Tuesday, August 02, 2011

Nama Saya Jijah


SELEPAS seminggu menyeksakan diri melalui orientasi siswa tahun pertama, aku kini mampu menarik nafas lega. Tiada lagi kedengaran suara-suara senior menjerit macam tarzan, hilang sudah wajah-wajah berlagak yang menyeksa aku untuk melakukan pelbagai perkara yang memalukan demi sebuah tandatangan yang tiada nilainya. Namun, peristiwa itu tak mungkin aku lupakan apatah lagi hendak melupakan wajah yang menyebabkan aku menjadi keldai! Huh, tak akan! Never!
“Ji, kenapa kau tak tunggu aku tadi?” Wajah mengah Syaza yang baru melabuhkan duduk di sebelahku, aku pandang dengan raut yang tak bersalah bersama senyuman comel. Erk, comel ke?
“Maaflah, kawan. Aku tengok kau lambat sangat nak bersiap. Dah la aku ni tengah teruja nak masuk kelas pertama ni. Hari pertama menjadi budak kampus ni memang buat aku tak sabar nak datang kuliah!”
“Kot ya pun teruja, janganlah tinggalkan aku, Ji. Bukan lama sangat pun aku bersiap!” protes Syaza. Aku mencebik. Tak lama kau cakap! Mataku membulat.
“Ceh, tak lama apa? Dari Subuh aku kejut, sampai aku dah nak menapak keluar kau baru nak bangkit!”
“Sampai awal pun kuliah bukan mula lagi, kan?” selanya tidak mahu kalah.
“Memanglah tak mula lagi, tapi setidak-tidaknya aku tak mengah macam kau. Cool and steady je!” AKu mengangkat kening dengan senyuman sinis. Syaza angkat bahu.
“Lagipun aku dah penat nak berkejar-kejar macam minggu orientasi. Tak larat aku, kena lari sana, lari sini, kejar orang tu, kejar orang ni! Penat wei! Menyampah jangan ceritalah!” Wajahku sudah bertukar kelat. Peristiwa menyayat hari itu menari di layar mata.
“Ala, Ji. Kau ingat pasal tu lagi ke? Memang adat kita sebagai freshie la, Ji. Dah la tu, itu pun nak berkira!” Syaza menepuk bahuku lembut. Wajah mengah tadi sudah bertukar ceria. Ada bunga tawa pada bening mata sepetnya.
“Eh, mahu aku tak berkira. Bukan kau tak tahu betapa teruknya aku kena buli dan satu lagi, berapa kali aku nak pesan, kau tak payahlah nak panggil aku Ji itu, Ji ini. Panggillah nama penuh aku. Ayah aku marah kalau orang panggil aku dengan nama pendek ni!” Suaraku jelas tidak puas hati. Wajah teman yang baru aku kenali sewaktu pendaftaran seminggu sudah itu berubah kelat.
“Jadi, usahlah Tuan Puteri Syaza mencemar duli sangat untuk memendekkan nama patik pacal yang hina ini yang sudah sedia pendek itu!” sambungku bersama jari sepuluh yang tersusun rapat.
“Eleh, macam bangga sangat dengan nama dia?” Syaza menjeling dengan bibir yang herot. Macam kena strok pulak dia ni! Ops, tak baik mengata orang!
“Eh, mahu tak bangga. Buruk ke cantik dah itu nama yang ayah aku bagi. Dah nak masuk 20 tahun tau aku pakai nama tu so just show your respect, okay!” Bahunya aku tepuk lembut.
“Banggalah sangat!” Ejekan Syaza aku terima dengan tawa. Sejak dari awal perkenalan dia tidak sudah-sudah mahu mencari mana glamour buatku dan setiap kali itu aku menolaknya jua.
“Mestilah aku tersangat bangga sebab nama tu ayah aku bagi sempena nama arwah mak aku tau!” Tubuhku tegap mendabik dada.
Sesungguhnya aku bangga mempunyai nama emak biarpun dia telah pergi saat aku lahir ke dunia ini. Kerana itulah juga ayah berkeputusan untuk menamakan aku sempena wanita kesayangannya kerana aku kini menjadi yang tersayang buat ayah.
“Eleh, nama mak kau siapa?” soal Syaza tidak puas hati. Keningnya terangkat tinggi.
“Azah,” jawabku sepatah.
“Dan mana kau pulak?”
Aku telan liur. Malas hendak dijawab soalan Syaza kerana tahu aku pasti tewas. Bila difikirkan, terlalu besar bezanya nama aku dengan nama arwah emak. Sekadar sebutan pada hujungnya hampir sama. Bila soalan ini aku ajukan kepada pada ayah, katanya dia terlalu sibuk menguruskan pengkebumian arwah emak, jadi tugas mendaftarkan namaku telah diamanahkan kepada arwah Tok Wan dan entah bagaikan, nama itu terpahat di dalam surat beranakku.
“Nama aku.....”
“Jijah binti Jazlan!”
Belum sempat aku menjawab soalan ‘buat-buat tidak tahu’ Syaza, suara seseorang kuat menjerit di depan Dewan Kuliah! Nah, itulah namaku. Nama ayah pun agak handsome tapi nama aku? Ah, tak kira, nak buat muka bangga jugak!
“Saya Jijah binti Jazlan!” Aku pantas berdiri dengan mengangkat tinggi tangan kanan dan serentak itu semua mata tertumpu ke arahku. Ada yang ketawa, ada yang mencebik. Ceh, menghina la tuh! Aku segera menapak ke arah seorang wanita di depanku. Seorang senior MPP!
“Nah!” Sampul surat putih itu dihulurnya. Aku menyambut penuh sopan.
“Malam ni ada meeting. Tak tak boleh tak hadir. Arahan mandatori!” tegas senior yang dikenali sebagai Nana, lalu dia melangkah keluar dengan jelingan yang tajam. Aku kembali ke tempat duduk.
“Surat apa tu?” tanya Syaza tidak menyempat.
Aku menjungkitkan bahu. Bibir dicebikkan sedikit sebagai jawapan kepada Syaza. Surat itu aku tarik keluar daripada sampulnya dengan penuh debar. Haish, tak kan ‘secretor admirer’ pulak kot? Selepas mataku melirik kepada dada kertas, aku tepuk dahi sendiri. Sungguh, aku kecewa dengan kehadiran jemputan yang tidak diundang itu.
