MATA
dijulingkan ke atas. Penatnya dengar
pertanyaan macam ni. Kalau dulu, tidaklah
sekerap ini dan tidak juga seperit ini untuk didengar. Tapi sejak abang kahwin, makin menjadi-jadi. Macamlah dia jadi mangsa langkah bendul? Mana ada.
Lagipun, dia juga ikut konsep abangnya.
Tak rushing. Cepat-cepat nak
ke mana?
Benar
usia sedang meningkat. Kawan rapat semua
dah ada anak dua. Dia pula masih sendirian. Seperti langsung tak risau apa-apa. Kenyataannya, memang tak pernah risau pun. Lagipun, jodoh ni kan, kalau belum tiba
waktu… kejarlah pakai F1 pun, tak akan terkejar juga. Andai dah tiba masa, maka larilah selaju arnab
pun, kura-kura juga akan di depan.
“Kenapa
tu?” Mama menegur bila melihat sejak
tadi, wajah anak daranya berkerut.
“Apa yang kenapa?” Tiani terkebil-kebil memandang mama. Terkejut dengan soalan yang tiba-tiba dan dengan kemunculan mama yang pasti. Entah bila mama ada depan mata, tak tahulah.
“Mata
tu ha… sejak tadi mama tengok macam nak juling.
Apa yang tak kena?” Dato’ Talhah
juga turut sama kerutkan kening. Tak
tenang betul dengan budak Tiani ni.
“Tak
ada apalah.” Tiani menafi sambil
mengerdipkan mata beberapa kali. Tak
perasan pulak dia dok julingkan mata sampaikan mama perasan.
Dato’
Talhah memandang wajah Tiani. Jawapan
tak selari dengan riak wajah. Mulutnya
herot ke kiri dan kanan mencari jawapan kenapa budak banyak mulut ni tiba-tiba
aje jadi pendiam beberapa hari ini. Ada
masa lepas balik dari kerja, banyak berkurung dalam bilik. Nak-nak lepas kenduri kahwin Taufiq.
“Kenapa
mama pandang Tia macam tu?” Dia
sengetkan wajah. Memandang mama dengan
ekor mata.
“Tia
dah berubah sejak Abang Fiq kahwin,” komen Dato’ Talhah.
“Mana
ada…” Tiani pantas menafi.
“Tia
dah gemuk ke?” soalnya sambal menepuk pipi.
“Bukanlah
pasal tu. Kalau gemuk kurus ni, mama tak
pernah nak kisah. Tapi, hal lain.” Mama merenung wajah jelita di depan
mata.
Seperti
tak percaya, wajah ini pernah cengkung dan tidak punya perasaan satu ketika
dahulu yang rasanya sudah lama berlalu.
“Tia
macam tak gembira aje sekarang,” komennya, jujur.
“Agaklah
tak gembira. Jarang-jarang boleh jumpa
semua orang. Abang Fiq dah bawa isteri
dia pergi Lumut. Teratai Nur dengan Lailatul
pulak, biasalah sibuk dengan keluarga. Hai…” Tiani tunduk sedikit. Bukan sedih kerana semua orang telah temui
bahagia masing-masing. Tapi, dia
rindu. Itu aje.
“Lagipun,
Abang Fiq tu… kedekut bini!” Dia
mencebek lebar.
Dato’
Talhah yang baru sahaja hirup teh o panas itu, terbatuk kecil. Hampir tersedak dibuatnya dengan kata-kata Tiani.
“Dah
apa cakap abang gitu?” tegur Dato’ Talhah
dengan pandangan tajam.
Tiani
sengih. Seperti biasa, tanpa rasa
bersalah.
“Betullah. Punyalah susah dia nak lepas Nees balik
kampung sendiri. Bukan susah pun. Ada orang ambik. Kita ada kat kampung. Dia punya protective tu, eiiii… Tia riiiiii…
mas...” Tiani sengaja membuat suara
jengkel seraya menyelak rambutnya yang ada dibahu.
