Thursday, October 27, 2011

Cinta Yang Kau Bunuh

AKU tahan pijar di pipi kesan tamparan ayah. Sebolehnya aku menghalang airmataku agar tidak gugur. Jatuhnya airmata ini akan membuatkan aku tewas. Perjalananku masih terlalu jauh. Tujuanku bukan di sini.

“Apa nak jadi dengan kau ni Maisurah? Tak sudah-sudah lagi kau nak malukan ayah?” tengking ayah kuat.

“Kau bukan budak sekolah lagi, Surah. Kau dah dewasa. Kalau kata kau tak nak terima pinangan orang, lebih baik kau diam daripada kau bercakap. Hantar belajar tinggi-tinggi, bukannya kau nak beradap. Nak menjaga nama orang tua. Tu, mak kau dalam kubur tu, meraung-raung agaknya tengok perangai buruk kau ni?” herdik ayah lagi.

Kali ini, sabarku rabak. Aku tidak suka bila ayah kaitkan mak dalam hal ni. Mak sudah lama pergi. Kenapa mesti diganggu ketenangan mak di sisi Tuhan yang Maha Menciptakan?

“Ayah tak boleh sebut nama, mak. Kan mak dah tak ada. Kenapa mesti ayah nak bangkitkan nama mak lagi?” tanyaku dengan suara yang terketar-ketar.
Aku ketap gigi kuat. Kini, pedih di pipi langsung tiada terkesan. Pedih di hati makin menjadi-jadi pula.

“Dah tu, kau nak aku salahkan siapa kalau bukan mak kau? Bukan ke dia yang didik kau selama ni? Atau dia memang tak didik kau langsung sampai kau jadi biadap macam ni sekali, Maisurah?” herdik ayah. Matanya dijegil luas.

Bola mata kami beradu sesama sendiri. Andai tidak diingatkan lelaki ini adalah ayahku, mahu saja aku herdik dia kembali. Rasa hormatku masih bersisa padanya bila mengingatkan ajaran dan pesanan arwah mak yang sudah banyak menderita dek sikap ayah yang telah menduakan mak dulu. Tanpa kebenaran mak. Dan membiarkan aku, anak tunggalkan membesar tanpa kasih sayang ayah bila ayah benar-benar mengabaikan kami.

Usah dikatakan kasih sayang, makan minum kami juga tidak pernah dijaga selepas dia sah menikahi isteri keduanya. Dendam ku bercambah daripada benih menjadi pohon yang sudah teguh akarnya apatah lagi mengenangkan cinta yang tidak pernah dihargai oleh insan bernama lelaki. Adakah sama saja makhluk adam ini?

“Arwah mak dah cukup ajar Surah untuk hormat pada orang yang pandai menghormati orang lain. Ayah tu tak pernah nak ambil tahu pasal Surah sejak dari dulu. Ayah terlalu sibuk dengan bini baru ayah tu dan anak tiri ayah sampaikan lupa darah daging sendiri,” ujarku tegas.

“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku Maisurah. Aku ni ayah kau. Kalau betul pun aku tak hiraukan kau, itu dulu. Sekarang ni, bila aku dah ambil tahu, nak nikahkan kau, kau pulak buat perangai. Kau herdik anak Penghulu Daud tu kata tak sepadan dengan kau, kenapa?” Ayah sudah bercekak pinggang. Aku tahu dia sudah naik angin. Silap haribulan, sekali lagi aku menerima habuan daripadanya.

“Kalau kata dulu ayah tak pernah nak hiraukan Surah, kenapa sekarang ayah? Sampaikan mak mati pun ayah tak sempat nak jenguk arwah buat kali terakhir sebab anak tiri ayah tu sakit masa tu, kan? Jadi, ayah tak payahlah nak jodohkan Surah dengan sesiapa, ayah. Surah tak sudi nak ada lelaki dalam hidup Surah!” tegasku lagi lantas berlalu.

Airmataku merembes laju. Aku biarkan saja tanpa mampu ku seka. Setidak-tidaknya aku tidak pernah mengalirkan airmata di depan sesiapa. Cukuplah hanya aku dan DIA saja yang tahu akan keperitaan yang sedang ku tanggung selama ini.

Serta-merta ingatanku terbang mencari seraut wajah milik bekas kekasih yang pernah menabur janji. Faiz, kenapa buat Surah macam ni? Tertanya-tanya hatiku sendiri dengan takdir yang mendatang. Menduga hati dan perasaanku bila ku rasakan bahagia itu bisa ku gapai bila Faiz hadir dan sudi berkongsi sedikit kebahagiaan.

Tapi, aku sekadar merancang. Hanya Allah yang tentukan. Dugaan mendatang tanpa mampu aku halang. Mendidik diriku agar menerima segala ketentuan tanpa banyak keluhan biarpun hati dan jiwaku terpalit tebal dengan dendam.
******
TENGAH hari itu aku hanya bersendiri seperti biasa duduk di Restoran Ukhuwah untuk menikmati makan tengah hari. Cukuplah aku bersendiri kerana pengalaman lalu banyak mengajar aku erti sesebuah perhubungan. Betapa peritnya jalan yang telah aku lalui hinggakan aku sudah tidak mampu mempercayai sesiapa lagi.

“Surah…” Aku mendongak bila namaku diseru seseorang. Dua lelaki tegak berdiri di depanku. Wajah salah seorangnya memang amat ku kenali. Biarpun sudah beberapa tahun tidak bersua, wajah ini tidak pernah ku lupa. Jelas terpahat dalam memoriku.

“Maisurah, kan?” tanya lelaki ini lagi. Aku buat tidak tahu tapi dia tetap duduk di depanku. Tersenyum mesra. Begitu juga dengan temannya.

“Dah lama abang tak jumpa Surah? Kerja kat mana sekarang?” tanya dia lagi.

“Area sini je,” jawabku malas dan meneruskan suapan.

“Abang pun kerja area sini juga. Tak pernah pulak kita jumpa sebelum ni, kan?” Dia tersenyum lagi.

“Aku tak tanya pun,” selaku dingin. Malas hendak bermesra dengan lelaki yang ku kenali telah merampas kasih sayang ayah daripadaku. Air muka Eady Rahimi berubah. Tampak memerah. Mungkin malu dengan dengan kawannya dengan sikapku.

“Siapa ni, Ead?” tanya yang seorang lagi.

“Adik aku….”

“Bila masa aku jadi adik kau?” sergahku pantas. Aku tolak pinggan ke tepi. Wajah Eady Rahimi aku renung semahuku. Mahu saja aku tampar mulut itu. Sesenang itu dia menggelarkan aku adiknya selepas dia merampas segalanya dari aku.

“Mind your word, Eady. Aku bukan adik kau. Kita tak pernah ada hubungan. Jauh sekali hubungan darah.” Suaraku sudah makin meninggi hinggakan beberapa pelanggan lain sudah kalih ke arah kami.

“Surah kenapa? Nak jerit-jerit tak tentu pasal!” Eady Rahimi cuba menarik tanganku dan aku lebih pantas menepis. Aku angkat tubuh begitu juga dengan dia. Lelaki di sebelahnya sekadar terlopong melihat kami yang dibadai marah tiba-tiba.

“Malu la sikit, Surah,” tegurnya lembut.

“Eh, kau nak cakap soal malu dengan aku, Eady? Eh, kau patut cakap soal ni dari dulu lagi. Sebelum mak kau rampas ayah dari kami,” bentakku lagi. Aku lihat wajah Eady Rahimi sudah merah padam.

“Perkara dah lama tu, Surah. Bukan salah abang pun. Dah jodoh mereka.”

“Memang bukan salah kau pada pandangan masyarakat. Tapi bagi aku, kau adalah pesalah aku yang utama. Apa punya malang la nasib aku hari ni terserempak dengan perampas macam kau ni, Eady,” sinisku.

Eady Rahimi ketap bibir. Aku tahu dia sedang dilanda rasa malu yang maha hebat. Tapi aku tidak kisah. Dia tersilap langkah kerana terlalu ramah hendak menegurku tadi.

“Surah tu yang tak boleh nak terima kehendak takdir!” tekannya separuh berbisik. Aku mendekatkan sedikit wajahku ke wajahnya. Menyaingi ketinggian susuk tubuhnya itu.

“Takdir aku, aku punya sukalah,” ujarku lagi. Sengaja menyakitkan hati dia. Aku menggariskan senyuman sinis di hujung bibir. Tanpa ku duga, Eady Rahimi memaut daguku kasar. Mujur saja pengunjung tidak terlalu ramai kala ini. Lelaki di sebelahnya sudah bangkit menarik lengan sasa itu dari terus mencengkam daguku.

“Ead, dahlah tu. Malu kat orang ni,” pujuk kawan dia.

“Kejap, Man. Aku nak ajar perempuan kurang ajar ni dulu,” tekannya dengan mata yang masih memandang tajam ke dalam anak mataku.

“Eh, Surah. Abang tegur Surah dengan cara baik tadi. Yang Surah sengaja nak malukan abang depan kawan abang ni, kenapa?”
Tangan kasar itu aku tolak keras bersama dengan tawa kecil. Tawa yang ku buat-buat.

“Kau tu yang malukan diri sendiri. Tapi, aku rasa, kau tu memang layak dimalukan. Bukan sekarang je tau, tapi dari dulu lagi.”

