?” Suaranya tenang saja biarpun sesekali dia terbatuk kecil dan wajah itu berkerut juga sedikit.

Mataku bulat. Bibirku bergetar namun lidahku kelu. Aku menggeleng tidak tahu apakah yang mampu aku ucapkan kala ini. Barisan ayat yang terluncur dari celah bibirnya membuatkan aku terpaku.

Soalanku bersambut dan jelas jawapannya dan tanpa sedar aku jatuhkan kepala sekali.

“Okey, saya terima,” jawabku mendatar.

Adha terus berdiri. “Yes… cinta memang milik kita,” ucap dia teruja hinggakan beberapa orang pengunjung lain memerhatikan kami.

“Cinta milik kita?” tanyaku polos. Dia duduk dan menggeleng dan wajah itu mendekat sikit padaku.

“Cinta bukan milik kita, Ai. Cinta kita milik Allah. Segalanya milik Allah. Sementara Allah sudi pinjamkan nikmat cinta Dia buat kita, kita hargai dengan hubungan yang halal di sisi-Nya,” jawab dia separuh berbisik dan serentak itu pesanan sampai tanpa mampu aku membalas.

Namun bibir ini tersenyum malu. Indah pertemuan, mudahnya perjalanan.

***

AKU tidak pernah putus memanjatkan syukur bila Allah pertemukan aku dengan Adha. Biarpun seketika, ada satu hubungan hati dan jiwa yang saling melengkapi. Ada sesuatu rasa yang sukar hendak aku tafsirkan dengan kata-kata. Hanya doa yang mampu aku titipkan agar kami sentiasa di bawah lembayung kebesaran Allah yang mempertemukan kami dan bakal memisahkan kami dalam apa cara andai itu yang telah takdir suratkan.

“Lama Ai tunggu?” tanya Adha bersama nafas yang mengah dan peluh yang merenik di dahi setelah dia mendapatkanku yang sedang menantinya di depan Poh Kong, Dataran Glomac.

“Kena kejar dengan perompak ke?” sinisku.

Dia sengih dan garu kepalanya. Kemudian dia terbatuk kecil dan memegang dadanya agak lama.

“Errr, awak tak sihat ke ni?” tanyaku risau.

Dia menggeleng. “Sihat je. Penat berlari. Takut terlambat biarpun dah tahu saya memang terlambat,” jawab dia ada nada bersalah.
Aku menjeling sedikit. “Lambat pun tak apa. Tak cukup waktu di dunia, sampai akhirnya saya tunggu awak,” ujarku ikhlas.

Adha ketawa. “Saya pegang janji awak tu, Ai,” sahutnya dan kami sama-sama melangkah ke dalam kedai emas itu untuk memenuhi perkara terakhir sempena pernikahan kami nanti.

Beberapa bentuk cincin aku pandang sepi saja. Langsung tidak berkenan di hati akan pilihan mata sendiri hinggalah akhirnya Adha sendiri memilih buat pertama kalinya, hatiku jatuh suka lalu aku jatuhkan kepala menerima pilihannya.

“Mudah,” ucap Adha berbisik kala pekerja Poh Kong itu sedang membungkus cincin berkenaan.

“Apa yang mudah?”

“Pilih sendiri payah. Sekali saya pilih, terus angguk. Mudahlah tu. Lain kali saya jelah pilih. Macam saya pilih baju nikah tu. Memang khas untuk awak dan saya yakin awak setuju dan suka, kan?” tanya dia lagi.

Aku mencemik. Namun dalam hati, aku berkata ya. Pilihan dia sentiasa tepat buatku. Kala dia mahukan majlis yang sederhana, aku juga bersetuju biarpun keluarga kami membantah. Namun, kami berkeras dan aku dan Adha tersenyum puas bila mereka bersetuju akhirnya.

Ahmad Adha. Anak kepada kenalan ayah dan ibu. Lelaki yang ibu dan ayah ingin jodohkan padaku. Syukur kerana berkat restu dan jodoh kami, hati kami terikat kini.

“Pasal tadi tu, saya tak akan pegang Ai dengan janji macam tu. Andai tiada rezeki kita bersama di dunia, Ai berhak ada pengganti, kan?” tanya dia tiba-tiba.

Aku memandang dia pelik. “Apa maksud tu?”

Adha senyum. “Tak ada apa-apa maksud. Itu jelah maksud dia,” jawab dia dan dia terbatuk lagi.
Aku ketap bibir. Ada soalan berlegar di dalam kepala namun tercantas bila Adha bangkit menuju ke kaunter bayaran. Hati ini, bertukar resah tiba-tiba.

***

HUJUNG bulan ini, aku dan Adha yang disatukan. Ada rasa sebu hendak meniti waktu itu. Membawa diri ini menjadi yang sah untuk lelaki yang aku cinta membuatkan aku hampir menitiskan airmata kesyukuran.

Sudah beberapa hari aku tidak bersua dengan Adha setelah kali terakhir kami keluar bersama untuk mencari sebentuk cincin dan setelah itu, telefon juga jarang bersambut. Padaku, mungkin dia sibuk menguruskan urusan antara kami nanti.

Elok juga tidak bersua selalu. Darah manis waktu ni. Pesan ibu dan ayah. Percintaan ini biarlah dirahmati dan biarlah terpelihara segalanya kerana tidak lama lagi, aku dan dia akan melestarikan erti sebuah perhubungan dan memaknakan erti sebuah cinta.

Aku lihat jam di pergelangan tangan. Menanti Adha tiba setelah tamat waktu pejabat hinggakan pelawaan Yanti untuk menghantarku pulang aku tolak sopan. Berhari tidak bersua, aku yakin Adha sendiri ada sesuatu yang hendak dia bincangkan demi majlis kami nanti.

Masa berlalu. Waktu berdetik namun Adha tidak muncul. Berjam-jam aku menanti hingga akhirnya, azan Maghrib berkumandang sudah dari masjid berhampiran membuatkan aku sedar, telah terlalu lama aku menantinya.

Taliannya juga tidak bersambung membuatkan keluh kesahku tidak terhenti. Aku ketap bibir dan menarik telefonku sekali lagi lantas aku dail nombornya sekali lagi dan bila aku dengar suara Adha di hujung talian, semangat pudar ini kembali berwarna pula.

“Awak dekat mana? Dah lama Ai tunggu awak. Maghrib dah pun. Kalau tak jadi datang, Ai nak balik dengan teksi je ni. Nanti ibu dan ayah risau pulak.”