Kali
ini, Dato’ Talhah tak boleh tak ketawa. Ada
bau cemburu ni?
“Kenapa? Tia rasa nak kahwin jugak ke? Dah ada calon? Nak mama carikan?”
“Haa…” Tiani redupkan pandangan.
“Tia
tak kuat nak hadap apa yang pernah Abang Fiq lalu. Mama jangan…”
“Apa
pulak cakap macam tu? Ujian orang kan
berbeza,” sela Dato’ Talhah.
“Tapi,
betullah ni. Tia tak nak kahwin? Ada teman sakit demam. Yang boleh jaga Tia. Timang anak…”
“Mama
kan ada. Nanti siapa nak temankan mama
kalau Tia kahwin?” Sebelah keningnya
terjongket dengan senyuman tipis.
Sengaja
dia lentokkan kepala ke bahu mama. Kehangatan
kasih seorang ibu, menjalar ke seluruh jasad.
Wanita ini, tidak pernah berputus asa padanya. Biarpun dia sedang ada dalam kegelapan. Biarlah satu dunia memaki dan
menyalahkan. Wanita ini tabah dan teguh
ada bersamanya.
Sementelah,
siapalah yang mahukan dirinya? Sejarah lalu,
sedalam mana dia timbus, kini sedang timbul sedikit demi sedikit. Kesedihan itu hadir tapi hanya seketika. Dia kembali senyum. Mengangkat wajah dan merenung mama bila
teringatkan sesuatu.
Jika
kawan-kawannya dapat datang datang, biarlah dia aje yang pergi temui
mereka.
“Hari
Isnin dan Selasa cuti hari keputeraan Sultan.
Mama nak kena pergi istana, kan?”
“Hurm…
Tia nak ikut ke? Mama tak RSVP
lagi. Esok kena bagi jawapan. Marilah ikut mama. Jadi plus-one mama. Nak?”
Dato’ Talhah sengih.
Tiani
laju menggeleng. Cukuplah sekali dia
ikut mama untuk hadiri majlis rasmi di istana masa mama ambik anugerah
dulu. Tak nak dah dia. Naik bengkok belakang kerana asyik tegak aje.
“Kenapa
tak nak?” soal Dato’ Talhah sekadar
mengusik. Kerana dia tahu, Tiani tak akan
lagi ikutnya dalam majlis rasmi di istana.
“Siapalah
patik pacal yang hina ini nak ada di istana dengan penuh protokol. Patik bimbang patik menconteng arang ke muka
bonda,” jawab Tiani dengan suara suram.
Dia
kerling mama dan sengih bila mama mencebek.
“Alang-alang
mama ada pergi urusan dekat istana, Tia ingat nak cuti Ahad tu. Apa kata, mama bagi cuti peristiwa. Tia sambung cuti. Nak pergi KL lah. Nak jenguk diorang. Dah rindu sangat…” Tiani sengaja melunakkan suara. Melentoknya kepala pada bahu mama.
“Mana
boleh. Hari cuti lah banyak permintaan stok. Kena hantar.
Jumaat sabtu cuti hari minggu, semua orang nak berkelah. Diorang nak bakar-bakar tepi pantai.”
“Alaa…
mesin jalan macam biasalah. Yang bahagian
tu, bayarlah overtime. Dah lama Tia tak
cuti. Bolehlah mama…” Dia goyang lengan mama.
Dato’
Talhah menyepi seketika. Merenung wajah
anak yang mengharap. Rasanya, ini kali
pertama Tiani nak keluar setelah kejadian culik dulu. Walau nampak kuat, tapi ternyata Tiani lebih
trauma berbanding dengan Johanees, Teratai Nur dan Lailatul. Johanees yang dikatakan hampir setiap malam
itu bermimpi juga, telah sembuh sepenuhnya tak lama setelah melalui sesi
terapi.
Tapi,
Tiani lebih lama rupanya. Biarpun, anak
ini menafi dan sentiasa cerita bila bersama.