*****
Bilik Studio Fakulti Senibina itu tampak meriah dengan keriuhan suara-suara yang tidak aku kenali. Hanya beberapa raut saja yang aku cam. Wajah pembuli!
“Okay, guys. We are about to start now. Pengerusi pun dah sampai ni!” Suara senior yang menghantar surat padaku itu jelas di peluput telinga. Mashana namanya! Masing-masing menarik kerusi rapat ke depan. Aku terpaksa menurut dengan wajah yang menekur ke lantai.
“Assalamulaikum semua. We start now before it’s getting late night. For those who ready know me, it’s fine and for those who just join MPP, welcome and I’m your chairman. My name is Muhamad Shahhir. You can call me Shah!”
Aku panggung kepala demi mendengarkan nama itu. Memang nama itu kepunyaannya dan seraut wajah pembuli itu pasti milik dia. Pembuli, penceroboh dan macam-macam pen lagi. Arghh... tak mahu! Jijah nak balik ayah! Hatiku menjerit kuat.
“Nampaknya, semester ni kita ada seorang je junior yang bertuah terpilih ke MPP!” Matanya redup saja jatuh ke wajahku tapi langsung tidak dapat meredupkan gelodak hati yang gundah bila merasakan aku akan menjadi khadam mereka semua.
“Excuse me. Will you please introduce yourself. Nak jugak kenal dengan junior yang bertuah ni,” ujarnya tenang namun aku tertangkap sengihan sinis yang bertenggek di bibirnya.
Aku bangkit terpaksa bila semua sudah kaliH kepadaku. Ada yang tersenyum mesra tak kurang juga yang menayangkan wajah menyampah. Aduhai, tak bertuahnya Jijah ni, ayah!
“Saya Jijah binti Jazlan. Pelajar tahun pertama Fakulti Bahasa. Ambil kursus TesL!” tuturku.
Dan seperti ku telah, ketawa sudah berdekah-dekah memenuhi seluruh studio. Hatiku marah! Tidak tahukah mereka, nama ini adalah sesuatu yang sensitif. Kenapa mesti nak ketawakan nama orang? Aku renung mata Shah dalam-dalam mohon simpati agar dia menggunakan kuasanya untuk menghentikan tawa mereka ini.
Tapi sayang, dia sekadar merenungku tajam sedari tadi. Tubir mataku serasa suam dan serentak itu air jernih itu mengalir sudah. Buat pertama kalinya dalam hidupku, aku menitiskan airmata angkara namaku dipersendakan.
****
Syaza memaut tanganku rapat kepadanya bila beberapa orang senior MPP sudah bantai gelak saat aku melalui kaki lima makmal komputer. Bengkak hatiku makin parah mendengarkan namaku dilaungkan berkali-kali dan selepas itu disambung pula dengan tawa yang kuat.
“Cik adik Jijah ni nak ke mana?” tanya salah seorang teman Shah, Ijad bila aku melaluinya. Genggaman Syaza serasa erat. Mungkin memujukku dalam diam.
“Orang sikit punya cun. Cantik kemain tapi kenapa nama kolot sangat, wahai cik adik yang cantik menawan?” tanya Radhi pula. Aku ketap bibir menahan rasa pijar yang mula menempel ke wajah. Sejak peristiwa di studio senibina tempoh hari, aku tidak sudah-sudah dijadikan usikan oleh kumpulan senior. Dadaku turun naik menahan amarah yang sekian lama membakar diri.
“Mak ai, sombongnya dia. Harap muka je cantik tapi nama buruk! Tambah lagi sombong memang la bertambah-tambah buruknya,” ejek suara yang cukup aku kenal pula sambil menarik beg galasku. Hampir saja aku tertonggeng ke belakang.
Pegangan Syaza aku renggut kuat. Perlahan-lahan aku menapak ke arah lelaki itu dan tanpa ku duga penampar sulungku hinggap pada wajahnya. Nah, kan dah cakap aku marah!
“Kau ni kan memang tak sayang mulut! Apa masalah kau dengan aku? Ada aku kacau kau ke? Ada aku cuit kau? Tak ada, kan? Ada aku susahkan kau dengan nama aku ni? Apa kau nak buat kalau aku bangga dengan nama Jijah tu? Dah memang nama aku, kau apahal nak peduli? Tak guna duit ringgit kau, kan?” herdikku meninggi bersama dada yang berombak kencang. Nah, ambil kau Shah. Sarang tebuan jangan dijolok.
“Dan aku Jijah binti Jazlan dengan ini meletakkan sebarang jawatan yang berkaitan dalam Majlis Perwakilan Pelajar saat ni jugak!” jeritku lantang. Beberapa pasang mata yang sudah memandang ke arah kami sudah tidak ku hiraukan. Ejekan yang berlarutan selama berminggu-minggu ini mesti dihentikan.
“Wei Jijah Joyah, berani kau tampar aku ya?” soalnya berwajah singa lapar. Matanya merah saga. Aku jua tidak mahu tewas lantas aku renung anak mata itu lama dan tanpa ku sedar, zupp, hati ini... Haish, apa rasa ni?!
“Memang aku berani sebab kau tak habis-habis nak mengejek nama aku ni kenapa? Benci sangat ke kau dengan nama aku? Rasanya aku tak adalah nak kacau kau pun, kan?” Shah diam dengan pandangan masih pada wajahku. Aku menggariskan senyum tipis.
“Aku tak mahu ada kaitan dengan MPP lagi,” beritahuku keras menyembunyikan rasa hati yang bergelojak tiba-tiba. Aku bawa telapak tangan rapat ke dada kiri. Memujuk hati.
“Berani kau tampar aku, kan? “ ulangnya lagi. “Dan berani jugak kau nak tinggalkan MPP macam tu je tanpa kebenaran aku?”
“So what?” Aku angkat kening. Sengaja mencabar lelaki tampan ini.
“Kau dah buat silap besar. Kau tak tahu tangan kau tu dah singgah ke wajah siapa?”
“Mahu tak kenal. Kau kan Ketua MPP yang gila kuasa dan selebihnya aku tak hingin nak kenal pun!” selaku bersahaja, menambahkan minyak tanah pada api kemarahan. Shah menapak beberapa tapak ke arahku biarpun ada temannya yang sudah menarik lengannya aku menjauh dariku tapi langkah Shah tetap maju.
“Kau memang berani semacam? Jangan nak mencipta permusuhan antara aku dengan kau, buruk padahnya,” ugutnya lantas jemari kasar itu memaut daguku keras dan tanpa aku duga sekali lagi telapak tanganku singgah ke pipinya. Sebagai amaran agar tidak menyentuhku sesuka hati.
