Sunday, August 07, 2011

HATI YANG KAU SAKITI


HUJUNG minggu itu aku gagahkan jua kaki ke pejabat. Andai tidak memikirkan arahan Encik Mukhriz, bosku mahu saja aku membungkang di atas katil hari cuti begini. Sudahlah penat bekerja sehari-hari menyediakan aliran keluar masuk syarikat. Dengan nombor-nombor segala, mahu buntang biji mata. Ini dipaksa pula datang bila dia sendiri membuat keputusan untuk mengubahsuai bilik yang menjadi tempat kerjaku 3 tahun lalu.
“I nak bagi keselesaan dekat you. Ju! You are my best accountant. So, you datang jelah ya weekend ni, tunggu sampai siap renovation tu!” Itulah pesanannya padaku semalam. Tidak dapat tidak, aku kini sudah tiba di pejabatku.
Kelihatan beberapa orang pekerja sudah mula bertukang. Mereka memandangku dan aku sekadar mengukir senyum di hujung bibir. Aku lirik jam di tangan. Sudah hampir jam 11 pagi. Terlewat daripada waktu yang dijanjikan sejam. Ah, tak peduli. Lebih baik buat kerja yang tertangguh semalam sikit. Aku terus duduk di mana meja dan kerusi serta kelengkapan kerjaku yang lain dialihkan sementara waktu.
Sedang aku ralit memerhatikan skrin leper monitor di depanku, seorang lelaki tiba-tiba menarik kerusi dan duduk di sebelahku. Aku mengucap panjang. Mahu luruh jantung.
“Err… maaf buat cik terkejut,” ujarnya tersengih manis. Erk… aku telan liur. Wajah lelaki ini tiba-tiba mengundang rasa asing di dalam hati. Aku tidak memaksa tapi datangnya menerjah saja. Senyuman yang dihiasi sepasang gigi taring itu aku balas seadanya.
“Cik kata pukul 10 dah datang. Kasihan pekerja saya, terpaksa menunggu kat luar tu lama. Mujur ada guard bukakan pintu!” Ketukan jemari pada keyboard terhenti. AKu terpukul dengan kata-katanya. Rasa bersalah hadir. Wajah hitam manis itu aku pandang.
“Maaflah, encik…..,” Aku meleretkan kata agar dia sudi memberitahuku namanya.
“Iskandar!” Aku tidak hampa bila dia memberitahu namanya seraya menghulurkan kad perniagaannya.
“Kontraktor kecil-kecilan je,” beritahunya tanpa aku pinta. Aku sekadar mengangguk sambil mata tertumpu kepada sebaris nama di atas dada kad nama tersebut. Iskandar! Nama maskulin, semaskulin orangnya. Bisik hatiku di luar sedar.
“At least ada bisnes,kan? Macam saya kuli je. Oh, maaflah, Encik Iskandar. KL weekend ni biasalah, traffic jammed!” Aku kembali mengetuk keyboard. Mengelakkan diri dari ditemubual atau aku sendiri yang bakal menemubual dia nanti. Takut juga hendak memandang wajah yang semakin membawa sesuatu di hatiku. Cinta pandang pertamakah? Tak kan sebegini mudah?
Dia bagaikan mengerti akan ketidakselesaanku dengannya, lalu dia berlalu menuju ke arah bilikku yang sedang diubahsuai. Aku menjeling tubuh sasa itu lalu membawa telapak tanganku ke dada kiri. Benar. Ada debar!
******
Pertemuan pertama aku dan Iskandar tidak berakhir di situ, bila dia kembali lagi beberapa hari kemudiannya untuk kerja-kerja finishing. Entah di mana memoriku menyorok hari ini hinggakan aku terlupa akan proses menyusun semula bilikku bila aku memakai baju dari jenis chiffon hitam kosong disesuaikan dengan kain batik ikatan pario lengkap dengan tudung dan kasut setinggi 2 inci setengah. Iskandar merenungku tidak berkedip. Bagaikan melihat seekor makhluk asing yang baru saja mendarat ke bumi. Aku kelu!
“Nak aku tolong ke, Ju?” Aku tersentak. Suara Shafikah, teman baikku dekat di cuping telinga sambil menepuk bahuku. Iskandar senyum lagi menampakkan gigi taringnya. Hatiku sudah mahu cair melihatnya. Jenuh aku pujuk hati.
“Kau ni Sha, terkejut aku. Heart attack kat sini karang?” Aku tarik muda sekadar mengusik Shafikah. Dia hanya sengih sumbing memandang aku dan Iskandar yang sedang menyiapkan kemasan karpet silih berganti.
“Emm… Encik Iskandar, ni Shafikah, kawan baik saya dan Sha, Encik Iskandar,” ujarku berbasa basi.
“Nak saya tolong ke, Encik Iskandar? Tapi rasanya tak boleh sebab saya ada report nak kena siapkan. Nanti Cik Juliana a.k.a akauntan a.k.a bos saya ni bising,” ucapnya selamba. Keras sahaja ditekan perkataan Cik itu. Iskandar kembali merenungku dan aku terpaksa membuat wajah selamba. Tidak mahu terkesan oleh sesiapa akan gemuruh yang melanda dalam diri. Sudahnya, Shafika berlalu dengan melirik matanya padaku penuh makna.
“Kenapa pakai macam ni?” tanya Iskandar tika aku merapatinya menolong dia menolak kabibet besi itu.
“Kenapa pulak? Okeylah ni. Menutup aurat apa,” jawabku mempertahankan diri.
“Menutup aurat tu, ya. Tapi, kan hari ni nak buat kerja kemasan ni. Nak susun barang segala. Pakailah yang simple je. Boleh ke nak tolong saya ni?”
Erk… bila masa pulak aku cakap nak tolong dia? Aku senyum lagi. Kali ini, aku mahu dia tertawan kerana kau tidak dapat menipu hati ini lagi. Benar, cinta pandang pertama.
“Nama awak Juliana, ya?” AKu angguk mendengar pertanyaan itu.
“Cantik nama tu. Secantik orangnya,” sambung Iskandar melirik ke arahku sekilas. Dalam hatiku ingin jua menjawab, nama dia juga tampan, setampan orangnya. Namun, rasa malu masih menebal. Lagipun, dia baru ku kenali seminggu ini. Masakan hendak diluah rasa hati. Karut!
“Awak percaya cinta pandang pertama?” Soalan Iskandar kali ini membawa aku memandangnya. Tangan yang sedang menyusun fail di dalam kabinet terhenti. Dadaku sesak dihentak degupan yang tidak berkesudahan.
“Kenapa?” soalku sepatah.
“Saja nak tahu sebab kalau saya, dulu tu tak percaya tapi sekarang saya percaya. Kalau Allah tu berkehendakkan, semuanya boleh jadi, betul tak?”
“Betul!” Sepatah lagi aku menjawab.
“Kalau saya cakap saya jatuh cinta pandang pertama pada awak, awak percaya?” Kali ini aku langsung berdiri. Iskandar mendongak padaku.
“Dalam dua tiga hari ni?” tanyaku pohon kepastian. Dia menggeleng.
“Taklah! Masuk ni dah seminggu, kan?” Aku tepuk dahi. Apa punya loyar buruk dia ni?
“Masih terlalu awal,” bantahku. Dia geleng lagi.
“Saya bukan jenis yang pandai bermadah, Ju. Saya suka saya cakap ya. Senang, kan? Kalau Ju menolak, tak mengapa. Kalau Ju setuju, kita boleh cuba jaya, betul tak?”
Aku terkedu. Berani benar lelaki ini. Perasaannya gagah, segagah tubuhnya hinggakan berani dia ‘melamarku’ biarpun baru dua kali bersua muka dan yang paling parah, aku boleh pula mengangguk. Kau gila, Juliana! Marahku pada diri sendiri.
*******
Aku tidak tahu bila hubunganku dengan Iskandar berkembang. Penuh berbunga satu ladang dan yang pasti, aku bersyukur bila dia benar-benar menyintaiku. Bersungguh-sungguh untuk menikahiku bila setelah hampir setengah tahun bersama, dia akhirnya menghulurkan tangannya melamarku. Lamar dalam erti kata yang sebenarnya.
“Terima kasih kerana sudi menerima abang seadanya, Ju,” ucap Iskandar pada malam pernikahan kami. Aku mengangguk. Puteri yang sedang lena di atas tilamku, kami pandang dengan penuh kasih sayang. Pertama kali Iskandar memberitahu akan status dudanya beranak satu, aku terperanjat jua namun, aku telah serahkan segalanya pada takdir. Andai dia jodohku, aku terima.
“Sama-sama, abang!” ucapku penuh manja. Iskandar memandangku lama dengan sengihan gigi taring yang memang amat menggoda. Lalu, satu kucupan hangat singgah di dahi sebelum dia bingkas bangun mengangkat puterinya.
“Eh, abang nak bawa Ilyani ke mana?” tanyaku pelik.
“Ni malam untuk kita. Anak kena tidur dengan mak la dulu malam ni. Abang rasa mak faham,” jawabnya sambil tersengih nakal. Aku pula yang menunduk. Malu menentang pandangannya.
“I’ll be back,” ucapnya seraya berlalu keluar dari bilik.