Dia dapat rasa, sesuatu tak kena dengan Tiani. Dia perasan sejak sekian lama, Tiani hanya
memerap di rumah. Nak ke pasar malam
dekat hujung jalan pun tak nak dah. Nak keluar
beli aiskrim roti depan rumah pun, tak nak juga. Tak tahulah kenapa? Faktor usia ke? Tapi, dia tak berani nak tanya.
“Yalah…
yalah… mama potong gaji Tia bayar OT diorang semua,” sela mama, bersahaja.
Tiani
sengih. “Nanti Tia mintak extra elaun
dari mama kalau gaji kena potong. Tak
pun mintak dari Abang Fiq…”
“Haa…
jangan kacau abang. Dia dah ada anak
isteri nak kena bagi makan. Tak cukup
nanti duit belanja diorang.”
“Mama
ni…” Tiani mencebek sendiri. Mama pantang betul kalau sebut pasal Abang
Fiq. Membela.
“Abang
Fiq tu nampak aje macam tu. Dia banyak
duit. Kalau tak, tak kan dia beli rumah
dekat KL lagi, dekat Lumut lagi. Bini
dia pun kaya. Yang pasti, mama dia
kaya. Adik dia aje tak cukup duit…” Kala ini, Tiani tayang wajah kesian.
Jujurnya,
dia masih harapkan mama. Malah, bila Abang
Fiq hulur duit, dia tak segan tadah tangan.
Sejenis muka tak malu. Tapi, ikut
oranglah. Itu mama orang dan abang
orang. Bukan orang asing pun.
Kali
ini, Dato’ Talhah ketawa.
“Yalah…
pergilah cuti. Tapi, mama tak boleh ikut
kali ini. Kirim salam semua. Cuma sebelum tu, mama nak tanya ni. Tia kenapa dua tiga hari ni? Bukan mama aje perasan. Semua orang.
Kak Mek pun cakap benda saya.
Macam bukan Tia…”
“Tia
tengah fikir. Perlu ke Tia berhenti
kerja dan cari kerja tempat lain. Atau
Tia pecat pekerja. Mama rasa mana satu
yang sesuai?” soal Tiani bersahaja.
“Eh,
apa jenis soalan tu?” Mata Dato’ Talhah
memicing.
“Dua-dua
mama tak setuju,” jawabnya pantas belumpun sempat mendengar jawapan.
Tiani
lepaskan keluh tipis. Bahunya jatuh.
“Ada
yang mengata Tia lagi ke?”
Tiani
diam. Tunduk. Jelas mengiyakan.
Dato’
Talhah senyum tawar. Sebelum ini, Tiani
kerap merungut bila dengar suara sumbang di pejabat berbicara tentang usianya
yang sudah agak terlajak. Lebih berat,
dikatakan anak dara tua. Lebih
menyakitkan, ada yang sebut tentang sejarah hitam Tiani satu ketika dahulu yang
menjadi asbab anaknya ini tidak disukai oleh sesiapa.
Sebagai
ibu, hatinya sayu. Tiani berjaya harungi
episod hitam itu dengan baik. Jika dia
biarkan Tiani keluar hidup sendiri tanpa bantuannya juga, dia yakin anak ini
mampu hidup dengan baik. Tapi, hanya
kerana dia sudah berusia dan anak sulungnya juga ada kerjaya sendiri, hanya Tiani
sahaja menjadi tempat dia berharap untuk terus menguruskan syarikat yang dia
bangunkan bersama arwah suaminya.
“Nak
kira diorang tak patut pun mengata majikan sendiri. Kalau kata bukan majikan pun, tak baik nak
mengata orang. Cumanya, mulut manusia ni
tak boleh nak tutup. Ada aje bahan nak
mengata. Tapi, kita pun tak bolehlah nak
tutup rezeki diorang hanya sebab tu. Kita
benci perangai seseorang tu, bukan tuan punya badan. Walau kita ada kuasa, tapi bila salah guna
kuasa, itu pun satu dosa juga. Apa kata,
Tia cakap aje dekat sesiapa yang kutuk tu, jangan hakimi orang. Mereka tak lalu apa Tia lalu,” nasihat Dato’
Talhah.
