Saturday, October 22, 2011

Assalamualaikum Cinta

MAMA memeluk erat bahuku. Senyumnya lain macam. Dalam hatiku sudah dapat ku teka. Mesti dia mahu menuntut sesuatu dariku. Andai tidak tak mungkin sengihnya melebar sebegini.

“Mama ni kenapa? Lain macam je Edi tengok?” tanyaku. Semakin lebar sengih mama.

“Bulan depan Edi graduate, kan?” Haish mama ni. Orang tanya dia dia tanya orang balik.

“A’ah, kira Edi dah tamat belajar la. Tapi, Edi nak sambung lagi. Sambung selagi mampu. Selagi terdaya nak kelek buku. Dah kata sampai PHd pun, nak sambung lagi bidang lain,” jawabku. Sesungguhnya aku terlalu gemar belajar. Tidak dapat dipisahkan dengan buku. Waima, kamus sekalipun aku baca. Haa, kisah?!

“Waa, sampai bila anak mama ni nak sekolah? Tak ada planning lain ke selain sekolah je manjang?” tegur mama. Dia mencebik sikit.

“Peliklah mama ni. Orang lain suka anak dia nak sekolah. Mama tak suka pulak,” ujarku mengusik mama. Aku capai sebiji anggur lalu aku suap ke mulut. Tak gigit pun. Kemam je dulu. Macam budak-budak kemam ubat tu. Saja buat pipi kembung kiri kanan.

“Yalah, tak kan Edi tak ada perancangan lain?”

“Ada,” jawabku pantas. “Edi nak menghafaz Al-Quran pulak lepas tu. Pulun sepulunnya. Biar ingat 30 juzuk tu.” Aku sengih. Mama buat muka.
“Memanglah elok belajar tu. Lebih-lebih lagi hafal Quran. Sejuk perut mama mengandungkan Edi dulu. Maksud mama, tak ada ke perancangan lain selain belajar?”

Aku tongkat dagu. Buah anggur dalam mulut tadi aku tolak ke pipi kiri, aku tolak ke pipi kanan. Mencerna otak hendak menjawab pertanyaan mama ni. Dalam otak aku, selain belajar yang lain tak ada kot.

“Tak adalah, ma. Tapi, rasanya Edi nak hafal kamus kot. Boleh?”
Aku buat muka blur dekat mama. Apa lagi, makin cemberut la muka ayu tu. Benar dia masih cantik walaupun sudah menginjak ke angka 55. Kalah aku yang sememeh ni.

“Edi ni, sengaja mainkan mama la tu. Kan? Tak boleh nak lari dari buku tu. Haishh,” keluh mama pula. Aku bantai gelak. Perlahan-lahan aku kunyah anggur tadi dan suap pula yang lain.

“Payah cakap dengan ulat buku ni, mama,” sampuk abang aku tiba-tiba. Haish, dari mana muncul pun tak tahu. Terus duduk di depan kami menarik pinggan anggur tu ke atas ribanya. Abang Edika buat muka bila aku menyuruh dia letakkan kembali pinggan anggur itu ke meja.

“Edini, dengar sini mama nak cakap. Mama harap Edi ada perancangan lain selain dari belajar tu semua. Kami tak marah Edi nak sekolah sampai ke bulan sekalipun. Tapi, mama, papa, Abang Dika nak sesuatu yang lebih menjamin kehidupan Edi sebagai perempuan.”
Aduhai. Kali ini makin terbelit otak aku nak cerna kata-kata mama. Aku lihat Abang Edika dah terkekek ketawa. Menyampah.

“Okey, mama nak Edi buat apa?” tanyaku pinta kepastian. Demi mama aku sanggup lakukan apa saja. Janji mama tak halang aku nak belajar.

“Sebelum sambung Master ni, tunang dulu boleh?” Erk, aku tertelan biji anggur tadi. Bulat mataku menahan sesak.

“Edi... tak... ada...” Aku berdehem beberapa kali. Haish, tercekik sudah.

“Kawan aku, dik. Kalau kau nak.” Abang Edika dah mula buat promosi kawan dia. Aku kalih pada mama. Mama jungkit kening.

“Mama dah berkenan dengan dia. Edi setuju?” tanya mama.
Rasanya, tiga beranak ni termasuk papa dah buat keputusan untuk aku. Haish, kalau cakap tak setuju jadi anak derhaka tak? Kalau tak, aku nak tolak ni.

“Ada option tak, ma?” tanyaku, sengih lagi raih simpati.

“Tak ada option. Dead order,” sampuk Abang Edika pantas. Penyibuk betul la. Siapa cakap wanita je kaki penyibuk? Abang aku yang seorang ni lagi la sibuk kakinya.

“Diamlah, abang. Edi tanya mama la,” marahku. Dia jelir. Potong lidah karang, dah bisu nanti.

“Abang tolong jawab bagi pihak mama apa. Kan mama kan?” Abang Edika angkat dagu pada mama. Mama sengih mengiyakan kata-kata Abang Edika. Haish, boleh pulak dia geng berdua sejak akhir-akhir ni.

“Betullah tu. Kalau ikut mama, mama memang tak nak bagi pilihan dekat Edi. Mama dah berkenan dengan Haq tu. Baik budaknya. Nak harapkan Edi cari sendiri maknanya tak bermenantu lelaki la mama ni,” ujar mama. Ada keluhan pada akhir kata.
Ni yang buat aku lemah ni. Aku bukan boleh kalau mama mengeluh. Mula terasa ada yang menghulur tiket percuma ke neraka.

“Okey macam ni. Mama bagi masa Edi kenal dulu, err… siapa tadi nama dia, bang?” Aku garu kepala. Baru saja mama sebut dah lupa. Rasanya bukan panjang pun.

“Haq. Abdul Haq nama dia,” jawab Abang Edika.

“Haa, bagi Edi kenal dulu Abdul Haq tu. Nanti baru kita decide, boleh?” Aku dah mula la corner lipat mencari alasan. Nama pun macam Incredible Hulk je. Harap-harap tak hijau macam hulk dah la. Naya aku. Macam lumut nanti.

“Okey, mama setuju nak bagi masa kat Edi untuk kenal Haq. Tapi ingat…” Mama angkat jari telunjuk tepat mengena batang hidungku. Naik juling mata tengok hujung jari mama.

“Edi jangan nak corner lipat sana lipat sini. Karang dengan Edi sekali mama lipat,” ujar mama sedikit tegas. Mama bangun selepas tu. Meninggalkan aku yang sedang dibahan oleh Abang Edi.

Aku mencebik. Hamba Allah yang seorang ni, dah kahwin pun, perangai masih macam tu je. Tak ada perubahan langsung. Tak ada kemajuan. Mama suruh pindah Abang Edika tak nak. Dia kata nak duduk bawah ketiak mama. Sementara mama ada, katanya. Bila fikir balik, aku akui niatnya luhur. Lagipun dia anak lelaki tunggal dalam keluargaku. Mujur juga isterinya, Kak Aira jenis yang tidak kisah. Cool je manjang.

“Bahankan Edi nampak,” tegurku bila melihatkan tawanya tiada tanda hendak reda.

“Mahu tak kena bahan. Kau tu semua nak kena paksa. Nak bagi kahwin pun paksa. Tengok abang ni, siap merayu lagi kat mama nak kahwin,” jawabnya.

“Dah abang tu gatal,” selaku mencebik. Dia ketawa lagi.

“Kamu tu Edika, jangan dok gelakkan adik kamu tu manjang. Kata nak pergi jemput Aira kat kampus. Yang kamu dok lekat kat situ lagi kenapa? Karang dengan kamu sekali mama lipat,” jerit mama dari dapur.

