Friday, May 26, 2023

DIA UNTUK AKU - released!

Secara rasminya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40 pada Tahun 2023 akan bermula hari ini, 26 Mei sehingga 4 Jun di WTCKL.

Semalam baru sempat muatnaik gambar kulit buku. Boleh jadi saya adalah yang paling lambat untuk mempromosikan buku terbaharu saya. Biasalah… sejarah berulang. 🥲Lambat sikit (ya ke lambat sikit?) hantar. Seperti biasa, penerbit buku saya sejak 2012, Penerbit Karyaseni sedang dan sentiasa usahakan yang terbaik.
Penting untuk semua tahu… buku ini belum ada di PBAKL buat masa ni. Harap tenang dan tunggu pengumuman daripada Karyaseni bila stok sampai.
Dengan lafaz bimillahirrahmanirrahim… saya dengan rendah hati mempersembahkan siri trilogi Seseorang Untuk Aku (SUA) dan Takdir Untuk Aku (TUA). Ya, kalian tak salah baca. Ia adalah trilogi yang berbicara tentang TAUFIQ.
Pada yang menanti kisah Taufiq, terimalah…

DIA UNTUK AKU (DUA)
BIARLAH masa sedang menewaskan usianya, Taufiq tidak pernah kisah. Hidupnya mudah. Jika ada, adalah. Jika tidak… tak mengapalah. Melihat teman baik yang sudah bertemu cinta sejati, dia langsung tidak cemburu. Malah, bahagia mereka menjadi bahagianya. Tapi, tidak pada mama.
Dia percaya, restu ibu membawa bahagia, Taufiq akur dan reda menerima wanita yang mama pilih. Dia akan mencintai wanita itu sepenuh hati pada ketika wanita itu menjadi isteri. Namun, kerana dia manusia biasa yang tidak berdaya menduga ketentuan, Taufiq hanya mampu reda bila wanita itu lari meninggalkannya di saat dia sedang berjalan di pelamin penikahan mereka.
Kecewa? Sudah pasti. Apatah lagi melihat maruah keluarga calar dan airmata mama menitis. Hingga satu hari, ketika menemani teman baiknya, Ziyad… dia nampak seorang wanita yang bukan hanya indah pada wajah, tapi juga pada budi pekerti.
“Awak terlalu tualah untuk saya…” – Johanees
“Ada syarat ke orang tua macam saya tak boleh jatuh cinta?” – Taufiq
“Boleh tapi tidak pada saya…” – Johanees
“Saya dah cuba. Tapi, nak buat macam mana. Orang tu masih awak…” – Taufiq
Johanees yakin, Taufiq adalah cinta pertama dan pasti yang terakhir. Tapi, sayang keyakinannya tidak mempunyai asas. Dia perlu tinggalkan lelaki itu demi memenuhi permintaan akhir ayah untuk menerima lelaki yang telah sekian lama mahu dijodohkan untuknya. Kerana itu, Johanees tidak berkelip di saat menyatakan perpisahan.
“Kenapa?” - Taufiq
“Saya bukan perempuan baik…” – Johanees
Jatuh cinta itu mudah. Namun, untuk jatuh cinta pada setiap kekurangan orang yang kita cinta, itu adalah luar biasa. Dan, dia tahu… mengemudi bahtera cinta bersama wanita ini tidak semudah seperti dia kemudi bahtera perang di tengah samudera. Adakah takdir cintanya juga seganas ombak dilautan? Apakah mental dan emosinya utuh bila misi kali ini adalah demi mereka yang tercinta? Taufiq hanya berharap kerana segalanya tidak pernah pasti.
Sekali lagi, buku ini belum ada. Tunggu Karyaseni umumkan. Akan masuk ke semua kedai-kedai buku dan Shopee selepas PBAKL.


Saya akan berada di sana.

28 Mei 2023 (Ahad)
Jam 10.00 pagi - 12.00 tengah hari di Bilik Kelantan, Melaka (Karyaseni)
Jam 2.30 petang - 4.30 petang di ruang Legar kawasan depan Ariani (booth Al-Qawwiy)


Sampai jumpa,
RM

5 comments:

  1. Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Rehan Makhtar.

    ReplyDelete
  2. Tahniah dan terima kasih Rehan Makhtar. Novel pertama dari Rehan Makhtar yang saya beli pada 27/5/2023 adalah Seseorang Untuk Aku (SUA). Terus jatuh cinta dengan karya dan cara penulisan beliau. Bak kata orang, sampai "feeling" nya. TERUSKAN BERKARYA REHAN MAKHTAR ♡!

    ReplyDelete
  3. Rehan tak buka order kali ini? Teringinnya nk peluk DUA.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah tahniah kepada Penulis Rehan Makhtar. Saya sudah membaca novel Dia Untuk Aku dan saya dapati terdapat beberapa kesalahan tatabahasa. Tapi apakah daya, saya mampu tutup mata. Saya harap penerbit boleh check dahulu sebelum jual kepada orang ramai. Sekian terima kasih

    ReplyDelete