“Kau tak Surah? Dalam diri kau tu penuh dendam. Hati kau tu dah kena bunuh, dah busuk macam bangkai, tahu tak?” bisiknya lagi. Ada sengihan sinis tersungging pada hujung bibirnya. Tuturnya juga sudah berubah kasar.
Tersentap rasanya hati aku tatkala Eady Rahimi mengatakan hati aku telah terbunuh. Andai dia tidak memberitahu, aku sendiri pasti tidak sedar. Benarkah hati aku ni sudah mati sebelum masanya? Mahu saja aku mengalirkan airmata bila mengenangkan hidup aku ini rupanya tiada berperasaan. Aku melalui hariku hanya kerana jasadku masih bernyawa saja sedangkan hati…

Malas hendak menghadap wajah tampan itu lagi, aku terus mengangkat beg tanganku untuk berlalu keluar bila Eady Rahimi lebih pantas melelar pergelangan tanganku.

Spontan itu, aku mencapai gelas yang berisi sirap limau yang masih belum luak dan aku simbah tepat ke wajahnya. Genggaman di lenganku terlepas. Dia jelas terperanjat dan aku sekadar menghadiahkan dia segaris senyuman sinis. Puas!

“Kalau hati aku dah kena bunuh, dah busuk dan dah bau macam bangkai, kau jagalah hati kau yang masih hidup tu baik, sebelum aku bunuh hati kau tu, Eady Rahimi,” ujarku dekat ke telinganya lantas aku berlalu.
Tiada guna lagi aku di situ. Seleraku sudah lama hilang sejak pertama kali suara itu menegurku tadi. Hancur segalanya.
*****
MALAS benar hendak bangkit hari minggu begini apatah lagi mendengarkan suara ayah yang sedang memberi salam di luar pintu berkali-kali. Untuk apa dia ke sini dengan begini kerap sekarang? Dengan langkah yang malas aku terus berlalu ke pintu dan saat pintu itu terbuka luas, mataku buntang. Tidak percaya dengan tetamu yang ada bersama ayah. Yang jelasnya adalah tetamu tak diundang.

“Kau buat apa kat sini?” tanya aku kasar.

“Maisurah!” tegur ayah keras. Renungannya tajam memberi amaran padaku dan aku merengus kasar. Malas nak melihat wajah isteri ayahku dengan anaknya Eady Rahimi itu, aku pusingkan badan dan berlalu ke bilik.

“Surah,” seru ayah lembut bila wajah itu sudah berada tepat di mataku.

“Kenapa cakap macam tu tadi? Kami ni datang nak melawat ayah kebetulan Eady ajak nak jumpa adik dia katanya.”

“Ayah jaga sikit kata-kata ayah tu,” tempikku tiba-tiba. Marah dengan kenyataan palsu ayah.

“Bila masa Surah ada abang? Dia tu anak ayah dengan betina perampas tu. Bukan abang Surah.”

“Kau ni kenapa Maisurah? Tak sudah-sudah lagi ke? Jaga sikit mulut kau tu. Aku ni ayah kau. Ni rumah aku dan aku berhak singgah bila-bila masa aku nak. Orang cakap baik-baik kau tak pernah nak dengar. Apa nak jadi dengan kau ni, hah?” marah ayah pula.

Aku langsung tidak kecut. Malah tidak juga menapak ke belakang walau seinci. Mungkin benar kata Eady Rahimi yang hatiku telah mati. Telah terbunuh hinggakan perasaan itu kaku, beku biarpun pada insan yang bergelar ayah yang sedang tegak berdiri di depanku kini.

“Memang ni rumah ayah. Tapi, sementara Surah tinggal kat sini, Surah tak suka orang luar datang sini. Sebelum Surah halau mereka tu keluar, Surah nak mereka balik. Jangan jejak lagi kaki kat rumah ni.” Suaraku kembali kendur tapi masih jelas ketegasannya.

Aku lihat mata ayah sudah merah menyala dan aku juga tidak kalah. Aku renung mata lelaki yang pernah mengabaikanku dulu. Renung semahuku. Lama-lama ayah mengeluh dan mengalah, lalu dia labuhkan duduk di birai katil.

“Ayah minta maaf dengan Surah sebab pernah abaikan Surah dulu. Tapi, kali ini je ayah mohon. Surah hormat sikit pada Mak Usu dengan Eady tu. Layan mereka baik-baik. Mak Usu tak pernah rampas ayah. Ayah yang silap masa tu sebab abaikan Surah dengan arwah mak Surah.”

“Baguslah kalau ayah tahu salah ayah tapi rasanya Surah memang tak mampu nak hormat pada makhluk dua orang tu. Kalau ayah tak nak Surah maki hamun Eady dengan mak dia tu, baik ayah bawa mereka keluar dari rumah ni sekarang sementara Surah boleh sabar ni,” tekanku.

Mata tua ayah menyoroti anak mataku. Lama renungannya hinggakan dapat ku kesan ada genangan jernih yang mula bertakung di tubir mata itu dan sudah semestinya, hati aku hanya melihat semua itu tanpa rasa.

“Kenapa Surah tak boleh nak hormat mereka?” tanya ayah. Aku ketawa kecil.

“Sebab mereka tu memang tak layak dihormati. Orang yang tak tahu nak hormatkan hak orang lain memang tak patut dihormati,” cebikku pada ayah. Dia menggeleng lalu menekan kepalanya. Aku langsung tidak gusar akan penyakit darah tinggi yang dia hidapi. Aku benar-benar tidak kisah.

“Jangan cakap macam tu, Surah. Dengar kat Mak Usu dengan Eady, tak ke kecil hati mereka tu.”

“Surah memang dah agak dah ayah akan cakap macam tu. Ayah lebih takut isteri dan anak tiri ayah tu kecil hati daripada hati Surah ni yang sakit, kan?” soalku dengan suara yang kembali meninggi.

Benar aku terasa teramat marah kali ini. Tidak sudah-sudah ayah hendak lebihkan mereka daripada aku. Belum tiba masanya, aku telah menjadi yatim piatu bila kasih ayah bukan pada aku sejak dari dulu lagi. Ayah bangkit. Kopiah itu diletakkan semula di atas kepalanya. Dia mula mampir ke pintu dan langkah dia pegun seketika lalu dia berpaling ke arahku.

“Surah boleh cakap apa yang Surah nak cakap. Tapi, kami dah berniat nak tinggal kat sini sehari dua,” beritahu ayah lalu dia hilang di balik langsir.

Aku duduk dengan mengepal penumbuk. Senyum sinis antara Eady Rahimi dan Faiz silih berganti. Senyuman Faiz menggambarkan ketewasanku dalam cinta dan senyuman Eady Rahimi memberitahu aku yang aku tidak layak hendak punyai apa-apa.
******
USAI Isyak, aku terpaksa juga keluar dari bilik bila ayah tidak sudah-sudah mengetuk pintu bilikku. Andai ikutkan hati, mahu saja aku maki dia. Tapi, sisa hormatku masih bersisa untuknya biarpun sudah berkali-kali aku menengkingnya.

“Mari duduk, Surah,” ajak Mak Usu lembut bila aku tiba di meja makan. Dia bangkit menarik kerusi untukku.

“Surah dah kenyang,” ujarku mendatar.

“Seharian tak makan, macam mana boleh kenyang?” tanya ayah tidak puas hati bila aku mula menunjukkan sikap dinginku pada mereka semua.

Mata Eady Rahimi juga tidak lepas merenungku sedari tadi. Sejak dia tiba pagi tadi, baru inilah kami bertembung pandang dan itu pun dalam keadaan terpaksa.

“Surah dah kenyang tengok drama keluarga bahagia ni,” sinisku lantas berlalu keluar daripada rumah.

“Kenapa kurang ajar sangat ni?” tempik ayah. Langkahku mati dan tanpa menoleh, aku tersenyum sinis.

“Salah siapa kalau Surah kurang ajar? Bukan ke salah ayah sebab tak bagi ajaran yang cukup?” AKu membidas tanpa memikirkan perasaan ayah sikit pun.

Kaki ini terus saja aku berlalu melepasi pintu luncur yang sedari tadi ternganga dan aku duduk di kerusi batu di mata, emak sentiasa menemaniku bermain di situ dulu dan yang pastinya tanpa ayah!

Mengenangkan kepedihan hidupku yang terpaksa menjaga diri sendiri sejak di usia remaja lagi tanpa kasih sayang emak bila dia kembali dijemput Ilahi dan pastinya jauh dari kasih sayang ayah, aku benar-benar telah terjerumus ke dalam dendam yang dalam. Mengenangkan Faiz yang telah mencurangiku, membuatkan dendam itu bagaikan tidak berkesudahan.

“Maisurah…”
Aku berpaling bila suara Eady Rahimi dekat di telingaku. Tanpa pelawaan dia duduk di sebelahku. Dekat hinggakan bahu hampir bertemu bahu.

“Kenapa kau mesti nak kurang ajar sangat dengan ayah? Kalau kata kau tak suka kami pun, hormatlah sikit ayah kau tu,” ujarnya lembut.

Aku bangkit bercekak pinggang. Benci benar aku melihat wajah lelaki ini. Rasanya baru minggu sudah wajah itu aku simbah dengan air sirap dan hari ni rasanya hendak ku ludah pula.

“Eh, Eady. Kau datang rumah aku tak berjemput. Lepas tu kau pandai pulak nak nasihat aku suruh hormat orang. Wake up la, Eady. Kau siapa nak nasihat aku?” herdikku padanya.

“Kau adik aku, Maisurah,” jawabnya pantas dan tubuhnya itu pantas jua berdiri tegak di depanku.

“Siapa kau nak cakap adik kau ni, Eady. Kita tak ada pertalian. Jangankan kau nak jadikan aku adik kau, musuh pun kau tak layak untuk aku, tau tak?” tekanku dengan wajah benci.
Bila aku mahu berlalu, Eady Rahimi sudah memaut lenganku dan genggaman itu terlalu erat untuk aku lepaskan.

