PIPI aku ditepuk
orang. Cukup perlahan. Disertakan dengan tepukan lembut pada pipi
aku yang aku yakin sudah lebam kesan tamparan dua orang lelaki dan ketukan kuat
pada dahi. Menyengat sakitnya waktu ini.
“Siapa?” tanyaku perlahan.
Aku cuba buka mata yang
kurasakan cukup berat. Aku cuba juga
mengangkat tubuh tapi tak berdaya.
“Awak okey?” Suara itu menyoal lagi.
“Kau… si… sia…
pa?” tanyaku dalam susah payah.
“Nine,” jawab dia.
Serta-merta mata aku
terbuka luas biarpun tak mampu aku angkat kelopak mata pada asalnya.
“Nine? Awak buat apa kat sini? Macam mana awak boleh jumpa saya?” tanyaku ingin tahu dalam keadaan yang sedikit
lemah.
“Syhh…” Nine meletakkan jari telunjukkan tepat di
tengah bibir dia sendiri.
Dia menarik bahu aku
dan tangannya memegang gari yang masih mengikat pergerakan. Kemudian, dia memandang pula wajahku dan
sinar mata itu jatuh tepat pada bibir aku yang lebam.
Ibu jarinya mengelus
lembut hujung bibirku. Matanya nampak
sedikit berair.
“Maafkan saya, Naina…
tak berterus-terang dan dah libatkan awak dalam hal ni. Wajah lebam awak ni…” Kata-kata Nine terhenti seketika sebelum
menyambung.
“… kalau mampu saya
peluk awak sekarang.” Dia menggeleng
kesal.
“Dan saya bersyukur
sebab awak selamat tapi saya marah kenapa awak datang sini, Nine? Kenapa sendiri? Kenapa tak lapor pada pihak berkuasa? Kenapa tak beritahu Amar?”
Nine menggeleng. “Awak tak kenal Neo… kata-katanya bukan
main-main, Naina… saya tak nak dia apa-apakan awak. Saya tak nak awak tercedera segaris pun disebabkan saya tapi tengok awak
sekarang…”
Nine menggeleng
lagi. Kesal melihatkan aku. Tapi aku, melihatkan dia di depan mata kala
ini, sudah mampu membuatkan helaan nafas aku kembali teratur.
“Saya cuai, Nine. Saya yang cuai bukan salah awak,” ucapku agar
Nine tidak terus menerus menyalahkan dirinya.
Nine diam. Dia memusingkan tubuh aku dan cuba melepaskan
tangan aku yang bergari tapi hanya keluhan yang aku dengar akhirnya.
“Kalau saya paksa,
pergelangan tangan awak akan luka teruk.
Boleh jadi ibu jari awak akan patah,” beritahu Nine.
Aku senyum. “Tak apa, Nine… janji terlepas dan saya mampu
berkas Neo. Tarik je tangan saya, tak
apa.”
“Tak boleh. Terlalu berisiko.” Nine menggeleng.
“Kalau macam ni, saya
sukar nak bergerak, Nine…” Seraya itu
aku memandang sekitar ruang.
Nampak bagaikan sebuah
bilik yang dikemas rapi. Persoalannya,
di mana Neo dan orang suruhannya?
Bagaimanakah Nine mampu membolos masuk ke sini? Dari mana dia tahu tempat ini sedangkan aku
sendiri, bila jaga saja masih tidak tahu di manakah lokasi ini.
“Macam mana awak tahu
saya kat sini?” tanyaku.
Nine diam. Matanya melilau ke kiri kanan. Bila aku pandang ke pinggang kirinya, ada
sepucuk pistol terselit di situ.
“Nine, awak ada
senjata…”
“Saya tak ada pilihan,
Naina,” jawab dia pantas.
“Awak kena bangun. Kita kena beredar.” Nine cuba mengangkat aku tapi aku
menahan.
Mahu melepaskan tangan
yang bergari ke bahagian depan agar tidaklah terlalu menghalang langkah.
Aku tarik lutut rapat
ke dada dan membawa punggung aku melepasi tangan yang bergari. Mengesot sedikit demi sedikit. Melembutkan tubuh dan tulang sehabis daya
hingga akhirnya, tangan yang bergari sudah ada di depan, aku senyum.
Nine tersengih
sendiri. “Sakit?” tanya dia sepatah.
Aku menggeleng.