“Dan kau pun jangan berani nak sentuh aku sesuka hati kau and yes, I declare war with you! Bersaksikan semua kawan-kawan immoral kau ni, aku isytiharkan perang antara kau dan aku! Definitely war!!” jeritku pula. Aku langsung menapak. Entah dari mana aku mendapat keberaniannya, aku sendiri tidak pasti.
“Ni nasihat aku pada kau.” Langkahku mati seketika. “Jangan terlalu menghina nama aku ni takut satu hari nanti, nama inilah yang kau jawab ijab kabulnya,” ejekku seraya berlalu. Hatiku puas. Benar-benar puas biarpun aku tahu apa yang bakal menimpaku kerana telah membuat perisytiharan perang dengan lelaki yang paling berpengaruh di kampus kami. Jauh disudut hati ada debar yang hadir.
“Tak hingin aku. Nama kolot, buruk, jelek!!” jeritnya lantang. Aku terus menarik tangan Syaza yang sedari tadi terkedu dengan tindakanku.
*****
Selepas tamat kuliah tengah hari itu, aku dan Syaza bergegas ke pondok bas. Mahu pulang segera ke kolej setelah kelas petang dibatalkan. Dalam keadaan bersesak-sesak itu, kami akhirnya memboloskan diri ke dalam perut bas yang padat. Aku membawa buku tebal itu ke dada, bimbang andai lekuk badan terhimpit dengan mana-mana tubuh.
“Kau memang maksudkan ke apa yang kau cakap kat Shah beberapa hari sudah tu, Ji?” Itulah soalan yang terpacul daripada celah bibir Syaza saat kami bersusah payah mengimbangi badan di dalam bas yang teroleng-oleng.
“Mahunya aku nak maksudkan betul-betul. Tak adalah, Sya. Aku saja ugut nak bagi mulut murai jantan tu diam. Tengok, walaupun aku declare war dengan dia mana ada apa-apa yang menimpa aku kan?” jawabku gembira.
Memang itulah yang aku niatkan tatkala mengucapkan perkataan ijab Kabul di depan Shah kala itu namun aku jua sudah jenuh menghalau satu rasa aneh yang sedang berusaha mengepakkan pintu hatiku biarpun berkali-kali aku menegahnya. Huish... tak nak!!
“Okeylah kalau dia memang dah tak nak ambil kisah pasal kau dan pasal war kau dengan dia tu aku rasa tak sedap hati la, Ji. Tak tahu kenapa, hati aku ni rasa tak sedap je. Rasa macam something is going to happen to you soon! Aku risaulah dekat kau, Ji!” Wajah Syaza jelas bimbang dan aku menghantar senyuman lebar buatnya agar kegurasan di hatinya berlalu pergi.
“Tak ada apalah. Aku kan boleh jaga diri sendiri. Dia tak adanya berani nak apa-apakan aku. kalau dia berani sentuh aku walaupun pada hujung jari, mahu aku paksa dia kahwin dengan aku,” ujarnya dengan tawa yang mengekek. Syaza membulatkan mata.
“Ceh, aku dok risaukan dia, dia pulak berangan nak kahwin dengan si Shah tu!” Syaza mengulas kelat.
“BUkan berangan la. Aku cakap je. Saja nak bagi kau senyum sikit. Perumpaan jelah sebab bagi aku, orang yang layak sentuh kulit aku ni kalau lelaki mestilah seorang yang bergelar suami. Selain dari tu, memang aku akan pancung!” Bahu Syaza aku peluk erat.
“Tapi aku tetap bim....” Tanpa sempat aku mendengar ayat penuh daripada Syaza, tubuhku sudah terdorong ke depan. Bukan kerana brake bas tapi kerana ditolak daripada belakang dan dalam keadaan bas yang terhuyung-hayang, tubuhku ringan saja tercampak ke depan tanpa sempat aku berpaut pada apa-apa.
“Ji...” Suara Syaza nyaring. Aku yang sudah tertiarap menyembah lantai sekadar mengaduh kesakitan. Tanpa ku duga, tawa mengejek sudah mula memenuhi ruangan bas. Wajahku sudah dicakar malu.
“Wow, Jijah kita ni tersungkur rupanya! Kesian dia. Jijah tersungkur la wei!” laung lelaki itu. Aku angkat tubuh dengan bantuan Syaza dan saat mata kami beradu, aku renung anak mata hitam pekat Shah dalam-dalam.
Benar kata Syaza, sesuatu telah pun berlaku padaku dan aku yakin, pasti akan menyusul pula satu persatu serang hendapnya. Mahu saja aku membalas namun bila bas berhenti, Shah dan kawan-kawanya selamba sahaja melaluiku untuk turun. Sebelum sampai di tangga, langkahnya pegun di sisiku. Tubuhnya sedikit membongkok, membawa bibirnya dekat ke telingaku.
“Satu hari aku akan buat kau tersungkur di kaki aku pulak!” bisiknya penuh sinis. Dadaku mahu meletup saja. Benci dengan perbuatannya padaku malah terlebih kebencianku pada satu rasa ini. Telapak tangan sekali lagi aku bawa ke dada. Oh, tidak!!
*****
Petang itu, sesudah menghabiskan latihan bola jaring, aku dan Syaza duduk di tepi padang. Air mineral itu aku teguk perlahan.
“Aku rasa ada sesuatu yang bakal menimpa aku Sya,” beritahuku pada Syaza. Wajahnya berubah riak. Ayat itu pernah dituturkannya dan kini terbit dari mulutku sendiri. Gundah hatiku tidak berkesudahan. Sesekali ada jua rasa kesal bertandang namun, yang terjadi biarlah saja terjadi.
“Kau rasa Shah nak apa-apakan kau lagi ke?” tanya Syaza. Wajahnya bimbang dan aku hanya mampu tersenyum biarpun terasa kelat amat.
“Aku yakin orang macam Shah tu tak akan berhenti sampai aku tak melulut depan dia tapi tak apa, selagi dia tak sentuh aku. It’s supposed to be fine to me! Jangan sampai dia berani sentuh aku dah! Aku amuk satu kampus ni!” balasku bersama sengihan sumbing.
Memang, sejak berkali-kali dikenakan oleh Shah dan kawan-kawannya, senyumku sudah sumbing. Serba tidak kena.
