Tuesday, August 02, 2011

Ketawa & Airmata, Itukah Sebenarnya Cinta?


Cuaca di luar semakin kelam bila hujan lebat masih belum ada tanda untuk reda sedari tadi. Jam sudah merangkak ke angka 7 petang. Aku menjengah ke luar bilik melalui vertical blind bilikku. Lengang! Huh, semua dah balik. Tinggal aku sekor agaknya! Omelku sedikit bimbang.

Bukan tidak pernah aku pulang lewat dari pejabat tapi memikirkan cuaca tidak berpihak padaku kali ini, hati wanitaku cuak. Terngiang-ngiang amukan Encik Ilham padaku petang tadi.

Dijerkahnya aku di depan beberapa kakitangan lain menyebabkan wajahku menebal berinci-inci. Ini bukanlah kali pertama dia mengherdikku tapi kali ini rasanya tidak setimpal langsung dengan kesalahan yang aku lakukan. Andai diikutkan hati yang bengkak, mahu saja aku menghantar ‘surat layang’ padanya. Biar dia tahu siapa perempuan yang bernama Wafiah ni.

“What have you done, hah Wafiah? Jangan asyik nak berangan je. Awak ingat saya bayar gaji awak untuk berangan ke? Macam mana awak boleh tersilap ni?” jerkah Encik Ilham semasa aku baru sahaja keluar dari bilik.

Serentak itu, dia dengan selamba melempar fail tipis itu tepat ke mukaku. Kertas-kertas itu terus bertaburan di lantai.Hampir saja airmataku menitis kali ini. Aku ketap bibir menahan sabar. Jangan memberontak, Fiah! Kerja sekarang susah nak cari! Lantas aku pohon agar hati terus digayut sabar. Mata Suraya, Fariza dan Faralina sudah terarah kepadaku.

“Saya buat apa pulak, bos?”

“Don’t ask. Just take a look!” arahnya tegas.

Wajahnya menyinga. Aku tunduk mengutip kertas yang bertaburan. Mengamati buat seketika kertas yang sudah penuh berpangkah sebelum wajahku berkerut seribu. Tiada apa masalah dengan laporan kewangan yang ku sediakan ini. Nak kata berlaku kesilapan tidak pula! Aku memang teliti dalam menyediakan semuanya yang berkaitan dengan kewangan syarikat.

“Tak ada yang tak kena pun, bos!” protesku lembut.

“Are you blind? Ingatkan awak ni rabun je?” sinisnya lagi.
Berdesing telingaku dengan ejekannya. Aku menjeling kepada teman-teman sekilas. Aku ketap gigi bila Suraya dan Fariza sudah mula tersengih sumbing ke arahku. Hanya Faralina sahaja yang mengerutkan dahinya melihat drama sebabak kami.

“Awak tengok kat bawah sekali tu?” tekannya lagi.
Aku lantas mengalihkan pandanganku ke bahagian paling bawah seperti yang dimaksudkan. Hanya kerana inikah dia memarahiku?

“Maaf, bos! Terlupa nak sahkan dulu semua ni!”
Malas untuk bertekak dengannya, aku sekadar menerima bulat-bulat bila Encik Ilham menghambur marahnya padaku walaupun hanya kerana aku terlupa menurunkan tandatangan pada laporan yang ku hantar padanya. Rasa mahu saja aku menjawab tengkingan Encik Ilham.

Kesalahan hanya sebesar kuman tapi marahnya padaku sudah sebesar dinosaur. Bagaikan aku telah menambahkan beberapa biji kosong pada hujung amaun itu. Bukan sekali aku terhina di depan staf sendiri. Memang dia tidak pernah menjaga airmukaku sebagai seorang akauntan di syarikat milik keluarganya ini.

“Saya nak awak buat balik dan saya nak awak sediakan semula laporan daripada tiga bulan sudah. Esok, saya masuk je saya nak tengok ada atas meja saya,”arahnya meninggi.

“Jangan ingat awak cantik sangat, saya tak marah pulak!”
Tersentak aku dengan kata-katanya kali ini. Entah mengapa rupaku sering kali menjadi bahan ejekannya. Malunya bukan kepalang bila Fariza dan Suraya sudah ketawa mengekek padaku.

Aku akhirnya menekur pandangan ke lantai dan mengangguk lemah. Biarpun hatiku memprotes hebat, tapi mengenangkan setiap tindakanku selalu saja mengundang angin pasangnya, biarlah aku beralah.

Berdentum guruh di langit! Biarpun kekuatannya tidak menerjah gegendang seperti biasa tapi kilat yang sabung menyabung sudah cukup membuatkan hatiku kecut. Lantas aku kembali ke realiti.

Skrin leper komputer ku tatap seketika. Selepas yakin semuanya tepat, aku terus terus menekan print pada komputerku. Sesudah itu, aku menurunkan tandatangan pada setiap helaian untuk pengesahan bagi mendapatkan kelulusan bos gila kuasaku itu! Selepas itu aku cepat-cepat beredar memandangkan hari sudah menjengah ke malam.
*****

Wajah Faralina ku tatap beberapa ketika. Andai dulu kami adalah teman serumah tapi sejak dia mendirikan rumahtangga, aku hanya dapat bersua dengannya di pejabat sahaja. Tugas sebagai isteri sedikit sebanyak telah membataskan pergaulan.

“Aku tak tahu apa salah aku sampai bos suka sangat herdik aku macam tu sekali? Dahla semua kesalahan tu bukan apa-apa. Kalau sekali lagi dia buat aku macam ni, aku akan hantar surat letak jawatan,” aduku pada Fara saat kami bersama-sama menikmati sarapan pagi di pantry.

“Habis semalam pasal apa lagi kau kena bambu tu?”
Soalan Faralina ku biarkan seketika. Nesvita oat panas kegemaranku itu ku hirup perlahan.

“Pasal aku lupa nak tandatangan kat report tu….” Jawabku meleretkan kata. Jiwaku sudah bengkak benar.

Sepanjang bekerja di sini dua tahun sudah, aku bahagia saja sehinggalah syarikat disertai oleh anak majikanku yang gila kuasa tu. Harapkan rupa saja kacak tapi perangai macam puaka! Sumpah hatiku tak sudah-sudah.