Aku lihat muka Abang Edika dah macam orang tercekik buah anggur je. Terus padam tawanya. Nah, ambil kau! Ejek hatiku. Kak Aira sebenarnya kawan baik aku. Entah macam mana mereka berdua ni sangkut sewaktu Kak Aira bermalam di rumahku semasa kami sama-sama menyiapkan tesis dulu. Tapi, sayang bila Kak Aira terpaksa menangguh pengajiannnya untuk satu semester kerana mengikut Abang Edika bertugas di luar Negara. Buat rugi je, kan? Sekarang ni, daripada Aira, terpaksalah aku gelarkan dia Kak Aira bila Abang Edika memaksa. Tanda hormat katanya.
*****
BARU beberapa hari dengar mama nak nikahkan aku, aku terus menghantar borang permohonan untuk mengambil sijil khas dalam hafaz Al-Quran di Mesir. Itulah satu-satunya impian aku sebelum aku menutup mata. Aku mahu seluruh urat dan nadi ini, dialirkan dengan ayat-ayat suci qalam Allah. Nak kata mama bising, tak pun tapi mengeluh la jugak.

“Kata nak buat Master? Kenapa tiba-tiba buat special certificate pulak? Tak boleh ke Edi mohon ijazah dalam bidang tu? Mohon yang betul-betul proper.”

“Kalau proper banyak yang Edi kena belajar, ma. Edi bukan nak jadi ustazah pun. Edi just nak menghafaz Quran. Ala, bukan lama pun, setahun je Edi kat sana,” pujukku pula.

Aku paut lengan mama erat agar dia bersetuju sahaja. Permohonan sudah diluluskan. Tinggal tunggu nak berangkat je lagi.

“Bagi jelah, mamanya. Dah budak tu nak belajar,” sampuk papa jelas menyokong tindakanku. Hatiku gelak mengekek. Sayang papa.

“Tapi, Dika rasa elok kita bagi kahwin dulu, ma. Kat sana Edi dok sorang-sorang bahaya tu.” Muncung mulut abang aku ni. Suka menangguk di air keruh. Sengaja nak menghuru harakan keputusan mamalah tu.

“Betul tak, yang?” tanya dia pada Kak Aira. Aku rasa nak sepak ke Abang Edika ni keluar rumah. Mulut dia macam bertih jagung. Aku rasa dia lahir kembar dengan bertih jagung sebab tu mulut dia asyik meletup je.

“Elok juga kalau Edi nikah dulu. Lepas tu sama-sama pergi sambung sekolah. Tak adalah kami risau sangat Edi kat sana sorang-sorang,” tokok Kak Aira pula.
Haaa, ni lagi aku rasa nak karate je. Sejak bila pandai belot aku pun tak tahu. Bila aku renung dia, dia jungkit bahu je. Sengaja nak kenakan aku. Dengki gamaknya dengan kehidupan cool and steady aku sebagai bujang ni.

“Ala, mama. Jangan dengar cakap abang dengan Kak Aira ni. Edi boleh jaga dirilah. Sila jangan risau.” AKu senyum pada mama. Mahu meyakinkan dia yang aku boleh menjaga diri.

Lama juga mama diam. Dia pandang papa, aku pandang dia, papa pandang aku, aku pandang pulak kedua kakak dan abang aku ni, sudahnya papa gelak.

“Papa tak kisah. Bila-bila masa je papa on,” ujarnya lantas bangkit. Papa pun satu, tengah-tengah orang bertarung hidup mati ni, dia boleh tinggal macam tu je. Betullah pihak berkecuali.

“Kalau papa dah cakap macam tu, Edi kahwin la dulu. Boleh?” tanya mama kononnya minta persetujuan. Tapi, aku tahu dah. Tu keputusan tu, bukan pertanyaan.

“Edi tak kenal lagi Haq tu. Macam mana nak kahwin?” Aku mengeluh. Kak Aira dah sengih sumbing.

“Esok malam ma kita kenalkan budak berdua ni. Kita ajak Haq makan malam kat rumah,” cadang Abang Edika. Mama angguk.

“Boleh-boleh. Nanti Edi tolong mama masak. Lagipun, Edi nak berangkat dalam sebulan lagi, kan? Sempat kenal dulu.”
Aku jungkit bahu. Bila mama dah berkata demikian, memang kena angguk jelah. Bantah lebih-lebih karang dia kata aku derhaka nanti, tu lagi haru. Haq! Macam mana rupa mamat ni? Maksud nama dah cantik. Abdul Haq maknanya hamba yang berhak. Agaknya betullah kot aku ni bakal jadi hak dia. Haishh.
Malas nak fikir lagi, aku tarik Kak Aira ke atas. Ada dendam yang mahu aku lunaskan.

“Edini, kamu tarik sleeping partner abang ke mana tu?” jerit Abang Edika bila kami dah mula mendaki anak tangga.

“Kedekut bini ar abang ni,” jeritku pula.
******
“SIAPA Haq tu, Ai?” tanyaku pada Kak Aira. Kalau berduaan aku malas nak panggil dia kakak. Rasa geli semacam je.

“Kawan abang kaulah,” jawabnya pula.

“Kau tak kenal dia ke?” tanya aku lagi. Sebenarnya hati dah berdebar lain macam ni melihatkan detak jam yang bergerak tidak henti-henti. Rasa cepat je masa berlalu padahal baru sekejap mama rancang nak main masak-masak malam esok.

“Kenallah. Kenapa pulak tak kenal. Budak baru dekat pejabat Dika. Kami pernah jugaklah jumpa masa aku pergi lunch dengan Dika. Handsome orangnya.

Baik,” ulas Kak Aira padaku.

“Eleh, ada aku tanya?” Aku mencebik. Kak Aira ketawa.

“Kenal dulu. Aku berani potong jari kau akan suka dia, Ed,” ujar Kak Aira.

“Oh ya, dia suka makan sambal petai tau,” tokoknya lagi. Haish, aku tak tanya pun. Pepandai nak bagi kenyataan Kak Aira ni.

“Aku tak tanya, okey?” Bulat mataku melihatnya.

“Aku saja cakap,” selanya lantas bangkit dari birai katil hendak berlalu.

“Yalah tu. Emm, terima kasihlah dekat kau sebab pepandai nak up-gradekan title aku dari cik kepada puan macam kau tu,” ucapku padanya sebelum dia melepasi pintu.

“Sama-sama,” jawabnya selamba dengan tawa yang tertahan-tahan. Menyampah! Boleh pulak dia jawab sama-masa padahal aku tengah sindir dia ni?
*******
PERLAHAN-LAHAN aku menapak menuruni anak tangga selepas solat Maghrib tadi. Telingaku dah menangkap bunyi senduk dengan kuali dah.

“Ha, yang kau terjingkit-jingkit ni, kenapa pulak, dik?” sergah abang aku dari belakang. Mujur tak tergolek aku atas tangga ni.

“Abang ni. Tak sergah orang tak boleh ke?” marahku.

“Kau tu haa…”

“Apa yang bising-bising ni?” tanya mama yang sudah bercekak pinggang di depan kami.
“Entah, Edini ni ha. Jalan terjingkit-jingkit. Macam pencuri dalam rumah sendiri.” Abang Edika terus turun tapi tangan dia tu sempat lagi singgah ke lenganku. Dicubitnya. Tak sakit tak apa, ni sakit.

“Yang abang tu cubit orang kenapa?” jeritku pula. Mama dah merengus. Abang aku tu macam tu jugaklah. Ketawa.

“Dah, dah. Ni pukul berapa Edi baru nak turun ni? Kejap lagi Haq nak sampai dah. Yang Edi baru turun ni kenapa? Mama suruh Edi tolong mama kat dapur. Ni Kak Aira sorang je dok tolong.”

“Edi baca Quranlah, ma,” jawabku memberikan jawapan yang tak mungkin mama bantah.

“Yalah-yalah. Dah mari tolong mama kat dapur,” ajak mama seraya berlalu.
Bibirku menggariskan senyuman. Lega bila mama tak berterusan membebel. Agaknya, abang aku ni ikut mama kot, mulut dia, haish, cakap banyak betul.
Baru je aku jengah ke dapur, mama dan Kak Aira dah mula menghidangkan makanan. Eh, nak tolong apa lagi ni? Semua dah siap ni.