Selepas peristiwa dia membuatkan aku tersungkur di dalam bas, hatinya bagai tidak pernah puas. Beberapa hari sudah, dia mengoyakkan tugasan yang perlu aku hantar dengan bantuan beberapa orang classmateku yang menjadi penyokong setianya. Hendak dituduh tiada berbukti. Sudahnya, aku terpaksa merayu kepada Pensyarah, Puan Anum untuk menghantarnya sehari lambat dan harga yang harus aku bayar, 5% markah akan ditolak.
Tubir mataku suam. Setelah penat merayu kepada Puan Anum dan setelah bersetuju agar 5% markah nanti di tolak, hari ini kertas kerja yang aku hantar itu ditolak mentah-mentah.
“Kamu ni baru tahun pertama, JIjah. How come you do that? Meniru bulat-bulat hasil kerja senior kamu dan menghantarnya pada saya memang satu perbuatan yang tak boleh nak diterima, Jijah! Saya tahu kau rajin, pandai tapi kenapa sampai terlebih rajin dan terlebih pandai untuk meniru laporan orang lain?” Suara Puan Anum keras di telingaku. Kepalanya digeleng-geleng beberapa kali sambil membelek tugasanku dan satu lagi tugasan.
“Saya buat sendiri, Puan!” ujarku membela diri. Sungguh, aku menyiapkannya tanpa bantuan sesiapa. Sekadar membuat perbincangan dengan Syaza tapi langsung tidak sama sedikitpun.
“Sumpah puan saya tak meniru lagipun tiada seorang senior pun yang saya kenal. Mana mungkin saya meniru hasil tugasan mereka!” sambung lirih.
“Kamu tak payah nak beralasan dengan saya, Jijah! Semua orang tahu, kamu satu-satunya wakil pelajar tahun pertama yang diterima ke MPP dan saya tahu sebab nama kamu ni, kamu glamour satu kampus. Kot ya pun kamu baik dengan Pengerusi MPP tu, kamu tak boleh jugak nak tiru tugasan dia!” Aku ketap bibir mendengarkan sindiran padat Puan Anum. Shah! Hanya nama itulah yang terlintas di fikiranku.
“Take this and do it again but by your own effort. This is your last chance. Esok hantar dan saya tak akan potong markah tapi ingat, ni last warning or not you doom!” Huluran Puan Anum aku sambut terketar-ketar. Betapa payah menyiapkan tugasan itu tapi ini sudahnya.
Muhamad Shahhir bin Shaffie! Aku baca nama pada kulit tugasan itu berkali-kali dan saat aku membeleknya, sungguh! Serupa segalanya. Sampai tahap ni kau perdajalkan aku, Shah?! Gumamku pilu yang teramat pilu.
“Kau dah sampai mana ni, Ji?” Aku tersentak demi suara merungut Syaza yang sedikit meninggi lantas aku menggariskan senyuman tipis sebagai jawapannya.
“Kau dengar tak aku tanya tadi?” soalnya bernada rajuk. Bahuku ditolak lembut dengan hujung runcingnya. Aku sengih lagi. Soalan apa pulak Si Syaza ni tanya?
“Maaflah! Tak jelas sangat. Boleh ulang tak?” pintaku dengan wajah tidak bersalah sambil menarik kedua lututku rapat ke dada.
“Tak jelas la sangat. Padahal tak dengar langsung, kan?” ejek Syaza dengan bibir yang herot. Buruk! Aku ketawa tipis. “Dah tahu, ulang la balik soalan kau tadi?”
“Aku tanya, macam mana kau nak hadapi kalau Shah and the gang usik kau lagi? Kita tak boleh nak predict apa yang bakal dia buat nanti, kan? Kalau sampai dia sanggup dajalkan assigment kau, aku rasa dia lebih berani nak lakukan yang lebih teruk,” ujar Syaza lambat-lambat. Aku tahu dia bimbang tapi apa lagi yang boleh aku lakukan. Aku sendiri buntu.
Sudah hampir sebulan perang antara aku dan Shah berlarutan dan setakat ini hanya aku yang menjadi mangsa ‘sniper’ tak bertauliah itu.
“Jangan risaulah, Sya. I’ll be fine,okay! Aku yakin, Shah tak akan berani buat bukan-bukan pada aku,” ucapku memujuk kegusaran Syaza namun dapatkah aku memujuk keresahan hati sendiri? Wanita jangan sesekali bermusuh dengan lelaki, buruk padahnya. Entah mengapa kali ini ada rasa kesal yang mengetuk minda bersama dengan satu rasa yang aneh. Rasa pilu!!
“Rasanya better kau mengalah, Ji! Demi keselamatan kau. Demi maruah kau! Tak kan kau sanggup lagi nak terima maki hamun pelajar perempuan yang sokong Shah tu? Tak kan kau nak terus dimalukan di khalayak ramai, Ji?”
Aku menggeleng perlahan. Bukan niatku untuk mengabaikan nasihat Syaza. Segalanya benar dalam tutur katanya tapi hatiku membentak. Berpuluh kali ku pujuk akal agar beralah, beratus kali jua hati ini meminta untuk ditundukkan jantan ego itu. Antara akal dan minda, aku sudahnya memilih untuk berpihak pada kata hati!
“Kau pernah dengar tak satu cerita pasal lelaki bertopeng harimau?” Wajah Syaza aku lirik seketika. Dia menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.
“Lelaki bertopengkan harimau ni pada zahirnya tersangatlah garang dan ego tapi rupa-rupanya bila dia buka topeng harimau ganas tu, ada satu wajah mesra dan comel disebalik mata kuyunya!” terangku lantas mencari anak mata Syaza. Dia angkat kening pula.
“So, in other words kau nak beritahu aku yang lelaki bertopeng harimau tu adalah Shah?” Tebakan Syaza sebetulnya tepat. Aku ukir senyuman tipis. Bahunya aku tepuk lembut tanpa jawapan.

“Belum sampai masanya, Sya. Satu hari nanti, dia pasti beralah dengan sendiri tanpa aku paksa dan tak akan aku pinta,” sambungku tenang lantas bangkit dan menepuk belakang seluarku beberapa kali dan dia turut bangkit menyaingi langkahku.
******
Beberapa hari ni wajah Shah tidak lagi muncul di depanku. Sekadar menerima herdikan dan maki hamun daripada pelajar-pelajar perempuan lebih-lebih lagi daripada senior Nana sudah menjadi pelali dalam kehidupan kampusku. Namaku kini hangat di mana-mana daripada permusuhan aku dengan Shah dan kedegilan aku untuk tidak hadir ke mesyuarat MPP serta yang paling penting, sepotong nama klasik milikku.