“Sejak dia masuk ke syarikat bapak dia ni, aku memang asyik kena je, Fara! Kadang-kadang aku terfikir, teruk sangat ke hasil kerja aku? Atau rupa aku ni buruk sangat ke boleh buat dia jelek sampai mood dia terus berubah bila tengok aku?”

Hatiku pilu dengan layanannya. Aku menggeleng kesal. Biarpun aku hanya kuli, aku masih mempunyai hak mendapat layanan yang baik daripada majikan seperti Suraya, Fariza dan Faralina.

“Sabarlah, Fiah! Aku tak tahu nak cakap apa kecuali sabar!” pujuk Faralina seraya menggosok belakangku mesra. Aku senyum sedikit sebelum terus menikmati minumanku.

“Tapi, janji dengan aku tau!” Fara meletakkan mug ke meja lantas menghulur jari kelengkengnya padaku. Aku angkat kening bertanya dalam diam.

“Janji walau tahap mana pun kau kena dengan Encik Am, kau jangan letak jawatan!”

Huluran jari Fara ku biarkan sepi. “Kenapa pulak macam tu?” tanyaku sedikit tidak puas hati.

“Sebab nanti dia ingat kau menyerah kalah. Mesti dia bangga diri sebab dapat buat kau vanish dari syarikat ni!”
Aku meledakkan tawa mendengarkan perkataan vanish dari mulut Faralina.

“Kau ni macam-macam! Tak kan la sampai macam tu. Kerja kan payah nak cari sekarang! Kalau letak jawatan, mak aku macam mana? Mahu aku tanam jagung kat kampung!” balasku bersahaja dengan tawa yang tertahan-tahan.

“Aku senang tengok kau ketawa, Fiah!” ujar Faralina berubah emosi.
Gelas di tangan aku letak ke meja. Tubuh Faralina ku paut mesra. Mendakapnya kemas seperti waktu dulu.
“Thanks,” ucapku kembali.
*****

Aku lega bila dari hari ke hari, wajah Encik Ilham tidak lagi hadir di depanku dan aku seboleh-bolehnya terus mengelak daripada bersua empat mata dengannya. Sehinggalah pada suatu hari aku menerima satu arahan daripada Tan Sri Fakhri untuk mengikut anak gila kuasanya ke tapak projek untuk membuat penilaian bagi bayaran berikutnya.

Tiada apa yang terlintas di fikiranku saat menerima arahan itu. Sekadar mengikut arahan pihak atasan adalah sebahagian tanggungjawabku dan walaupun agak berat hati kali ini, aku tidak akan sesekali menolak.
Hari yang dijanjikan, aku menunggu pemandu pejabat menjemputku di rumah memandangkan perjalanan dimulakan di awal pagi.

Bila Honda CRV tu berhenti tepat di depanku tidak lama kemudian, aku terus sahaja memboloskan diri ke dalam perut kereta.

“Terima kasih jemput saya kat rumah, Pak Ali,” ucapku mesra sambil menarik tali pinggang keledar.

“Bos saya yang gila kuasa tu pergi sendiri ke?” tanyaku lagi tanpa melihat ke arah Pak Ali.

Eh, sangkut pulak tali pinggang keledar ni! Rungutku antara dengar dan tidak. Aku menarik beberapa kali. Bermula dengan lembut hingga akhirnya aku menarik rakus.

Tiba-tiba, tubuh kasar di sebelah terasa dekat pada tubuhku. Nafasnya juga terasa hangat menyapa ke pipi dan tangan sasanya menarik tali pinggang itu. Aku terperanjat besar.

“Apa Pak Ali ni?” jerkahku lantas berpaling pada empunya diri.
Saat itu hampir luruh jantungku bila dia bukanlah seperti yang ku jangka. Wajah Encik Ilham dekat benar pada wajahku sehinggakan nafas kami bercantum dalam satu. Dia bukanlah Pak Ali!

“Mari sini, bagi saya yang gila kuasa ni pasang seatbelt awak ni!” ujarnya penuh sinis lantas mengunci tali pinggang itu.
Aku terpaku pada seraut wajah tampan di depanku ini. Jarak yang hanya beberapa inci membuatkan aku terus mengamati wajah maskulinnya. Andai tidak diingatkan perang antara kami, mahu saja aku serahkan hati ini padanya.

Aku diam tidak berkutik. Rasa bersalah mula menyerang diri. Ya Allah, kenapa mesti jadi secelupar ini, Fiah!

“So, shall we?” Tanya Encik Ilham.

“Shall what?” soalku kembali baru tersedar dari angan.
Dia mengukir segaris senyuman. Fuh, hati wanitaku hampir saja cair.

“Boleh kita teruskan perjalanan?” ulangnya separuh mengejek.
Soalannya tidak bersambut. Aku sekadar mengangguk menggantikan jawapan. Sebenarnya, aku cuak! Cuak dengan kutukanku padanya sebentar tadi. Bermacam andaian bermain di mindaku. Apa-apa saja boleh jadi termasuk dipecat.

Selebihnya aku lebih bimbang andai hati ini akan terpaut padanya yang terlalu jauh bezanya untuk dibandingkan dengan wanita biasa sepertiku ini.

“Nak pulak awak out-station dengan saya, kan?”
Itulah soalan yang terpacul daripada mulut Encik Ilham selepas hampir dua jam perjalanan yang tiada dihiasi dengan perbualan.

“Arahan pihak atasan!” selaku bersahaja.

“Nampak macam tak suka je keluar dengan saya?” duganya lagi.
Memang aku tak suka! Asyik kena marah dengan kau, je. Orang suka pun jadi tak suka! Getus hati kecilku.

“Mana ada!” protesku. Huh, lain yang difikir lain yang ku zahirkan.

“Banyak hari tak bergaduh dengan awak, rindu pulak!”
Aku masih berlagak selamba demi mendengarkan perkataan rindu itu keluar dari celah bibirnya. Aku yakin dia sengaja mempermainkanku lagi. Andai di pejabat dia tidak pernah puas memalukan aku dan kini bila berdua, dia sudah berani mengocak ketenangan hatiku.