*******
Awal pagi itu, aku tersedar dari lena bila menangkap suara Iskandar yang sedang bercakap di telefon. Aku capai jam di sisi. 4.30 pagi! Dengan siapakah sesi pujuk memujuk itu? Hatiku cuak. Ada syak wasangka yang hadir.
“Aina tak boleh macam ni? Memang abang sayangkan Aina lagi, tapi abang dah kahwin sekarang. Abang tak akan abaikan nafkah abang pada Aina. Percayalah!”
Jantungku bagai terhenti mendengar butir bicara itu. Adakah bekas isterinya? Ya Allah, aku tidak patut menaruh syak.
“Abang tak boleh nak buat apa, Aina. Aina yang pergi dari hidup abang. Kenapa bila abang kahwin, Aina menangis macam ni?” Suara Iskandar tegas dalam bisikan. Tidak mahu mengejutkanku barangkali sedangkan aku sedari tadi sudah memasang telinga.
“Tak, Aina. Abang perlukan seorang wanita dalam diri abang. Yang boleh abang bermanja, jaga makan pakai abang!” Iskandar mendengus. Hatiku tersayat. Perlukan seorang wanita? Untuk bermanja? Bukan perlukan seorang isterikah?
“No, Aina tak boleh macam ni. Aina jangan buat abang macam ni. Jangan cederakan diri Aina. Abang yang akan rasa sakit nanti!” tekan Iskandar lagi. Dia meramas rambutnya. Bagaikan menahan amukan perasaan. Tubir mataku suam tiba-tiba. Aku ketap bibir kuat menahan nafas yang bergelora dilanda sebak.
“Tak, Aina jangan macam ni. Abang sayangkan Aina lagi. Sekali Aina cakap ya, abang akan tinggalkan segalanya dan pergi pada Aina,” sambung suamiku lagi. Saat ini, air jernih yang ku tahan itu mengalir laju. Aku menarik selimut menutupi kepala. Menggigit hujung lengan baju biar tidak terkesan bunyi esakanku. Kini, hatiku terluka kala hari pertama bergelar isteri.
*******
Biarpun hati penuh calar luka, aku tetap melayani Iskandar dengan baik. Bukankah syurgaku di telapak kakinya. Emak dan ayah juga tidak sudah berpesan agar aku mentaati suami tapi tahukah emak dan ayah yang suamiku itu tidak sebenarnya mahukan aku di dalam hatinya. Di rumah keluarganya, aku sedikit terubat bila mereka melayaniku dengan baik. Anak perempuan Iskandar juga manja denganku hinggakan luka hati ini sirna begitu saja.
“Abang dah makan?” tanyaku bila Iskandar tiba di rumah lewat malam itu. Hampir saja aku terlena di sofa menunggu kepulangannya.
“Dah,” jawabnya sepatah. Lalu dia merebahkan badan ke sofa. Aku merapati. Lalu dahinya aku cukup tipis. Matanya terpejam, raut wajahnya jelas kelelahan. Stoking di kaki aku buka lalu aku terus ke atas menyiapkan pakaiannya.
“Abang, bangun mandi dulu. Dah solat belum ni?” soalku lembut. Jemarinya aku gapai. Dia mendengus.
“Abang,” seruku lagi. Tiada jawapan hinggakan aku beranikan diri mencuit pinggangnya kerana aku tahu, tempat itu sensitif baginya.
Andai beberapa hari perkahwinan, aku tetap dilayani dengan baik biarpun aku tahu dia sedang merahsiakan sesuatu tapi kini aku hampir menitiskan airmata bila dia keras membentak.
“Boleh tak Ju jangan kacau abang? Abang penat ni tau tak? Ju dok rumah, abang keluarga kerja. Bila balik nak membebel pulak?” marahnya tiba-tiba.
“Ju berhenti kerja sebab abang suruh. Ju cuma nak kejut abang mandi. Itu je?” Airmataku mengalir laju.
“Kat luar rumah semak, kat dalam rumah ni lagi semak!” bentaknya lalu meninggalkanku terkulat-kulat sendiri.
“Kenapa abang buat Ju macam ni? Salah apa Ju pada abang?” gumamku sendiri.
Aku balik ke bilik selepas menukar lampin Ilyani yang berumur setahun itu. Iskandar sudah enak dibuai mimpi. Perlahan-lahan aku merebahkan tubuh di sisinya. Tidak sampai beberapa ketika, Iskandar memaut tubuhku ke dalam pelukannya.
“Abang sayangkan, Aina!” Terhenti degup jantung ini seketika. Suara igauannya setiap kali akan membuatkan airmataku meleleh laju. Aku yang di dalam pelukan, tapi nama lain yang ditukasnya. Terlalu besar bezanya Juliana dan Aina.
Usai Subuh dinihari itu, aku berteleku lama di atas sejadah. Mengadu dan menyerahkan untung nasibku di tangan Allah. Selepas meraup wajah, aku merapati Iskandar masih tidur pulas di katil. Aku sentuh jemari kakinya.
Selepas beberapa kali menyeru namanya, barulah dia bangkit, itupun selepas dia merengus panjang. Aku turun ke bawah untuk menyiapkan makan sarapan pagi dan selepas itu menguruskan Ilyani. Itulah rutin harianku bila Iskandar meminta aku meletak jawatan.
“Kak Ju,” sapa Ira, adik iparku ramah. Dia mengucup pipiku seperti sebelumnya. Hari ini nak pakai kereta akak boleh tak? Ira ada hal kat luat kampus hari ni,” pintanya seraya melabuhkan duduk di kerusi. Aku hulur sepinggan nasi goreng padanya.
“Boleh. Akak bukan nak ke mana pun!”
“You are the best sister in-law la, kak! Tak macam Kak Aina dulu, tu!” Tingkahku mati bila nama itu meniti di bibir Ira.
“Ira, akak tanya sikit, boleh?” Ira mengangguk.
“Kenapa Abang Is dengan Aina berpisah?” tanyaku luhur.
“Abang tak pernah cerita, ke?” tanya Ira padaku pula. Aku menggeleng. Benar dia tidak pernah berbicara mengenai kehidupan rumahtangga lamanya. Pada mulanya aku kuat mengatakan yang dia tidak mahu mengungkit kisah pedih tapi kini hati ini kuat mengatakan yang dia sedang merancang sesuatu.
“Mereka bergaduh masa awal-awal Kak Aina mengandungkan Ilyani. Bila lepas bersalin, abang kembali berlembut sebab dah ada baby, nanti kasihan dekat Ilyani kalau mereka berpisah tapi sayang, Kak Aina nak bercerai juga sebabnya dia memang dia dah tangkap cinta tahap maut pada teman lelaki lama dia. Tapi, sekarang dia belum lagi kahwin dengan teman lelaki dia tu dan abang pun dah kahwin dengan akak. Syukur sebab Ilyani dapat mama yang sebaik akak,” ujar Ira ceria. Aku senyum paksa menyembunyikan hati yang luka.
Ira tak akan pernah tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga kami sekarang, dik. Di hati Abang Is, nama Aina tak pernah padam! Getus hatiku sebelum kalih pada si comel Ilyani yang sedang terkedek-kedek menuruni anak tangga. Bimbang dengan keselamatannya, tubuh itu terus aku sambar ke dalam pelukan.
“Anak mama dah bangun, ya? Tak dengar pun sayang mama ni bangun? Biasa merengek. Hari ni mood apa pulak tak merengek langsung!” Pipi montel itu aku kucup bertalu-talu.
“Sebab Yani tak nak susahkan mama lagi, kan? Yani saya mama, kan?” tokok Ira pula.
“Abah mana, Ira?” tanya Iskandar yang sedang menuruni anak tangga.
“Eh, abang ni. Salam ke mana, main terjah je soalan,” rungut Ira. “Abah ke surau Subuh tadi, tak balik lagi. Ada tazkirah la tu,” sambungnya lagi. Iskandar duduk di sebelahku. meraih Ilyani ke atas ribaannya. Aku langsung menyenduk nasi ke dalam pinggan lalu ditolak ke depannya.
“Abang ada site visit ke hari ni?” tanyaku pada Iskandar. Dia menjelingku sekilas. Wajahnya tidak beriak.
“Tak ada site pun tapi abang nak jumpa orang kejap,” jawabnya antara hendak dengan tidak. Aku terkesan renungan Ira padaku. Menghantar maksud yang tersirat. Tidak mahu Ira terus menebak sendiri, aku ukir senyum manis.
“Mari sini, sayang. Papa nak makan tu. Jom, kita naik mandi!” Tubuh montel Ilyani aku tarik dari Iskandar. Lalu aku menapak ke atas.
“Ira memandai cakap macam tu tadi kenapa? Ira nak Yani lupakan Kak Aina, ya?” Langkahku pegun di anak tangga pertama bila suara Iskandar keras memarahi adiknya.
“Apa pulak abang ini? Salah ke kalau Yani rasa Kak Ju mama dia? Lagipun, bekas isteri abang tu tak pernah nak ambil tahu pasal Si Yani tu. Jadi, untuk apa abang nak bagi hak ibu tu pada dia,” protes Ira agak meninggi.
“Macam mana pun, Aina tetap mama Yani. Abang tak suka kalau Ira cakap macam tu lagi. Abang tak nak Yani lupakan Kak Aina,” tegas Iskandar pula.