“Weh, perempuan! Kau tak layak nak duduk sini. Ni tempat orang yang diluluskan je!” herdik Nana padaku saat aku hendak melabuhkan duduk di bangku kafeteria. Perut yang lapar kenyang tiba-tiba menerima suara sinis Nana dan kumpulannya.
“Apa masalah kau dengan aku ni, Senior Nana? Tak habis-habis nak bermusuh dengan aku kenapa?” Itulah ganti namaku sekarang. Tiada lagi saya. Sekadar mengekalkan perkataan senior pada pangkal namanya demi secubit hormat yang bersisa.
“Masalah kita berdua terlalu banyak, Jijah! Pertama, kau main blah dari MPP macam tu je, kedua, berani kau tampar Shah, ketiga musuh Shah adalah musuh kami semua, faham!” bentaknya agak kuat. Kini, sudah mampu menarik tatapan umum. Aku ketap gigi menahan sabar. Bimbang akan tanganku yang ringan saja sejak belajar singgah ke wajah orang ni.
“Senior Nana, pertama tu aku dah beritahu Shah yang aku tak nak join MPP lagi, keduanya, bukan masalah kau kalau aku tampar dia ke apa, bukan pipi kau pun dan yang ketiga, itu hak kau kalau nak bermusuh dengan aku hanya kerana seorang lelaki!” jawabku.
“Aku tahulah kau suka dia, Senior Nana jadi tak usah tunjuk sangat perasaan kau tu!” sambung penuh sinis.
“Mana kau tahu? Kau ni main tuduh je, kan?” soalnya menyinga. Aku meledakkan tawa. Usah dibohongi aku. Aku bukanlah budak kampung dengan nama kolot yang terlalu naif untuk menebak perasaan dan sikap Nana pada Shah.
“Your action definitely speak louder than your words, Senior Nana!” Kali ini aku hadiahkan dia segaris senyuman manis. “And he is not going to be yours, he’s gonna be mine!” ejekku ke telinganya. Aku lihat dia kepal penumpuk. Tubir matanya berkaca. Hatiku ketawa. Nak kenakan aku, akhirnya kau yang terkena! Diam diam tidak berkutik. Sekadar menikam bola mataku tajam.
Aku lantas melangkah pergi bila aku ternampak kelibat Syaza yang makin mendekat. Baru beberapa langkah kakiku menapak, aku sudah terdorong ke belakang lalu jatuh telentang akibat rentapan kasar Nana pada beg galasku.
“Kau jangan berani nak rampas Shah daripada aku!” tekan Nana kuat dan serentak itu kepalaku dan sebahagian badanku sudah basah lencun. Tudungku terus sahaja terkulai melekat ke dahi. Hampir saja airmataku menitis tatkala menerima hamburan tawa Nana dan seluruh pengunjung kafeteria. Marahku meledak sudah. Aku bangkit dan telapak tanganku melayang sudah, tepat ke wajah kemerahan milik Nana. Terduduk dia di lantai dengan memegang pipinya.
“Itu akibatnya sebab cabar kesabaran aku, Nana!” tekanku keras biarpun sekadar berbisik. Syaza yang baru sahaja tiba aku tarik berlalu dari situ dan airmataku yang menari-nari di tubir mata sedari tadi menitis tatkala anak mataku tepat bertembung dengan sepasang mata kuyu milik lelaki bertopengkan harimau itu. Aku pilu, aku malu dan hatiku terasa ngilu hingga menyebabkan detak hatiku tidak lagi berirama.
*****
Seharian aku menitiskan airmata. Rasa tewas dengan permainanku sendiri. Begitu sekali Shah membenciku sedangkan jauh di sudut hati ini aku sentiasa yakin yang dialah lelaki yang bertopengkan harimau itu. Dia tak akan tahu betapa aku ingin membuka topeng itu daripadanya. Dia tak akan tahu yang aku ingin sekali menatap mata kuyu itu seperti pertama kali dia ku tatap.
“Sudahlah, Ji. Aku tahu kau sedih, kau marah tapi kita tak boleh nak buat apa! Bukan kita tak tahu perangai Nana tu macam mana tapi yang aku tak sangka, Shah sanggup membuat penyokongnya mendajalkan kau jugak. Itu yang aku tak boleh nak terima!”
“Aku tak rasa Shah hasut mereka semua untuk bencikan aku tapi sebab mereka benci dengan aku sebab aku bermusuh dengan Shah!” protesku bersama sebak.
“Kau ni, kan… kenapa kau nak bela sangat Si Shah tu? Dah terang terentang yang dia memang berniat jahat pada kau!” Meninggi saja suara Syaza menegurku. Aku tetap menggeleng menidakkannya.
“Kau tak akan tahu, Sya! Aku yakin dengan apa yang aku rasa ni! Shah perlu tanggalkan topeng tu dan aku pasti dia adalah seorang yang baik!”
Syaza mengeluh panjang. “It seems like someone has falling in love already!” tebak Syaza lalu kembali ke meja belajarnya. Earphone dipasang dan buku dibelek.
“Hati aku sudah pergi kepada Shahhir, Sya! Tanpa aku sedar, jauh sekali aku menyuruh,” gumamku sendiri bersama linangan airmata yang kembali lebat.
*****
Kasut sukan dan stoking aku tanggalkan dan aku letakkan di sisi. Huh, terasa selesa amat bila sepasang kakiku dijamah angin. Dadaku berombak kencang selepas penat membuat latihan bola jaring. Syaza masih berada di tengah court. Cuba membuat jaringan demi jaringan. Tanpa aku sedar, bahuku ditepuk seseorang. Wajah cuak itu aku tenung. Nafasnya mengah. Siapa pulak ni?
“Kak Jijah… Abang Shah dia pengsan dalam studio. Saya cari akak sebab akak seorang je MPP yang saya kenal,” beritahunya tersangkut-sangkut. Aku bingkas bangun. Terkejut bukan kepalang. Tanpa kata aku terus berlari. Kasut entah ke mana, laungan Syaza juga aku biarkan sepi. Hatiku cuak.
Setibanya aku di depan studio, daun pintu itu aku tolak rakus. Tanpa aku duga, Shah sedang elok sahaja sedang menghadap lukisannya. Pedih di telapak kaki langsung tidak menghalang aku mendekati Shah. Batang tubuh sasanya terus terangkat saat terpandangku. Tangannya terus menolak kanvas menghadap dinding.