Tiba-tiba kepalaku teringat akan kata-kata Kak Aira semalam. Haq suka sambal petai. Tak tahu kenapa, rasa gatal tangan la pulak nak buatkan sambal petai untuk dia. Saja nak tunjuk skill memasak untuk bakal suami. Erk, kejap. Kenapa pulak aku boleh kata bakal suami? Aku nak ke? Adeh, pening kepalaku.
Hati menidakkan tapi tangan ni ringan je gapai periuk dalam kabinet. Lepas tu letak atas dapur, panaskan minyak dan masukkan cili kisar. Sudahnya, aku buat jelah. Kebetulan bahan ada. Apa salahnya. Pujukku kononnya bukan nak buat untuk Haq pun. Untuk semua orang.

“Wanginya,” tegur mama selang 15 minit aku berseorang di dapur.

“Masak apa ni?” tanya mama. Aku malas nak bercakap. Rasa berat mulut tiba-tiba jadi aku tunjukkan je mangkuk Correl yang sudah berisi sambal petai.

“Untuk siapa ni?” tanya mama lag.

“Untuk makan malam kitalah,” jawabku.

“Dah mari cepat, Haq dah sampai tu,” ajak mama. Hai, cepat betul. Tak dengar pulak orang bagi salam. Bila masa sampai.

“Dia baru je masuk tu. Tak duduk lagi pun,” jawab mama macam tahu-tahu je apa yang bermain di dalam kepala aku ni.
Entah mengapa, hentakan di dada tak lancar dah. Ada irama yang tersangkut dan detak yang agak sumbang. Takutlah pulak.

“Err, mamalah bawa ni. Edi nak makan kat dapur jelah,” ujarku pada mama. Apa lagi, bulatlah mata Puan Erina ni.

“Jangan nak ngada,” marah mama perlahan. Tak pasal-pasal dia tarik tangan aku untuk melangkah bersamanya.
Bila kami tiba di ruang makan, aku lihat tubuh yang tidak ku kenali itu sedang berborak dengan papa dan Abang Edika. Mesra je.

“Haq, tu adik aku yang ulat buku tu,” ujar Abang Edika tiba-tiba bila terlihat kelibatku bersama mama. Aku rasa nak luku ke Abang Edika ni. Tak menjaga pride langsung.

“Ulat buku tak apa, kan Haq? Jangan ulat bulu,” seloroh papa sambil menepuk bahu abang aku. Dia dah buat muka tercekik buah anggur dah. Papa will always by my side. Cayalah. Padan muka abang tu.

Haq dengan gerak perlahannya kalih pada aku dan saat kami bertentang mata buat pertama kalinya ni dan Haq tersenyum sambil mengedipkan mata sekali, hati aku ni Kuch-kuch Hota Hai la pulak. Something is happening is my heart. Huh, parah ni.

Mata dia kuyu je. Tampak kudus je pandangan tu. Manisnya bibir itu mengulum senyum membuatkan aku dengan sendirinya mahu membalas dengan semanis mungkin. Jantung yang tadi berentak sumbang, dah kembali merdu dah.

Dalam hati ada yang dah menghulurkan salam. ‘Assalamualaikum cinta,’ bisik satu suara dalam hatiku. Aku mula la teragak dah ni. Nak jawab ke tak. Err, biarlah dulu. Tak sampai masa nak jawab lagi ni.

“Mari, Haq,” pelawa mama. Hai, tersentak aku dibuatnya. Mama ni, tengah-tengah orang nak renung merenung ni, dia ajak makan pulak.
Kami semua ke meja makan dan aku perlahan-lahan tarik mangkuk sambal petai aku tu dan terus aku letak atas riba. Kaku dah macam patung cendana. Sesekali terperasan juga yang budak Haq ni memandang aku. Haish, shy-shy cat dah aku ni.

“Eh, mana sambal petai tadi, Edi?” tanya mama kuat. Semua mata terus tertumpu ke arahku. Mama ni suara dia, rasa ketat je telinga aku.

“Eh, boleh pulak dia sorok sambal ni atas riba dia,” rungut mama sambil mengambil mangkuk tu dan dia letak betul-betul depan Haq yang duduk bertentangan dengan aku.

“Dia masak ni khas untuk Haq. Orang lain tak boleh makan,” tambah mama lagi. Aduhai, pepandai je jadi Kak Kiah Propa. Aku siku mama. Haq angkat kening padaku. Erk, pandai pulak angkat kening.

Dia dah cedok sambal petai tu dulu. Bila dia suakan suapan pertama ke mulutnya, aduhai sopannya. Penuh tertib. Tak macam orang sebelah dia tu, huh, gelojoh betul suami Kak Aira ni.

“Sedap sangat,” pujinya dua patah. Aku dah rasa nak terbang dah. Dari Kuch-kuch Hotai Hai dah nak jadi, Muhjse Shaadi Karoge dah ni.

Aku lihat mama angkat kening pada papa. Papa senyum jelah manjang. Sudahnya, makan malam kami diam je sampaikan aku sudah dulu. Sikit je makan depan bakal suami. Malu padahal perut dah menangis tak cukup isi ni.

Aku bangkit dan berlalu ke dapur. Sedang aku mencuci pinggan di sinki, Haq juga muncul di sebelah aku. Terkejut jugaklah sebab masa tu tengah berangan kahwin dekat tepi Sungai Nil.

“Sikit je makan?” tanya dia padaku. Aku sambut pinggan di tangannya lalu aku memberi laluan untuk dia membasuh tangan. Eh, bukan ke ada air basuh tangan dah kat luar. Dia ni sengaja ni.

“Makan sikit je. Nanti gemuk payah nak cari baju,” jawabku selamba. Dia ketawa perlahan.

“Sedap sambal tu. Terima kasih sudi masakkan lauk kegemaran saya,” ucapnya lagi. Aku senyum sajalah. Tak tahu nak kata apa sebenarnya. Dalam hati, dah jawab, lain kali saya masak lagi.

“Harap, esok-esok boleh makan sambal petai tu hari-hari,” sambungnya lagi.

“Hari-hari?”
Dia angguk.

“InsyaAllah, kalau ada jodoh,” selaku dengan suara yang menggambarkan debar yang semakin hebat.

“Dika kata Kak Edini lebih tua dari saya, betul ke?” tanya dia lagi. Aku dah melopong. Betul ke dia dari muda dari aku ni? Yang peritnya, siap panggil aku kak.

“Err, awak umur berapa?” tanya aku.
Dia senyum dan mengangkat dua belah tangannya. Sebelah dengan jari tegak dua batang dah sebelah lagi tegak tujuh batang. Senangnya umur dia 27 la. Eh, tua dari aku la tu. Aku baru 24 tahun. Abang Edika ni memang nak kena la kot.

“A’ah, saya 29. Beza setahun je dengan Abang Edi,” jawabku tak pasal-pasal. Menipu la pulak. Padahal aku dengan abang aku tu beza 6 tahun sebab tu dia suka menyakat aku. Aku lihat Haq dah senyum-senyum.

“Kenapa, awak kisah ke kalau saya lagi tua dari awak?” tanyaku lagi sengaja nak duga jawapan dia. Dia langsung menggeleng.

“Tak kisah langsung. Kalau kata Kak Edi jodoh Haq, Haq rela hati menerima Kak Edi,” jawab Haq yakin. Bertambah mesra la pulak bila dia dah biasakan diri dia Haq. Tapi, aku rasa nak lipat je mamat ni. Kak Edi dia panggil aku. Nanti dah kahwin nak panggil kakak juga ke?

“Kenapa panggil saya Kak Edi? Dengan Abang Edika awak tak berabang pun.”