“Ira tak dapat nak nafikan kenyataan itu, bang! Seluruh dunia tak boleh menidakkan yang Kak Aina tu mama kandung Yani tapi cuba abang fikir, sejak lahir, ada dia belai Yani? Nyusukan Yani? Yang dia tahu minta cerai je. Gilakan sangat jantan lain,” bentak Ira lagi. Aku tahu dia marah tapi hatiku lagi marah bila suamiku sendiri terang terentang menginginkan bekas isterinya semula. Tubir mata yang sedari sarat menahan airmata, tewas lagi. Aku sentiasa tewas sejak menjadi isteri Iskandar. Silapkan percaturan hidupku ini, Ya Allah?
“Abang masih sayangkan dia, Ira. Ira tak akan faham!” Suara Iskandar kedengaran mengendur. Menghantar maksud yang dia benar-benar memerlukan Aina lebih dariku. Aku tahan hati. Tubuh Ilyani aku dakap seeratnya. “Biar apa pun berlaku, Yani anak mama!” Bisikku ke telinga kecil itu.
“Astaghfirullah, abang Is!” Ira mengucap panjang.
“Abang sedar tak sekarang ni? Are you out of your mine? Kak Juliana binti Jazmin tu siapa kalau abang masih sayangkan Aina tu?”Ira seakan berbisik. Bunyi pinggan berlaga pula sedikit bingit. Mungkin Ira sedang marah.
“Tolonglah, abang Is. Jangan cakap macam tu. Dengar ke Kak Ju nanti, bersepai hati dia. Dia sekarang tanggungjawab abang. Dia yang berhak atas abang, bukan lagi Aina. Janganlah abang kejam sangat anggap Kak Ju tu sandaran semata-mata. Dia bukan sekadar teman tidur abang, tapi isteri abang. Benar, kita tak boleh nak nafikan hak Aina pada Yani tapi fikirlah, bang. Bila soal hati dan perasaan abang sendiri tak pasti, akhirnya Kak Juliana yang akan jadi mangsa, bang!”
Aku dengar kerusi ditolak dan sekelipan enjin keretaku dihidupkan. Ira telah berlalu keluar dan aku melangkah lemah menuju ke bilik Ilyani bersama airmata yang tak terseka.
“Hati mama disakiti, Yani,” bisikku pada anak yang tidak mengerti apa-apa itu.
******
Punggung Ilyani aku tepuk perlahan. Mendodoikannya tidur memandangkan hari sudah lewat malam. Payah benar dia nak tidur malam ni. Sedari tadi merengek. Aku kalih ke belakang bila terbias susuk tubuh di ambang pintu.
“Eh, Ira. Tak tidur lagi ke? Esok tak ada kuliah?” tanyaku mesra.
“Belum, kak. Ira saja nak sembang dengan akak!” Ira duduk di birai katil dekat denganku seraya melabuhkan telapak tangannya ke belakang tanganku.
“Emm… Ira tanya satu soalan boleh?” AKu pandang Ira tenang. Memberi keizinan melalui senyuman.
“Abang Is layan akak okey ke?” Ira beriak risau. Aku melebarkan senyuman menyembunyikan rasa pilu yang datang menghentak hati.
“Kenapa Ira tanya macam tu?” tanyaku kembali.
“Ira bukan apa kak. Ira tengok sejak akhir-akhir ni abang kerap balik lewat. Kat meja makan pun dah jarang nak bergurau dengan akak!
“Ira, you got the point. Abang Is balik lambat, jadi dia penat. Dah tentulah dia tak ada mood nak bergurau! Padahal kami baik je. Tak ada masalah pun,”bohongku.
“Akak jangan nak bohong. Sebab akak bukan penipu yang baik pun. Ira ada ni untuk dengar luahan akak,” tekan Ira lagi.
Aku paut bahunya rapat padaku bila Ilyani sudah terlena. Aku usapnya lembut seperti selalu. Dia sudah ku anggap bagaikan adik sendiri bila aku sendiri adalah anak tunggal.
“Ira, adik Kak Ju. Abang Is layan akak dengan baik. Akak tak pernah rasa terabai apatah lagi rasa jauh darinya,” tipuku lagi. Padahal sejak hari pertama dinikahkan, aku sudah terasa jauh dari hatinya. Hanya jasadku sahaja dekat tatkala dia menginginkanku biarpun sudah beberapa kali dia bisikkan kata-kata sayang buat Aina di cuping telinga ini. Ya, aku masih tidak pekak. Masih jelas pendengaran ini. Menangis hatiku setiap kali mengingatkannya.
“Akak tipu Ira, kan. Ira tahu akak dengar semua yang abang cakapkan pada Ira semalam masa sarapan!” bentak Ira. Kelopak mataku terasa sarat sudah. Kemain sukar aku melarang airmata ini dari keluar tapi kenapa Ira bagaikan mahu aku menitiskannya?
“Ira nak akak buat apa kalau benar akak dengar semua tu?” tanyaku bersama juraian airmata.
“Akak tak berdaya Ira. Tak terjangkau dek akal Ira apa yang tengah berlaku sekarang ni. Tapi, akak tak nak derhaka pada Abang Is. Dia suami akak. Akak sayang dia. Tak semudah tu akak nak canang kepincangan rumah tangga kami, Ira. Maruah Abang Is, akak wajib jaga,” sambungku diselangi esakan.
“Jadi betullah apa yang Ira sangka ni, kan? Ira tak fitnah abang la, kan? Abang Is memang tengah kejar janda puaka dia tu, kan?” Ira bingkas berdiri dengan raut yang tegang menikam anak mataku.
“Tolonglah, Ira. Biarkan kami selesaikan masalah kami sendiri, ya dik? Akak tak nak abang Is bertambah marah pada akak!”
“Tak boleh, kak! Abang Is dah melampau. Dia tak sedar ke yang Aina tu dulu yang tinggalkan dia? Ikut jantan lain. Apa buta sangat Abang Is ni?”
“Ira.” Aku raih tangannya. Menariknya menjauh dari si kecil Ilyani yang sedang lena.
“Ira kalau sayangkan akak, tolong akak Ira. Anggap jelah Ira tak tahu akan semua ni! Akak masih kuat untuk hadapinya,” rayuku pilu.
“Kuat dengan mengalirkan airmata? Kuat dengan membiarkan hati sendiri disakiti?” tekan Ira lantas berlalu keluar. Aku terduduk di ambang pintu. Pilu dengan nasib diri.
“Ira tak akan faham. Akak cintakan Abang Is dengan harapan dia bahagia dengan akak tapi bila dia tak bahagia, akak lebih lagi terseksa, Ira,” rintihku sendiri.
*******
Malam itu, Iskandar tiba saat aku sedang bersujud di sepertiga malam mengharapkan belas ihsan dari Allah yang Maha Mengetahui.
“Lambat abang balik? Abang dah makan?” tanyaku sopan seraya menyalami tangan kasarnya.
“Belum. Ju siapkan baju abang. Abang nak mandi jap. Lepas tu abang nak makan!” Iskandar terus berlalu ke bilik air. Aku tersenyum lega. Ada tunas bahagia bercambah dalam diri. Dia kembali menunjukkan kemesraannya padaku.
Selepas melipat telekung aku segera menuju ke almari, mengeluarkan pakaian tidurnya lalu ku hamparkan sejadah kembali kerana aku yakin mengatakan Isyaknya masih tidak ditunaikan. Aku lantas turun ke bawah menuju ke dapur.
Selepas hampir setengah jam, Iskandar sudah duduk di kerusi. Menjamu selera bagaikan tidak menjamah apa-apa makanan seharian ini.
“Makan pelan-pelan, bang. Tercekik nanti,” ucapku lembut.
“Abang tak makan apa lagi dari pagi. Banyak site nak kena pergi tengok tapi tendernya entah dapat entah tidak lagi!”
“Kot ya pun, makanlah pelan-pelan. Kalau ada rezeki, adalah tu nanti. Ju doakan moga murah rezeki abang,” ujarku lagi bernada pujukan. Dia senyum. Sudah lama tidak ku lihat kemanisan senyuman dihiasi gigi taring itu.
“Sekarang abang tengah kering sikit, Ju. Bayar nak masuk tender sekarang bukan sikit tapi sudahnya tak dapat. Ni dah berbulan abang tak ada job. Tinggal satu dua projek yang dah nak siap je. Gaji budak-budak nak kena bayar,” keluhnya.
“Elok tak kalau Ju kerja balik? Setidak-tidaknya gaji Ju boleh tampung keperluan rumah,” cadangku. Iskandar terhenti suapannya.
“Ju nak kerja kat mana?”
“Office lama Ju la. Ju mohon jelah dulu apa-apa jawatan yang ada. Sebab setahu Ju, jawatan akauntan dah terisi. Itupun Shafikah yang bagitahu Ju lama dulu.
“Ikut suka Ju lah. Mana yang Ju rasa okey, abang izinkan. Maaflah sebab dulu memandai abang je suruh Ju letak jawatan.” Iskandar senyum padaku. Hatiku mula merinduinya.
“Abang kan suami Ju. Kalau Ju tak dengar cakap abang, cakap siapa lagi Ju nak dengar!”
“Ju memang baik. Emm… sedap Ju masak hari ni. Minta nasi tambah sikit. Memang setanding la dengan masakan Aina!”
Semangatku terbang. Hati ini disakiti lagi bila nama itu lancar saja ditukas Iskandar. Tidak sedarkah dia akan apa yang terbit dari celah bibirnya? Tunas bahagia yang mahu bercambah tadi tercantas sudah. Iskandar tidak pernah membiarkan tunas bahagia itu mekar berkembang.
