Thursday, May 29, 2014

Setelah Dia... Hanya Kamu


Cp. 1

AIRMATA dah terasa kering.  Dah tak mengalir.  Dah tandus gersang pipi gebunya.  Pucat lesi.  Tapi, bibir merah kering itu masih mampu ukir senyum biarpun serangan peluru berpandu daripada mulut mak bertubi-tubi menerjah telinga. 

“Apa mak nak jawab ni, Teja?  Macam mana mak nak hadap orang kampung ni, Teja oii?!!”   Puan Fatimah terduduk.  Akhirnya dia yang menangis melihatkan ketenangan pada wajah anak tunggalnya.
Dahlah anak seorang.  Dihantar belajar jauh ke Canterbury Christchurch dalam bidang TeSL.  Anak yang tak pernah bantah kata orang tua.  Anak yang mengikut saja apa yang dia dan suaminya mahu selama mana pada Teja itu tak menongkah ajaran Islam.  Tapi, begini sudahnya nasib Teja.  Ibu mana mampu terima.  Suami dia jangan cakap.  Dah tak berhenti geleng kepala tanpa suara. 
“Mak tanya Teja, lagilah Teja tak tahu, mak.  Bukan Teja nak semua ni jadi.  Tak ada siapa minta mak.  Dia pun tak minta benda ni jadi.  Kita semua tak minta ini jadi...”  Rendah perlahan Teja menjawab. 
Selain terima, apa lagi pilihan yang dia ada.  Dia tak dididik untuk persoalkan semua yang telah berlaku.  Dia tak dididik untuk menelah apa yang bakal terjadi.  Dia hanya mampu merancang.  Tapi, terlukanya hati bila ayah dan mak menangis kerana dia.  Sungguh.  Hati dia cedera parah. 
“Lagipun, biarlah jelah mak dengan orang kampung. Jiran-jiran semua.  Diorang tak tahu apa yang kita rasa.  Dalam hidup kita ni, mak... cukuplah Allah.  Dia akan lindung aib kita selama mana kita ada dengan dia dan sabar menerima ketentuan.  Mak dan ayah juga yang ajar Teja tentang hal ni daripada kecik.  Benda dah sebati dalam diri.  Tak ada apa yang Teja nak persoalkan jauh sekali nak salahkan  mak ayah...”  Dipandang ayah yang sedang melemparkan pandangan jauh ke tengah laman. 
Teja mengesot mendekat pada mak yang sedang bersimpuh.  Sesekali dibetulkan tudungnya yang ditiup angin yang menerjah ke serambi.  “Sungguh mak.  Teja tak salahkan sesiapa...”  Tangan mak digenggam kemas.  Sekali lagi dia berkalih pada ayah. “Ayah kena terima semua ni.  Teja masih ada dengan ayah...”
Barulah Mahmud Shah berpaling pada anaknya.  Tersenyum tawar.  Teja memang anak yang baik.  Yang dia banggakan tapi sekarang menjadi buah mulut orang.  Apa daya hendak menghalang.


Cp. 2

APA pun jadi, hidup perlu diteruskan.  Semalam tak semestinya sama dengan hari ini tapi hari semalam tak mungkin dilupakan biarpun hari ini adalah hari baru.  Dia giat pujuk hati.  Bukan salah aku.  Bukan salah mak ayah.  Bukan salah sesiapa.  Ini kehendak Tuhan. 
Nak tak nak, dia kena masuk kerja jugak dan seperti biasa mulut-mulut bising sentiasa menyoal itu ini.  Kenapa, mengapa, bagaimana.  Tak akan pernah lelah.  Apalah daya.  Dia hanya mampu senyum dan berharap didoakan yang baik-baik saja. Tapi, manusia... yang buruk itulah yang suka diperkatakan. 
“Dengar kata, Teja tak jadi kahwin?  Sungguh ke?”  Soalan tu memang boleh buat dia bernanah telinga.  Tapi, sabarlah hati. 
Dia senyum tipis.  Angguk sekali.  “Tak ada jodoh, kak...”  Mata tetap menatap kertas di depan mata untuk diperiksa.  Tugas sebagai pendidik.  Beginilah. 
Cikgu Shila tak puas hati.  Mahu dikorek asbabnya.  “Kenapa ni, Teja?  Kau tak berkenan dekat dia ke?” 
Sah, memang orang sedang tuding jadi pada dia.  Dia  yang dipersalahkan.  Teja geleng kepala.  “Kalau tak berkenan dekat dia, saya tak tunang dah dengan dia, Kak Shila...”  Lembut Teja menjawab. Masyarakat... suka sangat salahkan wanita andai apa-apa yang buruk terjadi.  Ya dia akui.  Wanita ini mudah terpalit fitnah.  Laluan utama lelaki ke neraka jika tak kena gaya. 
“Betul  jugak tu...”  Cikgu Shila termenung seketika.  “Tapi, kan...”  Masih tak puas hati rupanya.  “...apa salah kau dia batalkan semua ni.  Patutnya semalam la, kan?” 
Teja angguk.  Ya, semalam hari terakhir cuti persekolahan dan dia pun dah mohon cuti untuk dua minggu tapi tak ada guna di rumah bila segalanya tak seperti  yang dirancang. 
 “Tak tahulah apa salah saya, kak.  Taqyudin hantar orang tua dia. Lepas tu, saya pun tak call dia.  Itu keputusan dia.  Mesti dia dah fikir baik buruknya.  Saya tak pertikaikan langsung...” 
“Senangnya kau cakap, Teja. Kalau akak, tak datang dah sekolah... malu!”  Pedih ayat Cikgu Shila menujah telinga.
Teja pejam mata beberapa saat.  Allah... ini ujian. Ujian untuk aku tewaskan.  Dengan penuh rasa kesabaran.  “Sebab saya bukan Kak Shila dan Kak Shila bukan sayalah, baru saya terima segalanya dengan hati terbuka.  Saya balik dulu.  Assalamualaikum...”  Teja bangkit.  Mengambil beg.  Dah siap nak balik.  Petang ni ada usrah lagi dengan mak dan kawan-kawan mak yang lain.  Pertama kali dia nak ikut. 
Biar masanya terisi dengan perkara berfaedah.  Kerana dia bimbang, takut bersendiri terasa kesunyian dalam jiwa dan hati lantas dia persoalkan apa yang dah jadi. 
Dia tak nak!


