Tuesday, August 02, 2011

Pengorbananku (tajuk asal My Sacrifice )


PANGGILAN telefon daripada emak beberapa hari sudah benar-benar membuatkan aku terduduk sendiri. Berita yang dikhabarkan seratus peratus bakal mengubah hidupku yang masih bergelar seorang siswi tahun akhir. Aku kecewa dengan keputusan emak terhadap diriku. Aku marah, aku mahu membentak. Tapi, di manakah hak aku sebagai seorang anak untuk mengingkari ibubapa?
Setelah 3 hari berturut-turut melakukan sunat hajat dan Istikharah, aku sudahnya gagahkan juga langkah ini untuk pulang ke kampung biarpun study week telah bermula selama 2 minggu untuk persediaan menghadapi peperiksaan akhir yang akan menentukan hala tuju aku yang seterusnya nanti. Tapi, keputusan emak telah menetapkan hala tuju aku. Jalan mati! Tiada simpang untuk aku pilih.
Aku tiba jua di depan mak lewat petang itu. Badan penat dioleng bas langsung hilang. Emak menyambutku mesra dan aku tersenyum dengan hati yang sebal.
Usai mengerjakan solat Isyak, aku terus ke dapur menolong kakakku, Kak Rahida menyiapkan makan malam sementara emak, ayah dan abang iparku ke masjid. Hanya bayi kecil Kak Ida yang sedang lena dibuaian.
”Ila kata study week sekarang. Tak boleh nak balik tapi cepat je balik, tak sabar ke?” tanya Kak Ida. Mendatar sahaja suaranya. Aku tahan hati mendengarkan soalannya. Soalan itu aku biar seketika bila dia menghulurkan mangkuk lauk pauk kepadaku. Aku sambut lantas ku atur kemas di atas meja makan.
”Akak kesian dekat kau, dik! Tapi, entahlah... bila fikir balik memang kesian dekat budak tu. dia kawan Ila dari kecil lagi. Ila patut kenal dia lebih daripada kami. Dia masih belum terlajak jauh Ila. Walaupun akak jauh tak setuju dengan kehendak mak tapi kamu tahulah mak tu, dengan semua orang nak kesian sampaikan anak sendiri nak dipertaruhkannya!”
Tubir mataku berat tiba-tiba mendengarkan omelan Kak Ida. Aku tahu, dia juga tidak mampu menolong. Ayah juga pasti beralah dengan kehendak mak dan abang iparku, Abang Azali sudah terang tak akan campur tangan dalam hal ini.
Airmata yang hampir menitis aku seka cepat-cepat bila wajah emak, ayah dan abang Azali muncul di ambang pintu dapur bersama salam. Cepat-cepat aku ukir senyum pada mereka. Tidak mahu mereka terkesan akan perubahan yang ada pada wajahku.
”Ila dah solat, nak?” tanya ayah mesra. Kopiahnya dibuka dan dihulurkan padaku. Aku sambut lantas ku salam tangan tua itu. Aku sekadar mengangguk sekali. Cukup untuk ayah melebarkan senyumannya.
Emak terus naik ke atas. Mungkin hendak menukar telekung yang tersarung di tubuhnya dan Abang Azali mengambil tempat di sebalah Kak Ida. Aku sudah siap menyenduk nasi ke dalam pinggan tatkala emak melabuhkan duduk di sebelahku. Tangannya mendarat di pehaku dan ditepuknya perlahan. Aku senyum lagi. Betapa sukar aku mahu menghadapi semua ini. Aku pasti tewas.
”Macam mana, Ila? Dah buat keputusan?” tanya emak saat aku meneruskan suapan ketiga. Aku memandang emak lama sebelum beralih kepada ayah, Kak Ida dan suaminya. Nasi di dalam mulut aku telan tanpa dikunyah. Sesak dada ini dengan pertanyaan emak.
”Maknya pun. Kot ya pun bagi la anak tu makan dulu bagi siap. Budak tu baru nak telan nasi,” protes ayah lembut. Ada keluhan dihujung suaranya.
”Zah dah janji dengan Rubiah, abang! Dia tu dah macam adik Zah, bang. Takut makin lambat Ila buat keputusan nanti, makin parah budak tu nanti! Tak kesian ke pada Rubiah? Merayu-rayu dia. Dahlah itu anak tunggal dia!” tekan emak lagi. Kelopak mataku berat sudah. Pandanganku kabur lagi.
”Abang bukan kata tak boleh nak bertanya, Zah tapi biarlah Ila makan dulu. Nanti dah makan kita bawak berbincang. Awak boleh faham tak?” tekan ayah sedikit keras. Bila perkataan awak terkeluar dari mulut ayah, aku tahu suhu marahnya sedang meningkat pada emak. Kak Ida dan suaminya berpandangan sesama sendiri.
”Kita nak tolong orang ni tak elok bertangguh, abang!” sela emak sedikit kendur. Ayah sudah tolak pinggannya ke tepi. Gelas air suam itu dicapai dan diteguknya kasar. Rahangnya turun naik.
Aku mula tidak betah bila melihatkan keadaan makin tegang. Bimbang berlakunya selisih faham antara kedua orang tuaku, aku harus nekad. Andai itu yang mak mahu! Tidak tegar mengecewakan emak walaupun jauh di sudut hati aku memprotes hebat.
”Mak... ayah...,” Suara tersekat menahan sebu di dada. ”....InsyaAllah Ila dah sedia. Langsungkan je terus dalam 2 minggu ni sebelum Ila balik ke Kuantan!” ucapku senafas lantas bangkit membawa pinggan yang masih banyak bersisa menuju ke sinki. Tanganku cuci dan terus kaki membawa diri ke bilik. Aku perlu bersendiri bersama juraian airmata ini.
*****
LANGKAHKU laju menuju ke blok sekolah yang di dalam ubahsuai. Suasana sepi selepas kelas tambahan tamat sebentar tadi. Aku mencari teman rapatku sejak dari kecil itu. Sudah beberapa hari kelibatnya tidak ku nampak. Hubungan kami bagaikan renggang dengan sendirinya. Arahan mandatori daripada Cikgu Disiplin, Cikgu Jaafar aku tidak ikhlas terima. Sudahlah dirumah didatangi mamanya, malah di sekolah juga didatangi cikgu kerana dia. Marahku membuak.
Tubuh sasa Hilal Hazad aku dekati. Dia sedang enak menyedut dan menghembus asap rokok ke udara. Berseorang, tanpa teman seperti biasa.
”Hilal Hazad!” panggilku agak kuat langsung kaki mendekatinya. Dia masih duduk dan mendongak ke arahku yang sudah dekat padanya. Riaknya langsung tak bersalah.
”Kau ni kenapa tak sudah-sudah nak buat perangai, Hazad? Kat rumah mama kau tanya, kat sekolah cikgu suruh aku cari. Aku penat macam ni, Hazad!” Tiada lagi nama timangan Jad keluar dari mulutku.
”Aku pening dengan sikap kau sekarang ni. Dahlah ponteng sekolah, kelas tambahan kau ponteng jugak, dahtu dah pandai sedut asap pulak! Apa nak jadi dengan kau ni Hazad?” Soalanku tidak bersambut. Malah dia dengan selamba menarik tangan aku duduk di sebelahnya. Aku menyelak sedikit baju putih itu lalu duduk di sisinya. Rapat seperti selalu. Serasa sejuk hati ini bila dia bertindak begitu. Seperti Hilal Hazad yang aku kenal selama ni.
”Kau ni kenapa, Jad? SPM tak lama dah tau. Kata nak sambung belajar sama-sama, nak suruh aku jaga kau lepas tu kau nak jaga aku nanti tapi macam ni kita sikap seorang guardian, hah?” Intonasiku sudah lembut. Wajahnya aku pandang dari sisi. Sudah selekeh. Tidak terurus langsung. Aku geleng kepala kesal dengan perubahannya yang mendadak.