Aku angkat mangkuk nasi tambah dengan tangan yang terketar-ketar. Menyenduk nasi ke dalam pinggannya dengan luka yang di hati.
“Dulu Aina biasa masak nasi keras. Abang tak suka. Nasib baik Ju pandai masak nasi. Sedang elok je. Abang suka,” ucap Iskandar lagi seraya meneruskan suapan.
Jiwaku ranap. Aku tidak tahu Iskandar sedar atau tidak yang dia sedang membandingkan aku dengan isterinya dengan Aina, bekas isterinya. Biarpun aku tidak pernah bersua empat mana dengan Aina, kini yakinlah aku bahawa wanita itu hebat orangnya hingga bisa membuatkan Iskandar terpalit bayangan lalu. Membiarkan aku tenggelam di dalam cinta yang aku suburkan untuknya.
*******
Hari itu, selepas menghantar Ilyani ke taska, aku ke pejabat Encik Mukhriz mohon simpati daripadanya agar menerima aku bekerja kembali atas apa jua jawatan. Waima tukang cuci sekalipun. Aku perlukan pendapatan sendiri untuk menyara hidupku nanti selepas aku yakin, Iskandar akhirnya akan memilih Aina nanti. Kala itu, di mana harus aku tercampak? Tidak mungkin aku akan kembali rebah di kaki mak dan ayah. Membiarkan mata tua mereka digenangi airmata dengan kekalahanku. Tidak, biarlah aku menanggungnya sendiri.
“Ju, rindunya pada kau. Lepas jadi isteri terus lupa aku, kan?” rajuk Shafikah.
“Mana ada. Aku lagi rindu kau tapi biasalah dah jadi isteri dan ibu ni pergaulan terbatas la sikit,” jawabku ceria.
“So, how’s life?” Tanya Shafikah. Aku jungkit bahu.
“Just fine.”
“Just fine je? Dah dekat 3 bulan ni tak ada berita baik lagi ke?” Shafikah angkat kening. Senyuman itu sudah lama tidak dijamu mata. Senyuman mengusik.
“Kau ni, Sha. Ada jelah nak usik aku!” Aku menyimpul senyum mengerti dengan maksudnya.
“Eh mestilah, dah kahwin, kan. Mestilah kena tanya ada berita baik ke tidak. Aku nak juga dukung anak buah baru ni. Kau pun tahu kan, kita sama-sama anak tunggal so kita kenalah tolong masing-masing untuk merasa pegang anak buah,” ujar Shafikah. Aku cubit lengannya.
“Aku nak tunggu anak buah aku keluar dulu, baru aku bagi kau anak buah,” usikku pula. Shafikah buntang mata.
“Banyaklah kau.” Dia ketawa. “So, jawatan apa dapat? Bila mula?”
“As my qualification. Esok mula,” jawabku melebarkan sengihan.
“Waaa… jadi bos aku balik la Puan Juliana ni, ya? Tak sangka bos boleh maintain kan post kosong tu sebab tak jumpa yang secekap kau. Tak menahan aku nak bantai gelak. Sudahnya, aku di suruh ganti kejap tapi tak apa dia bayar elaun khas untuk itu!”
Perbualan dengan Shafikah mati di situ bila Iskandar menelefonku dengan mengatakan dia sedang menunggu di bawah. Aku pantas berlalu selepas bersalaman dengan Shafikah.
Aku ketuk cermin kereta Honda Civic putih mutiara milik Iskandar. Dia pantas menggamit jemarinya meminta aku masuk.
“Ju tak sangka abang nak jemput Ju,” luahku memaksudkan rasa tidak sangka itu.
“Kebetulan abang lalu sini, so ingat dekat Ju. Macam mana? Dapat?”
Aku angguk. “Alhamdulillah, dapat jawatan lama Ju.”
“Ju, abang ada benda nak cakap ni?” Bicara Iskandar sedikit tersekat. Bagaikan ada sesuatu yang penting ingin disampaikan.
“Cakap jelah, bang,” balasku memberi keizinan.
“Abang perlukan duit. Tapi agak banyak!” beritahunya tanpa memandang ke arahku.
“Abang nak buat apa?”
“Pasal company abang tu lah. Tak dan nak rolling!” Aku angguk tanda mengerti.
“Berapa abang nak?”
“RM 50 ribu!” Terlopong aku dibuatnya dengan amaun yang Iskandar perlukan. Mungkin baginya itu adalah satu amaun yang sekadar di hujung kuku tapi bagiku, yang baru 3 tahun mengumpul pendapatan sendiri, aku tidak ada sebanyak itu. Andai dijual segala barang kemas, rasanya aku hanya mampu menyediakan RM 15 ribu sahaja.
“Banyak sangat tu, bang! Ju tak ada sebanyak tu.”
“Emm… tak kisahlah. Sikit pun tak apa. Yang selebihnya abang akan ikhtiarkan sendiri. Boleh tak Ju tolong abang?” Iskandar meraih jemariku erat.
“Mestilah boleh. Kalau bukan Ju yang tolong abang siapa lagi nak tolong!” Senyumanku melebar. Terlupa pada hati yang selalu Iskandar sakiti bila dia memaut erat jemariku. Bagai menggambarkan diri ini sentiasa diperlukan.
“Thanks, sayang!”
*******
Hari berganti hari, aku tidak sudah memanjatkan syukur bila rezeki suami mula tiba. Setidak-tidak pengorbanan wang ringgitku selama ini membuahkan hasil walaupun terpaksa menjual segala barang kemas termasuk keretaku. Yang tinggal hanyalah sebentuk cincin tanda aku milik Iskandar yang masih kemas tersarung di jari manisku.
Esoknya, selepas tamat waktu pejabat aku masih setia menunggu Iskandar di perhentian bas di depan Megah Tower bila dia menghantar pesanan ringkas untuk menjemputku.
“Mana abang ni?” rungutku sendiri bila hari sudah mula merintiknya hujan. Cuaca makin kelam. Aku lirik jam di tangan. Sudah hampir sejam aku menantinya. Kurang dari sejam lagi, malam akan menjengah. Lama menanti dan telefon bimbitnya juga tidak bersambut aku akhirnya membuat keputusan untuk pulang saja ke rumah dengan menaiki teksi. Kewalahan hati ini, bimbang akan Ilyani yang ku tinggalkan pada Ira dan bapa mentuaku.
Tiba di rumah, aku lihat Ira sedang mendodoikan Ilyani dan abah pastinya masih berada di masjid. Senyuman Ira sedikit kelat bagai menyembunyikan sesuatu. Aku terus naik ke atas dan belum pun sempat aku menolak daun pintu yang sikit terkuak itu, aku dengar suara Iskandar jelas bercakap di telefon.
“Aina, dengar sayang. Abang perlukan kereta abang tu!” Aku tahan hati lagi. Patutlah tiada keretanya di porch dan patutlah dia tidak dapat menjemputku.
“Kereta Juliana dah jual nak rolling modal abang. Kan abang dah bagi RM10 ribu pada Aina. Tak cukup lagikah pengorbanan abang untuk Aina kembali pada abang?” tekan Iskandar kuat. Suaranya tegang.
Demi mendengarkan perkataan kembali itu, aku jatuh terduduk. Serasa tubuh ini tidak bertulang atau lidah Iskandar yang memang tidak bertulang itu pandai bermain kata denganku selama ni. Hadir tika dia memerlukan, pergi bila segalanya telah aku beri. Bodohnya ku kerana merasakan dia benar-benar memerlukanku selama ini.
“Please, Aina. Once you say yes, abang akan lepaskan Juliana pergi. Kita boleh bina semula keluarga kita. Abang, Aina dan Yani. Bolehkan, sayang!”
Kali ini, wajahku dilanda bah yang di luar musim bila Iskandar bagaikan nekad ingin melepaskan aku pergi andai dapat dia raih Aina semula. Aku memeluk lutut erat tanpa sedar Ira rapat padaku.
“Tahniah, kak. Inilah harga yang akak perlu bayar untuk menanggung semuanya sendiri. Menangislah kak, menjadi orang yang tewas mempertahankan rumahtangga sendiri. Menangislah untuk hati akak yang sakit tu,” sinis Ira padaku. Aku menahan esakan lalu bangkit menuju ke bawah.
“Mujur saja abah tak tahu. Kalau abah tahu, mahu sakit jantung orang tua tu,” sambung Ira yang membuntutiku.
“Tahu apa ni?” sergah abah tiba-tiba. Aku kaku. Ira senyum sinis lagi seraya berlalu ke dapur meninggalkan aku menghadap abah sendirian.
“Abah tak tahu lagi kan yang Ju dah kerja semula,” ucapku cuba berbahasa.
“La.. akan abah dah tahu. Bukan baru hari ni Ju start kerja,” jawab abah seraya berlalu. Aku kelu. Tewas dalam pembohongan diri sendiri. Mujur sahaja abah tidak terus bersoal jawab.
“Ju,” panggil Iskandar tiba-tiba.
“Eh, abang!” Aku raih jemarinya lalu aku salam seperti biasa.
“Lama dah Ju sampai?”
“Emm… baru la….”
“Dah lama! Abang buat apa dalam bilik sampai Kak Ju turun semula ke bawah?” pangkas Ira selamba. Aku ketap bibir.
“Mind your word, Ira.”