Cp. 3

PUAN FATIMAH lega bila nampak Teja dah mampu ketawa dan tersenyum.  Pandai bawa diri biarpun berasa di tengah-tengah kawan-kawannya yang dah berusia.  Tolong dia dalam kelas usrah petang tadi.  Ada  yang menyoal tentang kenduri yang dibatalkan.  Tiada jawapan yang tepat melainkan ini kehendak Allah.  Biarlah dia terima juga bila empunya diri reda. 
Namun, di dalam persoalan itu terselit satu permintaan.  Buat beban di dalam hati Puan Fatimah semakin berat.  Dan, permintaan itu dibawa mengadap ke depan wajah lelaki  yang dia cintai.  Encik Mahmud Shah sedang menonton TV. 
   “Awak pandang abang macam tu, macam ada nak cakap menda je, Mah?”  tanya Encik Mahmud Shah pada isterinya. 
Puan Fatimah angguk.  Tapi lidah berat.  Dulu pun dia yang bersungguh sedangkan suaminya nak dengar kehendak Teja sendiri. 
“Cakaplah...”  Dah kenapa berat hati?  Rasa macam hal setahun lalu bila mana pinangan buat Teja datang ke muka pintu.  “Jangan-jangan...”  Tak sempat tamat ayat, isterinya angguk.  Bagai dapat agak telahan suaminya.
Encik Mahmud Shah hela nafas panjang.  Diraup wajahnya.  “Siapa pulak ni?” 
“Kawan dekat usrah saya, bang.  Teja dah kenal tadi.  Yang duduk dekat Sungai Tua tu.  Suami dia tauke perabot.  Syitah...” 
Encik Mahmud Shah menggeleng.  Tak kenal.  Atau pun tak ingat tapi dia tahu dekat Sungai Tua ada seorang tauke perabot yang kaya raya.  Itulah gamaknya. 
“Anak dia dah kenal Teja?” 
Puan Fatimah geleng.  Dia ketap bibir seketika.  Mencari ayat yang sesuai.  Nampak wajah suaminya dengan  jawapan TIDAK!
“Kita bagi dia kenal dululah...”  putus Encik Mahmud Shah bila raut wajah isterinya jelas berharap.  Yalah, Teja dah masuk dua puluh enam tahun sekarang.  Sebagai ayah, dia pun nak anak daranya dinikahkan seawal mungkin tapi jodoh bukan milik mereka.  “Yang penting, bagi tahu Teja dulu...” pesan Encik Mahmud Shah sebelum bangkit dan masuk ke bilik. 
Saat Puan Fatima berpaling nak lihat kelibat suaminya, wajah sayu Teja muncul di balik pintu dapur.  Tanpa senyuman yang pasti, birai mata itu berair. 


Cp. 4

MAK dan ayah bahagia.  Mak dan ayah tak paksa.  Mak dan ayah minta dia fikirkan dulu bukan terus buang.  Dulu juga begitu.  Dia fikir tanpa istikarah.  Hanya keyakinan pada pilihan mak dan ayah.  Silap dia juga tidak bertanya pada Maha Pemilik Hati tentang itu.  Hari ini, dia tak akan buat kesilapan yang sama. 
Teja  buang pandang.  Pertama kali makan dengan seorang lelaki.  Dia akui dia gugup nak-nak lelaki di depannya punyai mata tajam yang menakutkan.  Tak sudah menjeling dia.  Tak sudah menikam bola matanya.  Nampak sangat anak mata itu meliar ke merata wajahnya. 
“Awak nak makan atau nak tengok je makanan tu?”
Teja kerut kening.  Dia pandang lelaki di depan.  Yang sedang menelan makanan.  Kay!  Ya, dia kenal dengan nama Kay.  Nama penuh apa pun tak tahu. 
“Tak nak makan, bayar sendiri.  Saya tak suka belanja orang yang suka membazir ni...” sindir Kay.  “...lagipun,... orang baik, berpelajaran macam awak ni mesti tahu membazir ni tak elok, kan?” Makin pedas dan sinis.  “Perangai syaitan...”  Kay senyum senget.  Dia sua sudu ke mulut. 
Perut lapar.  Mummy paksa dia blind-date segala.  Ingat ini zaman Hang Tuah ke.  Ya, dia akui nama dia kolot dan penuh sejarah.  Dia tak minta pun mummy dan papa namakan dia macam tu.  At least, unique!  Dan mummy dan papa juga unik.  Carikan jodoh macam zaman Sultan Mahmud Shah. 
Dia nampak gadis di depan dia tunjuk menguis pasta dalam pinggan.  Tak kanlah tak makan?  Kata study abroad sampai ke pinggiran UK sana.  Bukan Ulu Klang tapi United Kingdom.  “Tak makan pasta ke apa?”  Kay lap mulut.  Dibawa straw rapat ke bibir. 
Gadis itu geleng.  Bukan tak pernah makan.  Pernah tapi makan dengan awak buat saya hilang selera.  Teja mencebek tapi dalam hati.  Tertib dijaga rapi.
“Kalau makan, cepat sikit.  Saya nak masuk kerja pulak ni...”  Kay teruskan suapan demi suapan. “Lambat masuk kerja nanti, kena buang kerja.  Lagipun dapat gaji tak halal kalau asyik ponteng je.  Esok-esok saya nak bagi awak dengan anak-anak makan apa?”  soal Kay lancar.
Saja nak kenakan si dia di depan mata. 
Teja kerut kening.  Ditelan liur berkali-kali.  Terus dia suap pasta ke mulut.  Dipaksa.  Betul kata Kay, ini rezeki.  Jangan membazir. 
Lepas lima minit, Kay dah mendekat pada dia yang berdiri di depan Selesa Inn.  Membuang pandang ke jalan raya yang mulai sibuk.  Ada satu persoalan dalam kepala.  Ayat terakhir Kay masa mereka masih menjamu selera tadi. 
“Nak balik sendiri atau nak kena hantar ni?”  tanya Kay dingin.  Dia nak cepat.  Dia banyak kerja dekat pejabat.  Itu bukan syarikat keluarga.  Dia kuli dekat situ.  Ini pun terpaksa batal meeting semata-mata nak jumpa dengan... err...
Damn!  Kay tepuk dahi.  Lupa dah nama siapa.  “By the way, nama awak siapa dah?” 
Teja kerut kening.  Tak tahu nama aku? Ehem... dia berdeham pendek.  “Teja...”  Pendek juga jawapannya.
“Macam nama zaman kesultanan Melayu Melaka.  Tun teja...” Kay gelak mengekek.  Lucu. 
“Ya, nama saya Tun Teja...” 
Tawa Kay mati.  “Jangan kata ayahanda awak nama Sultan Mahmud Shah?” 
Giliran Teja pula senyum.  Dia angguk.  “Tun Teja binti Mahmud Shah.  Tapi, bukan sultan pada rakyat jelata.  Tapi dia sultan dalam kerajaan rumah kami.  Sultan pada mak dan saya.  Ada masalah?”
“Jangan kata nama mak awak...”
“Tun Fatimah.  Kenapa?  Pelik?  Nak report polis?”  Teja cuba menahan sabar.  Dia tahu sejak dulu nama dia sekeluarga menjadi pertikaian.  Apa nak dipersoalkan.  Itu hanya nama. 
Glup... Kay langsung telan liur.  “Tak pelik dan tak perlu report polis.”  Ya, nak report buat apa.  Nama dia pun sama zaman. 
“Tak apalah, saya balik sendiri.  Terima kasih belanja makan...”  Teja dah sedia nak berlalu.  Tak jadi dia nak bertanya tentang keputusan Kay dengan niat orang tua mereka. 
“Err... Teja...”  Kay bersuara sedikit terjerit mematikan langkah Teja.  Bila Teja berpaling, dia lemparkan senyuman paling manis tapi wajah Teja sekadar tak beriak.  Dia mengeluh tipis dan melangkah mendekati Teja.  “Tak nak tanya nama saya?”
“Awak, Kay?  Kan?” 
Kay angguk.  “Tu nama glamour.”
“Ada yang tak glamour?”  Sinis. 
Wajah Kay terkulat-kulat dua saat dan setelah itu dia sengih menggaru kepala.  Boleh tahan calon mama ni.  Kata lembut dan pemalu.
“Saya rasa kita berjodoh.  Kita teruskan niat baik orang tua kita...”
Jawapan pada persoalan Teja.  Kay seperti mampu membaca fikirannya.  “Tapi, kenapa tiba-tiba cakap macam tu sedangkan kita baru kenal?  Awak pun tahu kan saya pernah putus tunang tiga hari nak nikah?”  Dia tak nak berselindung.  Dia nak sesiapa saja yang mendampingi tahu segalanya.  Biar tak jadi masalah kelak. 
Kay angguk.  “Mummy saya dah bagitahu...”  Dia jeda.  “...lagipun, saya rasa kita berjodoh.  Sebabnya, kita sezaman...”
Teja kerut kening.  Tak faham. 
“Hai...”  Kay hulurkan tangan nak bersalam.  “...nama saya Kay.  Lekir Asyraf...”  Dia senyum senget.  Tapi, dibalas dengan senyuman senget juga oleh Teja.
“Saya Teja.  Tun Teja.  Dan, tangan tu...”  Teja pandang tangan kasar Kay.  “...belum sampai masanya untuk saya sentuh...”  Dia terus berlalu tanpa berkata sepatah pun.
Senyuman senget Kay patah riuk!