Tiani
angguk. Benar cakap mama. Pekerja itu sekadar bergosip. Kerja masing-masing bagus. Tak adil pula untuk dia buang pekerja
tu. Sementelah pula, mereka dah minta
maaf.
“Tapi,
mama nak tanya sekali lagi. Tia tak rasa
nak kahwin ke?”
Tiani
senyum sendiri. Nak kata dejavu tidak
sebab soalan ini pernah dia dengar tapi soalan ini mama tuju pada Abang
Fiq. Sekarang, dituju pada dia
pulak. Konsisten betul mama.
“Entahlah…” Bahu Tiani terjongket. Tak pasti juga akan kehendak diri.
Jujurnya,
dia selesa sendirian begini. Temani
mama. Tak perlu pening kepala nak
uruskan keluarga. Cuma, dia juga tahu…
keadaan sudah tidak sama. Tiga orang
sahabatnya itu sudah tidak mampu untuk terus ada bersama kerana tanggungjawab
pada keluarga.
Johanees
juga, sejak ikut Abang Fiq ke Lumut, dah jarang boleh jumpa kecuali kalau dia
yang pergi ke sana atau bila Abang Fiq cuti.
“Ada
ke orang nak dekat manusia macam Tia?”
Dia pandang mata mama.
Entah
kenapa, sedih pulak kali ini. Biasa dia
tak kisah pun. Katalah anak dara tua
atau apa. Dia tak peduli. Cuma, bila kisah hitam itu diungkit, hati
rapuh dia retak juga.
“Manusia
macam mana maksud Tia? Cakap dekat
mama? Tia manusia macam mana?” Suara Dato’ Talhah jelas tak selesa dengan kata-kata
anak sendiri.
“Yang
bekas…”
“Cukup
sampai situ!” larang Dato’ Talhah. Tak bagi Tiani teruskan kata. Suaranya keras. Wajahnya jelas nampak tak selesa.
“Tak
ada siapa tahu susah payah Tia pulih.
Tapi, mama tahu. Abang Fiq
tahu. Orang luar tak akan tahu. Kita ni, sebab mama ada nama, ada duit, ada
kedudukan. Orang masih hormat. Kalau kita bukan sesiapa, orang akan pandang
hina pada kita. Apapun, sebab diorang
tak nampak kesusahan Tia masa tu. Orang
tak akan hargai pun. Yang diorang ingat
adalah Tia bekas tu. Ada diorang datang
jumpa dia cakap bangga Tia boleh pulih.
Tak semua yang lalu semua tu berjaya macam Tia dan Teratai. Jadinya, kenapa Tia mesti nak kisah bila orang
cakap macam tu?” Sekali hembus Dato’
Talhah luahkan rasa.
“Lagipun,
tengok Teratai Nur sendiri. Macam mana
setiap kesabaran dia, kecekalan hati dan kekesalan dia Tuhan ganjari. Mama percaya ada juga lelaki untuk Tia yang
akan terima Tia dengan ikhlas walaupun orang dok bisik-bisik pada dia tentang
kisah lalu Tia,” tambahnya lagi.
“Tia
takut dia terima Tia sebab Tia anak mama aje…”
balas Tiani. Bukan nak menafi,
tapi mama sendiri cakap tadi. Hanya
kerana dia anak Dato’ Talhah. Kaya,
berharta dan ada kedudukan dalam masyarakat.
“Mama
tak nafi, akan ada yang macam tu. Tapi,
akan ada juga seorang yang betul-betul Tuhan hantar untuk Tia yang terima Tia
tanpa syarat pun. Boleh jadi dia sendiri
tak tahu kenapa dia suka Tia. Melainkan
dia hanya suka,” pujuk mama lembut.
Tiani
senyum. Tapi, masih tawar.
“Kalau
Tia tak kahwin sampai ke sudah, mama okey ke?”
Dato’
Talhah hampir mengeluh dengan soalan Tiani.