“Jangan terlalu mencabar seorang lelaki, Surah. Aku ikhlas bila aku cakap kau adik aku. Tapi, kau tak sudah-sudah dengan dendam kau tu. Jangan kerana seorang lelaki pernah kecewakan kau, kau bencikan semua lelaki, termasuk ayah kau sendiri.”

Usai sahaja dia berkata begitu, Aku renggut tanganku kuat dan kali ini, telapak tanganku singgah tepat ke pipinya. Nafasku mengah. Air mata kini sudah berjuaraian ke pipi.

“Aku tak tahu mana kau tahu pasal jantan keparat tu tapi kau tak layak nak campur tangan dalam hal aku. Ini amaran aku yang pertama dan terakhir, Eady. Atau aku akan buat kau menyesal seumur hidup kau,” ugutku.

Wajah itu tergamam. Bibirnya bergetar hebat mahu mengatakan sesuatu tapi aku dia hanya terkedu. Aku senyum lagi. Kali ini lebih sinis. Lebih puas biarpun marahku masih menggunung.

“Aku takut kau yang menyesal, Surah!” gumamnya perlahan sebelum aku berlalu.
*****
LEWAT malam itu aku bangkit hendak ke dapur. Perut yang lapar tidak sudah minta diisi. Andai tidak, mataku ini langsung tidak mahu lelap.

Tatkala kaki ini melalui pintu bilik yang menjadi tempat beradu Eady Rahimi, telingaku menangkap suaranya yang sedang mengerang kesakitan. Hatiku tertanya sendiri. Pada mulanya malas hendak bertanya khabar tapi bila memikirkan segala kemungkinan boleh berlaku di dalam rumahku, aku ketuk jua pintu itu.

“Eady, kau kenapa?” tanya aku sedikit berbisik. Tidak mahu mengejutkan ayah dan Mak Usu.

“Eady…” panggil aku lagi dan kini sedikit kuat.

“Surah, tolong aku, kaki aku kena gigit lipan.” Sayup-sayup aku dengar suara itu dan pantas jua jemariku memulas tombol pintu yang ternyata tidak berkunci. Aku segera ke katil tanpa menekan suis lampu terlebih dahulu dan bila aku rapat ke katil, tanganku di tarik kasar lalu terjatuh di atas tubuhnya.

“Kau ni kenapa, Eady? Dah gila gamaknya?” tempikku kuat dalam kesamaran lampu dari dapur. Samar-samar saja di mataku bibir itu menguntum senyum. Senyuman yang penuh bermakna.

Betapa aku cuba meleraikan pelukan, semakin kemas pula Eady Rahimi memelukku. Terlalu erat hinggakan tiada ruang untuk aku melepaskan diri.

“Kau kata kita bukan adik beradik, kan?” tanya dia berbisik.
“Dan jauh sekali ada hubungan darah. Kalau kata kau tak boleh nak jadi adik aku, apa kata kau jadi isteri aku,” tekan Eady Rahimi lagi.

Mataku membulat. Hendak ku tarik lenganku dari pegangannya, dia lebih kuat menarik. Merapatkan semula dadaku ke dada bidangnya itu.

“Kau jangan buat gila la, Eady. Kau jangan ingat aku sudi nak…”
Belum sempat aku menghabiskan ayatku, lampu kini sudah terang benderang. Wajah ayah dan Mak Usu tersembul di muka pintu dengan raut yang merah padam.

“Apa kamu berdua buat ni, Surah?” tanya ayah dengan suara yang meninggi.

“Kamu berdua buat apa ni, Eady?” ulang Mak Usu pula.
Aku kaget bila tubuhku masih rapat menghimpit dada sasa Eady Rahimi. Rasa menebal kulit wajah bila tertangkap dalam keadaan begitu aib dengan anak tiri ayahku. Lebih haru bila Eady Rahimi hanya memakai seluar pendek sahaja. Eady Rahimi menolak tubuhku dan dia turut bangkit, duduk di birai katil dengan memaut bahuku erat.

“Kami… err…” Suara Eady Rahimi gagap tapi rasanya itu lakonan semata-mata.

“Surah tak salah, ayah!” ujarku keras lalu aku tolak tangan Eady Rahimi tapi lebih pantas dia paut pinggangku pula memaksa aku duduk di sisinya.

“Kau ni kenapa, hah? Kau sengaja nak perangkap aku, kan?” tempikku kuat. Dia pandang wajahku lama.

“Kenapa Surah cakap macam tu? Bila dah tertangkap macam ni, Surah nak salahkan abang pulak? Surah yang masuk bilik abang, kan? Kata cinta, bila dah jadi macam ni, Surah nak salahkan abang sorang?”

Airmataku sudah hampir menitis mendengarkan nista dari bibir Eady Rahimi. Dapat ku kesan sinar mata yang jelas tersenyum meraikan kemenangan. Kami bangkit dan masing-masing bercekak pinggang.

“Betul apa yang Eady cakap tu, Surah?” tanya ayah dengan nada yang marah. Aku tahu dia tidak akan memilik untuk mempercayaiku.

“Tak ayah,” bantahku. “Dia sengaja nak kenakan Surah!” Kali ini, aku benar-benar berharap yang ayah mempercayaiku. Tubuh tua ayah aku dekati dan tatkala aku mahu raih tangannya, jemari tua itu terlebih dahulu singgah di pipiku.

Kali ini, lebih pedih dari dulu. Lebih kuat hingga menyebabkan aku jatuh tersungkur di kaki Eady Rahimi. Bila tangan sasa jantan keparat itu ingin mengangkatku, aku terlebih dahulu menepis.
Dengan kudrat yang ada, aku bangkit jua. Bangkit merenung mata ayah. Mencari simpati di sebaliknya andai masih berbaki. Tapi sayang, bila ayah memandangku penuh amaran.

“Patutlah kau tolak pinangan Haji Daud tu, rupanya kau memang dengan Eady dan kau pulak Eady, patutlah beria ajak ayah datang ke sini, rupanya kau dengan Maisurah.” Ayah mula membuat simpulan sendiri. Simpulan palsu yang telah membelit aku.

“Tak, ayah. Ini semua….”

“Kau diam Maisurah.” Tepat ke wajahku ayah meluruskan jari telunjuknya.

“Ayah tak pelik kalau Eady yang curi-curi masuk bilik kau, tapi ni kau… Ayah tak sangka yang kau sanggup menyelinap dalam bilik Eady.” Ayah menggeleng dan kali ini, aku pasti tertewas bila ayah langsung tidak mahu mendengar penjelasanku.

“Kenapa kau mesti nak hilang pedoman macam ni, Surah? Mana ajaran yang arwah mak kau selama ni? Kalau kata kau nak berlaki sangat, kau cakap pada ayah yang kau nak Eady ni. Ni tidak, kau maki, hina dia beria-ia tapi sudahnya ayah jumpa kau dengan dia buat maksiat dalam rumah ni pulak,” herdik ayah lagi.

Aku ketap bibir. Sisi wajah Eady Rahimi aku panjang lama. Perlahan-lahan aku menapak dekat padanya. Membawa tubuhku menghadap tubuhnya dan menghalang sedikit pandangan ayah dan Mak Usu.

“Baik kau cakap hal sebenarnya, Eady. Kau jangan buat hidup aku jadi macam neraka, syaitan!” gumamku.

“Kan aku dah cakap Maghrib tadi, aku takut kau yang menyesal,” jawabnya bongkak.

“Nikahkan kami, ayah, mak!” pinta Eady Rahimi tiba-tiba. Aku melopong. Terkejut benar dengan permintaannya yang tidak munasabah itu.

“Kau…” Suaraku mati. Eady Rahimi lebih pantas meletakkan jari telunjuknya tepat ke bibirku. Kemudian, bahuku dipegang erat dengan kedua belah tangannya.

“Abang akan bertanggungjawab atas apa yang abang buat pada Surah. Sebelum perut ni berisi, lebih baik kita halalkan hubungan kita,” ujarnya padaku dengan lancar. Wajahnya tenang.
Mak Usu mula menangis. Ayah sudah hampir terduduk ke lantai. Dia menggeleng kesal.

“Apa yang kau dah buat ni Maisurah?” tanya ayah dengan keluhan yang maha berat. Menyebut namaku bagaikan akulah pesalah dan semestinya memang aku. Bukan Eady Rahimi.
Kali ini, aku membentak pegangan Eady Rahimi lalu aku seret lutut aku menghampiri ayah. Mohon simpati dari darah daging sendiri.

“Kenapa ayah sejak dari dulu lagi tak nak dengar cakap Surah? Kenapa dari dulu ayah selalu pinggirkan Surah? Kenapa mesti nak lebihkan bukan darah daging ayah? Kenapa mesti nak jatuhkan hukuman pada Surah sebelum ayat siasat dulu?” tanyaku penuh lirih.

Suaraku tertahan-tahan dek sebak. Rasa sesak nafasku. Entah mengapa kali ini, ada rasa pilu yang hadir. Andai dulu ku rasakan hati ini mati daripada segala rasa tapi hari ini, masih ada sisa nafas di dalam relung hati hinggakan air mataku laju menitis. Memaut kaki ayah agar tidak terburu-buru membuat keputusan.

“Kau jangan tanya soalan tu, Surah. Sekarang ni bukan soal ayah tapi soal kau dengan Eady tu. Kau nak ke lahirkan anak tu tanpa bapak?” AKu terkedu kali ini diherdik ayah.