Cp. 5

PERMINTAAN mak dan ayah sekali lagi.  Kali ini tak seperti dulu terus ditunangkan tapi dia temui sedikit keserasian dengan Kay.  Walaupun dia tahu lelaki itu liar dan ganas tapi tidak ke yang ganas dan liar itu boleh dijinakkan jika kena caranya? 
“Mak... ayah...Dia pandang wajah mak dan ayah yang sedang menikmati makan malam.  “...Teja nak cakap sikit ni...” 
Mak dan ayah diam menanti dia menyoal. 
“Tentang anak kawan mak tu... Lekir.”  Teja telan liur.  Berat lidah nak diangkat.  Bimbang perkara berulang kembali.  “...Teja rasa tak elok Teja nak kawan dengan dia lama-lama, mak...” 
“Maksud Teja?”  soal ayah. 
“Teja nak kahwin terus bila ayah dan mak dah dapat tarikh sesuai.  Tak payah tunang.  Cukuplah Teja jumpa dia sekali...” 
“Allah...”  Ayah mengucap panjang.  Tak faham dengan permintaan Teja.  Jika hari tu dia dan isterinya rasa  bersalah.  Sekarang ni Teja sendiri... “Teja dah fikir masak-masak ke?” 
Kepala Teja jatuh beberapa kali.  “Lekir tu tak macam...”  Dia telan liur.  Berat lidah nak sebut nama bekas tunangnya.  Setahun bertunang, hanya dua tiga kali jumpa tapi jujurnya dia jatuh kasih pada Taqyudin.  Tapi, kenapa?  Soalan itu tak pernah temui jawapan.  “Dia tak macam Taqyudin, ayah...” 
Ya, Taqyudin ada agama.  Keluarga baik-baik.  Kay pula nampak berkabus hidupnya.  Jalan hidup yang masih samar-samar mana arah tujuan. 
“Lagipun, Lekir kata dia setuju nak teruskan niat baik orang tua dia.  Teja dah tak kisah.  Dia anak kawan baik mak.  Teja yakin.  Cuma, Teja tak jamin dia tak sentuh Teja sebab tiap kali jumpa pun, dia cuba sentuh tangan, bahu...”  Memang.  Ingat perangai Kay, boleh buat dia hilang sabar.  Mujurlah iman masih bertapak kemas.  Bimbang nanti begitu hebat syaitan berbisik, jatuh terjerumus dia dalam pelukan Kay.  Dan, dia tahu apa niat sebenar mak.
Mengerti dengan apa yang cuba dimaksudkan dengan Teja, Puan Fatimah dan suaminya angguk.  Dia tahu perangai Lekir.  Kerana itu Syitah nak Teja membimbing biarpun anaknya tak begitu alim tapi Teja cukup didikan. 
“Teja dah tahu niat mak?”  Berat hati dia menyoal.
“Lepas jumpa Lekir, Teja dah boleh agak mak...”  Dia senyum. 
Jika ini membawa kebaikan, Allah... permudahkanlah.  Jika ini membawa kebahagiaan... perkenankan, Ya Allah...  hatinya tak sudah membisik nama Allah yang satu. 