Dia masih diam, menyedut dan terus menyedut puntung rokok yang sudah tinggal separuh hingga menyebabkan aku nekad merampasnya dari bibirnya lantas aku kepal kemas di tapak tangan. Kepedihan bara api tidak langsung memberi kesan padaku bila marah sudah mengatasi.
”Kalau kau matikan yang tu, aku ada lagi satu kotak penuh, Ila!” Dia ketawa nipis lantas menarik sebatang lagi disua ke mulutnya lalu dinyalakan. Aku ketap bibir.
”Aku tak tahu apa yang menyebabkan kau berubah, Jad. Tapi, aku nak kau tahu aku sayangkan kau. Kau kawan baik aku. Satu-satunya. Aku tak nak kau rosakkan diri kau dengan benda ni semua. Aku mohon, Jad. Esok masuk kelas ye, petang masuk tambahan dengan aku. Aku join kelas kau esok,” pancingku bersama senyuman. Hazad mengerling ke arahku sekilas. Ada senyuman sinis tersungging di bibir tipis itu.
”Toksahlah kau nak pancing aku, Ila. Aku tahu siapa aku siapa kau. Kau budak pandai, berdisiplin. Kau masuk kelas tambahan dalam kelas aku pun, aku belum tentu jadi pandai macam kau!”
”Jad, pandai ke tak, itu atas usaha kau sendiri! Setidak-tidaknya kau masuk kelas pagi, kelas tambahan, jangan buat perangai itu dah cukup pada aku. Ni bila kau mula belajar merokok ni? Aku takut satu hari nanti kau teringin nak cuba benda lain pulak. Hancur masa depan kau nanti. Kau tu anak tunggal, Jad. Tak kesian ke dekat mama dan abah kau tu!?” Aku melepaskan satu keluhan. Rasa sarat kepalaku dengan perangai si Hazad ni. Keluarga berada, tidak seperti aku yang dari golongan sederhana. Segala keperluan lengkap. Apa lagi yang tidak cukup?
”Apa kau nak peduli pasal masa depan aku? Aku tak kisahlah ada kawan ke tidak. Aku boleh hidup sendirilah, Rahila,” sinisnya bersama asap putih yang keluar dari mulutnya. Hampir sesak nafasku.
”Jad, aku tak tahu apa yang membawa perubahan kau ni. Tapi, ketara sangat Jad. Satu sekolah tahu yang kita kawan baik. Sampai cikgu pun minta aku tengokkan kau dan percayalah yang aku tak akan sesekali tinggalkan kau Jad. Walau apa pun berlaku!” tekanku bersungguh-sungguh.
”Tak akan tinggal kau cakap? Wei Rahila, aku dengar la kau cakap dengan kawan-kawan kau yang kau nak belajar jauh dari sini. Nak cari pengalaman kat dunia luar konon. Dah tu, macam tu kau nak cakap kau tak kan tinggalkan aku?” bentaknya. Bergema suara parau itu. Aku ukir senyum mendengarkan amarahnya padaku. Adakah kerana perkara itu kau nak berubah segala, wahai Hilal Hazad, kawan baikku?
”Kau tak payah senyum, Rahila. SPM tak lama lagi. Lepas tu keluar result, kau sesenang kau je nak pergi, kan?” Rautnya tegang. Kaki yang terpaku di tubir longkang ditendang berkali-kali. Puntung rokok berganti sudah. Aku hela nafas panjang.
”Lama lagi semua tu, Jad. Tak kan sebab tu kau nak mengamuk, marah-marah aku, jauhkan diri daripada aku, lepas tu rosakkan masa depan kau dengan semua ni?”
Hazad diam tidak berkutik. Hanya nafasnya sahaja yang turun naik bagaikan menahan satu amukan yang bergelodak dalam dadanya.
”Kalau sebab perkara ni, Jad kau nak hancurkan diri kau macam ni, aku janji pada kau yang aku tak akan tinggalkan kau sampai kau sendiri yang lepaskan aku,” ujarku lembut. Wajah itu aku pandang lembut. Puntung rokok dicelah bibirnya aku tarik perlahan lalu ku lempar ke jauh. Kau teman terbaik aku, Jad! Aku rela berkorban apa saja untuk kau! Desis hati kecilku tatkala mata kami beradu lama.
Dia merenungku tajam. Bagaikan terkejut dengan kata-kataku sebentar tadi lantas tanpa aku sedar, kedua telapak tangannya sudah mendarat di pipiku. Aku terpana. Selama ini tidak pernah Hazad bertindak demikian. Aku ingin membentak, namun bila difikirkan perkara yang mungkin terjadi padanya nanti, aku sekadar merelakan diri. Benar niat tidak pernah menghalalkan cara namun, aku tidak mampu menolaknya.
”Sungguh?” soalnya sepatah. Aku angguk pantas. Segaris senyuman aku hadiahkan buatnya. Kerana takut berjauhan denganku, dia berubah demikian. Tanpa ku duga, kotak rokok di dalam poket bajunya dia ramas kuat lalu dilempar jauh ke luar pagar sekolah.
”Dah petang, jom balik! Esok jangan ponteng tau!” pesanku sambil meleraikan tangannya di pipiku. Bila tangannya terlerai, dia lebih cepat memautkan batang tubuhku pula. Erat hinggakan dadaku rapat ke dadanya. Aku menolak tapi dia lebih menarik kuat.
”Kau tak boleh tinggalkan aku, Rahila! Aku tak benarkan! Kalau kau pergi juga, kau akan saksikan kehancuran aku,” gumamnya keras di peluput telingaku.
”Ila!” Aku tersentak bila bahu ditepuk orang. Terbang kenangan aku bersama Hilal Hazad sewaktu di sekolah dulu. Satu-satunya kenangan yang tak mungkin aku lupakan. Pertama kali dipeluk oleh lelaki. Aku akui, ada debar yang hadir saat itu.
Aku kalih. Seraut wajah tua emak nampak gelisah. Emak duduk dibirai katil lantas melingkari bahuku.
”Betul apa yang Ila cakap pada mak semalam?”
”Ya, mak!” Aku angguk beberapa kali. ”Kalau boleh Ila nak selesaikan semuanya dalam 2 minggu ni jugak sebelum Ila periksa akhir nanti.”
”Secepat ni ke?” Duga emak tidak percaya. Aku ukir senyum lebar menyatakan keyakinanku di melaluinya.
”InsyaAllah Ila bersedia mak. Dah sampai masanya. Ila terima dengan hati terbuka. Mak jugak yang cakap, nak tolong orang ni kenapa nak lengah-lengah, kan?”
”Mak yakin Ila boleh bahagia dengan dia. Dia berubah segalanya kerana Ila, nak! Dah, pakai tudung, Hazad nak jumpa Ila kat luar tu,” beritahu emak. Pipiku disapa bibir emak lantas dia berlalu. Setitis airmataku gugur lagi.
*****
WAJAH yang hampir 7 tahun tidak ku tatap itu, sudah banyak berubah. Hanya matanya sahaja yang tidak berubah. Mata itu sentiasa kuyu bagai mengharapkan kasih yang tak kunjung datang. Hanya hidung mancungnya yang sedikit merah dan tampak berair. Detak hatiku mula tidak seia dengan akal. Ada perasaan asing yang sedang hadir. Rindu! Ya, sungguh rindu!
”Sihat?” tanyaku sedikit janggal. Mencari kedudukan di depannya di serambi.
”Lama kau tinggalkan aku kan lepas kau janji tak nak tinggalkan aku dulu!” Dia tidak menjawab soalanku tadi walaupun sekadar anggukan malah mula mengungkit kisah lalu.
”Aku pergi sebab impian aku, Hazad!”