“Hai, terasa abang? Kuat makan ajinomot kot. Tapi rasanya Kak Ju masak selama ni tak pakai ajinomoto pun. Tak payah nak pakai penambah perisa sebab kak Ju masak semuanya cukup rasa. Tapi, tak tahulah kalau abang suka makan ajinomoto kat luar,” sinis Ira lagi.
“Ira!” Aku geleng kepada pada Ira. Berharap agar dia menghentikan semuanya. Iskandar terus berlalu keluar rumah tanpa aku tahu ke mana hala tujunya dan pulangnya juga lebih lambat dari sebelumnya.
Dan aku, hanya berdaya membawa hati yang sentiasa disakiti ini mohon diubati oleh Yang Esa.
******
Tubuh yang lemah memaksa aku memohon cuti kecemasan daripada Encik Mukhriz melalui Shafikah. Dari pagi hingga ke petang, aku pegang janji Iskandar untuk menghantar ku ke klinik. Aku memanjatkan syukur bila dia akhirnya muncul usai aku menunaikan fardhu Asar. Aku pelik, hubungan kami masih biasa. Dia bagaikan tidak mempunyai apa-apa rahsia denganku. Cuma hubungannya dengan adiknya sendiri berubah dingin. Adakah dia masih menganggap aku tidak tahu akan agendanya? Aku tidak pasti.
“Maaf Ju, abang lambat. Ada hal sikit,” terangnya tatkala aku baru masuk ke perut kereta.
“Tak apa,” jawabku ringkas. Tanganku pantas meraba seat kereta bila merasakan ada sesuatu yang menjadi alas dudukku. Aku buntang mata melihatkan kerongsang bersalut perak itu bersilau di mata. Yang pasti bukan milikku dan usah ku tanya kerana aku yakin itu adalah milik Aina. Aku segera menyorokkan kerongsang itu di dalam beg tanganku. Tidak mahu Iskandar mengesan akan penemuanku.
“Ju tunggu sekejap, abang nak keluarkan cash dulu,” beritahu Iskandar setelah dia menghentikan keretanya di Petronas, menuju ke ATM.
Tanganku terpanggil untuk membuka peti dashboard kereta bila aku ternampak kotak baldu merah. Aku tarik dan membukanya. Airmataku merintik. Hatiku ngilu bila satu set barangan kemas berkilau itu bersama sekeping kad yang jelas tertera nama Aina.
“Apa semua ni, bang? Kenapa buat Ju macam ni?” rintihku pedih. Belum sempat aku meladeni sayu, Iskandar kembali ke kereta dan aku cepat-cepat meletakkan kembali kotak baldu itu ke tempat asalnya. Pantas jemariku menyeka sisa airmata.
“Lama ke tunggu?” tanyanya. Aku menggeleng. Iskandar terus menghidupkan keretanya dan terus meluncur laju ke sebuah klinik berhampiran.
“Ju, masuk dulu. Nanti abang masuk. Abang jawab call jap!” arah Iskandar saat kami tiba di depan pintu Klinik Maziah. Tidak dapat tidak aku mengangguk dengan hati yang sebal kerana aku yakin panggilan itu adalah dari Aina.
Selang setengah jam, kelibat Iskandar masih belum muncul. Jenuh aku mencipta alasan pada Doktor Maziah bila dia bertanyakan akan suamiku sedangkan aku dating dihantar oleh sang suami.
“Tak mengapa puan. Nanti puan boleh kongsi berita baik ni dengan suami puan, ya! Nah, simpan ni! Gambar hitam putih yang dihulurkan oleh doktor separuh usia itu aku sambut. Kini, aku telah temui penawar akan luka yang suamiku berikan selama ini.
Setelah keluar daripada klinik, kereta Iskandar tiada di parking. Kini tahulah aku dia sudah berlalu tanpa pamitan. Aku gagahkan jua jemariku untuk mendail nombor telefonnya kerana merasakan aku telah mempunyai sesuatu yang maha hebat untuk membawa dia kembali padaku biarpun aku tahu selama ini dia tidak ikhlas menyintaiku.
“Hello, Ju! Balik sendiri. Abang kena hantar Aina ke hospital. Dia jatuh kat rumah dia tadi.” Dup, bagai jatuh bertimpa-timpa, aku kalah sebelum berjuang. Tidak sempat aku bersuara Iskandar telah mematikan talian. Mematikan dalam erti kata yang sebenarnya bila talian itu tidak dapat bersambung lagi.
Aku terduduk di situ. Menangisi nasib diri semahu-mahunya. Tiba-tiba, bahuku ditepuk seseorang. Aku kalih. Wajah bengis Shafikah jelas di mata. Aku paut tubuh itu dan menghamburkan tangis mengenangkan kekejaman Iskandar padaku.
“Kau menderita selama ni, Ju. Kenapa kau tanggung semua ni seorang diri? Mujur sahaja aku tergerak hati nak melawat kau. Aku nak pitam dengar cerita adik ipar kau. Bila dia suruh aku cari kau kat sini, lagilah aku baran bila kau terjelepuk. Kau toksah nak cerita, Ju. Aku yakin ini semua perbuatan jantan keparat tu!” marah Shafikah saat dia memandu menghantarku pulang ke rumah.
Sepanjang perjalanan aku sekadar diam. Tidak mampu berbicara walau sepatah perkataan. Khabar indah itu, aku biarkan saja diam bersama zuriat yang baru berumur 3 bulan dalam rahimku. Benih Iskandar!
Benar kata Ira dulu, abangnya hanya menganggapku teman tidur dan sandaran semata-mata. Kini, cintaku pada Iskandar hampir sirna.
******
“Abah tak sangka kau boleh buat Juliana macam ni, Is? Suami jenis apa kamu ni? Kenapa mesti kamu nak kejar lagi Aina tu. Bukankah dia yang tinggalkan kamu dua beranak dulu? Abah tengok tak ada yang kurang pada Juliana ni,” jerkah abah pada satu malam setelah mendapat berita rumahtanggaku daripada Ira.
Wajah Iskandar merah padam. Mungkin menahan marah pada Ira atau boleh jadi padaku bila renungannya padaku bagaikan singa lapar. Aku tunduk lagi. Beralah.
“Kalau adik kau tak cerita semua ni, memang sampai matilah kau tipu abah hidup-hidup, Iskandar!” Keluhan abah berpanjangan. Dia mengucap panjang.
Aku hanya mampu mengalirkan airmata memikirkan rumah tanggaku yang bagaikan berada di hujung tanduk. Aku mahu Iskandar yang menamatkan kerana dia yang memulakan tapi bila abahnya sudah bersuara, keruhnya sudah tidak tertapis.
“Muka mata kau Is. Siapa yang jaga Ilyani selama ni. Perempuan tu tak layak pun nak dibandingkan dengan hujung kuku Juliana. Kenapa kamu sanggup berikan segala-galanya pada Aina sedangkan dia bukan tanggungjawab kamu? Lebih pedih lagi, apa yang kamu ada selama ini adalah kerana pertolongan isteri kamu ni. Bergolok gadai demi suami yang tak pernah mengenang dek untung. Tak tahu rasa syukur!” luah abah lagi Ira hanya diam di satu sudut. Aku hanya mampu mengeratkan pelukan pada tubuh Ilyani. Mengharapkan sedikit kekuatan daripada tubuh kecil itu.
“Abang Is memang dah buta, bah! Dari awal kahwin sampai sekarang dia memang dok gilakan janda dia tu. Kak Ju dia abaikan,” tokok Ira menambah minyak tanah pada wajah abangnya yang membara.
“Kau diam, Ira! Kan abang dah pesan, kau jangan campur tangan. Abang nak terangkan dengan cara baik pada Juliana. Sekarang semuanya jahanam!” Iskandar membentak sambil mendekati adik perempuannya. Direnungnya Ira yang hanya separas dadanya.
“Abang jangan nak salah Ira,” balas Ira berani.
“Kak Ju dah tahu masa malam pernikahan abang lagi yang abang dok gilakan Aina tu. Abang nikah dengan Kak Ju sebab nak tunjuk pada Aina yang abang mampu hidup dengan perempuan lain, kan? Lepas tu syarikat hampir nak bankrap sebab dok tabor duit kat Si Aina tu nak beli dia dengan duit ringgit. Eh, abang! Orang macam Aina tu tak akan pandang abang. Dia pandang duit ringgit abang je. Lepas tu pandai pulak mintak dengan isteri yang abang tak cinta tu sampai berpuluh ribu. Kak Ju tak cakap pun Ira tahulah, bang! Sampai Kak Ju sanggup jual kereta dan barang kemas segala demi suami yang dia cintai ni tapi sayang bila si suami ni bodoh. Habiskan duit untuk bekas isteri yang memang tak tak suka abang. Sah-sahlah abang aku ni dayus! Dayus!” jerit Ira. Aku terkedu dengan keberaniannya. Puas menghamburkan amarah, Ira terduduk melepaskan tangis.
“Ira pilu bila abang yang Ira sayang, yang Ira hormat selama ni sanggup buat perkara begini pada isteri yang sebaik Kak Juliana!”
Iskandar kembali duduk di sebelah abah meraup wajahnya yang kusut dan tidak kemas. Jambangnya sudah tumbuh meliar. Aku hanya berani menjeling sebentar sahaja bila dia turut merenungku dengan perasaan yang sukar aku tebak.