Cp. 6

“KENAPA awak terima saya, Teja?” 
“Awak ada jawapan tu, Lekir...” 
Kay senyum senget.  “Tak kan sebab nama kita sezaman?”  Saja mengusik.  Dia perlukan jawapan sebenarnya.  Dia tahu mummy tak cakap perangai dia macam  mana sebenarnya.  Dia takut.  Bimbang gadis ini kesal bila mereka diikat jadi suami-isteri nanti. 
“Sebab niat baik orang tua kita...” jawab Teja perlahan. 
“Itu je?”  Tak puas hati.  Kotlah ada rasa sikit ke.  Dia nak tunjuk wajah bangga ni.  tapi nyata, Teja geleng.  Kay lepaskan nafas lelah. Pendek dan berat. 
“Awak pulak kenapa terima saya sedangkan saya yakin saya ni bukan jenis awak...” 
Memang.  Kay angguk.  Teja langsung bukan jenis dia.  Bertudung litup.  Biarpun berpakaian kasual tapi tetap menutup segalanya.  Tetap tak nampak sedikit lekuk pun.  Buatkan dia semakin bersemangat hendak menerokanya nanti. 
“Sebab awak menantu pilihan mummy dan papa.  Saya sangat sayangkan mummy dan papa biarpun saya ni selalu buat mummy dan papa sakit jiwa...” Kay gelak.  Ya, bukan sekali sejak daripada remaja mummy dan papa turun naik pejabat pengetua, lepas tu jumpa Dekan university kerana perangai hantu dia.  Bukan sekali mak bapak gadis datang tendang pintu rumah. 
“Sayang apa kalau suka buat mummy dan papa awak sakit hati?”  Teja mencebek.  “Tak sayanglah macam tu suka sakitkan hati orang tua.  Kalau sayang, kita jaga hati dia.  Bagi diorang bahagia sementara ada peluang ni...”
“Seperti mana awak buat hingga terima bila ditunangkan dengan orang yang awak tak kenal dulu?  Dan sekarang akan dikahwinkan dengan saya – orang yang juga awak tak  kenal sepenuhnya lagi?”  tempelak Kay. 
Bukan niat dia tapi dia nak Teja tahu tentang dirinya.  Mengenali Teja buat dia rasa sesuatu. Pada hari pertama lagi saat gadis ini menolak salamnya.  Saat gadis ini bersuara yang dia adalah lelaki ajnabi yang masih belum sampai masa untuk disentuh.  Saat itu, dia balik termenung sendiri.  Lantas, dia yakin bersuara pada mummy dan papa.  Teruskan niat meminang Teja.  Tak payah tunang.  Tapi, tak sempat mummy dan papa bawakan niat dia ke rumah keluarga Teja, niat itu terlebih dulu sampai ke rumahnya.  Niat Teja sendiri.  Itu yang buat dia terkejut. 
“Awak tunang dengan bekas tunang awak tu, setahun.  Dengan saya tak sampai sebulan lagi, Teja.  Tapi awak tak nak tunang dan nak kita kahwin terus.  Saya tak kisah sebab saya lelaki.  Tapi awak wanita, Teja.  Awak kena fikir dalam-dalam.  Awak tak kenal lagi siapa saya?”  Kay cuba bagi hint. 
Dia tak baik.  Dia jahat.  Dia ramai teman wanita.  Dia playboy berjaya.  Dia tak solat masa perlu je.  Dia puasa bila dipaksa saja.  Dia tak sesuai untuk Teja tapi rasa di hati  yang masih tak diluahkan pada Teja itu yang merasuk agar dia teruskan niatnya. 
“Masa perkenalan tu bukan sebab untuk kita bahagia, Lekir.  Melainkan doa dan usaha.  Dengan izin Allah kita akan bahagia.  Jika awak nak bahagia.  Jika tidak, kita akan sama-sama menderita.  Lagipun...”  Teja berjeda.  Dia pandang Kay yang langsung tak makan.  Dah terbalik.  Tadi beria ajak dia temankan makan lepas dia habiskan kelas tambahan.  Sanggup ambik cuti.  Tapi, tak makan.  “...saya tahu masa lalu awak, Lekir.  Masa sekarang awak.  Tapi, masa lalu awak bukan hak saya.  Masa sekarang pun bukan lagi hak saya.  insyaALLAh masa depan awak, adalah hak saya.  Awak kongsi dengan saya.  Iman tu tak pernah dapat diwarisi, Lekir.  Iman tu kena cari sendiri dengan usaha sedaya-upaya,” sambung Teja.
Tak dapat dia nak sembunyikan senyumannya.  Hati dia terlalu berbunga.  Sungguh.  Ditemukan dengan Teja secara aturan orang tua, tak apa. Janji hati dia pandai merasa dan Teja sudi menerima. 
“Awak akan ajar saya, kan?”  tanya Kay.
“Awak akan jadi imam saya, kan?” 
Wajah Kay melopong.  Terkejut dengan soalan Teja.  Tapi, lambat-lambat dia mengangguk. 
“Kalau gitu, tak ada apa lagi nak dipersoalkan.  Jika imam buat silap, makmum wajib betulkan...”  Penuh makna ayat itu terluncur. 
Hal lalu Kay biarlah berlalu.  Dia tak kenal Kay masa tu.  Masa sekarang, dia harap Kay berubah kerana masa depan, mudah-mudahan milik mereka. 