“Emm…” balasku pendek.

“Hai, dah berat mulut pulak!” selanya sinis. Aku diam tidak membalas.

“Ada jongkong emas ke dalam mulut awak? Dengan orang lain kemain payah awak nak bersuara tapi dengan Faralina tu banyak pulak mulut awak ya?”
Hatiku terdetik seketika. Dia perhatikan aku dengan Faralinakah? Huh, tak mungkin dia sudi nak perhatikanku. Bersua saja, pasti aku diamuknya sesuka hati.

“Kalau dalam mulut saya ni ada jongkong emas, senang pulak. Tak payah saya nak kerja dah. Hari-hari tarah jongkong emas tu je jual!” perliku.

“Lagipun, mulut saya ada satu je. Sebab tu saya banyak cakap dengan Fara je,” sambungku lagi menambah sedikit perasa pada sindiranku. Padan muka! Marah hatiku.

“Huh, dingin macam air batu,” omelnya padaku.

“Emm… kalau encik sejuk, off kan aircond ni tak apa. Saya tak kisah,” balasku buat-buat tidak mengerti.

Bukan aku tidak tahu, sudah ramai lelaki menggelarkan aku sebagai Puteri Salju. Segala huluran salam ku sambut dingin, tiada berminat.
Tanganku ringan sahaja mahu menekan punat off aircond dan tanpa ku sedar jemari kasar Encik Ilham lebih pantas menyambar tanganku ke dalam genggaman jemari suamnya.

Sekali lagi aku terkaku. Wajahnya yang terus menatap jalan raya ku tenung lama. Tasik hatiku bergelora tiba-tiba. Degap jantungku pula sudah tidak berirama dan tangkai hatiku bagaikan digayut satu perasaan asing yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini.
Entah berapa lama jemariku di genggamannya. Aku mula hanyut di dalam dunia fantasiku sendiri bersama satu perasaan aneh ini.

“Banyak pulak awak menjawab saya ya? Kenapa selama ni awak diam je kalau saya marah?”

Aku tersedar. Entah berapa lama tanganku sudah terlepas dari pautan jari kasarnya.

“Sebab selama ni encik bos saya!”