Aku sengaja bersuara tenang menyembunyikan sedih yang berpaut di hati demi harapan, dia akan berlari mengejarku di sini namun sayang bila harapan itu patah angkara cinta yang mungkin kian rapuh barangkali.

“Ai balik rumah dulu. Saya ada hal. Maaf lupa nak beritahu Ai tadi. Telefon tertinggal dalam kereta. Nanti apa-apa hal saya call Ai balik,” tutur Adha mudah lantas talian mati begitu saja.

Aku pandang telefonku lama. Tanpa sedar, mutiara jernih ini jatuh menodai pipi buat pertama kalinya dalam hidupku setelah aku bergelar tunangan Adha. Lelaki yang dikatakan ingin berkongsi cinta yang telah Allah pinjamkan buat kami. Hendak menjaganya sehingga Allah mengambilnya semula dari kami atau mungkin benar, Tuhan sedang menarik kembali cinta itu daripadaku, aku tidak tahu?

Kaki ini lemah melangkah mendapatkan teksi di perhentian di depan bangunan. Hendak terus pulang ke rumah ayah dan ibu di Subang Jaya setelah Adha memungkiri janji dan mudah pula dia berkata lupa.

Setibanya di rumah, ibu dan ayah nampak risau namun aku tidak lekang dek senyuman.

Malam itu, aku mendapatkan ibu bila ayah masih belum pulang dari masjid. Dia yang sedang berteleku di atas sejadah aku rapati.

“Kenapa ni? Nampak resah je?” tanya ibu.

“Takut nak nikah tak lama lagi, ya?” usik ibu lagi.

Aku tersenyum kelat dan menggeleng. “Ai rasa Adha tu lain sikit sejak akhir-akhir ni, bu. Kalau janji mesti lambat. Kalau telefon pun payah nak angkat. Masa kami beli cincin hari tu, itulah last kami jumpa. Agak pelik sikit. Takut pulak Ai rasa,” luahku pada ibu.

“Kenapa?” soal ibu sepatah.

“Dia main-mainkan Ai tak, bu?” tanyaku tulus.

Ibu mengucap panjang. “Eh budak ni. Kalau main-main dia tak adalah nak nikah dengan Ai secepat ni. Kami kenal Adha dah agak lama kot. Ibu yakin dengan cinta dia pada, Ai. Yang lain kita berserah pada Allah je. Yang penting, kita usaha nak capai jodoh kita,” pujuk mama.

Sejuk hatiku seketika dan setelah itu, aku bangkit berlalu ke bilik bila ayah memberi salam. Tidak mahu mengganggu rehat ibu dan ayah.

Telefon aku gapai. Nombor Adha aku tekan dan sekali lagi aku berasa kecewa bila talian tidak bersambut dan ada masanya, bagai sengaja diputuskan. Waktu ini waktu bagaikan terhenti. Kenapa dengannya? Kenapa tiba-tiba?

***

KAKI ini melangkah menuju ke rumah teres dua tingkat milik keluarga Adha setelah beberapa hari, aku tidak mampu menjejaki dia. Baru saja aku hendak memberikan salam, jantungku bagai direnggut kasar kala aku tiba di muka pintu yang sememangnya tidak bertutup rapat itu.

“Ha tak kira. Batalkan, ma. Anggap jelah Ha silap memilih dan buat keputusan kali ini. Aidilia bukan untuk Ha dan Ha bukan untuk dia,” tegas Adha membuatkan aku hampir terduduk andai aku tidak sempat memaut bucu dinding.

“Jangan macam ni, Adha. Kesian dekat Aidilia nanti. Apa mama dengan abah nak jawab pada keluarga dia? Kami pinang dia atas kehendak Ha sendiri,” ujar mama Adha lirih.

Apa dia cakap ni? Tak mungkin kehilangannya sejak akhir-akhir ini menggambarkan yang segalanya tentang kami adalah permainan dia saja? Aku menggeleng kesal. Bertahan agar tidak menangis di sini.

“Abah tak tau nak kata apa, Ha. Ha sendiri jelah cakap pada Aidilia kalau betul Ha nak batalkan.” Aku dengar pula suara abahnya.

“Ha nekad?”

“Nekad, ma!” tekan Adha membuatkan aku terus berlari keluar melalui pagar rumahnya yang ternganga luas mencari teksi untuk kembali rebah di ribaan mama.

Setibanya di rumah, aku terus memeluk ibu yang sedang sibuk di dapur. Tanpa tangisan, hanya pelukan saja yang semakin erat dan terus erat.

“Eh, sayang kenapa? Terkejut ibu. Kata nak jumpa Adha?” soal ibu lalu dia leraikan pelukanku.

Kala mata kami bertentangan, airmataku jatuh berjuaraian. Tak mampu aku bertahan lagi. Begini sudahnya setelah beberapa hari dia menghilangkan diri. Benar, cinta itu bukan milik kami lagi.

“Adha, bu…” Suaraku tersekat dek sendu.

“Kenapa?” Wajah itu berkerut hebat.

“Dia tak nak Ai lagi, bu. Dia tak cinta Ai lagi. Dia nak batalkan pernikahan kami, bu,” akuinya lalu aku paut tubuh ibu lebih erat dan menghamburkan tangis di bahunya.

“Astaghfirullah, Aidilia. Apa Ai cakap ni? Adha tu baik. Tak mungkin dia buat kita macam tu. Ai salah dengar tak?” Ibu seolah-olah tidak mempercayaiku.

Aku menggeleng pantas. “Ai dengar bu. Ai dengar,” aduku lagi dan aku ketap bibir agar sendu ini tidak terus bertukar kasar.

“Sabar, Ai. Nanti ibu call mama Adha tanya apa dah jadi,” pujuk mama sambil mengusap kepalaku yang dibaluti selendang ini.

Airmataku menitis tanpa suara. Apa yang sedang terjadi ni, Ya Tuhan? Dugaan apakah yang mendatang ni? Tanya hatiku sendiri berharap Dia memberi jawapan dan keyakinan pada hatiku ini agar terus utuh dan kukuh berdiri atas apa yang terjadi.

Usai Maghrib, aku dekati pintu bilik ibu. Berniat hendak berkata pada ibu yang aku baik-baik saja. Andai itu takdir untukku, pasrahkan saja. Hati ini kudidik akan terus redha. Usah ibu dan ayah bersalah akan hal ini kerana segalanya tidak kami duga.

