Sunday, July 15, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 32

WAJAH mak su merah padam bila Sera sampai di rumah bersama Riz dan Naz seketika tadi.  Wajah itu begitu Suram dan tubuhnya nampak sangat tak bermaya.  Paling menyakitkan hati, Sera heret bersama bagasi yang dia bawa semalam. 
Bila ditanya, Sera langsung tak bersuara.  Malah, Naz dan Riz juga tak tahu menahu.  Sejak masuk kereta, Sera hanya diam.  Telinga disumbat dengan earphone tapi tak tahulah ada muzik atau tak.  Boleh jadi itu hanya cara Sera untuk lari daripada sebarang soalan. 
“Sera tidur ke, Naz?”  soal Riz tak sabar bila Naz keluar daripada bilik Sera. 
Naz jongket bahu.  “Mata pejam tapi airmata dia menitik.  Aku pun tak tahu apa dah jadi, Riz.  Aku nak paksa dia cakap dekat aku, tapi Sera ni bukan macam Sera yang kita kenal.  Tak kan dalam satu malam, manusia tu boleh berubah macam ni sekali?”  Naz ketap bibir. 

Saturday, July 07, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 31


BAGASI sederhana itu diseret dengan tangisan yang kian laju.  Apa dia nak jawab pada mak su?  Macam mana keyakinan dia runtuh begitu saja angkara Buya?  Macam mana dia mahu hadapi Naz dan Riz yang selama ini begitu menjaga hatinya?  Sekalipun tak pernah dilukai.  Tapi, dengan mudah Buya toreh luka yang sebegini dalam pada hatinya. 
Sera terduduk di tepi jalan.  Jalan yang senyap sunyi tiada satu kenderaan pun yang lalu lalang.  Dia dongak ke langit.  Tiada satu bintang pun menghiasi sejak awal tadi sepertinya sudah tahu akan takdir hidupnya yang sebegini.  Mulut ditekup rapat.  Takut mendengar tangis sendiri.  Biarlah airmata itu mengalir lesu tanpa suara.  Sejak dulu, dia tak pernah menangis.  Dirinya begitu disayangi dan dia sentiasa berbahagia dalam hidup yang serba sederhana.