“Malam esok kau orang berdua nikah jelah. Ayah tak nak kau orang berdua terus buat dosa sedangkan kau orang boleh halalkan pergaulan kau orang tu,” ujar ayah dengan suara yang lemah.

“Surah ikut jelah cadangan ayah ni, ya nak? Eady pun dah setuju tu?” pujuk Mak Usu pula bersama tangan yang sudah mendarat di belakangku. Mengusap lembut sebagai mana seorang ibu lakukan pada anaknya.

Tatkala ini, aku benar-benar merindui arwah mak. Rindu yang terlalu sarat tanpa mampu aku bendung lagi hinggakan aku sudah teresak-esak cuba menerima arahan ayah.

“Surah terima, ya nak?” pujuk dia lagi.

“Kau jangan nak tunjuk baik dengan aku,” bentakku keras bila tersedar yang wanita yang sedang membelaiku ini bukan mak. Dia perampas kasih sayang ayah dari kami dan kini anak lelaki pula sedang menjahanamkan masa depan aku.

“Surah!!!” jerkah ayah bersama penampar ketiganya hinggap di pipiku. Kali kedua tubuhku hampir rebah ke lantai tapi pantas disambut Eady Rahimi.

Dia memelukku erat. Mengusap rambutku lembut hinggakan aku tidak rasa ingin membentak seperti selalu. Rasa selamat berada di dalam tubuh sasa itu.

“Eady minta maaf sebab ayah ternampak kami dalam keadaan macam ni. Tapi, Eady mohon, ayah jangan sakiti bakal isteri Eady lagi. Untuk sehari ni saja lagi ayah tanggung dosa perbuatan dia dan lepas ni, Eady pula yang akan tanggung segalanya bagi dia. Benarkan Eady, ayah, mak,” ucap Eady Rahimi panjang lebar.

Air mataku berjuaraian di pipi. Rasa kalah kali ini. Andai dulu, betapa aku menghalang air mata ini gugur tapi hari ini, biarlah ia mengalir kerana akan ku pastikan, tiada lagi air jernih yang akan menodai pipiku lagi selepas ini.
******
RASANYA sudah hampir sejam aku berteleku di atas sejadah, bermunajat ke hadrat yang Maha Mentakdirkan perjalanan setiap manusia. Bermohon agar diampukan dosa. Namun, entah mengapa, aku rasa semakin jauh daripada-Nya. Semakin resah hatiku dahagakan rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Agung.
Betapa aku cuba usir resah dan dendam ini dari relung hati, semakin kuat rasanya terpalit dengan kebencian apatah lagi setelah aku sah menjadi isteri kepada anak tiri ayahku sendiri.

Hari ini, aku terpaksa pula berkongsi segalanya dengan dia. Tinggal di rumah yang pernah aku kumpul secebis kenangan dengan arwah mak dengan insan yang bergelar suami tanpa kerelaanku.

“Kenapa Surah tak tidur lagi?” tanya Eady Rahimi tanpa ku sedar bila dia tersedar dan kini sudah duduk tepat di sisiku.

“Aku tak mengantuk,” jawabku kasar.
Telekung putih itu aku tarik lalu aku letak di dalam almari. Kemudian aku buka pintu luncur dan terus membawa tubuhku dijamah angin awal pagi yang menyejukkan kulitku tapi masih belum mampu memadam bara yang kian menyala di hati.

“Surah, tak boleh ke Surah cakap baik-baik sikit dengan abang? Abang ni suami Surah sekarang,” ucap Eady Rahimi lembut. Dia duduk di sebelahku.

“Eh, Eady. Kita suami isteri pada surat nikah je. Bukan aku yang nak sangat nikah dengan kau. Kalau kata kau tak nak mengaku pun yang kau perangkap aku, kau tak perlu nak paksa ayah nikahkan kita. Kau tak rasa jijik ke nikah dengan adik tiri sendiri?” cebikku kasar. Eady Rahimi ketawa sinis.

“Baru sekarang Surah nak mengaku yang kita ni adik beradik tiri?” tempelaknya. Aku ketap bibir. Sedar akan keterlanjuran mulutku menutur kata.

“Aku tak pernah nak mengaku la, Eady!” pintasku menidakkan kebenaran. Menegakkan benang yang sudah sedia basah.

“Kalau aku tahu macam ni akhirnya hubungan kita, aku nak je berlakon mengaku yang kau tu abang tiri aku.”

“Nak berlakon apa lagi sedangkan itulah hubungan kita sebelum ni? Dan abang harap Surah jangan sesekali ucapkan perkataan kalau tu. Sebab segalanya dah tertulis yang Surah tu akan jadi isteri abang walaupun dengan cara macam…”

“Cara kau perangkap aku? Cara yang kau sesedap mulut kau je cakap yang kita dah terlanjur? Cara yang kau cakap pada ayah dan mak kau yang aku mungkin mengandung anak haram dengan kau? Cara macam tu yang kau nak cakap, Eady?” tengking aku kuat.

Jika aku mampu, aku benar-benar mahu toreh wajah tampan di depanku kini. Tak mungkin dan tak akan aku anggap dia sebagai lelaki yang sah di sisi aku. Tak akan!

“Ikut suka Surah lah nak cakap apa pun. Yang penting, tolong jaga sikap Surah sebab abang dah ambil alih tanggungjawab menanggung segala dosa Surah daripada ayah. Lagi satu, abang tak pernah rasa jijik nikahi Surah sebab kita tak ada hubungan darah pun. Kita sah untuk menikah dan dah sah pun sekarang,” tekannya lantas berlalu ke dalam bilik. Menghempas kasar tubuhnya ke katil lalu dia tarik selimut melepasi wajah.

“Ya Allah, mengapa jauhnya aku dari rahmat-Mu?” tanyaku bersama hati yang pedih. Setitis air mataku gugur jua.
******
EADY Rahimi mengeluh pasrah. Sudah berkali-kali pelawaannya aku biarkan sepi.

“Kita kerja area sama, Surah. Kenapa payah sangat abang ajak Surah naik kereta dengan abang?”

“Eh, Eady. Kau ingat, ya. Selagi aku mampu bergerak sendiri, walau dengan mengesot sekalipun, aku tak akan tumpang kau. Kau boleh pergi mana kau nak pergi, ke neraka sekalipun dan kau jangan drag aku sama. Aku tak kisahlah dan aku rasa kau tak perlu nak kisah pasal kehidupan aku, faham?!” tekanku lalu aku memboloskan diri ke dalam Kelisa milikku lalu meluncur laju tanpa mempedulikan tempikan Eady Rahimi.

Setibanya aku di pejabat, aku lihat ada sejambangan bunga di atas meja. Huh, pagi-pagi ni siapa pula yang gila hantar bunga ni? Tanya hatiku sendiri. Geram dan benci melihat bunga yang terletak kemas di atas mejaku. Aku kerling kepada Min di meja sebelah.

“Siapa bagi ni, Min?” tanyaku dengan suara yang mendatar.

“Entah. Aku datang tadi pun memang dah ada kat situ. Pakwe kau kot,” jawab Min tersenyum sumbing. Tanpa mengetahui statusku yang masih belum berubah.

“Tak ada maknanya pakwe dan bunga ni.” Aku terus mencampakkan bunga mawar putih itu ke dalam tong sampah di belakang mejaku.

“Kot ya pun tak sudi, rasanya tak perlu buang, kan?”
Aku panggung kepala mencari empunya suara dan demi terpandangkan wajah itu, aku bingkas bangun.

“Kau nak apa datang sini?” Suaraku separuh berbisik. Tidak mahu didengari oleh teman-teman pejabat.

“Faiz rindu Surah,” jawab Faiz separuh berbisik. Aku jeling pada Min yang sudah tersengih-sengih ke arah aku dan Faiz.

Malas hendak menjadi buah mulut masyarakat, aku tarik lengan Faiz keluar daripada pejabat dan berhenti di balik tiang yang sedikit tersorok. Tidak mahu terkesan oleh sesiapa.

“Kau buat apa nak cari aku lagi, Faiz?” tanyaku ke sekian kali dan kali ini dengan suara yang lebih keras dan tegas.’

“Kan dah jawab tadi, Faiz rindukan Surah. Dah lama tak jumpa, kan lepas…”

“Lepas kau curang dengan aku, kan?” Aku gelak sinis. Wajah Faiz kelat.

“Faiz datang nak tebus balik kesalahan Faiz pada Surah. Faiz sedar selepas Surah tak ada, Faiz sunyi. Tak ada wanita lain yang boleh melayan Faiz sebaik Surah,” ujarnya entahkan betul entahkan tidak. Aku ketawa lagi.

“Sebab aku layan kau terlalu baik agaknya sebab tu kau boleh ambil kesempatan di atas kepercayaan dan kebaikan aku pada kau dulu tu, kan?”

“Surah, jangan ungkit lagi hal lama tu. Faiz tahu Faiz salah. Salah buat penilaian. So, kita betulkan balik hubungan kita. Faiz masih sayangkan Surah,” ucap Faiz lembut. Malah lebih lembut dari dulu.

Aku geleng kepala beberapa kali. Tak akan semudah itu aku mempercayai mana-mana lelaki lebih-lebih lagi dia yang sedang berdiri di depan mataku kini.

“Kau baliklah, Faiz. Cinta yang pernah hidup dalam hati aku ni dah lama kau bunuh. Dah tak ada cinta, dah tinggal bangkai malah baunya dah busuk!”

Serta-merta berdengung kata-kata Eady Rahimi padaku dulu. Menuduh aku sebagai manusia yang hidup tanpa hati dan perasaan. Terasa sakit benar telingaku. Bagaikan baru semalam Eady Rahimi mengucapkannya padaku.