Tapi, langkah ini mati di depan daun pintu yang sedikit terbuka bila aku dengar ibu bersuara.

“Kenapa tak cakap dari awal lagi?” Suara ibu agak kuat kali ini.

“Kau tahu tak, Ani… kau sekeluarga buat anak aku macam ni… apa salah dia? Apa salah kami?” tanya ibu separuh merayu. Ada esakan pada hujung nadanya.

Kini, tahulah aku yang Adha benar-benar tidak mahukan aku lagi. Dia telah membuang segalanya tentangku.

“Macam mana aku nak cakap pada Aidilia, Ani. Anak aku tu lembut tapi dia tegas dan aku harap, Aidilia kuat. Aku memang harap macam tu,” tegas ibu lagi dan baju putih yang Adha hadiahkan itu, aku peluk erat.

Bukan rezekiku hendak membalut tubuhku dengan persalinan ini dan aku akan pulangkan pada Adha nanti. Itu tekadku. Langkah ini aku bawa kembali ke bilik bersama tangisan tanpa suara. Hanya lelehan airmata saja yang menyatakan kepedihan hatiku.

“Ai kuat, bu. Ai kuat kerana Ai tegas. Tegas untuk terima takdir yang cinta bukan milik Ai dan Adha biarpun Ai tak tahu apa salah Ai pada dia. Tapi, Ai yakin Adha juga tidak salah. Ini kehendak takdir. Jodoh bukan untuk kami,” gumamku memujuk hati sendiri lalu aku sembamkan wajahku ke tilam. Menahan getar pada tubuh angkara sendu yang menongkah arus.

***

YANTI terdiam setelah aku bercerita padanya tentang apa yang sedang dan telah berlaku. Cincin belah rotan di jari manisku, aku tarik perlahan-lahan lantas aku letak bersama persalinan yang telah Adha hadiahkan dulu.

“Aku tak tahu nak kata apa, Ai…” luah Yanti kesal.

Aku gariskan senyuman buat dia. “Toksah kata apa, Yan. Dah takdirnya begini. Hari ni, kau teman aku, aku nak pulangkan semua ni pada Adha. Kami diikat secara baik dan aku akan putuskan secara baik juga. Moga tak ada dendam di hati kami, Yan,” ujarku tenang.

Tenang di bibir sedangkan di hati, rabak, rosak, punah dan lebur segalanya. Hanya ada secubit sisa sabar untuk aku terus bertahan agar mampu menatap bening mata Adha untuk terakhir kali setelah aku berjaya memaksanya bersua denganku.

“Aku temankan kau. Kau kena kuat, Ai. Dia tak layak untuk kau. Bukan kau tak layak untuk dia. Ingat tu,” pujuk Yanti namun aku sekadar menerimanya di angin lalu saja. Mendengar, mengangguk namun tidak berbekas di hati.

Petangnya, seperti dijanjikan, aku melangkah perlahan bersama Yanti menuju ke tempat yang dijanjikan. Adha nampak susut bila aku melihat tubuhnya. Berminggu aku tidak bersua dengannya, dia bagaikan orang lain. Benar dia orang lain sudah bagiku. Bukan lagi milikku. Bukan lagi pemilik cinta ini.

“Adha,” seruku lembut.

Dia berpaling lantas bangkit membetulkan topi di kepalanya. Menutup sedikit wajah yang agak cengkung dan pucat itu.

“Dah sampai?” tanya dia dingin.

Aku angguk. “Maaf lambat sikit.”

“Tak apa ni pertemuan terakhir kita. Jadi, saya sanggup tunggu,” jawab dia bagaikan belati yang membelah hati.

Aku ketap bibir menahan rasa. Mata ini mendongak ke langit tiba-tiba bertahan agar tidak hujan sebelum waktunya.

“Maaf sekali lagi. Tapi, saya nak pulang ni je.” Aku hulurkan beg kertas itu padanya. Dia menyambutnya lalu melihat ke dalam dan tersenyum sinis.

“Akhirnya… cinta bukan milik kita,” ucap dia perlahan.

Sebab kamu yang memintanya begitu, Adha. Sebab kamu. Tekan hatiku geram.

“Okeylah, kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu. Ada appointment ni. Nanti lewat pulak,” pintanya hendak berlalu dan pantas dia menapak hendak meninggalkanku sebelum aku memanggil dia semula.

“Saya nampak awak macam tak sihat?” tanyaku prihatin.

Dia menggeleng. “Rasanya tanpa awak saya akan lebih sihat. Thanks, Aidilia. Assalamualaikum,” ucap dia senada lantas menapak pantas biarpun tubuh itu nampak kian lemah.

Bila Adha menjauh dan terus menghilang di dalam perut Honda Civic miliknya, aku terduduk sendiri. Tangis ini aku hamburkan semahuku. Biarpun hebat Yanti memujuk, aku tetap mahu menangis.

“Jangan macam ni, Ai. Kena kuat. Kau kena kuat. Mari aku hantar kau balik,” ajak Yanti lantas dia memapah aku menapak kerana aku sendiri sudah tiada daya yang tersisa.

Malam itu, ibu ada disisi. Jari manisku yang pernah tersarung dengan cincin pemberian Adha dielusnya lembut. Ayah hanya mendiamkan diri. Langsung tidak berkutik melainkan ada keluhan sesekali yang dia lepaskan.

“Ai okey?” tanya ibu.

Aku gariskan senyuman dan mengangguk. “InsyaAllah, Ai okey.”

Bening mata ibu berair. Semakin lama semakin galak hingga akhirnya titisan airmata itu menitis laju.

“Ai tak okey. Ai bohong ibu.”

“Habis tu, apa yang Ai perlu buat sekarang kecuali katakan yang Ai okey, bu. Ai terima segalanya kehendak Allah. Ini yang terbaik dan ibu patut bersyukur sebab Ai tak ditinggalkan sesama Ai bergelar isteri dia. Ai masih hak ibu dan ayah, kan?” Aku pandang keduanya silih berganti bersama airmata yang kembali berjuraian dipipi.

Lelahnya jasadku kala berkata yang aku baik-baik saja. Aku menipu. Aku berbohong tentang hakikat.

“Ibu tak tahu nak kata apa lagi, nak.” Lantas, ibu menarik kepalaku dan memelukku erat lalu dia kucup dahiku lama.