Dia bangkit. Didekati Tiani dan
tangan itu digenggam kemas.
“Mama
okey. Mama tak kisah. Tapi, mama masih harap anak mama ada teman
hidup. Itu aje,” balas Dato’
Talhah.
“Dahlah. Tia jangan fikir sangat cakap-cakap
orang. Nanti masa roll call bulanan,
mama ingatkan pasal ni. Bukan hanya
sebab Tia anak mama tapi pasal orang lain juga tak elok kita nak cakap
belakang. Dah lah tak nak cerita tentang
ni lagi.” Mama sudahkan ayat dengan
memberi kata mati. Usah disebut lagi
tentang ini.
Tiani
angguk. Akur.
“Ni
alang-alang Tia nak ke KL, mama nak mintak tolong sikit…”
“Kalau
kerja, Tia tak nak. Tia kan nak
cuti. Mama mana boleh bagi kerja hari
cuti Tia…” Sekali lagi dia buat suara
sedih.
“Alaa…
ni mama mintak tolong anak mama. Bukan
arah pekerja mama,” balas Dato’ Talhah pula.
Pulak? Tiani angguk.
Akur bila mama dah cakap macam tu.
Mama begitulah. Dia mana pernah
menang kalau dengan mama. Dia dah kuat
berdrama, tapi dia kena sedar mama adalah drama-queen.
“Mama
nak Tia jumpa orang. Dia nak datang tapi
tak kena masa. Mama kena pergi istana
dua hari. Lepas pada tu, dia pulak
sibuk. Benda ni nak cepat. Jadi alang-alang Tia nak pergi, mama beritahu
dia berurusan dengan Tia aje.”
“Tentang
apa?”
“Dia
ada minta nak jadi pengedar tunggal produk kita ke luar negara. Mama
ada baca proposal dia. Menarik. Mama ada letak kat meja belajar Tia. Nanti bacalah. Mama tahu, Tia pun akan kata bagus. Dia baru nak cuba F&B, dia pilih kita
untuk jadi perintis dalam syarikat dia.
Tia dah tahu selok-belok bisnes dan kontrak. Tia bincang aje. Apa aje keputusan Tia, mama akan setuju. Lagipun, separuh syarikat tu milik Tia
dah. Separuh lagi, mama dah beri dekat
Nees dah Abang Fiq tak nak…”
Tiani
angguk. Dia dah tahu tentang tu. Mama berikan pada Johanees sebagai hadiah
kahwin mereka. Abang Fiq pula, terus
berkhidmat dengan tentera laut.
“Siapa
nama dia?” soal Tiani.
“Maliki. Tapi, apa-apa Tia telefon PA dia dululah
takut tak dapat nak telefon Maliki sendiri.
Mama ada whatsapp kad dia pada Tia.”
Tiani
capai telefon. Tak perasan pulak ada
pesanan masuk. Dia tekan nama mama dan
muat-turun gambar yang mama hantar. Wow… dasyat.
Ambik lawyer jadi pembantu peribadi?
“Luqman?” soal Tiani lebih pada diri sendiri.
“Ini
lawyer betul atau loyer buruk ni, mama?”
soal Tiani bersahaja.
“Laywer
betullah. Yang loyar buruk tu…
Tia…” Dato’ Talhah kerut dahi tapi Tiani
ketawa. Bertuah betul budak ni. Tapi, dia lega bila wajah itu kembali ceria.
Tiani
senyum lebar. Tak sabar nak jumpa
anak-anak buah tersayang. Dan, ya… benar
seperti kata mama. Orang boleh terus
perolokkan sejarahnya. Sedangkan hanya
dia tahu betapa peritnya perjuangan yang dia harungi.
Dia
menyimpan nombor yang tertera. Tapi, tak
tahulah kenapa. Tak berkenan pulak baca
nama ni. Mesti nama panggilan Luq. Glamourlah konon. Kalau dia, dia akan panggil Man aje. Tiani ketawa sendiri. Judgemental
sangat!