“Oh, itu lain. Kami kawan tapi dengan Kak Edini, Dika pesan suruh panggil Kak Edi. Katanya nanti Kak Edi marah. Katanya lagi, Kak Edi akan rasa tak dihormati kalau tak panggil kakak,” jawab Haq telus. Tak berselindung dah tu rasanya. Hai abang aku sorang ni. Memang nak kena ni. Yang Si Haq pulak ni, aku nampak macam pembaris dah. Lurus sangat.

“Err, ya… ya. Tak apa. Panggillah Kak Edi pun. Saya semua boleh,” jawabku dengan gigi yang aku ketap kuat. Geram dah ni. Aku bergerak ke meja pula, mahu dilap meja yang agak kotor itu dah Haq ni pun dah duduk siap-siap atas kerusi.

“Weekend ni boleh kita keluar sama-sama tak?” tanya budak lurus ni.

“Nak ke mana?”

“Kita kenal-kenal dulu sebelum saya masuk meminang, Kak Edi. Lagipun masa tak lama kan sebelum Kak Edi nak ke Mesir, betul tak?”
Aku jungkit bahu. Rasa nak gelak pun ada dengan budak pembaris ni. Dah lurus, aku gelar pembaris jelah.

“Nak ke mana?” tanyaku kemudiannya.

“Kita ke Midvalley nak tak? Haq nak singgah MPH jap, cari buku sikit,” ajaknya. Aku apa lagi, angguk jelah sebab semua kedai buku ni dah jadi tempat kesukaan aku. Rumah kedualah lebih kurang.

“Mama Kak Edi cakap dekat Haq yang Kak Edi ni nak belajar menghafaz, kan?” Haq senyum bermakna.

“A’ah,” jawabku pendek. Lalu aku beralih pula ke kabinet. Mahu dilap bahagian itu pula. Dia pun turut bangkit dan menyandarkan punggungnya di kabinet itu juga. Haish, nak menempel je.

“Kenapa sampai ke Mesir?” tanya dia lagi. Aku jeling wajah tampan itu sekilas. Memanglah wajah tu bisa membawa debar dalam dada aku ni macam kata Kak Aira.

“Saja nak ubah angin. Bila lagi nak kenal tempat orang. Masa ni la sementara berpeluang dan masih bujang ni,” jawabku senada.

“Eh, bukan ke Kak Edi kena kahwin dengan Haq dulu baru mama Kak Edi benarkan Kak Edi berangkat?”
Tu dia, telus je soalan budak tua ni. Jujur je cakap aku kena kahwin dengan dia dulu.

“Eh, ye ke macam tu?” Saja aku mainkan dia. Nak tengok tahap mana kelurusan budak tua ni.

“Eh, yalah.” Haq dah luruskan badannya dan kini menghadap tubuhku sepenuhnya.

“Ke Kak Edi tak sukakan Haq?” Wajah Haq dah monyok sikit.
Aku tengok wajah tu dah lain macam. Tadi manis macam madu, ni manis juga tapi ada kelat sikit. Macam gula perang. Hati aku dah mengekek ketawa. Seronok juga ada kawan lurus bendul macam ni. Tak adalah aku asyik kena bahan dengan Abang Edika je. Sesekali ada juga rasa nak bahankan orang.

“Kak Edi ni jenis susah nak suka dekat orang, Haq. Tak pernah jatuh cinta pun.” AKu dah mula main tarik tali. Rasa selesa la pulak nak bersembang bila merasakan yang Haq ni muda dari aku biarpun hakikatnya tidak.

“Tak pernah ada cinta yang memberi salam pada pintu hati Kak Edi ke?” tanya dia lagi. Eh, aku nak tarik dia alih-alih dia yang tarik aku pulak.

“Err, tak… tak ada kot,” bohongku. Padahal pertama kali tengok dia tadi, rasanya itulah pertama kali hatiku diketuk bersama salam.

“Ya ke? Boleh percaya ke orang secantik Kak Edi ni tak pernah ada yang singgah nak beri salam dekat hati tu?”

“Eleh, setakat singgah je lepas tu nak berlalu buat apa? Baik cik hati tu duduk sorang-sorang je. Diam-diam kat dalam tu. Daripada dapat penyakit.” Aku mencebik. Kain buruk di tangan aku bawa ke sinki dan aku terus membasuh tangan.

“Eh, kenalah singgah dulu. Nak tahu cik hati tu dah menjawab salam ke belum. Kalau belum bolehlah hati yang satu lagi tu diam di situ selamanya,” ujarnya bersama senyuman.

Eceh, bermain kata pulak Abdul Haq ni. Tadi kat meja makan kemain sopan santun. Nampak je lurus bendul tapi sebenarnya bengkok juga.

“Kalau macam tu, Haq cuba la beri salam dekat hati Kak Edi. Barulah Haq tahu cik hati ni pernah menjawab salam ke tidak,” selaku lalu berlalu dan tak pasal-pasal terlanggar pulak bahu abang aku di ambang pintu ni.

Dia jeling semacam je. Sengih dia dah makin lebar dah. Aku naik geram dah ni bila ingatkan dia suruh Haq panggil aku Kak Edi. Jadi, aku mula la membaca mentera pada dia.

“Ada date nampak weekend?” tanya dia lalu ketawa. Hishh, dia ni. Pasang telinga la tu.

“Kisah ke?” cebikku lalu aku menapak ke meja makan hendak menolong Kak Aira dan mama yang sedang mengemas meja. Sempat juga telinga aku ni tangkap gelak ketawa Abang Edika dengan Haq. Menyampah!
******
KAMI sama-sama berjalan keluar dari MPH selepas Haq membeli sebiji buku. Ramai betul orang hujung minggu macam ni. Rasanya dekat sejam kami dalam MPH tu. Bila aku tanya buku apa dia beli, dia kata tak sampai masa lagi untuk aku tahu. Nak tak nak, kenalah mengalah. Tak kan nak memaksa. Lepas tu, dia ajak aku makan tengah hari dekat Noodle Station. Nak tak nak, aku ikut jugalah.

“Kak Edi nekad ke nak belajar menghafaz sampai ke Mesir sana?” tanya dia bila kami sama-sama melabuhkan duduk di kerusi.

“Kalau nekad?” Haa, soalan berjawab soalan.

“Kalau nekad apa kata kita kahwin dulu? Nanti boleh kita honeymoon sekali kat sana. Sungai Nil dia cantik sangat.”
Eh, tak ada lipat-lipat Haq ni bertanya soalan. Terus je ajak aku kahwin. Kot ya pun, lamar la elok-elok sikit.

“Haq pernah sampai sana ke?” tanyaku ingin tahu. Dari cara dia bertutur tu macam pernah je dia sampai ke sana. Haq ketawa. tapi, tiada jawapan.

“Awak melamar Kak Edi ke ni?” tanyaku lagi. Menjawab soalan Haq dengan soalan lagi.

“Kalau Kak Edi rasa Haq tengah melamar, my answer is yes,” tegasnya. serentak itu seorang pelayan datang mengambil pesanan. Muda lagi. Tersenyum saja tapi bukan dekat aku, tapi dekat Haq. Hai, susah dapat bakal suami handsome ni. Erk, sejak bila bakal suami ni? Hai…

“Kalau Haq kata macam tu, Kak Edi tak kisah. Masuk la meminang dengan cara yang elok. Ikut agama dan adat.” Sengaja aku tekan perkataan meminang tu kuat sikit agar budak pelayan ni dengar. Jangan pepandai nak main mata dengan my future husband.

Aku tengok budak tu menahan tawa. Agaknya lucu kot bila aku biasakan diri aku kak. Ah, tak kisahlah. Janji aku tak tua dari Haq. Haq tu je perasaan diri dia muda dari aku sebab kena momok oleh Abang Edika. Selepas pelayan itu berlalu, Haq ketawa. Aku dah pelik. Tapi, nampak kacak sangat dia ketawa. Hai, hati ini sudah menjadi miliknya tanpa aku sedar.