“Yakinlah, Ai… apa yang telah terjadi ni adalah yang terbaik untuk Ai. Jangan menyesal jangan merungut,” pesan ibu penuh makna biarpun aku hanya mampu menebak makna yang tersurat sahaja.

***

AKU larikan tetikus pada skrin monitor. Lukisan kerja ini aku perlu siapkan secepat mungkin. Bukanlah tugasanku sebenarnya tapi tugasan Yanti. Sengaja aku menyibukkan diri agar nama itu tidak hadir mengangguku setelah hampir dua minggu aku memaksa diriku tersenyum dan melupakan dia.

Andai jari manis ini masih terhias indah, lusa adalah hari bahagia kami. Aku pandang jari manisku. Ada kesan cincin di situ. Bagaikan tidak mahu hilang biarpun telah kosong. Ada rindu dalam hati tapi aku tak mampu akui. Saat hati ini menyeru nama dia, telefonku menjerit nyaring membuatkan aku tersentak sendiri.

“Siapa, ya?” tanyaku sopan bila nombor itu tidak pernah kulihat.

“Ai, ni mama,” akui dia. Aku bingung sendiri. Mama? Siapa mama?

“Err…”

“Tolong Ai…. Datang jenguk Adha,” pinta dia dalam tangisan. Tubuhku terangkat pantas. Adha? Mama Aniza. Mama Adha.

“Ai dah tak ada apa-apa dengan Adha lagi. Ai tak boleh nak jumpa dia lagi,” tolakku perlahan.

“Ai datanglah Ai. Adha dekat SJMC ni. Kali ni je Ai. Dia tak sudah-sudah sebut nama Ai. Tolong Ai. Tolong dia,” rayu mama Adha lagi.

Mendengarkan perkataan SJMC itu membuatkan aku tidak berfikir panjang. Rasa bagaikan telahan aku tepat sebelum ni. Bagaikan Adha menyembunyikan sesuatu. Bicara dia agak pelik sebelum kami berpisah. Ada makna di sebaliknya yang aku tidak mengerti.

Kaki ini pantas melangkah tanpa menghiraukan panggilan Yanti yang sedang berlari mengejar.

“Kau nak pergi mana, Ai?”

“SJMC, Yan. Adha ada kat sana. Aku tak sedap hati.”

“Dia yang tinggalkan kau, Ai. Tak payahlah pergi,” larang Yanti.

Aku menggeleng. “Mama dia call tadi. Aku dapat rasa Adha tak sihat. Adha perlukan aku. Aku pergi sebagai seorang kawan je, Yan. Cakap pada bos, aku ada hal urgent.”

Belum sempat aku melangkah, Yanti menahan lagi. “Aku hantarkan.”

Dan aku terus mengangguk. Perjalanan yang terlalu dekat ini kurasakan terlalu jauh pula. Dengan kesesakan lalu lintas yang agak luar biasa hari ini membuatkan aku tidak betah duduk. Rasa hendak keluar dari kereta Yanti dan berlari kepada Adha.

Akhirnya kami tiba di pintu SJMC. Setelah Yanti meletakkan kenderaannya, kami pantas berlari ke arah kaunter pertanyaan dan setelah nombor bilik yang menempatkan Adha diberitahu, aku terus laju menuju ke sana.

Kala pintu kuketuk dan aku tolak dari luar, wajah sugul kedua orang tua Adha terbias di mataku. Mamanya langsung memelukku erat.

“Adha kenapa?” tanyaku sedih melihatkan tubuh itu semakin susut dan pucat. Rambutnya juga semakin menipis. Wayar berselirat sana sini.

“Ha bohong kita, Ai. Sampai hati Adha buat kita macam ni, Ai,” adu mama lirih.

Bahunya aku tolak lalu aku renung mata yang bengkak dan sembab itu. “Apa yang jadi ni?”

“Mama tak pernah tahu yang Ha sakit. Bila kanser paru-paru dia dah sampai ke tahap kritikal dan dia pitam di rumah semalam, barulah kami tahu semua ni, Ai. Padanlah dia nak putuskan pertunangan kamu berdua sebab dia tahu dia tak mampu hidup lama lagi.”

Pengakuan mama membuatkan aku membulatkan mataku. Membiarkan airmataku menitis dan terus menitis buat ke sekian kalinya kerana lelaki ini.

“Tapi… kenapa dia tak bagi tahu kita dari dulu?” tanyaku dengan suara yang serak.

“Kata doktor, Adha minta dirahsiakan. Pasal Ai pulak, dia ingat dia masih mampu diubati sebab dia rasa, masih di peringkat awal. Dia usaha jalani kimoterapi sendiri. Dalam pada dia tak jumpa Ai sebelum ni, dia kerap kali di hospital sebab dia nak sembuh Ai. Tapi, nampaknya, tiada rezeki untuk dia. Apa mama nak buat ni, Ai?” tanya mama padaku.

Aku menggeleng tidak tahu. Entah apa yang perlu aku katakan hendak memujuk dia sedangkan hati ini sudah tidak lagi mampu kupujuk. Aku kelu. Bahuku aku tolak sedikit. Kakiku maju ke arah katil Adha.

Aku sedar beberapa perubahan dalam dirinya. Padanlah dahi itu sentiasa merenik dengan peluh kecil. Padanlah dia sentiada terbatuk dan memegang dadanya. Padanlah dia tekad melukakan hatiku.

“Awak memang jahat, Adha,” ucapku pada dia bila aku duduk di sisi katilnya.

“Awak kedekut!” tekanku lagi. Suara ini tenang biarpun airmata bertali arus tak mampu aku sekat lagi.

Kelopak mata itu terangkat tiba-tiba dan dia tersenyum. “Ai ingat saja tidur ke sampai Ai kata saya macam-macam tu?” tanya dia lemah.

Dadanya berombak tenang. Sesekali dia terbatuk kasar, ada darah merah yang menghiasi bibirnya. Hendak kuseka, aku masih belum sah untuk dia lalu aku biarkan saja menbiarkan mamanya mengelap untuknya.

Senyumnya aku balas seadanya. “Memang awak jahat, awak kedekut!” tekanku.

“Sebab?” tanya dia tenang.

“Jahat rampas cinta saya. Kedekut sangat sampaikan kepedihan pun awak tak nak kongsi dengan saya. Apatah lagi bahagia. Siapa awak untuk awak nilai kesungguhan cinta saya pada awak, Adha? Awak tak hebat. Hati saya, hanya Allah yang tahu dan Dia katakana, saya mahu telan kepedihan ini bersama awak. Tapi, awak bagi peluang tu untuk saya, kan?”

Dia menggeleng lemah. “Saya tak nak Ai menderita.”

“Saya menderita bila awak tolak saya pergi, Adha. Saya menderita bila awak cuba rampas cinta kita,” pangkasku diselangi esakan.
Aku tahu, mama, abah dan Yanti diam memerhatikan kami dan aku hanya ingin menatap wajah Adha sepuasnya. Wajah yang bukan lagi seperti pertama kali aku tatapnya dulu.

“Maafkan saya, Ai. Andai saya tahu, yang saya tak mampu sembuh, tak berani saya nak jadikan cinta ni milik awak. Milik kita bersama…”

“Dan awak tak tahu, kan? Jadi untuk apa awak nak hukum saya macam ni, Adha. Untuk kali ni saja, saya merayu… kembali pada saya. Jadikan cinta ini milik kita,” rayuku lalu aku ketap bibir agar esakanku tidak meninggi.

“Tapi, saya…”

“Kita bukan Tuhan hendak mengatur takdir sendiri. Kita adalah hamba yang mengikut aturan takdir. Ini takdir kita. Ini takdir cinta kita. Saya untuk awak, Adha. Cinta saya untuk awak. Selamanya akan saya jaga,” ucapku bersungguh-sungguh dan kali ini, aku dapat rasakan, dua orang wanita, mama dan Yanti sedang memelukku. Membawa tangis mereka menyapa telinga.

Lambat-lambat Adha tersenyum dan mengangguk lemah. Beg kertas itu bertukar tangan lagi lalu aku hiasi jari manisku sendiri dengan cincin yang sama juga lalu aku teresak-esak di birai katil Adha meluahkan rasa pedih yang membuku.

***

AYAH dan ibu terdiam bila aku menyoal. Sejak dari tadi, mereka hanya memohon maaf dariku. Padanlah ibu beria mengatakan inilah yang terbaik buatku kerana mereka tahu hakikatnya. Hanya kau yang tersalah menduga.

“Kenapa tak terus terang dengan Ai, bu?”

“Maaf, sayang. Adha yang minta semua ni. Kami pun baru tahu. Kami tak nak Ai bersedih sebab dia. Kami tak nak Ai rasa kehilangan bila Adha pergi,” luah ayah resah.
Aku ketawa halus. Sinis pada diri sendiri. Sampai hati mereka berfikiran demikian. Tidak kenalkah mereka dengan anaknya ini. Aku ada iman, aku kuat.

“Ayah… sesungguhnya segala di dalam dunia ini adalah pinjaman. Harta, ilmu, kehidupan, apatah lagi cinta sesama manusia ni, memang tak akan kekal. Segalanya pinjaman dari Allah. Dia berikan kesempatan untuk kami dan kami mahu hargainya. Kala dia menarik kembali hak-Nya, kami juga redha. Ini yang telah Ai janji dengan Adha waktu pertama kali dia melamar Ai dulu,” luahku dengan tangisan yang kembali menghiasi ruang tamu rumah.

“Untuk ini, Ai nekad, bu… ayah. Ai nak jadikan diri Ai milik Adha. Tadi, dia dah keluar hospital dan esok adalah tarikh nikah kami, kan? Kita ikut seperti yang telah kita rancang kerana Allah juga membenarkan. Tolong ya, bu… ayah?” rayuku.

Ibu menggeleng pantas dalam tangisnya. Ayah mengeluh.

“Ibu tak benarkan, Ai. Ibu tak benarkan!” tekan ibu.
Pantas aku melutut di kaki ibu merayu agar dia merestui kami seadanya kami. Merayu agar dia merestui cinta ini menjadi milik kami biarpun seketika Cuma.

“Tolonglah, bu. Kali ini je Ai merayu. Ayah…” Aku pandang ayah dalam pandangan yang kabur.

Dia diam juga dan memandang ibu lama. “Ayah izinkan dan ayah akan nikahkah kamu berdua seperti yang telah Ai dan Adha rancangkan,” ucap ayah memberi izin lalu ibu terus memelukku erat.

“Ya Allah… Kau kuatkan hati anak kami ini,” doaku ibu dekat di telingaku dan tangisan kami bersahut sahutan namun hatiku memanjatkan syukur tidak sudah-sudah pada yang Esa.

***

LEGA hati bila menerima panggilan telefon dari pada Adha. Aku yang baru saja siap dirias oleh mak andam hanya berdua bersama Yanti saja kala ini. Senyuman Yanti sudah lama mati. Hanya aku yang berbunga-bunga hatinya.

”Ai dah siap?” tanya Adha dihujung talian sambil terbatuk kecil.

Aku ketawa manja. ”Dah. Baru je. Tinggal nak kemaskan baju nikah yang awak hadiahkan tu je,” jawabku.

”Kemaskan? Malam nanti, saya longgarkan pulak,” gurau dia nakal dan dia ketawa lagi dan terbatuk kasar kemudiannya.

Aku senyum di bibir dan hatiku menangis hiba. Berharap agar sempat aku bersamanya melalui malam ini. Seperti yang telah aku janjikan, hendak memaknakan cinta ini buat dia.

”Gatal,ya?” tegurku separuh berbisik.

”Dengan Ai je saya gatal,” balas dia mesra.

”Harap baju tu mudah dibuka malam karang,” sambung dia lagi dan aku sudah sesak nafasnya waktu ini. Menerima gurauan begitu membuatkan aku sudah tidak mampu menggalas rindu.

”Kalau nak buka baju pengantin ni nanti, cepatlah datang. Ai tunggu ni.” Sengaja aku mengusik dia pula.

”On my way. Malam nanti jangan lari pulak,” sela dia lalu talian dimatikan.

Aku pandang telefon itu lama. ”Aku kuat, kan Yan?” tanyaku pada Yanti yang sedang mengemaskan pakaianku.

”Kau kuat. Dan kau sangat cantik, Ai,” jawab dia lalu aku peluk Yanti erat.

***

AKU ukir senyum semampu boleh. Bila aku memandang sekeliling, ibu dan mama sedang menitiskan airmata. Ternyata, mereka sudah lama tewas berbanding aku yang sedang melalui semuanya.

Bila kami bertembung pandang, aku geleng berkali-kali. Memohon pada mereka di dalam diam, agar jangan dirosakkan majlis pernikahanku ini. Airmataku yang sedari tadi menari-nari di tubir mata, aku seka cepat-cepat dengan hujung jari. Tidak mahu menyambut Adha dengan wajah yang dibasahi airmata. Aku mahu nampak cantik di matanya.

”Pengantin lelaki nak masuk batalkan air sembahyang dah ni,” beritahu ayah yang baru saja tiba di ambang pintu.

Aku memperkemaskan duduk. Belakang ini aku tegakkan dan duduk ini penuh dengan tertib. Jantungku dipalu debar yang maha hebat. Lebih hebat saat menerima pengakuan cinta daripada Adha dulu.

”Aidilia, duduk elok-elok sikit,” tegur ibu yang sudah ada di sisiku. Mungkin dia melihat aku agak gelisah.

Kepala ini aku dongak mencari mata ibu yang bengkak. Kemudian terus kutebar pandangan ke seluruh bilik yang dipenuhi sanak saudara yang hendak melihat upacara membatalkan air sembahyang ini.

Sejuk jemariku kala ini. Menggeletar seluruh tubuh. Longgar rasanya sendi bila melihatkan wajah tampan Adha muncul di pintu bersama mama dan abahnya. Tubuh susut itu dipimpin erat oleh kedua ibupadanya. Wajah pucat itu tersenyum dengan bibir yang merekah pucat. Langkahnya longlai.

Bila dia terbatuk, hampir luruh jantungku melihat dia memegang dadanya. Wajahnya berkerut. Aku tahu dia menahan sakit yang hebat. Tubuhku terangkat bila dia hampir jatuh tapi mak lebih pantas menahan bahuku agar duduk saja.

Kali ini, nafasku sudah mengah. Aku sudah tidak mampu menipu diri lagi. Aku sudah tidak mampu menahan airmata ini agar tidak terus menitis. Aku sudah penat menahan tembok kepedihan yang sudah kian meruntuh ini.

Bibirku bergetar melihat matanya yang merenungku. Airmataku mengalir laju dengan anak mata yang terus terpaku pada dia bila dia melangkah sendiri ke arahku yang sedang duduk di birai katil pengantin setelah dia menolak bantuan kedua mama dan abahnya.

Jarak yang hanya beberapa meter saja, rasanya terlalu jauh untuk dia tiba tepat di depanku. Aku pejam mata. Nafas ini, kuhela dalam-dalam. Ya, Allah. Aku tahu. Dan aku dapat rasakan apa yang bakal berlaku. Sedangkan dia juga sama maka aku pohon, kuatkanlah tembok kesabaranku ini, agar aku mampu menghadapinya, doaku tidak putus-putus.

Kali ini, bila aku buka mata, Adha berada tepat di hadapanku. Aku sambut tubuh itu dan membantu dia melutut di depanku. Aku hulurkan jariku kepadanya bila aku lihat jemarinya terketar-ketar hendak meraih jemariku.

Aku pegang jari suam itu membantu dia menyarungkan cincin je jari manisku sebagai tanda aku akan kekal menjadi miliknya.

”Terima kasih sudi terima abang, Aidilia,” ucapnya cukup perlahan.

Kala ini, tiada jurugambar yang sibuk mengabadikan gambar kami kerana aku dan Adha tidak mahu begitu. Segalanya tentang pernikahan kami, akan aku abadikan di dalam jiwa ini buat selamanya. Kerana aku yakin, setiap kali aku pejamkan mata, gambar-gambar ini akan terbias dengan sendiri tanpa aku paksa.

”Sama-sama, abang,” balasku berselang sendu. Hampir putus nafasku kala ini.

Adha mendaratkan tangannya ke ribaku. Kepala itu terdongak merenung anak mataku. Dia senyum tapi aku sudah tidak mampu membalas.

”Hari ini, abang tunaikan janji abang untuk jadikan Ai milik abang yang mutlak. Sah di sisi Allah. Cinta abang hanya untuk Ai. Mungkin hanya seketika di dunia, tapi abang akan bawa sampai ke syurga,” ucapnya berbisik.

Saat ini, hanya tangisan halus yang menghiasi ruangan bilikku. Bilik pengantin yang entah sempat entah tidak aku kongsikan dengan Adha.

”Ai juga cintakan abang. Terima kasih juga sebab sudi tunaikan janji abang pada Ai. Mungkin cinta ini bukan milik kita, kerana Ai yakin cinta kita ni adalah milik Allah dan akan terpelihara sampai akhirnya. Jika Ai hanya mampu jadi milik abang sesaat cuma di dunia ni, Ai akan teguhkan hati, untuk menjaga cinta kita dan menjadi milik abang selamanya di sana nanti.” Aku usap pipinya lembut. Cengkung sungguh. Tiada lagi wajah Adha yang pernah aku kenal.

Kala ini, ibu dan ayah serta mama dan abah Adha sendiri sudah tidak mampu memujuk kami. Masing-masing diam melihat ke arah kami. Membiarkan kami memaknakan cinta kami dengan cara kami sendiri kerana hanya ini saja kesempatan yang kami ada.

Renungan kudus Adha menerobos masuk ke mataku lalu menikam jiwa dan hatiku. Wajah itu tenang biarpun sesekali berkerut menahan kesakitan. Tanpa sedar, aku lihat ada lelelan darah pada hidung mancung miliknya.

”Hidung abang berdarah ni,” ucapku lalu aku lap dengan selendang putih milikku. Adha senyum dan dia juga menyentuh hidungnya dengan hujung jari lalu dia ketawa kecil.

”Ai, kita bawa dia ke hospital,” ajak mama Adha. Aku angguk tapi Adha menghalang.

”Bagi Ha renung Ai kejap, mama. Sekejap je lagi Ha nak tatap wajah pengantin Ha,” ujarnya sedikit berbisik sedangkan aku terus mengalirkan airmata. Pedih melihat wajah yang dikotori darah itu.

Mama terpaksa menerima kedegilan Adha kali ini. Dia terus rebah di dada abah mertuaku. Ibu pula tidak sudah-sudah mengusap kepalaku. Aku dengar esakan mereka semakin jelas dan keras.

”Jangan nangis sayang. Jangan hantar abang pergi dengan tangisan,” pintanya tenang. Aku angguk terpaksa.

Tubuh itu bangkit hendak mengucup dahiku. Aku paut tubuhnya membantu dia bangkit dan bila saja bibirnya sejuk saja singgah di dahiku, aku dapat rasakan ada titisan hangat mengalir menuruni wajahku dan bila aku sapu, ternyata darah merah sedang mengalir dari hidungnya membasahi pakaian putih kami sebagai pengantin.

”Ya Allah, Adha. Ai kita bawa dia ke hospital.” Aku dengar mak menegurku tapi aku bagaikan tidak mampu membalas lagi. Hanya airmataku saja yang mengalir dan terus mengalir.

”Izinkan abang berbaring di riba Ai. Belailah kepala abang, Ai. Usaplah wajah abang kerana kita halal hari ni,” bisiknya dekat ke telingaku bila kucupan kudus itu terlepas.

Aku mengangguk tanpa suara dan dia terus saja meletakkan kepalanya di ribaanku dengan telapak tanganku berada di bibirnya. Digenggam tanpa tenaga lagi.

Kali ini, aku pejam mata rapat-rapat bila merasakan darah merah itu semakin laju mengalir tanpa mampu aku seka. Merah membasahi persalinan kami. Merah membasahi cinta kami. Tangisan semakin kuat gemanya dan aku hanya menahan rasa bila kini, tiada lagi kurasa helaan nafas hangat milik Adha menyapa telapak tanganku. Tiada lagi kurasa detak jantungnya.

Bila mama, abah, ibu dah ayah serta yang lain ingin mendekati, aku tahan dengan telapak tangan yang basah dengan darah suamiku. Sesungguhnya, cinta ini memang bukan milik kami. Aku hela nafas agar lebih teratur dengan rasa pedih yang kian mencengkam.

”Kita bawa Adha ke hospital, Aidilia,” pujuk ayah pula. Wajah sedih mereka langsung tidak aku pandang.

”Tak, yah...” Aku menggeleng.

”Izinkan Ai peluk Abang Adha kali ni je, yah,” ujarku dengan bibir yang bergetar hebat. Perlahan-lahan aku rebahkan dadaku ke atas kepala Adha yang ada di ribaan. Memeluk tubuh kurus itu erat.

”Pergilah, abang. Pergilah bawa seluruh jiwa Ai bersama abang. Nantikan Ai di pintu syurga,” bisikku dekat di telinga Adha yang ternyata sudah tidak bernyawa setelah aku bisikkan kalimah syahadah di cuping telinganya.

Kini, dia pergi setelah menunaikan janjinya padaku. Akhirnya, tangan yang memegang pehaku terkulai ke permaidani dan kala ini, hanya jeritan semua kudengar mengiringi pemergian Adha pada hari pernikahan kami.

”Sekali lagi Ai tegaskan. Cinta bukan milik kita di dunia ni tapi Ai akan jaga cinta kita sampai ke alam sana. Ai hanya mampu menjadi milik abang di dunia ini sesaat cuma tapi Ai akan pastikan Ai akan jadi hak abang selamanya di akhirat sana,” ucapku dengan suara yang tertahan-tahan, memaksa diri ini menerima ketentuan Ilahi kerana kasih sayangku tidak mampu mengatasi kasih sayang Allah pada Ahmad Adha.

Dan aku, terus memeluk jasad yang sudah tidak bernyawa yang masih terkulai di ribaku kala ini. Tanpa titisan airmata dan sudah pasti tanpa senyuman juga.

***TAMAT***

Jika kita dibenarkan memilih, sudah pastinya kita mahu memilih bahagia. Tapi, jangan lupa. Dugaan ada di dunia ini. Jika kita tersapa oleh duka dan terus merenggut kasar kebahagiaan milik kita, membawa pergi dia yang kita cinta dan sayangi sepenuh hati, kala ini kembalilah pada takdir kerana kasih sayang serta cinta kita sesama manusia tidak mampu mengatasi kasih sayang Allah pada setiap hamba-Nya.

61 comments:

  1. hang memang suka buat cerita mcm ni....hukhukhukhuk.... Jalan cerita best.
    Benar..dugaan Allah kita x jangka bila dan bagaimana... Allah mmberi ujian n dugaan pd yg mampu mngalasnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tapi manusia kena bersyukur selalu kerana Allah sgt sayangkan hamba2Nya...

      Delete
  2. sdihnya cte nie mglir da air mata nie..mmg kne tbah mghadapi sme nie cz cinta ALLAH je yg kekal

    ReplyDelete
  3. sedih nye...setiap yang dipnjamkan hanyalah sementara..dari dia kita datang dan dari dia kita kembali
    aminn

    ReplyDelete
  4. sob3. :(

    ReplyDelete
  5. memang sukakan buat orang nangis-nangis.....

    ReplyDelete
  6. Ni yang makin jatuh cinta dengan RM ni!!

    ReplyDelete
  7. waa! kenapa suka buat cerita sedih? sebak baca ouh. nanti kalau saya nangis marah pulak hubby saya tu. huhu

    ReplyDelete
  8. cerita kak rehan mmg yg terbaik.... hope ada lagi cerpen yg baru...

    ReplyDelete
  9. RM memang berjaya buat saya nangis...

    ReplyDelete
  10. Asal air mata taknak benti ni??

    ReplyDelete
  11. betol kata rehan..x semua cinta akan berakhir dgn kegembiraan..kadang2 kesedihan dan keperitan adalah realiti hidup sebenar..dan melalui keperitan inilah kta akan temui kegembiraan..

    ReplyDelete
  12. huwwwaaaaaaaaaaa!!! sedeihnyaa! akak jahat! suka seksa hati saya.. cerita best sangat.. congrats akak!

    ReplyDelete
  13. Baca cerpen ni sambil dengar lagu Kisah Hati - Alyah...huhuhu T_T

    ReplyDelete
  14. Aish, sedihlaaa. Awak ni memang tau! hehe.

    ReplyDelete
  15. ooohhhhh....sedihnya dan airmata meleleh2.....

    ReplyDelete
  16. Adoi...RM ni mmg sgt bijak mengolah cerita yg meruntum jiwa.....adoiii......sedih amat....tp sgt respect kat ai..oh ada silap sikit kot tetiba ada nama luqman interframe....

    ReplyDelete
  17. buat smbungn RM.. buat AI jumpa cinta baru...

    ReplyDelete
  18. warrgghhh.... Sedihnya.... Teringat saat terakhir ayah menghembuskan nafasnya... Mengalir juga airmata yg disekat setelah sekian lamanya...

    ReplyDelete
  19. adohai...sedih giler...phm hati seorg isteri.. citer best..tahniah...

    ReplyDelete
  20. best2..rasa sentap je hati bc cerpen ni...

    ReplyDelete
  21. terbaik la walaupun sad ending...:D

    ReplyDelete
  22. haaa! kn kta nk sgt RM wt cerpen. Skali tembak! dush kuar air mata tnpa hnti. whatever best! sy rs nk cubit2 jek pipi RM kiri knn cz bgi sy bzir air mata. huhuhu gurau jek.

    ReplyDelete
  23. habis tisu kat rmah sye...........
    tapi kak rm memang terbaik
    ngis x habis lagi ni

    ReplyDelete
  24. speechless..bagaimana hendak menghadapi dugaan sebegini hebat, walaupun mencuba tetapi kesannya masih terasa

    -chah husain-

    ReplyDelete
  25. awat rehan buat citer lagu ni..sebak akak..perjalanan hidup adha yg sungguh tragis..awatlah tak khabaq dulu kat keluarga ..at least bolehlah mereka disatukan ..sebelum ajal menjemputnya...

    ReplyDelete
  26. Best.......Tahniah RM...

    ReplyDelete
  27. assalamualaikum akk..bleh x akak send kat saya cerpen2 akak yg ade kat blog nie ngn mini novel..saya nak buat koleksi peribadi saya..saya suke karya akak <3<3<3.tp nak beli saya x mampu lg.saya berharap sangt akak bace komen nie then akak tlg send..

    princess_imah2007@yahoo.com

    -saya menunggu-

    ReplyDelete
  28. Ya Allah,kak Rehan, sedih sangat sangat sangat, seriously :'( Superb!

    ReplyDelete
  29. ya allah...sdihnya cter ni...mmg trbaik lt...xprnah sy bce smpai nk nngis....

    ReplyDelete
  30. RM ~~~~~~~> terbaiklah… walau masih pada naratif lengkungan biasa namun masih akak terkesan akan keluarbiasaannya… Cinta suci itu benar dan takkan pernah lenyap berkubur. Iakan menyelusuri setiap desah setiap helaan. Namun adakala cinta itu tersasar jauh daripada yang berhak dan seringkali cuba dinafikan. Cinta itu nyata hak mutlak DIA selamanya dan buat tautan dua hati ianya sebagaimana yang telah dijanji di Loh Mahfuz. :-) Psst… kena suruh Syaima belajar dengan Aidilia ni .. erti sebuah ketabahan menempuh ujian yang pasti takkan melebehi mampu hambaNYA.

    ReplyDelete
  31. Rehan, citer yang best, sedih sngt, tak henti2 air mata ni mengalir..

    ReplyDelete
  32. sedihnya...ni yg xsuka citer sedih2 ni..huhu...

    tp itulah hakikat kehidupan ...

    ::TR::

    ReplyDelete
  33. T___T Best tapi sedih..

    tulips

    ReplyDelete
  34. Tak sabar menanti Syai dari sisi lain.. Pasti manja dan romantis....

    ReplyDelete
  35. saya nak bersama dengan awak untuk 2 masa sahaja..
    now n forever... jadi, biarku setia... menjaga cintamu... selamanya... ngeeee..

    ReplyDelete
  36. Terbaek... Sedih nyer... nukilan RM semuanyer best...

    ReplyDelete
  37. sebak xterkata...
    sesak jantung den, hu3...
    Adha mengigatkan sy kt Bogatt...

    ReplyDelete
  38. akhirnya cinta bukan milik Adha & Adilia..
    TQ rehan..mmg best!

    ** hampir habis tisu sekotak gara2 nak abeskan cerita ni..ya akak mmg cengeng..huhu

    ReplyDelete
  39. Huwaaaaaaaaaaaaaaaa, sedih gila-gila, tangkap leleh dah ni ... sob .. sob T_T

    ReplyDelete
  40. rehan mmg suka buat cerita sedih.. huwargh....

    ReplyDelete
  41. sedih gler. kak RM jangan la buat citer sedih lagi. kang emo seminggu. hukhukhuk T.T

    ReplyDelete
  42. huhuhu... sedihnyee :(

    ReplyDelete
  43. Assalam RM, mmg sadis citer nikh. Kak harap RM bley teruskan citer ni n novelkan..sambungkan kisah Ai yg tragis di hari pernikahannya. Mgkin ramai yg tidak meminati kisah2 sedih, tp dlm kehidupan pun tak semuanya indah2 belaka kan..kak suka sgt...yg pasti..mmg mengalirkan ayormate...isk..iskk...mmg superb!!!

    ReplyDelete
  44. sedihnya... huhuhu.. amat bermakna skali.. biar sesaat cuma di dunia tp selamanya di akhirat sana. good job writer krn berjaya membuatkn pembacanya di buai kesedihan... hehehe... sob3...

    ReplyDelete
  45. Sedeynye.. Meleleh air mata ni..

    ReplyDelete
  46. Sy baca dgn wajah yg lencun! sobsobsobb..

    ReplyDelete
  47. PURE LOVE WILL STAY ALIVE FOREVER

    ReplyDelete
  48. Permulaan jalan cerita da cun..sampai at petengahan cerita makin rumit keadaan emo sye.nak mkan pon terus x jd coz terlalu khusuk sngat naktaw ending dy. Bila da smp tahap maksima cerita tuh,perasaan jd x tentu arah.sbb dalam mase sama sye ade prob ngan my boy.dy ni care sngat,wat ape jerk sye asal kan sye bahagia.tp syea jerk confuse sbb sye tkot dalam ape yg dy wat dy akan meragut perasaan sye,sye selalu marah dy,selalu merajok ngan dy wlopon dy x bnyak wat slah..syg mx mf abg....
    bila dah nak smpai pengakhiran cerita dngar lak lagu GANJIL aril af7 terus meleleh n specialist cerita ni buat kan aq untok yakin dri aq sendri.jngan cepat berprasangka.sebaiknya,hargainyew ketika dy menyangi kita dan ketika dy mnyanjungi kita...congrate RM n lurve u iman..

    ReplyDelete
  49. akakkkkk RM memang suke buat org tangkap leleh...geram sesangt ngn akk ni tau..bile nk hupdate cerpen baru kak?? gud luck sis

    ReplyDelete
  50. Huaaaa...nak nangiss

    ReplyDelete