“Bagi peluang pada Faiz. Kita hidupkan balik cinta kita, Surah,” pujuk Faiz cuba meraih jemariku.
Mataku tajam merenung dia. Mahu aku hamburkan makian kala itu juga tapi niatku tertahan tatkala mataku tertancap pada susuk tubuh Eady Rahimi dan temannya yang pernah aku lihat dulu sedang melangkah kemas menuju ke arah aku dan Faiz. Terlupa pula yang Eady Rahimi bekerja satu kawasan denganku.

Serta-merta aku tarik Faiz dekat padaku. Membalas genggaman tangannya erat dan mengukir senyum mesra. Aku mahu lihat sehebat mana lelaki bernama Eady Rahimi yang diangkat menjadi suamiku itu mampu menahan sabar.

“Surah buat apa kat sini?” tanya Eady Rahimi bila dia sudah menghentikan langkahnya di hadapan kami. Wajahnya merah padam. Aku ketawa halus.

“Hai, kau kisah apa aku nak buat apa kat sini. Kan Faiz?” Sengaja aku angkat kening pada Faiz yang sudah terpinga-pinga.

Lambat-lambat dia mengangguk dan memaut bahuku rapat padanya. Dalam hati, marahku sudah membara. Andai bukan kerana hendak menyakitkan Eady Rahimi, rasanya pipi Faiz pasti menjadi sasaranku. Bila melihatkan wajah tegang Eady Rahimi, aku menggariskan senyuman lagi.

“Surah sedar tak Surah buat apa ni? Dengan siapa tu dan dengan siapa Surah sedang bercakap sekarang ni?” Eady Rahimi masih berlembut. Tapi, amarah di dalam tiada siapa yang tahu.

“Mestilah aku sedar.” Aku angguk.

“Aku sedar yang aku sedang buat kau marah, kan? Aku sedar yang aku sedang bercakap dengan lelaki yang dok gilakan aku dan aku sedar aku sekarang ni bersama dengan kekasih lama aku,” jawabku bangga.

“Surah tak habis-habis nak malukan abang, kan? Nak cabar kesabaran abang? Surah dah lupa yang lelaki ni pernah tinggalkan Surah dulu?” Kali ini suara Eady Rahimi sudah meninggi. Hampir saja dia mencekak kolar baju Faiz andai tidak dihalang temannya itu.

Hatiku bagai dirasuk. Ketawa dan terus ketawa dan aku tahu, hari aku ini akan ku lalui dengan seribu satu kesukaran dek kebetulan ini.

“Aku tak tahulah mana kau dapat tahu pasal aku dengan Faiz ni, Eady. Tapi, satu yang pasti, kami dah berbaik dan aku sudi nikahi Faiz dengan rela hati. Bukan dengan paksaan,” tekanku memaknakan kata-kata itu dalam erti kata lain. Cukuplah sekadar Eady Rahimi saja yang memahaminya.

“Surah jangan cabar abang. I am about to lost my mind. Dan kau, jangan dekati perempuan ni lagi. Dia perempuan simpanan aku, faham!” tekannya pada Faiz.

Bulat mataku memandang Eady Rahimi. Rasa perit telingaku mendengarkan kata-katanya. Mendengar dia meletakkan tarafku di tahap itu.

“Jangan sebab aku tak suka kau, kau nak pandai-pandai jadikan aku perempuan simpanan kau, Eady,” marahku dengan suara yang masih mampu aku kawal. Faiz dan kawan Eady Rahimi nampak terpinga-pinga.
Setidak-tidaknya aku lega bila Eady Rahimi tidak mengakui yang dia adalah suami aku dan aku adalah isterinya yang sah. Andai tidak, aku tidak dapat bayangkan rancangan yang bakal hancur nanti.

“Patutlah bila abang ajak Surah datang sama-sama tadi, Surah tolak. Ini rupanya kerja Surah lepas abang taburkan semua duit abang pada Surah?”
Aku tahan hati dengan lakonan Eady Rahimi dan kali ini aku benar-benar sudah tercabar.

“Faiz, kalau kau betul nak aku balik, aku nak kau pinang aku sekarang. Depan lelaki bangsat ni,” arahku pada Faiz yang kelu sedari tadi. Jariku lurus, hampir mengena hidung mancung Eady Rahimi.

“Err, Faiz... Faiz...” Lelaki dayus ini mula teragak-agak. Jelas tersungging senyuman sinis di bibir Eady Rahimi bila Faiz menarik tangannya dan melepaskan tanganku.

“Kau nak ke tak nak,” jerkahku pada Faiz membuatkan dia mengangguk pantas.

“Kita buat cara baik. Nanti Faiz bawa keluarga Faiz masuk meminang,” jawab Faiz akhirnya dan aku tersenyum puas melihat wajah marah Eady Rahimi. Dan kini, aku harap segalanya berjalan lancar seperti yang ku rancangkan.
Sudahnya, aku heret Faiz berlalu meninggalkan Eady Rahimi yang sekadar berdiri tanpa mampu menghalang langkahku.

“Faiz decide jelah bila tarikh nak datang rumah Surah. Nanti Surah beritahu ayah. Lagi cepat lagi baik. Ramai sangat pengacaunya,” beritahuku pada Faiz setelah memastikan yang kami sudah tidak dapat dikesan oleh mata Eady Rahimi.

Sekelip mata berubah laku dan aku harap, Faiz tidak dapat mengagak agenda di sebaliknya. Hatiku ketawa lagi. Ketawa yang dihasut syaitan laknaktullah.

“Tapi, kenapa tiba-tiba?” Sudah ku agak Faiz akan mengusul demikian dan aku perlu bijak mencipta alasan waktu itu.

“Faiz pun tahu, kan. Surah ni ramai sangat yang suka kacau. Dalam ramai-ramai tu Surah paling kenal Faiz dan yang paling penting, cinta Surah masih pada Faiz.” Aku lihat Faiz tersengih menerima jawapanku. Dia mengangguk kemudiannya.

“Tak sabarlah pulak Faiz rasa. Seminggu dua lagi boleh tak? Nak kena bincang dengan keluarga dulu ni,” ujarnya ceria dan aku mengangguk saja. Jerat telah mengena.
******
HUBUNGANKU dengan Eady Rahimi semakin dingin dan hari ini sudah hampir seminggu Eady Rahim tidak menegurku. Aku juga tidak kisah malah terasa lebih selesa begini. Sekadar berkongsi rumah bila aku berkeputusan berpindah bilik belakang yang menjadi tempat di mana aku dan Eady Rahimi pernah tertangkap oleh ayah dulu.

Semakin hari pula, terasa semakin rebeh bahuku menggalas dosa kerana menyakitkan hati Eady Rahimi setiap kali kami bersua di tempat kerja. Sengaja aku minta Faiz datang ke pejabatku untuk menemani makan tengah hari. Aku mahu melihat Eady Rahimi terseksa. Aku mahu bunuh hatinya dan esok adalah hari yang aku tunggu-tunggu. Akan ku pastikan, Mak Usu menderita melihatkan keadaan anak tunggalnya itu.

Kepada ayah dan Mak Usu telah aku khabarkan agar dia datang ke rumah minggu itu dengan alasan, sudah lama tidak bertemu sejak aku dinikahkan dengan Eady Rahimi. Ayah ketawa mesra di hujung talian bila.

“Ayah seronok dengar Surah dah berubah. Dah mesra. Dah pandai telefon ayah tanya khabar, ajak ayah datang rumah...” ujar ayah di hujung talian. Bibirku menguntum senyum sinis.

“Itulah, ayah dengan Mak Usu jangan tak datang tahu. Kalau kata tak boleh nak datang malam ni terus, ayah datang esok awal-awal pagi, ya?” pintaku separuh merayu.

Ayah ketawa lagi dan aku juga dengar tawa halus Mak Usu yang bakal aku lenyapkan nanti. Biar mereka turut merasa sakit dengan apa yang telah aku rasa selama ini.

“Eady mana?” tanya ayah kemudiannya.

“Err, abang dah tidur. Esok nak buat benda lain pulak,” jawabku bermakna. Penuh drama sedangkan aku sendiri tidak tahu, masih wujudkan Eady Rahimi di dalam rumah ini.

Esoknya, tepat jam 9 pagi, ayah tiba di depan pintu rumah dengan wajah yang ceria. Mak Usu juga sama. Selepas aku salami dan mencium tangan ayah, tubuhku disapa pula oleh Mak Usu. Dia mengucup pipiku tanpa mampu aku menghalang.

"Apa yang tak menyempat sangat ni, Surah?” tanya Mak Usu mesra.

“Entah-entah, budak berdua ni nak bagi kita cucu tak, abang?” tanya Mak Usu lagi pada ayah. Aku ketap bibir. Mahu membentak tapi bukan masa yang sesuai. Sudahnya aku senyum saja.

Aku sudah siap mengacau air dan menghidang beberapa jenis kuih di atas meja di ruang makan. Aku tahu, perhatian ayah dan Mak Usu masih padaku.

“Mana Eady? Dari tadi tak nampak pun dia.” Suara ayah jelas di pendengaranku. Aku kalih dan terpaksa senyum lagi.

“Ada dekat bilik tu. Surah dah kejut tapi tak larat nak bangkit lagi katanya. Penat badan. Nanti kejap lagi Surah naik kejut dia,” jawabku tenang.

“Kerja kuatlah tu baru-baru kahwin ni,” sela ayah penuh makna diselangi dengan tawa halus Mak Usu pula.
Jam sudah menunjuk ke angka 11. Dengan kata lain, bila-bila masa saja dari sekarang, rombongan Faiz akan sampai dan akulah yang paling gembira nanti. Seperti yang ku jangka, hampir setengah jam kemudian, kedengaran ada suara memberi salam di luar pagar. Aku lihat ayah terlebih dahulu keluar, menjawab salam dan mempersilakan tetamu masuk.