Cp. 7

PERSIAPAN dibuat.  Sekali lagi.  Moga ini yang terakhir.  Moga tak berulang lagi.  Sebulan daripada sekarang, jika panjang umurnya, jika bertemu jodohnya, jika ada restu Tuhan... mereka akan disatukan. 
Lepas habis kelas tengah hari itu, Teja menapak perlahan.  Hari ni ayah hantar.  Kereta mak nak guna.  Baru nak berjalan ke arah stesen bas, ada suara menghulurkan salam.  Menghentikan degap jantung sesaat.  Mematikan langkah. 
“Assalamualaikum, Teja...” 
“Waalaikumusalam...”
Teja telan liur.  Dia kaget tapi dikuatkan semangat untuk berkalih.  Dan nyata, wajah itu muncul setelah sekian lama.  Tidak dapat tidak, dia ukir senyum.  Memeluk beg bimbitnya kemas ke dada.  “Datang jemput siapa?”  Soalan berbahasa.  Dia tahu tiada saudara mara Taqyudin di sini. 
Lelaki  itu senyum.  Masih tak berubah pada mata Teja.  Masih lagi nampak tertib dan sopan.  Senyuman itu masih memikat bagai dulu.  Seketika, Teja lupa pada Kay. 
“Jujurnya saya datang jenguk Teja...”
“Saya sihat...”  ujar Teja biarpun tanpa soalan. 
Taqyudin senyum.  Setelah itu masing-masing gelak.  Melihat bening mata Teja, rindu dia resah.  Dia pergi kerana perlu.  Bukan niat nak sakitkan hati Teja.  Jauhkan sekali nak malukan Teja sekeluarga.  Dia buntu kala itu. 
“Teja tak nak tanya kenapa saya buat macam tu dulu?”  soal Taqyudin bila nyata, Teja tak ungkit langsung perkara itu. 
Teja melangkah. Dia menggeleng tipis.  “Buat apa nak tanya, Din.  Benda dah jadi.  Dah lepas.  Bukan boleh patah balik.  Lagipun, bukan salah sesiapa.  Itu ketentuan.  Lantas, untuk apa saya persoalankan?  Betul tak?”  Dia kerling pada Taqyudin yang ada di sisi.  Berjarak setengah meter dengannya. 
Tak seperti Kay.  Setiap kali tak lepas mengambil kesempatan mahu berdiri rapat.  Rimas dia dibuatnya. 
“Teja masih marah saya?” 
Teja geleng.
“Dah maafkan saya?”
Teja angguk.
“Masih sayangkan saya?”
Angguk lagi tapi hanya separuh.  Langkah terpaku mendengar soalan itu.  Dia pandang Taqyudin yang tersenyum.  Tapi, tak mampu nak menggeleng.  Dia ketap bibir.  Dia tak sengaja mengangguk.  Dia terlanjur laku. 
Wajahnya dipalingkan.  Matanya terkebil-kebil.  Wajah Kay menguasai fikiran.  Antara dia dan Kay tiada cinta.  Hanya niat baik orang tua buatkan mereka bersetuju diikat bersama.  Tapi  kini, Taqyudin kembali. 
“Saya nak balik dulu.  Petang ni saya nak keluar dengan mak...”  Teja mohon diri tapi suara Taqyudin sekali lagi menahan. 
“Teja masih sayangkan saya.  Samalah dengan saya.  Saya masih sayangkan Teja...”  Suaranya  yakin.  “...maafkan saya biarpun Teja kata tak marah sebab saya putuskan pertunangan kita.  Saya balik ni, saya nak tebus balik salah saya sebab mungkir janji dengan Teja.  Saya nak nikah dengan Teja.  Tak kisah bila.  Esok, lusa... semua boleh janji Teja setuju...”  jelas dan nyata Taqyudin menyuarakan hasrat.
Ya, dia dah yakin. Jika sebelum ini dia perlu pergi kerana masalah yang tak mahu dia bebankan pada Teja tapi sekarang dia dah yakin, Teja adalah wanita  yang mampu berkongsi segalanya dengan dia.
Teja cuba bertenang.  Tersenyum tipis.  Menjauh beberapa tapak.  “Masa untuk tu dah berlalu, Yudin.  Dah jauh sangat tinggalkan kita.  Kerana perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa lalu biarpun baru sesaat ini masa itu melepasi kita.  Kita tak akan  mampu capainya kembali.  Tak akan.  Maaf, Yudin.  Saya tak boleh terima awak.  Bukan kerana dendam atau apa-apa saja... tapi...”
“Setidak-tidaknya Teja kena tahu apa masalah saya sebelum bagi keputusan tu...”  cantas Taqyudin.  Teja diam.  Dia izinkan Taqyudin bersuara. 
“Seminggu sebelum kita kahwin, saya buat ujian darah.  Tuhan jelah tahu bila doktor kata saya dikesan dengan tanda-tanda awal kanser.  Saya tak nak bebankan Teja biarpun benda tu masih awal.  Saya buntu dan akhirnya saya buat keputusan moga Teja tak rasa terbeban... saya tak nak susahkan sesiapa lebih-lebih lagi isteri saya.  Sekarang pun saya masih dalam proses pemulihan, Teja tapi rindu saya pada Teja buat saya makin lemah.  Saya tahu masa tu saya tak mampu tanpa Teja.  Saya bodoh batalkan semuanya sedangkan saya tahu Teja mampu berkongsi dengan saya.  Saya minta maaf, Teja...”  pinta Taqyudin sayu.
“Kenapa awak buat keputusan sendiri?”  Mendengar cerita itu, Teja ketap bibir sendiri.  Dia terharu bila Taqyudin tak mahu susahkan dia.  Ya, dia sangat terharu. 
“Maaf, Teja.  Saya tak hargai awak...” 
“Dan sekarang bukan masa untuk awak hargai saya, Yudin...”  Namun, tangisan mak dan ayah dan sinis masyarakat tak mampu dia hilangkan daripada kepala. 
Dia berpaling nak berlalu tapi dahinya terlanggar dagu seseorang.  Dia pegang dahi dan mendongak sambil cuba melepaskan pautan pada pinggangnya.
“Seronok nampak sembang?  Sampai tak sedar saya dekat belakang?”  soal Kay setelah lama dia perhatikan Teja dengan seorang lelaki.  Jika nak dibandingkan dengannya, jauh panggang daripada api.  Dia yakin, inilah bekas tunang Teja.  Sama spesis! 
“Kay, lepas...”  Teja cuba menolak tapi pautan Kay pada pinggangnya kian erat dan makin rapat.  Hingga Kay rendahkan wajah, hidung mereka hampir menyentuh.  Ditempat umum.  Berhampiran sekolah.  Jika ternampak oleh kawan-kawan dan pelajar macam mana? 
“Awak kenapa ni, Lekir?!  Tejas biarpun separuh berbisik.
“Boleh saya buktikan sekarang siapa saya dalam hidup awak, Teja?”  tanya Kay dengan nafas yang turun naik laju.
“Kay, lepaskan...”  Pertama kali dia panggil KAY.  Jika tidak, dia akan panggil Lekir.  Teja telan liur.  Kenapa Kay jadi macam ni?  Kay sebelum ni tenang dan suka mengusik. 
Melihatkan perbuatan biadap itu, Taqyudin terus menghampiri.  Diminta dengan baik Kay melepaskan Teja tapi bila Kay menjeling tajam padanya tanpa ada tanda nak lepaskan pinggang Teja, Taqyudin makin hilang sabar.
“Kau jangan buat Teja macam ni.  Tolong jaga maruah dia...” bentak Taqyudin. 
“Oh... tolong jaga maruah?  Habis tu kau selama ni blah macam tu je tinggalkan dia dekat nak nikah, ada kau fikir maruah dia dan keluarga dia?”  soal Kay meninggi.  Dia lepaskan pinggang Teja dan berpaling penuh pada Taqyudin. 
“Itu hal aku dan Teja sendiri dah maafkan.  Kau siapa nak persoalkan lagi?”  soal Taqyudin sedikit gugup. 
“Aku ni bakal suami dia...”
“Dan bakal suami tu masih haram untuk sentuh biarpun seinci kulit bakal isterinya apatah lagi memeluknya,” sampuk Teja dengan wajah merah dan mata yang berair. 
Dia malu di depan Taqyudin.  Dia malu pada yang memandang.  Dia malu diperlakukan begitu.  Dan, dia berlalu meninggalkan dua lelaki itu di situ. 




Cp. 8

MUMMY geleng kepala tak henti.  Abah membebel tak sudah.  “Yang kau pergi peluk dia depan orang tu kenapa?  Tak tahu malu?  Buat perangai lepas kau janji nak berubah, Lekir Asyraf?”  bentak papa garang.
“Kay tak pernah berubah.  Mummy nyesal pinangkan Teja untuk Kay.  Sungguh mummy nak pergi cakap dekat family Teja biar dia batalkan semuanya...”  ugut mummy.
Kay tak gentar.  Dia tahu mummy sekadar mengugut.  “Tak kan mummy nak keluarga Teja lalu benda sama lagi?”  Dia pulak kenakan mummy dalam pada fikiran berkecamuk. 
Dalam pada risau Teja tak jawab panggilannya.  Tak jawab pesanan WhatsAppnya.  SMSnya juga dibiarkan sepi.  Pesanan suara dia yakin, Teja langsung tak akan jawab. 
“Pandai pulak kau menjawab, Lekir!”  Suara abah berdentum.  Dia tunduk semula.  Serabut.  Serabut.  Dua minggu lagi dia akan kahwin tapi Teja senyap sunyi tanpa khabar. 
“Dah tu macam mana ni, mummy?” soalnya resah.  Nak  menjerit pun ada.  Memang dia dah berubah tapi dia marah sangat masa tu.  Nampak Teja gelak mengekek dengan lelaki tu.  Dengan dia, mana ada Teja macam tu.  Teja sekadar senyum dan lepas tu diam. 
“Mummy papa tak nampak macam  mana dia gelak dengan bekas tunang dia tu...”  Kay mencebek.  Sekali ingat, rasa nak cepuk laju-laju tapi suara Teja hari tu mematikan segalanya. Termasuk keegoan. 
“Kot ya pun, ada hak ke kau nak peluk dia selagi tak jadi suami dia?  Ada hak?”  bentak papa semakin baran.
“Kay tahu Kay silap.  Kay nak minta maaf tapi dia tak nak layan.  Kay dah buntu.  Kay memang jahat.  Kay memang salah. Kay memang tak sesuai dengan wanita sebaik Teja.  Lelaki itu jelah yang sesuai dengan dia.  Lelaki baik untuk perempuan baik, kan?”  Dia dah berjauh hati dengan orang tua sendiri.
Kay angkat tubuh.  “Mummy nak sangat putuskan supaya kami tak jadi kahwin, mummy pergilah rumah Teja.  Cakap Kay minta maaf dan moga dia bahagia.  Lagipun, kita janji je.  Tak bertunang atau apa-apa.  Kay tak ada hak...”  Terus dia  berlari naik ke rumah. 
Mummy dan papa... bukan nak bantu tapi buat dia bertambah buntu. 