”Tapi, kau mungkir janji!” pangkasnya berubah intonasi. Matanya merah.
”Maafkan aku tapi kau tak boleh nak hancurkan hidup kau begini hanya kerana aku pergi untuk menunaikan impian dan cita-cita aku,” balasku masih cuba bertenang.
”Kat sini pun kau tetap boleh kejar impian kau tapi kau lebih tergamak hancurkan hidup aku selama bertahun ni?” tekannya makin keras.
”Tak ada salah dengan semua tu, Hazad!” Aku sudah tidak betah duduk. Serasa mahu ditampar wajah lelaki ini. Tidak sudah-sudah ingin menyusahkan aku.
”Hidup kau di tangan kau. Kenapa mesti nak libatkan aku?” sambungku. Mata kami beradu sesama sendiri. Ada api kemarahan dalam diri masing-masing yang sedang marak. Pertemuan yang ku telah mungkin dimulai dan diakhiri dengan baik, akhirnya begini jadinya.
”Sebab kau yang bertanggungjawab dengan semua ni, Rahila!” Aku diam bila dia membentak. Walau sudah lama tidak bersua, aku masih terasa dekat dengannya. Bila diri ini ditukas Rahila, pastilah dia sedang tahan amukan.
Rokok sudah menyapa bibirnya. Dinyalakan lalu disedut, sedut dan sedut tanpa ada tanda hendak berhenti. Sama seperti dulu. Tapi kini, hidung yang berair itu cukup membuatkan hatiku pedih. Adakah benar silapku kerana memungkiri janji? Rasa bersalah hadir tanpa ku undang. Membelit hati, mengcengkam jiwaku. Ya Allah, dugaan apakah ini?
”Benar salah aku sebab mungkir janji, Hazad!” Aku sudah tidak mampu menggelarkan dirinya Jad lagi. ”...untuk itu, aku akan tebus segalanya!” tukasku pilu lantas berlalu ke bilik. Langsung tidak menghiraukan laungan Hazad padaku. Pandanganku kabur lagi.
*******
KAK Ida yang mendekat aku pandang tenang. Sesungguhnya aku tenang pada zahirnya tapi di dalam hatiku, detaknya sudah beralun sumbang.
”Akak setuju bila niat Ila nak membantu tapi akak langsung bantah bila Ila sendiri tak menolak bila mak nak jodohkan Ila dengan penagih tu!” Mata Kak Ida berair. Jemariku dipaut ke dalam genggamannya. Erat. Erat dari biasa.
”Bukan nak jodohkan, kak tapi dah sah pun,” selaku berjenaka sambil tangan lihat membuka selendang hijau yang membelit kepala. Kak Ida menjelingku tajam. Aku sengih tayang kebahagiaan yang belum tentu aku capai. Dinikahkan dengan teman baikku sejak kecil yang telah beberapa tahun tidak bersua selepas aku memilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selepas tamat SPM.
Seorang bekas teman baik yang merosakkan diri sendiri dengan berteman dengan najis ganja. Tertangkap oleh pihak universiti dan diberi amaran keras hingga akhirnya membawa kepada penikahan kami demi janjinya ingin berubah untuk seorang wanita biasa bernama Rahila.
”Akak tahu mak nak menolang Hazad dan Makcik Rubiah, Ila tapi akak sedih bila kau jadi mangsa penagih tu!” tekan Kak Ida jelas tidak puas hati. Hatiku sedikit tercalar dengan hinaan itu.
”Kak Ida, penagih yang Kak Ida cakap tu suami Ila sekarang, kak. Tugas Ila menjaga maruah dan air muka dia. Dah jodoh Ila dengan dia dan Ila mohon pada Kak Ida, janganlah Kak Ida gelarkan dia dengan nama tu lagi. Dia dah janji nak tinggalkan semua tu, kan!” pintaku sebak.
Biarpun pernikahan ini tanpa relaku, aku jua tidak rela mendengar suamiku digelar penagih. Aku yakin dia akan berubah seperti mana aku yakin menerima lamarannya demi perubahan itu.
”Ikut suka kaulah, dik!” getus Kak Ida lantas berlalu.
Bibirku tersenyum tawar bila batang tubuh Kak Ida hilang di balik pintu. Tubuh yang lekit ini perlu disegarkan. Melayani sanak saudara sehingga malam benar-benar membuatkan tubuhku dibelit kepenatan. Rambut yang sedikit panjang, aku ikat tocang satu. Lantas membawa tanganku ke belakang, cuba melurutkan zip baju kurung moden bila ku sedar ada tangan lain yang sudah melurutkannya. Meremang bulu tengkukku tatkala sebuah kucupan hangat singgah tepat di tengah belakangku. Aku segera kalih. Wajah bersih Hilal Hazad dekat padaku. Senyumannya tampak ikhlas. Hembusan nafasnya sekadar teratur tapi gelora di dalam siapa yang tahu.
”Hazad!” Aku sedikit menjauh ke belakang. Baju yang longgar aku pegang erat.
”Aku nak mandi dulu!” tukasku seraya berlalu ke bilik air.
Entah berapa lama aku berendam airmata di dalam bilik air. Membiarkan air bercucuran agar terus membawa gundah hati ini dan bila aku tiba di kamar, Hazad sudah sedia dengan t-shirt putih dan kain pelekatnya. Mungkin dia menggunakan bilik air di dapur. Dia duduk bersandar ke katil, tidak lepas merenungku sedari tadi.
Aku sekadar tidak peduli. Rambut yang basah aku kirai di depan cermin. Mengelap perlahan-lahan berharap waktu itu pegun seketika. Serasa tidak sanggup berkongsi bilik tidur dengan lelaki ini.
”Boleh Ila panggil... abang?” ajunya selamba. Tingkahku mati. Aku tentang renungannya melalui pantulan cermin.
”Kenapa?”
”I am your husband now and I have my right to ask you to do so!” ujarnya romantik lalu bangkit. Mendekat padaku lantas menarik tanganku duduk dikatil bersamanya. Tuala di tanganku dicapai, rambutku dilap perlahan-lahan.
”Boleh?” tukasnya lagi. Aku mengangguk bila kembali sedar akan niat sebenar aku menerima dirinya.
”Abang dah lama tak tengok rambut Ila yang bertocang! Sejak dulu, teringin saja nak belai rambut hitam ni. Ingatkan Ila dah sangat cantik bila bertocang satu tapi rupanya Ila lagi sangat cantik bila bertudung.” Bicara Hazad benar-benar romantis. Perasaanku mudah saja terbuai. Adakah rindu selama ini mula menerbitkan bunga cinta?
Anak matanya aku renung tidak berkelip. Serta-merta rasa kasihku tumpah di situ. Hazad langsung tidak membalas renunganku malah jemarinya sekadar menyelak rambutku ke depan, merendahkan wajahnya ke leherku lalu dibiarkan bibirnya bermain di sekitarnya. Naik ke cuping telingaku, berpindah ke pipi dan akhirnya mendarat dibibirku buat seketika sebelum dia membalas renunganku dengan senyuman manis. Nafasnya mula mendesah. Mengerti dengan kehendaknya, aku mengangguk perlahan.
”Janji dengan Ila yang abang tak akan sentuh lagi semua benda-benda tu walaupun untuk sebatang rokok! Ila dah korbankan segalanya demi mahu melihat perubahan abang,” gumamku ke telinganya.
”Abang janji. Sesungguhnya janji demi Allah, demi Rahila yang abang cinta dari dulu hingga selamanya!” bisiknya lembut lantas merangkul tubuhku erat seperti satu waktu dulu.