“Dahtu, hari ni saya bukan bos awak?”
“Bos jugak!” jawabku malas. Perasaan asing itu segera ku hambat menjauh.
Tapi bakal jadi bekas bos kalau kau marah-marah tak tentu hala pada aku lagi, sambung hatiku.
“You are really unpredictable, Wafiah!”
Aku menjungkitkan bahu.
“Terserahlah pada encik nak cakap apa. Saya tak boleh nak halang orang dari menilai saya!”
Aku melempar pandangan ke luar. Malas ditatap wajah itu lama-lama, bimbang andai aku tertewas oleh perasaan.
“Dan awak jugak memang tak boleh nak halang orang dari jatuh hati pada awak,kan?”
“Ikutlah siapa pun nak jatuh hati pada saya, janji hati saya ni tak terjatuh!”
Aku mengerling Encik Ilham dengan ekor mata. Dia turut menjeling ke arahku sebelum kembali pada jalan raya.
Tak pasal-pasal kau nak bercakap pasal cinta kenapa? Dah buang tabiat ke mamat gila kuasa ni?
Perjalanan kami seterusnya dihiasi sepi. Aku tidak sedar bila aku terlena dan tatkala aku tersedar, cuaca di luar sedikit kelam. Sebentar lagi pasti hujan akan menyimbah.
Aku keluar dari perut kereta dan melihat Encik Ilham sedang mengeluarkan beg galasnya daripada bonet. Cuaca dingin Cameron Highland terus mencucuk kulitku.
“Kita tak terus ke site ke, bos?” tanyaku sambil memeluk tubuh yang sudah makin kedinginan.
“Site apa? Cuba awak dongak ke atas, tengok langit gelap ke cerah! Nak buat kerja macam mana kalau dah gelap gelita macam ni. Dengan cuaca sejuk ni. Baik kita berehat dulu, esok kita ke site!” Mendatar sahaja suaranya.
Dia lantas melangkah menuju ke sebuah hotel tidak jauh dari tempat kereta perparkir. Aku ditinggalkan terkulat-kulat di situ.
“Cepatlah, hari dah hujan ni!” laungnya bila kami sudah menjauh.
Aku mendongak ke langit dan titisan halus mula merintik ke bumi. Masalah besar ni! Aku lantas berlari-lari anak mengekori langkah bos gila kuasa ni.
“Ni kunci ada satu je!” Beritahunya bila dia hampir padaku selepas berurusan di kaunter pendaftaran.
Terlopong aku dibuatnya. Kunci satu maknanya bilik pun satu ke?
“Share ke?” Dia mengangguk. “Eii… tak naklah saya!”
“Jangan nak membantah. I am your boss! Ambik jelah, ni je yang tinggal! Lagipun cuti sekolah ni. Bilik tak ada yang tinggal dah!” pangkasnya keras. “Ini saja yang ada!”
“Habis tu kenapa encik tak book awal? Dahtu tak maklum pulak pada saya nak overnight kat sini? Dahlah saya tak bawak baju lebih ni!” Bulat saja mataku memarahinya. Biar pulak rasa marahku. Adakah cukup perasanya?
“Kalau saya memang nak stay kat sini, saya dah book awal-awal tapi cuba awak tengok kat luar tu. Gelap macam malam. Cuaca ni diluar jangkaan saya, cik adik oi. Rupanya je cantik tapi tak ada otak!” herdiknya sedikit meninggi.
Tubir mataku sudah terasa suam. Beberapa mata yang berada sekitar kami sudah mula mengalihkan pandangan. Encik Ilham sudah mula dengan drama sebabaknya lagi kali ini. Payah kalau lama tinggal di Negara barat ni! Main hambur marah je. Tak kira tempat, tak kira masa! Rungutku masih cuba bersabar.
“Encik boleh tak cakap perlahan sikit? Nak marah pun marahlah tapi tak payah nak hina saya beria-ia macam ni?” gumamku keras memberi amaran padanya.
“Dah memang awak tu tak ada otak. Benda macam ni pun tak boleh nak fikir? Ada akal pakai la, kawan!”
Aku ketap bibir. Bila masa pulak aku jadi kawan kau, puaka? Hatiku mendongkol geram. Dia memang dah melampau kali ini. Aku tidak sangka, urusan kerja membawa kami hingga ke sini tapi sudahnya berakhir dengan pertelingkahan juga.
“Ok, fine! Kalau saya tak ada otak, better encik cari orang yang berotak untuk kerja dengan encik yang memang berakal tapi tak pernah nak pakai ni!” bentakku dengan intonasi yang masih terkawal. Sisa hormatku masih bersisa padanya.
Aku tidak menunggu lama di situ. Cepat sahaja kakiku melangkah menuju keluar. Melangkah dan terus melangkah dari satu hotel ke satu hotel lain tapi sayang, hasilnya tetap sama. Aku mengutuk diri! Bodohnya aku! Tanpa tempat penginapan dan tanpa persalinan. Hanya sepasang telekung yang ada di dalam beg tanganku.
Siang sudah berganti malam dan aku masih merayau-rayau sendiri tanpa memikirkan Encik Ilham. Biarlah, lepas pulang ke Kuala Lumpur nanti, aku akan menghantar surat perletakan jawatan. Nekadku bulat di situ.
*****
Malam makin merangkak tua. Kedinginan malam pula makin mencucuk. Sedangkan tubuhku hanya dibaluti sepasang jeans dan baju kemeja tipis sahaja. Tudung yang melambai-lambai ditiup angin, aku pegang dengan hujung jari. Beg tangan POLOku itu ku peluk erat. Mengharapkan sedikit kehangatan hadir ke tubuhku.
Pengunjung semakin berkurangan, suasana juga semakin mati! Hanya kelihatan dua orang receptionist sahaja yang yang sedang bertugas di kaunter tapi itu pun tidak lama bila mereka terus menghilang. Aku memandang keliling. Hanya aku seorang!
Dalam beraniku, jelas ketakutan sudah menguasai tubuhku. Apalah daya seorang wanita sepertiku berada di tempat sebegini seorang diri. Kelopak mata terasa suam lagi. Perlahan-lahan airamataku merintik tanpa aku pinta. Selama ini aku bertahan agar tiada airmata menghiasi sengketaku dengan Encik Ilham tapi hari ini, ketegasanku terobek sudah.
Pedih mengingatkan penghinaan Encik Ilham padaku selama ini dan hari ini penghinaannya telah menjadi kudis yang bernanah dalam hatiku. Pandanglah saya dengan penuh kemesraan walaupun sekali, Encik! Keluh hatiku.
Entah berapa lama aku terlena di sofa lobby sehinggakan aku dapat rasakan ada tangan yang sudah menyusur di bawah lutut dan belakangku. Sekelipan tubuhku yang kepenatan ini berada di awangan.