“Err, siapa ya?” tanya ayah tergagap-gagap. Mungkin pelik dengan rombongan beserta dengan dulang peminangan dan tepak sireh yang dibawa oleh keluarga Faiz.

“Kami sebelah pihak lelaki la,” jawab yang seorang lain pula. Mungkin baginya aku sudah memberitahu ayah. Aku senyum lagi.

“Err, tak apa, tak apa. Mari kita ke dalam dulu,” ajak ayah.

“Kami ni datang nak meminang bunga kat taman larangan ni. Katanya belum berpunya. Anak kumbang kami ni dah angau sangat dah,” ucap suara lain pula diselangi tawa.

“Maaf, tapi saya ada seorang anak perempuan saja. Itu pun dah berkahwin sebulan lepas,” maklum ayah tergagap-gagap lagi. Rasanya, mahu saja kau ketawa besar meraikan kemenanganku.

“Eh, betul ke encik? Faiz kata Maisurah yang suruh dia masuk meminang.” Suara itu dah bertukar tegang.

“Ya, pak cik. Surah yang suruh saya pinang dia 2 minggu lepas. Tak mungkin dia dah kahwin.” Kali ini jelas suara Faiz di telingaku.

Selang beberapa minit, Mak Usu dah menarik tanganku memaksa aku mengikut langkahnya. Bila aku tiba di ruang tamu, muka ayah sudah merah padam dan aku tidak dapat menghalang wajahku dari menguntum senyum lebih-lebih lagi pada Faiz yang sudah tegak berdiri merenungku.

“Apa semua ni, Surah?” tanya ayah keras.

“Kan Surah suruh Faiz pinang Surah dan bila Faiz pinang kenapa ayah Surah cakap Surah dah kahwin?” tanya Faiz pula dengan suara yang lirih.

“Kalau kata aku suruh, yang kau bodoh sangat nak datang tu kenapa? Tak siasat dulu? Kau ingat senang-senang ke aku nak terima balik orang yang dah buang aku dulu?” cemikku pada Faiz. Seluruh keluarganya bingkas bangun kali ini.

Mata masing-masing bagaikan buah saga. Merah menyala menahan marah padaku barangkali.

“Apa semua ni, Surah?!” jerkah ayah. Aku halakan mataku pada ayah.
“Ini drama yang Surah nak ayah dengan Mak Usu tengok untuk hari ni. Drama yang akan membuatkan anak Mak Usu, si Eady Rahimi tu terseksa Zahir batin,” tekanku.

“Maaflah, semua. Ini salah faham. Maisurah ni dah menikah dengan Eady Rahimi,” ujar ayah. Aku tahu dia sedang menanggung malu yang hebat. Aku tidak kisah. Yang penting hatiku puas.

“Sampai hati Surah...” lirih saja suara Faiz.

“Kau juga sampai hati buat aku macam tu dulu, Faiz. And now, game over!” gumamku keras. Keluarga terus menarik dia keluar dari rumah bila Faiz sudah melutut di kakiku. Merayu agar aku menerima cintanya.

“Kenapa kau jadi sekejam ni, Surah?” Ayah sudah melangkah ke arahku.

“Kenapa ayah tak tanya diri ayah sendiri kenapa Surah jadi sekejam ni?” herdik aku pula.

“Memang salah aku sebab biarkan kau dulu tapi aku tak sangka yang kau membesar menjadi hati binatang. Hati yang mati. Tak ada belas kasihan langsung,” marah ayah kuat.

“Dan ayah juga tak ada hati, tak ada belas kasihan membiarkan Surah membesar sendiri dan biarkan Surah menguruskan pengkebumian mak sendiri pada usia Surah 15 tahun, ayah. Lepas tu ayah langsung tak nak dengar penjelasan Surah pasal Surah dengan Eady keparat tu. Ayah nikahkan kami sedangkan bukan salah Surah. Sekarang ayah cakap, Surah yang berhati binatang atau ayah tu yang kejam?!” tempikku lantang.

“Maisurah!!” Serentak itu tangan ayah terangkat lagi tapi kali ini tidak sempat singgah di pipiku bila Eady Rahimi terlebih dahulu menyambar pergelangan tangan ayah. Entah daripada mana munculnya ida. Terduduk orang tua itu di kerusi, menghamburkan tangis. Begitu juga dengan Mak Usu.

“Maaf, ayah. Dia isteri Eady. Hanya Eady berhak atas tubuh dia sekarang. Eady mohon, ayah jangan sakiti tubuh isteri Eady lagi,” ujar Eady Rahimi lalu menarik aku mengikut langkahnya menuju ke atas.
Belum pun sempat Eady Rahimi merapatkan pintu, derumah enjin kereta ayah sudah kedengaran dan semakin jauh pergi meninggalkan perkarangan rumah. Air mataku menitis dalam tawa.

“Surah puas buat macam ni?” tengking Eady Rahimi lepas dia mencampakkan aku ke katil.

“Surah puas malukan abang depan jantan lain? Surah puas buat ayah Surah dengan mak abang menangis macam tu? Jatuhkan air muka dia? Buat orang lain kecewa dan Surah aibkan maruah keluarga lain semata-mata kerana dendam Surah tu?” herdiknya lagi.

Aku lihat dia meramas rambutnya yang sudah tidak terurus. Jambangnya juga sudah tumbuh meliar. Terasa lain memandang wajah itu selepas seminggu tidak bersua muka.

“Aku memang puas, Eady. Puas dapat membalas setiap kesakitan aku ni,” jawabku perlahan tapi penuh ketegasan.

“Ya Allah, syaitan apa yang dah rasuk Surah ni? Tak cukup ke layanan abang pada Surah sejak Surah jadi isteri abang ni sampai Surah tergamak buat kami semua macam ni? Kalau sebab abang perangkap Surah kahwin dengan abang tu, rasanya abang dah cuba jadi suami yang terbaik untuk Surah.” Dia merenung wajahku pula. Terbias air jernih yang sedang meniti di tubir matanya.

“Apa lagi yang Surah nak dari abang?” Dia mengeluh hebat.

“Betul kau nak bagi aku apa saja kalau aku minta?” tanyaku dengan perasaan teruja. Eady Rahimi tidak terus menjawab. Sebaliknya dia hampir padaku, lalu melabuhkan duduknya di atas katil dekat denganku.
Lama-lama dia mengangguk. “Apa saja untuk hidupkan kembali hati dan cinta Surah yang pernah terbunuh tu,” ujarnya.

Aku senyum pada dia. Senyuman ikhlas yang tidak pernah aku berikan padanya sebelum ini. Dia membalas juga. Pipiku diusapnya lembut. Aku menyentuh jemarinya dan mengucup jemari suam itu mesra.

“Aku nak kau ceraikan aku, Eady!” gumamku tapi cukup jelas untuk pendengarannya. Serta merta Eady Rahimi menolak bahuku menjauh daripadanya.

“Kau gila? Tak mungkin, tak akan!!” tempik dia lagi. Aku ketawa.

“Kan aku dah cakap, aku akan buat hidup kau macam neraka. So, rasanya cukup sampai sini kot. Janji hati aku puas.”

Aku pantas turun dari katil. Berdiri tegak di sebelah Eady Rahimi yang masih duduk di atas tilam lalu ku hadiah senyuman manis buat kali terakhir.

“Aku ada satu cara tapi yang ni memalukan kau. Aku akan failkan tuntutan cerai aku ke mahmakah dan dengan alasan...” Aku tarik nafas seketika.

“... kau tak mampu nak bagi nafkah batin pada aku. Dah sebulan kahwin, aku masih anak dara. So, what do you think? Kau rasa jatuh tak talak atas aku nanti?” sambung mengejek lalu aku bawa langkahku ke pintu dan belum pun sempat memulas tombol pintu, tubuhku terlebih dahulu diraih dari belakang dan Eady Rahimi terus mencampakkan aku ke katil.

“Oh, kalau pasal tu kenapa kau tak cakap? Aku lebih dari mampu la, Surah,” bisiknya bila wajahnya sudah dekat ke wajahku hinggakan nafas kami sudah bercantum menjadi satu.

“Kau jangan...”
Suaraku mati bila Eady Rahimi menyentuh bibirku. Betapa aku menghalang, semakin kuat dia mencengkam kedua pergelangan tanganku. Air mataku sudah hampir menitis.

“Aku pernah cakap dulu, jangan cabar seorang lelaki apatah lagi lelaki tu dah sah menjadi suami kau sekarang. Yang dah berhak ke atas setiap inci tubuh kau, Surah!” tekan dia lagi dan aku hanya mampu menangisi kifarah yang telah Allah berikan buatku kerana dosa yang telah aku lakukan.
*****
SEJAK kejadian hitam itu, aku menjadi pendiam. Setiap kali bersua dengan Eady Rahimi, aku hanya memandang wajah itu tanpa perasaan. Kosong semata-mata. Begitu juga bila ayah dan Mak Usu datang menjenguk setelah puas Eady Rahimi memujuk. Dunia terasa sepi di dalam keriuhan. Aku makin tenggelam di dalam duniaku sendiri hinggalah pada suara hari, aku dapat rasakan kelainan pada tubuhku. Selera makan juga sudah lain macam. Jeans juga semuanya sudah tidak muat.