Ya Allah, tegarkanlah hati suamiku agar tidak kembali ke lembah hitam itu. Titipkanlah rasa syukurnya di atas pengorbananku ini, Ya Allah! Bisik hatiku sebelum Hazad membawa aku hanyut bersamanya.
*****
SUASANA Terminal Bandar Tasik Selatan agak lengang. Beg galasku Hazad letak di lantai lalu jemarinya mencari jemariku lalu bertaut erat. Wajah sedih Hazad aku pandang dengan penuh kasih. Selepas 3 hari majlis pernikahan kami berlangsung, aku perlu kembali ke Kuantan untuk menduduki peperiksaan akhir. Dia juga perlu menduduki peperiksaan akhir di salah sebuah universiti swasta tempat dia menuntut di Kuala Lumpur.
”Ila hari apa last paper?” tanya Hazad sewaktu sedang menunggu pintu bas dibuka.
”Hari Khamis minggu ketiga nanti. Jangan rindu Ila sangat tau. Nanti kurus pulak abang?” usikku. Tanganku mesra memaut lengan sasanya.
”Eh, mau tak rindu. 7 tahun abang tunggu Ila balik pada abang, bila dah dapat, 3 hari nak kena berpisah lagi.”
”Ila pergi sekolahlah. Bukan Ila lari. Dulu tu pun Ila selalu jugak balik, abang yang tak lekat di rumah. Bukan salah Ila!” protesku lembut.
”Yelah, salah abang sebab merajuk tak tentu pasal! Orang nak hantar ke Kuantan dia tak nak! Bukan jauh pun!” Matanya menjelingku sekilas. Aku pandang wajahnya. Tiada lagi hidung yang merah dan berair. Rambut juga sudah kemas terpacak. Rautnya tampak sihat. Mujur sahaja Hazad hanya berjinak dengan ganja dan rokok, andai tidak aku tidak tahu apakah nasibku nanti. Tidak putus-putus aku memanjatkan syukur pada Ilahi.
”Ila tak nak susahkan abang. Lagipun, abang pun ada paper akhir, kan? Nanti dah clear semua paper, abang datang jemput Ila. Lagipun, nak bawak balik pakaian dengan buku-buku semua!” Aku sengih raih simpati.
”Memang abang rancang macam tu tapi Ila nak abang jemput Ila sebab buku dan barang-barang Ila je ke?”
”Eh, mana ada! Dah habis exam nanti Ila nak kenalkan abang dekat kawan baik Ila, nak ajak abang honeymoon,” pancingku manja.
”Honeymoon?” Dia angkat kening sebelum bibirnya tersengih nakal.
”Jaga Ila nanti. 3 hari tak cukup untuk abang lepaskan rindu pada Ila yang terbuku selama 7 tahun ni,” bisiknya. Aku ketawa.
”3 hari 3 malam, non-stop... tak cukup ke?”
”Tak kan pernah cukup selamanya, sayang!” selanya bersahaja.
Hampir 10 minit berlalu, aku sudah ada di perut bas. Memandang suamiku yang tampak resah gelisah. Lambaian tangannya tidak berhenti sehinggalah dia hilang dari pandanganku. Oh Hilal Hazad bin Hisham, Rahila ini menyintaiku sesungguhnya. Desis hatiku sebu. Hari ini, rasa sebu itu hadir kerana rindu.
*****
BEBERAPA hari setelah aku tiba di rumah sewa, Hazad tidak pernah berhenti menelefonku. Sudah makankah? Sudah mandikah? Sedang belajarkah? Semua soalan terbit dari mulutnya setiap masa hinggakan aku merasakan sedikit rimas tatkala aku perlukan sepenuh fokus pada nota-nota. Kertas pertama telah selamat aku duduki hari ni. Masih ada 5 kertas yang akan berakhir 2 hari awal dari jadual asal.
Beberapa orang teman sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Hanya tinggal aku dan seorang teman sekursus denganku, Nadia. Mentelaah buku berkaitan Prinsip Perakaunan yang tebalnya 3 inci membuatkan kami hilang mood.
Sudah 2 minggu berlalu! Tiada lagi panggilan daripada Hazad seperti biasa setelah panggilan terakhirnya minggu sudah aku biarkan tidak bersambut. Tiada niat untuk membelakangkan suami sendiri tapi tubuh yang penat dengan otak yang sarat benar-benar menyebabkan aku tidak berminat untuk menjawab panggilan sesiapa sahaja.
Tubuh Nadia aku peluk erat bila kami telah selamat menduduki kertas terakhir peperiksaan. Keputusan yang akan menentukan hala tuju kami selepas ini biarpun aku tahu, hala tujuku yang utama telah ku jumpa, iaitu Hilal Hazad. Nadia terus ke kolej untuk bertemu dengan teman baiknya sebelum terbang pulang ke Sabah dan aku sendirian pulang ke rumah sewa hari itu.
Setibanya di pintu pagar, Najmi, tunang kepada Nadia sudah siap menunggu di kerusi batu. Aku melemparkan senyuman buatnya.
”Assalamualakum, Ila!” hulurnya mesra.
”Waalaikummussalam...,’ jawabku lalu duduk di depannya.
”Nak jemput Nad ke? Nad dia singgah kolej jumpa kawan-kawan semua. Nad nak balik hari ini jugak kan?”
”Nad ada mesej dah tadi. A’ah, flight pukul 6.10 petang ni. Nad dah siap kemas barang dia ke?” tanya Najmi. Aku mengangguk.
”Nad tu dah siap kemas 3 minggu sudah. Tak sabar nak balik katanya!” Aku ketawa halus.
”So, Ila bila balik?”
”Saya tak call lagi suami saya tapi rasa esok jugak la kot. Ada barang yang tak kemas lagi!”
”Ops, speaking of that , tahniah Ila. Dah selamat pun. Kami yang bertunang dulu, Ila yang nikah dulu. Terkejut jugak bila Nad cerita,” ujar Najmi. Aku menggariskan senyuman lagi.
”Itulah, dah jodoh, kan! Terima jelah!” jawabku memberikan jawapan mati.
”Agaknya Nad lambat lagi la ni... Saya datang nanti la. Nanti saya SMS Nad. Anyway, congratulations to you!” Najmi bangkit menuju ke pintu pagar. Aku membontoti langkahnya. Selepas kereta Najmi hilang dari pandangan, mataku tertangkap sebuah kereta Wira Aerobak merah hati tidak jauh dari rumah sewaku. Aku amati lama sebelum kereta itu berdesup laju.
Tak mungkin Hazad kot. Walaupun kereta nampak sama tapi Wira Aeroback merah hati kan banyak kat Malaysia ni! Ujarku sendiri lalu melangkah masuk.
******
HAMPIR sebulan tidak bertemu dengan suami tercinta, rasa rinduku membuak-buak di dalam diri. Rindu dengan belaian kasihnya, rindu dengan bisikan cinta darinya. Ada khabar yang ingin aku sampaikan padanya. Khabar yang bisa membuatkan dia melompat tinggi.
Sudah 3 hari aku mendail nombor telefon Hazad namun tiada berjawapan. Sepatutnya dia sudah tiba di Kuantan 2 hari sudah tapi dia bagaikan hilang tanpa di kesan bila mamanya sendiri tidak tahu akan kehilangannya sehinggalah aku bertanya. Hati gundahku bertambah walang bila menerima panggilan daripada mama Hazad lewat malam itu.
”Ila pulang cepat, nak! Hazad dah jadi macam dulu balik, Ila! Mama risau! Balik dengan marah-marah, mata merah, hidung berair, rokok sambung puting,” adu mama Rubiah bersama esakan. Buku-buku yang ku pegang terlepas ke lantai. Aku terduduk.
”Kenapa boleh jadi macam tu, mama?” tanyaku. Nafas mula sesak. Hazad mungkir janji.