Aku membuka mata yang terasa berat dek kerana sembab. Wajah Encik Ilham jelas di pandangan mataku dengan senyuman yang sukar untuk aku tafsir. Dasar hati yang tenang bergelodak lagi.
“Apa awak nak buat ni,” tanyaku lantas cuba melepaskan diriku dari gendongannya.
“Please, Encik Ilham! Lepaskan saya!” pintaku dengan wajah yang menahan tangis.
Dia masih meneruskan langkah tanpa menghiraukan rayuanku. Aku malu diperlakukan demikian biarpun aku yakin memang tiada pengunjung langsung. Malu pada diri sendiri, malu pada Allah kerana tubuhku disentuh sesuka hati oleh lelaki yang bukan muhrimku.
“Lepaskan saya! Saya boleh jalan sendiri!” ujarku dengan suara yang sudah serak.
Airmataku sudah merembes keluar. Kali ini aku sudah kalah. Memang aku sentiasa kecundang dengan pertengkaran kami dan kali ini aku telah kalah lebih teruk.
“Lepaskan saya! Encik dah menang. Saya akan hantar surat perletakan jawatan saya setibanya di KL nanti! Memang encik tak nak tengok saya di pejabat tu lagi, kan? Saya akan tunaikan permintaan encik tu. Jadi, lepaskan saya!” pintaku bersama esak tangis yang bagaikan tidak berkesudahan.
“Don’t you dare!” balasnya pendek.
Aku menggelupur lemah bila dia sekadar buat tidak mengerti dengan tindakanku. Malah pelukannya juga semakin kejap. Hingga akhirnya aku terus menyembamkan wajahku ke bahunya lantas aku gigit bahu sasa itu sekuat hati. Menahan rasa marah dan sendu yang bercampur menjadi satu.
Encik Ilham meleraikan pelukannya bila tiba di sebuah bilik. Aku masih membatu bila tubuh Encik Ilham sudah melepasi ambang pintu.
“Marilah masuk! Kenapa tercegat kat situ lagi?” herdiknya meninggi.
Airmata yang sudah kering tadi, merembes kembali. Bila dikira layanannya padaku sebentar tadi, aku kira dia pasti sudah mahu beralah sedikit denganku dan hatiku sedikit terpujuk dengan layanannya tapi kini hanya aku yang tertimpa harapan.
“Mari masuk! Sejuk kat luar. Dah la hujan tengah lebat tu,” pujuknya dengan nada yang sudah bertukar mesra lantas menarik tanganku masuk ke dalam. Pintu bilik ditutup rapat. Aku masih lagi kaku. Bimbang berlaku perkara yang tidak diingini dalam keadaan kami hanya berdua di dalam bilik ini.
Pandangan Encik Ilham jatuh pada wajahku. Seram sejuk rasanya tubuhku yang sedia kedinginan ini.
Dia menepuk-nepuk tilam di sebelahnya. Mengisyaratkan agar aku duduk di situ. Aku masih diam terkaku. Tiada langsung tanda untuk bergerak.
Encik Ilham bangkit bila aku tiada bertindak balas. Dia hampir padaku dengan memegang sehelai t-shirt putih.
“Ambik baju ni, pergi tukar. Lepas tu boleh tidur. Better you make your move before I give you my big hug and drag you onto bed,” gumamnya ke telingaku.
Spontan saja aku terus menyambar t-shirt dari tangannya dan terus berlalu ke bilik air. Sempat aku menangkap suara gelak tawanya dan akhirnya ketawa itu makin menyepi.
Aku keluar dengan perasaan takut. Detak hatiku makin kuat bergendang. Andai diikutkan hati mahu saja aku merebahkan diri di dalam bilik air ini tapi melihatkan keluasan bilik air hanya sekadar muat-muat untuk dua orang berdiri, niat itu terbantut sudah.
Aku terkejut bila melihatkan Encik Ilham tiada dibilik. Entah ke mana lesapnya dia. Ah, aku tidak peduli. Keluhan lega keluar juga dari bibirku. Badan yang penat membuatkan aku terus merebahkan badan ke tilam. Fikiranku tidak dapat lepas dari mengingati lelaki yang sudah mendapat tempat di hatiku. Oh, sedarlah Fiah! Dia tak suka kau! Pantas aku memberi peringatan pada diri sendiri.
Sesudah mengerjakan solat subuh, aku terus bersiap ala kadar. Sekadar memakai baju yang Encik Ilham berikan padaku semalam kerana bajuku sudah lain macam baunya. Aku terus bergegas ke kereta bila hampir dua jam menunggu wajah Encik Ilham tidak jua kunjung tiba.
Sungguh aku terkedu! Tubuh yang sasa itu sedang mengerekot di dalam kereta. Aku menarik pintu. Tidak dikunci! Wajah itu ku tenung dengan penuh minat. Jauh menyimpang anggapanku burukku padanya. Tanpaku duga, kasihku tumpah di situ.
*****
Setiap langkah Encik Ilham aku ekori dari satu tapak ke tapak yang lain. Aku menyorokkan wajah bila ada mata yang sedari tadi merenungku. Selepas memeriksa bahagian yang tertentu, aku berdiri bersandar pada kereta sambil menunggu Encik Ilham kembali.
Dia berlari-lari anak mendapatkanku dengan sehelai jaket kulit hitam di tangannya dan terus membalut tubuhku tanpa ku duga.
“Baju putih, boleh nampak benda yang tak patut nampak! Tudung tu jatuhkan, jangan belit macam tu!” arahnya seraya berlalu. Sekali lagi hatiku terpaut pada perhatiannya padaku.
*****
Esoknya, seperti biasa aku bersarapan bersama dengan Faralina di pantry. Sesudah itu, aku memasang langkah untuk kembali ke bilikku dan belum pun sempat aku sampai ke bilik, wajah Encik Ilham menyinga di depanku.
“What the hell have you done, Wafiah? Awak nak melingkupkan syarikat ke?” Suaranya bergema. Satu pejabat mula menonton adegan kami.
“Kenapa awak tambah dua biji kosong kat belakang jumlah ni? Awak kata awak ni teliti selama ni tapi macam mana boleh lakukan kesilapan macam ni. Menyusahkan orang!”
“Tapi, saya tak faham bos cakap apa?” Terkulat-kulat aku dibuatnya.
“Kalau awak tak faham, ambik ni tengok sendiri!” Untuk kali kedua, dia melemparkan kertas itu tepat ke wajahku.
Aku mengutip lantas mengamati butiran yang tercetak. Sungguh, bukan aku sediakan semua ni tapi kenapa di bawah tu ada tandatangan aku?
“Tapi, saya tak buat semua ni, encik!” ujarku membela diri.