“Kenapa ketawa?” tanya aku.

“Kak Edi suruh Haq masuk minang tu mesti tak ikhlas, kan?” tanya dia dengan tawa yang masih bersisa.

“Kenapa pulak?” Berkerut wajahku.

“Mesti sebab Kak Edi rasa adik tu tadi tengok Haq. rasa cemburu mungkin,” tebak Haq tepat dan padat.
Aku telan liur. Nak buat apa lagi, sengih jelah. Tak sangka yang Haq mampu memahami makna kata-kataku itu. Tapi, sebenarnya aku ikhlas katakan semua itu tadi. Kalau dia masuk meminang, my answer is yes too! Tapi, bila dia rasa aku bergurau dan tak ikhlas, aku diamkan jelah. Malas nak jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong pulak.

“Atau Kak Edi nak Haq pinang Kak Edi selepas balik dari Mesir nanti?” Hari ini dah bermacam soalan yang Haq tanya aku. Letih dah nak jawab.

“Ikut suka Haq la,” selaku dengan suara yang mendatar. Sebenarnya kecil hati dengan tawanya tadi. terasa la juga bila dia mengatakan aku tidak ikhlas memintanya masuk meminangku. Sudahnya, dia senyum saja dan kami terus menikmati Noodle Tom Yam yang Haq pesan untuk kami berdua.
******
BIBIRKU lebar saja menggariskan senyuman selepas surat itu aku baca. Dalam hati rasa nak melompat je tapi mengenangkan kesopanan diri, aku lompat dalam hati jelah.

“Surat apa, Edi?” tanya mama sebaik saja aku duduk di sebelahnya.

“Surat tawaran tu lah. Dua minggu lagi boleh mendaftar dah,” jawabku dengan wajah yang ceria.

“Eh, cepatnya. Kalau macam tu, Edi kena suruh Haq masuk meminang cepat-cepat la ni. Nak tak nak kena langsung juga. Edi kan dah janji dengan mama, kan?” Mama dah mula mendesak. Dah mula nak kalut dah. dia bangkit mundar mandir depan aku.

“Mama, tak kan la Edi nak suruh Haq masuk pinang Edi pulak. Jatuhlah pride seorang wanita kalau macam ni. Lagipun, dia ada cakap kat Edi yang dia nak masuk minang lepas Edi balik dari Mesir nanti.” Eh, kejap. Aku dah garu kepala. Bukan macam tu pun kenyataan Haq hari tu. Dia bertanya, bukan memberi kenyataan.

“Eh, silap. Haq tanya, Edi nak dia masuk minang lepas Edi balik Mesir ke…” leretku. Membetulkan semula kata-kata tadi.

“Dah tu Edi jawab apa?”

“Edi jawab ikut suka dialah.”
Mama tepuk dahi. “Ya Allah, Edini. Kamu cakap ya terus tak boleh ke. Ni mesti Edi nak tolak permintaan mama, kan? Tak nak kahwin sebelum ke Mesir, kan? Nak hidup sorang-sorang kat sana? Nak buat mama risau?” Mama mula merungut dah. Aku terpaksa la garu kepala tak gatal. telinga dah mula bingit dah.

“Ala, janganlah cakap macam tu. Edi setuju je kalau kena kahwin dulu. Tapi, kalau Haq tak sedia lagi, tak kan kita nak paksa dia. Tak pun tunang jelah dulu. boleh?” pancingku bila melihatkan wajah mama semakin monyok.

“Tak nak. Mama nak sekali harung semua. Seperti mana yang Edi pernah janji, mama tuntut janji tu hari ni,” tekan mama lalu berlalu.
Eh, bila masa pulak aku berjanji nak kahwin? Aku hanya bersetuju je kalau itu kehendak mama. Dah orang tak nak, buat apa nak paksa. Hai, pening dah kepala ni. Malas nak fikir panjang lagi dah, aku terus sign surat tawaran tu. Esok terus ke JPA nak mohon visa.

Esoknya, aku pagi-pagi dah siap. Dah berjanji dengan Kak Aira nak ke Putrajaya untuk uruskan keberangkatan aku ke Mesir nanti. Bila kami turun, mama lebih awal siap daripada aku.

“Mama nak ke mana?” tanya aku pelik. Nak kata kerja, mama suri rumah sepenuh masa.

“Mama nak keluar. Nak uruskan hal nikah Edi dengan Haq. Mama dah suruh papa ambilkan borang dekat pejabat agama. Dekat Abang Edika pun mama dah pesan suruh dia cakap dekat Haq siapkan borang. Nanti senang kita uruskan.” Serius je kata-kata mama. Langsung tiada riak bercanda. Aku pandang Kak
Aira dan dia pandang aku. Tiba-tiba kami sama-sama jungkit bahu.

“Mama ni biar betul? Edi sibuk nak pergi belajar, mama sibuk pasal kahwin ni. Haq tu tak naknya dekat Edi ni,” dalihku.

“Mama takut bukan Haq yang tak nak dekat Edi, tapi Edi yang banyak dalih nak terima dia tak?” duga mama lagi. Matanya memandangku lain macam saja. Penuh dengan amaran. Rasanya mahu melepaskan diri pula. Selepas peristiwa di Midvalley tempoh hari, aku dapat rasakan yang Haq masih belum bersedia untuk terima aku dalam hidupnya.

“Kalau Kak Edi keberatan, apa kata Kak Edi pergi belajar dulu. Lepas dah balik sini baru kita fikir balik pasal kita.”
Masih berdengung dalam kepalaku suara Haq saat menghantar aku pulang tempoh hari. Kata-kata terakhir yang aku biarkan tidak bersambut. Pedih juga kala itu. Tapi, nak buat macam mana. Agaknya dia sekadar singgah memberi salam pada hati aku dan dia sebenarnya mahu berlalu meneruskan perjalanan kepada tujuan dia yang hakikit.

“Edi dengar tak mama cakap ni?” keluh mama. Aku pantas kalih. Terbang pergi terus suara Haq dalam kepalaku tadi.

“Ya, Edi dengar. Emm, ikut mamalah. Kalau kata Haq terima, esok juga Edi nak kahwin dengan dia,” putusku dengan suara yang mendatar.
Bergurau sebenarnya tu sebab aku dah tahu yang Haq pasti menolak cadangan ni. Aku yakin itu.

“Edi cakap betul ni?” tanya mama tidak percaya.

“Ikut suka mamalah,” ujarku mengalah. Jawapan sama yang aku berikan pada Haq hari tu. Kak Aira hanya tersengih lalu membontoti langkahku keluar daripada rumah. Haish, tiba-tiba hati ni nak buat drama airmata la pulak.

“Kenapa kau cakap Haq tak suka kau, Ed?” tanya Kak Aira padaku sewaktu aku tenang memandu. Wajah jelah tenang, sedangkan hati aku tak. Terseksa juga rasanya memikirkan aku bakal berjauhan daripada cinta pertama aku tu andai benar Haq menolak untuk memperisterikan aku.

“Dia suruh aku pergi dulu. Lepas balik baru dia nak kami bincang pasal ni. Dahlah panggil aku Kak Edi. Rasa nak cepuk je,” luahku geram. Kak Aira dah ketawa.

“Dia panggil kau Kak Edi? Kenapa pulak? Bukan ke dia lebih tua dari kita tiga tahun. Apa hal pulak macam tu?” Kak Aira terus ketawa.

“Siapa punya angkara lagi kalau bukan laki kesayangan kau tu,” marahku pada Kak Aira. Abang Edika punya pasal, isteri dia pulak aku marah. Haish.

“Oh, ya ke. Patutlah Abang Edika asyik gelak je kalau bercerita pasa kau orang berdua. Tapi kan, Ed. Daripada apa yang Abang Edika cakap dengan akulah, Haq tu memang love at the first sight la dekat kau dan aku yakin kau pun sama, kan?” duga Kak Aira. Mujur dia tak melompat dalam kereta Perdana V6 milik mama ni.