”Mama tak tahu, Ila. Ni abah dia tak balik lagi. Mama bimbang kalau abah kamu balik, dia kerjakan Hazad macam dulu!” Jelas sendu mama di hujung talian.
”Sabarlah mama. Ila pun tak tahu nak buat apa sekarang ni. Esok pagi-pagi Ila ambil flight terawal balik ke KL,” beritahuku.
”Barang-barang Ila semua macam mana?”
”Barang-barang Ila hanya buku dan pakaian je, mama. Jangan risaukan Ila. Kita jumpa esok dan Ila mohon, mama tengokkan abang Hazad, ya ma!” pintaku bersungguh-sungguh.
”Baik, Ila. Esok mama jemput kamu dekat airport!”
Malam itu aku terlena bertemankan airmata. Telapak tanganku jatuh pada perut. Bersoal jawab sendiri dengan dugaan dari Yang Esa. Cukupkah rasa sabar ini? Kuatkah diri ini untuk menghadapi dalam pada usia pernikahan yang baru mencecah sebulan?
*****
PERJALANAN pulang dari KLIA ke Paya Jaras ku rasakan terlalu jauh. Punggung sudah membahang rasanya. Tidak sabar untuk sampai ke rumah mentuaku bila mama Rubiah mengatakan Hazad berada di biliknya. Berkurung sejak semalam. Tidak makan, tidak minum.
Setibanya di perkarangan rumah lot setingkat sederhana besar itu, aku terus melompat turun dari kereta mama Rubiah. Pintu sudah sedia terkuak. Aku melangkah masuk dan langkahku pegun tatkala melihatkan tubuh Hazad diseret oleh abah mentuaku ke tengah ruang tamu.
”Kau ni nak jadi apa, Hazad? Mana janji kau nak berubah? Demi kau, abah sanggup pinangkan Ila ikut kehendak kau yang janji nak berubah. Rosakkan masa depan budak tu dengan penagih macam kau ni!” jerit abah lantang.
Tubuh lemah Hazad bertubi-tubi ditendang dan ditampar oleh abah Hisham. Melihatkan Hazad yang hanya menahan dan menghamburkan tawa bagai orang gila membuatkan aku terjelepuk ke lantai. Mama terus tergesa-gesa mendapatkan anak tunggalnya. Menghalang dari terus disakiti.
”Tu, kau tengok Rahila. Terduduk di situ tengok kau macam ni, Hazad!” Jari abah tepat dituding ke arahku sebelum telapak tangannnya singgah ke wajah Hazad.
”Sudahlah, bang! Kesianlah dekat dia!” rayu mama bersama tangisan. Tangan abah dipaut namun abah lebih keras menepis hingga mama terduduk di sofa.
”Kesian awak cakap, Biah? Tu, budak Rahila tu yang patut kita kesiankan. Bukan anak derhaka awak ni,” jerit abah lagi. Airmataku sudah merembes. Tubuhku lemah selemahnya.
”Menyesal saya ikut kehendak anak jahanam ni pinangkan Rahila. Rosakkan kegembiraan dia dengan nikahkah dia dengan penagih ni!” keluh abah. Airmata lelakinya tumpah sudah namun tangannya masih tidak puas singgah di tubuh suamiku. Tangisan mama semakin tinggi dan tatkala mataku tertangkap abah mengangkat pasu dari atas meja, aku pantas bangkit menerpa ke tubuh Hazad yang terbaring lemah.
”Jangan abah!” rayuku. Aku hadang hentakkan pasu itu yang hampir terlepas dari genggaman abah. Perbuatan abah terhenti.
”Ini suami Ila, abah! Jangan buat abang Hazad macam ni. Sakit dia, sakit lagi Ila!” ngongoiku.
”Astaghfirullahhala’zim...” Abah berishtigfar panjang. Dia terduduk ke sofa. Meraup wajahnya yang kusut.
”Apa yang abah cuba buat tadi tu?” ujarnya penuh sesal.
Tubuh Hazad aku peluk seeratnya. Kepalanya aku pangku, darah dibibirnya aku lap lembut. Hatiku terluka melihat dirinya dilukai.
”Maafkan abah, Ila sebab dah membuatkan kamu terjerat dengan penagih ni! Memang dasar penagih, tak akan pernah berubah!”
”Abang Hazad suami Ila, abah! Dah ditakdirkan kami berjodoh. Ila merayu pada abah, berilah sikit masa untuk Ila betulkan semua ni dan satu lagi Ila merayu, janganlah abah gelarkan dia penagih dan jangan sesekali abah katakan yang dia tak akan berubah! Ila akan korbankan segalanya untuk merubah dia abah!” ujarku bersama sendu.
”Maafkan abah, Ila tapi rasanya pengorbanan kamu dengan menerima dia sudah terlalu besar rahmatnya bagi kami. Ya Allah!” keluh abah.
”Abang... ni Ila!” panggilku pada Hazad yang bagaikan sedang berada di dalam dunia sendiri. Tubuh tak berbaju itu aku raih ke dalam pelukan sekali lagi dan tidak lama bila Hazad menolakku kasar. Dia bangkit terhuyung hayang. Mengelap saki baki darah dibibirnya bersama renungan tajam yang menikam wajahku. Aku bangkit merapatinya dan sekali lagi dia menepis tanganku yang cuba meraih jemarinya.
”Dasar perempuan sundal! Patutlah kau mungkir janji dengan aku dulu! Memang jahanam,” jerit Hazad lalu melangkah longlai ke biliknya. Hampir saja aku rebah sekali lagi andai mama tidak cepat menarik aku ke dalam pelukannya. Terbang semangatku mendengar tuduhan tidak berasas daripada mulut suamiku sendiri.
******
MALAM itu, selepas emak dan ayahku pulang, aku beranikan diri masuk ke bilik Hazad biarpun mama dan abah keras melarang.
”Jangan, Ila. Mama takut Hazad sakitkan tubuh kamu!” pesan mama.
”Tak apa, ma! Tak ada apa-apalah!” Aku menggariskan senyuman agar gundahnya hilang sedangkan gundah hatiku kian mencengkam.
Bilik yang bagaikan dilanggar garuda itu benar-benar menambahkan semak di mataku. Tubuh yang sedang bersandar pada kepala katil itu aku dekati. Matanya terpejam rapat tapi kepulan asap makin tebal keluar dari puntung rokok di celah bibirnya.
”Abang...” seruku lembut seraya duduk di depannya. Dia diam.
”Abang...” seruku sekali lagi dan kali ini aku beranikan diri menyapa belakang tangannya. Dia tidak membentak. Sekadar mengangkat kelopak mata dan memandangku tanpa perasaan. Aku tahu, di dalam batang rokok itu telah diadun dengan debu ganja atau mungkin juga benda lain bila mataku tertangkap satu bungkusan kecil serbuk putih di kaki katilnya. Airmataku merintik. Luluh hati ini melihatkan perkara ini berlaku dengan mata kepalaku sendiri.
”Kau nak apa masuk bilik aku? Nak menangis je?” soalnya kasar tapi tidak pula dia menarik tangannya dari pautanku.
”Inikan bilik Ila jugak!” jawabku selepas meredakan tangisan. Hazad diam lagi.
”Kenapa abang mesti berubah begini lagi? Bukankah abang dah janji dengan Ila malam pernikahan kita hari tu?” Suaraku kembali lirih.
”Kau apa peduli kalau aku berubah sekalipun?” tukasnya.
”Ila peduli. Ila peduli sebab abang tu suami Ila. Ila peduli sebab Ila ni isteri abang. Isteri abang yang abang tuntut sebuah pengorbanan daripadanya demi perubahan, abang!”