“Macam nilah, Is, Ju! Kami tak ada hak nak campur tangan dalam hubungan kamu suami isteri. Abah hanya boleh bagi nasihat. Kamu berdua nak ikut atau tidak terserahlah. Berbincanglah cara baik. Capai kata sepakat yang mana yang terbaik untuk kamu berdua tapi dan fikirkanlah juga kesannya pada Ilyani tu!” Abah munjuihkan bibir pada cucunya yang ada di pangkuanku. Anak pertamaku yang sedari meraba kawasan perut bagaikan mengerti akan kehadiran bakal adik baru dan sesekali dia tersengih padaku menayangkan gigi yang hanya empat batang.
“Ju terima segala keputusan Abang Is, abah! Bahagia abang, bahagialah Ju,” ucapku yang sedari tadi berdiam diri. Cinta ini tidak pernah memaksa abang berada di sisi Ju sedangkan abang tidak bahagia. Pergilah abang mencari kebahagiaan abang biarpun hati ini telah abang lukai! Getus hatiku pilu.
“Bagi masa abang fikirkan semua ni, Ju. Abang tengah keliru!” Iskandar lantas bangkit dan terus keluar. Melarikan daripada masalah dan aku kembali ke bilik mahu diubati hati yang seringkali dilukai suami.
*******
Jam sudah menginjak ke angka 3 pagi. Aku membuka telekung selepas siap mengaminkan doa, pohon dipinjamkan sedikit kekuatan dari Yang Esa. Baru saja hendakku rebahkan tubuh ke tilam, wajah kusam Iskandar muncul di ambang pintu dalam keadaan yang tidak terurus.
“Abang dah makan? Dah solat?” AKu beranikan diri bertanyakan soalan itu. Hatiku tidak dapat lari dari risaukan dirinya. Sudah makankah? Sudah solatkah dia?
Dia tidak menjawa sebaliknya menarik tanganku duduk di birai katil. Memandangku dengan pandangan kosong semata-mata. Ya, memang kosong kerana keindahan renungan itu telah menjadi milik Aina.
“Saya nak cakap dengan Ju sikit,” ucap Iskandar antara dengar dan tidak. Jantungku terhenti bila bahasa Iskandar tidak lagi seperti biarpun sebelum ini, dia juga tidaklah memanggilku semesra mana. Hanya sekali dua ucapan sayang itu menyapa telinga. Itupun saat aku berada dalam pelukannya.
“Saya minta maaf dengan Ju. Saya ingat nak selesaikan dengan cara baik tapi saya tak sangka yang Ju dah dapat tahu perkara ni awal-awal ni? Kenapa Ju tak terus cakap dengan saya? Kenapa mesti Ju mengadu pada Ira dan abah saya?”
Terbang separuh jiwaku bila perkataan saya itu Iskandar tekan berkali-kali. Adik dan abah saya?! Bukankah mereka itu keluargaku jua?
“Maafkan saya kalau saya menyebabkan Is dimarahi abah Is. Tapi, percayalah. Saya tak pernah mengadu masalah rumahtangga saya pada sesiapa, termasuklah ibu bapa saya sendiri. Mungkin Is dah lupa yang Is sendiri yang beritahu pada Ira satu pagi dulu. Saat itu, saya dengar semuanya dengan jelas. Lebih jelas lagi bila setiap kali Is hadir menyentuh saya, hanya nama Aina yang meniti di bibir Is. Malam pertama dulu, saya terdengar juga perbualan Is dengan Aina!” Kini aku telah temui kekuatan dalam diri untuk meluahkan apa yang terbuku di hati selama ni. Cukuplah aku tunduk menyerah. Aku perlu beralah kerana aku telah tewas pada awalnya. Betapa silapnya diri ini kerana menerima cintanya dulu.
“Saya salah apa pada Is sampai Is sanggup layan saya macam ni? Saya hanya minta disayangi sebab saya tulus menyintai Is. Saya sanggup korbankan segalanya tapi apa yang saya dapat. Hanya hati yang sering disakiti. Saya ikhlas menyayangi Ilyani dan Is sendiri pasti tidak mahu menidakkan kenyataan itu. Tapi, siapalah saya hendak dibandingkan dengan mama kandungnya. Hanya ibu tiri yang menagih kasih daripada papanya yang tak pernah sudi menerima saya seikhlas hati,” ulasku panjang lebar. Aku lihat Iskandar diam sendiri. Mungkin sedang mencerna kata-kataku.
“Saya yakin yang bukan saya di hati Is bila saat saya lemah di klinik tu, Iskandar nekad tinggalkan saya untuk Aina yang juga sakit. Alhamdulillah, Allah tetap beri saya kekuatan. Saat itu, saya sudah tidak meletakkan apa-apa harapan lagi. Bila Is tidak dapat menjemput saya dari pejabat juga, saya terdengar Is berbual di telefon dengan Aina. Is akan lepaskan saya bila Aina kembali pada Is dan rasanya sudah sampai masanya untuk saya berlalu. Inilah yang terbaik yang naluri saya bisikkan. Cinta untuk Is masih segar bagaikan waktu dulu tapi sayang kerana hanya saya yang menyintai, memberi, menyayangi!”
“Maafkan saya, Ju. Maafkan saya kerana pernah menyentuh hati Ju hinggakan Ju terpaksa menitiskan airmata kerana saya telah sakiti hati Ju. Saya keliru!” Iskandar merenungku mesra. Aku geleng kepala. Tangan kasar itu aku genggam erat. Bimbang andai sesaat lagi, tangan itu sudah menjadi haram pula bagiku.
“Jangan cakap macam tu, Is. Andai saya yang menyebabkan Is keliru selama ni. Terbelit dalam kekeliruan, saya dengan rela hati melepaskan Is dari kekeliruan ni! Lepaskan saya dengan cara baik, Is. Seperti mana Is pernah meminta hati saya satu waktu dulu dan saya serahkannya dengan cara terbaik dan hari ini saya mohon, Is kembalikan hati yang telah Is sakiti tu dengan cara baik juga,” pintaku bersama airmata yang berjuaraian. Aku lelah, aku lemah, aku kalah dalam permainan antara Iskandar dan Aina.
“Maafkan saya Ju. Tapi percayalah, cinta pertama saya pada Ju adalah benar. Cumanya, saya tidak tahu bila hati saya mula keliru antara cinta dan ego. Benar kata Ira, saya mahu Aina lihat saya mampu bersama wanita lain!”
Kini, tangis halusku sudah bertukar esakan demi menerima kata-kata pengakuan dari suami yang aku cinta. Ya Allah! Dosa apakah yang telah hamba lakukan hingga Kau menghukumku? Andai ini kifarah dari-Mu atas kesilapan laluku, tidak tertanggung rasanya ya Allah. Apatah lagi hendak ku tempuh azab neraka-Mu kelak?
Aku masih mengharapkan Iskandar menyeka airmata yang sedang berjuaraian tapi sayang dia hanya bangkit menjauhiku membiarkan aku sendiri bersama esakan yang makin menggila.
“Maafkan saya Ju. Saya tak dapat lihat airmata tu. Saya dihimpit rasa salah. Salah kerana tidak pernah menghargai Ju selama ni. Salah kerana masih mahukan Aina. Maafkan saya kerana kerap menyakiti hati Ju biarpun di luar sedar. Terima kasih Ju atas jagaan Ju selama ni. Terima kasih atas kasih sayang Ju selama ini pada Ilyani. Saya harus kembali pada Aina. Pergilah Ju. Saya izinkan Ju berlalu dari hidup saya,” tukas Iskandar bagaikan tiada berperasaan. Aku melurut jatuh ke tepi katil bila Iskandar hilang di balik pintu.
Selepas jenuh meminta ketenangan dari Yang Esa aku terus mengemas bagasiku. Aku perlu keluar dari rumah ini dengan segera. Atau lebih nyata lagi aku perlu keluar dari hidup Iskandar. Niatku untuk mencium Ilyani buat kali terakhir tidak kesampaian bila Iskandar lena memeluk puterinya.
Semudah dia memberikan aku kedudukan sebagai seorang ibu pada Ilyani, sesenang itu juga dia merampas hak itu tapi aku tetap bersyukur kerana hak yang satu ini Iskandar tidak akan dapat merampasnya dariku buat selamanya. Telapak tanganku jatuh pada perut yang sudah berbeza benar dari bentuk asal. Aku ukir senyum bila masih ada kekuatan yang berbaki demi anak di dalam kandunganku.
“Selepas ini, sayang hanya akan ada mama. Pada awalnya papa bukan hak mama tapi syukur sebab Allah sudi pinjamkan papa pada mama hingga hadirnya sayang dalam rahim mama. Pertama hati dan kekuatan mama,” ujarku lemah melangkah ke bilik.
Hening Subuh itu, aku menyeret bagasiku keluar dari rumah selepas menitipkan sekeping warkah buat sang suami. Membawa hati yang Iskandar sakiti. Tidak pasti akan ku jumpai penawarnya atau tidak.