Cp. 9

KATA mak, itu tanda cemburu dan cemburu ni tandanya sayang lepas dia ceritakan segalanya tentang apa yang dah jadi.  Tentang Taqyudin, tentang Kay yang peluk dia erat-erat.  Gila!  Rasa nak hilang  ingatan!
Tapi, betul ke cemburu tu tanda sayang dan kalau ya, sungguh ke Kay sayangkan dia?  Teja pandang cermin.  Rambut yang lepas bebas langsung tak disikat.  Dibiarkan terbang dihembus kipas yang kuat.  Rasa bersalah pada mulanya pada Kay dan kerana itu dia nak berlalu daripada situ meninggalkan Taqyudin tapi entah bila Kay muncul, dia tak sedar dan perbuatan Kay memang buat dia rasa marah. 
Apatah lagi pengakuan Taqyudin tempoh hari.  Simpati itu tumpah.  Bila mak dan ayah tahu, nampak marah pada Taqyudin dah reda. 
“Teja fikir apa lagi?” soal mak yang muncul di muka pintu. 
Terus teja capai sikat dan disikat rambutnya.  “Tak ada apa, mak.”
“Jangan tipu, mak...”  Puan Fatimah duduk di birai katil.  Menarik tangan Teja dan digenggam kemas.  “Teja sayangkan Taqyudin lagi?” Jujur soalannya.  Nampak Teja resah gelisah setelah perkara itu. 
Perlahan-lahan, Teja angguk.  “Bohong kalau tak, mak...” 
“Mak tak nak paksa Teja dalam apa-apa hal lagi.  Dulu mak minta Teja sambung belajar sampai ke luar Negara.  Mak bangga anak mak pandai.  Tapi, ada masanya mak fikir anak mak tak bahagia.  Sekarang ni, kalau betul Taqyudin ikhlas dan nak balik pada Teja dan Teja sendiri nak pada dia, mak sanggup melutut pada Syitah sekeluarga, batalkan perkahwinan Teja dengan Lekir...” 
Terkedu Teja beberapa saat dengan kata-kata mak.  Perlahan-lahan dia ukir senyum.  Mak sangat memahaminya.  Dipaut tubuh mak.  Erat!  Bila masa terpejam sesaat, bagai terasa susuk tubuh kasar Kay, lantas Teja leraikan pelukan.  Matanya terkebil-kebil lagi.  Mak senyum dan angguk. 
Tahu, keputusan Teja sekarang.  Dan, dia perlu bertemu dengan keluarga Lekir.  Demi bahagia Teja.  Apa saja...




Cp. 10

AIRMATA Kay hampir menitis.  Mummy ke rumah keluarga Teja sungguh.  Mummy batalkan sungguh.  Payah sangat ke nak faham perasaan dia.  Susah sangat nak nak nampak perasaan dia pada Teja?  Jika dia tak nak, mummy tak mampu nak paksa dia akad nikah dengan Teja.  Ini, dia rela.  Tidak ke itu dah cukup menjadi jawapan yang dia cukup sukakan Teja? 
“Allah...”  Kay sujud lama.  Usai menunaikan Asar, papa bawa berita pedih ni.  Teja masih sayangkan bekas tunangnya.  Apa nak kata.  Setitis airmatanya jatuh menyentuh sejadah.  Kemudian, bila dia angkat kepala, wajah mummy ada di depan. 
Sugul!
“Papa dah bagitahu Kay, mummy...”  Dia tak nak dengar buat kali kedua. 
“Kay okey?” 
“Perlu ke Kay terjun bangunan?”  Saja berseloroh nak mengembalikan mood sendiri. 
Mummy gelak.  Dia paut bahu Kay erat.  “Setidak-tidaknya Teja tetap berjasa buat anak mummy kenal Tuhan...” 
Kay angguk perlahan.  Dia sebenarnya masih tak kuat.  Dia masih mencuba.  Dia perlukan Teja sebagai makmumnya dan Teja dah janji dia adalah imam gadis itu.  Tapi, kenapa?
“Padahal dia dah janji nak betulkan Kay jika Kay salah masa jadi imam dia nanti...”
Puan SYitah terkedu dengan suara Kay.  Dia leraikan pelukan.  Direnung mata Kay yang kuyu dan redup.  “Dia cakap gitu?”
Tiada reaksi.  Padanlah Kay sebegini lelah menerima berita ini. 


Cp. 11

TIADA panggilan, tak berhubung.  Rindu itu menyeksakan tapi buat apa nak dihubungi lagi pada wanita yang tak harapkan dia sebagai suami.  Kerja seperti biasa.  Bila ditanya bila nak cuti sempena majlis nikahnya, Kay hanya senyum.  Tergambar di kepala perasaan Teja saat ditanya begini dulu.  Pasti terluka hati kerana dia juga sangat menderita dengan soalan itu. 
Tapi, akhirnya Teja kembali pada lelaki  yang pernah buat dia terluka.  Dia harus sedar, dia bukanlah lelaki penyembuh malah dia adalah lelaki yang dah gores maruah Teja di depan Taqyudin. 
“Bos...”  Suara setiausahanya bergema.   Kay angkat wajah.  “Ada orang nak jumpa dekat lobby.  Sekarang...” 
Kay kerut kening.  “I busy...”
“Dia dah tunggu lama, bos...”
“Dah tu kenapa baru sekarang, you cakap?”  Amarah naik tiba-tiba.  Dia bangkit dengan wajah merah.  Terus berlalu ke lobby di tingkat bawah. 
“Assalamualaikum...”  Dah pandai bagi salam.  “Boleh saya tolong?” 
Gadis itu berpaling.  Tenang.  Tergaris senyuman tipis.  Kay bulat mata.  Senyuman yang sama hadir setelah dia hampir reda terima kekalahan. 
“Waalaikummusalam...”  jawab Teja. 
“Buat apa kat sini?”  Kay pandang sekeliling.  Mana pergi tunang dia?  “Sorang?” 
Teja angguk.  “Bakal suami saya kerja.”  Dia senyum.
Hati Kay terasa digilis lagi.  Tapi, dia senyum saja.  Bukan jodoh.  Bak kata mummy, setidak-tidaknya Teja berjasa juga buat dia berubah sedikit demi sedikit. 
“Saya datang nak jumpa awak, Lekir...”
“Dah tentu.  Ada apa, ya?”  Sopan dia menyoal. 
“Nak bagi kad jemputan...”  Dihulurkan pada Kay.  “Datang nanti...”  Sejak hari tu mereka langsung tak berhubung.  Terpaksalah dia datang ke pejabat Kay. 
“InsyaALLAH...”   Kay menyambutnya.  Sampul warna perak metalik.  Cantik.  Dia selit dalam poket belakang. 
“Kalau gitu, saya balik dulu...”  Teja sekali lagi lemparkan senyuman.  Sesekali melihat gadis itu membetulkan selendang, buat jantung Kay gemuruh. 
“Saya cinta awak, Tun Teja...”  bisiknya seraya mata menghantar Teja berlalu.  “...saya perlukan awak tapi sayang, keperluan awak bukan saya...”  sambung Kay dan dia melangkah naik ke pejabat tanpa berpaling lagi. 