“Kata budak tu kau pengsan!” ujarku dengan nafas yang tidak teratur.
“Pengsan apa. Kau buat cerita apa ni. Aku sedang elok melukis ni!” balasnya membentak.
“Tapi budak tu….” Ayat aku mati di situ. Melihatkan Shah sihat waafiat berdiri memegang batang pensel di jarinya, aku yakin ini sekadar satu penipuan. Sampai tahap ini kau nak kenakan kau Shah? Hatiku merintih pedih. Niat untuk berdamai tercantas sudah.
“Sorry, Shah. Salah info je! Aku keluar dulu!” Baru menapak, langkahku mati. Kaki yang melecet telah mencacatkan langsung langkahku. Aku terduduk. Wajahku menyeringai menahan pedih.
“Tunggu kejap, Jijah! Kaki kau kenapa?” tanya Shah yang sudah duduk bertinggung di depanku.
“Kaki kau melecet teruk ni. Kau tak pakai kasut ke?” tanya Shah seolah prihatin. Aku menggeleng. Berada dekat dengannya benar-benar membuatkan dadaku sesak. Aku tidak dapat bersuara, bimbang airmata ini gugur di depan matanya. Menggambarkan ketewasanku.
“Kenapa kau tak pakai kasut, Jijah? Kau dari mana? Teruk kaki kau ni?” Tangannya ku lihat teragak-agak untuk menyentuh tapak kakiku dan aku sedaya upaya cuba berdiri. Shah turut bangkit.
“Aku keluar dulu!” tegasku dan entah bagaimana imbangan badanku hilang tatkala terpijak pensel milik Shah hingga menyebabkan aku terjatuh dan pantas jua Shah menyambut tubuhku ke dalam pelukannya sebelum aku tersembam menyentuh bucu meja. Bahunya aku paut kemas.
“Terima kasih!” Shah cuba membantu aku duduk dan sadisnya sebelum pautan kami terlerai, pintu studio di tolak dari luar. Wajah Ketua Fakulti Sebina jelas di ambang pintu dengan pandangan yang terlalu sukar untuk kami tebak. Bibirku bergetar hebat, airmataku pantas mengalir bila kata-kata itu keluar daripada mulut pensyarah itu. Shah masih pegun dengan memaut tubuhku.
******
Wajah sedih ayah jelas di mataku. Aku tidak sangka, pihak universiti nekad menghubungi ayahku akibat perkara itu. Begitu juga dengan kedua orang tua Shah. Wajahnya jelas kecewa. Aku sekadar mampu tunduk bagaikan pesalah bila tiada sesiapa yang ingin mendengar hujah pembelaanku. Sekadar terus menjatuhkan hukuman tanpa diadili, hatiku menjerit hiba. Sedih kerana kecewakan ayah. Melihatkan airmatanya gugur, hati ini luluh berkali-kali.
“Bersyukurlah Jah yang pihak universiti tak buang kamu dari belajar! Kalau tak, ayah tak tahu nak cakap apa!” Itulah ayat pertama yang ayah tuturkan padaku. Dia memang ayahku, tetap tenang biarpun bening matanya jelas mempamerkan kekecewaan.
“Jah minta maaf, ayah tapi Jah nak ayah tahu yang Jah tak salah! Jah yakin ini semua perangkap! Ayah kena percayakan, Jah!” rayuku lirih. Telapak tangan ayah jatuh di kepalaku yang dibaluti tudung.
“Ayah percaya anak ayah tak akan buat sesuatu yang tak senonoh macam tu tapi orang luar tak akan percaya nak!” balas ayah tenang. Aku menggeleng.
“Jah tak perlukan orang lain percayakan Jah. Cukuplah ayah saja. Yang lain tak perlu!” Wajahku tersembam ke ribaan ayah. Biarpun tiada suara, airmataku tetap laju mengalir.
“Sabarlah nak!” Aku pejam mata demi pujukan ayah.
“Macam nilah, bang! Saya dah bincang dengan isteri saya, rasanya eloklah kalau kita nikahkan budak berdua ni!” Aku panggung kepala saat mendengar ayah Shah. Daripada melulut, terus sahaja aku terduduk dengan bibir yang terketar-ketar.
“Walaupun mereka ni masih belajar tapi tak salah kalau kita nikahkan mereka ni, bang! Belajar tempat yang sama, saya risau kalau perkara ni berulang lagi! Lagipun Shah dah nak habis belajar beberapa bulan saja lagi. Lepas tu pandai-pandailah dia nak bagi makan anak bini dia. Dia pun dah setuju tu nak bertanggungjawab!” sambung Pakcik Shaffie lagi pada ayahku. Airmataku bergenang semula. Aku soroti anak mata ayah pohon pengertian. Bukan begini sepatutnya aku.
“Abang tak kisah. Kalau kamu berdua sudi terima Jijah sebagai menantu, abang bersyukur sangat!” Setelah lama bertelepati denganku, akhirnya ayah setuju. Aku menekur pandangan ke lantai rumah keluarga Shah. Kini aku benar-benar tewas. Mungkin inilah balasanku kerana menampar wajahnya dulu.
“Jijah setuju jelah, ya nak?” Suara lembut mama Shah membuatkan aku ingin disayangi oleh wanita yang bergelar ibu itu. Sungguh hatiku mahu! Lambat-lambat aku mengangguk.
*****
“Gila betul perempuan jalang tu. Jangankan nama je buruk, perangai pun buruk! Sanggup dia perangkap Shah sampai kena tangkap basah dengan dia!”
Aku ketap bibir mendengarkan kisah aku dan Shah menjadi topik hangat Nana dan teman-temannya. Syaza segera memaut bahuku lantas diusapnya lembut. Aku sedikit lega bila Nana tidak menghebahkan perkara itu dan aku lebih bersyukur bila layanan Shah padaku berubah 360 darjah. Namun, aku masih beku terhadapnya selagi tuduhan ini tidak ku terlerai. Nama kami perlu dibersihkan walau apa cara sekalipun.
“Aku dengar mereka dah kahwin, kan? Kalau betul Jijah perangkap Shah, tak kan Shah sesenang tu nak kahwin dengan dia? Entah-entah Shah ni syok dekat Jijah tu kot,” sela salah seorang teman Nana.
“Yelah. Aku pun rasa macam tu. Jijah tu nama je buruk tapi rupa sikit punya cun. Aku sendiri pun suka tengok wajah dia,” sambung seorang yang lain pula.