“Macam ni lebih mudah
nak bergerak atau nak mengelak serangan tapi senjata saya tak ada…”
“Cukuplah saya ada
untuk awak, Naina… tak ada senjata pun tak apa sebab saya akan jadi pengadang
untuk awak. Awak tak akan cedera. Yakinlah!”
tekan Nine bersungguh-sungguh.
Melopong juga aku
sesaat dua tapi pantas aku mengangguk bila lengan aku dipaut Nine meminta aku
bangkit. Baru saja kami menapak setapak
dua, daun pintu ditolak dari luar. Nine
pegun. Aku juga.
Cepat-cepat Nine memaut
pinggang aku dan menolak aku berada di belakangnya.
“Apa-apa jadi, awak
tetap duduk belakang saya,” pesan Nine bergumam.
Seraya itu muncul wajah
seorang lelaki. Orang suruhan Neo yang
pertama iaitu Bai.
“Oh, satu kejutan. Bos!!!”
Suaranya menjerit kuat. Tanpa ada
riak terkejut sedikit pun. Seperti telah
menjangka yang Nine pasti ada. Seperti
satu perangkap.
“Oh yeah… aku tahu,
Bai… dia akan datang. Datang selamatkan kekasih
hati. Datang untuk selamatnya nyawa
dia.” Neo bersuara bila muncul dari
balik dinding.
Daun pintu ditendang
kuat. Bai bercekak pinggang. Neo menapak merapati kami dan Nine menolak
tubuh aku agar menapak ke belakang sedikit.
“Kau tak boleh mungkir
janji dengan aku, Neo… kau bermusuh
dengan orang lain, kenapa Naina jadi mangsa.
Kalau kau nak bunuh aku, kau bunuh sekarang tapi aku nak kau lepaskan
Naina!” ucap Nine bertegas.
Neo berdecit dan
menggeleng. Dia melabuhkan duduk di
birai katil dan mendongak pada kami.
Gaya yang sama. Masih dengan
topi yang menutup wajah dan juga cermin
mata hitam yang menyorok separuh wajahnya.
“Aku tak culik dia
untuk semudah itu lepaskan dia pergi, Nine.
Aku tahu kau tak pernah salah.
Tak ada yang salah tentang kau tapi kebencian aku pada kau, itulah yang
membuatkan kau jadi pesalah, Nine dan hari ni… perempuan cantik ni…” Bibir Neo herot lagi dengan senyuman.
“… salah satu kesalahan
kau!” Neo bangkit dan terus mengacukan
pistol tepat ke dahi Nine membuatkan aku terjerit sendiri.
Secara tak sedar, aku
membawa tubuh aku mengadang tubuh Nine.
“Jangan tembak
dia. Jangan apa-apakan kalau kau nak
selamat!” Itulah amaran aku pada Neo
tapi dia ketawa lagi.
“Bai, tengok Bai…
agaknya betullah tanggapan bos yang Nine memang patut mampus sekarang!”
Bai ketawa. “Betul tu, bos. Tembak je!”
giat Bai pada Neo.
“Kau ni kan…” Neo menumbuk bahu Nine yang luka membuatkan
Nine mengaduh kuat.
“Jangan!” Aku cuba menumbuk Neo tapi pergerakan sedikit
terbatas namun kaki kiri pantas naik menendang perut Neo.
Dia terdorong ke
belakang beberapa tapak sebelum kembali menghampiri dan merentap rambut aku
sambil mengacukan pintol itu pada Nine.
“Kau sayang sangat
jantan ni? Sayang sangat ke?” jerit Neo dekat pada telinga aku.
Aku diam tidak
menjawab. Hanya mengerling pada Nine dan
bila Bai menghampiri, satu tumbukan padu dilepaskan pada perut Nine dan Nine
jatuh melutut. Begitu mudah, Bai menarik
rambut Nine membuatkan wajah itu mendongak pada aku dan Neo.
“Jangan apa-apa dia,
Neo. Dia tak sihat sepenuhnya lagi,”
rayu aku pada Neo bila melihatkan ada kesan merah di balik jaket kulit
Nine. Membasahi baju T putih yang
membaluti tubuh dia.
Neo mendekatkan
bibirnya pada telingaku. Dikucup
hangat. Lama. Mata aku pejamkan serapat mungkin. Jijik sungguh dengan perbuatan dia. Andai aku terlepas dari gari ini, akan aku
ajar dia akan erti rasa sakit dalam hati aku.