Tidak mahu terus menelah, aku terus membuat pemeriksaan dan terjelepuk aku ke lantai bila penguji kehamilan itu jelas bertanda 2 baris. Terang dan jelas memaknakan yang ada satu nyawa yang sedang bernyawa dalam rahimku. Anak Eady Rahimi.

Waktu ini, menangis bukan penyelesaiannya. Aku perlu bijak agar Eady Rahimi tidak tahu semua ini. Bayi ini tidak patut lahir. Aku tidak sudi mengandungkan anak lelaki itu. Sungguh tidak mahu.
Selepas hampir seminggu, rasanya perubahanku makin ketara. Mak Usu juga pelik dengan seleraku.

“Tadi kan dah makan?” tanya Mak Usu.

“Kenapa, tak boleh kalau Surah nak makan lagi?” tanyaku kasar. Air muka Mak Usu berubah.

“Mak Usu tak kata tak boleh, tapi kalau Surah makan banyak sangat karang naik badan pulak. Ni Mak Usu tengok dah makin berisi ni. Surah taka pa-apa ke?” tanya Mak Usu curiga. Aku pantas menggeleng. Pinggan yang berisi mee goreng itu aku tolak ke tepi.

“Payah betul. Nak makan dalam rumah sendiri pun tak boleh,” ujarku melengking dan belum sempat aku bangkit dari kerusi, tubuh Eady Rahimi terlebih dahulu menghalang langkahku.

“Surah selera makan, lepas tu badan makin naik sebab benda ni, kan?” Dia menyuakan pregnanct test itu tepat ke wajahku dan wajah Mak Usu. Mak Usu tekup mulut.

“Kau selongkar hand bag aku kenapa?” marah aku pada Eady Rahimi. Aku sudah tidak kisah andai di depan ayah dan Mak Usu sekalipun kerana mereka sudah tahu akan ketegangan rumah tangga kami yang tidak pernah mahu kendur. Aku cuba rampas benda itu dari tangan Eady Rahimi tapi dia lagi pantas melarikannya daripadaku.

“Sampai bila Surah nak sorok benda ni daripada abang? Anak dalam perut tu anak abang. Atau Surah tak nak bin atau bintikan dengan nama abang? Nak letak anak tu setaraf dengan anak tak sah, macam tu?” marah dia padaku. Pujukan Mak Usu juga tidak lagi dihiraukan.

“Kau apa kisah? Dan untuk pengetahuan kau, aku tak sudi nak kandungkan anak nil ah. Aku akan gugurkan kandungan ni hari ni jugak,” tekanku lantas aku tolak tubuh Eady Rahimi ke tepi. Mahu berlalu ke bilik.

“Kalau Surah berani buat macam tu, abang tak akan maafkan Surah sampai bila-bila,” jerit Eady Rahimi dan belum sempat aku menapak ke anak tangga kedua, aku terpijak hujung kain sendiri hingga menyebabkan aku tersungkur di atas anak tangga dan perutku tepat mengena bucu tangga.

“Surah!!” jerit Mak Usu dan Eady Rahimi hampir serentak. Ayah yang baru tiba juga turut sama menjerit melihatkan keadaanku yang sudah tumpah darah.

“Surah,” panggil Eady Rahimi.

“Perut Surah,” jawabku dalam pada menahan sakit yang mula menyengat.

“Sabar sikit sayang, abang bawa ke hospital.” Serentak itu Eady Rahimi mencempung aku ke luar rumah dan terus di letakkan aku di belakang keretanya. Membiarkan darah merah itu mengalir dan terus mengotori tempat duduk Mitsubishi Evo kesayangannya itu.
******
AKU terus memaksa diri ini menerima ketentuan takdir sekali lagi bila Allah benar-benar mengambil semula jasad yang belum sempurna itu daripadaku setelah aku tergamak mengatakan hendak membuangkan dari rahimku.
Tiada guna lagi hendak ku tangiskan. Malah rasa bersalah pula bila ayah terpaksa menderma darah padaku bila aku telah banyak kehilangan darah sewaktu pembedahan tadi. Hari ini, baru aku sedar, kasihnya ayah itu sanggup bersusah.

“Terima kasih ayah,” ucapku bersama tangisan. Terasa hati ini hidup kembali bila aku sebenarnya mampu mengalirkan air mata keinsafan setelah pelbagai dugaan yang aku lalui.

Ayah duduk di kerusi di sisi katil. Dia menggeleng kecil. “Terima kasih untuk apa? Ayah tak buat apa-apa pun. Malah ayah yang patut minta maaf pada Surah sebab biarkan Surah sendiri selama ni.”
Dia mengusap tanganku lembut. Kemudian menepuknya bagaikan memberikan semangat baru untuk aku terus melangkah sementara nyawa masih berasa di dalam jasad.

“Ayah minta maaf pada Surah. Tapi, ayah mohon, leraikanlah kekusutan dendam dalam hati Surah tu sebab selagi Surah tak redha dengan takdir hidup Surah, Surah tak akan bahagia nak. Menolak takdir bermakna menentang percaturan Allah sedangkan Allah tahu apa yang terbaik untuk Surah. Maafkan ayah sekali lagi sebab tak percayakan Surah tentang Eady tu. Eady dah mengaku segalanya pada ayah tapi dia dah jadi suami Surah dan dia benar-benar sayangkan Surah. Surah terima suami Surah tu seikhlas hati. InsyaAllah, semuanya akan selamat dan DIA tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya,” ujar ayah panjang lebar.

Tapi aku tidak tahu sama ada hati ini bolehkah menerima Eady Rahimi dalam erti kata yang sebenarnya. Aku takut dia tidak mampu memaafkanku setelah bayi di dalam kandunganku, anak pertama kami kembali kepada yang Maha Mencipta.

“Surah cuba, ayah. Dan terima kasih sebab sudi selamatkan Surah,” ucapku lagi.

“Tak, nak. Kalau kata pasal derma darah tu, bukan ayah. Ayah kan ada darah tinggi. Lagipun Surah ikut darah arwah mak, darah jenis O. Ayah A+,” beritahu ayah cuba berselindung.

“Habis tu siapa?” Wajahku berkerut. “Rasanya Surah dengar tadi nurse tu cakap tak cukup darah?” Ya, aku dengar dan aku tidak pernah pula tahu kumpulan darah aku dan ayah berbeza.

“Suami Surah dengan Mak Usu yang dermakan.” Jawapan ayah benar-benar membuatkan aku terhenyak sendiri. Laju air mataku mengalir. Rasa malu pada diri sendiri, pada Eady Rahimi dan Mak Usu. Malu pada Allah kerana keingkaranku menerima aturannya hinggakan aku bunuh kegembiraanku sendiri selama ini.

“Betul ke, yah?” tanyaku lagi pohon kepastian dan bila ayah mengangguk, aku terus menghamburkan tangis semahuku.

“Kenapa menangis?” tanya satu suara dan aku tahu itu suara suamiku, Eady Rahimi. Aku angkat wajah bila dia melabuhkan duduk di birai katil dan ayah menjauh sedikit mendekat pada Mak Usu.

“Surah minta maaf,” ujarku bersama esakan.

“Abang tak nak tanya kenapa Surah minta maaf tapi yang pasti, abang maafkan Surah,” akuinya tanpa teragak-agak. Serta merta aku paut tubuh sasa itu ke dalam pelukanku. Pertama kali aku rela dipeluk oleh dia yang bergelar suami.

“Tapi, satu abang minta dengan Surah. Macam ayah cakap tadi, terimalah segala yang yang pernah berlaku dengan redha. Atau tidak, Surah tak akan pernah rasa tenang. Maafkan abang atas segala yang pernah Surah lalu selama ni sampaikan terpaksa menjadi isteri abang tiri sendiri,” ucapnya berbisik di telingaku. Aku angguk di bahuku dan dapat ku rasakan, Eady Rahimi membelai rambutku lembut.

“Abang cintakan Surah dari dulu. Cintakan adik tiri sendiri. Cuma abang silap dalam cara meluahkannya.” Aku angguk lagi mendengarkan pengakuan ikhlas Eady Rahimi kerana kini, aku mahu menyintai dia seperti mana dia telah Allah takdirkan untuk aku.

Aku tolak bahu Eady Rahimi lembut dan mencari mata Mak Usu. “Maafkan Surah, Mak Usu. Surah dah banyak sakitkan hati Mak Usu,” pintaku dengan air mata yang masih mengalir. Rasa bersalah benar bila memikirkan kini darah wanita itu dan anaknya yang pernah aku benci kini mengalir dalam tubuhku. Bersatu menjadi keluarga dalam keadaan begini.

Dia menghampiriku lantas memeluk tubuhku dan mengucup pipiku buat kali kedua. “Mak Usu dah lama maafkan Surah dan Mak Usu juga minta maaf sebab pernah biarkan Surah menderita walaupun Mak Usu tak ada niat macam nak rampas ayah Surah daripada Surah.”

Aku angguk lalu merenung mata Eady Rahimi kembali. “Abang tak maafkan Surah sebab keguguran ni?” tanyaku takut-takut. Bimbang juga andai dia menyalahkahkan tapi aku lega bila Eady Rahimi menggeleng.

“Abang tahu Surah tak sengaja. Abang nampak macam mana Surah jatuh, macam mana Surah menangis takut kehilangan kandungan tu, tapi Allah lebih sayangkan dia kan? Agaknya Allah hantar dia nak suruh kita berbaik. Kita cuba lagi, ya?” Eady Rahimi kenyit mata padaku. Nampak nakal pula kali ini biarpun dengan keadaan wajah yang berserabai. Tidak terurus. Aku mengulum senyum. Senyum manis yang ku rasakan kali terakhir untukku namun kini, akan menjadi milik dia selamanya.