“Eleh, pepandai kau nak jadi Kak Kiah Propa ni kenapa? Ada aku cakap aku jatuh cinta pandang pertama pada Haq tu?” cebikku geram.

“Memang tak ada. Tapi, dari riak wajah kau yang cemberut tu, memang sah dah tu. Ni mesti kau rasa sedih sebab nak tinggalkan Haq, kan? Mesti rasa berat hati, kan? Mesti tak sanggup, kan?” Kak Aira dah siap kalih separuh badannya ke arah aku. Bersungguh-sungguh benar.

“Heh kau ni, kak. Banyak sungguh mestinya. Tak ada maknanya. Semua ni tak menjadi satu kemestian pun. Cita-cita aku lebih penting.” Aku cepat saja menidakkan padahal dalam hati dah terasa sakit la pulak. Aduhai, macam ni ke sakit kerana cinta? Nasib baik aku tak jawab lagi salam dalam hati aku ni. Kalau tak lagi parah rasanya.

“Mestilah,” sambung Kak Aira tiba-tiba. Eh, sempat lagi kakak ipar aku seorang ni. Aku lempar tepi lebuhraya MEX ni karang, ada yang menangis kat rumah. Aku geleng saja dan dia terus ketawa.
******
AKU hampir saja melompat bila Abang Edika tepuk bahuku saat aku sedang melayan perasaan di taman mini milik papa.

“Abang ni kenapa suka buat Edi?” tanyaku marah.

“Ala, orang gurau pun tak boleh Edi ni. Sejak nak jadi isteri ni makin garang pulak.” Abang Edika duduk di sebelahku.
Bulat mataku memandangnya kala ini. Tidak percaya dengan apa yang dia katakan.

“Abang cakap apa ni?”

“Haa, Haq dah setuju nak nikah dengan kau sebelum kau berangkat, dik,” jelas Abang Edika. Aku menolak tangan itu yang mahu melingkari bahuku.

“Eh, kenapa pulak dia setuju? Abang paksa dia, ya?”
Tatkala Abang Edika mengangguk, aku dah rasa nak pitam. Aduhai, abangku, adikmu ini belum terdesak hendak berumahtangga.

“Kenapa abang desak dia? Edi tak kisahlah. Mahu la Edi macam ni. Macam pelahap sangat,” keluhku. Mata dah terasa suam. Rasa nak menangis pun ada dah.

“Ala, kalau abang tak paksa, dia tak nak. Kalau dia tak nak, mama mesti risau kalau Edi ke Mesir sorang diri. Edi nak ke mama risau sebab Edi, tak makan, tak minum. Dok termenung je.” Lirih pulak aku dengar suara abang aku ni.

“Abang tu mula la nak serang Edi pakai nama mama. Tapi, apa-apa pun Edi tetap tak setuju sebab abang yang paksa dia. Kalau dia betul nak Edi, kenapa dia tak terima Edi tanpa abang memaksa? Apa pun terjadi, Edi tak nak!” tekanku kuat.

Aku angkat tubuh mahu berlalu bila tubuh mama sudah tercegat di depanku dengan bercekak pinggang lagi. Masaklah aku kali ini.

“Edi tak nak apa ni?” tanya mama keras. Aku dah telan air liur dah. Rasa kelat semacam je.

“Jangan cakap Edi tak nak kahwin dengan Haq dah. Mama dah atur semua dah ni. Majlis tinggal seminggu je lagi.”
Aku tepuk dahi dah. Cepat betul mama uruskan semua ni. Patutlah sejak akhir-akhir ni tak lekat kat rumah je.

“Edi tak naklah, ma. Haq bukannya setuju nak kahwin dengan Edi, dia terpaksa setuju sebab abang desak dia.” Aku jeling Abang Edika di sebelahku. Tersengih saja dari tadi.

“Ah, mama tak kira. Kalau Edi nak study abroad, you have to get married first. Otherwise, I won’t allow you,” tekan mama keras lalu dia berlalu.
Melopong aku mendengarkan mama aku ni cakap Bahasa Inggeris. Tak pernah-pernah. Makna kata ni, memang dia memaksudkan apa yang dia kata la tu. Yang paling tak tahannya, Abang Edika dah dekat nak tergolek-golek atas rumput ni.

“Kelakar la mama cakap orang putih. Dasyat tu,” ujarnya dengan tawa yang tertahan-tahan. Hai, nak je aku luku abang aku ni.

“Abang, dahla gelak tu. Edi ni macam mana?” Aku duduk mencangkung. Tubuh Abang Edika aku gugah kuat-kuat. Bagi dia sedar sikit.
“Macam mana apa? Mama dah cakap macam tu, tak ada siapalah boleh ubah. Terima jelah walaupun Haq tu terpaksa terima kau, dik,” ujar abang aku lagi. Huh, pedih sungguh dengan kenyataan tu. Lama aku renung Abang Edika hingga akhirnya airmata aku mengalir sendiri. Pertama kali menitis kerana salam yang belum aku jawab. Geram!

“Eh, menangis pulak. Kenapa?” Riak Abang Edika dah mula risau.

“Ni semua abang punya pasal. Kalau abang tak kenalkan Haq tu pada Edi, tak adalah Edi menangis macam ni. Dah orang tu tak nak, abang pandai-pandai pulak desak suruh terima Edi. Macam Edi ni dah tak laku sangat,” jeritku agak kuat lalu aku berlari ke dalam rumah meninggalkan Abang Edika yang dah tentunya tengah garu kepala.

“Eh, kenapa ni?” tanya papa bila ku hampir terlanggar dia di pintu masuk. Malas nak jawab, aku terus berlari mendaki anak tangga dan menuju ke bilikku.
*******
PAGI itu aku bangkit dengan wajah yang sedikit sembab dan mata yang bengkak. Semalaman tidak tidur. Menghafaz juzuk yang seterusnya menggunakan ilmu yang ada di dalam dada ini sebelum aku terus mendalami ilmu hafazan ini di bumi Arab nanti. Sekadar ke sana mahu memperkemaskan bacaan agar lebih tertib dan teratur serta tepat bacaannya. Dan yang paling penting, aku mahu ingat setiap ayat di dalam 30 juzuk itu.

“Abang minta maaf pasal semalam.” Suara Abang Edika jelas di belakangku. Bila aku berpaling, wajah itu dah terjengul di muka pintu. Aku mencebik.

“Tak payahlah. Abang tu kalau tak sayang Edi cakap je. Tak payah nak malukan Edi macam ni. Tak payahlah selalu nak kenakan Edi,” ujarku bernada rajuk.

“Edini, siapa cakap abang tak sayang?” Abang Edika dah memeluk bahuku.

“Edi satu-satunya adik abang. Kalau Edi nak tahu kenapa abang selalu layan Edi macam kanak-kanak, sebab pada mata abang, Edi ni tetap adik kecil abang yang manja tu. Maaflah, kadang-kadang tu abang tak sedar yang Edi dah besar. Terlupa yang Edi ni dah nak kahwin. Maafkan abang, ya?”

Aku jeling wajah itu. Tengok rupa Abang Edika ni memang nampak wajah aku versi lelaki. Serupa je. Dah macam kembar. Tinggal dia ada misai dengan janggut je.

“Baiklah, Edi maafkan tapi Edi nak abang berterus terang satu perkara,” pintaku. Abang Edika jungkit kening bertanya dalam diam.

“Betul ke abang desak Haq suruh terima Edi?” tanya aku benar-benar nak tahu ni.

“Yang tu, jawapan dia ada kat bawah. Haq ada kat taman, dia nak jumpa Edi?”

“Awalnya. Buat apa pagi-pagi kat sini?” tanyaku lebih pada diri sendiri.

“Mestilah dia nak jumpa bakal isteri dia ni. Nak terangkan keadaan sebenarlah tu,” sela Abang Edika lalu dia menarik aku keluar. Mujur dah siap bertudung sebab nak mengaji tadi.