“Ah, banyaklah kau orang ni cantik la, syok la, itulah, inilah! Yang penting hati aku puas!” ujar Nana keras. Aku dan Syaza tersentak dan serentak itu, aku tarik tangan Syaza mencari budak posmen tu.
******
Pintu luncur itu aku tolak perlahan. Membawa tubuhku disapa angin malam yang agak dingin selepas hujan lebat menyimbah bumi petang tadi. Menyamankan bumi Allah ini dan menghilangkan kontang segala hidupan ciptaan-Nya.
“Nana kena gantung tiga minggu!” Aku tersentak dengan suara milik Shah yang tiba-tiba menyapa. Pantas aku bawa telapak tangan ke dada. Memujuk jantung yang gemuruh.
“Saya tak harap pun dia kena gantung segala,” ujarku lembut. Benar, jauh di sudut hatiku, aku tidak mengharapkan itu. Cukuplah sekadar kebenarannya tersingkap. Beria-ia Syaza dan Ijad, teman baik Shah menjadi Inspektor Gadjet membongkar rancangan Nana memerangkap aku dan Shah dan sudahnya, hubungan Syaza dan Ijad bagaikan ada harapan untuk lebih dari kawan. Aku ketawa sendiri.
“Ketawa kenapa? Seronok ke Nana kena gantung? Tadi kata tak harap?” Tawaku mati mendengar teguran Shah. Benar-benar terlupa kehadirannya di sisi.
“Eh, mana ada seronok. Orang ketawa ingatkan Syaza dengan Ijadlah!” Jawapanku jujur.
“Yelah, kan! Abang tengok budak berdua tu asyik berkepit ke sekarang lepas selesaikan ke kita!” Abang! Itulah bahasa yang Shah gunakan sejak hari pertama kami diijabkabulkan. Hanya aku yang masih malu untuk membiasakan dirinya begitu.
“Tapi kan, serius abang tak sangka yang Nana sanggup upah budak tu panggil Jijah ke studio. Boleh pulak cakap abang pengsan! Dan paling tak sangka, orang tu sanggup pulak berlari ke studio tanpa kasut,” usik Shah padaku. Aku ketap bibir. Terasa pijar wajah bila perkara berkaki ayam itu terungkit.
Aku melirik ke arah Shah yang sedang enak merenung kegelapan langit. Wajah mesra itu jelas terpancar dengan kasih sayang. Mata kuyu itulah yang aku angaukan sejak pertama kali dia menghukumku. Aku benar Sya. Setelah topeng itu tertanggal, memang dia seorang yang baik.
Entah berapa lama aku merenungnya hinggakan mata kami bertaut lama. Dadaku berdetak hebat. Aku bawa telapak tangan ke dada lantas aku terus bangkit menapak ke dalam bila hatiku tidak sudi lagi dipujuk oleh telapak tangan seperti selalu. Saat itu aku terpandang sekeping kanvas di atas katil. Dengan penuh debar aku menarik kanvas itu dan laju airmataku merintik bila melihatkan wajahku sewaktu di minggu orientasi dulu terpatri kemas menjadi potret di atas kanvas itu. Wajah monyok akibat di denda Shah! Kanvas yang dia tolak ke dinding pada hari keramat itu.
“Abang…” Tanpa sedar terluncur perkataan itu dari celah bibirku tanpa ku paksa. Shah yang sudah berdiri di belakangku tersenyum manis. Lantas jemariku diraih ke dalam genggamannya.
“Maafkan abang sebab tertolak sayang masa dalam bas. Tak ada niatpun. Maafkan abang sebab buat khianat pada assignment sayang dulu, maafkan abang sebab sayang menjadi mangsa Nana akibat permusuhan kita, maafkan abang sebab tarik beg sayang dulu, terima kasih sebab sudi nikah dengan abang , sekali lagi maaf yang amat sebab menjadikan status Jijah sebagai seorang isteri pada usia 20 tahun dan ampunkan abang sebab pernah menghina nama Jijah! Ucapan Jijah dulu dah jadi kenyataan. Nama Jijahlah yang telah abang jawab qabulnya. Abang akan tamatkan pelajaran abang dengan cemerlang dan akan terus cari kerja untuk tanggung Jijah nanti. Sayang bagi abang masa sikit, ya?” pinta Shah telus dengan anak mata yang sedikit berair. Aku mengangguk berkali-kali. Sudah kehilangan kata demi mendengarkan butir bicaranya.
Tanpa silu, tubuh itu aku raih kemas. Aku rindu padanya, benar-benar rindu. Bagaimana hendak ku tolak ikatan ini andai aku jua amat menyintainya. Debar hati ini hanya kerana ada dia.
“So, kita mula dari awal, boleh?” Pelukan terlerai. Shah merenungku mesra. Aku mengangguk. Huluran tangannya ku sambut lembut.
“Nama saya Muhamad Shahhir bin Shaffie. Dulu yes, you can call me Shah but now have to call me abang!”
“Nama saya Jijah!” Shah tersenyum menggoda lantas tubuhku sekali lagi berada dalam pelukan suami tercinta. Benar-benar cinta.
“So, malam ni….” Gumam Shah ke telingaku. Dia menolak lembut tubuhku lantas merenungku lembut. Aku tersenyum penuh makna. It’s showtime!
“Malam ni boleh je tapi ada satu syarat!” Shah angkat kening. Bertanya dalam diam.
“Abang nampak lampu tu?” Mulutku seraya dimuncung ke arah lampu di sisi katil.
“Abang tiup lampu tu bagi padam dulu!” Mata Shah bulat merenungku. Mungkin tidak sangka dengan syarat yang aku berikan. Aku sudah meledakkan tawa bila rajuknya membawa muncung panjang sedepa.
“Yang tu memang tak padam sampai bila-bila la kalau tiup. Tak sudi cakaplah tak sudi!” Dia lantas cuba berlalu dan pantas jua aku menarik lengan sasanya. Masa orientasi dulu pandai kenaan aku, ni kenakan dia sikit mula merajuk. Desis hati kecilku bahagia.
Mata bertatapan. Lama, hinggakan dapat ku tangkap kegelisahan Shah kala itu. Mengerti dengan kehendaknya. Aku pandang wajah suamiku yang penuh mengharap.
“Jijah hak abang dan selamanya hak abang!” ujarku sepatuh berbisik. Sekelipan tubuhku hilang dalam pelukan Shah dimulai dengan salam dan doa.