”Kalau benar kau tahu kau isteri aku, perlu ke kau curang dengan jantan lain? Perlu ke kau hindari aku selama sebulan ni?” jerkahnya seraya merentap kasar tangannya. Dia bangkit mendekat ke tingkap.
”Abang cakap apa ni?” soalku meninggi. Sudah berkali-kali aku dituduhnya bukan-bukan.
”Kau memang curang dengan aku sebab tu kau tak jawab telefon aku, kan? Tak puas dengan layanan yang aku berikan sampai kau sanggup cari jantan lain? Jadi, kau cakap dengan aku sekarang Rahila, aku yang kaki ganja, dadah segala ni ke yang teruk atau kau perempuan jalang yang lebih jahat?”
Aku terpempan demi tuduhannya. Bayangan kereta merah hati yang ku nampak sewaktu di rumah sewa minggu sudah menari-nari di depan mata. Jadi benarlah dia.
”Memang abang hari tu, kan? Memang kereta abang, kan? Kenapa abang tak datang dekat? Kenapa mesti abang terus pergi?” Airmataku merembes lagi.
”Untuk apa aku ke rumah kau tu? Untuk lihat kau berasmaradana dengan kekasih gelap kau tu?” Puntung rokok bertukar lagi. Disedutnya sepenuh hati.
”Abang tak boleh tuduh Ila macam tu. Dia kawan Ila je.” Aku yakin dia terlihat kelibat aku dan tunang Nadia, Najmi.
”Kawan konon!” tukasnya sinis.
”Dan abang pun tak boleh nak berubah semula ke perangai lama abang kalau kata ditimpa masalah besar sekalipun. Dadah bukan penyelesaiannya abang. Itu semua merosakkan,” tegasku.
”Jadi, kau nak cakap betullah yang kau curang dengan aku, ya Rahila?” jeritnya. Langsir hijau lembut itu disentap kuat. Terlerai dari penggantung. Hazad mendekat padaku. Bahuku dicengkam kuat. Digugahnya berkali-kali.
”Kau memang curang, kan?”
”Tak abang.” Aku menggeleng. ”Itu Najmi, tunang Nadia. Nadia tu teman serumah dan kawan baik Ila, percayalah!”
”Tak semudah tu aku nak percaya, Rahila. Masa kita 17 tahun dulu aku pernah pesan, kau akan lihat kehancuran aku kalau kau tinggalkan aku Ila tapi kau tetap pergi untuk cita-cita kau. Hari ini, aku akan pastikan kaulah yang bertanggungjawab di atas kehancuran aku, Rahila!” jerit Hazad lagi kuat.
”Sungguh abang. Dia tunang Nadia. Kalau pun abang tak nak percaya, abang jangan hancurkan hidup abang sebab Ila!” Tangan kasar itu ku raih sekali lagi. Mengharapkan pengertian di sebalik rasa kasih yang pernah kami semai bersama di awal pernikahan. Kini, semaian rasa cinta dan kasih itu sudah mencambahkan tunasnya.
”Dahlah, Rahila! Kau keluar sekarang. Aku benci tengok muka, kau!” Tubuhku ditepis dan entah bagaimana, kakiku terpijak langsir yang terdampar di lantai. Imbangan tubuhku sudah tidak seimbang. Aku cuba mengawal tubuh agar tidak jatuh namun segalanya sia-sia bila langsir itu terlalu licin untuk mencengkam marmar. Aku jatuh terduduk dan serentak itu, rasa perit sudah menggigit pangkal rahimku.
”Abang, darah! Anak, abang! Anak kita...,” rengekku selepas merasakan ada cecair hangat mengalir di celah peha. Kain baju kurung pink yang aku pakai bertukar merah.
”Ya Allah, Ila kenapa ni? Darah apa ni?” Hazad mendapatkanku. Menyentuh warna merah pekat yang mengalir. Dia merenung seluruh jarinya yang merah.
”Anak kita abang,” gumamku bersama wajah yang menyeringai menahan perit.
”Anak? Ila me... me... mengan....” Suara Hazad terketar-ketar menyapa telingaku.
”Ya Allah, sakit abang! Anak kita,” tukasku lagi. Lengannya aku cengkam sekuat hati. Mengharapkan dia mengerti akan keperitan yang aku rasakan.
Pandanganku makin kabur. Seluruh alam serasa berputar ligat. Memaksa aku menutup mata perlahan-lahan.
”Mama, abah... tolong!” Hanya itu sempat disapa telingaku sebelum pandanganku kelam.
*******
PENAMPAR sulung Kak Rahida hinggap ke pipi Hazad. Matanya merah selepas puas mengalirkan airmata melihatkan keadaanku yang terlantar akibat keguguran kandungan yang baru berusia 3 minggu. Ranap anganku untuk berkongsi berita itu dengan Hazad. Aku terima kehilangan ini sebagai bukan rezeki untukku tapi jauh di sudut hati, rasa terkilan itu tetap ada.
Emak dan mama tidak sudah-sudah menitiskan airmata. Abang Azali sekadar diam melayani puteranya. Ayah dan abah juga diam tidak menghalang tindakan Kak Ida.
”Kau memang tak reti diuntung, Hazad! Pengorbanan Rahila selama ni kau sia-siakan begitu saja. Dulu, aku benci bila Ila buat keputusan nak terima kau dalam hidup dia tapi aku bersyukur bila aku tengok dia bahagia selepas pernikahan kamu berdua. Di mana silapnya Rahila sampai kamu buat dia macam ni? Kalau kamu benci sangat dengan Rahila ni, buat apa kamu sentuh dia sampai dia mengandung? Lepas tu sesuka hati kau tolak dia sampai kandungan dia keguguran?” kesat sahaja suara Kak Rahida menengking suamiku.
”Kalau macam nilah perangai kau... tak pernah nak berubah, aku nak kau ceraikan Rahila, Hazad!”
Hazad menerpa ke kaki emak dan mama bila perkataan cerai itu jelas ditekan Kak Ida.
”Ampunkan Jad mak, mama. Jad tak sengaja mak, mama. Jad tak ada niat nak tolak Ila jatuh!” Hazad menangis bagaikan anak kecil. Aku hanya diam, menyeka airmata yang mengalir tidak sudah-sudah. Hatiku turut terkejut dengan perkataan yang halal namun tidak disukai Allah itu. Ayah dan abah mengucap panjang.
Abang Azali mendekat pada isterinya. ”Apa yang awak cakap ni, Ida? Awak nak ke Ila tu jadi janda muda?” marahnya pada Kak Ida lalu ditarik keluar dari bilik Hazad bersama si kecil mereka.
”Sebab kamulah mama kehilangan cucu pertama mama, Hilal Hazad!” marah mama. Langsung tidak dihiraukan Hazad yang merayu-rayu.
”Ayah... abah... Jad minta maaf. Jad tak sengaja. Sungguh Jad tiada niat nak sakiti Ila!” Hazad mula menyeret lututnya mendekat pada ayah dan abah. Abah mendengus namun ayah paut bahu itu. Memeluk menantunya erat.
”Ayah tahu Jad tak sengaja. Benda dah jadi. Dah tertulis anak tu bukan rezeki kamu berdua. Tapi, bukan pada kami sepatutnya kamu minta maaf. Ila adalah yang selayaknya tempat kamu mohon maaf tu, Jad!” ucap ayah mesra. Ayah sentiasa pandai menguasai keadaan. Aku memandang ayah dan mengukir senyuman biarpun terasa kelat benar.
Hazad menyeret pula lututnya merapati katil tempat aku bersandar selepas meleraikan pelukan ayah. Jemariku digapai. Dikucupnya satu persatu bersama airmata yang tidak langsung ada tanda hendak berhenti. Hati wanitaku terusik dengan airmata lelakinya.
”Maafkan abang, sayang! Abang salah pada Ila, abang salah pada anak kita!” Wajahnya disembamkan ke pehaku.