“Ah, kalau awak tak buat, kenapa mesti ada tandatangan awak kat bawah tu? Nasib baik saya tak luluskan. Saya nak awak buat balik dan saya nak sekarang jugak!”
Serentak itu dia melangkah ke biliknya. Daun pintu dihempas kasar. Berdentum bunyinya tapi dentuman hatiku lagi kuat dari itu. Airmataku menitis perlahan. Pujukan Faralina ku biarkan sepi.
Selepas waktu rehat, aku memberanikan diri masuk ke bilik Encik Ilham. Wajahnya bersahaja tapi amarah di dalam siapa yang tahu.
“Ini laporan yang baru. Saya jamin kali ini semuanya tepat!”
Dia merenungku tajam. “Kalau tak tepat?”
“Kalau tak tepat, ini jaminannya!” Aku meletakkan sepucuk surat di depannya dan terus berlalu tanpa menghiraukan panggilannya. Biarlah. Aku sudah ditewaskan oleh perasaan. Airmataku mengalir lagi.
*****
Seminggu sudah aku meletakkan jawatan. Khabar yang Faralina bawakan padaku ku biarkan di angin lalu. Aku sisip ice lemon tea itu perlahan. Melihat suasana Mc’D yang di penuhi orang benar-benar menambahkan semak dalam kepalaku.
“Dia nak mengamuk ke apa ke? Peduli apa aku! Nak pecah dinding ke, nak pecah pintu ke! Bukankah dia patut buat kenduri kesyukuran sebab aku dah vanish dari syarikat tu?”
Sengaja aku tekan perkataan vanish itu. Biar Faralina tahu betapa aku bengkak dengan sikap Encik Ilham.
“Masalahnya dia tak macam tu! Lagi teruk adalah! Lagipun dia jarang ada kat pejabat sekarang!”
“Bukan masalah aku pun,” balasku selamba. Faralina menggeleng.
“Kenapa mesti nak marah sangat ni? Sebelum ni kau okey je walau macam mana pun dia marah herdik kau. Ada apa-apa yang kau sembunyikan daripada aku ek?
Dup dap! Jantungku kembali berirama indah. Perasaan rinduku padanya sudah berhari-hari menderu. Biarlah aku kuburkan saja perasaan asing ini tanpa pusara dan tiada tandanya.
“Emm… tak ada apalah! Aku tak nak fikir lagi apa-apa dah pasal syarikat orang gila kuasa tu! Aku tengah pening nak cari kerja ni!” keluhku.
“Nah, tengok iklan ni. Bukan terus dingin macam air batu macam ni!” ejek Faralina seraya menolak sehelai kertas di depanku.
Huh, memang baik punya kawan, dia dah dapatkan satu kerja yang menepati dengan kelulusanku. Memang prihatin. Aku ketawa sendiri.
“Thank you, my dear friend!” Faralina tersenyum penuh makna.
*****
Lewat petang itu, aku memberanikan diri menjadi James Bond dan masuk ke pejabat Megah Group. Mujur sahaja dilepaskan naik ke atas apabila aku menunjukkan pas pekerja.
Aku menolak pintu bilikku yang tidak berkunci. Sebuah kotak bersaiz kertas A4 ku capai dan dengan pantas aku mengemas beberapa barang peribadi milikku. Hanya sebuah bingkai gambar aku dan emak sahaja yang tiada di situ. Benci benar agaknya dia hinggakan dia membuang segala hak milikku?
Entah mengapa, kala ini murah saja airmataku. Tanpa dapat ku tahan, tumpah jua. Sedih dan sayu kerana terpaksa meninggalkan syarikat ini dan lebih terhiris kerana selepas ini, tak mungkin aku berpeluang menatap mata kuyu yang semakin ku rindu itu.
Aku melepaskan keluh kesah yang tidak berkesudahan dan menjiinjit kotak itu untuk keluar selepas memastikan tiada lagi barangan peribadi tertinggal.
Belum pun sempat aku melangkah, wajah bengis Encik Ilham sudah berada tepat di depanku. Aku kecut.
“Maaf, encik! Saya datang nak ambil barang saya je. Kalau encik nak tengok, boleh! Saya memang tak ambik satu pun barang pejabat!” ujarku takut-takut.
“Kalau betul kenapa tak ambik waktu pejabat? Kenapa mesti lepas waktu?” soalnya keras dengan anak mata yang sudah merah saga.
“Emm… sa… saya tak nak ganggu waktu bekerja!” jawabku jujur.
“Seronok dapat lepas dari saya?”
Aku mengangguk. Entahlah, bukan itu sebenarnya perasaanku. Matanya makin tajam menikam. Langkahnya makin mendekat. Aku sudah berundur setapak.
“Oh seronok ya? Awak ingat tak saya pernah pesan, jangan awak berani nak letak jawatan?”
Aku menggeleng pula.
“Jawablah. Dah bisu ke?” jerkahnya kuat.
Serentak itu terhempas kotak di peganganku. Terus berteraburan barang-barang di dalamnya. Aku makin kalut bila dia makin mendekat dan terus mendekat.
Aku rapat ke pintu bila Encik Ilham sudah memerangkapku antara kedua belah tangannya. Wajahnya sudah hampir. Makin dekat, makin dekat hingga nafas kami menjadi satu. Jantungku bagai hendak gugur melihat senyuman menggodanya.
“Encik Ilham, biar saya pergi! Saya janji saya tak akan datang lagi ke sini…” ujar ku penuh getaran.
“Kalau saya tak nak lepas kan?” provoknya.
“Saya jerit!” balasku berani.
“Kalau berani jeritlah!” ugutnya pula.
“Arrhhh….” Belum sempat aku menjerit, suaraku mati langsung.
Bibir Encik Ilham sudah melekap ke bibirku. Serentak tu airmataku mengalir bagaikan hujan di musim bah.
Hanya beberapa saat, dia melepaskan bibirku. Aku terjelepok jatuh ke lantai. Menangisi nasibku yang sudah tidak sudah dirundung malang sejak mengenali lelaki ini.
“I love you, Nur Wafiah! Love you damn much!” akuinya lantas menarik aku ke dalam pelukannya. Belumpun sempat pelukan itu kejap, aku menolak tubuh sasa itu dan terus berlari keluar.
*****
Hidup mesti diteruskan! Itulah ayat mati Faralina bila aku membawa peristiwa ‘ngeri’ itu kepadanya pagi itu.
“Dahlah tu, jangan fikir sangat! Baik kau pergi interview! Sampai bila nak tanam anggur? Karang kena balik kampung tanam jagung sungguh, macam mana?”
Aku ketawa mendengar nasihat Faralina di hujung talian.
“Kan elok ketawa macam tu. Ni mengongoi je dua tiga hari ni. Pening aku!” sambungnya lagi.
“Ni aku nak pergi la kejap lagi!” ujarku dalam marah yang dibuat-buat.