“Bila masa Surah menangis?” Aku benar-benar lupa.

“Sepanjang perjalananlah. Masa tu abang tahu dah, yang Surah pun sayangkan kandungan tu. Tanda cinta dengan suami sendiri, siapa tak sayang, kan?” usiknya. Aku mencebik.

“Eleh, tanda cinta la sangat, padahal paksa orang,” bisikku takut didengari oleh ayah dan Mak Usu yang nampaknya sudah hampir terlena.

“Dah orang tu nak bukti,” selanya lagi. Dia ketawa kecil.

“Nah,” hulurnya tiba-tiba.

“Apa ni?” AKu sambut sampul berwarna putih mutiara itu daripada tangan Eady Rahimi. Setelah di buka, ternyata itu adalah kad jemputan kahwin Faiz. Aku buntang mata. Eady Rahimi senyum.

“Dia bagi kat tangan abang sendiri. Dia ikhlas jemput kita. Abang dah minta maafk bagi pihak Surah dan dia dah maafkan. Harap Surah juga dapat maafkan dia,” beritahunya tanpa aku pinta. Aku senyum saja. lega. Terasa lepas di bahu. Mengenangkan dendamku pada Faiz, aku benar-benar telah meleraikannya. Begitu juga ingatan pahitku dengan ayah. Aku jua mahu menukarkan segalanya menjadi satu kemanisan. Aku jua tidak mahu tahu dari mana Eady Rahimi tahu perihal aku dan Faiz dulu. Biarlah semuanya berlalu pergi

“Satu lagi...” Eh, banyak pulak Eady Rahimi ni, rungut hatiku sendiri tapi tidak dapat tidak, aku angguk jua.

“Gaji sayang bulan ni, bagi abang semua,” ucapnya.

“Eh, kenapa pulak?” tanyaku pelik. Rasanya gaji dia sebagai arkitek itu lagi hebat daripada gaji aku sebagai seorang Ketua Kerani ini.

“Abang nak tukar seat belakang Evo abang tu. Tak boleh nak buat apa dah tu. Kena darah sayang.”
Tawaku lepas bila sedar yang dia sekadar bergurau. Terasa kelakar pula bila dia berkata demikian. Sayang sangat dekat kereta dia tu.

“Tak apalah. Itu bukti yang abang tu Surah punya. Cap sirim la tu,” jawabku berseloroh. Eady Rahimi mencemik.

“Baru sekarang orang tu nak mengaku abang ni hak dia,” selanya bernada rajuk.

“Abang tu, kan Surah nak minta maaf...” Aku raih jemarinya erat. Menyatakan kesediaanku untuk menyintainya.
Hari ini, aku sedar mengapa aku terasa jauh dari rahmat-Nya sedangkan aku menjaga solat. Rupanya, hatiku yang terpalit hitam dengan dendam itulah yang membawa aku jauh dari rahmat-Nya. Menolak takdir yang menghimpitku dan hari ini, aku benar-benar tenang selepas aku rela hati melepaskan segala dendam itu pergi.

“Cinta Surah yang pernah terbunuh tu, izinkan abang hidupkannya kembali dengan cinta dan sayang abang pada Surah sebab abang yakin mampu hidupkan cinta antara kita selagi kita sama-sama masih hidup di muka bumi ini,” bisiknya dan aku mengangguk lalu mengukir senyum. Senyuman yang tak akan ku biarkan mati sebelum waktunya.

**** TAMAT ****

Pesan seorang sahabat, redhakanlah hati menerima ketentuan Ilahi kerana selagi kita tidak ikhlas menerimanya, kita tak akan tenang dan selagi hati kita terpalit lumpur dendam, selagi itu kita akan berasa jauh dari rahmat-Nya. Sesungguhnya, segala yang takdir aturkan itu sudah terlalu indah, tidak pernah silap. Yang pergi biar pergi, yang datang mengganti itu tidak semestinya seburuk yang kita sangka kerana Allah tahu apa yang terbaik buat kita sebagai hamba-Nya dan adik beradik tiri berlainan ibu dan bapa itu adalah sah untuk dinikahi. Sekadar berkongsi ilmu. Salam sayang buat semua pembaca ~~~> RM

37 comments:

  1. akak nie suka buat citer sedeyh! hukhukhuk.
    mcam best! :)

    ReplyDelete
  2. Ada..heheh..kann teruk akak neh seksa org..haishh..tu ade gak cite kelakar..ok la tu..hehe..best ke tak kite tunggu siap ek..

    ReplyDelete
  3. Tak sabar dah ni nak tunggu sambungan die. Tapi macam sedih je cerita ni, Kak Rehan. Anyway, tajuk dia best!

    ReplyDelete
  4. me lagi suka cerita sedih macam jahit balik hati aku tu.boleh nangis2.cecece

    ReplyDelete
  5. sngat meletop ..tp still sedey dngan jlan cerita yg k rm buat ..uhuk ..nk jgak suruh k rm buat cerita klakar ..takder sedey lnsung ..

    ReplyDelete
  6. Ya Allah kak... sumpah best gilerrr....
    karya akak kali ni laen macam..
    sy langsung x leh duga... huhuhu...
    best sangatlah...
    serius best...

    SSG=)

    ReplyDelete
  7. bila baca cite ni dari awal rasa bencik sgt kat bapak surah..sama mcm surah rasa..tapi dlm benci tuh ada gak sedih..faham apa yg surah rasa..dendam, marah, sedih, terpinggir..terbaek la cite nih RM...cepat2 smbung kalu ada sambungan ler..

    ReplyDelete
  8. huk2... sedey...
    moral value : jangan derhaka pada suami... sebab doa suami akan termakbul... huhu... sesungguhnya syurga terletak dibawah telapak kaki suami... hehehe... (**peringantan untuk diri sendiri jugak**)

    Haniza

    ReplyDelete
  9. Dasyatnya dendam si Surah ni kan?......tapi best...ini yg buat akak sukakan REHAN......

    ReplyDelete
  10. hmmm..nak ulas apa ye?....seperti berada di situ melihat setiap detik demi detik plot yang digarap...rasa enggan berganjak biarpun telah berakhir segalanya..adui..RM memg bagus dlm memainkan emosi khalayak pembaca...tahniah

    ReplyDelete
  11. terima kasih diatas cerita yang sangat menarik dan terbaik ini!!! heee.. seronok baca story nama sendiri ney!! superb lah kak!! nur ezzah maisurah mokhtar & eaddy rahimi.. heee.. BTW Terima kasih... sangat menghargainya...

    ReplyDelete
  12. Wow, mmg best..sgt menarik
    Tahniah la RM

    ReplyDelete
  13. giler nyer citer...
    jalan citer yg mmg tiptop..
    xsarapan pon xpe.. dh kenyang ngan citer ni.. huauhauha.. terbaik siput...
    rh

    ReplyDelete
  14. rafika dewi jahrulOctober 29, 2011 at 5:11 PM

    salam RM wow berapi mulut heroin dye errkk...bestt...terbaikkk... suka ....suka...
    cepat2 la buat sambungannya x sabar nk baca..
    meletup...superbbbbbb.....

    ReplyDelete
  15. wohooo..ganasnya maisurah tu.
    best! lain dari lain. :D

    ReplyDelete
  16. suke sngt cite akk yang ni..sngt best..

    ReplyDelete
  17. org ckp ni adalah cerita terbaek penah sy buat.sy pon rs gitu kot selepas pengorbananku tu..hehe..

    dasyat kan dendam neh..mmg dasyat..sy penah lalui perasaan gini & sy faham ape yg surah rasa..hehe..(tetiba)..hehe..thanks ek sudi baca..

    ReplyDelete
  18. cite akak meluas...jarang ada novel cite gini. or maybe tader langsung..

    ReplyDelete
  19. Tahniah RM akak suka dgn cite ni...akak pun pernah rasa mcm tu sakitkan bila ada marah pd seseorg tp bila kita leraikan dgn redha ingat pada Allah swt kita akan rasa tenang moga cite ni bolih jadi pengajaran .

    ReplyDelete
  20. bila hati dah sakit & pedih akan penuh dengan dendam.. kita mudah berubah watak tp bila waktu berlalu & kasih tumpah pada yang SATU jiwa kembali tenang..
    namun adakalanya bila kasih yang dihulur ikhlas & reda dengan ujian.. hati akan penuh dengan taman yang indah
    SYABAS buat RM sekali lagi

    ReplyDelete
  21. watak ini melambangkan diri saya'sedih, dendam dan tolak takdir....memang dasyat bila hati berdendam.....pemikiran waras telah hilang..teruskan usaha RM....

    ReplyDelete
  22. byk kali bce..ske sgt cerpen ni..stiap kali bce capai jg takat leleh 2 even dh byk kali ulang..ske sgt cerpen ni..huhu

    ReplyDelete
  23. just nk tny klu kne tangkap basah@khalwat, mmg wajib kn kawin ke?

    ReplyDelete
  24. kak rehan..ni cerpen tok nvel suami tah ku hadap ea??

    ReplyDelete
  25. ooooooo...ini idea utk suami x ku hdp ye....hoooreeeyyy sy suka le......

    ReplyDelete
  26. sedih nyer baca...
    tp suke..dendam x bw kita ke mana

    ReplyDelete
  27. jalan cerita and dialog ada sama sikit dengn Suami Tak Kuhadap..btw,best..just enjoy.. :)

    ReplyDelete
  28. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. citer ne sama dgn novel suami tak kuhadap!

      Delete
  29. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  30. citer ne sama dgn novel suamiku tak hadap!

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'ah.cite nie sbijik sbijan mcm novel suami tak ku hadap

      Delete