“Kalau macam tu,
sanggup korbankan diri kau untuk dia?
Jantan tak guna ni? yang tak
pernah kau kenal dia siapa? Jahat ke
baik ke?” gumam Neo hangat.
Aku tahan hati. Jiwa aku bergelodak. Dada aku hampir pecah menahan marah.
“Apa-apa saja, Neo tapi
jangan apa-apa dia,” rayuku sekali lagi tanpa menghiraukan kata-katanya.
“Kau jangan apa-apa
Naina, Neo. Ini antara kau dan aku. Tak ada kena mengena dengan Naina!” tempik Nine cuba melepaskan cengkaman Bai
pada rambutnya.
Nine berusaha. Aku tahu dia cuba berusaha keras biarpun
wajah itu berkerut menahan sakit yang pasti menyengat. Hingga akhirnya, dia berjaya melepaskan
rambutnya daripada cengkaman Bai, tangan Bai dilipat ke belakang. Satu tumbukan dilepaskan tepat ke pipi Bai
sebelum kakinya menendang belakang lutut Bai membuatkan Bai jatuh melutut dan
Nine terus mengacukan muncul pistol tepat di atas kepala Bai.
“Nine, aku…”
Tak beri peluang Bai
bersuara, Nine menghentak hulu pistol tersebut di atas kepala Bai hingga Bai
jatuh terkulai di kakinya. Pitam. Kemudian, pistol itu dihala pula pada Neo.
“Aku boleh bunuh kau
kalau aku mahu, Neo tapi aku bukan pembunuh.
Kau lepaskan Naina dan aku akan lupakan semua ni,” pujuk Nine tapi Neo
hanya senyum.
“Kau berani…”
“Apa saja aku berani
jika bersabit dengan Naina. Apa saja
Neo, termasuk nyawa aku dan jangan paksa aku lepaskan tembakan.”
Saat ini, picu sudah
ditarik. Aku nampak tangan Nine
menggeletar. Ya, menggeletar. Pastilah tak pernah memegang senjata apatah
lagi menghalakan pada sasaran. Wajahnya
nampak pucat.
Terkedu aku dengan
kata-kata Nine. Juring mataku terasa
basah. Tak lepas aku memandang dia yang
nampak gugup.
“Kalau aku mati…” Suara
Neo terhenti di situ.
“Naina akan ikut sama,
Nine,” sambung Neo sambil menolak tubuh aku kuat terarah pada Nine.
Elok saja Nine
menyambut tubuh aku yang terhuyung-hayang ke dalam pelukan dia, kami sama-sama
rebah ke lantai. Neo menapak laju keluar
daripada bilik dan aku dipapah Nine bangkit hendak berlalu juga.
“Nine, saya tak boleh
pergi macam tu je. Neo ada depan
mata. Konco-konco dia juga ada kat sini
dan saya tak akan lepaskan diorang macam tu je,” ujarku pada Nine bila dia
sedang cuba melepaskan pergelangan tangan aku daripada cengkaman gari yang Neo
pakaikan.
Nine merengus. “Ini bukan masa yang tepat, Naina. Awak perlukan bantuan yang lain. Tak mungkin awak mampu uruskan dia sendiri…”
“Saya mampu, Nine…
kalau tangan saya tak digari…”
“Dan Neo dah
pergi!” jerit Nine pada aku.
Nafas lelah dilepaskan
berat. Dia meraup wajahnya berkali-kali
dan mencampakkan gari yang baru saja
berjaya dibuka ke dinding. Aku mengurut
pergelangan tangan aku. sakit, pedih
malah meninggalkan kesan.
“Saya akan kejar
dia. Awak call Tuan Radzi untuk jemput
awak pulang. Saya call Amar minta
bantuan.” Aku tak kalah juga. Malah kaki sudah sedia melangkah tapi
pergelangan tangan direnggut Nine.
Kasar.
“Are you insane?!” herdik Nine kuat.
Aku memandang dia
tajam. Berani dia mengatatakan aku gila?
“Jangan halang saya,
Nine… saya perlu…”
“Mati kat tangan
Neo? Heh, Naina… kalau saya tahu awak
nak bunuh diri kat tangan Neo, saya tak susah payah datang sendiri. Saya tak selamatkan awak. Tak pertaruhkan nyawa saya untuk awak,
Naina. Awak tak mampu buat masa ni,
Naina. Awak perlukan bantuan. Tapi, bukan sekarang. Setidak-tidaknya awak dah boleh cam dia
siapa,” larang Nine keras.