Cp. 12

LEMAH kaki nak memanjat anak tangga.  Ditarik kad yang diselit dalam poket belakang.  Dibuka dengan tangan terketar-ketar.  Diselak perlahan dengan mata terpejam.  Bila matanya terbuka, dia tergelincir satu anak tangga.  Wajah Kay menyeringai menahan sakit.  Rasanya kaki dia terseliuh.  Buku lali dia sakit sangat.  Tapi, gelodak dalam dada mengganas melihatkan  nama yang tertera pada kad tersebut. 
Tuhan... pinjamkan hamba sikit kekuatan...  Kay raup tangan ke wajah.  Dia terus berlari laju menjejaki Teja.  Tak dihirau mata staff yang memandang, dia tak kisah.  Dimatanya dibayangi wajah Teja saja.  Dan, diseberang jalan sana nampak Teja sedang menanti teksi. 
Setiap  kali, dia tak pernah nampak Teja bawa kereta sendiri.  Berhati-hati, Kay melintas jalan raya.  Saat itu, mata mereka bersabung.  Teja ukir senyum.  Dia yakin Kay dah tengok nama dalam kad tersebut yang dia tempah sebulan sudah.  Nama itu tak akan berubah dan pendampingnya juga pastilah orang yang sama. 
Wajah sedih Taqyudin muncul dalam kepala seketika.  Ya, Taqyudin tak salah.  Niat Taqyudin baik kerana tak nak susahkan dia dan dia juga tak akan susahkan Kay sekeluarga.  Jika dia batalkan majlis antara dia dengan Kay, dia pasti melemparkan sakit yang sama pada Kay seperti mana yang pernah dia lalui sewaktu bersama Taqyudin. 
Lagipun, jika dulu Taqyudin rampas hak dia untuk berkongsi suka duka lelaki itu, kenapa sekarang Taqyudin fikir dia mampu berkongsi dengan lelaki yang sudah jauh daripada hatinya?  Dia tak kejam pada Taqyudin, dia cuma mengotakan janji pada Kay.
Lelaki itu berlalu dalam keluhan.  Ya, bila mak tanya – sungguh dia masih sayangkan Taqyudin tapi mak juga harus tahu, dia cintakan Lekir Asyraf.  Dia dah janji nak jadi makmum yang baik pada imam yang seorang ini. 
“Kenapa hinjut jalan?”  soal Teja bila Kay betul-betul depan matanya.  Berpeluh di wajah terik matahari. 
“Jatuh tangga tadi...”  Kay senyum. 
Mata Teja bulat.  Dia nak selak seluar Kay tapi Kay menahan.  “Lelaki ini...”  Dia tepuk dadanya.  “...masih belum sah untuk awak sentuh, Teja...”  Lembut dia mengingatkan Teja.
Teja kerut kening.  Termalu sendiri.  Tindakan spontan.  “Sorry...” 
Kay senyum.  Tahu Teja tak sengaja.  Nampak sangat Teja risaukan dia.  Dan risau ni tanda ambik berat dan bila ambik berat ni tandanya sayang. 
“Kenapa buat surprise macam ni?” 
“Hukuman...”
“Sebab?”
“Awak  ingat awak buat apa dekat saya hari tu?” 
Kay angguk.  Ya, dia terima jika itu hukumannya.  Setidak-tidaknya, Teja tak buang dia terus.  “Saya ingatkan...” 
“Tak...”  Teja mencantas.  “...dia masa lalu.  Seperti mana saya tak nak ambik kisah tentang masa lalu awak, saya harap awak abaikan masa lalu saya.  Masa depan nanti, kita sama-sama usaha,” ujar Teja tersenyum. 
Kay pejam mata lama.  Senyuman Teja, lebih manis berkali ganda hendak dibandingkan dengan gelak tawa dengan Taqyudin hari tu.
Sorry terpeluk awak...” 
“Saya dah maafkan.  TER tu dah tunjukkan yang awak tak sengaja.  Lagipun, saya tahu awak cemburu...”
“Saya tak cemburu...” Laju Kay menjawab. 
“Habis tu?”  tanya Teja.  Telahan mak meleset rupanya.  Kay tak cemburu. 
“Saya jealous...”  Kay gelak.  Teja mencebek lebar.  “Lepas ni nak peluk tak lepas dah...” Saja mengusik.  Suka tengok wajah Teja merah.
“Minggu depan, insyaALLAH...”  ucap Teja.  Tak sampai hati dah nak hampakan Kay. 
Erk...  dia pulak terkena.  Tapi, dadanya  lapang.  Ya, yang sabar itu sentiasa ada kesudahan  yang baik.  “Esok, boleh?”  Masih tak puas mengusik.
“Awak tak cuti lagi, tak boleh nak nikahlah...” balas Teja tenang biarpun dada berdetak kencang.
“Alamak...”  Kay tepuk dahi.  “Saya dah batalkan cuti kahwin saya...”
“Itulah, tak sabar sangat...”  cebek Teja. “Saya balik dulu.  Mohon cuti.  Awak kena rehat.  Saya tahu kat sini...”  Teja tunjuk sisi kepala sendiri.  “... kelam-kabut...”  Dia gelak. 
“Eh, nak balik dengan apa?” 
“Teksi...”
“Kenapa tiap kali tak bawa kereta?  Kan senang...”
“Tak ada lesen...” 
Leh... dia ingat Teja saja tak nak bawa kereta.  Dan lepas ni dia sudi jadi driver Teja seumur hidup.  “Hey, Tun Teja Sultan Mahmud Shah...” 
Teja kalih laju.  Dia jongket kening.  “Tunggu Abang Lekir Ashraf ibni Sultan Alaudin Shah datang nanti,” ujar Kay perlahan.
Buat Teja ketap bibir.  Tak tahan nak gelak.  “InsyaALLAH, wajah Laksamana Lekir.  Jangan lupa bawa empat lagi saudara Laksamana Lekir, ya?”  gurau Teja.
“Tapi, hamba hanya seorang diri tiada saudara-mara...”  Dia buat muka sedih tapi tak lama.  “InsyaALLAH, bakal zuriat kita akan lima bersaudara...”  Terus dihamburkan gelak.
Wajah Teja merah.  Panas dan menahan malu.  Dia terus buka pintu teksi yang kebetulan berhenti.  Dibuka pintu tapi belum sempat masuk, dia sekali lagi berpaling pada Kay.
Ya, dia tak perlukan waktu kerana masa milik Allah.  Diberi sama rata kepada setiap manusia seluruh dunia.  Terserahlah pada masing-masing mahu menjadikan masa itu berharga atau sebaliknya.  Dia dan Taqyudin, berakhir derita tapi tak salah sesiapa.  Dan, Lekir Asyraf hadir sekelip mata dan hati mereka saling mengenal.  Dan, dia tahu setelah Taqyudin, hanya Lekir di dalam hati. 
Rahsia antara dia dan Allah, biarlah kekal dalam istikarahnya setelah pertama kali bersua empat mata dengan Kay. 
Tangannya melambai.  Kelopak mata Kay mengedip.  “Kaki tu tunggu akad nikah, saya urutkan...”  pesan Teja lalu dia masuk ke dalam perut kereta.
Kay ketap bibir.  Dia sengih lebar.  Dan, Teja ajar dia tentang sesuatu.  Tentang halal-haram antara mereka.  Tentang – akad itu tiket untuk bersentuhan dan mengelakkan kemungkaran hubungan adam-hawa. 
Tuhan... halalkan dia untuk aku.