“Ops, kejap abang. Satu lagi soalan. Betul ke abang cakap dekat Haq yang Edi ni lagi tua dari dia?” Kali ini aku lihat kerut terentang di dahi Abang Edika. Dia garu kepala.

“Eh, apa pulak Edi cakap ni? Mana boleh dia lagi muda dari Edi. Dia 27 tau. Edi kan baru 24 tahun,” jawab Abang Edika sambil menggeleng.
Haa, dah tahu dah. Ni mesti Haq sengaja nak kenakan aku dan aku ni pun satu, pandai pulak menipu. Kan dah kena.
******
“ASSALAMUALAIKUM,” hulurku tenang. Seperti biasa, wajah jelah tenang. Hati yang bergendang gendut dah.

“Waalaikummussalam,” jawab Haq dengan wajah yang sedikit keruh. Aku labuhkan duduk di depannya. Tenang saja pagi ini. Indah betul. Rasa macam ada perkara yang indah je akan berlaku kejap lagi.

“Awal datang?” tanyaku.

“Saja, ingatkan boleh sarapan sambal petai,” jawabnya bersenda.

“Erk, sambal petai tengah hari boleh. Kalau pagi ni minum teh je.” Aku jeling ke arah cawan teh yang masih belum luak di depannya. Haq ketawa.

“Pasal Edika cakap tu, salah semuanya,” beritahu dia tiba-tiba. Aku dah pelik. Dalam banyak-banyak yang abang aku cakap tu, yang mana satu yang dia maksudkan ni?

“Banyak sangatlah yang Abang Edika cakap.”

“Haq terima Edi ikhlas. Bukan sebab Edika paksa,” ujarnya telus. Lurus macam pembaris lagi kali ni.

“Oh, pasal tu. Baguslah,” selaku tidak beriak. Sengajalah aku nak kenakan dia. Nak balas balik dia kenakan aku. Mengada nak panggil aku Kak Edi. Padahal Abang Edika tak cakap pun.

“Baguslah? Tak ada sambungan dah ke?” Haq mengerutkan wajah. Hati aku dah bantai gelak dah.

“Sambungan? Ingat ni drama bersiri ke apa?” tanya aku pula. Lagilah berkerut wajah dia.

“Betul ni, tak ada siapa paksa. Bila Edika cakap yang Edi dah ready nak terima pinangan Haq, memang Haq gembira sangat. Tu semalam bila Edika cakap Edi menangis sebab ingatkan Haq terima Edi terpaksa, pagi-pagi lagi terjengul la Haq kat sini. Nak pujuklah ni,” akuinya.

“No hal pun. Kak Edi okey je.” Sengaja aku tekan perkataan ‘kak’ tu pada dia. Aku lihat Haq dah telan liur.

“Err, pasal tu Edi dah tahu ke?” tanya dia dengan nada bersalah.

“Pandai ya cakap Abang Edika cakap orang macam tu. Lepas tu selamba awak je panggil saya Kak Edi dan saya ni pun percaya jelah.”
Haq senyum. “Laa, Edi pun tak nafikan. Haq saja jelah nak kenakan Edi.”

“Emm, jangan masa nak jawab nikah nanti panggil Kak Edini sudah,” selaku lantas berlalu bila mama sudah memanggil kami untuk masuk.

“Eh, makna kata, Edi terimalah lamaran Haq ni, ya?” tanya dia teruja bila dia sudah berjaya menyaingi langkahku.

“Awak dah beri salam pada hati saya, jangan cakap awak nak singgah je tau.” AKu angkat jari telunjuk kepada dia dan Haq terus ketawa lepas. Tak malu gelak besar kat rumah orang. Ejek hatiku padahal aku juga dah rasa nak berguling macam Abang Edika berguling semalam. Nampaknya, kahwin dulu la baru bulan madu ke Mesir seperti kata Haq dulu tu.
********
MALAM tu, selepas usai berjemaah Isyak pertama sebagai suami isteri, Haq tarik aku duduk di birai katil. Rindu nak tatap wajah aku yang dah halal ni katanya. Bila teringatkan akad nikah petang tadi, aku memang nak ketawa saja. Masin mulut aku.

“Aku terima nikahnya, Kak Edini, eh kenapa pulak saya sebut kak?” tanya dia pada papa tatkala dia hendak menjawab qabul daripada papa aku sendiri.
Papa tepuk dahi kata Kak Aira. Aku yang duduk dalam bilik sudah tergolek-golek bila Kak Aira bawakan berita itu pada aku. Patutlah kemain riuh rumah aku dengan gelak ketawa masa tu. Itulah, suka mainkan aku lagi.

“Edini isteri saya,” serunya. “Tu ingat masa akad nikah la tu,” rungutnya. Bibir merah itu dijuihkan sedikit. Merajuk la konon. Sesambil tu tangan dia menghulurkan aku sebuah buku bertajuk, Ciri-ciri Wanita Penghuni Syurga.

"Ni buku dekat MPH hari tu," beritahunya tanpa aku pinta. Sudahnya, untuk aku rupanya buku ni. Haish.

"Tadi, gelak pasal tu ke?" tanya dia lagi.

“Tak adalah,” dalihku. Malas hendak merosakkan suasana malam pertama bergelar isteri ni. Mata Haq jatuh ke wajahku dan kali ini nampak lain je. Ada maksud di sebalik renungan itu.

“Haq, boleh tak saya tanya sesuatu?” ajuku pada Haq. Tiba-tiba rasa seram sejuk pula bila jemari Haq sudah menggengam jemariku. Lagipun, aku saja nak mencantas renungan redupnya yang memang membuatkan aku resah.

“Boleh je. Isteri saya ni nak tanya apa?” tanya dia kembali. Aisehmen Ramlee, dia panggil isteri. Hatiku mengajuk macam skrip drama Bujang Lapok tu. Penuh makna ungkapan isteri saya tu.

“Apa hukumnya kalau kita tindih kitab Al-Quran dengan benda lain?” Muka Haq beriak pelik. Mesti dia rasa hairan memikirkan seorang yang belajar tinggi-tinggi macam aku ni tanya soalan dah terang terentang jelas jawapannya.

Hati aku dah bantai gelak siap-siap tengok muka pelik Haq. Biar dia jawab. Nak tengok juga ustaz cool ni jawab apa. Sehari sebelum kahwin, baru aku tahu yang dia pernah belajar menghafaz juga di Mesir. Patutlah bila cakap soal Mesir, dia tahu semuanya.

“Hukumnya haramlah. Tak kan Edi tak tau?” Dia senyum. Aku pun senyum juga.

“Haq tahu kan yang Edi hafaz Quran. Jadi, dalam diri Edi ni penuh dengan ayat suci Al-Quran. Jadi haramlah kalau ada sesuatu yang lain tindih Edi,” ujarku pula. Sengaja mengelat malam penuh debaran ni. Tak bersedia lagi sebenarnya.
Aku lihat Haq termenung. Jemarinya yang sedari tadi membelai pipiku jatuh ke ribanya. Bibirku menguntum senyum. Yes, menjadi jugak. Mahu saja aku julang tangan, buat ombak.

Tiba-tiba, Haq senyum. Berderau darahku naik ke muka. Encik Abdul Haq ni handsome sungguh. Apa orang putih kata. No words can describe la. Tapi, pada pandangan mata aku jelah. Kalau jiran aku tengok, mungkin dia kata Haq biasa saja. Beauty lies in the eyes of the beholder, kan.

“Kenapa senyum?” tanyaku. Dia diam saja dulu. Meraih jemariku pula kali ini. Aku biar saja, tak mahu membentak. Nanti berdosa besar pulak.

“Tak apa. Haq faham Edi tak bersedia lagi. Lagipun Haq pun penat ni. Kita rehat jelah dulu,” jawabnya.
Ada dulu tu. Sengaja dia tekan sikit. Haish, malam ni boleh elak tapi sampai bila. Perlu ke menyorok dalam peti ais mama yang besar amat tu? Berdosa saja nanti tolak kehendak suami.