*****
PERUTKU yang sudah membulat dan sarat ini aku usap penuh kasih. Sesekali gerakan demi gerakan penghuni di dalamnya mengundang tawa dari celah bibirku. Masih terngiang-ngiang suara sang suami melafazkan qabul hampir 10 bulan sudah.
“Aku terima nikahnya Jijah binti Jazlan dengan mas kahwinnya 88 ringgit tunai!” Dalam debar, hatiku tidak lepas dari tawa bila ‘sumpahanku’ benar-benar menjadi. Sungguh! Terasa bagaikan baru semalam suara antara ijab dan qabul itu bergema di dalam rumah Allah s.w.t.
Aku tersentak bila ada tangan melingkari bahuku lantas aku melekapkan tapak tangan ke dada.
“Abang ni… terkejut orang! Karang orang kat dalam ni terkejut jugak tau!” tegurku lembut.
“Ops… sorry my baby!” ujar Shah sambil mengusap perutku.
“Maaflah sebab terpaksa buat sayang tangguh pengajian dulu. Dah subur sangat benihnya, abang tak boleh nak buat apalah! Rezeki Allah bagi, kan?” selanya bersahaja. Aku senyum tipis.
“Tak kisahlah, bang! Nanti lepas bersalin, dah habis pantang, Jijah sambung la balik. Lagipun skip satu semester je. Tak tahulah kot-kot abang nak Jijah skip tiap-tiap semester?” usikku pula.
Mata Shah membulat tapi lama-lama dia tersengih nakal. “Eh jangan cakap! Kalau Jijah nak, abang on je!” Hampeh! Aku yang mengusik dia sudahnya dia pula yang mengenakanku.
Aku bersyukur dengan takdir Allah. Menjadikan aku isteri di usia 20 tahun dan bakal ibu pada usia 21 tahun biarpun terpaksa menangguhkan pengajianku. Aku juga amat bersyukur dengan rezeki yang Allah limpahkan buat suamiku. Biarpun sekadar menjawat jawatan biasa sahaja, yang tidak setimpal dengan kelulusannya, rezeki kami sentiasa ada biarpun buat sementara kami sekadar menumpang di rumah keluarga Shah.
Syaza juga telah mengikat tali pertunangan dengan Ijad dan Nana pula sampai sekarang masih menjejakiku dengan ucapan maaf biarpun berkali-kali aku menuturkan kata maaf buatnya.
“Emm… ni dah menghitung hari ni, nama tak cari lagi. Kita nak letak puteri kita ni nama apa?” ujar Shah mencantas lamunanku.
“Emm… Joyah boleh?” usikku selamba. Shah menjerit tiba-tiba.
“No, tak boleh! Tak boleh!” Shah menggawang tangannya ke udara. Aku ketawa lepas melihatkan telatahnya.
“Kenapa tak boleh?” usikku lagi. Mata Shah buntang.
“Nope. Abang tak sanggup kalau anak kita nanti balik dari sekolah menangis, mengadu kena ejek dengan kawan-kawan ke apa ke.”
“Itupun kalau dia jumpa kawan macam abang and the gang...” ujarku sinis. Shah ketap bibir.
“Nak mengata abang la tu...” Wajahnya kelat. Aku ketawa lagi.
“Jijah gurau jelah!” ucapku lembut. “Kan banyak nama yang cantik dengan maksud baik dalam dunia ni.” Lengannya aku paut mesra.
“Kita letak nama dia Nur Shakira binti Muhamad Shahhir. Shakira maksudnya yang bersyukur! Biar kita doakan dia agar sentiasa rasa syukur pada pencipta-Nya! Boleh tak, bang?” Shah diam seketika sebelum mengangguk.
“Tapi kan, abang musykil satu perkara ni. Macam mana Jijah sudi nak terima abang lepas kita kena tangkap didih dalam studio dulu tu!”
“Emm... mahu tak sudi bila sejak pertama kali kena paksa tiup lampu tu, rupa-rupanya Jijah dah tertiup sekali hati Jijah pergi pada abang!”
“And at that time, I fell in love with you either! Tengok mulut muncung sayang tiup lampu yang sah-sah tak akan padam tu memang buat abang sasau. Sebab tu wajah tu abang abadikan di atas kanvas ni!” luahnya romantik. Bibirku kelu. Hanya debar yang mula bertamu. Mengalunkan rentak indah yang sukar untuk aku ucapkan dengan kata-kata. Jijah cinta abang! Cinta benar-benar cinta! Bisik hatiku sendiri bersama sulaman senyum yang paling manis.
******
“Kamu kenapa tak tutup lampu lagi?” Aku kecut mendengarkan soalan daripada Pengerusi MPP itu. Boleh pulak dia menceroboh ke asrama perempuan? Desis hatiku sambil bertukar pandangan dengan Syaza. Aku melirik ke arah kad yang tergantung di lehernya. Shah… Shah apa entah?!
“Kamu tahu kan, ni minggu orientasi. Lepas jam 10 tak boleh pasang lampu?” tekannya lagi. Senior wanita yang lain sekadar tersenyum sinis. Syaza menyiku lenganku dan aku sekadar menjungkitkan bahu.
“Oleh sebab kamu tak padam lampu lepas jam 10, saya nak kamu tiup lampu tu sampai padam!” arahnya keras. Aku dan Syaza jatuh rahang tapi yang pedihnya, hanya aku yang diarahkan meniup lampu kalimantan itu dan aku terpaksa menurut bila dipaksa. Wajahku bonyok sudah! Dalam hati ini sesak... benci... benci. Tapi, tersapa juga oleh rasa aneh tatkala melihat mata kuyu itu.

*** TAMAT ***

14 comments:

  1. i like ;-)... sweet gle, tahniah rehan...

    ReplyDelete
  2. Best! a little bit like Hana Yori Dango..realise it when I read about the war declaration and the Tora mask man..hehehe neway, I'm one of your new fan now..keep up the good work!

    ReplyDelete
  3. sangat larh comey.....
    bez gak.... gd job!

    ReplyDelete
  4. best.sweet sangat cerita ni.

    ReplyDelete
  5. comel je nama jijah ni..

    ReplyDelete
  6. alahai jijah..ahaks...
    kan dh kna sumpah shahhir..

    ReplyDelete
  7. Macam-macam ghasoo waktu bace cerpen nie..hujung tu senyum jerk...terapi muka..tahniah rm

    ReplyDelete