“Tak, awak tak
faham. Dia ada depan saya tadi tapi saya
tak mampu buat apa-apa tapi sekarang saya akan kejar…”
“Jangan jadi bodoh,
Zunaina!” Naina mencekup kedua-dua belah
bahuku. Matanya menyata-nyala menahan
marah.
“Dia sangat bahaya,
Naina…”
“Dan awak tak cakap
pada saya apa yang benar!” tempelak aku
pula.
Bahu aku
dilepaskan. Nine sekali lagi meramas
rambut dia.
“Maaf, Naina. Saya tak nak awak berada dalam keadaan bahaya
macam ni. Niat saya baik tanpa saya
sedar, awak ada tanggungjawab yang nak awak lunaskan. Cumanya, buat masa ni saya merayu, kita
balik… awak buat laporan. Pada saya awak
selamat, dah lebih dari cukup, Naina,” ajak Nine memujuk.
“Tapi, pada saya… saya
tak puas hati bila dia lepas macam tu je.”
“Jangan keras hati,
Naina… awak tak kenal dia…”
“Dan awak beritahu saya
siapa dia dan apa dendam dia pada awak sampaikan dia nak bunuh awak?” cantas aku.
Nine diam. Lama.
“Saya hanya nak yang bahagia saja dengan awak, Naina. Kalau ada yang menderita tu, biarlah saya
sorang je. Saya tak mungkin dan tak akan
libatkan awak.”
Kelu. Aku hilang kata-kata bila Nine sekali lagi
melahirkan rahsia hatinya. Terang lagi
bersuluh yang dia jatuh suka pada aku.
“Ini bukan tempat dan
masa yang sesuai untuk kita bercakap.
Boleh jadi Neo akan kembali. Kita
ke balai dulu. Awak boleh buat report
dan jalankan siasatan kemudiannya.
Tolong, Naina… tolong dengar cakap saya,” pujuk Nine lagi.
Lemah. Terasa longlai melihatkan mata itu redup
merayu. Terasa sebu hatiku merasakan
perhatian seorang lelaki buat pertama kalinya.
Mempertaruhkan nyawa sendiri hanya untuk aku.
“Awak berdarah,”
tegurku menamatkan pertelingkahan kami.
Dia aku dekati. Jaket kulitnya aku tolak ke tepi sedikit tapi
Nine pantas mencekup pergelangan tanganku.
“Awak cedera,” tegur
dia pula.
Aku senyum. Dia mengangguk. “Jangan cedera lagi sebab saya, Naina… saya
tak mampu nak lihat.”
“Dan jangan pertaruhkan
nyawa lagi untuk saya, Nine… saya tak mampu nak lihat.”
Senyuman Nine
melebar. Senyuman hambar dan tawar.
“Untuk awak, Naina…
saya hanya seorang lelaki yang…”
Bibirnya diketap lama.
kata-katanya terputus.
“Arghh…” Ditekannya bahu yang nampak kian berdarah.
“Mari, Nine… saya
dapatkan bantuan,” ajakku seraya memapah tubuh sasa Nine berlalu daripada bilik
itu.
Tiba di kereta milik
Nine, aku dudukkan dia di tempat penumpang dan aku terus mengambil tempat di
bahagian pemandu. Telefon bimbit Nine
aku capai tanpa persetujuan dia. Nombor
Amar aku dail.
“You kat mana,
Naina? Buat I risau?” soal Amar keras.
“Tuan Radzi telefon I…
dia cakap dia telefon you tapi tak sempat cakap, talian putus. Kenapa?
You kat mana? Tak apa-apa
ke? Semalaman I tak dapat kesan you,
Naina. You kat mana? I telefon Pullman pun you tak ada.”
Bertubi-tubi soalan dan
pertanyaan Amar masuk ke telingaku.
Entah mana satu yang harus aku jawab dulu. Melihatkan Nine yang sedang kesakitan, hatiku
luluh.
“I kena culik Amar.”
“What?” Suara Amar memecah
talian. Sangat kuat.
“You kat mana
sekarang? Siapa culik you? You macam
mana? Cedera ke tak?”
“I okey je, Amar. Jangan risau.
Nine tiba tepat pada masanya.