“Tapi, aku sedih. Kenapa dia sanggup buat aku macam ni? Rasanya tak pernah aku bersalah pada dia! Tercalar maruah aku!” aduku kembali pilu. Langsung terlupa dengan pengakuan Encik Ilham padaku tempoh hari.
“Kau suka Encik Am, ya?” duga Faralina. Aku ketap bibir.
“Dah tahu diam-diam jelah!”
“Aku dah agak. Dah la tu! Pergi cepat! Bos tengah tunggu tu! Aku nak buat kerja dah ni!”
“Siapa tunggu, Fara?” soalku tidak jelas.
“Erk… tak ada apa! Oklah, aku letak ni!”
Aku memandang telefon lama. Pelik dengan Fara sejak akhir-akhir ni. Beria benar memaksa aku menghadiri temuduga tu.
*****
Aku tiba di receptionist pejabat IF Holdings! Huh, berdebar pulak! IF? Ilham Fitri ke? Huh, tak mungkinlah! Dia kan tengah gila kuasa kat pejabat bapaknya.
Selepas seketika, aku diminta masuk ke bilik Pengarah. Aku melangkah kemas dan terus melabuhkan duduk. Wajah seorang wanita yang tidak aku kenali mesra menyambutku.
“Sila duduk! Cik Nur Wafiah, kan?”
Aku menggangguk. Hai, belum dihulur fail peribadi, dia sudah tahu namaku. Something wrong somewhere ni. Getus hatiku.
“Saya Ira. Cik tahu tak temuduga ni untuk jawatan apa?”
“Akauntan!” jawabku yakin.
“Betul, cik tapi bukan setakat akauntan je tau. Cik kena jadi tea lady, tukang masak, tukang cuci, penyambut di muka pintu dan lain-lain yang sewaktu dengannya.”
Ternganga aku dibuatnya dengan kata-kata gadis muda ini. Ni nak cari orang gaji ke?
“Tapi dalam iklan tak cakap macam tu pun?” protesku.
“Yeke? Saya tak tahulah sebab saya tak buat iklan tu. Syarikat ni syarikat baru. Baru belajar bertatih. Tak cukup kakitangan lagi. Sebab tu kami offer satu post tapi kena buat beberapa kerja sampingan. Kalau cik setuju, kita boleh sign offer letter sekarang.”
Tapi, macam pelik je. Emm... daripada tak ada kerja, terima jelah Fiah! Nasihatku pada diri sendiri.
“Okey, saya terima. Lagipun memang cita-cita saya nak jadi surirumah sepenuh masa! Boleh praktis kat sini,” balasku bernada sindiran.
Cik Ira meledakkan tawa. Hish,temuduga apa macam ni? Macam temuduga cari calon isteri pulak? Lebih tepat lagi calon orang gaji. Aku akhirnya turut melepaskan tawa kecil.
“Kalau macam tu, betul dah tempat praktikal ni. Betul tak abang?”
Pandangan Cik Ira terlempar ke belakang. Aku kalih dan bagaikan terkena renjatan, tubuhku lantas berdiri demi terpandangkan seraut wajah yang ku rindu.
“Okey, saringan dah lulus. Sekarang ni giliran bos pulak temuduga.” Cik Ira lantas bangkit sambil mencubit lengan Encik Ilham bersama satu jelingan mesra. Hatiku terus dipagut cemburu. Mesranya. Airmata merembes lagi.
“Ni syarikat encik ke?” tanyaku bersama sendu.
Encik Ilham mengangguk. Dia tersenyum manis. Batinku menjerit hiba. Oh, jangan kau bunuh aku dengan senyum itu lagi!
“Betul ke iklan kerja tu?” Dia mengangguk lagi.
“Habis tu kenapa Cik Ira cakap macam tu tadi? Encik memang tak pernah puas permainkan perasaan saya. Selama ni encik marah-marah saya, masa kat Cameron Highland encik sentuh tubuh saya, lepas tu buat-buat jaga maruah saya bila saya pakai t-shirt putih tu, lepas tu marah-marah balik sampai saya letak jawatan!”
Aku terdiam di situ, menahan bahu yang bergetar akibat sendu.
“Lepas tu?” tanya Encik Ilham nakal. Aku ketap bibir.
“Lepas tu beberapa hari sudah, saya cium awak?” sambungnya bila aku tidak menjawab. Wajahku merona merah. Benci betul! Tubuhnya sudah dekat padaku. Pantas sahaja jemarinya hinggap di pipiku. Menyeka airmata yang turun tiba-tiba.
“Saya pernah warning awak jangan berani letak jawatan masa kita kat Cameron dulu. Yang awak berani sangat nak letak jawatan tu kenapa? Kan tak pasal-pasal dah kena ngap dengan saya!”
Aku sekadar diam. Menunduk sambil menyulam jari jemari sesama sendiri.
“Dan jawatan tu memang macam tu tasknya. Semua tu awak kena buat tapi bukan kat sini tau!”
Aku panggung kepala. “Habis tu kat mana? Encik ni memang benci pada saya, kan?”
“Bagilah abang habiskan dulu. Nak kena cium lagi ke?” ugutnya romantis.
Abang? Gulp... Aku menelan liur yang terasa kelat. Hampir longlai lututku mendengar sepatah ayat itu keluar daripada mulut lelaki gila kuasa ni. Memang dah sah dia gila. Gilakan aku ke? Hatiku berbunga setaman.
“Semua tu Fiah kena buat kat rumah tau. Sebagai seorang isteri dan surirumah sepenuh masa!”
Aku terlontar ke sudut yang paling bahagia. Indah saja bila nama Fiah itu terluncur dari mulutnya.
“Tapi kenapa?” tanyaku. Rasa bahagia mula berbunga dalam diri. Mahu saja aku paut tubuh sasa itu ke dalam pelukan.
“Sebab abang cintakan Fiah. Dah lama. Tak tahu nak cakap macam mana sampai terpaksa marah Fiah hari-hari sebab nak dengar suara Fiah. Kalau tak, jangan harap Fiah nak cakap dengan abang. Dingin macam air batu campur. Kalau dengan Faralina tu pot pet pot pet 24 jam. Nasib baik Fara sudi menolong!” Aku membulatkan mata.
“Haa… patutlah Fara beria suruh Fiah datang temuduga kat sini. Patutlah dia kata bos tengah tunggu. Patutlah dia beria cerita kat Fiah pasal encik, patutlah dia…”
“Berapa banyak patut daaa….” Pangkasnya mengusik. Aku tarik muka.
“Dia buat untuk kita!” sambungnya romantis.
“Tapi kenapa bukak syarikat sendiri?”
“Abang nak berdikari. Cukuplah abah biayai abang sampai habis belajar. Rasanya pengalaman setahun dengan Fiah dah cukup untuk abang bertatih dengan syarikat kecil kita ni,” jawabnya telus.
“Kita?” tanyaku teruja.
Encik Ilham mengangguk bersama senyuman yang ku kira cukup menggoda.
“Tapi Cik Ira tadi nampak mesra je dengan encik?”