Aku pujuk hati agar dapat memberi sebuah kemaafan buat suamiku. Benar kata ayah, sudah tersurat dia bukan milik kami tapi yang membuatkan aku sayu adalah perubahannya. Segala janjinya dulu palsu semata-mata.
”Ila maafkan abang!” ujarku separuh berbisik. ”Tapi,....” Kata-kata mati di situ. Wajah emak, mama, ayah dan abah aku pandang satu persatu. Menghantar satu permintaan dalam diam. Mengerti dengan kehendakku, mereka berlalu keluar lalu merapatkan daun pintu.
”... tapi, Ila nak tahu kenapa abang berubah lagi? Ila boleh terima abang tuduh Ila macam-macam tapi Ila tak boleh terima langsung bila abang ambil benda tu semua sekali lagi.” sambungku. Dia mengangkat wajah. Menentang mataku yang berair.
”Abang salah. Abang patut percayakan kesetiaan Ila pada abang bila Ila sanggup korbankan kehendak Ila sendiri demi abang tapi entahlah, bila abang ke rumah sewa Ila dengan niat untuk mengejutkan Ila, abang tak sangka, abang ternampak Ila dengan seorang lelaki. Abang keliru apatah lagi, pada awalnya Ila memang terpaksa menerima abang sebagai suami!” Jemariku dikucup lagi.
”Kalau abang nak bukti yang Najmi tu adalah tunang Nadia dan dia datang nak jumpa Nadia masa tu, Ila boleh tunjukkan,” selaku. Dia menggeleng pantas. Saki baki airmata di pipiku dikesat.
”Tak payah nak buktikan apa-apa. Abang sepatutnya percayakan Ila, bukan terus meneka dan memfitnah Ila! Abang marah, marah yang amat. Abang dah tak boleh nak terima kalau terpaksa menghadapi kehilangan Ila sekali lagi setelah puas menunggu 7 tahun dulu!” Dia kelihatan telan liur seketika. Aku renung wajah itu. Tiada lagi hidung merah dan berair.
”Abang memang ingat nak ambil benda tu balik tapi bla difikirkan, abang sayang nak rosakkan diri sendiri. Mesti Ila lagi benci pada abang nanti”
”Tapi, abang tetap berubah,” pangkasku sayu. Airmata merembes lagi bila teringkatkan paket kecil serbuk putih itu.
”Dengar, abang jelaskan. Abang dah berhenti Ila. Sejak mula-mula abang tahu Ila terima abang. Cuma merokok tu payah sikit. Paket putih yang Ila tengok tu tepung semata-mata. Hidung merah berair tu sebab abang sendiri menangis. Abang sengaja nak sakitkan hati Ila sebab dah sakitkan hati abang. Abang yakin, Ila akan terluka kalau lihat abang begitu lagi. Rokok itu pun memang rokok betul tapi abang sekadar hisap macam tu je, terus hembus asapnya. Tak sedut dalam-dalam pun. Abang sengaja buat huyung hayang macam orang khayal supaya nampak real. Abang sengaja biarkan abah pukul abang sebab nak tengok setakat mana Ila sanggup korbankan diri untuk abang sebab abang tahu, Ila balik hari tu lepas dengar perbualan mama dengan Ila,” terangnya panjang lebar.
”Sampai hati...”
”I am so sorry, sayang tapi percayalah. I really didn’t expect that, bila Ila sanggup hadang abang dari kena hentak oleh abah dengan pasu. Tapi, masa tu abang tetap tak boleh nak terima bila tiba-tiba bayangan lelaki tu hadir. Abang salah, abang cemburu buta hinggakan kita kehilangan baby kita.” Nadanya ada getar. Aku elus pipinya. Seperti mana pernah dia lalukan padaku 7 tahun sudah.
”Bukan rezeki kita. Ila tak salahkan abang sikit pun. Ila bersyukur sangat sebab abang betul-betul dah tak sentuh benda haram tu lagi. Ila bersyukur abang pegang janji abang!” Aku melebarkan senyuman. Sungguh, bila perkara itu bukan rezeki kita, pasti tidak menjadi hak kita.
”Emm... Abang tahu Ila ignore call abang sebab nak fokus, kan? So, macam mana final?”
”Alhamdulillah, boleh jawab berkat tak jawab call abang!” gurauku. Dia buntang mata.
”Nak perli abang lagi la tu ya?” Lantas tubuhku di sapa ke dalam pelukannya. ”Abang cinta Ila dari kecil sampai bila-bila. Pertama kali peluk Ila masa kita 17 tahun dulu benar-benar membuatkan abang sasau bila Ila nekad pergi sambung belajar jauh dari abang!” akuinya telus.
”Ila pun cintakan abang masa tu tapi maafkan Ila sebab terlambat sedar. Ambil masa 7 tahun untuk sedar hati sendiri. Sebab masa tu Ila pelik bila fikirkan teman dari kecil boleh jatuh cinta. Mungkin sebab tu juga Ila nekad jauhkan diri daripada abang dan Ila tak sangka, abang ikat Ila dengan janji kita dulu. Ila cinta abang!” ucapku lembut.
”So, lepas ni boleh kita plan balik honeymoon kita?” Hazad kenyit mata sesudah meleraikan pelukan. Wajahku merona merah tiba-tiba. Masih malu sebenarnya biarpun sudah beberapa kali memadu kasih. Hazad ketawa.
”Pantang orang miscarriage pun sama macam pantang bersalin tau!” ucapku selamba.
Hazad menjegilkan mata. ”Lama tu! Kebulurlah abang. Hari tu pergi jemput Ila awal pun sebab tak tahan. Ni nak tunggu habis pantang pulak!” keluhnya kuat. Aku ketawa. Mudah saja tertipu.
”Oh, kenakan abang ya?” Hidungku dicuit. Aku ketawa lagi. Terbang segala kesakitan dan keperitan.
”Dan final paper abang macam mana pulak?” tanyaku ingin tahu. Tapi, dalam hati sudah dapat diagak.
”Out of service!” Sengihnya melebar. Tunjuk muka tidak bersalah.
”Dah agak!” cebikku. ”Dahtu nak bela anak bini macam mana?”
”Abang akan start kerja dengan dengan syarikat abah bila Ila dah sihat nanti. Dalam pada tu abang akan sambung belajar balik. Dapat tiga dalam satu,” jawabnya nakal.
”Tiga dalam satu?” Keningku terangkat. Hazad mengangguk.
”Tiga dalam satu. Dapat Ila, kerja dan belajar!” Aku menjuihkan bibir. Dia ketawa.
”Abang cintakan sayang, abang cintakan sayang, abang cintakan sayang. Terima kasih sebab terima bekas penagih macam abang ni!” Tubuhku sekali lagi diraihnya. Lebih erat daripada tadi. Aku membalas tanpa silu.
”Abang bukan penagih, abang terjebak sekejap je. Tapi, ingat ni. Apa-apa pun yang menimpa jangan cari jalan mudah dengan memilih jalan hitam tu!” Aku rasa anggukan Hazad dibahuku.
’This is my sacrifice story to save my own chillhood friend who fell for me long ago and became my beloved husband after 7 years.’ Akan ku ceritakan pada generasiku nanti hakikat itu.
”Rahila binti Razak was meant to Hilal Hazad bin Hisham and will always be yours!” bisikku penuh syahdu. Sebuah kucupan singgah di pipiku.
Langsir pintu bilik terkuak. Wajah emak, mama, abah, ayah, Kak Rahida dan Abang Azali bersama si comel Azam muncul satu persatu. Tersenyum padaku dengan mengangkat ibu jari. Tiada kekesalan dalam hatiku bila Allah anugerahkan perubahan yang baik dalam diri Hazad.