END
29052014  1624

-------------------------

RMsays : Saya dedikasikan karya picisan ini buat diri sendiri yang kerap kali kalah saat bertarung dengan 'dia' yang dipanggil AMARAH!  Moga Allah merahmati kalian.  Take care. :)

67 comments:

  1. seperti biasa.. mmg tak menghampakan... best!!!

    ReplyDelete
  2. best sgtt...karya RM slalu buat air mata sya mengalir..hahahha

    ReplyDelete
  3. Penulisan yg pen uh dgn pegisian, all the best to u RM

    ReplyDelete
  4. Ala akak, nape x smbung smpai dorg kawen?

    ReplyDelete
  5. Ala...nk lg. Belom abis ni... RM, bg SE plezzzzz

    ReplyDelete
  6. haha ..nama zaman dahulu kala dimodenkan ,sangat unik ..:)

    ReplyDelete
  7. wah,,,,,,laksamana Lekir.....
    -sj sab-

    ReplyDelete
  8. eh? 29082014? hehe suka nama yang unik ;)

    ReplyDelete
  9. Speechless...
    Sangat menyentuh perasaan
    Kalau la saya sekuat teja...

    ReplyDelete
  10. Osem!!!!!!!!!alaik!!!!!

    ReplyDelete
  11. Omeigad. Soo sweet.

    ReplyDelete
  12. Ha!!!!!!!! Indahnya cinta diorang

    ReplyDelete
  13. excited gila baca.. dah lama rm xbuat cerpen.. haha.. best!!!!!

    ReplyDelete
  14. Sweet sgt...cinta istikharah..♥♥♥

    ReplyDelete
  15. Best lama blog ni sunyi dri cerpen...

    ReplyDelete
  16. Sentiasa......x mengecewaka.
    kisah lai dan qadr?

    ReplyDelete
  17. best kak :) ... a good reminder too :)

    ReplyDelete
  18. Best akhirnya ada entry dri rm.bergenang airmata tika baca.cerpen ringkas dan padat dgn message. Bila giliran qadr n lai....selamat berkarya...he...

    ReplyDelete
  19. nama klasik..bez

    ReplyDelete
  20. best sangat! rindu karya akk. buat la sambungan sikit. sikit je lagi, lepas dorang kahwin hehe :D

    ReplyDelete
  21. feling sungguh saya.
    *malu sendiri*
    Awesome kak! :)

    ReplyDelete
  22. perghhhhh...dahsyat la k.rehan...suka sgt2....

    ReplyDelete
  23. Terima kasih RM...... rindu sangat dgn ulosan awak.... semoga awak sentiasa sihat dlm lindungannya...... bila buku baru nak keluaq nanti pastinya ramai yg menanti dan teruja sangat

    ReplyDelete
  24. Love ur love stories...which as usual...have something to be learnt by the readers. Go on writing, please!!!

    ReplyDelete
  25. nk lg..blm hbs lg ni..huhu...bgenang jg airmta ni...

    ReplyDelete
  26. Best sgt..kembali ke zmn kesultanan mlayu melaka...hehe

    ReplyDelete
  27. best nyer,.terbaek!!!nk lg.,hehe

    ReplyDelete
  28. Sentiasa sabar menanti bingkisan dari RM. Menanti dan terus menanti kisah kisah yang dicoretkan buat peneman.

    ReplyDelete
  29. RM... always the BEST!!
    please sambung kisah lailatul ;-)

    ReplyDelete
  30. memang besttt... meletop... x semua yang kita sayang tu kita cinta... sayang tu meluas tapi cinta ni terhad...

    ReplyDelete
  31. hakk!! tak lepas senyum nih :D

    ReplyDelete
  32. sayu dan sweet...
    cinta itu memang indah jika halal... =)

    ReplyDelete
  33. Best... so sweet n seperti biasa karya RM x pernah menghampakan.

    ReplyDelete
  34. soooo sweet & byk pengajaran..keep it up kak rehan :)

    ReplyDelete
  35. Pengisian cite yg baek, byk pengajaran. Tahniah Rehan

    ReplyDelete
  36. Wwannurr
    Memang besssttt bangatttt
    Tak mghampakannn

    ReplyDelete
  37. Nukilan RM yang tidak pernah menghampakan & amat dinantikan oleh semua peminat blog ini, terima kaseh...

    ReplyDelete
  38. simple.. tp padat dgn ilmu dan pengajaran.. like it..

    ReplyDelete
  39. Bestttttt.....penuh makna .....suka sgt.....

    ReplyDelete
  40. emm karya yang bersahaja dan mantap...dan buat aku terfikir...ada ke jenis LELAKI INI diliar sana? Nama...memang unik...buat aku terfikir keunikan nama aku sendiri... your story never disappointed me....never...love u RM

    ReplyDelete
  41. Best sgt RM...menyentuh jiwa...

    ReplyDelete
  42. Salam ramadhan...

    ReplyDelete
  43. Dan syukur...
    Saat tergelincir dari landasan..
    Ada yang sudi hulurkan tangan..

    😊😊

    ReplyDelete
  44. Cerita RM tak pernah tak manis.. lepas baca pasti saya tersenyum manis sepanjang hari😍

    ReplyDelete