Nine dengan I sekarang. Kami on the way balik. I nak hantar Nine ke hospital dulu. Lepas tu I akan balik buat laporan dekat
HQ. Kita jumpa kat sana nanti,” jawabku
tenang.
“Lokasi you kat mana
sekarang?” soal Amar lagi.
Aku mengilas
sekeliling. “I pun tak pasti tapi macam dekat
pelabuhan. I mark tempat ni untuk kita buat siasatan lanjut tapi sekarang, I nak
memandu.” Talian aku matikan bila Nine membuka mata.
Kami saling
mengerling. Nine senyum. Tangannya ringan terangkat menyentuh telinga
kiriku. Disapunya lama dengan kudrat
yang sedikit lemah.
“Saya rasa nak bunuh
Neo bila dia kucup awak, Naina. Lain
kali kalau dia apa-apakan awak, boleh saya bunuh dia?” Jujur saja soalan Nine pada aku.
Aku ketawa halus. “Tak ada lain kali, Nine… jangan risau. Lain kali tu saya sendiri akan bunuh dia,”
jawabku membawa senyuman tipis pada bibir Nine yang kian pucat.
“Awak mesti banyak
soalan nak tanya pada saya, kan Naina?”
soal Nine.
Aku mengangguk. “Terlalu banyak dan kali ini saya harap awak
bantu saya, bantu pihak polis bagi maklumat pasal Neo. Dia dah terlalu berani. Saya janji, akan tangkap dia. Penjarakan dia,” janjiku pada Nine.
Dia senyum dan
mengangguk. “Setakat yang saya tahu,
saya akan beritahu awak, Naina…”
“Terima kasih,
Nine. Cumanya buat masa sekarang ni,
saya nak tanya awak soalan lain. Tadi
awak cakap awak hanya seorang lelaki yang… yang apa?”
Bibir Nine menggariskan
senyuman.
“Lelaki yang hanya
ingin selalu awak cinta, Naina…,” akui Nine membawa pergi seluruh tenaga aku
yang sememangnya hanya sedikit berbaki.
~~> bersambung
aiyo..sape neo ni?
ReplyDeletenine, byk sgt simpan rahsia...
allapakk!!.. neo tak jantan lah!.. boleh dia blah mcm tu jek bila kwn dia dah tumbang!...
ReplyDeletebanyak rahasia Nine... Naina si Heroin makin penasaran :D
ReplyDeleteNine....
ReplyDeleteNine... sanggup jadi penghadang dan perisai pada naina. adoi, ade lagi zaman sekarang ke ni? lalala
ReplyDeletealahai.. neo ni sape ye... sian nine...
ReplyDeletemcm mana nine blh jmpa?
ReplyDeletenine ke bos yg neo ckp 2???
musykil ni...
kak RM..
tlg jawab...(^_^)
wallah...tbaikla rm...
ReplyDeleteBkn Nain boss yg Neo ckp tuh. Tpi kn dia org mgkin penah gaduh cz smlm kn Neo kta tmpt biasa. Lg pn kn dia ada ckp kt bai yg ptut la boss suh kta bunuh nain. Ini menunjukkan Neo n konco2 dia ada dendam dgn Nain n Tn. Benjamin. Tpi cayalah Nain! sggup pertaruhkn nyawa utk Naina. Cpt smbung ya, RM...
ReplyDeletealaaaaaaa..kenape sikit jer n3 nie...x puas laaaa...esok Kak RM ade n3 baru..
ReplyDeletesob..sob...touche nyerrr...
ReplyDeletewow bestnye.... x sabar nak tunggu next n3 :)
ReplyDeletebest,, rm please n3
ReplyDeletewow bestnya nak lg.
ReplyDeletesiapakah Neo ..sebenarnya dan apakah kaitan antara mereka bedua sehingga berlaku sengketa yg tiada penghujungnya..
ReplyDeleteHuhu berdebar2 nk tau sape nine dan sape neo sbnrnya... Mcm tba2 syak neo adlh amar plak heheheh3
ReplyDeletewalaweh..... nine sweet gila brader... :D pengsan seminet.... :D
ReplyDelete-Syira Azmi-
Blog ni tak mesra mobile la. Susah nak baca huhu.. Cik writer tlg buat sesuatu agar sy mudah baca melalui ipad
ReplyDeletenk lgi kak RM..best la
ReplyDeletekenapa lama sangat brek? smbgla lg
ReplyDelete