Buat suamiku,
Di mana silapnya isteri ini hinggakan suamiku melukakan hati ini. Menangis isteri ini saat ingin melepaskan suamiku pergi. Menangis isteri ini mengenangkan betapa kejamnya suamiku terhadap diri ini. Kenanglah isteri yang hatinya telah suamiku sakiti – Juliana Jazmin
********
2 bulan kemudian.

Aku meraup telapak tangan ke wajah usai Subuh dinihari itu. Alhamdulillah, masih ada insan yang sudi memayungiku. Sesudah keluar dari rumah Iskandar dulu, Shafikahlah orang pertama yang aku cari dan sehingga kini aku tinggal bersamanya. Tawaran daripada pihak JPA untuk menyambung pelajaran ke UK juga aku terima dengan hati terbuka. Pada emak dan ayah telah ku khabarkan segalanya.
Sebagai orang beriman, ibubapaku redha menerima ketentuan Ilahi. Kerdilnya diri ingin mempersoalkan segalanya. Beberapa hari lagi aku akan berangkat pergi. Shafikahlah orang yang paling bersedih. Encuk Mukhriz juga mengeluh kerana bakal kehilanganku sekali lagi dan akulah yang paling gembira.
Perut yang mencecah bulan ke 6 ini sudah jelas bentuknya. Aku usap perlahan-lahan. Mujur sahaja tawaran itu ku terima awal dan segala visa dan persediaan telah lengkap sepenuhnya. Andai tidak, tentu terhalang oleh kandungan andai sudah mencecah bulan ke 7 nanti.
Usai Dhuha, aku duduk di ruang tamu, membaca buku yang banyak menjadi penawar padaku. Jangan Bersedih, jadilah wanita yang paling bahagia! Sesungguhnya telah aku tinggalkan segala kesedihan itu di belakang biarpun hati ini masih sarat dengan luka yang tidak dapat diubati.
“Assalamualaikum!” Aku tersentak dengan suara wanita yang memberi salam. Siapa pulak awak pagi ni? Gumamku sendiri. Aku bangkit perlahan-lahan menuju ke pintu dan terkejut bukan kepalang bila wajah adik iparku Ira sedang tersenyum pahit. Ah, mungkin saja sudah menjadi bekas adik ipar.
“Waalaikummussalam. Masuk Ira,” pelawaku sambil membuka pagar.
“Sihat, kan?” tanyanya seraya menyapa tubuhku ke dalam pelukannya.
“Sampai hati tak beritahu Ira pasal kandungan akak, kan? Segalanya Ira tak layak nak kongsi dengan akak, kan?”
Aku diam tidak menjawab. Hanya senyuman kelat yang menjadi jawapannya. Tangan itu aku tarik ke dalam rumah.
“Maafkan akak sebab pergi tanpa berjumpa Ira dan abah dulu. Akak terpaksa bila hak akak tiada lagi kat situ dan Ira mana tahu akak tinggal kat sini?” Kami sama-sama melabuhkan duduk di sofa. Ira memaut tanganku bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi.
“Ira melutut merayu pada Kak Sya. Mujur saja dia beritahu Ira tapi dia mohon pada Ira rahsiakan dari sesiapa saja. Katanya itu permintaan akak!” Aku angguk mengiyakan kata-kata Shafikah.
“Ira dengar berita pemergiaan akak lusa, betul ke?” tanya Ira lagi dengan mata yang mula berair. Perlahan menitis ke pipi putih gebu itu. Aku tidak mampu menyeka kerana airmataku sendiri hampir menitis melihatkan darah daging lelaki yang telah sakitiku berada di depan mata.
“Ya, akak akan berangkat lusa. Sampaikan salam pada abah dan abang Ira,” akuiku jujur. Tidak mampu lagi menyebut nama itu. Aku pejam mata erat, mahu menghalau bayangannya yang hadir setiap kali aku menghela nafas. Senyuman yang hadir seiring dengan degupan jantungku.
“Abang Is murung selepas pemergiaan akak. Dia macam dah tak betul, kak. Apatah lagi selepas dapat tahu akak mengandungkan anak dia. Kerja entah ke mana, setiap hari menjadi penunggu setia di pejabat akak. Ira merayu kak, berilah peluang pada Abang Is. Bila akak pergi, baru dia tahu yang dia cintakan akak. Dia perlukan akak. Dia dah tinggalkan Aina kerana dia sedar Aina hanyalah dendamnya tapi akak adalah pelengkap hatinya. Maafkan dia, kak!” Ira sudah melutut di depanku. Meraih jemariku dengan airmata yang berjuaraian.
“Kalau kehadiran Ira nak bertanyakan khabar akak, akak alukan tapi bila Ira nak memujuk akak kembali pada Abang Is, sudah terlambat. Ira pulanglah. Khabarkan pada Abang Is. Hati ini tidak pernah berhenti dari tangisan bila mengenangkan Abang Is menduakan cinta akak dan pergi kepada Aina. Dendam pada Aina tapi akak yang menanggung segala. Pulanglah Ira sebelum akak maki Ira!” Serentak itu aku bangkit mendaki anak tangga ke atas meninggalkan Ira sendiri di ruang tamu.
********
KLIA banyak menyaksikan pertemuan dan perpisahan. Aku tekad memilih perpisahan bila aku tidak diperlukan di kalangan orang sendiri. Disingkirkan suami sendiri dalam keadaan diri yang berbadan dua. Tidak sempat untukku berkongsi nikmat ini dengannya. Bila difikirkan, kandungan ini hadir bila Iskandar tidak sudah menyebut nama Aina saat bersamaku, pastilah Iskandar tidak akan mempedulikannya.
Pada emak dan ayah aku mohon doa restu dan menghalang bila mereka ingin menghantarku ke KLIA. Aku tidak mahu titisan airmata emak membuatkan aku berat untuk pergi. Aku meninggalkan Shafikah yang masih lena awak pagi itu menuju ke KLIA sendirian. Aku berharap agar Shafikah tidak hadir menghantar pemergiaanku tapi telefon yang menjerit tiba-tiba merosakkan segalanya harapan.
“Wait, Ju. We are on our way! Dia nak jumpa kau dulu! Give him a minute, Ju! I am begging you!” Suara Shafikah terketar-ketar dihujung talian bila aku melekapkan telefon ke talian. Aku yakin dia bersama Ira dan Iskandar. Masih ada setengah jam untuk check-in. Aku berharap agar mereka tersangkut di tengah lebuhraya dalam kesesakan atau sebagainya.
“It’s being too late already, Sha. I am almost boarding. Sudah panggilan pertama. Kirim salam pada semua. Panjang umur kita jumpa lagi,” jawabku berbohong lagi lalu aku matikan talian.
20 minit berlalu tapi wajah mereka masih belum muncul. Biarpun itulah yang aku harapkan, jauh di sudut hati aku masih berharap untuk menatap wajah yang ku rindu itu buat kali terakhir.
“Perhatian kepada semua pemegang pas Malaysia Airline ke United Kingdom jam 2310….”
Aku pantas bangkit bila pengumuman akan penerbanganku dibuat. Menarik bagasi tenang melangkah ke kaunter daftar masuk. Selepas membuat pendaftaran dan memeriksa bagasi aku tidak terus melangkah lemah ke balai pelepasan. Langkah ku makin lemah. Keyakinanku untuk meninggalkan Malaysia pudar sedikit demi sedikit apatah lagi bila namaku nyaring diseru oleh suara yang amat aku rindu selama ini. Aku kalih perlahan. Merenung Shafikah, Ira dan Iskandar yang mendekat.
“Tunggu, Ju. Jangan pergi. Abang perlukan Ju. Abang perlukan kemaafan dari Ju,” pinta Iskandar bersama linangan airmata. Matanya membulat saat jatuh ke perutku. Aku senyum segaris.
“Kalau kerana sebuah kemaafan awak datang ke sini, saya dah lama maafkan awak, Iskandar. Tapi, kalau kerana inginkan saya awak datang ni, baliklah kerana sakit lama masih terasa. Tak pernah hilang,” balasku sebak.
Aku rindui dia. Mahu saja aku aku rangkul tubuh itu, membisikkan kata-kata rindu setelah Ira datang padaku 2 hari sudah. Tapi, bila hati membantah keras hinggakan aku turutkan jua rasa hati.
“Saya telah lepaskan awak dari kekeliruan ini, Iskandar. Maafkan saya. Ampunkan saya. Saya menyintai awak dengan harapan saya adalah kebahagiaan awak tapi bila saya tahu, bukan saya sebenarnya, saya lebih terluka. Rasanya bagaikan merobek hati dengan tangan sendiri.” Aku memandang kedua belah tanganku. Aku ketawa dalam tidak sedar. Ketawa yang dibuat-buat.
“Maafkan Kak Ju Ira, maafkan aku Sha. Aku tewas sebelum berjuang dan awak Is, kandungan ini akan saya jaga sebaiknya kerana dialah kekuatan hingga saya dapat melangkah hingga kini biarpun hanya dengan merangkak dalam kepayahan,” sambungku lagi. Langsung tidak memberi peluang pada mereka bertiga berbicara.
“Abang cintakan Ju. Walaupun lambat sedar, tapi abang cintakan Ju. Cinta dari pandangan pertama. Abang cintakan Ju,” jerit Iskandar tanpa mempedulikan pandangan sekeliling. Ira sudah teresak-esak di dalam pelukan Shafikah dan aku sendiri sudah dijeruk airmata.
“Ampunkan Ju semua,” pintaku pendek. Tidak betah lagi berada di situ menjadi pelakon pentas arahan Iskandar. Tambahan pula, panggilan kedua sedang bergema di seluruh KLIA. Ya, aku memilih perpisahan. Perpisahan yang tak akan ada pertemuan. Tekadku bulat di situ.
“Juliana!” jerit Iskandar. Langkahku pegun seketika.
“Nusyuz seorang isteri bila pergi tanpa izin suaminya. Kau nusyuz pada aku, Juliana!” sambungnya lagi. Langsung tidak dihiraukan akan mata-mata yang memandang. Tangisan Iskandar pula makin jelas di telingaku. Aku pejam mata membiarkan titisan jernih itu mengalir semahunya.
Aku redha andai tidak mencium syurga andai itu sumpah Iskandar padaku. Aku tidak berdaya lagi. Sudahnya aku hanya melangkah tanpa berpaling lagi biarpun suara jeritan berbaur tangisan Iskandar makin kuat bergema.
“Jangan tinggalkan abang Ju. Abang mati tanpa Ju!” laungnya dan itulah ayat terakhir yang sempat menyapa telingaku bila aku makin menjauh masuk ke dalam balai pelepasan. Biarlah aku membawa cintaku bersama hasilnya jauh daripadanya.
KLIA menyaksikan perpisahanku dengan suami yang telah banyak melukai. Ketahuilah kamu wahai Iskandar, akulah insan yang memiliki hati yang telah kau sakiti itu.