Hello my friend, we meet again. It's been a while, where should we begin?
Feels like forever, within my heart are memories, of perfect love that you gave to me
I remember, when you are with me, I'm free, I'm careless, I believe
Above all the others, we'll fly, this brings tears, to my eyes
My sacrifice….
We've seen our share, of ups and downs, how quickly life can turn around
In an instant, it feels so good to reunite
Within yourself and within your mind
Let's find peace there – Creed


**** TAMAT *****

15 comments:

  1. Saya suka sangat jalan cerita nie.. lain dari lain. Cinta yang sejati milik semua

    ReplyDelete
  2. bg saya ini adalah cerpen terbaik yang pernah saya hasilkan..

    ReplyDelete
  3. yang ni paling best..
    tahniah

    ReplyDelete
  4. kak rehan mmg byk idela kak...best.

    ReplyDelete
  5. best..tp apelar hazad 2,,jdkn cinta manusia sgala2nyer,,ptotnyer dia brsandarkn dn mengharapkn cinta Allah smata2,,cinta mnusia no.2 ptot dye kejar,,2 dye mdah terjerumus dgn bnda2 xelok 2,,klaular rahila 2 khwin dgn org lain agaknyer dye jd "org" x..hehe..pe2pn nice story,,good job writer..:)

    ReplyDelete
  6. Rehan..baru berkesempatan baca cerpen ni..sweet sgt..bleh ar jadikan mini novel ni..best sgt..

    ReplyDelete
  7. RM, kak baru baca cerpen2 RM kat sini, selepas dakap novel koleksi"oh cinta" ..hope cerpen2 yg lain ini jugak dibukukan....nk buat koleksi! Tahniah ya...

    ReplyDelete
  8. suke..lain skit dr novel2 yg sblm ni

    ReplyDelete
  9. І am rеally imprеssed ωith уour writing skіlls
    аs wеll aѕ with thе layout on
    yοur blog. ӏs this a paid theme or ԁiԁ you modіfy it yоurself?

    Either wаy keep up the niсe quаlity
    ωrіting, it's rare to see a nice blog like this one nowadays.

    Look into my web blog :: hcg injections

    ReplyDelete
  10. I like tis story...reminded me of someone I know..n Alhamdulillah..he turned up well like Jad :)

    ReplyDelete
  11. I like tis story...reminded me of someone I know..n Alhamdulillah..he turned up well like Jad :)

    ReplyDelete
  12. suka sgt!!bez!!
    bla hazad ckp dy cnta dari kecik tba2 tinat dri sndri..yg cntakn kwan spmainan tyme knak2..hahahahahah..tp cnta x smctynya bsatu kan??..cnta tpok sblah tngan.hihi.x brani pon nk cnfess^_^

    ReplyDelete