“Tia
naik bilik dulu baca proposal yang mama dok puji bagus tu…”. Tiani dah sedia
bangkit dan mahu berlalu bila suara mama menahan.
Dia
toleh.
“Tia
betul-betul okey, kan?”
“Hurm…
okey. Tia tak kisah orang nak kutuk Tia
bekas penghuni pusat serenti ke, anak dara tua ke… Tia dah geram sangat nanti,
Tia pergi layang surat buang kerja,” jawab Tiani dengan senyuman jahat.
“Bukan
itu maksud mama,” nafi Dato’ Talhah.
“Tia
dah betul-betul okey, kan? Tentang tu?” Sekali lagi soalan diaju dan melihat senyuman
Tiani yang sedikit pincang, dia tahu Tiani faham.
“Mestilah
okey. Tia sentiasa okey,” jawab Tiani
dengan tawa.
“Eh,
Tia naik dulu. Nak beli tiket belon lagi. Tia guna kad kredit syarikat,” ujarnya lagi
dan terus berlalu bersama tawa.
Sebaik
sahaja tiba di bilik dan merapatkan pintu, dia bersandar pada daun pintu dengan
jantung yang berdetak kencang. Soalan mama
telah membuatkan sekujur tubuhnya menggigil.
Bunyi tembakan dan ikatan pada kaki tangan itu masih jelas terasa. Malah, ada parut juga di pergelangan tangan.
Dia
tak sedar, bila airmatanya mengalir dan tubuhnya jatuh melurut di atas lantai.
الْحَمْدُ للَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْ
ReplyDeleteTia....
ReplyDeleteWah Tia nk jmpa Luk...
ReplyDeleteSuka sangat..selalu ter-tunggu cerita² rehan makhtar..tak sabar nk baca lgi..
ReplyDeleteWahhh...teruja dh...
ReplyDeletewahhh taksabar nye
ReplyDeleteCpt² tulis ye.. x sabar nk peluk 😘😘
ReplyDeleteTak sabar nak tunggu author update lagi
ReplyDeletePerghhh terasa mcm zaman thn 2012...menunggu new entry
ReplyDeleteYesss 👍👍👍
ReplyDeleteMak aih.... Suka tau buat kita jadi penunggu
ReplyDeleteTak sabar nak tunggu kak rehan update lagi.
ReplyDeleteWah ada kesinambungan kisah Luqman
ReplyDeleteTerima kasih Rehan Makhtar, akhir nya ada juga kisah Tiani. Tak sabar nak tunggu novel pertama Rehan Makhtar yang akan di cetak semula nanti, nak beli. Nak kena kumpul semua novel karya Rehan Makhtar, walau saya baru kenal RM tahun 2023, lepas dah baca 7 novel RM rasa worth it, penulisan RM memang bagus.
ReplyDeleteWah wahh!!! Tak sangka ada cerita best tentng Tia.. dgn Luq??? Best best!
ReplyDeleteTq RM
X sabar nk bce thu kesudahan nye
ReplyDelete😍😍😍😍😍
ReplyDeleteWaaaa nakk lagi
ReplyDeleteFinally tahu jugak sape luqman nim ,duk baca tulus harituh pening duk fikir nama watak luq nim kt novel rm yg mne satu
ReplyDeleteBest..jd sila teruskan ya
ReplyDeleteSukaaa....❤️
ReplyDelete❤️
ReplyDeleteSukaa 😍❤️ lepasni Tia ada patner suda
ReplyDeleteNakk lagiiiiiii
ReplyDeleteMan pon man la tia🤣🤣
ReplyDeleteWeyyy...terasa vibes 2012-13
ReplyDeleteRindu nak lepak kat blog ni macam dulu-dulu...
Tak pasal-pasal marathon balik semua cerpen/novel dlm blog ni..
Tq sis rehan fo this new love storyyy
Ayat cliche dulu2
Selain "Nak lagiiiii"
ialah,
"Please sis habiskan di blog...." 😂
Bau² story baru ni
ReplyDelete