“Tapi, sebelum tu Haq pun nak tanya satu soalan dekat Edi ni.” Wajah Haq tiba-tiba ceria je.

“Apa?” tanyaku sepatah.

“Apa hukumnya kalau Quran, kita tindih dengan Quran?” soal dia. Kali ini aku rasa nak gelak pulak.

“Haq ni, mestilah tak apa kalau Quran kita tindih dengan Quran. Tak ada masalah pun,” jawabku lancar saja tanpa tahu muslihat Haq yang sebenarnya.

“So, Haq pun hafaz Al-Quran. Dalam tubuh Haq ni ada ayat suci Al-Quran la ni. So, kira tak salahlah kalau Haq…” Suaranya mati di situ bila dia sudah merapatkan tubuhnya di atas tubuhku.

“Tak salah kan sebab kita masing-masing menghafaz Al-Quran?” bisik Haq ke telingaku bila tubuh itu sudah sepenuhnya menghimpit tubuhku.
Sudahnya, aku terperangkap dengan alasan sendiri. Aduhai, lupa pulak suami aku ni pun menghafaz Quran. Kan dah kena. Tak dapat nak elak lagi dah.

“Assalamualaikum, isteriku yang tercinta,” gumam Haq ke telingaku.

“Waalaikummussalam,” jawabku perlahan dengan penuh debar dan malu-malu menjawab salam itu yang selama ini tidak pernah aku jawab bila salam itu hadir menjengah di depan pintu hati.

****TAMAT****

Seungguhnya, salam itu adalah sangat penting bagi kita. Mendoakan kesejahteraan sesama saudara Muslim dan bila salam itu mula menyapa hati, jawablah dengan penuh keikhlasan kerana boleh jadi, pemberi salam itulah yang Allah titipkan buat kita sebagai peneman tatkala duka dan juga bahagia. Salam sayang buat semua ~~~>RM

32 comments:

  1. Best ar RM... :D
    kelakar je...nasib baik x de orng nampak saya ketawa.....x pasal2 diorang kate gile plak...hehehe...teruskan berkarya RM coz saya minat semua karya RM...
    FERA...

    ReplyDelete
  2. adess..mmg best..lain dr yg lain ni..haha..sweet pun ade :D

    ReplyDelete
  3. mmg best....terhibur dan sweeeetttt...

    ReplyDelete
  4. best tahap gilerr... xperasan pon dh hbis.. lamunan jauh sgt..
    senyumanku terukir dr start smpai tamat citer ni..
    tahniah!!
    teruskan berkarya..

    <<>

    ReplyDelete
  5. Ryu Han--> (kat atas tu..)
    bole hilang plop npe ai yg dh tulis kt bwh komen 2.. haisshh

    ReplyDelete
  6. laa....bkn novel ker?dh berangan dh td nak tgk tajuk dia nak g beli kat popular...huhuuhu..frust nyer..nape x buat buku..best nih...sambung laa...

    ReplyDelete
  7. erk..hehe..cepen la best terus habis..rm dh ade 3 novel dlm proses..dh byk tu..hehe..insyaAllah ade kesempatan kita wat novel plk ek..hehe and thanks a lot pada semua yg dh baca & like..hehe

    ReplyDelete
  8. alahai besttt sangat...lawak la jugak kan tapi suweeetttt sangat2...rasa mcm tak puas lak nak baca.. nak lagi cite2 yang best cam gini..akak suke la RM ni... kretip n banyak sgt idea yg gempak2 lak tuh... teruskan berkarya RM..chaiyokkkkk..

    ReplyDelete
  9. Rehan laling....

    I LIKEEE!!!!!...hihi...can't stop smiling ni hah....anyway, tak kiralah Rehan buat cerpen yg romantik or komedi or yg sedih giler...akak tetap suka baca...it's just that bila time sedih tu...haduiii aiii...menusuk smp ke dalam ooo...tak tertahan di buatnya...anyway....keep up the good job...skrg ni sorang lagi kawan akak dh terjebak baca nukilan2 Rehan....hehehe...

    Love,
    Kak Rozie

    p/s : An...thanks again dear...sayang ko...

    ReplyDelete
  10. hahaha... pandai mengelak at last kene jugak... hehehe... best la kak rehan...

    Haniza

    ReplyDelete
  11. hahaha...
    tersengih-sengih saya bace...
    rase cm laen bile bace karya akak tnpa emosi,
    hmm,, x sbar nk bace assalamualaikum cinta2..
    pasti kn kelakar jugak tau..

    SSG=)

    ReplyDelete
  12. rafika dewi jahrulOctober 29, 2011 at 5:17 PM

    soooo sweetttt....
    lain dr yg lain...kelakar la edi ngan haq
    pasangan yg ngam...suka....suka...santai...
    x sabar nk baca AC2 konflik antara mak mertua lak...mesti lg mantapppp.....fika suka.....suka....cepat la n3 errkk RM...

    ReplyDelete
  13. lain dr yg lain kak ...heheh
    Assalamualaikum kak RM hehhe

    ReplyDelete
  14. cerpen ni tader part2 yg menghuru-harakan air mata...haha

    ReplyDelete
  15. Sebenarnya akak baru aje jumpa blog RM ni tapi bila dah terjerbak tak bolih nak kaleh dah , dah jadi kemaruklah pulak nak baca idea2 RM , setelah akak baca beberapa cite RM ni akak rasa Rm banyak juga pengetahuan tentang agama good akak sokong RM terapkan nilai2 agama dalam penulisan RM seperti cite diatas walau ada gelak ketawa ada pengetahuan agama yang cuba di tonjolkan yg banyak orang tak tahu seperti peranan hafiz & hafizah yg ingin berumah tangga. TAHNIAH itu aja yg dapat akak katakan pada RM.

    ReplyDelete
  16. salam Rehan...rasa cam Edi hehhehehhehe

    ReplyDelete
  17. Alhamdulillah berkat ilmu dan ilham yh Allah berikan ni mampu saya kongsikan dengan pembaca..harap semua ini memberi manfaat mgkin sikit tp sgt bernilai..

    terima kasih semua..hehe..kalo rasa macam Edi tu, awk mmg jadi watak tu la kot..hehe..teruskan sokongan dan rehan jnji akan terus cuba berikan yg terbaik..hehe..

    pada yg baru jumpa blog, kak mimi..takpe kak..better late than never..wish me luck..

    ReplyDelete
  18. ha(10x) best lah cerita awak ni. akak baru aje jumpa blog awak ni.
    apa2 pun tahniah, sebab tulisan awak ni sempoi aje

    ReplyDelete
  19. Baca citer ni kena tutup sebahagian muka dengan tuala... sbb tak nak kasi org lain nmpk kita tengah gelak sorang2. Soooo... sweet...

    ReplyDelete
  20. best citer ni...hilangkan bosan di ofis....

    ReplyDelete
  21. salam kak rehan...1 lagi cerpen akk yg best...hehe hilang bosan sambil tggu kawan nk p mkn....

    nice+best n sweet sangat cerita nie...

    like like like

    ReplyDelete
  22. Ya allah, ash sampai tergolek jatuh dr wheelchair bace cerpen neh. *kaki baru kne simen* ncib ade mmber muahahahahaha

    ReplyDelete
  23. Hehe... Memang best la cerpen2 akak ni...:)

    ReplyDelete
  24. best cerpen nie....
    sweet...suka ngn character2 dlm nie...
    cerpen2 RM best2...

    ReplyDelete
  25. best cerpen nie....
    sweet...suka ngn character2 dlm nie...
    cerpen2 RM best2...

    ReplyDelete
  26. Allahu, best la cerpen nie...baru ade mase nak menjengah ke blog rm nie..tahniah ...best sgt....

    ReplyDelete