**** TAMAT****

24 comments:

  1. dik syabas..akak tabik kat watak wanita ini yg adik ketengahkan..walaupun penghujungnya tak seceria mana tapi ia meninggalkan kesan yg amat dalam kat diri akak dan wanita wanita disana tu..bila suami menjadi KAN KITA BUKAN SAPE SAPE..TAPI SEBAGAI BATU LONCATAN..TAHNIAH SEKALI LAGI DIK..

    ReplyDelete
  2. timekasih kak ida..cite ni top rank dekat penulisan2u utk entry minggu tu..ramai yg emo dan mesej saya ckp menangis..hee..tp cite ni dah ade sequel dia..Izinkanku Ubati Hatimu..InsyaAllah kalo tak ada aral, saya akan muncul dengan mini novel je HYKS ni..

    ReplyDelete
  3. kak RM..berhentilah dari mengkecamukkan emosi saya setiap kali saya menghayati garapan ceritera2 mu...hmmm....

    ReplyDelete
  4. nangis plak aku baca.. sob sob..

    ReplyDelete
  5. Sempat bukak blog RM ni sebelum bukak office umah tangga..ha..ha..ha..nangis akak baca cite ni RM sedih sangat yang gelihatinye sambil baca dalam hati bolih kata cepatlah nanti dia orang sampai ha..ha..ha...tulah penangan dari RM...nak tanya RM tak nak buat cite ni sebagai novel ke ? sebab akak rasa masih banyak lagi yang RM bolih terapkan jalan ceritenya menjadi lebih panjang seperti ada mamat simpati yg handsome & kaya lagi yg sentiasa menolong Juliana diperantauan atau pun pasangan suami isteri yang ada kat sana yg selalu menolong juliana and ada pulak anak lelaki yg terpikat kat juliana or what everlah idea RM asalkan cerite ni bersambung...ha..ha..ha..kalau bolih juga buat supaya ju minta fasak di mahkamah biar si Is tu tak tentu hala dibuatnye Eh dosa tak suruh ju minta cerai ni ha...ke..ke..ke..pandai2 aja akak ni kan...tulah kalau dah menjiwai jalan cerite RM ni ikut teremosilah pulak.

    ReplyDelete
  6. saya suke cite. cite ini yang kenalkan saya ngan rm. hehehe

    ReplyDelete
  7. menangis saya baca menarik dengan tekad membawa hati dan semangat tak mudah menerima selepas dikecewakan dengan sadis sekali...bes kak

    ReplyDelete
  8. bagus2....kuatkn smgt....bukan nk gosip tp crta ni mgingatkn sy kpd nora danish...msti sktnya hti nora dnsh ms bpisah gan suami dia kn ms prgnt....tp apa bleh buat sdh ktentuan tkdr....girl power never give up.....

    ReplyDelete
  9. kadang2 hati yang disakiti susah nk dicantum balik walaupon si isteri mmg cinta sgt kat si suami..x muah nk lupakan perit jerih yg dilaluinya sbbnya hya dia yg merasainya sume 2.. citer nie mmg best..best..best giler arhh..tahniah RM.. geram lak bile laki die kata nusyuz bile isteri pergi tanpa izin suami!!!die pon sme gak..hehe emo lak..soryy

    ReplyDelete
  10. ada ka mini novel hyks.saya cari x jumpa tp cita awk mmg best..kalo ada mini novel tu mana nak cari?

    ReplyDelete
  11. best2...
    iskandar dah buat keputusan tuk lepaskan ju dengan niat bercerai..bermakna tungu kelahiran jew larh tuk wat ju bebas dan iskandar akan hilang hak...bermakna nusyuz da tak relevan...pada sye keputusan ju untuk tetap melangkah pergi tepat...sbb sbg perempuan bergelar isteri sgt sakit bila diperlakukan sampai macam tue sekali...lgpn ju seorang perempuan yg bekerjaya...

    ReplyDelete
  12. Sedih la... huhuhuhu.. kisah yang ada berlaku sekeliling kita..

    ReplyDelete
  13. Sedey ye...mnusuk kekalbu btol..u r the best..crite mmng best...

    ReplyDelete
  14. Best gile.Juliana sorang pompuan yg tabah tpi mmng ptt ju tinggalkan iskandar.sedih bce cite nie

    ReplyDelete
  15. this is the first novel yang sye bca endingnya sedih.syabas

    ReplyDelete
  16. adeh, terharu plak bca. memalukan kaum lelaki betul la Iskandar. haha. pa2 pun, smbungn cerpen nie, TERBAIK! Keep writing..

    # Salam ~ Hakim ~

    ReplyDelete
  17. Best...i like it a lot...bagus!

    ReplyDelete
  18. sedih tp memang best baca. besssssttt

    ReplyDelete
  19. sdih!1st time bca cerpen sad ending..sukb ngan wtak ju tabah n tetap pndirian..congrats

    ReplyDelete
  20. Jln crita sgt menarik... Sedih rse nye ble bce.. Smpai hati suami die buat die mcm... Tabh juliana hadpi sume tu sensorg... Tahniah kpd penulis... Awk d buat sye nngs... Tsk tsk... Good story...

    ReplyDelete
  21. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete