Monday, June 04, 2012

Sini, Aku Payungkan Kau! 35


BAB 35

SUNGGUH aku lega bila segalanya telah ditetapkan.  Zikri juga makin pulih.  Sudah nampak kuat hendak melangkah tanpa bantuan lagi.  Hanya tinggal waktu untuk dia kembali bekerja saja.  Nampak sudah agak aktif.
Esok, aku akan ke Kuala Lumpur.  Rasanya sudah sampai masanya aku menjadi pekerja Zaim.  Berada dekat dengan dia setelah pelbagai halangan yang datang merintangi kami.

Zaim juga telah bertolak pulang awal pagi tadi setelah mamanya menelefonnya berkali-kali.  Risau aku dan Zaim berada di bawah satu bumbung.  Biarpun berteman, mama tetap risau dengan darah muda anak terunanya.  Bimbang Zaim tersalah bilik.  Aku ketawa sendiri bila Yuza bercerita. 
“Iqa dah siap berkemas?”  tanya mak saat aku baru keluar dari bilikku. 
Aku angguk dan senyum.  “Dah mak.  Bawa sikit je.  Yang lain beli je kat sana.  Lagipun, Iqa tumpang rumah keluarga Zaim dulu.  Nak cari rumah sewa, mama Zaim tak bagi.  Katanya, dalam seminggu dua lagi dok rumah tu jugak.  Buat penat nak pindah randah,” jawabku pada mak. 
Aku bawa langkahku ke pintu.  Lalu menapak ke arah serambi dan bersandar pada pagar serambi, mengambil angin petang yang kurasakan semakin damai dan nyaman.
“Semalam Zaim cakap tarikh nikah tu pada ayah, mak apa ke?”  Aku menyoal mak yang baru saya rapat di sisiku. 
“Iqa bahagia?”  soal mak pula. 
Aku angguk tanpa memandang mak.  Mata ini aku lemparkan ke arah rumah kampung keluarga Zikri.  Entah di mana dia.  Pagi tadi juga tak sempat Zaim hendak bertemu dengan dia.  Tergesa-gesa pulang ke Kuala Lumpur
“Kalau Iqa bahagia, mak bahagia.  Apa-apa je yang buat Iqa bahagia, mak ikut.  Tapi, sempat ke nak buat persiapan dalam dua minggu ni?” tanya mak. 
Aku ketawa  halus.  “Zaim kata mama dia akan uruskan.  Kita ikut jelah, mak.  Apa yang terbaik buat Iqa dan Zaim, Iqa setuju je,” jawabku lembut lalu aku paut bahu mak. 
Dia angguk.  “Allhamdulillah.  Iqa menghampiri bahagia tapi Zikri tahu kena siapa Zaim dengan bekas tunang dia tu?” 
Pertanyaan mak membuatkan aku terdiam sejenak.  Aku sendiri tidak tahu, harus bagaimana aku bercerita pada Zikri tentang ini.  Risau akan kesihatannya malah risau lagi akan penerimaan dia. 
“Yang tu, Iqa dah cakap dekat Zaim, biar dia cakap sendiri dengan Zikri.  Iqa tak ada kekuatan nak cakap, mak.  Lagipun, bukan salah Zaim dan Iqa yakin yang Zikri mampu terima kalau kata dia tahu, Annesa tu tinggalkan dia sebab Zaim.” 
Mak mengeluh sedikit.  “Mak pun harap macam tu.  Dengan keadaan dia sekarang, risau makin teruk pulak.”
“InsyaAllah, mak.  Allah tahu yang terbaik buat kita semua,” ujarku pada mak lantaran hendak memujuk hatiku sendiri.
Ya Allah, permudahkanlah segalanya.  Aku  yakin dengan percaturan-Mu, lalu bawalah kegembiraan buat kami semua, Ya Allah.  Hati ini tidak putus-putus memanjatkan doa pada Yang Esa, agar dijauhkan segala malapetaka terhadap kami semua.  Sudah letih terduga.  Bimbang aku rebah sebelum waktunya. 
“Kejap lagi Iqa nak jumpa Zikri kejap.  Esok nak bertolak dah.  Saja tanya khabar dan nak sampaikan salam Zaim pada dia,” beritahuku pada mak. 
Mak angguk membenarkan.  “Pergilah.  Mak masuk dulu.  Nak tengok apa ada kat dapur tu.  Kejap lagi ayah balik nak minum petang pulak.”
Aku memandang mak yang sedang menapak ke dalam rumah dan setelah itu, muncul pula wajah Kak Shadirah tersenyum senang.  Langkahnya perlahan maju padaku dan aku terus membalikkan tubuhku dan bersandar pada pagar serambi.
“Hai, kak.  Bahagia nampak,” tegurku. 
Dia angguk.
“Berisi lagi ke?”  Aku bertanya dalam usikan lalu Kak Shadirah menjegilkan matanya. 
“Ni nampak?”  Dia angkat penumbuk dan aku ketawa lepas. 
“Kakak bahagia untuk Iqa.”
“Dan Iqa bahagia untuk diri sendiri jugak,” selaku. 
Kak Shadirah mencemik.  “Moga Iqa terus bahagia. Moga segalanya berjalan lancar, ya?  Kakak nak lihat Iqa senyum.  Biarpun dalam tangisan, Iqa tetap senyum nanti.  Senyum bahagia bukan senyum derita,” pinta dia tenang lalu dia sentuh pipiku lembut. 
Belakang tangannya yang ada di pipiku, aku sapa lembut dan aku genggamnya erat.  Anak matanya bergenang. 
“Doakan Iqa, kak,” bisikku kala aku memeluk tubuh  yang sudah sedikit berisi itu. 
“Untuk Iqa dan Zaim, segalanya.”  Dia membalas penuh emosi dan bila pelukan terlerai, Kak Shadirah mengalirkan airmata. 
“Aduhai… tak sabar nak tengok Iqa pakai baju pengantin ni,” luah dia ceria biarpun ada sendu pada hujung suaranya. 
Aku ketap bibir menahan sebak dan mengangguk.  “Iqa pun tak sabar nak ada macam Rayyan tu,” selaku nakal dan Kak Shadirah mencubit pipiku kuat. 
“Gatal!”
“Zaim mulakan semalam.” 
Pandai aku je menyalahkan Zaim tapi sungguh, kala menatap matanya, aku tahu dia mahukan keluarga sendiri dan aku akan lengkapkan dia dengan apa yang dia perlukan dalam hidup ini. 
“Kak dengar Iqa nak melawat Zikri kejap lagi?”
“Emm… sebelum bertolak esok.  Nak jenguk dia dulu.  Lagipun, Zaim sendiri minta Iqa melawat Zikri bagi pihak dia.”
“Amboi… boleh pulak bagi pihak, ya?  Macamlah mata Zaim tu ada pada Iqa nak suruh Iqa jenguk Zikri bagi pihak dia?”  sinis Kak Shadirah. 
“Eh, memanglah.  Iqa lihat dengan mata, Zaim nampak di hati dia.  Kami ni kongsi segalanya setelah kami akui cinta.  Mata Iqa kurang jelas, hati Zaim terang untuk segalanya.  Bahu Iqa rapuh, kudrat Zaim mampu atasi segalanya.  Jiwa Iqa lesu, cinta Zaim kuat memberi semangat buat Iqa,” jawabku pada Kak Shadirah dan dia kali ini lebih hebat mencebirkan bibirnya. 
“Payah, orang bercinta ni.  Angau!”  cemik dia lantas dia berlalu dalam tawa. 
Aku menggeleng beberapa kali melihat Kak Shadirah yang membebel-bebel padaku dan Zaim.  Dengki la tu!  Tidak lama setelah itu, aku bawa langkahku menuruni anak tangga dan menuju ke rumah keluarga Zikri. 
Bila tiba di hadapan rumahnya, dan salam diberikan, wajah Mak Nab muncul dimuka pintu. 
“Ziki ada, Mak Nah?”  tanyaku. 
Soalan senget sedangkan aku tahu sememangnya Zikri ada di dalam rumah.  Tapi, aku mengerutkan wajah bila Mak Nab menggeleng. 
“Dia ke mana?  Kan tak sihat lagi?”  
“Zikri ke bendang.  Tempat kamu berdua pernah pergi masa kecil-kecil katanya,” jawab Mak Nab agak risau. 
“Angin kuat petang ni.  Kenapa Mak Nab tak larang?  Nanti makin tak sihat pulak dia?”  tanyaku agak resah. 
“Zikri tu, bukan Iqa tak tahu.  Degil dia Iqa je boleh lentur,” ucap Mak Nab dan aku terima saja kata-kata itu sebagai satu pujian buatku kerana mampu memujuk anak lelakinya yang satu itu. 
Senyuman aku hadiahkan buat dia.  “Kalau macam tu, Iqa cari dia kat sanalah, Mak Nab, ya?” 
Penuh hormat aku meminta diri dan bila Mak Nab senyum dan mengangguk, aku melangkah pantas ke arah tempat yang Mak Nab katakan.  Kaki ini melangkah cermat melalui batas-batas bendang yang sedang dihiasi dengan padi yang menghijau.  Masih belum muncul buahnya.  Namun, keindahan liuk lintuk tanaman hijau itu bergerak mengikut arah tiupan angin, benar-benar membuatkan aku tenang dan damai. 
Setelah beberapa ketika, aku mula ternampak susuk tubuh susut milik Zikri yang duduk membelakangiku.  Tepat di bawah pohon kekabu yang pernah menjadi tempat rajuknya dulu.  Tempat yang sama kala aku mengejar dia sewaktu kami berusia 12 tahun dulu. 
“Assalamualaikum.”  Aku menyapa seraya itu, aku labuhkan duduk di sisinya.  Tanpa memandang dia sebaliknya, aku tebarkan pandangan mataku ke arah padi yang menghijau. 
Zikri nampak terperanjat bila aku pandang wajahnya dengan ekor mata.  Dia tersenyum sudahnya dan menguak rambutnya yang sudah agak panjang ke belakang.  Nampak tampan seperti dahulu juga biarpun semakin pucat dan cengkung.   Wajah yang seringkali digilai oleh wanita satu waktu dulu. 
“Ziki buat apa kat sini?”  soalku.
“Ziki yang patut tanya Iqa.  Iqa buat apa kat sini?”  soal dia kembali. 
“Mak Nab kata Ziki kat sini.  Itu yang Iqa datang.  Ziki dah betul-betul sihat ke ni?  Sejuk ni.  Pakai baju nipis je.”  Aku berpaling pada dia memandang tubuh yang hanya dibaluti sehelai t-shirt nipis itu. 
Dia senyum dan terbatuk kecil sedikit.  “Ziki dah sihat.  Tengok Iqa bahagia, insyaAllah Ziki akan terus sihat,” jawab dia. 
“Baguslah macam tu sebab Iqa pun akan bahagia bila Ziki sihat,” selaku pula sekadar memutarbelitkan ayatnya tadi. 
Kami sama-sama ketawa.
“Zaim dah balik, kan?”  tanya Zikri dan aku mengangguk lagi. 
“Dia kirim salam.  Tak sempat jenguk Ziki.  Ada hal kat syarikat dia,” jawabku jujur.  Hal yang dionarkan oleh keluarga Annesa. 
“Waalaikummussalam… Dah tetap tarikh?”  tanya dia lagi. 
“Dah.”  Aku lebarkan senyuman. 
“Bila?” 
“Dua minggu lagi.”
“Tak perlu tunang?”  tanya dia pelik. 
Aku bulatkan mata dan menunjukkan jari manisku pada dia.  “Kami kan dah tunang.  So, kira mudahlah.  Nikah terus.  Zaim yang nak macam tu.  Iqa ikut je mana yang baik.  Lagipun, Zaim dah tua,” jawabku bersama tawa halus.
Sampai hati katakan Zaim tua.  Tapi, rasanya dia matang.  Sangat-sangat matang dan dewasa. 
“Alamak… Ziki lupa.  Korang dah tunang.”  Dia ketawa sudahnya. 
“Dengar kata Iqa nak ke KL esok pagi, kan?”
Aku angguk.  “Mana Ziki tahu?”
“Mak Iqa bagitahu mak Ziki pagi tadi kot,” jawab dia jujur.  Emm… mak.  Memang tak pernah berahsia daripada Mak Nab. 
“Ziki bila nak mula kerja?  Nanti boleh  jumpa dekat KL.”
“InsyaAllah sehari dua lagi kalau dah betul-betul sihat.  Lagipun, Ziki nak hantar surat letak jawatan.  Nak cari kerja tempat lain dah,” ujar dia. 
Aku mengerutkan wajah.  “Kenapa nak letak jawatan?  Bos marah ke Ziki cuti lama-lama?  Ziki kan sakit?”  Aku bersuara risau. 
Dia menggariskan senyuman tipis buatku.  Rambutnya yang dihembus angin, dikuak sekali lagi.  Dia menjeling padaku. 
“Iqa mungkin tak pernah tahu majikan Ziki siapa, kan?” 
Aku diam.  Memang aku tidak pernah tahu tentang sejarah pekerjaannya.  Sekembalinya aku ke Malaysia, Zikri terlantar.  Terlalu banyak hal yang perlu aku fikirkan selain daripada tempat kerjanya. 
“Ziki kan kerja dengan syarikat keluarga Annesa.  Rasanya tak lalu dah nak dok satu bumbung dengan keluarga Annesa,” jelas dia. 
“Ya Allah!”  Aku tekup mulut. 
 “Tak payah terkejut, Iqa.  Ziki tak lalu nak kerja dengan keluarga perempuan macam tu lagi,” ujar Zikri tidak tahu apakah yang bermain di dalam mindaku kini.
Dalam kepalaku, wajah Zaim hadir lagi.  Nama syarikat YZ muncul lagi dalam kepala.  Andainya Zikri tahu salah sebuah syarikat usahasama dengan syarikat keluarga Annesa itu adalah  kepunyaan keluarga Zaim, aku tidak tahu apakah yang patut aku katakan. 
“Tapi kan… Annesa tak kerja dekat situ, kan?” 
“Memang tak.  Tapi dia suka datang menyemak kat syarikat daddy dia tu.  Ziki tak boleh nak tengok rupa dia dan keluarga dia buat sementara ni.  Tak adalah berdendam tapi tipu andai Ziki kata Ziki tak marah.  Yang sudah tu sudahlah, kan?”  Dia memandangku dan aku mengangguk sedikit. 
“Cuma nak pulihkan keadaan tu, agak susah.  Dari Ziki tak happy kerja dekat situ, nak hadap muka daddy dia sepanjang masa, baik Ziki tarik diri.  Rezeki Allah bagi, kan?” 
“Emm… baguslah kalau Ziki fikir macam tu.  Harap Ziki tabah, ya?  Apa yang berlaku adalah yang terbaik buat kita.  Percaturan takdir tu indah.  Seindah nikmat yang Allah berikan.  Macam sekarang, Ziki tak sakit, mungkin kita tak kembali rapat macam dulu.  Kalau Ziki tak tolak Iqa, mesti Iqa tak jumpa Zaim sekarang,” ucapku lembut. 
Dia senyum dan mengangguk.  “Betul dah tu.  Ada hikmatnya.  Cepat atau lambat je.  Hikmat Ziki tak sihat pun sama jugak.  Iqa ambil berat kembali tentang Ziki.  Tapi jangan risau.  Iqa akan kekal dalam hati.  Sebagai kawan dan Zaim juga begitu.  Apa-apa saja Ziki akan korbankan buat dua orang teman baik Ziki nanti,” luah dia ceria. 
“Terima kasih, Ziki,” ucapku.
“Terima kasih kembali buat Iqa dan Zaim sebab sudi ada bersama Ziki biarpun satu waktu dulu, Ziki pernah buang Iqa jauh-jauh,” balasnya. 
“Hal lama, kita lupakan.”  Mata ini aku kedipkan sekali. 
“Jomlah balik.  Dah lewat petang ni.  Iqa pun perlu rehat, kan?  Nanti Ziki nak datang KL, Ziki call Iqa dengan Zaim.  boleh jumpa Iwan dengan Dyla sekali.  Rindu kot.  Lama tak jumpa.  Sebelum diorang kahwin ni, kena lepak sama-sama dulu.  Dulu, kita berempat dan sekarang ni kita berlima.”
“Lima?”  tanyaku pelik.  Hilang resah seketika daripada terus memikirkan hal antara Zaim, Annesa dan Zikri.
“Ziki, Iqa, Iwan, Dyla dan Zaim,” jawabnya lantas dia bangkit dari duduk.  Belakang seluarnya disapu sedikit dan aku juga sama. 
“Zaim ek?”  tanyaku. 
“Tunang Iqa…”
“Kawan baik Ziki,” selaku dan kami ketawa lalu melangkah pulang ke rumah. 
Aku hela nafas lega.  Lega benar-benar lega.  Bagaikan jatuh seketul bahu dari bahuku biarpun aku tak mampu menebak lagi apakah yang bakal terjadi jika segala hal ini terungkai.  Kala itu, aku hanya mahu berserah seperti waktu dulu. 

***

PERJALANAN yang lama itu kurasakan sekejap saja.  Kala terpejam, aku baru saja meninggalkan kampung dan bila mata ini terbuka, wajah Zaim sudah ada di depan mata.  Tersenyum seperti biasa. 
“Penat perjalanan?”  tanya dia lalu mengambil beg galasku dari tangan. 
“Tak…”  Aku menggeleng.
“Tahu kenapa tak penat…”
“Kenapa?”
“Rindu abang, kan?”  tanya dia.  Dengan wajah tak malu dia biasakan dirinya abang.  Tak sabar sungguh.
“Abang?”  tanyaku mengusik. 
Dia angguk.  “Boleh tak?” 
“Zaim bahagia?” 
“Sangat.”
“Kalau macam tu… Iqa panggil abang.  Lagipun sebagai tanda hormat, kan?   Abang dah tua dari Iqa,” usikku membuatkan Zaim menjegilkan matanya. 
“Abang yang tua inilah Iqa dok gila bayang, kan?” sela dia pula. 
“Eh, ye ke Iqa gilakan abang?  Bukan abang ke perangkap Iqa dengan kopi abang tu?  Orang tak nak pun belanja jugak.  Lepas tu orang nak bayar balik, dia minta kopi hand-made kat rumah pulak,”  cemikku.
“Tak lama lagi, Iqa boleh bayar hutang abang.  Abang tunggu nak rasa kopi penuh kasih sayang tu,” bisik dia sedikit sebelum kami sama-sama melangkah menuju ke tempat letak kereta. 
Setelah kami sama-sama masuk ke dalam perut kereta, Zaim menekan pedal minyak dan kereta terus meluncur laju menuju ke rumahnya. 
“Zaim tak kerja hari ni?”  soalku setelah seketika. 
“Zaim ada meeting kat luar tadi.  Itu yang tak masuk pejabat terus.  Datang jemput Iqa dan esok pulaklah masuk office dengan pekerja baru Zaim ni,” jawab dia dan menjeling ke arahku. 
“Tak sabar nak mulakan kerja?  Harap semua masalah tu kita hadapi sama-sama,” pujukku dalam tidak sedar. 
“InsyaAllah akan selesai sikit demi sedikit.  Ada Iqa di sisi abang.  Ada mama dan Yuza, insyaAllah dah cukup buat abang tempuh semua dugaan ni,” jawab dia positif.
Ya, dia memang optimis orangnya.  Segala apa yang terjadi, hanya senyuman yang meniti di bibirnya.  Tak pernah aku dengar keluhan dari celah bibirnya melainkan ucapan syukur saja.   
“Iqa betul nak masuk kerja esok ni?”  tanya dia kemudiannya. 
Aku angguk.  “Kenapa?” 
“Tak adalah.  Abang suka kalau Iqa masuk kerja cepat-cepat.  Kot-kot nak mengamuk kat pejabat, terus tak jadi tengok wajah bakal isteri sendiri.  Tapi, kot-kotlah Iqa nak buat persiapan nikah kita nanti,” ujar dia. 
“Kan abang kata mama abang nak siapkan semuanya?” 
“Memanglah yang lain tu mama uruskan.  Cumanya, hal kita ni… persalinan, cincin… itu kena cari sendiri.  Kenduri dengan hantaran je mama uruskan nanti,” terang dia. 
“Oh…”  AKu angguk berkali-kali.
“Kalau tu je, sempat je kita pergi masa rehat ke, hujung minggu ke?  Tapi, Iqa lupa kita nak nikah dua minggu lagi.  Kalau macam tu, baik Iqa masuk pejabat lepas nikah.  Sekarang ni, boleh tolong mama dulu,” ucapku lebih pada diri sendiri.
“Amboi!”  tekan Zaim tiba-tiba,
“Boleh dia kata lupa nak nikah?  Habis tu Iqa ingat apa kalau tak ingat tarikh nikah sendiri?”  Dia tersengih mesra. 
“Ingat Rayyan,” jawabku tiba-tiba bila tak tahu jawapan yang harus aku utarakan padanya.
Zaim meledakkan tawa.  Sampaikan dia menepuk-nepuk stereng keretanya.  Wajah tampan itu aku pandang.  Nampak penat namun cerianya dia, membuatkan aku yakin dia bahagia denganku. 
“Kenapa gelak kuat pulak?  Mati hati nanti baru tahu,” ujarku sedikit geram dengannya.
“Hati abang tak akan mati untuk Iqa biarpun abang mati dulu sebelum Iqa.  Hati abang akan hidup demi cinta kita.  Abang hidup selamanya menemani Iqa,” gumam dia sedikit. 
Aku senyum.  “Kalau hati abang hidup, abang juga akan ada bersama Iqa, kan?”  tanyaku. 
Dia senyum.  “InsyaAllah tapi abang lucu bila Iqa jawab ingat Rayyan.  Bukan apa, rasanya Iqa bukan ingat Rayyan tapi Iqa ingat anak-anak Iqa dengan abang, kan?  Dok fikir bakal zuriat kita nanti, ya tak?”  tanya dia mengusik.
Aku mencebirkan bibir.  “Mana ada,” dalihku sedangkan itu juga menjadi sebab aku menyebut nama Rayyan.  Rasa bagaikan tidak sabar hendak punyai anak-anak bersamanya. 
“Ada, kan?”  tanya dia tidak puas hati.
“Kalau ada?” 
“Kalau ada nanti abang hadiahkan Iqa dengan anak-anak tak lama lagi,” ujarnya bertambah nakal. 
“Nakal la sekarang, kan?”  cemikku.
Dia senyum.  “Lelaki, yang.  Baik macam mana pun, rasa itu satu tu je.  Dan haruslah dengan yang halal untuk digauli,” jawabnya tenang dan kemudiannya dia terus tenang memandu. 
Aku tersenyum malu.  Dalam hati ini, aku menjerit bahagia.  Syukur, Ya Allah.  Sebak juga mencengkam hati tiba-tiba.  Begitu terduga bertahun dulu, hadirnya Zaim membawa bahagia biarpun agak sukar pada mulanya. 
Muncungku keluar tanpa kuduga dalam pada menahan sebak di dada.  Andai dia halal buatku, benar aku mahu memeluknya.  Seperti mana dia ucapkan padaku sewaktu dia menyambutku di KLIA dulu. 
“Iqa…,” seru Zaim lembut. 
“Ya…”
“Tarik muncung tu.  Jangan buat bibir macam tu sekarang ni,” tegur dia. 
“Eh, kenapa pulak?” 
“Buat muncung macam tu bila kita dah sah nanti.  Masa tu tahulah abang nak bagi hilang muncung tu,” selanya lantas dia ketawa lagi.
“Amboi!”  tekanku bersama gigi yang aku ketap kuat. 
Zaim terus ketawa dan ketawa.  

~~> bersambung

Cik Penulis : Lama tak bersambung, kan?  Harap masih tak lupa pada SAPK.. lepas ni kena konsisten sikit update novel..maaf2..baca komen maaf atas kekurangan.

36 comments:

  1. i luv u la sis.. syg sgt kat zaim n iqa.. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. sokong zaim!! xnak zikri.. ngehngehngeh

      Delete
    2. betul2..nak zaim n iqa....apa kate biar ziki ngan yuza....ok gak.....

      Delete
    3. betul tu klu ziki ngan yuza pun ok gak sorang degil sorang gila2 ok sgt2....hehhehe...

      Delete
  2. berbaloi tunggu lama2..hihi..
    mmg terbaiklah citer RM..
    nak lagi lagi..dan lagi..hihi
    demandnye saye..

    ReplyDelete
  3. hey hey hey SAPK is back. best ika n zaim. mcm mn kalo ziki tau ttg anissa n story dia yg gilakan zaim then tggalkan ziki? x sbr nk bc chapter strusnya.

    ReplyDelete
  4. waaa rindunya lama tak update! besttttt2!

    ReplyDelete
  5. Haha akhir sapk kuar dr persembunyian. X sbr nk ngs ngan zaim n iqa hihihi

    ReplyDelete
  6. ruby muksan redsJune 4, 2012 at 8:19 AM

    so sweet..

    ReplyDelete
  7. waaaaaaaaa sgt teruja ble bukak je page de en3 ni,.sgt lme tgu cite ni keke,.mekaseh cik writer muahmuahmuah keke

    ReplyDelete
  8. hahhaha..sweettttt ye..dah nak kawin dah.
    makin nakal la zaim nie

    ReplyDelete
  9. x sbr nak zaim n iqa kawen...

    ReplyDelete
  10. Memang rindu sesangat SAPK!!!!!#^_^

    ReplyDelete
  11. baca tang zaim nakal, teringat pulak dekat abang zafran tuh.. ngeeee.. tp ziki makin positif.. kesian pulak kat mamat tuh.. =p

    ReplyDelete
  12. suke suke ..... walaupun berjanggut menunggu akhirnya! x sabar laak rasanya nak menunggu Iqa dan Zaim disatukan

    ReplyDelete
  13. tak kan lupa novel ne sbb nak tahu kelanjutannya.. huhu.. keep it up..

    ReplyDelete
  14. rasa mcm terharu je n3 ni..arap2 jadi lak ye cik ann diaorg kwin nti..xmau mcm TK..curiga pd isteri sndri..arap2 zaim xcam tu..jgn la iqa n zikri..xsuka tau

    ReplyDelete
  15. rindunya dgn cite ni dah lm sgt x update...sweet sgt bila tgk dia org dah ok...lps ni x sbr tgu zaim n ika kawin...

    ReplyDelete
  16. Akhirnya terubat rindu....
    x sabar nak tunggu Zaim dengan Ika kahwin.... tentu Ika comel kan....

    ReplyDelete
  17. tlg jgn matikan watak zaim.ayat2 zaim mcm menghala ke situ.tlg eh rehan jgn bagi zaim mati.biarla iqa bahagia ngan zaim.ziki bahagia ngan yuza.haha (arneza)

    ReplyDelete
  18. wah best!!!!!!!!! lma x bca nvel nie smpai tlupa ckit wtk2 2 hehe

    ReplyDelete
  19. kak RM,nak SAPK 36 Boleh?

    ReplyDelete
  20. tak sabar nak tunggu n3 seterusnya....cepat la sikit...heheheh

    ReplyDelete
  21. sambung la lagu kak RM.... x sabar nak baca pengakhiran cte nihhh!!~~

    ReplyDelete
  22. kak cite ni mmg dah x update ke??

    ReplyDelete
  23. sambung lah lg cite nie... sangat2 menarik.. bila lah zaim nie nk nihak.... lm bebeno nk nikah.. cm2 peristiwa jd.....

    ReplyDelete
  24. sambungla cepattt
    x sabar nk taw ending juga
    hehehe.peace!!

    ReplyDelete
  25. bila nk sambung ni?? x sabar nk tau selanjutnya

    ReplyDelete
  26. sambungan please!!! harap2 iqa n zaim happy.. jgn la ending nnt kawin ngan zikri jugak

    ReplyDelete
  27. penat jari mencari sambungan,,,takdak titik pun..mcm cerita bisakah...RM jangan buat diriku sasau...mintak sangat dua cerita ni ada titik penyudahnya,,,kalau diterbitkan pun akan ku cari sampai ke hujung dunia...selagi bernyawa...

    ReplyDelete
  28. RM..ape kesudahan citer ni..sambung la..rindu kt zaim n iqa..

    ReplyDelete
  29. RM..plz smbung citer ni..publish la..

    ReplyDelete
  30. pliz jgn matikan watak zaim...kalo konflik2 tu xpe la..ksian iqa nnt..xnak ending ngn ziki..

    ReplyDelete