“Abang…” Dia memperbetulkan panggilanku padanya. Aku tersipu malu.
“Ira tu adik abang la. Ira Fitriah. Saja jelah abang ambik dia jadi pelakon tambahan. Termasuklah Suraya, Faralina, Fariza dan abah. Abang yang minta abah arahkan Fiah outstation dengan abang, lepas tu minta Fariza dan Suraya usik report Fiah buat tu. Abang dah agak, mesti Fiah akan letak jawatan jadi senanglah abang nak sambar kerja dengan abang. Lepas tu minta Faralina serahkan iklan jawatan kosong tu pada Fiah. Last minutes plan.”
“Sampai hati,” keluhku kesal biarpun hati sudah melonjak girang.
“Dahlah marah beria-ia!”
“Kalau tak beria Fiah tak kan letak jawatan,” selanya bersahaja.
“Jadi IF Holdings tu stand for Ilham Fitri lah ya?” Encik Ilham menggeleng.
“Taklah. IF stand for Ilham Fiah!”
Aku lantas memeluknya tanpa sedar. Dan beberapa saat kemudian aku tersedar dan terus meleraikan pelukan. Wajahku bagaikan sudah dibakar. Encik Ilham ketawa.
“Kenapa?” soalnya. “Tak boleh, bukan muhrim!” jawabku malu-malu.
“Minggu depan kita jadi muhrim! Halalkan segalanya,” bisik Am ke telingaku.
“Tengok tu!” Mulutnya terus dimuncungkan ke arah sebuah bingkai gambar yang kemas terletak di atas meja. Macam pernah aku lihat. Ya, Allah! Rupa-rupanya dia yang ambil! Sangkaanku dulu terlalu jauh menyimpang.
“I love you too. Damn much!” gumamku ke telinganya. Dia ketawa.
*****
Daun pintu aku tolak perlahan. Suamiku yang sedang melonggarkan kain sampinnya terus berpaling. Aku tersenyum manis.
“Assalamulaikum,” hulurku mesra. Pintu bilik ku rapatkan semula. Andai dulu bilik ini adalah kawasan larangan untuk semua orang kecuali emak sahaja tapi kini sudah berkongsi dengan si dia yang membuatkan hatiku terjatuh.
“Waalaikummussalam…,” jawabnya manja.
“Abang nak mandi, nak sembahyang Asar! Tak selesa, panas sangat ni. Sayang mari solat dengan abang sekali, nak?”
Aku mengangguk. Ilham melonggarkan baju Melayu satin putih yang membalut tubuhnya. Terpana aku seketika melihat susuh tubuh sasa itu. Patutlah larat dia gendong aku yang berat ni dulu.
Seketika aku terpaku pada parut di bahu kirinya. Pantas aku membelek parut itu penuh tanda tanya.
“Ni kenapa?”
Aku tenung wajah Ilham pohon kepastian. Parut itu jelas dengan bentuk gigi. Bagaikan digigit. Hatiku dihambat curiga.
“Kena gigit dekat vampire?”
“Betul ke?” tanyaku dengan raut wajah percaya.
“Mana ada sayang ni!” Ilham meledakkan tawa.
“Dah lupa la tu dia gigit kita!”
Aku menekup mulut. Peristiwa dia menggendongku dulu terbias di mata.
“Padan muka, siapa suruh pandai-pandai angkat orang!”
“Kalau abang tak angkat, mahu Fiah terus jadi puteri salji kat situ. Terus beku tak cair-cair. Lagi payah abang nak buat hati Fiah terjatuh pada abang!”
“Tapi, Fiah tak sangka macam ni sekali kesannya,” ujarku manja bernada kesal.
“Masa tu kenapa sayang gigit abang? Geram ek? Tak tahan tengok abang yang kacak ni?” Ilham mencuit hidungku. Tak ada encik-encik lagi tau!
“Masa tu bukan geram dengan abang tapi geram dengan diri sendiri sebab dah terjatuh hati pada abang. Rasanya dah lama tapi masa tu baru sedar,” jawabku jujur.
“I knew it!” balasnya bangga. Aku mencebik.
“Emm… pasal kerja boleh tak Fiah nak letak jawatan?”
“Oh, no… no… you just can’t, honey!” Ilham menggoyangkan jemarinya di depanku.
Tubuhku dipaut penuh kasih ke dalam pelukan tubuhnya yang tiada berbaju itu. Terasa melekit dengan peluh itu namun itu sekadar mengundang rasa rindu yang menderu.
“Syarikat tu baru nak kukuh. Abang masih perlukan Fiah dalam syarikat tu!”
“Tapi, hari tu kata post untuk surirumah sepenuh masa….” Leretku padanya.
“Kalau nak sepenuh masa boleh, Fiah kena mengandung cepat sikit! Masa tu abang sendiri pecat Fiah!” Ilham merenungku dengan renungan nakal yang penuh dengan erti.
Aku melarikan wajahku daripada renungannya.
“Tak sangka, dalam ketawa, dalam airmata, Fiah sebenarnya dah jatuh cinta pada abang!”
Ilham membalikkan tubuhku lantas pinggangku dirangkul erat. Terasa kecil tubuh ini tatkala berada di dalam pelukan tubuh sasa suamiku yang tercinta.
“Ketawa dan airmata. Itulah sebenarnya cinta, sayang!” Bicara romantis Ilham membuatkan aku yakin dia adalah untukku. Dialah tawaku, dialah airmataku.
“Bulan depan nak letak jawatan la!” ucapku serius.
“Okey, tapi start malam ni kena kerja overtime la. Bulan depan insyaAllah Fiah kena pecat!”
Aku berpaling lantas menggigit lengannya bila menangkap maksud di sebalik kata-kata itu.
“Gigit abang nanti Ira tengok ke, dia cakap Fiah rakus pulak, tak malu!” gurau Am.
Aku menerima gurauan itu sengihan nakal. Menghantar maksud yang perasaanku untuk memaknakan status isteri padanya benar-benar menggebu dalam diri.
“Abang cinta sayang selamanya!”
“Fiah cinta abang biarpun habis nyawa!”


***TAMAT***

21 comments:

  1. best cita ni.. sya ska.. =D

    ReplyDelete
  2. ni mcm novel terlerai kasih je...anyways,citer ni tetap best..

    ReplyDelete
  3. so sweet ;-)... i like

    ReplyDelete
  4. huhu...suke la bbila encik tu panas baran mcm tu...haha nmpk mcm eal lelaki.

    ReplyDelete
  5. sgt sweet.....
    "ketawa dan airmata, itulah sebenarnya cinta.."

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau kau sedih,aku pn rasa,begitu sebaliknya..ku senang engkau cemburu..bla...bla..hihihi

      Delete
  6. i love it very mucchh....nice story

    ReplyDelete
  7. teringat plak dgn lagu ketawa dan air mata..teringat msa dlu2..

    ReplyDelete
  8. akk perbanyakn la cerpen lagi =D,, sya x d ,masa nak bca novel#panjg sgt,hee

    ReplyDelete